Monday, November 19, 2012

Opah




Hujan menitik jatuh satu persatu menimpa bumi. Aaahh... sekarang sudah bulan November. Bulan di mana tengkujuh turun mengguyur melimpahkan rahmat Allah SWT ke atas bumi yang bertuah ini. Sudah setahun Opah pergi mengadap ilahi dan sudah setahun juga saya bagaikan kerinduan untuk mendengar suaranya, pesanannya dan terutama masakannya.
"Kamu datang ke rumah Opah ni, Apak kamu tahu ke..??" tanya Opah yang baring terkedang di atas katil lewat suatu petang sewaktu saya datang menziarahinya sebelum hari-hari terakhirnya menjelang tiba.
"Dia tahu..." saya menjawab ringkas. 

Opah sudah setahun terbaring sakit dan selama itu jugalah Mak Nah setia menjaga semua keperluannya. Menyuapkan nasi apabila Opah kelaparan. Membersihkan Opah apabila Opah membuang najis dan memandikan Opah apabila sampai waktu Opah perlu mandi.
"Kamu jangan lawan cakap Apak kamu ya.." kata Opah lagi.
"Ya....." jawab saya lagi.
"Kalau kamu balik rumah nanti, Apak kamu pukul kamu tak..?" tanya Opah.
"Tak...." jawab saya  sambil menguis benang yang terdapat di bantal Opah yang bersih berbunga samar itu.

Opah sudah di peringkat nyanyuk pada ketika itu. Dalam fikirannya, saya masih kanak-kanak yang berusia 9 tahun yang sering dimarahi dan dipukul oleh Apak atas kenakalan saya. Tiba-tiba airmatanya mengalir perlahan-lahan menuruni pipi tuanya yang berkedut.
"Maafkan kesalahan Opah pada kamu ya, Cu.. Entah berapa hari lagilah umur Opah ni agaknya"

Opah memang begitu. Bila bercakap dengan saya, disangkanya saya ini masih kanak-kanak lagi. Tetapi bila bercakap soal mati, dia ingat pula, gerutu hati saya.

Saya ke tengah halaman menyertai Mak Nah dan Mak Yah yang sedang berbual-bual berhampiran dengan buaian tua di bawah pokok rambutan bantut yang terdapat di tengah halaman itu. Mak Nah leka merumput rumput-rumput liar yang tumbuh bertompok-tompok bagai panau di permukaan tanah yang berpasir. Mak Yah pula tidak habis bercerita tentang kursus Haji yang dihadirinya pagi itu sambil sekali sekala, matanya mengawasi kambing-kambing peliharaan Mad Duan, anak terunanya daripada mencagut anak bendi yang baru ditanamnya.
"Kamu tak ke mana-manakah hari ni, Indera..?" tanya Mak Yah sambil membetulkan ikatan kain batiknya.
"Hmmmm... cadangnya nak ke Ipoh. Tapi Mak kata, Opah dah teruk sangat keadaannya.."

"Dia dah nyanyuk" kata Mak Nah yang bertenggong di tanah sambil tangannya masih menarik rumput-rumput liar berhampiran dengan buaian di  tempat saya duduk berjuntai kaki menikmati angin sawah yang menderu. Awan putih bercampur kelabu berarak perlahan-lahan ke arah Barat Daya lewat bulan Oktober tahun itu.
"Kamu tahu tak, masa Hari Raya hari tu, malu aku bila Opah kamu cerita kat semua orang, aku letak dia kat tengah bendang seorang diri. Orang tak tahu Opah kamu dah nyanyuk, percayalah cakap Opah kamu. Habis semua orang bertanya kenapa aku jadi anak derhaka yang sampai hati membuang Opah kamu di tengah bendang seorang sekerat.." kata Mak Nah melepaskan perasaannya.

"Opah kamu tu kadang-kadang dia dah tak ingat. Kadang-kadang dia kata dia ada di rumah tinggallah. Dia ada di tengah hutanlah, di tengah bendanglah.." kata Mak Yah pula.
"Orang sakit memang macam itulah.." jawab saya.

"Minah... oooo, Minah..!!" Opah memanggil dari dalam rumah.
"Apa dia Mak...?? Saya ada kat luar ni haa.. Tengah merumput...!!"
Opah terdiam. Suasana senyap sunyi apabila masing-masing melayani perasaan. Sekali sekala terdengar bunyi burung lang kuik bermain angin.

Seminggu kemudian, saya mendapat panggilan telefon dari Mak Nah.
"Opah kamu dah nazak..."

Saya memecut di lebuhraya tanpa menghiraukan apakah saya bakalan disaman kerana memandu melebihi had laju. Setiba di rumah, orang sudah membacakan ayat suci Al-Quran di tepi jenazah Opah. 
"Opah kamu meninggal sejam yang lepas.." 
Sejam yang lalu maksudnya ketika itu saya sedang memandu di lebuhraya.

Satu persatu cucu-cucu Opah tiba dari segenap tempat. Masing-masing bersalaman antara satu sama lain dengan angguk dan senyum tawar. Saya terhenti di bawah pokok rambai besar berhampiran dengan bendang yang menghijau.
"Opahhhh.... ada burung buat sarang kat atas dahan tu. Indera nak ambil sarang burung tu, ya Opah.."
"Jangan...!! Jatuh nanti. Batang pokok tu licin.." tegah Opah.
Tetapi kata-kata Opah sudah terlambat. Saya sudah sampai ke separuh batang pokok itu. Tiba-tiba saya terasa licin. Kaki saya terkital-kital mencari tempat berpijak sebelum.... bukkk!! jatuh seperti nangka busuk.
"Aduhhhhh.... sakitnya Opah..!!" teriak saya saya menjerit sungguh-sungguh dalam petang yang suram.
"Aku tak suruh..!!" tengking Opah memarahi saya yang nakal.
Ketika itu saya baru berusia 10 tahun. Apabila dimarahi Apak, saya akan merajuk lari ke rumah Opah. Bernaung di bawah kasih sayangnya.

Saya memandang susunan kayu getah tempat Opah menyusun kayu apinya. Ada gambaran kelabu di situ. Terasa bagaikan ada pasir yang mengisi mata saya.
"Aku mintak tolong kamu susun kayu api ni pun tak boleh, ya..??. Aku bukan suruh kamu belah kayu tu. Aku yang belahkan. Kamu tolong susun je" marah Opah.
"Alaaa... lecehlah Opah ni. Tak ada kerja lain, asyik menyusun kayu api je kena dibuat. Agaknya orang tua dah tak ada kerja lain selain daripada menyusun kayu api, ya..??" saya menyindir tajam.
Opah terkalap sebelum airmatanya menitis turun. Saya tidak peduli. Akal remaja berusia 16 tahun tidak terkesan dengan titisan airmata seorang tua. 

Angin menderu membawa awan mendung bulan Oktober. Burung ruak yang berbunyi bersahutan di dalam belukar bagaikan orkestra yang mendendangkan lagu yang sama sejak saya mengenali alam ini sehingga ke hari ini, masih seperti itulah juga bunyinya setiapkali senja menjelang. Sayup-sayup di dalam rumah, orang masih lagi membacakan ayat suci Al-Quran di tepi jenazah Opah. Sebentar lagi, seusai solat maghrib, giliran saya pula membacakan untuk Opah.
"Maafkan kesalahan Opah pada kamu, ya Cu..."
"Maafkan kesalahan Indera juga, Opah...." 

Dan airmata pun jatuh ke bumi di saat orang melaungkan azan Maghrib dalam deru angin Monsun Timur Laut yang bertiup kencang. Al-Fatihah buat Opah Maryam.