Wednesday, January 31, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 2

Cubit atas sayang
Cubit bawah sayang alahai dik oi
Sama sakit sama sayang

Air sama air
Kikir sama kikir
Fikir menangis
Fikir agama

Saya hanya mampu memandang keluar. Melihat sawah padi yang terbentang luas yang jauh ditinggalkan. Saya mengerti perasaan di hati Din. Kalau ada daya saya, ingin saya membawanya bersama menongkah arus pembelajaran dan sama-sama mengejar cita-cita. Dia tentu sedang tenggelam punca. Sama seperti yang saya dan Din rasakan sewaktu Azmi bertolak ke Skudai pada bulan Mei tahun sebelum itu.

Pernah suatu hari sewaktu Din sedang mengheret kerbau ayahnya untuk masuk ke kandang, dia ditegur dengan kata berbisa Pakcik Bedul ayah kepada Zamri (Zamri sama-sama mendaftar ke UTM bersama Azmi. Tetapi akhirnya Zamri kandas di Semester ke 3).
"Haii...?? jaga kerbau sudahnya engkau...??"

Sejak dari hari itu, Din bagaikan pendendam. Ada sahaja yang bisa menaikkan kemarahannya.
"Sudahlah tu... Tak baik termenung. Insya-Allah Din tak apa-apa. Ada rezekinya nanti, dapatlah dia masuk ke universiti" pujuk Mak.

Mak amat mengerti akan keakraban saya dengan Din dan Azmi. Bagi saya, Din dan Azmi itu bukan sahaja rakan karib saya. Bahkan mereka itu adalah kembar saya. Kami berkongsi kegembiraan, kesenangan, tawa ceria, tangis duka sejak kami masih kecil lagi. Cuma takdir yang memisahkan kami pada jalan kami yang tersendiri.

Hati saya bercampur buar sewaktu kereta Apak melintasi Jambatan Sungai Bernam. Negeri Perak saya tinggalkan. Saya bakal bermastautin di negeri baru. Saya tidak pernah bermastautin lebih jauh dari Daerah Kinta. Jika berjalan-jalan makan angin itu tidak diambil kira. Sudah hampir kesemua negeri pernah saya lewati...

Melihat ragam penduduk di sepanjang jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor-Shah Alam itu sedikit sebanyak menghiburkan hati lara saya. Sewaktu kereta Apak memasuki pinggiran bandar Shah Alam, dari kejauhan sudah terlihat Menara Budiman berdiri gagah di atas bukit Seksyen 1 itu.
"Ahhh... ITM, aku datang. Menyahut cabaranmu... Ya Allah, permudahkanlah laluanku" bisik hati saya.

Suasana di Dewan Seri Budiman nampak sibuk dengan pelajar baru yang mendaftar. Pelajar yang datang dari pelbagai lapisan kedudukan, negeri dan adat resam, latar belakang dan jurusan yang diambil. Juga mereka yang mempunyai ragam yang berbeza-beza. Saya hanya mengikut arus semasa. Disuruh mengisi borong, saya isi. Disuruh tandatangan, saya tandatangan. Segalanya seumpama dalam mimpi atau dipukau. Sewaktu mengambil kad pendaftaran asrama, saya sungguh tidak mengerti apa-apa.
"Baiklah. Awak ditempatkan di Kolej Delima 7. Awak boleh ke asrama sekarang...." kata seorang pegawai Bahagian Pendaftar.

"Wahhh... Kolej Perindu. Mesti mereka yang tinggal di sini terdiri dari yang jenis sentimental ni.." komen adik saya, Andika dalam gelak tawanya. Saya tidak kuasa melayani gurauannya kerana cabaran hidup di kampus itu amat mencemaskan saya.

Minggu Silaturrahim berjalan lancar. Tiada perkara buli terjadi sepanjang tempoh itu. Hanya suaikenal dan ceramah. Balik ke asrama untuk berehat dan bersambung lagi dengan ceramah. Ceramah, ceramah dan ceramah.

Tamat Minggu Silaturrahim, saya kembali cemas memikirkan senior-senior saya akan pulang ke asrama. Saya berdoa agar saya tidak menjadi mangsa buli mereka (saya takut dibuli sebenarnya). Sewaktu pelajar yang menjadi rakan sebilik saya sampai, saya amat bersyukur yang dia seorang yang peramah dan mesra. Eddie namanya. Satu pengajian dengan saya. Cuma dia di Semester 4. Saya pula masih terlalu hijau. Eddie seorang yang pintar dan disenangi oleh rakan-rakannya. Dia menjadi rujukan bagi setiap perkara oleh rakan-rakan. Rakan-rakannya turut menjadi kawan baik saya.

Suatu malam, 5 orang kawan-kawan Eddie masuk ke bilik kami. Mereka berpakaian kemas dan ranggi. Munir, duduk di atas katil, betul-betul di sebelah saya.
"Indera, siap. Jom kita pergi DV8..."
"DV8..?? DV8 tu apa..??" tanya saya bodoh-bodoh.
Mereka ketawa lucu.

"DV8 tu disco. Malam ni ada Student's Night. Masuk free tau... Jom cepat siap" kata Didie.
Mereka membuka almari baju saya untuk mencari baju yang sesuai untuk saya ke tempat itu. Saya memandang Eddie untuk mendapat kepastian. Tetapi di wajah Eddie, yang ada hanyalah gambaran kosong.

(Bersambung)

Tuesday, January 30, 2007

Ke Puncak Cita

Saya masih teringat lagi hari pertama perjalanan hidup saya meniti kemanisan tinggal di kampus. Pagi itu awal-awal lagi saya sudah bangun. Bangun dengan hati yang riang gembira. Betapa sesudah ini saya akan bergelar seorang mahasiswa yang menghuni hutan batu Shah Alam. Sudah lama saya tidak ke Shah Alam. Kali terakhir saya ke Shah Alam sewaktu usia saya 9 tahun ketika menghantar Opah dan Arwah Atuk menunaikan fardhu haji di Mekah. Bayangan Shah Alam hanya kabur dari ingatan. Sungguh tidak saya duga bahawa sesudah hari itu saya akan menghuni bandar perumahan itu selama hampir 10 tahun.

