Wednesday, December 17, 2008

Rumah Kecil Tiang Seribu


Sewaktu dulu, ketika saya masih lagi kecil, dunia saya hanyalah berada di dalam ruang lingkup perdusunan tempat saya dilahirkan dan dibesarkan. Hidup kami pada ketika itu sangat sukar dan susah. Rata-rata penduduk kampung ketika itu menjalankan aktiviti sara diri bagi menyara kehidupan dan keluarga. Tiada yang istimewanya. Tiada bekalan elektrik. Tiada bekalan air. Kehidupan ketika itu umpama terletak pada pangkal asas yang dekat dengan alam dan persekitaran.

Bagi kami, kanak-kanak yang berada di usia mentah awal persekolahan, setelah usai waktu sekolah pagi, kami akan ke sekolah agama di waktu petang. Sekolah agama kami sangat daif. Letaknya betul-betul di tepi batas bendang. Beratapkan zink yang sudah berkarat. Tiada lantai simen. Hanya lantai tanah hatta kadang kala menjadi tempat ayam mengarang telur. Jika sampai waktu rehat sahaja, masa terluang itu akan diisi dengan menangkap ikan sempilai (ikan laga) yang banyak hidup meliar di dalam taliair yang mengalir jernih.

Oleh kerana saya ini anak seorang guru, kehidupan saya agak senang sedikit daripada kanak-kanak yang lain yang seusia dengan saya. Saya masih dibekalkan dengan wang sebanyak 20 sen untuk membeli sebuku roti dan segelas air di waktu rehat. Akan tetapi, bagi mereka yang rata-ratanya datang dari keluarga penoreh getah dan penanam padi, mereka cuma mampu membuka bekas makanan yang berisi lebihan makanan tengahari untuk dibuat alas perut.

Pun begitu, kehidupan saya tidaklah sesenang dan semewah seperti yang sepatutnya. Saya mempunyai 7 orang adik beradik. Dengan gaji Apak yang terhad itu, dia harus mengisi 8 perut lain saban hari. Untuk itu, Apak tidak pernah menegah jika saya ke bendang bersama sepupu-sepupu saya untuk memancing keli dan puyu. Menggalakkan pun dia tidak. Sekurang-kurangnya ada tambahan lauk buat makan malam nanti.

Erti cabaran hidup ketika itu, hanyalah cabaran hidup yang berputar setakat di perdusunan itu. Penduduk kampung ketika itu terlalu naïf tentang polisi dan dasar kerajaan. Tentang cabaran ekonomi global itu apatah lagi. Permasalahan penduduk kampung ketika itu berkisar tentang padi yang tidak menjadi akibat serangan kutu. Buah-buahan di dusun yang terpaksa direbuti dengan sang babi, dan sekali sekala gempar apabila ada orang yang dipagut ular senduk atau kapak sewaktu sedang menoreh.

Bagi kami, kanak-kanak ketika itu, taman permainan kami adalah baris-baris pokok getah. Berlari berkejaran di atas batas-batas bendang dan jika bosan, kami akan terkinja-kinja di atas dahan pokok ketapang sebelum terjun menjunam ke dalam Sungai Perak yang mengalir deras.

Saat itu merupakan saat yang terindah di dalam hidup. Walaupun kekurangan kemudahan asas, namun hidup kami sangat tenang. Hubungan kami sesama saudara umpama tiada jurang perbezaan. Anak aku adalah anak aku, anak kamu seperti anak aku jua. Makanya, kami dahulu sangat takut melakukan perkara-perkara sumbang seperti mencuri buah-buahan orang atau merokok kerana akan ada mata-mata yang memerhatikan tingkah laku kami sebelum melaporkannya kepada orang tua untuk dijatuhi hukuman.

Sungai Perak itu telah merakamkan terlalu banyak kenang-kenangan. Mulanya di persempadanan Perak-Kelantan. Mengalir masuk ke kampung kami sebelum berakhir di Selat Melaka di muara Bagan Datoh. Di situlah kami akan melakonkan semula adegan drama “Anjang Aki” yang diadaptasi dari tulisan Penantian yang terkenal itu, yang pada ketika itu sedang hangat ditayangkan di kaca talevision.

Pasir Putih dipinggir kali Pasir Roboh
Pasir Putih dipinggir tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang
Pasir Roboh tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang

Kasih tak boleh dijual beli Pasir Roboh
Kasih tak boleh dijual beli
Bukannya benda bukannya benda buat berniaga
Sayang Pasir Roboh
Bukannya benda buat berniaga sayang

Masa datang dan pergi bersama segala suka duka yang ditawarkannya. Pasir putih di pinggir kali, tempat permainan kini sepi dan terbiar tanpa dijejaki. Kami yang dulunya kanak-kanak kecil, kini sudah tinggi menjulang. Menjulang bersama cita-cita dan juga cabaran semasa.

Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang
Masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang…


Gelombang datang bertali arus. Ruang lingkup kehidupan saya bukannya lagi di perdusunan yang sunyi. Tetapi di kotaraya metropolitan Kuala Lumpur yang padat dengan penduduknya. Dengan aneka ragam dan kerenah seisinya. Cabaran juga datang dari segenap penjuru. Menghimpit diri dan yang paling menyakitkan apabila ianya menghiris tangkai hati. Namun semakin lama saya berada di tempat yang sibuk ini, semakin menjadikan saya betah dan rasanya saya boleh bertahan dengan sepak tendangnya.

Semakin saya merenung ke dalam diri saya, semakin terserlah jiwa sebenar saya. Saya masih lagi seorang kanak-kanak kecil yang berlari di atas batas bendang sambil mengelek daun keladi yang berisi air dan ikan sempilai di waktu petang di bawah jaluran pelangi. Di dalam hatinya, hanya ada kegembiraan yang bersifat sementara. Manakala pelangi itu pula adalah titian untuk dia naik ke awan tingkatan kesembilan.

Wednesday, December 10, 2008

Langit petang lewat bulan Disember...


Saya berteleku di hadapan komputer. Memerhatikan paparan skrin komputer yang melimpah dengan cahaya. Mata saya asyik dengan nombor-nombor yang mengisi penyata kewangan syarikat.
“Engkau tahu, siapakah yang mula-mula meletakkan jawatan kalau syarikat dalam keadaan masalah?” tanya Encik Zuhairi, boss saya sewaktu saya menghantarkan penyata belanjawan modal sebuah koperasi pertengahan tahun lepas.

Saya cuma tersenyum.
“Senyum pulak dia… kamu tahukah jawapannya?” tanyanya lagi.
“Akauntan” jawab saya ringkas.

Encik Zuhairi ketawa terbahak-bahak.
“Harap-harap syarikat ni takkan ada masalahlah, ya Indera!!. Kalau ada masalah pun, aku percaya yang engkau takkan terburu-buru untuk tinggalkan syarikat ni”
“Harap-harapnya macam itulah, encik” jawab saya.

Di luar, langit mendung sarat mengandung hujan. Kilat sesekali menyambar dan meninggalkan dentuman guruh yang sayup-sayup di telinga. Saya memandang rintik hujan yang turun lewat bulan Disember. Beberapa bulan lagi, musim tengkujuh akan berakhir. Berganti dengan musim panas melangkaui pertengahan tahun hadapan. Begitulah musim berganti. Hujan bertukar tempat dengan sinaran matahari. Namun hati saya selalu tidak disapa dengan pancaran kegembiraan.

Saya memandang ke segenap ruang pejabat itu. Bahagian belakang ruang pejabat yang dibiarkan kosong untuk menanti masa diisi dengan pekerja yang baru kini suram tidak bercahaya. Semenjak sedari pulang bercuti daripada perayaan Aidil Fitri dahulu, ruang itu memang sengaja dibiarkan suram tidak dipasang dengan percikan cahaya lampu. Untuk menjimatkan tenaga, konon alasannya. Saya tersenyum pahit. Ruang ini bakalan kosong beberapa minggu lagi. Kosong sekosong-kosongnya tanpa berpenghuni.

Di atas meja saya penuh dengan timbunan fail. Penuh dengan timbunan bil-bil yang tertunggak. Sekali-sekala, telefon berbunyi memekakkan telinga. Pastinya ada yang memanggil minta penjelasan kenapa bil bulan-bulan yang terhampir masih belum dilunaskan. Sebagai seorang pekerja, apa yang boleh saya katakan hanyalah memberi mereka sedikit harapan palsu kononnya laporan pembayaran sudah dihantar kepada majikan sementara menunggu kelulusan daripada mereka sahaja.

Telefon berbunyi lagi. Saya biarkan sahaja. Selang seminit, ianya mati begitu sahaja. Ya Tuhan…. Saya tidak menyangkakan bahawa saya akan berhadapan dengan masalah seperti ini untuk sekian kalinya. Saya meruap wajah kusam saya sambil di dalam hati bermunajat agar masalah ini akan segera berakhir. Mengharapkan esok akan muncul bersama harapan baru. Bersama bangkitnya cita-cita yang sudah lama berkubur demi kelangsungan hidup.

Saya masih Indera yang lama. Indera yang sukar menerima kenyataan hidup. Saya masih lagi datang ke pejabat dengan wajah selamba. Cuma di dalam hati saya selalu berperang. Sebahagiannya menafikan. Sebahagiannya pula memujuk agar senantiasa bersabar.

“Indera, masuk bilik saya sekejap” di intercom, saya mendengar Encik Zuhairi memanggil saya. Saya meninggalkan kertas kerja yang separuh siap di atas meja sambil buru-buru masuk ke biliknya.
“Apa pula kali ini?” hati saya tertanya-tanya. Saya sempat melihat bilik Encik Ismail. Biliknya kosong lewat petang-petang begini. Pastinya seusai makan tengahari tadi, Encik Ismail terus keluar mesyuarat di mana-mana dan tidak pulang ke pejabat sehinggalah esok pagi.

“Kenapa Encik Zuhairi? Encik nak kopi ke?” tanya saya cuba mengurangkan rusuh di hati saya.
“Tak.. tak payah. Saya dah minum tadi. Duduklah dulu” pelawa Encik Zuhairi. Saya menarik kerusi dan terus duduk mengadapnya.

Dahi saya berkerut. Setelah dua minit berlalu, Encik Zuhairi masih belum berkata apa-apa. Jarinya ligat di atas kekunci komputer riba dan sekali-sekala menjeling memandang wajah saya.

Encik Zuhairi mengurut kepalanya.
“Encik okey ke?” tanya saya.
“Aku okey” jawabnya. Bila dia menggunakan gantinama aku itu, saya faham bahawa apa yang ingin dia bincangkan dengan saya itu adalah sesuatu yang tidak formal.

Encik Zuhairi melepaskan keluhan berat. Jelas dari pancaran matanya, ada masalah besar yang melanda hatinya. Masalah yang saya sendiri boleh menekanya.
“Engkau tahu yang kita mempunyai ramai pelanggan-pelanggan yang masih belum menjelaskan hutang mereka kepada kita?” tanyanya
“Saya tahu”
“Engkau tahu bahawa program terbitan bon di Koperasi XYZ sudah ditamatkan secara mengejut oleh Bank Saudagar ABC?” tanyanya lagi.
“Saya tahu Encik Zuhairi. Dan saya juga tahu apa yang Encik Zuhairi nak sampaikan kepada saya kerana saya yang memegang buku akaun syarikat. Saya tahu bagaimana kedudukan kewangan syarikat ini”

Encik Zuhairi mengeluh lagi.
“Aku tak tahu bila masalah sub-prime ini akan berakhir. Aku harap, aku boleh selesaikan masalah ini seorang diri. Tapi aku tak boleh menanggungnya sorang-sorang. Engkau tahu yang aku terpaksa jual banglo aku kat Bangi? Kemudian aku kena pindah duduk kat kuarters TNB?”.
“Saya tahu. Encik Zuhairi ada bagitahu pada saya bulan lepas”
“ Isteri aku menangis tak nak pindah ke kuarters sebab dia malu. Tapi aku tak malu. Tak ada apa yang mesti aku malukan. Cuma masalahnya sekarang, engkau pulak macam mana?”
“Saya? Kenapa dengan saya?” tanya saya.
“Ada kemungkinan aku terpaksa cutikan engkau beberapa bulan…”

Hati saya bergelojak. Saya memandang wajah saya di kaca yang terletak di belakang tempat duduk belakang Encik Zuhairi. Cuba memandang bayangan diri. Tetapi di paparan kaca itu kosong. Sekosong hati saya…

Dalam usaha menggapai kekuatan diri, saya masih bisa menguntum senyuman.
“Tak mengapa Encik. Saya dah biasa susah. Satu kesusahan ini, tak akan menambah kesusahan yang dah sedia ada”

“Aku harap aku ada duit untuk kekalkan engkau di sini. Aku mahu kekalkan engkau di sini supaya ada orang yang dapat mengatur pejabat ini seperti biasa” katanya sambil memandang tepat ke arah saya.
“Kalau Encik Zuhairi ada duit, lebih baik Encik Zuhairi selesaikan bil-bil kita yang tertunggak. Kalau saya ada di sini sekalipun, tak ada apa yang boleh saya buat kalau telefon kita kena potong, bekalan elektrik kita kena potong”

Encik Zuhairi seakan tersentak. Lama kami terdiam tidak dapat berkata apa-apa.

