Tuesday, June 19, 2007

Hasniah (Bhgn 1)


Saya masih tidak dapat melupakannya. Sungguhpun dia telah bertunang, namun kasih saya tetap abadi untuknya. Sungguh saya kecewa apabila Hasniah enggan memberitahu saya tentang pertunangannya. Segalanya saya ketahui dari mulut Syikin dan Hartina. Jika tidak kerana mereka membuka mulut tengahari itu, nescaya sehingga ke akhir pengajian berita tentang pertunangannya tidakkan sampai ke telinga saya.

Perjalanan pulang ke kampung seolah-olah tidak membawa apa-apa makna. Ingatan saya hanya untuk dia. Sebulan kami akan bercuti sebelum memulakan semester terakhir di peringkat Diploma. Ertinya selama sebulan ini dia bukan lagi milik saya. Dalam sebulan ini, dia bakal milik jejaka itu. Memang dia jejaka yang bertuah kerana berjaya memiliki Hasniah. Ohhh.. tuhan, apakah daya saya.

Di permulaan minggu cuti semester itu, saya banyak habiskan dengan termenung. Hati saya bagaikan disayat sembilu. Segala kenangan antara saya dengan Hasniah memburu saya di setiap langkah saya. Setiapkali menjamah hidangan, teringat saat saya dan Hasniah keluar disertai rakan-rakan yang lain mengunjungi warung berhampiran dengan Kolej Kenanga yang buka hingga ke santak pagi sewaktu kami di semester ketiga. Ketika itu tiada siapa yang dapat mengesan apa yang terkandung di hati saya. Cuma Hartina sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di hati kami berdua. Dengan itu matanya sentiasa mengawasi kami berdua.

Di saat itu, lagu Teringin nyanyian Shima semakin menambah parah di jiwa saya. Ingin rasanya saya menghumbankan radio ke tanah setiapkali lagu itu diputarkan di radio. Aduuhhh.. siksanya penanggungan.
"Indera, Indera sakit?" tanya Mak.
"Tak Mak. Indera sihat.."
(Indera sakit dalam hati Mak).

Di saat itu saya seakan terdengar tawa ejekan Azri, Shahril dan Armizam. Mereka seakan mengejek saya kerana kasmaran. Sakit dipukul badai kasih. Kecewa bercinta.
"Hahahahaha.... Akulah Mr. Serba Tahu. Aku tahu nama kampung Hasniah. Ada sapa-sapa nak tahu kat mana kampungnya?" tanya Shahril pada suatu petang setamat kuliah kami.
Hati saya melonjak-lonjak ingin tahu. Namun saya terpaksa pendamkan di dalam hati. Sekiranya saya terlalu teruja untuk mengetahui, kelak diketahui umum. Tentu akan dihebohkan oleh kacang-kacang hantu yang menjadi teman baik saya itu. Untuk itu saya mendiamkan diri sahaja. Pura-pura enggan ambil peduli.
"Kampungnya nama Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas. Hehehehehe... selain dari tu banyak lagi aku tahu pasal dia kalau engkau nak tahu..." celoteh Shahril pada Azri. Saya cuma menelinga.

Kampung Pohon Buluh? Ya, Kampung Pohon Buluh...

"Kamu ni nak ke mana, Indera?" tanya Mak apabila melihat saya bersiap-siap mengemas baju.
"Errr... saya nak ke Kota Bharu, Mak"
"Buat apa ke Kota Bharu..??" Mak hairan.
"Saja nak bercuti. Saya duduk rumah Khairul" kata saya.
Mendengarkan bahawa saya ingin bercuti dan melawat abang saya yang tinggal di Kota Bharu itu, Mak tidak bertanya lanjut. Hakikat sebenarnya saya tidak betah duduk di rumah. Hati saya bagai dipanggil-panggil ke Pasir Mas. Aduhhh... sakitnya penanggungan ini!!!.

