Wednesday, March 07, 2007

Aku anak guru Tit Bin School

Saya pernah bertanya kepada Apak, andainya dia tidak ditakdirkan menjadi seorang guru, agak-agaknya apakah pekerjaan yang dilakukannya untuk menyara keluarga.
"Tukang Jahit" jawabnya pendek.
Tukang jahit? akal saya bermain-main sambil membayangkan kehidupan saya sebagai seorang anak tukang jahit.

Kemudiannya Apak bercerita bahawa sesudah dia menamatkan Darjah 7 di penghujung tahun-tahun 50-an, Apak masih lagi kabur akan hala tuju hidupnya. Bersama-sama Tok Subari, mereka belajar menjahit pakaian, terutamanya pakaian lelaki dari seorang tukang jahit yang mahir di deretan kedai yang tersergam indah di tepi tebing Sungai Perak itu. Sekarang ini kedai-kedai itu sudah tidak wujud lagi setelah diganti dengan kedai kayu yang dibina di sepanjang jalanraya kira-kira 500 meter dari tapak asal.

Zaman remajanya sangat susah. Pendapatan sebagai pembantu tukang jahit hanya cukup untuk membeli keperluan dapur sahaja. Sedang untuk membeli keperluan dirinya sebagai seorang remaja langsung tidak pernah dikecapi. Pun begitu, Apak menyimpan hasrat untuk berjalan-jalan ke tempat orang. Melihat kehidupan yang di luar gelung lingkaran hidupnya.

Apak berdikit-dikit dengan menyimpan sebanyak 10 sen sehari dari pendapatan hariannya dan dimasukkan ke dalam tabung kecil yang disimpannya di bawah katil. Apak ingin benar ke Taiping menjenguk ibu saudaranya yang bermastautin di sana setelah berkahwin dengan lelaki dari Kamunting.

Setelah wang Apak cukup RM15.00, Apak memohon izin dari Opah dan Atuk untuk ke Taiping dengan alasan setelah dua bulan di sana, Apak akan pulang semula ke kampung. Tok Subari tidak berkata apa-apa. Cuma Tok Subari itu sangat asyik dengan kerja menjahit. Sudah menjadi minatnya. Sangka Apak, minat Tok Subari itu hanya hangat-hangat tahi ayam. Penat kelak, berhentilah dia. Namun sangkaan Apak meleset. Tok Subari menjadikan kerja menjahit itu sebagai kerjaya tetapnya. Hingga ke hari ini Tok Subari masih lagi menjahit pakaian.

Apak terus ke Taiping. Tinggal bersama ibu saudaranya yang dipanggilnya Mak Chu Munah. Seperti mana seorang anak saudara apabila bertandang ke rumah ibu saudara, pastinya disambut dengan meriah. Tinggallah Apak beberapa ketika di Taiping. Taiping pada ketika itu merupakan sebuah bandar utama di Semenanjung. Salah sebuah bandar besar yang merupakan bandar pemunggahan bijih timah sebelum diangkut ke kapal di Port Weld (Kuala Sepetang) yang hanya beberapa kilometer dari bandar Taiping. Segala kelengkapan bagi sebuah bandar besar ada di Taiping. Hospital, pasar, stesen keretapi dan bas, panggung wayang dan zoo, penjara dan taman bunga semuanya terdapat di Taiping. Apak benar-benar melalui sebuah fasa baru dalam kehidupannya.

Suatu hari, suami Mak Chu Munahnya pulang membawa berita. Sebuah sekolah Cina di Pekan Pantai Remis ingin menggajikan seorang guru yang boleh mengajar Bahasa Melayu. Syaratnya hanya lulus Darjah 7. Apak cukup syarat!!. Dengan ditemani oleh suami Mak Chu Munahnya, Apak pergi ke sekolah itu. Tit Bin School. Itulah nama sekolahnya. Tanpa disangka, Apak diterima!!
"Selamat datang ke sekolah ini, Cikgu Muhammad Suria" kata Guru Besar itu dalam pelat cina yang sangat pekat.
"Saya harap cikgu bersabar dalam mengajar" katanya lagi sambil menghulurkan kepada Apak sebilah rotan sepanjang setengah depa.
"Kenapa cikgu memberi saya rotan?" tanya Apak kebingungan. "Kenapa rotan? Tak ada buku-buku ke?" tanya Apak lagi.
"Cikgu Suria, kalau cikgu tak rotan, cikgu tak boleh mengajar" kata Guru Besar itu sambil ketawa.

Memang benar kata-kata Guru Besar itu. Kata Apak, senakal-nakal kanak-kanak Melayu di kampungnya, adalah sebaik-baik perangai anak orang Cina di Pantai Remis itu. Kenakalan mereka jauh berlipat kali ganda. Lalu Apak menggunakan kemudahan merotan itu sewenang-wenangnya. Hasilnya sungguh membanggakan. Setiap kali masuk waktu untuk matapelajaran Bahasa Melayu, murid-murid Tionghua itu menikus ketakutan.

