Tuesday, October 28, 2008

Hikayat Badrun Basim

Adapun, tersebut di dalam kisah, terdapat sebuah kerajaan yang besar lagi agung yang memerintah negeri di bawah samudera. Bahr el-Alam nama kerajaan tersebut. Diperintah oleh seorang maharajah yang bernama Shah Akbar. Besarnya kerajaan laut ini meliputi dari terbit matahari hingga ke santak senja jika diukur dengan saujana mata yang memandang. Rakyatnya sebagaimana jua rakyat yang mendiami kerajaan di atas bumi, masing-masing terdiri daripada peniaga-peniaga, petani, penternak, cendiakiawan, laskar-laskar dan juga hamba sahaya.

Ada pula Shah Akbar itu berputerakan tujuh orang putera dan puteri. Enam orang puteri dan seorang putera yang telah dinobatkan sebagai putera mahkota kerajaan negeri yang bakalan menggantikan Shah Akbar sekiranya Shah Akbar tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara. Shahrul Arifin si putera bongsu. Demikianlah nama putera mahkota tersebut. Sungguh tampan dan kacak ibarat bulan purnama airmukanya. Bijak dalam ilmu dunia dan akhirat serta pandai juga bermain senjata.

Manakala puteri-puteri baginda yang berenam itu sangat cantik lagi jelita sehingga tiada tolok bandingnya di zaman itu. Masyhur nama puteri-puteri ini sehingga menjadi idaman sekelian teruna yang menduduki alam ini. Adapun yang paling cantik antara sekelian puteri berenam itu adalah puteri yang paling muda. Jalnar Al-Bahriyyah nama diberi. Kecantikan Jalnar Al-Bahriyyah ini dikatakan mampu memadamkan cahaya batu permata dan sekelian perhiasan di dunia ini dek kecantikan yang dimiliki oleh baginda.

Diriwayatkan putera puteri ini saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Jika satu ditimpa malang, tiadalah senang akan yang lainnya.

Setelah beberapa lama memerintah, pada suatu masa yang ditetapkan oleh Allah SWT, Shah Akbar telah jatuh gering. Oleh kerana terlalu beratnya gering baginda itu, baginda sultan merasakan bahawa hayatnya tidak hanya beberapa lama. Lalu baginda sultan memerintahkan agar sekelian putera dan puteri baginda beserta permaisuri datang mengadap supaya dapat baginda menyampaikan amanat terakhir baginda buat panduan ahlil keluarga baginda yang masih hidup.

Baginda berpesan kepada permaisuri, putera Shahrul Arifin dan puteri-puteri baginda agar hidup rukun dan damai serta saling hormat menghormati sesama mereka. Tidak lupa dipesankan agar ahlil keluarga baginda senantiasa menuruti segala suruhan Allah dan Rasul serta menjauhi segala yang ditegah oleh agama. Tidak berapa lama sesudah itu, Shah Akbar pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah berakhir urusan pengkebumian dan tempoh berkabung, Shahrul Arifin kemudiannya dimahkotakan menjadi sultan di negara Bahr El-Alam yang baru. Pertabalan itu dibuat secara besar-besaran sesuai dengan kehebatan negara yang besar. Setelah majlis pertabalan berlangsung, maka Shahrul Arifin melaksanakan segala urusan yang telah dirancanakan oleh ayahanda baginda. Adapun Shahrul Arifin itu terlalu pemurah dan adil sebagaimana ayahanda baginda jua adanya.

Bak kata pepatah, lidah lagi tergigit. Inikan pula adik beradik sekandung. Entah di mana silapnya, pecah perselisihan faham antara Shahrul Arifin dan kekandanya Jalnar Al-Bahriyyah. Masing-masing terlupa akan pesanan serta wasiat ayahanda maka ribut perselisihan itu menyebabkan Jalnar Al-Bahriyyah merajuk jauh hati lantas naik ke daratan menyerahkan dirinya kepada orang di darat.

Naiklah Jalnar Al-Bahriyyah ke daratan sehingga dia sampai ke jaluran pantai yang panjang, bersih memutih. Di bawah cahaya rembulan, Jalnar Al-Bahriyyah duduk di pasiran pantai itu sambil menangisi mengenangkan untung nasibnya.

Di saat dia duduk di pantai itu, tiba-tiba lalulah seorang pemuda yang tampan mendekatinya. Akan tetapi, rupanya pemuda itu berniat serong. Dia mahu melakukan kemasuman terhadap Jalnar Al-Bahriyyah namun Jalnar Al-Bahriyyah sempat melontarkan seketul batu yang besar ke kepala pemuda itu sehingga menyebabkan pemuda itu akhirnya luka parah.

