Thursday, March 22, 2007

Tag, Layangan Indera dan Kapal Ban


Saya telah ditag oleh Imanmawaddah untuk memaparkan rupa desktop saya. Sebenarnya tiada apa yang menariknya pun. Oleh kerana KingBinjai juga hari ini menyahut tag yang dikenakan, maka saya rasa tidak salah saya menjadikan hari ini sebagai hari menjawab tag. Seperti kata Bro Ghaz, Maka Terimalaaaaahhh........

--------------------------

Saya tidak tahu apakah pendapat khalayak yang pernah melawat blog saya, yang saya panggil Layangan Indera ini. Saya percaya pasti ada yang menyukainya dan tidak kurang juga yang akan menganggapnya sekadar picisan.

Apa pun yang ingin saya tegaskan di sini ialah, Layangan Indera ini sebenarnya hanyalah satu catatan perjalanan hidup saya. Tentang apa yang sedang dan telah saya lalui selama ini. Saya menulis kerana saya memang minat menulis dan apa yang terpapar tentang saya di skrin itulah saya yang sebenarnya. Saya telah melalui bentuk kehidupan yang berwarna-warni (semua orang pun begitu). Selama ini saya tidak pernah punyai diari dan segala yang saya lalui itu tidak pernah direkodkan. Dengan adanya blog ini, saya dapat meletakkan sedikit catatan sebagai tanda hati dari saya untuk tatapan orang-orang yang saya sayang dan selebihnya untuk kepuasan diri saya sendiri. Kerana dengan adanya catatan ini, saya dapat mengimbas semula kenangan yang telah saya lalui. Bukan bertujuan untuk memandang ke belakang, tetapi sebagai nostalgia yang sukar dilupakan. Supaya saya sentiasa ingat di mana titik saya bermula.

Keseluruhan catatan yang terdapat di Layangan Indera ini (selain daripada hikayat-hikayat) merupakan kisah sebenar yang berlaku dan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat. Apa yang terjadi, itulah yang direkodkan. Mungkin hanya pada penamaan di dalam watak yang terpaksa diubah bagi mengelakkan ada pihak yang mungkin tersinggung.

-------------------------------

Hari ini adalah hari ketiga bumi Sri Hartamas ini dilanda hujan. Cuaca mendung dan redup, sementara kabus berarak lesu melintasi bukit-bukau yang memisahkan kawasan Sri Hartamas dengan Sungai Penchala dan juga Taman Tun Dr Ismail di bahagian utara. Beberapa bahagian di jalanraya berlopak-lopak digenangi air. Cuaca sejuk ini mengingatkan saya pada suatu masa di zaman kanak-kanak saya di kampung.

Jika di kampung, sebaik sahaja usai hujan badai yang mengguyur dari langit, keadaan sekelilingnya sangat nyaman. Matahari masih terlindung di balik awan menjadikan keadaan petang yang sepatutnya panas, persis sahaja waktu awal pagi. Kabus akan berarak perlahan-lahan di celah dedaunan pohon kayu yang tinggi menjulang manakala rumput-rumputnya basah ditimpa titis-titis air yang turun dari langit.

Pada waktu seperti ini, kebiasaannya saya dan sepupu saya Fuad dengan ditemani oleh rakan-rakan karib akan bersusup-sasap di dalam dusun Apak menuju ke sebatang anak sungai yang terdapat di dalamnya. Anak sungai itu hanya sedepa orang dewasa lebarnya manakala dalamnya hanya pada paras pinggang kanak-kanak. Airnya jernih, mengalir laju menuju ke taliair untuk mengairi petak-petak sawah yang berhampiran.

Di situlah kami akan bermain Kapal Ban. Kapal Ban ini mungkin asing bagi kanak-kanak dekad ini. Rata-rata barangkali tidak mengerti apakah itu Kapal Ban atau jika mereka mengetahuinya sekalipun, Kapal Ban ini langsung tidak menarik perhatian mereka yang rata-ratanya lebih gemar bermain permainan komputer. Tetapi bagi kami dahulu yang rata-ratanya datang daripada keluarga yang susah, Kapal Ban itulah dunia yang kami kemudi. Itulah juga sebahagian daripada puncak keseronokan kami.

