Monday, April 23, 2007

Bapa Mertuaku

Kali pertama saya bertemu dengannya, satu persoalan meluncur keluar dari mulutnya.
"Kerja apa?" (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Perjalanan Mencari Bidadari Hati)

Saya pada ketika itu langsung tidak berniat untuk mendirikan rumahtangga dengan anaknya, lantas itu saya bohongi orang tua itu dengan berkata, "Saya tak bekerja. Saya masih belajar lagi". Harapan saya di saat itu, agar orang tua itu akan beranggapan bahawa saya seorang yang tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan anak perempuannya di hari muka. Namun saya tersalah perhitungan apabila dia tetap memilih saya menjadi menantunya.

Saya hairan. Apakah yang ada pada diri saya sehingga dia berkeras juga untuk memilih saya, saya sendiri tidak tahu. Tetapi itulah dia lelaki yang kini menjadi bapa mertua saya!!.

Dia berusia dalam lingkungan 80 tahun. Dibesarkan dalam suasana desa dan mempunyai hanya seorang saudara perempuan. Setelah dia meniti usia dewasanya, kakaknya itu dijemput Allah. Oleh kerana kakaknya itu berkahwin sebanyak 3 kali, bapa mertua saya ini dikurniakan dengan anak buah yang ramai manakala dia sendiri pula lambat memperolehi cahayamata. Oleh yang demikian, kebanyakan keponakannya dibesarkan di dalam tangan beliau sendiri setelah kematian kakaknya.

Sebagaimana yang diberitahu oleh Azah, ayahnya itu dibesarkan dalam didikan agama yang kuat. Jadi tidak hairanlah mengapa bapa mertua saya itu seorang yang pandai membaca Al-Quran beserta dengan tajwidnya sekali. Di usia remajanya, dia sudah pandai mencari pendapatannya sendiri. Dengan modal kecil-kecilan, beliau menjadi peraih ayam kampung yang bertindak sebagai pembekal kepada peniaga-peniaga ayam di bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah. Dengan berkat kesabaran dan kesungguhannya, dia berjaya mengumpulkan wang simpanan berjumlah puluhan ribu Ringgit. Suatu yang cukup besar bagi orang-orang kampung saya di zaman 70-an dahulu.

Kiranya hidup Azah sewaktu usia kecilnya dilimpahi dengan kemewahan.Namun segalanya itu tidak berpanjangan apabila suatu hari dalam tahun 1980, bapa mertua saya terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Akibat daripada kemalangan itu, kepalanya terhempas ke aspal dan beliau koma selama 3 bulan. Sebaik sahaja dia sedar daripada koma itu, hidupnya tidak seperti asal lagi. Dia seolah-olah hilang dalam dirinya sendiri. Hilang ingatan. Terpaksalah ibu mertua saya mengeluarkan wang simpanan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya habis bagi menampung kos rawatan serta sara hidup mereka anak beranak setelah mereka itu kehilangan punca pendapatan.

Bapa mertua saya saban tahun saban menunjukkan tanda-tanda sembuh. Dia akhirnya sudah boleh makan sendiri, menguruskan dirinya sendiri dan juga sudah boleh berbicara. Namun buah bunyi pertuturannya tersangat telo sehingga menyukarkan orang untuk memahami percakapannya termasuklah saya. Sehinggakan biras saya yang berasal dari Terengganu itu, pernah merungut pada kakak ipar saya apabila dia tidak memahami buah butir percakapan bapa mertua saya. Bagi saya pula, oleh kerana kami berasal dari tempat yang sama dengan loghat pertuturan yang sama, maka apa yang ingin beliau sampaikan, dapat saya fahami.

Antara saya dengan beliau.... hmmm.. hubungan kami saya rasakan agak rumit sedikit. Dia sering mengajak saya berbicara tentang perkara yang tidak tentu duduk perkaranya. Contohnya, dia berulang-ulang kali bertanyakan kenapa Negara Amerika berhasrat menyerang Iran. Satu persoalan yang besar. Sekiranya saya menerangkannya secara ilmiah, dia gagal memahami apa yang saya cuba sampaikan. Untuk menjawab berbasi-basa pula, bertambahlah dia tidak faham duduk perkara isu itu. Jadinya, saya lebih banyak berdiam diri walaupun ditanya olehnya dan berlagak seperti saya tidak mendengar soalannya. Tampak dia kecewa dengan perbuatan saya itu.

