Friday, March 09, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn 1)

"Apak, macam mana Apak boleh kahwin dengan Mak?" tanya saya di suatu malam pada awal-awal tahun 90-an tatkala kami sedang menikmati makan malam. Apak yang ketika itu ingin menyuap nasi, terhenti seketika. Manakala Mak yang sedang leka membasuh pinggan segera menoleh ke arah kami.
"Dah jodoh" jawabnya pendek.
"Itu Indera tahulah. Tapi Indera cuba bayangkan. Mak berasal dari kampung yang jaraknya hampir 20 batu dari kampung ni. Orang dulu-dulu, kalau kahwin jauh-jauh pun, tak pernah lebih jauh dari kampung sebelah... Apak pula sampai 20 batu jauhnya. Kan menghairankan tu..?" kata saya sambil mengerutkan dahi.
"Apak, Apak ceritalah sikit.."
"Ahhh... sibuklah engkau ni!!" Bentak Apak. Saya sangka dia marah. Tetapi dia senyum pula. Anginnya tengah elok!!.
"Ceritalah Apak..." saya merayu.
"Baiklah. Baiklah. Apak kenal dengan Mak kamu masa Apak tolong Mak kamu melaung Bot Penambang di Pekan Parit. Itu saja!!"
"Itu saja..?"
"Yelah. Itu saja"
"Mesti ada cerita lain selepas tu..." kata saya tidak puas hati.
"Jangan nak mengorek rahsia orang. Habiskan nasi tu" kata Apak sebelum mengetuk kepala saya dengan pinggan.
Apak berlalu terus ke sinki sebelum tersenyum penuh makna ke arah Mak. Mesti ada cerita di sebalik itu. Mesti!!

Suatu petang, ketika saya sedang merayau-rayau di sekeliling kampung dengan menaiki motorsikal buruk Apak, angin menderu dengan kuat. Awan larat mendung mengandung hujan alamat badai bakal mengguyur lebat dari langit. Tidak lama sesudah itu titis-titis air sebesar biji jagung jatuh satu persatu menimpa bumi. Saya tidak sempat untuk pulang ke rumah. Rumah Opah lebih dekat jaraknya dengan tempat itu. Tanpa berlengah, saya memecut motorsikal buruk itu ke rumah Opah yang hanya beberapa selekoh dari situ. Namun pecutan maksima motorsikal itu hanyalah 40km sejam. Akibatnya, sampai sahaja di rumah Opah, baju dan seluar saya sudah basah keseluruhan.
"Kamu ni dari mana ni?. Basah kuyup sampai macam ni?" leter Opah sambil menghulurkan saya sehelai tuala, sehelai kemeja T kepunyaan Achik dan sehelai kain pelikat. Arwah Atuk ketika itu masih sihat lagi. Dia sedang duduk berehat di kerusi malas sambil matanya terus memandang jauh ke arah kebun getah tuanya yang terletak di hadapan rumah.

Saya duduk di sebelah Atuk. Terus mendakap tubuh tuanya. Atuk mengelak sambil menolak kepala saya.
"Hiee.. tak ada lain. Sikit-sikit nak peluk aku. Geli aku.."
Saya dan Atuk sama-sama ketawa. Kemudian kami terdiam. Saya bagaikan kehilangan kata-kata untuk memulakan perbualan.
"Tuk. Atuk tahu tak macam mana Apak kahwin dengan Mak?" tanya saya.
Atuk menoleh ke arah saya. Memandang tepat ke wajah saya. Atuk tersenyum lama. Kemudian menganggukkan kepalanya.
"Haji Hassan. Ya, arwahnya Haji Hassan... Aku teringat lagi hari itu...."

Hari itu, bas tiba dari Parit. Penumpangnya tidak ramai. Yang turun dari bas di kampung itu sekadar 10 orang sahaja. Boleh dikatakan semua mereka itu penduduk-penduduk kampung itu juga. Kemudian turun seorang lelaki tua yang bertubuh besar diikuti oleh seorang anak dara. Anak kepada lelaki itu. Mereka kelihatan tercari-cari sesuatu. Gayanya mereka bukan penduduk kampung itu. Atuk Sutan Ali tidak ambil endah. Biasalah sekiranya ada orang luar yang datang berkunjung. Boleh jadi mereka ingin melawat saudara mereka di kampung itu. Atuk Sutan Ali menolak basikal tuanya yang telah leper tayar ke kedai untuk ditampal tiubnya.
"Assalamualaikum" sapa lelaki tua yang bertubuh besar itu.
"Waalaikummussalam"
Atuk Sutan Ali tercegat berdiri. Lelaki tua bertubuh besar itu nampak ramah tersenyum. Anak perempuannya berjalan lambat-lambat mengekori ayahnya sambil mengelek sebuah beg pakaian.

"Adik, boleh abang tumpang tanya? ke mana arah jalan nak ke sekolah kampung ni?" tanya lelaki itu lagi.
"Errr... Abang ikut jalan depan ni. Sampai saja di simpang tiga di tepi sungai tu nanti, Abang ambil jalan kiri. Dalam 10 rantai dari situlah sekolah tu"
"Apa hajat Abang nak ke sekolah tu?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Ni, anak saya ni baru tamat Darjah Khas. Dia diminta mengajar ugama di sekolah kampung"
"Oh, baguslah macam tu. Saya Sutan Ali, bang. Nama Abang..?"
"Allah!! Dah tua-tua macam ni sampai lupa nak kenalkan nama. Maafkan Abang. Nama Abang, Haji Hassan"

Tok Haji Hassan berlalu bersama anak daranya menuju ke sekolah di tepi tebing Sungai Perak itu. Atuk Sutan Ali memandang anak dara Haji Hassan yang berjalan lambat-lambat itu. Serta-merta Atuk Sutan Ali terkenangkan anak terunanya, Muhammad Suria yang jauh di Pantai Remis. Anak aku pun guru juga!!, desah hati Atuk Sutan Ali. Pandangan Atuk Sutan Ali mengekori langkah anak dara Haji Hassan itu.
"Cantik!!. Bersopan benar gayanya. Guru ugama pula..." hati Atuk Sutan Ali berkata-kata. Terus menuntun basikal ke kedai Tok Sidang Pandak untuk ditampal tiubnya.

Atuk Sutan Ali terpaksa menanti giliran. Terdapat banyak basikal hari itu yang perlu dibaiki oleh Tok Sidang Pandak. Matahari kian galak memancar menghangatkan persekitaran kedai yang riuh rendah dengan orang ramai itu. Atuk duduk di bawah pokok ketapang besar sambil matanya sekali sekala memandang kosong ke arah kesibukan orang yang lalu lalang. Oleh kerana terlalu lama menunggu, tekak Atuk Sutan Ali terasa kering. Atuk Sutan Ali bingkas ke kedai kopi kepunyaan Mail Boyot.

Dalam kedai Mail Boyot penuh dengan orang ramai terutama mereka yang baru pulang dari menoreh getah. Beberapa jam lagi, akan masuklah waktu Zohor. Basikal Atuk Sutan Ali masih belum disentuh. Atuk duduk di satu sudut kedai kopi setelah memesan secawan teh O panas.