Apak tidak arif akan jalan-jalan di Lembah Kelang. Yang sebenarnya Apak takut tersesat. Apak mengajak Tok Leman bersama kerana Tok Leman sering berulang alik dari Perak ke Lembah Kelang hampir setiap bulan.

Selesai bersolat subuh, saya melangkah ke rumah Cikgu Hamid, tempat di mana saya dan rakan-rakan iaitu Alang, Duwan dan Lan sering berkunjung menemani Cikgu Hamid. Selepas beberapa kali mengetuk pintu, Alang menjenguk keluar. Seperti yang saya duga, dia bermalam di rumah Cikgu Hamid dengan ditemani oleh Duwan, Lan dan juga Din.
"Selamat jalan, Indera. Jangan lupakan kami di sini... Lagi satu, kirimkan salam aku pada anak dara-anak dara yang cantik manis di sana nanti, ye!!" kata Alang. Sesekali dia menggaru-garu kepala dan punggungnya. Rambutnya tidak terurus tanda baru bangun tidur. Sesekali pula lagi dia menguap panjang. Nampak hodoh berselubung dengan kain pelikat kusamnya.

Kami terus berbual di atas bangku panjang di hadapan rumah Cikgu Hamid sambil memandang kosong ke arah padang sekolah yang suram diselimuti kabus pagi yang tebal. Matahari masih belum menampakkan dirinya. Kokokan ayam sahut menyahut dari rumah penduduk kampung yang tinggal berhampiran.

Mendengar kami berbual, Duwan dan Lan keluar menyertai perbualan kami. Wajah Duwan dan Roslan nampak sayu. Saya tidak merasakan bahawa mereka sayu kerana berpisah dengan saya. Mereka itu bersedih kerana mereka masih menjadi penunggu setia Tingkatan 6 yang jumlah pelajarnya kian hari kian merosot.
"Din ada di dalam. Dia tak mahu bangun berjumpa dengan kamu. Puas aku kejutkan..." bisik Duwan.
"Semalam aku tengok dia menangis di tepi pagar sekolah. Malam ni dia tidur di rumah Cikgu Hamid sebab dia tak betah keseorangan di rumahnya. Dia perlu kawan di saat sebegini.." tambah Lan pula.

Keputusan SPM Din sangat baik. Namun di mana silapnya, dia tidak berjaya ke universiti. Ketika itu tempat belajar sangat terhad kepada 7 buah IPTA sahaja di seluruh Malaysia. Maka saingannya sangat sengit. Bukan Din sahaja, bahkan juga saya menerima nasib yang sama. Mujur keputusan kertas Bahasa Inggeris saya mendapat kepujian, maka ianya membolehkan saya memohon masuk ke ITM. Keputusan Bahasa Inggeris Alang, Din, Duwan dan Roslan hanya setakat lulus. Oleh yang demikian secara sendirinya mereka tidak layak ke ITM untuk kemasukan sesi Januari itu.
"Din sekarang selalu marah-marah. Pantang silap sikit, asyik nak naik angin. Kamu tolonglah nasihatkan dia..." kata Mak Yong Mah, ibu Din di dalam perbualan kami beberapa hari sebelum pemergian saya.

Saya masuk ke dalam rumah Cikgu Hamid. Din sedang mengerekot di dalam selimut. Saya tahu dia berpura-pura tidur.
"Din... aku datang nak ucap selamat tinggal..."
"Din... bangunlah..."

Din bungkam. Cikgu Hamid keluar dari bilik lengkap bersongkok dengan baju melayu dan kain pelikat. Tampan sekali. Langkahnya terhenti melihat saya dan Din. Cikgu Hamid sekadar menggelengkan kepalanya. Kemudian dia mengangkat tangannya memberi isyarat agar saya berhenti menggoncang tubuh Din.
"Selamat jalan, Indera. Belajar sungguh-sungguh. Jangan malas dan banyak bermain. Ingat harapan Mak Ayah awak.." nasihat Cikgu Hamid.
"Terima kasih, cikgu.."
"Kalau ada masa lapang dan cuti, datanglah menjenguk kami.." kata Cikgu Hamid.
"Cikgu pun jangan lupa hantar kad Walimatul Urus pada saya jika saya masih berada di Shah Alam.." usik saya sambil mencium tangannya.

Saya melangkah pulang setelah bersalaman dengan teman-teman yang setia. Saya menoleh ke belakang jika ada kelibat Din menghulurkan lambaian. Namun saya hampa.

Di saat saya memasukkan barang ke dalam kereta, adik saya mencuit bahu saya. Ada orang ingin berjumpa, katanya.

Nun di bawah pokok jambu air di dalam pagi yang mendung itu, Din duduk di atas motosikal memandang sayu ke arah saya.
"Berbahagia kamu Indera, kerana berupaya menjejakkan kaki ke kampus..." kata Din.
"Heyyy.. semua orang boleh lakukan. Engkau pun bakal menempuh saat ini, Insya-Allah.." kata saya.

Din tersenyum. Dari dalam kereta Apak, saya melambainya. Kereta Apak semakin laju dipandu oleh Tok Leman. Apak tersandar kemas di sebelah Tok Leman. Sementara Mak, saya dan adik bongsu saya, Andika duduk di belakang. Din semakin jauh dan mengecil. Sebelum kereta Apak membelok ke simpang, saya sempat melihat Din mengesat hujung matanya. Saya tidak pasti samada dia mengesat airmatanya ataupun mengesat titis hujan yang turun merintik...

(Bersambung...)

Friday, January 26, 2007

Sakit Mata

"Eh, Monster la... Mak!! Monster dah tiba...!!" kata anak-anak kakak saya memanggil ibu mereka setibanya saya di rumah Mak minggu lepas.