Kesan daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu, bapa mertua saya sering sahaja sakit kepala yang bersangatan. Selalu dia menceritakan kepada saya, apabila terjadi perkara itu, dia akan hilang ingatan buat sementara. Pernah orang kampung melihat beliau berbasikal ke masjid dalam jam 2.00 pagi. Jika sakit kepalanya menyerang di waktu siang pula, habis sekelian orang di dalam rumah itu diamuknya. Azah seringkali menitiskan airmatanya akibat perbuatan bapanya itu.

Bagi saya itu tidak mengapa lagi. Perkara yang sering membuat saya naik darah ialah kedegilannya. Tersangat degil. Terlalu degil. Dilarang dia berbasikal ke Pekan Bota yang jaraknya 10km daripada kampung itu kerana khuatir kakinya akan naik bengkak dan gout, langsung tidak dipedulinya ingatan saya. Tetap juga dia berbasikal. Esoknya, kerana kedegilan itu, kakinya naik membengkak sehingga terpaksa diusung ke klinik. Siapa lagi yang akan mengusungnya jika bukan Azah, ibu mertua saya ataupun saya sendiri jika saya lembut hati pada ketika itu. Selalunya saya enggan mengambil tahu apa-apa tentang bapa mertua saya itu kerana saya sakit hati dengan kedegilannya.

Pada saya, memang bapa mertua saya itu seorang tua yang degil dan keras kepala. Penyakitnya yang pelbagai seperti Gout, kencing manis, buah pinggang, paru-paru berair dan lemah jantung menjadikan dia seorang yang sukar untuk dijaga. Selebihnya pula, dia akan melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa memikirkan perbuatannya itu bakal mengundang mudarat. Seolah-olah dia ingin membuktikan kepada saya bahawa dia sebenarnya masih bertenaga untuk melakukan semua kerja berat.

Suatu hari saya melihat di tangannya tergenggam sebilah tajak.
"Apak nak buat apa dengan tajak tu?" tanya saya.
"Aku nak buang daun pisang yang dah tua tu.."
"Nak buat apa dibuang daun pisang tu. Biarkan sahaja dia jatuh sendiri, Apak. Masuk. Apak tu tak lalu. Nanti sakit, keme juga yang susah.." saya cuba mengingatkan orang tua itu.
"Ishhh... lantaklah" katanya sebelum menonong bersusup-sasap di dalam kebun pisang di belakang rumah itu.

Saya masuk ke dalam rumah dan terus menonton television.
"Orang tua. Tak makan dek nasihat. Itu nanti mestilah bengkak kaki tu nanti. Tengoklah esok" hati saya merungut-rungut.

"Apaaakkkk!! Kenapa dibuang daun tu. Keme tanam Daun Chenehum (Kesum) di bawah tu. Nanti diserkup dek daun pisang tu, matilah Daun Chenehum tu!!!" jerit Azah dari dalam rumah. Namun sedikit pun tidak diperdulikannya. Dia asyik dengan kerjanya. Seolah-olah dia ingin menunjukkan kepada saya, bahawa di usia lanjutnya itu dia masih gagah melakukan kerja berat.

Keesokannya, kakinya naik bengkak sehingga dia tidak mampu untuk berjalan. Terpaksa Azah dan ibu mertua saya memapahnya ke kereta. Saya enggan masuk campur. Menyentuh beliau pun saya enggan. Marah benar saya!! Bukan saya tidak mengingatinya semalam. Memang dasar orang tua degil. Menyusahkan orang. Di klinik, bapa mertua saya itu dikenakan satu suntikan untuk mengurangkan bengkak kakinya selain daripada kos ubatan yang bernilai hampir RM40.00. Geram saya.

Hari Sabtu yang lalu, dia sekali lagi dibawa ke hospital setelah kaki, tangan dan perutnya mengalami kebengkakan. Tiba di hospital, dia ditahan setelah doktor mendapati jantungnya tersangat lemah berdenyut. Adik ipar dan juga ibu mertua saya mengiringi ke hospital. Saya lebih selesa tinggal di rumah mengulit anak-anak saya.

