Tuesday, March 13, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn Akhir)

Majlis pertunangan Mak selamat dijalankan. Namun Tok Haji Hassan menggaru-garu kepala memikirkan hal bakal menantunya kerana Tok Haji Hassan sendiri tidak pernah melihat batang tubuh menantunya itu. Walaupun dia percayakan akan kejujuran persahabatan Sutan Ali, namun sekurang-kurangnya dia ingin juga mengkaji budi bahasa lelaki yang bakal masuk dalam keluarganya. Tok Haji Hassan bertanyakan kepada Mak tentang Apak, tetapi Mak cuma angkat bahu tanda tidak mengenali tunangannya itu walaupun keluarga tunangannya itu tinggal di kampung tempatnya mengajar.

Tok Haji Hassan menyuarakan keinginan hatinya untuk melihat bakal menantunya itu kepada Opah Saadiah. Opah Saadiah cuma tersenyum kerana Opah Saadiah tahu bagaimana ingin melihat bakal menantu mereka. Lalu Opah Saadiah mencadangkan kepada Tok Haji Hassan supaya menulis surat kepada anak saudaranya, Osman, seorang guru yang mengajar di Sekolah Inggeris di Telok Bakong. Osman ini merupakan kawan baik Apak. Jika Apak pulang dari Pantai Remis, pasti Apak akan ke rumah Pakcik berbual-bual dengannya.

Di suatu hari Apak pulang ke kampung. Seperti kebiasaannya, Apak bersama Pakcik Osman dan kawan-kawannya yang lain akan berkumpul melihat orang bermain Papan Dam di hadapan deretan kedai di kampung itu. Setelah puas mereka melihat orang bermain Papan Dam itu, mereka akan minum teh di kedai Mail Boyot.
"Man" laung Ketua Pos, Manap. "Ada surat untuk engkau"
"Eh, kawan-kawan. Sekejap ye!!" kata Pakcik Osman

"Ada surat baru sampai ke sini untuk engkau" beritahu Manap.
"Sementelahan engkau kat sini, tak perlulah aku nak mengayuh basikal menghantar ke rumah engkau" kata Manap lagi.
"Ya. Terima kasih ya Abang Manap"
Surat dari Tok Haji Hassan. Sudah lama Tok Haji Hassan tidak mengutuskan surat pada Pakcik Osman. Tiba-tiba sahaja munculnya. Pakcik Osman bagaikan dapat meneka maksud surat itu. Mata Pakcik Osman meleret ke huruf-huruf jawi yang berkhat cantik itu sambil berjalan balik ke tempat dia berkumpul dengan kawan-kawannya.

Ke hadapan Anakandaku Osman,
Pertama kalinya Ayahanda memohon kemaafan seandainya surat Ayahanda ini mengganggu kesibukan tugas harian Anakanda di sana. Ayahanda berharap dan berdoa ke hadrat Allah SWT supaya Anakanda diberikan kesejahteraan dan kesihatan yang sempurna hendaknya.

Seperti yang Anakanda sedia maklum, sepupu Anakanda, Aminah itu sudah pun ditunangkan dengan seorang pemuda di kampung berhampiran dengan tempat Anakanda mengajar. Secara ikhlasnya, Ayahanda sendiri belum pernah melihat akan orangnya itu. Dengarnya tunangan Aminah itu juga begitu rapat hubungannya dengan Anakanda. Oleh yang demikian, Ayahanda berharapkan bantuan Anakanda supaya dapat membawa Anakanda Muhammad Suria itu datang ke rumah kami. Kami ingin menjemput Anakanda berdua makan di sini.

Walau bagaimanapun perkara ini mestilah dirahsiakan daripada pengetahuan Anakanda Muhammad Suria itu kerana jika dimaklumkan kepadanya, sudah pasti dia enggan kerana merasa malu. Biarlah perkara ini diketahuinya sendiri apakala dia naik ke rumah Ayahanda kelak.

