Wednesday, August 01, 2007

Pelekat Pooh dan Cermin Mata



Ah... Sekarang sudah hujung bulan. Gaji telah dimasukkan ke akaun bank sementara barang-barang keperluan harian, baik barang dapur mahupun kelengkapan anak-anak telah kehabisan. Seperti kebiasaannya, minggu-minggu seperti ini akan dimanafaatkan untuk membawa isteri keluar membeli belah sambil membawa anak-anak bersiar-siar.


Sering Siri Aufa menghubungi saya di hari-hari bekerja menyatakan rasa rindunya pada saya dan meminta saya cepat-cepat pulang menemuinya. Dia selalunya akan menggunakan alasan tidak sihat dan demam bagi meraih simpati saya. Memang saya simpati. Jika dibiarkan, alasan demam itu boleh bertukar menjadi sebenar-benar penyakit akibat kerinduan yang tidak tertahan kepada ayahnya.


Untuk menguatkan semangatnya, saya sering menggunakan alasan untuk membawanya keluar bersiar-siar samada ke tepi pantai, zoo atau ke pasaraya. Biasanya dia akan kembali bersemangat dan kuat melalui baki-baki hari saya tiada di sisinya.


Pulang sahaja saya di kampung, dia akan merayu kepada saya untuk dibelikan pelbagai macam keinginan yang selalu mengikut seleranya seperti permainan, snek dan gula-gula, pakaian baru dan buku-buku. Keinginan membeli belah di dalam diri terlalu kuat sehingga jika saya ini berkemampuan membeli pesawat helikopter, pasti helikopter itu pun diingininya. Sayangnya saya hanya mampu membeli permainan helikopter sahaja.


Kisah Siri Aufa hilang di dalam pasaraya bukan lagi perkara asing. Masuk baru-baru ini sudah dua kali dia hilang di tengah-tengah orang ramai itu sehingga membikin saya dan Azah panasaran. Bimbang kalau-kalau anak kami itu diculik orang.


Kali pertama perkara itu terjadi adalah pada bulan April yang lalu. Seperti kebiasaannya, sampai sahaja kami di Pasaraya Giants, Adil Rayyan dan Siri Aufa akan kami letakkan di dalam troli. Namun Siri Aufa meronta-ronta ingin keluar. Ditengking dan dimarahi kemudiannya, dia akan menangis teresak-esak. Jika dikeluarkan dari troli pula dia akan menyelinap di celah-celah orang ramai dan barang-barang yang terdapat di gedung itu. Sedang saya dan Azah sibuk memilih susu tepung, saya menyedari anak perempuan saya itu sudah ghaib entah ke mana. Baru sebentar dia ada di sisi saya. Sebaik sahaja saya palingkan pandangan saya, ketika itulah dia menyelinap ke sana sini. Saya dan Azah tertanya-tanya ke mana perginya anak kami. Satu bahagian demi satu bahagian saya lalui, namun kelibatnya langsung tidak kelihatan. Di dalam fikiran saya sudah membayangkan pelbagai kemungkinan buruk seperti yang sering dipaparkan di akhbar. Setelah melalui hampir sepuluh bahagian, kelihatan dia berlari-lari keriangan di antara barangan beku dan tenusu.

"Baba, Kak Long nak Vitagens..!!" katanya sebaik sahaja terpandangkan saya yang kepucatan.


Di dalam hati saya ketika itu bercampur buar antara lega dan marah. Jika diturutkan rasa hati saya, mahu sahaja saya merotannya dengan talipinggang saya. Namun setelah melihat sikapnya yang keletah dan ditambahi pula dia itu jarang-jarang bermanja dengan saya, niat hati saya itu lenyap dengan sendiri. Tidak sampai di hati saya untuk meletakkan tangan saya ke tubuhnya. Selepas dimarahi dan dia berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama, persoalan itu selesai dengan sendirinya.