Langit petang masih lagi suram sewaktu saya melangkah keluar dari pejabat. Di dalam buku renungan La Takhaf wa la tahzan ada menyatakan, sesungguhnya kesusahan itu ibarat seutas tali yang memegang bebanan yang berat. Andai bebanan itu sudah terlalu berat, akhirnya tali itu akan putus. Di saat itu akan tiba pertolongan daripada Allah.

Saya memandang Bukit Damansara dari kejauhan yang penuh dengan deretan banglo yang gah berdiri. Hati saya tertanya-tanya, apakah tali yang mengikat bebanan itu sudah mengikat terlalu kejap sehingga langsung tidak putus? Saya sendiri tidak pasti. Namun saya percaya dan saya yakin, walaupun saya bersendirian sekalipun di atas muka bumi ini, saya tidak keseorangan. Saya masih punya Allah buat teman berbicara.

Monday, November 17, 2008

Bila isteri sudah tidak lagi cantik..


Berikut adalah sepucuk email yang saya terima di awal pagi ini. Mengocak hari saya. Rasa simpati saya datang menerpa umpama air. Lantas saya terpanggil memberikan secebis kata-kata buat mereka yang berada di tempat Puan yang menulis ini.

Pembaca Semua,

Saya ingin berkongsi pengalaman ini dengan semua kerana saya ingin puan2 tahu apa sebenarnya tersirat di dalam benak sesetengah suami dan bagaimana dia melihat kita dari pandangan mata mereka. Walaupun mereka tidak pernah komplen tentang perawakan kita tetapi di sudut hati mereka mereka menilai secara diam2 dan membanding kita dengan perempuan lain.

Barangkali suami puan2 tidak begitu, tapi ini boleh jadi panduan.Saya seorang isteri baru berusia 29 tahun dan mempunyai 3 orang anak,Perawakan saya biasa sahaja, tidaklah hodoh, sedikit gempal setelah melahirkan 3 orang anak. Saya berkerja sebagaiseorang eksekutif dan suami saya berkerja biasa saja.Kebanyakan belanja rumah seperti ansuran rumah dan kereta, saya yangmenbayarnya demi suami yang mempunyai gaji tidak seberapa.. Suami saya bolehlah di katakan menarik jika dibandingkan saya, tinggi, putih dan menarik minat ramai perempuan semasa bujangnya.

Saya mengabdi diri seluruhnya untuk rumahtangga, pagi sebelum pergi kerja saya akan masak utk anak2, sarapan utk suami, saya memandu sendiri ke pejabat dansetelah balik ke rumah pada petangnya sayalah yang menyediakan segala keperluan rumahtangga.Sepanjang perkahwinan suami tidak pernah komplen pasal perwatakkansaya. Saya memakai tudung, dia nampak biasa saja,tetapi dia tidaklah sentiasatertarik kepada saya semasa di rumah seperti cuba mencium saya, memelukatau memegang saya,biasa shj kami akan bersama bila waktu malam apabila dia perlukan saya. Baru2 ini saya mendapattahu dia mempunyai kekasih di tempat kerja sendiri. Gadis tersebut bukanlah muda dari saya tetapi sudah berumur 30tahun. Saya mendapat tahu juga yang suami saya sering ke rumah gadis tersebut semasa waktu kerja. Hubungan yangterjalin nampaknya telah sampai ke tahap hubungan seks.

Bila saya bersemuka dan bertanya kepadanya, pada mulanya dia menafikan,tetapi setelah dikemukakan bukti dan sebagainya, baru dia mengaku. Saya ingin tahu kenapa dia menjalinhubungan. Apa kurangnya saya, dia akhir berterus terang mengatakan memang tiada apa yang kurang dengan saya, saya menjaga makan minum, membantu kewangan, menguruskan rumahtangga dengan baik tetapi saya hanyalah setakat itu shj tiadarangsangan lagi bila melihat saya.

Baginya, dia kadangkala ingin bersama wanita yang di lihat cantik,menarik minat lelaki lain dan bila berjalan sama menimbulkan cemburu pada lelaki lain. Dia dengan berani memberitahusaya bahawa teman wanitanya mempunyai kuku yang cantik, perut yang nipis, bau yang sedap, fashion yang menarik.Sedangkan saya menurutnya walaupun tidak hodoh tetapi hanyalah wanita yang sangat biasa saja,kuku saya pendek dan kadang2rosak kerana memasak, rambut pulak kadang2 berbau bila balik kerja kerana bertudung sepanjang hari, perut saya pulatebal, tidak menarik di rumah bila hanya berT-shirt dan berkain batik. Hari2 melihat saya dia merasa tiada apa yangdibanggakan tentang saya, bercakap di rumah pula hanyalah tertumpu pasal rumah, anak2. Tiada topik menarik separti temanwanitanya yg boleh bercakap pasal politik, carreer, mempunyai taste yang tinggi dan dapat membantu dia mengenalidunia yang baru mengaenai fashion, korporat, jadi dia merasakan seperti lelaki yang berjaya bila bersama wanita tersebut.

Memang saya akur tentang perawakan saya kerana pertama memang saya dilahirkan begini, kedua saya terlalu sibuk untuk membelek diri sendiri, ketiga saya tidak mempunyai cukup wang untukberbelanja sepenuhnya untuk kecantikan. Begitulah hati budi lelaki sebenarnya walau bagaimanapun kita menjaga dia tetapidia masih mementingkan fizikal jauh di sudut hati ingin bersama wanita menarik yang boleh menbuat dia berasa bangga.Saya telah pun berpisah dengan suami sekarang tetapi sya tidaklah dudukmeratap tetapi menghadiri slimming session dan membelanjakan duit separuh untuk kecantikan bukan untk lelaki tetapi untuk kepuasan sendiri, biarlah saya pendek dan sedikit tembam tetapi saya berazam untuk menjaga kebersihan dan kelihatan menarik

**************************************
Berikut adalah kata hati saya…

Hmmmm pertamanya apa yang saya boleh katakan isu ni berat. Puncanya hanya perkara kecil yang menyebabkan runtuhnya satu institusi kekeluargaan. Isu tentang kecantikan dan tuntutan rumahtangga. Itu belum lagi dikira tentang hak penjagaan anak dan juga nafkah selepas perceraian.

Saya bersimpati dengan Puan yang menulis kisah hidupnya ini. Tentang betapa pengorbanan seorang isteri yang menjadi lilin dalam rumahtangga. Cuba menjadi yang terbaik buat suami, cuba mengurangkan bebanan kewangan suami tetapi akhirnya tidak dihargai. Apa yang saya nampak di sini, bukan kecantikan yang harus ditekankan sebenarnya, tetapi mesti dilihat dari perspektif yang lebih besar iaitu tentang keredhaan seorang lelaki menerima jodoh yang telah Allah tetapkan untuknya.

Sebagai seorang suami, saya faham tentang keinginan punya seorang isteri yang cantik. Isteri yang hampir sempurna yang mampu membikin hati lelaki lain berkata, "alangkah bertuahnya dia punya isteri yang sedemikian rupa". Hati dan nafsu sering sahaja membisikkan, kenapa isteri orang lain cantik sedangkan isteri sendiri langsung tidak berbekas di hati. Namun perkara ini boleh dipujuk dengan mengingatkan bahawa isteri kita telah banyak berkorban demi rumahtangga, melahirkan anak-anak kita, menyediakan keperluan seharian kita atau jika ini pun masih tidak mendatangkan keinsafan pada kita, ingatlah di saat percintaan kita dengan isteri kita sebelum berkahwin. Saat kita bertarung merebut cintanya supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.

Apa yang saya dapat cerap daripada cerita Puan ini, segala alasan yang diberikan semuanya berbaur nafsu semata-matanya. Akalnya dipandu bisikan syaitan. Memang benar lelaki mudah tertambat pada wanita cantik dan bergaya. Sudah itu pula, pintar akal fikiran dan petah tutur katanya mendebatkan soal-soal yang tidak tercapai dek akal si lelaki itu. Pantas dibawa ke mana majlis pun supaya orang berkata, "alangkah sepadannya mereka berdua". Kerana itu suami Puan ini memberi alasan bahawa isterinya tidak dapat memberikannya rangsangan lagi. Bukan rangsangan seksual, tetapi rangsangan dari segi maruah dan harga diri.

Itu semua alasan semata-mata. Dia inginkan isterinya cantik, tetapi pernahkan dia bekerja keras mencari lebih wang untuk menghantar isteri ke pusat kecantikan? Jika isteri tidak punya masa untuk menambah pengetahuan dengan membaca akibat daripada kesibukan sebagai surirumah, pernahkan dia meluangkan masanya untuk meringankan bebanan isteri di rumah? Dan yang perkara paling melucukan, dia mengatakan isterinya tidak wangi dan seharum kekasihnya, pernahkah dia mengeluarkan sejumlah kecil wang untuk membelikan sebotol minyak wangi untuk dipakai oleh isteri?

Jelasnya lelaki ini hanya ingin menutup kelemahannya dengan tebakan dan hinaan ke atas isterinya. Sudahlah diri sendiri tidak mampu memberikan keperluan dalam rumahtangga, isteri yang selama ini banyak berkorban disia-siakan begitu sahaja. Alangkah malangnya nasib lelaki ini..

Kerana saya lelaki, saya memahami jiwa lelaki. Lelaki perlukan maruah untuk menjulang egonya bagi membolehkannya terus "hidup". Berbeza dengan wanita yang sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan cinta. Kerana menyedari dirinya punya aset iaitu rupa, lelaki memperdagangkan rupanya untuk suatu ego yang secara jelas tidak membawanya ke mana-mana. Apa perlunya seorang lelaki berjawatan kecil inginkan seorang wanita untuk menakluki dunia korporat? Dunia korporat hanya dapat ditawan dengan ilmu, pengalaman, usaha yang keras di samping faktor nasib. Bukannya dengan jalan persundalan dapat kita membina kejayaan atas dunia.

Saya bukan suami yang baik bahkan saya juga mempunyai sudut gelap saya yang tersendiri. Namun sebagai manusia yang punya perasaan, saya sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa Puan ini. Kata orang, apa diharap padi seberang, entahkan jadi entahkan tidak. Nasihat saya pada Puan ini dan juga kawan-kawan wanita sekelian, jagalah tanggungjawab dan keperluan isi rumah. Kecantikan haruslah dijagai sebagai penambat kasih suami serta ambillah usaha menambah ilmu pengetahuan anda. Ambil usaha untuk menyambung pelajaran anda atau mencari sumber pendapatan lebih supaya jika anda disiakan oleh spesis saya yang bernama lelaki itu, hidup anda sudah boleh berdiri sendiri tanpa ratap tangis yang sia-sia. Jika anda berada di tempat Puan ini, bersorak gembiralah kerana anda tidak lagi perlu mendukung biawak hidup yang tidak mendatangkan manafaat hatta kepada diri dan keluarganya sendiri. Biar perempuan kekasihnya itu mengambil alih mimpi ngeri yang telah anda lalui. Kata orang, hidup ini umpama roda. Sesungguhnya hidup itu berbalas!!! Kepada kaum saya iaitu lelaki, dunia ini kita khalifahnya. Kita sendiri yang menentukannya.

Dalam banyak-banyak wang yang dicari, harus ada peruntukan untuk diri sendiri.