Setelah itu Jalnar Al-Bahriyyah jatuh ke tangan seorang darwish. Darwish itu seorang yang baik budi. Dia tidak berniat itu memperisterikan Jalnar Al-Bahriyyah yang cantik jelita itu akan tetapi darwish itu berkira-kira untuk mendapatkan kurniaan sultan yang memerintah negeri itu.

Adapun negeri itu bernama Nur El-Huda yang diperintah oleh seorang sultan yang agung yang bernama Sultan Badruzzaman. Dikatakan pada ketika itu, tiada kerajaan di muka bumi ini yang dapat menandingi kehebatan Kerajaan Nur El-Huda ini. Sultan Badruzzaman itu sultan yang masyhur, kaya raya dan ternama tetapi sayang tidak berputera.

Darwish itu kemudiannya membawa Jalnar Al-Bahriyyah dan mempersembahkan puteri itu kepada Sultan Badruzzaman. Tatkala melihatkan kecantikan Jalnar Al-Bahriyyah yang sungguh luar biasa itu, Sultan Badruzzaman setuju memperisterikan Jalnar Al-Bahriyyah itu dengan memberikan darwish itu sekarung wang emas.

Untuk Jalnar Al-Bahriyyah, Sultan Badruzzaman telah membina sebuah istana yang indah mengadap arah Laut Arab yang terbentang luas itu. Tinggallah Jalnar A-Bahriyyah di dalam istana itu bersama suaminya Sultan Badruzzaman itu. Namun setelah beberapa lama menjadi isteri baginda, Sultan Badruzzaman mendapati isterinya tidak pernah mengeluarkan sepatah perkataan pun. Lagaknya seperti orang bisu. Hanya bahasa dan lenggok tubuhnya sahaja yang menjadi bahasa perhubungan antara mereka berdua. Saban hari Jalnar Al-Bahriyyah akan duduk memandang luar jendela melihat jauh ke arah Lautan Arab yang bergelora. Tiada dia pedulikan akan suaminya dan lain-lain hal di istana itu.

Semakin hari semakin Jalnar Al-Bahriyyah yakin bahawa dia kini sudah berbadan dua dengan putera Sultan Badruzzaman. Dia terus memandang ke luar jendela tanpa rasa jemu.

Melihatkan keadaan isteri baginda yang kelihatannya tidak bahagia membuatkan jiwa Sultan Badruzzaman semakin hiba. Di suatu petang, Sultan Badruzzaman membawa Jalnar Al-Bahriyyah bersiar-siar di taman istana yang berhadapan dengan laut itu untuk menghiburkan hati keduanya.
“Adinda, ketahuilah wahai adinda, sesungguhnya kanda amat menyintai adinda. Terlalu besar cinta kanda sehingga jika boleh, nyawa pun ingin kanda serahkan pada adinda. Kanda ingin membahagiakan jiwa adinda. Akan tetapi kanda tidak tahu samada adinda bahagia atau tidak hidup adinda di samping kanda. Apalah gunanya harta yang melimpah ruah jika kanda kanda tidak berupaya untuk membahagiakan adinda, untuk beroleh seorang putera” kata Sultan Badruzzaman.

Mendengarkan rintihan Sultan Badruzzaman itu, timbullah rasa belas di hati Jalnar Al-Bahriyyah. Tambahan pula layanan Sultan Badruzzaman yang mesra itu membuatkan Jalnar Al-Bahriyyah sudah jatuh cinta kepada Sultan Badruzzaman.

“Ampun Tuanku beribu ampun, patik mendatangkan sembah..”

Sultan Badruzzaman seakan tidak percaya mendengar lontaran suara merdu itu. Baginda terperanjat bercampur bahagia.


Bersambung

Tuesday, October 14, 2008

Purnama Merindu

Saya masih ingat lagi malam itu, satu malam di penghujung bulan Ramadhan yang jatuhnya di sekitar tahun 1981. Masa itu saya masih tersangat kecil. Baru berusia 7 tahun tetapi sudah punya dua orang adik yang berusia 4 tahun dan juga 2 tahun. Sambutan Ramadhan di kampung sangat meriah. Malam 7 likur disambut umpama pesta. Di masjid-masjid, akan ada moreh yang menunya akan lebih istimewa berbanding minggu-minggu sebelumnya. Masjid-masjid penuh sesak dengan jemaah yang senantiasa mengharapkan keberkatan seribu bulan. Manakala di halaman masjid dan di halaman rumah, kanak-kanak berlari ria bermain bunga api sambil mengelilingi pelita panjut yang dipasang memanjang menerangi laluan ke masjid.

