Monday, April 27, 2009

Bila Isteri Sudah Tidak Lagi Cantik II

Sewaktu saya pulang ke kampung hari Jumaat lepas, anak-anak saya tidak sihat. Zaryn demam dan selsema diselang seli dengan batuk terkokol-kokol. Adil Rayyan pula, asal bersin sahaja, akan mengalir lendir dari hidungnya. Hanya Siri Aufa sahaja yang masih ligat ke sana ke mari dalam cuaca yang panas.

Akibat terlalu mengulit anak-anak saya, saya juga turut diserang demam dan selsema sehingga menyebabkan badan rasa seram sejuk terutama di waktu malam. Asalnya saya ingin mengambil cuti rehat satu hari. Namun apabila mengenangkan mesej ringkas yang dihantar oleh Abang Ngah meminta saya hadir juga ke pejabat kerana ada dokumen tender yang perlu diuruskan sebelum 29 April ini, saya gagahi juga pulang ke Kuala Lumpur. Andai kata saya masih memikirkan untuk bersenang-lenang, pasti masak saya dileteri oleh budak debab itu.

Rumah Mak sunyi sepi tatkala saya berkunjung sebelum memulakan perjalanan pulang. Lampu luar tidak menyala. Bunyi cengkerik yang nyaring menambahkan sepi malam yang penuh dihiasi bintang bertaburan di dada angkasa. Puas saya mengetuk pintu bertalu-talu. Lepas 3 minit, barulah pintu dibuka oleh Faiz, anak bongsu Kak Yang.
“Opah!!! Achik datang!!” laung Faiz kepada Mak. Namun tiada jawapan yang diterima seperti selalunya.

“Achik, Opah demam..” kata kanak-kanak itu.
“Iya? Mana Opah?” tanya saya pula.
“Opah kat dapur”

Sewaktu saya melangkah ke dapur, Mak berteleku di meja makan. Nampaknya demam Mak agak kuat menjadikan Mak bagaikan tidak berupaya untuk bersuara.
“Kamu dah makan?” tanya Mak.
“Belum..” jawab saya sambil memandang sekeliling dapur. Kak Yang baru sahaja masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Barangkali tadi dia keluar membuang sampah. Kak Yang berlalu tanpa menghiraukan saya dan terus masuk ke biliknya seolah-olah saya ini tidak wujud di depan matanya. Dari riak wajahnya, jelaslah dia itu bagaikan menyimpan sesuatu di dalam hati. Marahkan akukah?, hati saya berteka-teki. Ahhh.. barangkali dia itu baru lepas mengamuk marahkan anak-anaknya. Maklum sahajalah, anak-anak Kak Yang itu semuanya nakal-nakal belaka!!, hati saya memujuk.

“Kalau kamu nak makan, Mak siapkan sekejap” kata Mak sambil gagahkan dirinya untuk bangun berdiri. Tetapi Mak uzur sangat. Sukar nampaknya dia mengimbangkan badannya.
“Tak apa, Mak. Tak apa!!. Kalau saya lapar nanti saya ambil sendiri” kata saya memapah Mak membantunya duduk semula.

Saya mengambil nasi dan lauk sebelum duduk semula di sisi Mak. Saya masih berselera walaupun badan saya terasa lemah tidak bermaya. Mak memandang wajah saya tanpa berkata apa. Sementara saya pula tidak mensyaki apa-apa.
“Mak demam, saya pun demam” kata saya. Mak tersenyum.

Selesai makan itu, saya yang duduk di sisi Mak mengurut-urut siku dan lutut saya yang membengkak akibat gout. Terdapat kesan bengkak yang besar di anggota itu. Sengal dan pedih rasanya. Saya memandang jam di dinding. Jarum pendek hampir menunjukkan angka Sembilan.
“Saya balik dulu ya, Mak. Nanti lewat pula sampai di Serdang”

Mak bungkam. Terus memandang wajah saya. Seolah Mak rindu benar dengan saya.
“Apak kamu curang dengan Mak..” suara Mak seakan berbisik. Jelas ada getar di sebalik suara itu.

