Wednesday, April 25, 2007

Mekar Di hati

(Bunga yang paling saya suka - Nymphaea alba / Water lily)
Sewaktu melawat ke laman Bro BP, saya melihat kecenderungannya sejak akhir-akhir mengkisahkan hal ehwal pokok-pokok yang menjadi teman hidupnya selain daripada dewi pujaan hatinya sendiri iaitu Sastri. Saya sangat terhibur membaca catatannya terutama nama-nama saintifik bagi pokok-pokok yang diperkatakan. Lantas ianya mengimbau kenang-kenangan lama saya sewaktu berkecimpung di dalam bidang lanskap dan hiasan taman ini.


Permulaan perjalanan karier saya sepatutnya bermula di syarikat perbankan. Namun nasib tidak menyebelahi saya. Saya ditakdirkan terjun ke dalam bidang pembinaan dan juga bidang lanskap. Antara tugasan pertama saya yang diberikan oleh Abang Ngah (ketika itu dia boss saya) adalah membuat pengkalan data untuk pokok-pokok teduhan, pokok-pokok renik dan juga tumbuhan tutup bumi. Tiada nama yang sering digunakan oleh orang kita seperti Pokok Bunga Raya melainkan ianya disebut sebagai Hibiscus tricolor, Cocos nucifera (Pokok Kelapa. Haiiiiyaaa... apa perlu susah-susah menyebut Cocos nucifera. Sebut sahaja kelapa. Bukankah lebih senang?), Lamsium domesticum (Langsat) dan lain-lain perkataan yang sangat memeningkan kepala.


Pada peringkat awalnya memang sangat mencabar. Maklum sahaja di peringkat universiti saya sudah terlalu terdedah dengan Future Value (FV), Present Value (PV), Internal Rate of Return (IRR), Capital Assets Pricing Model (CAPM) dan lain-lain istilah kewangan korporat yang menyakitkan kepala. Akhirnya saya terjebak juga dengan satu dunia yang warganya bertutur dalam bahasa alien. Aduhhhh... memang menggelikan hati apabila mendengar warga lanskap ini bertutur dan memperkatakan tentang Bauhinia purpurea, Kaempferia galanga dan Musa paradasiaca. Apabila ditanya lanjut apakah yang diperkatakan oleh mereka, mereka menjawab Bauhinia purpurea itu adalah Pokok Tapak Unta, Kaempferia galanga pula adalah lengkuas dan manakala Musa paradasiaca adalah Pokok Pisang.


Haaiiii... begitulah susahnya hidup di dalam dunia itu. Tetapi bagi mereka yang memang sepatutnya berada di situ, itulah cara kehidupan mereka dan mereka sangat bahagia. Saya pasti bahawa Bro BP mempersetujui apa yang saya katakan ini.


Saya terkenangkan sewaktu saya belajar mengenali pokok-pokok beserta nama saintifik ini. Saya belajar melalui kaedah yang sangat perit. Caranya ialah, Abang Ngah akan membawa saya memandu daripada Shah Alam ke Sungai Buloh. Tujuan kami ke Sungai Buloh itu adalah untuk mendapatkan pokok-pokok seperti mana yang dipesan oleh pelanggan. Sepanjang perjalanan ke Sungai Buloh itu, dia akan menunjukkan kepada saya nama pokok beserta dengan nama saintifiknya sekali. Sepanjang setengah jam perjalanan daripada Shah Alam ke Sungai Buloh, dia akan mengarahkan saya agar mengingati nama-nama pokok yang banyak terdapat di sepanjang jalan tersebut tanpa membuat catatan. Setelah urusan di Sungai Buloh tamat, di dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, dia akan meminta saya mengulangi apa yang telah diperkatakannya tanpa membuat sebarang kesilapan. Andainya saya tersilap menyebut nama saintifik bagi pokok yang perkatakan, dia akan membebel berterusan sehinggalah kami sampai semula ke pejabat.
"Macam mana kamu nak berjaya dalam bidang ni Indera, kalau benda kecil macam ni pun kamu tak boleh nak ingat. Berapa kali aku nak cakap pada kamu...." dia akan membebel dan terus membebel.


Namun saya pasti bahawa melalui kaedah didikan itu sebenarnya sangat berkesan. Dalam tempoh 6 bulan saya berjaya mengingati hampir 100 nama pokok dengan perincian yang terdapat padanya. Bentuk pokok, warna bunga, bau dan ketinggian yang sebenarnya diperincikan dengan lebih mendalam melalui nama saintifik yang diberikan. Contohnya Heliconia (Heliconia adalah antara pokok bunga kegemaran saya). Heliconia latispatha berlainan bentuk bunganya dengan Heliconia Rostrata walaupun mereka dalam satu keluarga. Heliconia latispatha mempunyai bunga berbentuk sepit ketam dan berwarna seakan oren kemerahan manakala Heliconia Rostrata mempunyai bunga berbentuk bulat berkelopak mirip bunga ros.


Melalui kaedah itu juga saya masih mengingati sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan tersebut walaupun telah bertahun-tahun saya tidak membelai pokok-pokok dan bidang lanskap ini saya tinggalkan dalam lipatan sejarah saya. Kadang-kadang menyebut tentang nama saintifik ini akan meninggalkan luka dalam hati saya. Jadi kerana itu, ingatan terhadap bidang lanskap ini, pernah saya campakkan jauh-jauh dari hidup saya.


Namun tumbuhan tetap tumbuhan. Andainya kita membencinya, kita mencantasnya. Namun tunasnya tetap tumbuh jua melainkan jika kita mencabut dari akar umbinya. Saya sedar bahawa ilmu yang pernah bertamu dalam hati saya itu adalah "jiwa" tumbuhan itu sendiri. Apabila saya meninggalkannya, sama seperti saya mencantasnya dari ingatan saya. Namun "jiwa" itu sebenarnya tidak pernah mati. Ianya bertunas tetapi tidak cukup "cahaya dan baja" untuk ianya kembang mekar. Kerana akarnya sudah menusuk jauh ke dalam sanubari saya dan menunggu masa untuk tumbuh merendang dan menjulang tinggi.

Monday, April 23, 2007

Bapa Mertuaku

Kali pertama saya bertemu dengannya, satu persoalan meluncur keluar dari mulutnya.
"Kerja apa?" (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Perjalanan Mencari Bidadari Hati)

Saya pada ketika itu langsung tidak berniat untuk mendirikan rumahtangga dengan anaknya, lantas itu saya bohongi orang tua itu dengan berkata, "Saya tak bekerja. Saya masih belajar lagi". Harapan saya di saat itu, agar orang tua itu akan beranggapan bahawa saya seorang yang tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan anak perempuannya di hari muka. Namun saya tersalah perhitungan apabila dia tetap memilih saya menjadi menantunya.

Saya hairan. Apakah yang ada pada diri saya sehingga dia berkeras juga untuk memilih saya, saya sendiri tidak tahu. Tetapi itulah dia lelaki yang kini menjadi bapa mertua saya!!.

Dia berusia dalam lingkungan 80 tahun. Dibesarkan dalam suasana desa dan mempunyai hanya seorang saudara perempuan. Setelah dia meniti usia dewasanya, kakaknya itu dijemput Allah. Oleh kerana kakaknya itu berkahwin sebanyak 3 kali, bapa mertua saya ini dikurniakan dengan anak buah yang ramai manakala dia sendiri pula lambat memperolehi cahayamata. Oleh yang demikian, kebanyakan keponakannya dibesarkan di dalam tangan beliau sendiri setelah kematian kakaknya.

Sebagaimana yang diberitahu oleh Azah, ayahnya itu dibesarkan dalam didikan agama yang kuat. Jadi tidak hairanlah mengapa bapa mertua saya itu seorang yang pandai membaca Al-Quran beserta dengan tajwidnya sekali. Di usia remajanya, dia sudah pandai mencari pendapatannya sendiri. Dengan modal kecil-kecilan, beliau menjadi peraih ayam kampung yang bertindak sebagai pembekal kepada peniaga-peniaga ayam di bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah. Dengan berkat kesabaran dan kesungguhannya, dia berjaya mengumpulkan wang simpanan berjumlah puluhan ribu Ringgit. Suatu yang cukup besar bagi orang-orang kampung saya di zaman 70-an dahulu.

Kiranya hidup Azah sewaktu usia kecilnya dilimpahi dengan kemewahan.Namun segalanya itu tidak berpanjangan apabila suatu hari dalam tahun 1980, bapa mertua saya terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Akibat daripada kemalangan itu, kepalanya terhempas ke aspal dan beliau koma selama 3 bulan. Sebaik sahaja dia sedar daripada koma itu, hidupnya tidak seperti asal lagi. Dia seolah-olah hilang dalam dirinya sendiri. Hilang ingatan. Terpaksalah ibu mertua saya mengeluarkan wang simpanan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya habis bagi menampung kos rawatan serta sara hidup mereka anak beranak setelah mereka itu kehilangan punca pendapatan.

Bapa mertua saya saban tahun saban menunjukkan tanda-tanda sembuh. Dia akhirnya sudah boleh makan sendiri, menguruskan dirinya sendiri dan juga sudah boleh berbicara. Namun buah bunyi pertuturannya tersangat telo sehingga menyukarkan orang untuk memahami percakapannya termasuklah saya. Sehinggakan biras saya yang berasal dari Terengganu itu, pernah merungut pada kakak ipar saya apabila dia tidak memahami buah butir percakapan bapa mertua saya. Bagi saya pula, oleh kerana kami berasal dari tempat yang sama dengan loghat pertuturan yang sama, maka apa yang ingin beliau sampaikan, dapat saya fahami.

Antara saya dengan beliau.... hmmm.. hubungan kami saya rasakan agak rumit sedikit. Dia sering mengajak saya berbicara tentang perkara yang tidak tentu duduk perkaranya. Contohnya, dia berulang-ulang kali bertanyakan kenapa Negara Amerika berhasrat menyerang Iran. Satu persoalan yang besar. Sekiranya saya menerangkannya secara ilmiah, dia gagal memahami apa yang saya cuba sampaikan. Untuk menjawab berbasi-basa pula, bertambahlah dia tidak faham duduk perkara isu itu. Jadinya, saya lebih banyak berdiam diri walaupun ditanya olehnya dan berlagak seperti saya tidak mendengar soalannya. Tampak dia kecewa dengan perbuatan saya itu.

Kesan daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu, bapa mertua saya sering sahaja sakit kepala yang bersangatan. Selalu dia menceritakan kepada saya, apabila terjadi perkara itu, dia akan hilang ingatan buat sementara. Pernah orang kampung melihat beliau berbasikal ke masjid dalam jam 2.00 pagi. Jika sakit kepalanya menyerang di waktu siang pula, habis sekelian orang di dalam rumah itu diamuknya. Azah seringkali menitiskan airmatanya akibat perbuatan bapanya itu.

Bagi saya itu tidak mengapa lagi. Perkara yang sering membuat saya naik darah ialah kedegilannya. Tersangat degil. Terlalu degil. Dilarang dia berbasikal ke Pekan Bota yang jaraknya 10km daripada kampung itu kerana khuatir kakinya akan naik bengkak dan gout, langsung tidak dipedulinya ingatan saya. Tetap juga dia berbasikal. Esoknya, kerana kedegilan itu, kakinya naik membengkak sehingga terpaksa diusung ke klinik. Siapa lagi yang akan mengusungnya jika bukan Azah, ibu mertua saya ataupun saya sendiri jika saya lembut hati pada ketika itu. Selalunya saya enggan mengambil tahu apa-apa tentang bapa mertua saya itu kerana saya sakit hati dengan kedegilannya.