Wednesday, November 05, 2008

Patri


andai hati ini sang kecapi
perasaan... jadi talinya
engkau memetik jari jemari
berlagu irama duka dan lara


andai tubuh ini boneka
nalurinya benang sutera
engkau dalang mengawalnya
ke timur ke utara kemana jua


aku hanya menuruti
mengikut apa saja hukuman
andai diri ini taman tasik
sang kirana pula jiwa raganya
engkau menjaring dengan senyuman
dan mengurungkannya dari segala


namun diri ini... insani
pasti ada kemahuannnya
kerna aku... panah arjuna
sedikit pun tidak ku menyesali

Badrun Basim : Keputeraan Badrun Basim


“Janganlah tuanku bergundah gulana. Jika seorang putera yang tuanku idamkan, patik sekarang sedang berbadan dua dengan putera tuanku. Jika seorang teman yang tuanku inginkan, patik di sini bersedia sehidup semati bersama tuanku” halus tutur kata Jalnar Al-Bahriyyah itu menusuk ke dalam sanubari Sultan Badruzzaman kembali bercahaya. Hilang segala kelesuan dan kegundahan. Berganti dengan sinar harapan dan bertenaga seperti muda remaja.

“Wahai adinda. Katakanlah pada kanda, siapa adinda yang sebenarnya, siapa adinda yang telah Allah utuskan kepada kekanda untuk membahagiakan dan menceriakan hidup kekanda. Katakanlah, kanda suka ingin mendengarnya”

“Ampun kekanda, permata hati adinda. Adapun adinda bernama Jalnar Al-Bahriyyah. Puteri Maharaja Shah Akbar yang memerintah kerajaan di bawah samudera yang bernama Bahr El-Alam. Suatu masa adinda telah berselisih faham dengan saudara adinda sehingga adinda bertekad untuk menyerahkan diri adinda kepada penduduk di atas muka bumi ini. Perjalanan itu telah menemukan adinda dengan darwish yang kemudiannya telah menyerahkan adinda pada tuanku. Sekiranya tidak kerana kasih dan cinta adinda pada tuanku, ditambahi pula adinda sedang berbadan dua dengan putera tuanku, nescaya sudah lama adinda pulang ke samudera menerusi jendela yang menghadap arah lautan itu” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Mendengarkan kata-kata Jalnar Al-Bahriyyah itu, teramat sukacitalah hati Sultan Badruzzaman lantas dipeluk eratnya Jalnar Al-Bahriyyah sebagai tanda kasih yang tidak terhingga.
“Kanda fikir, ada baik jika adinda berbaik-baik semula dengan saudara adinda itu. Jemputlah saudara adinda itu berserta lain-lain saudara serta bonda adinda. Dengan ini dapat jualah mereka meraikan bersama kedatangan putera kita nanti” titah Sultan Badruzzaman.

Jalnar Al-Bahriyyah pun menyediakan bekas bara. Bekas itu kemudiannya diletakkan di hadapan pintu biliknya yang mengadap ke Laut Arab. Setelah itu Jalnar Al-Bahriyyah membakar setanggi dan kemenyan sambil asapnya berkepul-kepul dihembus angin menuju ke lautan.
“Pergilah kekanda bersembunyi di sebalik tirai di belakang kamar adinda. Janganlah kekanda keluar selagi adinda tidak memanggil kekanda. Dengarlah segala apa yang adinda perbualkan nanti” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Sultan Badruzzaman segera bersembunyi di sebalik tirai sutera yang menyempadani ruang besar itu dengan bilik peraduan Jalnar Al-Bahriyyah. Dari tempat baginda bersembunyi itu, baginda boleh melihat sesiapa sahaja dan mendengar apa sahaja yang diperbualkan oleh permaisuri baginda.

Seketika, Sultan Badruzzaman melihat lautan di hadapan istana itu terbelah. Lalu keluarlah seorang lelaki diiringi oleh 7 orang perempuan. Mereka semua melayang naik ke istana umpama rama-rama kemudian duduk bersimpuh di hadapan Jalnar Al-Bahriyyah. Kesemuanya seiras wajah dengan Jalnar A-Bahriyyah. Tahulah baginda sultan bahawa mereka itu adalah mertua, kekanda-kekanda ipar dan adinda ipar baginda sendiri. Masing-masing bertangis-tangisanlah melepaskan kerinduan terhadap Jalnar Al-Bahriyyah.
“Ayuhai anakanda, ke manakah anakanda menghilangkan diri selama ini. Bonda makan hati berulamkan jantung selama anakanda tiada” tangis Permaisuri Zainab.

“Benar kata bonda itu kekanda” kata Shahrul Arifin.
“Jika adinda yang bersalah sehingga menyebabkan kekanda merajuk hati sebegini rupa, adinda sedia menerima hukuman. Kekanda jatuhkanlah apa jua hukuman. Adinda rela menerimanya” kata Shahrul Arifin lagi.

Melihatkan sekelian saudaranya benar-benar merinduinya selama ini, timbul rasa kesal atas ketelanjurannya melarikan diri dari kerajaan di bawah samudera dahulu.
“Anakanda juga memohon ampun atas kesalahan anakanda pada bonda, kekanda-kekanda dan adinda Shahrul Arifin. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Kita lupakan segala perselisihan antara kita” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Jalnar Al-Bahriyyah kemudian mengkhabarkan kepada sekelian saudaranya serta bonda tentang pengembaraannya sehinggalah dia berkahwin dengan Sultan Badruzzaman. Tambah mengembirakan sekelian tetamu itu ialah Jalnar Al-Bahriyyah sedang berbadan dua.
“Kerana itu anakanda tidak dapat kembali ke kerajaan Bahr El-Alam buat sementara. Tambahan pula kasih sayang baginda sultan yang mendalam pada anakanda membuatkan anakanda rasa bersalah untuk meninggalkan baginda sultan” kata Jalnar Al-Bahriyyah mengangkat hidangan mempersilakan tetamunya untuk santap.

Mendengarkan kata-kata Jalnar Al-Bahriyyah itu, amat besarlah hati Sultan Badruzzaman. Padan benarlah Jalnar Al-Bahriyyah ini menjadi kesayangan beta, fikir hati Sultan Badruzzaman.

Sebaik sahaja sekelian tetamu itu ingin menjamah hidangan, masing-masing terfikirkan bahawa sultan yang diperkatakan oleh Jalnar Al-Bahriyyah itu tiada bersama-sama.
“Hai Jalnar Al-Bahriyyah, ke manakah sultan yang kamu agung-agungkan itu. Adakah dianya hanya satu penipuan kamu atau kamu sengaja ingin kami membelakangkan baginda?” tegur Permaisuri Zainab dengan murka. Serentak dengan itu sekelian saudaranya segera berpaling dari melihat wajah Jalnar Al-Bahriyyah tanda terlalu benci. Suasana menjadi tegang dan panas. Wajah Jalnar Al-Bahriyyah yang tadinya seperti bintang kejora bertukar suram dilanda mendung.

“Jangan kamu sekelian merasakan bahawa anakanda membelakangkan sultan itu. Sesungguhnya sultan sejak dari tadi sudah adinda minta baginda bersembunyi di sebalik kamar anakanda supaya bonda dan sekelian saudara tidak merasa kekok untuk kita kembali berbual-bual” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

“Kekanda, kekanda tentu mendengar perbualan adinda dengan bonda dan saudara adinda bukan? Sekarang kekanda keluarlah dari situ” panggil Jalnar A-Bahriyyah sambil tersenyum tanpa beralih pandangan matanya dari sekelian tetamu.

Keluarlah Sultan Badruzzaman dari kamar Jalnar Al-Bahriyyah menyambut kedatangan tetamu-tetamu baginda. Masing-masing tetamu yang hadir mengungkapkan tasbih membesarkan Allah atas keindahan wajah Sultan Badruzzaman. Maka, tinggallah tetamu-tetamu itu di istana Jalnar Al-Bahriyyah selama 40 hari 40 malam dengan penuh kegembiraan dan sukacita sebelum tetamu itu bertangisan pulang semula ke Kerajaan Bahr El-Alam.

Setelah cukup usia kandungan Jalnar Al-Bahriyyah 9 bulan 10 hari, Jalnar Al-Bahriyyah pun gering ingin melahirkan anak. Baginda merasa teramat gusar lalu segera dipanggilkan bidan diraja. Tidak lama kemudian, Jalnar Al-Bahriyyah selamat melahirkan seorang putera yang cantik. Wajahnya bersinar-sinar ibarat bulan purnama. Baginda sultan menamakan putera baginda itu dengan nama Badrun Basim.

Setelah habis pantang, baginda sultan mengadakan kenduri besar-besaran sambil bersedekah pada sekelian hamba rakyat sambil mengucap syukur atas segala kurniaan yang dilimpahkan ke atas sekelian rakyat dan baginda sultan. Turut dijemput di majlis itu sekelian raja-raja, kaisara-kaisara dan sultan-sultan dari negara yang berhampiran. Tida lupa dijemput adalah Sultan Shahrul Arifin, adinda Jalnar Al-Bahriyyah yang juga ayahanda saudara Badrun Basim.

Sebaik sahaja Shahrul Arifin melihat Badrun Basim itu, terus dirangkulnya. Dipeluk dan diciumnya. Terus dibawanya Badrun Basim itu berputar-putar di dalam Balairong Seri itu seperti mahu dibawanya bayi itu menari. Sekelian yang hadir di dewan itu bagaikan terpukau melihat telatah Shahrul Arifin itu.
Sekonyong-konyong, Shahrul Arifin beserta bayi itu terapung di udara sebelum laut terbelah dan Shahrul Arifin melayang masuk ke lautan yang bergelora bersama bayi itu. Melihatkan kejadian itu, sekelian yang hadir menjadi gempar. Sultan terlalu terperanjat sehingga jatuh dari tahtanya. Dada Sultan Badruzzaman berombak-ombak menahan sebak bila mengenangkan buah hati pengarang jatuh baginda bakalan lemas di dalam lautan itu.

Tuesday, October 28, 2008

Hikayat Badrun Basim

Adapun, tersebut di dalam kisah, terdapat sebuah kerajaan yang besar lagi agung yang memerintah negeri di bawah samudera. Bahr el-Alam nama kerajaan tersebut. Diperintah oleh seorang maharajah yang bernama Shah Akbar. Besarnya kerajaan laut ini meliputi dari terbit matahari hingga ke santak senja jika diukur dengan saujana mata yang memandang. Rakyatnya sebagaimana jua rakyat yang mendiami kerajaan di atas bumi, masing-masing terdiri daripada peniaga-peniaga, petani, penternak, cendiakiawan, laskar-laskar dan juga hamba sahaya.

Ada pula Shah Akbar itu berputerakan tujuh orang putera dan puteri. Enam orang puteri dan seorang putera yang telah dinobatkan sebagai putera mahkota kerajaan negeri yang bakalan menggantikan Shah Akbar sekiranya Shah Akbar tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara. Shahrul Arifin si putera bongsu. Demikianlah nama putera mahkota tersebut. Sungguh tampan dan kacak ibarat bulan purnama airmukanya. Bijak dalam ilmu dunia dan akhirat serta pandai juga bermain senjata.

Manakala puteri-puteri baginda yang berenam itu sangat cantik lagi jelita sehingga tiada tolok bandingnya di zaman itu. Masyhur nama puteri-puteri ini sehingga menjadi idaman sekelian teruna yang menduduki alam ini. Adapun yang paling cantik antara sekelian puteri berenam itu adalah puteri yang paling muda. Jalnar Al-Bahriyyah nama diberi. Kecantikan Jalnar Al-Bahriyyah ini dikatakan mampu memadamkan cahaya batu permata dan sekelian perhiasan di dunia ini dek kecantikan yang dimiliki oleh baginda.

Diriwayatkan putera puteri ini saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Jika satu ditimpa malang, tiadalah senang akan yang lainnya.

Setelah beberapa lama memerintah, pada suatu masa yang ditetapkan oleh Allah SWT, Shah Akbar telah jatuh gering. Oleh kerana terlalu beratnya gering baginda itu, baginda sultan merasakan bahawa hayatnya tidak hanya beberapa lama. Lalu baginda sultan memerintahkan agar sekelian putera dan puteri baginda beserta permaisuri datang mengadap supaya dapat baginda menyampaikan amanat terakhir baginda buat panduan ahlil keluarga baginda yang masih hidup.

Baginda berpesan kepada permaisuri, putera Shahrul Arifin dan puteri-puteri baginda agar hidup rukun dan damai serta saling hormat menghormati sesama mereka. Tidak lupa dipesankan agar ahlil keluarga baginda senantiasa menuruti segala suruhan Allah dan Rasul serta menjauhi segala yang ditegah oleh agama. Tidak berapa lama sesudah itu, Shah Akbar pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Setelah berakhir urusan pengkebumian dan tempoh berkabung, Shahrul Arifin kemudiannya dimahkotakan menjadi sultan di negara Bahr El-Alam yang baru. Pertabalan itu dibuat secara besar-besaran sesuai dengan kehebatan negara yang besar. Setelah majlis pertabalan berlangsung, maka Shahrul Arifin melaksanakan segala urusan yang telah dirancanakan oleh ayahanda baginda. Adapun Shahrul Arifin itu terlalu pemurah dan adil sebagaimana ayahanda baginda jua adanya.

