Tahun 1946
Ayam berkokok bersahut-sahutan di belakang rumah. Azan subuh sudah
dilaungkan setengah jam yang lalu. Tetapi alam sekeliling masih lagi gelap.
Kabus tebal bagaikan selimut putih yang terapung di atas pucuk-pucuk dedaunan dalam hutan
bemban di seberang parit di sebelah rumah. Sutan Ali mencari-cari pisau toreh yang
telah siap diasah, yang dia letakkan di alang bawah rumah petang semalam sebaik
sahaja dia selesai bersolat subuh pagi itu. Udara dingin subuh berhembus
kencang menghantar deru dingin yang mencengkam sehingga ke tulang hitam. Di zaman sesudah perang, sesudah darurat ini, tiada lagi ketakutan yang menghantui penduduk kampung. Tiada lagi ancaman komunis. Tiada lagi askar-askar Jepun yang ganas. Kehidupan kembali aman. Cuma kesusahan masih tetap membelenggu kehidupan masyarakat desa. Barang-barang keperluan hanya boleh diperolehi seadanya. Ikan harus ditangkap di alur. Padi harus ditanam di huma. Segala-galanya perlu diadakan sendiri. Tiada istilah bantuan orang kerana masing-masing juga sama keadaannya. Sama-sama susah. Tidak dapat mengadu hal kepada siap-siapa.
Di
bahagian dapur rumah yang diperbuat daripada buluh itu, terdengar derap kaki
isterinya, Cik Yam sedang sibuk menumbuk dan menyambal ramuan untuk dibuat
sarapan pagi itu.
“Aziz….. bangun. Bangun cepat…
Lepas tu boleh mandi, solat dan pegi sekolah..!!” tempik Cik Yam dari
arah dapur mengejutkan anak lelaki sulungnya, Aziz yang baru berusia 11 tahun ketika itu sedang tidur di atas
lantai yang diperbuat daripada susunan batang pinang yang dibelah dua di tengah-tengah rumah.
“Ummmm….” Itu sahaja bunyi yang keluar dari mulut budak itu. Bukannya
dia bingkas bangun, bahkan semakin menarik kain pelikat lusuh yang menjadi
selimutnya. Api pelita minyak kelapa yang dinyalakan sebelum waktu subuh
tadinya, masih terliuk-liuk ditiup angin pagi yang sejuk.
Cik Yam meletakkan botol minyak kelapa yang beku malam tadi di tepi
dapur kayu agar minyaknya segera cair untuk menumis nasi goreng. Sambil itu dia
menoleh kea rah anaknya.
“Astaghfirullahal adzim… Aziz, bangun..!! Kamu tak mahu ke sekolah
ke..?” kali ini suara Cik Yam sudah naik tinggi.
Mendengarkan ibunya sudah naik radang, Aziz segera bangun dan terus
bersila. Dia mengesat air liur basi di tepi bibirnya sambil menggaru-garu
lengannya pula. Ayahnya sudah naik ke rumah untuk bersarapan. Bermakna dia
tidak lagi boleh terus bermalas-malasan di tempat tidur. Walaupun ayahnya
pendiam dan tidak banyak bercakap, namun dia lebih takutkan ayahnya daripada
ibunya sekalipun ibunya sering berleter dan bertempik memarahinya.
“Bangun cepat… Lepas tu boleh mandi” kata ayahnya.
Selesai sahaja mandi di telaga, Aziz naik ke rumah mengeletar sejuk menggigil apabila badannya yang dingin itu ditampar udara pagi. Segera dia memakai baju dan bersolat subuh dan sesudah itu bersiap untuk ke sekolah/ Dia memandang adiknya, Suria yang bertubuh kurus itu. Suria baru sahaja 5 tahun. Perutnya membuncit tanda mengalami masalah kecacingan. Suria tidur mengerekot di dalam lembaran kain pelikat lusuh juga.
“Mari makan di sini…” panggil Cik Yam kepada Aziz.
“Mak masak apa…?”
“Nasi goreng dengan gulai lemak ikan timah”
Aziz mula makan. Sesuap. Dan sesuap. Dan sesuap. Sehingga habis sepinggan. Dia mula menambah lagi.
“Haiii…? Lapar benar kamu pagi ni, Aziz..?” tegur Pak Sutan Ali.
“Sedapnya ikan timah ni Mak, Ayah…. Mak tak makan sama..?”
“Makan la… sekejap lagi Mak makan..”
“Betul Mak… Aziz suka ikan timah Mak masak ni..”
“Kalau Aziz suka… nanti Mak masak lagi” jawab Cik Yam.
“Lepas ni Aziz tak dapat nak makan masakan Mak lagi….”
“Kenapa…?” Tanya Cik Yam kehairanan.
Aziz tidak menjawab. Sebaliknya dia memandang ibunya dengan satu
pandangan mata yang sayu. Pak Sutan Ali terlongo manakala Cik Yam menanti-nanti
jawapan yang keluar dari mulut Aziz. Nyata Aziz tidak berkata apa-apa.
Uwaaaaaaa…. Sebentar kemudian, terdengar tangisan Sariah yang baru
berusia 1 tahun di tengah rumah. Cik Yam segera mendapatkan anak kecilnya itu.
Pak Sutan Ali kemudiannya terkocoh-kocoh turun ke tanah untuk menorah di kebun
getah.
Langit di timur mulai memerkah cahaya keemasan. Burung Murai Batu
berkicau nyaring di atas ranting pokok jambu merah di tepi jendela. Embun pagi
menitis dari hujung daun lantas membasahi tanah dan rumput-rumput.
“Mak… Aziz nak pegi sekolah…”
Senyap.
“Makkk… Aziz nak pegi sekolah…!!” laung Aziz dengan lebih nyaring.
Sebentar kemudian ibunya tiba dengan sebungkus nasi berlauk ikan timah
di dalam daun pisang sebagai bekal Aziz di sekolah.
“Memanggil Mak macam nak runtuh rumah ni..” sungut Cik Yam.
Aziz tersenyum.
Aziz memijak tangga dari kayu bulat turun ke tanah. Sekayu demi
sekayu. Rumah-rumah zaman itu rata-ratanya bertiang tinggi bagi mengelakkan
serangan binatang buas terutamanya harimau di waktu malam. Dindingnya bertam.
Manakala bumbungnya hanya sekadar rumbia yang dijalin dan disemat menjadi atap
bagi menghalang kepanasan dan hujan. Cik Yam mengekori Aziz ke tanah. Melihat
dan berdoa agar anaknya itu terang hari dan mudah belajar.
Aziz mula menapak meninggalkan rumah. Tetapi kemudian, langkahnya
terhenti. Dia menoleh semula ke arah ibunya sebelum meluru memeluk ibunya. Cik
Yam jadi kehairanan. Tidak pernah seumur hidup Aziz, jika dia hendak ke sekolah
dia memeluk Cik Yam. Tetapi kenapa dia berubah tingkah pada hari ini…? Cik Yam
kehairanan.
“Aziz sayang Mak dari dunia sampai akhirat..” ucapnya sambil tersenyum
dalam dakapan CikYam.
Hati Cik Yam mula dipagut kesayuan. Kesayuan yang sukar digambarkan
oleh hati nurani. Tetapi entah kenapa, lidahnya kelu untuk bertanya Aziz kenapa
pagi itu Aziz berubah tingkah dan arah. Cik Yam Cuma mengangguk sambil
melepaskan Aziz ke sekolah.
Kelibat Aziz semakin menjauh dan akhirnya hilang di sebalik rimbunan
dusun di jalanan menuju ke baruh untuk ke sekolah.
(Bersambung)