“Apa dia, Mak?” saya bertanya dengan Mak kalau-kalau saya ini tersilap pendengaran.
“Apak kamu main kayu tiga...”
Saya terpaku. Kelu lidah tidak mampu bersuara. Memang saya terkejut. Memang saya tidak silap pendengaran.
“Dengan siapa?”
“Dengan anak Itam Ajis. Budak tu janda”
“Mak tersilap dengar cerita orang barangkali?”
“Mata Mak sendiri nampak Apak kamu dengan budak tu”
Saya terdiam. Mak juga terdiam. Gagal berkata apa-apa. Saya memandang kosong cawan teh yang meruap dengan wap panas.

+++

Sudah dua hari Mak di rumah Adina. Sudah dua malam Mak di Shah Alam. Adina sakit tulang belakang sejak jatuh sebelum pemergiannya ke Scotland dulu. Selama setahun kesakitan itu tinggal bersembunyi di dalam tubuhnya. Sedikit pun tidak terasa. Sedikit pun tidak mengganggu pelajarannya. Pulang sahaja ke Malaysia, kecederaan itu mula menyerang pinggangnya.

Rumah Mak di kampung sunyi. Yang ada hanya anak-anak Kak Yang yang terlentang bagaikan ikan kering di hadapan peti television menonton Diari Akademik Fantasia. Apak masih lagi di kedai kopi. Entah apa yang dibikinnya, tiada siapa yang tahu.

Kak Yang rasa tidak sedap hati sedari petang lagi di hospital. Beberapa kali dia menelefon ke rumah, memastikan anak-anaknya berada di dalam keadaan yang selamat. Setiap kali menelefon, suara anak-anaknya yang ceria mengusutkan rusuh hatinya. Namun tidak lama. Hati Kak Yang kembali berdebar-debar.

Sebaik sahaja jam menunjukkan jam sembilan, Kak Yang terus pulang. Sewaktu melewati kedai kopi Apak yang hanya beberapa rantai sahaja daripada rumah Mak, Kak Yang ternampak Zubaidah Janda, anak Pak Itam Ajis masuk ke dalam kedai Apak sebelum diikuti oleh Apak. Kedai Apak kosong tiada pelanggan. Kak Yang tahu memang Zubaidah Janda itu selalu menghantar kuih setiap pagi ke kedai Apak, tetapi apa perlunya menghantar kuih lewat malam-malam begitu? Siapa yang ingin memakan kuih di waktu malam ketika orang lain sedang berkira-kira ingin masuk tidur?

Kak Yang segera menghentikan keretanya di bawah pokok yang agak tersembunyi. Apak menutup pintu kedai dari dalam. Hati Kak Yang bagaikan ingin pecah!!

Selama seminggu Kak Yang memerhatikan tingkah mereka. Selama seminggu hati Kak Yang hancur. Begini akhirnya cerita di saat Mak jauh menemani anak Mak yang sedang sakit...


+++

“Kalau ikutkan hati saya Mak, nak saja saya hempuk perempuan tu” Kak Yang mengakhiri ceritanya di hadapan Mak. Kak Yang sudah tidak tahan lagi.
“Jangan Khairani. Ini antara Mak dengan Apak kamu. Kalau kamu buat tak tentu, esok tak senang hati kamu tinggal di sini. Entah apa yang tak kena di mata Apak kamu nanti mencari kesalahan kamu” kata Mak.

Mak memandang sepi cucu-cucu Mak yang ligat berlari ke sana dan ke mari. Apak bagaikan tidak betah pulang ke rumah. Dia lebih selesa berada di kedai kopinya. Patutlah sejak Mak pulang dari Shah Alam, Apak mengasingkan tempat tidurnya. Pulang sahaja dari kedai kopi, Apak membentang tilam di ruang tamu dan terus berdengkur sehingga santak subuh.

Malam itu Mak tergerak hati ingin ke kedai kopi Apak. Sebelum melangkah, Mak berdoa kepada Allah agar diperlihatkan kebenaran. Nampaknya motorsikal kepunyaan janda itu ada di hadapan kedai Apak. Mak menolak daun pintu. Sungguhlah...!!

Mak melihat Apak sedang duduk dengan janda itu di atas satu bangku panjang. Jarak mereka berdua tersangat rapat sehingga seakan bertindih peha. Mereka langsung tidak menyedari kedatangan Mak. Mak terpaku menelan kebenaran di hadapan mata.
“Ohhh.. ini kerja kome berdua ya?” kata Mak. Apak dan janda itu bingkas berdiri serentak. Di wajah masing-masing kepucatan.
“Jadi betullah apa yang aku dengar selama ini? Betullah cerita suami aku main kayu tiga” Mak tersenyum pahit.
“Sebelum aku keluar tadi, aku berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan tingkah laku kome di hadapan mata aku. Memang sahihlah...”