Selesai bersolat Isyak, saya pantas berlari pulang ke rumah. Ingin sangat melihat orang bermain bunga api. Apak hanya seorang guru sekolah. Pendapatannya tidak seberapa untuk menyara 7 orang anak yang masih kecil. Tiada wang yang berlebihan untuk memberi anak bermain bunga api. Lagi pula, bermain bunga api itu membazir. Ibarat membakar wang, kata Apak. Untuk itu kami adik beradik hanya mampu menggigit jari memandang kanak-kanak lain yang kenikmatan membakar mercun yang beraneka rupa. Sedang kami, jika dapat bermain bunga api itu pun sudah kira bernasib baik.

“Indera, marilah sini. Main bunga api dengan kita” laung Marziah, budak sebaya saya yang tinggal berjiran dengan kami. Oleh kerana dia anak yang sulung, saya memanggilnya dengan gelaran Along.

Saya menghampirinya. Melihat bunga apinya yang membakar dengan nyalaan indah. Saya tersenyum. Asap dari bunga api itu berkepul-kepul naik ke udara membikin dada langit yang hitam pekat menjadi sedikit kelabu.
“Kenapa awak berdiri saja? Awak tak ada bunga api ke?” tanya Along.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ahhh… tidak mengapalah. Jika saya tidak dapat bermain bunga api, saya masih boleh menikmati keindahan pancarannya.
“Achik Man kita balik dari Ipoh petang tadi. Dia bawak banyak bunga api. Macam-macam mercun ada” kata Along sambil memperlihatkan seberkas bunga api yang terkumpul di atas suratkhabar tidak jauh dari kakinya.

Saya menoleh ke arah tangga rumah Mak. Adina, adik saya yang berusia 4 tahun itu sedang melompat-lompat melihat bebola api berbagai warna melintasi bumbung kedai di hadapan rumah. Kasihan Adina…. Pasti dia ingin sangat merasa bermain bunga api. Saya berundur beberapa meter dari tempat Along bermain mercun lantas berdiri tercegat seakan terpegun dengan percikan bunga api itu.

“Indera, Indera…..!!” saya terdengar suara seseorang melaung memanggil nama saya dari arah rumah Opah Esah. Achik Man rupanya…!!

“Kenapa Indera tak main bunga api sama dengan Along?” tanya Achik Man.
“Errr… saya tak ada bunga api”
“Apak tak belikan ke?” tanya Achik Man lagi.
“Apak… Apak kata dia tak ada duit nak beli bunga api”
“Indera suka main bunga api?”
Saya mengangguk.
“OK, kalau macam tu, Indera ambil ni” kata Achik Man sambil mengunjukkan seberkas bunga api yang saya kira berjumlah 30 batang.
“Tapi ingat…, main hati-hati. Jangan terkena orang lain. Kalau kena orang lain, Achik Man tak nak bagi bunga api lagi tau!!”
“Tahu Achik Man. Terima kasih” kata saya bersorak riang berlari pulang ke rumah.

Saya sedang berkira-kira untuk membakar bunga api itu bersama Adina dan abang saya, Khairul sebelum laungan Mak dari arah dapur rumah membantutkan hajat kami bila Mak mengingatkan kami agar segera masuk ke rumah kerana Apak akan pulang dari masjid bila-bila masa sahaja. Ahhhh… tidak mengapalah. Malam esok masih ada, fikir saya.

Keesokkannya, di sebelah petang, sewaktu Mak sedang siap menyiapkan juadah berbuka puasa, saya pula sibuk mengisi pelita dengan minyak tanah. Di waktu itu, rata-rata rumah di kampung tidak mempunyai bekalan elektrik. Malamnya hanya diterangi dengan pelita minyak tanah sahaja. Minyak tanah pula harganya murah. Hanya 30 sen boleh dapat sekati minyak.
“Abang Chik, bila kita nak main bunga api?” tanya Adina.
“Malam ni laaa… petang-petang tak cantik main bunga api”
“Tapi janji jangan cakap dengan Apak tau!!” kata saya memberi amaran kepada Adina.
“Janji tu apa?”
“Janji pun tak tahu… Jangan cakap dengan Apak jelah”
Adina mengangguk tanda setuju.

