Monday, December 13, 2010

Jalanan Hati



Rembulan sabit memancar di awal bulan Muharram. Suasana pagi terasa dingin dan segar dengan embun jatuh berguguran di hujung dedaunan pagi. Azan Subuh sudah pun dilaungkan hampir setengah jam yang lalu. Semua orang sudah bersolat subuh di waktu-waktu sebegini. Selesai sahaja menamatkan doa yang terakhir, saya lantas ke dapur mencari benda yang boleh dimakan. Namun setelah menyedari bahawa pagi itu masih terlalu awal, manakala Mak pula sedang berteleku di tikar sejadah, saya batalkan niat menyelongkar gobok almari lauk. Terus sahaja ke tengah halaman mendengar kicauan burung pagi. Di kaki langit di arah timur, berkelip sebiji bintang yang sangat terang. Barangkali itulah yang dikatakan orang sebagai Bintang Timur yang banyak ditamsilkan pada mana-mana mata manusia yang indah.


Jalanraya di hadapan rumah Mak kelihatannya lengang. Agaknya sebentar lagi akan dipenuhi dengan kereta kerana orang akan berpusu-pusu masuk ke pejabat seawal jam 7 pagi. Begitulah rutin hidup manusia. Masa akan terus berlalu tanpa menunggu walau sesaat pun. Sungguh rugilah bagi mereka yang cuba bermain dengan masa.“

Haaa... di situ kamu rupanya.. Mak ingatkan kamu kat mana tadi. Subuh-subuh dah hilang” suara Mak mengejutkan lamunan saya.

“Hmmmm... kenapa Mak?” tanya saya. Barangkali Mak perlukan apa-apa di awal pagi-pagi ini.

“Tak ada apa... kamu buat apa kat tengah laman tu?”

“Tak ada apa” kata saya mengulangi percakapan Mak.

“Dah tu.. jangan banyak termenung. Masuk dalam sarapan pagi. Mak dah gorengkan nasi” kata Mak sebelum menghilang ditelan ruang dalam rumah.

Pandangan saya teralih ke aspal yang lurus di hadapan rumah. Sememangnya tidak semua jalanan di dunia ini yang bergerak lurus. Ada bengkang-bengkok dan ada juga juga yang berselekoh tajam. Begitu jugalah dengan jalanan hidup manusia. Tidak semuanya indah sepanjang masa. Ada masanya tetap melalui jalanan yang penuh ranjau dan beronak duri. Dugaan datang satu demi satu menguji kekuatan hati. Menjadi penentu terhadap sejauh mana ketabahan kita menghadapi semua rintangan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Saya membelek-belek lipatan sejarah sepanjang tahun 2010 ini. Tahun yang paling berat ujiannya sepanjang seusia saya. Tahun yang paling getir yang saya lalui dengan cabaran datang silih berganti. Namun tetap juga saya harungi berkat pengajaran dari tahun-tahun yang sebelum ini. Saya tersenyum pahit mengenangkan cerita yang dibisikkan oleh Mustafa, sepupu saya yang belajar di UK sewaktu dia pulang menyambut Hari Lebaran baru-baru ini.

“Abang Indera, banyak-banyakkan bersabar” katanya.

“Semuanya hanya kebetulan sahaja” jawab saya acuh tidak acuh.

Sepupu saya itu tinggal bersama dengan seorang warga Finland yang kononnya mahir dalam agamanya. Ya, setahu saya, orang itu mempunyai agama yang pelik. Bukan Islam. Bukan Christian dan bukan juga Yahudi. Kononnya dia meramalkan bahawa nasib keluarga Mustafa akan ditimpa musibah sepanjang tahun 2010.

“Mus pun tak percaya Abang Indera.. ya, barangkali kebetulan sahaja. Bermula dengan Faizal putus tuning. Kemudian dengan Kak Khairani bercerai. Kemudian Abang Indera ditimpa nasib sebegini. Dan sekarang tengok... Intan adik Must tu pulak bercerai. Kahwin cuma 3 bulan saja”

“Tak usah percaya semua tu Mus... berdosa besar kita percaya pada amalan bertenung nasib ni. Takkan Mus percaya kot...? Abang tak belajar sampai ke UK pun abang tak percaya pada benda-benda karut macam tu” kata saya.

“Ya... kebetulan saja kot” jawab Mustafa dengan suara yang mendatar.

Hidup ini satu perjalanan yang singkat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di Lauhil Mahfudz. Segala kebaikan dan keburukan, semuanya sudah tersurat sebagai Qada’ dan Qadar. Tiada siapa yang boleh mempersoalkannya. Apa yang mampu kita lakukan, hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakkal agar kehidupan kita ini senantiasa berada di landasan agama Allah. Selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menentukannya.

Saya menguis pasir di kaki lantas terlukis garisan besar yang bersimpang siur. Dengan apa saya menguis pasir itu? Bukan itu itu tenaga? Kudrat yang dikurniakan oleh Allah terhadap hambaNya. Kudrat yang bergabung dengan akal pemikiran yang waras akan menjadi usaha yang membuka lorong untuk mencipta kejayaan. Saya tahu, hanya kematian sahaja yang dapat menghentikan manusia daripada terus berusaha.

Matahari mula memancar di ufuk timur menandakan hari baru telah bermula. Datangnya bersama harapan semoga kehidupan hari ini akan lebih baik dari semalam. Tok Imam Jali datang dari arah baruh menunggang motosikal buruknya melalui jalan di hadapan rumah. Dari jauh lagi dia sudah terpandangkan saya yang berdiri di bawah pokok mempelam itu dengan hanya kain sarung dan kemeja lengan pendek. Dia menyeringai sewaktu saya mengangkat tangan tanda hormat kepadanya.

