Monday, April 02, 2007

Kembara ke Pulau Mutiara




Hari Pertama
Apakah akan berputik harapan?

Siri Aufa dan Adil Rayyan tidak tahu apa-apa kenapa Baba dan Umi mereka terkecoh-kecoh berkemas pagi itu. Cuma mereka merasa teramat seronok apabila Umi mengatakan bahawa mereka akan berjalan jauh ke Pulau Pinang kerana Baba akan ada urusan di universiti yang terletak di Gelugor itu.

Apabila matahari sudah tinggi, barang-barang untuk percutian selama 3 hari 2 malam itu sedia terhenyak di dalam kereta. Adil Rayyan terkekeh-kekeh dalam dakapan Azah diagah oleh Siri Aufa.

Perjalanan yang jauh membuatkan anak-anak saya kelaparan. Setelah mengisi perut dengan sedikit roti, perjalanan diteruskan dalam bahang panas lewat tengahari. Mujur sahaja sampai di Bandar Baharu, anak-anak saya sudah terkapar keletihan. Kasihan!!. Namun saya amat berharap agar percutian ini akan membawa kenangan yang terindah buat isteri dan anak-anak saya. Begitulah harap-harapnya!!

Saya tiba di universiti yang terletak di Gelugor pada jam 2.00 petang. Saya disambut ramah oleh kakitangan universiti. Layanan mereka sangat baik sekali menjadi segala urusan saya berjalan lancar. Azah dan anak-anak, saya tinggalkan di tempat teduhan berhampiran dengan tempat letak kereta.
"Puan, boleh saya tumpang..?? Kat mana Pusat Pengajian Pengurusan?"
"Awak ni bukan orang sini, ka?" tanya pegawai itu.
"Errr.. ya!!"
"Kalau nak pi sana, boleh ikut tangga ni. Ataupun lalu ikut laluan sebelah sana. Kalau ikut tangga, nanti awak lalu ikut Pusat Pengajian Pendidikan. Awak nampak 3 buah bangunan. Dari situ awak ikut kiri..."

Pegawai itu menunjukkan arah dengan terlalu detail sehingga saya terpaksa merakamkan segala arahannya. Sungguh teliti dan bersungguh benar orang Pulau Pinang ini. Berbeza dengan sikap orang di Kuala Lumpur. Jika bertanya arah pada orang Kuala Lumpur, mereka pasti hanya menjawab seperti ini.
"Ikut tangga ni. Lepas tu awak nampak 3 buah bangunan. Haaa.. tanyalah orang kat situ kat mana Pusat Pengajian Pengurusan!!"

Selesai sahaja urusan, Siri Aufa merengek keletihan sebaik sahaja saya muncul di sisi kereta.
"Baba, jomlah kita pergi hotel.."
"Yelah, kita nak pergi hotel la ni..."

Sampai sahaja di hotel jam sudah menunjukkan jam 4.00 petang. Sebaik sahaja masuk ke bilik yang ditempah, Siri Aufa terus melompat-lompat di atas katil. Hilang cerita tentang letihnya. Adil Rayyan pula pantang melihat pintu bilik air terbuka. Terus sahaja meluru masuk ke dalam. Terjeritlah kami suami-isteri kerana bimbangkan Adil Rayyan terjunam masuk ke dalam mangkuk tandas.

Di luar tingkap, hujan masih renyai-renyai. Tiada tanda akan reda. Janji pada Siri Aufa untuk membawanya mandi di kolam renang hanya tinggal janji. Saya memandang keluar tingkap. Pulau Pinang ini sememangnya dianugerahkan dengan lanskap yang cukup cantik dan menarik. Pantainya yang menganjur panjang. Gunung-ganang yang memukau menambahkan lagi tarikan orang luar untuk datang berkunjung lagi ke bumi yang bertuah ini.
"Bang... Zah terlupa nak bawak bedak anak-anak. Nanti kita pergi beli kat mana-mana, ye!!" suara Azah mengejutkan lamunan saya.

"Siaplah. Solat sekali. Lepas tu boleh kita keluar jalan-jalan cari makan.."

Pertama kali memandu di tempat asing memang terasa kekok. Mujur sahaja papan tanda arah yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang banyak membantu. Niat di hati, ingin ke Gurney Drive untuk menjamu selera di sana. Namun arah destinasi langsung tidak kelihatan. Akhirnya yang dapat cumalah penat dan letih berhadapan dengan kesesakan lalu lintas di tengah Kotaraya George Town. Oleh kerana saya tidak pandai jalan di sana, saya mengambil keputusan untuk memandu pulang ke hotel.

