Friday, December 28, 2007

Negeri Cantik Budaya Menarik

A'kum Indera. Jumpa engkau di LRT Station Bandar Tasik Selatan Ahad jam 5.00 petang

Itulah pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbit saya pada hari kedua sambutan Aidil Adha yang lalu. Saya ada urusan di Terengganu. Berpergian bersama mantan Boss saya, Encik Khairul. Barusan sebentar bermesra dengan anak-anak, sudah terpaksa meninggalkan mereka.

Saya tiba di Kuala Lumpur jam 3.00 petang. Memikirkan saya tidak punya tempat meletakkan kenderaan selama beberapa hari saya ke Terengganu, saya singgah di perkarangan rumah adik ipar saya, Ibrahim dan terus meninggalkan kereta saya di tempat letak kereta di situ. Sungguhpun adik ipar saya masih belum pulang dari bercuti, sekurang-kurang jika esok dia pulang, boleh juga dia tengok-tengokkan kereta saya! Duit di saku cuma berbaki RM50.00. Hmmm... untuk berkelana jauh itu ada baiknya saya mengeluarkan sejumlah wang buat belanja.

"Kad anda gagal diakses. Sila berhubung dengan pegawai pelanggan kami untuk pertanyaan"

Teks yang tertera di paparan skrin itu membuatkan saya terkalap. Bagaimana harus dihubungi pegawai bank itu jika hari itu cuti? Ahhh... sulit. Wang sudah hampir kehabisan. Perjalanan ke Terengganu bakalan menagih banyak wang. Tidak berpuas hati, kad itu saya masukkan berulang-ulang kali. Masih tetap gagal. Saya kebingungan. Masa pula semakin menghampiri ke angka 5.00 petang.

"Pedulikan. Pedulikan. Tawakal sahaja kepada Allah" kata hati saya. Terus sahaja saya melompat masuk ke perut teksi sebelum berlarian ke kaunter membeli tiket arah ke Bandar Tasik Selatan.

Sampai di Bandar Tasik Selatan, Encik Khairul sudah sedia menunggu. Walaupun sudah 5 tahun kami tidak ketemu, namun dia masih segak seperti dahulu. Cuma tubuhnya sedikit kurus.
"Aku ingat engkau tak datang tadi..!!" katanya sambil tersengih.

Sepanjang jalan hujan lebat. Dalam pada itu, Encik Khairul masih gila-gila memandu. Memecut melebihi 120km sejam dalam jalan licin berbengkang bengkuk. Sambil itu mulutnya becok bercerita tentang kenangan silam kami bekerja di syarikat pemaju dahulu. Sekali sekala kami tertawa apabila kami mengumpat peribadi Pengerusi Syarikat dahulu iaitu Dato' Ayub.

Entah apa majalnya, sepanjang jalan itu Khairul asyik bercerita kisah hantu. Bermula dari Gombak membawa hingga ke Genting Sempah malah sampai ke Toll Karak.
"Betul Indera!! Masa aku balik KL ikut Jalan Jerangau Jabor tu, ada orang berlari sebelah kereta aku. Aku cakap, lantak engkaulah. Engkau nak lari ke, nak terbang ke, asal jangan engkau masuk dalam kereta ni dah. Kalau engkau masuk, aku melompat keluar.... Hehehehehehehe.." tawanya geli hati. Sambil itu jarinya sempat mencubit perut saya apabila saya kelihatan seakan menekun mendengar ceritanya.
Hutan belantara di sepanjang jalan kelihatan mesteri di mata saya. Jika tiada hutan belantara, yang ada hanya deretan pokok kelapa sawit. Matahari sudah lama menghilang namun senja belum kesampaian. Sewaktu melewati jambatan yang merentasi Sungai Pahang yang bersejarah itu, paras air sungai hanya beberapa kaki sahaja lagi belum melimpahi tanah daratan. Namun begitu, sebatu radius dari tebing Sungai Pahang keseluruhannya kekuningan dilitupi lumpur tebal tanda tanah sekeliling itu barusan dilanda bah. Bau lumpur yang masam mengasak hidung saya sewaktu kami berhenti di Perhentian Rehat dan Rawat Temerloh.
"Apa yang engkau buat tu..??" tanya Encik Khairul kehairanan melihat saya mendepangkan kedua-dua belah tangan sambil menarik nafas panjang.
"Menarik saripati bau lumpur ni. Hmmmm... wangi!!" kata saya.
"Wangi engkau kata? Masam adalah.." katanya.
"Saya suka bau ni. Bau masam lumpur ni dengan pemandangan belantara menjadikan Pahang ini nampak lebih klasik"
Encik Khairul sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Kadang-kadang aku tak faham dengan kamu ni, Indera. Mana yang aku tak suka, itu yang engkau suka" katanya lagi.
"Itu yang membuatkan kita berbeza" kata saya memandang alam sekeliling.
"Tetapi dalam pada itu pulak, kita boleh bekerjasama dan bertolak ansur" tambah Encik Khairul.
"Itu yang membuatkan kita unik" kata saya tersenyum memandang ke arahnya.

Terengganu!!! Akhirnya saya menjejakkan kaki saya semula di negeri yang bertuah ini. Disambut dengan bayu malam yang berhembus dingin. Langit cerah dengan bintang terang berkelipan mengisi dadanya.
"Engkau tahu, perempuan di Terengganu ni tiada seorang pun yang menarik perhatian aku" kata Encik Khairul. Jam sudah menunjukkan jam 10.30 malam. Di manalah berdiamnya kakak yang seorang tu agaknya? Janjinya ingin menghubungi saya.

"Tak macam perempuan di Kuala Lumpur. Semua seksi-seksi. Di sini kalau setakat T-Shirt dan jean ketat tu, dah kira seksi sangatlah tu" celoteh Encik Khairul lagi.
Saya seakan tidak percaya lelaki lewat 40-an beranak 7 ini masih berselera memandang wanita seksi.
Encik Khairul masih berceloteh pasal hantu setiba di Kuala Terengganu. Masuk sahaja ke ruang tamu rumahnya masih berterusan topik hantu itu walau mulut saya sudah terkunci rapat akibat keletihan.
"Engkau tahu, sebelah rumah ni kubur" katanya. Saya membuka pintu selak yang besar itu dan memang benarlah di sebelah rumah itu tanah perkuburan yang besar.
"Nanti malam engkau tidur, ada orang terbang masuk baring sebelah engkau. Selamat malam!!" usiknya sebelum menutup pintu bilik tidurnya. Akibat terlalu diasak dengan kisah tahyul itu, mata saya enggan tidur hingga ke santak subuh.

Terengganu penuh dengan pesonanya. Bandarnya yang bergerak perlahan. Makanannya yang lazat. Penduduknya yang peramah. Pantainya yang menganjur panjang dari Selatan hingga Utara. Rasanya tiada bandingan keindahan negeri itu dengan tempat-tempat lain. Pejabat tempat saya melakukan urusan hari itu letaknya di Pantai Batu Buruk. Dari halaman bangunan itu sudah kedengaran deburan ombak dengan deretan pokok rhu mengisi pemandangan. Alangkah indahnya jika saya dapat berlama-lama di situ.

Saya tertarik dengan keropok lekor yang banyak dijual di sekitar bandar. Betapa orang Terengganu sangat berbangga dengan apa yang mereka ada sebagai sebahagian daripada cara hidup mereka.
"Beli keropok bang?" gadis manis penjual keropok menegur saya.
"Errr.. tak. Saja tengok-tengok" kata saya. Azah tidak pernah memesan untuk dibelikan keropok lekor. Kakaknya sendiri berkahwin dengan orang Terengganu. Baru-baru ini pulang ke Perak membawa keropok lekor yang banyak. Sekiranya saya membeli lagi, bimbang akan menjadi pembaziran pula. Entah kenapa saya tiba-tiba terkenangkan seorang sahabat yang sangat baik yang bermastautin jauh di kota London. Ingin membelikannya sekeluarga keropok lekor. Malangnya jarak yang terlalu jauh tidak memungkinkan saya berbuat demikian. Jika Tanah Ratu Elizabeth itu hanya di sebalik persempadanan negeri, nescaya akan saya titipkan keropok lekor itu ke rumahnya.

"Aku ingat engkau akan pulang ke Kuala Lumpur esok pagi" kata Encik Khairul tatkala melihat saya sedang memasukkan baju ke dalam beg pakaian.
"Cadangnya memang macam tu. Tak tau pulak tiket bas dah habis. Mujur saya dapat satu tiket malam ni" kata saya memandang wajah Encik Khairul yang sedikit kehampaan.
"OK, lepas habis kerja nanti aku bawak engkau jalan-jalan bandar Kuala Terengganu"

Pantai Batu Buruk. Pantai tempat berpesta. Angin menderu dan ombak bergulung menghempas pantai. Sedang matahari memancar garang membakar petang.
"Rasa macam tak percaya pulak sekarang musim tengkujuh. Setitik hujan pun tak turun sepanjang saya kat sini"
Encik Khairul hanya mengangguk.

Kami leka melihat kanak-kanak dibawa oleh ibubapa mereka beristerihat di sepanjang pantai itu.
"Engkau tahu Indera.."
"Tak tahu..!!"
Encik Khairul tertawa kecil.
"Engkau tahu, aku selalu rasa takut setiap kali meninggalkan anak-anak aku. Sebabnya aku tak nampak diaorang membesar depan mata aku. Aku tak tahu susah senang diaorang. Anak aku makin hari makin besar. Aku makin hari makin tua. Sebab desakan kerja aku terpaksa tinggalkan mereka. Aku bimbang kalau satu hari nanti mereka akan salahkan aku sebab tak jadi ayah yang baik. Tidak ada di samping mereka di masa mereka perlukan aku.." kata Encik Khairul sambil memandang layang-layang yang banyak berterbangan di ruang udara bersebelahan dengan Hotel Primula itu.
"Saya pun macam tu juga Encik Khairul. Tapi nak buat macam mana. Dah takdir macam tu. Kita senasib" kata saya sambil menepuk bahunya.

Malam itu bas bertolak tepat jam 9.00 malam. Saya sekadar melambai-lambai Encik Khairul yang kelihatan sayu memandang saya dari celah orang ramai yang sibuk di Stesen Bas malam itu.
"Aku tengok engkau balik ni, rasa aku pun nak balik sama. Malas aku nak dok kerja lama-lama kat sini. Jauh dari isteri aku. Jauh dari anak aku" saya teringat kata-katanya sewaktu saya melangkah keluar dari rumahnya malam itu.

Bas kian menghampiri Paka. Ada orang pernah memberitahu saya, kalau ingin melihat Terengganu yang sebenarnya, lihatlah Paka. Gadis yang duduk di sebelah tempat duduk saya itu sudah lama lena diulit mimpi. Tapi saya masih leka memandang panorama lautan disinari rembulan malam bulan Zulhijjah. Terengganu memang cantik. Terengganu memang menarik. Hanya Allah sahaja yang mengetahui di mana arah saya di kemudian hari. Jika Terengganu tempat saya, maka redhalah saya. Ahhh.. Terengganu. Negeri Cantik, Budaya Menarik..



Wednesday, December 12, 2007

Kolam Ikan Tok Sidin

Hujan pagi turun mengguyur dengan lebat lewat penghujung tahun 1995. Sudah 3 hari hujan turun. Kadang-kadang di sebelah pagi. Kadang-kadang pula di sebelah petang. Cuaca-cuaca begini sememang sukar untuk dijangka. Langsung tidak berpeluang hendak menjemur kain baju, kata Mak. Di halaman rumah Mak penuh dengan lopak-lopak air. Hujan masih lagi turun. Ayam-ayam Mak, jantan betina kebasahan menumpang teduh di tepi longkong. Sekali-sekala terdengar dentuman guruh dari kejauhan. Walaupun perlahan tetapi cukup jelas menampar gegendang telinga.

Dapur rumah Mak penuh sarat dengan bahan-bahan untuk dibuat kenduri bagi meraikan perkahwinan abang saya, Khairul. Berkahwin dengan orang Kampung Kuchai yang terletak di seberang sungai sahaja.


"Kalau lepas kahwin nanti engkau malas nak pandu kereta balik ke sini (rumah Mak), engkau tebang batang pisang. Lepas tu engkau anak-beranak berakit balik ke rumah pun boleh jugak" kata saya mengusik abang saya.


Ini disebabkan jika melalui jalan darat yang mempunyai jambatan, terpaksa melalui Pekan Bota Kanan yang jaraknya lebih kurang 10 batu sebelum menghilir semula sejauh 10 batu lagi. Padahalnya jika terdapat jambatan yang menghubungkan kampung kami dengan kampung di seberang sungai itu, jarak perjalanan yang diambil tidak sampai 5 minit pun!!.


