Thursday, April 12, 2007

Jiran kami yang penuh misteri



Hari ini entri Kak pB mengkisahkan tentang Jin dan kehidupannya. Sewaktu meletakkan komen di dalam blog Kak pB itu, saya mendapat ilham untuk menulis kisah masyarakat Jin yang mendiami kawasan berhampiran rumah Mak atau lebih tepat lagi menjadi jiran kami sejak berdekad lamanya (Terima kasih Kak pB!!).
Sewaktu Mak dan Apak berkira-kira membeli tanah tapak rumah Mak sekarang ini, kebanyakan orang kampung menyifatkan tindakan Apak itu itu sesuatu yang tidak masuk akal ataupun tindakan yang gila. Ini kerana tanah tersebut tidak mempunyai sebarang kepentingan melainkan ianya hanyalah sebidang tanah yang ditanam dengan pokok-pokok getah tua yang tidak diusahakan sehingga naik belukar yang menutupi pandangan. Hatta jika ada harimau yang sedang melompat dan menari di dalamnya pun, pasti tidak akan disedari kehadirannya.
Itu satu perkara. Seperkara lagi, tanahnya sentiasa lembab dan dinaiki air sehingga ke paras betis orang dewasa sekiranya berlaku hujan lebat. Tetapi Mak dan Apak tidak punya pilihan lain. Tanah-tanah lain di kampung itu semua mahal-mahal belaka. Mak dan Apak tidak mampu. Namun Mak dan Apak juga tidak mampu untuk terus menyewa rumah hak milik orang sedang bilangan anak saban tahun semakin meningkat jumlahnya.
Dengan wang simpanan hasil berdikit-dikit, Mak dan Apak berjaya membina rumah tempat kami membesar itu. Tahun-tahun awal menduduki rumah dan tanah itu, keadaannya agak sukar sedikit untuk keluar dari rumah. Maklum sahaja tanah itu sering dinaiki air. Mujur sahaja rumah itu rumah berbentuk tradisional yang disokong dengan tiang-tiang berdiri setinggi 6 kaki. Jadi masalah rumah dimasuki air tidak timbul. Apabila menjelang waktu senja sahaja, dari arah belakang rumah, di celah-celah hutan pokok kabong, akan kedengaran berbagai-bagai bunyi. Bunyi bayi menangis, bunyi suara orang melaung, bunyi jeritan dan pelbagai lagi bunyi yang menyeramkan.
Tanah itu terletak beberapa rantai sahaja jaraknya dengan tanah perkuburan kampung yang telah digunakan sejak beratus-ratus tahun lamanya. Taliair yang menyempadani tanah itu dengan sawah padi yang terbentang luas itu kononnya digali oleh Hantu Raya. Kononnya lagi, Hantu Raya yang menggali taliair itu masih mendiami tanah di sepanjang taliair itu sehingga ke hari ini.
Seperti yang saya katakan tadi, masalah itu semua langsung tidak memberi bekas di hati Mak dan Apak. Cuma Mak dan Apak akan merasa sedikit kesusahan apabila kami adik beradik sering terganggu tidur kami saban malam. Kebiasaannya, kami akan masuk tidur sekitar jam 10.00 malam. Naik sahaja jam 10.30 malam, salah seorang dari adik beradik kami akan menangis, menjerit ketakutan seperti terlihatkan sesuatu yang menakutkan. Kelakuan menangis itu pula dalam keadaan tidak sedar (seperti dirasuk) sambil menuding ke muka pintu, jendela dan juga bumbung rumah. Puaslah Mak dan Apak membaca Ayatul Kursi dan juga surah-surah pendinding dari gangguan syaitan sambil menghembuskan ke muka dan juga telinga. Setelah berjam-jam, barulah keadaan menjadi reda. Dan yang menangis itu kemudiannya akan jatuh terjelepuk keletihan sebelum tertidur dalam lena yang panjang.
Seringkali Mak bertanya akan hal yang menakutkan kami pada keesokan harinya. Jawapan yang kami 7 beradik itu berikan pasti sama. Kami melihat Gelung Benang yang kecil datang bergolek ke arah kami. Semakin dekat gelung itu menghampiri kami, semakin gelung itu menjadi besar dan ingin menggilis kami. Di saat lain pula, kami bermain dengan tali. Melompat-lompat keriangan. Namun tali itu semakin menjadi panjang dan terus panjang sehingga membeliti tubuh kami.
