Tuesday, December 05, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 5)

Dapatkah jambangan kasih berputik andai tidak dipupuk dan dibajai mesra...??

Namanya Azah. Seorang guru lepasan Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Lebih tua dari saya dari jarak usia setahun. Hidupnya mendambakan diri kepada kedua orang tuanya. Dia tidak akan keluar dari rumah tanpa sebab dan jika keluar, pakaiannya hanyalah sepasang kurung dan tudung. Istilah fesyen sememangnya tidak pernah wujud dalam dirinya. Dia tidak tahu mengenakan alatan solek kecuali secalit gincu berwarna pucat.

Dia serba serbi berlawanan dengan saya. Saya tidak mengatakan saya seorang lelaki yang terlalu mengikut peredaran masa namun kerja-kerja saya di dalam bidang pembangunan perniagaan dan pengurusan projek menuntut saya untuk terlalu peka dengan perkembangan semasa. Kesemuanya harus diambil kira dari segi penampilan sehinggalah kepada tatacara pertuturan. Percakapan hanya mengikut fakta.
"Jadi awak tidak pernah menonton siri Ally McBeal? Tak pernah tengok Everybody Loves Raymond?. Dia geleng.
"Saya tersangat jarang menonton television. Ada atau tidaknya hanya setakat cerekarama sahaja. Kampung tu, selepas pukul 9.00 malam, sunyi. Semua orang dah masuk tidur.."

Benar. Di antara kami tiada perkara yang bertemu menjadi satu. Saya menyukai warna terang manakala dia menyukai warna yang pudar. Mungkin persamaan yang paling dekat ialah dia suka memasak manakala hobi saya ialah makan.

Sepanjang tempoh pertunangan itu saya tersangat sibuk dengan Rangka Aliran Tunai dan promosi projek serta persiapan untuk memulakan projek di Khartoum kelak. Mesyuarat di sana dan sini sehinggakan saya tidak punya masa untuk rehat yang cukup apalagi untuk bertelefon menghubungi Mak dan Apak di kampung. Saya tidak menyedari bahawa sekeping hati telah menderita. Pintu hati saya benar-benar sudah tertutup rapat. Jika benar dia menginginkan saya, biarlah dia menunggu.

Saat keberangkatan saya ke Sudan dihantari oleh abang saya. Dalam kesibukan urusan itu dan ini di KLIA itu, saya sempat menangkap seraut wajah Azah memandang sayu ke arah saya dari jauh. Dia mengikuti keluarga abang saya melihat saya berangkat pergi.
"Kenapa awak berdiri dari jauh sahaja?" tanya saya.
"Azah tak mahu mengganggu awak. Awak tentu sibuk"
"Azah. Tentang pertunangan kita ini, tidakkah awak merasakan ianya satu kesilapan?" tanya saya. Dia diam sahaja.
"Beginilah, jika jodoh kita kuat, kita akan berkahwin. Tetapi jangan terlalu menunggu saya. Seperkara lagi saya ingin katakan, perkhidmatan pos di Sudan tersangat tidak memuaskan. Jadi jangan memandang kepada peti surat kerana tidak akan ada dari saya untuk awak sepanjang pemergian saya. Surat hanya akan membuatkan awak terlalu mengharap...."

Saya masuk ke Balai Berlepas meninggalkan Azah dengan linangan airmatanya. Sedikit pun hati saya tidak tersentuh. Saya melihat dia mengekori saya melalui dinding kaca lapangan terbang dan terus berdiri di situ sehingga saya masuk ke perut kapal terbang.

Kehidupan di Sudan tersangat keras. Cuaca dan pemakanannya amat berbeza dengan Malaysia. Gaji yang dimasukkan oleh syarikat hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan sedikit simpanan. Tidak seperti pekerja-pekerja Petronas yang menginap di Hotel Grand Holiday Villa itu. Tiga kali tempoh bertugas mereka sudah mampu membeli sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur. Saya hanya mampu menyewa pangsapuri kecil yang tidak jauh dari pejabat kami yang terletak di Ammarat Street. Itu pun berasak-asak, 6 orang serumah. Jika bosan dengan kehidupan harian, saya akan berjalan-jalan di hadapan Hotel Grand Holiday Villa mendengar orang Sudan menyanyi lagu Casey, Seribu Impian dari pentas terbuka di hadapan hotel itu. Di dalam kesunyian itu sempat saya berkenalan dengan Hendon, Sarah dan Adeeba. Dan yang terlalu menyintai saya ialah Zahara, yang kemudian berusaha datang ke Malaysia mengikuti saya. Mereka itu hanyalah sekadar teman berbual sahaja bagi saya. Tidak lebih dari itu.