"Kamu esok ada bercadang nak pergi mana-mana ke..??"Apak bertanya kepada saya.
"Tak ada ke mana. Kenapa Apak?" tanya saya pula.
"Kalau kamu tak ke mana-mana, boleh kamu ke rumah Tok Sidin? Tolong ambil enjin pam air yang Apak sewa dari dia tu"
"Apak nak buat apa dengan pam air tu..?" tanya saya lagi.
"Tuuu.. nak pam kolam ikan jelawat Apak tu. Ada juga buat tambah-tambah lauk kenduri nanti" kata Apak.
"Apak cadang nak buat Gulai Tempoyak"
"Cukup ke tempoyak kita tu Apak?" saya mengira dalam ingatan jumlah balang tempoyak yang berbaris atas para lama Mak.
"Eh, cukup...!!"


Esok paginya sesudah bersarapan, saya menukar pakaian di bilik. Dari tingkap bilik, jelas kelihatan awan berkepul berwarna hitam larat mengisi ruang udara. Angin bertiup keras menandakan hujan akan turun beberapa ketika. Di petak bendang bersebelahan rumah Mak, anak-anak padi setinggi betis meliuk-liuk dipukul angin kencang. Beberapa ekor ayam berketuk beberapa kali memanggil anak-anaknya untuk berteduh dari kebasahan hujan.


Sesudah bersiap itu, saya mendongak ke langit menerusi tingkap bilik bagi memastikan samada hujan sudah mulai turun. Melihatkan tiada setitis hujan pun yang jatuh, saya lantas mencapai kunci motosikal dan memecut ke hulu sebelum Tok Sidin turun dari rumah menuju ke kedai kopi.
"Orang tua tu kalau dah ke kedai kopi, bukan senang nak dicari lagi dah. Entah ke mana-mana merayaunya nanti" saya teringatkan pesanan Apak. Kelewatan hanya akan menyebabkan Apak berkicau panjang. Mujur sahaja sebaik saya tiba di halaman rumahnya, Tok Sidin sedang enak-enak menghisap cerut di serambi rumah.


"Kolam mana yang Apak kamu nak keringkan ni?" tanya Tok Sidin.

"Entah...!! Kolam yang dekat kebun durian tu kot.." kata saya.


Tiba sahaja di simpang masuk ke rumah, kelihatan Apak sedang berbual sesuatu dengan Abang Senik.
"Nak buat apa diambil pam air ni, Cikgu. Dah tak ada guna, dah" kata Abang Senik kepada Apak.

"Kenapa?" tanya saya kehairanan.

"Air ban naik melimpah. Habis kolam ikan itu kena tenggelam" kata Apak.

"Habis tu, kenapa pulak?" tanya saya lagi. Gagal menangkap maksud kata-kata Apak.

"Kalau dah ditenggelam dek air, habislah keluar semua ikan tu" terang Apak seakan kesal.

"Orang-orang di Permatang tu tengah berpesta dengan Ikan Jelawat apak kamu" kata Abang Senik dalam ketawa kecil.

Hmmm... sudah tiada rezeki. Ingin diperbuatkan apa lagi. Saya mengangkat enjin pam air yang berat itu lalu meletakkannya di sebelah tangga.
"Ni ada 3 ekor Ikan Jelawat apak kamu yang abang sempat tangkap tadi. Kamu masaklah. Sekurang-kurangnya terubat sikit hati apak kamu tu" kata Abang Senik menghulurkan saya satu beg plastik berwarna merah yang berisi ikan jelawat.

Sebaik sahaja Abang Senik pulang, hujan turun dengan lebatnya. Suasana muram dengan titis air kelihatan di mana-mana. Setelah membersihkan ikan, meletakan garam barang beberapa cubit, saya membakar kayu api untuk memanggang ikan. Sewaktu mengipas dan mengawal api membakar ikan itu, fikiran saya menerawang membayangkan betapa sibuknya majlis perkahwinan abang saya nanti. Si Tompok, kucing kesayangan anak saudara saya menggesel-geselkan tubuhnya ke kaki saya minta dimanja.
"Apak ingat kamu tak payah pulangkan enjin pam tu" kata Apak tiba-tiba muncul di sebelah saya.
"Kenapa?"

"Apak ingat nak pajak kolam Tok Sidin. Kolamnya boleh tahan jugak. Banyak ikan"

"Ikan apa?" tanya saya

"Ikan tongsan"

"Best!!"

Esok akan berlangsung majlis perkahwinan. Petangnya, orang kampung kenalan terdekat dan sanak saudara sudah penuh mengisi ruang rumah Mak bagi menolong menyiapkan apa yang patut. Cikgu Din mengetuai beberapa orang lelaki melapah daging kerbau yang disembelih. Tok Aziz, ketua tukang masak sedang menyediakan rempah ratus untuk dimasak Rendang Tok. Makcik Zaleha, Makcik Umi, Opah Esah dan Makcik Jenab, isteri Pakcik Alang sedang leka berbual sambil menyiang bawang putih dan halia. Semua kerja secara gotong royong. Di halaman, saya dan beberapa orang sepupu lelaki saya, Fuad, Daud, Ejei, Ajak, Abang Wan dan Abang Key enak berbual-bual sesama kami sementara menunggu Apak, Abang Senik dan Tok Sidin. Setelah semuanya dalam keadaan yang memuaskan, kami pun berasak-asak di dalam van buruk Abang Senik yang ruang dalamnya kuat berbau minyak petrol itu.

Kolam Tok Sidin langsung tidak dijamah air. Tetapi penuh dengan Jelatang Air sehingga ke tengah kolam. Sebaik sahaja paras air berada di paras pinggang, kami sepupu-sepapat melompat masuk memburu ikan-ikan Tongsan yang rata-ratanya bersaiz sepanjang kanak-kanak berusia 2-3 tahun. Memang besar Ikan Tongsan peliharaan Tok Sidin. Yang paling besar, panjangnya hampir menyamai ketinggian saya.

Aduhhh... gatalnya air kolam ni, fikir saya.
"Fuad, jom kita balik" saya mengajak sepupu saya pulang.
"Nak balik naik apa? Lagi pun ikan banyak lagi ni" kata sepupu saya.

"Nak balik pun nak buat apa" kata Fuad lagi

"Aku nak mandi. Badan aku dah gatal lain macam ni" kata saya menunjukkan badan saya yang sudah kemerahan. Fuad itu saya lihat pun sudah tergaru di sana sini.

Oleh kerana Fuad dan lain-lain enggan pulang, akhirnya saya memutuskan untuk berjalan kaki sendirian.
"Betul ke engkau nak balik sorang?" tanya Fuad seakan tidak percaya.

"Betullah"

"Tak takut?" tanyanya.

"Takut apa?"

"Harimau..." katanya mengusik saya memandangkan jalan pulang bakal melalui hutan tebal yang jauh dari orang ramai.

"Mulut!!! celuparnya...!!"


Saya tetap mahu pulang ke rumah. Gatal badan saya sudah tidak tertanggung. Entah apa majalnya, petang itu langit cerah dengan matahari memancar garang di angkasa. Terik pancaran itu menambah ketidakkeruan gatal di badan saya. Sewaktu melewati hutan tebal di kiri dan kanan jalan itu, baru saya tersedar bahawa hutan itu terlalu tebal hatta jika gajah menari di dalamnya pun pasti tidak akan saya sedari. Ular, babi hutan, beruk besar dan harimau menjelma dalam kotak fikiran saya.

Setelah beberapa lama berjalan, tiba-tiba saya terdengar bunyi tapak kaki mengekori langkah saya. Sebaik sahaja saya menoleh ke belakang, saya lihat 3 ekor kera jantan yang besar hampir dengan kaki saya. Saya cuba menyergah kera itu tetapi kera-kera itu sedikit melawan. Bulu roma saya sudah berdiri. Lantas saya mengutip beberapa butir batu yang besar, lantas membaling ke arah kera-kera itu. Kera-kera itu bertempiaran lari. Tetapi tidak lama, keluar beberapa ekor lagi yang bersaiz besar bergabung dengan 3 ekor itu.


Saya membuka langkah seribu. Jika ditunggu lagi, nahas saya dikerkah oleh kera-kera itu. Mujur selepas sebatu, kera itu tidak lagi mengejar saya. Sampai sahaja di rumah, orang ramai bertanyakan Apak. Saya terus masuk ke bilik air membersihkan diri. Sewaktu mandi itu baru saya tersedar, di seluruh kakitangan saya penuh dengan calar-calar yang halus tetapi memanjang. Bisa dan gatalnya sukar diperkatakan. Sudah disapu krim antibakteria pun, masih bergaru-garu bakup merah di kaki tangan.

"Hahahahahahaha...." berderai ketawa rakan-rakan Apak dari arah penanggah mengusik Khairul, abang saya itu. Saya di bilik tidur, langsung tidak dapat melelapkan mata. Gatal, panas dan suasana bising di luar bercampur aduk menyeksa saya.
"Aku pun tak dapat tidur malam tadi" kata Fuad
"Gatalnya lain macam. Haaahh.. tengok ni, calar balar tangan aku ni...!! Teruk betullah penangan Jelatang Air ni" katanya lagi.

"Itulah yang aku ajak kamu balik semalam. Kalau kamu ikut, tak ada aku kena kejar dengan kera. Geram betul aku!!"
Hahahahahahaha...

Tuesday, December 11, 2007

Terkenang Semasa Dulu.. (Sekolah Ayam)


Seekor labah-labah
Cuba panjat perigi
Bila hujan turun
Labah cepat lari
Terbit matahari
Air tiada lagi
Labah cuba panjat
Sekali lagi...

Suara itu bergema sewaktu saya melangkah masuk ke rumah berbentuk kotak berwarna kuning yang terlepap di atas tanah itu. Semua orang tahu, itu namanya Sekolah Ayam. Kata Kak Wok, cuma itu sahaja sekolah tadika yang ada di kampung itu. Sekolah tadika? Dulu pernah juga saya mendengar perkataan itu. Tetapi cuma beberapa hari sahaja. Sesudah itu semua orang memanggil pondok itu sebagai Sekolah Ayam. Dulu sewaktu saya berusia 4 tahun, Apak cuba memasukkan saya ke Sekolah Ayam itu, tetapi tidak dibenarkan oleh Cikgu Ros. Cikgu Ros kata, saya masih terlalu kecil. Setahun kemudian baru saya dibenarkan.

Hanya Opah Esah yang mengiringi saya masuk ke pondok. Mana Apak? Mana Mak?. Opah Esah kata, Mak dan Apak ke sekolah mengajar budak-budak besar. Saya yang masih kecil ini mesti belajar di sekolah budak-budak kecil dulu.

Sewaktu saya melangkah masuk itu, nyanyian budak-budak yang rata-ratanya sebaya saya itu terhenti. Mata mereka memandang tajam ke arah saya seolah-olah saya ini datang dari planet asing. Maklum sahaja saya masuk mendaftar terlewat 3 hari dari tarikh sebenar. Selama 3 hari itu juga, budak-budak yang bersekolah di pondok itu tidak pernah melihat wajah saya. Hanya itulah kali pertama.

Opah Esah kemudiannya keluar dari pondok itu dan berdiri di tingkap melihat saya. Bagaimana kalau Opah Esah meninggalkan saya? Bagaimana saya mahu pulang ke rumah? Di hadapan sekolah terbentang sebatang jalan yang lebar. Mak selalu pesan jangan main hingga ke jalan besar. Ada banyak kereta yang laju-laju. Kalau dilanggar, boleh mati. Jadi bagaimana saya ingin pulang nanti kalau Opah Esah meninggalkan saya?. Saya mulai takut. Bukan takut pada kanak-kanak itu semua yang masih memandang tajam ke arah saya, tapi saya takut ditinggalkan. Saya takut nanti saya tidak dapat pulang ke rumah. Diculik oleh orang lantas dijadikan sebagai anaknya sendiri, ohhh... takutnya saya. Rasa takut itu semakin membesar sehingga menjadi cemas. Hati saya menjadi hiba lantas di mata saya bergenang air jernih. Airmata saya mengalir. Kemudian pecah tangisan saya.

"Opahhhhh.... jangan tinggalkan Indera!!!"

"Ishh... tak adalah. Opah kan ada kat sini" kata Opah Esah.

Saya melangkah ke jendela yang ditutupi dengan jaringan dawai besi itu yang memisahkan saya dengan Opah Esah. Ketinggian saya hanya separas pinggang orang dewasa sahaja. Kerana itu saya tidak berupaya mencapai tangan Opah Esah. Saya mendongak memandang Opah Esah sambil wajah saya rejuh dengan airmata.

"Opahhhhhhh....!! Opahhhh... Indera nak ikut Opah. Indera tak mahu duduk sini" tangisan saya semakin meninggi.

Budak-budak seramai 20 orang itu sekeliannya terkalap memandang saya. Seorang tidak berani membujuk saya. Mujur Cikgu Ros segera datang menyelamatkan keadaan.

"Ehhhh... Indera. Tak mau nangis. Tak mau nangis. Indera budak baik, kan?. Nak takut apa.. tu kawan-kawan ramai. Semua nak kawan dengan Indera. Kalau menangis macam ni, nanti orang tak mahu kawan dengan Indera.." kata Cikgu Ros.