Pada saya, memang bapa mertua saya itu seorang tua yang degil dan keras kepala. Penyakitnya yang pelbagai seperti Gout, kencing manis, buah pinggang, paru-paru berair dan lemah jantung menjadikan dia seorang yang sukar untuk dijaga. Selebihnya pula, dia akan melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa memikirkan perbuatannya itu bakal mengundang mudarat. Seolah-olah dia ingin membuktikan kepada saya bahawa dia sebenarnya masih bertenaga untuk melakukan semua kerja berat.

Suatu hari saya melihat di tangannya tergenggam sebilah tajak.
"Apak nak buat apa dengan tajak tu?" tanya saya.
"Aku nak buang daun pisang yang dah tua tu.."
"Nak buat apa dibuang daun pisang tu. Biarkan sahaja dia jatuh sendiri, Apak. Masuk. Apak tu tak lalu. Nanti sakit, keme juga yang susah.." saya cuba mengingatkan orang tua itu.
"Ishhh... lantaklah" katanya sebelum menonong bersusup-sasap di dalam kebun pisang di belakang rumah itu.

Saya masuk ke dalam rumah dan terus menonton television.
"Orang tua. Tak makan dek nasihat. Itu nanti mestilah bengkak kaki tu nanti. Tengoklah esok" hati saya merungut-rungut.

"Apaaakkkk!! Kenapa dibuang daun tu. Keme tanam Daun Chenehum (Kesum) di bawah tu. Nanti diserkup dek daun pisang tu, matilah Daun Chenehum tu!!!" jerit Azah dari dalam rumah. Namun sedikit pun tidak diperdulikannya. Dia asyik dengan kerjanya. Seolah-olah dia ingin menunjukkan kepada saya, bahawa di usia lanjutnya itu dia masih gagah melakukan kerja berat.

Keesokannya, kakinya naik bengkak sehingga dia tidak mampu untuk berjalan. Terpaksa Azah dan ibu mertua saya memapahnya ke kereta. Saya enggan masuk campur. Menyentuh beliau pun saya enggan. Marah benar saya!! Bukan saya tidak mengingatinya semalam. Memang dasar orang tua degil. Menyusahkan orang. Di klinik, bapa mertua saya itu dikenakan satu suntikan untuk mengurangkan bengkak kakinya selain daripada kos ubatan yang bernilai hampir RM40.00. Geram saya.

Hari Sabtu yang lalu, dia sekali lagi dibawa ke hospital setelah kaki, tangan dan perutnya mengalami kebengkakan. Tiba di hospital, dia ditahan setelah doktor mendapati jantungnya tersangat lemah berdenyut. Adik ipar dan juga ibu mertua saya mengiringi ke hospital. Saya lebih selesa tinggal di rumah mengulit anak-anak saya.

Di hospital itu, bapa mertua saya terbaring sambil pernafasannya disokong oleh topeng gas.
"Azah, Indera mana?" tanya bapa mertua saya.
"Dia ada di rumah, Apak" kata Azah.
"Langsung dia tak mahu menjenguk aku, ye!!" katanya sambil menangis.
Azah hanya menitiskan airmata.

Azah pulang sambil menangis. Risau tentang keadaan bapanya. Saya hanya berdiam apabila Azah bercerita tentang hal bapa mertua saya. Saya masuk ke bilik. Berteleku keseorangan. Saya tersenyum. Semua tidak tahu. Ya, semua tidak tahu bahawa antara saya dengan bapa mertua saya itu terdapat satu benang halus yang menghubungkan kami berdua. Sekalipun antara kami jarang berbicara, namun dialah satu-satu bapa mertua saya. Saya masih menghormatinya. Menyayanginya. Juga saya kagum dengan ketabahannya mengharungi kehidupan dengan segala macam kegetiran yang dihadapinya.

Saya terkenangkan pada suatu hari, saya menemaninya melihat tanah sawah miliknya yang diusahakan oleh seorang pemuda kampung.
"Inilah dia tanah hasil titik peluh Apak. Bukan mudah untuk Apak mendapatkannya. Tanah ini mesti dipertahankan walau apa jua keadaan pun..!!"

Saya melihat matanya bercahaya memandang sawah padi yang terbentang luas. Cuma saya memandangnya pada ketika itu dengan pandangan yang berteka teki. Biarlah dia menceritakan apa jua harta yang dimilikinya. Bukan harta aku!! fikir saya. Dan saya tidak mahu tahu pun. Harta ibu ayah saya sekalipun saya enggan mengambil tahu, inikan pula harta mertua. Cuma saya kagum dengan kesungguhannya. Kecintaannya terhadap warisannya yang mesti dipertahankan ke generasi yang akan datang.

"Datang juga kamu, ye!!. Apak fikir kamu tak sudi nak tengok Apak!!" katanya sewaktu saya melihatnya petang semalam.
"Apa Apak cakap macam tu? Dah tentu saya akan datang melihat Apak" kata saya cuba melawak. Cuba meredakan suasana supaya keadaan itu tidak terlalu menyedihkan bagi saya.
"Dah, Apak berehat. Jangan banyak bercakap dan bergerak!!" arah saya seperti seorang Jeneral.

Bapa mertua saya tidak berkata apa. Dia berehat seperti yang saya sarankan. Benar, antara kami tiada perbualan mesra. Tiada gurauan tepuk dan tampar. Namun saya tahu, jauh di sudut hati bapa mertua saya, dia memahami bahawa saya sangat menyayanginya. Cuma kami tidak pandai menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain.
"Haiii... risau Zah tengok keadaan Apak tu.." keluh Azah semalam.
"Kenapa perlu risau. Apak tu sudah melalui saat lebih getir lagi daripada tu. Sudah tentu dia mampu melalui saat-saat ini.

Ya, saya bercakap seperti saya yakin. Benar, saya menyakininya. Kerana ikatan antara saya dan bapa mertua saya telah terjalin terlalu erat. Saya memahaminya dan dia memahami saya. Dia pasti mampu menghadapi kesakitan ini dan akhirnya akan sembuh semula. Saya menanti kepulangannya.

Thursday, April 19, 2007

Cempaka di Rembulan




Di dalam kekeringan idea untuk mengisi ruang blog yang kekosongan sejak 2 hari ini, saya terfikirkan untuk menulis satu perkara yang sudah terpahat lama di pemikiran saya. Cuma perkara ini saya enggan kongsikan bersama pembaca blog saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pasti kenapa dan mengapa. Mungkin saya terlalu sedih tentangnya atau mungkin juga saya terlalu marah padanya. Saya sendiri pun tidak pasti.


"Ya, aku masih lagi ingat hari itu, Armi. Aku melihat engkau. Kita ditakdirkan mengikuti kursus yang sama di ITM. Bererti kita teman sekursus. Namun kita ditempatkan di kelas yang berbeza. Aku di kelas A, engkau di kelas B. Walau bagaimanapun kita sering bersama-sama di tempatkan di satu ruang yang besar apabila menjelangnya sesi kuliah.


Dari Azli dan Azwad, aku mendapat tahu bahawa sebelum engkau diterima masuk ke ITM, engkau terlebih dahulu mengikuti kursus persediaan keluar negara. Walau bagaimanapun cita-cita engkau itu terkandas di separuh jalan. Aku enggan mencari lebih lanjut kenapa dan mengapa engkau gagal keluar negara dan akhirnya turut bersama-sama aku di ITM mengikuti kursus itu. Tetapi yang pasti, aku selalu melihat engkau. Melihat pesona yang ada pada engkau. Bijak, peramah, bersopan santun dan disukai oleh setiap orang yang mendampingi engkau tidak kira samada orang itu rakan sebaya kita mahupun dari kalangan pensyarah sendiri.


Setelah melalui semester dua dengan jayanya, entah apa yang membuatkan engkau boleh terfikir untuk berpindah masuk ke kelas aku, aku sendiri pun tidak tahu. Mungkin memang cara aku yang selalu enggan bertanya lanjut membuatkan persahabatan kita terbina erat. Kita kemudian menjadi sahabat baik terutama sewaktu kita di semester 5 bila engkau sering membonceng motosikal kepunyaan aku untuk kita sama-sama ke kelas. Masih lagikah engkau ingat Armi, kita sama-sama gilakan Pizza di restoran yang terkenal itu?. Sehinggakan setiap kali kita menerima kiriman wang daripada orang tua kita, kita akan mengasingkan RM30.00 setiap seorang agar kita boleh menikmatinya setiap dua minggu. Bukankah di waktu itu, wang sebanyak RM30.00 sudah boleh menikmati Buffet sejumlah dua orang? Kita ke Subang Parade seawal petang dan menunggu berjam-jam sehingga jam 6.00 petang. Tepat sahaja waktu Buffet itu bermula, kita meluru masuk dan makan semahunya seperti kita setahun tidak menikmati apa-apa hidangan. Malamnya kita pulang ke kampus sambil menyanyi riang. Perut sudah kenyang sambil terkekeh-kekeh ketawa apabila motosikal aku melanggar lubang. Engkau akan berkata, "Wahh jika hentakan sebegini, orang mengandung pun boleh terberanak". (Aku ketawa di saat aku menulis entri ini, engkau tahu?)


Aku memperkenalkan engkau pada Osman, teman sebilik aku pada engkau. Sejak dari hari itu, aku terkesankan bahawa engkau lebih rapat dengan Osman berbanding dengan aku sendiri. Namun aku langsung tidak ambil kisah. Asalkan engkau tetap memilih aku menjadi teman baik engkau, aku sudah berpuas hati. Kita mengharungi semester 6, semester terakhir itu bersama-sama, mengulangkaji pelajaran bersama-sama dan tidak sedikit pun di hati aku, mencurigai apa-apa. Masih lagi aku terkenang di suatu hari, engkau pernah bercerita pada aku bahawa engkau mahukan kehidupan ini selalu bahagia di samping dapat berbakti kepada ibu engkau yang telah tua.


Aku juga tahu jauh di sudut hatimu, engkau masih lagi mengingati hari di mana Ros Amira menolak mentah-mentah kehadiranmu di dalam hatinya kerana dia sudah punya Zulfarid yang terlebih dahulu bertahta di hatinya. Aku tahu engkau kecewa. Sama seperti aku kecewa apabila Hasniah meninggalkan aku dahulu.


Oleh yang demikian kita sehati sejiwa. Menceritakan keresahan hati pada satu sama lain. Kita sokong menyokong supaya tiada antara kita yang akan rebah di penggal terakhir itu. Nanti!! aku terkenangkan sesuatu. Kita sama-sama suka lagu Cempaka di Rembulan. Lagu syahdu kumpulan Spring itu. Aku sekadar menyukai melodinya. Tanpa aku menyedari engkau terlalu suka akan senikatanya. Aku benci. Aku benci bila engkau mengatakan senikata lagu itu adalah lagu untuk orang yang telah mati. Ya, mati!!
Doa sepi ku ini dihiasi Bunga Cempaka
Mengiringi kembaramu.... (Tolong, aku tidak mahu mengingatinya pun. Tolonglah!!)


Kita melalui peperiksaan akhir dengan tenang. Alhamdulillah. Kita berjaya melalui saat itu. Kita pasti bahawa kita akan lulus. Pasti sangat-sangat. Demi itu, kita sekali lagi merayakan pengakhiran "derita" kita dengan satu lagi makan-makan. Apa lagi kalau bukan pizza itu. Tetapi, opppss, kita sempat mengambil gambar di celahan pokok-pokok Rhu yang banyak merendang di tepi Kajian Seni itu. Hahahahahaha.... Maafkan aku Armi. Gambar itu tidak menjadi. Kamera aku kamera lama. Sudah tidak mampu berfungsi dengan baik!!. Gambar yang kita ambil itu langsung tidak boleh diproses.


Kita akhirnya terpisah sesudah itu. Aku melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah sementara engkau pulang ke Pahang membantu ibumu membesarkan adik-adikmu. Tiada sebarang panggilan telefon yang aku terima daripada engkau melainkan aku sahaja yang sering tertanya-tanya khabar tentang engkau sehingga perkahwinan engkau pun engkau rahsiakan dari aku. Aku marah betul pada engkau. Sehingga di suatu hari aku menerima warkah darimu. Hati aku sejuk semula. Masih aku ingat lagi coretan dari engkau.


