Wednesday, December 13, 2006

Waktu Makan Malam Itu.

Hari itu terlalu panjang dan membosankan. Juga hari yang menyakitkan mata saya. Jam 3.00 petang itu saya terserempak dengan Rozita sedang berdua-duaan ketawa mesra bersama Zulhilmi, musuh ketat saya di tangga sekolah itu. Orang sedang sibuk mengulangkaji pelajaran, mereka pula seronok-seronok berkasih-kasihan. Geramnya saya.
"Kan aku dah cakap dulu. Engkau tak mahu dengar.." pulang Mizwar. Saya bungkam.
"Sudah aku cakap, jangan Indera. Budak Rozita tu memang gatal sikit. Selain engkau, dia mengaku sukakan si Zulhilmi tu. Selain dari tu dia kata dia sukakan si Azman (senior kami) dan juga Bob. Tapi engkau tak mahu dengar cakap aku. Yelah... orang dah suka. Apa pun elok.." Mizwar bersyarah panjang depan saya.

Saya menggaru-garu kepala. Teringatkan saat manis pertemuan kali pertama dengan Rozita. Dia memang cantik. Berpapasan dengan saya lewat tengahari itu. Hati saya terpikat. Tetapi sekolah kami tidak membenarkan pertemuan dua mata antara lelaki dan perempuan. Maklum sahaja sekolah agama. Jika tertangkap buruk padahnya.

Akhirnya saya mengutuskan sepucuk surat buat Rozita. Tidak lupa saya selitkan pantun Pecah Kaca Pecah Gelas itu. Dia membalasnya. Menyatakan hasrat hatinya sudi menjadi "rakan istimewa" saya. Hooorrraayyy!! seronoknya. Indahnya hidup.

Sewaktu lawatan ke Muzium Kesenian Islam itu, saya singgah ke Pasar Seni membeli sekeping kaca bercorak gambar kucing Garfield yang boleh ditulis kata-kata di atasnya. Saya enggan menulis sebarang puisi di atas kaca itu, sebaliknya saya memilih untuk menulis,
"Rozita, kenangilah daku sekali sekala".

Mizwar terdengar akan hal itu. Sebenarnya datang dari mulut saya sendiri.
"Kau tulis apa? Sekali-sekala? Haa... tengoklah esok, sekali-sekala je dia ingatkan engkau" kata Mizwar sambil ketawa.

Haii... Benarlah Rozita itu tidak boleh dipercayai. Tetapi hati saya kuat mahukan dia. Dia yang cantik. Dia yang manis. Tetapi perlakuannya? Ohhh... Rozita kenapa engkau begitu?.

Waktu makan malam di Dewan Makan itu amat gamat bunyinya. Perbualan pelajar yang sejumlah 300 orang itu seumpama dengungan lebah. Bunyi kerusi ditarik dan ditolak menambahkan bising suasana. Waktu makan pelajar lelaki dan perempuan di buat serentak. Di bahagian kiri kaunter itu, barisan meja untuk pelajar lelaki. Di bahagian kanan khas untuk pelajar perempuan. Ini bermakna kami makan secara menghadap antara satu sama lain.

Saya mencari Rozita. Dan kejauhan saya nampak dia. Saya memilih duduk menghadap dia. Kerusi itu sudah diduduki oleh Pie Juling, pelajar tingkatan dua. Atas nama senior, saya menyuruh Pie Juling bangun mencari tempat duduk lain. Pie Juling menurut tanpa banyak soal. Mizwar dan Open datang duduk di hadapan saya. Mizwar menoleh ke belakang. Dia nampak Rozita di belakangnya.
"Ohh.. patutlah beria-ia menyuruh budak Pie tu mencari tempat lain...??"

Saya duduk di situ. Saya makan. Saya lihat Rozita pun makan. Tetapi saya sudah tidak berselera untuk makan. Saya sempat mengernyitkan mata pada Rozita. Dia buat muka panjang. Selamba sahaja. Minum. Lantas meneruskan perbualannya bersama-sama rakannya.

"Limaaza lam tak'kul khadhrawaat? (kenapa kamu tak makan sayur?)" tegur Ustaz Amin.
Terkejut saya. Bagaimana Ustaz Amin ini boleh berada di sisi saya? Perlukah saya membalasnya di dalam Bahasa Arab?. Bahasa Arab saya sering gagal sepanjang penggal.
"Errr..errr tak sedap, Ustaz". Mizwar dan Open mengekek memanjang.

Ustaz Amin sudah sampai di kaunter, bertanyakan itu dan ini kepada pembantu dewan makan. Saya bangun dari kerusi meninggalkan Mizwar dan Open yang terpinga-pinga. Sewaktu menyusuri jalan keluar itu saya berselisih dengan Ustaz Amin sekali lagi. Tiba-tiba, PPPAAAPP!! Bekalan elektrik terputus. Ahhh... bala, bala, bala. Saya menyerungkup ke lantai sambil menekup kepala. Gayanya seperti ada bom yang bakal meletus dalam pekat malam di dewan makan itu.

Bising. Kecoh. Dengan bunyi jeritan pelajar perempuan di sana sini. Ohh.. tuhan. Ya Allah, cepatlah bekalan ini disambung semula. Tiba-tiba saya teringat Ustaz Amin yang baru berpapasan dengan saya. Semua itu berlaku terlalu pantas. Setengah minit kemudian bekalan elektrik disambung semula. Dewan Makan itu cerah dilimpahi cahaya.

Semua terpinga-pinga. Ramai pelajar perempuan yang menangis. Ada yang terpercikkan kuah ke tudung. Ada yang pula wajah mereka disinggahi dengan kulit tembikai. Ada juga yang basah dek air sirap. Ustaz Amin yang paling teruk. Sekeping kulit tembikai tersangkut di atas songkoknya. Bajunya sudah penuh dengan kesan tembikai dan kari ikan. Tidak kurang juga pelajar lelaki yang turut menjadi mangsa keadaan.

Rozita merungut-rungut kerana wajah dan bajunya penuh dengan kesan kotoran. Saya melihat itu terasa ingin tertawa. Simpati pun ada. Saya selamat sepenuhnya oleh tindakan pantas saya.

Rupa-rupanya sewaktu bekalan elektrik itu terputus, kebanyakan pelajar-pelajar lelaki itu bertindak membaling kulit tembikai dan juga ikan yang dimasak kari ke arah pelajar-pelajar perempuan. Kegelapan itu mampu sahaja menyembunyikan identiti mereka. Ustaz Amin menjadi mangsa kerana perkara itu terjadi sewaktu dia menyusuri laluan di kawasan meja makan pelajar-pelajar lelaki itu. Kasihan Ustaz Amin.

Hingga kini saya merasa ngeri jika terputus bekalan elektrik.


Indera : Untuk pengetahuan Ustaz, saya tidak terlibat langsung di dalam perlakuan jahat itu. Semoga Ustaz menempuh hari-hari persaraan dengan penuh rahmat dari Allah S.W.T. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatan Ustaz. Maafkan saya kerana puas Ustaz mendidik saya agar pandai berbahasa Arab, namun saya tetap begitu juga. Sehingga di suatu peringkat Ustaz memberikan soalan ramalan kepada saya, tetapi saya ambil mudah. Bukan saya tidak mahukan gred yang baik Ustaz, sebaliknya saya mahu berusaha atas kemampuan saya sendiri. Saya tahu Usaz kecewa bila saya sekadar mendapat P7 dalam Bahasa Arab. Tetapi percayalah Ustaz, Ustaz tetap yang terbaik dalam hati kami semua. Buktinya ramai di kalangan kami yang telah melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordan, Madinah dan Syria. Saya? Seperti yang saya maklumkan kepada Ustaz dahulu, saya ke Shah Alam. Satu institusi yang tidak pernah Ustaz senangi dahulu kerana terlalu banyak berita salah laku. Ustaz membenarkan saya pergi dalam payah. Bukankah begitu, Ustaz?

Tuesday, December 12, 2006

Dua Kisah Berbeza Tetapi Serupa Gemanya

Kisah 1
Sudah seminggu saya tidak melihat kelibatnya di Layangan Indera ini. Sudah seminggu juga harumannya tidak menyapa alam maya ini. Saya tertanya-tanya. Kenapakah dia menghilang agaknya? Sibukkah dia atau tidak sihatkah dia? Hati saya digaru keresahan. Juga rindu. Rindu untuk menatap tulisannya yang indah di nian pujangga. Membaca baris-baris ayat digubah teratur sehingga menerbitkan rasa berbunga di hati. Tulisannya menjadi ilham untuk saya giat menulis. Mencemburui kebijaksanaan aturan ayat karangan sehingga saya sentiasa ingin menulis seperti dia.

Beberapa hari ini dia menyepikan diri tanpa meninggalkan selayangan perkhabaran buat saya. Sememangnya saya resah. Mujur teman-teman yang lain masih sudi menjenguk saya di layangan sepi ini. Sungguh, sekiranya teman-teman yang lain juga menghilangkan diri sepertinya dia, pasti saya akan merasa buntu dan hilang akal.

Layangan Indera ini sepi tanpa harummu..
Ke manakah engkau menghilang wahai Bunga Rampai...?


Kisah 2
Sudah dua hari Azah dan anak-anak menemani saya di Bandar Tasik Puteri. Selama dua hari itulah rumah saya berseri dengan gelak ketawa mereka. Rumah itu bagaikan mendapat sinarnya. Sudah tiada lagi kesuraman laksana mendung yang menyelubungi rumah itu.

Tiada lagi jadual harian yang ketat. Saya tidak perlu terkejar-kejar untuk pulang ke rumah memasak untuk makan malam dan juga tebongkok-bongkok menggosok baju bagi persediaan hari esoknya. Segala-galanya sudah disediakan oleh Azah. Alangkah baiknya jika ianya berterusan sepanjang musim.

Namun saya amat menyedarinya. Musim itu pasti akan berakhir jua. Mendung serta ribut pasti membadai di hujung senja. Sabtu ini Azah serta anak-anak akan pulang ke perdusunan itu semula, meninggalkan saya kesepian dikelilingi oleh memori tawa ceria anak-anak saya. Ahhh.. kenapakah setiap kegembiraan itu sering sahaja berakhir dengan cepat?
Indera : Juga terkenangkan adik saya, Maniq Kayangan yang pergi membawa hati laranya setelah cintanya dicurangi. Di manakah kalian?

Monday, December 11, 2006

Sedapnya Satay!!

Ingat lagikah tentang Tok Subari yang menikahi Opah Bibah melalui adat yang pelik iaitu Adat Memanjat? Ya, dipendekkan cerita, Tok Subari dan juga Opah Bibah dikurniakan dengan anak yang ramai iaitu 8 orang semuanya. Yang sulung Pak Long Zainal dan yang bongsunya ialah Mak Su Liza.

Di dalam keras hati dan sikap panas baran Tok Subari itu, tersimpan suatu sifat mulia. Dia amat suka dan menyayangi kanak-kanak terutamanya anak-anak yatim. Sekitar awal 80-an itu, ada seorang duda atau lebih tepat lagi bapa tunggal di kampung kami telah meninggal dunia. Dia turut meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil. Dua lelaki dan seorang perempuan. Dua orang anak duda itu yang besarnya, dipulangkan ke bawah jagaan nenek kanak-kanak itu manakala yang bongsunya, seorang budak lelaki berusia 5 tahun, diambil oleh Tok Subari sebagai anak angkat. Din, nama budak itu dibesarkan dengan penuh kemanjaan oleh Tok Subari. Segala kehendaknya diturutkan oleh Tok Subari.

Sesudah Din berusia 8 tahun, Tok Subari berura-ura untuk mengkhatankan Din. Upacara berkhatan itu dibuat secara besar-besaran memandangkan rumah Tok Subari sudah lama tidak mempunyai kanak-kanak lelaki. Kali terakhir upacara berkhatan dilakukan di rumah itu adalah sewaktu upacara berkhatan Achik Hadi, 15 tahun sebelum itu.

Din hanya muda beberapa tahun sahaja daripada kami. Namun oleh kerana dia anak kesayangan Tok Subari, dia terlebih manja dan dia sering mencari gaduh dengan saya dan Fuad. Di hadapan Tok Subari, sekiranya kami ditendang oleh Din, kami hanya tersenyum sahaja. Tetapi jika hilang sahaja bayang Tok Subari, saya dan Fuad akan menarik Din ke semak senduduk di belakang rumah moyang itu dan membelasahnya di situ sehingga menangis.

Rumah Tok Subari sudah dilimpahi oleh orang ramai. Waktu ini saat paling menarik bagi kanak-kanak yang bakal dikhatankan kerana di saat ini golongan tuanya akan terlebih bermurah hati. Jika di hari lain, untuk meminta 20 sen itu pun azab oleh kerana terlalu kedekut, di hari ini orang tua kedekut itu pula akan memberikan RM10.00. Waahh... satu jumlah yang besar. Serasa ingin berkhatan sekali lagi....

Din tersenyum bangga sambil menunjukkan koleksi wang merahnya kepada kami. Saya lihat Fuad sudah mengetap bibir menahan kegeraman melihat sampul-sampul duit di dalam kocek Din.
"Jagalah. Jatuh dua tiga keping nanti, jangan harap aku nak pulangkan balik" bisik Fuad. Tetapi masih jelas di telinga saya.