"Indera nak balik"

"Nak balik buat apa..?? Kat sini banyak kawan. Ada permainan. Ada makan. Ada minum. Seronok kan?" pujuk Cikgu Ros lagi.

Usaha Cikgu Ros memujuk saya memang berhasil. Setelah diberi dengan selembar kertas lukisan dan beberapa batang crayon, saya tenggelam dalam dunia saya.

"Siapa nama awak?" tanya budak perempuan yang duduk di sisi saya. Turut mewarna lembar kertas lukisan yang sama.

"Indera Kencana. Nama awak sapa?" tanya saya pula.

"Lailatul Nadzirah"

"Lett... Lai.." kata saya tersekat-sekat, cuba mengulanginya. Sukar benar menyebut nama budak ini!!

"Lailatul Nadzirah"


Pandangan saya terus mengarah ke arah jendela. Opah Esah tiada di situ!! Mana Opah? Mana Opah? Saya mulai tidak keruan. Cepat saya melangkah keluar.

"Indera... Indera nak pergi mana tu?" suara Cikgu Ros menikam gegendang telinga saya. Langsung tidak saya pedulikan. Saya mencari-cari Opah Esah di sekeliling pondok itu. Memang tiada!!!

Airmata saya bertakung kembali cuma tiada lagi jerit tangis. Sepanjang hari saya membungkus diri berpeluk tubuh. Enggan mahu ikut serta budak-budak itu semua menyanyi dan menari. Tiba-tiba saya merasakan perut saya memulas-mulas. Biasa jika sebegini ada Kak Wok yang menemani ke tandas. Marah benar Kak Wok jika jeritan saya mengganggu ilhamnya mengarang surat cinta buat kekasih hatinya, Abang Jali. Berkicau-kicau mulutnya marahkan saya. Tapi sebentar sahaja sebab sesudah anginnya baik, Kak Wok tidak marah lagi.

Di sini Kak Wok tiada. Tiada orang dewasa melainkan Cikgu Ros. Ingin saya nyatakan pada Cikgu Ros tetapi saiz badan Cikgu Ros yang besar itu menakutkan saya. Perut saya semakin sakit. Akhirnya gagal saya tahan dan terhambur ke dalam seluar.

Serentak dengan itu, bau busuk mengisi ruang pondok kecil itu.

"Hieeee... busuknya!!" kata Iswandi menutup hidung.

"Uweekkk... Cikgu, Indera berak dalam seluar" kata Nur Atikah.

"Busuknya...."

Saya takut. Takut dimarahi. Kalau di rumah, sekiranya saya terbuang air dalam seluar, Apak akan memiat telinga. Sakit!!! Cikgu Ros mesti marah!!

"Indera, mari sini dapat cikgu.." panggil Cikgu Ros.

Saya bangun. Terkaku berdiri di dinding. Cikgu Ros tersenyum. Kemudian dia mula mengatur langkah mendapatkan saya.

Mesti. Saya yakin. Cikgu Ros mesti akan menarik kuping telinga saya. Macam Apak selalu buat kalau dia marahkan saya. Cikgu Ros kian menghampiri saya. Saya mengigil.

"Tak nak... tak nak" kata saya. Tidak ingin dipiat telinga atau dipukul.

"Tak nak apa, Indera?" tanya Cikgu Ros.

"Indera kena cuci punggung dan seluar tu.." kata Cikgu Ros.

"Tak mahu!!!" jerit saya ketakutan sebelum menghambur diri keluar dari sekolah tadika itu. Habis jalan besar itu saya redahi. Mujur sahaja tiada kenderaan yang melalui jalan ketika itu. Jika tidak pasti saya sudah tinggal nama.

"Indera, Tungguuuuuuu..." laung Cikgu Ros. Saya tidak peduli.

Saya terus berlari pulang. Dari seberang jalan itu saya boleh lihat rumpun Pohon Ara yang terletak tidak jauh dari rumah Mak. Terus saya berlari ke rumah menangis melolong dalam dakapan Kak Wok.

Sejak dari hari itu saya tidak mahu ke sekolah lagi. Mak dan Apak tidak mahu mengkerasi saya kerana saya hanya berusia 5 tahun pada waktu itu. Biarlah dia duduk di rumah dulu, kata Apak.

Tidak kau kasihan
Ku menanti kepadamu selalu
Biar ku rasa bosan
Hati ku tetap pada mu

Beginilah hidup dalam dunia
Selalu sama saling bercinta
Marilah dinda pujaan kesuma
Mengikat janji asmara

Saya kenal suara itu. Itu suara Abang Jaafar, jejaka kampung bujang terlajak yang jatuh hati pada Kak Wok. Menyanyi lagu Dara Pujaan dendangan L.Ramlee di hadapan halaman sewaktu Mak dan Apak tiada di rumah.
"Kak Wok!! Kenapa Kak Wok tutup tingkap?" saya bertanya.

"Huhhh... menyampah Kak Wok tengok dia. Mengada-ngada" gerutu Kak Wok.

Kalau menyampah, kenapa pula tingkap yang ditutup? saya kehairanan.

Saya pun menyampah tengok Abang Jaafar. Setiap kali dia ternampak saya bermain dengan Itah di pinggir semak berhampiran dengan rumah Pak Mad Mompi tu, mesti dia akan mengusik saya dengan lagu Can Mali Cannya itu.

Di mana dia
Anak kambing saya
Anak kambing saya
Yang makan pucuk getah

Di mana dia
Cinta hati Indera
Cinta hati Indera
Budak yang nama Itah

Huhh... meluat tengok Abang Jaafar tersengih-sengih.

Setelah sekian lama saya hanya berkeliaran seperti kanak-kanak gelandangan di waktu pagi, Mak dan Apak memasukkan saya ke sekolah harian seperti kanak-kanak berusia 7 tahun walaupun saya belum cukup umur. Saya berada di Darjah Satu selama 2 tahun. Sewaktu saya di Darjah Satu yang sebenarnya, saya bertemu semula dengan kanak-kanak yang berada di Sekolah Ayam dahulu. Cuma saya ketika itu sudah lebih terdedah pada kurikulum sekolah rendah.

Friday, November 30, 2007

Kita Sama-Sama Manusia....


"Macam mana ni Indera. Aku dah bagitahu banyak kali dah. Engkau nak aku ulang berapa kali? Setiap kali aku tanya, faham tak? Engkau cakap faham. Tapi bila buat kerja macam hampas. Apa ni?" tengking Abang Ngah.

"Abang Ngah. Tolonglah faham. Saya dah buat yang terbaik. Tapi kalau hasilnya tak macam mana yang Abang Ngah nak.. baiklah saya mengaku, itu adalah kelemahan saya".

"Indera. Aku harapkan setelah sekian lama, engkau akan menjadi 'Menteri'. Tapi rupanya engkau masih tetap seorang 'Pendayung Bahtera'. Sudahlah... aku nak balik. Buat menyakitkan hati aku je duduk kat office ni lama-lama"

Paaaannnggg!! Pintu pejabat ditutup dan dihempas. Saya terduduk.

**************

Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang adil memerintah Kerajaan Ayutthaiyya di Siam. Kegemaran raja ini akan mengembara dengan menaiki bahtera. Adapun, ketika mengembara, baginda akan membawa bersama menteri-menteri baginda serta juak-juak istana yang bertindak sebagai pengayuh bahtera itu.

Pelayaran ini biasanya akan merentasi hutan tebal, perkampungan rakyat jelata, pelabuhan yang sibuk dan tidak kurang juga melalui jurang-jurang gunung yang sempit. Baginda amat menyukai pemandangan yang dikurniakan oleh Tuhan ke atas negara yang diperintahnya.

Selalunya ketika dalam pelayaran itu, baginda akan berbaring-baring atau duduk bermalas-malasan bersama para menteri sambil membicarakan soal rakyat. Dengan duduk secara santai itu, raja serta para menteri akan lebih selesa mengeluarkan pendapatan tanpa ada rasa tertekan yang boleh membantukan buah fikiran. Kadang-kadang raja dan menteri-menteri itu duduk menikmati alunan tiupan seruling dari biti-biti istana.

Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di sanubari Loy, seorang juak-juak yang menjadi pendayung bahtera itu. Lantas Loy menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Chun tentang ketidaksamaan layanan raja terhadap juak-juak dengan menteri diraja.

"Engkau lihat, menteri-menteri itu bersenang lenang berehat di dewan diraja. Sedangkan kita di sini berhempas pulas mengerah tenaga mendayung bahtera ini. Apa bezanya kita? Bukankah kita sama-sama manusia?" kata Loy. Chun hanya terdiam.

Perjalanan mereka lancar menyongsong arus. Akhirnya bahtera itu sampai di tepi sebuah kampung berhampiran dengan pelabuhan. Hari sudah merangkak gelap lalu baginda raja mengusulkan agar bahtera itu berhenti belayar sementara menanti hari esok. Sekelian anak kapal tiada bantahan.

Malam sunyi dengan bintang bergemerlapan di langit tinggi. Tiba-tiba tidur baginda raja terganggu dek salakan beberapa ekor anjing di kawasan berhampiran. Malam kian larut namun mata baginda raja tetap enggan lena. Baginda kemudian keluar dari kamarnya dan mengejutkan Loy yang sedang enak diulit mimpi.
"Bangun!! Cuba kamu pergi tengok, bunyi bising apakah itu?" tanya raja.

Dengan perasaan yang jengkel, Loy bangun lantas pergi ke tebing sungai melihat bunyi bising itu. Hanya bunyi anjing.

"Bunyi itu bunyi suara anjing, Tuanku" kata Loy

"Cuba kamu pergi tengok anjing itu jenis baka apa?" perintah raja

"Baik"


Sekali lagi Loy terpaksa ke tebing.

"Anjing itu baka tempatan, Tuanku" kata Loy

"Cuba kamu lihat berapa ekor yang besar dan berapa ekor yang kecil" perintah baginda.


Sekali lagi Loy terpaksa berpatah ke tebing.

"Ada seekor anjing yang besar dan 4 ekor yang kecil" kata Loy mengetap bibir menahan geram.

"Cuba kamu lihat warna apakah anjing-anjing itu" perintah raja lagi.


Loy semakin kepenatan menuju ke tebing sungai.

"Ada seekor berwarna hitam, dua ekor berwarna putih, seekor berwarna oren dan seekor lagi berwarna coklat"

"Kepunyaan siapakah anjing itu?" tanya raja lagi.


Jiwa Loy semakin huru-hara dibikin oleh raja itu.

"Anjing itu kepunyaan seorang sami, Tuanku" kata Loy dalam kepenatan.


Raja itu kemudian mengejutkan salah seorang menterinya yang sedang berdengkur.

"Bangun. Pergi kamu lihat bunyi apakah bising sangat itu" perintah raja kepada menteri.


Menteri itu bangun lantas bergerak menuju ke tebing. Sementara Loy diarahkan supaya menunggu di sisi raja. Menteri itu pergi lebih lama daripada masa yang diambil oleh Loy. Setelah beberapa ketika, menteri itu pulang membawa sembah.

"Ampun Tuanku. Adapun bunyi itu adalah bunyi salakan anjing daripada kuil yang berhampiran. Anjing itu adalah baka tempatan dan terdapat 5 ekor semuanya. Ibu anjing itu berwarna hitam bersama 4 ekor anaknya yang 2 ekor berbulu putih, seekor berbulu oren dan seekor lagi berbulu coklat. Anjing-anjing itu semua kepunyaan sami yang menduduki kuil itu Tuanku" sembah Menteri itu.

Setelah itu menteri itu dibenarkan meneruskan tidurnya. Tinggallah Loy bersama-sama raja itu.

"Kamu tahu kenapa kamu menjadi pengayuh bahtera sedangkan dia menjadi menteri beta? Kamu terpaksa berulang alik sebanyak 5 kali untuk menjawab soalan beta sedangkan dia hanya perlu pergi sekali sahaja. Itulah yang membezakan kamu dengan dia walaupun kita sama-sama manusia.."

*******************
Ya. Kita sama-sama manusia. Saya masih Pendayung Bahtera rupanya....

Indera
Shah Alam (1999)

Thursday, November 22, 2007

Thanksgiving dan Di Keheningan Subuh

Dalam kesibukan warga U.S. menyambut Thanksgiving, ramai benar yang suka buat kelakar bodoh pada rezeki Allah...

Merepek. Memang merepek!!


**************************************



Sekarang cepat benar siang. Jam 6.30 pagi sudah kecerahan. Begitulah putaran alam. Ada masa cepat matahari memunculkan diri. Ada ketikanya pula, ketika saya menghidupkan enjin kereta untuk ke pejabat, langit masih gelap berbintang dengan kokok ayam sahut menyahut menyambut kedatangan hari baru.


Ketika bergegas masuk ke bilik air untuk mengangkat wudhuk bagi Solat Subuh, bayangan 20 tahun yang lampau di waktu yang sama sering terbayang di ruangan mata. Ketika ini, barulah sedar akan makna keikhlasan di dalam peribadatan.


