Monday, December 18, 2006

Seputih Kasih

Di dalam drama Seputeh Qasseh Ramadhan, Qasseh pulang ke rumah setelah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Suami dan anak-anaknya tidak lagi tinggal di situ. Rumah itu kosong tidak berpenghuni. Sewaktu melangkah masuk ke rumah itu, Qasseh dilingkari dengan kenangan silam yang mengguris hati. Bagai terdengar-dengar suara anak-anaknya menghiris tangkai hatinya.
"Ibu, ibu beli apa...?"
"Ibu tak beli apa-apa sayang. Ibu tak sempat nak beli..."
Di satu sudut di ruang tamu itu, Qasseh bagai ternampak-nampak Along dan Angah sedang duduk menyanyi.
"A B C D E F G H..."
Lalu Qasseh menangis di pinggir gerbang waktu...

--------------------------------------------

Semalam Siri Aufa leka bermain dengan Miza, anak Cik Yong (Cik Yong ialah kakak Azah yang sulung) yang pulang bercuti dari Kuala Terengganu. Siri Aufa langsung tidak memperdulikan saya sepanjang hari itu. Tidur juga bersama Miza.

Petang itu saya memberitahunya bahawa saya akan berangkat pulang ke Rawang selepas maghrib. Siri Aufa cuma merengek.
"Kenapa Baba nak balik Rawang. Baba duduklah dengan Kak Long kat sini"
"Tak boleh sayang. Esok Baba kerja"
Azah datang menenangkannya dengan kata-kata pujukan.
"Esok Umi dengan Mak Yong nak ke Taiping. Nak bawak Kak Miza pergi zoo. Kak Long suka pergi zoo, kan?"

Dia diam. Namun selesai sahaja saya bersolat Maghrib semalam, dia tersedu-sedu menangis sambil memegang kaki saya. Tidak mahu melepaskan saya pergi. Dia tahu hidupnya akan kesunyian selama 5 hari tanpa kehadiran ayah di sisi. Begitulah saban minggu. Dia merasakan ayahnya tergamak meninggalkannya kesepian hanya kerana urusan kerja. Datanglah walau seramai manapun teman-teman dan sepupunya, namun ayahnya juga yang dipilihnya.

Siri Aufa menangis lagi sekalipun jam sudah menunjukkan jam 8.00 malam. Saya kehilangan kata-kata. Rasa mahu sahaja saya ponteng kerja keesokan harinya. Tetapi memikirkan cuti saya telah kehabisan, saya kuatkan hati. Di kerongkong saya seperti ada batu besar yang menyengkang. Hati saya merasa pilu.

Cik Yong datang menyelamatkan keadaan. Dia tahu Siri Aufa suka menaiki kereta Toyota Unser miliknya. Dia mengajak Siri Aufa berjalan-jalan. Siri Aufa terpesona dengan pelawaan itu. Tetapi dia tahu, jika menaiki kereta Mak Yongnya, Baba akan berangkat pulang. Setelah Cik Yong mengambil kunci serta mengidupkan enjin kereta, ditambahi pula apabila melihat Uminya sudah mengenakan tudung di kepala, dia menuruti Uminya sambil matanya tidak lepas memandang ke arah saya. Sungguh di saat itu hati saya sedang digilis lumat!!.

Sampai sahaja di Rawang, waktu sudah tengah malam. Di dalam suram malam itu, benda pertama saya terpandang ialah halaman rumah yang bersih dicuci oleh Azah pada hari-hari sebelumnya. Sewaktu saya menuju ke muka pintu itu, saya bagai ternampak-nampak Siri Aufa bergayut di jaring besi.
"Baba, Baba beli apa...?"
"Baba tak beli apa-apa sayang. Baba tak sempat nak beli apa-apa..."

Ketika pintu dibuka dan suis lampu dihidupkan, masih jelas kelihatan rumah itu bersih dikemasi oleh Azah sebelum dia pulang. Suara Azah dan anak-anak bagaikan berlegar-legar di ruang dalam rumah.
"Vrrrooommm, vvvrrooommm... Ngah, tengok Kak Long, Angah"
"Aaaaaarkk, aaaaarrrkkk..."
Semakin lama hati saya semakin sayu.