Perjalanan ke Kota Bharu satu perjalanan yang panjang. Jalan berbengkung-bengkok dengan pemandangan hutan mengisi sepanjang jalan. Perjalanan yang bermula di waktu awal pagi itu berkesudahan di Stesen Bas Kota Bharu sewaktu matahari sudah mengesot condong di ufuk barat.

Turun sahaja di Stesen Bas yang hiruk pikuk itu saya disambut dengan suasana yang asing. Loghat pertuturan orang-orangnya sukar saya fahami. Alangkah baiknya kalau Hasniah dapat mengajar saya cara bertutur orang di bumi Puteri Saadong ini. Alangkah baiknya kalau kami berjodoh... Ahhh.. angan-angan yang tidak kesampaian!!!.

Saya menoleh ke kanan dan ke kiri. Cuba menyerap pandangan sekeliling bahawa di sinilah titik mula perjalanan Hasniah setiap kali dia ingin pulang ke Shah Alam. Tentu dia amat biasa dengan Stesen Bas ini.
"Minumnya Abe.." seorang pemuda yang bekerja di restoran itu memutuskan lamunan saya.
"Errr.. Teh O ais satu.." kata saya
"Ohh.. Teh O Beng. Make..??"
"Errr.. tak. Saya tak nak Teh O Beng. Saya nak Teh O ais" saya merasa jengkel bila pemuda itu silap mengambil pesanan saya.
"Hoh.. betullah. Teh O Beng, sa ke?"
"Taaaakkkk!!! Teh O ais!!!" hati saya sudah bengang.

Rupa-rupanya pertelingkahan kami berdua mendapat perhatian dari seorang konstabel polis yang sedang minum di meja berhampiran. Dia ketawa sewaktu menghampiri saya.
"Bang.." katanya menegur saya. "Teh O Beng tu Teh O ais lah. Orang sini panggil Teh O Beng.." katanya dalam ketawa lanjut.
Saya terkalap. Terus menyumpah di dalam hati. Sudahlah hati tidak keruan. Mendapat malu pula.
"Macam ni nak jadi menantu orang Kelantan..??" saya bagai terdengar-dengar Azri mengejek saya.

Khairul, abang saya itu masih belum nampak bayangnya lagi. Janjinya ingin mengambil saya di bandar itu. Saya berdiri tercegat di hadapan pintu Restoran A&W sambil melihat orang yang mundar-mandir. Gadis-gadis yang berpapasan dengan saya manis-manis belaka. Orang Kelantan, begitulah kata Shahril setiapkali jika melihat gadis-gadis dari negeri di Pantai Timur itu lalu di hadapannya.

Haiiii... alangkah baiknya kalau dapat ketemu Hasniah di sini!! Saya melayan angan-angan seketika. Alangkah indahnya dunia sekiranya ada jodoh kami.
"Kalaulah awak ada anak nanti, awak nak anak awak panggil awak apa?" tanya Hasniah dalam sesi perbincangan kami sewaktu kami sedang sibuk menyiapkan kertas kerja Ekonomi Malaysia. Kenapa soalan itu ditanyanya?
"Saya nak anak saya panggil saya Baba.."
"Huuuuu... macamlah awak tu orang Arab.." katanya separuh mengejek.
"Dan saya nak awak panggil saya Darling.." kata saya mencabar.
"Buat apa saya nak panggil awak Darling?" tanyanya juga mencabar saya.
"Sebab awak isteri saya.." kata saya.
"Sapa nak kawin dengan awak?" bantahnya.
"Saya nak!!" kata saya lagi.
"Tak nak, tak nak, tak nak, tak nak...!!!" kata Hasniah.
"Nak, nak, nak, nak, nak, nak...!!!"

Saya tersenyum mengenangkan saat berada di ruang perbincangan di sebelah perpustakaan itu. Haiii... Hasniah bagaikan mengekori saya. Hati saya merintih memanggil namanya.

