Tuesday, April 10, 2007

Di manakah dikau Sayang?


Hari ini masuk hari kesebelas, Muhammad Nazrin Shamsul, 5 tahun hilang dari jagaan ibubapa. Hilang setelah kedua ibubapanya terlepas pandang walau hanya seminit cuma di Kompleks Membeli-Belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Setalah kehilangan itu, kedua ibubapanya membuat laporan polis akan kehilangan anak mereka. Sejak dari hari itu sehinggalah ke hari ini, seluruh kekuatan polis dan orang awam bertungkus lumus menjejaki kanak-kanak malang ini.

Semalam, kedua ibubapanya menerima satu panggilan menyatakan anak mereka telah dijumpai di Putrajaya. Harapan kembali berbunga untuk kasih dipupuk kembali seperti dulu namun sayang seribu kali sayang, harapan berkecai umpama kaca terhempas ke batu apabila kanak-kanak yang dimaksudkan hanyalah seorang kanak-kanak berbangsa Vietnam yang betul-betul menyerupai Muhammad Nazrin. Ooohh!! di manakah dikau di saat ini wahai sayang..?

Kehilangan Muhammad Nazrin ini pastinya merupakan satu tamparan hebat bagi kedua ibubapanya. Bagi sesiapa yang pernah atau telah menjadi seorang ibu dan ayah, pasti dapat menyelam erti kesedihan yang terpaksa mereka tanggung. Anak adalah anugerah Allah yang tidak terhingga. Bagi saya, saya rela melepaskan keseluruhan harta yang saya miliki di dunia ini. Tetapi saya sekali-kali tidak berdaya menanggung penderitaan kehilangan seorang anak. Menurut ibu Muhammad Nazrin, Nor Amizah Ahmad, terdapat pihak yang menuding jari kepada mereka akan kesalahan dari kehilangan kanak-kanak itu sebagai alasan mengatakan kedua ibubapanya tidak pandai menjaga anak. Tetapi percayalah, ibubapa mana yang inginkan kehilangan anak mereka? Ibubapa mana yang tidak sayang pada anak mereka? Ibubapa mana yang punya mata sepuluh pasang untuk menjaga anak mereka setiap saat dan detik jika mereka juga turut dikurniakan anak yang hampir sebaya yang turut menuntut pemerhatian yang sama (Muhammad Nazrin punya adik lelaki yang berusia 4 tahun).

Ohh..!! Di manakah dikau sayang? Apakah di saat ini Muhammad Nazrin berada dalam kesejahteraan? Menangiskah dia? Laparkah dia? Tidurkah dia?. Apabila persoalan ini berlari di dalam minda, rasa tidak tertanggung hati rasanya kerana saya punya anak yang sebaya dengan Muhammad Nazrin. Doa saya panjatkan moga-moga Muhammad Nazrin berjaya dijejak secepat mungkin. Tidak sanggup saya memikirkan andainya dia terlepas keluar dari persempadanan negara sehingga akhirnya hilang lenyap tanpa jejak.

Saya terkenang pada satu malam dalam tahun 1983. Malam itu kelam tanpa bulan dan bintang. Angin menderu menandakan hujan bakal mengguyur menyejukkan alam sekeliling. Saya baru sahaja menamatkan pembacaan Al-Quran dan sedang berkira-kira untuk memasang peti television. Namun keriuhan orang ramai di luar rumah membantutkan hasrat saya.

Sebaik sahaja jendela dibuka, kelihatan orang ramai berkumpul di tepi jalan. Ada yang tertanya-tanya, ada yang tercari-cari malah terdapat juga yang menangis tersedu-sedu.
"Assalamualaikum, assalamualaikum...!!" laung sebahagian orang-orang yang berkumpul itu dari halaman rumah Mak.
"Wa alaikumussalam" jawab Mak dari dalam. Mak masih dalam telekung sembahyang tanda Mak baru ingin memulakan Solat Isyak.

"Cikgu Suria ada?" orang-orang itu bertanyakan Apak.
"Ada. Tunggu sekejap, ye!!" kata Mak sebelum bergegas mendapatkan Apak yang sedang menikmati hidangan makan malam di dapur.

"Cikgu, Musa anak Pak Noh dah hilang!!" beritahu orang-orang yang datang.
"Hilang?"
"Betul Cikgu. Tadi ada sebuah kereta. Laju benar datangnya. Tiba-tiba ada yang dengar bunyi benda berdentum. Tak tahu siapa punya angkara. Tak tahu siapa yang dah kena. Yang kami tahu, motorsikal yang dilanggar tu, motorsikal si Musa anak Pak Noh. Musanya pulak hilang entah ke mana.." kata Abang Man, bekas murid Apak.
"Habis tu, apa yang boleh saya buat?" tanya Apak.
"Cikgu ada kereta, Cikgu tolonglah carikan si Musa tu..." rayu mereka.

Laporan polis kemudian dibuat. Seluruh kekuatan penduduk kampung dan juga pihak polis dikerahkan mencari Musa dalam gelap malam. Ibu Musa menangis sambil berteriak memanggil nama Musa berulang-ulang kali di tepi jalanraya. Pak Noh pula termenung tidak keruan. Suasana pada ketika itu kecoh, bingung dan sedih.