Tetamu berduyun-duyun sampai. Ada yang sedang menikmati hidangan. Ada yang sibuk bekerja di Balai Penanggah. Ada yang setakat berbual kosong sambil menikmati rokok. Ada juga buat-buat sibuk seperti kami.

Tok Mudim Harun sudah sampai dengan beg kulitnya. Melihat sahaja misainya yang melenting itu sudah cukup membuatkan kanak-kanak yang belum berkhatan mengigil ketakutan. Sebaik sahaja selesai menikmati hidangannya, Tok Mudim Harun membuka begnya dan mengeluarkan selembar kain putih. Di atas kain putih itu ditaburi dengan bijian hitam seperti jintan.
"Supaya lekas sembuh" katanya kepada saya dan Fuad yang leka memerhatikan kerjanya.
"Kamu berminat nak jadi mudim?" tanya Tok Mudim Harun kepada kami.
"Hiiiieee... yeeekkkk" kata Fuad seakan loya.

Din sudah dihiasi dengan pakaian melayu. Tengkoloknya melintang solek ayam patah kepak. Baju songketnya.. aduhhh.. benar-benarlah Tok Subari berhabis-habisan untuk budak itu. Cantik sekali. Persis anak raja zaman dahulu.

Rebana dipalu dan Din diarak di atas bahu Pak Long Zainal yang tegap menuju ke telaga di pinggir bendang itu. Kononnya air yang sejuk dingin itu bisa bertindak sebagai ubat pelali. Kami tidak tahu kesahihannya kerana kami juga dahulunya diarak dan dimandikan sedemikian rupa. Tetapi hasilnya tetap menyakitkan sehingga ke dasar otak.

Din kemudiannya diarak pulang ke rumah dalam sejuk mengigil tengahari itu. Hanya kain batik Opah Bibah sahaja yang membaluti tubuhnya. Dia dicempung ke ruang anjung rumah Tok Subari lantas dilucutkan kain batik itu.

Sebaik sahaja terpandangkan misai Tok Mudim Harun yang melenting itu, Din terpekik terlolong ketakutan. Dia cuba berlari turun melalui tangga rumah namun orang-orang muda yang gagah-gagah sudah sedia menunggu. Din tidak punya pilihan melainkan melangkah tingkap turun ke bawah. Oleh kerana dia bertubuh kecil dan pendek, kakinya sudah tidak cecah ke tanah. Bergayut dia di situ sambil melolong-lolong menangis.
"AAhhhhh... Din tak mau. Din tak mau... Ahhhh... tak mau!!!!!

Dalam keadaan cemas itu, Pakcik Kudin Buncit menyuruh kami menahan Din dengan menggunakan bahu kami. Cemas sungguh. Bahu kami dipijak-pijak oleh Din yang meronta-ronta. Sekali sekala, kakinya menyinggahi kepala kami. Amboi... ini sudah lebih!!

Mujur orang-orang dewasa segera datang menangkap Din yang sedang meronta-ronta. Pun begitu, sempat juga Din melepaskan satu tendangan yang kuat ke belakang badan Fuad sehingga menyebabkan Fuad terdorong ke hadapan dan hilang keseimbangan lantas jatuh tertumus ke dalam lopak air. Fuad berkicau kemarahan.
"Nanti kamu Din. Nanti lepas aku balik mandi... aku potong-potong kamu sampai habis dengan gunting. Kamu jaga, Din"
Geram sungguh Fuad. Terus sahaja dia berlalu dengan badan serta muka yang kotor. Wajahnya sudah masam kelat seperti buah amrah.

Petang esoknya Tok Subari datang ke rumah Opah mencari kami berdua.
"Tok nak ucapkan terima kasih pada kamu berdua, Indera dengan Fuad sebab susah payah bertahan bahu menghalang Din daripada terjun tingkap. Kalau kome tak tolong, tentu Din dah patah kaki gamaknya. Tok tak tahu nak ucapkan terima kasih macam mana. Cuma Tok bawak sagu hati. Nah..."
Tok Subari memasukkan ke dalam kocek kami RM10.00 setiap seorang. Bangga rasanya. Seolah-olah menerima Pingat Hang Tuah.
"Haiii.. Sepuluh ringgit je ke.." kata Fuad. Tidak puas hati.
"Dah tu kamu nak berapa?" tengking Tok Subari. "Tak nak, bak sini duit aku tu balik" tambah Tok Subari.
"Nak-nak-nak!!!"

Duit pemberian Tok Subari itu cukup membeli satay seratus cucuk. Sebahagiannya kami hantar ke rumah Tok Subari. Kami sengaja makan satay itu di hadapan Din. Teriak tangisnya hendakkan satay itu sudah cukup membuatkan dendam kami berbalas.
"Kamu makan satay ayam tu nanti, luka kamu dijangkiti kuman. Sudah!! Makan ikan bilis goreng tu saja.." tengking Tok Subari.

Emmmm... sedapnya satay....!!!

Friday, December 08, 2006

Gajah Batu Tiga Beranak (Sambungan dari Makam Anak Bentara)

Adapun Raja Siam mengutuskan sebuah lagi watikah ke penghadapan Sultan Muzaffar Shah I yang sedang bersemayam di Tanah Abang itu.
"Di atas segala kebesaran yang beta miliki, sekali lagi beta menyeru agar Yang Dipertuan Negeri Perak tunduk di bawah panji-panji Negeri Siam. Sekiranya Yang Dipertuan Negeri Perak engkar, beta tidak mempunyai alasan lain selain daripada membakar hangus Negeri Perak dan Tanah Abang itu akan beta bina dengan sebuah Wat yang besar sempena memuja gajah beta".

Tempoh dua purnama semakin tiba ke penghujungnya. Rakyat sudah berondong-bondong masuk ke Kota Tanah Abang dan berkampung di dalamnya. Melalui risikan yang dilakukan, Siam bakal menyerang Tanah Abang melalui jalan air.

Jong bahtera Siam sudah sampai ke Beting Beras Basah dan memudiki Sungai Perak dari arah muara dan terus bergerak ke hulu sungai. Paluan gendang yang dipalu menggerunkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya apatah lagi dengan melihatkan kelengkapan bahtera perang yang berjumlah 160 buah itu.

Di tengah-tengah angkatan bahtera itu terdapat satu bahtera yang mengangkut patung gajah tiga beranak sebagai tanda Raja Siam sudah bersedia untuk mencemar kesucian syariat Islam yang bertapak kukuh di Tanah Abang yang terkenal sebagai salah sebuah pusat pengembangan ilmu dan akidah Islam di Nusantara.

Jong Bahtera Siam itu semakin menghampiri ke Tanah Abang. Golongan wanita dan kanak-kanak bergegas mencari perlindungan di kubu bawah tanah dengan diawasi oleh permaisuri-permaisuri dan wanita-wanita bangsawan istana. Manakala golongan lelaki pula sudah sedia membentengi di kubu setinggi sepuluh hasta itu bagi menghadapi serangan Siam itu.

"Datuk Temenggong, beta mengarahkan agar laskar kita dipecahkan menjadi dua bahagian. Satu bahagian berkubu di istana manakala satu bahagian lagi mara keluar. Bahagian yang mara keluar itu, pecahkan pula menjadi 4 bahagian. Dua bahagian di hilir. Satu di Tanah Daulat (bahagian kanan sungai) dan satu bahagian di Tanah Perundangan Dato-Dato (di kiri sungai). Serupa juga hal 2 bahagian yang berjaga di bahagian hulu itu. Takut beta kalau-kalau ada angkatan Siam yang menghendap kita dari jalan darat".

Angkatan Bahtera Siam sudah memasuki perairan Tanah Abang. Melihatkan kepada keupayaan angkatan Siam yang 3 kali ganda daripada ketumbukan Laskar Diraja Perak itu, gementarlah hati panglima-panglima Perak. Ditambah pula dengan kelajuan bahtera-bahtera itu menyongsong arus, serta bunyi-bunyian yang dimainkan terlalu azamat, Datuk Bendahara mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak agar Perak menyerah sahaja tanpa berlaku pertumpahan darah.
"Datuk-datuk sekelian. Sekiranya beta menyerah kepada angkatan Siam itu, tahukah datuk-datuk sekelian akan natijah yang menanti kita?. Agama kita akan diinjak-injak. Kita sekeliannya akan menjadi hamba mereka dan kekayaan kita akan dibawa pergi. Jika datuk-datuk sekelian takut akan menghadapi serangan mereka, biar beta sendiri berputih tulang membentengi mereka daripada hidup berputih mata".

Sultan Muzaffar Shah I keluar dari istana lantas berdiri di atas tebing di pengkalan Tanah Abang itu. Baginda menggenggam sekepal tanah seraya bersabda,

"Jika benar Beta raja yang berdaulat dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang mulia. Panji-panjinya mengarak turun lintang dari Gunung Mahameru. Setangginya mengharumi dan menyentuh kelambu Baitullah. Beta berdoa ke hadratMu Ya Allah agar ditahani serangan kafirun ini andai jika mereka berjaya, syariatMu akan pudar dari tanah ini, Ya Allah.

Dengan tidak semena-mena, datang semilir yang keras berhembus turun dari Gunung Bubu bertiup kencang ke Tanah Abang. Angkatan tentera Siam gempar apabila awan hitam berarak dengan kilat petir sabung menyabung. Dedaunan kering di lantai perdusunan itu terangkat naik ke udara bergumpalan membentuk kalimah arab "La-ilahaillallah, Muhammadur Rasullullah" terpampang di dada langit yang kehitaman.

Apabila kalimat itu pecah dan sebaik sahaja dedaunan itu berguguran jatuh menyentuh permukaan sungai, aliran sungai sejauh 7 batu di hulu dan di hilir sungai itu terus menjadi air mati. Tiada aliran langsung. Tentera Siam semakin terpinga-pinga. Mereka bagaikan berada di tengah lautan bergelora dengan ombak besar naik menggulung-gulung. Ketakutan dengan itu, tentera-tentera Siam itu terjun ke dalam sungai. Ada yang sempat melarikan diri. Ada yang tenggelam kelemasan. Ada pula yang ditawan menjadi hamba.

Bahtera yang membawa gajah batu tiga beranak itu terdampar di sebuah tebing yang tersorok di Tanah Perundangan Dato-Dato dan kekal di situ sehingga ke hari ini. Siam tewas dalam peperangan itu dengan bantuan dari Allah S.W.T. Adapun aliran yang berada di hadapan Tanah Abang itu juga kekal sebagai aliran air mati sehingga ke hari ini. Ada yang mendakwa aliran Sungai Perak memasuki kawasan itu di hulunya dan keluar di bahagian hilirnya. Walau bagaimanapun, kawasan sejauh 7 batu itu tetap tidak punya aliran langsung seolah-olah ianya mati total. Wallahua'lam.


Indera : Ramai yang mengaitkan perkara itu sebagai daulat Sultan Muzaffar Shah I, tetapi saya beranggapan bahawa air mati itu berkemungkinan berpunca daripada fenomena Tasik Ladam. Wallahua'lam.

Thursday, December 07, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. Terakhir)

Dia telah menentukannya,
Kita bertemu dan bercinta,
Inilah oh, takdirnya,
Bukan kerana harta,
Inilah citra cahaya cinta....


Saya mendapat panggilan telefon dari Chik Li. Teman rapat sewaktu di kolej dahulu. Chik Li sudah punya anak 2. Dia mengusulkan kami bertemu di Kompleks PKNS Shah Alam.
"Engkau tunggu aku depan Kedai Farmasi Watson itu. Setengah jam lagi aku sampai.." katanya.

"Engkau nak beli apa kat Watson?" tanya saya sejurus dia sampai.
"Aku nak beli kosmetik isteri aku sekejap.."

Melihat Chik Li bertanya itu dan ini kepada jurujual itu, hati saya terasa lucu. Namun berlainan pula riak wajah jurujual itu. Dia nampak seolah kagum pada Chik Li. Entah apa yang dikagumkannya, saya pun tidak pasti.
"Ada pula orang lelaki beli kosmetik. Heeiii.. kelakarlah engkau!!" saya mentertawakan Chik Li.
"Indera. Aku rasa engkau dan aku, sama sahaja. Kita suka melihat wanita cantik. Bila lalu sahaja wanita cantik, pandangan kita akan mengekori wanita itu. Tidak kira wanita itu dara atau sudah menjadi isteri orang. Engkau fikir wanita itu sahaja yang cantik. Isteri engkau tidak cantik. Kerana apa? Kerana engkau larang dia memakai barangan yang mampu menyerlahkan kecantikannya dengan alasan isteri hanya patut bergaya untuk suami. Itu betul!! Tetapi pernahkah engkau membelikan barangan yang boleh menggembirakan hatinya..?? Tidak pernah. Kemudian engkau salahkan isterimu tidak cantik. Adilkah begitu...?"

Kata-kata Chik Li itu mengetuk ego saya. Kali pertama melangkah masuk membeli kosmetik itu memang terasa janggal dan serba tidak kena. Malu. Namun setelah diberitahu ianya untuk isteri saya, pandangan jurujual itu berubah kepada kekaguman dan hormat. Sama seperti Chik Li terima sewaktu masuk ke Watson dahulu.

