Tuesday, March 27, 2007

Panggilan Haji



"Achik, Opah tak ada.." kata Faiz apakala menyambut kedatangan saya dan Siri Aufa di rumah Mak hari Sabtu yang lalu. Dia baru berusia 6 tahun. Bertubuh gempal dan sangat comel.
"Opah pergi mana?" tanya saya.
"Opah pergi kursus Haji kat Kampong Gajah.." kata kakaknya Fatin.

Siri Aufa takut-takut untuk keluar dari kereta.
"Cepatlah turun. Kita dah sampai.." kata saya kepada Siri Aufa.
"Tak mahu. Kak Long takut. Kak Fatin dan Abang Faiz usik Kak Long" katanya sebelum menjerit ketakutan apabila melihat Fatin dan Faiz membuat mimik muka dan jari jemari dibengkokkan seperti gaya hantu. Melihatkan itu, saya hilang sabar lantas mematahkan ranting pokok Lemundi dan menghambat mereka di halaman rumah Mak. Mencicit mereka berlari masuk ke dalam rumah mendapatkan ibu mereka.

"Sapa tu..?" terdengar kakak saya, Aini bersuara dari dalam. Dia anak ketiga dalam turutan adik beradik kami. Saya memanggilnya Yang. Dia adik beradik saya yang paling rapat dengan saya. Selain daripada berkongsi rupa paras, kami juga berkongsi hobi yang sama iaitu melalak di dalam bilik air.
"Achik.." kata Fatin.
Yang terkocoh-kocoh mendapatkan saya di ruang tamu.
"Haa.. Indera. Sementelah kamu dah ada ni, boleh kamu ke kedai beli tomato puree?".
"Yang ingat nak masak Nasi Tomato tengahari ni" tambahnya lagi.
"Nak berapa tin?"
"Satu tin cukuplah" katanya.
"Duitnya..?" kata saya sambil menghulurkan tangan.
"Pakai duit kamu sendiri"
Balik dari kedai, saya terlentang di atas sofa nyenyak ketiduran. Siri Aufa leka bermain dengan Faiz. Sekali sekala tidur saya terganggu apabila Siri Aufa mengadu disakat oleh Faiz. Menjelang tengahari, saya terjaga setelah bahang matahari memenuhi halaman rumah. Di dapur pula terdengar Mak sedang berbicara dengan Yang. Aroma Nasi Tomato naik memenuhi ruang rumah membuatkan perut saya berkeroncong.


"Ramai ke yang hadir ke kursus tu, Mak?" tanya saya sambil menyuapkan nasi ke mulut Siri Aufa. Dia menganga besar-besar sebelum berlari berkejaran semula dengan Faiz.
"Haii.. ramai. Nama lagi kursus haji" kata Mak.
"Jadi ke Mak pergi tahun depan..?"
"Belum tentu lagi.."
"Kalau Mak jadi pergi tahun ni, Mak hati-hati sikit pilih orang yang nak ikut serta Mak ke sana nanti. Jangan jadi macam dulu.." kata saya mengingatkan Mak tentang peristiwa selepas musim haji beberapa tahun sebelum itu.
"Kamu ni Indera, takkanlah Mak nak halang orang lain ikut Mak. Allah redha pada kita sekiranya kita menolong orang dalam kesusahan. Kalau orang nak buat tak tentu pada kita, biarkanlah. Kita pulangkannya pada Allah" kata Mak.
"Mak ni baik sangat...!!"

Tahun 1998, Mak dan Apak menerima surat daripada Tabung Haji menjemput Mak dan Apak menunaikan Rukun Islam yang kelima itu. Sudah tentu berita itu sangat mengembirakan hati Mak dan Apak yang selama ini tertunggu-tunggu jemputan daripada Allah SWT untuk menjadi tetamuNya. Bagi kami adik beradik turut sama bergembira dengan perkhabaran itu.

Selain daripada Mak dan Apak, terdapat juga sebilangan penduduk kampung yang turut menerima perkhabaran gembira daripada Lembaga Urusan Tabung Haji itu. Ini termasuklah beberapa orang balu yang sudah kematian suami dan tidak punya muhrim yang berkemampuan untuk turut serta di dalam rombongan itu. Apabila mendengarkan berita bahawa Mak dan Apak bakal sama-sama mengerjakan haji, balu-balu ini datang ke rumah Mak untuk meminta izin Mak untuk turut sama berpergian dengan Mak ke tanah suci. Antara balu-balu itu termasuklah Wan Nah balu Arwah Pak Itam, Wan Mah balu Arwah Tok Napi dan juga Wan Piah balu Arwah Pak Dol (Wan adalah gantinama makcik di kampung kami). Mak langsung tidak membantah bahkan Mak mengalu-alukan keinginan mereka untuk mengikut Mak kerana pada pendapat Mak, jika bukan Mak, siapa lagi yang ingin menolong mereka. Tambahan pula keadaan mereka yang kematian suami. Sudah tentu keadaan mereka akan terkatung-katung di Tanah Suci sekiranya mereka berpergian sendirian.

Mak dan Apak pergi ke sana lebih kurang sebulan lebih lamanya. Kebetulan Mak memang sudah berniat untuk membawa adik saya, Andika bersama. Haiii... rezeki Andika. Berpeluang mengerjakan haji di usia remajanya. Jika saya ingin mengerjakan haji, alamatnya akan mengambil masa bertahun-tahun lagilah, agaknya. Tinggallah saya bersendirian menunggu rumah pusaka Mak sementara Mak, Apak dan Andika ke sana.



Setamat musim haji, jemaah-jemaah pulang ke kampung halaman masing-masing. Mak, Apak dan Andika juga selamat pulang. Cuma peralihan cuaca di sana dengan cuaca di Malaysia menyebabkan Mak dan Apak batuk-batuk. Berlainan pula dengan Andika. Dia riang mengagihkan buah tangan yang dibelinya di Makkah kepada Opah, Atuk dan juga pakcik dan makcik kami. Bagi saya, kepulangan Mak dan Apak itu saya sambut dengan penuh kesyukuran.

Sangka saya, apabila selesai sahaja ibadat haji, maka kita telah melengkapkan keseluruhan binaan di dalam agama. Kita sudah lengkap sebagai seorang muslim sejati. Namun sangkaan saya meleset.

Pulang sahaja dari Tanah Suci itu, Wan Piah tidak henti-henti menyampaikan fitnah tentang Mak di Tanah Suci. Kononnya Mak pergi ke Tanah Suci itu untuk berehat dan tidur-tidur sahaja.

"Kome nak tahu.. Ustazah Aminah tu pegi ke Mekah, bukannya nak buat ibadat. Asyik duduk di bilik sahaja. Orang datang ke Mekah, keluar belanja banyak-banyak nak buat amal ibadat. Ini tidak. Asyik tiduuuur je...." hebohnya pada orang-orang yang datang kenduri bersunat anak Kak Lina.

"Biarlah Kak Nah..., biarlah dia nak cakap apa pun. Allah itu maha mengetahui" kata Mak bila Wan Nah datang berkunjung ke rumah petang itu. Sementelah berbual-bual dengan Mak, Wan Nah menceritakan tentang kelancangan mulut Wan Piah itu.

"Kak Nah pun tahu hari saya terpaksa solat di bilik itu, bukan? Bukankah hari itu saya diserang demam yang kuat. Tetapi hanya 2 hari sahaja saya terlantar. Selepas tu, saya gagahkan juga badan saya melangkah ke Masjidil Haram. Kerana apa? Kerana saya tahu saya datang dari jauh untuk menjadi tetamu Allah. Sudah tentu sahaja saya tidak lepaskan peluang untuk memperbanyakkan amalan saya di sana..." kata Mak dengan mata yang berkaca.

"Sabarlah Aminah.." kata Wan Nah.

Suatu hari yang lain, sewaktu Mak menghadiri jemputan walimatul urus, sedang Mak leka membantu orang-orang perempuan mengelap pinggan mangkuk, tiba-tiba Mak terdengar Kak Munah yang bermulut becok bersuara.

"Dengar kata, ada orang tu pergi ke Mekah asyik tidur je. Betul ke?"

Mak hanya berdiam diri. Tetapi hati Mak bagai dihiris sembilu. Mak sungguh tidak menyangka bahawa segala kebaikan hati Mak dibalas sampai begitu sekali oleh orang-orang yang hasad dengan Mak. Pulang sahaja dari majlis itu, Mak meluahkan rasa sedih Mak pada saya. Saya hanya boleh mendengar cerita Mak. Itulah yang sebenarnya yang Mak inginkan. Seseorang yang boleh Mak luahkan perasaan....

Jika diperkenankan oleh Allah, tahun hadapan Mak dan Apak akan sama-sama menunaikan fardhu haji buat kali yang kedua. Cerita, fitnah dan buah mulut tentang Mak dahulu sudah lama hilang dan Mak pun sudah lama melupakan tentang hal itu. Tetapi Mak masih tidak serik-serik untuk membenarkan sesiapa juga yang ingin turut serta dalam rombongan Mak. Kerana keredhaan yang Mak harapkan bukanlah keredhaan manusia. Tetapi keredhaan dari Allah SWT.


Indera : Saya akan ke Pulau Pinang pada Hari Khamis ini. Layangan Indera ini, Insya-Allah akan diisi semula pada Hari Isnin yang akan datang.

Thursday, March 22, 2007

Tag, Layangan Indera dan Kapal Ban


Saya telah ditag oleh Imanmawaddah untuk memaparkan rupa desktop saya. Sebenarnya tiada apa yang menariknya pun. Oleh kerana KingBinjai juga hari ini menyahut tag yang dikenakan, maka saya rasa tidak salah saya menjadikan hari ini sebagai hari menjawab tag. Seperti kata Bro Ghaz, Maka Terimalaaaaahhh........

--------------------------

Saya tidak tahu apakah pendapat khalayak yang pernah melawat blog saya, yang saya panggil Layangan Indera ini. Saya percaya pasti ada yang menyukainya dan tidak kurang juga yang akan menganggapnya sekadar picisan.

Apa pun yang ingin saya tegaskan di sini ialah, Layangan Indera ini sebenarnya hanyalah satu catatan perjalanan hidup saya. Tentang apa yang sedang dan telah saya lalui selama ini. Saya menulis kerana saya memang minat menulis dan apa yang terpapar tentang saya di skrin itulah saya yang sebenarnya. Saya telah melalui bentuk kehidupan yang berwarna-warni (semua orang pun begitu). Selama ini saya tidak pernah punyai diari dan segala yang saya lalui itu tidak pernah direkodkan. Dengan adanya blog ini, saya dapat meletakkan sedikit catatan sebagai tanda hati dari saya untuk tatapan orang-orang yang saya sayang dan selebihnya untuk kepuasan diri saya sendiri. Kerana dengan adanya catatan ini, saya dapat mengimbas semula kenangan yang telah saya lalui. Bukan bertujuan untuk memandang ke belakang, tetapi sebagai nostalgia yang sukar dilupakan. Supaya saya sentiasa ingat di mana titik saya bermula.

Keseluruhan catatan yang terdapat di Layangan Indera ini (selain daripada hikayat-hikayat) merupakan kisah sebenar yang berlaku dan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat. Apa yang terjadi, itulah yang direkodkan. Mungkin hanya pada penamaan di dalam watak yang terpaksa diubah bagi mengelakkan ada pihak yang mungkin tersinggung.

