Monday, April 09, 2007

Putus Terpaksa

Dalam perjalanan pulang ke Perak pada Jumaat malam yang lalu, sebuah stesen radio telah memutarkan sebuah lagu dendangan Ziana Zain. Apakala mendengar permulaan melodinya sahaja saya sudah dapat mengagak akan judul lagunya. Terus itu, pemanduan saya diisi dengan kenangan lagu ini yang mencuit hati.

Waktu itu awal dekad 90-an. Saya masih lagi menghuni kampus di Bandar Anggerik dalam semester yang ketiga. Dalam kesibukan menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan, seperti mana remaja-remaja yang lain, saya juga tidak terkecuali daripada meminati segala bentuk hiburan. Saya mengikuti hampir ke setiap genre muzik. Dari Rock ke Funky. Dari Jazz ke hingga ke Irama Malaysia. Semua yang mempunyai melodi yang menarik, menjadi bahan pendengaran saya. Saya dan kawan-kawan pada ketika itu gila-gila Red Hot Chilli Peppers dengan Under The Bridge, Dr. Alban, Duran Duran hingga ke Whitney Houston. Di tanahair, kami turut meminati Ziana Zain, Ning Baizura dan To'ki. Kala itu Ziana Zain sedang mengecapi zaman kegemilangannya dan Siti Nurhaliza pula masih sekadar anak sekolah. Yang ada di dalam industri hiburan tanahair ketika itu hanyalah abangnya, Ayie yang sempat popular dengan satu judul lagu sahaja.

Kami juga sangat meminati Muzik-Muzik. Kami pasti tidak akan terlepas menonton pencalonan baru di dalam carta. Untuk dijadikan cerita, suatu hari Ziana Zain muncul dengan pencalonan lagu terbarunya yang bertajuk Putus Terpaksa. Kemunculan Ziana Zain sewaktu pencalonan itu memukau pandangan kami. Dengan wajah yang jelita serta rambut yang dandan berombak menjadikan Ziana Zain buah hati kami pada ketika itu. Sewaktu muzik dimainkan, lagu Putus Terpaksa ini berkumandang dan Ziana Zain mula menyanyi walau hanya sekadar miming.
"Mak aaiiii... Tingginya kod lagu ni" kata Rohizan.
"Engkau tengok tu Indera, semput Ziana Zain nak nyanyi lagu ni.." tambah Shahril.
"Haa... aku ingatlah kan, di Malaysia ini cuma Nash saja yang boleh nyanyi lagu macam ni. Itu pun dia mesti fikir 2-3 kali nak tarik lagu ni..." kata saya pula.
Hahahahaha....

Sejak dari hari itu lagu Putus Terpaksa ini menjadi putaran di stesen-stesen radio. Kami menggelarkan lagu ini sebagai lagu Putus Nafas. Lagu yang popular itu kemudiannya hanya menjadi mainan gurau senda kami sahaja sudahnya.

Semester ketiga itu, subjek yang diajar kian menjurus ke arah pengkhususan yang diambil. Antara subjek yang ditawarkan termasuklah subjek kewangan yang memerlukan kami membuat analisa ke atas portfolio yang diberikan berdasarkan pada data-data prima. Seterusnya kami perlu memberikan cadangan tentang kewajaran membuat pelaburan ke atas portfolio yang dianalisa.

Malam itu di bilik Rohizan, kami tekun membuat pengiraan ke atas beberapa kaunter yang terdapat di Bursa Saham Kuala Lumpur. Radio tetap dimainkan kerana radio bagi kami adalah pemangkin kecergasan kami melakukan ulangkaji setiap malam. Maka riuh rendahlah di dalam bilik Rohizan itu dengan suara kami menenggelamkan suara DJ yang bertugas mengendalikan segmen Hitam Putih Kehidupan itu.
"Cepatlah Indera. Engkau dah siap kira ke belum?" Tanya Azri.
"Belum"
"Engkau ni lambatlah Indera. Terkial-kial. Terkial-kial" kata Rohizan pula.
"Nantilah.."
"Pichek, engkau dapat berapa standard deviation dia?"
"Aku dapat 0.48" kata Pichek.
"Positif ke negatif?" tanya Azri,
"Positif"

Di radio itu terdengar DJ yang bertugas menyambut panggilan seorang wanita. Wanita itu bersuara lirih dan menjawab setiap soalan DJ yang bertugas dengan esak tangisnya. Kami langsung tidak ambil peduli akan perbualan di radio itu sehinggalah Azri meletakkan jari telunjuknya di bibir mengisyaratkan kami supaya tidak bersuara.