Tidak lama sesudah itu masuk seorang lelaki bertubuh besar. Haji Hassan. Gayanya masih seperti dia mula-mula turun dari bas tadi. Seperti tercari-cari sesuatu. Kali ini anak daranya tiada bersama. Tatkala terlihatkan Atuk Sutan Ali, Tok Haji Hassan tersenyum mendekati Atuk Sutan Ali.
"Mana anak mike, bang?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Teman dah hantor dia duduk serumah dengan Cikgu Siti Rahmah. Eloklah tu, deme sama-sama bujang. Kalau anak teman tu terpaksa duduk dengan orang dah berkeluarga, teman susah hati juga" kata Tok Haji Hassan.
"Ate, lepas ni Abang nak ke mana. Kalau ada masa, moh le ke rumah teman" pelawa Atuk Sutan Ali. Kemesraan mereka semakin terserlah. Tok Haji Hassan merasa gembira kerana punya kenalan di kampung tempat anaknya mengajar.
"Tak apalah. Abang risau nanti sampai ke rumah dah malam. Lain kali saja, ye!! Risau kakak kamu tu tinggal seorang" Tok Haji Hassan menolak dengan sopan.

Atuk Sutan Ali tercegat lagi di tepi jalan raya itu memandang Haji Hassan yang melambainya dari dalam bas. Ahhh... budi tidak dapat dijual beli. Masih terngiang-ngiang di telinganya akan pesanan Haji Hassan sewaktu lelaki itu ingin menongkah tangga bas.
"Adik, teman ni duduk jauh. Jauh itu jugalah anak teman dari mata teman. Anak teman perempuan. Susah hati teman memikirkan tentang hidup dan keselamatannya di kampung ni. Adik tolong tengok-tengokkan dia, ye!!"
"Insya-Allah, Abang. Abang jangan risau"

Saya menumpang dagu keasyikan mendengar cerita Atuk. Atuk tiba-tiba bagaikan tersedar dari lamunan. Dia serta-merta tersenyum sambil matanya bersinar menatap wajah saya.
"Tak sangka. Sampai ke sudah aku tengok Mak kamu...!!"

Wednesday, March 07, 2007

Aku anak guru Tit Bin School

Saya pernah bertanya kepada Apak, andainya dia tidak ditakdirkan menjadi seorang guru, agak-agaknya apakah pekerjaan yang dilakukannya untuk menyara keluarga.
"Tukang Jahit" jawabnya pendek.
Tukang jahit? akal saya bermain-main sambil membayangkan kehidupan saya sebagai seorang anak tukang jahit.

Kemudiannya Apak bercerita bahawa sesudah dia menamatkan Darjah 7 di penghujung tahun-tahun 50-an, Apak masih lagi kabur akan hala tuju hidupnya. Bersama-sama Tok Subari, mereka belajar menjahit pakaian, terutamanya pakaian lelaki dari seorang tukang jahit yang mahir di deretan kedai yang tersergam indah di tepi tebing Sungai Perak itu. Sekarang ini kedai-kedai itu sudah tidak wujud lagi setelah diganti dengan kedai kayu yang dibina di sepanjang jalanraya kira-kira 500 meter dari tapak asal.

Zaman remajanya sangat susah. Pendapatan sebagai pembantu tukang jahit hanya cukup untuk membeli keperluan dapur sahaja. Sedang untuk membeli keperluan dirinya sebagai seorang remaja langsung tidak pernah dikecapi. Pun begitu, Apak menyimpan hasrat untuk berjalan-jalan ke tempat orang. Melihat kehidupan yang di luar gelung lingkaran hidupnya.

Apak berdikit-dikit dengan menyimpan sebanyak 10 sen sehari dari pendapatan hariannya dan dimasukkan ke dalam tabung kecil yang disimpannya di bawah katil. Apak ingin benar ke Taiping menjenguk ibu saudaranya yang bermastautin di sana setelah berkahwin dengan lelaki dari Kamunting.

Setelah wang Apak cukup RM15.00, Apak memohon izin dari Opah dan Atuk untuk ke Taiping dengan alasan setelah dua bulan di sana, Apak akan pulang semula ke kampung. Tok Subari tidak berkata apa-apa. Cuma Tok Subari itu sangat asyik dengan kerja menjahit. Sudah menjadi minatnya. Sangka Apak, minat Tok Subari itu hanya hangat-hangat tahi ayam. Penat kelak, berhentilah dia. Namun sangkaan Apak meleset. Tok Subari menjadikan kerja menjahit itu sebagai kerjaya tetapnya. Hingga ke hari ini Tok Subari masih lagi menjahit pakaian.

Apak terus ke Taiping. Tinggal bersama ibu saudaranya yang dipanggilnya Mak Chu Munah. Seperti mana seorang anak saudara apabila bertandang ke rumah ibu saudara, pastinya disambut dengan meriah. Tinggallah Apak beberapa ketika di Taiping. Taiping pada ketika itu merupakan sebuah bandar utama di Semenanjung. Salah sebuah bandar besar yang merupakan bandar pemunggahan bijih timah sebelum diangkut ke kapal di Port Weld (Kuala Sepetang) yang hanya beberapa kilometer dari bandar Taiping. Segala kelengkapan bagi sebuah bandar besar ada di Taiping. Hospital, pasar, stesen keretapi dan bas, panggung wayang dan zoo, penjara dan taman bunga semuanya terdapat di Taiping. Apak benar-benar melalui sebuah fasa baru dalam kehidupannya.

Suatu hari, suami Mak Chu Munahnya pulang membawa berita. Sebuah sekolah Cina di Pekan Pantai Remis ingin menggajikan seorang guru yang boleh mengajar Bahasa Melayu. Syaratnya hanya lulus Darjah 7. Apak cukup syarat!!. Dengan ditemani oleh suami Mak Chu Munahnya, Apak pergi ke sekolah itu. Tit Bin School. Itulah nama sekolahnya. Tanpa disangka, Apak diterima!!
"Selamat datang ke sekolah ini, Cikgu Muhammad Suria" kata Guru Besar itu dalam pelat cina yang sangat pekat.
"Saya harap cikgu bersabar dalam mengajar" katanya lagi sambil menghulurkan kepada Apak sebilah rotan sepanjang setengah depa.
"Kenapa cikgu memberi saya rotan?" tanya Apak kebingungan. "Kenapa rotan? Tak ada buku-buku ke?" tanya Apak lagi.
"Cikgu Suria, kalau cikgu tak rotan, cikgu tak boleh mengajar" kata Guru Besar itu sambil ketawa.

Memang benar kata-kata Guru Besar itu. Kata Apak, senakal-nakal kanak-kanak Melayu di kampungnya, adalah sebaik-baik perangai anak orang Cina di Pantai Remis itu. Kenakalan mereka jauh berlipat kali ganda. Lalu Apak menggunakan kemudahan merotan itu sewenang-wenangnya. Hasilnya sungguh membanggakan. Setiap kali masuk waktu untuk matapelajaran Bahasa Melayu, murid-murid Tionghua itu menikus ketakutan.

Apak mengajar di sekolah itu selama 10 tahun. Mempelajari, memahami dan membudayai cara hidup masyarakat tionghua di sana. Cuma Apak tidak akan berkompromi dengan perkara yang melibatkan halal dan haram. Pendirian Apak jelas, tegas dan jitu sehingga guru-guru yang mengajar sesama Apak amat menghormati agama yang Apak anuti. Apak berbicara dengan mereka di dalam dialek Kantonis yang pekat dan sekali sekali turut berbicara di dalam dialek Hakka. Petang harinya, selepas waktu sekolah, Apak turut melawat anak-anak muridnya yang bermain berkejaran di sekeliling kebun sayur dan juga di jeti pemunggahan ikan.

