Monday, September 08, 2008

Datanglah ke dalam hatiku, Ramadhan...

Ramadhan ini tidak lagi seperti dahulu. Saya sendiri pun tidak tahu, sejak bila saya tidak lagi merasai kemeriahan Ramadhan. Jika dahulu, kedatangan Ramadhan akan membuatkan saya penasaran. Memikirkan bahawa saya seharusnya mempersiapkan diri untuk menahan lapar dan dahaga di sepanjang hari dalam tempoh sebulan. Maka, di dalam keazaban meniti Ramadhan itu, pastinya akan disulami dengan pelbagai macam ragam dan kerenah saya yang mewarnai Ramadhan tahun-tahun tersebut. Dulu Ramadhan sememangnya meriah.

Kini Ramadhan datang lagi. Namun datang dan perginya seperti sudah tidak berbekas di hati saya. Hati saya menerima sepenuhnya kedatangan bulan yang mulia ini. Tetapi saya agak hairan. Kenapa tiada lagi kemeriahannya menerpa ke dalam hati?.
“Subhanal malikil Ma’buud.. Subhanal malikil maujuud…”

Laungan yang sering dibacakan setiapkali rakaat silih berganti. Namun suara yang keluar dari mulut saya bagaikan mendatar. Tidak seperti tahun-tahun saya di alam persekolahan dahulu. Laungan ini akan bergema membelah hening masjid sehingga menggetarkan hati insan-insan yang mendengarnya.

Saya merasakan kehilangan sesuatu. Sesuatu yang saya sendiri tidak pasti. Namun apa yang pasti, kehilangan itu semakin kuat dirasai ketika hadirnya Ramadhan. Saya berharap, saya berupaya menemui jawapannya. Akan tetapi sehingga kini jawapan itu masih tidak saya ketemui.

Apa yang pasti, di saat ini saya kesunyian. Kesunyian ini akan diisi dengan segala memori indah di masa lampau yang saya kira umpama racun yang lazat. Semakin dikenang, semakin saya asyik. Tanpa saya sedari bisanya sudah menular menyerap ke segenap ruang hati. Sungguhpun saya menginsafi akan kesan kenangan-kenangan ini pada jiwa raga saya, saya tetap enggan melepaskannya pergi.

Di saat kesunyian ini, saya akan mengenangkan orang-orang yang telah lama pergi meninggalkan saya. Mengingati saat-saat keriaan menyambut Ramadhan bersama mereka. Lantas hati saya menjadi sebak. Kemudian akan timbul perasaan bahawa saya ini sepatutnya sudah pun mengikuti jejak langkah mereka yang pergi. Akan tetapi masa saya sahaja yang masih belum sampai lagi…

Mak selalu bising apakala saya menyuarakan rasa hati saya lewat tahun-tahun kebelakangan ini.
“Jangan dilayan bisikan syaitan!!” sergah Mak.

Entahlah Mak. Saya sedar bahawa bintang saya tidak secerah bintang orang lain. Saya pasrah. Segalanya itu sudah ditetapkan oleh Allah di Lauhil Mahfudz lagi. Saya sudah berusaha mengubah nasib saya. Akan tetapi, takdir itu masih juga berdegil untuk bertukar bentuk. Lantas menerbitkan kesedihan yang mendalam di dalam jiwa saya. Saban hari, saban malam saya mengadu kepada Allah akan permasalahan saya ini. Tidak putus doa saya.
“Hatimu tidak tenang sebenarnya Indera. Fikiranmu dan hatimu tidak sekata. Tidak sejiwa. Kerana itu engkau sering sahaja tidak memperolehi apa yang engkau inginkan” kata seorang teman.

Benarkah begitu?