“Apa kamu buat pagi-pagi duduk bawah pokok mempelam tu? Kan banyak nyamuk kat situ?” katanya sambil memberhentikan motosikalnya di sebelah saya.

“Tak ada apa-apa, Tok... saja ambil angin pagi-pagi ni” jawab saya.

“Dah ambil duit kelapa sawit Mak kamu dari Adin?” tanyanya lagi.

“Belum... cadangnya petang ni nak ambil dari Adin. Dia ada kat rumah?”

“Ada... kalau kamu nak datang, nanti Tok kaborkan kat dia kamu nak datang. Tak adalah dia merayap ke mana-mana nanti”

Tok Imam Jali menoleh ke kiri dan ke kanan. Entah apa yang dicarinya, saya pun tidak berapa pasti. Kemudian dia menarik nafas panjang.

“Kamu nak tak kalau Tok bagi kamu satu nasihat?” tanyanya.

“Apa dia Tok?” tanya saya pula.

“Kalau ada masa, selepas Subuh itu eloklah kamu amalkan baca Surah Al-Waqiah. Surah itu baik buat penambah rezeki. Lagi satu, Solat Dhuha itu pun kamu cuba amalkan. Kita ni cuma boleh usaha saja. Semuanya Allah yang tentukan” katanya.

Saya cuma mengangguk sambil termenung melihat tanah yang digemburkan oleh cacing-cacing. Tiba masanya, aku juga akan dimakan oleh cacing-cacing, fikir saya.

“Hmmmm.. tak apalah. Tok nak ke kedai Simah nak cari kuih. Opah Jenab kamu tak masak pagi ni. Dia sakit badan-badan. Angin katanya” kata Tok Imam Jali sambil menghidupkan enjin motosikalnya.

“Jumpa lagi Tok... Assalamualaikum” kata saya.

“Wa alaikummussalam” jawabnya sebelum berlalu dan menghilang di sebalik rimbunan pokok-pokok.

Angin berhembus kencang di awal bulan Disember. Dari arah Timur Laut, kelihatan tompok-tompok awan hitam yang bergerak perlahan-lahan menutup sinar matahari pagi yang garang. Barangkali, sejam dua dari sekarang hujan akan bakalan turun mencurah-curah membasahi bumi lewat musim tengkujuh yang membadai. Gambaran sejarah datang bertali arus mengisi kotak fikiran saya. Jauh di berkilometer di ruang angkasa, terdengar deruan enjin kapal terbang sayup-sayup melintasi ruang udara kampung itu.

“Hidup ini sebenarnya satu episod mimpi. Apabila kita mati, kita ibarat terjaga dari sebuah mimpi yang panjang” kata-kata itu bagaikan bergema datang dari pelbagai arah menikam ke dalam kepala saya.

Entah kenapa, di dalam hati saya pada saat ini terasa kosong. Kosong sekosong-kosongnya.

Friday, June 11, 2010

Jiwa remaja yang membara.. aduhhhh!!

Malam di rumah kenduri perkahwinan yang saya hadiri itu meriah dengan kedatangan para tetamu mengisi tempat menjamu selera. Saya ketawa terkekeh-kekeh melihat seorang kakak yang berusia hampir 60 tahun sedang bersemangat mendendang irama cinta 60-an sebelum telefon saya berbunyi menandakan satu pesanan ringkas masuk ke talian saya.
"Abang... Tolong ambil Angah di masjid Kampung Seri. Angah tunggu abang kat situ"

Anak kepada kawan saya yang berusia 17 tahun yang saya panggil Angah, rupanya!!
"OK, Abang datang ambil Angah. Tapi Angah mesti bagitau Ayah dulu" jari jemari saya ligat menekan butang telefon bimbit saya.
"Abang datang je la.. Nanti Angah bagitau Ayah"
"Tak boleh... bagitahu sekarang. Kalau tak, Abang tak datang ambil"
"Kalau Abang tak datang ambil, tak apalah. Angah tahu mana nak pegi"

Tuan rumah datang menghampiri saya bertanyakan samada saya telah selesai menikmati hidangan. Saya mengangguk sambil mengucap tahniah kepada tuan rumah sempena menerima kahadiran menantu baru. Namun hati saya digaru keresahan. Bagaimana jika budak tidak pulang ke rumah malam-malam begini.
"Tak apalah... Angah nak naik bas nak ke Lumut" satu lagi pesanan ringkas saya terima daripadanya.

Saya segera mendail nombor di skrin. Tetamu kian beransur pulang setelah selesai menjamu selera. Kilat menyambar di langit tinggi sebelum diiring dengan hujan turun renyai-renyai membasahi malam. Nada panggilan bertali arus di hujung talian namun tidak bersambut. Akhir saya tinggalkan pesanan mesin talian.
"Angah, jawab telefon" saya bertempik di telefon.

Beberapa kali saya mendail, namun masih tiada jawapan. Saya kembali menekan butang telefon bimbit.
"Baik.. Abang datang. Tapi kalau Angah buat macam ni, macam mana Abang nak cari Angah?"
Kemudian barulah masuk satu sms.
"Angah tunggu di tepi jalan besar"
Hujan-hujan begini??

Hujan semakin lebat sewaktu saya melewati Masjid Kampung Seri yang sunyi dan gelap itu. Tiada tanda-tanda kehadiran manusia di situ. Jam sudah menunjukkan angka sembilan malam. Waktu-waktu sebegini, masjid sememangnya sudah sunyi sepi kerana semua orang sudah pulang seusai solat isyak. Saya buntu. Tidak lama kemudian, baru saya terlihatkan kelibat manusia menghampiri kereta saya. Dalam samar cahaya lampu di tepi jalan itu, saya dapat melihatnya membimbit sebuah beg dengan jaket panas tersarung di tubuhnya yang gempal melangkah gontai ke kereta saya.