Setelah Apak berkahwin, Apak diserapkan ke perkhidmatan perguruan yang diselia oleh Jabatan Pendidikan sendiri. Ini bermakna, Apak juga seorang guru tetap. Apak ingin membawa Mak tinggal dan mengajar terus di Taiping. Tetapi Tok Haji Hassan tidak bersetuju. Tanpa berunding dengan Apak terlebih dahulu, Tok Haji Hassan menongkah tangga Pejabat pendidikan bertemu dengan Pengarah minta runding agar ditukarkan menantunya itu balik ke kampung.

Semua orang kampung bagaikan tidak percaya Apak kini seorang guru. Masih terbayang-bayang lagi di ingatan mereka seorang pemuda yang comot, terbongkok-bongkok dan terkial-kial menyudahkan jahitan. Kini pemuda itu seorang guru. Sesekali, Apak ke Telok Anson (Teluk Intan) membeli barang-barang. Apabila dikelilingi oleh orang-orang Cina di Teluk Anson itu, Apak hanya terdiam mendengar perbualan mereka. Kadang-kadang mereka mengata dan mengumpat Apak di dalam bahasa mereka dan memikirkan Apak tidak memahaminya. Apak akan ketawa. Kemudian apabila dia mula membuka mulut bertutur di dalam dialek kantonis yang pekat itu, ataupun dengan dialek Hakkanya, orang-orang cina itu akan ternganga kekaguman.

Suatu ketika setelah berakhirnya Pesta Tahun Baru Cina, sedang saya dan Apak berbual-bual di beranda rumah, sebuah kereta mewah tiba-tiba muncul dengan kelajuan yang melebihi had yang sepatutnya. Tiba sahaja di selekoh tajam di hadapan rumah kami, pemandunya gagal mengawal kenderaan. Kereta itu lalu terbabas berpusing-pusing sebanyak dua pusingan sebelum menjunam masuk ke dalam parit besar. Habis remuk bahagian hadapan kereta itu. Pemandunya keluar dari kereta dan dengan keadaan yang panik, terus menghubungi seseorang melalui telefon bimbit. Rupa-rupanya pemandu yang berbangsa cina itu kemabukan selepas meminum minuman keras. Mujur sahaja tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

Setengah jam kemudian seorang cina yang sama umur dengan Apak tiba di tempat itu dengan sebuah kereta buatan tempatan. Rupa-rupanya orang cina yang baru sahaja tiba itu adalah bapa kepada pemuda yang memandu kereta mewah itu. Dengan tidak berlengah lagi, orang cina yang tua itu terus memukul dan menendang anaknya bertalu-talu sambil menghamburkan kata-kata cacian di dalam dialek kantonis. Apak secara perlahan-lahan menghampiri dan menggosok bahu orang cina yang sama seusia dengannya itu.
"Encik. Tak baik menyumpah anak awak b*bi.." kata Apak.
Cina tua itu berhenti memukul anaknya sambil memandang Apak dengan pandangan yang terpinga-pinga.

Hingga ke hari ini, Apak masih lagi mampu bertutur dalam bahasa tionghua. Hairannya pula, Apak cukup anti dengan minat saya yang suka menonton drama Cina. Yang paling dimarahinya ialah melihat keasyikan saya menonton drama Journey to the West.

Friday, March 02, 2007

Senama

Di dalam entri saya yang bertajuk "Ke Puncak Cita", saya pernah menyatakan tentang hubungan erat antara saya dengan Dr. Indera. Ramai yang berpendapat bahawa keserasian antara kami berdua ini wujud kerana kami berkongsi nama. Sebelum ini saya tidak pernah mengambil kisah akan perkara ini kerana saya menganggapnya sebagai satu kebetulan. Namun setelah difikir-fikir semula, timbul pula fikiran yang berkata, mungkin betul!!. Setelah dikaji dan dicongak, maka saya teringat sesuatu yang merupakan kebiasaan di kampung saya pada suatu masa dahulu.

Di masa dahulu, orang di kampung saya sering menamakan anak mereka yang baru lahir dengan keadaan fizikalnya sewaktu bayi itu lahir. Jika bayi itu dilahirkan dengan kulit putih atau cerah, maka dia akan dinamakan Putih. Jika hitam kulitnya sewaktu lahir, maka nama yang tercatat di surat beranaknya pasti Itam Bin Alang Seman contohnya. Tidak kurang juga yang bernama Bulat atau nama yang disarankan oleh Islam tetapi telah diubah mengikut sebutan setempat seperti Minah (Aminah), Joyah (Zawiyah), Jeleho (Zulaikha), Seman (Uthman), Sapi (Saufi) dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, nama penduduk kampung ini mempunyai kepelbagaian dan ragamnya tersendiri. Terlalu sedikit yang mempunyai nama yang sempurna ditulis mengikut saranan yang telah dianjurkan oleh Islam. Kadang-kala terdapat keadaan di mana dua orang atau lebih yang berkongsi satu nama. Jika hal ini terjadi, kebiasaannya mereka ini akan mengaku bersaudara dunia akhirat seperti itu adik beradik seibu sebapa bagi menunjukkan keakraban mereka yang diikat dengan satu nama.

Ayah saya bernama Muhammad Suria Bin Sutan Ali (bukan sultan, ye!!). Ayah saya dinamakan Suria kerana menurut cerita Opah, Apak dilahirkan di waktu tengahari rembang dalam tahun di mana tentera dari negara Matahari Terbit mara seperti gelombang menuju ke arah selatan tanahair. Orang dahulu kurang memberi penekanan tentang makna nama bagi anak-anak mereka. Melihatkan bendera Nippon yang seperti matahari bertangan lapan, ditambahi pula dengan waktu dia dilahirkan di bawah panas mentari, Atuk menamakan Apak sebagai Suria bermakna Matahari. Dengan harapan hidup Apak di kemudian hari akan bersinar terang seperti bersinarnya sang mentari.

Setelah beberapa minggu Apak dilahirkan, jauh di hujung kampung, seorang bayi lelaki dilahirkan dan turut dinamakan sebagai Muhammad Suria. Apak dan lelaki ini sama-sama membesar, kemudian bertemu di kelas yang sama di sekolah. Setelah mengetahui bahawa mereka berdua berkongsi nama yang sama, kedua-dua belah keluarga kemudian mengadakan kenduri kesyukuran yang kecil, bertanak pulut kuning sebagai tanda mempersaudarakan Apak dengan adik senamanya. Masa berlalu dan masing-masing sudah berkahwin. Masing-masing dikurniakan dengan anak yang ramai. Timbul pelbagai perkara lucu berkenaan senama ini. Contohnya beberapa tahun lepas, adik senama Apak menelefon ke rumah, dan saya kebetulan yang menjawab telefon.
"Hello, Assalamualaikum"
"Waalakumussalam"
"Haaa... Sapa yang cakap ni..??" tanya suara di hujung sana.
"Saya Indera. Siapa ni..?"
"Apak kamu ada?"
"Ada. Siapa ni?"
"Ini Apak Nama cakap ni.."
"Haaahh?" saya sangkakan saya tersilap dengar.
"Apak Nama cakap" kata suara di sana mengulang.
"Haaahh? Apak Nama? Apak Nama tu apa?"
"Hahahaha..." suara di hujung sana ketawa garau. "Cakap pada Apak kamu, Apak Nama telefon"

Setelah dimaklumkan kepada Apak, dia terkocoh-kocoh menjawab telefon. Sesekali terdengar Apak ketawa terbahak-bahak mendengar bualan orang di sebelah sana.
"Itu adik senama Apak. Namanya pun Muhammad Suria juga. Kamu mesti panggil dia Apak Nama.." beritahu Apak.
Haaa.... sungguh saya garu kepala. Bagaimana saya boleh membiasakan diri saya memanggil Apak kepada ayah orang lain.

