Friday, December 08, 2006

Gajah Batu Tiga Beranak (Sambungan dari Makam Anak Bentara)

Adapun Raja Siam mengutuskan sebuah lagi watikah ke penghadapan Sultan Muzaffar Shah I yang sedang bersemayam di Tanah Abang itu.
"Di atas segala kebesaran yang beta miliki, sekali lagi beta menyeru agar Yang Dipertuan Negeri Perak tunduk di bawah panji-panji Negeri Siam. Sekiranya Yang Dipertuan Negeri Perak engkar, beta tidak mempunyai alasan lain selain daripada membakar hangus Negeri Perak dan Tanah Abang itu akan beta bina dengan sebuah Wat yang besar sempena memuja gajah beta".

Tempoh dua purnama semakin tiba ke penghujungnya. Rakyat sudah berondong-bondong masuk ke Kota Tanah Abang dan berkampung di dalamnya. Melalui risikan yang dilakukan, Siam bakal menyerang Tanah Abang melalui jalan air.

Jong bahtera Siam sudah sampai ke Beting Beras Basah dan memudiki Sungai Perak dari arah muara dan terus bergerak ke hulu sungai. Paluan gendang yang dipalu menggerunkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya apatah lagi dengan melihatkan kelengkapan bahtera perang yang berjumlah 160 buah itu.

Di tengah-tengah angkatan bahtera itu terdapat satu bahtera yang mengangkut patung gajah tiga beranak sebagai tanda Raja Siam sudah bersedia untuk mencemar kesucian syariat Islam yang bertapak kukuh di Tanah Abang yang terkenal sebagai salah sebuah pusat pengembangan ilmu dan akidah Islam di Nusantara.

Jong Bahtera Siam itu semakin menghampiri ke Tanah Abang. Golongan wanita dan kanak-kanak bergegas mencari perlindungan di kubu bawah tanah dengan diawasi oleh permaisuri-permaisuri dan wanita-wanita bangsawan istana. Manakala golongan lelaki pula sudah sedia membentengi di kubu setinggi sepuluh hasta itu bagi menghadapi serangan Siam itu.

"Datuk Temenggong, beta mengarahkan agar laskar kita dipecahkan menjadi dua bahagian. Satu bahagian berkubu di istana manakala satu bahagian lagi mara keluar. Bahagian yang mara keluar itu, pecahkan pula menjadi 4 bahagian. Dua bahagian di hilir. Satu di Tanah Daulat (bahagian kanan sungai) dan satu bahagian di Tanah Perundangan Dato-Dato (di kiri sungai). Serupa juga hal 2 bahagian yang berjaga di bahagian hulu itu. Takut beta kalau-kalau ada angkatan Siam yang menghendap kita dari jalan darat".

Angkatan Bahtera Siam sudah memasuki perairan Tanah Abang. Melihatkan kepada keupayaan angkatan Siam yang 3 kali ganda daripada ketumbukan Laskar Diraja Perak itu, gementarlah hati panglima-panglima Perak. Ditambah pula dengan kelajuan bahtera-bahtera itu menyongsong arus, serta bunyi-bunyian yang dimainkan terlalu azamat, Datuk Bendahara mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak agar Perak menyerah sahaja tanpa berlaku pertumpahan darah.
"Datuk-datuk sekelian. Sekiranya beta menyerah kepada angkatan Siam itu, tahukah datuk-datuk sekelian akan natijah yang menanti kita?. Agama kita akan diinjak-injak. Kita sekeliannya akan menjadi hamba mereka dan kekayaan kita akan dibawa pergi. Jika datuk-datuk sekelian takut akan menghadapi serangan mereka, biar beta sendiri berputih tulang membentengi mereka daripada hidup berputih mata".

Sultan Muzaffar Shah I keluar dari istana lantas berdiri di atas tebing di pengkalan Tanah Abang itu. Baginda menggenggam sekepal tanah seraya bersabda,

"Jika benar Beta raja yang berdaulat dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang mulia. Panji-panjinya mengarak turun lintang dari Gunung Mahameru. Setangginya mengharumi dan menyentuh kelambu Baitullah. Beta berdoa ke hadratMu Ya Allah agar ditahani serangan kafirun ini andai jika mereka berjaya, syariatMu akan pudar dari tanah ini, Ya Allah.

Dengan tidak semena-mena, datang semilir yang keras berhembus turun dari Gunung Bubu bertiup kencang ke Tanah Abang. Angkatan tentera Siam gempar apabila awan hitam berarak dengan kilat petir sabung menyabung. Dedaunan kering di lantai perdusunan itu terangkat naik ke udara bergumpalan membentuk kalimah arab "La-ilahaillallah, Muhammadur Rasullullah" terpampang di dada langit yang kehitaman.