Sangka saya dia tidak akan berani melakukan perkara yang sama sesudah itu. Dalam bulan Jun baru-baru ini, terjadi lagi hal yang sama. Kali ini di Jaya Jusco pula. Masuk sahaja ke pasaraya itu dia sudah merengek inginkan permainan Barbie. Saya membantah kerana sebelum itu dia sudah mempunyai 5 buah permainan yang sama. Semuanya hilang entah ke mana. Azah pula inginkan tas tangan yang baru bagi menggantikan tas tangan lamanya yang telah pun putus. Sewaktu kami melewati sudut yang menempatkan beg tangan yang pelbagai bentuk, rekaan dan jenama itu, Siri Aufa seperti cacing kepanasan duduk di dalam troli. Sehinggalah Azah bertanyakan tas tangan yang manakan lebih sesuai, saya berpaling mengadap Azah seketika. Hanya 3 saat. Sebaik selesai 3 saat itu, sewaktu saya berpusing melihat Siri Aufa. Dia sudah hilang.


Sewaktu itu nyawa saya seakan terbang. Dia hilang lagi. Hampir 5 minit saya berlegar-legar di dalam pasaraya itu mencarinya. Namun masih gagal.

"Kak, kenapa Kakak nampak risau?" tanya seorang jurujual pada Azah.

"Anak saya hilang..." jawab Azah.


Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terlintas satu perkataan di benak saya. Permainan. Ya, permainan. Sekiranya dia masih tiada di sudut permainan itu, saya pasti akan melaporkan kehilangan pada pihak keselamatan bangunan.


Sewaktu saya tiba di sudut permainan yang jaraknya hampir 200 meter dari tempat Azah memilih tas tangan itu kelihatan Siri Aufa berjalan keseorangan kekaguman melihat deretan anak patung pelbagai saiz. Riak wajahnya langsung tidak terlihat akan ketakutan di celah orang ramai. Ketika itu suhu badan saya sudah umpama gunung berapi. Mahu sahaja saya piat telinganya dan merotan kakinya. Mujur ketika itu kesabaran berjaya menakluki saya. Pulang sahaja di rumah, kami dileteri oleh mertua saya. Kisahkan pada Mak tentang hal itu, masih saya juga dileteri.


Minggu lepas kami ke pasaraya lagi. Sebaik sahaja keluar dari kaunter pembayaran, Siri Aufa terpandangkan cermin mata pelbagai warna untuk kanak-kanak keluaran Disney. Dia sudah punya satu berwarna merah jambu dengan hiasan karekter Ariel, puteri duyung dalam garapan Hans Christian Anderson. Namun cermin mata itu telah disimpannya di mana-mana. Kali ini dia minta yang baru. Saya enggan melayan kehendaknya. Jika dilayan, dia pasti tidak menghargai pemberian ibubapanya. Akhirnya dia menangis, bertempik di dalam pasaraya itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritannya, saya dan Azah segera masuk ke kereta dan terus memandu pulang. Di sepanjang jalan itu, mulut saya berkicau umpama murai tercabut ekor berleterkan perangai Siri Aufa. Sepanjang jalan itu juga Siri Aufa mencebik kesedihan kerana dimarahi. Azah langsung tidak bersuara. Takutkan saya.


Esok harinya kami ke pasar malam pula. Membeli barangan basah seperti sayur dan ikan. Kali ini Siri Aufa terlihat pula pelekat kartun dengan segala aneka ragamnya. Baru minggu lepasnya Azah belikan pelekat Tinkerbell dengan 10 helaian. Itupun masih tidak habis digunakannya. Kali ini dia meminta yang baru pula. Dia mahukan pelekat Pooh pula. Setelah tidak dilayan permintaannya, Siri Aufa menangis berguling-guling di tengah orang ramai sambil menarik kaki Azah. Kecoh pasar malam itu dibuatnya. Bikin malu!!.


Hari Sabtu ini kami bercadang membawa anak-anak ke Zoo Taiping. Entah apa pula ragamnya kali ini.

16 comments:

kingbinjai said...

memang risau beb

Unknown said...

Sayangnya... saya berkerja, kalau tidak, boleh saya tengok ragam Siri Aufa di Taiping :D

Masy said...

jgn dia berguling-guling mintak beruang hidup ataupun harimau sudahlah ya hahaha

mungkin kalau Babanya pula yang berguling-guling, dia akan senyap kot :D hahaha

Izariza said...