Ayahanda rasa cuma setakat ini dahulu warkah Ayahanda. Sampaikan salam penuh takzim dari Ayahanda sekeluarga buat Ayahanda dan Bonda Anakanda di sana.

Yang benar

Haji Hassan

Sewaktu membaca surat itu, Pakcik Osman ketawa terkekeh-kekeh sehingga menimbulkan kejengkelan di hati Apak.
"Apa yang lucu sangat tu? Tak baik ketawa seorang di depan orang ramai. Nanti orang kata kamu gila" kata Apak. Pakcik Osman masih lagi ketawa.
"Suria, apa kata kita ke Parit. Aku hendak pergi beli barang sikit" ajak Pakcik Osman.
Apak terdiam. Kepalanya seakan berfikir sesuatu.
"Ala, jangan risaulah. Aku isi minyak Lambretta kamu" pancing Pakcik Osman.
"Baiklah, jom".

Di Pekan Parit itu Pakcik Osman membelek barang itu dan ini sambil cuba mengaburi mata Apak konon-kononnya dia sibuk mencari barang keperluan. Namun Apak merasa hairan bercampur bosan setelah tiada satu barang pun yang berkenan di hati Pakcik Osman. Ada tidaknya, dia membeli sebekas besar limau manis. Itu sahaja.
"Barang di sini tak cantiklah Suria. Menyesal aku datang sini"
"Engkau ni nak beli apa sebenarnya?" tanya Apak.
"Adalah" kata Pakcik Osman sambil matanya melirik lenggang seorang dara yang berjalan bersama adik perempuannya.

"Eh, Suria. Jom kita pergi rumah Makcik aku nak? Sekarang ni dah tengahari. Boleh juga kita makan tengahari kat sana.."
"Bolehlah" jawab Apak separuh bosan.

Sampai sahaja di laman rumah Tok Haji Hassan, matahari sudah terpacak di atas ubun-ubun. Tok Haji Hassan hanya memakai sarung pelikat tanpa berbaju. Sekali-sekala dia mengibaskan badannya yang panas dengan singletnya yang diselempang ke bahu. Apak sama sekali tidak mengetahui bahawa itulah bakal mertuanya.
"Naik leh" pelawa Tok Haji Hassan.

Mata Apak liar memandang keadaan dalam rumah itu. Besar juga, fikirnya. Kemudian dia memandang ke dapur. Dia ternampak Mak Yong Khadijah dengan Mak Uda Zaidah terkekeh-kekeh memandangnya.
"Haa.. Osman. Baru sampai?" tegur Opah Saadiah.
"Baru je Mak Ngah" kata Pakcik Osman.
"Kira kamu dah terimalah surat Mak Ngah ye?"
"Ya, Mak Ngah. Errr.. Mak Ngah, ni kawan Osman. Muhammad Suria namanya" kata Pakcik Osman sambil mengernyitkan matanya kepada Opah Saadiah.
"Apa khabar Makcik?" sapa Apak dengan sopan.
"Khabar baik" kata Opah Saadiah sebelum berlalu ke dapur menyiapkan juadah untuk tetamunya.

Apak, Pakcik Osman dan Tok Haji Hassan berbual dengan rancak. Perbualan mereka berkisarkan kepada kerja seharian seperti berkebun dan juga tanam-tanaman.
"Pakcik tak boleh duduk diam. Kalau duduk diam, Pakcik rasa macam nak demam" kata Tok Haji Hassan.
"Kalau lama tak menggerakkan badan, penyakit orang tua mulalah datang" tambah Tok Haji Hassan lagi.
"Badan gemuk macam Pakcik ni pun ada penyakit?" tanya Apak. Apak sememangnya agak keloloh dalam berbicara. Namun dia masih tidak memahami kenapa Pakcik Osman sentiasa menyiku rusuknya.

"Cantik hiasan rumah ni, ye Pakcik. Mesti ada orang yang mengadunnya. Pakcik ada anak dara?" tanya Apak.
"Ada. Tapi dah bertunang..."
"Allah, rugilah saya" kata Apak bergurau sebelum ketawa besar. Walau bagaimanapun ketawanya terhenti apabila dia sekali lagi disiku oleh Osman.
"Apa hal kamu asyik menyiku aku ni. Sakit tau tak?" marah Apak pada Pakcik Osman.

