Tuesday, December 19, 2006

Hantu... mana hantu.

Entah kenapa hari ini saya ingin menulis sesuatu yang lain. Puas saya memikirkan topik apakah yang ingin disampaikan namun satu yang bermanafaat pun tidak hadir di minda. Kemudian saya teringatkan satu cerita. Apa kata jika saya masukkan satu topik yang merepek. Saya kemudiannya tertawa kecil memikirkan reaksi teman-teman blogger setelah membaca topik ini. Topik hantu.... Hahahahahhah...

Akhir tahun 1989. Malam itu saya tidak dapat tidur. Keesokannya peperiksaan kertas Matematik Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya bimbang kerana banyak topik masih belum difahami. Rosman dan Nazri masih lagi berbual-bual walaupun lampu asrama sudah dipadamkan keseluruhannya.
Tiba-tiba dari arah hutan di sebelah asrama itu terdengar bunyi yang pelik dan memanjang.
KKKKKKKRRRRREERRREEEEKKKK
Kami semua terdiam serentak. Ada nada seram dalam bunyi itu. Bunyi itu langsung tidak pernah kedengaran sebelum ini.
"Abang Indera, bunyi apa tu..??" tanya Ijai, budak yang menghuni katil atas saya.
"Ahhh... bunyi ungka barangkali.."
"Takkan bunyi ungka kot. Lagipun mana ada ungka berbunyi malam-malam" protes Ijai.
"Eh, engkau ni. Macam tahu pulak bila masa ungka berbunyi. Engkau pernah jadi ungka ke?. Sudah, tidur cepat..!!" bentak saya.
Pelbagai hal sungguh budak tingkatan satu ini!!.

Itulah sekali ianya kedengaran akhir tahun itu. Sewaktu saya naik ke Tingkatan Empat, keputusan SRP saya agak tidak memuaskan. Saya tidak berjaya pergi ke mana-mana sekolah yang lebih baik melainkan terus kekal di sekolah itu. Oleh kerana saya agak lewat mendaftar, semua katil bawah di dometri saya itu sudah diambil orang. Cuma yang ada hanya katil atas. Katil saya itu betul-betul menghadap hutan di seberang pagar asrama itu. Suram sahaja hutan itu di waktu malam. Asrama kami dua blok bangunan 3 tingkat. Nampak seolah berkembar. Di kawasan bawah asrama itu hanya muat selebar gelanggang badminton.

Baru dua minggu persekolahan bermula. Kebanyakan pelajar masih belum dihambat jadual. Oleh yang demikian mereka kebanyakannya tidur awal. Saya di sekolah dahulu seorang yang suka menyendiri. Tidak campur hal orang lain. Tetapi punya masalah tidur yang serius. Saya terlalu sukar untuk tidur.

Malam itu jam 1.00 pagi. Angin berhembus kencang dari arah hutan masuk melalui tingkap di hujung kepala katil saya. Orang lain sudah berdengkur. Namun mata saya masih lagi berdegil tidak mahu pejam.
KKKKKRRRREREREEEEEEEEEEKKK
Dari hutan itu bising dengan bunyi yang bertempik hujung tahun lepas.
"Ahhh.. ungka ini berbunyi lagi. Gamat benar bunyinya. Diganggu harimau barangkali..." fikir saya.

"Indera... Indera!!. Aku tahu engkau belum tidur. Engkau dengar tak?" Awaludin bersuara dari katil sebelah.
"Dengar...."
"Bunyi apa tu..??" tanyanya lagi. Berbisik.
"Entah.."kata saya. Berbisik juga.

Kemudiannya saya tertidur sehinggalah warden asrama yang bertugas mengejutkan kami untuk solat subuh berjemaah. Seusai solat subuh itu terdengar pengumuman dari Ketua Umum sekolah. Abang Ghazali.
"Diminta kepada pelajar Tingkatan 4 supaya tunggu di surau. Pelajar-pelajar lain boleh beredar ke asrama atau dewan makan".

Kami duduk berkumpul di ruang solat itu mengadap Ustaz Ibrahim. Ada yang menguap dan ada yang tertidur sambil bersandar di dinding surau asrama yang tegak sebuah di tengah-tengah kawasan sekolah itu.

"Baiklah. Ada perkara yang ustaz ingin terangkan kepada kamu semua. Tetapi ustaz harap kamu semua jangan pula merasa takut dan juga panik. Sebenarnya sekolah kita ini sedang menghadapi gangguan iblis. Ustaz mempertanggungjawabkan kepada semua pelajar tingkatan 4 supaya menjaga keselamatan asrama memandangkan abang-abang kamu di tingkatan 5 dan 6 Atas itu akan menghadapi peperiksaan. Jadi ustaz tak mahu mengganggu mereka. Tolong jangan sebarkan perkara ini kepada pelajar perempuan atau pelajar-pelajar tingkatan satu kerana ustaz bimbang mereka itu panik nanti..."

Rupa-rupa sewaktu saya mendengar suara ganjil semalam, sebiji kepala beserta dengan segala isi perutnya terbang melintas pagar asrama umpama bola api menuju ke arah asrama. Makhluk itu terbang melintasi blok pertama asrama dan jatuh dengan bunyi yang kuat ke lantai gelanggang badminton. Ketua Umum sekolah pada ketika itu dalam perjalanan ke tandas ternampak benda aneh itu jatuh. Dia terus melihat ke bawah. Sewaktu dia melihat ke bawah itu, makhluk itu terbang melintas dengan laju di hadapannya sebelum pergi ke perumahan guru di atas bukit itu. Sampai sahaja di atas bukit itu, dia berbunyi dengan kuat dan memperlihatkan dirinya sebaik sahaja Ustaz Ibrahim membuka tingkap.

