“Mak dapat rasa yang kamu ni bekerja balik dengan Zul. Betul tak apa yang Mak kata ni?” tanya Mak pada suatu hari sebaik sahaja saya baru sudah makan tengahari.
Saya pura-pura leka menatap majalah Mastika dengan harapan soalan itu berlalu begitu sahaja. Tetapi jari Mak pantas mengutil daging lengan saya membuat saya mengaduh kecil.
“Orang bercakap disifatkannya macam burung berbunyi saja tau!!!” gerutu Mak.
“Apa dia Mak?” tanya saya cuba menyembunyikan ketawa di pangkal hati.
“Aku tanya, betul ke kamu kerja balik dengan Zul tu?” sergah Mak.
“Eiisshhh.. Mak ni...!! tak adalah. Mak ni suka prasangka bukan-bukan tau” kata saya membohongi Mak. Saya beristighfar di dalam hati memohon keampunan ke hadrat Allah kerana membohongi Mak.
“Mak ni bukan berprasangka. Sajalah Mak bertanya”
“Kalau ya, kenapa Mak?” tanya saya menduga hati Mak. Tetapi ternyata soalan saya itu sudah cukup membuatkan mata Mak terjegil merenung saya.
“Jadi betullah kamu bekerja balik dengan dia?” sergah Mak lagi kuat.
“Tak.. tak!!” saya berbohong lagi.
“Aku tak mahu kamu terkecewa sekali lagi. Cukuplah apa yang kamu dah lalui sebelum ni. Tak sanggup Mak melihat kamu termenung sana termenung sini. Mak harap kamu tak akan serahkan tengkuk kamu untuk di...”
Saya bingkas bangun memeluk Mak dari belakangnya sebelum Mak sempat menghabiskan kata-katanya. Pipi kami bertemu.
“Mak... itu semua sejarah. Sejarah yang hanya pedih jika disebut dan tidak berguna walau satu sen untuk kita perdebatkan. Biarlah sejarah itu berlalu Mak. Yang penting kita bina hidup baru” Saya cuba memberi keyakinan pada Mak. Dan dalam masa yang sama, saya pingin sekali menyatakan pada Mak, insan yang bernama Zulkifli itu bukan seburuk yang disangkanya. Saya lebih mengenali Abang Ngah. Saya tahu hati budinya.
“Habis, siapa nama kawan kamu tu?”
“Kawan mana?”
“Kawan kamu yang ambil kamu bekerja dengan dia tulah”
Saya terpanik. Terkalap seketika. Cuba mencari nama yang sesuai buat si empunya badan. Mana mungkin diberi nama Mat Bin Abu.
“Siapa??” sergah Mak.
“Mokhtar!!” saya terperanjat. Laju nama itu meluncur keluar dari mulut saya.
Saya menelan air liur. Nasiblah Abang Ngah.... dapat nama Mokhtar.
Mata saya menurut langkah Mak yang menuju ke dapur. Saya meruap wajah saya yang kusam. Oohhh.. betapa di dalam hidup ini terlalu banyak orang yang bahagia dengan cara dia sendiri tidak mengetahuinya. Betapa di dalam hidup ini, kita akan bertemu dengan sekumpulan manusia yang kita sama sekali tidak boleh menafikan kewujudan mereka di atas muka bumi ini. Menafikan mereka, samalah seperti berlaku zalim ke atas diri kita sendiri. Tidak kira betapa banyaknya kegembiraan yang dibawa bersamanya atau betapa banyak kekecewaan yang diciptakan oleh mereka, kita akan tetap menyayangi diri mereka. Kita sama sekali tidak boleh menafikan mereka walaupun kita menyedari, semakin kuat kita menyayangi mereka, semakin membuatkan kita terluka.
Kumpulan manusia ini adalah ayah dan ibu. Adik beradik, saudara mara, rakan taulan malah boleh datang dari kalangan mereka yang tidak mempunyai ikatan darah dengan kita. Kasih sayang itu kesejagatan. Yang hadir tanpa ada kepentingan dan agenda di sebaliknya.
Saya ingin sekali menunjukkan kepada Mak, insan yang saya panggil Abang Ngah itu. Orang yang saya anggap sebagai guru, abang dan sahabat baik. Saya sama sekali tidak boleh menafikan dirinya atas ketiga-tiga peranan yang diberikan olehnya kepada saya hatta abang-abang kandung saya sendiri pun tidak pernah bersungguh untuk memainkan salah satu dari peranan itu. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memperkenalkan saya dengan alam pekerjaan. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memberi saya ilmu yang tidak dapat saya perolehi di alam kolej. Saya mahu Mak tahu, siapakah yang akan bersedia menunjukkan saya jalan penyelesaian dan jalan keluar apabila saya buntu menghadapi masalah. Dan saya ingin sekali Mak mengetahui, beberapa tahun, Abang Ngahlah yang memberi saya elaun bulanan tanpa terlalu berkira dalam serba serbi.