Setelah mendapat keizinan Mak, saya beserta abang dan adik saya mula membakar mercun di tepi tangga rumah Mak yang lantainya baru siap dilepa dengan simen licin oleh Pakcik Mad Peri. Itulah pembaharuan bagi rumah kami untuk menyambut hari raya tahun ini. Tiada langsir baru. Tiada perabot baru. Tetapi sekurang-kurangnya tiada lagi kasut tetamu yang dikotori tanah jika ditinggalkan di luar rumah setiapkali datang berkunjung.

Bersama-sama Along dan adik beradiknya, juga dengan adik beradik saya, saya membakar bunga api itu satu persatu. Melihat pancarannya yang bersinar indah, sudah cukup membikin hati saya kembang setaman.
“Indera, Indera… tengok ni” kata abang saya.
Dia mematahkan bunga api itu menjadi keratan yang kecil sebelum menyalakannya di pelita panjut. Sesudah keratan itu menyala, segera abang saya melemparkan ke atas lantai simen yang keras dilepa. Bunga api kecil itu kemudian bergerak dengan laju akibat tolakan nyalaan api menjadikannya kelihatan seperti sejenis mercun yang baru.

Saya jadi seronok dan teruja untuk mencuba. Setelah percubaan pertama berjaya, saya bersorak riang. Bunga api yang menjadi bahagian saya itu saya patah-patahkan. Saya nyalakan dan kemudiannya saya lemparkan ke atas simen berulang-ulang kali.

Kata orang, jika terlampau suka tandanya akan mendapat duka. Saya mencapai sepotong keratan bunga api itu dan sedia untuk menyalakannya. Tanpa saya sedari, Adina betul-betul berada di belakang saya. Sebaik saya berpusing ke belakang melemparkan bunga api yang bernyala garang itu, bunga api itu terus hinggap dan melekat di pergelangan tangan Adina yang kecil. Hairannya, bunga api itu terus membakar dan….
“Makkkkkkkk….. sakiiiiiittttttt” jerit Adina kesakitan.
Saya terpaku. Gagal berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat nyalaan bunga api itu memamah tangan adik saya.

Mak meluru keluar. Adina sudah jerit pekik kesakitan.
“Indera…!!! Apa yang kamu buat ni?” marah Mak
Saya terpaku. Bingung bercampur takut.

Apak tiba-tiba muncul dengan air muka yang amarah. Di tangannya tergenggam sebatang kayu api. Tanpa tangguh Apak membelasah kaki dan punggung saya seperti orang hilang akal.
“Apak… jangan pukul lagi. Indera janji tak buat lagi. Sakiiiiiitttt!!” raung saya di tengah halaman. Along dan adik-adiknya, mereka masing-masing terpaku. Abang-abang dan kakak-kakak saya berdiri ketakutan memandang saya yang sedang dibelasah teruk oleh Apak.
“Apa nak jadinya kamu ni hah? Perangai macam hantu.. Tak pernah nak menyenangkan aku” Apak mengamuk masih belum puas membalun saya.

Suasana gamat. Teriak tangis saya berselang seli dengan teriak kesakitan Adina dan rayuan dan tangisan Mak.
“Abang… sudahlah tu, sudahlah. Benda dah jadi, nak buat macam mana lagi??” Mak menangis cuba membawa saya dalam pelukannya. Tetapi gagal. Hayunan kayu Apak tetap menghambati saya. Sesekali Mak mengerang kesakitan apabila hayunan kayu Apak tersasar mengenai tubuh Mak. Saya rasakan tubuh saya sudah kebas.

“Abang Suria… Cukup tu!!” tiba-tiba saya terdengar suara garau.
“Aku kata cukup, cukup!!” saya melihat seorang lelaki memegang tangan Apak. Achik Man!!!!
“Ingat Abang Suria. Kita ni dalam bulan puasa…” kata Achik Man lagi. Apak menghempaskan kayunya ke tanah, menyambar Adina yang kesakitan sebelum menderu laju dengan kereta menuju ke hospital. Saya jatuh terjelepuk ke tanah.

“Kak Dah…. Dalam hal ni, sayalah yang bersalah. Saya yang memberi bunga api tu pada Indera. Saya tak tahu benda ini pula yang akan terjadi. Maafkan saya” kata Achik Man.
“Tak apalah Man. Man tak salah apa-apa. Dah memang kerenah budak macam tu” kata Mak sambil menyapu airmata.