Masuk sahaja ke rumah, saya melihat Mak terbaring sambil berselimut di atas katil.
"Opah demam. Dah tiga hari.." kata Fatin yang baru berusia 9 tahun.

Sesekali Mak mengerang apabila sengal-sengal menyinggahi di sendinya. Saya lihat mata Mak merah menyala.
"Kenapa dengan mata Mak..??" tanya saya.
"Mak sakit mata. Berjangkit dengan budak-budak tu" kata Mak.
"Mak dah makan..??" tanya saya lagi.
"Belum. Mak tak ada selera"

Apa yang saya boleh lakukan ialah mengurut badan Mak. Itu pun hanya sebentar cuma apabila Mak mengadu badannya lebih sakit apabila diurut oleh saya. Katanya kudrat dan cengkaman saya kuat. Badan Mak yang lemah tidak berdaya menerima tekanan tenaga saya. Akhirnya Fitri yang berusia 7 tahun itu yang mengurut badan Mak. Mak nampak lega.

Esoknya Mak kembali sihat. Sudah cergas untuk memasak dan juga mencuci keliling rumah. Cuma mata Mak sahaja yang masih kemerahan. Sesekali apabila kerinduan kepada Mak memuncak, saya akan mencium pipi Mak. Mak hanya tersenyum.

Malam itu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur, Mak pula menghadiahkan selayangan ciuman ke pipi saya. Sungguh bahagia rasanya!!!.

Hari Isnin berlalu seperti hari-hari yang lain. Masuk sahaja hari Selasa, mata saya seakan tidak betah menentang pancaran matahari pagi yang sebelum ini cukup menenangkan. Saya masuk ke tandas dan.... Masya-Allah!! mata saya seperti tanglung di malam Chap Goh Mei. Pada ketika itu juga saya diarahkan pulang ke rumah dan mendapat cuti sakit selama dua hari.

Duduk di rumah selama dua hari tanpa anak-anak, isteri dan rakan-rakan adalah sesuatu yang amat membosankan. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah mengemas rumah yang seperti tongkang karam itu, mencuci pakaian dan memasak. Memasak Ikan Sardin. Selama dua hari itulah menu istimewanya - hanya Ikan Sardin.

Jika saya kebosanan, saya akan mengambil angin di luar rumah. Memandang perumahan yang sunyi sepi di waktu tengahari rembang. Mengalih pandangan ke ladang kelapa sawit yang memagari kawasan perumahan itu. Dedaunnya di waktu tengahari tampak agak pusam dan berdebu sementara angin yang bertiup seakan perlahan dan membawa aura panas dari arah Kundang.

Di sebelah petangnya, hujan mengguyur dari langit membasahi aspal. Mata saya masih merah menyala seakan tiada tanda untuk surut.

Sunday, January 21, 2007

Hari ribut, runduklah padi..

"Hmmmm... dah dua hari hujan. Berhentinya adalah dalam 5 minit. Lepas tu dia sambung sampai ke malam. Dari malam membawa ke pagi. Mendung saja hari... Cuaca pun makin sejuk" kata Mak sambil memandang jauh ke luar.

"Kalau sebulan cuaca macam ni, Mak boleh tanam epal.." kata saya. Tiba-tiba saya teringatkan seorang teman di bumi sejuk yang langitnya sering sahaja mendung-mendung.

"Baba, jom la kita naik motor, Baba. Kak Long nak tengok kerbau..." rengek Siri Aufa.

Saya mencari-cari kunci motor di atas palang tempat Apak meletakkan koleksi kunci-kuncinya. Kunci yang sudah tidak berguna yang berusia 20 tahun yang lepas pun masih setia berada di situ. Bilangannya saban tahun semakin meningkat jumlahnya. Namun Apak tetap tidak ingin membuangkan kunci-kunci lamanya.

Sebaik sahaja enjin motosikal dihidupkan, hujan turun mencurah-curah semula. Di wajah Siri Aufa terbayang kehampaan. Dia duduk di tempat paling hadapan dengan kaki diletakkan di dalam raga motorsikal. Saya di belakangnya. Faiz yang tembam dan berpunggung besar itu diapit antara saya dan abangnya Imran yang kurus kering. Jika Faiz mengerakkan punggungnya, pasti Imran yang di belakang sekali itu menjerit kerana takut tercicir jatuh dari motorsikal. Maklum sahaja punggung adik bongsu dan Achiknya sahaja sudah memenuhi ruang duduk yang terhad itu.

Dalam larat mendung itu, haiwan ternakan barangkali lebih enak bersenang-senang di dalam kandang daripada basah kesejukan di dalam kebun atau di padang ragut. Seekor kerbau atau lembu pun tidak kelihatan. Hujan turun semula.
"Kita singgah rumah moyang dulu, ye!!. Nanti bila hujan reda sekali lagi, kita sambung berjalan.." pujuk saya pada budak-budak itu.
"Alaaaaaa........"

Rumah Opah sunyi. Yang ada cuma Opah dan Mak Nah. Mujur ada Fuziah datang membawa anak-anaknya bermain dengan Siri Aufa. Dalam leka berbual itu, Mak Nah masih sempat menggoreng pisang dan membancuh kopi O pekat. Wahh.. langkah kanan nampaknya. Memang kena waktu hujan-hujan sebegini menghirup kopi O bersama goreng pisang panas.

Hujan masih belum reda. Titis-titis hujan berguguran menimpa bumi dan pemandangan di dalam kebun getah tua milik arwah Atuk kelihatan begitu suram. Begitu juga suramnya hati-hati mereka yang menghuni perdusunan itu.
"Kita pergi Telok Bakong, hendak?" tanya saya kepada anak buah saya sebaik sahaja hujan reda.
"Hoorraayyy..." tempik budak-budak itu diikuti oleh Siri Aufa.