Sebaik sahaja memasuki kereta saya, dia memandang saya dengan wajah yang sayu.
"Kenapa?" tanya saya.
Satu soalan yang sangat tepat pada masanya. Mendengarkan soalan itu, dia terus memeluk saya sambil menangis tersedu sedan. Saya terkejut langsung terkalap. Dia terus menangis tanpa henti. Melihatkan tangisannya yang memanjang itu, adalah mustahil bagi saya untuk bertanya lanjut. Saya membiarkan tangisannya reda sambil menepuk bahunya untuk menenangkannya.
"Sudahlah... sudahlah tu. Malu awak menangis macam ni. Awak tu dah besar. Dah 17 tahun..."

Dia mengesat airmatanya yang berbaki di pipi.
"Dah makan?" tanya saya
Dia geleng kepala.
"Mak Ayah tahu Angah di sini?"
Geleng lagi.

Tanpa tangguh, saya memecut kereta ke arah Lumut. Lebuhraya Ipoh-Lumut malam itu agak sesak dengan kereta. Maklum sahaja, malam Sabtu. Esok harinya merupakan kelepasan am. Kesempatan ini digunakan oleh penduduk setempat untuk membawa anak-anak masing-masing bersiar-siar sempena cuti sekolah 2 minggu ini. Budak itu tersandar di kusyen hadapan sambil matanya memandang kosong ke sisi jalan yang gelap gelita.
"Hmmmmm.... nak dengar satu cerita?" tanya saya kepadanya.
Dia kelihatan sedikit tersentak apabila pertanyaan saya mengejutkan lamunannya. Dia menoleh ke arah saya sekilas sebelum berpaling semula memandang cermin tingkap.

"Hahahahahaha.... 22 tahun yang lepas, ada seorang budak lelaki. Dia ni malas belajar dan tidak juga pandai dalam pelajaran walaupun cita-citanya besar, hahahahahahaha.... Dijadikan cerita sewaktu tu, keputusan SRP diumumkan... tahu SRP tak?
Dia geleng kepala.
"SRP tu Sijil Rendah Pelajaran. Sama macam PMR sekarang. Walaupun tahun itu dia belum menduduki SRP, tetapi dalam kesibukkan orang menerima keputusan itu menyebabkan dia juga turut menerima tempias orang yang menduduki peperiksaan itu. Kakak-kakaknya tidak berhenti-henti berleter sepanjang hari sehingga akhirnya menimbulkan pertengkaran dalam keluarga. Kakaknya berkata, kalau kamu dah malas belajar, kamu bakar sajalah buku-buku kamu tu. Jadi budak itu segera menyahut kata-kata itu. Habis dipunggahnya semua buku di dalam beg kemudian dicurahkannya ke tanah.."

Angah berpaling memandang saya.
"Kemudian?" tanyanya.
Saya tersenyum. Saya tahu, saya tidak berkata-kata keseorangan, rupanya!!. Saya memperlahankan kereta kerana lampu isyarat di hadapan sudah bertukar ke cahaya kuning.

"Kemudian, belum sempat dia mencucuh api ke buku-buku itu, ayahnya muncul tiba-tiba. Dengan kayu batang penyapu, ayahnya melibas ke belakangnya berkali-kali tanpa ada rasa belas. Sakitnya tak usah diperkatakanlah. Oleh kerana takut dibelasah lagi, dia menghambur melarikan diri. Di telinga masih dapat menangkap suara ayahnya yang berkicau seperti murai di waktu pagi tu."

"Dia lari ke mana, bang" budak itu bersuara juga akhirnya.
"Dia lari ke bendang. Di bendang itulah dia duduk sepanjang hari sebelum hari mulai gelap dan dia mula rasa takut apabila terdengarkan bunyi-bunyi yang menakutkan keluar dari tanah perkuburan yang dekat dengan bendang itu."
"Budak tu takut hantu ke bang?"
"Hahahahahahaha... ya, dia takut hantu!!"

Angah itu mulai ketawa terkekeh-kekeh.
"Selepas tu bang?"
"Selepas tu dia bingkas dari tempat itu. Berlari tanpa tujuan dengan berkaki ayam sebelum melewati rumah seorang kawannya. Kebetulan sewaktu, dia dilihat oleh kawannya berlari dalam keadaan yang mencurigakan sewaktu orang sedang melaungkan azan maghrib di masjid berhampiran"
"Dia nak pergi mana?"
"Dia tak tahu nak ke mana. Dia tak ada duit dalam poket dan perutnya terasa lapar sangat. Akhirnya dia sampai di rumah seorang opah yang baik hati. Di situlah dia tidur malam tu. Dia tidur lena sangat-sangat. Tapi di luar dengkurannya tu, otang kampung tengah mencarinya sepelusuk kampung. Akhirnya, esok paginya, dia ditemui sedang duduk termenung di kaki tangga rumah opah itu oleh abangnya".
"Dia lari dari rumah?"
"Hahahahahaha... ya, dia lari dari rumah"

Saya mengeluh berat. Kami melewati Bandar Manjung di sebelah kiri jalan.
"Kenapa abang mengeluh?" tanya budak itu.
"Mengeluh sebab budak dalam cerita itu selalu benar membuat onar. Selepas selesai menduduki SRP, dia hilang dari rumah dan sekolah lagi sekali. Kali ini pula, dia mengikut satu jemaah dakwah ke Pulau Pinang. Satu tindakan di luar pertimbangan...!! Sekali lagi keluarganya terutama ibunya menangis dengan kelakuannya. Usia macam tu patutnya fikirkan pelajaran. Bukan pentingkan hati dan perasaan..."
"Siapa budak tu bang?' tanya Angah.
"Abanglah"
Angah terlongo. Sungguh dia tidak menyangka bahawa orang yang sedang diperkatakan itu adalah sejarah silam saya.