Azah disahkan mengandung. Terasa dunia ini umpama di kayangan rasanya. Gembira. Ceria dan begitu bermakna. Namun tatkala di usia kandungan sudah menghampiri minggu terakhirnya, saya disingkir oleh Abang Ngah dari Lembaga Pengarah dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Saya kehilangan segala harta saya. Namun Azah umpama bidadari yang turun dari syurga memujuk hati saya yang lara walau hatinya sendiri penuh ketidakpastian akan kehidupan kami di hari mendatang. Dia berpegang kepada satu iaitu hal rezeki itu di tangan Allah S.W.T.

Siri Aufa lahir menerusi pembedahan pada bulan Mei tahun itu. Wajahnya mirip saya. Sewaktu menyentuh dan memangkunya, saya terlupa segala kesedihan yang saya tanggungi. Saya berjanji bahawa hidupnya akan dipenuhi dengan keriangan dan kasih sayang. Sekalipun tanpa curahan harta yang melimpah ruah.

Azah masih setia di sisi saya walaupun saya sekarang berusaha keras mengembalikan taraf kehidupan kami ke tahap seperti dahulu. Walaupun sinar kesenangan itu masih belum menampakkan pancarannya namun Azah redha di atas segala takdir hidupnya bersuamikan saya.

Azah kini semakin cantik dan pandai bergaya. Cuma berat badannya semakin bertambah selepas kelahiran Siri Aufa. Dia baik. Dia bijak menguruskan rumahtangga kami. Segala-gala tentangnya amat membahagiakan saya.

Tiga tahun sesudah kelahiran Siri Aufa berselang, rumahtangga kami diserikan dengan kehadiran Adil Rayyan pula. Mirip wajah Azah. Dan segala-galanya yang berkaitan dengan Azah. Sewaktu melihat keperitan yang ditanggung oleh Azah sewaktu melahirkan Adil Rayyan membuatkan saya sebak. Saya tidak dapat membayangkan kehidupan saya tanpa Azah.

Haiii... perempuan boleh datang berbagai-bagai. Ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang suci. Ada yang melencong. Ada yang jelita. Ada yang buruk. Tidak semua perempuan itu serupa. Sama halnya seperti lelaki jua. Namun kebanyakan lelaki hari ini meletakkan kecantikan itu diturutan utama kemudian baru agama dan budi pekerti. Kecantikan hanya perkara luaran. Ianya boleh lenyap dimakan usia. Namun hati yang tulus ikhlas dan suci murni itu mampu menyerlahkan diri seorang wanita itu umpama bidadari dalam hati suaminya melainkanlah lelaki itu jenis yang tidak pandai menilai hati budi seorang wanita.

Perjalanan kami masih jauh lagi. Cuma pencarian itu rasanya sudah lama berakhir. Saya yakini diri saya bahawa hanya dia yang saya mahukan dan cinta saya hanya untuk dia. Iaitu Azah.

Sebuah bait yang sering saya bisikkan pada Azah sekiranya kami berselisih faham..

Percintaan ini kita memilihnya
Kesilapan hanya suatu perbandingan...

(Tamat).

Wednesday, December 06, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 6)

Hingga sejauh ini perjalanan ditempoh.. Mengharungi segala onak derita. Pencarian itu berakhir larat di hujung perjalanan jua. Mengorak kembang di taman nirwana...

"APA?? Maksudnya engkau sememangnya tersangat teruna? Teruna yang naif tentang seks..?? Tetapi kenapa pembawakan kamu seperti seorang yang sangat berpengalaman. Err.. maksud aku dari segi gaya kamu berbicara..." Abang Ngah tersangat hairan. Saya hanya mampu mengangkat bahu.
"Tolonglah Abang Ngah. Bagi pendapat sikit.." saya sudah mengelabah.
"Aku tak tahu Indera. Ini masalah engkau. Sekiranya engkau memandang Azah sebagai hanya sekadar tanggungjawab, aku rasa masalah ini tak dapat nak diatasi. Tetapi sekiranya engkau memandang Azah sebagai insan yang harus engkau sayangi, maka nafsu kamu akan datang aku kira.." Abang Ngah tersenyum nakal sambil memandang saya ke atas dan ke bawah.
"Bagaimana keadaan sekeliling malam tu..??" tanyanya lagi.
"Panas dan ramai orang.." jawab saya
"Engkau ada exercise tak?" tanyanya lagi
"Ada..."
"Engkau dengan dia pakai minyak wangi tak?"
"Cukuplah tu... Amboi, lebih-lebih pulak tanya..." saya sudah tidak dapat menahan kemarahan bercampur gelihati.
"OK. Kalau macam tu.. langkah pertama yang kamu mesti buat ialah.." Saya berguru dengan Abang Ngah malam itu secara teori di restoran mamak sehingga membawa ke tengah malam.

Saya pulang ke kampung dan mempraktik segala ajaran Abang Ngah. Ianya berjaya!! Sungguh tidak disangka. Saya kini bukan lagi lelaki yang tersangat bodoh tentang hal-ehwal seks. Setiapkali saya merenung semula kisah ini akan membuatkan tertawa sendiri apa lagi setelah mendengar lagu Pria Terhebat.

Namun antara saya dengan Azah masih lagi ada jurang yang memisahkan kami. Perasaan cinta itu masih belum wujud. Saya telah berhenti dari syarikat pemaju itu dan membuka perniagaan sendiri dengan Abang Ngah. Saya tetap tidak merasakan tanggungjawab yang besar terhadap Azah dan saya akan pulang bila-bila masa yang saya inginkan dan sering berlama-lama meninggalkannya. Selalunya 2 minggu saya tinggalkan. Ini kerana kami tidak tinggal bersama kerana dia ingin menjaga kedua ibu dan ayahnya yang uzur.

Setelah beberapa bulan berkahwin, kami masih belum dikurniakan dengan cahayamata. Azah sudah gelisah dengan cakap-cakap orang sekeliling namun saya tetap berlagak selamba. Layanan yang diberikan oleh Azah pada saya sangat memuaskan hati malah berlebih-lebihan. Dia tahu apa yang saya sukai dan apa yang saya tidak saya sukai. Sehinggakan perkara yang sekecil-kecilnya seperti saya selalu terjaga di tengah malam untuk mendapatkan segelas air. Di tepi katil kami memang sudah sedia terhidang sejag air masak untuk saya. Di suatu masa, saya diserang demam yang kuat. Azahlah yang berada di sisi saya memberikan air untuk saya minum dan mendemah dahi saya.

Namun kebaikannya terus berlalu begitu sahaja. Saya akui Azah isteri yang terlalu baik. Saya mula menyayanginya. Namun setakat sayang. Belum ada cinta lagi.

Saya sering mengisi kekosongan hati saya dengan melukis. Kebiasaannya saya akan meletakkan kanvas di bawah sinaran lampu yang terang. Dari pancaran cahaya itu, saya akan terpandang garis-garis halus yang timbul dan saya akan mula melukis berdasarkan garisan yang timbul itu.

Sungguh, hati saya kosong di saat. Melalui pandangan mata saya, garis-garis halus itu membina suatu imej. Imej laut yang bergelora. Sama seperti bergeloranya hati saya. Selain daripada kanvas itu, terdapat lukisan yang lain seperti gambar seekor naga, gambar seorang wanita yang sedang memegang sekuntum bunga dan juga gambar rumah Opah. Di tepi lukisan itu akan tertulis bait-bait puisi.

Minggu itu adalah minggu pertama selepas perkahwinan adik saya, Azlina Kesuma. Keluarga saya sedang sibuk berkemas-kemas selepas kenduri berakhir. Tiba-tiba telinga saya menangkap suara Azah berkata sesuatu,
Dahulu, cinta kita berbunga..
Sayang sepenuh nyawa
Di dalam hatiku merindu
Sayang kau tak tahu..

Saya menoleh. Azah sedang melihat koleksi lukisan itu. Entah ditemuinya dari mana. Saya lekas-lekas menghambatnya untuk mengambil semula lukisan itu tetapi Azah lebih pantas berlari di belakang meja makan. Maka berhambatlah kami berdua di sekeliling meja makan. Mak dan cucu-cucu Mak terkejut.

Entah bagaimana, dalam saya mengejar lukisan itu dari tangan Azah, saya terpijak bola getah anak buah saya. Saya hilang keseimbangan sebelum... GEDEBAKKK!! jatuh tersungkur. Melihatkan saya tersungkur itu Azah ketawa bersungguh-sungguh. Saya yang pada mula asalnya marah, langsung turut ketawa bersama-sama.

Malam itu saya tidur di rumah Mak. Selimut cuma ada satu. Itupun kecil lembarannya. Malam itu saya terjaga. Saya lihat Azah mengerekot kesejukan di sisi saya. Selimut itu sudah membaluti tubuh saya. Pasti dia yang menyelimuti saya. Saya terharu. Perlahan-lahan saya meletakkan selimut itu di tubuhnya dan mengucup dahinya.

Saya harus pulang ke Kuala Lumpur. Terlalu banyak tugasan yang menanti. Jika terlalu banyak tugas yang tertangguh, Abang Ngah akan berkicau panjang. Hati saya berat untuk menghantar Azah pulang ke rumah mertua saya. Saya tidak tahu mengapa. Saya terasa ingin memegangnya, mengucup dahinya dan mendengar tawa cerianya.

Pulang sahaja dari rumah mertua saya, saya teringatkan diari saya tertinggal di dalam bilik tempat kami bermalam sebelumnya. Sebaik sahaja saya mengambil diari saya, sewaktu saya ingin melangkah keluar dari bilik itu, saya terpandangkan selimut yang dipakai oleh Azah malam itu. Hati saya seperti dihiris sembilu. Saya duduk di bibir katil itu dan menarik selimut itu ke dalam dakapan saya. Di hujung selimut itu saya letakkan ke pipi...

I love you...

(Bersambung)

Tuesday, December 05, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 5)

Dapatkah jambangan kasih berputik andai tidak dipupuk dan dibajai mesra...??

Namanya Azah. Seorang guru lepasan Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Lebih tua dari saya dari jarak usia setahun. Hidupnya mendambakan diri kepada kedua orang tuanya. Dia tidak akan keluar dari rumah tanpa sebab dan jika keluar, pakaiannya hanyalah sepasang kurung dan tudung. Istilah fesyen sememangnya tidak pernah wujud dalam dirinya. Dia tidak tahu mengenakan alatan solek kecuali secalit gincu berwarna pucat.

Dia serba serbi berlawanan dengan saya. Saya tidak mengatakan saya seorang lelaki yang terlalu mengikut peredaran masa namun kerja-kerja saya di dalam bidang pembangunan perniagaan dan pengurusan projek menuntut saya untuk terlalu peka dengan perkembangan semasa. Kesemuanya harus diambil kira dari segi penampilan sehinggalah kepada tatacara pertuturan. Percakapan hanya mengikut fakta.
"Jadi awak tidak pernah menonton siri Ally McBeal? Tak pernah tengok Everybody Loves Raymond?. Dia geleng.
"Saya tersangat jarang menonton television. Ada atau tidaknya hanya setakat cerekarama sahaja. Kampung tu, selepas pukul 9.00 malam, sunyi. Semua orang dah masuk tidur.."

Benar. Di antara kami tiada perkara yang bertemu menjadi satu. Saya menyukai warna terang manakala dia menyukai warna yang pudar. Mungkin persamaan yang paling dekat ialah dia suka memasak manakala hobi saya ialah makan.

Sepanjang tempoh pertunangan itu saya tersangat sibuk dengan Rangka Aliran Tunai dan promosi projek serta persiapan untuk memulakan projek di Khartoum kelak. Mesyuarat di sana dan sini sehinggakan saya tidak punya masa untuk rehat yang cukup apalagi untuk bertelefon menghubungi Mak dan Apak di kampung. Saya tidak menyedari bahawa sekeping hati telah menderita. Pintu hati saya benar-benar sudah tertutup rapat. Jika benar dia menginginkan saya, biarlah dia menunggu.

Saat keberangkatan saya ke Sudan dihantari oleh abang saya. Dalam kesibukan urusan itu dan ini di KLIA itu, saya sempat menangkap seraut wajah Azah memandang sayu ke arah saya dari jauh. Dia mengikuti keluarga abang saya melihat saya berangkat pergi.
"Kenapa awak berdiri dari jauh sahaja?" tanya saya.
"Azah tak mahu mengganggu awak. Awak tentu sibuk"
"Azah. Tentang pertunangan kita ini, tidakkah awak merasakan ianya satu kesilapan?" tanya saya. Dia diam sahaja.
"Beginilah, jika jodoh kita kuat, kita akan berkahwin. Tetapi jangan terlalu menunggu saya. Seperkara lagi saya ingin katakan, perkhidmatan pos di Sudan tersangat tidak memuaskan. Jadi jangan memandang kepada peti surat kerana tidak akan ada dari saya untuk awak sepanjang pemergian saya. Surat hanya akan membuatkan awak terlalu mengharap...."

Saya masuk ke Balai Berlepas meninggalkan Azah dengan linangan airmatanya. Sedikit pun hati saya tidak tersentuh. Saya melihat dia mengekori saya melalui dinding kaca lapangan terbang dan terus berdiri di situ sehingga saya masuk ke perut kapal terbang.