Indera,
Aku kini sihat. Menjalani kehidupan yang tersangat biasa. Aku tahu engkau kecewa pada aku bila aku menolak tawaran melanjutkan pelajaran. Engkau tahu bukan, ibuku itu ibu tunggal? Jika bukan aku membantunya, siapa yang boleh diharapkan lagi? Ingin diharapkan pada abang aku di Singapura itu? Dirinya sendiri pun tidak terurus, bagaimana dia boleh aku harapkan untuk membantu kami sekeluarga.


Indera,
Alhamdulillah, adik aku Hisham sudah tamat belajar. Dia bakal mendapat pekerjaan tidak lama lagi aku kira. Maka kurang sedikit bebanan yang aku dan Mak aku tanggung. Lebih menyenangkan bila Saiful, adik aku yang bongsu juga sedang berkira-kira ingin bekerja di Kuala Lumpur kerana dia sendiri sudah patah semangat untuk terus belajar. Mungkin sesudah ini aku boleh memikirkan perkara untuk menyambung belajar supaya aku boleh bersaing dengan engkau...


Indera,
Kehidupan di Pahang ini amat sukar. Kami tidak punya pendapatan lain selain daripada kedai makan yang kecil itu. Hanya akulah harapan Mak aku...


Aku sedih Armi, kerana di saat itu hidup aku juga masih belum kukuh untuk aku membantu engkau. Jika aku punya pendapatan berpuluh ribu Ringgit, akan aku tolong engkau sedaya mungkin aku demi persahabatan kita.


Tahun 1999. Engkau kembali menghubungi aku. Menyatakan hasrat hatimu untuk berhijrah ke Shah Alam.
"Bagaimana dengan isterimu?" tanya aku.
"Isteri aku, aku tinggalkan di Pahang. Aku cuma perlukan sebuah tempat tinggal yang murah dan sedikit wang. Bolehkah engkau membantu aku, Indera?"
"Boleh. Tentu sahaja boleh. Apa sahaja. Katakan. Demi persahabatan kita....."


Sejak itu engkau hidup semula di hadapan mata aku. Aku melihatmu setiap hari. Mendengar keluhan hatimu tentang sebuah perkahwinan yang di ambang kehancuran. Juga tentang kesedihan engkau apabila adik-adik engkau tidak mengenang jasa engkau membantu menyara pelajaran mereka, bahkan mencaci engkau pula. Aku simpati. Namun aku sekadar boleh memberikan pendapat dan menolong mana yang termampu. Selebihnya terpulang pada dirimu.


Engkau semakin betah dengan kehidupan di Shah Alam. Yalah, bukankah tempat itu tempat kita sama-sama mengharungi zaman remaja? Tentu sahaja engkau dapat kembali ke keadaan asal kita dahulu.


Cuma aku terkesankan sesuatu. Sejak engkau mulai rapat dengan teman serumah kita, engkau lebih banyak menghabiskan masa engkau bersama mereka. Engkau mulai kurang mengambil perhatian akan persahabatan kita. Aku cemburu. Kerana mereka dapat menarik perhatianmu lebih dari aku, sahabatmu yang terlebih dahulu engkau kenali. Lama aku merenungmu yang tidak lagi endah tentang aku. Lalu aku kira engkau mempersetujui bahawa aku bukanlah seorang sahaja sahabatmu. Sahabatmu beribu bilangannya.


Dengan alasan itu, aku tidak ragu-ragu meninggalkan dirimu setelah aku mendapat peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Aku dengan senang hati membawa segala barang-barang milik aku ke rumah baru aku di Hulu Kelang tanpa memberitahumu terlebih dahulu. Aku kira engkau langsung tidak kisah tentang aku.


Suatu hari, tugasan aku memerlukan aku ke Shah Alam. Hari itu hari Jumaat. Aku bertemu dengan engkau di Masjid yang gah besar itu.
"Jadi engkau hendak ke Sudan, Indera?" tanya engkau.
"Ya. Insya-Allah bulan Jun ini aku berangkat ke sana"
"Tahniah" kata engkau sambil tersenyum. Mata engkau menikam ke dalam mataku. Ada riak kesedihan dapat aku kesani. Ahhh.. bukankah jalan ini yang engkau pilih, Armi?. Engkau tetap tidak memperdulikan aku sekalipun aku membuka jalan untuk menyambung persahabatan kita. Sahabatmu banyak bilangannya. Aku ini siapalah padamu. Cemburu? Ya, memang aku cemburu kerana engkau adalah sahabatku yang terbaik!!.


Sepulang aku dari Sudan, aku bertemu teman serumah kita, Addy. Kata Addy, setelah aku berangkat ke Sudan, engkau pulang semula ke Pahang untuk menguruskan soal perceraian. Perceraian???? Kenapa sampai begitu sekali??


Engkau pulang ke Pahang dan terus menyepikan diri. Aku ini langsung engkau enggan hubungi atau engkau memikirkan aku masih berada di benua Afrika lagi? Aku? Aku masih marahkan padamu kerana mengabaikan persahabatan kita sewaktu kita tinggal bersama-sama. Kerana marahnya aku pada engkau, perkahwinan aku pun aku tidak titipkan perkhabaran padamu. Seperti yang engkau pernah lakukan pada aku dulu bukan? Biarlah engkau marah. Biarlah engkau menuduh aku tidak setia pada persahabatan kita. Kerana engkau terlebih dahulu tega hati melakukan semua itu pada aku.


26.12.2005.
Aku terima mesej ringkas dari kawan kita adeque.
"Dimaklumkan kepada semua sahabat. Saudara kita Armizam telah kembali ke rahmatullah akibat demam panas"


Aku terkesima. Terkalap. Langsung jatuh tersepuk. Sehingga ke peringkat ini engkau tega melukakan hati aku. Sehingga engkau sakit, sehingga engkau dalam sakaratul maut, sehingga engkau dijemput Allah, engkau masih mahu menyakitkan hati aku. Engkau enggan memberitahu aku. SAMPAI HATI ENGKAU, ARMI!! AKU BENCI ENGKAU. AKU BENCI ENGKAU YANG TIDAK PERNAH TAHU MENILAI PERSAHABATAN AKU!!!


"Agak-agaknya Indera, bagaimanalah dia duduk dalam lubang sempit tu. Tak lemas ke dia kat dalam tu?" kata Adeque pada suatu petang di pertemuan kami.
"Jangan engkau tanya aku. Aku tak tahu" jawab saya.
"Sedeqahkan Al-Fatihah untuknya" cadang saya.
"Engkau tahu Indera, dia meninggal setelah beberapa hari dia menyambut hari jadinya ke 32. Aku pasti engkau tidak tahu, sebab engkau bukannya rapat dengan Armi tu.." teka Adeque.


Saya tidak tahu? Saya tidak rapat dan tidak mengenali Armi? Oohhh.... Tidakkah tuduhan itu terlalu melulu?


Saya masih tidak percayakan berita Armi sudah tiada. Saya masih mengharapkan di suatu saat, hatinya akan terbuka menghubungi saya. Telefonlah aku, Armi. Aku masih mengharapkan persahabatan kita terjalin semula. Katakan semua yang aku dengari itu segalanya palsu. Sesudah persahabatan kita terjalin semula, janganlah engkau sakiti hatiku ini!!"


Indera : Di bawah ini saya catatkan lagu yang menjadi kesukaan Allahyarham sewaktu hayatnya. Sewaktu dia menyanyikan lagu ini dahulu saya sering mencemik. Lagu orang mati, katanya.


Cempaka Di Rembulan

Doa sepiku ini
Dihiasi bunga cempaka
Mengiringi kembaramu
Cinta yang asli
Oh kekasih ku...

Kerinduan bersama masih bermain di jiwa
Engkau tetap kucintai
Namun rembulan tak mungkin berkembar siang

Di tepiku kenangan silam
Mengusik-usik naluri ini
Di depanku hidup yang tanpamu
Kau kekasihnya pencinta yang abadi...
Oh... Pencinta abadi

Hanya jemarimu telah digantikan
Dingin salju dan air mata
Yang kian lenyap dan terbenam
Kerana syurga yang kita idamkan
Kita terpisah di dalam igauan
Engkau hampiri aku yang tertinggal menantikan
Saat-saat bersamamu...

Tuesday, April 17, 2007

Minyak Primrose




Saya sampai di rumah jam sudah menunjukkan jam 11.00 malam. Kata Azah, Siri Aufa sudah tertidur setelah lama menunggu saya. Tertidurnya pun di bucu kelambu. Kasihan!!. Setelah menyiapkan hidangan makan malam, Azah masuk ke kelambu untuk menyusukan Adil Rayyan yang merengek. Tinggal saya seorang sahaja menikmati makan malam. Di luar, angin bertiup di dalam pekat malam dengan burung hantu berbunyi sahut-sahutan.


Saya terkesankan di wajah Azah nampak seperti tidak ceria. Saya menggenggam erat tangan sebelum memberikan satu ciuman di pipi.

"Kenapa awak nampak tidak ceria? Awak tak suka ke abang balik?"

"Suka" jawabnya pendek.

"Sudahnya kenapa? Tidak sihat?" tanya saya lagi.

"Sihat. Cuma saya kena senggugut.. Sakit!! Perut rasa tak tentu kira. Sama seperti sakit bersalinkan Adil dulu"

"Kan Izinni bagi petua supaya banyak makan lada hitam dengan halia.. awak dah cuba?" tanya saya (terima kasih, Izinni)

"Dah... tapi tak banyak kurang!!" katanya

"Ok.. kalau macam tu kita cuba petua Sastri pula.. Esok kita cari Evening Primrose Oil tu.."

"Hmmm... tengoklah nanti"

"Tak boleh tengok-tengok. Kena cuba!!"


Pagi-pagi esoknya, Azah sudah ke sekolah. Ada kelas tambahan untuk pelajar tahun 5 dan 6. Pulangnya bermuka monyok dan berkerut. Terus sahaja masuk ke bilik dan berselimut. Saya hairan. Anak-anak pula bergaduh apabila Adil Rayyan cuba mendapatkan botol body spray dari tangan kakaknya.

"Kenapa? Demam?" tanya saya.

"Entah... rasa badan sejuuukkk sangat" katanya pula.

"Bang, tolong picit kepala Zah, abang" pinta Azah. Saya memicit kepalanya namun hanya sebentar apabila terdengar Siri Aufa menjerit diikuti dengan tangisan Adil Rayyan. Rupa-rupanya anak lelaki saya itu telah ditolak oleh kakaknya.


AKMA sudah pulang dan menghantar pesanan ringkas. Mungkin beberapa ketika lagi dia akan mengusulkan satu pertemuan. Ohhh!! bagaimanakah harus saya bertemu dengannya dengan wajah orang bulan-bulan ini (istilah Linda)?. Ini semua gara-gara makanan laut yang diambil dari Pulau Pinang dahulu sehingga membawa kesannya ke hari ini.


Di sebuah klinik di sebuah bandar baru itu saya terpaksa membayar sebanyak RM80.00 demi untuk menjadi kacak semula.

"Berapa yang abang kena bayar?" tanya Azah.

"RM80.00" Menyesal saya sehingga menepuk dahi.

"Wahhh... lepas ni tentu ramai yang terpikat pada abang.." usik Azah.

"Siapa yang nak terpikat kat abang. Boss abang? Awak kan tahu kat pejabat tu bukankah semuanya lelaki?"


Petang harinya Azah sudah tidak berdaya menahan rasa sakitnya. Kami ke Pekan Ayer Tawar mencari Pandol Menstrual. Berkali-kali saya leteri Azah supaya membeli minyak Primrose itu.

"Mahal bang... harganya RM40.00" katanya.

