Tuesday, October 30, 2007

Salam Ceria di AidilFitri



Hari Raya di rumah mertua bersama sanak saudara Azah. Biras saya sedari pulang dari Terengganu terus bertapa di tingkat atas rumah. Entah apa yang dibikinnya, saya sendiri tidak mengerti. Namun saya memahami ketidak-betahannya untuk tinggal berlama-lama di rumah mertua. Maklum sahaja dia orang Terengganu yang punya cara hidup yang agak berbeza dengan kami orang Perak. Contoh yang paling terdekat adalah pada loghat yang kami pertuturkan.

Mertua saya anak yang sembilan dalam 10 aturan adik beradiknya. Hampir kesemua adik beradik mertua perempuan saya itu meneran 10 atau lebih anak dari kandungan mereka. Cuma mertua saya sahaja yang punyai anak 4. Adik beradiknya yang lain, ada yang 10. Ada yang 12 dan ada yang 15.

Oleh kerana kedudukan ibu Azah yang agak terakhir dalam susunan itu, adalah tidak menghairankan apabila Azah punya sepupu yang hampir sebaya dengan ibunya dan kebanyakan sepupu Azah ini sudah bercucu!! Alangkah ganjilnya apabila saya mendengar suara kecil memanggil saya.
“Atuk Indera, Atuk Indera. Nak duit raya!!” Ahhh… sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan buat sekurang-kurangnya 20 tahun lagi.. Bercucu.

Pertemuan kunjung mengunjung sanak saudara Azah ini pastinya akan disulami dengan tawa ria dan berita sensasi lagi hangat. Cerita kereta Abang Tain dilanggar babi hutan sepulang dia daripada solat sunat AidilFitri. Remuk bahagian hadapan keretanya. Membaikinya sahaja sudah rabak poket Abang Tain sebanyak RM 600.00.

Gosip hangat tentang pertunangan Abang Lee. Abang Lee yang bernikah dengan Kak Zarina selama berbelas-belas tahun menemui kegagalan di dalam perkahwinan apabila Abang Lee menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi semata-mata Kak Zarina gagal memberikannya zuriat… Oleh kerana Abang Lee memilih calon dari kalangan anak dara, Abang Lee tetap perlu melalui tempoh pertunangan… Hahahahaha.. umur sudah 45 tahun, masih lagi perlu bertunang. Juga cerita tentang rumah baru Kak Zizah yang dibina atas tanah pusaka arwah nenek Azah yang kini sudah tersergam indah.

Bagi saya gossip hangat itu hanya berlegar di sekitar sanak saudara mereka. Entah kenapa sejak saya berkahwin dengan Azah, saya tidak punya hubungan yang terlalu erat sesama adik beradik sepupu sepapat Azah. Saya lebih rapat dengan suami sepupu-sepupu Azah. Dalam erti kata lain, kami punya kelab kami sendiri – KELAB MENANTU-MENANTU. Dan kebiasaannya, jika berlaku sebarang konflik sesama sepupu mereka, kami menantu-menantu ini jarang ingin mahu campur. Biar sahaja mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Hari Raya tahun ini datang dengan juadah istimewa. Nasi Dagang Terengganu yang dimasak oleh kakak ipar saya. Itulah kali pertama saya menyaksikan proses pembikinan Nasi Dagang. Aduuhh… terlalu remeh dan memenatkan. Namun hasilnya berbaloi apabila Nasi Dagang itu berupaya menjadi umpan yang ampuh dalam menarik kunjungan sepupu-sepupu Azah ke rumah mertua saya. Penuh rumah dengan tetamu datang silih berganti…
“Assalamualaikum… Selamat Hari Raya. Kami datang nak makan…!!”

Ayat itu mengingatkan saya kepada iklan Mee Maggi di kaca television 30 tahun yang lampau, yang sangat terkenal dengan ayatnya..
“Mak!!! Kawan datang nak makan..!!”

Hahahahaha… saya akan tersenyum sumbing apabila mengingatkan di hari raya itu, semua tetamu datang dengan pakaian kebangsaan. Berbaju kurung atau kebaya. Manakala lelakinya memakai baju melayu lengkap bersampin. Tetapi baju yang saya kenakan di hari raya itu hanyalah baju T cap Pagoda dan sehelai kain pelikat. Tiada masa untuk berbaju melayu. Barukan 2 minit berehat, pasti ada lagi tetamu yang datang berkunjung. Sudahnya, di hari raya itu, tempat duduk saya lebih tertumpu di dapur membantu Azah yang sarat mengandung menyediakan air serta juadah.
“Aloooongggg… balik!!” saya bertempik memanggil Siri Aufa pulang. Hampir setiap minit saya melaungnya.