Ramadhan ini akan memasuki hari kesepuluh. Di hari yang kesepuluh hingga hari yang kesembilan belas ini, keampunan Allah akan berlumba-lumba turun memayungi sekelian umat manusia yang berhajat kepadanya.
“Bukalah pintu hatimu untuk menerima cahaya Ramadhan ini, Indera” teringat kata-kata Abang Azizuddin, senior saya di sekolah sewaktu kami sama-sama mengikuti usrah seusai solat Asar dulu. Saya sentiasa ingat kata-kata itu, bang…. Tetapi bagaimana pula jika saya tidak dapat melihat kedatangan Ramadhan itu?
“Jika engkau tidak dapat melihat dengan mata zahir, lihatlah dengan mata hati” kata Abang Zul, station master IntraKota yang bertugas di Melawati.

Saya menghela nafas panjang. Ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan, bukanlah pada menahan rasa lapar dan dahaganya sahaja. Tetapi lebih daripada itu. Ramadhan itu sebenarnya punya jiwa dan rasanya tersendiri. Ianya akan berkunjung kepada sesiapa yang benar-benar sudi menerima kedatangannya. Ramadhan itu persis seorang manusia datang bersama hadiah dan pemberian yang bertamu ke serambi rumah. Jika betul dengan cara dan gayanya, Ramadhan akan datang berkunjung memeriahkan anjung hati. Jika tidak betul gayanya, Ramadhan akan merajuk pergi meninggalkan kita sendirian. Entah bila akan hilang rajuknya.

DARIPADA Sahl bin Sa’ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Indera : Selamat berpuasa buat seluruh muslimin dan muslimat

11 comments:

Masy said...

abgku indera,
jgn diresahkan dan diberatkan hati apatah lg dalam bulan yg mulia ni.. janji Allah takkan pernah mungkir, masanya saja yg belum sampai. kita sama-samalah berdoa moga ketenangan akan selalu hampir dgn kita, insyaallah..~

*ehem, serius tak komen sy hehe*

indera kencana said...

Adikku yang chantek manis Masy,
Komen mu itu macam ABC Ciklat... ada pahit, ada manis, ada masam (ehh anggur dia masam sikit. Masy pasan tak..??).
Tapi semua tu sedap!!
Eh... jadi ke Nasi Ayam Hainan tu. Ker... tempat yang Ann cakap tu? Jangan lupa kompem tau!!

ze said...

salam kenal...

tertarik menatapnya tok pertama kali, insyaallah akan terus melayari n3 sebelumnya satu demi satu...

indera kencana said...

Sepi,
Terima kasih atas penghargaan itu. Selamat berkenalan.

Sang Perba said...

semoga bulan yg penuh keberkatan ini mengamit aku seperti doamu teman...

KAMATO said...

Semoga kita di kurniakan kesihatan untuk terus beribadat di bulan yang mulia ini

asr said...

Kalau lagu terus berdendang
Tidaklah langkah akan berhenti
Kalau datangnya tidak di undang
Tidaklah ia singgah di hati...

jawab! jangan tak jawab!
:)

Bunga Rampai said...

Salam Ramadhan Indera,

Segala sesuatu itu atas izinNya jua yang Maha Mengetahui. Segala sesuatu itu bertempat dan berwaktu.

Sedikit ujian Allah SWT sekadar menuntut sabar hambaNya. Di hujung sabar ada kurniaNya. InsyaAllah.

Semoga terus tabah.

hakim dirani said...

selamat hari raya bang, maaf zahir dan batin jika ada sebarang kesalahan.

Najib Ariyan Ali Basha said...

Bersempena dengan Aidil Fitri tahun 2008 ini, Abang Bear mintak maaf atas segala keterlanjuran .....kita melangkah meninggalkan ramadhan yg barakah dgn berat hatinya di samping gembira menyambut tibanya syawal yg mulia.... semoga persaudaraan kita kekal dan sentiasa dalam redha Allah.....

Ketupat diletak di atas para
Rendang diletak di bawah titi
Andai ada tersilap bahasa
Maaf dipinta menyusun jari

Adat jauh kata mengata
Adat dekat puji memuji
Andai ada tersilap kata
Maaf dipinta sepuluh jari

Sungai disusur sepanjang sehari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin dari Abang Bear

wassalam

BaYu SenJa said...

Selamat Hari Lebaran.
minal A'idiin wal Faizin..
Kullu Am wa Antum bi Khair.
Maaf Zahir dan Batin.