"Ubat sapu ke?" tanya saya bodoh-bodoh. Saya sering terkeliru antara Primrose Oil dan juga French Oil.

"Ehh... ubat makan la bang. Ada 120 kapsul semua. Boleh tahan 4 bulan"

Saya menghulurkan Azah wang kertas RM40.00.

"Kalau macam tu awak pergi beli juga"

Tidak tega di hati saya, isteri menderita sakit sekadar dibelikan panadol. Sedang saya yang berusaha untuk kacak sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM80.00.


Setelah malam menjelang, Azah berbisik bahawa selepas pengambilan Evening Primrose Oil itu, perutnya merasa lega. Banyak angin yang keluar dari badan dan kepalanya juga tidak lagi rasa sakit-sakit. Yang paling utama, pendarahan yang selama ini keluar berketul-ketul kini lancar pengeluarannya. Azah sudah kembali ke perwatakan asalnya. Riang dan tidak monyok lagi.

"Yang rasa elok kamu pun ambil Evening Primrose Oil tu Indera. Baik untuk kulit" kata kakak saya.

"Tak ada duit" jawab saya ringkas.

"Daripada kamu bayar doktor tu sampai RM80.00!! Baik kamu keluar RM40.00 lagi puas hati" tempelak kakak saya. Saya sekadar mampu terkebil-kebil.


Di dalam perjalanan pulang ke Rawang, Azah menyatakan rasa terimakasihnya di atas keperihatinan saya terhadap kesakitan yang dialaminya. Sesudah mengambil Evening Primrose Oil itu, dia nampak riang. Terima kasih untuk Sastri yang mencadangkan pengambilannya. Juga terima kasih pada Imanmawaddah dan Izinni atas petua tradisional itu. Maafkanlah, Azah agak kurang serasi dengan petua lada hitam itu. Kemungkinan dia sendiri kurang tahan pada kepedasan rasanya. Apa pun saya ucapkan terima kasih banyak-banyak pada anda. Juga pada King dengan petua sakit kepala itu. Ianya sangat berkesan!!

Monday, April 16, 2007

A Malay Ghost Story (Part II)

Hahahahahaha......!! Saya ketawa besar sewaktu menulis entri ini. Rasa janggal benar rasanya menulis tentang sesuatu yang tahyul. Lagi pun, bukan ramai yang sukakan topik tentang hantu ini. Topik yang tidak menjana pengetahuan. Sementelahan saya telah menulis tentang ini dan ianya hanya separuh jalan, maka cuba saya tamatkan jua dengan hati yang berat. Saya berjanji, entri yang bakalan muncul nanti, topik hantu ini akan cuba saya elakkan. Hahahahahahahaha!!!!

Hihihihihihihi.....!! Suara Hantu Raya itu mengilai di tengah halaman. Semua ahli keluarga Mat Dom yang berada di dalam rumah, berpelukan dalam ketakutan. Di tengah halaman, Mat Dom berbicara dengan Hantu Raya itu meminta agar Hantu Raya itu menyiapkan penggalian 10 rantai taliair yang menjadi tanggungjawabnya.

Setelah dipersetujui, Hantu Raya itu meminta hidangannya. Mat Dom mengunjukkan sekawah nasi beserta 100 biji telur ayam kampung untuk santapan Hantu Raya itu (Saya memikirkan ada juga logiknya Hantu Raya itu menuntut nasi sekawah. Ini kerana penggalian taliair sejauh 10 rantai itu memerlukan tenaga dan kudrat yang banyak. Mujur Hantu itu hanya meminta nasi sekawah. Jika dia inginkan kepala gajah, bertambah haru!!).

Saya cuba untuk tidak ketawa di hadapan Aki itu sewaktu dia sedang rancak bercerita. Setelah dijamu itu, Hantu Raya itu menghilangkan diri. Nun di tengah kampung, kelihatan Mat Dom mencangkul tanah membungkis taliair itu dari malam hingga ke pagi. Apabila ditegur oleh seorang pemuda yang berkeliaran di tengah malam, Mat Dom langsung tidak menjawab. Sebaliknya hanya mendengar dengusannya sahaja. Sebaik sahaja fajar menyinsing, taliair sepanjang 10 rantai yang menjadi tanggungjawabnya itu pun siap. Orang kampung terlongo kehairanan.

Orang kampung pun datang ke rumah Mat Dom mengucapkan tahniah kepada Mat Dom atas kejayaannya menyudahkan kerja hanya dengan satu malam sahaja. Lebih dari itu, orang kampung cuba mengorek rahsia Mat Dom tentang kegagahannya itu.

Mat Dom sedang berkira-kira untuk bersarapan pagi sewaktu beberapa orang penduduk kampung bertandang ke rumahnya.
"Wahhh... penuh ilmu di dada Abang Dom kita. Mampu siapkan ban (taliair) dalam tempoh semalam saja..." kata Mad Piah, kawan baiknya yang selalu mengajaknya memikat pelanduk.
"Apa rahsia Abang Dom..??" tanya Ghani pula.
Mat Dom hanya tersenyum sahaja.

Tengahari itu heboh orang kampung berkatakan tentang kegagahan Mat Dom ditambahi pula dengan cerita pemuda kampung yang terlihatkan Mat Dom menggali taliair keseorangan di kala embun sedang menitik. Ramai yang percaya bahawa Mat Dom ada menaruh Hantu Raya bagi memudahkan urusan kerjanya. Patutlah sewaktu orang kampung beramai-ramai menerung membuka huma di Paya Rakit, orang kampung melihat Mat Dom menumbangkan sepohon pokok 4 pemeluk dengan sebelah tangan sahaja. Habis sahaja kerja orang kampung, sewaktu mereka melewati rumah Mat Dom di waktu senjanya, mereka melihat Mat Dom baru selesai mandi di telaga.
"Cepat Mat tiba dari Paya Rakit...!!" sapa Lebai Lela.
"Paya Rakit? Bila saya ke Paya Rakit?" tanya Mat Dom menambahkan kehairanan orang kampung. Sudah sahih mata mereka melihat Mat Dom mengunggun api di Paya Rakit. Kalau bukan Mat Dom di Paya Rakit itu, siapakah lagi gerangan yang berada di sana? Orang kampung garu kepala!!.

Begitulah ilmu yang dituntut jika membelakangkan syariat agama. Akhirnya padah yang diterima sering berlaku di saat ajal ditarik keluar dari badan. Mat Dom menderita sakaratulmaut selama 3 bulan. Dalam tempoh tiga bulan itu, dia terkedang umpama mayat hidup di tengah rumah. Tubuhnya kurus kering memperlihatkan rangka. Kulitnya hanya seperti kain nipis yang membaluti tubuh. Tiada kelihatan berisi daging sedikitpun. Yang menghairankan, matanya hanya memandang ke tengah rumah.
"Aku mahu nasi. Aku lapar!!!" jeritnya.

Lalu anak dan isterinya bergegas menanak nasi. Selesai sahaja nasi dihidangkan di hadapannya, dia bingkas menyambar periuk nasi yang mampu menampung perut sebanyak 15 orang itu dengan sekali hadap sahaja. Ternganga Tok Munik, ketua kampung melihat Mat Dom makan dengan lahap. Selesai sahaja makan, dia terkedang semula di tengah rumah.

Sehinggalah suatu hari, keadaan semakin tidak terkawal. Mat Dom melompat keluar ke halaman rumah melalui jendela dan terus melompat ke dahan pokok mempelam yang setinggi bangunan tiga tingkat itu dengan sekali lompatan sahaja. Anak cucu Mat Dom gempar dengan keadaan itu lalu bergegas ke pangkal pokok mempelam merayunya turun ke tanah. Bimbang kalau-kalau Mat Dom terjatuh.

Menyedari ada yang tidak kena dengan ayahnya, Saman anak lelakinya kemudian melaung ke arah ayahnya.
"Biarlah aku sahaja yang menerimanya, Ayah!!" kata Saman.

Sebaik sahaja Saman berkata seperti itu, tubuh Mat Dom melayang seperti bulu pelepah jatuh ke tanah. Langsung di bawa ke tengah rumah. Namun Mat Dom sudah pun mnghembuskan nafasnya yang terakhir. Seperti kebiasaannya, orang yang mempunyai dampingan Hantu Raya ini sebenarnya sudah mati dalam tempoh 2 hingga ke 3 bulan sebelum itu. Mereka kelihatan bernyawa kerana dampingan itu menyerap ke dalam tubuh mereka. Sewaktu dimandikan, segala dagingnya melurut seperti mayat reput. Baunya tidak perlu diperkatakan lagi.

Saman menerima dampingan ayahnya. Bererti Saman harus bersedia menerima nasib seperti ayahnya juga. Di peringkat awal, Saman merasakan tiada beratnya menerima saka ayahnya. Namun setelah isterinya sering membisikkan tentang kegagahannya sebagai seorang suami di malam-malam tertentu, sedang malam itu dia tidur di huma menunggu padi supaya tidak dirosakkan oleh babi hutan, dia dapat merasakan bahawa saka itulah yang telah meniduri isterinya.

Dengan pertolongan seorang pawang dari Kampar, Saman membuang saka itu di tempat di mana Hantu Raya menggantikan ayahnya menggali taliair sebelum itu. Setelah saka itu dibuang, barulah Saman dapat hidup dengan aman dan mati dalam keadaan tenang. Ada penduduk kampung bercerita, Hantu Raya milik Mat Dom itu masih boleh dilihat ke hari ini di kampung itu terutamanya di sepanjang taliair yang mengairi sawah di malam-malam tertentu. Siapa yang berhajat ingin berjumpa dengannya, dipersilakan membuat temujanji dengannya!!