Apak mengajar di sekolah itu selama 10 tahun. Mempelajari, memahami dan membudayai cara hidup masyarakat tionghua di sana. Cuma Apak tidak akan berkompromi dengan perkara yang melibatkan halal dan haram. Pendirian Apak jelas, tegas dan jitu sehingga guru-guru yang mengajar sesama Apak amat menghormati agama yang Apak anuti. Apak berbicara dengan mereka di dalam dialek Kantonis yang pekat dan sekali sekali turut berbicara di dalam dialek Hakka. Petang harinya, selepas waktu sekolah, Apak turut melawat anak-anak muridnya yang bermain berkejaran di sekeliling kebun sayur dan juga di jeti pemunggahan ikan.

Setelah Apak berkahwin, Apak diserapkan ke perkhidmatan perguruan yang diselia oleh Jabatan Pendidikan sendiri. Ini bermakna, Apak juga seorang guru tetap. Apak ingin membawa Mak tinggal dan mengajar terus di Taiping. Tetapi Tok Haji Hassan tidak bersetuju. Tanpa berunding dengan Apak terlebih dahulu, Tok Haji Hassan menongkah tangga Pejabat pendidikan bertemu dengan Pengarah minta runding agar ditukarkan menantunya itu balik ke kampung.

Semua orang kampung bagaikan tidak percaya Apak kini seorang guru. Masih terbayang-bayang lagi di ingatan mereka seorang pemuda yang comot, terbongkok-bongkok dan terkial-kial menyudahkan jahitan. Kini pemuda itu seorang guru. Sesekali, Apak ke Telok Anson (Teluk Intan) membeli barang-barang. Apabila dikelilingi oleh orang-orang Cina di Teluk Anson itu, Apak hanya terdiam mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang mereka mengata dan mengumpat Apak di dalam bahasa mereka dan memikirkan Apak tidak memahaminya. Apak akan ketawa. Kemudian apabila dia mula membuka mulut bertutur di dalam dialek kantonis yang pekat itu, ataupun dengan dialek Hakkanya, orang-orang cina itu akan ternganga kekaguman.

Suatu ketika setelah berakhirnya Pesta Tahun Baru Cina, sedang saya dan Apak berbual-bual di beranda rumah, sebuah kereta mewah tiba-tiba muncul dengan kelajuan yang melebihi had yang sepatutnya. Tiba sahaja di selekoh tajam di hadapan rumah kami, pemandunya gagal mengawal kenderaan. Kereta itu lalu terbabas berpusing-pusing sebanyak dua pusingan sebelum menjunam masuk ke dalam parit besar. Habis remuk bahagian hadapan kereta itu. Pemandunya keluar dari kereta dan dengan keadaan yang panik, terus menghubungi seseorang melalui telefon bimbit. Rupa-rupanya pemandu yang berbangsa cina itu kemabukan selepas meminum minuman keras. Mujur sahaja tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

Setengah jam kemudian seorang cina yang sama umur dengan Apak tiba di tempat itu dengan sebuah kereta buatan tempatan. Rupa-rupanya orang cina yang baru sahaja tiba itu adalah bapa kepada pemuda yang memandu kereta mewah itu. Dengan tidak berlengah lagi, orang cina yang tua itu terus memukul dan menendang anaknya bertalu-talu sambil menghamburkan kata-kata cacian di dalam dialek kantonis. Apak secara perlahan-lahan menghampiri dan menggosok bahu orang cina yang sama seusia dengannya itu.
"Encik. Tak baik menyumpah anak awak b*bi.." kata Apak.
Cina tua itu berhenti memukul anaknya sambil memandang Apak dengan pandangan yang terpinga-pinga.

Hingga ke hari ini, Apak masih lagi mampu bertutur dalam bahasa tionghua. Hairannya pula, Apak cukup anti dengan minat saya yang suka menonton drama Cina. Yang paling dimarahinya ialah melihat keasyikan saya menonton drama Journey to the West.

18 comments:

zwitterion said...

ooo, saya tau cerita journey to the west tu, tapi taklah pengikut tegar..
anak cikgu rupenye kamu..hehe

Sang Perba said...

indera
cerita ayah engkau tu sama macam serita aku kat kampung... mereka tak sangka yang aku akan jadi seorang pegawai kanan kerajaan...diorang cakap dedulu laaa... aku tidak sesuai menjadi menantu mereka aduss sedihnya den...

pB said...

kak pB dah bertahun tengok cerita cina, tapi tak pandai pandai cakap kantonis atau mandarin...

arwah atuk kak pB seorang tukang jahit...tapi sayang cucu nya langsung tak pandai menjahit..

areyoung said...

Ingatkan siapalah Tit Bin School tadi.. hahah

achik said...

en indera tak belajar bahasa cina??

khairyn said...

salam indera,

Oh! saya pun anti dengan anak buah yang ralit sangat tengok cerita cina. Tak ada faedah kata saya, sebab? Slot waktu senja, sering malas solat Maghrib.

Berminggu2 menonton, satu perkataan Kantonis mahupun Mandarin, dia tak tahu. hish!

Iman Mawaddah said...

Untungnya Apak Indera boleh kuasai bahasa Cina. Ilmu tu tak diturunkan pada anak-anaknya ke?