Sampai sahaja di simpang hadapan rumah Pak Akob, kami membelok ke kiri dan terhenjut-henjut perlahan-lahan melalui jalan berpasir putih yang tidak rata. Seekor burung bangau berwarna coklat di belakangnya, terperanjat dengan kehadiran kami lalu terbang laju dan semakin menjauh ke petak sawah di arah tenggara.
"Burung, Achik. Burung!!!" anak buah saya bersorak.
"Mati enjin, mati enjin..!!" pinta mereka.

Saya mematikan enjin motosikal. Terpaku melihat pemandangan yang sangat indah di larat mendung waktu sore. Di dalam petak yang tidak diusahakan, mengenang air laksana tasik. Bercampur buar jernih airnya dengan warna keputihan bulu burung bangau besar. Ada pondok usang yang masih berdiri di tepi taliair, membuatkan pemandangannya ibarat lukisan alam.
"Wahh, Faiz. Tengok pokok tu, tersusun cantik... Satu, dua, tiga... wahh sebelas batang pokok semuanya!!" kata Imran. Dia baru pertama kali ke situ. Sedang saya pula, itulah tempat saya duduk termenung dan berlama-lama di situ sewaktu saya masih bujang lagi. Itulah tempat yang terindah di kampung saya.
"Wahh... cantik betullah Achik.."

Kemudian mereka bersorak melihat empat ekor burung bangau berjalan terkedek-kedek di atas jalan yang berpasiran putih itu. Tidak manusia di situ kecuali kami.

Beberapa tempat, padi runduk ditiup angin kencang...

Hari ribut
Runduklah padi
Padi cupak
Dato Temenggung...

Hati siapa yang tak rindu dendam
Hati siapa yang tak kasih sayang
Wajahmu umpama gula...

Wednesday, January 17, 2007

Bila saya berkunjung ke sana..

Saya teringat suatu ketika dahulu, apabila Mak dan Apak membawa saya berkunjung ke rumah Mak Uda Zaidah, saya akan terlompat kinja dan bermain seperti orang sasau dengan anak bongsu Mak Uda Zaidah, Razak. Melihatkan kegembiraan saya, Mak Uda Zaidah pasti menahan saya dari pulang ke rumah Mak dan bermalam di rumahnya buat beberapa hari. Biasanya saya akan bersetuju. Tambahan pula dengan adanya Razak, pasti hari-hari saya akan dipenuhi dengan aktiviti bermain dan pelbagai kegilaan.

Namun kebiasaannya yang terjadi sebaliknya. Masuk keesokan harinya saya akan diserang demam. Saya tidak berselera makan dan banyak termenung. Mak Uda Zaidah akan bertanya,
"Indera, Indera sakit..??"
Biasanya saya akan menggelengkan kepala. Memberitahu Mak Uda Zaidah bahawa saya tidak apa-apa. Hakikat sebenarnya saya memang ada apa-apa. Saya menahan kerinduan kepada Mak, Apak dan juga adik beradik. Kerinduan sehingga boleh menyebabkan demam.

Setelah demam saya tidak sembuh buat beberapa hari, Mak Uda Zaidah akan menghubungi Apak di kampung. Sebaik sahaja kereta Apak memasuki halaman rumah Mak Uda Zaidah, secara tiba-tiba sahaja demam saya menjadi sembuh dan saya bermain kembali seperti asal. Bermain seperti orang sasau. Seolah-olah demam beberapa hari yang lepas itu ibarat mimpi sahaja.

Mak Uda Zaidah punya minat yang pelik. Dia gemar menceburkan diri di dalam projek-projek tertentu yang melihatkan industri kecil dan sederhana. Kebanyakan industri yang berasaskan makanan. Mak Uda Zaidah pernah menternak ayam daging dalam jumlah yang besar. Punya reban yang besar dan panjang, yang mampu menampung bilangan ayam berjumlah beratus-ratus ekor dalam satu masa, pernah menceburkan diri di dalam projek ternakan dan penanaman cendawan dan dia juga pernah mengeluarkan sos cili dan rojak jenama sendiri.

Entah di mana silapnya, kesemua projek-projek tersebut tidak bertahan lama. Bukan kerana tiada pasaran dan juga permintaaan, namun di mana silapnya saya sendiri pun tidak tahu puncanya. Pengeluaran sos cili dan rojak hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum ianya ditutup dan tidak diusahakan. Penternakan ayam hanya bertahan selama 3 kali keluaran hasil sebelum reban ayam yang besar itu terbiar mereput tanpa penghuninya.

Tetapi istimewa Mak Uda Zaidah adalah pada masakannya. Yang paling saya gemari ialah Gulai Perut (babat) dimasak tauchu bersama cili padi. Sewaktu mengadap menu ini, bersedialah dengan sejag besar air batu sirap. Kepedasannya bisa membuatkan telinga berasap...

Yang peliknya juga Mak Uda Zaidah tidak akan menurunkan resipinya kepada sesiapa. Apabila ditanya sebab kenapa Mak Uda terlalu kedekut mencurah ilmu. Jawapannya tetap sama.
"Nanti kalau kamu sudah pandai masak, kamu tidak mahu lagi singgah rumah Mak Uda.."

Sewaktu bangun pagi di rumah Mak Uda Zaidah, udara pagi yang masuk melalui jendela akan berbuar dengan aroma kenanga, tanjung, baki aroma harum sundal malam dan juga bakawali. Di keliling rumahnya ibarat taman dahulu kala yang menyimpan rimbunan pokok bunga yang segar.

Kini Mak Uda Zaidah sudah tua. Hari tuanya dihiburkan dengan telatah cucu-cucu yang tinggal bersamanya. Kadang-kala ketika berkunjung ke rumahnya saya akan membelek-belek mesin mengadun sos cili. Hendak dibeli tidak pernah disahutnya. Namun tidak juga dijual. Sungguh Mak Uda Zaidah punya perangai yang pelik..

Friday, January 12, 2007

OKU

Malam di Universiti Malaya. Masuk ke Perpustakaan berjumpa dengan seorang teman. Perpustakaan itu lengkap dengan pelbagai kemudahan yang canggih dan amat mesra pembaca. Kemudahannya turut memberi kesenangan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menimba ilmu.