Masuk sahaja ke bilik tempat saya menyimpan pakaian saya tersepakkan sebiji belon.
"Kak Long main yang warna merah dan oren... Angah main belon warna biru, ok?
"Umi, kenapa belon Kak Long pecah.... (menangis)"
"Memanglah belon akan pecah. Belon bukannya tahan lama"

Ya Tuhan. Kenapa kenangan itu tidak ingin pergi? Kenapakah kenangan itu sering sahaja menghantui dan mengekori saya. Jika terus-terusan begini, saya boleh gila... Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sayakah yang bersalah kerana tidak mampu memberikan kesenangan hidup kepada isteri dan anak-anak? Azahkah yang bersalah kerana lebih mengutamakan ibu dan bapanya berbanding suami dan kesenangan hati anak-anak? Atau Abang Ngahkah yang bersalah kerana merampas segala hak milik saya sehingga hidup kami jadi begini?

Ya Allah, sesungguhnya saya sudah tidak mampu berfikir lagi Ya Allah. Saya sudah tidak ingin memikirkan apa yang bakal terjadi esok hari. Jika diturutkan rasa hati, mahu sahaja saya berhenti bekerja sekarang juga dan kembali ke kampung mengusahakan tanah sekangkang kera itu. Tetapi mampukah saya? Azah mungkin gembira dengan keputusan ini tetapi mertua saya? Ahhh... tidakkah itu satu tindakan yang bodoh?

Antara saya dan Qasseh, apakah punya perbedaan...??

13 comments:

Anonymous said...

Kesiannya Siri Aufa..Maaf bertanya tiada ke jalan yang terbaik untuk keluarga Indera? Saya bukan hendak menyibuk tapi saya rasa anak2 dalam peringkat umur macam ini lah perlukan perhatian dan kasih sayang.Maaf sekali lagi jika tersinggung dengan pendapat saya.

zwitterion said...

pengorbanan..memenuhi tanggungjawab dan sebagainya.beratnya saya memahami setiap watak di sini, berat lagi tuan empunya diri yg menanggung.Semoga terus tabah n sabar..pasti ada jalan keluar.InsyAllah hidup Indera & keluarga akan ceria kembali..

Sang Perba said...

sabar... ada hikmahmnya

blackpurple @ jowopinter said...

Jangan toleh ke belakang tuan. Pandang ke hadapan.

Hidup ini memang banyak ujian dan pengorbanannya. Pandang dari perspektif yang positif. Pasti ada hikmahnya.

Saya mengingatkan diri saya sendiri sebenarnya.

Adinina said...

Buntu kan? Spt tiada jalan keluar wpun sudah berusaha.Sekurang2nya pulang seminggu sekali lebih baik dr sebulan sekali. Sabar ye bro! Berat, ttp satu tarbiyyah.
Kebetulan dia pun baru menulis luahan yg sama. Mungkin bro boley baca.

ZaKiN said...

ermm.. dah lama tak menjenguk tuan.. apa kabar..?? tuan ada masalah ker.. moga tuan tabah selalu....

INDERA KENCANA said...

Iman,
Entahlah Iman. Untuk mengatakan bahawa saya tidak berusaha itu mungkin kurang tepat kerana pelbagai perkara sudah saya lakukan namun masih belum menampakkan hasilnya. Mungkin Iman ada pendapat yang lebih baik untuk dikongsikan dengan saya.

Iman tidak menyibuk. Iman kawan baik saya. Tiada istilah menyibuk bagi seorang kawan baik.


Zwit,
Saya sentiasa berdoa minta dipertunjukkan jalan keluar. Semoga doa kawan-kawan seperti Zwit bakal memudahkan laluan saya. TQ.


Jer @ Sang Perba @ Ahmad Marzu,
Engkau penuh dengan sempoi dan cool. Tetapi di sebalik itu punya jiwa yang sensitif. Terima kasih kerana menjadi kawan aku, Bro...

Dan terima kasih atas nasihat itu. Sungguh!!


Bro BP,
Kejayaan Bro menjadi inspirasi saya. Kalau boleh saya juga mahu berjaya mengharungi badai dan ombak besar sebagaimana yang telah Bro lalui. Ya, benar persoalan itu, di mana kita lima, sepuluh atau lima belas tahun lagi....