"Errr... duduklah dulu ya. Pakcik nak ke kebun pisang ke belakang tu sekejap" kata Tok Haji Hassan sebelum mengangkat punggung menuju ke laman tangga untuk ke kebun di belakang rumahnya. Ketiadaan Haji Hassan itu memberi peluang untuk Apak meninjau-ninjau ruang tamu di rumah itu sambil melihat gambar-gambar yang bergantungan. Seketika, Apak terpandangkan sehelai borang permohonan nikah. Di atasnya tertera nama pengantin perempuan dan pengantin lelakinya iaitu... Muhammad Suria Bin Sutan Ali.

Saat terpandangkan namanya tertera di borang itu, mengeletarlah lututnya. Di dahinya merenik peluh dingin.
"Ya Allah, Man. Kita ni kat mana ni..." kata Apak ketakutan.
"Kat rumah mertua kamu!!" tegas Pakcik Osman sebelum meletus gelak tawanya.

Dalam kekalutan itu, Opah Saadiah masuk ke ruang tamu memanggil kedua-dua mereka untuk mengadap hidangan tengahari. Tok Haji Hassan muncul beberapa minit selepas itu.
"Suria, kenapa nampak tak selesa?" tegur Tok Haji Hassan. "Tak sedapkah lauk yang dijamah?"
"Sedap. Cuma saya takut..." kata Apak berterus terang.
Hahahahahahaha.... mereka mentertawakan Apak tengahari itu.

Sampai sahaja di kampung, Apak menyerahkan pisang yang dikirim oleh Tok Haji Hassan kepada Opah Maryam.
"Mana kamu dapat pisang ni?" tanya Opah Maryam.
"Haji Hassan bagi"
"Haji Hassan mana" tanya Opah.
"Haji Hassan mertua sayalah"
"Amboi, bukan main gatal lagi kamu pergi rumah orang tu. Nikah apa pun belum.." suara Opah Maryam berleter panjang dari dapur. Apak sekadar mampu memekakkan telinga. Beberapa tahun selepas Atuk Sutan Ali bercerita dengan saya itu, Apak dengan rela hatinya membuka mulut menceritakan kisah yang sama kepada saya.
"Sampai saja di kampung, aku tendang-tendang Si Man tu.." cerita Apak kepada saya.

Apak dan Mak diijabkabulkan pada 17 April 1966. Bertepatan setahun sesudah itu lahirlah abang saya yang sulung diikuti oleh 7 adik-adiknya yang lain. Perkahwinan Mak penuh dengan pelbagai cerita suka dan duka. Tawa dan airmata. Segalanya Mak tempuhi dengan penuh ketabahan dan kerelaan kerana dia sudah ditakdirkan berjodoh dengan Muhammad Suria Bin Sutan Ali itu.

18 comments:

Iman Mawaddah said...

Hahaha..kelakar betul..Tapi unik, penuh dengan kesopanan adab budaya Melayu yang dah semakin lapuk sekarang ini.

Sastri said...

memang kelakar... selamba jer apak... LOL

pB said...

sonok sungguh kak pB baca cerita hari ni..
Sungguh romantik nyer cara orang orang dulu nyer..
Kena pulak cara Indera bercerita, membuatkan cerita ini sungguh menarik...

alhamdulillah sebab semuanya selamat selepas itu.

Kirim salam kat apak...k

blackpurple @ jowopinter said...

He he he.

Bahagian akhir baru boleh bagi komen...

Sesuai dijadikan skrip filem ni Indera cerita percintaan parents kau.

Siap ada surat lagi, seperti aku sedang membaca novel Hamka... :)

Tahniah kerana mendokumentasikan kisah cinta ini dalam blog...
:D

hayad said...

hehe, kalakor ler.sonok baca

Ghaz said...

Indera memang penulis yang berbakat ...