Kapal Ban adalah permainan lumba rakit daun. Setiap seorang daripada kami akan memilih sehelai daun untuk dihanyutkan di garisan permulaan yang telah ditetapkan oleh kami. Mana-mana daun yang sampai terlebih dahulu di akhir garisan, akan dikira sebagai pemenang.

Dalam redup berbumbungkan pepohonan dan di bawah awan yang berarak mendung, sorakan dan tempikan kami riuh rendah memenuhi tepian dusun Apak. Gamat suasana apabila kami bersorak memberi galakan supaya Kapal Ban kami terus laju dan laju (bagaikan Kapal Ban itu mengerti maksud hati kami). Sering sorak-sorai itu berakhir dengan perkelahian dan tumbuk menumbuk apabila sorakan itu beradun dengan ejekan. Setelah keadaan menjadi hangat, pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, pergaduhan itu sering tidak berpanjangan sehingga ke petang esoknya. Masuk sahaja sesi persekolahan pagi, persahabatan kami terjalin erat semula seolah pergaduhan semalam itu ibarat sebuah mimpi sahaja. Orang tua kami juga tidak pernah mengambil endah sekiranya kami pulang ke rumah dengan pakaian kotor dan bibir yang pecah berdarah kerana pada mereka, pergaduhan antara kami kanak-kanak itu adalah sesuatu yang sangat normal.

Oleh kerana kami kebanyakannya datang dari keluarga yang susah, tentang penampilan dan berpakaian langsung tidak diambil kisah. Seluar yang sering kami kenakan adalah seluar pendek lusuh yang mungkin berusia melebihi usia kami sendiri. Seluar yang kusam dan kumal. Sudah tidak berfungsi lagi zipnya dan koyak di bahagian kocek. Itu sudah cukup baik jika tidak koyak di bahagian kelangkang. Tentang baju pula, baju itu kebiasaan warisan daripada abang yang sulung. Bayangkan bagaimanakah rupanya baju kami jika kami anak yang ketujuh dalam keluarga serta mempunyai 4 orang abang. Soal baju koyak di bahagian ketiak itu sudah menjadi kebiasaan buat kami. Rambut kami pula tidak bersisir dan ianya berwarna kecoklatan tanda dibakar cahaya mentari.
Masih terbayang-bayang lagi di mata saya bagaimana kami riang berlarian di atas petak sawah sambil menahan taut untuk menangkap haruan dan puyu. Setelah senja mulai meremang, ibubapa kami akan melaung dari rumah memanggil kami pulang untuk mandi, bersolat maghrib dan seterus membaca mukaddam dan juga Al-Quran.

Kapal Ban kami hanyut masuk ke dalam taliair. Kemudian hanyut dan hanyut lagi menongkah arus ke sungai. Kami langsung tidak ambil pusing apakah Kapal Ban kami selamat sampai ke muara yang ternganga luas atau tenggelam mereput di dasar sungai.

22 comments:

zwitterion said...

picisan?...mana ada!, penulisan Indera lebih baik dari saya.
penuh nostalgia...

izinni said...

menulis? hehhehehe sebetulnya kamu menaip segala butir peristiwa dan rasa yang kamu alami, dulu dan kini untuk dikongsi kami yang amat menghargai :)

nostalgia waktu kecil indera hampir sama dengan saya. cuma kisah saya terjadi di pinggir bandar bernama petaling jaya yang ketika itu masih tidak memandang pangkat, harta atau status. indah sungguh zaman itu. bermain kapal ban macam indera di longkang depan rumah, rounders, macam2 lagi. kalau tak senja memang tak balik. kena kejar sekeliling kejiranan dengan rotan baru balik. budak2 sekarang kalau dihambat macam tu, ada yang repot polis kata mak bapak mendera. hehehhe ...

blackpurple @ jowopinter said...

Kamu peminat Maya Karin ek..?

Tulisan kau mengesankan Indera. Walaupun selalunya panjang dan aku cuma kekadang dapat membacanya sedikit-sedikit dan bersambung-sambung tapi membacanya memang memberi bekas......