Siri Aufa di hari raya itu benar-benar sudah membuang emak dan bapa. Langsung dia tidak peduli kepada kami suami isteri mahupun adiknya. Masanya banyak dihabiskan di rumah Wan Limah yang tinggal berjiran dengan Opahnya. Maklum sahaja Abang Is ada di sana. (Masih ingat lagikah kisah Siri Aufa yang jatuh cinta pada Is yang berumur 30 tahun itu?)

Dalam keriangan berhari raya itu, tetap saya terkenangkan keriaan sambutan bersama Mak dan Apak. Ayah dan Ibu, itulah permulaan kami..
“Burung apa..?”
“Burung Muuurai nama dia…”

Wednesday, October 24, 2007

Sebuah Catatan Yang Hodoh di 1 Syawal

Sehari sebelum menjelangnya AidilFitri, saya bahagia tidak terkata. Saya ingin sekali menyambut kedatangan Hari Besar itu dengan penuh kemeriahan, ingin menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan semoga hari yang berbahagia itu bakalan menjadi kenangan yang terindah apabila saya sudah tidak berkesempatan menyambutnya lagi bersama sanak saudara.

Untuk itu saya sanggup berpanas dan bertungkus lumus menyediakan pelbagai juadah di bawah terik mentari penghujung bulan Ramadhan semata-mata kerana saya inginkan yang terbaik untuk insan-insan kesayangan saya. Malangnya segala usaha saya langsung tidak dihargai malah diperlekehkan sehingga akhirnya perkara yang kecil membangkitkan api kemarahan yang besar membakar lewat penghujung senja menjelang Syawal.

Atau mereka tidak menghargai saya selagi saya masih berada di hadapan mata mereka…?

Ya, betul. Saya yang terlalu emosional.

Kerana itu saya merajuk. Kebahagiaan saya yang berkobar-kobar padam serta merta. Tiada kebahagiaan Hari Raya. Kesucian Syawal itu dicemari dengan rajuk dan duka yang mencengkam jiwa. Alangkah buruknya sambutan tahun ini. Dan alangkah malangnya kerana saya tidak berupaya untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku.

Mak menangis di pagi raya menelefon memanggil saya untuk pulang berhari raya bersamanya. Hati saya merasa hiba namun apakah mereka-mereka yang berada di rumah Mak itu tahu kesedihan saya atas perbuatan mereka yang tega mencalarkan hati saya di hari baik bulan baik itu?

Langsungnya, pelawaan Mak saya tolak dengan baik dengan menyatakan bahawa saya perlukan sedikit masa untuk menanti ribut itu reda. Akhirnya saya tetap pulang ke pangkuan Mak setelah serambi Mak kosong tanpa penghuni. Dan di kesempatan yang terhad itulah saya mengucup pipinya, menggenggam erat tangannya memohon kemaafan AidilFitri sambil menyatakan rasa kasih dan rindu saya kepadanya yang tidak pernah akan padam.

Kami berbual-bual mesra. Mak bertanyakan samada saya lapar dan saya inginkan apa-apa juadah buat mengalas perut. Mata saya liar memerhatikan keadaan dapur. Hati saya lega. Sekurang-kurang menurut kata Mak, Kuah Kacang, Nasi Himpit, Rendang Ayam dan Satay Daging yang saya siapkan di kala senja itu habis dijamah oleh tetamu yang berkunjung.
“Cuma kamu sahaja yang tak sempat menjamah masakan kamu sendiri..” kata Mak sambil mengesat airmata.
“Tak apalah Mak… kalau saya teringin, saya boleh sediakan sendiri..”

Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih bapa bawa bahagia. Kasih saudara sama-sama berada.

Setiapkali saya mengenang peristiwa petang itu, saya pasti menghela nafas panjang. Salahkan diri kamu sebelum kamu menyalahkan orang lain, kata AlMarhum Armizam. Ya, dalam apa-apa keadaan pun saya tetap akan menyalahkan diri saya dahulu.

Untuk itu juga makanya saya menulis entri ini dalam keadaan hiba. Saya cuba mengelak daripada menulis tentang kehodohan sambutan 1 Syawal ini dari pengetahuan rakan-rakan di alam maya ini. Namun saya tidak berupaya menutupnya kerana sememangnya takdir hari raya saya tahun ini tiada keserian sebagaimana orang lain.
Cukup sahaja catatan yang buruk ini dipendamkan jauh dari dalam lipatan kenangan. Yang buruk itu adalah kelemahan saya sebagai manusia.

