Thursday, November 23, 2006

Ayam Baka Sempadan Kedah

Kerancakan kami berbual tengahari itu terganggu seketika apabila Tuk Musa mengamuk bertanyakan kepada Opah Munah, bilangan ayam daranya (atau terunakah?) kian hari kian merosot. Tuk Musa sayangkan ayam-ayamnya. Baka dari ayam sabung yang dibelinya di sempadan Kedah.
"Dimakan musang agaknya.." kata Opah Munah.
"Mana boleh dimakan musang. Ahh.. kalau dimakan musang, tentu ada sisa bulu atau bangkainya. Aku syak ayam ni dicuri orang.." tebak Tuk Musa.

Kami hanya memasang telinga. Mendengarkan tebakan Tuk Musa itu, Saya dan Fuad sudah berlinang airmata akibat menahan ketawa yang keterlaluan. Saya tahu siapa empunya angkara jika bukan Alang, anak lelaki kesayangan Tuk Musa. Dialah menjual anak baka ayam sabung itu kepada budak-budak nakal di kampung dengan harga RM3.00 seekor.
"Aku dapat pencuri tu nanti, aku takek dengan parang tapik aku ni!! Tengoklah nanti..." terdengar Tuk Musa bersuara lagi dari dalam rumah.

Mendengarkan itu lagilah saya dan Fuad bertambah geli hati. Alang itu saya lihat kepucatan. Bimbang hal itu sampai ke pengetahuan ayahnya. Akhirnya pecah ketawa saya dan Fuad. Berderai berlambak-lambak di anjung rumah Tuk Musa itu. Kahkahkahkah. Alang kelam kabut menutup mulut kami berdua supaya tidak didengar oleh Tuk Musa.

"Ni apa hal ketawa berdekah-dekah, suka sangat ni?" garau suara Tuk Musa mengejutkan kami. Gayanya telah bersiap untuk ke masjid bersolat Zohor.
"Tak ada Tuk. Ni, Alang ni. Dia yang..." tiba-tiba saya rasa punggung saya dicubit dari belakang. Alang memandang saya minta dirahsiakan perkara itu.
"Dia apa??" tinggi suara Tuk Musa mengejutkan kami.
"Errr.. dia kata dia nak kahwin dengan Shimah anak Achik Moin kat Kampung Tua tu.." kata Fuad menyelamatkan keadaan.
(Bila masa aku nakkan Si Shimah tuuuu....) kami dengar Alang berbisik perlahan. Menggerutu. Geram.
"Kecik-kecik dah ingat nak kahwin. Makan pun ditanggung Mak Apak lagi. Pergi mandi, lepas tu sembahyang. Indera, Fuad. Tak usah balik. Makan dan sembahyang zohor di sini saja" kata Tuk Musa.
"Baik, Tuk.."

Petang itu, sewaktu Tuk Musa sedang lena sementara menunggu waktu Asar, Alang membuka sangkar reban. Dikeluarkannya induk ayam sabung yang dibeli oleh ayahnya dari Sempadan Kedah itu. Bagi mengelakkan daripada ayam itu meronta, Alang mengepit ayam itu di balik ketiaknya manakala sebelah lagi tangannya mencekup mulut ayam itu supaya ayam itu tidak melolong. Saya dan Fuad berlari susup sasap di dalam semak mengekori Alang menuju ke belakang sekolah menengah itu.

Di belakang sekolah menengah itu, di bawah pokok kelapa sawit, ramai budak-budak sedia menunggu. Masing-masing turut mengepit ayam masing-masing. Ahhh.. ayam mereka ayam kampung. Apa kelas?? Lemah canguk!!. Melihat ayam sabung baka sempadan Kedah itu budak-budak itu mulai terkagum dan gerun hati. Roman itu nampak sombong. Dadanya bidang. Kakinya panjang. Susuhnya... Aduh, kalau terkena lutut, mahu masuk ke hospital..!!