"Angah lari dari rumah?" tanya saya.
Dia mengangguk.
"Mak marah Angah...." adunya.
"Kita cari tempat makan dulu. Lepas makan baru cerita"
Saya menoleh ke arah budak itu. Zaman sekarang, anak lelaki dan anak perempuan sama sahaja. Bahayanya tetap sama jika terlepas ke tangan manusia yang tidak bertanggungjawab. Bagaimana jika budak ini terlibat dengan jenayah? Bagaimana jika budak ini terjebak ke kancah penagihan dadah?

Lumut penuh sesak dengan pengunjung walaupun hujan turun lebat dan malam semakin larut. Sukar benar mendapatkan tempat letak kereta. Akhirnya saya memberhentikan kereta di tepi longkang berhampiran dengan simpang memasuki Kem Tentera Laut di situ.
"Sejak bila tak makan?" tanya saya.
"Sejak mak marah malam semalam"
"Dah satu hari suntuklah ni?"
"Senja tadi ayah paksa Angah makan bubur. Angah makan sikit je" katanya. Saya menarik pintu kaca Restoran KFC. Orang di dalam berbaris panjang di kaunter. Dapat dilihat dari arah luar menerusi dinding kaca yang jernih.

Selesai makan, saya membawanya ke tepi jeti untuk menenangkan hatinya sambil melihat lampu-lampu yang terpancar dari arah kapal-kapal besar yang berlabuh.
"Abang... ada orang menjala ikan kat tepi laut tu" katanya memberitahu saya seolah-olah saya tidak menyedari kehadiran nelayan itu.

"Ok, sekarang cerita pada abang apa yang dah jadi" kata saya.

Dalam teragak-agak dia memulakan bicaranya. Menurut kata, ibunya melarang keras dia memiliki telefon bimbit kerana bimbang dia akan terleka. Maklum sahaja, tahun ini dia akan menduduki SPM. Dalam diam-diam, tanpa pengetahuan ibunya dia membeli telefon bimbit dari duit hasil upahan melakukan kerja-kerja membantu katering di daerah kami. Dia menyimpan telefon itu sungguh-sungguh. Tetapi setiap perbuatan di luar restu ibu itu pasti akan ketahuan juga akhirnya. Suatu malam, sewaktu bermain sms dengan teman wanitanya (sudah punya 3-4 orang teman wanita di usia 17 tahun), ibunya terlihatkan perbuatannya. Ibunya merasa sangat kecewa kerana sebelum ini dia sudah berjanji sungguh-sungguh tidak akan mengabaikan tanggungjawab dengan bermain pesanan ringkas. Ibunya mengamuk bertindak memulaukannya. Akibatnya dia merasa tertekan dan bertindak melarikan diri dari rumah.

"Sekarang Angah nak buat apa?" tanya saya.
Dia geleng kepala tanda buntu.

"Sekarang dengar cakap abang betul-betul. Mulai hari ini, abang nak Angah tinggalkan aktiviti Pengakap di waktu sekolah. Kedua, bagitahu pada Aslila, pada Najwa, pada Nuri, Angah nak berhenti sementara waktu menghubungi mereka sebab Angah nak periksa. Tak lama, 5 bulan je. 5 bulan tu tak lama. Ketiga, berhenti main gitar dan susun jadual belajar. Keempat, pulangkan telefon bimbit tu pada mak. Kelima, rangka jadual mentelaah buku dari jam 8 malam sampai 11 malam. Balik rumah sekejap lagi, minta maaf pada, pada ayah, cium tangan mak ayah, peluk mak ayah, bagitahu mereka, Angah takkan ulangi perbuatan Angah lagi, boleh?" kata saya panjang lebar.
"Boleh... Errrr, kalau Angah tak buat macam mana?" tanyanya sambil tersengih.
"Jangan nak mengadu apa-apa hal dengan Abang lagi dah!!" jawab saya separuh menengking.

Saya menghantarnya pulang sewaktu jam sudah lewat angka 11. Tiba di rumah, dia tersedu sedan di hadapan pintu menangis meminta ibunya membukakan pintu rumah.
"Angah tahu airmata Angah dah tak ada harga lagi pada Mak sebab selalu buat salah dan minta maaf pada Mak. Tapi, Mak.... bukaklah pintu.. Kalau Mak tak buka pintu, Angah tak tahu nak pergi mana" katanya sambil menoleh ke arah saya dengan linangan airmata.

Kasihan dengan rayuannya di tengah malam-malam itu, ayahnya segera membuka pintu. Dia segera masuk ke rumah dan terus menuju ke bilik.
"Habis strawberry saya layu satu ladang dibuat dek anak Abang Harun" kata saya merungut-rungut kepada kawan saya.
"Di mana engkau tanam strawberry?" tanya Abang Harun kehairanan.
"Di Farmville"

Hujan masih renyai-renyai turun membasahi bumi sewaktu saya melangkah ke kereta sebelum budak itu datang berlari dengan tercungap-cungap.
"Abang.. boleh tak abang tambah nilai RM6.00 ke telefon bimbit Angah?"
"Nak buat apa?"
"Angah nak sembang kali terakhir dengan Wawa. Alaaa... Abang, bolehlah Abang.."
"Tak ada.. tak ada.. jangan nak mengada-ngada. Sekarang dah pukul berapa ni tau tak? Dah pukul 1.30 pagi. Mana ada kedai bukak?"

Budak itu berkempen melalui sms meminta saya menambah baki di telefon bimbitnya sepanjang saya pulang ke rumah dalam kabus malam yang tebal. Pagi ini, menurut ayahnya, dia masih lagi mogok merajuk-rajuk tidak tentu hala.
"Biarkan saja..." kata saya kepada ayahnya.