Ketika itu masih terlalu mentah. Seorang budak lelaki yang berusia 13 tahun yang baru merasai alam kehidupan di asrama. Seperti kebiasaan di waktu subuh, asrama sekolah menengah agama yang terkemuka di Perak itu masih tetap sunyi sekali pun fajar sadiq sudah bergemerlapan di ufuk timur. Penghuni-penghuni masih lagi berdengkur dan enak dibuai mimpi.


Suasana subuh di sekolah itu amat menyenangkan saya. Terletak di lembah yang berlatar belakangkan sebongkah gunung yang tinggi di mana kemuncaknya kelihatan seakan-akan kemuncak gunung berapi dikelilingi pula oleh deretan batu kapur yang menambahkan seri bentuk muka buminya.


Saya sudah siap berpakaian baju Melayu berkain pelikat apabila Izwan Katik senior saya beberapa tahun masuk ke bilik dengan termengah-mengah. Cuma memakai kain pelikat sehelai. Dari gayanya kelihatan seperti dia baru bangun tidur. Tetapi berpeluh-peluh pula. Hairan..!!


Sementara ini, di koridor atas kedengaran bunyi kaki-kaki berlari pantas dan sekali-sekala diselangi pula dengan teriakan kesakitan.


"Indera. Tolong aku. Bagi aku pinjam baju melayu engkau" katanya dengan cemas.


"Kenapa ni..??" tanya saya kehairanan.


"Ustaz Samad. Ustaz Samad mengamuk. Habis semua budak yang tidur dia balun dengan rotan" kata Izwan lagi sebelum menyarung baju melayu yang saya berikan.


Sebelum dia beredar, sempat dia menyambar kopiah putih yang tersarung di kepala saya. Saya cuma menggelengkan kepala sebelum mengenakan kopiah putih yang lain. Rakan sebilik saya masih lagi berdengkur.


"Amin. Bangun!! Solat subuh" saya mengejutkan Amin rakan sekelas saya.


"Huhhhhhhhhh.." sahutnya.


"Bangun Amin. Ustaz Samad datang..." kata saya lagi.


"Huhhhhhhhhh" sahutnya masih meneruskan tidurnya.


Sebaik sahaja saya keluar dari bilik saya, saya menoleh ke arah tandas di hujung sayap bangunan itu. Ustaz Samad sudah sampai di pintu masuk bilik air asrama. Azli yang masih bertuala itu menjadi mangsa hayunan rotan Ustaz Samad.


"Kenapa lambat, hah? Tak ingat nak Solat Subuh?" tanya Ustaz Samad.


Azli cuma mampu menyeringai menahan sakit. Sebaik sahaja Ustaz Samad mengangkat wajahnya, dia melihat saya memandang tepat ke arahnya. Dia berjalan pantas ke arah saya. Saya merasakan jika saya membatukan diri, pasti saya akan menerima habuan "roti panjang" Ustaz Samad itu. Naluri saya menggesa saya untuk lari. Saya mula mengorak langkah.


"Hoiii.. jangan lari!!" tempik Ustaz Samad.


Lantas terjadilah adegan kejar mengejar di aras 2 bilik saya itu. Setelah tidak dapat mengejar saya, Ustaz Samad masuk ke dometri lalu dometri itu menjadi gempar laksana sereban ayam penuh dimasuki musang. Kesemua penghuni yang dometri bertempiaran lari menyelamatkan diri sambil dikejar pantas oleh Ustaz Samad.


Kecoh. Kecoh Asrama Putera. Asrama Puteri pun amat berlainan. Suasananya kelihatan hening dan tenteram.


Setengah jam kemudian, kesemua pelajar lelaki sudah siap memenuhi ruang solat di surau asrama. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya, di mana cuma setakat 10 pelajar sahaja yang setia menunaikan Solat Subuh berjemaah. Kali ini surau penuh sesak. Dengan bunyi bising pelajar lelaki memperkatakan kejadian kejar mengejar di waktu subuh itu. Masing-masing tidak berani untuk memulakan Solat Subuh. Masing-masing menunggu kedatangan Ustaz Samad.


Sebaik sahaja Ustaz Samad melangkah masuk ke surau, suasana serta merta bertukar menjadi hening.


"Iqamat!!" perintah Ustaz Samad kepada Fuad, pelajar tingkatan tiga yang menjadi muazzin pagi itu.


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Asyhadualla ilahaillallah, Asyhadu anna Muhammadar rasullullah...


Tercipta hari baru di pagi itu apabila kesemua pelajar lelaki menunaikan Solat Subuh berjemaah. Jika difikirkan, memang amat memalukan bagi sebuah sekolah agama di mana pelajarnya culas bersolat Subuh kecuali hanya sesudah dikerah dan dirotan.


Sesudah pagi itu, setiap pelajar lelaki dimestikan hadir ke surau bersolat subuh berjemaah. Sesiapa yang tidak atau belum melepasi terowong asrama yang memisahkan antara surau dan juga jalan besar asrama itu akan dihukum rotan.


Di subuh hari Sabtu dan Ahad, setelah tamat solat Subuh, akan ada Kuliah Subuh yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah kami. Kadang-kadang kami akan menekuni pembacaan Ma'thurat Al-Kubra yang dibaca seusai doa Solat Subuh sehinggalah matahari memancar terang menyinari kawasan asrama. Ustaz kata, membaca Ma'thurat Al-Kubra dengan tertib dan tartil akan dikurniakan dengan ganjaran yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. Hidup kita akan damai laksana air hening di tasik dan rezeki kurniaan akan masuk dari punca yang kita tidak sedari.


Namun, mungkin ketika itu kami masih terlalu mentah. Tidak menyedari akan nilai tarbiyyah yang dihulurkan oleh ustaz-ustaz kami. Ketika itu yang ada hanya perasaan marah apabila tidur terganggu dek perlu bangun awal untuk bersama-sama berjemaah di surau. Kami lebih takutkan rotan ustaz daripada panas seksaan Neraka itu sendiri.


Setelah meninggalkan institusi itu, perasaan yang dirasakan terlalu gembira. Ibarat terkeluar dari penjara layaknya. Sudah tiada lagi ancaman rotan ustaz. Tiada lagi hambat kejar yang memenatkan. Solat Subuh ikut suka-suka. Jika terlepas, diqadhakan sahaja. Al-Ma'thurat hanya setakat dijeling-jeling sekiranya sekali-sekala melepasi toko-toko yang menjual buku ilmiah yang berbentuk agama.


Tetapi setelah hidup ditentukan oleh diri sendiri ini, setelah berdekad meninggalkan institusi itu, setelah dikurniakan dengan cahaya mata, saya merindui saat berkejaran dengan Ustaz Samad. Saat mengulangi baris-baris doa' yang terkandung di dalam Al-Ma'thurat, merindui lantunan suara ustaz ketika menyampaikan kuliah subuh, merindui kedamaian dan keheningan Nur Ilahi atas mereka-mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan sepenuh hati. Hanya hati yang pernah dilimpahi Nur itu sahaja yang mengerti bagaimana kenikmatan hidup dalam mengamalkan ajaran agama dengan sepenuhnya. Suatu suasana yang saya tidak pernah kecapi lagi sesudah itu kerana sesudah itu, hidup saya di atas kaki saya sendiri.


"Mungkin kamu semua marah atas tindakan Ustaz tu... Tapi percayalah Ustaz buat semua tu, ada kebaikannya. Ustaz Samad juga kata, dia kejar kamu semua tu adalah untuk dia exercise pagi-pagi" kata Abang Ghazali, Ketua Umum sekolah kami sambil tersenyum. Cuma kami yang berwajah masam cemberut.

Thursday, November 15, 2007

Gambar lagi...!!

Minggu ini sememangnya merupakan minggu yang sibuk bagi saya. Dalam pada terpaksa menghadirkan diri ke pejabat untuk sesi pagi, di waktu tengaharinya pula saya terpaksa ke Bangunan Selangor Dredging bagi menyertai Bengkel IELTS yang diadakan di sana. Sepulangnya pula tersangkut pada kesesakan lalu lintas menuju ke Rawang sehingga terpaksa menunaikan Fardhu Maghrib di mana-mana surau yang terdapat di sepanjang jalan pulang ke rumah. Untuk itu, saya ketika ini benar-benar culas untuk menulis. Kita lihat gambar sahaja ye??
Ini adalah gambar Siri Aufa yang terbaru. Apabila bergambar, dia lebih gemar menutup mulutnya kerana dia merasakan giginya tidak cantik. Mungkin juga. Ini kerana saya dapati giginya hadapan sudah dihakis oleh cavity. Sewaktu dia seusia dengan Adil Rayyan dahulu, Siri Aufa agak sukar dibawa untuk diberus giginya. Dalam masa yang sama, kegemarannya tetap pada gula-gula dan coklat. Akibatnya, gigi hadapannya nyaris mereput dimamah cavity. Mujur sahaja sebaik usia melewati 4 tahun, dia sudah tahu akan kepentingan memberus gigi dan tidak culas lagi untuk melakukan pembersihan gigi setiap kali dia masuk ke bilik air untuk mandi.



Usianya kini 4 tahun 6 bulan. Sungguh cepat masa berlalu. Rasanya seperti barusan semalam dia dilahirkan. Saya tersenyum memandangnya. Kehairanan melihat kulitnya yang putih melepak. Tertawa kehairanan mendengar tangisan sewaktu dipeluk kali pertama oleh Azah untuk disodorkan susu. Kini dia sudah dara sunti... Sudah tahu erti cinta pun, katanya!!




Dua minggu lepas, saya membawanya ke taman tema The Lost World di Ipoh. Alangkah gembiranya dia apabila dapat menaiki carousel. Dia cuma tersenyum apabila saya letakkan dia di atas pelana kuda terbang itu.
"Kak Long naik sorang tau!! Kalau Baba naik sama, nanti Baba pengsan..."
Dia mengangguk tanda mengerti.
"Baba, kenapa kuda Kak Long cantik?" tanya sambil tertawa.
"Baba rasa kuda Kak Long cantik sebab tuannya pun cantik..."

Kemudian carousel itu bergerak. Berputar dengan perlahan. Sewaktu kuda itu berjalan pergi, dia menoleh ke arah saya sambil melambaikan tangannya. Dari pegun pandangan matanya, saya seperti dapat menangkap suara hatinya,
"Baba, janganlah tinggalkan Kak Long, ye!!!"



Ini gambar terbaru Adil Rayyan. Bulan November ini usia 1 tahun 6 bulan. Cuma berbeza 3 hari sambutan harijadi dengan kakaknya. Rambutnya agak unik. Ini kerana rambut tidak pernah dipotong kecuali sehabis tempoh pantang Azah melahirkan dia. Oleh kerana rambutnya kerinting mewarisi rambut Azah, rambut Adil Rayyan tidak nampak panjang sangat kecuali apabila rambutnya ditarik lurus sewaktu bersikat ataupun sewaktu sedang mandi.


Dari Isnin hingga Jumaat, ketika waktu bekerja, dia akan ditinggalkan di bawah jagaan pengasuhnya yang dia panggil Mak Dah. Di rumah Mak Dahnya ini, dia punya 2 orang "saudara kembar". Kesemuanya lelaki. Bayangkan bagaimana penatnya Kak Dah terpaksa menjaga 3 orang kanak-kanak kecil yang lasak. Adil Rayyan sangat sukakan kereta. Eta, eta.. mulutnya tidak berhenti mengungkapkan kata-kata itu jika dia dibawa bersiar-siar. Tidurnya pula mesti dengan Opah. Mesti dipeluk Opahnya. Suatu malam dia terjaga. Dilihatnya, Kak Long sedang enak memeluk Opah kesayangannya. Dengan perasaan cemburu yang meluap-luap dia bangun dan terus menjatuhkan tamparan pedih ke muka kakaknya.

"Hey sakit aku***!! Apa yang kamu tampar aku... bla... bla.. bla...!!" suara kakaknya membebel di tengah malam buta.
Sejak dari malam itu kakaknya tidak lagi berani tidur di sisi Opahnya.

*** Puas saya mengingatkan Siri Aufa agar tidak menggunakan gantinama "aku" apabila dia marahkan adiknya. "Aku" itu pada hampir kesemua keadaan menggambarkan satu kata gantinama yang kasar.



Di Hari Raya yang barusan berlalu itu, saya dan Azah mengenakan Adil Rayyan dengan Baju Melayu lengkap bersampin. Cuma songkok sahaja yang tidak dapat diperolehi oleh kerana tiada saiz yang sesuai untuknya. Alangkah kacaknya dia dengan pakaian itu berlarian di dalam rumah sambil bermain bersama sepupu-sepupunya. Sayangnya, saya tidak sempat merakamkan saat itu..

Semalam sepulangnya dia dari rumah Mak Dahnya, di dalam perjalanan pulang, dia terlihatkan sebuah Proton Iswara Hijau yang mirip seakan kereta saya.
"Baaakk" katanya memberitahu Azah bahawa itu adalah kereta saya.
"Bukan. Itu bukan kerana Baba..." kata Azah.