Bak kata pepatah, lidah lagi tergigit. Inikan pula adik beradik sekandung. Entah di mana silapnya, pecah perselisihan faham antara Shahrul Arifin dan kekandanya Jalnar Al-Bahriyyah. Masing-masing terlupa akan pesanan serta wasiat ayahanda maka ribut perselisihan itu menyebabkan Jalnar Al-Bahriyyah merajuk jauh hati lantas naik ke daratan menyerahkan dirinya kepada orang di darat.

Naiklah Jalnar Al-Bahriyyah ke daratan sehingga dia sampai ke jaluran pantai yang panjang, bersih memutih. Di bawah cahaya rembulan, Jalnar Al-Bahriyyah duduk di pasiran pantai itu sambil menangisi mengenangkan untung nasibnya.

Di saat dia duduk di pantai itu, tiba-tiba lalulah seorang pemuda yang tampan mendekatinya. Akan tetapi, rupanya pemuda itu berniat serong. Dia mahu melakukan kemasuman terhadap Jalnar Al-Bahriyyah namun Jalnar Al-Bahriyyah sempat melontarkan seketul batu yang besar ke kepala pemuda itu sehingga menyebabkan pemuda itu akhirnya luka parah.

Setelah itu Jalnar Al-Bahriyyah jatuh ke tangan seorang darwish. Darwish itu seorang yang baik budi. Dia tidak berniat itu memperisterikan Jalnar Al-Bahriyyah yang cantik jelita itu akan tetapi darwish itu berkira-kira untuk mendapatkan kurniaan sultan yang memerintah negeri itu.

Adapun negeri itu bernama Nur El-Huda yang diperintah oleh seorang sultan yang agung yang bernama Sultan Badruzzaman. Dikatakan pada ketika itu, tiada kerajaan di muka bumi ini yang dapat menandingi kehebatan Kerajaan Nur El-Huda ini. Sultan Badruzzaman itu sultan yang masyhur, kaya raya dan ternama tetapi sayang tidak berputera.

Darwish itu kemudiannya membawa Jalnar Al-Bahriyyah dan mempersembahkan puteri itu kepada Sultan Badruzzaman. Tatkala melihatkan kecantikan Jalnar Al-Bahriyyah yang sungguh luar biasa itu, Sultan Badruzzaman setuju memperisterikan Jalnar Al-Bahriyyah itu dengan memberikan darwish itu sekarung wang emas.

Untuk Jalnar Al-Bahriyyah, Sultan Badruzzaman telah membina sebuah istana yang indah mengadap arah Laut Arab yang terbentang luas itu. Tinggallah Jalnar A-Bahriyyah di dalam istana itu bersama suaminya Sultan Badruzzaman itu. Namun setelah beberapa lama menjadi isteri baginda, Sultan Badruzzaman mendapati isterinya tidak pernah mengeluarkan sepatah perkataan pun. Lagaknya seperti orang bisu. Hanya bahasa dan lenggok tubuhnya sahaja yang menjadi bahasa perhubungan antara mereka berdua. Saban hari Jalnar Al-Bahriyyah akan duduk memandang luar jendela melihat jauh ke arah Lautan Arab yang bergelora. Tiada dia pedulikan akan suaminya dan lain-lain hal di istana itu.

Semakin hari semakin Jalnar Al-Bahriyyah yakin bahawa dia kini sudah berbadan dua dengan putera Sultan Badruzzaman. Dia terus memandang ke luar jendela tanpa rasa jemu.

Melihatkan keadaan isteri baginda yang kelihatannya tidak bahagia membuatkan jiwa Sultan Badruzzaman semakin hiba. Di suatu petang, Sultan Badruzzaman membawa Jalnar Al-Bahriyyah bersiar-siar di taman istana yang berhadapan dengan laut itu untuk menghiburkan hati keduanya.
“Adinda, ketahuilah wahai adinda, sesungguhnya kanda amat menyintai adinda. Terlalu besar cinta kanda sehingga jika boleh, nyawa pun ingin kanda serahkan pada adinda. Kanda ingin membahagiakan jiwa adinda. Akan tetapi kanda tidak tahu samada adinda bahagia atau tidak hidup adinda di samping kanda. Apalah gunanya harta yang melimpah ruah jika kanda kanda tidak berupaya untuk membahagiakan adinda, untuk beroleh seorang putera” kata Sultan Badruzzaman.

Mendengarkan rintihan Sultan Badruzzaman itu, timbullah rasa belas di hati Jalnar Al-Bahriyyah. Tambahan pula layanan Sultan Badruzzaman yang mesra itu membuatkan Jalnar Al-Bahriyyah sudah jatuh cinta kepada Sultan Badruzzaman.

“Ampun Tuanku beribu ampun, patik mendatangkan sembah..”

Sultan Badruzzaman seakan tidak percaya mendengar lontaran suara merdu itu. Baginda terperanjat bercampur bahagia.


Bersambung

Tuesday, October 14, 2008

Purnama Merindu

Saya masih ingat lagi malam itu, satu malam di penghujung bulan Ramadhan yang jatuhnya di sekitar tahun 1981. Masa itu saya masih tersangat kecil. Baru berusia 7 tahun tetapi sudah punya dua orang adik yang berusia 4 tahun dan juga 2 tahun. Sambutan Ramadhan di kampung sangat meriah. Malam 7 likur disambut umpama pesta. Di masjid-masjid, akan ada moreh yang menunya akan lebih istimewa berbanding minggu-minggu sebelumnya. Masjid-masjid penuh sesak dengan jemaah yang senantiasa mengharapkan keberkatan seribu bulan. Manakala di halaman masjid dan di halaman rumah, kanak-kanak berlari ria bermain bunga api sambil mengelilingi pelita panjut yang dipasang memanjang menerangi laluan ke masjid.

Selesai bersolat Isyak, saya pantas berlari pulang ke rumah. Ingin sangat melihat orang bermain bunga api. Apak hanya seorang guru sekolah. Pendapatannya tidak seberapa untuk menyara 7 orang anak yang masih kecil. Tiada wang yang berlebihan untuk memberi anak bermain bunga api. Lagi pula, bermain bunga api itu membazir. Ibarat membakar wang, kata Apak. Untuk itu kami adik beradik hanya mampu menggigit jari memandang kanak-kanak lain yang kenikmatan membakar mercun yang beraneka rupa. Sedang kami, jika dapat bermain bunga api itu pun sudah kira bernasib baik.

“Indera, marilah sini. Main bunga api dengan kita” laung Marziah, budak sebaya saya yang tinggal berjiran dengan kami. Oleh kerana dia anak yang sulung, saya memanggilnya dengan gelaran Along.

Saya menghampirinya. Melihat bunga apinya yang membakar dengan nyalaan indah. Saya tersenyum. Asap dari bunga api itu berkepul-kepul naik ke udara membikin dada langit yang hitam pekat menjadi sedikit kelabu.
“Kenapa awak berdiri saja? Awak tak ada bunga api ke?” tanya Along.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ahhh… tidak mengapalah. Jika saya tidak dapat bermain bunga api, saya masih boleh menikmati keindahan pancarannya.
“Achik Man kita balik dari Ipoh petang tadi. Dia bawak banyak bunga api. Macam-macam mercun ada” kata Along sambil memperlihatkan seberkas bunga api yang terkumpul di atas suratkhabar tidak jauh dari kakinya.

Saya menoleh ke arah tangga rumah Mak. Adina, adik saya yang berusia 4 tahun itu sedang melompat-lompat melihat bebola api berbagai warna melintasi bumbung kedai di hadapan rumah. Kasihan Adina…. Pasti dia ingin sangat merasa bermain bunga api. Saya berundur beberapa meter dari tempat Along bermain mercun lantas berdiri tercegat seakan terpegun dengan percikan bunga api itu.

“Indera, Indera…..!!” saya terdengar suara seseorang melaung memanggil nama saya dari arah rumah Opah Esah. Achik Man rupanya…!!

“Kenapa Indera tak main bunga api sama dengan Along?” tanya Achik Man.
“Errr… saya tak ada bunga api”
“Apak tak belikan ke?” tanya Achik Man lagi.
“Apak… Apak kata dia tak ada duit nak beli bunga api”
“Indera suka main bunga api?”
Saya mengangguk.
“OK, kalau macam tu, Indera ambil ni” kata Achik Man sambil mengunjukkan seberkas bunga api yang saya kira berjumlah 30 batang.
“Tapi ingat…, main hati-hati. Jangan terkena orang lain. Kalau kena orang lain, Achik Man tak nak bagi bunga api lagi tau!!”
“Tahu Achik Man. Terima kasih” kata saya bersorak riang berlari pulang ke rumah.

Saya sedang berkira-kira untuk membakar bunga api itu bersama Adina dan abang saya, Khairul sebelum laungan Mak dari arah dapur rumah membantutkan hajat kami bila Mak mengingatkan kami agar segera masuk ke rumah kerana Apak akan pulang dari masjid bila-bila masa sahaja. Ahhhh… tidak mengapalah. Malam esok masih ada, fikir saya.

Keesokkannya, di sebelah petang, sewaktu Mak sedang siap menyiapkan juadah berbuka puasa, saya pula sibuk mengisi pelita dengan minyak tanah. Di waktu itu, rata-rata rumah di kampung tidak mempunyai bekalan elektrik. Malamnya hanya diterangi dengan pelita minyak tanah sahaja. Minyak tanah pula harganya murah. Hanya 30 sen boleh dapat sekati minyak.
“Abang Chik, bila kita nak main bunga api?” tanya Adina.
“Malam ni laaa… petang-petang tak cantik main bunga api”
“Tapi janji jangan cakap dengan Apak tau!!” kata saya memberi amaran kepada Adina.
“Janji tu apa?”
“Janji pun tak tahu… Jangan cakap dengan Apak jelah”
Adina mengangguk tanda setuju.

Setelah mendapat keizinan Mak, saya beserta abang dan adik saya mula membakar mercun di tepi tangga rumah Mak yang lantainya baru siap dilepa dengan simen licin oleh Pakcik Mad Peri. Itulah pembaharuan bagi rumah kami untuk menyambut hari raya tahun ini. Tiada langsir baru. Tiada perabot baru. Tetapi sekurang-kurangnya tiada lagi kasut tetamu yang dikotori tanah jika ditinggalkan di luar rumah setiapkali datang berkunjung.

Bersama-sama Along dan adik beradiknya, juga dengan adik beradik saya, saya membakar bunga api itu satu persatu. Melihat pancarannya yang bersinar indah, sudah cukup membikin hati saya kembang setaman.
“Indera, Indera… tengok ni” kata abang saya.
Dia mematahkan bunga api itu menjadi keratan yang kecil sebelum menyalakannya di pelita panjut. Sesudah keratan itu menyala, segera abang saya melemparkan ke atas lantai simen yang keras dilepa. Bunga api kecil itu kemudian bergerak dengan laju akibat tolakan nyalaan api menjadikannya kelihatan seperti sejenis mercun yang baru.

Saya jadi seronok dan teruja untuk mencuba. Setelah percubaan pertama berjaya, saya bersorak riang. Bunga api yang menjadi bahagian saya itu saya patah-patahkan. Saya nyalakan dan kemudiannya saya lemparkan ke atas simen berulang-ulang kali.

Kata orang, jika terlampau suka tandanya akan mendapat duka. Saya mencapai sepotong keratan bunga api itu dan sedia untuk menyalakannya. Tanpa saya sedari, Adina betul-betul berada di belakang saya. Sebaik saya berpusing ke belakang melemparkan bunga api yang bernyala garang itu, bunga api itu terus hinggap dan melekat di pergelangan tangan Adina yang kecil. Hairannya, bunga api itu terus membakar dan….
“Makkkkkkkk….. sakiiiiiittttttt” jerit Adina kesakitan.
Saya terpaku. Gagal berbuat apa-apa. Hanya mampu melihat nyalaan bunga api itu memamah tangan adik saya.

Mak meluru keluar. Adina sudah jerit pekik kesakitan.
“Indera…!!! Apa yang kamu buat ni?” marah Mak
Saya terpaku. Bingung bercampur takut.