-------------------------------

Hari ini adalah hari ketiga bumi Sri Hartamas ini dilanda hujan. Cuaca mendung dan redup, sementara kabus berarak lesu melintasi bukit-bukau yang memisahkan kawasan Sri Hartamas dengan Sungai Penchala dan juga Taman Tun Dr Ismail di bahagian utara. Beberapa bahagian di jalanraya berlopak-lopak digenangi air. Cuaca sejuk ini mengingatkan saya pada suatu masa di zaman kanak-kanak saya di kampung.

Jika di kampung, sebaik sahaja usai hujan badai yang mengguyur dari langit, keadaan sekelilingnya sangat nyaman. Matahari masih terlindung di balik awan menjadikan keadaan petang yang sepatutnya panas, persis sahaja waktu awal pagi. Kabus akan berarak perlahan-lahan di celah dedaunan pohon kayu yang tinggi menjulang manakala rumput-rumputnya basah ditimpa titis-titis air yang turun dari langit.

Pada waktu seperti ini, kebiasaannya saya dan sepupu saya Fuad dengan ditemani oleh rakan-rakan karib akan bersusup-sasap di dalam dusun Apak menuju ke sebatang anak sungai yang terdapat di dalamnya. Anak sungai itu hanya sedepa orang dewasa lebarnya manakala dalamnya hanya pada paras pinggang kanak-kanak. Airnya jernih, mengalir laju menuju ke taliair untuk mengairi petak-petak sawah yang berhampiran.

Di situlah kami akan bermain Kapal Ban. Kapal Ban ini mungkin asing bagi kanak-kanak dekad ini. Rata-rata barangkali tidak mengerti apakah itu Kapal Ban atau jika mereka mengetahuinya sekalipun, Kapal Ban ini langsung tidak menarik perhatian mereka yang rata-ratanya lebih gemar bermain permainan komputer. Tetapi bagi kami dahulu yang rata-ratanya datang daripada keluarga yang susah, Kapal Ban itulah dunia yang kami kemudi. Itulah juga sebahagian daripada puncak keseronokan kami.

Kapal Ban adalah permainan lumba rakit daun. Setiap seorang daripada kami akan memilih sehelai daun untuk dihanyutkan di garisan permulaan yang telah ditetapkan oleh kami. Mana-mana daun yang sampai terlebih dahulu di akhir garisan, akan dikira sebagai pemenang.

Dalam redup berbumbungkan pepohonan dan di bawah awan yang berarak mendung, sorakan dan tempikan kami riuh rendah memenuhi tepian dusun Apak. Gamat suasana apabila kami bersorak memberi galakan supaya Kapal Ban kami terus laju dan laju (bagaikan Kapal Ban itu mengerti maksud hati kami). Sering sorak-sorai itu berakhir dengan perkelahian dan tumbuk menumbuk apabila sorakan itu beradun dengan ejekan. Setelah keadaan menjadi hangat, pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, pergaduhan itu sering tidak berpanjangan sehingga ke petang esoknya. Masuk sahaja sesi persekolahan pagi, persahabatan kami terjalin erat semula seolah pergaduhan semalam itu ibarat sebuah mimpi sahaja. Orang tua kami juga tidak pernah mengambil endah sekiranya kami pulang ke rumah dengan pakaian kotor dan bibir yang pecah berdarah kerana pada mereka, pergaduhan antara kami kanak-kanak itu adalah sesuatu yang sangat normal.

Oleh kerana kami kebanyakannya datang dari keluarga yang susah, tentang penampilan dan berpakaian langsung tidak diambil kisah. Seluar yang sering kami kenakan adalah seluar pendek lusuh yang mungkin berusia melebihi usia kami sendiri. Seluar yang kusam dan kumal. Sudah tidak berfungsi lagi zipnya dan koyak di bahagian kocek. Itu sudah cukup baik jika tidak koyak di bahagian kelangkang. Tentang baju pula, baju itu kebiasaan warisan daripada abang yang sulung. Bayangkan bagaimanakah rupanya baju kami jika kami anak yang ketujuh dalam keluarga serta mempunyai 4 orang abang. Soal baju koyak di bahagian ketiak itu sudah menjadi kebiasaan buat kami. Rambut kami pula tidak bersisir dan ianya berwarna kecoklatan tanda dibakar cahaya mentari.
Masih terbayang-bayang lagi di mata saya bagaimana kami riang berlarian di atas petak sawah sambil menahan taut untuk menangkap haruan dan puyu. Setelah senja mulai meremang, ibubapa kami akan melaung dari rumah memanggil kami pulang untuk mandi, bersolat maghrib dan seterus membaca mukaddam dan juga Al-Quran.

Kapal Ban kami hanyut masuk ke dalam taliair. Kemudian hanyut dan hanyut lagi menongkah arus ke sungai. Kami langsung tidak ambil pusing apakah Kapal Ban kami selamat sampai ke muara yang ternganga luas atau tenggelam mereput di dasar sungai.

Wednesday, March 21, 2007

Fast Food



Pejabat saya bersaiz kecil. Terletak di pinggiran ibukota. Penghuni di pejabat itu juga tidak ramai. Empat orang pengarah syarikat dan seorang pekerja. Pekerja itu adalah saya.

Syarikat kami menjalankan perniagaan jururunding kewangan dan pelaburan. Syarikat tempat saya bekerja ini hanya bermodalkan pakaran mereka yang mahir dalam selok belok bidang kewangan dan bukan yang melibatkan hal-hal teknikal. Maka tidak hairanlah, di pejabat kami terlalu kurang perkakasan yang bersifat teknikal. Seorang pekerja sudah cukup untuk menangani perjalanan harian pejabat yang kecil ini.



Sungguhpun pejabat ini kecil, namun setiap pelawat yang berkunjung ke pejabat kami akan dapat merasakan aura professional yang menjadi etika kerja majikan saya. Ini termasuklah susun atur hiasan dalaman dan juga perkara lain seperti penataan cahaya. Ruang bilik mesyuarat itu selalu menjadi tempat di mana kerjasama akhirnya diikat. Di ruang pantri, lengkap dengan perkakasan eletrik seperti peti sejuk dan juga microwave oven.



Saya diterima bekerja di situ setelah saya mengenali Kak Nazatul, isteri kepada salah seorang Boss saya iaitu Encik Zuhairi. Sebelum bermulanya sesi temuduga dengan pengarah syarikat, saya sudah diberikan "taklimat" awalan oleh Kak Nazatul tentang segala hal yang bakal saya hadapi sekiranya saya diterima bekerja.



"Nanti Indera tolong tengokkan suami Akak, Zuhairi tu. Dia tu ada Diabetes.."



"Apa dia Kak?"



"Kencing Manis laa.. Tengok dan tegur cara pemakanannya jika Indera rasa tak sesuai. Akak tak mahu jadi janda.." kata Kak Nazatul.



Hahahahahaha... kami ketawa.



Setelah lama bekerja, saya mula memahami akan sikap dan kehendak setiap pengarah yang ada di syarikat ini. Keempat-empat pengarah yang semuanya lelaki itu mempunyai cara bekerja mereka yang tersendiri. Masuk saya, hanya kami berlima di pejabat ini. Semua lelaki. Tiada sekuntum kembang pun yang menyeri pejabat ini di kala kelesuan.



Penyakit Kencing Manis yang dihadapi oleh Encik Zuhairi berada di tahap yang sederhana. Namun terdapat satu perkara yang menarik hati saya tentangnya. Encik Zuhairi ini langsung tidak menjaga tabiat pemakanannya. Dia akan makan apa sahaja mengikut seleranya. Sementelahan pula orangnya memang berharta. Perkara mengeluarkan wang bagi membayar bil makan tengahari sebanyak RM50.00 itu seperti saya mengeluarkan 50 sen sahaja baginya. Yang paling digemarinya ialah hidangan Burger King, iaitu Set Whopper bersaiz besar dengan segelas besar air Coca-Cola. Tetapi mesti Coca-Cola yang kurang gula.



Saya sering tertawa sendirian apabila memikirkan tentang perbezaan Coca-Cola biasa dengan Coca-Cola kurang gula. Paras gulanya tetap melebihi daripada keperluan harian untuk badan. Saya tidak lagi hairan apabila memikirkan bagaimana dia yang baru berusia 35 tahun sudah mengidapi Diabetes tahap sederhana kerana kurangnya perhatian terhadap pemakanan. Sekiranya pengarah-pengarah yang lain turut sama berada di pejabat, dia akan mengawal sedikit cara pemakanannya kerana rakan kongsinya yang lain itu akan menegur cara pemakanannya. Sekurang-kurangnya dia akan merasa malu-malu asam. Namun jika hanya dia dan saya sahaja berada di pejabat ini, saya akan menjadi sekutu kuatnya. Ini kerana tiada siapa yang akan menegurnya. Saya hanyalah seorang pekerja. Apalah yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja untuk memperbetulkan cara pemakanan Bossnya.



"Indera, kita nak makan apa tengahari ni?" tanya Encik Zuhairi.



"Entah. Ikut Boss la.. Kalau Boss nak, saya boleh pergi beli.. Saya punya, tak payah pun tak apa"



"Haa.. kalau macam tu kita makan fast food. Engkau pergi Burger King. Aku nak set Whopper. Besar. Tambah sebiji lagi Whopper. Satu tak cukuplah. Untuk engkau, engkau belilah apa yang engkau suka.."



Tengahari itu kami makan tengahari menjamu selera dengan set Whopper sambil bergelak ketawa menonton klip video "My Hump" dari Black Eye Peas menerusi komputer riba milik Encik Zuhairi.

Satu hari, dia masuk ke pejabat dalam keadaan tergesa-gesa.

"Indera, cancel appointment saya petang ni. Saya kena pergi ke Gleneagles Intan. Jari saya dah masuk nanah"

"Kenapa Boss?"

"Diabetes tu lah. Hari tu aku kupas kacang pistachios. Sekali tu cengkerangnya tercucuk dalam jari aku. Aku ingatkan tak ada apa-apa. Sekarang dah bernanah pulak.."

"Nak kena potong ke nanti, Boss?"

"Hisshhh engkau ni. Celupar mulut!!"

Beberapa hari kemudian Encik Zuhairi masuk semula ke pejabat. Keadaannya sudah stabil. Dia kembali ketawa riang bersama rakan kongsinya. Banyak nanah yang keluar, komennya. Saya sekadar mendengar. Tengahari itu pula, dia membeli satu pek Coca-Cola kurang gula bersaiz jumbo. Hampir 15 botol kesemuanya disumbatkan ke dalam peti sejuk.

"Lepas ni kalau Boss masuk hospital lagi, Boss jangan risau. Kita dah ambil insurans dengan ING" kata saya.

Encik Zuhairi sekadar tersengih.

Monday, March 19, 2007

Cinta



Kalau benar cinta itu buta
Siapakah jadi mangsanya?
Kalau cinta itu cinta setia
Menangis ketawa sama ha ha ha
Kalau cinta boleh beli cinta
Berapa pula harganya
Alangkah indah kita dicinta
(Maaf! tidak dihafal hahahahaha)

Hahahaha.... saya kembali!! Dengan semangat baru!!. Maafkan saya kiranya entri saya yang lepas itu berbau keputus-asaan yang sangat kuat. Maaf juga kiranya saya menyinggung hati mana-mana pihak. Setelah merenung dalam diri serta kata-kata yang dilontarkan oleh teman-teman blogger, saya mengakui kelemahan saya dan bertaubat banyak-banyak atas kekhilafan saya sebagai hamba. Benar kata Izinni, saya tidak bersyukur dengan kurniaan ilahi dan benar juga kata Bro BP bahawa saya terlalu passimistik.