Kehidupan di Sudan tersangat keras. Cuaca dan pemakanannya amat berbeza dengan Malaysia. Gaji yang dimasukkan oleh syarikat hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan sedikit simpanan. Tidak seperti pekerja-pekerja Petronas yang menginap di Hotel Grand Holiday Villa itu. Tiga kali tempoh bertugas mereka sudah mampu membeli sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur. Saya hanya mampu menyewa pangsapuri kecil yang tidak jauh dari pejabat kami yang terletak di Ammarat Street. Itu pun berasak-asak, 6 orang serumah. Jika bosan dengan kehidupan harian, saya akan berjalan-jalan di hadapan Hotel Grand Holiday Villa mendengar orang Sudan menyanyi lagu Casey, Seribu Impian dari pentas terbuka di hadapan hotel itu. Di dalam kesunyian itu sempat saya berkenalan dengan Hendon, Sarah dan Adeeba. Dan yang terlalu menyintai saya ialah Zahara, yang kemudian berusaha datang ke Malaysia mengikuti saya. Mereka itu hanyalah sekadar teman berbual sahaja bagi saya. Tidak lebih dari itu.

Saya mendapat cuti panjang dari syarikat bagi tujuan berkahwin. Saya menghubungi Azah memberitahunya bahawa saya akan pulang sambil bertanyakan barangan apakah yang diingininya. Mungkin sedikit barang perhiasan barangkali. Namun dia hanya inginkan saya selamat pulang. Itu sahaja.

Saya benar-benar tidak ambil pusing tentang urusan perkahwinan itu. Segalanya diuruskan oleh Azah sendiri. Tempahan kad serta baju pengantin. Semua diuruskan olehnya. Ahhh.. dia yang bersungguh ingin berkahwin, biar sahajalah.

Perkahwinan berlangsung dengan meriah di rumahnya kerana dia adalah anak perempuan terakhir di dalam aturan adik beradiknya. Di rumah Mak pula hanya dibuat sederhana sahaja kerana saya beralasan tidak suka membazir. Sungguh, di dalam hati saya langsung tiada perasaan suka.

Malam pengantin itu sepatutnya menyatukan rasa sendu dua hati bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri. Saya lari pulang ke Kuala Lumpur dengan meninggalkan Azah yang masih perawan. Azah menangis lagi namun sedikit pun tidak memperlihatkannya di hadapan ahli keluarganya. Demi cintanya kepada saya.

(Bersambung)

Saturday, December 02, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 4)

Ya Allah, aku pasrah pada ketentuanMu. Andai dirinya tercipta untukku, rela jua kumenjadi miliknya...

Minggu itu masih dalam suasana berhari raya. Kebanyakan pejabat masih lagi ditutup. Saya pulang terlalu awal rupanya. Pejabat Nizam pula sudah dibuka. Saya menjenguknya dalam kesihatan yang masih belum pulih. Ternyata bisa demam itu kemudian menular kepada Nizam dan rakan kongsinya, Fendi. Pejabat mereka tutup selama 2 minggu selepas saya berkunjung. Mereka mengidap Demam Campak. Paling teruk si Fendi. Habis dinaiki ruam berair hingga ke kaki.

Mak Uda Zaidah masih lagi belum berputus asa. Saban hari bertanyakan Mak, tentang keputusan untuk menyunting gadis itu.
"Entah Kak Zaidah. Dia pulang mengejut sahaja. Tak sempat saya hendak bertanyakan dia" kata Mak.
"Habis tu Dah (nama Mak saya) pula macam mana? Bila hendak melihat budak perempuan itu?" tanya Mak Uda Zaidah.
"Saya pun tak tahu, Kak. Kami sekeluarga semua diserang demam selepas Hari Raya tu"

Mak, Apak dan cucu-cucu Mak habis terkapar diserang demam. Siapa pembawa virusnya, saya pun tidak tahu.
"Macam mana Indera? Kamu hendak tak budak itu" tanya Mak.
Saya sendiri pun tidak tahu. Makanya saya membiarkan persoalan itu berlalu pergi. Dua minggu sesudah Hari Raya itu, Mak Uda Zaidah menelefon lagi bertanyakan Mak bila Mak ingin melihat gadis itu. Kali ini Mak sudah sihat. Mak sudah kebah dari demam.
"Baiklah Kak Zaidah. Saya pergi melihat budak perempuan itu. Tetapi saya tidak boleh membuat keputusan. Segala-galanya di tangan Indera. Dia yang hendak berkahwin. Kalau dia tak suka, saya tak boleh buat apa-apa" kata Mak.

Mak pergi melihat gadis itu dengan ditemani oleh Apak, Yeop, Kak Asma dan Kak Ani. Pulang sahaja dari rumah gadis itu Mak agak kepucatan. Lantas segera menghubungi saya di Shah Alam. Saya terkejut bila suara Mak seperti teramat gusar dan cemas.
"Ya Allah, Indera. Mak tak tahu nak buat macam mana. Mak bingung dan bimbang. Bila Mak naik sahaja ke rumah deme, deme dah siap dengan sekelian waris dan juga tepak sirih. Mak Uda kamu memberitahu mereka, Mak dan Apak datang tu kononnya datang meminang..."

Dusss... masalah besar sudah melanda. Saya terduduk di atas benteng yang dibina berhampiran taman permainan kanak-kanak itu. Jari saya memetik seranting pokok sambil mendengar suara Mak yang cemas.
"Mak takut kalau-kalau Indera tak mahu. Pasti mereka itu menanggung malu besar. Tetapi jangan sebab itu pula Indera bersetuju..."

Saya terus terkalap mendengar kata-kata Mak. Ranting yang saya cabut itu mempunyai daun yang banyak pada satu ranting dan daunnya mirip daun buah belimbing. Sambil mendengar suara Mak, sambil saya memetik satu daun. Terima. Tidak. Terima. Tidak. Sehingga daun yang terakhir dicabut itu jatuh pada TERIMA.

"Mak. Dengar kata Indera betul-betul ya Mak. Katakan kepada keluarga gadis itu, saya bersungguh masuk meminangnya. Ikhlasnya saya katakan pada Mak, saya tidak mempercayai bahawa sebuah ikatan boleh tersimpul erat tanpa adanya rasa kasih dan juga cinta. Namun Indera menerimanya Mak, sebagai tanggungjawab Indera untuk mengelakkan gadis itu daripada menanggung malu di hadapan waris-warisnya andai kata Indera menolaknya kerana mereka sudah sedia dengan tepak sirih beradat".

Di saat saya melafazkan kata-kata itu, hati saya bagaikan dihiris-hiris sembilu. Kenapa hidup saya tidak pernah merasai erti cinta. Apakah ini suratan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T untuk saya walaupun puas saya cuba menolaknya. Ya Allah, sesungguhnya ilmuMu meliputi segala yang berada di langit dan di bumi. Kupinta padaMu, pandulah aku ke jalan yang benar andai itu yang telah engkau tetapkan padaku.

Dalam kesedihan itu saya tertidur sendiri di bilik saya. Menurut teman sebilik saya, sewaktu saya tidur itu, baki airmata saya bertakung di sudut mata saya. Teman saya itu merasa hairan. Lalu bertanyakan hal sebenar sebaik sahaja saya membuka mata pada keesokan paginya. Malu besar saya. Lantas saya simpan ianya sebagai rahsia dari pengetahuan teman serumah.

Sewaktu upacara pertunangan dilangsungkan itu, hati saya merasa kosong. Suka tidak. Benci pun tidak. Saya membelek-belek hantaran pertunangan itu tanpa perasaan seolah-olah barangan itu milik individu lain sahaja gayanya. Rumah Mak sunyi sepi selepas ahli keluarga saya berombongan ke rumah gadis itu dengan meninggalkan saya keseorangan.

Saya ke rumah Opah. Opah tidak turut serta kerana Opah sudah terlalu uzur untuk berjalan ke sana-sini. Mendung larat mengandung hujan itu dikesani oleh Opah.
"Orang yang bertunang ini selalunya sudah dipercik dengan seri pengantin. Tapi.. tapi Opah tak nampak seri itu di muka Indera. Kenapa? tanya Opah.

Saya hanya mengelengkan kepala sambil duduk di sebelahnya. Saya peluk Opah. Kepada Opah saya katakan kepadanya di dalam hati saya kini kosong tanpa cinta.

(Bersambung)

Friday, December 01, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 3)

Inikah akhir penantian?. Mengharap madu aliran syurga tertuang masuk ke dalam cangkir hati..

Sekarang sudah menjelang Aidil Fitri. Bermakna beberapa bulan lagi genaplah setahun peristiwa saya ditolak oleh gadis anak sepupu Apak itu. Jangka masa setahun yang diberikan oleh Apak itu pasti tidak akan tertunai.

Sungguhpun telah sebulan Norain mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihan hatinya namun dengkungan pahat peristiwa itu masih galak berbunyi. Seorang bapa saudara Norain yang mengajar satu sekolah dengan Makcik Jah menjaja cerita peminangan keluarga kami yang terhenti separuh jalan.
"Kalau sudah tidak berharta itu, jangan mimpilah hendak memikat burung di awan.." ceritanya pada sekelian guru di sekolah.
Mendengarkan itu Makcik Jah naik radang kerana saya iaitu anak saudaranya diperlekehkan orang.
"Heii, Cikgu!! Jangan fikir anak saudara cikgu itu cantik sangat. Bukan kami yang beria-ia. Tapi pihak keluarga cikgu itu yang tidak sabar-sabar menyuruh kami masuk meminang" kata Makcik Jah.
Akhirnya hal saya dan Norain itu menjadi konflik pula di sekolah itu. Malunya saya.

Setiap tetamu yang datang berkunjung sahaja, rata-ratanya bertanyakan hal saya. Rimas serta panas hati rasanya. Ramai juga orang putus tunang atau perminangan separuh jalan, tetapi tidak pula menjadi buah mulut.
"Masuk ini dah 2 kali engkau tak jadi kahwin, Indera. Kalau selepas yang ketiga itu nanti, aku ingat engkau kena mandi bunga. Tak pun engkau mandi air 7 kuala.. Buang sial" kata seorang pangkat saudara dalam galak tawanya.
"Engkau memang sudah jadi reject item. Selepas ini engkau boleh masuk Reject Shop" tambah seorang lagi menambahkan sakit hati saya.

Kemeriahan Hari Raya tahun itu bagaikan tidak terasa. Saya masih lagi berupaya membuat muka selamba dan merayakan hari itu dengan kawan-kawan saya yang sangat mengerti dan memahami.

Mak Uda Zaidah seperti kebiasaannya akan tetap berkunjung setiap lebaran tiba. Saya pernah berseloroh dengannya bahawa jika saya berkahwin kelak, saya mahu calon isteri saya dipilih oleh Mak Uda Zaidah.
"Mak Uda ada kenal seorang budak perempuan ni. Dia kerja sebagai guru. Baik budaknya"
"Tak apalah Mak Uda. Indera tak mahu kahwin sekarang. Indera nak kerja. Mungkin dalam bulan hadapan syarikat tempat Indera memohon ke Sudan itu memberikan jawapan. Indera nak fikir pasal kerja sahaja sekarang. Malas nak fikir pasal kahwin" kata saya.
"Jangan macam tu. Apa kata kalau Hari Raya ketiga ini kita pergi ke rumahnya?" umpan Mak Uda Zaidah terhidang. Tetapi saya sudah tawar hati untuk merenggutnya.
"Tengoklah nanti"

Badan saya mula rasa seram sejuk. Hari Raya kedua itu saya terkokol-kokol batuk serta deman yang kuat dari dalam bilik. Apak mendemah kepala saya dengan tuala basah.
"Panas badan budak ni.." kata Apak kepada Mak. Mak cuma mengangguk.

Malam itu Mak Uda Zaidah menghubungi rumah Mak memberitahu Mak supaya mengingatkan saya untuk berkunjung ke rumah gadis yang dimaksudkan selepas waktu Maghrib Hari Raya Ketiga itu.
"Dia demam kuat Kak Zaidah. Saya tak tahu dia boleh pergi atau tidak" kata Mak
"Cuba-cubalah pujuk dia. Kak Zaidah dah bagitahu pada keluarga budak perempuan itu yang Indera nak datang" pujuk Mak Uda Zaidah lagi.
"Insya-Allah kak, tapi saya tak janji. Macam mana nak pergi? Tengah mengerekot di atas katil itu"

Demam saya masih belum kebah-kebah lagi. Sudah semangkuk besar sup tulang saya telan tetapi panas masih belum berkurangan. Mata saya kabur berair menyukarkan pandangan. Azab rasanya.

Mak Uda Zaidah menelefon lagi tengahari itu minta bercakap dengan saya. Saya tidak berdaya untuk bangun. Mak Uda Zaidah bercakap dengan Yeop (abang saya yang sulung) sahaja.
"Malam ni siap. Pergi rumah budak perempuan itu" kata Yeop. Lagaknya mengarah sahaja. Bukan dia peduli akan kesihatan saya. Pedulikanlah.

Senja itu Mak Uda Zaidah telefon lagi.
"Cepat siap. Mak Uda Zaidah dah tunggu tu. Heii... Budak Malas. Bangunlah!!" kata Yeop.
"Orang sudah bersusah payah carikan calon untuk dia, dia banyak hal pulak. Bukan nak menghargai penat lelah orang, dia..."
Saya mendengar Yeop berkicau di ruang tamu. Bosan dengan leteran itu saya gagahi bertukar baju dan memandu dalam remang senja itu. Solat Maghrib di rumah Mak Uda sahaja.
"Haa.. inilah Indera. Anak saudara saya yang saya ceritakan hari tu" kata Mak Uda Zaidah memperkenalkan saya dengan Ayah si gadis. Mata saya kabur. Gagal melihat dengan sempurna. Ramai orang di rumah itu tetapi wajah mereka kelam sahaja dek suhu badan saya yang panas.