Apak tiba-tiba muncul dengan air muka yang amarah. Di tangannya tergenggam sebatang kayu api. Tanpa tangguh Apak membelasah kaki dan punggung saya seperti orang hilang akal.
“Apak… jangan pukul lagi. Indera janji tak buat lagi. Sakiiiiiitttt!!” raung saya di tengah halaman. Along dan adik-adiknya, mereka masing-masing terpaku. Abang-abang dan kakak-kakak saya berdiri ketakutan memandang saya yang sedang dibelasah teruk oleh Apak.
“Apa nak jadinya kamu ni hah? Perangai macam hantu.. Tak pernah nak menyenangkan aku” Apak mengamuk masih belum puas membalun saya.

Suasana gamat. Teriak tangis saya berselang seli dengan teriak kesakitan Adina dan rayuan dan tangisan Mak.
“Abang… sudahlah tu, sudahlah. Benda dah jadi, nak buat macam mana lagi??” Mak menangis cuba membawa saya dalam pelukannya. Tetapi gagal. Hayunan kayu Apak tetap menghambati saya. Sesekali Mak mengerang kesakitan apabila hayunan kayu Apak tersasar mengenai tubuh Mak. Saya rasakan tubuh saya sudah kebas.

“Abang Suria… Cukup tu!!” tiba-tiba saya terdengar suara garau.
“Aku kata cukup, cukup!!” saya melihat seorang lelaki memegang tangan Apak. Achik Man!!!!
“Ingat Abang Suria. Kita ni dalam bulan puasa…” kata Achik Man lagi. Apak menghempaskan kayunya ke tanah, menyambar Adina yang kesakitan sebelum menderu laju dengan kereta menuju ke hospital. Saya jatuh terjelepuk ke tanah.

“Kak Dah…. Dalam hal ni, sayalah yang bersalah. Saya yang memberi bunga api tu pada Indera. Saya tak tahu benda ini pula yang akan terjadi. Maafkan saya” kata Achik Man.
“Tak apalah Man. Man tak salah apa-apa. Dah memang kerenah budak macam tu” kata Mak sambil menyapu airmata.

Achik Man mengangkat dan mencempung saya masuk ke rumah sebelum meletakkan saya di atas katil. Setelah itu, Achik Man segera pulang ke rumah Opah Esah.

Malam itu, setelah semua orang nyenyak tidur, saya bangun dari katil. Kaki saya menggigil-gigil menahan kesakitan bekas pukulan Apak. Saya menghampiri Adina yang terkaparan. Sekali-sekala, terdengar sedu-sedannya yang masih berbaki.

Saya melihat luka terbakar yang berlitup dengan balutan kain putih. Saya baring di sisinya. Saya cium pipinya. Di telinganya saya berbisik…

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

*************************
Ogos 2002

Perkahwinan Adina dirancang untuk dibuat dalam suasana yang sederhana tetapi mahukan kemeriahan. Maklum sahajalah, dia anak perempuan bongsu. Walaupun akan ada majlis perkahwinan lagi selepas ini, kerana Andika yang paling bongsu masih belum berkahwin, manakan sama dengan majlis ini. Andika itu lelaki. Bagi masyarakat kami, perkahwinan anak lelaki tidak semeriah perkahwinan anak perempuan. Ini mungkin disebabkan pihak lelaki yang mengeluarkan belanja, menjadikan kenduri pihak keluarga lelaki tidak dapat menyaingi kemeriahan perkahwinan anak perempuan.

Adina kelihatan anggun dengan kebaya berwarna hijau, berseri-seri untuk diinaikan. Dia sudah besar kini. Dia bukan lagi kanak-kanak berusia 4 tahun. Dia kini wanita yang sedang menongkah hirarki di sebuah Bank terkemuka di Kuala Lumpur. Dia berseri dalam usia 25 tahun. Paling disayangi dalam keluarga. Paling cantik dan paling bijak.
“Mak nak kamu semua adik beradik ambil giliran meletakkan inai di jari Adina. Mula dengan kamu Azhar” kata Mak pada Yeop, abang saya yang sulung.

Setelah memberi satu ciuman di pipi Adina, abang saya itu meletakkan inai di ibu jari Adina. Seorang demi seorang kami mengambil giliran sehingga sampai giliran saya. Sepatutnya saya akan meletakkan inai itu di jari kelingking Adina kerana saya anak kelima, akan tetapi saya terpaksa menginaikannya di jari manis kerana saya mengambil tempat Khairul yang masih belum tiba dari Kuala Lumpur kerana masih belum mendapat pelepasan kerja.

“Haaahh!! Tak nak cium orang ke? Sikit je tau…” kata Adina mengusik saya.

Saya tersenyum. Sewaktu meletakkan inai di jari manisnya, saya terpandangkan parut bekas bunga api dulu. Ketika itu saya jadi tidak keruan. Pandangan saya kabur. Setitis air jernih jatuh ke lantai.
“Sorry.. peluh menitik pulak” kata saya cuba mengawal keadaan apabila Adina kelihatan terkejut.

Saya bingkas bangun menuju ke serambi rumah sambil melihat Adina ketawa diusik sepupu-sepupu kami dari jauh. Barangkali juga mereka mengusik Andika yang sedang meletakkan inai terakhir di jari kelingking Adina.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

*****************************
September 2008

“Mak mesti tahu kan…. Dah berapa lama Adina tiba di Malaysia?” kata saya pada Mak sewaktu kami melewati Tol Subang dalam perjalanan pulang ke Perak. Jalan sesak. Jam telah pun menunjukkan angka 6. Sejam dari sekarang, azan Maghrib akan berkumandang. Maka tibalah waktu berbuka puasa. Jangankan separuh jalan, suku perjalanan pun kami masih belum ditempohi lagi. Nampak gayanya terpaksalah kami berbuka puasa di hentian rehat di mana-mana nanti.

“Dah dua minggu. Kenapa…?” tanya Mak.
“Ya… dah dua minggu” kata saya sambil mengeluh panjang.
“Kenapa ni?” tanya Mak kehairanan.

Adina sudah dua minggu tiba dari Scotland setelah tamat pengajian peringkat Masters di Edinburgh. Sepanjang setahun dia di sana, tiada panggilan telefon yang saya terima daripadanya. Tiada email. Tiada surat. Saya memujuk hati saya. Barangkali Adina itu banyak tugasan. Ya, banyak tugasan. Jika banyak tugasan, kenapa dia boleh menghubungi adik beradik saya yang lain? Adakah dia terlupa yang dia masih punyai seorang lagi saudara lelaki? Untuk itu, sengaja saya uji ingatannya terhadap saya. Sewaktu dia sekeluarga tiba di KLIA, saya pula pulang ke kampung. Dua minggu berlalu, saya masih tidak menerima sebarang panggilan darinya.

“Sudah dua minggu. Sudah dua minggu dia tiba di Malaysia ni, tiada panggilan telefon yang saya terima dari Adina. Dia dah lupakan saya, Mak”
“Janganlah kamu berkecil hati. Dia ingat pada kamu. Kalau dia tak ingat, masakan ada ole-ole untuk kamu sekeluarga. Jika tidak ingat, tiada dibelikannya hadiah untuk kamu semua” kata Mak.
“Saya bukan nak hadiah, Mak. Saya nak adik saya. Saya mahukan panggilan tanda ingatan dari dia”
“Dia beli barang tu tanda dia ingatlah tu pada kamu” kata Mak lagi.
“Jadi, selama ini dia mengingati orang dengan bendalah, ye Mak? Saya bukan mahukan kebendaan”
“Entahlah… Mak tak faham dengan kamu ni”

Jalan mulai lengang sewaktu kami melewati Hentian Rehat dan Rawat di Rawang. Saya singgah membeli juadah untuk berbuka puasa. Dari kejauhan, Banjaran Titiwangsa membiru menganjur dari utara hingga ke selatan.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”

***********************
30 Ramadhan 1429H (Sehari sebelum Aidil Fitri 2008)

Cucu-cucu Mak berhambat kejar di halaman rumah Mak. Lelaki perempuan. Sama lasak, sama handal. Cucu-cucu Mak yang lelaki, yang besar-besar bermain mercun bola di bawah pokok mempelam. Letupan mercun yang kuat itu bisa sahaja membikin jantung saya seakan mahu gugur.
“Baik-baik, jangan terkena orang!!” laung Makcik Minah di sebelah rumah. Dari serambi rumah Allahyarhamah Opah Esah, Achik Man tersenyum memandang saya yang baru tiba bersama Siri Aufa dan Adil Rayyan.

Saya terpandangkan Azamuddin, anak sulung Adina berlari masuk ke dalam rumah.
“Mama, mama… Can I play with them?” terdengar suaranya bertanya pada seseorang. Pastinya Adina ada di dalam rumah Mak.

Adina muncul setelah 15 minit saya tiba bersama bungkusan hadiah untuk saya. Saya memandangnya. Saya bukan inginkan hadiah darinya. Saya inginkan bingkasan rindu darinya. Demi menjaga hati semua orang, bungkusan itu saya genggam erat.
“Oklah… orang dah siap dah ni” kata Adina memandang semua orang di dalam rumah itu.
“Kamu nak pergi mana, dik?” tanya saya.
“Dina tahun ni beraya di rumah mertua Dina. Raya kedua baru balik sini?”
“Tak tunggu sekejap lagi?” tanya saya.
“Dah lewat dah ni..”

Ketika Adina ingin memasukkan barang-barang ke dalam kereta, saya mencapai anak keduanya yang sedang didukung. Sewaktu dia menghulurkan anaknya pada saya, saya terpandangkan parut bekas bunga api dulu.
“Pandu hati-hati” pesan saya pada suami Adina.

Sewaktu kereta itu bergerak, saya membilang waktu. Hanya 10 minit saya berpeluang bersama Adina.

“Abang sayang engkau, dik…. Abang sayang engkau sampai bila-bila”


Hiaskanlah cinta di jari manisku
Sinarkan bagai gemerlap kencana
Tandakanlah kasih di mercu kalbu
Serikanlah purnama yang merindu

Sunday, October 05, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Saya : Cantik gambar ni kan..?

Azah : Haah.. Tapi Dunlopillo abang tu cover-cover la sikit

Saya : Amboiii... laser la pulak isteri abang ni. Kot ya pun, jangan la panggil dunlopillo **jeling tak puas hati**

Azah : Abis tu nak panggil apa?

Adik Ipar Aku : Haah bang, abis tu nak panggil apa? Air bag? Absorber kereta?

Saya : Sadap yu!!!!!



Di kesempatan ini, saya memohon sepuluh jari ingin memohon jutaan kemaafan andai ada salah silap kata-kata saya sepanjang kita berkenalan di alam maya ini. Saya berdoa ke hadrat Allah, agar blog ini akan menjadi wasilah untuk kita mengeratkan silaturrahim sesama kita hingga ke akhir hayat. Maaf zahir dan batin dari Indera Kencana sekeluarga.

Monday, September 08, 2008

Datanglah ke dalam hatiku, Ramadhan...

Ramadhan ini tidak lagi seperti dahulu. Saya sendiri pun tidak tahu, sejak bila saya tidak lagi merasai kemeriahan Ramadhan. Jika dahulu, kedatangan Ramadhan akan membuatkan saya penasaran. Memikirkan bahawa saya seharusnya mempersiapkan diri untuk menahan lapar dan dahaga di sepanjang hari dalam tempoh sebulan. Maka, di dalam keazaban meniti Ramadhan itu, pastinya akan disulami dengan pelbagai macam ragam dan kerenah saya yang mewarnai Ramadhan tahun-tahun tersebut. Dulu Ramadhan sememangnya meriah.

Kini Ramadhan datang lagi. Namun datang dan perginya seperti sudah tidak berbekas di hati saya. Hati saya menerima sepenuhnya kedatangan bulan yang mulia ini. Tetapi saya agak hairan. Kenapa tiada lagi kemeriahannya menerpa ke dalam hati?.
“Subhanal malikil Ma’buud.. Subhanal malikil maujuud…”

Laungan yang sering dibacakan setiapkali rakaat silih berganti. Namun suara yang keluar dari mulut saya bagaikan mendatar. Tidak seperti tahun-tahun saya di alam persekolahan dahulu. Laungan ini akan bergema membelah hening masjid sehingga menggetarkan hati insan-insan yang mendengarnya.

Saya merasakan kehilangan sesuatu. Sesuatu yang saya sendiri tidak pasti. Namun apa yang pasti, kehilangan itu semakin kuat dirasai ketika hadirnya Ramadhan. Saya berharap, saya berupaya menemui jawapannya. Akan tetapi sehingga kini jawapan itu masih tidak saya ketemui.