Azah tidak berapa sihat. Sakit Senggugut yang kuat. Ditambahi pula dengan sakit kepala yang mencengkam urat kepalanya menjadikan dia kurang upaya melakukan tugas harian. Kasihan.. Saya hanya mampu mengurut-urut kepalanya, namun itu tetap tidak dapat melegakan kesakitan yang dihadapinya. Ingin dibawa ke klinik, dia enggan. Akhirnya kami suami isteri dan anak-anak tertidur dalam perbualan yang panjang. Sedar-sedar azan subuh berkumandang dari masjid yang berhampiran.

Siri Aufa sudah semakin degil dan enggan mendengar kata. Dia akan berteriak dan menengking adiknya sekiranya ada perkara yang menaikkan kemarahannya. Akhirnya kerana tidak tahan melihat Adil Rayyan asyik dibuli olehnya, saya membawanya ke rumah Mak. Sepanjang ke rumah Mak itu, dia merengek meminta dipasangkan kaset bacaan Al-Quran. Sepanjang jalan itu juga dia tekun mendengar bacaan Al-Quran Surah Al-Maidah menerusi radio sambil kadang-kala bertanyakan itu dan ini tentang perkara yang dilihatnya sepanjang jalan.

Sebaik sahaja bacaan Al-Quran di kaset itu tamat, dia mengeluarkan kaset itu sendiri. Secara automatik, radio akan mengambil alih peranannya.
"Lagu apa ni, Baba?" tanyanya. "Kak Long tutup ye.. Lagu tak elok" katanya.
"Tutuplah radio tu kalau Kak Long tak suka" kata saya memberi keizinan sambil mata saya memerhatikan gelagat orang yang turun dari bukit hospital. Kereta yang saya pandu hanyalah pada 50km sejam.
Sebentar kemudian, DJ radio itu memutarkan lagu terbaru Amy Mastura yang bertajuk Cinta jika tidak salah saya.
"Baba, lagu Puteri..." kata Siri Aufa.
Baru saya teringat bahawa lagu itu adalah lagu tema sitkom Puteri.

Kalau benar cinta itu buta
Siapakah jadi mangsanya
Jika cinta itu cinta setia
Menangis ketawa sama ha ha ha...

Siri Aufa kemudian menggoyangkan tangan dan beraksi seperti lenggok Nora Danish di dalam promo Sitcom Puteri itu. Saya yang pada asalnya menggerutu dalam hati melihat pengaruh television ke atas anak saya kemudian tidak sampai hati hendak menutup radio itu. Akhirnya saya terkekeh-kekeh ketawa melihat aksinya ditambahi pula dengan perkataan ahaaa.. di hujung lagu itu yang disebut dengan jelas oleh Siri Aufa. Ini menunjukkan betapa television memberi pengaruh yang kuat kepadanya sejak akhir-akhir ini. Sudahnya dalam kelucuan itu saya juga turut menyanyi bersamanya.

Sampai di rumah Mak, keadaan masih pagi lagi. Suasana sekeliling sunyi sepi. Daun-daun rambutan kering memenuhi halaman. Mungkinkah Mak tidak sihat? Biasanya jika Mak tidak sihat, dedaunan kering itu adalah isyarat bahawa Mak tidak upaya menggerakkan badannya. Membersihkan halaman rumah itu adalah senaman rutin bagi Mak. Selain daripada dapat membersihkan keliling rumah, ianya dapat menyegarkan badan.
"Badan Mak ni je yang tak mahu nak kurus. Kalau ikutkan senaman, apa yang Mak tak buat?" beritahu Mak pada saya di suatu petang.

"Saya ingatkan Mak tak sihat" kata saya sebaik sahaja melihat Mak tersenyum memandang kami dua beranak.
"Sajalah Mak nak berehat.." kata Mak.
Siri Aufa dan Fatin sedang leka menyusun huruf-huruf di papan Sahibba. Fatin menyusun huruf-huruf menjadi perkataan-perkataan yang mudah sesuai dengan umurnya yang baru berusia 9 tahun. Manakala Siri Aufa hanya meniru kelakuan Fatin. Huruf yang disusunnya tunggang terbalik sesuka hati.

Saya mengadu masalah saya pada Mak. Mak hanya menyuruh saya bersabar.
"Ingatlah, walau bagaimana teruknya kamu diuji, masih ramai lagi yang menyayangi kamu. Dan yang terutama, selalu Mak ingatkan kamu. Ujian Allah itu tanda Allah mengasihi kamu, Indera!!"
"Ya, Mak. Saya tahu itu. Cuma saya sahaja yang terlupa..."

Sewaktu memandu pulang ke rumah mertua, saya singgah ke kedai Tok Bi, membelikan Aiskerim Malaysia perisa jagung kegemaran Siri Aufa. Bendang terbentang luas dengan matahari memancar garang mendaki tinggi kaki langit di sebelah timur. Seekor burung gelam terjongket ekornya, terkejut dengan kehadiran kereta saya. Burung itu melompat terbang beberapa ela dan mencari makan kemudiannya seolah-olah kedatangan saya itu langsung tidak menakutkannya.

Bila kusedari
Diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bilaku keliru
Kusebut namaMu
Terasa diriku kembali di pangku

Kau yang pertama
Tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan
Dikaulah cahaya
Izinkan aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayangMu
Kuberserah diri..

Friday, March 16, 2007

Seindah Cahaya Pelangi


Di dalam kebosanan, saya berkelana ke timur dan ke barat. Akhirnya tiba di sebuah laman. Lantas berbicara mesra dengan pemiliknya tentang sebuah kehidupan, tentang hari esok, juga tentang mimpi yang tidak kunjung tiba.
Saya sekali-kali tidak mahu menyalahkan takdir kehidupan saya. Minta dijauhkan dari itu semua. Namun saya letih. Terlalu letih memikirkan arah hidup saya sendiri. Saya rasakan bahawa waktu itu seolah-olah sudah terhenti sejak beberapa tahun yang lampau.
Sayalah seorang insan yang tidak punya impian. Atau saya tidak dibenarkan bermimpi. Impian saya jauh di langit ketujuh. Setiapkali saya bermimpi, setiap kali itu saya akan mengembangkan sayap terbang ke udara untuk menggapainya. Namun setiap kali itu juga, sayap saya kepatahan dan saya jatuh ke bumi. Saya terdampar kesunyian dan menangis sendirian menahan kesakitan. Impian saya kemudiannya retak seribu. Lalu jatuh berkeping-keping menimpa bumi.
Saya tidak ingin lagi bermimpi. Mimpi hanya membuatkan saya menangis kesakitan, kehampaan seterusnya merobek luas luka yang telah sedia ada. Saya melaung dan bertanya kepada Allah SWT, kenapa saya tidak dibenarkan bermimpi untuk terbang ke angkasa. Namun Allah SWT masih lagi membisu dalam Rahmat dan HikmahNya.
Hanya yang terlihat pada mata hati saya adalah sejalur benang Cahaya yang masih melingkari saya dari terjun ke jurang yang dalam. Sekurang-kurangnya, saya dapat merasakan bahawa diri saya masih lagi dipandang, dilihat dan disayangi olehNya.
Tuhan... Aku tidak ingin bermimpi. Padamkanlah erti mimpi dari hidupku Ya Khaliq, Ya Jabbar. Mimpi hanya membuatkan aku berharap dan manakala harapan itu membawa penderitaan bersamanya. Aku minta sangat-sangat. Tolong aku Ya Allah..
Saya mengerti kini. Pelangi tidak akan berkunjungan lagi ke dasar hati ini!!

Thursday, March 15, 2007

Taman Astakona

Sudah lama saya berhasrat ingin meletakkan sedikit catatan untuk sahabat atau lebih tepat lagi "kembar-kembar" saya iaitu Din dan Azmi. Catatan ini adalah merupakan perlambangan bagi ingatan saya serta kasih sayang saya yang tidak berbelah bagi untuk mereka. Memang benar saya sangat kasihkan mereka berdua ini, namun kasih sayang ini tiada kaitannya dengan apa yang digelar oleh Esis sebagai Cinta Songsang, walaupun kami ini sesama jantina.

Kasih sayang antara kami telah diikat sejak kami masih kecil. Masih terlalu mentah. Din adalah dua pupu saya. Jadi sudah tentunya Mak dan Apak sangat mengenali kedua ibubapanya. Sejak kami masih berjalan jatuh lagi kami sudah mengenali antara satu sama lain apabila kedua ibubapa kami saling kunjung mengunjung. Oleh yang demikian, perasaan persaudaraan antara saya dan Din sememangnya sudah wujud dalam diri kami sejak di peringkat awal lagi. Persaudaraan ini kemudiannya dibumbui lagi apabila Din merupakan rakan sedarjah dan juga teman sepermainan.

Saya langsung tidak mengenali Azmi sebelum saya berusia 8 tahun. Kami tiada ikatan persaudaraan atau jika ada pun, jaraknya sudah terlalu jauh. Rumah ibubapa kami juga agak berjauhan antara satu sama lain dan ketika di Darjah Satu, kami ditempatkan di kelas yang berlainan. Dia di Kelas A, manakala saya di Kelas B. Walau bagaimanapun ketika menginjak ke tahun kedua persekolahan, saya ditukarkan ke kelas yang sama dengan Azmi. Azmi agak rapat dengan Din. Berkemungkinan disebabkan rumah mereka berhampiran. Persaudaraan saya dengan Din membuka jalan untuk saya mengenali hati budi Azmi.

Di antara kami, Din yang paling tua kerana dia dilahirkan dalam bulan Januari. Saya lahir dalam bulan Mac manakala Azmi lahir dalam bulan April. Namun di antara kami bertiga, Azmi bertubuh paling besar dengan roman wajah yang comel. Tidak hairanlah ketika usia remajanya, dia mempunyai ramai peminat di kampus. Pun begitu, ketika berusia 8 tahun itu, saya masih tidak terlalu mengenali Azmi sehingga suatu hari, saya nyaris ditumbuk oleh Nizaruddin, murid darjah empat yang suka membuli kanak-kanak lain.
"Ooo, kamu sepak kaki aku ye!! Kamu buta ke?" kata Nizar.
"Eh, aku tak sengaja.." jawab saya terketar-ketar. Ketika itu Nizar sudah naik angin. Saya pasti akan ditumbuknya.
"Tak sengaja kamu kata.." kata Nizar sambil menarik kolar baju saya.
Nizar mengangkat tangannya untuk memukul saya. Saya memejamkan mata untuk menahan kesakitan. Budak-budak semakin ramai berkumpul di belakang bangunan sekolah itu melihat kami.

"Nanti..!!" tiba-tiba saya terdengar satu suara. Saya membuka mata. Azmi!!
"Kalau hendak cari lawan pun, carilah yang besar sikit" kata Azmi kepada Nizar.
Mendengarkan itu, Nizar melepaskan kolar baju saya seraya menjegilkan matanya ke arah Azmi. Saya lega seketika. Namun saya cemas semula apabila melihat Nizar melangkah laju ke arah Azmi. Mungkin kata-kata Azmi itu seumpama mencabarnya.

Nizar menerkam Azmi. Azmi hanya melangkah setapak ke sisi sebelum menangkap baju Nizar dan menghumbannya ke tepi. Nizar terkejut kerana dia telah dikalahkan di dalam pusingan pertama. Dia mencuba lagi, tetapi kali ini Azmi menangkap kepalanya sebelum menghayun penampar berat di atas kepala Nizar. Terpinar-pinar sekejap Nizar. Dia kemudian jatuh tersungkur dan menangis tersedu-sedu. Maklum sahaja kanak-kanak. Apabila terasa sakit, mulalah menangis.