"Kerja apa?" tanya ayah gadis itu.
"Saya tak kerja. Saya belajar lagi.." saya membohongi ayah gadis itu. Hendaknya janganlah dia menerima saya. Hati saya ketawa lucu. Mungkin ayah gadis ini berfikir, "Mahu diberi makan apa anakku itu jika masih belajar". Atau sekurang-kurangnya, "Masih belajar tetapi sudah terfikir mahu berkahwin".

Kemudian naik beberapa orang gadis menghantarkan hidangan.
"Baju merah.." kata Mak Uda Zaidah dalam terkumat-kamit mulutnya. Tanpa suara. Itulah istimewanya Mak Uda Zaidah!!
Haa..?? Baju merah?? Sungguh saya tidak melihat zahir wajahnya. Mata saya kabur. Tetapi susuk tubuhnya bukan seperti idaman saya. Pasti wajahnya juga tidak seperti citarasa saya.

Pulang sahaja dari rumah gadis itu, Mak Uda terus bertanya "Macam mana? Suka?".
Hati saya ingin berkata tidak tetapi saya bimbang akan menyinggung hati MakUda Zaidah.
"Entahlah Mak Uda. Ini soal sehidup semati. Saya tidak boleh membuat keputusan terburu-buru. Nanti saya bincangkan dengan Mak dan Apak dulu"

Sampai sahaja di rumah, saya terus menyelongkar bawah katil mengeluarkan beg pakaian dan memasukkan kesemua baju-baju saya. Pagi-pagi esoknya selepas sarapan, saya terus pulang ke Shah Alam tanpa sempat Mak dan Apak bertanya pendapat saya tentang gadis itu.

(Bersambung....)

Thursday, November 30, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 2)

Apakah sebabnya si dia bersedih? Si dia bersedih tentang sebuah lara. Tentang lara hati...

Dalam keadaan itu saya amat memahami perasaan hati Apak. Apak seorang yang disegani di kampung. Semua orang kampung kenal Cikgu Muhammad Suria. Berita tentang putus pertunangan itu pasti merebak dengan pantas di seluruh kampung seperti api yang membakar dedaunan kering.

"Apak, kalau orang cakap sikit, Apak jangan marah ya!!". Saya menunggu katanya namun Apak seakan sedang memikirkan sesuatu. Janganlah hendaknya dia memikirkan tentang anak-anak dara rakan-rakannya untuk dijodohkan dengan saya. Melihatkan Apak diam itu, saya mengiranya sebagai lampu hijau untuk saya bersuara.
"Orang rasa ada baiknya kalau orang mencari sendiri calon isteri" kata saya.
"Kamu nak mencari sendiri calon isteri?. Kalau kamu mencari sendiri, alamatnya tak kahwin-kahwinlah kamu. Banyak sangat pecatnya. Cerewet" kata Apak separuh mengejek.

Apa salah saya sehingga gadis itu minggat? Mungkinkah saya ini tidak lawa maka gadis itu menolak mentah-mentah?. Sedih rasanya. Teringin untuk bercerita kepada seseorang. Abah. Abah tentu boleh memberikan pendapatnya.

Saya ke rumah Abah. Menceritakan semua perkara di hadapannya dan juga Mak (ibu angkat). Abah cuma diam. Mungkin dia kehilangan kata-kata. Semua pun terdiam.Beberapa bulan berselang, saya menerima panggilan telefon daripada Mak Angkat minta saya pulang ke kampung. Ada hal yang ingin dibincangkan.
"Mak ada kawan yang bekerja satu tempat dengan Mak. Kawan Mak ni ada seorang anak perempuan. Cantik orangnya. Namanya Norain. Bekerja di Jalan Duta. Kawan Mak ni kalau boleh hendaklah menantunya itu orang Perak juga. Kalau Indera hendak, boleh Mak bagi nombor telefon Norain di Kuala Lumpur..."

Saya hampir hilang kata-kata. Terlalu pantas. Nombor telefon Norain itu saya selitkan di dalam diari sahaja. Langsung tidak dihubungi. Dari minggu ke seminggu, Mak Angkat menelefon saya bertanyakan samada saya sudah menghubungi Norain atau tidak. Saya cuma beralasan yang saya terlalu sibuk dengan proses penyerahan tapak projek yang akan dibuat pada bulan berikutnya.

Akhirnya pada suatu pagi itu, hati saya tergerak untuk menelefon Norain dan tanpa ragu-ragu mengusulkan sebuah pertemuan demi memenuhi harapan Mak Angkat. Itu sahaja. Suka atau tidak, itu perkara kedua.

Kami bertemu di sebuah restoran makanan segera di Kelana Jaya kerana Norain sememang tinggal di Kelana Jaya. Sewaktu terpandangkan wajahnya, hati saya berkata-kata "Cantiknya..". Ya, memang Norain itu cantik. Kami berbual-bual sambil menikmati hidangan sambil berbicarakan soal hajat ibu Norain dan Mak Angkat untuk melihat kami bersatu. Sesekali kami ketawa besar seolah-olah hajat itu sesuatu yang amat menggelikan hati. Saya langsung tidak menyimpan sebarang hajat besar memandangkan Norain itu cantik. Pastinya sudah punya teman istimewa!!.

Namun peliknya Norain bersungguh-sungguh menegaskan bahawa dia tidak punya teman istimewa. Jadi saya merasakan bahawa saya tidak punya halangan untuk keluar selalu dengannya. Kami kemudiannya selalu bertemu untuk makan-makan dan bersiar-siar.

Ibu Norain mengusulkan untuk sebuah ikatan. Saya memberitahu Mak. Mak tiada halangan tetapi Mak ingin bertemu dengan Norain sendiri. Saya menjemput Norain di rumahnya dan membawanya bertemu dengan Mak. Norain nampak keberatan. Namun setelah dipujuk oleh ibunya, Norain akur.

Pertemuan Norain dengan Mak berjalan dengan lancar pada hemat saya. Malam itu sewaktu makan malam, Mak menyuarakan pendapatnya tentang Norain.
"Matanya tajam mencerlang seolah-olah tidak inginkan ikatan ini terjadi" kata Mak.
"Tak adalah kot. Perasaan Mak sahaja barangkali" pujuk saya.

Keluarga saya masuk meminang Norain. Upacara peminangan itu dibuat di kampung. Di masa yang sama, saya bertemu Norain di Kelana Jaya. Saya bertanya kepada Norain apakah dia sudi menjadi teman hidup saya. Norain menjawab yang dia sudah bersedia.

Petang itu Apak menelefon saya sambil marah-marah.
"Kenapa engkau menetapkan belanja perkahwinan itu tanpa berbincang dengan Apak?" Apak menyergah saya. Saya menetapkan belanja perkahwinan? Bila?

Apak berkata bahawa wakil keluarga Norain sudah awal-awal memberitahu keluarga kami bahawa perbelanjaan dan hantaran telah dipersepakati oleh saya dan Norain dengan nilai hantaran sebanyak RM12,000.00. Satu nilai yang teramat tinggi. Masya-Allah. Kenapa hal ini terjadi?

Saya katakan kepada Apak bahawa pihak kami tidak sanggup menyediakan nilaian sebanyak itu. Urusan peminangan itu terhenti setakat di situ sahaja. Puas saya menghubungi Norain namun dia tidak sudi menjawab panggilan saya. Dua minggu sesudah itu, sebuah rombongan datang ke rumah Norain masuk meminang. Norain menerimanya. Jejaka itu sepejabat dengannya. Berasal dari sebuah negeri di selatan semenanjung. Nilai hantaran hanya RM5,000.00 sahaja.

Ahhh Norain.. kenapa dia tega memperlakukan saya seperti itu? Jika tidak sudikan saya, kenapa begitu beria meminta saya datang meminang? Kenapa sewaktu saya bertanya apakah dia sudi menjadi suri hidup saya, dia berkata dia sudah bersedia?

Sungguh saya kecewa dengan sikap Norain.. Saya kemudiannya bertekad bahawa saya tidak mahu mengakhiri zaman bujang saya. Jika pun saya berkahwin, tunggulah 10 tahun lagi sekurang-kurangnya.. Ahh, kenapalah gadis-gadis itu tergamak melakukan kepada saya?. Apakah perempuan itu semuanya sama??.

(Bersambung)

Wednesday, November 29, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati

Aku memang pencinta wanita
Namun ku bukan buaya
Yang setia pada seribu gadis
Ku hanya mencintai dia

Aku memang pencinta wanita
Yang lembut seperti dia
Ini saat kuakhiri semua
Pencarian dalam hidup
Dan cintaku ternyata
yang ku mahu hanyalah dia..

Lagu ini saya dengari dari corong radio pagi ini. Lantas hati menyanyi-nyanyi riang. Teringatkan dia. Dia yang diciptakan oleh Allah untuk menjadi pasangan saya.

Ceritanya bermula sewaktu Apak beria-ia untuk menjodohkan saya dengan anak dara sepupunya yang menetap di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Di petang Hari Raya AidulAdha itu, keluarga kami sepakat untuk melihat gadis berkenaan sambil jika persetujuan dipersepakati, keluarga kami sememangnya ingin terus menetapkan belanja dan tarikh langsung perkahwinan.

Sewaktu berkunjung itu, sekelian adik-beradik kami terutama yang lelaki ramai-ramai naik ke ruang tamu menjadikan si dara terkeliru dengan jejaka manakah yang akan dijodohkan dengannya. Diam-diam si gadis itu menyangkakan bahawa jejaka yang bakal dijodohkan dengannya itu adalah adik saya memandangkan di antara jejaka-jejaka yang hadir itu, adik saya agak segak dengan kulit yang putih, senyuman yang menawan serta berperwatakan lucu. Si gadis itu hanya tersenyum apabila ditanyakan samada dia bersetuju untuk dijodohkan dengan saya.

Setelah kami berangkat pulang meninggalkan rumah itu, si ayah bertanyakan kepada Apak, yang mana satukah jejaka yang dimaksudkan. Apak menjawab, itulah dia yang berbaju melayu itu. Jadi sekelian mereka itu terkejut lantas berkejar ke jendela melihat rupa saya sebenar kerana asalnya mereka turut menyangkakan bahawa adik saya itu adalah orang yang dimaksudkan.

Saya tidak pasti apa yang tersirat di hati gadis itu. Bangun sahaja daripada tidur itu, si gadis itu merayu kepada ayahnya agar pertunangan kami diputuskan sahaja. Puas ayahnya bertanyakan alasan yang wajar namun si gadis hanya menjawab dengan airmata dan berkali-kali meminta agar pertunangan itu diputuskan.
"Kalau ayah hendak bunuh saya pun ayah bunuhlah. Tetapi saya tetap tidak mahu berkahwin dengan Indera Kencana itu" katanya.

Si ayah tidak mempunyai alasan lain selain daripada menemui ayah saya dengan ditemani oleh anak-anak lelakinya minta diputuskan pertunangan. Sewaktu saya sampai di rumah Mak itu, saya lihat mereka sekeluarga baru sahaja keluar pintu. Apabila terpandangkan sahaja wajah saya, si ayah menundukkan mukanya seperti teramat malu menentang wajah saya. Saya terpinga-pinga. Kenapakah tiada senyuman di wajah mereka? Abang-abang gadis itu bersalam dengan saya sambil tersenyum pahit. Kenapa agak?

Sepulang sahaja mereka, Apak nampak gusar.
"Indera, kalau Apak cakap sesuatu, Indera jangan terkejut ya!!" kata Apak lagi membuatkan saya kehairanan. Sedikit bimbang.
"Mereka itu datang untuk memutuskan pertunangan kamu. Budak perempuan itu menolak. Tidak mahu. Sungguh-sungguh!!" Apak sedikit kepucatan meunggu reaksi saya.

Mendengarkan itu, saya terlongo. Kemudian pecah ketawa saya. Mereka terkalap. Sukar menduga apa yang terkandung di dalam hati saya. Mak datang mengusap belakang saya.
"Katakan Indera. Apakah kamu sedih?"
"Tak. langsung tak. Sebesar hama pun tidak. Tiada jodoh. Mau dibikin bagaimana? Sementelahan pun, saya tidak mengenali langsung akan gadis itu. Bagaimana boleh timbul cinta?" jawab saya.

Namun Apak tetap tidak berpuas hati. Apak inginkan penjelasan. Apak menghidupkan enjin motorsikal. Menderu laju ke darat mencari Makcik Limah Tembam. Sepupunya yang juga kakak kepada ayah si gadis itu. Sebelum tiba di rumah Makcik Limah Tembam itu, Apak menjemput Mak Yah bersama kerana Makcik Limah Tembam itu sangat akrab dengan Mak Yah.

"Aku tak tahu Yah. Tersedu-sedu budak itu menangis di hadapan ayahnya. Katanya dia bermimpi melihat ular besar berwarna hitam memanjat dan melingkari pokok besar di belakang rumah itu. Di mulut ular itu menyala dengan api yang besar. Ular itu kemudiannya menjerut salah satu dahan pokok itu sehingga putus sebelum sama-sama jatuh ke tanah. Terkejut dari mimpi itu, dia terus menangis hingga ke santak subuh. Aku, ayah dan ibunya sudah buntu. Dia tetap juga berkeras tidak mahu dijodohkan dengan anak saudara kamu, si Indera itu" cerita Makcik Limah Tembam.