Apak dan janda itu masih terkelu. Mak memandang tepat ke arah janda itu.
“Kamu jual kuih apa malam-malam ni? Jual “Apam”? Mak sudah hilang sabar.

“Pergi keluar cepat.. pergi keluar” Apak berbisik kepada janda itu. Zubaidah itu bergerak takut-takut di hadapan Mak sebelum meluru ke pintu. Yang tinggal hanya Mak dan Apak.

“Awak ni kan, tak malukah pada Tuhan? Pada anak-anak awak? Rumah kata pergi, kubur kata mari. Sepatutnya umur-umur macam awak ni, awak giat di masjid. Di tikar sembahyang. Bukan buat maksiat dengan janda tu”

Mak tidak menunggu lama. Mak terus beredar dari situ meninggalkan Apak keseorangan yang masih terpaku di pintu kedai. Mak melepaskan esak tangis di dalam kepekatan malam yang menyelubungi di sekitar jalan menuju ke rumah Mak.


+++

“Mak kecewa.... kecewa dengan sikap Apak kamu..” kata Mak. Saya buntu. Tidak tahu apakah yang patut saya ucapkan untuk meredakan rusuh hati Mak. Saya peluk Mak. Panas badan Mak dek demam bersatu dengan kepanasan demam tubuh saya.

Patutlah Kak Yang enggan menoleh memandang saya. Jika saya menegur dan memulakan bicara, pasti cerita Apak ini akan keluar dari mulutnya. Kak Yang merahsiakan perkara ini dari saya rupanya. Mak yang akhirnya bercerita. Jika tidak pasti sampai sudah saya tidak tahu hujung pangkalnya!!

Saya tetap anak Mak. Biar apa pun tindakan Apak, biar seteruk mana perbuatan Apak mengguris hati Mak, saya tetap anak Mak. Menyayangi Mak tanpa berbelah bagi.
“Mak dah tak kisah dah.. kalau dia nak kahwin dengan janda tu pun Mak tak kisah. Dah puas Mak menelan kepahitan hidup bersama Apak kamu. Jika dulu, setiap yang terjadi, Mak tahan hati Mak sebab Mak fikirkan kome masih kecil lagi. Kemudian bila kome dah besar, Mak tahan hati Mak lagi sebab Mak tahu kome perlukan dia untuk nikah kahwin kome. Sekarang ni bila anak-anak Mak semua dah kahwin, Mak dah tak kisah lagi dah..” kata Mak menahan airmata yang jatuh.

“Cuma kalau dia sungguh nakkan janda tu, buat cara elok. Kemudian, lepaskan Mak. Mak boleh bawa hati Mak ke rumah anak-anak Mak tanpa perlu minta izin dia”

Hati saya sebak sewaktu melangkah ke kereta. Saya peluk Mak. Saya cium Mak. Maafkan Indera, Mak. Kali ini Indera gagal menunjukkan Mak jalan keluar dari permasalahan Mak!!

“Mak demam sebab perkara inikah?” tanya saya
“Semua ada. Dan ini salah satunya”
Indera : Sedih, sayu dan pilu. Dari dulu hingga kini, Apak tidak pernah gagal memberi luka dalam hati saya. Biarlah dia melukakan hati kami semua. Saya sudah lali dilukai. Satu lagi kelukaan yang diberikan tidak akan menambah kesedihan yang sedia ada.

5 comments:

Masy said...

*speechless!!*

Ghazali said...

Assalamualaikum Indera;

Mungkin Indera masih ingat atau tidak kepada saya ...

Apa apa pun ...

Apakah ini cerita betul atau hanya karangan minda?

Andainya ianya realiti, hati ibu Indera pasti remuk ... hancur berkecai ... hanti anak anak bagi dihiris hiris ....

Tetapi apakan daya kita ... itu adalah Ayah kita ...

Saya amat simpati dengan saudara ...

Apa apaun .. lama tak dengar cerita dari Indera ...

KAMATO said...

Doa buat ibu agar sentiasa dilindungi

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Sukar untuk saya meluahkan kata-kata. Sebak dada membaca entri Indra kali ini.

Ujian Allah kepada yang dikehendakiNya. Semoga Ibu sabar dan tabah menghadapinya.

kingbinjai said...

adoi laaa