Wednesday, December 17, 2008

Rumah Kecil Tiang Seribu


Sewaktu dulu, ketika saya masih lagi kecil, dunia saya hanyalah berada di dalam ruang lingkup perdusunan tempat saya dilahirkan dan dibesarkan. Hidup kami pada ketika itu sangat sukar dan susah. Rata-rata penduduk kampung ketika itu menjalankan aktiviti sara diri bagi menyara kehidupan dan keluarga. Tiada yang istimewanya. Tiada bekalan elektrik. Tiada bekalan air. Kehidupan ketika itu umpama terletak pada pangkal asas yang dekat dengan alam dan persekitaran.

Bagi kami, kanak-kanak yang berada di usia mentah awal persekolahan, setelah usai waktu sekolah pagi, kami akan ke sekolah agama di waktu petang. Sekolah agama kami sangat daif. Letaknya betul-betul di tepi batas bendang. Beratapkan zink yang sudah berkarat. Tiada lantai simen. Hanya lantai tanah hatta kadang kala menjadi tempat ayam mengarang telur. Jika sampai waktu rehat sahaja, masa terluang itu akan diisi dengan menangkap ikan sempilai (ikan laga) yang banyak hidup meliar di dalam taliair yang mengalir jernih.

Oleh kerana saya ini anak seorang guru, kehidupan saya agak senang sedikit daripada kanak-kanak yang lain yang seusia dengan saya. Saya masih dibekalkan dengan wang sebanyak 20 sen untuk membeli sebuku roti dan segelas air di waktu rehat. Akan tetapi, bagi mereka yang rata-ratanya datang dari keluarga penoreh getah dan penanam padi, mereka cuma mampu membuka bekas makanan yang berisi lebihan makanan tengahari untuk dibuat alas perut.

Pun begitu, kehidupan saya tidaklah sesenang dan semewah seperti yang sepatutnya. Saya mempunyai 7 orang adik beradik. Dengan gaji Apak yang terhad itu, dia harus mengisi 8 perut lain saban hari. Untuk itu, Apak tidak pernah menegah jika saya ke bendang bersama sepupu-sepupu saya untuk memancing keli dan puyu. Menggalakkan pun dia tidak. Sekurang-kurangnya ada tambahan lauk buat makan malam nanti.

Erti cabaran hidup ketika itu, hanyalah cabaran hidup yang berputar setakat di perdusunan itu. Penduduk kampung ketika itu terlalu naïf tentang polisi dan dasar kerajaan. Tentang cabaran ekonomi global itu apatah lagi. Permasalahan penduduk kampung ketika itu berkisar tentang padi yang tidak menjadi akibat serangan kutu. Buah-buahan di dusun yang terpaksa direbuti dengan sang babi, dan sekali sekala gempar apabila ada orang yang dipagut ular senduk atau kapak sewaktu sedang menoreh.

Bagi kami, kanak-kanak ketika itu, taman permainan kami adalah baris-baris pokok getah. Berlari berkejaran di atas batas-batas bendang dan jika bosan, kami akan terkinja-kinja di atas dahan pokok ketapang sebelum terjun menjunam ke dalam Sungai Perak yang mengalir deras.

Saat itu merupakan saat yang terindah di dalam hidup. Walaupun kekurangan kemudahan asas, namun hidup kami sangat tenang. Hubungan kami sesama saudara umpama tiada jurang perbezaan. Anak aku adalah anak aku, anak kamu seperti anak aku jua. Makanya, kami dahulu sangat takut melakukan perkara-perkara sumbang seperti mencuri buah-buahan orang atau merokok kerana akan ada mata-mata yang memerhatikan tingkah laku kami sebelum melaporkannya kepada orang tua untuk dijatuhi hukuman.

Sungai Perak itu telah merakamkan terlalu banyak kenang-kenangan. Mulanya di persempadanan Perak-Kelantan. Mengalir masuk ke kampung kami sebelum berakhir di Selat Melaka di muara Bagan Datoh. Di situlah kami akan melakonkan semula adegan drama “Anjang Aki” yang diadaptasi dari tulisan Penantian yang terkenal itu, yang pada ketika itu sedang hangat ditayangkan di kaca talevision.

Pasir Putih dipinggir kali Pasir Roboh
Pasir Putih dipinggir tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang
Pasir Roboh tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang

Kasih tak boleh dijual beli Pasir Roboh
Kasih tak boleh dijual beli
Bukannya benda bukannya benda buat berniaga
Sayang Pasir Roboh
Bukannya benda buat berniaga sayang

Masa datang dan pergi bersama segala suka duka yang ditawarkannya. Pasir putih di pinggir kali, tempat permainan kini sepi dan terbiar tanpa dijejaki. Kami yang dulunya kanak-kanak kecil, kini sudah tinggi menjulang. Menjulang bersama cita-cita dan juga cabaran semasa.

Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang
Masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang…


Gelombang datang bertali arus. Ruang lingkup kehidupan saya bukannya lagi di perdusunan yang sunyi. Tetapi di kotaraya metropolitan Kuala Lumpur yang padat dengan penduduknya. Dengan aneka ragam dan kerenah seisinya. Cabaran juga datang dari segenap penjuru. Menghimpit diri dan yang paling menyakitkan apabila ianya menghiris tangkai hati. Namun semakin lama saya berada di tempat yang sibuk ini, semakin menjadikan saya betah dan rasanya saya boleh bertahan dengan sepak tendangnya.

Semakin saya merenung ke dalam diri saya, semakin terserlah jiwa sebenar saya. Saya masih lagi seorang kanak-kanak kecil yang berlari di atas batas bendang sambil mengelek daun keladi yang berisi air dan ikan sempilai di waktu petang di bawah jaluran pelangi. Di dalam hatinya, hanya ada kegembiraan yang bersifat sementara. Manakala pelangi itu pula adalah titian untuk dia naik ke awan tingkatan kesembilan.

Wednesday, December 10, 2008

Langit petang lewat bulan Disember...


Saya berteleku di hadapan komputer. Memerhatikan paparan skrin komputer yang melimpah dengan cahaya. Mata saya asyik dengan nombor-nombor yang mengisi penyata kewangan syarikat.
“Engkau tahu, siapakah yang mula-mula meletakkan jawatan kalau syarikat dalam keadaan masalah?” tanya Encik Zuhairi, boss saya sewaktu saya menghantarkan penyata belanjawan modal sebuah koperasi pertengahan tahun lepas.

Saya cuma tersenyum.
“Senyum pulak dia… kamu tahukah jawapannya?” tanyanya lagi.
“Akauntan” jawab saya ringkas.

Encik Zuhairi ketawa terbahak-bahak.
“Harap-harap syarikat ni takkan ada masalahlah, ya Indera!!. Kalau ada masalah pun, aku percaya yang engkau takkan terburu-buru untuk tinggalkan syarikat ni”
“Harap-harapnya macam itulah, encik” jawab saya.

Di luar, langit mendung sarat mengandung hujan. Kilat sesekali menyambar dan meninggalkan dentuman guruh yang sayup-sayup di telinga. Saya memandang rintik hujan yang turun lewat bulan Disember. Beberapa bulan lagi, musim tengkujuh akan berakhir. Berganti dengan musim panas melangkaui pertengahan tahun hadapan. Begitulah musim berganti. Hujan bertukar tempat dengan sinaran matahari. Namun hati saya selalu tidak disapa dengan pancaran kegembiraan.

Saya memandang ke segenap ruang pejabat itu. Bahagian belakang ruang pejabat yang dibiarkan kosong untuk menanti masa diisi dengan pekerja yang baru kini suram tidak bercahaya. Semenjak sedari pulang bercuti daripada perayaan Aidil Fitri dahulu, ruang itu memang sengaja dibiarkan suram tidak dipasang dengan percikan cahaya lampu. Untuk menjimatkan tenaga, konon alasannya. Saya tersenyum pahit. Ruang ini bakalan kosong beberapa minggu lagi. Kosong sekosong-kosongnya tanpa berpenghuni.

Di atas meja saya penuh dengan timbunan fail. Penuh dengan timbunan bil-bil yang tertunggak. Sekali-sekala, telefon berbunyi memekakkan telinga. Pastinya ada yang memanggil minta penjelasan kenapa bil bulan-bulan yang terhampir masih belum dilunaskan. Sebagai seorang pekerja, apa yang boleh saya katakan hanyalah memberi mereka sedikit harapan palsu kononnya laporan pembayaran sudah dihantar kepada majikan sementara menunggu kelulusan daripada mereka sahaja.

Telefon berbunyi lagi. Saya biarkan sahaja. Selang seminit, ianya mati begitu sahaja. Ya Tuhan…. Saya tidak menyangkakan bahawa saya akan berhadapan dengan masalah seperti ini untuk sekian kalinya. Saya meruap wajah kusam saya sambil di dalam hati bermunajat agar masalah ini akan segera berakhir. Mengharapkan esok akan muncul bersama harapan baru. Bersama bangkitnya cita-cita yang sudah lama berkubur demi kelangsungan hidup.

Saya masih Indera yang lama. Indera yang sukar menerima kenyataan hidup. Saya masih lagi datang ke pejabat dengan wajah selamba. Cuma di dalam hati saya selalu berperang. Sebahagiannya menafikan. Sebahagiannya pula memujuk agar senantiasa bersabar.