Apa yang telah berlaku antara saya dengannya beberapa tahun lepas hanyalah satu salah faham. Tidak mungkin kesalahan berbesar busut jantan mampu melindungi segala sumbangan yang tinggi menggunung.
Barangkali selepas terjadinya peristiwa itu, Mak bagaikan melihat saya jatuh terduduk. Tenggelam punca dan masa saya banyak dihabiskan dengan duduk termenung. Barangkali Mak melihat saya menderita kehilangan dari segi material sehingga menyebabkan timbul fobia dalam diri Mak dan adik beradik saya bahawa saya ini telah dianiayai. Tetapi Mak sebenarnya tidak dapat menangkap kejutan yang melanda batin saya apabila saya kehilangan orang yang anggap guru, abang dan sahabat baik ini. Selebihnya tidak ada apa yang saya kehilangan. Saya masih punya keluarga, anak dan isteri yang sedia pada bila-bila masa memberi sokongan kepada saya untuk bangun semula.
Abang Ngah itu unik dengan caranya tersendiri. Dia langsung tidak sama dengan boss-boss saya sewaktu saya bekerja di syarikat jururunding di Sri Hartamas dahulu yang gah pada gaya namun layu pada semangat juang. Abang Ngah tahu apa yang terbaik untuk orang-orang di sekelilingnya dan semangatnya sekeras besi waja. Segala yang diusahakannya pada hari ini adalah demi kelangsungan hidup anak-anaknya memandangkan hanya dialah satu-satunya sumber pembiayaan dalam keluarganya lantaran isterinya tidak bekerja.
Dia boleh jadi sehangat api dan sedingin ketulan ais. Dia boleh jadi seperti bayu di pergunungan dan dia boleh menjadi lahar berapi yang membakar segala-galanya jika kepentingannya diganggu gugat. Bagi saya, pemikirannya adalah buku. Kerana itu pemikiran akan senantiasa berada lebih ke hadapan dari kebanyakan orang. Dia sering berleter kepada saya agar saya senantiasa membaca banyak buku ilmiah dan berhenti menelaah buku-buku fiksyen.
Abang Ngah melihat potensi yang ada dalam diri saya. Dia tidak pernah jemu-jemu memberi galakan mencungkil bakat yang ada pada saya agar saya maju dan di kemudian hari, cita-citanya ingin melihat saya berjaya dan mencungkil bakat orang lain pula. Saya ibarat layang-layang dan dialah yang memegang talinya. Saya meluncur laju ke udara bermain awan gemawan dan dia melihat saya dari kejauhan. Sekali sekala, layang-layang itu akan teroleng jua, hilang arah dihembus angin kencang. Di saat itu, Abang Ngah biasanya sudah bersedia menarik tali itu agar layang-layang itu dapat terbang semula pada paksinya.
Disember bakalan berakhir. Tahun baru akan menjengah beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna, tinggal beberapa bulan dari sekarang, Abang Ngah akan melepaskan pegangan tali itu. Layang-layang tidak pasti apakah dapat mendarat selamat. Akan tibalah masa untuk saya mengucapkan salam pamitan tanda perpisahan pada Abang Ngah. Saya menyuarakan rasa hati saya kepada Mak untuk pulang ke kampung halaman, memulakan perniagaan berasaskan kepada kemahiran terhad yang saya miliki. Saya katakan kepada Mak, insan bernama “Mokhtar” itu mahu saya berusaha sendiri. Mak tampak bimbang. Saya sendiri pun tidak pasti, apakah tanah di hujung Pedang Cura Si Mandakini itu akan dapat menerima saya kembali setelah bertahun-tahun seluang melaut.
Lambat laun saya akan memberitahu Mak secara baik siapa insan saya bohongi Mak selama ini. Agar terpadamlah segala prasangka buruk dalam diri Mak. Semoga Mak nampak sisi terang Abang Ngah yang selama ini dibayangi kegelapan lantaran Mak hanya mendapat gambaran yang tidak jelas tentangnya.
Indera : Barangkali ada yang tertanya-tanya, bagaimana peribadi orang yang saya maksudkan di dalam entri ini. Terlalu sukar ingin saya terangkan bagaimanakah pembawakannya. Mungkin sebahagian daripada dirinya terzahir di laman blognya kalamjauhari.blogspot.com . Tulisan kami terlalu berbeza. Dia lebih realistik manakala saya banyak tergantung di awang-awangan. Pemikirannya sangat kritis manakala saya lebih terarah kepada puitis. Saya menyukai kesenian tetapi tidak pandai menulis puisi. Dia menyukai wang tetapi kadang-kala melakukan kejutan lewat sentuhan beberapa puisinya.