Susur galur peristiwa masa lampau manakan dapat dilupakan Indera. Tempat jatuh lagikan dikenang, .. :D

KAMATO said...

Tulisan indera berjaya menarik sesiapa yg membacanya

Iman Mawaddah said...

Tadi Maya Karin tu ada satu je kan? Ke mata saya yang tidak nampak yang seorang lagi..Teruskan menulis selagi Indera fikir ia nya baik untuk di kongsi di sini jangan kisahkan apa orang kata.

khairyn said...

Saya anak bandar. Duduk di penempatan setinggan. Tapi, macam kampung juga. Bermain di sungai yang jernih airnya sehinggalah tercemar dek sisa-sisa manusia.

Balik kampung main parit. Almaklumlah Johor kan terkenal dengan paritnya. Belajar berenang di situ, belajar mengail juga di situ. Bila air deras kami buat kapal kertas. Berlumba-lumba siapa yang menang. Bila air tenang duduk di atas titi sambil menjulur kaki ke dalam parit. Di ibu jari kaki terikat kail dengan umpan belalang atau cacing yang dikorek. Ada rezeki dapatlah ikan parit, tak ada rezeki belalang dengan cacing hilang entah ke mana.

Seronok zaman kanak-kanak tu.

Unknown said...

ehhe maya karin tu sy suka banget.. btw tulisan awak besh utk dibaca.. bagus sekalik! saya suka.. teroskan je ngan cara awak tu

pB said...

salam jumaat Indera

ramai yang boleh membaca
tapi tak ramai yang boleh menulis , menyusun ayat seperti Indera

Kak pB saban hari ternanti nanti N3 baru dari Indera.

Kak pB cukup senang bila membaca segala coretan pada blog Indera.

Syabas, sesungguhnya Indera mampu menulis dengan begitu baik.

Hargailah pemberian Allah ini dan gunakanlah ia sebaik baik mungkin

Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dan cerita....

Lan Rambai said...

Layangan Indera? Aku tak tahu pulak nama blog ko ni Layangan Indera. Yang aku tahu.. kami dilarang makan ikan tapah.

ps - ada yang tak puas hati dgn blog ko ni ker?

Masy said...

sy suka hujan :)
lebih2 lg bila malam. uikss bagai didodoi (oleh alam) utk tidur :D

Adinina said...

salam indera..
lama dah x jengah sini...
dropping by to read your entries..now dah bynk gambar eh? menarik..keep it up! jgn jadi sy yg dh kurang lapang ni..

achik said...

cerita2 en indera sungguh menarik sekali...


ps: saya tetap mencuri masa utk ke sini :)

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Tulisan Zwit sangat menarik. Percaya cakap saya..

Izinni,
Ya ke? Saya kira kanak-kanak di bandar yang seusia saya tidak mengenali Kapal Ban pada masa tu...

Bro BP,
Saya sebenarnya meminati Gamelan. Sewaktu melihat Maya di dalam PHSM, saya terpegun melihat dia menghidupkan watak Maryam perempuan gamelan yang masyhur. Memang kena dengan persalinan serta tatahias wajah Maya untuk menghidupkan watak Maryam.

Kalau ikut kira, saya tidaklah menggilai Maya Karin. Saya menggilai Madhuri Dixit!!


Saudara Kamato,
Terima kasih. Bang, jangan lupa bawak balik kuih Dorayaki, ye!!

Iman,
Memang ada dua...
Terima kasih atas sokongan Iman. Saya sangat terharu. Huhuhuhuhu..

Khairyn,
Saya juga ramai kawan yang membesar di kawasan setinggan tetapi sekarang sudah berpangkat besar.

Wahhh... Khairyn pandai menangkap ikan dengan kaki. Saya tak tahu pulak ikan boleh dipancing cara macam tu..


Linda,
Lepas ni kita pakat tengok Jari Hantu pulak..

Kak pB,
Ye ke Kak? Ala... timakasih banyak la Akak. Terharu saya.
Saya pun sentiasa tertunggu-tunggu N3 terbaru Akak especially citer kuarga Akak, citer Bi Akak tu, citer puteri-puteri Akak.. Alahai..