Langsung dia menangis tersedu-sedu marahkan Uminya menafikan bahawa itu adalah kereta Babanya. Sewaktu saya hendak meninggalkannya di hujung minggu, saya pasti berkata,
"Angah, Baba balik dulu tau!! Angah jangan nakal-nakal tau..!!"
"Na Nak" katanya.

Baginya Na Nak itu bermaksud "jangan", "tidak mahu" atau "bukan".



Ini pula adalah potret keluarga Azah yang diabadikan sewaktu Hari Raya ketiga baru-baru ini. Bagi sesiapa yang masih belum mengenali saya, cuba anda teka yang mana satukah saya dan Azah. Pemenang yang bertuah akan membawa pulang hadiah percutian "Menyelam Ke Dasar Laut di Benua Antartika Tanpa Menggunakan Sebarang Peralatan Menyelam Selama 14 hari 11 malam Yang Bernilai Errrr... Errrr.... Apa-Apa Sahajalah!! (Perbelanjaan ditanggung sendiri)".

Kata Kunci : Adil Rayyan
(Kalau jumpa kedudukan Adil Rayyan, pasti tahu siapa ayahnya. Dan pastinya anda tahu yang mana satu Uminya)

Wednesday, November 07, 2007

Wajah Kesayangan Hamba


Adapun, Layangan Indera yang baru usai dilanda kabus tebal masih juga pulih dari kegundahan. Lalu teringatlah akan Indera Kencana janji pada Mak Inang pB yang mahir membuat pulut bakar itu, juga Cik Puan Balkish gemar bersiaran dengan kudanya. Kasihan benar kudanya baru-baru ini jatuh sakit dilanda wabak. Juga telah berjanji pada Cik Puan Khairyn yang mendiami negeri di atas angin dan janjinya pada Cik Puan Sastri, puteri Keraton yang baik hati bahawa Indera Kencana laki bini serta putera dan puteri akan turun menjelma di dunia maya bertemu dengan nian sekelian jua adanya.

Adapun kabus melanda itu terlalu tebal, maka Indera Kencana membatalkan hasrat di hati untuk ke dunia maya melainkan berkejarlah dia ke sana dan ke mari mencari Bunga Gul Bakawali buat menitip saripati cahaya suria yang dapat menangkis serangan kabus itu. Untuk itu, Indera Kencana buat julung kali mengizinkan kedua puteri dan putera turun bermain di dunia maya dengan melalui Jalur Desir Angin 7 Penjuru. Akibat dari tiupan kencang angin itu, wajah kedua anakanda agak kabur jua jadi. Maaf dipohonkan atas kesilapan teknikal. Maka terimalaaahhhhh (macam Abang Ghazali), anakanda hamba berdua.... Siri Aufa dan Adil Rayyan.


Budak inilah yang jatuh cinta pada Iskandar yang umur 30 tahun itu





Budak ni nakal. Disebabkan terlampau nakal, kami panggil dia Jikento


Gambar ini diambil sewaktu AidilFitri tahun 2006 (Siri 3 tahun, Adil 6 bulan)

Dua beradik yang nampak mesra. Tapi jaga-jaga. Yang kecil di depan itu mampu sahaja membuat kakaknya menangis hingga hilang suara dengan gigitan kejapnya di tulang belakang.

Wajah Kesayangan Hamba..

Indera : Maaf, kualiti gambar agak teruk. Gambar ini telah dibias menerusi mesin scanner sebelum diemailkan kepada saya oleh Cikgu Ika, teman sekerja Azah. Terima kasih Cikgu Ika..

Tuesday, October 30, 2007

Salam Ceria di AidilFitri



Hari Raya di rumah mertua bersama sanak saudara Azah. Biras saya sedari pulang dari Terengganu terus bertapa di tingkat atas rumah. Entah apa yang dibikinnya, saya sendiri tidak mengerti. Namun saya memahami ketidak-betahannya untuk tinggal berlama-lama di rumah mertua. Maklum sahaja dia orang Terengganu yang punya cara hidup yang agak berbeza dengan kami orang Perak. Contoh yang paling terdekat adalah pada loghat yang kami pertuturkan.

Mertua saya anak yang sembilan dalam 10 aturan adik beradiknya. Hampir kesemua adik beradik mertua perempuan saya itu meneran 10 atau lebih anak dari kandungan mereka. Cuma mertua saya sahaja yang punyai anak 4. Adik beradiknya yang lain, ada yang 10. Ada yang 12 dan ada yang 15.

Oleh kerana kedudukan ibu Azah yang agak terakhir dalam susunan itu, adalah tidak menghairankan apabila Azah punya sepupu yang hampir sebaya dengan ibunya dan kebanyakan sepupu Azah ini sudah bercucu!! Alangkah ganjilnya apabila saya mendengar suara kecil memanggil saya.
“Atuk Indera, Atuk Indera. Nak duit raya!!” Ahhh… sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan buat sekurang-kurangnya 20 tahun lagi.. Bercucu.

Pertemuan kunjung mengunjung sanak saudara Azah ini pastinya akan disulami dengan tawa ria dan berita sensasi lagi hangat. Cerita kereta Abang Tain dilanggar babi hutan sepulang dia daripada solat sunat AidilFitri. Remuk bahagian hadapan keretanya. Membaikinya sahaja sudah rabak poket Abang Tain sebanyak RM 600.00.

Gosip hangat tentang pertunangan Abang Lee. Abang Lee yang bernikah dengan Kak Zarina selama berbelas-belas tahun menemui kegagalan di dalam perkahwinan apabila Abang Lee menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi semata-mata Kak Zarina gagal memberikannya zuriat… Oleh kerana Abang Lee memilih calon dari kalangan anak dara, Abang Lee tetap perlu melalui tempoh pertunangan… Hahahahaha.. umur sudah 45 tahun, masih lagi perlu bertunang. Juga cerita tentang rumah baru Kak Zizah yang dibina atas tanah pusaka arwah nenek Azah yang kini sudah tersergam indah.

Bagi saya gossip hangat itu hanya berlegar di sekitar sanak saudara mereka. Entah kenapa sejak saya berkahwin dengan Azah, saya tidak punya hubungan yang terlalu erat sesama adik beradik sepupu sepapat Azah. Saya lebih rapat dengan suami sepupu-sepupu Azah. Dalam erti kata lain, kami punya kelab kami sendiri – KELAB MENANTU-MENANTU. Dan kebiasaannya, jika berlaku sebarang konflik sesama sepupu mereka, kami menantu-menantu ini jarang ingin mahu campur. Biar sahaja mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Hari Raya tahun ini datang dengan juadah istimewa. Nasi Dagang Terengganu yang dimasak oleh kakak ipar saya. Itulah kali pertama saya menyaksikan proses pembikinan Nasi Dagang. Aduuhh… terlalu remeh dan memenatkan. Namun hasilnya berbaloi apabila Nasi Dagang itu berupaya menjadi umpan yang ampuh dalam menarik kunjungan sepupu-sepupu Azah ke rumah mertua saya. Penuh rumah dengan tetamu datang silih berganti…
“Assalamualaikum… Selamat Hari Raya. Kami datang nak makan…!!”

Ayat itu mengingatkan saya kepada iklan Mee Maggi di kaca television 30 tahun yang lampau, yang sangat terkenal dengan ayatnya..
“Mak!!! Kawan datang nak makan..!!”

Hahahahaha… saya akan tersenyum sumbing apabila mengingatkan di hari raya itu, semua tetamu datang dengan pakaian kebangsaan. Berbaju kurung atau kebaya. Manakala lelakinya memakai baju melayu lengkap bersampin. Tetapi baju yang saya kenakan di hari raya itu hanyalah baju T cap Pagoda dan sehelai kain pelikat. Tiada masa untuk berbaju melayu. Barukan 2 minit berehat, pasti ada lagi tetamu yang datang berkunjung. Sudahnya, di hari raya itu, tempat duduk saya lebih tertumpu di dapur membantu Azah yang sarat mengandung menyediakan air serta juadah.
“Aloooongggg… balik!!” saya bertempik memanggil Siri Aufa pulang. Hampir setiap minit saya melaungnya.

Siri Aufa di hari raya itu benar-benar sudah membuang emak dan bapa. Langsung dia tidak peduli kepada kami suami isteri mahupun adiknya. Masanya banyak dihabiskan di rumah Wan Limah yang tinggal berjiran dengan Opahnya. Maklum sahaja Abang Is ada di sana. (Masih ingat lagikah kisah Siri Aufa yang jatuh cinta pada Is yang berumur 30 tahun itu?)

Dalam keriangan berhari raya itu, tetap saya terkenangkan keriaan sambutan bersama Mak dan Apak. Ayah dan Ibu, itulah permulaan kami..
“Burung apa..?”
“Burung Muuurai nama dia…”

Wednesday, October 24, 2007

Sebuah Catatan Yang Hodoh di 1 Syawal

Sehari sebelum menjelangnya AidilFitri, saya bahagia tidak terkata. Saya ingin sekali menyambut kedatangan Hari Besar itu dengan penuh kemeriahan, ingin menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan semoga hari yang berbahagia itu bakalan menjadi kenangan yang terindah apabila saya sudah tidak berkesempatan menyambutnya lagi bersama sanak saudara.

Untuk itu saya sanggup berpanas dan bertungkus lumus menyediakan pelbagai juadah di bawah terik mentari penghujung bulan Ramadhan semata-mata kerana saya inginkan yang terbaik untuk insan-insan kesayangan saya. Malangnya segala usaha saya langsung tidak dihargai malah diperlekehkan sehingga akhirnya perkara yang kecil membangkitkan api kemarahan yang besar membakar lewat penghujung senja menjelang Syawal.

Atau mereka tidak menghargai saya selagi saya masih berada di hadapan mata mereka…?

Ya, betul. Saya yang terlalu emosional.

Kerana itu saya merajuk. Kebahagiaan saya yang berkobar-kobar padam serta merta. Tiada kebahagiaan Hari Raya. Kesucian Syawal itu dicemari dengan rajuk dan duka yang mencengkam jiwa. Alangkah buruknya sambutan tahun ini. Dan alangkah malangnya kerana saya tidak berupaya untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku.

Mak menangis di pagi raya menelefon memanggil saya untuk pulang berhari raya bersamanya. Hati saya merasa hiba namun apakah mereka-mereka yang berada di rumah Mak itu tahu kesedihan saya atas perbuatan mereka yang tega mencalarkan hati saya di hari baik bulan baik itu?

Langsungnya, pelawaan Mak saya tolak dengan baik dengan menyatakan bahawa saya perlukan sedikit masa untuk menanti ribut itu reda. Akhirnya saya tetap pulang ke pangkuan Mak setelah serambi Mak kosong tanpa penghuni. Dan di kesempatan yang terhad itulah saya mengucup pipinya, menggenggam erat tangannya memohon kemaafan AidilFitri sambil menyatakan rasa kasih dan rindu saya kepadanya yang tidak pernah akan padam.

Kami berbual-bual mesra. Mak bertanyakan samada saya lapar dan saya inginkan apa-apa juadah buat mengalas perut. Mata saya liar memerhatikan keadaan dapur. Hati saya lega. Sekurang-kurang menurut kata Mak, Kuah Kacang, Nasi Himpit, Rendang Ayam dan Satay Daging yang saya siapkan di kala senja itu habis dijamah oleh tetamu yang berkunjung.
“Cuma kamu sahaja yang tak sempat menjamah masakan kamu sendiri..” kata Mak sambil mengesat airmata.
“Tak apalah Mak… kalau saya teringin, saya boleh sediakan sendiri..”

Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa bawa bahagia. Kasih saudara sama-sama berada.

Setiapkali saya mengenang peristiwa petang itu, saya pasti menghela nafas panjang. Salahkan diri kamu sebelum kamu menyalahkan orang lain, kata AlMarhum Armizam. Ya, dalam apa-apa keadaan pun saya tetap akan menyalahkan diri saya dahulu.

Untuk itu juga makanya saya menulis entri ini dalam keadaan hiba. Saya cuba mengelak daripada menulis tentang kehodohan sambutan 1 Syawal ini dari pengetahuan rakan-rakan di alam maya ini. Namun saya tidak berupaya menutupnya kerana sememangnya takdir hari raya saya tahun ini tiada keserian sebagaimana orang lain.
Cukup sahaja catatan yang buruk ini dipendamkan jauh dari dalam lipatan kenangan. Yang buruk itu adalah kelemahan saya sebagai manusia.

Monday, October 08, 2007

Hadiah Aidil Fitri


Saya melihat-lihat sekeliling. Semuanya rata-rata berusia 40 tahun ke atas. Hanya saya sahaja dalam lingkungan 30-an. Mereka berbual-bual mesra. Namun tiada yang yang ingin berbicara dengan saya.