Kali terakhir hal ini berlaku sewaktu Andika berusia 9 tahun pada 1988. Sedang dia leka bermain dengan kapal terbang mainan di waktu senja, dia melihat 3 buah Gelung Benang berdiri di hadapannya di muka pintu. Dari 3 buah Gelung Benang itu yang paling besar mempunyai tanduk berwarna kuning dan berdiri setinggi 6 kaki. Andika melolong dalam remang senja. Sehingga Imam masjid di sebelah rumah terpaksa dipanggil untuk menenangkannya. Ketika bercerita tentang hal ini beberapa tahun yang lepas (setelah Andika dewasa), Andika menyatakan kedatangan Gelung Benang-Gelung Benang itu adalah untuk mengucapkan selamat tinggal kerana mereka hendak berpindah ke tempat yang baru. Andika mengatakan bahawa dia dapat memahami maksud yang cuba disampaikan oleh Gelung Benang itu. Mungkin benar. Ini kerana, sejak dari tahun 1988 sehinggalah ke hari ini, tiada lagi gangguan dari Gelung Benang itu.
Saya kuat beranggapan bahawa Gelung Benang itu terdiri daripada golongan Jin Kafir. Ini kerana setelah terdirinya masjid kampung yang baru yang terletak bersebelahan dengan rumah Mak, Gelung Benang itu bertekad untuk pindah. Manakala kampung halaman yang mereka tinggal itu berpindah milik kepada satu golongan Jin yang lain.
Golongan Jin yang baru ini saya agak dari kumpulan Jin Islam. Ini kerana, di waktu dinihari (sekitar jam 2.00 hingga 3.00 pagi), sekiranya ada antara kami yang terjaga dari tidur, akan terdengarlah suara orang ramai sedang kecoh bercakap-cakap dan suara kanak-kanak sedang bermain dari halaman masjid. Ada kalanya pula, terdengar seperti suara kecoh orang pulang dari rombongan atau dua orang yang sedang berbicara dari arah rumah jiran. Apabila diintai, suara itu akan lenyap dan yang kelihatan hanyalah gelap malam kerana jiran kami itu sudah seminggu ke Kuantan melawat anaknya yang tinggal di sana.
Saya gemar memasang telinga, mendengar bunyi butir yang dibicarakan. Namun satu pun tidak saya fahami. Mereka itu berbicara dalam bahasa yang seakan-akan bahasa Melayu bercampur bunyi dengan bahasa Orang Asli. Apabila ditanya pada orang tua-tua, mereka berkata, itulah bahasa golongan Jin. Azah cukup takut mendengar mereka berbicara setiap kali kami bermalam di rumah Mak. Sering dia mengejutkan tidur saya apabila "orang-orang" ini mula bersembang.
Suatu malam di bulan Ramadhan, Mak terlewat untuk bertarawikh. Hujan turun renyai-renyai. Dari arah masjid, Ustaz yang dijemput sudah ingin menamatkan tazkirah malam bagi memulakan Solat tarawikh. Mak menyambar telekung dan bergegas melangkah ke masjid melalui kawasan rumah guru.
Sampai sahaja di pagar masjid, Mak terdengar bunyi seperti lembu menguak. Kuat. Sampai sahaja di masjid, Mak rasa badannya seram sejuk. Sejak itu Mak demam sehingga seminggu selepas Aidil Fitri. Ustaz Mukmin memberi Mak air yang sudah dibacakan dengan ayat suci Al-Quran. Alhamdulillah, sesudah meminum air itu, Mak sembuh dari demam. Ustaz Mukmin menyatakan bahawa malam itu, Mak secara tidak sengaja telah terpijakkan ahli keluarga Jin yang juga sedang turut bersama-sama menuju ke masjid.
Sehingga kini juga, ada masa-masa tertentu, sewaktu Mak selesai membersihkan halaman rumah di waktu pagi, Mak mendapati tungku dapur kepanasan seperti baru selesai digunakan. Ingin dikatakan Apak menggunakan dapur itu, Apak sudah berjam-jam ke Batu Gajah atas urusan parti politik manakala cucu-cucu Mak semuanya ke sekolah dan Yang pula bekerja sesi pagi.
Misteri itu masih belum terungkap. Dan kami juga sebenarnya tidak berminat untuk mencari ke akar umbinya. Biarlah mereka terus berjiran dengan kami. Mereka dengan cara hidup mereka. Kami dengan cara hidup kami. Segala rahsia biarlah kekal di sisi Allah SWT. Wallahua'lam.