"Setiapkali dengar lagu Putus Terpaksa tu, hati saya sedih, sakit dan menderita mengenangkan perbuatan yang dilakukan oleh suami saya pada ketika ini" cerita wanita itu.
"Apa yang dilakukannya pada awak?" tanya DJ itu.
"Dia melakukan perbuatan terkutuk yang saya tidak mungkin boleh memaafkannya. Suami saya gemar melanggani pelacur-pelacur..."

Mendengarkan itu kami yang berada di dalam bilik itu serentak melompat ke radio membesar volume suara radio itu. Seperti adatnya remaja yang lain ketika itu, kami amat cenderung dan berminat mendengar kisah tentang seks dan kehidupan intim bersuami isteri ini.

"Dia akan melanggani pelacur-pelacur bila-bila masa sahaja yang diingininya. Katanya, saya tidak mampu memenuhi kehendak batinnya. Saya benar-benar tertekan kerana sesudah melanggani pelacur-pelacur itu, dia juga kadang-kadang akan menuntut haknya dari saya. Saya bimbang jika saya akan dijangkiti penyakit merbahaya yang boleh membawa maut.." kata wanita itu dalam sedu sedannya.
"Betul ke suami awak melanggani pelacur? Awak ada bukti?" tanya DJ itu.
"Saya tahu dan saya ada bukti kerana saya pernah mengekorinya dengan adik saya. Dengan mata saya sendiri saya lihat dia membawa pelacur yang dilangganinya dari lorong itu naik ke rumah tumpangan.."

"Habis, apa tindakan awak sekarang?" tanya DJ yang bertugas.
"Saya tak tahu. Saya ingin menuntut cerai darinya.."
"Awak masih sayangkan dia?"
"Sangat sayang. Tetapi puas saya memujuknya supaya berhenti tetapi dia langsung tak endah cakap saya. Malah saya pula yang ditengkingnya"

Perbualan antara DJ dan wanita itu berakhir tidak lama sesudah itu. Kami menyambung semula tugasan kami kerana awal-awal pagi esoknya kami akan ada pembentangan di hadapan pensyarah kami, Puan Noraini. Semoga wanita itu ketemu jalan keluar dari neraka hidupnya. Lagu Putus Terpaksa itu sudah tidak lagi menjadi senda gurau kami. Lagu itu adalah nukilan hati yang ditujukan kepada wanita-wanita yang malang.

Seringkali
Kau menepis tiap persoalan
Ada sesuatu kau sembunyikan
Dari pengetahuanku
Dapat aku merasakan
Ketara perubahan
Setelah jelas terbukti
Sesuatu yang terlarang
Mencari teman hidupmu
Selain daku

Demi masa, harapan kita
Aku merayu
Kuncikan keinginanmu
Bernafaslah dalam sejahtera
Kupasti ruang untukmu
Masih ada

Sudah puas kuhimpunkan doa agar
Kau berubah
Berpaling membentuk impian hidup kita
Namun tiada oh kudratku untuk halang keinginan
Suaraku tak berdaya menentang kemahuanmu

Sia-sia sahaja doa aku
Berkorban kasih kupadamu
Sekiranya kau
Masih tak ubah pendirian
Yang hanya menjanji
Pemergian perih yang tak memberi erti

Demi masa, harapan kita
Tak sanggup aku
Berteman oh kasihmu
Yang penuh dengan fantasi
Terpaksa jua kuundur diri..

14 comments:

pB said...

salam Indera...

kak pB tak berapa meminati ZZ tu...
lagu nyer tidak menyengat telinga kak pB ...
sakit kdg kdg ..
tapi itulah, lain orang , lain lagu , lain penyanyi yang mereka suka...

bagaimana dengan anak anak dan isteri..?
Sihat adanya...

Kak pB berulang alik Taiping Puchong selama dua tahun setengah..
Dlm dok berulang alik tu, Allah murahkan rezeki..
dapat Nurin Azmatun...