Lan,
Saja aku hentam kasi nama sedap-sedap sikit. Jangan cakap kuat-kuat kat sini.. Haii engkau ni.. pecah rahsia aku.. Hahahahaha...

TQ Lan sebab jadi kawan Blog aku yang sangat baik.. Engkau pun pada aku macam sama macam King jugak. Sangat selesa dibawa bergurau..


Masy,
Amacam, jadi tak pekena nasi goreng kerabu dengan ABC salut coklat..??

Titis hujan yang turun dipercikkan cahaya memang cantik. Kalaulah boleh disimpan di dalam Kotak Hujan..


Nina,
Selamat datang semula ke sini. Lamanya Nina tak datang. Alahai.. saya faham Nina sibuk dengan kerja baru sampai nak update blog pun tak sempat. Tak apa. Kerja paling utama. Semoga kehidupan Nina dan Rafique sentiasa bahagia. Doa saya sangat-sangat pada Ilahi, supaya tahun ni Nina dan Rafique dapat ehem.. ehem..

Achik,
Dah tak sibuk lagi ke Achik? Kerja, kerja jugak. Tapi rehat tu perlu tau...!!

BaYu SenJa said...

indera,
semangat anda dan kawan-kawan yang lain telah menjadikan nafsu menghentikan penulisan di blog seringkali tumpas :)
semangat serta istiqamah anda dan semua kawan-kawan di alam blog terlalu kuat.....

saya telah kembali..:)

banggugar said...

salam,
banyak saya belajar menulis dari tulisan2 indera, thanks sifu indera..
(",)

kingbinjai said...

alo alo orang suh jawab taglah bukan buat entri ha ha ha

zal said...

Salam perkenalan,
first time masuk blog ni (kira lawatan balas dari D0ha la ni) nice blog, keep on writing...

Izariza said...

indera,

Apa lagi yang lebih menarik daripada catatan perjalanan hidup yang asli. Saya mengagumi cara penulisan anda. Tidak ramai yang mampu membawa pembaca masuk dan menyelami dasar cerita sebagai mana tulisan anda :)

p/s: semasa kecil, saya suka bermain congkak dan apa tu namanya .. yang kita duk lempar bola kat selipar yang disusun berdiri pastu lari kejar-kejar.. oh oh saya sudah tua sehingga terlupa namanya! :D

Sastri said...

suka membaca hasil karya Indera... mcm2 boleh dipelajari dan diambil iktibar darinya... :D

Anonymous said...

setiap dari kita punyai karektor berbeza, pengalaman hidup yang berbeza..dengan itu juga cara penulisan kita juga berbeza.
Tulislah apa saja kerna itu satu kepuasan..selagi kita tidak menganggu gugat hidup org lain..

salam..bertamu dan berlalu dari laman iman mawaddah

INDERA KENCANA said...

Bayu,
Terima kasih atas sokongan bayu itu. Dengan adanya galakan orang-orang seperti bayu, semangat penulisan itu Insya-Allah akan terus bersemarak!!

Bang Gugar,
Terima kasih Bang Gugar. Saya pun masih di peringkat belajar. Tetapi jika Bang Gugar inginkan petua, saya bersedia berkongsi ilmu yang saya perolehi daripada guru saya yang juga seorang penulis. Alamat email saya indera5kencana@yahoo.com

King,
Ehhhh... aku lupa. Sowy, sowy, sowy..

Zals,
TQ. Semoga perkenalan kita akan memanjang silaturrahim. Salam untuk orang Doha.

Cikgu Iza,
Kata guru saya, seorang penulis itu harus jujur. Tulisannya adalah penyampaian. Bukan mengharapkan pulangan. Merasa dengan getaran di sekeliling dan dipindahkan dalam tulisan.

Sas,
Tulisan Sas juga sangat menghiburkan. Banyak informasi yang saya dapat. Sas juga sangat hebat menulis.

IndahSakura.
Salam perkenalan dari saya.
Terima kasih kerana IndahSakura seorang yang sangat memahami jiwa penulis...

~inilah saya~ said...

Salam Maulidur rasul.

Indah sungguh zaman kanak-kanak ni yer.

:-)