Keriuhan budak-budak menarik perhatian Cikgu Harun. Melihat Cikgu Harun melangkah laju ke belakang bangunan sekolah itu, seorang murid melaung,
"Oooii, Cikgu Harun datang, oii..!!
Maka bertempiaranlah budak-budak semua melarikan diri, termasuk kami. Jika menerima penangan Cikgu Harun pasti lebih berbisa dari tumbukan seorang budak berusia 10 tahun.

Kejadian itu membawa rahmat bagi saya. Saya keluar dari senarai mangsa buli di sekolah kerana Azmi sentiasa di sisi melindungi saya dan Din pula sebagai penghibur saya. Kami bersaing dalam pelajaran dan sentiasa bertukar-tukar tempat antara nombor satu ke nombor lima di dalam peperiksaan. Saya semakin rapat dengan Din dan Azmi. Kami bersama lebih daripada 9 jam sehari. Bermula dari sesi persekolahan pagi pada jam 7.00 hingga tamat sesi sekolah agama pada jam 6.00 petang. Jika dihitung-kira, pergaulan kami lebih banyak jika dibandingkan dengan pergaulan kami bersama kedua ibubapa kami.

Kenakalan dan kesungguhan, benarlah sukar dicari perbezaan. Namun jika seorang terbabit, yang dua lagi pasti merelakan diri untuk terbabit sama. Lantaran itu kami akan sama-sama dihukum.
"Kome nak tengok aku buat I lep yu, I ken chey..?" tanya Din sewaktu kami duduk termenung memandang kosong papan hitam yang ditulis dengan khat jawi. Sewaktu itu Tuan Seman, sedang meneliti bacaan Al-Quran Milah Teh Boh. Dari mana mulanya gelaran Teh Boh itu, saya pun tidak pasti.
"I lep yu, I ken chey?" Apa tu..?" tanya saya bingung-bingung. Azmi mula mengerutkan keningnya tanda dia juga tidak tahu.
"Haa.. ni. Aku buat I lep yu, I ken chey.." kata Din.
Dia mula melakarkan permukaan meja itu dengan menggunakan pisau lipat. Tidak lama kemudian terbentuklah gambarajah hati dengan satu anak panah menembusi di tengahnya. Kami terlongo. Oo, itu I lep yu, I ken chey rupanya!!.

Sedar-sedar, Tuan Seman sudah berdiri di tepi meja kami. Kami kepucatan.
"Sapa yang buat benda ni.." tanya Tuan Seman. Kami terdiam ketakutan.
"Cakap cepat!!" tengking Tuan Seman. Kami sudah mengeletar lutut.
"Saya buat, Ustaz" Din mengaku salah.
"Bukan Ustaz, saya yang buat.." kata Azmi.
"Bukan Ustaz, saya yang buat.." kata saya pula mengaku.
Oleh kerana ketiga-tiganya mengaku, maka ketiga-tiga menerima 5 sebatan setiap seorang di punggung. Tidak berapa lama kemudian, barulah saya tahu bahawa I lep yu, I ken chey itu adalah tajuk sebuah lagu, I love you more than I can say.

Kami berkongsi segala suka duka. Mengharungi zaman kanak-kanak sebelum memasuki usia remaja. Tidak pernah sekalipun persahabatan kami tercemar dengan sebarang perselisihan faham. Namun oleh kerana kami bertiga, kami sentiasa mempercayai satu kepercayaan karut, yang kami reka sendiri. Ketiga-tiga kami tidak mungkin mengecapi sesuatu perkara itu bersama-sama sekaligus. Pasti ada dua yang mengecapinya dan yang satu lagi akan menangis hiba. Hal ini kami percayai sejak kami tamat sekolah rendah. Saya dan Din mendapat 4A di dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Manakala Azmi hanya mendapat 2A sahaja. Setelah kami menduduki SRP, Din dan Azmi mendapat 8 Aggreget. Sementara saya hanya 17 Aggregat. Setamat SPM pula, saya dan Azmi mendapat tempat ke IPTA, sementara Din hanya mampu meneruskan pelajaran ke tingkatan 6.

Setelah kami bekerja pula, kami terpisah lagi. Seorang di utara, seorang di tengah dan seorang lagi di selatan. Din di Langkawi. Saya di Kuala Lumpur dan Azmi di Johor Bahru. Setelah masing-masing berkahwin, kami semakin jauh terpisah jarak. Masa kami bertemu ada tidaknya hanyalah ketika Hari Raya Aidil Fitri. Namun kami masih tetap kami yang dahulu. Kasih sayang kami masih lagi utuh. Kerinduan mengikat kami walaupun kami semakin terpisah jauh dalam arus kehidupan masing-masing. Ketika memandang taliair tempat kami menjala ikan, hati saya semakin sayu.

Ketika itu, mentari mulai merah menenggelamkan dirinya di ufuk barat...


Indera : Dari sebuah lagu, Taman Astakona untuk kedua saudaraku yang tercinta..

Umpama mimpi
Kukecap kenangan
Taman permainan masa kecil dulu
Sisip senyummu
Kemanisan tanpa gula
Meninggalkan seribu keresahan

Kala gerimis
Menitis di hati
Kenangan lenyap musnah segalanya
Mungkinkah ada lagi
Saat-saat indah itu
Agar dapat kita bersama lagi

Tuesday, March 13, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn Akhir)

Majlis pertunangan Mak selamat dijalankan. Namun Tok Haji Hassan menggaru-garu kepala memikirkan hal bakal menantunya kerana Tok Haji Hassan sendiri tidak pernah melihat batang tubuh menantunya itu. Walaupun dia percayakan akan kejujuran persahabatan Sutan Ali, namun sekurang-kurangnya dia ingin juga mengkaji budi bahasa lelaki yang bakal masuk dalam keluarganya. Tok Haji Hassan bertanyakan kepada Mak tentang Apak, tetapi Mak cuma angkat bahu tanda tidak mengenali tunangannya itu walaupun keluarga tunangannya itu tinggal di kampung tempatnya mengajar.

Tok Haji Hassan menyuarakan keinginan hatinya untuk melihat bakal menantunya itu kepada Opah Saadiah. Opah Saadiah cuma tersenyum kerana Opah Saadiah tahu bagaimana ingin melihat bakal menantu mereka. Lalu Opah Saadiah mencadangkan kepada Tok Haji Hassan supaya menulis surat kepada anak saudaranya, Osman, seorang guru yang mengajar di Sekolah Inggeris di Telok Bakong. Osman ini merupakan kawan baik Apak. Jika Apak pulang dari Pantai Remis, pasti Apak akan ke rumah Pakcik berbual-bual dengannya.

Di suatu hari Apak pulang ke kampung. Seperti kebiasaannya, Apak bersama Pakcik Osman dan kawan-kawannya yang lain akan berkumpul melihat orang bermain Papan Dam di hadapan deretan kedai di kampung itu. Setelah puas mereka melihat orang bermain Papan Dam itu, mereka akan minum teh di kedai Mail Boyot.
"Man" laung Ketua Pos, Manap. "Ada surat untuk engkau"
"Eh, kawan-kawan. Sekejap ye!!" kata Pakcik Osman

"Ada surat baru sampai ke sini untuk engkau" beritahu Manap.
"Sementelahan engkau kat sini, tak perlulah aku nak mengayuh basikal menghantar ke rumah engkau" kata Manap lagi.
"Ya. Terima kasih ya Abang Manap"
Surat dari Tok Haji Hassan. Sudah lama Tok Haji Hassan tidak mengutuskan surat pada Pakcik Osman. Tiba-tiba sahaja munculnya. Pakcik Osman bagaikan dapat meneka maksud surat itu. Mata Pakcik Osman meleret ke huruf-huruf jawi yang berkhat cantik itu sambil berjalan balik ke tempat dia berkumpul dengan kawan-kawannya.

Ke hadapan Anakandaku Osman,
Pertama kalinya Ayahanda memohon kemaafan seandainya surat Ayahanda ini mengganggu kesibukan tugas harian Anakanda di sana. Ayahanda berharap dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Anakanda diberikan kesejahteraan dan kesihatan yang sempurna hendaknya.

Seperti yang Anakanda sedia maklum, sepupu Anakanda, Aminah itu sudah pun ditunangkan dengan seorang pemuda di kampung berhampiran dengan tempat Anakanda mengajar. Secara ikhlasnya, Ayahanda sendiri belum pernah melihat akan orangnya itu. Dengarnya tunangan Aminah itu juga begitu rapat hubungannya dengan Anakanda. Oleh yang demikian, Ayahanda berharapkan bantuan Anakanda supaya dapat membawa Anakanda Muhammad Suria itu datang ke rumah kami. Kami ingin menjemput Anakanda berdua makan di sini.

Walau bagaimanapun perkara ini mestilah dirahsiakan daripada pengetahuan Anakanda Muhammad Suria itu kerana jika dimaklumkan kepadanya, sudah pasti dia enggan kerana merasa malu. Biarlah perkara ini diketahuinya sendiri apakala dia naik ke rumah Ayahanda kelak.

Ayahanda rasa cuma setakat ini dahulu warkah Ayahanda. Sampaikan salam penuh takzim dari Ayahanda sekeluarga buat Ayahanda dan Bonda Anakanda di sana.

Yang benar

Haji Hassan

Sewaktu membaca surat itu, Pakcik Osman ketawa terkekeh-kekeh sehingga menimbulkan kejengkelan di hati Apak.
"Apa yang lucu sangat tu? Tak baik ketawa seorang di depan orang ramai. Nanti orang kata kamu gila" kata Apak. Pakcik Osman masih lagi ketawa.
"Suria, apa kata kita ke Parit. Aku hendak pergi beli barang sikit" ajak Pakcik Osman.
Apak terdiam. Kepalanya seakan berfikir sesuatu.
"Ala, jangan risaulah. Aku isi minyak Lambretta kamu" pancing Pakcik Osman.
"Baiklah, jom".

Di Pekan Parit itu Pakcik Osman membelek barang itu dan ini sambil cuba mengaburi mata Apak konon-kononnya dia sibuk mencari barang keperluan. Namun Apak merasa hairan bercampur bosan setelah tiada satu barang pun yang berkenan di hati Pakcik Osman. Ada tidaknya, dia membeli sebekas besar limau manis. Itu sahaja.
"Barang di sini tak cantiklah Suria. Menyesal aku datang sini"
"Engkau ni nak beli apa sebenarnya?" tanya Apak.
"Adalah" kata Pakcik Osman sambil matanya melirik lenggang seorang dara yang berjalan bersama adik perempuannya.

"Eh, Suria. Jom kita pergi rumah Makcik aku nak? Sekarang ni dah tengahari. Boleh juga kita makan tengahari kat sana.."
"Bolehlah" jawab Apak separuh bosan.

Sampai sahaja di laman rumah Tok Haji Hassan, matahari sudah terpacak di atas ubun-ubun. Tok Haji Hassan hanya memakai sarung pelikat tanpa berbaju. Sekali-sekala dia mengibaskan badannya yang panas dengan singletnya yang diselempang ke bahu. Apak sama sekali tidak mengetahui bahawa itulah bakal mertuanya.
"Naik leh" pelawa Tok Haji Hassan.

Mata Apak liar memandang keadaan dalam rumah itu. Besar juga, fikirnya. Kemudian dia memandang ke dapur. Dia ternampak Mak Yong Khadijah dengan Mak Uda Zaidah terkekeh-kekeh memandangnya.
"Haa.. Osman. Baru sampai?" tegur Opah Saadiah.
"Baru je Mak Ngah" kata Pakcik Osman.
"Kira kamu dah terimalah surat Mak Ngah ye?"
"Ya, Mak Ngah. Errr.. Mak Ngah, ni kawan Osman. Muhammad Suria namanya" kata Pakcik Osman sambil mengernyitkan matanya kepada Opah Saadiah.
"Apa khabar Makcik?" sapa Apak dengan sopan.
"Khabar baik" kata Opah Saadiah sebelum berlalu ke dapur menyiapkan juadah untuk tetamunya.