Friday, April 13, 2007

A Malay Ghost Story


Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya sukakan sesuatu yang santai. Saya ingin membawa penulisan yang senang dibaca tanpa membawa mesej yang sarat dan berat untuk disimpan di dalam minda. Semalam saya telah menceritakan tentang segolongan masyarakat yang turut sama menghuni di persekitaran rumah Mak. Jadi saya ingin menyambung beberapa perkara lagi tentang topik yang sama sebelum saya beralih ke topik yang lain pula (semoga sesudah ini tiada yang mengingati laman saya sebagai sebuah laman yang tahyul... Hehehehehe).
Ada orang tua di kampung saya yang mengkisahkan hal ini kepada saya beberapa tahun yang lalu. Ketika itu kami sedang berbual-bual tentang hal di masa silam dan tentang zaman kanak-kanaknya yang jauh berbeza dengan zaman kanak-kanak saya. Entah bagaimana, topik itu melarat masuk ke cerita tentang sawah padi dan juga tali air yang mengairi ke petak-petaknya sejak zaman berzaman lagi.
Sangka saya, taliair yang mengalir lesu di sebelahan rumah Mak itu telah dibina beratus-ratus tahun lamanya. Rupa-rupanya menurut Aki itu usia pembinaan taliair berkenaan belum pun genap 100 tahun usianya. Tali air itu sangat berguna sebagai penerus kelangsungan hidup petani-petani di kampung saya kerana taliair itu banyak berjasa dalam menyalurkan air dari Sungai Perak yang bersejarah itu masuk ke petak-petak sawah.
Pada asalnya, kampung saya sejak dari zaman moyang saya iaitu Pak Kaduk yang terkenal itu, kebanyakan penduduk kampung hanya mendiami kawasan di pinggiran sungai sahaja. Oleh yang demikian, masalah tentang bekalan air boleh dikatakan langsung tidak wujud. Tambahan pula punca pendapatan mereka pada masa itu hanya bergantung kepada sungai manakala bekalan beras diperolehi daripada padi jenis huma atau Padi Bukit yang tidak memerlukan kepada bekalan air yang melimpah ruah. Cukup sekadar air hujan, padi itu boleh terus membuahkan hasil.
Walau bagaimanapun penghijrahan masyarakat di kebanyakan tempat di kepulauan Indonesia masuk ke Tanah Melayu mendesak pembukaan tanah yang lebih luas. Masyarakat kampung kami yang dahulunya mendiami pinggir sungai sudah bertambah sehingga ke jauh ke tengah daratan. Bagi kelompok masyarakat yang baru tiba ini, mereka juga inginkan agar mereka memperolehi tanah yang baik untuk bercucuk tanam dan bekalan air yang cukup sepanjang tahun walaupun kemarau panjang datang melanda.
Jadi mereka bersepakat untuk membina sebuah tali air yang ditebuk dari sungai di pangkal Kampong Tua sehingga tamat penghujungnya di Kampong Pasir Sena. Setiap orang lelaki dikumpulkan oleh ketua kampung dan pembahagian kerja pun bermula. Oleh kerana mereka ini datang dari kelompok masyarakat dan suku yang berlainan, maka mereka enggan bekerjasama. Tiada istilah Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing. Yang ada hanyalah kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja.
Oleh yang demikian, perbincangan itu tidak membuahkan hasil yang sepatutnya. Tiada jalan penyelesaian sehingga muncul seorang lelaki (saya kira lelaki ini tidak cukup akal), mencadangkan agar diukur jauh taliair yang ingin digali kemudian dibahagikan mengikut jumlah orang lelaki yang terdapat di kampung itu. Maka itulah panjang yang setiap orang harus menggalinya sebelum orang lain datang menggantikannya sesudah itu. Cadangan itu kemudiannya dipersetujui.
Perlu diingat bahawa mereka yang datang merantau ke Tanah Melayu pada ketika itu, bukanlah mereka yang kosong ilmu di dada. Mereka yang datang berhijrah ke Tanah Melayu pada waktu terlalu banyak ilmu dunia yang karut-marut dan tidak bermanafaat sehinggakan ilmu ini banyak mendatangkan mudarat kepada orang lain. Contohnya, Orang Kerinci (keluarga saya juga :P) dikatakan mewarisi ilmu Harimau Jadian atau Cinaku. Orang Rawa, Kampar dan Batu Bara dengan ilmu Santaunya. Orang Minang dan Padang dengan ilmu Pengasihnya dan orang dari Tanah Bali dan Lombok dengan ilmu Silumannya. Maaf jika saya menyentuh asal keturunan anda!!. Mereka selalu berperang demi untuk mempertahankan harta dan kedudukan mereka supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.
Menurut Aki lagi, sesudah pembahagian kerja dibuat, keputusan yang dicapai sebulat suara menetapkan agar setiap orang menggali taliair sejauh 10 rantai setiap seorang dengan kelebaran 10 kaki. Tempoh penggalian tidak ditetapkan. Segalanya menurut kudrat dan tenaga yang dimiliki oleh orang tersebut.
Bagi mereka yang tidak mempunyai ilmu apa-apa dan hanya bergantung pada tenaga tulang empat kerat, penggalian itu kebiasaannya mengambil masa kira-kira 3-6 bulan. Tetapi bagi mereka yang mempunyai pendamping, tugas itu hanya disiapkan dalam tempoh satu malam sahaja. Jika seseorang itu mampu menyiapkannya dalam tempoh satu malam, maka tahulah sekelian penduduk kampung bahawa orang tersebut memang mempunyai "apa-apa".
Masih ingat lagi kata Aki itu sewaktu tiba giliran arwah datuknya menggali tali air kampung itu (datuk Aki ini mempunyai dampingan berupa Hantu Raya. Kita namakan datuk kepada Aki ini sebagai Mat Dom). Siang itu seluruh ahli keluarganya telah dikerah oleh Mat Dom agar memasak nasi sekawah. Setelah nasi sekawah itu masak, hari mula menginjak ke senja. Kawah itu pun diperintah oleh Mat Dom kepada isteri dan anak lelakinya Saman agar diletakkan betul-betul di tengah halaman rumah.
"Ingat kamu semua. Malam ini jangan siapa pun turun ke tanah selagi aku ada di halaman tu. Duduk diam-diam di dalam rumah.." kata Mat Dom. Aki ini cucunya ketika itu baru berusia 10 tahun. Mendengarkan arahan itu, semua anak-cucu Mat Dom akur dan menganggukkan kepala mereka.
Setelah malam, kawasan rumah itu sunyi sepi. Angin bertiup kencang menampar-nampar dinding rumah yang diperbuat daripada rotan bertam itu. Sesekali sekala terdengar burung hantu sahut menyahut di pinggir rimba. Bulan penuh melimpahi cahayanya membuatkan persekitaran halaman itu terang benderang bagaikan boleh bermain kejar-kejar. Mat Dom turun ke tanah dan melangkah setapak demi setapak sehingga dia berada betul-betul di sebelah kawah nasi itu. Di situ dia melaung.
"Hai Muni Batu Kawi. Tempat bulat memanggil kamu. Kamu itu aku tahu asal...."
(Tidak boleh dipercayai mentera ini. Boleh jatuh Syirik)
Sebaik sahaja Mat Dom selesai membaca mentera itu, angin berubah menjadi taufan sehingga bumbung rumah Mat Dom hampir terangkat dan beberapa dahan pokok jatuh menghempap bumi. Gamat suasana. Lalang meliuk-liuk dipukul angin sementara dedaunan bergesel menerbitkan bunyi yang sangat menyeramkan.
Aki yang masih kanak-kanak itu mengintai dari celah dinding rumah, nampak jelas datuknya yang masih berdiri gagah walau dihembus dengan angin yang bertiup kencang. Seketika angin usai. Di hadapan datuknya menjelma seekor makhluk bertubuh besar setinggi 10 kaki, berbulu lebat berwarna hitam seluruh badan. Matanya merah menyala dalam gelap malam gigi taring terjongol keluar melalui mulutnya yang lebar. Wajahnya pula, Masya-Allah amat menakutkan sekali.
"Hantu Raya!!" getus hati Aki itu.
(Bersambung)

Thursday, April 12, 2007

Jiran kami yang penuh misteri



Hari ini entri Kak pB mengkisahkan tentang Jin dan kehidupannya. Sewaktu meletakkan komen di dalam blog Kak pB itu, saya mendapat ilham untuk menulis kisah masyarakat Jin yang mendiami kawasan berhampiran rumah Mak atau lebih tepat lagi menjadi jiran kami sejak berdekad lamanya (Terima kasih Kak pB!!).
Sewaktu Mak dan Apak berkira-kira membeli tanah tapak rumah Mak sekarang ini, kebanyakan orang kampung menyifatkan tindakan Apak itu itu sesuatu yang tidak masuk akal ataupun tindakan yang gila. Ini kerana tanah tersebut tidak mempunyai sebarang kepentingan melainkan ianya hanyalah sebidang tanah yang ditanam dengan pokok-pokok getah tua yang tidak diusahakan sehingga naik belukar yang menutupi pandangan. Hatta jika ada harimau yang sedang melompat dan menari di dalamnya pun, pasti tidak akan disedari kehadirannya.
Itu satu perkara. Seperkara lagi, tanahnya sentiasa lembab dan dinaiki air sehingga ke paras betis orang dewasa sekiranya berlaku hujan lebat. Tetapi Mak dan Apak tidak punya pilihan lain. Tanah-tanah lain di kampung itu semua mahal-mahal belaka. Mak dan Apak tidak mampu. Namun Mak dan Apak juga tidak mampu untuk terus menyewa rumah hak milik orang sedang bilangan anak saban tahun semakin meningkat jumlahnya.
Dengan wang simpanan hasil berdikit-dikit, Mak dan Apak berjaya membina rumah tempat kami membesar itu. Tahun-tahun awal menduduki rumah dan tanah itu, keadaannya agak sukar sedikit untuk keluar dari rumah. Maklum sahaja tanah itu sering dinaiki air. Mujur sahaja rumah itu rumah berbentuk tradisional yang disokong dengan tiang-tiang berdiri setinggi 6 kaki. Jadi masalah rumah dimasuki air tidak timbul. Apabila menjelang waktu senja sahaja, dari arah belakang rumah, di celah-celah hutan pokok kabong, akan kedengaran berbagai-bagai bunyi. Bunyi bayi menangis, bunyi suara orang melaung, bunyi jeritan dan pelbagai lagi bunyi yang menyeramkan.
Tanah itu terletak beberapa rantai sahaja jaraknya dengan tanah perkuburan kampung yang telah digunakan sejak beratus-ratus tahun lamanya. Taliair yang menyempadani tanah itu dengan sawah padi yang terbentang luas itu kononnya digali oleh Hantu Raya. Kononnya lagi, Hantu Raya yang menggali taliair itu masih mendiami tanah di sepanjang taliair itu sehingga ke hari ini.
Seperti yang saya katakan tadi, masalah itu semua langsung tidak memberi bekas di hati Mak dan Apak. Cuma Mak dan Apak akan merasa sedikit kesusahan apabila kami adik beradik sering terganggu tidur kami saban malam. Kebiasaannya, kami akan masuk tidur sekitar jam 10.00 malam. Naik sahaja jam 10.30 malam, salah seorang dari adik beradik kami akan menangis, menjerit ketakutan seperti terlihatkan sesuatu yang menakutkan. Kelakuan menangis itu pula dalam keadaan tidak sedar (seperti dirasuk) sambil menuding ke muka pintu, jendela dan juga bumbung rumah. Puaslah Mak dan Apak membaca Ayatul Kursi dan juga surah-surah pendinding dari gangguan syaitan sambil menghembuskan ke muka dan juga telinga. Setelah berjam-jam, barulah keadaan menjadi reda. Dan yang menangis itu kemudiannya akan jatuh terjelepuk keletihan sebelum tertidur dalam lena yang panjang.
Seringkali Mak bertanya akan hal yang menakutkan kami pada keesokan harinya. Jawapan yang kami 7 beradik itu berikan pasti sama. Kami melihat Gelung Benang yang kecil datang bergolek ke arah kami. Semakin dekat gelung itu menghampiri kami, semakin gelung itu menjadi besar dan ingin menggilis kami. Di saat lain pula, kami bermain dengan tali. Melompat-lompat keriangan. Namun tali itu semakin menjadi panjang dan terus panjang sehingga membeliti tubuh kami.
Kali terakhir hal ini berlaku sewaktu Andika berusia 9 tahun pada 1988. Sedang dia leka bermain dengan kapal terbang mainan di waktu senja, dia melihat 3 buah Gelung Benang berdiri di hadapannya di muka pintu. Dari 3 buah Gelung Benang itu yang paling besar mempunyai tanduk berwarna kuning dan berdiri setinggi 6 kaki. Andika melolong dalam remang senja. Sehingga Imam masjid di sebelah rumah terpaksa dipanggil untuk menenangkannya. Ketika bercerita tentang hal ini beberapa tahun yang lepas (setelah Andika dewasa), Andika menyatakan kedatangan Gelung Benang-Gelung Benang itu adalah untuk mengucapkan selamat tinggal kerana mereka hendak berpindah ke tempat yang baru. Andika mengatakan bahawa dia dapat memahami maksud yang cuba disampaikan oleh Gelung Benang itu. Mungkin benar. Ini kerana, sejak dari tahun 1988 sehinggalah ke hari ini, tiada lagi gangguan dari Gelung Benang itu.
Saya kuat beranggapan bahawa Gelung Benang itu terdiri daripada golongan Jin Kafir. Ini kerana setelah terdirinya masjid kampung yang baru yang terletak bersebelahan dengan rumah Mak, Gelung Benang itu bertekad untuk pindah. Manakala kampung halaman yang mereka tinggal itu berpindah milik kepada satu golongan Jin yang lain.
Golongan Jin yang baru ini saya agak dari kumpulan Jin Islam. Ini kerana, di waktu dinihari (sekitar jam 2.00 hingga 3.00 pagi), sekiranya ada antara kami yang terjaga dari tidur, akan terdengarlah suara orang ramai sedang kecoh bercakap-cakap dan suara kanak-kanak sedang bermain dari halaman masjid. Ada kalanya pula, terdengar seperti suara kecoh orang pulang dari rombongan atau dua orang yang sedang berbicara dari arah rumah jiran. Apabila diintai, suara itu akan lenyap dan yang kelihatan hanyalah gelap malam kerana jiran kami itu sudah seminggu ke Kuantan melawat anaknya yang tinggal di sana.
Saya gemar memasang telinga, mendengar bunyi butir yang dibicarakan. Namun satu pun tidak saya fahami. Mereka itu berbicara dalam bahasa yang seakan-akan bahasa Melayu bercampur bunyi dengan bahasa Orang Asli. Apabila ditanya pada orang tua-tua, mereka berkata, itulah bahasa golongan Jin. Azah cukup takut mendengar mereka berbicara setiap kali kami bermalam di rumah Mak. Sering dia mengejutkan tidur saya apabila "orang-orang" ini mula bersembang.
Suatu malam di bulan Ramadhan, Mak terlewat untuk bertarawikh. Hujan turun renyai-renyai. Dari arah masjid, Ustaz yang dijemput sudah ingin menamatkan tazkirah malam bagi memulakan Solat tarawikh. Mak menyambar telekung dan bergegas melangkah ke masjid melalui kawasan rumah guru.
Sampai sahaja di pagar masjid, Mak terdengar bunyi seperti lembu menguak. Kuat. Sampai sahaja di masjid, Mak rasa badannya seram sejuk. Sejak itu Mak demam sehingga seminggu selepas Aidil Fitri. Ustaz Mukmin memberi Mak air yang sudah dibacakan dengan ayat suci Al-Quran. Alhamdulillah, sesudah meminum air itu, Mak sembuh dari demam. Ustaz Mukmin menyatakan bahawa malam itu, Mak secara tidak sengaja telah terpijakkan ahli keluarga Jin yang juga sedang turut bersama-sama menuju ke masjid.
Sehingga kini juga, ada masa-masa tertentu, sewaktu Mak selesai membersihkan halaman rumah di waktu pagi, Mak mendapati tungku dapur kepanasan seperti baru selesai digunakan. Ingin dikatakan Apak menggunakan dapur itu, Apak sudah berjam-jam ke Batu Gajah atas urusan parti politik manakala cucu-cucu Mak semuanya ke sekolah dan Yang pula bekerja sesi pagi.
Misteri itu masih belum terungkap. Dan kami juga sebenarnya tidak berminat untuk mencari ke akar umbinya. Biarlah mereka terus berjiran dengan kami. Mereka dengan cara hidup mereka. Kami dengan cara hidup kami. Segala rahsia biarlah kekal di sisi Allah SWT. Wallahua'lam.