Apa yang pasti, di saat ini saya kesunyian. Kesunyian ini akan diisi dengan segala memori indah di masa lampau yang saya kira umpama racun yang lazat. Semakin dikenang, semakin saya asyik. Tanpa saya sedari bisanya sudah menular menyerap ke segenap ruang hati. Sungguhpun saya menginsafi akan kesan kenangan-kenangan ini pada jiwa raga saya, saya tetap enggan melepaskannya pergi.

Di saat kesunyian ini, saya akan mengenangkan orang-orang yang telah lama pergi meninggalkan saya. Mengingati saat-saat keriaan menyambut Ramadhan bersama mereka. Lantas hati saya menjadi sebak. Kemudian akan timbul perasaan bahawa saya ini sepatutnya sudah pun mengikuti jejak langkah mereka yang pergi. Akan tetapi masa saya sahaja yang masih belum sampai lagi…

Mak selalu bising apakala saya menyuarakan rasa hati saya lewat tahun-tahun kebelakangan ini.
“Jangan dilayan bisikan syaitan!!” sergah Mak.

Entahlah Mak. Saya sedar bahawa bintang saya tidak secerah bintang orang lain. Saya pasrah. Segalanya itu sudah ditetapkan oleh Allah di Lauhil Mahfudz lagi. Saya sudah berusaha mengubah nasib saya. Akan tetapi, takdir itu masih juga berdegil untuk bertukar bentuk. Lantas menerbitkan kesedihan yang mendalam di dalam jiwa saya. Saban hari, saban malam saya mengadu kepada Allah akan permasalahan saya ini. Tidak putus doa saya.
“Hatimu tidak tenang sebenarnya Indera. Fikiranmu dan hatimu tidak sekata. Tidak sejiwa. Kerana itu engkau sering sahaja tidak memperolehi apa yang engkau inginkan” kata seorang teman.

Benarkah begitu?

Ramadhan ini akan memasuki hari kesepuluh. Di hari yang kesepuluh hingga hari yang kesembilan belas ini, keampunan Allah akan berlumba-lumba turun memayungi sekelian umat manusia yang berhajat kepadanya.
“Bukalah pintu hatimu untuk menerima cahaya Ramadhan ini, Indera” teringat kata-kata Abang Azizuddin, senior saya di sekolah sewaktu kami sama-sama mengikuti usrah seusai solat Asar dulu. Saya sentiasa ingat kata-kata itu, bang…. Tetapi bagaimana pula jika saya tidak dapat melihat kedatangan Ramadhan itu?
“Jika engkau tidak dapat melihat dengan mata zahir, lihatlah dengan mata hati” kata Abang Zul, station master IntraKota yang bertugas di Melawati.

Saya menghela nafas panjang. Ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan, bukanlah pada menahan rasa lapar dan dahaganya sahaja. Tetapi lebih daripada itu. Ramadhan itu sebenarnya punya jiwa dan rasanya tersendiri. Ianya akan berkunjung kepada sesiapa yang benar-benar sudi menerima kedatangannya. Ramadhan itu persis seorang manusia datang bersama hadiah dan pemberian yang bertamu ke serambi rumah. Jika betul dengan cara dan gayanya, Ramadhan akan datang berkunjung memeriahkan anjung hati. Jika tidak betul gayanya, Ramadhan akan merajuk pergi meninggalkan kita sendirian. Entah bila akan hilang rajuknya.

DARIPADA Sahl bin Sa’ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Indera : Selamat berpuasa buat seluruh muslimin dan muslimat

Tuesday, August 19, 2008

Konsert Fotograf 1992 - Pesta Laut Lumut


Saya memulas tombol pintu rumah Cikgu Radzi. Ehhhh..? tidak berkunci. Tetapi tiada kelibat manusia pun di dalam rumah itu. Barangkali Cikgu Radzi ke dewan makan asrama untuk makan malam. Peti television yang terpasang tanpa siapa yang menontonnya. Dari corong suara, jelas kedengaran suara lunak Aziah Jasmin, pembaca berita TV3 sedang membaca berita setempat yang berlaku di siang hari tadi.

Saya berkira-kira untuk masuk. Walaupun rumah Cikgu Radzi, cikgu bujang terlajak itu begitu biasa dengan saya, namun apabila bersendirian, saya tetap teragak-agak untuk masuk. Bimbang sekiranya terdapat kehilangan barang, lantas saya dituduh mengambil barang orang. Terus saya duduk di bangku panjang di hadapan rumah itu sambil mengadap malam yang pekat.

Sejak tamat peperiksaan SPM, rumah cikgu bujang itulah tempat saya dan kawan-kawan berkumpul menghabiskan masa. Bukan ada aktiviti khusus. Sekadar menonton kaca television. Bukan tidak boleh menonton di rumah Mak, tetapi menonton television di rumah cikgu itu juga tetap lebih menyeronokkan. Sementelahan guru itu pula langsung tidak ambil kisah dengan kehadiran kami. Bahkan ada juga teman penghiburnya di kala bersendirian tanpa kehadiran seorang insan bergelar isteri.

Entah kenapa sejak tamat peperiksaan ini, Mak dan Apak seolah-olah kurang ambil endah tentang aktiviti seharian saya. Jika dulu saya harus berada di rumah sebelum jam 7.00 malam, kini jika saya beralasan tidur di rumah Cikgu Radzi atau tidur di surau selepas bermain rebana, Mak dan Apak tidak bertanya lanjut. Mungkin Mak dan Apak menyedari disiplin yang dikenakan ke atas kami adik beradik membuatkan saya tidak mengenali masyarakat kampung dan golongan tuanya. Jadi setelah saya tamat sekolah dan setelah saya menyuarakan keinginan hati untuk mempelajari seni bermain rebana, Mak dan Apak merasakan mereka harus bertolak ansur.

Alang menyertai saya duduk di bangku panjang itu. Setelah Tok Haji Suffian menamatkan bacaan doa seusai Solat Isyak tadi, dia mengadu perutnya memulas-mulas. Lewat ke tandas agaknya dia.
“Cikgu Radzi mana?” tanya Alang.
“Entah…!! pergi makan kot” jawab saya.
“Habis tu siapa yang tengok TV tu..?” tanyanya lagi.
“Hantu” jawab saya pendek.

Kami duduk mengelamun. Memandang jauh ke padang bola yang diselubungi kegelapan. Di seberang itu pula, rumah Tok Musa. Ayah si Alang. Jaraknya dengan rumah Cikgu Radzi tidak sampai 400 meter. Namun sejak tamat sekolah ini, boleh dikatakan setiap malam, tidur Alang harus di rumah Cikgu Radzi.

Pabila tangisan embun pagi
Mimpi indah
Entah ke mana menghilang
Itulah kenyataan


“Indera, lagu Fotograf “Di Alam Fana Cintamu” memang sedap gilalah. Engkau suka lagu tu tak?”
“Hurrmmmm… tak sedap langsung. Aku suka lagu “Takdir dan Waktu” kumpulan Mega” sahut saya.
“Huhhh… engkau memang tak sama selera dengan aku. Memang dari dulu lagi” kata Alang separuh sebal.
“Ehhhh… hujung minggu ni ada konsert Fotograf kat Pesta Laut Lumut. Jom kita pergi tengok nak?” Alang mula memberi cadangan.
“Siapa yang pergi? Kita berdua saja ke? Kalau kita berdua je, aku tak naklah. Lagi pun kita bukannya bercinta nak pergi berdua-duaan” jawab saya acuh tidak acuh. Tetapi Alang pula melompat mendengar kata-kata saya.
“Muluuuuttt… celuparnya!!! Kita bukan pergi berdualah Dol… nanti aku ajaklah kutu-kutu kampung ni ikut kita sekali. Pergi dengan engkau je buat apa?”
Sebentar kemudian, Lan dan Duan tiba dengan menaiki motosikal sebaik sahaja Cikgu Radzi muncul dari gelap malam dari arah dewan makan. Seperti berjanji pula mereka munculnya. Sebaik sahaja Cikgu Radzi masuk ke rumah, kami pula berebut-berebut mengekorinya masuk seperti anak kambing keluar kandang.

Malam itu kami melepak dan bermalam buat sekian kalinya di rumah Cikgu Radzi. Tersengih sahaja cikgu yang pendiam itu melihat kami bergasak dan bergusti. Gaduh-gaduh manja. Penat melayani kerenah kami, Cikgu Radzi angkat punggung masuk ke biliknya meninggalkan kami yang terus menonton kaca television sehingga ke santak pagi di ruang tamu. Setiap pagi pula, apabila dia ingin keluar bertugas di sekolah, dia harus berhati-hati melangkahi tubuh kami yang bergelimpangan tidak tentu hala macam kucing mati di ruang yang kecil itu.

“Woiii.. dengar sini!! Aku ada berita baik punya” kata Alang setibanya dia di rumah Cikgu Radzi. Lan dan Duan yang sedang asyik bermain Dam Aji mengangkat kepala ingin mendengar bunyi butir berita baik itu. Cuma saya sahaja yang masih leka menatap suratkhabar lama yang banyak terperuk di tepi dapur itu.
“Indera, engkau dengar aku cakap ni tak?” marah Alang apabila saya seakan tidak memperdulikan pengumumannya itu.
“Aku dengarlah ni!!”
“Habis tu yang engkau dok leka baca suratkhabar tu…?”
“Aku dengar dengan telinga. Bukan dengan mata!!!”

“Aku dah cerita kat Abang Mad Kona yang kita nak tengok konsert Fotograf. Dia kata dia boleh bawak kita dengan van dia. Tapi dia caj RM75.00. Tu termasuk tambang pegi balik tu. Amacam? OK tak?”
“Kita berempat ni je ke?” tanya Duan.
“Ha-ah.. kalau kita berempat je, mahal tu. Baik aku naik bas..” tambah Lan pula.
“Alaaa kome ni. Nanti aku ajaklah kutu-kutu kampung yang berminat. Hiieee kome ni, lembap daya pemikiran!!” kata Alang.

Petang Sabtu itu kami semua sudah berhimpun di pekan. Tidak sabar menanti kemunculan Abang Mad Kona dengan van buruknya. Punyalah susah saya mencari padanan baju yang sesuai untuk ke konsert itu. Baju ada. Seluar yang tiada. Ini kerana semua seluar yang saya ada, semua seluar berkain lembut. Tiada satu pun seluar jeans. Mana sesuai seluar slack dibawa ke konsert. Harus diketawakan orang bila gaya seperti mahu masuk ke pejabat. Akhirnya, senyap-senyap saya merembat seluar jeans Yeop, abang saya yang sulung. Seluar jenama Lee kesayangannya itu harus jangan sesiapa yang mengusik. Harus kena penampar Jepun. Tetapi konsert punya pasal, saya memasukkan seluar jeans itu senyap-senyap ke dalam beg plastik sebelum berhamburan berlari keluar menuju ke pekan. Di belakang Kedai Nana Hameed, saya menukar seluar saya. Itu pun masih londeh seakan mahu lucut.
“OK, siapa-siapa yang jadi pergi tu, bak mai sini RM5.00. Bayar kat aku. Abang Mad Kona sampai nanti, aku kasi terus kat dia” kata Alang.

Sampai sahaja van putih kepunyaan Abang Mad Kona itu, masing-masing berebut masuk. Masing-masing ingin mendapatkan tempat yang paling cantik dan sesuai. Barangkali Abang Mad Kona sudah tahu akan jumlah penumpangnya seramai 15 orang, maka tempat duduk belakang van itu sudah siap ditanggalkan. Maka, kami pun terpaksa duduk bertinggung berasak-asak di dalam van itu umpama tin sardin. Jika berlaku kemalangan, nescaya kami akan mati katak kerana van itu tidak diinsurankan.
“Budin, engkau kata engkau tak jadi pergi” Lan menegur Budin yang duduk di sebelahnya.
“Asalnya memang aku tak jadi pergi sebab aku tak cukup RM3.00” jawab Budin.
“Habis sekarang ni dah cukup duitlah?” teka Lan.
“Ha-ah.. sebab pagi tadi masa aku lalu dalam kebun Pak Aji Munik, aku terjumpa durian 3 biji. Aku pun juallah” jawab Budin.
“Itu durian Pak Aji Muniklah woii.. engkau mencuri namanya tu” kata Lan lagi.
“Aku bukan mencurilah. Aku pinjam je durian tu. Esok-esok bila durian Apak aku luruh esok, aku gantilah durian Pak Aji Munik tu”
“Yelah tuuuu….”