Achik Man mengangkat dan mencempung saya masuk ke rumah sebelum meletakkan saya di atas katil. Setelah itu, Achik Man segera pulang ke rumah Opah Esah.

Malam itu, setelah semua orang nyenyak tidur, saya bangun dari katil. Kaki saya menggigil-gigil menahan kesakitan bekas pukulan Apak. Saya menghampiri Adina yang terkaparan. Sekali-sekala, terdengar sedu-sedannya yang masih berbaki.

Saya melihat luka terbakar yang berlitup dengan balutan kain putih. Saya baring di sisinya. Saya cium pipinya. Di telinganya saya berbisik…

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

*************************
Ogos 2002

Perkahwinan Adina dirancang untuk dibuat dalam suasana yang sederhana tetapi mahukan kemeriahan. Maklum sahajalah, dia anak perempuan bongsu. Walaupun akan ada majlis perkahwinan lagi selepas ini, kerana Andika yang paling bongsu masih belum berkahwin, manakan sama dengan majlis ini. Andika itu lelaki. Bagi masyarakat kami, perkahwinan anak lelaki tidak semeriah perkahwinan anak perempuan. Ini mungkin disebabkan pihak lelaki yang mengeluarkan belanja, menjadikan kenduri pihak keluarga lelaki tidak dapat menyaingi kemeriahan perkahwinan anak perempuan.

Adina kelihatan anggun dengan kebaya berwarna hijau, berseri-seri untuk diinaikan. Dia sudah besar kini. Dia bukan lagi kanak-kanak berusia 4 tahun. Dia kini wanita yang sedang menongkah hirarki di sebuah Bank terkemuka di Kuala Lumpur. Dia berseri dalam usia 25 tahun. Paling disayangi dalam keluarga. Paling cantik dan paling bijak.
“Mak nak kamu semua adik beradik ambil giliran meletakkan inai di jari Adina. Mula dengan kamu Azhar” kata Mak pada Yeop, abang saya yang sulung.

Setelah memberi satu ciuman di pipi Adina, abang saya itu meletakkan inai di ibu jari Adina. Seorang demi seorang kami mengambil giliran sehingga sampai giliran saya. Sepatutnya saya akan meletakkan inai itu di jari kelingking Adina kerana saya anak kelima, akan tetapi saya terpaksa menginaikannya di jari manis kerana saya mengambil tempat Khairul yang masih belum tiba dari Kuala Lumpur kerana masih belum mendapat pelepasan kerja.

“Haaahh!! Tak nak cium orang ke? Sikit je tau…” kata Adina mengusik saya.

Saya tersenyum. Sewaktu meletakkan inai di jari manisnya, saya terpandangkan parut bekas bunga api dulu. Ketika itu saya jadi tidak keruan. Pandangan saya kabur. Setitis air jernih jatuh ke lantai.
“Sorry.. peluh menitik pulak” kata saya cuba mengawal keadaan apabila Adina kelihatan terkejut.

Saya bingkas bangun menuju ke serambi rumah sambil melihat Adina ketawa diusik sepupu-sepupu kami dari jauh. Barangkali juga mereka mengusik Andika yang sedang meletakkan inai terakhir di jari kelingking Adina.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

*****************************
September 2008

“Mak mesti tahu kan…. Dah berapa lama Adina tiba di Malaysia?” kata saya pada Mak sewaktu kami melewati Tol Subang dalam perjalanan pulang ke Perak. Jalan sesak. Jam telah pun menunjukkan angka 6. Sejam dari sekarang, azan Maghrib akan berkumandang. Maka tibalah waktu berbuka puasa. Jangankan separuh jalan, suku perjalanan pun kami masih belum ditempohi lagi. Nampak gayanya terpaksalah kami berbuka puasa di hentian rehat di mana-mana nanti.

“Dah dua minggu. Kenapa…?” tanya Mak.
“Ya… dah dua minggu” kata saya sambil mengeluh panjang.
“Kenapa ni?” tanya Mak kehairanan.

Adina sudah dua minggu tiba dari Scotland setelah tamat pengajian peringkat Masters di Edinburgh. Sepanjang setahun dia di sana, tiada panggilan telefon yang saya terima daripadanya. Tiada email. Tiada surat. Saya memujuk hati saya. Barangkali Adina itu banyak tugasan. Ya, banyak tugasan. Jika banyak tugasan, kenapa dia boleh menghubungi adik beradik saya yang lain? Adakah dia terlupa yang dia masih punyai seorang lagi saudara lelaki? Untuk itu, sengaja saya uji ingatannya terhadap saya. Sewaktu dia sekeluarga tiba di KLIA, saya pula pulang ke kampung. Dua minggu berlalu, saya masih tidak menerima sebarang panggilan darinya.