Wednesday, April 21, 2010

Tiga Orang Pekak dengan Darwish Bisu

Diriwayatkan pada suatu masa terdapat seorang lelaki yang pekak yang mendiami dunia Arab. Ada pun lelaki ini pekerjaannya ialah mengembala kambing. Lelaki ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.

Pada satu hari, pengembala pekak ini telah menghalau kambing-kambingnya ke padang rumput seawal pagi lagi. Setelah beberapa ketika di padang rumput itu, pengembala kambing ini tersedar bahawa dia sudah terlupa membawa bekalan makanan tengahari. Pengembala pekak ini mula tidak keruan apabila perutnya semakin lapar seperti panas matahari yang mengembang memanaskan permukaan bumi.
Ingin pulang ke rumah mengambil bekalan makanannya, pengembala kambing itu bimbang kalau-kalau kambingnya akan merayau ke merata-rata tempat dan seterusnya hilang. Bimbang juga dia sekiranya dia pulang sebentar, kambingnya dicuri orang.

Pengembala kambing itu melihat sekeliling. Tidak jauh dari tempat dia mengembala kambingnya, berdiri seorang lelaki yang sedang menyabit rumput untuk diberikan kepada kuda-kuda peliharaannya. Tanpa lengah, Si Pengembala Kambing itu pun menghampiri Penyabit Rumput itu seraya berkata, "Abang, bolehkah abang melihat kambing-kambing saya sebentar sementara saya pulang ke rumah mengambil bekalan makanan dari isteri saya. Barangkali perempuan itu sudah terlupa tugas-tugas sehariannya"

Malangnya, Penyabit Rumput itu pun seorang yang pekak. Dia menyangkakan bahawa Pengembala Kambing itu datang ingin meminta rumput untuk makanan kambing peliharaannya.
"Aku tak ingin memberikan rumput ini walau sedikitpun kepada kamu. Pergi kamu dari sini!!!" katanya sambil mengangkat tangannya menghalau Si Pengembala Kambing.

Melihatkan Si Penyabit Rumput itu mengangkat tangannya, Si Pengembala Kambing tu menyangkakan bahawa Si Penyabit Rumput itu bersetuju untuk menjaga kambingnya dan menyuruhnya segera pulang mengambil bekalan makanan itu. Si Pengembala itu pun berlalu sambil tersenyum pulang mengambil apa yang dicitanya.
Sebaik Si Pengembala Kambing itu pulang semula ke padang rumput itu, dia mendapati bahawa kambingnya tidak hilang walau seekor pun. Semuanya masih ada sedang enak-enak meragut rumput.
"Mulia benar sikap Penyabit Rumput itu. Baik benarlah dia menjaga kambing aku sehingga seekor kambing pun tidak hilang" kata hati Si Pengembala Kambing itu. Sambil menyuap roti gandum ke mulutnya, dia berkira-kira, apakah hadiah yang paling sesuai untuk diberikan sebagai membalas jasa Si Penyabit Rumput itu.
"Hmmmmm... ada baiknya aku hadiahkan dia kambing capik itu. Dapat juga disembelih untuk dimakan bersama keluarganya" kata Pengembala itu lagi.

Tanpa tanggung, Si Pengembala itu menangkap kambingnya yang capik dan dijunjungnya ke tempat Si Penyabit Rumput itu. Melihatkan Si Pengembala itu datang menjunjung kambingnya, Si Penyabit Rumput itu menyangkakan bahawa Si Pengembala itu menyalahkan dirinya dan ingin menuntut ganti rugi.
"Tugas aku cuma menyabit... dan aku berada di sini sejak pagi lagi. Manalah aku tahu apa yang telah berlaku ke atas kambing-kambing engkau" kata si Penyabit marah-marah.

"Abang..... kambing ini kambing muda. Dagingnya lembut dan sesuai untuk dimakan oleh abang sekeluarga" kata Si Pengembala Kambing sambil mengunjukkan kambing itu kepada Si Penyabit Rumput.

Si Penyabit Rumput itu sudah hilang sabar. Sangkanya Si Pengembala itu terus-terusan menyalahkan dirinya dan berlaku seolah tidak faham bahasa.
"Sudah aku katakan, Aku tidak tahu apa terjadi ke atas kambingmu. Pergi kamu atau kamu aku pukul!!!" kata Si Penyabit Rumput seraya mengangkat tangan ingin memukul Si Pengembala Kambing itu.

Lalu terjadilah pertengkaran di antara mereka berdua sehingga menarik perhati seorang Penunggang Kuda yang lalu berdekatan. Lalu Si Penunggang Kuda itu pun menghampiri mereka berdua yang sedang bergaduh itu. Melihatkan Si Penunggang Kuda itu datang, kedua yang bergaduh itu segera meminta Penunggang Kuda itu menjadi hakim. Malangnya, Si Penunggang Kuda itu juga pekak. Dia tidak dapat mendengar sebarang bunyi butir yang dipertengkarkan. Sangkanya, kedua lelaki di hadapannya itu bertengkarkan tentang kehilangan kuda.
"Benar, kuda yang aku naiki ini bukanlah milik aku. Aku jumpa kuda ini di pertengahan jalan. Oleh kerana aku terlalu letih, aku ambil kuda ini. Sekarang kuda ini aku pulangkan semula kepada kamu" kata Si Penunggang Kuda itu seraya mengunjukkan tali kekang kuda yang dijumpainya itu kepada Si Penyabit Rumput.

Rupa-rupanya, tindakan Si Penunggang Kuda itu bukan sahaja tidak dapat membantu meredakan pertelingkahan kedua Penyabit Rumput dan Pengembala Kambing... bahkan semakin menyemarakkan pertengkaran antara kedua mereka sehingga Si Penunggang Kuda itu pun ikut sama dalam perkelahian itu kerana masing-masing tidak memahami maksud hati antara mereka dan masing-masing menyalahkan orang lain pekak.