Di hospital itu, bapa mertua saya terbaring sambil pernafasannya disokong oleh topeng gas.
"Azah, Indera mana?" tanya bapa mertua saya.
"Dia ada di rumah, Apak" kata Azah.
"Langsung dia tak mahu menjenguk aku, ye!!" katanya sambil menangis.
Azah hanya menitiskan airmata.

Azah pulang sambil menangis. Risau tentang keadaan bapanya. Saya hanya berdiam apabila Azah bercerita tentang hal bapa mertua saya. Saya masuk ke bilik. Berteleku keseorangan. Saya tersenyum. Semua tidak tahu. Ya, semua tidak tahu bahawa antara saya dengan bapa mertua saya itu terdapat satu benang halus yang menghubungkan kami berdua. Sekalipun antara kami jarang berbicara, namun dialah satu-satu bapa mertua saya. Saya masih menghormatinya. Menyayanginya. Juga saya kagum dengan ketabahannya mengharungi kehidupan dengan segala macam kegetiran yang dihadapinya.

Saya terkenangkan pada suatu hari, saya menemaninya melihat tanah sawah miliknya yang diusahakan oleh seorang pemuda kampung.
"Inilah dia tanah hasil titik peluh Apak. Bukan mudah untuk Apak mendapatkannya. Tanah ini mesti dipertahankan walau apa jua keadaan pun..!!"

Saya melihat matanya bercahaya memandang sawah padi yang terbentang luas. Cuma saya memandangnya pada ketika itu dengan pandangan yang berteka teki. Biarlah dia menceritakan apa jua harta yang dimilikinya. Bukan harta aku!! fikir saya. Dan saya tidak mahu tahu pun. Harta ibu ayah saya sekalipun saya enggan mengambil tahu, inikan pula harta mertua. Cuma saya kagum dengan kesungguhannya. Kecintaannya terhadap warisannya yang mesti dipertahankan ke generasi yang akan datang.

"Datang juga kamu, ye!!. Apak fikir kamu tak sudi nak tengok Apak!!" katanya sewaktu saya melihatnya petang semalam.
"Apa Apak cakap macam tu? Dah tentu saya akan datang melihat Apak" kata saya cuba melawak. Cuba meredakan suasana supaya keadaan itu tidak terlalu menyedihkan bagi saya.
"Dah, Apak berehat. Jangan banyak bercakap dan bergerak!!" arah saya seperti seorang Jeneral.

Bapa mertua saya tidak berkata apa. Dia berehat seperti yang saya sarankan. Benar, antara kami tiada perbualan mesra. Tiada gurauan tepuk dan tampar. Namun saya tahu, jauh di sudut hati bapa mertua saya, dia memahami bahawa saya sangat menyayanginya. Cuma kami tidak pandai menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain.
"Haiii... risau Zah tengok keadaan Apak tu.." keluh Azah semalam.
"Kenapa perlu risau. Apak tu sudah melalui saat lebih getir lagi daripada tu. Sudah tentu dia mampu melalui saat-saat ini.

Ya, saya bercakap seperti saya yakin. Benar, saya menyakininya. Kerana ikatan antara saya dan bapa mertua saya telah terjalin terlalu erat. Saya memahaminya dan dia memahami saya. Dia pasti mampu menghadapi kesakitan ini dan akhirnya akan sembuh semula. Saya menanti kepulangannya.

11 comments:

achik said...

situasi tu agak tak asing pada saya.. keluarga saya pernah jaga arwah tok wan yg nyanyuk... kdg2 geram, kdg2 kelakar, kdg2 sedih... tp saya sgt salute ngan mak saya yg sanggup jaga arwah tok wan (bapak mertua mak saya) lebih dr jaga bapa sendiri...

Sang Perba said...

indera
aku sempat bermesra dengan bapa mentua aku tak sampai setahun kerana Allah telah menjemputnya pulang...sepanjang itu aku amat menghormatinya kerana dia seorang yang warak...dan yang paling best aruah ada bagitahu yang dia cukup suka bersembang bab2 isu semasa dan politik dengan aku berbanding ipar duai aku yang lain...