Tuesday, April 10, 2007

Di manakah dikau Sayang?


Hari ini masuk hari kesebelas, Muhammad Nazrin Shamsul, 5 tahun hilang dari jagaan ibubapa. Hilang setelah kedua ibubapanya terlepas pandang walau hanya seminit cuma di Kompleks Membeli-Belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Setalah kehilangan itu, kedua ibubapanya membuat laporan polis akan kehilangan anak mereka. Sejak dari hari itu sehinggalah ke hari ini, seluruh kekuatan polis dan orang awam bertungkus lumus menjejaki kanak-kanak malang ini.

Semalam, kedua ibubapanya menerima satu panggilan menyatakan anak mereka telah dijumpai di Putrajaya. Harapan kembali berbunga untuk kasih dipupuk kembali seperti dulu namun sayang seribu kali sayang, harapan berkecai umpama kaca terhempas ke batu apabila kanak-kanak yang dimaksudkan hanyalah seorang kanak-kanak berbangsa Vietnam yang betul-betul menyerupai Muhammad Nazrin. Ooohh!! di manakah dikau di saat ini wahai sayang..?

Kehilangan Muhammad Nazrin ini pastinya merupakan satu tamparan hebat bagi kedua ibubapanya. Bagi sesiapa yang pernah atau telah menjadi seorang ibu dan ayah, pasti dapat menyelam erti kesedihan yang terpaksa mereka tanggung. Anak adalah anugerah Allah yang tidak terhingga. Bagi saya, saya rela melepaskan keseluruhan harta yang saya miliki di dunia ini. Tetapi saya sekali-kali tidak berdaya menanggung penderitaan kehilangan seorang anak. Menurut ibu Muhammad Nazrin, Nor Amizah Ahmad, terdapat pihak yang menuding jari kepada mereka akan kesalahan dari kehilangan kanak-kanak itu sebagai alasan mengatakan kedua ibubapanya tidak pandai menjaga anak. Tetapi percayalah, ibubapa mana yang inginkan kehilangan anak mereka? Ibubapa mana yang tidak sayang pada anak mereka? Ibubapa mana yang punya mata sepuluh pasang untuk menjaga anak mereka setiap saat dan detik jika mereka juga turut dikurniakan anak yang hampir sebaya yang turut menuntut pemerhatian yang sama (Muhammad Nazrin punya adik lelaki yang berusia 4 tahun).

Ohh..!! Di manakah dikau sayang? Apakah di saat ini Muhammad Nazrin berada dalam kesejahteraan? Menangiskah dia? Laparkah dia? Tidurkah dia?. Apabila persoalan ini berlari di dalam minda, rasa tidak tertanggung hati rasanya kerana saya punya anak yang sebaya dengan Muhammad Nazrin. Doa saya panjatkan moga-moga Muhammad Nazrin berjaya dijejak secepat mungkin. Tidak sanggup saya memikirkan andainya dia terlepas keluar dari persempadanan negara sehingga akhirnya hilang lenyap tanpa jejak.

Saya terkenang pada satu malam dalam tahun 1983. Malam itu kelam tanpa bulan dan bintang. Angin menderu menandakan hujan bakal mengguyur menyejukkan alam sekeliling. Saya baru sahaja menamatkan pembacaan Al-Quran dan sedang berkira-kira untuk memasang peti television. Namun keriuhan orang ramai di luar rumah membantutkan hasrat saya.

Sebaik sahaja jendela dibuka, kelihatan orang ramai berkumpul di tepi jalan. Ada yang tertanya-tanya, ada yang tercari-cari malah terdapat juga yang menangis tersedu-sedu.
"Assalamualaikum, assalamualaikum...!!" laung sebahagian orang-orang yang berkumpul itu dari halaman rumah Mak.
"Wa alaikumussalam" jawab Mak dari dalam. Mak masih dalam telekung sembahyang tanda Mak baru ingin memulakan Solat Isyak.

"Cikgu Suria ada?" orang-orang itu bertanyakan Apak.
"Ada. Tunggu sekejap, ye!!" kata Mak sebelum bergegas mendapatkan Apak yang sedang menikmati hidangan makan malam di dapur.

"Cikgu, Musa anak Pak Noh dah hilang!!" beritahu orang-orang yang datang.
"Hilang?"
"Betul Cikgu. Tadi ada sebuah kereta. Laju benar datangnya. Tiba-tiba ada yang dengar bunyi benda berdentum. Tak tahu siapa punya angkara. Tak tahu siapa yang dah kena. Yang kami tahu, motorsikal yang dilanggar tu, motorsikal si Musa anak Pak Noh. Musanya pulak hilang entah ke mana.." kata Abang Man, bekas murid Apak.
"Habis tu, apa yang boleh saya buat?" tanya Apak.
"Cikgu ada kereta, Cikgu tolonglah carikan si Musa tu..." rayu mereka.

Laporan polis kemudian dibuat. Seluruh kekuatan penduduk kampung dan juga pihak polis dikerahkan mencari Musa dalam gelap malam. Ibu Musa menangis sambil berteriak memanggil nama Musa berulang-ulang kali di tepi jalanraya. Pak Noh pula termenung tidak keruan. Suasana pada ketika itu kecoh, bingung dan sedih.

Saya termangu-mangu di tepi jendela memerhatikan kekalutan orang kampung mencari Musa. Persoalannya, di manakah Musa?
"Di mana kamu, anak? Di mana kamu sekarang ni, sayang Mak?" suara ibu Musa mengongoi dibawa deru angin malam.

Ya, saya lihat kesedihan. Saya lihat ketidak-keruan sehingga hujan turun membungkus malam dan membubarkan orang ramai itu pulang ke rumah masing-masing.

Mujur. Mujur dua hari kemudian Musa berjaya dikesan. Dia berada dalam keadaan sejahtera dirawat di Hospital Telok Anson (sekarang Teluk Intan). Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki berbangsa tionghua gagal mengelakkan Musa yang melintas jalan. Dalam kekalutan, kereta itu sempat menghentam bahagian belakang motorsikal Musa dan dia pula terhumban ke tepi jalan tidak sedarkan diri. Menyedari bahawa kampung itu kampung masyarakat Melayu dan takutkan dirinya diapa-apakan, lelaki tionghua itu segera mengangkat Musa masuk ke keretanya dan bergegas menghantarnya untuk menerima rawatan di Hospital Telok Anson. Setelah segala urusan di hospital itu selesai, barulah lelaki tionghua itu membuat laporan polis.

Berita penemuan Musa itu disambut girang oleh ahli keluarga dan sanak saudaranya terutama Hamdan, adiknya yang merupakan rakan sekelas saya. Namun setiapkali berlaku kejadian kehilangan seperti ini, saya pasti akan terbang semula ke tahun 1983. Di malam saya menyaksikan kesedihan dan kebingungan bertaut menjadi satu.

Saya masih menaruh harapan agar Muhammad Nazrin berjaya diketemukan. Moga doa rakyat Malaysia diperkenankan oleh Allah. Moga pulang Muhammad Nazrin ibarat pelanduk tertarik pada hentakan irama alam dek doa kita.

Di manakah dikau sayang?

Monday, April 09, 2007

Putus Terpaksa

Dalam perjalanan pulang ke Perak pada Jumaat malam yang lalu, sebuah stesen radio telah memutarkan sebuah lagu dendangan Ziana Zain. Apakala mendengar permulaan melodinya sahaja saya sudah dapat mengagak akan judul lagunya. Terus itu, pemanduan saya diisi dengan kenangan lagu ini yang mencuit hati.

Waktu itu awal dekad 90-an. Saya masih lagi menghuni kampus di Bandar Anggerik dalam semester yang ketiga. Dalam kesibukan menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan, seperti mana remaja-remaja yang lain, saya juga tidak terkecuali daripada meminati segala bentuk hiburan. Saya mengikuti hampir ke setiap genre muzik. Dari Rock ke Funky. Dari Jazz ke hingga ke Irama Malaysia. Semua yang mempunyai melodi yang menarik, menjadi bahan pendengaran saya. Saya dan kawan-kawan pada ketika itu gila-gila Red Hot Chilli Peppers dengan Under The Bridge, Dr. Alban, Duran Duran hingga ke Whitney Houston. Di tanahair, kami turut meminati Ziana Zain, Ning Baizura dan To'ki. Kala itu Ziana Zain sedang mengecapi zaman kegemilangannya dan Siti Nurhaliza pula masih sekadar anak sekolah. Yang ada di dalam industri hiburan tanahair ketika itu hanyalah abangnya, Ayie yang sempat popular dengan satu judul lagu sahaja.

Kami juga sangat meminati Muzik-Muzik. Kami pasti tidak akan terlepas menonton pencalonan baru di dalam carta. Untuk dijadikan cerita, suatu hari Ziana Zain muncul dengan pencalonan lagu terbarunya yang bertajuk Putus Terpaksa. Kemunculan Ziana Zain sewaktu pencalonan itu memukau pandangan kami. Dengan wajah yang jelita serta rambut yang dandan berombak menjadikan Ziana Zain buah hati kami pada ketika itu. Sewaktu muzik dimainkan, lagu Putus Terpaksa ini berkumandang dan Ziana Zain mula menyanyi walau hanya sekadar miming.
"Mak aaiiii... Tingginya kod lagu ni" kata Rohizan.
"Engkau tengok tu Indera, semput Ziana Zain nak nyanyi lagu ni.." tambah Shahril.
"Haa... aku ingatlah kan, di Malaysia ini cuma Nash saja yang boleh nyanyi lagu macam ni. Itu pun dia mesti fikir 2-3 kali nak tarik lagu ni..." kata saya pula.
Hahahahaha....