Apabila kalimat itu pecah dan sebaik sahaja dedaunan itu berguguran jatuh menyentuh permukaan sungai, aliran sungai sejauh 7 batu di hulu dan di hilir sungai itu terus menjadi air mati. Tiada aliran langsung. Tentera Siam semakin terpinga-pinga. Mereka bagaikan berada di tengah lautan bergelora dengan ombak besar naik menggulung-gulung. Ketakutan dengan itu, tentera-tentera Siam itu terjun ke dalam sungai. Ada yang sempat melarikan diri. Ada yang tenggelam kelemasan. Ada pula yang ditawan menjadi hamba.

Bahtera yang membawa gajah batu tiga beranak itu terdampar di sebuah tebing yang tersorok di Tanah Perundangan Dato-Dato dan kekal di situ sehingga ke hari ini. Siam tewas dalam peperangan itu dengan bantuan dari Allah S.W.T. Adapun aliran yang berada di hadapan Tanah Abang itu juga kekal sebagai aliran air mati sehingga ke hari ini. Ada yang mendakwa aliran Sungai Perak memasuki kawasan itu di hulunya dan keluar di bahagian hilirnya. Walau bagaimanapun, kawasan sejauh 7 batu itu tetap tidak punya aliran langsung seolah-olah ianya mati total. Wallahua'lam.


Indera : Ramai yang mengaitkan perkara itu sebagai daulat Sultan Muzaffar Shah I, tetapi saya beranggapan bahawa air mati itu berkemungkinan berpunca daripada fenomena Tasik Ladam. Wallahua'lam.

10 comments:

Idham said...

:) salam indera kencana...kagum dengan penulisan di blog ini...
sekarang ini tak sempat untuk menatapi sepenuhnya...kesah2 yg telah di papar kan sebelum ini. sekadar berkitim salam, dan menempah tempah untuk ke sini lagi..

tenkiu kerana berkunjung ke blog bakpo idham

idham

Adinina said...

ini tulis sendiri, atau real history, atau adaptasi? aduii..sastera klasik ni is too heavy for me..the last time was for BM paper..:P

INDERA KENCANA said...

Bro Idham,
Laman Bro Idham dan Bro Gab sentiasa mendapat tempat dalam hati saya. Saya peminat setia Bro Idham. Cuma belum sempat meninggalkan komen.

Terima kasih atas kunjungan Bro Idham. :)


Nina,
It's a legendary true story and this battle happened after the establishment of Perak Sultanate

khairyn said...

salam.

seakan terdengar-dengar paluan gendang. seakan terbayang-bayang bahtera siam menyongsong sungai. pandang ke langit membiru, tiada awan hitam bergumpalan membentuk kalimah Allahu robbul izzati.Dia lah yang berkuasa menjadikan setiap kejadian yang diinginiNya.

seakan mahu menjerit-jerit kelegaan kerana akhirnya semua tugasan sudah dilunaskan. Cuti sekolah sudah bermula!

hakim dirani said...

adakah itu karamah? bantuan dari Allah untuk orang yang baik.

Iman Mawaddah said...

Tanah abang sekarang ni Teluk Bakong ke? Kisah Gajah Batu tiga beranak ..asal usul BAtu Gajah mungkin?..ermm banyak sungguh yang saya tidak tahu.

Anonymous said...

sesuatu yang pelik harus difikir.. namun, tak semua perkara manusia mampu gunakan fikiran.. terutama dalam soal soal aqidah.. kan?
namun islam itu dibina atas hujjah :)
indera, respon ini sebagai menjawab hakim.. boleh ke?

Anonymous said...

ceritakan pula tentang fenomena tasik ladam itu mahu juga kita ketahui

zizie ali said...

ya. di samping akur tentang kekuasaan Allah, kita wajar melihat setiap fenomena secara saintifik. Itulah fungsi akal.

INDERA KENCANA said...

Khairyn,
Seronoknya apabila tugasan sampai ke penghujungnya. Terasa lega teramat-amat, kan?

Selamat Bercuti sekolah... Mahu cuti-cuti ke mana kali ini. Selalu menyeberangi Selat Inggeris?


Hakim,
Bayu menjawabkannya untuk saya.. Hehehehe....


Iman,
Ya, Tanah Abang itu Telok Bakong sekarang. Tetapi Gajah Batu Tiga Beranak itu adalah sebuah batu yang menyerupai gajah yang terdapat berhampiran dengan Telok Bakong itu.


Bayu,
Terima kasih kerana menjawabkan untuk saya. Fuhh.. Lega :D


King,
Fenomena Tasik Ladam ini merupakan sebuah teori dalam ilmu geografi apabila aliran sungai memotong jalan air yang melengkuk dan meninggalkan lengkuk itu menjadi sebuah tasik. Hanya mudah difahami sekiranya dibantu dengan visual. Untuk lebih maklumat, tanya Zizie. Dia lebih pakar dalam hal ini.


Zizie,
Kuasa Allah itu mengatasi segala-galanya. Sains itu hanya sekadar asbab.