Itu cerita yang pertama. Cerita yang kedua pula tidak kurang melucukan. Ini pula tentang Opah saya yang bernama Maryam. Dia juga mempunyai adik beradik senama. Juga bernama Maryam. Isteri kepada Cikgu Ngah Basir, cikgu pencen yang mempunyai rumah besar di tengah pekan di kampung kami. Apabila kakak senama Opah datang bertandang menjenguk Opah, mereka biasanya akan berbual-bual di ruang tamu. Manakala saya dan sepupu saya Fuad akan mencuri-curi dengar perbualan kedua-dua Opah ini dari dalam bilik bersebelahan dengan ruang tamu itu. Perbualan mereka mempunyai variasi tersendiri kerana mereka ini berkongsi nama. Mereka tidak akan menyebut nama mereka tetapi gantinama "saya" akan ditukar menjadi "Nama". Gantinama "awak" akan sebut "Senama".
"Betul Senama dengar macam tu?" tanya Opah.
"Betul Senama. Anak dia yang kabor sendiri pada Nama. Tapi Nama tak kuasa nak cerita dulu pada Senama" kata isteri Cikgu Ngah Basir Basir.

Aduuuhhh, ketika itu saya dan Fuad sudah terguling-guling di atas lantai akibat kelucuan mendengar perbualan orang tua kami yang pelik-pelik itu. Tuuummm!! kaki Fuad tertendangkan dinding bilik. Kami serentak terdiam.
"Apahalnya kat dalam tu?" Opah bertempik.
"Orang nak bersembang pun tak senang" marah Opah.
"Minah, ooo Minah!!" Opah melaung Mak Nah yang sedang leka menonton television di tingkat atas.
"Buatkan kopi untuk Mak Nama kamu ni"
"Tak usah susah-susah Senama. Bior le Minah tu nengok TV di atas tu"

Saya terfikir juga, bagaimana jika tradisi ini menjadi pegangan orang kita. Tentu ramai adik beradik kita, bukan? Saya selalu merujuk nama saya iaitu Indera pada Buku Panduan Telefon. Mengikut nama yang tersenarai, tidak kurang dari 20 orang di Malaysia ini yang mempunyai nama yang serupa dengan saya. Ertinya saya mempunyai lebih 20 saudara di seluruh Malaysia. Lebih meragukan saya apabila nama saya berunsur Mahabharata. Ohhhh.. tidak, tidak, tidak!!! Saya tidak rela.. Kenapa nama saya bukan Zizie Ali? Ohh... Tidakkk!!

Thursday, March 01, 2007

Walinong Sari (Bhgn 2)

Melihat sahaja akan burung merpati putih itu, hati baginda terus tertawan. Lantas diperintah juak-juak pengiring menangkap burung merpati itu. Anehnya burung merpati itu langsung tidak melarikan diri. Seolah merelakan dirinya ditangkap oleh juak-juak itu pula. Puteri Wanang Seri merasa amat sukacita mendapat burung yang jinak itu. Terus sahaja baginda membelai dan bermain-main dengan burung merpati itu.
"Siapakah gerangan engkau wahai burung merpati? Kenapa beta tiba-tiba jatuh kasih kepadamu. Katakanlah wahai burung.." madah baginda seolah-olah burung itu memahami kata-kata baginda.
Burung merpati itu terbang hinggap di atas jari telunjuk Puteri Wanang Seri.
"Kenapa Tuan Puteri menutup wajah Tuan Puteri?" tanya Inang Pengasuh.
"Entahlah inang. Hati beta merasa berdebar-debar melihat burung merpati ini. Beta merasa malu pula. Seperti burung merpati ini seorang lelaki layaknya..."
Mendengarkan madah Puteri Wanang Seri itu sekelian inang ketawa lucu.
"Ada-ada sahaja Tuan Puteri ini.. Inikan hanya seekor burung?" kata Inang Tua.

Setelah terlerai segala lelah yang mengikat urat saraf, tibalah masanya rombongan itu berangkat meneruskan perjalanan.
"Terbanglah engkau wahai merpati. Beta tidak dapat hendak membawa kamu bersama kerana beta tidak sampai hati hendak mengurung kamu di dalam sangkar. Kamu tentu inginkan kebebasan. Berat rasanya hati beta hendak berpisah dengan kamu. Hati beta sudah jatuh kasih padamu wahai burung. Walau bagaimanapun pulanglah engkau ke tempat asal engkau. Selamat jalan, burung..."
Ketika itu airmata hiba Puteri Wanang Seri jatuh ibarat karang yang berderaian. Burung merpati itu kemudian terbang jauh melintasi kolam itu.

Setelah rombongan itu berangkat pergi, burung merpati itu bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara. Tahulah Raja Mambang Segara bahawa Puteri Wanang Seri itu seorang puteri yang budiman. Walaupun Puteri Wanang Seri itu sekadar memperlihatkan matanya, namun Raja Mambang Segara dapat merasakan bahawa puteri itu tersangat jelita. Hati Raja Mambang Segara sudah terpikat. Tanpa berlengah, baginda menuruti jejak rombongan itu menuju ke Pekan.

Ada pun rombongan Puteri Wanang Seri itu tiba di Pekan. Pekan merupakan sebuah kota yang sibuk dengan pasarnya. Hamba rakyat yang mendiaminya sangat ramai dengan aneka jualan dan juga permainan di dalam pasarnya. Rakyat jelata apakala mengetahui rombongan Puteri Wanang Seri mengunjungi kota itu, terus sekelian hamba memberi pelbagai hadiah buat tuan puteri dan juga Paduka Bendahara.

Raja Mambang Segara yang baru tiba di Pekan itu kemudian menukarkan dirinya menjadi seorang pemuda buruk yang berpakaian compang camping. Baginda kemudiannya mendekati usungan Puteri Wanang Seri lalu menghulurkan sebiji talam yang sangat cantik ukirannya.
"Ampun Tuanku, sembah pacal yang hina. Terimalah pemberian yang tidak seberapa dari hamba yang hina ini..."
Puteri Wanang Seri menarik tabir usungan. Dilihatnya seorang pemuda buruk sedang memegang talam yang sangat halus buatannya. Dilihatnya pemuda itu sangat comot tetapi matanya bercahaya dan bersinar galak. Puteri Wanang Seri merasakan darahnya menyimbah naik ke muka apakala menentang sinar mata pemuda miskin itu.
"Terima kasih orang muda. Beta merasa berbesar hati menerima hadiah dari kamu.. Budi kamu beta junjung"

Setelah memperolehi Kain Cindai Kulit Manggis 7 bidang itu, rombongan itu pulang ke istana. Malamnya pula Puteri Wanang Seri tidak dapat melelapkan mata, asyik terkenangkan pemuda comot itu. Kesokan paginya, sebaik sahaja ayam berkokok dan fajar menyinsing, Puteri Wanang Seri sudah bersiap-siap berlanggir untuk menuju ke Pekan dengan ditemani oleh inang-dayang dan juga juak-juak.

Seperti hari sebelumnya itu, Puteri Wanang Seri bertemu dengan pemuda yang memakai pakaian compang camping itu lagi. Kali ini pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekaki payung berwarna kuning.