Sejak dari hari itu lagu Putus Terpaksa ini menjadi putaran di stesen-stesen radio. Kami menggelarkan lagu ini sebagai lagu Putus Nafas. Lagu yang popular itu kemudiannya hanya menjadi mainan gurau senda kami sahaja sudahnya.

Semester ketiga itu, subjek yang diajar kian menjurus ke arah pengkhususan yang diambil. Antara subjek yang ditawarkan termasuklah subjek kewangan yang memerlukan kami membuat analisa ke atas portfolio yang diberikan berdasarkan pada data-data prima. Seterusnya kami perlu memberikan cadangan tentang kewajaran membuat pelaburan ke atas portfolio yang dianalisa.

Malam itu di bilik Rohizan, kami tekun membuat pengiraan ke atas beberapa kaunter yang terdapat di Bursa Saham Kuala Lumpur. Radio tetap dimainkan kerana radio bagi kami adalah pemangkin kecergasan kami melakukan ulangkaji setiap malam. Maka riuh rendahlah di dalam bilik Rohizan itu dengan suara kami menenggelamkan suara DJ yang bertugas mengendalikan segmen Hitam Putih Kehidupan itu.
"Cepatlah Indera. Engkau dah siap kira ke belum?" Tanya Azri.
"Belum"
"Engkau ni lambatlah Indera. Terkial-kial. Terkial-kial" kata Rohizan pula.
"Nantilah.."
"Pichek, engkau dapat berapa standard deviation dia?"
"Aku dapat 0.48" kata Pichek.
"Positif ke negatif?" tanya Azri,
"Positif"

Di radio itu terdengar DJ yang bertugas menyambut panggilan seorang wanita. Wanita itu bersuara lirih dan menjawab setiap soalan DJ yang bertugas dengan esak tangisnya. Kami langsung tidak ambil peduli akan perbualan di radio itu sehinggalah Azri meletakkan jari telunjuknya di bibir mengisyaratkan kami supaya tidak bersuara.

"Setiapkali dengar lagu Putus Terpaksa tu, hati saya sedih, sakit dan menderita mengenangkan perbuatan yang dilakukan oleh suami saya pada ketika ini" cerita wanita itu.
"Apa yang dilakukannya pada awak?" tanya DJ itu.
"Dia melakukan perbuatan terkutuk yang saya tidak mungkin boleh memaafkannya. Suami saya gemar melanggani pelacur-pelacur..."

Mendengarkan itu kami yang berada di dalam bilik itu serentak melompat ke radio membesar volume suara radio itu. Seperti adatnya remaja yang lain ketika itu, kami amat cenderung dan berminat mendengar kisah tentang seks dan kehidupan intim bersuami isteri ini.

"Dia akan melanggani pelacur-pelacur bila-bila masa sahaja yang diingininya. Katanya, saya tidak mampu memenuhi kehendak batinnya. Saya benar-benar tertekan kerana sesudah melanggani pelacur-pelacur itu, dia juga kadang-kadang akan menuntut haknya dari saya. Saya bimbang jika saya akan dijangkiti penyakit merbahaya yang boleh membawa maut.." kata wanita itu dalam sedu sedannya.
"Betul ke suami awak melanggani pelacur? Awak ada bukti?" tanya DJ itu.
"Saya tahu dan saya ada bukti kerana saya pernah mengekorinya dengan adik saya. Dengan mata saya sendiri saya lihat dia membawa pelacur yang dilangganinya dari lorong itu naik ke rumah tumpangan.."

"Habis, apa tindakan awak sekarang?" tanya DJ yang bertugas.
"Saya tak tahu. Saya ingin menuntut cerai darinya.."
"Awak masih sayangkan dia?"
"Sangat sayang. Tetapi puas saya memujuknya supaya berhenti tetapi dia langsung tak endah cakap saya. Malah saya pula yang ditengkingnya"

Perbualan antara DJ dan wanita itu berakhir tidak lama sesudah itu. Kami menyambung semula tugasan kami kerana awal-awal pagi esoknya kami akan ada pembentangan di hadapan pensyarah kami, Puan Noraini. Semoga wanita itu ketemu jalan keluar dari neraka hidupnya. Lagu Putus Terpaksa itu sudah tidak lagi menjadi senda gurau kami. Lagu itu adalah nukilan hati yang ditujukan kepada wanita-wanita yang malang.

Seringkali
Kau menepis tiap persoalan
Ada sesuatu kau sembunyikan
Dari pengetahuanku
Dapat aku merasakan
Ketara perubahan
Setelah jelas terbukti
Sesuatu yang terlarang
Mencari teman hidupmu
Selain daku

Demi masa, harapan kita
Aku merayu
Kuncikan keinginanmu
Bernafaslah dalam sejahtera
Kupasti ruang untukmu
Masih ada

Sudah puas kuhimpunkan doa agar
Kau berubah
Berpaling membentuk impian hidup kita
Namun tiada oh kudratku untuk halang keinginan
Suaraku tak berdaya menentang kemahuanmu

Sia-sia sahaja doa aku
Berkorban kasih kupadamu
Sekiranya kau
Masih tak ubah pendirian
Yang hanya menjanji
Pemergian perih yang tak memberi erti

Demi masa, harapan kita
Tak sanggup aku
Berteman oh kasihmu
Yang penuh dengan fantasi
Terpaksa jua kuundur diri..

Friday, April 06, 2007

Hari ini saya pulang..

Lemak manis ala amboi amboi

Santan kelapa ala amboi amboi

Kupandanglah manis ala amboi amboi

Anak siapa?





Pohonlah Sena, Pohon Meranti

Di tengah-tengah

Di tengah-tengah Buluh Perindu

Adik di sana, abang di sini

Di tengah-tengah

Di tengah-tengah menyapa rindu





Lemak manis ala amboi amboi

Santan kelapa ala amboi amboi

Kupandanglah manis ala amboi amboi

Anak siapa?





Hujan di hulu, tak reda-reda

Ribut menderu

Ribut menderu bertalu-talu

Abang di hulu, adik di kuala

Kukirim rindu

Kukirim rindu dalam perahu





Lemak manis ala amboi amboi

Santan kelapa ala amboi amboi

Kupandanglah manis ala amboi amboi

Anak siapa?





"Baba, baba beli apa?"

Itulah soalan yang sering diajukan oleh Siri Aufa kepada saya setiapkali saya tiba di kampung. Soalannya itu seperti menduga ingatan ayahnya terhadap dia. Bukanlah dia inginkan sangat buah tangan atau ole-ole, tetapi jika ada sebutir gula-gula pun, baginya sudah mencukupi sebagai tanda ayahnya sering mengingatinya.

Setiapkali hujung minggu, anak-anak saya bagaikan melepas rindu dendam mereka terhadap saya. Jika boleh, setiap benda atau perkara inginkan dari saya. Ini termasuklah mendukung, mendodoikan, memandikan serta membawa mereka berjalan-jalan. Di hujung minggu, bebanan Azah agak ringan sedikit dengan adanya saya yang dapat membantunya menjaga anak-anak. Dari Siri Aufa hingga ke Adil Rayyan, setiapkali ingin masuk ke buaian, pasti ingin saya mendodoikan mereka dengan Zikir Munajat. Setiapkali didodoikan dengan Zikir Munajat, tidur mereka akan lebih mudah dan nyenyak.

Setiap hujung minggu juga, Siri Aufa dan Adil Rayyan akan berpeluang bersiar-siar ke Lumut atau ke Manjung untuk bermain di taman permainan kanak-kanak yang terdapat di Pasaraya Giant Manjung atau jika punya lebih wang, dapat juga mereka menikmati makanan segera di restoran franchise yang terdapat di sana.

"Baba, Baba nyanyilah lagu Kak Long tu.." kata Siri Aufa

"Lagu Kak Long.. lagu Kak Long yang mana?" saya pura-pura tidak memahami.

"Haaa.. lagu Along di hulu tu...!!" katanya. Saya tertawa.

"Ok.."

Hujan di hulu tak reda-reda

Ribut menderu, ribut menderu bertalu-talu

Angah di hulu, Along di kuala

Kukirim rindu, kukirim rindu dalam perahu

"Salahlah Baba. Along di hulu!!"

"Ooohh... Baba silap!!"

Hujan di hulu, tak reda-reda

Ribut menderu, ribut menderu bertalu-talu

Along di hulu, Angah di kuala

Kukirim rindu, kukirim rindu dalam perahu

Lemak manis ala amboi amboi

Santan kelapa ala amboi amboi

Kupandanglah manis ala amboi amboi

Anak siapa?

"Anak Baba!!!" jerit Siri Aufa

"Wawa..." sambut Adil Rayyan meniru gaya kakaknya.

Wednesday, April 04, 2007

Kembara ke Pulau Mutiara

Hari Ketiga
Membias Rindu di Dataran Transkrian

Siri Aufa mendapat teman baru. Haikal namanya. Perkenalan mereka bermula apabila mereka sama-sama bermain di kolam renang kanak-kanak di hotel itu. Sungguhpun Haikal agak kasar tingkah lakunya, namun dia sangat baik hati pada Siri Aufa. Dari loghat yang dipertuturkan, jelas budak lelaki itu berasal dari Kedah.

"Nama hang sapa?" tanya Haikal pada Siri Aufa.
"Siri Aufa"
"Aofa, hang tengok aku masuk dalam ayaq" kata Haikal sebelum menyelam di dalam kolam itu. Siri Aufa hanya merenung. Jari jemarinya sudah kecut. Pun begitu kenakalan Haikal yang menampar-menampar air sehingga memercik ke muka Siri Aufa, membikin suasana di kolam itu kecoh dengan gelak tawa mereka.

Haikal masih tidak mahu keluar dari kolam walaupun dipanggil berkali-kali oleh ayahnya untuk bersarapan. Sehinggalah saya memimpin Siri Aufa keluar dari kolam itu, barulah dia menurut kata-kata ayahnya. Sewaktu saya mengambilkan makanan untuk Siri Aufa itu, ibu Haikal sempat mencuit pipi Siri Aufa seraya berkata, "Hai, Aufa..". Perkenalan singkat Siri Aufa itu menjadi modal kami suami isteri mengusiknya. Siri Aufa termalu-malu.

Setelah mendaftar keluar dari hotel, Azah masih mengidamkan pasembor Padang Kota Lama. Tanpa banyak soal, saya memandu ke Pengkalan Weld. Cuaca tengahari amat baik. Suasana di sekitar Pengkalan Weld itu sungguh nyaman. Angin bertiup kencang dan awan mendung berarak menjadi keadaan tengahari itu tidak terlalu terik. Azah memilih menu pasembor manakala saya lebih banyak melayan kerenah anak-anak kami yang sedang lasak.
Hmmm... memang tidak terucap dengan perkataan betapa enaknya menikmati pasembor yang digandingkan dengan minuman air kelapa muda berais. Adil Rayyan menyuap bebola ikan besar-besar ke dalam mulutnya tetapi selepas setengah minit, dia meluahkannya semula. Siri Aufa berlari-lari di tepian benteng yang menyempadani medan selera itu dengan pantai yang berbatu. Selesai sahaja makan, saya terpaksa mengejar Siri Aufa ke taman permainan kanak-kanak di sebelah medan selera itu.