Apak, Pakcik Osman dan Tok Haji Hassan berbual dengan rancak. Perbualan mereka berkisarkan kepada kerja seharian seperti berkebun dan juga tanam-tanaman.
"Pakcik tak boleh duduk diam. Kalau duduk diam, Pakcik rasa macam nak demam" kata Tok Haji Hassan.
"Kalau lama tak menggerakkan badan, penyakit orang tua mulalah datang" tambah Tok Haji Hassan lagi.
"Badan gemuk macam Pakcik ni pun ada penyakit?" tanya Apak. Apak sememangnya agak keloloh dalam berbicara. Namun dia masih tidak memahami kenapa Pakcik Osman sentiasa menyiku rusuknya.

"Cantik hiasan rumah ni, ye Pakcik. Mesti ada orang yang mengadunnya. Pakcik ada anak dara?" tanya Apak.
"Ada. Tapi dah bertunang..."
"Allah, rugilah saya" kata Apak bergurau sebelum ketawa besar. Walau bagaimanapun ketawanya terhenti apabila dia sekali lagi disiku oleh Osman.
"Apa hal kamu asyik menyiku aku ni. Sakit tau tak?" marah Apak pada Pakcik Osman.

"Errr... duduklah dulu ya. Pakcik nak ke kebun pisang ke belakang tu sekejap" kata Tok Haji Hassan sebelum mengangkat punggung menuju ke laman tangga untuk ke kebun di belakang rumahnya. Ketiadaan Haji Hassan itu memberi peluang untuk Apak meninjau-ninjau ruang tamu di rumah itu sambil melihat gambar-gambar yang bergantungan. Seketika, Apak terpandangkan sehelai borang permohonan nikah. Di atasnya tertera nama pengantin perempuan dan pengantin lelakinya iaitu... Muhammad Suria Bin Sutan Ali.

Saat terpandangkan namanya tertera di borang itu, mengeletarlah lututnya. Di dahinya merenik peluh dingin.
"Ya Allah, Man. Kita ni kat mana ni..." kata Apak ketakutan.
"Kat rumah mertua kamu!!" tegas Pakcik Osman sebelum meletus gelak tawanya.

Dalam kekalutan itu, Opah Saadiah masuk ke ruang tamu memanggil kedua-dua mereka untuk mengadap hidangan tengahari. Tok Haji Hassan muncul beberapa minit selepas itu.
"Suria, kenapa nampak tak selesa?" tegur Tok Haji Hassan. "Tak sedapkah lauk yang dijamah?"
"Sedap. Cuma saya takut..." kata Apak berterus terang.
Hahahahahahaha.... mereka mentertawakan Apak tengahari itu.

Sampai sahaja di kampung, Apak menyerahkan pisang yang dikirim oleh Tok Haji Hassan kepada Opah Maryam.
"Mana kamu dapat pisang ni?" tanya Opah Maryam.
"Haji Hassan bagi"
"Haji Hassan mana" tanya Opah.
"Haji Hassan mertua sayalah"
"Amboi, bukan main gatal lagi kamu pergi rumah orang tu. Nikah apa pun belum.." suara Opah Maryam berleter panjang dari dapur. Apak sekadar mampu memekakkan telinga. Beberapa tahun selepas Atuk Sutan Ali bercerita dengan saya itu, Apak dengan rela hatinya membuka mulut menceritakan kisah yang sama kepada saya.
"Sampai saja di kampung, aku tendang-tendang Si Man tu.." cerita Apak kepada saya.

Apak dan Mak diijabkabulkan pada 17 April 1966. Bertepatan setahun sesudah itu lahirlah abang saya yang sulung diikuti oleh 7 adik-adiknya yang lain. Perkahwinan Mak penuh dengan pelbagai cerita suka dan duka. Tawa dan airmata. Segalanya Mak tempuhi dengan penuh ketabahan dan kerelaan kerana dia sudah ditakdirkan berjodoh dengan Muhammad Suria Bin Sutan Ali itu.

Monday, March 12, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn 2)

Oleh kerana sudah sekampung, maka selalulah Mak berpapasan dengan Atuk Sutan Ali sewaktu Mak hendak ke sekolah mahupun balik dari sekolah. Atuk Sutan Ali akan sentiasa bertanya kepada Mak tentang mana-mana perkara yang dapat ditolong kerana Atuk Sutan Ali sudah berjanji dengan Tok Haji Hassan untuk melihatkan keadaan Mak. Walau bagaimanapun tidak banyak yang dapat ditolong oleh Atuk Sutan Ali kerana Cikgu Siti Rahmah yang tinggal serumah dengan Mak sudah cukup menjadi teman bagi Mak sekiranya Mak di dalam kesempitan.
"Ooo, Weh.." Atuk Sutan bersuara pada Opah Maryam pada suatu petang. Weh itu adalah panggilan semacam "awak" yang sering digunakan oleh orang dulu-dulu di Negeri Perak.
"Teman ingat, Teman nak kahwinkan Suria tu. Umur-umur macam dia tu, dah layak kahwin" kata Atuk Sutan Ali lagi. Opah Maryam termenung sahaja mendengar kata Atuk.
"Awak setuju tak?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Setuju apa?"
"Kahwinkan si Suria tu..." kata Atuk.
"Iyalah. Tapi kenalah tanya dulu pada dia. Dia hendak ke tak? Lagi satu dia ada duit ke tak?" jawab Opah Maryam.

Tiba-tiba terdengar bunyi deruan enjin Skuter Lambretta Apak membelah kesunyian kawasan Ara Serong itu.
"Panjang umurnya. Baru kita sebut-sebutkan dia, dia pun sampai" kata Atuk Sutan Ali tersenyum penuh makna. Opah Maryam berlalu ke dapur untuk menyediakan kopi O buat anak bujang kesayangannya itu.

"Ni, Suria. Abah nak tanya. Kamu di Pantai Remis tu dah ada kawan ke?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Banyak" jawab Apak
"Banyak..?? Berapa banyak?" tanya Atuk Sutan Ali cemas.
"Entah. Tak terkira"
"Kawan perempuan?' tanya Atuk lagi.
"Kawan lelaki"
"Laahh... aku maksudkan kawan perempuan" kata Atuk sambil mengusap-ngusap pangkal pelipisnya tanda kelegaan.
"Kawan perempuan tak ada" kata Apak sambil membelek-belek akhbar bertulisan Jawi yang terletak di atas meja di ruang tamu. Wajahnya nampak selamba.

"Umur kamu sekarang pun sudah 25 tahun. Abah rasa dah layak kahwin. Hendak tak, kalau Abah kahwinkan kamu dengan anak kawan Abah?"
"Kalau Abah dah suka, Suria ikut saja, Abah" kata Apak.
"Kamu dah cukup duit?"
"Buat masa ni, duit yang Suria ada tak banyak. Tapi Suria dah layak pinjam koperasi" kata Apak.
"Bagus. Kalau macam tu esok kita pergi tengok budak tu kat rumah Cikgu Siti Rahmah" kata Atuk Sutan Ali.
"Cantik tak Abah..?"
"Cantik..!! Macam anak dara Pak Din Ngokngek" kata Atuk Sutan Ali menyakat Apak.
"Itu tak cantik!!"
"Engkau ni, nak yang cantik saja"

Pagi esoknya, Atuk Sutan Ali membawa Apak ke tanah kosong milik abangnya yang terletak bersebelahan dengan rumah Cikgu Siti Rahmah. Konon-kononnya melihat tanah yang tidak diusahakan itu untuk dikerjakan dan ditanam dengan durian.
"Aki Chu buat apa kat dalam semak samun tu?" tegur Cikgu Siti Rahmah.
"Aku tengok-tengok je tanah tu. Tuan punyanya pun duduk jauh dari kampung ni. Tanah tu langsung tak diusahakan sampai naik hutan. Aku ingat nak bincang dengan abang aku tu nak tanam durian".
"Ooo.. tak naik dulu ke Aki Chu?"
"Tak apalah. Ustazah Aminah mana?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Ada di dalam" kata Cikgu Siti Rahmah.
"Err.. kamu tolong panggilkan dia sekejap"

Mak turun ke laman tangga berjumpa dengan Atuk Sutan Ali. Kepada Mak, Atuk beralasan meminta alamat rumah Tok Haji Hassan di Parit kerana Atuk Sutan Ali berhasrat untuk mengunjungi Tok Haji Hassan di sana. Dari jarak 50 meter, Apak menyorok di sebalik Pokok Macang besar, khusyuk mengendap Mak. Jika dibawa Apak bersama, pasti Mak akan merasa malu dan tidak mahu turun ke laman tangga.

Setelah kata dipersetujui, Atuk Sutan Ali mengutus surat kepada Tok Haji Hassan di Parit memaklumkan kepada Tok Haji Hassan bahawa Atuk Sutan Ali akan menghantar utusan merisik Mak. Bagi Tok Haji Hassan pula, dia mengalu-alukan kedatangan rombongan itu dengan tangan terbuka. Setelah sah bahawa empunya diri masih belum diikat, Atuk Sutan Ali kemudiannya sekali lagi menghantar angkatan meminang Mak untuk Apak.

Sewaktu majlis peminangan itu dijalankan, sepupu Opah Saadiah yang bernama Md Yaacob yang mengepalai pihak perempuan menerima kedatangan pihak lelaki. Oleh kerana pihak lelaki itu datang dari keluarga yang tinggal berjauhan dengan kampung Mak, Tok Md Yaacob merasakan bahawa Apak bukanlah calon yang sesuai untuk anak saudaranya. Orang dahulu punya cara yang sangat halus untuk menolak pinangan. Untuk mengatakan "tidak" itu tentulah sangat tidak beradab. Cara yang paling sesuai ialah dengan menetapkan belanja yang tinggi dengan harapan pihak lelaki akan mengundur diri. Oleh yang demikian, belanja hantaran sewaktu itu kebiasaannya hanya bernilai RM500.00 telah dinaikkan oleh Tok Md Yaacob menjadi RM700.00. Akhirnya, isu perbelanjaan perkahwinan ini menjadi duri dalam daging bagi kebahagiaan Mak bersama Apak setelah keluarga Apak, terutamanya sebahagian dari saudara mara Apak menjadikan isu ini untuk membenci Mak.

Tanpa diduga, Apak menyetujui syarat yang ditetapkan. Maka bertunanglah Mak tanpa mengetahui akan rupa dan bentuk orang yang ditunanginya. Yang diketahuinya cuma perkara asas. Tunangnya itu, seorang guru dan anak kepada Pakcik Sutan Ali yang telah menjadi rakan karib ayahnya itu.