Di saat itu, mata saya terarah ke pintu masuk Pasaraya yang berhampiran. Hasniah!!!

Ya, saya kenal susuk tubuh itu. Juga kurung samar dan tudung yang dikenakannya. Berjalan beriringan dengan seorang wanita separuh umur di dalam kumpulan orang yang ramai itu. Saya tercari-cari. Hati saya berbisik, lekas Indera, lekas!!!

Sewaktu ingin melangkah mendapatkan Hasniah itu, bahu saya ditepuk dari belakang.
"Indera!!!!"

Bersambung

Tuesday, June 12, 2007

Dari Teks : Pak Pandir dan Mak Andeh (Bhgn Akhir)

Akhirnya Mak Andeh yang pergi membeli lembu untuk dibuat masak kenduri. Luka di kaki Pak Pandir beransur sembuh selepas dipupuk dengan pucuk Sentang setiap pagi menjelang.
"Eh, eh Andeh. Besarnya lembu tu ye..!!" kata Pak Pandir.

Setelah tiba hari kenduri, hanya Pak Pandir dan Mak Andeh sahaja yang menyembelih dan melapah lembu itu. Tidak ada bantuan orang kampung kerana mereka itu hidup berjauhan dengan orang. Akhirnya segala persiapan kenduri pun siap.
"Pak Pandir, Andeh hendak pergi ke kampung untuk menjemput orang makan kenduri. Pak Pandir pula pergilah ke kampung seberang memanggilkan Pak Imam dan juga Pak Lebai datang ke kenduri kita.." kata Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi aku tak kenal Pak Imam dan Pak Lebai tu, Andeh.."
"Oohh, begini. Pak Imam itu orang yang pakai topi putih (songkok putih). Pak Lebai pula orang yang ada janggut.." terang Mak Andeh.

Setelah Mak Andeh turun dari rumah menuju ke kampung, Pak Pandir pun bersiap-siap menuju ke kampung seberang untuk menjemput Pak Imam dan Pak Lebai datang makan kenduri. Setelah turun dari sampan, Pak Pandir tercangak-cangak di tepi tebing sungai mencari orang yang dimaksudkan oleh Mak Andeh itu.

Di hadapannya ada simpang tiga. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan terus. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Pak Imam dan Pak Lebai, fikirnya. Namun semakin Pak Pandir jauh berjalan, dia semakin mendekati kawasan belukar. Tiba-tiba terbang di hadapannya beberapa ekor Merbah Jambul yang mempunyai bulu jambul berwarna putih.
"Barangkali inilah Pak Imam itu" fikir Pak Pandir.

Burung-burung itu hinggap di sebatang dahan pokok. Pak Pandir kemudiannya menghampiri pokok itu.
"Pak Imam, Pak Imam. Andeh jemput Pak Imam makan kenduri..!!"
"Peeetttttt peeettttt... peeettttt peettttt..." burung-burung itu berbunyi.
"Eh, jangan buat ceritalah Pak Imam. Rumah kami tak sempit!!!" bantah Pak Pandir. Marah juga dia apabila "Pak Imam" itu mengatakan rumahnya sempit.

Oleh kerana burung-burung itu masih juga tidak turun mendapatkannya, Pak Pandir bertekad untuk menangkap sendiri burung-burung itu. Pak Pandir kemudiannya memanjat pokok itu dan setelah dihampiri, burung-burung itu terkejut dan terus terbang jauh. Pak Pandir tergesa-gesa turun dari pokok dan terus mengejar burung-burung itu.

Akhirnya Pak Pandir kepenatan. Burung-burung itu terbang entah ke mana.
"Nampaknya Pak Imam tak sudi nak datang makan kenduri di rumahku" fikir Pak Pandir.