Monday, October 08, 2007

Hadiah Aidil Fitri


Saya melihat-lihat sekeliling. Semuanya rata-rata berusia 40 tahun ke atas. Hanya saya sahaja dalam lingkungan 30-an. Mereka berbual-bual mesra. Namun tiada yang yang ingin berbicara dengan saya.

Di hadapan saya penuh dengan kotak-kotak berukuran 1 kaki x 4 kaki lebar sumbangan Unilever. Ahhh.. malu pula. Namun disebabkan niat untuk mewakili bapa mertua saya yang sedang uzur, saya kuatkan juga hati. Malu rasanya kalau-kalau ada yang beranggapan serong menyangka saya melukut memohon sumbangan Hari Raya sedangkan tubuh badan saya masih sihat dan cergas.

Sebaik sahaja nama bapa mertua saya diumumkan, saya segera tampil mengambil sumbangan. Tetapi Abang Jamaluddin yang berdiri di sisi Ustaz Ismi itu sempat membisikkan sesuatu di telinga Ustaz Ismi. Walaupun sekadar berbisik, namun saya masih sempat menyambar bunyi butirnya.
“Inilah anak Cikgu Suria”

Aduuuhhh… malunya saya!! Tambahan pula saya terpandangkan dahi Ustaz Ismi yang berkerut. Mungkin dia merasa hairan bagaimana Cikgu Suria, tiga pupunya itu boleh punya anak lelaki yang tinggal di kampung itu dan menerima sumbangan pula. Tentu di hatinya berkira-kira betapa susahnya hidup saya sehingga layak menerima sumbangan pula. Sedang dia tidak tahu bahawa kehadiran saya di situ hanyalah mewakili bapa mertua saya sahaja.

Mak terkekeh-kekeh bila saya menceritakan hal itu. Bikin malu sahaja, kata Mak dengan nada bergurau. Sementara menunggu Mak bersiap, saya sempat tertidur di sofa panjang di ruang tamu. Mak meminta saya membawanya ke rumah Beh (panggilan bagi bapa saudara saya. Perkataan yang mempunyai pengaruh Kerinchi yang sangat kuat) bagi mengambil panggu kelapa sawit bulan September.

Entah kenapa di dalam kereta, saya dan Mak masing-masing melayan emosi sendiri. Sebaik sahaja melewati simpang masuk ke rumah Mak Yong Halimah, saya teringatkan kata-kata Kak Ina yang sepejabat dengan Razif yang saya temui di kedai sepulangnya saya dari menerima sumbangan Ustaz Ismi.
“Kata Kak Ina, Razif sekarang sudah enggan mahu berbual-bual. Dia banyak termenung dan selalu cari alasan untuk pulang lewat dari pejabat”
“Kenapa..??” Mak bertanya.
“Entah… mungkin dia kecil hati sebab ayahnya kahwin lain kot” kata saya.

“Haiii… macam tu lah. Kome tak merasa, kome tak faham. Mak ni dah merasa apa yang dia rasa tu, sedih sangat rasanya” kata Mak merenung jauh.

Mak teringatkan sewaktu Opah Saadiah meninggal dunia dalam tahun 1972. Sesudah Opah meninggal, Tok Haji Hassan menduda selama 5 bulan. Namun hati Mak akan tersayat hiba apabila melihat keadaan Tok Haji Hassan yang tidak menentu makan dan pakainya. Atas persepakatan mereka adik beradik, Mak dan abang-abangnya memberi restu untuk Atuk berkahwin lagi.
Setelah dikirakan oleh jiran tetangga, Tok Haji Hassan bertanya kepada Mak tentang calon yang dipadankan dengannya. Seorang anak dara berusia 16 tahun.
“Tidak, tidak… saya tak izinkan” kata Mak.
“Kalau baru 16 tahun tu, saya nanti nak panggil dia apa? Mak? Adik?. Lagi pun Ayah, dia tu anak dara. Ayah dah tua. Kalau dia nak kahwin dengan Ayah juga, apa tujuannya? Saya rasa mesti sebab harta” bangkang Mak.
“Tak apalah. Kalau kome dah tak suka, tak adalah aku kahwin dengan dia” jawab Atuk dalam suara yang lerih.

Setelah 3 bulan, Atuk bertanya Mak lagi. Kali ini calon yang lain iaitu janda dari Beruas yang dipadankan oleh Opah Lijah yang tinggal di seberang jalan rumah Atuk.
“Berapa umurnya Ayah?” tanya Mak.
“45 tahun” jawab Atuk, pendek.
“Ada anak?”
“Ada seorang. Perempuan. Tetapi sudah layak kahwin”
“Kalau ayah dah suka, Idah tak ada halangan. Doa Idah, Ayah bahagia dengan pilihan hati Ayah ni” kata Mak memberi keizinan.