Izariza said...

bersyukur kerana indera masih berpeluang mencurahkan kasih sayang kepada bapa mertua.
Saya pula, tidak sampai tiga bulan menjadi ahli keluarga sebelah suami, dia dijemput Ilahi.
Paling terkilan kerana saya tidak sempat bertemu dengannya sewaktu dia terlantar, manakala ibu mertua saya memberitahu yang bapa mertua saya itu pernah menyuarakan rasa tidak puas lagi bertemu dengan saya, menantu barunya :(

bluecherry @ fai said...

indera, biasa laa..
Jangan kata lelaki tak pandai nak tunjuk rasa sayang.. aku pun tak pandai..
Tapi apa pak mertua aku suka makan atau minum, mesti aku buat..

Bila ujung minggu jer mesti dia banyak beli buah2 segar. Dia suka minum air buah.

Mak mertua aku selalu cakap, aku jer rajin buat air buah utk dia.

blackpurple @ jowopinter said...

Tahniah kerana kau dan bapa mertua kau mempunyai hubungan emosi malah zahir yang baik..

Biasalah itu Indera. Lelaki susah (atau mungkin tak pandai) menunjukkan kasih sayang. Dia bertuah mempunyai anak menantu seperti kau :)

Apapun selamat untuk ikatan kekeluargaan kau dan bapa mertua kau.

ah kim said...

org2 tua ni kan..selagi dia marah dn tgur kita selagi itulah disayangkan kita. kalu satu masa dia tk tgur dn tk marah..maknanya..hati2 la di masa depan kita.

kisah yg best, beb! jd renungan aku mlm nt.

CerminDiri said...

salam kehidupan....
antara budak kecil dan orang tua kekadang ada persamaannya. cuma kita yang berada di usia pertengahan ini mampu menanganinya.
eloklah tu......
yang cermin ni masih tercari2 bakal ayah mertua..
(termenung sendirian...bila yea..)

pB said...

Bapa mertua kak pB jenis tak leh dok diam..
Mesti buat kerja..
Kalau tidak, dia mesti demam

Dan dia jenis lelaki yang makan nasi.
Kdg kdg kesian tengok mak mertua sebab kena bangun awal pagi utk sediakan sarapan yg ala ala makan tengah hari.
Pukul 645 pagi , balik dari solat subuh, mesti dah cari nasi...

Tapi tak per, kan, MIL mesti dpt pahala yang byk sebab serve husband tercinta...

Anonymous said...

moga ikatan kekeluargaan yang terjalin tetap utuh kekal dan
bahagia selamanya..

Sastri said...

what a beautiful relationship you two have... keep it up... terharu membaca entri Indera ni...

INDERA KENCANA said...

Achik,
Ibu achik seorang wanita yang berhati emas. Contohilah ibu Achik tu ye!!

Zam,
Aku tahu dan aku percaya kerana berdasarkan pada pengalaman aku dengan kawan-kawan aku yang lepas. Mana-mana kawan aku yang tersangat lasak dan nakal, pasti punya hubungan yang baik dengan mertua.

Puan Iza,
Tentu bapa mertua Puan Iza melihat ada sesuatu yang istimewa dalam diri Puan Iza. Saya pasti.

Cherry,
Lama kita tak jumpa. Saya nak air belimbing satu..!!

Bro BP,
Saya kira dia malang punya menantu yang banyak ragam macam saya.

Azzam,
Pak mertua aku tak pernah tegur pun aku. Adakah itu maksudnya aku.. aku... aku....

Cermin,
Tak berminat mencari bapa mertua dari kalangan orang Arab Syria..??

Kak pB,
Selera FIL kak pB sama macam ayah saya. Mesti nak nasi. Pagi petang siang malam. Sampai makcik saya ingat selera saya pun seperti selera ayah saya. Inginkan nasi sahaja. Bila bertandang ke rumah makcik, makcik mesti cakap pada anak-anak daranya "Hahh.. lekas kome. Masak nasi. Deme ni tak biasa makan yang bukan-bukan ni.."

Sakura,
Insya-Allah dan harap-harap begitulah.

Sastri,
Terima kasih. Tapi sekarang dia berada di ICU. Huhuhuhuhuhu...