Tuesday, July 03, 2007

Hasniah (Bhgn 2)


Terasa bagai ditusuk sembilu bisa
Pedihnya entah bila akan terhenti
Berkasih di rimba asmara berapi
Terbakar hanya ku sendiri
Oh mengapa...

Ke mana hilang janji dan sumpah setia
Ke mana tumpah selaut harum kasturi
Apakah mungkin kan terulang kembali
Asyiknya cinta bagai dulu
Atau serapuhnya mimpi
Yang pulang pagi...

Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...

Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah

Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan

Redup senja di kaki malam
Menghilangkan warna ilalang
Dan cinta kini bagaikan
Perkasihan mimpi...
***Ralat***
(Sebahagian daripada perbualan di dalam entri ini telah dipindahkan ke dalam loghat Johor-Riau kerana saya tidak pandai menyusun perbualan ini di dalam loghatnya yang sebenar iaitu loghat Kelantan. Sebarang ketidak-selesaan dipohon ribuan kemaafan)

Saya menoleh. Rupa-rupanya abang saya, Khairul. Dia tersengih-sengih sambil menemukan kedua-dua belah tapak tangan seperti orang Cina yang sedang bersembahyang.
"Huuuiii.. sorrylah aku lambat sikit. Lama dah engkau tunggu?" tanyanya. Gayanya tetap selamba seperti biasa. Saya tahu kelewatannya itu memang disengajakannya.

Saya tercari-cari kelibat Hasniah di tengah-tengah orang ramai itu. Tetapi saya hampa. Dia sudah menghilang entah di mana.
"Engkau cari sapa..??" tanya abang saya setelah melihat saya tercangak-cangak dalam remang senja.
"Engkau nampak mata air lawa, ye..??" usiknya nakal.
"Eh, tak adalah"

Sepanjang jalan dari Stesen Bas Kota Bharu menuju ke Rumah Pangsa di Jalan Bayam itu, kami berdua menaiki beca. Itulah pengalaman pertama saya menaiki beca. Rasa janggal sahaja rasanya. Mujur kami berdua ketika itu bertubuh kurus melidi. Mudah sahaja pengayuh beca itu membawa kami berdua ke destinasi kami. Jika dengan saiz tubuh sekarang, pasti pengayuh beca itu sudah tersungkur kepenatan di tepi jalan. Maklum sahajalah, berat badan kami sekarang masing-masing sudah melepasi 80kg!!!.

Abang saya sibuk berceloteh itu dan ini, seolah-olah dia tahu semua perkara tentang Kota Bharu itu. Sepanjang jalan, saya lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Bayangan wajah Hasniah masih lagi terpahat di dalam ingatan.
"Jauhkah Pasir Mas dengan tempat ni..?" tiba-tiba saya bertanya pada abang saya.
Abang saya terlongo. Kemudian tersenyum.
"Jauh tu tak jauh sangatlah..... Kenapa tiba-tiba tanya pasal Pasir Mas ni?" tanya abang saya.
"Errrr... tak ada apa-apa" dalih saya.
"Aku tengok engkau sekarang dah makin gemuk.." abang saya mengomen bentuk tubuh saya.
Tiba di Rumah Pangsa Jalan Bayam, orang sudah melaungkan azan Maghrib. Saya masuk ke rumah kecil yang mempunyai dua bilik dan berdinding dengan batu blok yang agak besar sebagai bahan binaan utamanya menjadikannya kelihatan hodoh dan timbul walaupun telah disapu dengan cat yang tebal. Dua orang rakan serumah abang saya segera menghulurkan tangan bersalaman dengan saya. Kudin dan Fadil. Itulah nama mereka berdua.

Mereka kemudiannya menunjukkan saya arah ke bilik air melalui ruang dapur. Di sinki kelihatan beberapa biji gelas bergelimpangan dan sudah ditumbuhi kulat hijau pula. Nampak sangat penghuni rumah itu tidak menitik-beratkan soal kebersihan.
"Engkau rehat-rehat dulu. Lepas Isyak nanti, kita turun makan malam sama-sama" kata abang saya. Maghrib sudah hampir ke penghujungnya. Namun abang saya dan rakan-rakan serumah masih terus leka menonton kaca television.

Waktu makan malam, hanya saya dan abang saya sahaja turun ke kedai. Kudin leka bermain permainan komputer di biliknya. Manakala Fadil pula menghadiri kelas yang bermula jam 9.00 malam. Kelas apa yang mula jam 9.00 malam?, fikir saya. Jika di ITM, kelas yang paling lewat hanya bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir dua jam kemudian. Itupun hanya kelas gantian. Jarang-jarang diadakan pun sepanjang semester berlangsung.

Sewaktu makan malam, fikiran saya tidak putus-putus mengenangi Hasniah.
"Kita sudah sedekat ini, Niah. Apakah akan ada kesempatan kita untuk bertemu..." hati saya berkata-kata.
"Niah..."
Abang saya masih tidak putus-putus berbicara. Tentang rakan sekelasnya. Tentang kehidupan orang di Kelantan. Tentang perjalanannya ke Tumpat dan Kuala Terengganu. Sedang nasi di pinggannya hanya dikuis-kuisnya sahaja.
"Yang engkau terkuis-kuis nasi tu, apa hal? Tak nak makan ke nasi tu..??" tanya saya.
"Entah. Sejak engkau datang ni, hilang selera aku nak makan" jawabnya.

Tanpa tangguh, saya terus menarik pinggannya dan makan nasinya itu dengan berselera. Sekali lagi abang saya terlongo melihat kelakuan saya. Kemudian dia senyum mengulum.