Pertaruhan sebanyak RM0.20 dikutip setiap seorang. Suatu judi. Tetapi di usia itu dahulu tidak arif tentang halal dan haram. Saya dan Fuad dikecualikan kerana kami penonton dan tukang sorak. Perlawanan antara ayam Alang dan ayam Mat Pichek bermula. Patuk mematuk. Tendang menendang. Pukul memukul. Ayam Mat Pichek sudah longlai dibelasah ayam sabung baka sempadan Kedah itu. Alang hilang suara bersorak. Azamat sekitar itu dengan tempikan budak-budak itu.

Tiba-tiba Fuad mencuit saya mengisyaratkan sesuatu di balik semak. Tuk Musa!!! Dia sedang terhendap-hendap melihat Alang yang sedang terlompat kinja melihat ayamnya bersabung. Kami berdua cepat-cepat beredar. Geruh besar sudah tiba. Silap gayanya dengan kami sekali menerima habuan Tuk Musa.
"Hoi, hoi, hoi. Nak ke mana tu? Belum habis lagi ni!!" Alang memanggil kami tanpa menyedari Tuk Musa berada betul-betul di belakangnya.

Budak-budak yang berkumpul itu bertempiaran lari menyelamatkan diri meninggalkan ayam masing-masing. Saya dan Fuad menyorok di sebalik pokok mempelam besar milik Opah Teh Me'ah. Takut.
"Oohh.. ini kerja kamu ye!! Haa..?? menyabung ayam. Mana belajar? Bangun, bangun!!" sergah Tuk Musa. Alang sudah mengeletar.
"Abah, ampun Abah. Alang tak buat lagi.." suara Alang ketakutan semakin sayup teriak tangisnya diseret Tuk Musa pulang ke rumah. Sesekali terdengar Alang melolong kesakitan. Disesah Tuk Musa barangkali.

Saya sudah pucat ketakutan. Nyaris saya juga tidak dirotan oleh Tuk Musa tadi. Kikikikiki... saya terdengar suara orang ketawa di belakang saya. Rupanya Fuad yang ketawa. Saya tidak dapat menahan geli hati dan akhirnya ketawa kami berderai berlambak-lambak di pangkal pokok itu. Pokok mempelam milik Opah Teh Me'ah.

Kahkahkahkahkah..


Indera : Alang sekarang seorang guru di salah sebuah sekolah di Daerah Kinta. Sememangnya kami langsung tidak menduga, ketua segala kacang hantu di kampung itu kini seorang guru. Tuk Musa dengan Opah saya pangkat sepupu. Alang ini pangkat bapa saudara saya dan Fuad walaupun kami sebaya.

7 comments:

Rie said...

amboiii nakalnya ko.. hahaha.

aku tak pernah main sabung ayam.

blackpurple @ jowopinter said...

Ada seorang kawan tu dulu samseng kampung sekarang ni ustaz dah..! Alhamdulillah...

Teringat pada ayam jago atok yang kuning merah itu.....

Ah...seronoknya pengalaman mengejar ayam...

Hehehe..

zwitterion said...

hehehe..kenakalan masa budak2..pasti x dpt dilupakan.

Iman Mawaddah said...

Hehehe..percaya atau tidak..selalunya budak nakal ni bijak..otak dia kreatif sejak kecil lg.

INDERA KENCANA said...

Esis,
Aku setakat tengok je. Buat tak pernah pun


Bro BP,
Yalah, kita tak tahu apa suratan hidup kita di masa hadapan.


Zwit,
Kenakalan sememangnya sinonim dengan kanak-kanak terutamanya budak lelaki.


Iman,
Saya rasa saya setuju. Saya bukanlah nakal, oleh yang demikian IQ saya kureng sedikit dari rakan-rakan saya.

AKMA said...

:) senyum panjang baca entry ni. teringat zaman anak-anak. indah kan?

INDERA KENCANA said...

AKMA,
Sebagai sahabat, jika entri ini mampu mengubat lara hatimu dan membuatkan AKMA tersenyum walau sebentar, saya sudah amat berpuas hati...