Rupa-rupanya sewaktu membayar itu, Azah telah ditipu oleh peniaga pesembor itu. Jumlah yang kami makan, yang tidak seberapa itu ditekan harga sehingga RM58.00. Mungkin peniaga itu mengetahui bahawa kami bukan penduduk tempatan berdasarkan loghat yang kami gunakan sehingga dia merasakan bahawa kamilah mangsanya untuk mendapatkan durian runtuh hari itu. Patutlah sewaktu di dalam feri ketika pulang ke Tanah Besar, Azah nampak monyok seperti ayam kena sampar. Untuk memberitahu saya hal yang sebenar, dia tidak berani. Takut kalau-kalau saya naik berang kepada peniaga itu.
"Abang, balik ni kita singgah di Serdang, ye!!. Roha ada di Serdang sekarang. Dengar khabarnya dia sudah bercerai dan sedang menderita teruk sakit buah pinggang" kata Azah sambil memandang riak-riak ombak yang menampar dinding feri.
Saya sekadar mengangguk. Masih terbayang lagi di ingatan saya bagaimana kami hadir ke rumah Rohana yang terletak di Danau Kota, Setapak. Rohana adalah teman baik Azah di Maktab. Bersama-sama Maizan, mereka bertiga tersangat akrab berkongsi suka duka. Azah berkahwin dengan saya. Maizan berkahwin dengan seorang guru. Manakala Rohana berkahwin dengan seorang anggota tentera berstatus komando.


Setelah berkahwin, Rohana sepi tanpa berita. Sebagai sahabat, sudah semestinya Azah berusaha menjejaki Rohana berdasarkan alamat yang diberikan oleh ibu Rohana. Namun malang serta sayangnya, kedatangan kami itu sebagai tetamu yang tidak diundang.
"Nak cari siapa ni??" lelaki yang menjadi suami Rohana bertanya keras.
"Kamal, saya datang ni nak jumpa dengan Roha" kata Azah.
"Dia tak ada. Kamu berdua boleh berambus!!" kata Kamal. Azah memandang saya meminta kepastian. Saya sekadar menggenggam erat jari jemari Azah. Saya merenung tepat ke mata Kamal. Ingin saya katakan kepadanya bahawa bahasa yang dia gunakan sungguh tidak bersopan. Seketika terdengar tangisan anak kecil dari dalam rumah. Serentak dengan itu terdengar suara Rohana memujuk dari dalam. Azah memandang saya lagi.
"Roha.. Roha!! Ni Azah. Roha!!" laung Azah.
"Azah. Azaaahh.." sambut Rohana dari dalam.
Tiba-tiba Kamal menjerit di muka pintu sambil menoleh ke dalam rumah.
"Engkau duduk situ. Kalau engkau datang sini, aku tendang engkau lagi!!" ugut Kamal kepada Rohana yang berada di dalam. Boleh jadi Rohana cuba datang ke pintu untuk berjumpa dengan Azah.


"Heyy Kamal. Apa engkau dah buat pada Roha, hah? Engkau dera dia ye??" bentak Azah. Azah sudah mensyaki sesuatu tetapi saya pula tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk. Silap haribulan, perut Azah yang sarat itu ditendang oleh Kamal pula. Lelaki ganas seperti Kamal itu memang saya tahu hati budi mereka. Lantas Azah saya tarik ke kereta.
"Berambus!!. Jangan cuba nak datang-datang lagi. Fahammm!!" teriak Kamal di muka pintu.
Paaaannngggg!! Pintu gril ditarik memutuskan langsung hubungan Azah dengan Rohana selama 4 tahun sesudah itu.

Kami singgah di Pekan Nibong Tebal, membeli sedikit buah tangan untuk anak-anak Rohana. Setelah selesai urusan, saya terus memandu melalui jalan Sungai Kechil sebelum membelok masuk ke jalan menuju ke Serdang.

Rohana sudah kurus benar, kata Azah sewaktu terpandangkannya menanti di muka pintu. Wajahnya pucat menyimpan seribu macam penderitaan dan kesedihan. Setiap dua hari, dia harus ke hospital menjalani rawatan Haemodialysis. Azah dan Rohana berpelukan di dalam kegembiraan dan kesedihan mereka. Saya dan ibubapa Rohana sekadar memerhati pertemuan Azah dengan Rohana itu.

Di dalam bilik, Rohana melepaskan segala penanggungan hatinya di hadapan Azah. Mereka bertangisan dalam sendu mengenang semula kisah suka duka yang mereka lalui di maktab dan juga bertukar kisah tentang anak masing-masing. Saya sangat memahami akan pentingnya pertemuan itu. Lantas saya memberi masa kepada Azah untuk sekurang-kurang meyakinkan Rohana bahawa Azah sentiasa sedia di sisi Rohana sekiranya dia di dalam kesedihan. Sekurang-kurangnya juga, kunjungan Azah akan dapat mengembalikan semangat Rohana yang telah hilang.

"Memang Kamal itu lelaki yang zalim. Tergamak dia melakukan aniaya pada Roha ni. Ditendangnya, ditumbuknya, dipukulnya Roha tu sesuka hati dia. Roha langsung tak bercerita dengan kami. Sampai dapat anak yang ketiga tu agaknya dia dah tak tahan lagi. Masa balik cuti raya, dia menangis depan kami. Masa tu baru kami tahu sengsara hidup dia. Roha menderita sakit buah pinggang tu sebab terlalu sangat ditendang pinggangnya..." kata Ayah Rohana.

Saya tidak mampu untuk meluahkan kata-kata. Betapa berat mata saya yang memandang penderitaannya, berat lagi badan yang menanggungnya. Saya memandang pada kuntum-kuntum bunga durian yang mekar berkembangan dalam dusun orang Kampung Sungai Kechil Ilir dalam perjalanan pulang itu. Begitulah berkembangnya harapan seorang wanita terhadap perkahwinan yang diijabkabulkan. Namun siapakah yang akan menyangka lelaki yang diharapkan menjadi pelindung untuk bergantung cinta kasih, rupanya raksasa ganas yang memamah diri.

Matahari mulai menenggelamkan dirinya sewaktu kami melepasi Kampung Masjid Tinggi di dalam perjalanan pulang balik ke Perak.

Tuesday, April 03, 2007

Kembara ke Pulau Mutiara

Hari Kedua
Sayang Anakku sayang


Subuh itu matahari muncul dari ufuk timur dengan pancaran yang gemilang. Semakin tinggi naiknya mentari pagi itu, semakin surut panas badan Adil Rayyan. Saya dan Azah menarik nafas lega. Nampaknya kami boleh terus berada di Pulau Mutiara itu untuk sehari lagi. Keadaan Adil Rayyan semakin baik dan dia sudah mampu tertawa selepas dimandikan.

Ketika bersarapan itu, saya terkesankan bahawa banyak mata yang memandang Siri Aufa. Ya, dia nampak comel mengenakan baju lengan panjang berwarna merah jambu berkolar tinggi hingga ke dagu itu. Telatahnya yang suka menegur sesiapa itu menjadikan dia tumpuan pekerja-pekerja hotel di dalam cafe sewaktu sarapan.

Destinasi kami pagi itu ialah Air Itam atau lebih tepat lagi ke Bukit Bendera. Saya sebenarnya tertanya-tanya, apakah istimewanya Bukit Bendera itu sehingga ianya menjadi pilihan Azah untuk ke sana. Setahu saya Bukit Bendera itu hanyalah tempat tinggi yang di atasnya mempunyai ruang yang amat terhad.
"Saja nak merasa bawak anak-anak naik Bukit Bendera" katanya.

Di dalam keretapi yang bergerak terlalu perlahan itu persaingan mendapatkan tempat duduk yang terhad amat sengit. Azah bernasib baik kerana dia sedang mendukung Adil Rayyan sedangkan saya terpaksa berdiri berasak-asak bersama-sama murid-murid sekolah yang datang dari Kelantan. Rasanya seperti saya berada di Darjah Enam semula dengan riuh sembang kanak-kanak dan bau badan mereka yang sangat sebati dengan hidung saya sewaktu saya kecil dahulu. Perut saya meragam sejak malam sebelum itu. Azah mencadangkan saya agar membeli minuman 100-Plus untuk mengurangkan kerengsaan perut.
"Berapa..?" tanya saya pada wanita berbangsa tionghua yang menjual minuman dan makanan di atas bukit itu.
"Lapan Ringgit, maa..." katanya.
"Lord!! You can't be serious..!!"
Bayangkan 2 tin air 100-Plus, sebatang aiskerim dan 6 biji gula-gula harganya RM8.00!!. Geram dengan wanita Tionghua itu, terus saya meletakkan semula barang-barang yang telah dipilih tanpa membayar apa-apa.

Kami tidak berlama-lama di atas bukit itu. Bimbang saya jika Siri Aufa merengek hendak itu dan ini sedangkan harganya terlalu tidak munasabah untuk dibeli. Lebih baik beli di bawah lagi murah, fikir saya.

Setelah turun di bawah, Siri Aufa leka merenung Topeng Justiriser yang berwarna biru. Dia merayu-rayu pada saya agar dibelikan sehingga akhirnya dia terjatuh dari anak tangga yang menghubungkan kedai-kedai dengan laman post paling bawah Bukit Bendera. Mujur tidak cedera. Dia kemudiannya memeluk kaki Azah minta dibelikan topeng itu setelah dia mengetahui bahawa saya tidak melayani kemahuannya. Melihatkan dia menangis sewaktu itu, hati saya langsung tidak merasakan sedikit kasihan pun kerana waktu itu saya merasakan permintaannya sangat tidak munasabah. Tetapi setelah berjauhan dengannya di kala ini (di saat saya menulis entri ini), hati saya disayat hiba apabila mengenangkan kembali raut wajahnya sewaktu menangis.

Azah ingin membelikan kawan-kawannya ole-ole dari Pulau Pinang. Kami ke bazaar yang berhampiran dengan KOMTAR yang banyak menawarkan jeruk pala (Bazaar Chowrasta, kata Kak pB). Kereta, saya pakirkan di Prangin Mall dan mencadangkan kepada Azah agar kami menaiki Beca Pulau Pinang.

Bayangkan berat saya sahaja sudah 78kg. Berat Azah juga mungkin menyamai berat saya. Belum masuk berat anak-anak lagi. Sampai di Bazaar Chowrasta, Azah tidak dapat menahan gelihatinya apabila mengenangkan betapa kami berhimpit-himpit anak beranak di atas ruang duduk beca yang terhad.
"Kasihan Pengayuh beca tu, bang. Dahlah dia tu tua, kurus pulak. Tentu dia serik bila jumpa pelancong macam kita ni" kata Azah.

Sesudah malam, kami berniat ke Padang Kota Lama. Rupa-rupanya tempat itu dipanggil Pengkalan Weld. Sewaktu sesat itu, saya singgah ke sebuah stesen minyak untuk bertanyakan arah.

"Abang ni bukan orang sini, ka?" tanya gadis itu.

"Err.. ya. Saya orang Perak" kata saya.

"Mai sini ada kerjalah kot, na..??"

"Baba kita datang bercuti kat sini" kata Siri Aufa menjawab bagi pihak saya sambil meletakkan di atas kaunter satu kotak anak patung Barbie. Hmmm... nampak gayanya, terbang juga duit saya membeli permainannya. Sebenarnya pun saya sudah tidak tega hati menghampakan permintaannya lagi. Anak patung Barbie itu berpindah milik.

Malam itu Adil Rayyan tidur nyenyak setelah kebah demamnya. Siri Aufa juga tidur sambil tersenyum mengulit anak patung Barbie yang baru. Azah pun tidur sambil tersenyum setelah lepas hajatnya menikmati Pesembor di Padang Kota. Saya melihat orang-orang kesayangan saya yang sedang dibuai mimpi. Senyuman di bibir mereka sesuatu yang sangat bermakna dan berharga buat saya. Wang boleh dicari. Tetapi senyuman bahagia mereka tidak akan dapat saya beli di mana-mana.