Kasih bapa .. :)

zizie ali said...

anak bapak...

achik said...

apa plak ragam Adil Rayyan bila dah besar cam Siri Aufa ek..

kena bersabor betul layan karenah kanak2 nih.. ;)

indera kencana said...

King,
Takut jadi cam Yin lak..
(Mintak dijauhkan)

Aminbakish,
Sekarang masih di Taiping ke dah ada di Parit Buntaq..??

Masy,
Hahahahaha... kalau kes macam tu baru haru-biru.

Puan Iza,
Kasih bapa bawa bahagia
Kasih ibu bawa ke syurga

Zie,
Amboiii3x... lasernya... (Nanti kau)
Aku dulu masa kecik baik banget, Zie. Ko tak caya, tanya Mak aku..
(Hehehehehehehe....)

Achik,
Entah la... Yang dia suka skang ni cuma bola..

khairyn said...

kat sini, cara nak bagi ibu bapa tak kehilangan anak dalam lautan manusia - tambat jer budak tu hahaha.. sungguh! Dengan tali.

Jadi dia boleh bebas berlari sana sini tapi setakat panjang tali tu jer lah. Hmm.. tak de pulak merengek tak mahu ditambat. Dah biasa kot hahahaha

Sastri said...

hmmm... memang merisaukan kan? membaca komen Khairyn, teringat juga isteri TPM pernah mengajukan cadangan sedemikian... gunakan 'leash to keep them nearby'... tapi pasti tak sampai hati pula nak buat...

blackpurple @ jowopinter said...

Ah! Seronoknya bercerita tentang anak-anak. :)

Unknown said...

jgn dia mintak nak pelok rimau dah ler.. ehehe..

khairyn said...

sas,
rasanya kalau kat malaya tu mau riuh budak yang kena tambat tu agaknya tapi kat sini tengok macam antara anak dengan anjing tu sama jer kena ikat ... err baik baik pulak tu hehehe

CerminDiri said...

salam kehidupan,

taknak belanja kami sekalike?....

Bunga Rampai said...

Adeh, nakal juga Siri Aufa ya Indera. Tapi nakal-nakal begitu petanda bijak kata orang tua-tua :) Mudah-mudahan.

Nak baca cerita tentang lawatan ke Zoo Taiping pula ;) Isy, isy...menyibuknya saya nak ambil tahu :D

Salam.

jaketbiru said...

hmmmm..
cuba petua ini..
cuba menagis di depan anak itu semasa memarahinya..
lalu ayahnya pula bertanya kenapa ibunya menagis pada anak itu..

(perlu lakunan agar kes ni tak berterusan..)

hehehe its from my experience

INDERA KENCANA said...

Khairyn,
Saya rasa cara macam tu memang berkesan. Mesti cuba ni..!!

Sas,
Mak mertua saya selalu kata;
Biar anak kita yang menangis. Jangan nanti kita pulak yang menangis..!!
Maksudnya, biar anak kita menangis kerana kongkongan kita. Jika tidak di kemudian hari kita pula yang menangis apabila sesuatu terjadi pada mereka..

Bro BP,
Insya-Allah. Bro nanti pasti melalui keadaan yang sama..

Linda,
Kalau nak peluk Rimau, alamt jadi kes naya la..

Khairyn,
Kat sana masyarakatnya terlalu prihatin akan nasib haiwan, kan..??

Cermin,
Marilah datang ke Perak.. Boleh saya bawak melancong ke sekitar Perak ni.

Bunga Rampai,
Salam,
Kami tak jadi ke Zoo Taiping. Azah terpaksa menghabiskan sukatan pelajaran kerana muridnya bakal menduduki UPSR september ni.. (Banayak kelas tambahan)

Salam Perkenalan Nide,
Saya cuba tinggalkan pesanan di dalam Blog saudara. Tetapi gagal. Mungkin saya boleh tinggalkan pesanan di lain masa..?