Apak hanya termangu-mangu di muka pintu Makcik Limah Tembam. Apak pulang dengan langkah longlai. Saya masih lagi selamba seperti tiada apa yang berlaku. Sungguh, itu kebenarannya. Tetapi bagi orang tua dan orang lama seperti Apak, maruahnya terasa seolah-olah diinjak-injak.
"Apa kurangnya anak teruna aku sehingga orang perlakukannya sedemikian rupa? Indera itu mungkin zahirnya nampak ceria. Tetapi kita tidak tahu apa yang terkandung dalam hatinya. Ohh.. kasihan anakku.." saya terdengar Apak berbisik pada Mak di kamar mereka. Mak memujuk Apak dengan kata-kata semangat. Dari saat itu saya menyedari bahawa Apak sangat menyayangi saya.

"Tak apa, tahun ini juga engkau mesti kahwin. Apak boleh pinangkan gadis mana yang engkau suka. Biar orang kampung tahu kita ada maruah" kata Apak di suatu petang. Saya menggaru kepala. Pening. Soal jodoh bukan boleh kita tentukan. Tetapi Apak itu.... Ahhh, sulit. Terasa lucu pun ada.

(Bersambung....)

Indera : Saya pernah berkata kepada si dia bahawa hal-ehwal rumahtangga kami tidak akan dimasukkan di dalam blog ini. Namun kisah itu adalah perkara sebelumnya pernikahan kami. Harap-harap si dia tidak marahkan saya. Hehehehe...

Tuesday, November 28, 2006

Abang Long

Semalam saya berbual-bual dengan Abang Naza, jiran sebelah rumah saya. Sedang kami asyik berbual itu, Abang Din membawa keluar sekoleh air kopi menambahkan kerancakan perbualan kami. Entah bagaimana, perbualan kami melarat ke ruang dalam rumah saya.

Abang Naza bertanya apakah kelengkapan rumah yang terdapat dalam rumah saya. Saya menjawab rumah saya itu tidak lebih daripada sebuah padang bola sahaja. Tiada perabot atau barangan yang bersaiz besar. Ada tidaknya hanyalah mesin basuh dan peti sejuk serta lain-lain barang keperluan asas. Maklum sahaja saya ini bujang yang sudah berkahwin.

Abang Naza berkata, "Aku tahu sebuah rumah yang telah ditinggalkan tetapi terdapat banyak perabot di dalamnya. Jom kita pecah masuk.."
Abang Naza ini seorang yang sangat keras lawak jenakanya. Jika sesiapa yang tidak biasa dengannya, pasti sudah menganggap kata-katanya itu sesuatu yang serius. Saya dan Abang Din cuma tertawa dan dalam tawa jenaka itu ada kebenaran dalam kata-katanya. Lalu kami bertanyakan rumah milik siapakah yang ditinggalkan itu dan apakah musababnya ditinggalkan begitu sahaja.

Abang Naza berkata, rumah itu asalnya disewakan oleh seseorang bernama Aziz. Dia seorang pemandu limousine, kelahiran Klang. Punyai isteri yang cantik yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Di awal perkahwinan, mereka menyewa di Damansara, sebuah kondiminium sederhana. Namun yang menjadi masalah ialah sikap Aziz yang suka berhutang. Berhutang sana dan berhutang sini. Rumahnya dipenuhi dengan perabot, tetapi semuanya hutang. Untuk menjadikan masalah itu lebih parah, Aziz berhutang pula dengan Ah Long. Bukan seorang, tetapi sehingga 4-5 Along dalam satu masa.

Setelah mendapat wang itu, dia akan bersuka ria di Port Dickson atau Genting bersama-sama isterinya. Akhirnya apabila hutang beserta bunga gagal dilunaskan, Along datang mencarinya hingga ke kediamannya di Damansara. Takut akan ugutan Along itu, isterinya selalu ponteng kerja dan akhirnya apabila prestasi kerja buruk, isterinya itu dibuang kerja.

Isterinya kemudian ditumpangkan di rumah orang tuanya di Klang. Suatu hari, sewaktu dia sampai di rumahnya di Damansara, dilihatnya rumah itu sudah dirantai pintunya. Aziz tahu siapa yang empunya angkara. Takut dengan kemungkinan dia akan diapa-apakan oleh Along itu, Aziz membawa isterinya berpindah ke Bandar Tasik Puteri dengan harapan, bukit bukau di sekeliling Bandar Tasik Puteri itu berupaya menjadi Zon Penampan dari ancaman Along-Along itu.

Sewaktu masuk ke rumah baru itu, Aziz berhutang lagi sebanyak RM 5,000.00 untuk membawa masuk perabot. maka penuhlah rumahnya itu dengan aneka perabot dari dapur membawa ke ruang letak kereta. Dari bilik kelamin sehingga ke tandas.

Malangnya selepas 3 minggu berkampung di Bandar Tasik Puteri itu, kedudukan Aziz sudah dapat dihidu oleh Along-Along itu. Aziz sekali lagi ketakutan. Dia terus membawa isterinya pulang ke Klang. Mungkin Klang itu kubu terakhirnya. Segala perabot hutang di rumah sewa baru itu ditinggalkan begitu sahaja.
"Engkau hendak tak perabot tu, Indera? Kalau 3 minggu tu aku agaklah, jangankan bekas, bau badan dia pun belum lekat lagi.. Tetapi nanti Along tu pulak cari engkau" kata Abang Naza sebelum ketawa terbahak-bahak.
"Cubalah Abang Naza fikirkan cara untuk mengeluarkan perabot itu.." saya menduga Abang Naza. Giliran Abang Naza terdiam. Abang Naza tidak tahu bahawa saya juga mempunyai jenaka yang keras.

Mendengar cerita Aziz itu, berbagai persoalan datang menerpa ke benak. Apakah kesudahannya hidup sedemikian rupa? Apakah arah hidup ini hanya untuk berseronok sehingga menyeret orang lain ke kancah permasalahan kita?

Entahlah. Tetapi itulah hakikat orang kita. Ada yang masih berpegang dengan falsafah hidup biar papa asal bergaya. Tetapi dalam hal ini, pertaruhannya bukan kecil. Akan melibatkan nyawa.

Monday, November 27, 2006

Sepohon Pokok Bacang

"Indera, cuba kamu tengok anak dara kamu di seberang jalan itu". Suara Mak mengejutkan saya yang asyik menikmati sarapan pagi.

Masya-Allah. Rupa-rupanya anak dara saya itu sedang memanjat runtuhan dinding konkrit di pinggir sekolah menengah itu, dibawa oleh sepupu-sepupunya yang rata-ratanya lelaki. Geramnya saya!! lantas saya berkejar ke pagar sekolah itu menghalau mereka semua pulang ke rumah. Siri Aufa terkial-kial melepasi kayu pokok yang saya kira telah tumbang seminggu yang lalu..

"Buah hatiku sayang... aku rindukan dikau seorang...". Muncul sebuah bait lagu lama entah dari mana menusuk tangkai hati saya. Saya beristighfar supaya tidak dibuai perasaan.

Petang itu saya leka memandang Pokok Bacang tumbang itu sambil duduk di beranda rumah Mak. Pokok Bacang itulah. Pokok Bacang itu sudah ada sejak saya lahir lagi. Berdirinya di pinggir pagar di tepi kawasan sekolah menengah itu. Pokoknya kecil sahaja. Sepemeluk orang dewasa. langsung tidak pernah berbuah walau seumur hidupnya. "Bacang jantan agaknya" kata Cikgu Habsah yang pernah mendiami kuarters guru bersebelahan dengan pokok bacang itu.

Pokok Bacang itu menjadi tempat teduhan pelajar-pelajar sekolah sewaktu aktiviti sukan mereka sebelum adanya kuarters guru itu. Pokok bacang itu berada di tepi jalan yang saban hari menyaksikan manusia ke darat dan ke baroh. Menyaksikan kelahiran dan kematian orang kampung. Juga menyaksikan kegembiraan perkahwinan dan kedukaan yang ditempohi oleh orang yang melalui jalan itu.

Yang teristimewanya, di akhir tahun 1978, Pokok Bacang itu menjadi sangga untuk sebuah pentas yang besar. Di atas pentas itulah Sharifah Aini dan Hail Amir pernah menyanyi menghiburkan penduduk setempat dahulu.

Saya ingat lagi hari itu. Saya dalam usia 3 tahun lebih, tetapi minda saya sudah berupaya merakamkan peristiwa. Kawan-kawan Apak memujuk Apak agar turut sama menyaksikan artis-artis yang datang dari Kuala Lumpur itu membuat persembahan di bawah pokok bacang itu. Tetapi Apak menolak. Waktu malam Apak adalah untuk beribadat dan juga waktu bersama keluarga. Apak tidak pandai mengikut perkara itu semua.

Kawan-kawan Apak mengejek Apak. Riuh mereka menghebohkan kepada kawan-kawan mereka yang lain kononnya keluarga Cikgu Muhammad Suria anti sosial dan tidak tahu berlibur. Apak pekakkan telinga.

Selepas habis Apak bersolat Isyak itu, di bawah pokok bacang dan di kawasan padang sekolah itu sudah penuh dengan peminat hiburan tanah air. Riuh rendah mereka terdengar sampai ke rumah. Apak tidak ambil peduli akan Sharifah Aini dan Hail Amir. Kami sekeluarga sama-sama menikmati hidangan malam tanpa memperdulikan keadaan azamat di luar rumah.

Cuma. Cuma bila Apak terdengar juru-majlis mengumumkan persembahan seorang penyanyi zaman 60-an itu, Apak mendukung saya senyap-senyap duduk di tangga beranda itu dalam remang cahaya yang datang dari pentas itu. Ohh.. rupa-rupanya Apak sukakan lagu itu. Apak merapati pipinya ke pipi saya sehinggakan saya dapat merasakan tunggul-tunggul janggutnya mencucuk pipi gebu saya. Tangannya memegang pergelangan tangan saya sambil Apak perlahan-lahan turut mengikuti senikata lagu itu...

Buah hatiku sayang,
Aku rindu padamu seorang...
Buah hatiku sayang,
Aku mimpikan dikau seorang
Hati risau mengenangmu
Hati gelisah tak bertemu
Bila terkenang wajahmu tuan..
Aku rindu selalu..
Bila malam kutunggu..

Apak menyanyi dengan sesuatu yang terbit dari hatinya. Mungkin lagu itu mengingatkannya kepada suatu kenangan yang menggigit tangkai hatinya. Atau mungkinkah lagu itu mengingatkannya kepada gadis pujaannya dahulu??

Itulah sejarah pokok bacang itu. Setiapkali terdengar lagu itu saya akan kembali ke tahun itu di pekat malam di mana Apak menyanyikan irama yang mencuit kenangan lalu dari pokok bacang itu. Sehingga kini saya tidak berani bertanyakan tentang hal itu kepada Apak.

Setelah saya meningkat usia kanak-kanak, pokok bacang itu tempat kami berehat apabila penat bermain layang-layang. Layang-layang kami berwarna putih. Kemudian kami adik beradik akan melakarkan layang-layang itu dengan gambar helang persis logo dari tin minyak masak Lam Soon. kami warnakan dengan warna merah juga. Megah layang-layang itu dengan gambar helang besar yang dapat dilihat dari jauh membelah angkasa.

Apabila dimarahi atau dipukul oleh Apak, saya akan ke bawah pokok bacang itu menangis sendirian. Pokok bacang itu akan menjatuhkan sehelai daun keringnya di atas kepala saya seolah-olah memujuk hati saya yang lara. Zaman bertukar ganti dan saya semakin dewasa. Kampung itu saya tinggalkan dan pokok bacang itu terus merentasi arus masa. Suatu petang saya terkesankan bahawa pokok bacang itu telah dipanah petir. Daunnya gugur satu persatu sehingga akhirnya hanya dahan dan batangnya sahaja yang masih utuh berdiri.

Semalam, baru saya menyedari ianya sudah tumbang menimpa dinding konkrit yang memagari kawasan sekolah itu. Itu pun hanya ketika anak saya bermain di situ. Senja itu, sebelum maghrib, saya menziarahi puing-puing pokok bacang itu. Melihatkan serpihan batang dan dahannya, hati saya dipagut kesedihan. "Engkau pergi juga meninggalkan aku, saudaraku" hati saya berbisik. Ya, saya sudah menganggapnya seperti saudara saya. Airmata saya jatuh menitis di atas batangnya yang mereput itu.

Gilakah saya menangisi pemergian sepohon Pokok Bacang...???

Friday, November 24, 2006

Mimpi

Ada sesiapa percaya kepada mimpi? Mimpi suatu bayangan yang lahir sewaktu ketiduran dan di saat itu minda kita akan menerewang tanpa arah dan kawalan. Kata orang, suatu mainan tidur. Tetapi bagaimana jika mimpi itu membawa kesan terhadap kehidupan seharian kita?