Hari yang ketiga, Puteri Wanang Seri turun lagi mengunjungi Pekan. Hari yang ketiga itu, pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekuntum Bunga Melur.
"Orang muda..." titah Puteri Wanang Seri.
"Patik, Tuanku.."
"Tahukah kamu bersilat dan bermain senjata..?" tanya tuan puteri.
"Hamba erti sedikit-sedikit, Tuanku" jawab pemuda itu.
"Mahukah kamu kalau beta mengajak kamu bersayembara di gelanggang silat?" tanya Puteri Wanang Seri lagi.
"Jika itu sudah kemahuan Tuanku, patik menurut sahaja..."

Maka hari sayembara itu ditetapkan. Sekelian hamba rakyat keluar menyaksikan pertarungan persilatan antara Puteri Wanang Seri dengan pemuda miskin yang ditemuinya di Pekan. Sebaik sahaja ditiup nafiri, Tuan Puteri Wanang Seri masuk ke gelanggang silat lengkap berpakaian kebesaran. Bertudung menutupi wajahnya sebagai tanda menjaga maruah puteri melayu. Di gelanggang persilatan, pemuda comot itu sedia menanti.

Puteri Wanang Seri sangat perwira dan tidak pernah kalah walau sekalipun sebelum sayembara itu. Baginda merasa amat pasti bahawa baginda akan memenangi pertarungan itu. Kedua-dua belah pihak saling bertukar pukulan dan buah kilas. Sesekali jurus yang dikeluarkan adalah jurus kebatinan yang memukul dari jauh. Segala pukulan yang ditujukan ke arah pemuda itu dapat dikesampingkannya dengan sempurna malah ilmu persilatan pemuda itu jauh lebih hebat daripada ilmu pertempuran Puteri Wanang Seri.

Mereka saling berasak-asak dengan pukulan yang merbahaya sehingga akhirnya pemuda itu melancarkan jurus pukulan yang sangat hebat. Puteri Wanang Seri tahu bahawa dia akan tewas dalam sayembara itu. Bagi menjaga maruah istana, baginda merasakan bahawa baginda harus memenangi sayembara itu walau dengan apa cara sekalipun. Di saat yang genting itu, Puteri Wanang Seri menarik tudung yang menutupi wajahnya lalu terlihatlah seri cahaya wajahnya yang gilang gemilang. Melihatkan kecantikan puteri itu, pemuda comot itu terus jatuh pengsan akibat gelora nafsu yang tidak tertahan.

Sebaik sahaja pemuda comot itu pengsan, hilang sementara waktu segala kesaktiannya. Pemuda comot itu tidak semena-mena bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara, lengkap berpakaian kebesaran serta busar panahnya terletak di sisi. Melihatkan hal itu, Puteri Wanang Seri segera menitahkan agar Raja Mambang Segara yang masih tidak sedarkan diri diusung naik ke istana.

Raja Mambang Segara pengsan tidak sedarkan diri selama setengah hari. Peristiwa itu disaksikan oleh Raja Laksamana Petir dari Kemuncak Gunung Tahan melalui cermin hikmat baginda. Baginda merasa amat murka terhadap Raja Mambang Segara kerana tidak harus keturunan baginda tewas dengan kecantikan seorang manusia. Baginda kemudian menghantar utusannya untuk mengambil Raja Mambang Segara yang masih belum sedarkan diri di istana Inderapura.

Arakian, muncullah petir dan kilat sabung-menyabung di langit tinggi. Puteri Wanang Seri masih setia di sisi Raja Mambang Segara namun dilihat oleh baginda, jasad Raja Mambang Segara semakin lama semakin menipis. Baginda puteri terkejut dengan kejadian itu. Tiba-tiba menjelma kilat dari langit beserta yang letupan guruh yang memekakkan telinga membelah udara istana. Jasad Raja Mambang Segara lenyap dari pandangan. Puteri Wanang Seri terus jatuh pengsan.

Dalam tidak sedarkan diri itu, Puteri Wanang Seri bermimpi bertemu dengan seorang pendita.
"Wahai Puteri Wanang Seri. Nama anak raja itu ialah Raja Mambang Segara. Ayahandanya bernama Raja Laksamana Petir. Jika Tuan Puteri kasihkan ia, carilah ia di kemuncak Gunung Tahan. Di sanalah ayahandanya berkerajaan".

Ada pun keesokan harinya, Puteri Wanang Seri dikhabarkan lenyap dari istana. Ada yang mengatakan bahawa Puteri Wanang Seri telah berangkat ke Kemuncak Gunung Tahan mencari kekasih hati baginda. Kadang-kadang Puteri Wanang Seri dilihat muncul di Inderapura bersama dua orang pengiring perempuan. Seorang sedang memayungi Puteri Wanang Seri dengan payung berwarna kuning manakala seorang lagi pengiring baginda menaburi langkah Puteri Wanang Seri dengan bunga-bunga yang diisi di dalam talam berukiran indah. Nama Puteri Wanang Seri kemudiannya lebih dikenali ke hari ini sebagai Puteri Walinong Sari. Wallahua'lam.

Walinongsari

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Datangnya dari puncak gunung Tahan
Puncak gunung Ledang, gununglah Banang

Turunlah bermain di taman sayang
Memetik bunga-bunga, menyusun bunga-bunga
Di dalam taman

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Pandai menyabung pandai
Bersilat gayung, pandai melambung lembing
Pandai melambung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datanglah mari
Datang membawa talam
Datanglah mari

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa turun
Membawa payung
Payung berwarna kuning
Membawa payung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa talam
Talam dari kayangan
Membawa talam

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Puteri yang cantik dari gunung Banang
Dari gunung Tahan, gununglah Ledang
Turunlah hai tuan
Turun segera
Memetik bunga-bunga
Menyusun bunga-bunga
Di dalam taman
Puteri yang cantik
Hai... dari kayangan

Wednesday, February 28, 2007

Walinong Sari

Ceritera ini telah diriwayatkan berlaku di Negeri Inderapura (nama lama Pahang). Ada pun Inderapura pada zaman kemegahan Kerajaan Melayu Melaka telah diperintah oleh seorang Bendahara bernama Bendahara Paduka Raja. Ketika zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah, Melaka muncul sebagai sebuah pusat penyebaran dan pengembangan syiar Islamiah yang terkenal di rantau Nusantara.

Ada pun ugama Islam itu tersebar dari Melaka ke segenap pelusuk dunia Melayu melalui peperangan dan taklukan. Namun tidak kurang juga negeri-negeri itu diIslamkan melalui perkahwinan diraja. Raja Siak misalnya telah berkahwin dengan puteri Sultan Mansor Shah yang bernama Puteri Mahadewi.

Arakiannya, pecah berita bahawa Bendahara Paduka Raja itu menaruh seorang puteri yang cantik jelita. Puteri Wanang Seri namanya. Ada pun ini selain dari mempunyai rupa paras yang terlalu rupawan, Puteri Wanang Seri juga sangat perwira, pandai bersilat gayung dan melambung senjata. Puteri Wanang Seri juga sangat dikasihi oleh Bendahara Paduka Raja sendiri sehingga Bendahara menetapkan barang siapa yang mampu menewaskan Puteri Wanang Seri dalam ilmu persilatan, orang itu akan diangkat oleh Bendahara menjadi menantunya.

Sudah ramai anak-anak muda dari kalangan rakyat jelata mahupun dari keturunan raja yang tewas dalam sayembara persilatan kepada Puteri Wanang Seri. Hingga di satu masa, Bendahara merasa masygul apabila mengenangkan puterinya yang tidak akan dapat berkahwin dengan mana-mana jejaka.