Friday, March 09, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn 1)

"Apak, macam mana Apak boleh kahwin dengan Mak?" tanya saya di suatu malam pada awal-awal tahun 90-an tatkala kami sedang menikmati makan malam. Apak yang ketika itu ingin menyuap nasi, terhenti seketika. Manakala Mak yang sedang leka membasuh pinggan segera menoleh ke arah kami.
"Dah jodoh" jawabnya pendek.
"Itu Indera tahulah. Tapi Indera cuba bayangkan. Mak berasal dari kampung yang jaraknya hampir 20 batu dari kampung ni. Orang dulu-dulu, kalau kahwin jauh-jauh pun, tak pernah lebih jauh dari kampung sebelah... Apak pula sampai 20 batu jauhnya. Kan menghairankan tu..?" kata saya sambil mengerutkan dahi.
"Apak, Apak ceritalah sikit.."
"Ahhh... sibuklah engkau ni!!" Bentak Apak. Saya sangka dia marah. Tetapi dia senyum pula. Anginnya tengah elok!!.
"Ceritalah Apak..." saya merayu.
"Baiklah. Baiklah. Apak kenal dengan Mak kamu masa Apak tolong Mak kamu melaung Bot Penambang di Pekan Parit. Itu saja!!"
"Itu saja..?"
"Yelah. Itu saja"
"Mesti ada cerita lain selepas tu..." kata saya tidak puas hati.
"Jangan nak mengorek rahsia orang. Habiskan nasi tu" kata Apak sebelum mengetuk kepala saya dengan pinggan.
Apak berlalu terus ke sinki sebelum tersenyum penuh makna ke arah Mak. Mesti ada cerita di sebalik itu. Mesti!!

Suatu petang, ketika saya sedang merayau-rayau di sekeliling kampung dengan menaiki motorsikal buruk Apak, angin menderu dengan kuat. Awan larat mendung mengandung hujan alamat badai bakal mengguyur lebat dari langit. Tidak lama sesudah itu titis-titis air sebesar biji jagung jatuh satu persatu menimpa bumi. Saya tidak sempat untuk pulang ke rumah. Rumah Opah lebih dekat jaraknya dengan tempat itu. Tanpa berlengah, saya memecut motorsikal buruk itu ke rumah Opah yang hanya beberapa selekoh dari situ. Namun pecutan maksima motorsikal itu hanyalah 40km sejam. Akibatnya, sampai sahaja di rumah Opah, baju dan seluar saya sudah basah keseluruhan.
"Kamu ni dari mana ni?. Basah kuyup sampai macam ni?" leter Opah sambil menghulurkan saya sehelai tuala, sehelai kemeja T kepunyaan Achik dan sehelai kain pelikat. Arwah Atuk ketika itu masih sihat lagi. Dia sedang duduk berehat di kerusi malas sambil matanya terus memandang jauh ke arah kebun getah tuanya yang terletak di hadapan rumah.

Saya duduk di sebelah Atuk. Terus mendakap tubuh tuanya. Atuk mengelak sambil menolak kepala saya.
"Hiee.. tak ada lain. Sikit-sikit nak peluk aku. Geli aku.."
Saya dan Atuk sama-sama ketawa. Kemudian kami terdiam. Saya bagaikan kehilangan kata-kata untuk memulakan perbualan.
"Tuk. Atuk tahu tak macam mana Apak kahwin dengan Mak?" tanya saya.
Atuk menoleh ke arah saya. Memandang tepat ke wajah saya. Atuk tersenyum lama. Kemudian menganggukkan kepalanya.
"Haji Hassan. Ya, arwahnya Haji Hassan... Aku teringat lagi hari itu...."

Hari itu, bas tiba dari Parit. Penumpangnya tidak ramai. Yang turun dari bas di kampung itu sekadar 10 orang sahaja. Boleh dikatakan semua mereka itu penduduk-penduduk kampung itu juga. Kemudian turun seorang lelaki tua yang bertubuh besar diikuti oleh seorang anak dara. Anak kepada lelaki itu. Mereka kelihatan tercari-cari sesuatu. Gayanya mereka bukan penduduk kampung itu. Atuk Sutan Ali tidak ambil endah. Biasalah sekiranya ada orang luar yang datang berkunjung. Boleh jadi mereka ingin melawat saudara mereka di kampung itu. Atuk Sutan Ali menolak basikal tuanya yang telah leper tayar ke kedai untuk ditampal tiubnya.
"Assalamualaikum" sapa lelaki tua yang bertubuh besar itu.
"Waalaikummussalam"
Atuk Sutan Ali tercegat berdiri. Lelaki tua bertubuh besar itu nampak ramah tersenyum. Anak perempuannya berjalan lambat-lambat mengekori ayahnya sambil mengelek sebuah beg pakaian.

"Adik, boleh abang tumpang tanya? ke mana arah jalan nak ke sekolah kampung ni?" tanya lelaki itu lagi.
"Errr... Abang ikut jalan depan ni. Sampai saja di simpang tiga di tepi sungai tu nanti, Abang ambil jalan kiri. Dalam 10 rantai dari situlah sekolah tu"
"Apa hajat Abang nak ke sekolah tu?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Ni, anak saya ni baru tamat Darjah Khas. Dia diminta mengajar ugama di sekolah kampung"
"Oh, baguslah macam tu. Saya Sutan Ali, bang. Nama Abang..?"
"Allah!! Dah tua-tua macam ni sampai lupa nak kenalkan nama. Maafkan Abang. Nama Abang, Haji Hassan"

Tok Haji Hassan berlalu bersama anak daranya menuju ke sekolah di tepi tebing Sungai Perak itu. Atuk Sutan Ali memandang anak dara Haji Hassan yang berjalan lambat-lambat itu. Serta-merta Atuk Sutan Ali terkenangkan anak terunanya, Muhammad Suria yang jauh di Pantai Remis. Anak aku pun guru juga!!, desah hati Atuk Sutan Ali. Pandangan Atuk Sutan Ali mengekori langkah anak dara Haji Hassan itu.
"Cantik!!. Bersopan benar gayanya. Guru ugama pula..." hati Atuk Sutan Ali berkata-kata. Terus menuntun basikal ke kedai Tok Sidang Pandak untuk ditampal tiubnya.

Atuk Sutan Ali terpaksa menanti giliran. Terdapat banyak basikal hari itu yang perlu dibaiki oleh Tok Sidang Pandak. Matahari kian galak memancar menghangatkan persekitaran kedai yang riuh rendah dengan orang ramai itu. Atuk duduk di bawah pokok ketapang besar sambil matanya sekali sekala memandang kosong ke arah kesibukan orang yang lalu lalang. Oleh kerana terlalu lama menunggu, tekak Atuk Sutan Ali terasa kering. Atuk Sutan Ali bingkas ke kedai kopi kepunyaan Mail Boyot.

Dalam kedai Mail Boyot penuh dengan orang ramai terutama mereka yang baru pulang dari menoreh getah. Beberapa jam lagi, akan masuklah waktu Zohor. Basikal Atuk Sutan Ali masih belum disentuh. Atuk duduk di satu sudut kedai kopi setelah memesan secawan teh O panas.

Tidak lama sesudah itu masuk seorang lelaki bertubuh besar. Haji Hassan. Gayanya masih seperti dia mula-mula turun dari bas tadi. Seperti tercari-cari sesuatu. Kali ini anak daranya tiada bersama. Tatkala terlihatkan Atuk Sutan Ali, Tok Haji Hassan tersenyum mendekati Atuk Sutan Ali.
"Mana anak mike, bang?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Teman dah hantor dia duduk serumah dengan Cikgu Siti Rahmah. Eloklah tu, deme sama-sama bujang. Kalau anak teman tu terpaksa duduk dengan orang dah berkeluarga, teman susah hati juga" kata Tok Haji Hassan.
"Ate, lepas ni Abang nak ke mana. Kalau ada masa, moh le ke rumah teman" pelawa Atuk Sutan Ali. Kemesraan mereka semakin terserlah. Tok Haji Hassan merasa gembira kerana punya kenalan di kampung tempat anaknya mengajar.
"Tak apalah. Abang risau nanti sampai ke rumah dah malam. Lain kali saja, ye!! Risau kakak kamu tu tinggal seorang" Tok Haji Hassan menolak dengan sopan.

Atuk Sutan Ali tercegat lagi di tepi jalan raya itu memandang Haji Hassan yang melambainya dari dalam bas. Ahhh... budi tidak dapat dijual beli. Masih terngiang-ngiang di telinganya akan pesanan Haji Hassan sewaktu lelaki itu ingin menongkah tangga bas.
"Adik, teman ni duduk jauh. Jauh itu jugalah anak teman dari mata teman. Anak teman perempuan. Susah hati teman memikirkan tentang hidup dan keselamatannya di kampung ni. Adik tolong tengok-tengokkan dia, ye!!"
"Insya-Allah, Abang. Abang jangan risau"

Saya menumpang dagu keasyikan mendengar cerita Atuk. Atuk tiba-tiba bagaikan tersedar dari lamunan. Dia serta-merta tersenyum sambil matanya bersinar menatap wajah saya.
"Tak sangka. Sampai ke sudah aku tengok Mak kamu...!!"

Wednesday, March 07, 2007

Aku anak guru Tit Bin School

Saya pernah bertanya kepada Apak, andainya dia tidak ditakdirkan menjadi seorang guru, agak-agaknya apakah pekerjaan yang dilakukannya untuk menyara keluarga.
"Tukang Jahit" jawabnya pendek.
Tukang jahit? akal saya bermain-main sambil membayangkan kehidupan saya sebagai seorang anak tukang jahit.

Kemudiannya Apak bercerita bahawa sesudah dia menamatkan Darjah 7 di penghujung tahun-tahun 50-an, Apak masih lagi kabur akan hala tuju hidupnya. Bersama-sama Tok Subari, mereka belajar menjahit pakaian, terutamanya pakaian lelaki dari seorang tukang jahit yang mahir di deretan kedai yang tersergam indah di tepi tebing Sungai Perak itu. Sekarang ini kedai-kedai itu sudah tidak wujud lagi setelah diganti dengan kedai kayu yang dibina di sepanjang jalanraya kira-kira 500 meter dari tapak asal.

Zaman remajanya sangat susah. Pendapatan sebagai pembantu tukang jahit hanya cukup untuk membeli keperluan dapur sahaja. Sedang untuk membeli keperluan dirinya sebagai seorang remaja langsung tidak pernah dikecapi. Pun begitu, Apak menyimpan hasrat untuk berjalan-jalan ke tempat orang. Melihat kehidupan yang di luar gelung lingkaran hidupnya.

Apak berdikit-dikit dengan menyimpan sebanyak 10 sen sehari dari pendapatan hariannya dan dimasukkan ke dalam tabung kecil yang disimpannya di bawah katil. Apak ingin benar ke Taiping menjenguk ibu saudaranya yang bermastautin di sana setelah berkahwin dengan lelaki dari Kamunting.

Setelah wang Apak cukup RM15.00, Apak memohon izin dari Opah dan Atuk untuk ke Taiping dengan alasan setelah dua bulan di sana, Apak akan pulang semula ke kampung. Tok Subari tidak berkata apa-apa. Cuma Tok Subari itu sangat asyik dengan kerja menjahit. Sudah menjadi minatnya. Sangka Apak, minat Tok Subari itu hanya hangat-hangat tahi ayam. Penat kelak, berhentilah dia. Namun sangkaan Apak meleset. Tok Subari menjadikan kerja menjahit itu sebagai kerjaya tetapnya. Hingga ke hari ini Tok Subari masih lagi menjahit pakaian.

Apak terus ke Taiping. Tinggal bersama ibu saudaranya yang dipanggilnya Mak Chu Munah. Seperti mana seorang anak saudara apabila bertandang ke rumah ibu saudara, pastinya disambut dengan meriah. Tinggallah Apak beberapa ketika di Taiping. Taiping pada ketika itu merupakan sebuah bandar utama di Semenanjung. Salah sebuah bandar besar yang merupakan bandar pemunggahan bijih timah sebelum diangkut ke kapal di Port Weld (Kuala Sepetang) yang hanya beberapa kilometer dari bandar Taiping. Segala kelengkapan bagi sebuah bandar besar ada di Taiping. Hospital, pasar, stesen keretapi dan bas, panggung wayang dan zoo, penjara dan taman bunga semuanya terdapat di Taiping. Apak benar-benar melalui sebuah fasa baru dalam kehidupannya.