Di hadapan saya penuh dengan kotak-kotak berukuran 1 kaki x 4 kaki lebar sumbangan Unilever. Ahhh.. malu pula. Namun disebabkan niat untuk mewakili bapa mertua saya yang sedang uzur, saya kuatkan juga hati. Malu rasanya kalau-kalau ada yang beranggapan serong menyangka saya melukut memohon sumbangan Hari Raya sedangkan tubuh badan saya masih sihat dan cergas.

Sebaik sahaja nama bapa mertua saya diumumkan, saya segera tampil mengambil sumbangan. Tetapi Abang Jamaluddin yang berdiri di sisi Ustaz Ismi itu sempat membisikkan sesuatu di telinga Ustaz Ismi. Walaupun sekadar berbisik, namun saya masih sempat menyambar bunyi butirnya.
“Inilah anak Cikgu Suria”

Aduuuhhh… malunya saya!! Tambahan pula saya terpandangkan dahi Ustaz Ismi yang berkerut. Mungkin dia merasa hairan bagaimana Cikgu Suria, tiga pupunya itu boleh punya anak lelaki yang tinggal di kampung itu dan menerima sumbangan pula. Tentu di hatinya berkira-kira betapa susahnya hidup saya sehingga layak menerima sumbangan pula. Sedang dia tidak tahu bahawa kehadiran saya di situ hanyalah mewakili bapa mertua saya sahaja.

Mak terkekeh-kekeh bila saya menceritakan hal itu. Bikin malu sahaja, kata Mak dengan nada bergurau. Sementara menunggu Mak bersiap, saya sempat tertidur di sofa panjang di ruang tamu. Mak meminta saya membawanya ke rumah Beh (panggilan bagi bapa saudara saya. Perkataan yang mempunyai pengaruh Kerinchi yang sangat kuat) bagi mengambil panggu kelapa sawit bulan September.

Entah kenapa di dalam kereta, saya dan Mak masing-masing melayan emosi sendiri. Sebaik sahaja melewati simpang masuk ke rumah Mak Yong Halimah, saya teringatkan kata-kata Kak Ina yang sepejabat dengan Razif yang saya temui di kedai sepulangnya saya dari menerima sumbangan Ustaz Ismi.
“Kata Kak Ina, Razif sekarang sudah enggan mahu berbual-bual. Dia banyak termenung dan selalu cari alasan untuk pulang lewat dari pejabat”
“Kenapa..??” Mak bertanya.
“Entah… mungkin dia kecil hati sebab ayahnya kahwin lain kot” kata saya.

“Haiii… macam tu lah. Kome tak merasa, kome tak faham. Mak ni dah merasa apa yang dia rasa tu, sedih sangat rasanya” kata Mak merenung jauh.

Mak teringatkan sewaktu Opah Saadiah meninggal dunia dalam tahun 1972. Sesudah Opah meninggal, Tok Haji Hassan menduda selama 5 bulan. Namun hati Mak akan tersayat hiba apabila melihat keadaan Tok Haji Hassan yang tidak menentu makan dan pakainya. Atas persepakatan mereka adik beradik, Mak dan abang-abangnya memberi restu untuk Atuk berkahwin lagi.
Setelah dikirakan oleh jiran tetangga, Tok Haji Hassan bertanya kepada Mak tentang calon yang dipadankan dengannya. Seorang anak dara berusia 16 tahun.
“Tidak, tidak… saya tak izinkan” kata Mak.
“Kalau baru 16 tahun tu, saya nanti nak panggil dia apa? Mak? Adik?. Lagi pun Ayah, dia tu anak dara. Ayah dah tua. Kalau dia nak kahwin dengan Ayah juga, apa tujuannya? Saya rasa mesti sebab harta” bangkang Mak.
“Tak apalah. Kalau kome dah tak suka, tak adalah aku kahwin dengan dia” jawab Atuk dalam suara yang lerih.

Setelah 3 bulan, Atuk bertanya Mak lagi. Kali ini calon yang lain iaitu janda dari Beruas yang dipadankan oleh Opah Lijah yang tinggal di seberang jalan rumah Atuk.
“Berapa umurnya Ayah?” tanya Mak.
“45 tahun” jawab Atuk, pendek.
“Ada anak?”
“Ada seorang. Perempuan. Tetapi sudah layak kahwin”
“Kalau ayah dah suka, Idah tak ada halangan. Doa Idah, Ayah bahagia dengan pilihan hati Ayah ni” kata Mak memberi keizinan.

Berkahwinlah Tok Haji Hassan dengan Opah Esah yang pada ketika itu berusia hampir separuh abad. Atuk pula berusia 75 tahun. Mereka diijabkabulkan di Beruas dengan tanpa kehadiran Mak kerana Mak sedang dalam pantang melahirkan abang saya, Khairul.

Sesudah bernikah, pasangan pengantin baru ini berbulan madu ke Kuala Lumpur. Sepulang sahaja mereka dari sana, Opah Esah kemudiannya menjadi suri dalam rumah peninggalan Opah Saadiah.
“Walaupun Mak sudah memberi restu, tapi setiapkali terpandangkan Opah Esah kamu mundar-mandir dalam rumah tu, hati Mak macam dihiris-hiris. Hati Mak berkata, dulu Mak aku di dalam dapur tu, sekarang orang lain. Dulu mak aku dalam bilik tu, sekarang dah orang lain…” cerita Mak dengan linangan airmata. Mata saya hanya terpaku di hadapan sambil tangan kejap di stereng. Tetapi telinga saya tetap berkomunikasi dengan Mak.

Kemudian Tok Haji Hassan menceritakan kepada Mak pengalaman mereka berbulan madu di Kuala Lumpur. Menaiki kereta kabel di Bukit Nanas. Hati Mak semakin dimakan api cemburu.
“Dulu masa Mak aku masih ada, tak merasa dia semua tu..” hati Mak berkata-kata.

Mak terkilan. Terkilan tanpa sebab yang kukuh. Mak rasakan Tok Haji Hassan lebih menyayangi isteri baru berbanding ibunya dulu.

Tidak lama sesudah itu, Mak mendapat durian runtuh. Kerajaan membayar tunggakan gaji Mak sedari tarikh permulaan perkhidmatan Mak dengan kerajaan. Setelah dihitungkira, jumlah tunggakan itu mencecah sebanyak RM 17,000.00. Satu jumlah yang besar!!! Oleh kerana Apak keuzuran, Mak berpergian bersama Tok Haji Hassan menuntut cek di Pejabat Pendidikan. Ketika itu bulan Ramadhan.

Oleh kerana Mak rasa terkilan dengan Atuk, semacam dendam pula, kesemua wang tersebut Mak masukkan ke dalam akaun Bank tanpa memberikan walau sesen pun kepada Atuk. Atau Mak mungkin terlupa???

Sudah bukan rezeki Atuk…

Julai 1977,
Sewaktu Mak sarat mengandungkan Adina, Tok Haji Hassan pulang ke rahmatullah. Opah Esah walaupun sesudah itu berkahwin lain pernah berkata dalam ketiga-tiga lelaki yang pernah dikahwininya, Tok Haji Hassan yang tetap menduduki tahta hatinya kerana ketika bersama Atuk, tidak pernah dia merasakan sebegitu istimewa layanannya.

Tidak lama selepas Atuk meninggal, Mak bertemu dengan salah seorang rakan karibnya yang juga turut sama menerima tunggakan gaji beberapa tahun sebelum itu.
“Kamu tahu Idah, aku bagi ayah aku RM1,000.00, melompat orang tua tu. Dipeluknya aku. Diciumnya aku. Airmatanya mengalir laju tanda seronok sangat dapat pemberian dari aku… Ayah aku kata itulah hadiah Hari Raya yang sangat berharga yang pernah dia terima”.

Di saat mendengar kata-kata itu, Mak seakan lemah lutut. Bumi yang dipijaknya terasa lembut. Airmata Mak mengalir laju.
“Apa bodohnya Mak masa tu. Mak langsung tak teringat nak bagi sumbangan walau sikit pun pada Atuk kamu. Sudahlah pergi mengambil cek dengan dia. Adakah teringat nak hulur sesen pun. Puncanya marah tak bersebab. Kalau ikut kira, tidakkah boleh Mak fikir yang Atuk kamu dah bersusah payah besarkan Mak….? Tapi apa nak buat, orangnya dah tak ada”

Mak kehilangan kata-kata. Mengesat airmata dengan hujung tudungnya yang rejuh. Saya hanya boleh menggengam tangan Mak tanda simpati.
“Mak sedekahkan amalan soleh untuk Arwah Atuk. Sedekah dan doa Mak jauh lebih berharga dari nilai RM1,000.00 yang Mak lupa nak bagi..”


Mak hanya mengangguk. Di rumah Beh, Mak menghulurkan RM400.00 pada Beh.
“Buat beli batu nesan baru untuk Ayah” kata Mak pada Beh.


Indera:
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.
Jutaan kemaafan saya pohonkan….

Friday, September 28, 2007

Biar Sukar Bagai Cinta Zulaikha



Entah kenapa di lewat petang semalam, sewaktu menunggu tibanya waktu berbuka, saya termenung memandang jauh keluar jendela. Memerhatikan tingkah kanak-kanak bermain serta melihat kesibukan jiran-jiran membuat persiapan berbuka. Sebentar kemudian pandangan saya terarah ke arah sepasang suami isteri yang kelihatannya agak mesra. Hati saya berdetik bahawa setiap manusia itu dijadikan oleh Allah berpasang-pasangan. Saling melengkapi antara satu sama lain tidak kira manusia itu seorang Raja, Hamba bahkan Nabi sekalipun diciptakan oleh Allah pasangan mereka.

Kemudiannya akal saya membilang-bilang akan isteri Nabi-nabi yang telah diriwayatkan oleh mana-mana kitab termasuk Al-Quran. Isteri Nabi Allah Adam A.S. bernama Hawa. Isteri Nabi Muhammad S.A.W. tidak dapat saya hafali keseluruhannya. Hanya sekadar mengingati nama Saiyidatina Khadijah, A’isyah, Hafsah dan Mariatul Qibtiah.

Isteri Nabi Musa A.S bernama Zipphora atau di dalam nama Arabnya lebih mesra dikenali sebagai Safura. Manakala isteri Nabi Allah Ibrahim seperti yang tersebut di dalam Al-Quran bernama Hajar dan Sarah. Isteri Nabi Allah Ayub bernama Rahmah. Isteri Nabi Allah Sulaiman, saya tercari-cari di dalam ingatan saya, mungkinkah Balqis itu isterinya Nabi Allah Sulaiman A.S? Mungkin ada di antara anda yang dapat mengesahkannya.

Namun di dalam banyak-banyak kisah percintaan romantis para Nabi dan Rasul itu, kisah Nabi Allah Yusuf A.S dengan Siti Zulaikha paling menyentuh hati dan nurani saya. Kisah mereka paling tragis, mengharukan dan akhirnya sampai ke titik penghujungnya iaitu kebahagiaan hakiki.

Siapa kata Zulaikha wanita yang tidak tahu menjaga kehormatan diri? Siapa kata Zulaikha wanita yang hina? Siapa kita untuk menghakimi Zulaikha kerana jika tidak kerana kedudukannya yang mulia, tidak akan dia diangkat darjatnya untuk sehidup semati dengan Nabi Allah Yusuf A.S.?

Seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran, di dalam Surah Yusuf, Allah mengkhabarkan sejelas-jelasnya kisah yang terjadi beribu-ribu tahun yang lampau. Walaupun jarak masa yang terlalu jauh antara kita dengan Nabi Allah Yusuf, namun mengenalinya seperti kita mengenalinya saudara kita sendiri. Kisah seorang insan pilihan Allah yang diberikan mukjizat menghuraikan perkara mimpi. Kerana kelebihannya inilah, dia dicampakkan ke dalam sumur sehingga membawanya kepada sebuah pengembaraan yang jauh ke Negeri Mesir.

Allah mengurniakan lagi kelebihan kepada baginda berupa wajah yang tersangat tampan hatta tiada dapat ditandingi oleh mana-mana lelaki di dalam dunia ini. Walaupun saya ini merupakan lelaki terkacak di dalam dunia moden, namun masih juga tidak berupaya menandingi kecantikan wajah baginda. (Kau nak kata apa Lan? Engkau ingat engkau sorang kacak? Aku pun kacak jugak…)

Kerana kekacakan baginda ini makanya baginda terperangkap dengan gelora nafsu Zulaikha iaitu isteri kepada Abdul Aziz. Dengan pujuk rayu, Zulaikha cuba menarik Yusuf agar melakukan kemungkaran namun Yusuf berlindung dengan Allah dari sebarang kemaksiatan. Melihatkan bujukannya tidak berhasil, Zulaikha berkeras sehingga akhirnya dia menarik belakang baju Yusuf sehingga terkoyak di bahagian belakangnya. Semua yang dilakukan oleh Zulaikha itu adalah didasari pada gelora nafsunya yang tidak tertahan sehingga Zulaikha hilang pertimbangan.