19 comments:

pB said...

Salam Indera ..

berdiri jugak bulu roma kak pB bila baca kisah ini...

Sampai sekarang, mereka masih ada??

Bagaimana dengan keadaan anak anak Indera bila balik kampung..??

Tidak ada yang dtg mengusik ker??

Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita ..

Masy said...

ramai pulak yg buat entry misteri nusantara. huhu~

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Seram ke cerita ni..?

Benar. Sampai sekarang mereka masih mendiami sekeliling rumah kami. Mungkin jika ada orang yang mempunyai kelebihan "Terus Mata", pasti orang itu dapat melihat di sekeliling rumah Mak meriah dengan jiran-jiran halimunannya. Yang bagusnya, semenjak keluarga si Gelung Benang itu berpindah, keluarga yang baru itu tidak pula mengusik anak-anak kami. Cuma keluarga yang baru ini suka pada Andika. Andika ni "burung hantu". Suka berjaga jauh-jauh malam. Jika sudah jam 3.00 masih mendengar radio, orang itu akan berjalan-jalan di luar rumah sebagai isyarat menyuruh Andika tidur. Orang itu pula tidak berjalan di atas tanah, tetapi dia berjalan di atas daun-daun kering yang gugur.

INDERA KENCANA said...

Masy,
Pengaruh dari filem Jangan Pandang Belakang.

Unknown said...

kat dunia ni sebenarnya ada dua alam. alam 'nampak' dn alam 'trlindung'. tapi kita jgn la hidup 'dua alam'...aww!

achik said...

uish, seram gak kalau dah tau kita berjiran ngan 'makhluk halus' ni...

makcik saya dulu masa kecik2 penah kena sembunyi dgn bunian... tp nasib baik lepas tu dikembalikan semula... :)

khairyn said...

salam indera,

hehehe tentang cuba mendengar biji butir apa yang 'mereka' ceritakan tu pun saya pernah buat dulu.

Yang terbaru di rumah bonda tak lama selepas jiran pindah rumah yang berdekatan. Macam Andika, saya suka berjaga malam dan melunaskan kerja-kerja tertunggak bila tiba-tiba terdengar suara sepasang (lelaki & perempuan) berbual. Saya fikirkan ayahanda dan bonda yang masih berbual di bilik tapi bila diamati bukan suara mereka lagipun waktu tu sudah menginjak ke 3am.

Itu kali ke 3 saya dengar suara orang berbual tanpa faham apa yang mereka bualkan. Jadi, saya faham 'situasi' itu, terus off kan laptop, cabut wayar dan masuk tidur hehehe.

Anonymous said...

mmg seram bila baca kisah sebegini..

Iman Mawaddah said...