Suatu hari, suami Mak Chu Munahnya pulang membawa berita. Sebuah sekolah Cina di Pekan Pantai Remis ingin menggajikan seorang guru yang boleh mengajar Bahasa Melayu. Syaratnya hanya lulus Darjah 7. Apak cukup syarat!!. Dengan ditemani oleh suami Mak Chu Munahnya, Apak pergi ke sekolah itu. Tit Bin School. Itulah nama sekolahnya. Tanpa disangka, Apak diterima!!
"Selamat datang ke sekolah ini, Cikgu Muhammad Suria" kata Guru Besar itu dalam pelat cina yang sangat pekat.
"Saya harap cikgu bersabar dalam mengajar" katanya lagi sambil menghulurkan kepada Apak sebilah rotan sepanjang setengah depa.
"Kenapa cikgu memberi saya rotan?" tanya Apak kebingungan. "Kenapa rotan? Tak ada buku-buku ke?" tanya Apak lagi.
"Cikgu Suria, kalau cikgu tak rotan, cikgu tak boleh mengajar" kata Guru Besar itu sambil ketawa.

Memang benar kata-kata Guru Besar itu. Kata Apak, senakal-nakal kanak-kanak Melayu di kampungnya, adalah sebaik-baik perangai anak orang Cina di Pantai Remis itu. Kenakalan mereka jauh berlipat kali ganda. Lalu Apak menggunakan kemudahan merotan itu sewenang-wenangnya. Hasilnya sungguh membanggakan. Setiap kali masuk waktu untuk matapelajaran Bahasa Melayu, murid-murid Tionghua itu menikus ketakutan.

Apak mengajar di sekolah itu selama 10 tahun. Mempelajari, memahami dan membudayai cara hidup masyarakat tionghua di sana. Cuma Apak tidak akan berkompromi dengan perkara yang melibatkan halal dan haram. Pendirian Apak jelas, tegas dan jitu sehingga guru-guru yang mengajar sesama Apak amat menghormati agama yang Apak anuti. Apak berbicara dengan mereka di dalam dialek Kantonis yang pekat dan sekali sekali turut berbicara di dalam dialek Hakka. Petang harinya, selepas waktu sekolah, Apak turut melawat anak-anak muridnya yang bermain berkejaran di sekeliling kebun sayur dan juga di jeti pemunggahan ikan.

Setelah Apak berkahwin, Apak diserapkan ke perkhidmatan perguruan yang diselia oleh Jabatan Pendidikan sendiri. Ini bermakna, Apak juga seorang guru tetap. Apak ingin membawa Mak tinggal dan mengajar terus di Taiping. Tetapi Tok Haji Hassan tidak bersetuju. Tanpa berunding dengan Apak terlebih dahulu, Tok Haji Hassan menongkah tangga Pejabat pendidikan bertemu dengan Pengarah minta runding agar ditukarkan menantunya itu balik ke kampung.

Semua orang kampung bagaikan tidak percaya Apak kini seorang guru. Masih terbayang-bayang lagi di ingatan mereka seorang pemuda yang comot, terbongkok-bongkok dan terkial-kial menyudahkan jahitan. Kini pemuda itu seorang guru. Sesekali, Apak ke Telok Anson (Teluk Intan) membeli barang-barang. Apabila dikelilingi oleh orang-orang Cina di Teluk Anson itu, Apak hanya terdiam mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang mereka mengata dan mengumpat Apak di dalam bahasa mereka dan memikirkan Apak tidak memahaminya. Apak akan ketawa. Kemudian apabila dia mula membuka mulut bertutur di dalam dialek kantonis yang pekat itu, ataupun dengan dialek Hakkanya, orang-orang cina itu akan ternganga kekaguman.

Suatu ketika setelah berakhirnya Pesta Tahun Baru Cina, sedang saya dan Apak berbual-bual di beranda rumah, sebuah kereta mewah tiba-tiba muncul dengan kelajuan yang melebihi had yang sepatutnya. Tiba sahaja di selekoh tajam di hadapan rumah kami, pemandunya gagal mengawal kenderaan. Kereta itu lalu terbabas berpusing-pusing sebanyak dua pusingan sebelum menjunam masuk ke dalam parit besar. Habis remuk bahagian hadapan kereta itu. Pemandunya keluar dari kereta dan dengan keadaan yang panik, terus menghubungi seseorang melalui telefon bimbit. Rupa-rupanya pemandu yang berbangsa cina itu kemabukan selepas meminum minuman keras. Mujur sahaja tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

Setengah jam kemudian seorang cina yang sama umur dengan Apak tiba di tempat itu dengan sebuah kereta buatan tempatan. Rupa-rupanya orang cina yang baru sahaja tiba itu adalah bapa kepada pemuda yang memandu kereta mewah itu. Dengan tidak berlengah lagi, orang cina yang tua itu terus memukul dan menendang anaknya bertalu-talu sambil menghamburkan kata-kata cacian di dalam dialek kantonis. Apak secara perlahan-lahan menghampiri dan menggosok bahu orang cina yang sama seusia dengannya itu.
"Encik. Tak baik menyumpah anak awak b*bi.." kata Apak.
Cina tua itu berhenti memukul anaknya sambil memandang Apak dengan pandangan yang terpinga-pinga.

Hingga ke hari ini, Apak masih lagi mampu bertutur dalam bahasa tionghua. Hairannya pula, Apak cukup anti dengan minat saya yang suka menonton drama Cina. Yang paling dimarahinya ialah melihat keasyikan saya menonton drama Journey to the West.

Friday, March 02, 2007

Senama

Di dalam entri saya yang bertajuk "Ke Puncak Cita", saya pernah menyatakan tentang hubungan erat antara saya dengan Dr. Indera. Ramai yang berpendapat bahawa keserasian antara kami berdua ini wujud kerana kami berkongsi nama. Sebelum ini saya tidak pernah mengambil kisah akan perkara ini kerana saya menganggapnya sebagai satu kebetulan. Namun setelah difikir-fikir semula, timbul pula fikiran yang berkata, mungkin betul!!. Setelah dikaji dan dicongak, maka saya teringat sesuatu yang merupakan kebiasaan di kampung saya pada suatu masa dahulu.

Di masa dahulu, orang di kampung saya sering menamakan anak mereka yang baru lahir dengan keadaan fizikalnya sewaktu bayi itu lahir. Jika bayi itu dilahirkan dengan kulit putih atau cerah, maka dia akan dinamakan Putih. Jika hitam kulitnya sewaktu lahir, maka nama yang tercatat di surat beranaknya pasti Itam Bin Alang Seman contohnya. Tidak kurang juga yang bernama Bulat atau nama yang disarankan oleh Islam tetapi telah diubah mengikut sebutan setempat seperti Minah (Aminah), Joyah (Zawiyah), Jeleho (Zulaikha), Seman (Uthman), Sapi (Saufi) dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, nama penduduk kampung ini mempunyai kepelbagaian dan ragamnya tersendiri. Terlalu sedikit yang mempunyai nama yang sempurna ditulis mengikut saranan yang telah dianjurkan oleh Islam. Kadang-kala terdapat keadaan di mana dua orang atau lebih yang berkongsi satu nama. Jika hal ini terjadi, kebiasaannya mereka ini akan mengaku bersaudara dunia akhirat seperti itu adik beradik seibu sebapa bagi menunjukkan keakraban mereka yang diikat dengan satu nama.

Ayah saya bernama Muhammad Suria Bin Sutan Ali (bukan sultan, ye!!). Ayah saya dinamakan Suria kerana menurut cerita Opah, Apak dilahirkan di waktu tengahari rembang dalam tahun di mana tentera dari negara Matahari Terbit mara seperti gelombang menuju ke arah selatan tanahair. Orang dahulu kurang memberi penekanan tentang makna nama bagi anak-anak mereka. Melihatkan bendera Nippon yang seperti matahari bertangan lapan, ditambahi pula dengan waktu dia dilahirkan di bawah panas mentari, Atuk menamakan Apak sebagai Suria bermakna Matahari. Dengan harapan hidup Apak di kemudian hari akan bersinar terang seperti bersinarnya sang mentari.

Setelah beberapa minggu Apak dilahirkan, jauh di hujung kampung, seorang bayi lelaki dilahirkan dan turut dinamakan sebagai Muhammad Suria. Apak dan lelaki ini sama-sama membesar, kemudian bertemu di kelas yang sama di sekolah. Setelah mengetahui bahawa mereka berdua berkongsi nama yang sama, kedua-dua belah keluarga kemudian mengadakan kenduri kesyukuran yang kecil, bertanak pulut kuning sebagai tanda mempersaudarakan Apak dengan adik senamanya. Masa berlalu dan masing-masing sudah berkahwin. Masing-masing dikurniakan dengan anak yang ramai. Timbul pelbagai perkara lucu berkenaan senama ini. Contohnya beberapa tahun lepas, adik senama Apak menelefon ke rumah, dan saya kebetulan yang menjawab telefon.
"Hello, Assalamualaikum"
"Waalakumussalam"
"Haaa... Sapa yang cakap ni..??" tanya suara di hujung sana.
"Saya Indera. Siapa ni..?"
"Apak kamu ada?"
"Ada. Siapa ni?"
"Ini Apak Nama cakap ni.."
"Haaahh?" saya sangkakan saya tersilap dengar.
"Apak Nama cakap" kata suara di sana mengulang.
"Haaahh? Apak Nama? Apak Nama tu apa?"
"Hahahaha..." suara di hujung sana ketawa garau. "Cakap pada Apak kamu, Apak Nama telefon"

Setelah dimaklumkan kepada Apak, dia terkocoh-kocoh menjawab telefon. Sesekali terdengar Apak ketawa terbahak-bahak mendengar bualan orang di sebelah sana.
"Itu adik senama Apak. Namanya pun Muhammad Suria juga. Kamu mesti panggil dia Apak Nama.." beritahu Apak.
Haaa.... sungguh saya garu kepala. Bagaimana saya boleh membiasakan diri saya memanggil Apak kepada ayah orang lain.

Itu cerita yang pertama. Cerita yang kedua pula tidak kurang melucukan. Ini pula tentang Opah saya yang bernama Maryam. Dia juga mempunyai adik beradik senama. Juga bernama Maryam. Isteri kepada Cikgu Ngah Basir, cikgu pencen yang mempunyai rumah besar di tengah pekan di kampung kami. Apabila kakak senama Opah datang bertandang menjenguk Opah, mereka biasanya akan berbual-bual di ruang tamu. Manakala saya dan sepupu saya Fuad akan mencuri-curi dengar perbualan kedua-dua Opah ini dari dalam bilik bersebelahan dengan ruang tamu itu. Perbualan mereka mempunyai variasi tersendiri kerana mereka ini berkongsi nama. Mereka tidak akan menyebut nama mereka tetapi gantinama "saya" akan ditukar menjadi "Nama". Gantinama "awak" akan sebut "Senama".
"Betul Senama dengar macam tu?" tanya Opah.
"Betul Senama. Anak dia yang kabor sendiri pada Nama. Tapi Nama tak kuasa nak cerita dulu pada Senama" kata isteri Cikgu Ngah Basir Basir.