Saya mendapat cuti panjang dari syarikat bagi tujuan berkahwin. Saya menghubungi Azah memberitahunya bahawa saya akan pulang sambil bertanyakan barangan apakah yang diingininya. Mungkin sedikit barang perhiasan barangkali. Namun dia hanya inginkan saya selamat pulang. Itu sahaja.

Saya benar-benar tidak ambil pusing tentang urusan perkahwinan itu. Segalanya diuruskan oleh Azah sendiri. Tempahan kad serta baju pengantin. Semua diuruskan olehnya. Ahhh.. dia yang bersungguh ingin berkahwin, biar sahajalah.

Perkahwinan berlangsung dengan meriah di rumahnya kerana dia adalah anak perempuan terakhir di dalam aturan adik beradiknya. Di rumah Mak pula hanya dibuat sederhana sahaja kerana saya beralasan tidak suka membazir. Sungguh, di dalam hati saya langsung tiada perasaan suka.

Malam pengantin itu sepatutnya menyatukan rasa sendu dua hati bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri. Saya lari pulang ke Kuala Lumpur dengan meninggalkan Azah yang masih perawan. Azah menangis lagi namun sedikit pun tidak memperlihatkannya di hadapan ahli keluarganya. Demi cintanya kepada saya.

(Bersambung)

12 comments:

hayad said...

Terkedu membaca. Sebijik cam citer novel! Tapi yg ini reality di dpn mata.

Sambung...sambung cpt ;)

Adinina said...

eee teruknya..
x percaya indera buat mcm tu kat dia di KLIA..
x percaya kawen juga wpun x suke..
tp,..sy percaya cerita indera di sudan..hurm...

*tgh tonton cerita korea Sassy Girl..pun kena kawen paksa, benci sesama mereka..tp akhirnya jatuh cinta slps kawen..agaknya mcm tu lah ending indera..kalau x, takkan anak dua?? :p

Iman Mawaddah said...

Jahatnya!..nasib lah Azah tu sabar dan tabah.Ermm..teringat novel donia karya Lamia Aimal.

zwitterion said...

indera, kamu buat mcm ni..moga dpt ditebus...hehe emosi lak..menghayati watak Azah..
sambung cepat!

Rie said...

ko kejammm. hahahaha

blackpurple @ jowopinter said...

Siap semua bahagian ni, bolehlah dibukukan tuan...

Kami akan pakat-pakat beli...

Unknown said...

ada lori ada bas, ada hari boleh balas.

Azah tu, isteri en. Indera sekarang ke? dah dapat pembalasan drp dia ke belum.. :D

Lan Rambai said...

arghhh.... kalau ko tak nak post semua entri sekali. ko email kat aku jelah wei.... tension aku lah....macam tgk sinetron kat tv je ni haha

INDERA KENCANA said...

Hayad,
Takjub..?? hahahaha

Nina,
Tu lah pasal. Memang keras hati saya masa tu. Bab kahwin paksa dan terpaksa ni memang complicated..

Iman,
Nasib baik isteri saya tu tabah dan sabar orangnya.. Teringat lagu Permata buat Isteri nyanyian Nash..

Zwit,
Isteri saya itu mengharapkan seorang suami. Itu sahaja yang dia inginkan..

Esis,
Aku ke, haa..?? (Macam Nasir Bilal Khan) Hahahaha...

Bro BP,
Ada ke orang yang nak baca cerita ni..??

Aminbakish,
Dah dapat balasan. Tetapi semua balasan yang baik-baiklah.

ya dia isteri saya sekarang..


Lan,
Tinggal skeeeettt, lagi Lan. Skeeettt lagi. hahahah

hakim dirani said...

Ha ha ha. berhenti ketika ini? sedang sampai puncak cerita dah, tiba2 plup!

khairyn said...

salam

Kejam memang kejam. hati lelaki memang keras. tapi berkat kesabaran, doa dan kesetiaan seorang wanita, hati yang keras itu dapat juga dilembutkan walaupun perjalanannya sangat berliku. Pn Azah memang seorang wanita yang tabah. Indera sangat-sangat beruntung mendapat wanita seperti dia. Semoga kasih sayang terus berkekalan selamanya.

Juga tahniah kerana berjaya mengadaptasikan elemen saspen dengan jayanya! Kalau dibukukan, jamin, saya akan beli. Cuma boleh ke pos sampai ke sini FOC? :)

INDERA KENCANA said...

Hakim,
Plup* macam black out ke? Hehehehe..

Khairyn,
Ya, saya dahulu seorang lelaki yang terlalu menurut rasa. Berkat kesabaran seorang isteri menunjuk jalan untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna.

Kalau Khairyn mahu, nanti saya poskan..