Perkelahian dan pertengkaran yang semakin marak itu akhirnya menarik perhatian seorang Darwish yang lalu di situ. Mereka bertiga kemudian meminta pula Si Darwish itu menjadi hakim. Darwish itu dapat mendengar butiran yang dipertengkarkan tetapi malangnya Darwish itu seorang yang bisu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Si Darwish itu merenung tajam ketiga-tiga mereka itu sehingga menimbulkan kegerunan di hati ketiga-tiga mereka yang memikirkan bahawa kemungkinan Darwish itu mempunyai kuasa ajaib.

Perlahan-lahan, Si Penunggang Kuda itu berundur dan terus melompat ke atas kuda yang ditunggangnya sebelum itu dan segera memacu kudanya pergi dari situ. Si Pengembala Kambing pula, tanpa tangguh menjunjung semula kambingnya balik ke padang rumput dan Si Penyabit Rumput tergugup terus menyambung semula kerjanya.

Si Darwish tersenyum. Tanpa kata-kata, dia mampu menyelesaikan satu masalah. Kadang-kala, kekurangan itu bukanlah satu kecacatan. Tetapi satu anugerah!!

Tuesday, April 20, 2010

Aku lelah

Saya hanya bisa berhenti mikirin kamu di waktu saya tidur. Sebaik saya bukakan mata, seluruh pemikiran saya akan terkuras terhadap kamu. Tapi, di mana kamu di saat saya benar-benar butuh bantuan kamu??

Wednesday, December 23, 2009

Masa itu bakalan tiba jua


Sehingga ke hari ini Mak masih lagi belum mengetahui bahawa selama hari ini saya bekerja dengan Abang Ngah. Namun naluri seorang ibu itu pastinya akan dapat merasakan sesuatu yang saya sembunyikan dari pengetahuannya.
“Mak dapat rasa yang kamu ni bekerja balik dengan Zul. Betul tak apa yang Mak kata ni?” tanya Mak pada suatu hari sebaik sahaja saya baru sudah makan tengahari.

Saya pura-pura leka menatap majalah Mastika dengan harapan soalan itu berlalu begitu sahaja. Tetapi jari Mak pantas mengutil daging lengan saya membuat saya mengaduh kecil.
“Orang bercakap disifatkannya macam burung berbunyi saja tau!!!” gerutu Mak.
“Apa dia Mak?” tanya saya cuba menyembunyikan ketawa di pangkal hati.
“Aku tanya, betul ke kamu kerja balik dengan Zul tu?” sergah Mak.
“Eiisshhh.. Mak ni...!! tak adalah. Mak ni suka prasangka bukan-bukan tau” kata saya membohongi Mak. Saya beristighfar di dalam hati memohon keampunan ke hadrat Allah kerana membohongi Mak.

“Mak ni bukan berprasangka. Sajalah Mak bertanya”
“Kalau ya, kenapa Mak?” tanya saya menduga hati Mak. Tetapi ternyata soalan saya itu sudah cukup membuatkan mata Mak terjegil merenung saya.
“Jadi betullah kamu bekerja balik dengan dia?” sergah Mak lagi kuat.
“Tak.. tak!!” saya berbohong lagi.
“Aku tak mahu kamu terkecewa sekali lagi. Cukuplah apa yang kamu dah lalui sebelum ni. Tak sanggup Mak melihat kamu termenung sana termenung sini. Mak harap kamu tak akan serahkan tengkuk kamu untuk di...”

Saya bingkas bangun memeluk Mak dari belakangnya sebelum Mak sempat menghabiskan kata-katanya. Pipi kami bertemu.
“Mak... itu semua sejarah. Sejarah yang hanya pedih jika disebut dan tidak berguna walau satu sen untuk kita perdebatkan. Biarlah sejarah itu berlalu Mak. Yang penting kita bina hidup baru” Saya cuba memberi keyakinan pada Mak. Dan dalam masa yang sama, saya pingin sekali menyatakan pada Mak, insan yang bernama Zulkifli itu bukan seburuk yang disangkanya. Saya lebih mengenali Abang Ngah. Saya tahu hati budinya.

“Habis, siapa nama kawan kamu tu?”
“Kawan mana?”
“Kawan kamu yang ambil kamu bekerja dengan dia tulah”
Saya terpanik. Terkalap seketika. Cuba mencari nama yang sesuai buat si empunya badan. Mana mungkin diberi nama Mat Bin Abu.
“Siapa??” sergah Mak.
“Mokhtar!!” saya terperanjat. Laju nama itu meluncur keluar dari mulut saya.
Saya menelan air liur. Nasiblah Abang Ngah.... dapat nama Mokhtar.

Mata saya menurut langkah Mak yang menuju ke dapur. Saya meruap wajah saya yang kusam. Oohhh.. betapa di dalam hidup ini terlalu banyak orang yang bahagia dengan cara dia sendiri tidak mengetahuinya. Betapa di dalam hidup ini, kita akan bertemu dengan sekumpulan manusia yang kita sama sekali tidak boleh menafikan kewujudan mereka di atas muka bumi ini. Menafikan mereka, samalah seperti berlaku zalim ke atas diri kita sendiri. Tidak kira betapa banyaknya kegembiraan yang dibawa bersamanya atau betapa banyak kekecewaan yang diciptakan oleh mereka, kita akan tetap menyayangi diri mereka. Kita sama sekali tidak boleh menafikan mereka walaupun kita menyedari, semakin kuat kita menyayangi mereka, semakin membuatkan kita terluka.