BaYu SenJa said...

kalau waktu itu,
senakal-nakal budak melayu sebaik-baik budak cina..
sekarang?!
alahai....

AKMA said...

Salam buat Indera.

Maaf lama tidak bertamu. Alhamdulillah. Semuanya selesai tadi. Bakal menerima segulung MSc. Jumaat ini dan bakal pulang ke Malaysia pada 11 Mac 2007.

Sastri said...

waaa... Indera bole tak berbahasa kantonis atau hakka? My mum mmg fluent bahasa Hokkien... Dahlaa rupa mmg mcm Cina dan dulu bekerja di HSBC yg mana dia seorang sahaja Melayu di situ dan dianggap Cina... Nenek dan adik-beradik my mum yg perempuan masih boleh faham sedikit2 tapi Sas kantonis jer leh paham sket2... juga suka menonton siri Cina di tv masa kecik2 dulu... :D

Lan Rambai said...

Apak belajar cakap cina masa kat Tit Bin School tu lah ek?

kingbinjai said...

mungkin apak marahkan kau pasal kau fail bm kot? hahahahaha

Bunga Rampai said...

Salam buat Indera Kencana,

Layangan yang penuh bererti. Terima kasih untuk entri ini. Terlalu banyak pengajaran dan nilai murni yang dapat saya jadikan teladan.

Sekian lama menyelusuri blog ini, kali ini ingin menyuarakan rasa kekaguman pada Indera, seorang yang sangat jujur, dan saya mengagumi sikap itu :)

Ghazali said...

Indera ...

Indera memang berbakat dalam bidang penulisan ... sungguh seronok membacanya ...

Belajar pelbahai bahasa ada kelebihan nya ... bagi saya, saya akan pastikan saya dapat menuturkan Selamat pagi, terima kasih, dan frasa frasa yang mudah apabila berkunjng ke daerah lain ....

Unknown said...

muka awak ade cam cina tak? ehehe

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Ya, saya anak cikgu :D

Zam,
Sekarang jangan main. Pegawai besar tu...
(Mesti ada orang cakap, "Dulu aku tengok dia comot je. Tak sangka sekarang dah besar, dah lawa, pegawai besar pulak tu")

Akak pb,
Saya pun macam Akak. Sepatah pun tak tahu cakap cina.

Areyoung,
Ada ke orang nama Tit A/L School?

Achik,
Langsung tak...

Khairyn,
hehehehe.
Sekarang slot popular bukan di waktu Maghrib lagi. Tetapi 8.30 malam di 8TV. Drama Korea yang dialih bahasa ke Bahasa Mandarin.

Iman,
Dia cakap kalau nak cari sendiri.

Bayu,
Sekarang pun macam tu. Bagi kanak-kanak di kampung le. Di bandar saya tak tahu.

Salam buat AKMA,
Tahniah. Tahniah. Tahniah.
Saya sama terharu. Berbaloi pengorbanan AKMA.
Sahabatku, Selamat Pulang...

Sastri,
Alangkah baiknya kalau Sas dapat kembangkan penguasaan bahasa kantonis dan hokkien tu. Sekurang-kurang Sas punya ruang untuk maju dalam penguasaan bahasa ni sebab Mak, Nenek dan kakak-kakak Sas boleh bercakap dan Sas sendiri sangat baik dalam bahasa kantonis. Sekurang-kurangnya juga tak kena tipu masa beli barang...

Lan,
Apak belajar cakap Cina di sekolah Tit Bin tu la. 10 tahun memang patut dah boleh cakap la..

King,
Aku tak fail BM. Tapi aku fail Tatarakyat dan Kesihatan.

Salam seharum mewangi Bunga Rampai,
Terima kasih atas penghargaan dari Bunga Rampai. Layangan Indera hanya sebuah catatan perjalanan hidup. Layangan Indera ini sebenar belum layak diberi pujian kerana sumbangannya hampir boleh dikatakan tiada langsung. Walau bagaimanapun, saya tetap menghargai kesudian Bunga Rampai datang bertamu ke Layangan Indera dan menceriakan Layangan ini dengan haruman yang harum mewangi. Terima kasih :D

Bro Ghaz,
Inilah kunjungan pertama Bro ke laman saya setelah Bro balik dari mengerjakan haji. Selamat Datang.
Insya-Allah, saya akan ingin pesanan Bro Ghaz supaya mengambil penting belajar bahasa asing. Thank you, Bro Ghaz.

Linda,
Roman wajah saya ada roman wajah India sikit. Tak percaya tanya King, Esis atau Dayah.
Kenapa saya tak dapat nak tinggalkan komen dalam blog Linda..??

Unknown said...

erk.. ada masalah sket arituh.. skang sudah boleh :)

Nana said...

Saya pon suke Journey to the West.

Semlm saya menonton The Last Breakthrough di hospital.. 25 minit sebelum siri itu tamat, sekeluarga Tionghua masuk ke dalam bilik tivi itu.

Mereka juga ingin menonton, dan menyangka saya akan tonton cerita Nabila tivi 9..

Mereka senyum dan berkata...
"Aiya, bagus la lu...lu pon tgk ini celita"

:D