Kemasyhuran Puteri Wanang Seri ini singgah ke pendengaran Raja Melaka. Baginda berhasrat untuk menyunting Puteri Wanang Seri untuk dikahwinkan dengan anak Dato Temenggung. Anak Dato' Temenggung itu bernama Tun Putih Cahaya Pualam. Baginda kemudiannya mengutuskan utusan meminang yang diketuai oleh Hang Ishak ke Inderapura.

Setelah menerima penghadapan dan mendengar akan maksud kedatangan rombongan itu, Bendahara Paduka Raja merasakan bahawa sudah tidak guna lagi baginya beradu sayembara persilatan kerana jika diteruskan, kelak puteri baginda itu akan menjadi dara tua. Tanpa bertanya kepada Puteri Wanang Seri terlebih dahulu, Bendahara menerima maksud kedatangan rombongan itu dan pertunangan serta perkahwinan ditetapkan dalam jangka masa 4 purnama.

Ada pun Puteri Wanang Seri sewaktu menerima perkhabaran itu tiadalah dia bersuara melainkan tunduk berdiam diri sahaja. Bendahara dan sekelian menteri serta hamba rakyat kemudian sibuk mendirikan balai diraja untuk tujuan kenduri perkahwinan itu kelak. Malah rakyat jelata turut bergembira menyambut berita bahawa Puteri Wanang Seri akan berkahwin dengan orang besar dari Melaka.
"Ampun Tuanku, sembah patik pohonkan diampun" sembah Inang Tua pada suatu hari.
"Ada apa Inang? katakanlah.." Titah baginda Bendahara Paduka Raja.
"Ampun Tuanku. Adapun kita ini kekurangan suatu barang buat hantaran ke Melaka nanti. Jika ada keizinan Tuanku, patik ingin ke Pekan untuk mendapatkan barangan itu.."
"Apa gerangan barang itu Inang?" tanya Bendahara.
"Kain Cindai Kulit Manggis. Hendak dibeli 7 bidang.." sembah Inang Tua.
"Pergilah Inang..." Bendahara memberi izin.
"Izinkan anakanda turut serta, ayahanda.." sembah Puteri Wanang Seri kepada Bendahara Paduka Raja.
"Anakanda teringin benar hendak melihat pasar dan juga suasana di Pekan itu. Izinkanlah ayahanda, kerana tidak lama lagi, tidaklah anakanda dapat melihat negeri kita lagi...
"Baiklah. Ayahanda izinkan.."

Maka berangkatlah Puteri Wanang Seri menuju ke Pekan dengan menaiki usungan diiringi oleh juak-juak dan inang pengasuh. Perjalanan menuju ke Pekan itu mengambil masa setengah hari. Apabila matahari naik ke kepala, rombongan itu berhenti di sebuah kolam yang jernih bagi melepaskan penat lelah dan dahaga.
"Inang, bawakan air untuk beta. Beta dahaga, inang" titah Puteri Wanang Seri.
"Baik, Tuanku.."

Inang kemudiannya pergi ke tepian kolam dengan membawa sebiji buyung. Suasana di kolam itu teramat cantik. Ibarat syurga dunia layaknya. Burung-burung bersiul berterbangan. Pokok-pokok merimbun menghiasi tepiannya. Permukaan airnya sangat jernih. Pendeknya terasa segar tubuh badan melihat pemandangan ciptaan tuhan itu. Inang itu tahu bahawa dia tidak harus berlama-lama di situ. Kelak dibimbangi tuan puteri jatuh murka.

Sebaik sahaja sampai di tempat peristerihat tuan puteri, inang itu terus menceritakan hal kolam yang cantik itu. Puteri Wanang Seri terus terpesona ingin melihat pemandangan kolam itu. Terus sahaja baginda berangkat ke tepian kolam itu. Benar kata inang itu. Pemandangan kolam itu sungguh cantik hingga membuatkan hati Puteri Wanang Seri merasa sangat sukacita. Baginda kemudian bersyair dan bermadah menghiburkan hati baginda sambil diselangi dengan tawa inang-inang pengiring.

Di kala itu, seorang putera kayangan yang bernama Raja Mambang Segara sedang berburu di sekitar kolam itu. Adapun Raja Mambang Segara ini adalah anak Raja Kayangan, Raja Laksamana Petir yang berdiam di kemuncak Gunung Tahan. Apakala terpandangkan rombongan itu sedang bersuka-sukaan, dan melihat pula panji kebesaran putera-puteri diraja sedang berkibar ditiup semilir waktu tengahari, tahulah baginda bahawa rombongan itu adalah rombongan Puteri Wanang Seri. Sudah banyak khabar berita yang baginda dengar tentang Puteri Wanang Seri itu. Baginda ingin melihat kecantikan Puteri Wanang Seri selain dari menguji ilmu kepandaian puteri itu.

Raja Mambang Segara kemudian menukarkan dirinya menjadi seekor burung merpati berwarna putih bersih. Lalu burung merpati itu terbang hinggap di atas ranting pokok berhampiran dengan tempat Puteri Wanang Seri sedang beristirehat. Tatkala terpandangkan merpati putih itu, Inang Tua langsung menegur.
"Eh, eh. Cantiknya burung merpati itu tuan puteri. Lihat tu.."

Puteri Wanang Seri sewaktu itu sedang membelakangi burung merpati itu. Sewaktu mendengar suara inang tua itu, hati Puteri Wanang Seri lantas berdebar-debar. Seperti ada lelaki yang sedang memandangnya. Sewaktu menoleh ke arah burung merpati itu, Puteri Wanang Seri segera menarik tudung menutupi wajah baginda.

(Bersambung)

Tuesday, February 27, 2007

Saya yang pelik-pelik..

Saya telah di-tag oleh Kingbinjai untuk menulis 6 perkara pelik tentang diri saya. Sesungguhnya saya tidak merasa pelik kerana menulis 6 perkara pelik ini sudah menjadi semacam wabak yang berjangkit di dalam blog. Banyak penulis blog hari ini yang sudah di-tag bagi mengetahui perkara pelik dalam diri yang boleh dikongsikan bersama pembaca budiman.

Berikut adalah 6 perkara pelik tentang diri saya.

1. Bersikap keanak-anakan
Jika di hadapan khalayak, ramai yang tidak menyangka bahawa saya mempunyai sikap keanak-anakan yang menebal. Namun jika bersama anak-anak saudara saya yang rata-ratanya masih kecil, yang berusia dalam lingkungan 2 hingga 12 tahun, saya boleh menjadi sebahagian daripada mereka. Mereka amat takutkan saya kerana "keganasan" saya sebagai raksasa (Monster) yang mempunyai daya gigitan yang berbisa. Biasanya mereka akan berlagak sebagai Ultraman atau pun Megazord cuba berhadapan dengan Monster yang bertubuh besar. Namun apabila Monster mula bertempik, sekelian Power Rangers itu akan bertempiaran melarikan diri. Mana-mana yang tertangkap pasti akan menangis setelah digigit oleh Monster. Sasaran gigitan biasanya di lengan, di perut, di betis dan sasaran teristimewa, di punggung. Setelah Power Rangers itu menangis, Monster akan ketawa terbahak-bahak tanda kepuasan.


2. Termenung di jendela sewaktu senja
Termenung sememangnya hobi saya sejak saya masih kecil lagi. Sewaktu saya bujang dahulu, saya sangat gemar duduk termenung di tepi jendela mengadap sawah padi yang luas terbentang di waktu remang senja. Pasti ada sahaja yang difikir atau lebih tepat lagi ialah duduk berangan-angan. Setelah keadaan mulai gelap, Mak pasti akan melaung dari bawah rumah meminta saya menutupi jendela. Sebelum saya menutupi jendela itu, saya akan bertempik terlebih dengan suara yang nyaring, "Hantuuuuuuuuuuuuu.......!!".