Kumpulan manusia ini adalah ayah dan ibu. Adik beradik, saudara mara, rakan taulan malah boleh datang dari kalangan mereka yang tidak mempunyai ikatan darah dengan kita. Kasih sayang itu kesejagatan. Yang hadir tanpa ada kepentingan dan agenda di sebaliknya.

Saya ingin sekali menunjukkan kepada Mak, insan yang saya panggil Abang Ngah itu. Orang yang saya anggap sebagai guru, abang dan sahabat baik. Saya sama sekali tidak boleh menafikan dirinya atas ketiga-tiga peranan yang diberikan olehnya kepada saya hatta abang-abang kandung saya sendiri pun tidak pernah bersungguh untuk memainkan salah satu dari peranan itu. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memperkenalkan saya dengan alam pekerjaan. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memberi saya ilmu yang tidak dapat saya perolehi di alam kolej. Saya mahu Mak tahu, siapakah yang akan bersedia menunjukkan saya jalan penyelesaian dan jalan keluar apabila saya buntu menghadapi masalah. Dan saya ingin sekali Mak mengetahui, beberapa tahun, Abang Ngahlah yang memberi saya elaun bulanan tanpa terlalu berkira dalam serba serbi.

Apa yang telah berlaku antara saya dengannya beberapa tahun lepas hanyalah satu salah faham. Tidak mungkin kesalahan berbesar busut jantan mampu melindungi segala sumbangan yang tinggi menggunung.

Barangkali selepas terjadinya peristiwa itu, Mak bagaikan melihat saya jatuh terduduk. Tenggelam punca dan masa saya banyak dihabiskan dengan duduk termenung. Barangkali Mak melihat saya menderita kehilangan dari segi material sehingga menyebabkan timbul fobia dalam diri Mak dan adik beradik saya bahawa saya ini telah dianiayai. Tetapi Mak sebenarnya tidak dapat menangkap kejutan yang melanda batin saya apabila saya kehilangan orang yang anggap guru, abang dan sahabat baik ini. Selebihnya tidak ada apa yang saya kehilangan. Saya masih punya keluarga, anak dan isteri yang sedia pada bila-bila masa memberi sokongan kepada saya untuk bangun semula.

Abang Ngah itu unik dengan caranya tersendiri. Dia langsung tidak sama dengan boss-boss saya sewaktu saya bekerja di syarikat jururunding di Sri Hartamas dahulu yang gah pada gaya namun layu pada semangat juang. Abang Ngah tahu apa yang terbaik untuk orang-orang di sekelilingnya dan semangatnya sekeras besi waja. Segala yang diusahakannya pada hari ini adalah demi kelangsungan hidup anak-anaknya memandangkan hanya dialah satu-satunya sumber pembiayaan dalam keluarganya lantaran isterinya tidak bekerja.

Dia boleh jadi sehangat api dan sedingin ketulan ais. Dia boleh jadi seperti bayu di pergunungan dan dia boleh menjadi lahar berapi yang membakar segala-galanya jika kepentingannya diganggu gugat. Bagi saya, pemikirannya adalah buku. Kerana itu pemikiran akan senantiasa berada lebih ke hadapan dari kebanyakan orang. Dia sering berleter kepada saya agar saya senantiasa membaca banyak buku ilmiah dan berhenti menelaah buku-buku fiksyen.

Abang Ngah melihat potensi yang ada dalam diri saya. Dia tidak pernah jemu-jemu memberi galakan mencungkil bakat yang ada pada saya agar saya maju dan di kemudian hari, cita-citanya ingin melihat saya berjaya dan mencungkil bakat orang lain pula. Saya ibarat layang-layang dan dialah yang memegang talinya. Saya meluncur laju ke udara bermain awan gemawan dan dia melihat saya dari kejauhan. Sekali sekala, layang-layang itu akan teroleng jua, hilang arah dihembus angin kencang. Di saat itu, Abang Ngah biasanya sudah bersedia menarik tali itu agar layang-layang itu dapat terbang semula pada paksinya.

Disember bakalan berakhir. Tahun baru akan menjengah beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna, tinggal beberapa bulan dari sekarang, Abang Ngah akan melepaskan pegangan tali itu. Layang-layang tidak pasti apakah dapat mendarat selamat. Akan tibalah masa untuk saya mengucapkan salam pamitan tanda perpisahan pada Abang Ngah. Saya menyuarakan rasa hati saya kepada Mak untuk pulang ke kampung halaman, memulakan perniagaan berasaskan kepada kemahiran terhad yang saya miliki. Saya katakan kepada Mak, insan bernama “Mokhtar” itu mahu saya berusaha sendiri. Mak tampak bimbang. Saya sendiri pun tidak pasti, apakah tanah di hujung Pedang Cura Si Mandakini itu akan dapat menerima saya kembali setelah bertahun-tahun seluang melaut.

Lambat laun saya akan memberitahu Mak secara baik siapa insan saya bohongi Mak selama ini. Agar terpadamlah segala prasangka buruk dalam diri Mak. Semoga Mak nampak sisi terang Abang Ngah yang selama ini dibayangi kegelapan lantaran Mak hanya mendapat gambaran yang tidak jelas tentangnya.

Indera : Barangkali ada yang tertanya-tanya, bagaimana peribadi orang yang saya maksudkan di dalam entri ini. Terlalu sukar ingin saya terangkan bagaimanakah pembawakannya. Mungkin sebahagian daripada dirinya terzahir di laman blognya kalamjauhari.blogspot.com . Tulisan kami terlalu berbeza. Dia lebih realistik manakala saya banyak tergantung di awang-awangan. Pemikirannya sangat kritis manakala saya lebih terarah kepada puitis. Saya menyukai kesenian tetapi tidak pandai menulis puisi. Dia menyukai wang tetapi kadang-kala melakukan kejutan lewat sentuhan beberapa puisinya.