Oktober 1993,
Saat itu subuh yang kelam. Tiada cahaya. Saya berjalan keseorangan sehingga sampai ke taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Tiada seorang manusia pun. Sejuk. Dingin. Nun di hujung taliair itu, di celah kabus subuh, saya terpandangkan seseorang. Saya merapatinya. Wajahnya bersih. Senyumannya manis. Bersongkok putih. Kain serban disangkut di bahu.
"Assalamualaikum" katanya
"Wa-alaikumussalam" balas saya
Di genggaman saya bercahaya dengan sinar berwarna biru. Saya membuka telapak tangan. Di telapak tangan saya ada sebutir batu berwarna biru bercahaya sebesar telur puyuh. Saya memandangnya dengan kebingungan. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang....

Saya tersedar. Azan Subuh berkumandang dari Pusat Islam ITM.
Siapakah dia?


April 1994
Subuh itu subuh yang kelam. Tiada cahaya. Saya berjalan keseorangan sehingga sampai ke taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Tiada seorang manusia pun. Sejuk. Dingin. Nun di hujung taliair itu, di celah kabus subuh, saya terpandang seseorang. Orang yang sama. Saya merapatinya. Wajahnya bersih. Senyumannya manis. Masih bersongkok dengan kain serban di sangkut di bahu.
"Assalamualaikum" katanya
"Wa-alaikumussalam" balas saya
Saya lihat di genggamannya bercahaya dengan sinar berwarna hijau. Dia membuka telapak tangannya. Di telapak tangannya ada sebutir batu berwarna hijau bercahaya sebesar telur puyuh. Saya memandangnya dengan kebingungan. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang...

Saya tersedar. Azan Subuh berkumandang dari Pusat Islam ITM.
Siapakah dia?


Februari 1996
Saya berdiri berhadapan dengannya. Di hujung taliair yang menyempadani kampung kami dengan kampung sebelah. Dalam subuh yang kelam. Sejuk. Dingin. Berkabus. Kali ini dia tidak memberi salam. Tetapi saya sudah mengingati wajahnya. Kami sama-sama membuka tangan masing-masing. Di telapak tangan saya batu biru itu masih bersinar-sinar. Di telapak tangannya pula batu hijau itu juga masih bersinar-sinar. Dia tersenyum. Mengangguk. Kemudian menghilang.

Saya tersedar. Azan subuh berkumandang dari masjid di sebelah rumah Mak.
Siapakah dia?


-------------------------------

Tahun 1997
Setiap Jumaat pasti saya memasuki masjid dari pintu di sayap kiri itu. Kebiasaannya saya akan bersolat berhampiran dengan pintu sayap kiri itu sahaja. Namun saban Jumaat saya kian mengambil tempat solat berhampiran pintu sayap kanan itu pula. Dari minggu ke seminggu saya semakin mendekati ke pintu kanan itu. Sehingga suatu Jumaat, dia yang sering muncul dalam mimpi saya itu lalu di hadapan saya dari pintu sayap kanan itu mengambil saf di hadapan saya. Saya ingat dia. Itulah dia dan saya yakin benar. Dia masih seperti gambaran mimpi itu. Berwajah bersih. Senyuman yang manis. Bersongkok putih dengan serban di bahu.
Indera : Dia itulah kini Abah saya. Namanya Osman Bin Ahmad Sohor. Mimpi itu menyatukan ikatan kami walaupun sehingga kini kami masih lagi bingung akan takwil mimpi itu.

Thursday, November 23, 2006

Ayam Baka Sempadan Kedah

Kerancakan kami berbual tengahari itu terganggu seketika apabila Tuk Musa mengamuk bertanyakan kepada Opah Munah, bilangan ayam daranya (atau terunakah?) kian hari kian merosot. Tuk Musa sayangkan ayam-ayamnya. Baka dari ayam sabung yang dibelinya di sempadan Kedah.
"Dimakan musang agaknya.." kata Opah Munah.
"Mana boleh dimakan musang. Ahh.. kalau dimakan musang, tentu ada sisa bulu atau bangkainya. Aku syak ayam ni dicuri orang.." tebak Tuk Musa.

Kami hanya memasang telinga. Mendengarkan tebakan Tuk Musa itu, Saya dan Fuad sudah berlinang airmata akibat menahan ketawa yang keterlaluan. Saya tahu siapa empunya angkara jika bukan Alang, anak lelaki kesayangan Tuk Musa. Dialah menjual anak baka ayam sabung itu kepada budak-budak nakal di kampung dengan harga RM3.00 seekor.
"Aku dapat pencuri tu nanti, aku takek dengan parang tapik aku ni!! Tengoklah nanti..." terdengar Tuk Musa bersuara lagi dari dalam rumah.

Mendengarkan itu lagilah saya dan Fuad bertambah geli hati. Alang itu saya lihat kepucatan. Bimbang hal itu sampai ke pengetahuan ayahnya. Akhirnya pecah ketawa saya dan Fuad. Berderai berlambak-lambak di anjung rumah Tuk Musa itu. Kahkahkahkah. Alang kelam kabut menutup mulut kami berdua supaya tidak didengar oleh Tuk Musa.

"Ni apa hal ketawa berdekah-dekah, suka sangat ni?" garau suara Tuk Musa mengejutkan kami. Gayanya telah bersiap untuk ke masjid bersolat Zohor.
"Tak ada Tuk. Ni, Alang ni. Dia yang..." tiba-tiba saya rasa punggung saya dicubit dari belakang. Alang memandang saya minta dirahsiakan perkara itu.
"Dia apa??" tinggi suara Tuk Musa mengejutkan kami.
"Errr.. dia kata dia nak kahwin dengan Shimah anak Achik Moin kat Kampung Tua tu.." kata Fuad menyelamatkan keadaan.
(Bila masa aku nakkan Si Shimah tuuuu....) kami dengar Alang berbisik perlahan. Menggerutu. Geram.
"Kecik-kecik dah ingat nak kahwin. Makan pun ditanggung Mak Apak lagi. Pergi mandi, lepas tu sembahyang. Indera, Fuad. Tak usah balik. Makan dan sembahyang zohor di sini saja" kata Tuk Musa.
"Baik, Tuk.."

Petang itu, sewaktu Tuk Musa sedang lena sementara menunggu waktu Asar, Alang membuka sangkar reban. Dikeluarkannya induk ayam sabung yang dibeli oleh ayahnya dari Sempadan Kedah itu. Bagi mengelakkan daripada ayam itu meronta, Alang mengepit ayam itu di balik ketiaknya manakala sebelah lagi tangannya mencekup mulut ayam itu supaya ayam itu tidak melolong. Saya dan Fuad berlari susup sasap di dalam semak mengekori Alang menuju ke belakang sekolah menengah itu.

Di belakang sekolah menengah itu, di bawah pokok kelapa sawit, ramai budak-budak sedia menunggu. Masing-masing turut mengepit ayam masing-masing. Ahhh.. ayam mereka ayam kampung. Apa kelas?? Lemah canguk!!. Melihat ayam sabung baka sempadan Kedah itu budak-budak itu mulai terkagum dan gerun hati. Roman itu nampak sombong. Dadanya bidang. Kakinya panjang. Susuhnya... Aduh, kalau terkena lutut, mahu masuk ke hospital..!!

Pertaruhan sebanyak RM0.20 dikutip setiap seorang. Suatu judi. Tetapi di usia itu dahulu tidak arif tentang halal dan haram. Saya dan Fuad dikecualikan kerana kami penonton dan tukang sorak. Perlawanan antara ayam Alang dan ayam Mat Pichek bermula. Patuk mematuk. Tendang menendang. Pukul memukul. Ayam Mat Pichek sudah longlai dibelasah ayam sabung baka sempadan Kedah itu. Alang hilang suara bersorak. Azamat sekitar itu dengan tempikan budak-budak itu.

Tiba-tiba Fuad mencuit saya mengisyaratkan sesuatu di balik semak. Tuk Musa!!! Dia sedang terhendap-hendap melihat Alang yang sedang terlompat kinja melihat ayamnya bersabung. Kami berdua cepat-cepat beredar. Geruh besar sudah tiba. Silap gayanya dengan kami sekali menerima habuan Tuk Musa.
"Hoi, hoi, hoi. Nak ke mana tu? Belum habis lagi ni!!" Alang memanggil kami tanpa menyedari Tuk Musa berada betul-betul di belakangnya.

Budak-budak yang berkumpul itu bertempiaran lari menyelamatkan diri meninggalkan ayam masing-masing. Saya dan Fuad menyorok di sebalik pokok mempelam besar milik Opah Teh Me'ah. Takut.
"Oohh.. ini kerja kamu ye!! Haa..?? menyabung ayam. Mana belajar? Bangun, bangun!!" sergah Tuk Musa. Alang sudah mengeletar.
"Abah, ampun Abah. Alang tak buat lagi.." suara Alang ketakutan semakin sayup teriak tangisnya diseret Tuk Musa pulang ke rumah. Sesekali terdengar Alang melolong kesakitan. Disesah Tuk Musa barangkali.

Saya sudah pucat ketakutan. Nyaris saya juga tidak dirotan oleh Tuk Musa tadi. Kikikikiki... saya terdengar suara orang ketawa di belakang saya. Rupanya Fuad yang ketawa. Saya tidak dapat menahan geli hati dan akhirnya ketawa kami berderai berlambak-lambak di pangkal pokok itu. Pokok mempelam milik Opah Teh Me'ah.

Kahkahkahkahkah..


Indera : Alang sekarang seorang guru di salah sebuah sekolah di Daerah Kinta. Sememangnya kami langsung tidak menduga, ketua segala kacang hantu di kampung itu kini seorang guru. Tuk Musa dengan Opah saya pangkat sepupu. Alang ini pangkat bapa saudara saya dan Fuad walaupun kami sebaya.

Wednesday, November 22, 2006

Makam Anak Bentara

Tersebut di dalam kisah di Tanah Abang, sewaktu pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I, di pertengahan kurun ke 15, negeri-negeri Melayu menghadapi ancaman kuat daripada Raja Siam. Selepas jatuhnya Negeri Melaka, sudah tiada lagi kuasa pengimbang kepada kekuatan Raja Siam itu.

Kerajaan Perak di bawah perintah Yang Dipertuan Duli Tuanku hidup dalam keadaan yang aman damai, bersukacitaan dan limpah berkat dari ilahi atas kebijaksanaan Sultan mentadir negeri dan rakyat jelata. Tanah Abang makmur dengan hasil tanaman dan kekayaan negeri dikurniakan dengan melimpah ruah.

Kekayaan Perak itu menimbulkan iri dalam hati Raja Siam. Raja Siam berniat untuk menakluki Perak lantas Raja Siam mengutuskan utusannya membawakan watikah Raja Siam mengadap ke Bawah Duli Sultan Perak. Di dalam watikah itu, Raja Siam meminta supaya Perak tunduk di bawah takluk Siam dengan menghantar ufti berupa emas dan perak atau menghadapi serangan dari Siam.
"Apa kata-kata datuk-datuk sekelian atas permintaan Raja Siam itu? Wajarkah kita memenuhi tuntutannya atau kelak kita menerima serangannya?" tanya Sultan Muzaffar kepada sekelian menteri. Datuk-datuk menteri berbincang sesama mereka. Sekejap mengangguk, sebentar lagi menggelengkan kepala. Datuk Bendahara sebagai kepala datuk-datuk itu semua kemudiannya mendatangi sembah.
"Ampun Tuanku. Pada hemat patik, jika ada maling mencerobohi rumah kita, sudah sepatutnya kita mempertahankan rumah kita. Tiadalah kita ini tunduk pada maling itu pula" berkias kata Datuk Bendahara.
"Ya, benar. Pada hemat beta, begitu jugalah. Mintalah sekelian rakyat menyertai kita di medan perang kelak. Ini tanah kita, seharusnyalah kita mempertahankannya" madah Sultan dari atas singgahsana baginda.

Sebagai langkah persiapan menghadapi bala tentera Siam itu, sekelian rakyat membina sebuah parit yang dalam bermula dari Tanah Air Mati ke Sedingka lalu membawa sampai mengelilingi istana di Tanah Abang. Panjang parit itu sejauh 5 hari perjalanan dan dipanggil sebagai Parit Siam. Rakyat jelata diminta berkubu di Tanah Abang dan di Tanah Abang itu sendiri dibina dengan kubu tanah setinggi 10 hasta.

Kota Tanah Abang kini sedia menerima ketumbukan tentera Siam dari arah Darat dan Baroh. Tentera Siam kini sudah sampai di Kerajaan Ligor. Dalam 2 purnama lagi sampailah tentera Siam ke Tanah Abang.

Di suatu petang sebelum pecah perang itu, sedang laskar-laskar sibuk menyiapkan kelengkapan perang dan biti-biti perwara menyiapkan bekalan makanan, Anak Datuk Bentara lalu di sekeliling kubu istana dengan menaiki seekor gajah. Adapun anak Datuk Bentara itu masih lagi kecil, masih lagi belum berkhatan dan berasah gigi. Melihatkan kubu istana yang tinggi itu, timbullah keinginan di hatinya untuk naik ke kubu. Anak Datuk Bentara itu pun memacu gajahnya ke atas kubu dan sampai sahaja di tengah pendakian, gajah itu terdiam. Sukar untuk menongkah ketinggian kubu.

Dalam condong pendakian itu dengan tidak semena-mena, Anak Datuk Bentara terjatuh dari belakang gajah itu lantas berguling-guling hingga ke kaki kubu tanah. Langsung menemui ajal di situ.