Sedang saya berbincang dengan teman itu, saya terdengar bunyi yang pelik. Bunyi mesin berkata-kata dengan kadar yang amat pantas. Sangka saya mesin itu berbahasa Jerman, namun setelah diamati, bahasa yang dipertuturkan itu bahasa Inggeris. Seorang pemuda yang cacat penglihatan sedang berteleku di hadapannya menyudahkan tugasan.

Kagum dengan kesungguhan pemuda itu, saya merapatinya sambil memperkenalkan diri. Lucunya sewaktu saya menghulurkan tangan bersalaman dengannya, tangan saya tidak bersambut. Sedetik saya bingung kenapa dia enggan menyambut jabat tangan saya. Ohh.. bukankan dia itu cacat penglihatan!! Mana mungkin dia dapat melihat tangan saya... Akhirnya saya tersenyum sendiri.

Namanya Syed, orang Johor yang bakal menghabiskan kuliahnya pada pertengahan tahun ini. Mempunyai mata pencapaian keseluruhan (CGPA) 3.70. Sesuatu yang amat mengagumkan saya. Dalam keadaan cacat penglihatan itu dia mampu mencatatkan pencapaian sedemikian tinggi. Saya yang sempurna penglihatan ini pun dahulu hanya cukup-cukup makan.

Dia seorang yang tabah dan bersemangat kental. Ingin memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana melalui Skim Latihan Pensyarah. Sewaktu berbicara tentang syarat-syarat dan kelayakan yang harus ada bagi memasuki skim itu, kami berdebat hangat tentang kewajaran memberi kelebihan kepada OKU untuk melanjutkan pelajaran.

Saya berpendapat adalah wajar bagi golongan OKU ini diberi keutamaan dan laluan yang mudah untuk ke Skim itu tetapi Syed membantah bahawa setiap syarat itu mestilah adil tidak kira samada orang itu lengkap pancaindera ataupun golongan OKU.

Saya tahu bahawa golongan OKU ini mahu kita melayani mereka sama seperti kita melayani insan lain tanpa mengira kecacatan mereka. Mereka mudah tersinggung dengan layanan istimewa dan merasakan keistimewaan yang mereka perolehi itu adalah atas dasar kecacatan mereka. Bukan sebab mereka itu sendiri.

Syed mengingatkan saya kepada Mohamad Nasir, kawan baik saya di fakulti dahulu. Nasir dilahirkan tanpa tangan yang sempurna. Tangannya hanya setakat siku. Tiada jari jemari. Asalnya persahabatan saya dengan Nasir terjalin atas dasar simpati. Tetapi lama kelamaan Nasir mahu saya melayani sebagaimana saya melayani kawan-kawan saya yang lain.

Saya belajar bersahabat dengan OKU daripada Nasir. Sekilas pandang persahabatan saya dengan Nasir sangat kasar dan keras. Bergurau dengan tepuk tampar (yang tidak menyakitkannya), berlumba lari dengannya di padang, berkongsi bertih jagung dengannya di panggung wayang. Kesemuanya berjalan seperti biasa. Cuma kehadiran saya itu sedikit memudahkannya sahaja. Contohnya menghulurkan sudu dan garpu kepadanya sewaktu makan, membantunya menaiki motorsikal saya. Selebihnya semua dilakukan oleh Nasir sendiri. Saya merasa amat bangga dan kagum sekali. Paling mengagumkan saya sewaktu melihatnya menekan butang-butang mesin kira (calculator) dengan pantas. Lebih mengagumkan lagi, Nasir lulus Ijazah Pertama dengan catatan markah 3.45. Jauh meninggalkan saya yang pemalas.

Nasir kini bertugas di RHB Bank. Mungkin sudah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus atau Eksekutif Kanan setidak-tidaknya. Kali terakhir kami keluar bersama pada tahun 2002 apabila kami sama-sama menonton filem Jurassic Park 3. Kemudian berpusing-pusing meronda Bandaraya Kuala Lumpur dengan kereta Nasir. Kereta yang telah diubah suai khas untuk kegunaannya. Bangganya saya dapat menaiki kereta yang tertulis di belakangnya KENDERAAN ORANG CACAT.

Jika sebelum mengenali Nasir, saya tertanya-tanya. Bagaimanakah takrifan OKU terhadap kehidupan? Bagaimanakah rasanya bersahabat dengan OKU? Setelah mengenali Nasir, ada perasaan yang pelik ketika bersama OKU. Perasaan simpati yang melimpah ruah. Namun perasaan itu tidak dibenarkan sama sekali untuk dizahirkan oleh mereka ini. Yang mereka inginkan hanyalah keikhlasan. Akhirnya perasaan itu semua bertukar menjadi kekaguman.

Thursday, January 11, 2007

Gambar-gambar

Saya sering terfikir, jika saya punyai lebih wang, apakah yang akan saya lakukan dengan wang itu? Setelah ditolak jumlah simpanan dan keperluan keluarga, apakah suatu benda yang saya inginkan. Nilai wang itu tidaklah banyak, tetapi memadai kiranya saya berupaya untuk mencapai barangan yang dihajatkan selama ini.

Telefon Bimbit? Hmmm... mungkin tidak. Saya tidak pernah ambil kisah langsung akan telefon bimbit ini serta teknologi yang menghambatinya. Saya masih lagi selesa dengan Nokia 3315 saya itu sekalipun nampak sudah tidak sesuai digunakan di zaman bahan visual bergerak bebas dari satu talian ke talian yang lain. Telefon bimbit saya hanya mampu menerima teks sahaja. Pun begitu saya sangat gembira dengannya dan tidak pernah rasa malu menggunakannya di khalayak.