Wednesday, November 18, 2009

Sambungan Kisah


Sesudah setahun, akhirnya saya memutuskan untuk menulis semula Hikayat Badrun Basim untuk tatapan semua. Hikayat Badrun Basim ini sebenarnya sangat dekat dengan jiwa saya. Waktu kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca Hikayat Badrun Basim, Hasan Al-Basri yang dijidil (kedua-dua Hikayat ini telah dijidilkan bersama-sama menjadi satu buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan tahun 1965), Batu Belah Batu Bertangkup, Kisah-kisah Dongeng Dunia Arab dan banyak lagi.

Barangkali ada yang berpendapat bahawa saya ini seorang yang tahyul, suka pada kisah pari-pari yang tidak wujud serta gemar berangan-angan dengan menulis kisah kanak-kanak seumpama ini. Tetapi percayalah, kisah pari-pari ini sebenarnya banyak mempengaruh jiwa kanak-kanak bagi persediaan untuk mereka menghadapi dunia nyata. Adanya ibu ayah yang membisikkan kisah-kisah ini sebelum anak-anak beradu, akan menguatkan semangat mereka serta mempersembahkan kepada mereka betapa hebatnya nilai kasih sayang yang berakhir dengan kegembiraan.

Zaman kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca buku-buku cerita lantaran saya tidak berkebolehan di dalam bidang sukan. Padang sukan hanya dijengah setiba waktu Pendidikan Jasmani. Sesudah waktu itu, padang permainan amat jauh dari hati saya. Padang permainan saya sewaktu dahulu adalah di sawah bendang, di celahan pokok-pokok buah-buahan di dusun serta tali air lewat petang melambai lembayung senja.

Dunia saya ketika itu hanyalah di perdusunan yang sunyi. Yang jauh dari kemodenan kota. Kisah pari-pari akan menjadi inspirasi untuk terbang ke udara. Menyelami lautan luas, bertarung dengan gergasi bota serta menawan hati puteri rupawan seperti yang didendangkan di dalam kisah dongengan.

Dunia Si Kecil adalah dunia yang murni. Jauh dari pembohongan. Jauh dari penyesatan. Tambah jauh dari penganiayaan. Dunia Si Kecil adalah dunia yang penuh dengan jaluran pelangi. Indah bercahaya tetapi hakikatnya hanya berbalam-balam. Sesudah dewasa, dunia itu hanyalah mimpi dan kitalah yang tersedar dari tiduran yang panjang berteleku menghadapi dunia yang maha dahsyat.

Untuk itu, jika diberi pilihan, saya tidak mahu bangkit dari mimpi indah itu. Mahu terus terbang menembusi kayangan. Namun apakan daya, zaman yang berlalu tidak mungkin dapat dijangkau semula.

Saya menulis kisah pari-pari ini untuk tatapan semua. Lebih dari itu, saya mahu cahayamata jantung hati saya yang tidak sempat saya bisikkan kisah pari-pari ini sewaktu mereka bersiap-siap masuk tidur lantaran saya tinggal berasingan dengan mereka, yang tidak sempat saya melihat mereka membesar di hadapan mata saya, membaca kisah pari-pari ini sebagai ganti ayah mereka yang kejauhan. Andai saya tiada lagi di dunia ini sekali pun, saya mahu mereka menghayati kisah pari-pari ini dan mengerti sepenuh hati bahawa saya tetap menyayangi mereka di dunia hingga akhirat.

Kitab Badrun Basim ini tidak lagi saya jumpai di mana-mana selepas kitab yang sama dalam simpanan kami lunyai, koyak rabak dan akhirnya dihumban oleh kakak saya yang mengemas rumah tanpa menyedari nilai kitab hikayat ini. Sepengetahuan saya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah tidak lagi menerbitkan hikayat-hikayat seumpama ini. Barangkali jika ditinjau di Arkib DBP, kitab ini berkemungkinan besar masih ada di dalam simpanan mereka.

Saya bertuah kerana ayah saya dahulu sememangnya suka membeli buku-buku hikayat seperti ini sebagai koleksi peribadi. Tetapi beliau tidak bernasib baik kerana dikurniakan dengan anak-anak yang nakal yang suka mengoyakkan lembaran kertas tanpa mengerti sekelumit pun nilai kesusasteraan pada ketika itu.

Bagi generasi muda kini, saya yakin ramai antara mereka yang tidak pernah menatap Hikayat Badrun Basim ini tetapi generasi muda ini tetap merupakan peminat hikayat-hikayat seperti ini jika mereka diberi peluang untuk menilainya. Oleh yang demikian, penulisan Badrun Basim ini adalah sumbangsih saya untuk memunculkan semula hikayat ini di dunia Melayu. Jika ada mana-mana pihak yang mengaku bahawa mereka lebih berhak terhadap hikayat ini, saya sedikit pun tidak akan ambil kisah kerana hasrat di hati saya hanyalah untuk berkongsi minat kepada sesiapa sahaja yang sudi. Penulisan hanyalah pada kecenderungan. Saya hanya manusia biasa. Tiada apa yang istimewanya pada diri saya.

Bagi mereka yang sukakan hikayat lama ini, sambungan Hikayat Badrun Basim ini akan menghiasi Layangan Indera ini secara berperingkat-peringkat. Hikayat ini agak panjang sedikit. Janganlah bermasam muka andai sambungannya agak lewat tiba lantaran tugas seharian yang menuntut saya memberikan sepenuh perhatian.

Untuk itu..... Badrun Basim akan menemui kalian dengan Puteri Jawhariah, Ratu Lat, Sheikh Abdullah dan pelbagai perkara yang ditempuhi lewat pengembaraannya yang jauh. Nikmatilah sepenuhnya. Harap kalian bergembira!!.