Melihatkan kejadian itu, Datuk Bentara dan sekelian yang ada di istana itu sangat berdukacita. Mereka kemudiannya menyempurnakan jenazah putera Datuk Bentara itu dan di makamkan berhampiran dengan rumpun Buluh Apa. Makam itu kini dikenali sebagai Makam Anak Bentara..


Indera : Parit Siam kini hanya berkeluasan setengah meter lebar setelah beratus-ratus tahun dimakan usia. Letaknya di dalam kebun getah di Kampung Sedingka berhampiran dengan Hospital Changkat Melintang. Di dalam peperangan itu, Siam mengalami kekalahan. Sebabnya bakal menyusul dalam post yang akan datang.

Tuesday, November 21, 2006

Ahh.. Mereka itu..

Suasana malam di Pusat Kembangan UKM itu agak sejuk dan sunyi. Kelas Statistik untuk malam itu sudah 15 minit berlalu. Saya, Isma, Faridzul dan juga Ikhwan masih lagi duduk berlonggok di tepi longkang itu. Si Ikhwan sejak tamat sesi malam itu, tidak sudah-sudah lagi menceritakan hal asmaradana dengan buah hatinya, Haiza.

Saya sekadar mendengar dan menyampuk di mana tempat yang perlu sahaja. Dalam kejemuan mendengar kisah cinta Ikhwan itu, saya mengesani ada mendung di wajah Isma. Cepat-cepat saya tukar tajuk agar cerita itu cepat berakhir.
"Eh, Wan. Engkau kata nak bawak Haiza pergi makan tadi. Haa.. pergilah cepat" kata saya.
"Ada ke aku cakap macam tu..??" tanya Ikhwan.
"Ada.. Dah-dah. Pergi cepat" saya seperti menghalau.

Ikhwan berlalu dengan kereta kancilnya membelah malam yang gelap. Faridzul minta diri kerana takut meninggalkan isterinya lama-lama di rumah. Tinggal saya dengan Isma. Di sudut bangunan itu ada Ravi dan kumpulannya sedang berbincang. Di situ juga ada Rahman dan Hussein sedang menyiapkan tugasan.
"Entahlah Indera. Isma ni sudah 26 tahun. Jangankan suami, teman lelaki pun tak ada" kata Isma melepaskan keluhan.
"Engkau perlu teman lelaki? Hmmm.. susah-susah sangat ambil aku jadi teman lelaki. Aku rela" saya menawarkan diri.
"Tak mahulah bercinta sekelas. Indera.. tolonglah carikan seorang kawan untuk Isma"
"Errr.. maksudmu teman lelaki?"

Isma diam. Tidak bersuara.
"Engkau malu Isma?"tanya saya.
Diam lagi.
"Dalam hal ini Isma tak perlu malu. Setiap orang itu dijadikan berpasang-pasangan. Insya-Allah akan saya usahakan jodoh untuk Isma. Mahu tak..?? tanya saya.
Isma mengangguk setuju. Saya pusing kepala. Dengan siapa hendak saya jodohkan??

Perkenalan saya dengan Haiza, teman wanita Ikhwan membawa kepada perkenalan saya dengan Nizam, bekas teman lelaki Haiza yang hatinya remuk dikecewakan oleh Haiza lantaran beralih kasih kepada Ikhwan. Kami berkenalan dan akhirnya menjadi sahabat karib.
"Berapa usiamu tahun ini Nizam?" tanya saya ketika kami sedang makan tengahari.
"34" jawab Nizam acuh tidak acuh. Ahh.. kuat benar haruman Hugo yang dikenakannya.
"34... hmm.. bila agaknya engkau akan berkahwin..??" tanya saya lagi.
"Entahlah Indera. Sejak hatiku dilukai oleh Haiza, serik rasanya untuk aku bercinta"
"Baiklah jika begitu. Tetapi aku ingin bertanya denganmu. Jika sekarang usiamu 34 tahun dan engkau terkecewa. Untuk engkau bukakan pintu hatimu mungkin mengambil masa 3 tahun lagi. Sesudah 3 tahun itu baru engkau menemui gadis idamanmu. Ketika itu sudah berapa usiamu? Katakan pula engkau mengambil masa 2 tahun untuk mengenali hati budinya sebelum engkau bersetuju untuk suatu ikatan. Berapakah usiamu ketika berkahwin?. Jangan begitu, Nizam. Buka sahaja pintu hatimu.. dan jika engkau mahu, ada seorang gadis yang sudi menerima lamaran cinta seorang lelaki. Seorang gadis yang terpelihara dan beradab sopan."

Nizam termenung. Saya menghulurkan nombor telefon Isma kepadanya. Disambut cuma namun tiada sebarang tindak balas. Kepada Isma, saya khabarkan pertemuan saya dengan Nizam. Dari hari ke sehari saya bertanya pada Isma apakah dia telah menerima panggilan dari Nizam. Isma geleng sahaja.
"Jika Nizam tidak menghubungimu.. kenapa tidak engkau sahaja menelefon Nizam" saya mengusulkan kepada Isma.
"Tidak. Sesekali tidak. Apakah Indera mahu Isma dikatakan seperti perigi mencari timba?" tegas Isma.

Aduuhhh.. sulit mereka ini. Setiapkali saya menelefon Nizam pula, jawapannya dia masih memikirkan hal itu tetapi masih belum ada sebarang tindakan. Saya mengalah dan membiarkan perkara itu berlalu pergi.

Setengah tahun berlalu. Saya menerima panggilan telefon dari Isma. Mengajak saya makan malam bersama. Demi tidak mengecewakan hatinya, saya memandu jauh dari Shah Alam ke Bangi. Demi cinta saya untuk Isma.

Di restoren ala Thai itu, Isma sudah menanti dengan wajah yang cantik. Bertudung litup yang menyerlahkan kecantikannya. Kami duduk bertentangan. Saya bahagia. Hidangan tiba. Saya mengajak Isma makan. Isma kata dia sedang menanti seseorang. Siapa? Jamilahkah teman baiknya itu.

Tiba-tiba seseorang lalu di belakang saya. Isma tersenyum. Lelaki itu terus menutup mata saya. Saya terkalap. Terdengar Isma tertawa. Siapa ini? Semerbak minyak wangi itu seperti saya kenali. Lelaki itu mengalihkan tapak tangannya. Saya segera berpaling. Nizam????

Mereka duduk bersebelahan. Mesra menyudukan lauk ke pinggan masing-masing. Saya sayangkan Isma. Tetapi hari ini sayang saya kepadanya sudah bertukar seperti sayang seorang saudara lelaki kepada saudara perempuannya. Hati saya puas.

Pertengahan tahun 2002 itu, mereka diijabkabulkan. Sekarang dikurniakan dengan 2 cahaya mata. Yang sulung perempuan dan yang kedua itu lelaki. Saya memikirkan mungkin selepas ini saya boleh membuka agensi mencari jodoh buat pasangan yang masih belum berkahwin!!.
Hmmm.. boleh tahan juga idea itu..

Thursday, November 16, 2006

Mamut

Di pinggir jalan sebelum memasuki tanah dusun Apak, terdapat sebuah bangsal yang didirikan oleh pihak RISDA untuk kemudahan penoreh-penoreh getah yang mempunyai kebun di sekeliling kawasan itu. Bukan mereka sahaja, bahkan penoreh-penoreh yang turun jauh dari Permatang Guling dan Lubuk Kucing juga datang menggelek getah mereka di situ. Ada dua penggelek yang disediakan. Satu yang licin dan satu lagi yang mempunyai corak berbunga.

Di sekolah itu, hubungan saya dengan Mamut masih lagi tegang. Pasti ada sahaja hal yang membangkitkan pertelingkahan. Saya yang sering memulakannya dahulu dan selalunya berakhir apabila Mamut mengalah. Saya akan tersenyum menang.

Mamut anak bongsu Wan Kiah kawan baik Mak (Wan di kampung kami adalah gantinama makcik). Dia kehilangan ayahnya sewaktu Mamut berusia 3 bulan apabila Achik Rasid meninggal dunia akibat dihempap pokok. Sebagai anak bongsu, Mamut sangat manja dengan ibunya dan bersama Opah Esah, jiran sebelah rumah saya, tempat Mamut mencurahkan kasih. Mamut selalu berbangga dengan saya bahawa dia keturunan Raja Hitam dari Kerajaan Rawa. Tetapi, entah apa musababnya, saya sering mencari tengkar dengan Mamut.
"Aku anak yatim. Aku dikasihi oleh Rasullullah. Kalau kamu menyakiti aku, sama macam kamu menyakiti hati Rasullullah".

Kata-kata itu sering diulangnya berkali-kali. Tetapi ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
"Nama pun Mamut. Nama kamu mesti diambil dari perkataan Mammoth. Jangan-jangan Mammoth tu gajah tunggangan Raja Hitam yang terjatuh dalam ais tu tak?? Nasib baik cuma Mammoth tu saja yang jatuh dalam ais. Kalau dengan Raja Hitam tu sekali jatuh, mesti moyang kamu itu sudah dipamerkan di muzium..."
Aduuhh, begitu teruknya tingkah laku saya terhadap Mamut dahulu.

Suatu hari Mamut hadir ke sekolah dengan tangan berbalut. Puas saya bertanya akan sebabnya namun tetap tidak berjaya membuka mulut Mamut. Cikgu Fatimah masuk ke kelas. Cikgu Fatimah ini pangkat sepupu dengan Achik Rasid dan semestinya hal Mamut menjadi perhatiannya.
"Mamut, tangan dah elok..??" tanya Cikgu Fatimah
"Belum, Cikgu.." jawab Mamut
"Haa.. itulah. Lain kali jangan nakal sangat. Dah tak ada benda lain nak dimain sangat sampai mesin penggelek getah itu pun jadi permainan.." Cikgu Fatimah bersyarah.
Mamut tertunduk. Saya terlongo seketika sebelum ketawa saya meledak mengisi ruang kelas.
"Hey, Mamut. Kamu terkena mesin penggelek yang licin itu ke atau yang berbunga..?? tanya saya ketika waktu rehat.
"Yang licin tu"
"Hahahah.. kamu kalau tak ada benda lain nak main, haa.. mari datang rumah aku. Aku boleh ajar kamu main apa kamu nak..?? Bola..?? Batu seremban..?? Kerantung Nakus?? Polis Sentri..?? Masak-masak pun aku boleh ajar. Ada ke main dengan mesin penggelek getah..!!"
"Eh, suka akulah nak main apa.." Mamut mula naik berang.
Begitulah saban hari. Cuma bergasak sahaja yang belum. Ada sahaja perkara menjadi punca pertengkaran.

Musim durian tiba. Durian banyak gugur di merata. Apak menyuruh saya menunggu durian gugur untuk dikumpulkan. Jika tidak ditunggu, alamatnya pasti ada kacang hantu yang akan mengambil peluang mencuri buah durian orang. Saya mengajak sepupu saya Fuad untuk bersama.

Bosannya menunggu durian ini. Masuk ini sudah 7 ekor ikan puyu yang dipanggang untuk menghilangkan kebosanan. Fuad tiba-tiba hilang. Saya tercari-cari. Akhirnya saya menjumpainya sedang bermain dengan mesin penggelek getah di bangsal usang itu.
"Indera, marilah. Seronok ni.." laung Fuad sambil tangannya sibuk memasukkan kertas ke dalam mesin penggelek. Disangkanya kertas itu getah agaknya!!
Saya menghampirinya dan saya terhibur melihat aksinya. Lalu timbul perasaan ingin mencuba. Saya masukkan kertas itu berulang-ulang manakala Fuad memutar pemulasnya. Seronok. Tiba-tiba... PPRRAKKK!! Fuad terdiam. Dahi saya berkerut kesakitan. Kemudian saya melolong. Sakittttt!!!!.

Mesin penggelek itu sudah basah dengan darah saya. Kuku saya sudah tertanggal. Mujur Fuad pandai mengundurkan kembali pemulasnya. Fuad panggil Pakcik Mad Kidam. Laung Tok Long Nor. Mereka mengusung saya ke hospital.

Di hospital saya menerima beberapa jahitan. Esoknya saya tidak ke sekolah. Petang itu sedang saya duduk di dalam bilik, seseorang datang bertamu ke rumah.
"Assalamualaikum..."
Haa..?? Wan Kiah...?? Mamut pun ada!!. Mamut tersenyum memanjang.

"Itulah. Tak baik sombong. Haa.. kan dah kena" kata Mamut dalam tawanya. Rasa hendak sahaja saya merabut mulutnya. Geramnya.
"Kamu kena mesin penggelek yang licin ke yang berbunga, Indera?" tanyanya.
"Berbunga.."
"Wahhhh.. tahniah. Kamu memang lebih hebat dari aku!!! Hahahaha... Aku ni ada daulat, kau tahu. Sebab itu tak lama lepas kamu ejek aku, kamu pun tergelek sekali.." Mamut masih lagi ketawa.
"Daulat apa..?? Daulat Raja Hitam kamu tu? Raja Hitam konon. Aku tengok kamu ni putih je.. Hey, kalau kamu keturunan Raja, haa.. ni, aku ni keturunan Nabi..." saya tidak mahu mengalah. Tetap mahu bertengkar.
"Nabi apa..??" tanya Mamut.
"Nabi Adam".

Mamut geram. Dijentiknya jari sakit saya. Kuat sekali. Saya serentak terlolong.
"Aduh Mak, sakitnya!!"
Di ruang tamu, Mak menepuk meja marahkan saya.
"Aku tak suruh!!!"