Saya berfikir lagi. Ada tidaknya yang mampu membuatkan saya tersenyum, mungkin jika saya memperolehi sebuah kamera digital jenama yang dikenali atau sebuah komputer riba teknologi terbaru. Ahhh.. komputer riba itu terlalu mahal.. Ya, saya inginkan sebuah kamera digital jenama yang dikenali itu!!. Saya kepingin sekali agar blog saya ini dihiasi dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan artikel yang saya nukilkan seharian. Ingin berkongsi dengan teman-teman, gambar-gambar peribadi saya terutamanya gambar-gambar yang berkaitan dengan kampung saya. Keindahan sawah padi yang menghijau serta burung-burung air yang turun mencari makan di dalamnya sungguh mempesonakan ibarat lukisan alam kurnia ilahi.

Saya ingin berkongsi dengan teman-teman semua, potret insan-insan kesayangan saya. Saya teringatkan seorang teman pernah berkata kepada saya.
"Ingatlah. Setiap pagi engkau akan melihat Allah tersenyum padamu..."
Maksud kata-kata itu ialah kita mampu melihat Allah "tersenyum" itu dari senyuman manusia yang berpapasan dengan kita setiap pagi. Kenapa begitu? Kerana manusia itu adalah ciptaan Allah yang ulung dan agung. Manusia itu juga tanda kekuasaan Allah. Walaupun berbilion jumlah umat manusia ini, namun setiap mereka itu berbeza dari raut wajah, penampilan, pembawaan dan sikap dengan nyata sekali. Allah juga memasukkan ke dalam diri manusia itu sebahagian dari sifat-sifatnya seperti pengasih, penyayang, pemurah dan lain-lain lagi. Melihat ciptaanNya umpama kita memandangnya...

Melalui gambar-gambar akan menceritakan tentang 1001 satu perihal yang tidak pernah kita ketahui sebelum ini. Saya ingin merakamkan gambar teman-teman blog saya. Dari orang asing, saya mengenali hati budi mereka. Akhirnya kami menjadi sahabat yang sangat akrab... Sesuatu yang sangat menghairankan bagi saya.

Saya ingin merakamkan segalanya tentang ciptaan ilahi. Ingin mengongsikannya dengan mereka yang berminat.

Indera : Saya masih seperti dulu. Sebuah ketul ais yang keras dan dingin. Mereka berkata saya tidak punya perasaan. Wajah saya langsung tidak terganggu dek riak. Tetapi siapakah yang dapat menduga arus di lubuk dalam itu?

Monday, January 08, 2007

Calon suami Siri Aufa

Setiap kali musim perayaan tiba, Siri Aufa mesti melonjak-lonjak keriangan. Ada sesuatu yang mengembirakan baginya setiapkali cuti itu tiba. Rahsia katanya. Tetapi dalam rahsia itu, sudah berpuluh umat manusia dihebahkannya tentang rahsia itu. Iskandar, cucu Opah Limah yang tinggal bersebelahan dengan rumah Opahnya akan bercuti melawat Opah Limah. Dapatlah Siri Aufa berbual-bual panjang dengan Abang Is. Abang Is berumur 28 tahun. Tinggal di Putrajaya. Selalu Siri Aufa memberitahu Baba,
"Baba, Kak Long nak kahwin dengan Abang Is.."
Memang Baba akan tunjuk muka cemberut. Baba tidak suka dengan pilihan Siri Aufa. Baba tidak suka bukan kerana Abang Is tidak kacak atau tidak bekerja, Baba tidak suka kerana Abang Is hampir sebaya dengan Baba.

Suatu hari Opah Limah memberitahu Siri Aufa, Abang Is sudah ada teman istimewa. Abang Is hendak mengahwini perempuan itu. Siri Aufa merasakan perasaannya hancur berkecai. Mulai dari hari itu, Siri Aufa cuba melupakan Abang Is.
"Kak Long tak nak kahwin dengan Abang Is" katanya.
Pun begitu kenangan dengan Abang Is tetap segar dalam ingatan.
"Baba, Putrajaya dengan Rawang tu jauh tak?" tanya Siri Aufa kepada Baba.
"Tak jauh. Kenapa Kak Long tiba-tiba tanya pasal Putrajaya ni?"tanya Baba.
Siri Aufa cuma tersenyum malu.

Dalam usaha melupakan Abang Is itu, Siri Aufa bertemu dengan Abang Alif ketika Umi membawa Siri Aufa ke sekolah. Roman wajah Abang Alif yang seperti Badrul Muhayat itu membuatkan Siri Aufa terpikat. Abang Alif lebih muda dari Abang Is. Umur Abang Alif 12 tahun. Setiapkali Umi mengajar di kelas tambahan itu, Siri Aufa mesti duduk di sebelah Abang Alif. Biarlah Kak Suraya atau Kak Marlina panggil. Siri Aufa akan buat tidak endah. Siri Aufa lebih senang duduk bersama Abang Alif. Abang Alif baik. Dia pun suka pada Angah (Adil Rayyan).

Hari itu hari kahwin Kak Faezah di Sungai Siput. Ramai sepupu Umi yang datang termasuk Makcik Normi dan Pakcik Zali membawa anak-anak mereka - Kak Yana, Abang Aiman dan Abang Aizad. Nama timang-timangan Abang Aizad ialah Abang Kulup. Abang Kulup umur 5 tahun. Tetapi perangainya mengada-ngada, sombong dan suka menangis. Pakcik Zali kata, dia berkenan ingin mengambil Siri Aufa menjadi menantunya. Dia hendak jodohkan Siri Aufa dengan Abang Kulup.
"Kak Long tak suka Abang Kulup. Abang Kulup mengada-ngada" gerutunya.
Tetapi yang menghairankan ialah Baba berkenan sangat pada Abang Kulup itu. Mungkin kerana Baba sangat akrab dengan Pakcik Zali barangkali.