Keesokan paginya saya terjaga jam 8.30 pagi. Mungkin akibat keletihan ditambahi pula tiada sesiapa yang mengambil kisah untuk mengejutkan tidur saya membuatkan saya terlepas Solat Subuh pagi itu. Abang saya dan rakan-rakan serumahnya menghilang entah ke mana. Ke kelas barangkali. Selepas bersarapan pagi, saya menghabiskan masa dengan membaca buku-buku cerita yang banyak terdapat di rumah itu sambil mendengar Radio Malaysia Kelantan.
"***Untuk tidak menghampakan permintaan Norliza di Ketereh, saya putarkan lagu permintaannya. Lagu yang sedang hangat di Radio Malaysia Kelantan sekarang ni iaitu lagu dendangan Rahmat, Siapa Di hatimu.." kata juruhebah itu di dalam loghat Kelantan yang pekat.

Beberapa saat kemudian, bait-bait puitis lagu itu mengisi ruang kecil bilik tempat saya bernaung ketika itu. Bait-bait lagu itu membuatkan saya terawang-awangan mengenangi Hasniah dan kenangan kami. Suara Rahmat yang mendayu-dayu, membuatkan mata saya berpasir. Airmata seperti berlumba-lumba jatuh dari empangan. Sekuatnya saya tahan kerana orang lelaki tidak boleh menangis. Lelaki harus kuat dan tidak kalah dengan perasaan, kata hati saya membohongi apa yang sarat terkandung di dalamnya.

Entah apa majalnya, lagu itu diputarkan hampir sepuluh kali dalam sehari. Tinggal sendirian di rumah yang sunyi sepi itu membuat jiwa saya lebih panasaran. Untuk menghilangkan kebosanan, saya cuba berbual-bual dengan lelaki separuh umur yang tinggal berjiran dengan abang saya. Mendengar kisah dan pengalamannya yang beristerikan perempuan dari Chieng Mai di utara Thailand.

Jika kerunsingan semakin menyesak di dada, saya akan setia duduk berlama-lama di Stesen Bas dengan harapan saya akan bertemu dengan Hasniah. Namun penantian saya tetap hampa.

"Apo kono e Jang, ekau monong ajo. Orang ke bulan, ekau di mano..." terdengar abang saya menyanyi di dapur.

"Sampai bila nak jadi macam ni..?" tanya abang saya.
"Macam mana apa..??" tanya saya pura pura tidak tahu hujung pangkal seraya menyembunyikan debar hati saya. Cuba berdalih.
"Engkau ingat aku tak tahu yang engkau putus kasih dengan budak perempuan dari Pasir Mas tu..??" tebak abang saya.

Haahhhhhh..?? Mana dia tahu..?????

Bersambung

17 comments:

khairyn said...

Haahhhhhh..?? Mana dia tahu..?????

oh oh sebab saya yang bagitau dia hehehe.

alaaa.. sambung lagi

indera kencana said...

Khairyn,
Hahahahhahahhaa
Lama tak email Khairyn. Banyak yang saya nak tanya. Nantilah, sehari dua lagi.. email saya bakalan menyusul. Boleh ke..??

Sastri said...

hmmm... misteri betul... macamana abang Indera boleh tau ni? tapi kan, bila kita rapat atau dah lama kenal dengan seseorang, kita boleh tahu samada orang itu gembira atau sebaliknya...

kingbinjai said...

whooo adakah abang kau seorang yoda???

Masy said...

haaaa terernye! jgn kata dia yg kawen dgn Hasniah tu dah le..

adakah???

KAMATO said...

misteri cerita ni...bila nak sambung

Izariza said...

Indera,
Menarik kisah kamu .. silalah sambung :)

CerminDiri said...

salam kehidupan,

putus kasih?.......betul ke apa yang saya baca nie?......
takkan sebegitu sekali?.......
takde rezeki kot.

blackpurple @ jowopinter said...

Bahagian 3, Mana? Mana?

:D

achik said...

wah2 kantoi...

err layan syahdu sungguh lagu tu.. ;)

indera kencana said...

Sas & King,
Ya, abang saya Master Yoda yang berkulit hijau tu... dia tahu benda-benda yang tersembunyi. Hiiieee.. takde la. Melawak je..

Masy,
Agak-agak Masy siapa yang kawen ngan Hasniah...??

Saudara Kamato,
Memang nak sambung. Tengah tunggu line clear... Tapi tak clear-clear jugak!!

Puan Iza,
Janji. Saya akan sambung sesegera yang mungkin.

Cermin,
Dari mana ni..?? Qatar atau sudah sampai ke Malaya..??
Begitulah adat berkasih ni..

Bro BP,
Memang nak sambung ni. Tunggu line kat opis ni clear dulu..

Achik,
Memang layan lagu tu...

Unknown said...

wah ade cerita bersiri balikkkk

Lan Rambai said...

baru aku paham perasaan bila baca blog bersambung tapi lambat sambungannya hahaha

zwitterion said...

sy tunggu bhgn 3..

zizie ali said...

sambung, jgn lambat sambung...

Sang Perba said...

indera
entah kenapa membaca kisahmu aku teringat lagu demi cinta setia kumpulan juction...

INDERA KENCANA said...

Linda,
Apa nak buat, dah jadi trade-mark. Nanti takleh cari makan lak...

Lan,
Haaa... baru engkau tahu betapa seksanya aku menunggu sambungan entri engkau yang tak abis-abis tu. At least aku dah nak abis jugak dah!!!

Zwit & Zie,
Tunggu. Jangan tak tunggu..

Zam,
Ooo.. yang nyanyi lagu suara halus cam pompuan tu, ek? Layan jugak aku lagu tu dulu. Tapi lirik tak braper nak ingat dah...