Berkahwinlah Tok Haji Hassan dengan Opah Esah yang pada ketika itu berusia hampir separuh abad. Atuk pula berusia 75 tahun. Mereka diijabkabulkan di Beruas dengan tanpa kehadiran Mak kerana Mak sedang dalam pantang melahirkan abang saya, Khairul.

Sesudah bernikah, pasangan pengantin baru ini berbulan madu ke Kuala Lumpur. Sepulang sahaja mereka dari sana, Opah Esah kemudiannya menjadi suri dalam rumah peninggalan Opah Saadiah.
“Walaupun Mak sudah memberi restu, tapi setiapkali terpandangkan Opah Esah kamu mundar-mandir dalam rumah tu, hati Mak macam dihiris-hiris. Hati Mak berkata, dulu Mak aku di dalam dapur tu, sekarang orang lain. Dulu mak aku dalam bilik tu, sekarang dah orang lain…” cerita Mak dengan linangan airmata. Mata saya hanya terpaku di hadapan sambil tangan kejap di stereng. Tetapi telinga saya tetap berkomunikasi dengan Mak.

Kemudian Tok Haji Hassan menceritakan kepada Mak pengalaman mereka berbulan madu di Kuala Lumpur. Menaiki kereta kabel di Bukit Nanas. Hati Mak semakin dimakan api cemburu.
“Dulu masa Mak aku masih ada, tak merasa dia semua tu..” hati Mak berkata-kata.

Mak terkilan. Terkilan tanpa sebab yang kukuh. Mak rasakan Tok Haji Hassan lebih menyayangi isteri baru berbanding ibunya dulu.

Tidak lama sesudah itu, Mak mendapat durian runtuh. Kerajaan membayar tunggakan gaji Mak sedari tarikh permulaan perkhidmatan Mak dengan kerajaan. Setelah dihitungkira, jumlah tunggakan itu mencecah sebanyak RM 17,000.00. Satu jumlah yang besar!!! Oleh kerana Apak keuzuran, Mak berpergian bersama Tok Haji Hassan menuntut cek di Pejabat Pendidikan. Ketika itu bulan Ramadhan.

Oleh kerana Mak rasa terkilan dengan Atuk, semacam dendam pula, kesemua wang tersebut Mak masukkan ke dalam akaun Bank tanpa memberikan walau sesen pun kepada Atuk. Atau Mak mungkin terlupa???

Sudah bukan rezeki Atuk…

Julai 1977,
Sewaktu Mak sarat mengandungkan Adina, Tok Haji Hassan pulang ke rahmatullah. Opah Esah walaupun sesudah itu berkahwin lain pernah berkata dalam ketiga-tiga lelaki yang pernah dikahwininya, Tok Haji Hassan yang tetap menduduki tahta hatinya kerana ketika bersama Atuk, tidak pernah dia merasakan sebegitu istimewa layanannya.

Tidak lama selepas Atuk meninggal, Mak bertemu dengan salah seorang rakan karibnya yang juga turut sama menerima tunggakan gaji beberapa tahun sebelum itu.
“Kamu tahu Idah, aku bagi ayah aku RM1,000.00, melompat orang tua tu. Dipeluknya aku. Diciumnya aku. Airmatanya mengalir laju tanda seronok sangat dapat pemberian dari aku… Ayah aku kata itulah hadiah Hari Raya yang sangat berharga yang pernah dia terima”.

Di saat mendengar kata-kata itu, Mak seakan lemah lutut. Bumi yang dipijaknya terasa lembut. Airmata Mak mengalir laju.
“Apa bodohnya Mak masa tu. Mak langsung tak teringat nak bagi sumbangan walau sikit pun pada Atuk kamu. Sudahlah pergi mengambil cek dengan dia. Adakah teringat nak hulur sesen pun. Puncanya marah tak bersebab. Kalau ikut kira, tidakkah boleh Mak fikir yang Atuk kamu dah bersusah payah besarkan Mak….? Tapi apa nak buat, orangnya dah tak ada”

Mak kehilangan kata-kata. Mengesat airmata dengan hujung tudungnya yang rejuh. Saya hanya boleh menggengam tangan Mak tanda simpati.
“Mak sedekahkan amalan soleh untuk Arwah Atuk. Sedekah dan doa Mak jauh lebih berharga dari nilai RM1,000.00 yang Mak lupa nak bagi..”


Mak hanya mengangguk. Di rumah Beh, Mak menghulurkan RM400.00 pada Beh.
“Buat beli batu nesan baru untuk Ayah” kata Mak pada Beh.


Indera:
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.
Jutaan kemaafan saya pohonkan….