Dari saat itu, hampir saban malam makhluk itu datang ke asrama putera dari arah hutan itu. Saya sudah tidak betah tidur. Bimbang jika dia memperlihatkan dirinya di hadapan saya pula. Oleh yang demikian saya menyertai pelajar-pelajar yang sedang berkawal di sekeliling asrama. Untuk mengelakkan rasa mengantuk, kami sama-sama merendam mee segera beramai-ramai. Hairannya, asrama puteri tidak menerima gangguannya pula. Mungkinkah makhluk ini spesis betina? Saya garu kepala.

Malam itu buat pertama kalinya saya melihat perkara mistik di hadapan mata. Benarlah makhluk Allah itu pelbagai. Tiba-tiba Zaidi menunjuk ke arah luar pagar. Sebuah bola api sedang berlegar-legar di udara dalam kebun kelapa sawit di tepi padang sekolah. Saya menggosok-gosok biji mata untuk memastikan saya tidak tersalah lihat. Namun ianya benar. Sama seperti gambaran dalam filem seram Indonesia yang saya tonton tahun-tahun sebelum itu. Mempunyai kepala dan membawa ususnya sekali. Merah umpama bola api.

Menurut buah mulut yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, makhluk itu jelmaaan dari salah seorang pekerja asrama yang dibuang kerja oleh kerana masalah disiplin. Kerjanya kucar-kacir sehingga menimbulkan kemarahan Puan Salmah, Ibu Asrama. Berdendam dengan pengurusan asrama, dia bertindak menghuru-harakan asrama putera dengan muncul sebagai makhluk yang dinamakan Penanggal.

Di suatu minggu dalam pertengahan tahun itu pihak sekolah kononnya memanggil orang yang ahli untuk memagar kawasan sekolah itu. Makhluk itu kononnya tidak mampu menembusi pagar ghaib itu. Jika dia mampu masuk sekalipun, dia tidak mampu untuk keluar lagi. Wallahua'lam. Saya tidak tahu kerana sewaktu orang yang dijemput itu datang, saya tiada di asrama kerana menyelinap keluar dari asrama dan pulang ke rumah. Ini kerana rumah Mak agak berdekatan dengan sekolah. Lebih baik saya makan berselera di rumah dan tidur lena di atas katil daripada bersengkang mata menjaga kawasan asrama. Akibatnya, malam minggu itu saya menerima 2 rotan atas kesalahan pulang ke kampung tanpa kebenaran. Ditolak merit 5 point!!.

Indera : Sejak dari hari itu tiada gangguan lagi kecuali di awal tahun sewaktu saya di Tingkatan 6 Rendah. Makhluk itu berjaya masuk semula selepas salah satu sudut di mana 'pemagar' itu ditanam, runtuh akibat hakisan air. Adakah cerita ini seram? Langsung tidak..... kan? kan? kan?

10 comments:

Sang Perba said...

wah menarik cerita ni...teringat aku masa balik prep malam semasa tingakta 4 nampak penanggal...kami reramai satu hostel kejar baling batu... malam esok benda tuh dtg lagi gamaknya marah kut...kitaorang kejar lagi sampai ust kata kami nih ghostbuster lepas teruk dikejar dan dibaling benda tu tak kacau lagi

Anonymous said...

hahaha. Informatif? Ya. Seram? Kurang. hahaha. Pernah juga mengalami perkara mistik yang sama, tapi bak kata sahabat, saya memang minah blur. Bila sudah lama berlalu, baru terfikir 'eh! benda apa pula tadi?' Mereka sekadar memperlihatkan diri dan saya hanya memerhati hahaha. Langsung tak peka.

wahai si jerangkung the ghostbuster. Maaf bertanya... mengejar hantu? Ah! Tak bersepai tulang ke kawan? (memandangkan awak juga jerangkung)... hehehe bergurau saja, jangan marah ye.

hayad said...

kalo ada dg cam masa tu, leh amek gambonya kan? :D

INDERA KENCANA said...

Jer @ Sang Perba @ Ahmad Marzu,
Aku sangkakan hanya pemuda di Palestin sahaja yang bangkit dengan mambaling. Rupanya di Malaysia pun ada... Hahahaha..


Khairyn,
Baguslah kalau tidak perasan kan dia. Setengah orang pula terlebih perasan sehingga daun pisang pun disangka hantu..

Hahahahaha....


Hayad,
Entahlah... Tak penah cuba pulak. Idea yang baik ni..

Adinina said...

Adakah cerita in seram? x seram langsung..haaahaha...:P

INDERA KENCANA said...

Nina,
Hahahahahaha....

bluecherry @ fai said...

seram laaa... mcm mana korang kata tak seram.. eiii gerun tul laa.. uishh remang bulu tengkok..

ker sy sorang jer rasa nih..

INDERA KENCANA said...

Blue_cherry,
Hehehehe... aduuuiii.. macam perli je...

zwitterion said...

dah hujung entry tu tanya, tak seram kan..kan ..kan....hehe, saya dah gelak2.

kat asrama saya dulu kecoh hantu nenek kebayan dan hantu jepun.

Unknown said...

saya pernah tengok dan dengar, cuma yang tengok tu bukan kaler oren, tapi putih..

kenapa sekolah asrama mesti ada hantu...