Masy said...

minat ziana zain *sambil tiru angkat kening hehe*

zwitterion said...

perempuan kadang2 dianiaya pun masih sayangkan suaminya..hmmm

Sang Perba said...

ermmm...setipa lagu ada nostalgianya...kalau aku dengar lagu rock lelama memang aku terkenang zaman sekolah...tapi kalau lagu menghitung hari, kris dayanti pasti aku termenung sekejap...lagu itu banyak kenangan dengan aku...

Unknown said...

setiap perpisahan pasti ada pertemuan semula. itulah yg tersirat. tk gitu, indera?

achik said...

lagu ziana zain dulu mmg byk yg nak putus nafas... ;)

khairyn said...

salam.

Saya juga harap wanita itu jumpa jalan keluar. Semoga dia bahagia.

hehehe.. seronok baca Indera bakal 'berkumpul sebagai satu keluarga lengkap'. Semoga laluan untuk Azah bersama Indera ke Rawang dipermudahkan.

Iman Mawaddah said...

Hehe tengok2 muzik2 ya..saya pernah jugak pergi tapi zaman saya zaman Siti Nurhaliza tengah popular. Saya bukannya minat dia tapi sebab temankan kawan baik yang fanatikkan Siti..pergi jugalah. Punyalah ramai manusia. Sampai terjatuh2 masa nak masuk tu. Taubat2 cukup la sekali tu je. Ngeri kalau difikir2kan.

BaYu SenJa said...

ziana zain buat persembahan kan pada ABPBH baru2 ni?

lelaki tu.. awat yang buat macam tu?!
kahwin la.. lebih dari sorang kan boleh?

kawin tak bagitau bini lebih baik dari layan pelacur :)
untuk isteri... kalau rasa tak mampu, jangan susahkan suami anda untuk ke pusat pelacuran.. bagi je dia kawin lagi satu :)

zizie ali said...

tumpang simpati pd wanita malang tu. semoga dia tabah dan berdoa agar Allah berikan yg terbaik untnya. Kalau berpisah itu mendatangkan kebaikan, biarlah berpisah. perjalanan masih jauh. dunia masih luas.

Unknown said...

lagu yg syahdu mahdu.. emememe

INDERA KENCANA said...

Kak pb minat siapa? Haa.. saya tahu. Kak pb mesti minat Zaiton Sameon. Hi hi hi. Jangan marah ye Kak!!

Saya pun dalam berulang tu pun dapat Siri Aufa dan Adil Rayyan. Mungkin berkat musafir tu kot.. Hi hi hi..


Masy,
Teringat pada sorang kawan saya yang wajah ganas seperti samseng. Satu hari dia mengajak saya menonton wayang. Tajuk tidak diberitahu. Sewaktu dia membeli tiket tu, dia suruh saya pergi telefon gf lama saya. Habis je cakap dengan gf saya tu, si mamat ni mengunjukkan saya tiket wayang yang bertajuk Maria Mariana II

Zwit,
Pompuan kalau dah sayang tu, sampai bila-bila dia sayang. Lelaki lain sikit.

INDERA KENCANA said...

Zam,
Menghitung hari tu popular tahun 1999. Aku ingat sebab tahun tu tahun permulaan karier aku dalam bidang construction

En Azzam,
Setiap perpisahan juga tidak bermaksud pengakhiran persahabatan, tak gitu En Azzam?

Achik,
Lagu dia memang disesuaikan dengan kod nada suara dia yang memang nyaring. Cuma dalam lagu Syurga di hati kita saja start dengan kod nada yang rendah. Oleh kerana tiada pengalaman menyanyikan lagu berkod nada rendah, ZZ kata susah sikit dia nak sampaikan lagu ni.

Khairyn,
Insya-Allah. Apa-apa pun ianya terpulang pada beribu-ribu kemungkinan yang menanti di tengah-tengah perjalanan.

INDERA KENCANA said...

Iman,
Kalau sampai masuk hospital kena pijak nak masuk tengok muzik-muzik, alamatnya glamour masuk paper la Iman...

Bayu,
Sebab tu dalam Islam mengizinkan lelaki berkahwin lagi satu.. Ahh (sigh) Bayu pastinya lebih arif dari saya.. :D

Zie,
Bang, dah balik dari Kalimantan ke Bang? Ada beli gambir serawak?

Linda,
Lagi syahdu lagu Liza Hanim...