Mak amat tidak menyenangi perangai saya yang satu ini kerana jeritan saya selalunya akan menakutkan jiran-jiran yang tinggal bersebelahan. Oleh kerana mereka tidak tahan dengan sikap saya, mereka selalu datang mengadu pada Mak dengan cara yang sangat bersopan.
"Kenapa Indera tu selalu menjerit melaung hantu waktu senja? Dia nampak hantu ke? Seram kami dibuatnya..."

Biasanya selepas dileteri oleh Mak, tabiat itu hilang buat sementara waktu. Namun ianya tidak kekal lama. Seminggu kemudian, saya kembali ke perangai asal. Setelah berkahwin ini, kegilaan itu jarang dilakukan lagi. Cuma apabila keinginan itu sudah tidak dapat dibendung, barulah saya kembali bertempik di waktu senja. Itu pun dengan nada yang sangat rendah.


3. Terlajak ramah
Salah satu sikap saya ialah mengambil sarapan sambil memandu. Kebiasaannya, sarapan yang saya ambil adalah kuih muih seperti karipap atau cucur badak. Saya akan makan dengan suapan yang besar dan cepat-cepat. Dalam bahasa yang paling mudah, gelojoh. Seringkali sewaktu saya mengambil sarapan itu, saya akan memandu beriringan dengan pemandu lain jika saya memandu di jalan dua lorong. Apabila pemandu bersebelahan itu memandang saya, saya akan mengunjukkannya kuih tanda saya mempelawanya makan. Kebiasaannya mereka hanya tersenyum sambil mengangkat tangan atau menggelengkan kepala setidak-tidaknya.


4. Sentiasa memeriksa baki akaun
Seperti saya nyatakan sebelum ini, saya seorang yang suka berangan-angan. Asalnya perangai pelik ini bermula apabila saya berangan tentang seorang jutawan dari UK yang tidak mempunyai waris. Oleh yang demikian, dia sengaja memilih mana-mana akaun bank yang terdapat di dunia ini untuk didermakan kepada pemegang akaun itu. Oleh yang demikian, secara tidak sengaja dia telah terpilih akaun Maybank saya yang baki setiap hujung bulannya sering berakhir sebanyak RM5.00 itu. Bayangkan jika dia mendermakan sebanyak BP 70 juta. Woww... sayalah antara orang terkaya di Malaysia.

Entah kenapa, saya merasakan angan-angan itu terlalu menarik sehingga saya akan memeriksa baki akaun saya setiap minggu dengan harapan ada yang sudi menderma untuk saya. Buat masa ini, bakinya tetap seperti biasa. Tidak melebihi 3 digit kecuali setelah minggu gaji. Barulah saya dapat melihat nombornya beralih ke 4 digit.


5. Terlalu menyukai dengan kapal terbang
Saya amat menyukai pengembaraan. Terbang ke tempat yang jauh. Melihat negara orang. Sering saya merasakan bahawa saya ini dilahirkan untuk terbang ke sana ke mari, namun takdir dan kemampuan diri yang menghalang saya untuk melakukannya. Hati saya juga sering dipagut pilu apabila melihat kapal terbang melewati ruang angkasa sambil mengatakan, alangkah beruntungnya mereka yang berpeluang kembara menjelajahi dunia ini.

6. Memasak
Saya juga mempunyai tabiat yang pelik di dalam memasak. Saya suka makan dan sudah tentunya jika saya mempunyai kakak-kakak yang malas memasak itu, saya harus pandai memasak. Yang menghairankan saya ialah, kali pertama saya memasak satu-satu masakan itu, ianya menjadi dan ramai yang memuji kesedapannya. Setelah disuruh memasak buat kali yang kedua, segala yang saya masak itu langsung tidak menjadi dan ianya tidak sesedap kali yang pertama itu. Ada di antaranya pula langsung tidak boleh dimakan.

Contohnya minggu lepas, adik ipar saya (suami Azlina) teringin untuk makan kek oren. Sementelah dia sudah menyebut di hadapan saya, saya merasa kasihan. Petang itu saya menyediakan sebiji kek oren bersaiz sederhana. Namun setelah dimasak, kek sebesar itu tidak mencukupi untuk sebuah keluarga. Ditambahi pula dengan anak-anak buah saya yang sedang naik selera. Melihatkan keadaan itu, saya membuat sebiji lagi kek dengan sukatan dan kaedah yang sama. Malangnya kek itu pula keras. Tidak segebu kali yang pertama. Keadaan ini berlaku setiap masa saya memasak. Asal memasak kali kedua sahaja, pasti hasilnya tidak seperti kali yang pertama. Akhirnya secara tidak langsung, perkara ini memudarkan minat saya untuk memasak (errr... pemalas sebenarnya!!).

Indera : Saya tidak pasti kenapa perkara ini harus sambung menyambung. Oleh kerana perkara ini memerlukan 6 orang sebagai penyambung tradisi, saya lakukan juga agar tiada pihak yang berkecil hati. Selain dari itu, saya juga teringin sebenarnya untuk mengetahui perkara pelik dalam diri orang yang saya tag. Dengan ini saya dengan bangganya men-tag

1. Abang saya (boleh ke?), Zizie Ali
2. Lan Rambai
3. Imanmawaddah
4. Saudara Kamato (Apakah saudara punya sikap yang pelik?)
5. Khairyn
6. Cikgu Dayah

Rules & Regulations:Each player of this game starts out by giving 6 weird things about themselves. People who get tagged need to write in a blog of their own 6 weird things as well as state the rules clearly. In the end, you need to choose 6 people to be tagged and list their names. After you do that, leave them each a comment letting them know you tagged them and to read your blog!

Friday, February 23, 2007

Sahabatku, Selamat Pulang....

Saya tidak pandai berpuisi. Itu kebenarannya. Saya tidak berani menyatakan bahawa entri saya kali ini merupakan satu puisi. Tetapi saya mengkelaskannya sebagai terjemahan bisikan hati. Bisikan hati buat seorang sahabat yang bakal pulang ke tanahair. Bisikan hati yang bertajuk....


Sahabatku, Selamat Pulang...

Sahabatku, Selamat Pulang...
Bersama segunung kejayaan yang menjulang
Sahabatku, Selamat Pulang...
Di hadapanmu jalan luas nan terbentang

Sahabatku, Selamat Pulang...
Setelah bertahun lamanya engkau berjuang
Sahabatku, Selamat Pulang...
Aku menantimu dengan airmata yang berlinang

Sahabatku, Selamat Pulang...
Moga hilang segala kerinduan
Sahabatku, Selamat Pulang...
Mudah-mudahan hidupmu penuh keberkatan

Aku melihat engkau tersenyum girang
Dikelilingi oleh orang-orang yang tersayang
Hatiku berbunga mustika berkembang
Walau di dasarnya bergolak antara suka dan juga walang

Hidupmu kini penuh kemegahan
Kudoakan agar warna-warna ceria itu akan terus berkekalan
Kuberbisik padamu teman
Apakah di saat ini engkau menyedari bahawa hatiku sedang meratapi sebuah kehancuran

Kupanjatkan munajat ke hadrat ilahi
Untuk hatimu sentiasa bersinar bak mentari pagi
Dicahaya tujuh warna pelangi bersemi
Mengindahkan hari-harimu buat sekian kali

Aku tetap di sisimu menemani
Walau aku tidak seperti dahulu lagi
Membangunkan arca mengorak sepi
Menangisi takdir di setiap hari

Sahabatku, Selamat Pulang...
Relakan nasib dan ketentuan antara kita
Sahabatku, Selamat Pulang...
Kita kini terpisah pada dua dunia yang berbeda

Sahabatku, Selamat Pulang...
Kebahagiaan menantimu di hari-hari mendatang


Indera : Entri ini diilhamkan dari puisi Jepun yang dibaca oleh O-Shin sewaktu tinggal bersama askar buruan, Sansako. Puisi itu bertajuk "Adikku, Selamat Pulang...".