Ngerinya..ada seorang ustaz pernah bercerita..sebaik-baik jin adalah sejahat2 manusia. Oleh itu berhati2lah.

BaYu SenJa said...

ramai yang minat bercerita pengalaman dengan jin...
satu pengalaman yang unik tentunya..

bayu pernah berada dalam suasana itu, tapi pastinya untuk menceritakan kisah itu tidak sepandai indera :)

satu yang boleh diceritakan.. 2 mata ini pernah melihat makhluk itu!!!

kingbinjai said...

yg pasti, mereka memang wujud

banggugar said...

salam,
kata org bila kita dah nmpak bnda yg plik2 ni.. lps tu xrsa seram dah klu jmpa lg.. betul ke?..

(",)

KAMATO said...

Apa pun biar lah mereka mereka dengan dunia mereka, mereka tetap ujud

blackpurple @ jowopinter said...

Pengalaman yang menarik. Beruntunglah melaluinya.

Jin itu memang wujud tapi kalau hantu dan seumpamanya setakat ini belum diyakini dapat dibuktikan secara saintifik.

Kejadian Jin itu juga bukti kebesaran Allah.

Off topic;
Manusia selalu takutkan yang tak kelihatan seperti hantu. Allah itu pun tak kelihatan juga, tapi kenapa masih ramai orang yang tak takut.. :)

izinni said...

kisah tentang sekeluarga gelang benang tu sangat cute ...

INDERA KENCANA said...

En Azzam,
Betullah tu... Hiiee tak koseeerrr Mak!! Aww!!

Achik,
Setengah orang kata mereka yang hilang tu disembunyikan oleh Hantu Susu di sebalik dotdotdot nyer...

Khairyn,
Wahh... Khairyn pun pernah dengar diaorg bersembang ye??? Memang lain sikit kan, bahasa dia? Bunyi macam biasa dengar tapi bila diteliti tak paham pulak maksud dia..

Sakura,
Nanti saya nak buat terbit novel seram. Nak challenge Burger Kari Azzam..

INDERA KENCANA said...

Iman,
Saya bersetuju dengan sebahagian daripada pendapat tu. Jin ini bagi saya mempunyai sistem hidup yang mirip manusia. Cara mereka hidup, mereka juga perlukan makanan dan juga peribadatan. Untuk membandingkan manusia yang paling jahat dengan Jin yang paling baik bagi Jin Kafir mungkin boleh diterima. Namun saya menolak pendapat ini jika ditujukan pada Jin Islam (terutama yang soleh). Ini kerana, syariat Nabi Muhammad tidak tertakluk pada manusia sahaja tetapi kepada golongan jin. Mereka juga tetap tidak dibenarkan mencuri, meminum khamar, berzina dan membunuh. Maka mereka juga tertakluk pada syariat Islam yang menghukum keras barang siapa yang memberi mudarat terhadap muslim yang lain. wallahua'lam.

INDERA KENCANA said...

Bayu,
Ceritalah!! Teringin nak dengar pengalaman bayu...

King,
Ha'ah, ada kat sebelah engkau tu. Eh, jangan pandang belakang..!!

Banggugar,
Entah. Tak tahu pulak sebab tak pernah jumpa. Tapi pernah nampak!! (Tak mahu nak jumpa pun sebenarnya)

Saudara Kamato,
Selain mereka, terdapat banyak dunia lain yang tidak terjangkau dek ilmu kita. Itulah kebesaran Allah SWT.

Bro BP,
Orang kita sebenarnya takutkan kepada sesuatu yang boleh memudaratkan walaupun ianya tidak terlihat di mata. Orang kita percaya bahawa hantu syaitan itu boleh mendatangkan mudarat. Sedang hukuman Allah, terlalu sedikit yang mengambil iktibar tentangnya.

Izinni,
Gelung Benang tu tiga beranak. Bapa, ibu dan anak.

zwitterion said...

kenapa namanya gelung benang?