Saya termangu-mangu di tepi jendela memerhatikan kekalutan orang kampung mencari Musa. Persoalannya, di manakah Musa?
"Di mana kamu, anak? Di mana kamu sekarang ni, sayang Mak?" suara ibu Musa mengongoi dibawa deru angin malam.

Ya, saya lihat kesedihan. Saya lihat ketidak-keruan sehingga hujan turun membungkus malam dan membubarkan orang ramai itu pulang ke rumah masing-masing.

Mujur. Mujur dua hari kemudian Musa berjaya dikesan. Dia berada dalam keadaan sejahtera dirawat di Hospital Telok Anson (sekarang Teluk Intan). Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki berbangsa tionghua gagal mengelakkan Musa yang melintas jalan. Dalam kekalutan, kereta itu sempat menghentam bahagian belakang motorsikal Musa dan dia pula terhumban ke tepi jalan tidak sedarkan diri. Menyedari bahawa kampung itu kampung masyarakat Melayu dan takutkan dirinya diapa-apakan, lelaki tionghua itu segera mengangkat Musa masuk ke keretanya dan bergegas menghantarnya untuk menerima rawatan di Hospital Telok Anson. Setelah segala urusan di hospital itu selesai, barulah lelaki tionghua itu membuat laporan polis.

Berita penemuan Musa itu disambut girang oleh ahli keluarga dan sanak saudaranya terutama Hamdan, adiknya yang merupakan rakan sekelas saya. Namun setiapkali berlaku kejadian kehilangan seperti ini, saya pasti akan terbang semula ke tahun 1983. Di malam saya menyaksikan kesedihan dan kebingungan bertaut menjadi satu.

Saya masih menaruh harapan agar Muhammad Nazrin berjaya diketemukan. Moga doa rakyat Malaysia diperkenankan oleh Allah. Moga pulang Muhammad Nazrin ibarat pelanduk tertarik pada hentakan irama alam dek doa kita.

Di manakah dikau sayang?

18 comments:

Masy said...

kalut, serabut, kusut.

tak patut menuding menyalahkan ibu bapa (walaupon mungkin ade sikit kecuaian). menambahkan kusut kepala orang je..

insyaallah.. mungkin keluarga (dan org ramai) bole wat solat hajat minta diketemukan..

pB said...

Moga semua ibubapa yang kehilangan anak mereka, akan berjumpa antara satu sama lain, suatu hari nanti ...

ah kim said...

doa org teraniaya insyaAllah dimakbulkan. tafakur dan muhasabah.

Anonymous said...

mmg sayu hati bila terbaca kisah sebegini..

moga anak itu dalam keadaan selamat hendaknya dan akan dijumpai kembali...insyaAllah

Sang Perba said...

hilang? aku pernah menghilangkan diri lebih dari 1 bulan dari kelas di ITM dulu...kekeke

~inilah saya~ said...

Semoga dipertemukan kembali...

Ameen...

KAMATO said...

Sama-sama kita doakan moga anak itu selamat dan dapat diketemukan semula ibu bapanya.

BaYu SenJa said...

Simpati terhadap keluarga nazri..
hanya mampu berdoa..
semoga Allah kuatkan kedua ibu bapa nazrin dan kembalikan nazrin dalam keadaan sebaiknya...

hakim dirani said...

InysaAllah Muhammad Nazrin akan kembali ke sisi keluarganya.

Ya Allah, bantulah kami...

Unknown said...

kesian lah.. blom jumpa lagik

areyoung said...

Semoga adik Muhammad Nazrin akan pulang semula dalam keadaan sejahtera.. amin.

p/s Teringat pulak kisah budak cina (sapa namanya tu?) yang hilang satu ketika dulu. Kecoh jugak satu negara masa tu kan?

Izariza said...

Ironi. Kehilangan anak yang disayang mengundang air mata berguguran. Anak yang tidak sah pula dicampak buang.

Allahummaghfirlana zunubanaa..

achik said...

semoga dia selamat kembali kepada keluarganya... insya-Allah...

Bunga Rampai said...

Salam Indera, moga sihat ya :)

Moga-moga Muhammad Nazrin Shamsul dapat ditemui... sama-samalah kita berdoa.

p/s ZZ - saya suka lagunya yang bermula dengan sekebun cinta nan ... tak ingat eh senikata. Ntah apa nama lagu tu ...

Ghazali said...

Indera;

Adalah lebih senang kita menuding jari ... itulah resam kita ... Tak kira apa ajer ... kita lebih senang nak jatuhkan hukuman dari seorang HAKIM . Kaaannnnnn

Tapi kalau kena kat kita ... baru kita tau kaaannn

Saya berdoakan agar diketemukan semula anaknya dalam keadaan selamat dan tidak di apa apa kan ...

Indera;

Apa your email ...

blackpurple @ jowopinter said...

Percaya, pasti akan dipertemukan juga akhirnya nanti.

Episod ini banyak terkandung hikmah yang tersirat...

:)

Sastri said...

semoga adik Yin dapat ditemui sesegera mungkin... kesian kedua ibubapanya... mesti risau sesangat...

khairyn said...

Doa semoga anak itu diketemukan secepat mungkin.

Doalah sama-sama. Ramai-ramai.