Seronok membaca surat tuh .... ala ala bila mak and apak Indera kawin, I dah umur setahun dah waktu tuh hehehehehee

(Rasa tua lak)

Ayu Mohamad said...

syoknya baca kisah ni :)
salam kenal :)

kingbinjai said...

semoga berbahagia ke akhirnya

achik said...

seronok tul baca cite en indera... :)

izinni said...

fuh! susah nak dapat surat macam tu sekarang ni. ingat lagi masa sekolah dulu ada belajar cara nak buat surat macam tu. ayahanda, bonda, kanda, nenda, dinda ...

sekarang .. seni memulis surat macam tu dan tulisan jawi dah makin terkubur. sayang sekali.

orang dulu2 tak bercinta, muka pun tak nampak tapi kekal bahagia hingga anak cucu akhir hayat. orang sekarang? bercinta bertahun2 ribu riban hantaran tapi bercerai berai gak ...

good, beautiful story. Elok dijadikan skrip untuk diolah ke drama bagi tatapan generasi sekarang. tapi .. ada ke production house yang berminat ek?

zwitterion said...

best..kelakar apak Indera..hehe

Sang Perba said...

betapa kecilnya dunia...teringat masa aku meminang orang umah aku dulu...ekekeke

Lan Rambai said...

hahaha.... mesti apak ko tak selera makan masa tu kan kan kan hahaha

khairyn said...

Ya, suka olahan surat. Saya cuba kekalkan dalam blog juga.

Cinta orang dulu, tidak berjumpa sebelum akad nikah tapi tetap kekal hingga akhir hayat? Saya takjub dengan keredhaan mereka menerima pasangan masing2.

banggugar said...

salam indera,

seronok membaca, mungkin ada episod sambungan dari kisah ni, cerita lahirnya indera, hehe..

salam perkenalan.

(",)

KAMATO said...

Cerita ni kalau di dramakan memang mengancam

INDERA KENCANA said...

Iman,
Dahulu penuh dengan tatacara dan adabnya yang tertentu, sehingga ketika mengadap hidangan pun punya caranya tersendiri.

Sastri,
Memang kelakar.. sampai hari ini kami adik beradik masih tak jemu-jemu mengulang cerita itu.

Kak pB,
Insya-Allah, pulang saya ke kampung nanti akan saya sampaikan salam Akak pada Apak.. :)

Bro BP,
Ini hanyalah catatan perjalanan hidup. Untuk pergi lebih jauh, saya masih belum yakin..

Achik, Dayah dan Ayu,
Terima kasih. Datanglah lagi, ye!!

Ayu,
Salam Perkenalan

Bro Ghaz,
Eh, muda lagi Bro Ghaz. Belum 50 lagi kan..??

King,
Mereka telahpun menyambut usia perkahwinan yang ke-40 tahun lalu.

Izinni,
Itu lah masalahnya. Mana ada Production House yang nak keluar duit buat cerita ni.. Hanya kisah biasa...

Zwit,
Apak tu memang kadang-kadang kelakar. Tapi kalau mengamuk.. Hmm tak ingat dunia!!

Zam,
Apa citer dia? Citer la. Kalau engkau malu nak citer kat blog, citer kat email aku.. Hehehehehe..

Lan,
Ha'ah.. memang dia langsung takde selera. Mungkin gabra tu satu hal la. Satu lagi semua orang dok usha je kat dia masa dia tengah makan tu...

Khairyn,
Olahan surat macam mana maksud khairyn?

nanti saya balas email ye!! Aduhh.. masih belum sempat-sempat..


Salam Bang Gugar,
Salam kenalan juga dari saya. Alhamdulillah bertambah lagi sahabat saya dari Syria.
Sementelah Bang Gugar bertanyakan kisah lahir saya, mungkin saya akan catatkan di blog ini nanti namun kisahnya agak pelik sedikit...

Saudara Kamato,
Boleh hit ke citer ni..?

banggugar said...

salam,
saya akan menunggu kisah kelahiran indera, tunggu jangan tak tunggu..
(",)