Petang semalam Baba bertemu dengan Pakcik Osman, kawan lama Baba. Melihat sahaja Siri Aufa, Pakcik Osman sudah berkenankan pada Siri Aufa yang keletah.
"Anak engkau Indera?" tanya Pakcik Osman.
"Iya.." jawab Baba.
"Hiiee... comelnya. Kahwin dengan anak Pakcik nak? Pakcik nak ambil jadi menantu, nak?" tanya Pakcik Osman.
Siri Aufa cuma terdiam. Tiba-tiba Baba bertanya.
"Kak Long nak kahwin tak?"
"Nak..." jawab Siri Aufa.
"Kak Long nak kahwin dengan siapa?" tanya Baba lagi.
"Dengan Abang Alif"
"Abang Alif tu siapa?" tanya Baba.
"Darjah 6.."

Baba tersenyum kepada Pakcik Osman sambil mengangkat bahu.
"Maafkan aku, Man. Hati anak perempuan aku sudah dimiliki..."

Friday, January 05, 2007

Waktu Itu

Saya terkenangkan satu peristiwa di mana saya di dalam usia remaja. Sebaik sahaja keputusan peperiksaan SPM diumumkan, saya dan rakan-rakan sibuk mengisi borang kemasukan ke universiti. Setelah berbulan menunggu dengan debaran, seorang demi seorang diterima masuk ke universiti di serata semenanjung, manakala saya pula langsung tidak menerima sebarang tawaran. Jika mengikut kelayakan, saya sememangnya boleh mendapat tempat tetapi saya bingung dan buntu apabila saya tidak menerima panggilan masuk pun. Setelah dikaji, rupa-rupanya saya telah tersilap mengisi borang.

Saya memang tidak suka dan benci dengan sekolah lama saya. Apak pernah berjanji dengan saya bahawa saya harus menamatkan tingkatan lima dengan jayanya, maka sesudah itu terpulanglah kepada saya untuk menentukan haluan saya.

Rupa-rupanya Apak mungkir janji. Dia berkeras memaksa saya masuk ke tingkatan enam di sekolah lama saya dan juga memaksa mengambil jurusan Usuluddin. Sebaliknya saya memilih jurusan Syariah. Oleh kerana tiada minat, ditambahi pula dengan khabar berita teman-teman di kampus, saya langsung enggan belajar. Hampir sebulan saya tidak menghadirkan diri ke sekolah.

Di dalam kekalutan itu, saya memulangkan janji Apak dahulu. Akhirnya Apak tiada pilihan lain melainkan membenarkan saya mengikuti pengajian di tingkatan enam sekolah harian.

Maka bermula episod baru dalam hidup saya. Hari pertama di tingkatan enam itu saya telah ditertawakan kerana memakai seluar berwarna hitam, sedangkan pelajar tingkatan enam di sekolah itu berseluar putih.

Awal-awal pagi sudah bangun kerana bas untuk ke sekolah yang jaraknya 30 kilometer akan lalu di kampung saya seawal jam 6.15 pagi. Bersama rakan-rakan lama di sekolah rendah dahulu, kami merentas dingin kabus pagi menaiki bas ke sekolah dan tiba pula di rumah setelah jam melangkaui 3.00 petang. Begitu rutin harian hidup kami.

Di sebelah malamnya, kami akan melepak di rumah guru bujang mengganggu tugasannya. Rumah itu sudah seperti rumah kami sendiri. Makan, minum dan bertidur baring seenaknya. Kebetulan Cikgu Hamid, guru bujang terlajak itu langsung tidak ambil kisah malah mengalu-alukan lagi kedatangan kami. Mungkin dia sendiri kesunyian barangkali!!.

Buku-buku hanya akan dibaca jika hampir dengan ujian atau peperiksaan akhir tahun. Suatu pagi itu, bas agak lewat tiba. Jam tujuh baru mendengar ngauman enjinnya. Kami keresahan, bimbang diambil tindakan disiplin. Akhirnya jam 8.00 baru kami tiba di luar pagar sekolah.
"Kenapa lambat?" tanya Cikgu Ravendran. Guru Disiplin.
"Errr... errr.." saya kehilangan kata-kata.
"Errr... rumah kami jauh, Cikgu. Sebab itu kami datang lambat" kata Alang.
"Jauh? Berapa jauh?" tanya Cikgu Ravendran.
"30 Kilometer" jawab Alang.
"Ayoyo.. banyak jauh ooo... OK, next time, kalau you orang datang lambat, jangan masuk ikut pintu depan. Nanti Mr. Principal nampak. Ikut laluan di belakang sekolah. Nanti kalau pengawas tanya, cakap saya kasi kebenaran pada you all..."

Semenjak hari itu kami mempergunakan kebenaran Cikgu Ravendran itu sewenang-wenang. Jika bas jam 6.15 itu sampai di kampung, kami akan menyorok di belakang kedai kerana selagi kelibat kami tidak kelihatan, abang pemandu bas itu akan terus menunggu selama setengah jam. Setelah setengah jam, kelibat kami masih belum muncul juga, dia akan berlalu pergi sedang kami yang menyorok di belakang kedai itu akan terkekeh-kekeh ketawa.

Jika kami sampai awal di pekan kecil itu, kami akan bersarapan dahulu di kedai Pak Aji yang terkenal dengan mee goreng 20 sen sambil melihat pelajar lain berlari-lari mengejar masa untuk masuk ke pintu pagar sebelum 7.30 pagi.
Hoi, kome. Tak takut lambat ke..?"tanya Ahmad Bulu, pelajar tingkatan lima.
"Ehhhh... apa hal nak datang awal-awal. Kitaorang tingkatan enamlah tau tak..., cepat-lambat ni tak kisah punya...!! Engkau tu cepat sikit. Nanti kena rotan dek cikgu Ravendran pulak" jawab kami.

Pelajar lain sedang berhimpun di perhimpunan. Kami pula menyelinap masuk ke dalam kelas.