Aduuuhhh, ketika itu saya dan Fuad sudah terguling-guling di atas lantai akibat kelucuan mendengar perbualan orang tua kami yang pelik-pelik itu. Tuuummm!! kaki Fuad tertendangkan dinding bilik. Kami serentak terdiam.
"Apahalnya kat dalam tu?" Opah bertempik.
"Orang nak bersembang pun tak senang" marah Opah.
"Minah, ooo Minah!!" Opah melaung Mak Nah yang sedang leka menonton television di tingkat atas.
"Buatkan kopi untuk Mak Nama kamu ni"
"Tak usah susah-susah Senama. Bior le Minah tu nengok TV di atas tu"

Saya terfikir juga, bagaimana jika tradisi ini menjadi pegangan orang kita. Tentu ramai adik beradik kita, bukan? Saya selalu merujuk nama saya iaitu Indera pada Buku Panduan Telefon. Mengikut nama yang tersenarai, tidak kurang dari 20 orang di Malaysia ini yang mempunyai nama yang serupa dengan saya. Ertinya saya mempunyai lebih 20 saudara di seluruh Malaysia. Lebih meragukan saya apabila nama saya berunsur Mahabharata. Ohhhh.. tidak, tidak, tidak!!! Saya tidak rela.. Kenapa nama saya bukan Zizie Ali? Ohh... Tidakkk!!

Thursday, March 01, 2007

Walinong Sari (Bhgn 2)

Melihat sahaja akan burung merpati putih itu, hati baginda terus tertawan. Lantas diperintah juak-juak pengiring menangkap burung merpati itu. Anehnya burung merpati itu langsung tidak melarikan diri. Seolah merelakan dirinya ditangkap oleh juak-juak itu pula. Puteri Wanang Seri merasa amat sukacita mendapat burung yang jinak itu. Terus sahaja baginda membelai dan bermain-main dengan burung merpati itu.
"Siapakah gerangan engkau wahai burung merpati? Kenapa beta tiba-tiba jatuh kasih kepadamu. Katakanlah wahai burung.." madah baginda seolah-olah burung itu memahami kata-kata baginda.
Burung merpati itu terbang hinggap di atas jari telunjuk Puteri Wanang Seri.
"Kenapa Tuan Puteri menutup wajah Tuan Puteri?" tanya Inang Pengasuh.
"Entahlah inang. Hati beta merasa berdebar-debar melihat burung merpati ini. Beta merasa malu pula. Seperti burung merpati ini seorang lelaki layaknya..."
Mendengarkan madah Puteri Wanang Seri itu sekelian inang ketawa lucu.
"Ada-ada sahaja Tuan Puteri ini.. Inikan hanya seekor burung?" kata Inang Tua.

Setelah terlerai segala lelah yang mengikat urat saraf, tibalah masanya rombongan itu berangkat meneruskan perjalanan.
"Terbanglah engkau wahai merpati. Beta tidak dapat hendak membawa kamu bersama kerana beta tidak sampai hati hendak mengurung kamu di dalam sangkar. Kamu tentu inginkan kebebasan. Berat rasanya hati beta hendak berpisah dengan kamu. Hati beta sudah jatuh kasih padamu wahai burung. Walau bagaimanapun pulanglah engkau ke tempat asal engkau. Selamat jalan, burung..."
Ketika itu airmata hiba Puteri Wanang Seri jatuh ibarat karang yang berderaian. Burung merpati itu kemudian terbang jauh melintasi kolam itu.

Setelah rombongan itu berangkat pergi, burung merpati itu bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara. Tahulah Raja Mambang Segara bahawa Puteri Wanang Seri itu seorang puteri yang budiman. Walaupun Puteri Wanang Seri itu sekadar memperlihatkan matanya, namun Raja Mambang Segara dapat merasakan bahawa puteri itu tersangat jelita. Hati Raja Mambang Segara sudah terpikat. Tanpa berlengah, baginda menuruti jejak rombongan itu menuju ke Pekan.

Ada pun rombongan Puteri Wanang Seri itu tiba di Pekan. Pekan merupakan sebuah kota yang sibuk dengan pasarnya. Hamba rakyat yang mendiaminya sangat ramai dengan aneka jualan dan juga permainan di dalam pasarnya. Rakyat jelata apakala mengetahui rombongan Puteri Wanang Seri mengunjungi kota itu, terus sekelian hamba memberi pelbagai hadiah buat tuan puteri dan juga Paduka Bendahara.

Raja Mambang Segara yang baru tiba di Pekan itu kemudian menukarkan dirinya menjadi seorang pemuda buruk yang berpakaian compang camping. Baginda kemudiannya mendekati usungan Puteri Wanang Seri lalu menghulurkan sebiji talam yang sangat cantik ukirannya.
"Ampun Tuanku, sembah pacal yang hina. Terimalah pemberian yang tidak seberapa dari hamba yang hina ini..."
Puteri Wanang Seri menarik tabir usungan. Dilihatnya seorang pemuda buruk sedang memegang talam yang sangat halus buatannya. Dilihatnya pemuda itu sangat comot tetapi matanya bercahaya dan bersinar galak. Puteri Wanang Seri merasakan darahnya menyimbah naik ke muka apakala menentang sinar mata pemuda miskin itu.
"Terima kasih orang muda. Beta merasa berbesar hati menerima hadiah dari kamu.. Budi kamu beta junjung"

Setelah memperolehi Kain Cindai Kulit Manggis 7 bidang itu, rombongan itu pulang ke istana. Malamnya pula Puteri Wanang Seri tidak dapat melelapkan mata, asyik terkenangkan pemuda comot itu. Kesokan paginya, sebaik sahaja ayam berkokok dan fajar menyinsing, Puteri Wanang Seri sudah bersiap-siap berlanggir untuk menuju ke Pekan dengan ditemani oleh inang-dayang dan juga juak-juak.

Seperti hari sebelumnya itu, Puteri Wanang Seri bertemu dengan pemuda yang memakai pakaian compang camping itu lagi. Kali ini pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekaki payung berwarna kuning.

Hari yang ketiga, Puteri Wanang Seri turun lagi mengunjungi Pekan. Hari yang ketiga itu, pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekuntum Bunga Melur.
"Orang muda..." titah Puteri Wanang Seri.
"Patik, Tuanku.."
"Tahukah kamu bersilat dan bermain senjata..?" tanya tuan puteri.
"Hamba erti sedikit-sedikit, Tuanku" jawab pemuda itu.
"Mahukah kamu kalau beta mengajak kamu bersayembara di gelanggang silat?" tanya Puteri Wanang Seri lagi.
"Jika itu sudah kemahuan Tuanku, patik menurut sahaja..."

Maka hari sayembara itu ditetapkan. Sekelian hamba rakyat keluar menyaksikan pertarungan persilatan antara Puteri Wanang Seri dengan pemuda miskin yang ditemuinya di Pekan. Sebaik sahaja ditiup nafiri, Tuan Puteri Wanang Seri masuk ke gelanggang silat lengkap berpakaian kebesaran. Bertudung menutupi wajahnya sebagai tanda menjaga maruah puteri melayu. Di gelanggang persilatan, pemuda comot itu sedia menanti.

Puteri Wanang Seri sangat perwira dan tidak pernah kalah walau sekalipun sebelum sayembara itu. Baginda merasa amat pasti bahawa baginda akan memenangi pertarungan itu. Kedua-dua belah pihak saling bertukar pukulan dan buah kilas. Sesekali jurus yang dikeluarkan adalah jurus kebatinan yang memukul dari jauh. Segala pukulan yang ditujukan ke arah pemuda itu dapat dikesampingkannya dengan sempurna malah ilmu persilatan pemuda itu jauh lebih hebat daripada ilmu pertempuran Puteri Wanang Seri.

Mereka saling berasak-asak dengan pukulan yang merbahaya sehingga akhirnya pemuda itu melancarkan jurus pukulan yang sangat hebat. Puteri Wanang Seri tahu bahawa dia akan tewas dalam sayembara itu. Bagi menjaga maruah istana, baginda merasakan bahawa baginda harus memenangi sayembara itu walau dengan apa cara sekalipun. Di saat yang genting itu, Puteri Wanang Seri menarik tudung yang menutupi wajahnya lalu terlihatlah seri cahaya wajahnya yang gilang gemilang. Melihatkan kecantikan puteri itu, pemuda comot itu terus jatuh pengsan akibat gelora nafsu yang tidak tertahan.

Sebaik sahaja pemuda comot itu pengsan, hilang sementara waktu segala kesaktiannya. Pemuda comot itu tidak semena-mena bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara, lengkap berpakaian kebesaran serta busar panahnya terletak di sisi. Melihatkan hal itu, Puteri Wanang Seri segera menitahkan agar Raja Mambang Segara yang masih tidak sedarkan diri diusung naik ke istana.

Raja Mambang Segara pengsan tidak sedarkan diri selama setengah hari. Peristiwa itu disaksikan oleh Raja Laksamana Petir dari Kemuncak Gunung Tahan melalui cermin hikmat baginda. Baginda merasa amat murka terhadap Raja Mambang Segara kerana tidak harus keturunan baginda tewas dengan kecantikan seorang manusia. Baginda kemudian menghantar utusannya untuk mengambil Raja Mambang Segara yang masih belum sedarkan diri di istana Inderapura.

Arakian, muncullah petir dan kilat sabung-menyabung di langit tinggi. Puteri Wanang Seri masih setia di sisi Raja Mambang Segara namun dilihat oleh baginda, jasad Raja Mambang Segara semakin lama semakin menipis. Baginda puteri terkejut dengan kejadian itu. Tiba-tiba menjelma kilat dari langit beserta yang letupan guruh yang memekakkan telinga membelah udara istana. Jasad Raja Mambang Segara lenyap dari pandangan. Puteri Wanang Seri terus jatuh pengsan.

Dalam tidak sedarkan diri itu, Puteri Wanang Seri bermimpi bertemu dengan seorang pendita.
"Wahai Puteri Wanang Seri. Nama anak raja itu ialah Raja Mambang Segara. Ayahandanya bernama Raja Laksamana Petir. Jika Tuan Puteri kasihkan ia, carilah ia di kemuncak Gunung Tahan. Di sanalah ayahandanya berkerajaan".

Ada pun keesokan harinya, Puteri Wanang Seri dikhabarkan lenyap dari istana. Ada yang mengatakan bahawa Puteri Wanang Seri telah berangkat ke Kemuncak Gunung Tahan mencari kekasih hati baginda. Kadang-kadang Puteri Wanang Seri dilihat muncul di Inderapura bersama dua orang pengiring perempuan. Seorang sedang memayungi Puteri Wanang Seri dengan payung berwarna kuning manakala seorang lagi pengiring baginda menaburi langkah Puteri Wanang Seri dengan bunga-bunga yang diisi di dalam talam berukiran indah. Nama Puteri Wanang Seri kemudiannya lebih dikenali ke hari ini sebagai Puteri Walinong Sari. Wallahua'lam.

Walinongsari

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Datangnya dari puncak gunung Tahan
Puncak gunung Ledang, gununglah Banang

Turunlah bermain di taman sayang
Memetik bunga-bunga, menyusun bunga-bunga
Di dalam taman

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Pandai menyabung pandai
Bersilat gayung, pandai melambung lembing
Pandai melambung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datanglah mari
Datang membawa talam
Datanglah mari

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa turun
Membawa payung
Payung berwarna kuning
Membawa payung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa talam
Talam dari kayangan
Membawa talam

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Puteri yang cantik dari gunung Banang
Dari gunung Tahan, gununglah Ledang
Turunlah hai tuan
Turun segera
Memetik bunga-bunga
Menyusun bunga-bunga
Di dalam taman
Puteri yang cantik
Hai... dari kayangan