“Sudah dua minggu. Sudah dua minggu dia tiba di Malaysia ni, tiada panggilan telefon yang saya terima dari Adina. Dia dah lupakan saya, Mak”
“Janganlah kamu berkecil hati. Dia ingat pada kamu. Kalau dia tak ingat, masakan ada ole-ole untuk kamu sekeluarga. Jika tidak ingat, tiada dibelikannya hadiah untuk kamu semua” kata Mak.
“Saya bukan nak hadiah, Mak. Saya nak adik saya. Saya mahukan panggilan tanda ingatan dari dia”
“Dia beli barang tu tanda dia ingatlah tu pada kamu” kata Mak lagi.
“Jadi, selama ini dia mengingati orang dengan bendalah, ye Mak? Saya bukan mahukan kebendaan”
“Entahlah… Mak tak faham dengan kamu ni”

Jalan mulai lengang sewaktu kami melewati Hentian Rehat dan Rawat di Rawang. Saya singgah membeli juadah untuk berbuka puasa. Dari kejauhan, Banjaran Titiwangsa membiru menganjur dari utara hingga ke selatan.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

***********************
30 Ramadhan 1429H (Sehari sebelum Aidil Fitri 2008)

Cucu-cucu Mak berhambat kejar di halaman rumah Mak. Lelaki perempuan. Sama lasak, sama handal. Cucu-cucu Mak yang lelaki, yang besar-besar bermain mercun bola di bawah pokok mempelam. Letupan mercun yang kuat itu bisa sahaja membikin jantung saya seakan mahu gugur.
“Baik-baik, jangan terkena orang!!” laung Makcik Minah di sebelah rumah. Dari serambi rumah Allahyarhamah Opah Esah, Achik Man tersenyum memandang saya yang baru tiba bersama Siri Aufa dan Adil Rayyan.

Saya terpandangkan Azamuddin, anak sulung Adina berlari masuk ke dalam rumah.
“Mama, mama… Can I play with them?” terdengar suaranya bertanya pada seseorang. Pastinya Adina ada di dalam rumah Mak.

Adina muncul setelah 15 minit saya tiba bersama bungkusan hadiah untuk saya. Saya memandangnya. Saya bukan inginkan hadiah darinya. Saya inginkan bingkasan rindu darinya. Demi menjaga hati semua orang, bungkusan itu saya genggam erat.
“Oklah… orang dah siap dah ni” kata Adina memandang semua orang di dalam rumah itu.
“Kamu nak pergi mana, dik?” tanya saya.
“Dina tahun ni beraya di rumah mertua Dina. Raya kedua baru balik sini?”
“Tak tunggu sekejap lagi?” tanya saya.
“Dah lewat dah ni..”

Ketika Adina ingin memasukkan barang-barang ke dalam kereta, saya mencapai anak keduanya yang sedang didukung. Sewaktu dia menghulurkan anaknya pada saya, saya terpandangkan parut bekas bunga api dulu.
“Pandu hati-hati” pesan saya pada suami Adina.

Sewaktu kereta itu bergerak, saya membilang waktu. Hanya 10 minit saya berpeluang bersama Adina.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”


Hiaskanlah cinta di jari manisku
Sinarkan bagai gemerlap kencana
Tandakanlah kasih di mercu kalbu
Serikanlah purnama yang merindu

Sunday, October 05, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Saya : Cantik gambar ni kan..?

Azah : Haah.. Tapi Dunlopillo abang tu cover-cover la sikit

Saya : Amboiii... laser la pulak isteri abang ni. Kot ya pun, jangan la panggil dunlopillo **jeling tak puas hati**

Azah : Abis tu nak panggil apa?

Adik Ipar Aku : Haah bang, abis tu nak panggil apa? Air bag? Absorber kereta?

Saya : Sadap yu!!!!!



Di kesempatan ini, saya memohon sepuluh jari ingin memohon jutaan kemaafan andai ada salah silap kata-kata saya sepanjang kita berkenalan di alam maya ini. Saya berdoa ke hadrat Allah, agar blog ini akan menjadi wasilah untuk kita mengeratkan silaturrahim sesama kita hingga ke akhir hayat. Maaf zahir dan batin dari Indera Kencana sekeluarga.