Sewaktu dalam perjalanan pulang itu, saya terpandang sebuah restoran Pattani yang terletak di tepi pantai yang berlatarkan laut, jambatan Pulau Pinang dan juga rumah nelayan ini. Cuaca yang mendung dingin menjadikan pemandangan di sekitarnya amat memukau. Tetapi, aduuhh!!! Tomyamnya terlalu masam dan pedas. Rasanya sangat ekstrem.
"Esok saja kita cari menu Nasi Kandar dan Pasembor, ok!!"

Malam itu langit tanpa bulan dan bintang. Hujan renyai masih turun beserta angin yang bertiup kencang dari arah laut. Saya dan Azah cuba menumpukan perhatian kepada Rancangan Akhir Cari Menantu di TV9, namun jerit tangis Siri Aufa menjejaskan penumpuan kami. Siri Aufa mengamuk kerana saya enggan membelikannya set permainan Tiffany (yang menyerupai Barbie) yang berharga RM50.00. Bukanlah saya kedekut dengan anak, tetapi set yang sama yang saya belikan untuknya sebelum itu, hanya bertahan seminggu sahaja. Setelah seminggu, hati saya membara apabila melihat anak patung itu kehilangan kaki dan tangannya. Yang tinggal hanya badan dan kepala. Siri Aufa memang langsung tidak sayang dengan harta kepunyaannya kerana memikirkan setiap keinginannya sentiasa akan ditunaikan oleh ayahnya.

Adil Rayyan bergulung di dalam selimut tebal di bawah tiupan angin sejuk dari penghawa dingin. Dahi dan kakinya panas menunjukkan tanda-tanda permulaan demam. Sesekali dia akan merengek dan menangis. Saya dan Azah langsung tidak dapat melelapkan mata hingga ke pagi. Siri Aufa juga yang lena!!.

13 comments:

ah kim said...

enak betul 'menikmati' tempat yang bukan biasa bg kita ni. sekurang2nya kita boleh jadikan sayap pemerhatian kita terbang lebih jauh. nt tak de le org kata kita asyik tengok kegelapan di tempurung kita je kan?

kena buat tingkap kt tempurung kita tu!

kingbinjai said...

kesian, budak kalau demam memang leceh

zwitterion said...

Indera nak sambung blajar ke?

Sang Perba said...

waseh kau ke penang aku baru balik dari labuan...tapi urusan kerja ler takder bercuti...

Iman Mawaddah said...

Wahh bestnya cuti..saya kalau ke Penang..confirm sesat. Mujur ada kawan yang boleh di calling2 tunjuk arah.

BaYu SenJa said...

bangganya bayu menjadi orang utara...
pi makan pasembor kat Padang Kota tak?!

pB said...

selamat kembali ...

seronok baca pengalaman Indera sekeluarga...

tak sabar menunggu sambungan pengalaman ini..

Indera telah membuat kak pB tiba tiba jadi rindu pada Pulau Mutiara dan pada feri ferinya...

Izariza said...

Kenangan di Pulau Mutiara menggamit-gamit rasa.. entah bila kan sampai lagi ke sana.

Wah wah .. cuti sakan ye Indera.. saya pula barusan keluar dari kepompongan :)

achik said...

kesian Adil Rayyan demam... 'demam berubah tempat' kot...

Lan Rambai said...

bapaknya pasti demam sekali tu hahaha...

izinni said...

kali terakhir ke PP .. waduhhh lama sungguh .. dalam umur 7,8 tahun mungkin.

INDERA KENCANA said...

En Azzam,
Kata orang jauh perjalanan luas pemandangan.

King,
Aku ingat dah nak balik Perak dah hari tu..

Zwit,
Sekadar urusan peribadi. Buat setakat ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu..

Zam,
Dah menyelam tu, takkan tak sempat minum air..??

Iman,
Alangkah bagusnya punya teman di tempat yang asing. Sekurang-kurangnya ada juga tempat mengadu di kala kesusahan.

Bayu,
Sudah semestinya kami pergi ke sana. Memang best tempat tu..

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Rindu pada feri-feri je ke Kak? Kawan-kawan lama tak rindu?

Cikgu Iza,
Keluar dari kepompongan tugasan saya kira..?
Iza juga bakal berkesempatan pergi bercuti. Rancang perjalanan. Sampai sahaja destinasi, bergembiralah sepuasnya. Usah difikirkan soal tugasan yang ditinggalkan.

Achik,
Demam nak bercakap. Adil sudah boleh menyebut perkataan yang mudah. Baba, Mi (Umi), Pok (Tok), Ong (Along)..

Lan,
Bapaknya gelisah. Pening. Rasa nak demam dan selalu ketuk-ketuk lutut. Hahahahahaha..

Izinni,
Wahh... sudah lama benar tu!!