Pak Pandir kemudiannya berehat di bawah sepohon pokok. Matahari semakin lama semakin tinggi. Sedang Pak Pandir berehat itu, dia terlihatkan beberapa ekor kambing yang sedang meragut di padang yang berhampiran. Melihatkan janggut Kambing Randuk yang panjang itu, Pak Pandir menyangkakan bahawa itulah Pak Lebai yang dicarinya. Pak Pandir pun menghampiri bapak randuk itu.
"Pak Lebai, Pak Lebai. Andeh panggil makan kenduri"

Kambing jantan itu masih lagi asyik meragut rumput seperti tidak mengendahkan panggilan Pak Pandir.
"Pak Lebai!!! Andeh panggil makan kenduri" jerit Pak Pandir pada kambing itu.
Kambing itu terkejut kemudian mengembek memanggil kawanannya.
"Beeekkkkk beeekkkkk..."
"Eh, Pak Lebai. Nasi rumah kami tak lembik" bantah Pak Pandir.

Melihatkan kambing itu seolah-olah tidak memperdulikan jemputannya. Pak Pandir kemudiannya mendakap kambing randuk itu kemas-kemas untuk dibawa ke rumahnya. Sudah tentu sahaja kambing itu meronta-ronta. Puas Pak Pandir mengemaskan pelukannya, namun akhirnya kambing itu terlepas juga. Yang dapat hanyalah hamis bau kambing sahaja.

Pulanglah Pak Pandir dengan perasaaan hampa.
"Pak Imam dan Pak Lebai itu sombong benar" cerita Pak Pandir pada Mak Andeh.
"Sudahlah tak sudi datang kenduri, dikatakannya pula rumah kita sempit dan nasi kita lembik, Andeh" cerita Pak Pandir.
Mak Andeh cuma terdiam kerana dari cerita Pak Pandir itu, dia tahu bahawa Pak Pandir telah berjumpa dengan kawanan burung dan kambing sahaja.

"Beginilah Pak Pandir. Pak Pandir pergi semula ke kampung seberang itu. Sampai sahaja di simpang tiga itu, Pak Pandir ambil jalan ke kanan. Jalan kanan itu akan terus ke rumah Pak Imam dan Pak Lebai" kata Mak Andeh.

Pak Pandir menurut sahaja cakap Mak Andeh. Sampai di simpang tiga itu, Pak Pandir terlupa kata Mak Andeh. Kanan atau kiri??? hatinya tertanya-tanya. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan kiri. Jalan itu membawanya ke rumah gergasi tiga beranak.
"Pak Imam, Andeh panggil makan kenduri" panggil Pak Pandir.

Gergasi-gergasi itu teramat sukacita memperolehi jemputan makan kenduri itu. Satu peluang yang tidak pernah diperolehi mereka sebelum ini. Gergasi-gergasi itu kemudiannya mengikut Pak Pandir pulang ke rumah.
"Naiklah Pak Imam. Silakan!!" jemput Pak Pandir.

Melihatkan kedatangan gergasi-gergasi itu, orang kampung bertempiran melarikan diri. Tanpa bertanggung, gergasi-gergasi itu terus menjamah hidangan kenduri dengan lahap sehingga habis nasi sekawah.
"Ya Allah!! kenapa Pak Pandir jemput gergasi-gergasi ini ke rumah kita???" cemas Mak Andeh.
"Andeh suruh aku jemput Pak Imam. Ini bukankah Pak Imam?" tanya Pak Pandir.
"Ini gergasi!!!!!" tegas Mak Andeh.
"Bagaimana Pak Pandir boleh jemput gergasi-gergasi ini?"
"Haiiii..?? bukankah Andeh suruh aku ikut jalan kiri. Aku ikutlah jalan kiri..."
"Jalan kanan!!!!!!!"

Gergasi-gergasi itu masih lagi lapar. Mereka bertempik tanda meminta lebih banyak makanan. Mak Andeh dan Pak Pandir mula ketakutan. Bimbang gergasi-gergasi itu akan memakan mereka pula. Senyap-senyap mereka keluar dari rumah dan terus melarikan diri. Sejak dari hari itu tiada lagi berita dari mereka suami isteri.