Pesta Laut Lumut yang diadakan saban tahun itu memang meriah. Orang yang berkunjung datang dari pelusuk Negeri Perak. Ada pameran, ada jualan cenderamata dan barang-barang, ada permainan rakyat, ada persembahan kebudayaan dan juga pentas terbuka. Tapak pesta itu sudah penuh sesak sejak dari awal petang lagi.
“Tunggu abang kat pintu masuk ni pukul 11.30. Nanti abang datang ambil kamu semua” janji Abang Mad Kona sebelum berlalu pulang.

Kami sampai sudah menjelang senja. Setelah menyudahkan solat maghrib, kami duduk di tepi pantai sementara menanti waktu konsert bermula. Mujur sahaja malam itu tidak hujan. Jika tidak, pasti kami sudah basah kuyup lantaran tapak pesta itu tiada langsung binaan yang dapat dijadikan teduhan. Dengan duit RM2.00 kami terpaksa berjimat dengan membeli sebiji burger dan segelas air minuman buat pengalas perut.

Tepat pukul 9.00 malam, konsert Fotograf bermula. Kami pun menyertai orang ramai yang berduyun-duyun di bawah pentas terbuka itu. Apabila Shamrin, penyanyi utama itu keluar dari belakang pentas, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan. Malam itu Shamrin mengenakan T-Shirt tanpa lengan berwarna kuning air dan seluar Jeans koyak di peha. Dengan rambut yang tercacak itu, Shamrin nampaknya menjadi kegilaan gadis-gadis rockers yang menyaksikan konsert itu.

Bila terpejam lena
Jasadku tidak berdaya
Mencari engkau di mana
Hanya dalam mimpi indah

Bila aku terjaga
Jasadku terus berdiri
Mencarimu tiada lagi
Berkubur di alam mimpi

Apakah aku yang terlupa
Antara lena dan terjaga

Di waktu malam pemisah
Yang nyata menjadi mimpi
Di sini engkau menanti
Bersama harum kasturi
Bagai mekarnya bunga cinta
Di alam nyata penuh rahsia

Pabila titisan embun pagi
Mimpi indah
Entah ke mana menghilang
Itulah kenyataan

Engkau biarkan aku terbuang
Di alam fana cinta
Kau pula berdusta

Ku terpenjara aku terpenjara
Di dalam lena
di dalam jaga

Wahhhh… lepas hajat Alang untuk menyaksikan Shamrin menyanyikan lagu itu secara live di konsert. Konsert itu usai pada jam 11.00 tetapi sehingga ke jam 12.30, kelibat van buruk Abang Mad Kona masih tidak kelihatan.
“Jangan-jangan Abang Mad Kona ni sesat kat Disco Dangdut, tak?” teka Joe Kintan seakan-akan mahu menghantukkan kepalanya ke pokok akasia yang besar peha akibat terlalu lama menunggu.
“Entah-entah dia dah ada kat rumah tengah sedap membuta” teka Sahak pula.
Masing-masing memandang Alang. Alang mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

Mahu tidak mahu, kami terpaksa tidur di tepi pantai itu. Dengan angin yang dingin, dengan nyamuk yang menghurung umpama kapal terbang Jepun di telinga, kami pujuk mata supaya lelap. Akan tetapi saya tetap tidak dapat lena. Mungkin tempat itu agak asing bagi saya menyebabkan mata saya enggan layu. Hampir ke jam 4, barulah mata saya mahu pejam. Barangkali sudah terlalu letih berjaga.

Bangun pagi itu, kami mandi di surau yang berhampiran. Namun setiap orang merungut apabila kepala dipenuhi pasir seakan ditaburi oleh seseorang.
“Ni Alang yang nak sangat tengok konsert ni. Kalau tak, kita tak susah macam ni” kata Man anak Pak Usin Mondok membebel-bebel.
“Dah aku pulak disalahkannya..” kata Alang.

Apabila jam 10 pagi, Abang Mad Kona masih belum kelihatan, akhirnya kami ramai-ramai bergerak keluar dari tapak pesta itu berjalan menuju ke jalan besar yang jaraknya hampir 10 batu. Habis basah baju dek lencun peluh. Tiada bas yang masuk ke tapak pesta itu. Mujur masing-masing ada membawa duit lebih. Dapat juga digunakan untuk membeli sarapan dan juga tambang bas pulang ke kampung.
“Sampai nanti, aku nak belasah Abang Mad Kona ni sampai mati. Tengoklah nanti..” kata Alang sambil menampar dinding bas. Geram sungguh dia bila Abang Mad Kona tergamak menipu kami.

Sampai sahaja di kampung, jam sudah melepasi waktu zohor. Sebaik sahaja meletakkan beg di rumah Cikgu Radzi, kami ramai-ramai ke rumah Abang Mad Kona. Rupa-rupanya Abang Mad Kona baru selesai makan tengahari. Melihat sahaja kedatangan kami, Abang Mad Kona ketakutan berlari melompat tangga belakang rumahnya. Namun kelibatnya berlari masih sempat kami lihat.

Sewaktu Abang Mad Kona berlari di balik reban ayam, kakinya terseradungkan akar pokok rambai. Lantas jatuh terguling-guling dikeroyok dek budak-budak yang seramai 10 orang itu. Masing-masing mengambil kesempatan menendang punggung Abang Mad Kona sebelum masing-masing pecah ketawa terbahak-bahak. Kak Yah yang mulanya menjerit melihat suaminya dikeroyok oleh budak-budak itu kemudiannya ternganga kehairanan.

“Itulah… siapa suruh Abang Mad tipu kami? Haaaa… padan muka kena tendang punggung tu.. hehehehehehehe” kata saya ketawa lanjut.
“Minta maaflah oiiiii…. Abang letih sangat semalam sampai terlena. Abang nak ambil kome semua pagi ni, abang takut sebab abang dah mungkir janji” entah benar entah tidak alasan itu.
“Abang bayar duit kome tu…” kata Abang Mad Kona lagi sambil mengibas kotoran yang lekat di baju.
“Tak payahlah Abang Mad. Kira halal dahlah” kata Alang pula.
“Oklah. Kalau macam tu, minggu depan Abang Mad bawak kome tengok konsert lagi. Kali ni free. Abang Mad tuang minyak” usul Abang Mad Kona.
“Iya??? Konsert siapa?’ tanya Duan.
“Konsert Amelina…”

Huuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu…

Monday, August 18, 2008

Leha III (Zaleha Najwa)


Cuaca pagi itu sangat nyaman. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Namun kesejukan masih lagi membungkus persekitaran asrama. Leha masih lagi duduk di tepi katil sambil memandang jauh keluar jendela. Di koridor asrama, penghuni asrama berpapasan sesama mereka. Ada yang baru selesai bersarapan. Ada juga yang baru tertinjit-tinjit ke dewan makan walaupun waktu sarapan pagi hampir tamat.

Pagi-pagi Sabtu seperti ini tiada aktiviti tetap. Tambahan pula pada hari ini, pelajar-pelajar dibenarkan untuk keluar ke Bandar Ipoh untuk melakukan aktiviti mereka masing-masing asal sahaja tidak melakukan sebarang aktiviti tidak sihat sudahlah. Ramai pelajar mengambil kesempatan ini untuk keluar membeli belah barang-barang keperluan ataupun mengubah selera setidak-tidaknya. Asyik mengadap menu dewan makan pun bosan juga.

Leha memandang kuntuman bunga raya yang banyak mengembang di luar tingkap. Cantik dan indah berseri. Sayangnya tidak kekal lama. Sampai masanya, ianya akan melayu dan terus gugur ke bumi. Begitulah juga hidup manusia di dunia ini!!!
“Leha, Leha nak ikut Kak Julia ke Pekan Ipoh tak?” sapaan Julia mengejutkan lamunannya. Leha menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

Sejak peristiwa malam itu, Julia banyak berubah. Tiada lagi jelingan tajam menikam. Tidak lagi wajah keras membenci. Julia pada pandangan Leha tidak seperti Julia yang ditakutinya selama ini. Yang lebih penting, Julia kini banyak membantunya di dalam pelajaran. Leha seperti bersyukur dipertemukan dengan Julia.
“Kakak dah nak keluar ni. Leha ada teringin nak makan apa-apa? Nanti kakak belikan” kata Julia.
Leha terdiam seketika. Di dalam hatinya teringin untuk makan sejenis makanan yang selalu dibeli oleh rakan-rakannya di asrama. Akan tetapi dia tidak tahu apakah nama makanan itu. Kemudian dia menerangkannya kepada Julia siap dengan lakarannya sekali.
“Oooo.. yang tu burger!!” kata Julia.
“Hah..?? Burger??” Leha kebingungan. Pantas dia menundukkan kepalanya. Malu pada Julia.
Julia sempat menangkap kebingungan itu. Lantas simpatinya datang menerpa. Memang dia anak orang susah, kata hati Julia.
“Tak apalah, Dik. Jangan susah hati. Nanti kakak belikan, ya!!”

Keputusan peperiksaan pertengahan tahun telah diumumkan. Leha berjaya menempatkan dirinya di kalangan 10 pelajar terbaik di sekolah itu termasuk dari kalangan yang bukan melayu. Namun Leha masih tidak berpuas hati. Dia inginkan markah yang terbaik.
“Kadang kala, dalam hidup ini, kita harus menerima segala ketentuan itu dengan seadanya. Sudah setakat itu kemampuan kita yang dikurniakan oleh Allah. Yang penting kita dah berusaha. Pada kakak, apa yang Leha dah capai itu, memang sesuatu yang cukup membanggakan” kata Julia apabila Leha datang mengadu kepadanya tentang keputusan peperiksaan yang diperolehinya.

Cuti pertengahan tahun akan menjelang tiba. Asrama akan ditutup selama 2 minggu. Leha susah hati memikirkannya. Ke manakah dia harus pergi? pulang ke rumah? Bagaimana jika marah Abah masih belum reda selepas dia melarikan diri dari rumah tempoh hari? Bimbang Leha jika dia pulang ke rumah, Abah akan mengurungnya dan enggan membenarkannya pulang ke asrama selepas tamat cuti.
“Kenapa senyap saja? Tak sedap ke lauk tu?” tanya Julia sewaktu mereka menikmati makan tengahari di dewan makan.
“Ha-ah Leha, orang kat Ethiopia tu ramai yang kebulur tak makan. Leha kat sini pula tak suka nak makan. Tak baik tau, tunjuk muka sedih depan rezeki” tambah Khairani pula.
“Sebenarnya Kak, Leha susah hati”
“Susah hati kenapa?” tanya Khairani.
“Cuti sekolah dah nak sampai 2-3 hari lagi. Leha tak tahu nak pergi mana. Leha takut nak balik. Takut Abah tak benarkan Leha balik ke asrama lepas cuti nanti”

Julia tersenyum.
“Leha boleh balik rumah kakak” tawar Julia.
“Ha-ah… kalau tak nak balik rumah Kak Julia, balik rumah kakak pun boleh” kata Khairani pula.
Leha tersenyum.
“Terima kasih Kak Julia. Terima kasih Kak Khairani… tapi nantilah Leha fikirkan tawaran kakak tu ya!!” kata Leha sambil menguis nasi di dalam dulangnya dengan sudu.
Akhirnya, cuti itu Leha habiskan di rumah Julia. Pada Mak dan Abah di kampung, Leha menitipkan sepucuk surat memohon kemaafan kerana tidak pulang bercuti. Tidak pula dia menyatakan sebab sebenar kenapa dia enggan pulang bercuti di kampung.