“Indera, masuk bilik saya sekejap” di intercom, saya mendengar Encik Zuhairi memanggil saya. Saya meninggalkan kertas kerja yang separuh siap di atas meja sambil buru-buru masuk ke biliknya.
“Apa pula kali ini?” hati saya tertanya-tanya. Saya sempat melihat bilik Encik Ismail. Biliknya kosong lewat petang-petang begini. Pastinya seusai makan tengahari tadi, Encik Ismail terus keluar mesyuarat di mana-mana dan tidak pulang ke pejabat sehinggalah esok pagi.

“Kenapa Encik Zuhairi? Encik nak kopi ke?” tanya saya cuba mengurangkan rusuh di hati saya.
“Tak.. tak payah. Saya dah minum tadi. Duduklah dulu” pelawa Encik Zuhairi. Saya menarik kerusi dan terus duduk mengadapnya.

Dahi saya berkerut. Setelah dua minit berlalu, Encik Zuhairi masih belum berkata apa-apa. Jarinya ligat di atas kekunci komputer riba dan sekali-sekala menjeling memandang wajah saya.

Encik Zuhairi mengurut kepalanya.
“Encik okey ke?” tanya saya.
“Aku okey” jawabnya. Bila dia menggunakan gantinama aku itu, saya faham bahawa apa yang ingin dia bincangkan dengan saya itu adalah sesuatu yang tidak formal.

Encik Zuhairi melepaskan keluhan berat. Jelas dari pancaran matanya, ada masalah besar yang melanda hatinya. Masalah yang saya sendiri boleh menekanya.
“Engkau tahu yang kita mempunyai ramai pelanggan-pelanggan yang masih belum menjelaskan hutang mereka kepada kita?” tanyanya
“Saya tahu”
“Engkau tahu bahawa program terbitan bon di Koperasi XYZ sudah ditamatkan secara mengejut oleh Bank Saudagar ABC?” tanyanya lagi.
“Saya tahu Encik Zuhairi. Dan saya juga tahu apa yang Encik Zuhairi nak sampaikan kepada saya kerana saya yang memegang buku akaun syarikat. Saya tahu bagaimana kedudukan kewangan syarikat ini”

Encik Zuhairi mengeluh lagi.
“Aku tak tahu bila masalah sub-prime ini akan berakhir. Aku harap, aku boleh selesaikan masalah ini seorang diri. Tapi aku tak boleh menanggungnya sorang-sorang. Engkau tahu yang aku terpaksa jual banglo aku kat Bangi? Kemudian aku kena pindah duduk kat kuarters TNB?”.
“Saya tahu. Encik Zuhairi ada bagitahu pada saya bulan lepas”
“ Isteri aku menangis tak nak pindah ke kuarters sebab dia malu. Tapi aku tak malu. Tak ada apa yang mesti aku malukan. Cuma masalahnya sekarang, engkau pulak macam mana?”
“Saya? Kenapa dengan saya?” tanya saya.
“Ada kemungkinan aku terpaksa cutikan engkau beberapa bulan…”

Hati saya bergelojak. Saya memandang wajah saya di kaca yang terletak di belakang tempat duduk belakang Encik Zuhairi. Cuba memandang bayangan diri. Tetapi di paparan kaca itu kosong. Sekosong hati saya…

Dalam usaha menggapai kekuatan diri, saya masih bisa menguntum senyuman.
“Tak mengapa Encik. Saya dah biasa susah. Satu kesusahan ini, tak akan menambah kesusahan yang dah sedia ada”

“Aku harap aku ada duit untuk kekalkan engkau di sini. Aku mahu kekalkan engkau di sini supaya ada orang yang dapat mengatur pejabat ini seperti biasa” katanya sambil memandang tepat ke arah saya.
“Kalau Encik Zuhairi ada duit, lebih baik Encik Zuhairi selesaikan bil-bil kita yang tertunggak. Kalau saya ada di sini sekalipun, tak ada apa yang boleh saya buat kalau telefon kita kena potong, bekalan elektrik kita kena potong”

Encik Zuhairi seakan tersentak. Lama kami terdiam tidak dapat berkata apa-apa.

Langit petang masih lagi suram sewaktu saya melangkah keluar dari pejabat. Di dalam buku renungan La Takhaf wa la tahzan ada menyatakan, sesungguhnya kesusahan itu ibarat seutas tali yang memegang bebanan yang berat. Andai bebanan itu sudah terlalu berat, akhirnya tali itu akan putus. Di saat itu akan tiba pertolongan daripada Allah.

Saya memandang Bukit Damansara dari kejauhan yang penuh dengan deretan banglo yang gah berdiri. Hati saya tertanya-tanya, apakah tali yang mengikat bebanan itu sudah mengikat terlalu kejap sehingga langsung tidak putus? Saya sendiri tidak pasti. Namun saya percaya dan saya yakin, walaupun saya bersendirian sekalipun di atas muka bumi ini, saya tidak keseorangan. Saya masih punya Allah buat teman berbicara.