Nina,
Ya... Dan seperti yang kita bincangkan dalam blog Nina, bila kita sudah berusaha dan berusaha dan berusaha tetapi masih ketemui jalan buntu, di masa itu kita harus mengakui hakikat kita sebagai makhluk. Dan kepayahan ini sebagai tarbiyyah. Terima kasih atas doa Nina. Tabah juga untuk Nina selalu, ye!!

Rafique ada blog? Ye ke? Apa address dia? apa address dia??
"Teruja" nak tengok dan baca...


Zack,
Gembira sangat terima kunjungan Zack..

Saya? Khabar baik...
Biasalah masalah sikit-sikit..
Terima kasih, Zack. Jangan sedih-sedih...

Anonymous said...

Indera,

Tika aku diam di ufuk langit, damai tidak singgah.

Aku lari ke dasar laut, damai mentertawakan aku.

Aku terbang ke langit, damai sekadar sinis menjeling.

Lalu aku akur, damai yang kucari sebenarnya disini. Berlegar di sekitar aku. Cuma aku yang jauh iman ini masih kelabu tentang damai.

Tuhan....

Anonymous said...

perbezaan kau dan Qasseh:

qasseh : rentetan kehidupannya berdasarkan skrip, pertimbangannya berdasarkan skrip, pemikirannya berdasarkan sjrip dan kenangannya bersifat sementara.

kau : pertimbangan kehidupan, pemikiran dan kenangan kau adalah dari hati, akal dan iman kau sendiri bukan orang lain. percaya, setiap tindak tanduk kau adalah dalam urusan Allah dan kau hanya membuat pilihan secara matang dan waras.

KAMATO said...

Kadang-kadang kasih sayang lebih bermakna bila berjauhan, sentiasa fikirkan yang positif dan terus berusaha, Tuhan maha adil, insyaallah satu masa nanti apa yang diharap akan terlaksana

Unknown said...

saya mengasuh anak saudara dari kecil hingga dua tahun, kemudian berpisah. Rasa sedih dan sengsara...

Apalah lagi en. indera dan keluarga sendiri..

sabar ya..

Anonymous said...

salam,

Dugaan Allah, tetap ada hikmahnya. Cuma kadang2 kita saja yang buta. Tak ada guna pandang ke belakang. Jadikan setiap yang berlaku sebagai peniup semangat untuk Indera.

Isteri berkorban demi membalas budi orang tuanya. Bukankah menjaga orang tua adalah satu pekerjaan yang sangat mulia? Jadi, Indera juga bekorban demi keluarga dan anak-anak pula bakal mempelajari satu perkara yang amat penting untuk mereka. Pengorbanan dan tanggungjawab. Tabahkan hati.

INDERA KENCANA said...

AKMA,
Damai yang dicari sebenarnya di sini? Berlegar di sekeliling kita? Maksud AKMA kita hanya perlu membukakan mata mentafsir segala yang berlaku...

Hmmm... (Berfikir). Saya rasa itu tersangat benar. Tetapi kenapa bayangan yang datang masih kelabu?


King,
Pilih dengan matang dan waras..
Ya, tetapi bagaimana jika hidup aku tidak punya pilihan, King?


Kamato,
Saya sangat percaya pada keadilan tuhan dan juga tentang kasih sayang tuhan. Jika kita dikasihinya, akan dicubanya kita dengan pelbagai ujian.


Aminbakish,
Terima kasih di atas pengertian itu..


Khairyn,
Ramai pihak menuding jari ke arah Azah atas kesusahan yang kami lalui dan juga menyalahkan ketidak-tegasan dalam meminta Azah tinggal dengan saya.

Namun saya sangat percaya bahawa hidup berbalas. Saya bimbang jika saya terlalu bertegas meminta Azah tinggal dengan saya tanpa memperdulikan keadaan kesihatan mertua, di hari tua kelak saya akan membalasi dengan nasib yang sama apabila menantu saya pula tidak memperdulikan kebajikan saya.

Terima kasih Khairyn kerana amat memahami situasi kami...