Julia sememangnya datang dari keluarga berada. Bapanya seorang Jurutera di Jabatan Kerja Raya. Ibunya pula seorang pensyarah di maktab perguruan. Dia mempunyai seorang adik lelaki yang belajar di tingkatan 3 di sebuah sekolah di Ipoh. Dan seorang adik perempuan yang sebaya dengan Leha yang belajar di Sekolah Sri Puteri Kuala Lumpur. Juliza namanya. Mungkin Leha itu banyak mengingatkan Julia pada adik bongsunya itu barangkali. Sungguhpun mereka itu dari keluarga berada, namun penerimaan seluruh ahli keluarga Julia padanya sangat baik. Malah, Leha dapat merasakan kemesraan keluarga itu sehingga dia tidak merasakan dirinya terasing di dalam keluarga orang.
“Leha, Pakcik nak jumpa Leha di ruang tamu sekejap” kata Makcik Jumiatun, ibu Julia sewaktu Leha sedang mencuci pinggan mangkuk selepas makan malam. Serentak dengan itu darah seakan menyimbah naik ke mukanya. Kenapa? Adakah dia melakukan sesuatu yang salah di rumah ini?
“Kenapa Pakcik Aziz nak jumpa saya, Makcik?” tanya Leha kepucatan.
“Tak ada apa-apa, cuma Pakcik tu ada hajat nak sampaikan pada Leha je” kata Makcik Jumi.
“Dah, dah tu… pergi ke depan. Biar makcik yang habiskan kerja ni” kata Makcik Jumi lagi.
“Tapi makcik…” Makcik Jumi sudah membelakangkan Leha. Leha terkunci lidah untuk beralasan. Mahu tidak mahu, dia melangkah lambat-lambat ke ruang tamu. Pakcik Aziz sedang leka menonton kaca television. Di sisinya ada Juliza sedang bersandar pada tubuh Pakcik Aziz dan Julia yang sedang membelek-belek majalah wanita kepunyaan ibunya. Johari pula hilang di biliknya.
“Pakcik sebenar dah dengar semuanya cerita Leha dari Kak Julia. Jadi pakcik rasa, sudah tanggungjawab pakcik sebagai saudara seagama untuk membantu Leha di dalam pelajaran. Setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah itu harus dipulangkan semula kepadanya melalui sedekah dan amal jariah. Beginilah, pakcik rasa pakcik berminat untuk membantu Leha di dalam pelajaran. Hanya itu sahaja yang pakcik dapat buat untuk membantu saudara seagama. Selepas ini, Leha tak usah susah hati tentang masalah kewangan, yuran dan perbelanjaan. Insya-Allah pakcik akan tolong setakat mana yang pakcik termampu” kata Pakcik Aziz.

Leha terkelu lidah tidak mampu bersuara. Dia menguis-nguis hujung permaidani dengan jari kakinya. Setitis dua airmatanya jatuh ke lantai tanda terharu dan bersyukur. Tiada ucapan mampu dilafazkannya hatta ucapan terimakasih pun. Julia, Juliza dan Makcik Jumiatun yang baru keluar dari dapur membawa sedulang kopi turut sama tersenyum.

Kini Leha sedar, tugasnya adalah untuk belajar dengan lebih tekun agar kelak dia tidak mengecewakan harapan semua orang. Kepada Mak di kampung, Leha mengkhabarkan tentang bantuan yang diterimanya dari Pakcik Aziz itu. Balasan surat yang diterima sungguh mengejutkan. Rupanya, Pakcik Aziz senyap-senyap datang berkunjung ke rumah ibubapanya melalui alamat yang terdapat di dalam simpanan Julia, menyatakan kesanggupan Pakcik Aziz menaja pembelajarannya. Abah bersyukur. Mak pun senang hati.

Tahun berikutnya, Leha berada di tingkatan dua. Keputusan SPM bakal diumumkan. Leha tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan Julia dan Khairani yang akan berkunjung ke sekolah menerima keputusan peperiksaan mereka masing-masing. Sampai sahaja mereka berdua di sekolah itu, Leha seakan terpekik. Gembira benar dia dapat berjumpa kembali dengan Julia dan Khairani. Julia mendapat 9 aggregat. Aduuhhhh… satu cabaran buat Leha untuk mengikuti jejak langkahnya. Khairani pula mendapat pangkat dua dengan 25 aggregat. Lagi satu aggregat untuk melepasi pangkat satu. Tampak Khairani sedikit kecewa. Di dalam keriaan bersama rakan-rakannya yang lain, Khairani cuba berselindung. Namun sebaik sahaja kereta ayah Kak Khairani tiba, dari tingkap dometri itu, Leha nampak jelas Kak Khairani menangis di bahu ibunya.

Julia ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya. Manakala Khairani pula mengikuti latihan jururawat di Hospital Pulau Pinang. Sekali sekala mereka berhubung melalui surat. Setiapkali Leha menerima balasan surat daripada mereka berdua, akan ada kata-kata semangat daripada mereka.

Sebulan sekali, Leha akan ke rumah Pakcik Aziz dan Makcik Jumiatun. Biar pun Julia jauh di Kuala Lumpur, namun hubungan itu tidak akan putus.
“Julia telefon, dia kata dia doakan semoga Leha berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SRP nanti. Dia kirim salam” kata Makcik Jumi.
“Wa alaikumussalam. Insya-Allah, makcik. Leha niat kalau ada rezeki Leha lulus cemerlang nanti, kalau boleh Leha nak dia sendiri tengok slip keputusan Leha nanti” kata Leha.

Keputusan SRP bakal diumumkan seperti yang dihebahkan di dalam berita di kaca television. Leha mengetahuinya bila Makcik Munah yang tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya memaklumkan tentang perkara itu. Maklum sahaja rumah mereka tiada menyimpan television.

Malam itu Leha keluh kesah. Gementar dan tidak sabar. Gementar jika dia akan mengecewakan hati ramai pihak.
“Sudahlah tu Leha. Tidurlah. Esok pagi-pagi kamu dah nak ke Ipoh ambil keputusan” kata Mak seakan mengerti apa yang bergelodak di dalam hati Leha.

Sebaik sahaja slip keputusan dipegangnya, Leha memejamkan matanya. Takut melihat keputusan itu. Dia cuba menenangkan hatinya lantas perlahan-lahan membuka mata. Matanya melirik ke nombor-nombor 1, 1, 1, 2, 1, 1, 1 dan 2. Leha seakan tidak percaya. Dia lulus. Dia lulus dengan cemerlang. Menjadikan dia antara pelajar terbaik di sekolah itu dengan keputusan 6A1 2A2. Syukur!!
“Tahniah Leha…. Kak Julia bangga Leha lulus dengan cemerlang” kata Julia melalui perbualan di telefon sewaktu Julia pulang bercuti semester.
“Leha nak Kak Julia tengok sendiri slip keputusan ni”
“Tak apalah Leha. Leha dah lulus cemerlang tu pun sudah memadai bagi Kakak” kata Julia.
“Leha nak Kak Julia tengok juga. Sabtu ni Kak Julia free tak?” tanya Leha.
“Sabtu ni…? Hmmmm… sabtu ni ada jemputan kahwin. Ingat tak Kak Poh Yoke yang kuat lari 100 meter dulu tu?”
“Ingat..”
“Haaa.. dialah yang nak kahwin. Kakak kena pergi majlis dia tu” kata Julia.
“Alaaa… sekejap je Kak Julia. Bolehlah ya?”
“Hmmmm… OK. Kejap je tau. Jumpa Leha depan Bangunan UMNO pukul 10 pagi” kata Julia.
“OK terima kasih. Sayang Kak Julia!!”

Sabtu, mentari memancar terang mendaki langit di timur. Pekan Ipoh ketika itu seperti mana adatnya selalu. Penuh sesak dengan manusia dan kenderaan. Seawal jam 9.30 pagi Leha sudah tercegat berdiri di hadapan Bangunan UMNO yang besar itu. Manusia lalu lalang berpapasan untuk masuk ke pajabat dan keluar sarapan pagi di Taman Kanak-Kanak.

Di celah-celah orang ramai yang lalu lalang di deretan kedai di seberang jalan itu, Leha nampak Julia. Dia mengeluarkan slip keputusan peperiksaannya. Biar perkara yang mula diperkatakan mereka ialah keputusan peperiksaannya itu. Leha tidak sabar. Dia berlari pantas menyeberangi jalan. Dia nampak Julia. Dia nampak Julia seakan terkejut. Terpempan dan tergamam.
“Lehaaaaaaaaaaaaa…. Tungggguuuuuu!!!!!”

TUUUUUMMMMMMMMM
Leha mendengar dentuman kuat. Pandangannya gelap. Seluruh tubuhnya terasa kebas. Kemudian sejuk. Dia rasa badannya dipangku orang!!
“Kak Julia….”
Hanya itu yang mampu dikatakannya.
“Kak Julia…. Leha mengantuk”
“Leha jangan tidur….!!!! Leha…!!!! Ambulans…. Panggil ambulans!!!!!”


******************************

Oktober 1990

“Macam mana belajar kat Universiti Malaya? Senang..?” tanya Kakak saya.
“Macam biasalah Khairani… mana ada belajar yang sentiasa senang?. Mesti ada yang susahnya” Kata Julia melirik ke arah orang ramai yang berpusu-pusu di kaunter Restoran Big Boy di dalam Pasaraya Super Kinta. Sekali sekali matanya jatuh ke burger dalam dulang saya. Saya kebosanan. Tambah pula terpaksa mengadap dua orang gadis itu berbual.
“Leha suka makan burger” kata Julia seakan mengelamun.
“Leha? Leha mana?. Leha junior kita tu ke?”
“Ya”
“Apa khabar Leha sekarang ye!! Macam mana keputusan SRP dia?” tanya kakak saya.
“Dia dapat 6A1 2A2”
“Iyee…????? Bagusnya. Adik aku ni cuma dapat 17 aggregat je. Padan muka, banyak main!!” kata kakak saya sambil mencubit peha saya. Saya mengaduh.

Mata Julia tiba-tiba berkaca. Dia menundukkan kepalanya. Kemudian dia bahunya tersengguk-sengguk. Kakak saya mulai panik.

“Leha dah tak ada!! Dia meninggal dalam kemalangan!! Dilanggar lori depan mata aku sewaktu dia nak tunjukkan keputusan peperiksaannya pada aku. Aku…. Aku… aku tak tahu macam mana perkara ni boleh terjadi. Aku tak sepatutnya jumpa dia hari tu… aku..” Julia gagal meneruskan percakapannya. Dia menangis tersedu-sedu di depan orang ramai di restoran itu. Kakak saya beralih tempat duduk mendapatkan Julia. Mendakapnya. Menenangkannya walaupun kakak saya sendiri bingung. Saya hanya mampu memerhati. Tidak memahami apakah sebenarnya yang sedang berlaku!!!.

**************************************
Mac 2000

Hari Raya sudah berlangsung selama tiga hari. Suasana yang dulunya meriah dengan sanak saudara, teman taulan yang datang berkunjung, semakin lama semakin sepi. Kampung itu seakan kembali seperti sediakala seperti sebelumnya hari raya. Namun begitu, balang-balang kuih masih penuh berisi biskut-biskut raya.
“Cuba kamu ke kedai sekejap. Belikan Mak cili merah sama halia” kata Mak.
Saya menghidupkan enjin motorsikal sebelum menderu menuju ke pekan.

Pulang sahaja daripada kedai itu, saya dapati ada sebuah kereta Honda Civic berwarna perak di hadapan rumah Mak. Kereta siapa pula ini, fikir saya.
“Assalamualaikum” saya memberi salam pada tetamu yang hadir itu. Kelihatan seorang lelaki tegap yang berusia sekitar akhir 30-an. Seorang wanita sebaya dengan kakak saya yang sedang memangku seorang bayi lelaki dan juga seorang kanak-kanak perempuan sekitar usia 4 tahun yang sedang bermain dengan balang kuih Mak.
“Ni la Indera…” kata kakak saya.
“Iya..?? Ya Allah, dah besar melangguk” kata wanita itu.
“Tak ingat?” tanya perempuan itu lagi.
“Kurang cam” kata saya berdalih.
“Ini Kak Julialah. Kita jumpa dalam Big Boy dulu, ingat tak?”
“Ooooo… ingat, ingat” kata saya.

Suasana tengahari itu memang mendamaikan. Matahari yang memancar tidak terlalu garang sehingga boleh menimbulkan bahang yang memedihkan. Nyaman sahaja tengahari ini. Abang Suhaimi, suami Kak Julia sedang leka berbual dengan abang saya yang sulung manakala anak perempuan Kak Julia berkejaran dengan anak-anak saudara saya. Mak pula tekun memasak di dapur.
“Engkau tahu, Khairani, selepas Leha meninggal, ayah aku menaja Zali pula. Alhamdulillah, Zali sekarang di Korea mengambil kursus kejuruteraan”
Kakak saya terharu mendengar cerita Julia.

“Hahahahaha… leka bersembang sampai aku lupa nak tanya nama anak engkau. Yang ni nama apa ni” tanya kakak saya sambil menunjukkan bayi yang berada dalam dakapan Julia.
“Yang ini namanya Muhammad Amirul Farhan” kata Julia.
“Yang si kakak tu pula, nama apa?” tanya kakak saya lagi.
“Zaleha Najwa”
Kakak saya terpaku. Mata Julia berkaca lagi. Kakak saya mulai mengerti.

“Leha… mari sini sayang. Dapat mama” Julia memanggil anak perempuan. Budak itu berjalan terkedek-kedek ke arah mereka.
“Leha kiss mama sikit…”

Budak itu mencium pipi Julia.
“Sayang mama!!”
(“Sayang Kak Julia!!”)


Tamat