Bagi mengelakkan terjadinya perkara umpama itu, Yusuf merelakan dirinya dibuang ke dalam penjara sehingga akhirnya membawa kepada takwil mimpi Raja yang mengembalikan Yusuf kepada kemuliaan setelah dilantik menjadi wazir Negeri Mesir. Ini semua dinyatakan dengan terang di dalam Al-Quran. Namun perkahwinan antara Yusuf dengan Zulaikha tidak dinyatakan Cuma hal ini telah diriwayatkan di dalam Kitab Tarikh At-Tabari karangan Abi Jaafar Muhammad ibn Jarir Al-Tabari (838-923) yang memperihalkan tentang kisah para Nabi dan Kaisar dahulu kala, ada menyentuh tentang hal ini.

Mnurut kitab tersebut, setelah Yusuf dipenjarakan, Zulaikha masih tidak dapat membuangkan rasa cintanya terhadap Yusuf. Memandangkan hal itu, suaminya Abdul Aziz itu lantas menceraikannya dan membiarkan Zulaikha hidup terkontang-kanting keseorangan. Zulaikha hilang segala-galanya yang pernah dimilikinya suatu masa dahulu. Dia kehilangan kekayaannya, kekuasaannya, kecantikannya dan yang paling besar, Zulaikha kehilangan pandangan matanya.

Ini kerana Zulaikha dikatakan menangis sehingga keluar airmata darah kerana merindui Yusuf selama Yusuf dipenjara menyebabkan matanya rosak dan seterusnya buta. Dia berdoa kepada Berhala agar dikurniakan semula pandangan matanya agar suatu hari kelak dia berupaya bertemu dan melihat Yusuf kembali.

Namun batu tetap batu. Zulaikha kemudian menyedari kekhilafannya dan kesesatan jalan hidupnya selama ini. Keinsafan itu membawa kepada Zulaikha mencari cinta teragung yang menemukan Zulaikha dengan cinta kepada penciptanya. Zulaikha menemui cinta teragung itu dan di hatinya kini hanya ada Allah.

Suatu hari sewaktu Nabi Allah Yusuf berjalan melihat Bandaraya Mesir yang sibuk itu, Yusuf telah bertemu dengan Zulaikha di dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Zulaikha buta dan bergelandangan di tepi jalan yang sibuk. Melihatkan akan hal itu, Yusuf merasa sebak dan terus membawa Zulaikha pulang untuk dirawat. Setelah sembuh dirawat, menurut sesetengah pendapat mengatakan buta mata Zulaikha dirawat sebagaimana kaedah rawatan ke atas Nabi Allah Yaakob A.S.

Dengan izin Allah, Zulaikha dapat melihat kembali. Allah kemudiannya mengembalikan keremajaan dan kecantikan Zulaikha sehingga menyebabkan Yusuf jatuh cinta kepadanya. Mereka kemudiannya diijabkabulkan.

Di malam pengantin mereka, Yusuf telah bersiap-siap berdandan untuk sebuah pertemuan bagi melepaskan rindu berahi. Namun timbul masalah. Zulaikha tidak berhenti-henti beribadat dan berzikir sehingga Yusuf merasa sudah tidak sabar lagi. Akhirnya Yusuf menarik baju Zulaikha sehingga terkoyak baju Zulaikha di bahagian belakang. Di saat itu menjelma Malaikat Jibrail…

“Hai Yusuf!! Sesungguhnya baju dengan baju. Maka dengan ini tertebuslah maruah Zulaikha!!”
Berbahagialah mereka berdua kemudiannya sehingga ke akhir hayat. Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah seorang anak perempuan yang tersangat cantik bernama Rahmah yang kemudiannya brkahwin dengan Nabi Allah Ayub A.S.

Tuesday, September 25, 2007

Sekeping cek sebuah kenangan

Sewaktu meneliti borang permohonan Skim Kredit Pengguna dari salah seorang wanita yang tinggal di Shah Alam, hati saya tertarik dengan untuk memeriksanya dengan lebih jelas.
“Kenapa wanita ini beria-ia ingin membuat pinjaman sedangkan menurut rekod ANGKASA, dia dah buat banyak pinjaman di beberapa Bank. Gaji pulak tu taklah banyak sangat. Memang cari masalah perempuan ni. Apa gunanya berhutang banyak-banyak..??” hati saya berkata-kata.

Sememangnya permohonan wanita ini menuntut banyak kesabaran. Sebentar lagi, institusi kewangan yang mengeluarkan kredit itu menelefon saya meminta dokumen sokongan dari bank-bank tempat dia pernah meminjam wang. Memang menekankan. Namun kesabaran itu berbayar akhirnya. Pinjamannya diluluskan.
“Tahniah Kak Mariam. Permohonan Kak Mariam diluluskan. Hari Isnin ni Kak Mariam boleh datang pejabat saya untuk ambil cek Kak Mariam”.
“Betul ke Indera? Alhamdulillah syukur”
“Akak nak buat apa dengan duit tu nanti? Nak beli langsir baru ke..?” tanya saya mengusik. Kak Mariam cuma tertawa.

Sambil saya bercakap itu saya mengeluarkan butiran peribadi Kak Mariam yang tersimpan di dalam fail simpanan saya untuk urusan mengeluarkan cek. Tiba-tiba pandangan mata saya tertumpu pada sebaris nama di dalam butiran peribadinya yang selama ini terlepas pandang.
Penama / Waris
MOHD FARID BIN SAAD

Majikan
Unit Keselamatan, UiTM Shah Alam

Seraut wajah muncul dalam ingatan saya.
“Kak Mariam, Kak Mariam ni isteri Abang Farid ke?”
“Errr.. Iya. Indera kenal ke suami Akak?” tanyanya kehairanan.
“Hmmm.. saya rasa saya kenal dia. Abang Farid sihat ke Kak?”
“Dia kena penyakit berkaitan saraf…”
Beberapa saat saya dan Kak Mariam terkelu.
“Sebab dia sakit tu la yang Akak berhutang tu..”
Kasihan.

Saya ingat lagi Abang Farid. Masa itu saya masih muda remaja. Masih seorang penuntut di institusi pengajian tinggi. Abang Farid cuma pengawal keselamatan yang bertugas mengawasi kesejahteraan dan ketenteraman kampus tempat saya menuntut.

Berbeza dengan pengawal keselamatan ITM yang ada sebahagiannya enggan bertolak ansur sekiranya terdapat pelajar yang melakukan kesalahan, Abang Farid ini berbaza sedikit. Senyuman sentiasa menghiasi bibirnya dan dia jarang marah-marah dan sentiasa berlembut dengan pelajar-pelajar. Masih saya ingat, dia bertubuh sasa dengan memakai uniform pengawal keselamatan yang seakan pakaian seragam Polis Trafik PDRM. Dengan motosikal yang sedikit diubah suai bagi menyelaraskannya dengan imej ITM, Abang Farid akan biasa dilihat di sekitar kampus mengawal pergerakan lalu lintas. Selain daripada Abang Farid, saya turut mengingati nama beberapa orang rakan sekerja Abang Farid. Sewaktu menuntut di sana, saya jarang berbual dengan pengawal keselamatan ITM ini melainkan jika terdapat beberapa hal yang membabitkan urusan dengan Unit Keselamatan.

Masa berlalu begitu pantas. Pelajar masuk dan pelajar keluar. Pelajar mendaftar dan akhirnya pelajar itu tamat belajar seterusnya meninggalkan kampus. Terbang jauh ibarat bangau yang mengitari alam mencari lubuk baru di musim panas. Namun mereka yang tinggal berkhidmat di kampus itu masih tetap setia di sana. Cuma masa yang pergi itu membawa bersama segala rupa dan pandangan masa silamnya.

Saya menunggu datangnya semalam. Menunggu Kak Mariam tiba mengambil ceknya yang telah saya siapkan sedari Jumaat lagi. Menurut kata Kak Mariam, Isnin itu Kak Mariam akan ke Hospital Universiti membawa Abang Farid mendapat rawatan pakar.
“Indera, Akak sekarang di hadapan Kompleks Kerajaan. Akak tak tahu nak pergi ke pejabat Indera..” kata Kak Mariam melalui telefon.
“Akak lalu je depan Masjid Wilayah tu. Sampai ke lampu isyarat tu, Akak ambil jalan kanan. Jalan terus dan jangan belok-belok. Nanti Akak sampai ke pejabat saya”

Lima minit kemudian dia menelefon lagi.
“Indera, Akak kat Sierramas”
Saya terpaksa mengulangi panduan ke pejabat saya. Lama juga saya menunggu sehingga telefon di pejabat berdering semula. Suara garau seorang lelaki di hujung sana.
“Indera ya..? Ini suami Mariam ni. Boleh tak Indera datang ke kawasan depan Lembaga Peperiksaan. Saya nak cari dah tak mampu ni. Kaki saya pun sakit-sakit…”

Saya mencapai cek dan sekeping sampul surat lalu memandu terus ke bangunan Lembaga Peperiksaan.
“Mana dia?” tanya saya pada Kak Mariam.
“Ada di tempat duduk belakang tu..” kata Kak Mariam

Pintu kereta kemudian dibuka dari dalam. Seorang lelaki bertubuh kurus dan beruban rambutnya tersenyum memandang saya.
“Apa khabar Abang Farid? Sepuluh tahun saya tak tengok Abang Farid..”
“Ingat saya lagi ke..?” tanyanya.
“Tempat jatuh lagi dikenang, Abang Farid. Lima tahun saya kat ITM dulu. Hampir setiap hari saya tengok Abang Farid di kampus”.

Perbualan kami kemudian berkisar kepada kesihatannya. Matahari di rembang gelinciran membakar ubun-ubun saya. Peluh renik merutup keluar dengan perit dahaga di bulan Ramadhan. Kak Mariam sekali sekali mencelah perbualan kami.
“Siapa lagi yang Indera ingat, yelah… kawan-kawan abang dulu?” tanyanya. Wajahnya nampak terharu.
“Saya ingat Abang Bakar. Sparing partner Abang Farid tu. Hahahahahaha… saya ingat Abang Jali, Kak Zaiton, Pak Hamid dan tu… Abang Amin Gendut yang nak tumbuk saya depan library dulu tu. Nasib baik Abang Farid datang.. Kalau tak, saya dengan Abang Amin dah bergasak dah agaknya..”
“Hahahahahaha… iya.. Amin. Bakar sekarang jaga Intekma Resort..”

Abang Farid kemudian terdiam seketika.
“Sayangnya Abang Farid tak ingat bila Abang Farid jumpa dengan engkau” katanya seperti rasa bersalah.
“Tak apalah Abang Farid. Takkan Abang Farid ingat saya. Student beribu-ribu keluar dan masuk. Saya boleh ingat Abang Farid sebab Pengawal Keselamatan tak ramai….”

Tangan Abang Farid kembang bersalam dengan saya.
“Selamat berpuasa Abang Farid. Moga selamat semuanya”
“Jemput datang ke rumah Hari Raya nanti..” bisiknya.
Kak Mariam tersenyum senang. Menerima cek sebelum menjelangnya hari besar. Tetapi Kak Mariam nanti juga terpaksa menanggung hutang. Kak Mariam reda demi suami tercinta. Selamat berbahagia Kak Mariam, Abang Farid!!!

Ya, betul. Tempat jatuh lagi dikenang. Ini pula tempat bermain. Pertemuan dengan Abang Farid membangkitkan kenang-kenangan lama saya di ITM dahulu. Biar pun 10 tahun saya tinggalkan, namun setiap detik bagaikan terbayang di ruangan mata. Sesekali bila terkenangkan saat di sana…. Alahai.

Friday, September 14, 2007

Al-Jannah dan Al-Risaalah

(Tanah Aden di Yamen)

Bismillahirrahmanirrahim

Saya menulis penuh dengan segala kejahilan. Andai terdapat tulisan saya ini terpesong daripada faktanya, saya mohon kalian memperbetulkan saya terutamanya adik-adik saya yang sedang mendalami agama dan bersolok di bumi para Anbiya’ itu. Tunjuk ajar kalian amat saya alu-alukan.
*****************

Setelah Syurga (Al-Jannah) diciptakan, Allah berfirman kepada Syurga,
“Sejauh mana engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Jauh seluas mata memandang”
Allah berfirman lagi, “Membesarlah engkau seluas mata memandang”.
Maka Syurga membesar seluas mata memandang.

Kemudian Allah berfirman lagi
“Sejauh manakah engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Sejauh Timur dan Barat”
Allah berfirman, “Membesarlah engkau sejauh Timur dan Barat”

Kemudian Allah berfirman lagi
“Sejauh manakah engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Membesar dengan seluas Rahmat-Mu”
Allah berfirman, “Membesarlah engkau seluas Rahmat-Ku”
Maka Syurga itu kian membesar dan membesar sehinggalah ke hari Kiamat.