Sewaktu peperiksaan akhir tingkatan enam rendah, saya sekadar mendapat 2P 2R. Saya tahu bahawa saya tidak akan berlama-lama di tingkatan enam itu kerana saya langsung tiada minat. Tawaran masuk ke ITM merubah hari dan wajah saya. Saya diminta mendaftarkan diri ke Kampus Shah Alam pada Januari tahun itu. Apak tidak berkata apa-apa. Sekurang-kurangnya saya adalah anaknya yang pertama menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Tinggal sudah kawan-kawan semua. Melihat wajah mereka yang kesedihan sewaktu saya mengucapkan selamat tinggal itu cukup membuatkan hati saya sayu. Din, mengambil tindakan nekad masuk ke Maktab Perguruan setelah ketiadaan saya. Alang hanya menghabiskan tingkatan enam atas separuh jalan dan masuk ke maktab perguruan juga pada Ogos tahun yang sama tanpa menduduki STPM tahun itu. Walau bagaimanapun, mereka menyudahkan juga STPM pada tahun-tahun sesudah itu secara persendirian dan menempah tiket masuk ke universiti untuk bersaing dengan saya.

Selepas beberapa tahun, sekolah-sekolah berhampiran turut menawarkan tingkatan enam. Tiada lagi pelajar yang berulang 20 hingga 30 kilometer setiap hari. Pelajar tingkatan enam di sekolah itu kini boleh dikira dengan jari.
"Bosan aku mengajar tingkatan enam sekarang ini. Hanya satu kelas dengan bilangan murid 30 orang sahaja. Tidak sama sewaktu zaman kamu semua dulu. Sampai 7 kelas" kata Cikgu Aziz sewaktu saya menemuinya baru-baru ini.

Wednesday, January 03, 2007

Yang terikat terjalin kuat..

Saya pernah bertanya kepada Apak tentang ikatan kekeluargaan.
"Apak, adakah sepupu itu dekat dengan kita?"
"Jika sepupu itu masih dikira dekatlah.." jawab Apak.
"Jika begitu bagaimana dengan dua pupu atau tiga pupu?"tanya saya lagi.
Apak mengeluh.
"Indera, dekat atau jauhnya itu, kita sendiri yang menentukannya. Jika kita rasa dekatdan mesra, tiga pupu atau empat pupu itu rasakan seperti adik beradik. Jika kita merasakannya jauh, maka sepupu sendiri pun seperti orang lain dalam hati kita"
Jawapan Apak itu membuatkan saya termenung panjang.

Entah kenapa dalam seminggu dua ini hati saya sering teringat kepada Wah Salamah. Kebetulan kisah hidupnya saya rakamkan secara kasar di dalam entri saya yang lalu. Cuti Hari Raya Aidil Adha yang lepas memberi kelapangan untuk saya berkelana ke kedaerahan Manong. Tempat bermastautinnya Opah Tua Saodah, insan yang menyaksikan saat-saat akhir Wah Salamah menghembuskan nafas yang terakhir.

Terpegun saya melihat kampung Opah Tua. Tanahnya diberkati dengan kesuburan. Banjaran gunung yang tinggi menganjur jauh dari utara membuatkan udara di situ nyaman dan segar. Opah Tua sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah rumah pusaka peninggalan Opah Tua yang sekarang ini diduduki oleh anak sulungnya Mak Tua Tijah.

Saya dan Mak tiba di halaman rumah itu sewaktu azan Maghrib berkumandang dari surau berhampiran. Persekitaran rumah yang sunyi membuatkan kami terfikir bahawa rumah itu sudah lama kosong.
"Pelik. Seperti tiada orang. Tetapi kenapa tingkapnya terbuka?" kata saya kepada Mak.

Setelah puas memberi salam barulah terpacul seraut wajah lelaki dalam lingkungan usia 40-an.
"Mak tak ada. Dia dah ke Taiping" kata lelaki itu kepada Mak.

Saya seperti pernah berjumpa dengan lelaki ini. Tetapi di mana?. Setelah diingatkan kembali, lelaki itulah yang duduk di sebelah saya di rumah Pak Yeop sewaktu hari kematiannya.
"Abang, apa khabar?" saya menegurnya.
"Baik" katanya.
"Abang, maafkan saya kerana tidak mengenali abang sewaktu hari meninggal Pak Yeop. Tiada siapa yang ingin memperkenalkan abang kepada saya. Jadi saya ingat abang ini entah siapa-siapa" kata saya.
"Haa.. Hairi. Inilah Indera, anak Mak Su.." kata Mak memperkenalkan saya kepada lelaki itu.
Rupa-rupanya kami ini dua pupu!!.

Sejak tahun 1986, saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung itu. Sewaktu kecil-kecil dahulu memang Mak sering singgah di Manong dalam perjalanannya ke Kuala Kangsar. Tetapi di usia kecil itu, daya pemikiran saya tidak kuat. Tidak mengingati wajah sanak saudara malah lokasi rumah saudara mara juga kelam dalam ingatan. Sewaktu kali terakhir saya berjejak di sana, Abang Hairi mungkin sudah muda belia dan layak berkahwin.

Singgah solat di rumah Yong Za. Yong Za sangat terharu dengan kunjungan kami. Betapa jarak waktu tidak pernah mengurangkan kemesraan persaudaraan yang telah dibajai bertahun-tahun. Mungkin jika Wah Salamah masih ada, mungkin dia berasa amat sukacita bertemu dengan saudara maranya di Manong.
"Ni Indera, Yong Za nak kasi ingat. Dah tahu letaknya rumah Yong Za, selalu-selalulah jenguk kami yang tua ni di sini".
"Insya-Allah, Yong".

Kami adalah saudara yang lama terpisah. Namun segala-galanya terletak di tangan saya. Bak kata Apak, dekat atau jauh itu kita yang menentukannya.

"Opah, Opah Tua, Tuk, Wah Salamah dan Pak Yeop... Indera datang ke Manong menyambung persaudaraan yang hampir terputus. Insya-Allah, dengan berkat pertolongan Ilahi, tidakkan Indera biarkan jalinan ini berakhir setelah pemergian generasi yang tertua. Akan Indera usahakan semoga ikatan itu tersimpul erat seperti dahulu..."