Sewaktu diciptakan Neraka, api yang diciptakan berwarna kemerahan. Lalu api itu ditiup selama 1000 tahun sehinggalah api itu bertukar menjadi warna putih. Kemudian api itu ditiup lagi selama 1000 tahun sehingga api itu bertukar berwarna hitam. Kepanasannya tidak terjangkau dek akal fikiran sehinggakan sekiranya jatuh walau sebesar biji sawi sekalipun, akan hancur luluhlah bumi ini. Baunya teramat busuk sehinggakan barang siapa menghidu baunya dari jarak 500 tahun perjalanan, akan terus mati.
“Peliharalah diri kamu dan ahli kamu dari siksaaan api neraka”

Alam ini diciptakan selama 6 hari dan sesudah itu, Allah bersemayam di atas Arasy-Nya.

Adam itu diciptakan daripada tanah. Dari gabungan pelbagai jenis tanah. Setelah itu Adam dibentuk dan ditiupkan Roh ke dalamnya. Setelah itu, Adam tinggal di dalam Syurga yang penuh dengan pelbagai kenikmatanNya. Adam telah diajarkan dengan segala ilmu dan Adam juga telah diperintahkan oleh Allah agar menyebut segala ilmu yang dititipkan oleh Allah di hadapan para Malaikat. Maka sekelian para Malaikat tunduk sujud pada Adam atas perintah Allah. Kecuali Iblis. Dia berlaku sombong dan bermegah dengan kejadian dirinya yang diciptakan daripada Api sedangkan Adam diciptakan dari Tanah.

Iblis kemudiannya diusir keluar daripada Syurga dan jadilah dia dari kalangan Kafir sehingga ke hari pembalasan. Iblis memohon kepada Allah agar dia dapat menyesatkan anak-anak Adam dan Allah berfirman bahawa segala itu berlaku jika atas keizinan dari Allah SWT.

Dari tulang rusuk Adam, Allah menjadikan Hawa sebagai teman Adam di dalam Syurga. Tinggallah Adam dan Hawa di dalam Syurga itu dan mereka dilarang sama sekali mendekati sepohon pokok iaitu Pohon Khuldi. Iblis membujuk rayu Adam agar memakan buah itu namun tidak berjaya melainkan setelah Hawa tergoda dengan pujuk rayu Iblis. Setelah memakan buah tersebut, terusirlah Adam dan Hawa daripada Syurga dan diperintah turun ke dunia. Segalanya itu sebagai tanda kekuasaan Allah agar kehadiran Adam dan Hawa adalah untuk memperbanyakan keturunan umat manusia.

Setelah Adam dan Hawa turun ke bumi, mereka kemudiannya bersatu kembali di pertemuan yang mengharukan di Jabal Rahmah. Daripada penyatuan mereka berdua, lahirlah sekelian manusia yang mengisi alam ini.

Saya tertarik untuk mengulas Dokumentari Al-Risalah yang ditayangkan di Saluran TV9 malam semalam. Di dalam dokumentari tersebut, wartawan dokumentari tersebut berulang-ulang kali mengajukan persoalan tentang apakah wujud Syurga Pembalasan yang kekal abadi dan juga Syurga Persediaan seperti yang dinyatakan di dalam Kisah Nabi Adam A.S. yang nyata dan terang diperkatakan di dalam Al-Quran.

Saya seorang yang kurang arif tentang agama namun persoalan seperti ini saya kira merupakan persoalan yang boleh mengelirukan umat Islam. Di dalam Al-Quran telah menyatakan bahawa penciptaan Alam ini sudah berlaku sebelum wujudnya Adam A.S lagi. Begitu juga dengan Syurga dan Neraka. Allah berkuasa dengan segala kekuasaanNya menjadikan setiap benda di alam ini hanya dengan Kun (Jadi) maka jadilah ianya.

Di dalam dokumentari tersebut menyatakan wartawan berkenaan mempercayai bahawa Syurga yang didiami oleh Adam A.S. itu letaknya di bumi. Ini berdasarkan kepada pendapat bahawa menurut kajian Arkeologi, penempatan manusia yang pertama bermula pada Zaman Batu Neolitik membuktikan bahawa penempatan itu letaknya di Barat Daya Benua Asia. Oleh itu wartawan berkenaan mempercayai bahawa Syurga yang didiami oleh Adam A.S. itu sebenar adalah sebuah kawasan yang bernama Aden di Yamen. Ini berdasarkan kepada nama Aden itu sendiri yang bermaksud Syurga.

Melihatkan kepada keindahan Aden, tidak dinafikan bahawa bumi bertuah itu terlalu indah tetapi jika dibandingkan dengan keindahan Syurga seperti yang dinyatakan di dalam Hadis Rasullullah S.A.W, memang jauh sama sekali.

Jadi, jika Syurga tersebut letaknya di Aden, maka Syurga itu tidaklah terlalu besar. Akan timbul persoalan, di manakah letaknya kekuasaan Allah yang menjadikan Syurga itu berlapisan tujuh tingkatan, dengan keluasan seluas Rahmat Allah.

Sesungguhnya persoalan perkara ghaib di dalam Islam tidak akan habis diperdebatkan. Seperti Hadis Rasullullah
“Sesungguhnya perselisihan pendapat dalam umatku itu satu Rahmat”

Dari hati saya yang jahil ini, oohhh… minta sesiapa memperbetulkan saya, Syurga yang dijadikan Allah itu tetap merupakan Syurga yang satu. Begitu juga dengan Neraka serta ketentuan Allah yang tercatat di Lauhil Mahfuz. Tiada akan wujud Syurga Pembalasan dan Syurga Persediaan kerana Allah itu sangat jelas janjiNya.

Berkenaan dengan kajian Arkeoloji itu, saya bersetuju jika benar Aden itu merupakan penempatan awal Adam dan Hawa. Tetapi bukan Syurga Persediaan. Aden adalah tanah di mana Adam dan Hawa bermastautin setelah mereka bertemu di Jabal Rahmah. Aden itu bermakna Syurga sebagai tanda kenang-kenangan bahawa Adam dan Hawa pernah berhuni di Al-Jannah seperti yang tersebut di dalam Al-Quran.

Monday, September 10, 2007

Mak Yong Halimah II


Pak Yeop Rahim ingin berkahwin lagi. Semua orang sudah tahu. Walaupun perkara ini tidak keluar dari mulutnya sendiri, namun berita itu telah merebak bagaikan api memakan dedaunan kering. Wanita yang digembar-gemburkan menjadi pasangan Pak Yeop Rahim itu adalah seorang guru yang baru berpindah ke kampung kami.

Semua orang mencebik. Semua orang membantah. Dari Mak Yah sehinggakan Mak Cho Teh adik kepada Pak Yeop Rahim sendiri. Mereka tidak suka dengan pilihan Pak Yeop Rahim. Khabarnya guru wanita itu mempunyai sikap yang tidak baik. Jika dibandingkan dengan Mak Yong Halimah, memang seperti bumi dengan langit.

Kononnya guru wanita itu dahulunya sudah berkahwin dengan seorang Jurutera. Jurutera itu seorang Orang Asli. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Entah di mana silapnya, dan ada yang mengatakan bahawa guru itu telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bekerja di kilang yang sama dengan suaminya, guru itu kemudiannya meminta cerai dari suaminya dan pulang ke kampung kami bersama-sama dengan anak perempuannya yang sudah meningkat usia remaja. Namun anak perempuannya itu tidak betah tinggal bersamanya. Lantas guru itu menyewakan sebuah rumah yang berasingan buat tempat penginapan anak perempuannya.

Alangkah lucunya!! Apabila anak perempuannya itu tinggal keseorangan, remaja itu mula menjemput lelaki-lelaki berhidung belang masuk ke rumah. Akhirnya, remaja itu kini sedang mengandungkan anak di luar nikah.

Itulah konon-konon khabar yang sedang bertiup kencang di dalam keluarga kami. Memikirkan hal itu mungkin membangkitkan perkara yang tidak diingini di masa hadapan, seorang ahli keluarga Mak Yong Halimah mengusulkan agar Pak Yeop Rahim menyunting sahaja adik Mak Yong Halimah yang juga sekarang ini hidup menjanda. Sudah tentulah anak-anak Pak Yeop merasakan bahawa kesedihan mereka terubat apabila pengganti ibu mereka itu adalah ibu saudara mereka sendiri. Dari segi kasih saying, sungguhpun tidak akan dapat menyamai, namun sekurang-kurangnya hampir sama.

Namun pendirian Pak Yeop sudah tidak boleh ditukar ganti. Kehendaknya tetap pada guru wanita itu. Tidak seorang pun dari kalangan anak-anak Pak Yeop yang mengetahui akan hal ini sekalipun berita itu sudah menjadi ribut di dalam keluarga kami. Sewaktu Mak mengkhabarkan berita Pak Yeop ingin menikah lagi, hati saya bagaikan tersayat hiba. Saya sedih. Saya sedih bukan kerana pilihan hati Pak Yeop. Tetapi kerana jarak waktu yang terlalu singkat. Masih merah tanah kubur Mak Yong Halimah, Pak Yeop sudah berkira-kira mencari pengganti. Masih belum 100 hari lagi. Ohhh…

Petang Sabtu lalu, Apak pulang dengan tergesa-gesa. Mencari-cari Mak. Sewaktu terpandangkan Mak, Apak sudah bersiap-siap dengan pakaian yang kemas.
“Lekas kita bersiap. Kita pergi ke rumah Ayah Chu Taib. Yeop nak bernikah petang ini..!!”

Mak memandang saya dengan pandangan mata yang sayu. Mata Mak berkaca. Mata saya juga berkaca. Saya dan Mak masing-masing menahan sebak di dada. Sewaktu Apak menghidupkan enjin kereta, Apak mempelawa saya untuk ikut bersama. Tetapi saya menolak.
“Tak nak jumpa Din ke..??” umpan Apak. Apak tahu saya sangat rapat dengan Din.
Saya sekadar tersenyum pahit membayangkan penerimaan Din ketika ayahnya bernikah lagi. Din itu panas baran. Mudah-mudahan tiada perkara buruk berlaku.

Rupa-rupanya anak-anak Pak Yeop sangat terkejut dengan berita itu. Mereka langsung tidak menyangka bahawa Pak Yeop akan berkahwin lagi. Terlalu banyak perkara yang menghiris hati mereka. Pertama, mereka langsung tidak tahu menahu akan hal pernikahan itu. Tentulah sewaktu dikhabarkan tentang majlis pernikahan itu mereka merasa bahawa mereka telah diketepikan oleh ayah mereka sendiri.

Yang kedua, pernikahan itu dilangsungkan terlalu dekat dengan hari kemangkatan arwah ibu mereka. Belum lagi hilang kesedihan mereka, ayah mereka sudah berkira-kira mencari pengganti. Yang ketiganya pula, dari khabar-khabar yang mereka dengar, wanita yang menjadi pasangan ayah mereka itu akhlaknya kurang baik sedikit.

“Sampai hati Ayah buat kami macam ni. Dalam sepuluh anak ayah yang ayah besarkan, tak seorang pun yang Ayah khabarkan tentang hal ini. Sedar-sedar kami dipanggil ke majlis pernikahan ni. Belum pun hilang sedih kami, ayah tega menambahkan luka dalam hati kami..” kata Abang Naim sewaktu majlis pernikahan itu selamat dijalankan. Pak Yeop Rahim langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Tiada simpati di wajahnya.

“Rahim, Mak Chu nak ingatkan. Dah dapat orang baru tu, jangan pula anak yang sepuluh tu dilupakan” kata Opah Chu Timah. Pak Yeop Rahim masih seperti keadaannya. Langsung tidak menjawab sebarang cakap-cakap orang.

Ohhhhh… kenapa begitu lekas Pak Yeop Rahim ingin bernikah. Jika Pak Yeop sunyi, inginkan rakan berbual, Razif anak bongsunya yang menjadi Pegawai Haiwan di Parit itu tinggal bersamanya. Jika keperluan diri yang kurang, Musfirah yang menjadi jururawat di Hospital Manjung akan pulang seminggu sekali membasuh baju, memasak dan mengemas rumah. Cuma tiada rakan untuk bersenda barangkali. Tetapi tidakkah boleh Pak Yeop tunggu barang setahun dua? Setelah itu jika Pak Yeop ingin berkahwin, pasti ramai yang merestuinya.

Pulang sahaja ke kampung, pasangan pengantin itu terus dibawa ke rumah kami untuk berehat sebelum dibawa ke rumah peninggalan Mak Yong Halimah.
“Engkau anak saudara kesayangan Pak Yeop. Pak Yeop harap kamu merestui pernikahan Pak Yeop. Apa pendapat kamu, Indera..??” tanya Pak Yeop kepada saya.

Saya kehilangan kata-kata.
“Pak Yeop pun tahu saya dah anggap Pak Yeop dan Mak Yong macam mak dan ayah saya sendiri. Jika saya ini sudah seperti anak Pak Yeop dan Mak Yong, saya juga merasakan sepertimana yang anak-anak Pak Yeop rasakan..”

Saya rindu Mak Yong Halimah. Saya rindukan senyumannya.