Thursday, February 22, 2007

Ke Puncak Cita (Penceritaan Watak)

Saya pernah berjanji pada Dayah dahulu, setamat sahaja kisah Ke Puncak Cita ini, saya akan memperturunkan huraian tentang individu-individu yang pernah bersama-sama saya di dalam perjalanan saya menuju ke puncak itu. Ada di antara mereka ini masih lagi berhubungan dengan saya, akan tetapi terdapat juga di kalangan mereka itu langsung tidak saya ketemui lagi sehingga ke hari ini.

Teman-teman sekampung
1. Alang
Alang ini pangkat bapa saudara saya. Ayahnya Tok Musa bersambung dengan opah saya sebagai sepupu. Jadi, Alang dengan Apak berkait sebagai dua pupu. Sepatutnya saya memanggilnya Ayah Chik. Tetapi, oleh kerana Alang ini sebaya dengan saya, ditambahi pula dia itu rakan sepermainan, saya turut memanggilnya sebagai Alang sebagaimana rakan-rakan yang lain memanggilnya. Nama sebenarnya adalah Ahmad Lutfi. Dia menduduki Tingkatan 6 separuh jalan sebelum dipanggil masuk ke Maktab Perguruan Raja Melewar. Setamat sahaja pengajian di maktab, dia mengajar buat beberapa ketika sebelum menduduki STPM secara persendirian. Dia lulus STPM dengan jayanya dan menempah tiket ke UPM untuk jurusan linguistik secara luar kampus. Setamat sahaja pengajian, dia diarahkan mengajar di sebuah sekolah di Ipoh.

2. Din
Nama sebenarnya Naseruddin. Din ini pangkat dua pupu saya. Pun begitu kami sangat akrab semenjak kami kecil lagi. Dia ini salah seorang "kembar" saya yang bertiga. Dia merasa amat dukacita sewaktu saya diterima masuk ke ITM lalu bertekad mengambil apa sahaja peluang yang datang. Selepas 3 bulan pemergian saya ke ITM, dia mendapat tawaran ke Maktab Perguruan Teknik lalu diarahkan mengajar ke SM Teknik, Langkawi setamat pengajiannya. Setelah Alang melanjutkan pelajaran ke UPM, dia rasa tercabar lalu turut berusaha mengambil STPM secara persendirian. Dengan STPM yang cemerlang itu, dia berjaya menempatkan diri ke UPSI dalam jurusan Matematik. Sekarang ini dia mengajar di sebuah sekolah menengah di Tapah.

3. Lan
Lan salah seorang rakan baik kami. Nama sebenarnya Roslan. Dia salah seorang pelajar cemerlang STPM di sekolah. Malangnya gagal mendapat tempat ke universiti. Akhirnya mendapat tawaran ke sebuah Maktab Perguruan dan sekarang ini mengajar di Teluk Intan.

4. Duwan
Juga salah seorang rakan kami. Nama sebenarnya Ridzuan. Punya darah kacukan Melayu-Inggeris. Rezeki turut menyebelahinya untuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Sekarang ini mengajar di sebuah sekolah rendah di Segambut.

5. Azmi
Salah seorang "kembar" saya yang bertiga. Dia menempah tiket paling awal ke universiti. Melanjutkan pelajaran ke UTM bersama Zamri dalam bidang Sains Industri. Sekarang ini bertugas sebagai seorang Engineer di Kulim. Tugasnya memerlukan dia sentiasa terbang ke luar negara.

6. Zamri
Kata-kata ayahnya pernah melukakan hati Din pada suatu ketika. Bekas pelajar terbaik di sebuah sekolah di Ipoh. Walau bagaimanapun terlibat dalam gejala penagihan dadah semenjak di universiti sehingga dihukum tindakan buang dari institusi itu. Setelah itu, keadaannya semakin parah. Lama sudah saya tidak ketemu dengannya.

Rakan-rakan di ITM
1. Eddie
Tamat diploma dengan cemerlang. Kali terakhir berita yang saya dengar tentangnya, dia bekerja di sebuah syarikat broker saham di Kuala Lumpur.

2. Didie
Sewaktu saya bekerja sementara waktu di syarikat broker saham di Ipoh itu, saya terkejut apabila saya sepejabat dengannya. Waktu itu dia sudah banyak berubah ke arah kebaikan.

3. Azri
Rakan baik saya di kampus. Orang Kelantan dan sekarang ini menetap di Kelang. Sudah berkahwin dan sangat manja dengan isterinya. Sewaktu saya menziarahinya sebelum perkahwinan saya, Azri sudah punya seorang anak lelaki bernama Iman dan isterinya sedang mengandung. Seorang adik perempuan Azri terbunuh dalam satu kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah bas di Merapoh beberapa tahun dahulu. Kali terakhir dia menghubungi saya adalah tahun 2005 menerusi sms bertanyakan samada saya berminat untuk mendapat khidmat orang gaji Indonesia.

4. Armizam
Juga seorang rakan karib saya di kampus. Pulang ke Pahang setamat pengajian dan membantu ibunya menyara pengajian adik-adiknya di universiti. Di akhir zaman bujang saya, dia datang ke Shah Alam membawa hati yang lara setelah perkahwinannya hancur. Dia pulang semula ke Pahang beberapa tahun selepas saya pindah bekerja di Kuala Lumpur. Meninggal dunia pada 15.12.2005 setelah diserang demam yang teruk.

5. Shahril
Berkahwin dengan rakan sekelas kami bernama Linda. Kali terakhir kami bersua apabila dia datang ke pejabat saya dalam tahun 2001. Sewaktu itu dia bekerja di Time Telecom.

6. Hartina
Gagal dikesan selepas tamat belajar. Tiba-tiba saya bertemu dengannya dalam tahun 2002 di dalam LRT. Dia membuka sebuah kedai bunga di Plaza Pantai. Berkahwin dengan senior kami bernama Dosh. Perkara pertama yang keluar dari mulutnya, "Indera, engkau tak nak tahu ke Niah kat mana sekarang ni..?"

7. Hasniah
Menurut cerita Hartina, Hasniah sudah punya anak tiga. Hidup berbahagia di samping suaminya seorang pengurus sebuah hotel di Pulau Pinang. Kami tidak pernah bertemu lagi sejak kami tamat pengajian di peringkat diploma. Masih saling berhubungan dengan Hartina.

8. Zaidi
Berkahwin dengan rakan sekelas kami bernama Ratna. Dia kini berstatus duda sesudah perkahwinan mereka retak setelah Ratna mengetahui Zaidi menjalinkan hubungan dengan wanita lain sewaktu Ratna sedang sarat mengandung.

9. Maziah
Rakan sekelas di peringkat Ijazah. Pernah berkata bahawa dia hanya akan jatuh cinta pada saya setelah tiada lagi lelaki lain yang wujud atas muka bumi ini. Sebelum saya berangkat ke Sudan, dia benar-benar jatuh hati pada saya (diakui olehnya sendiri pada teman-temannya di suatu majlis pertemuan). Setelah mendapat tahu bahawa saya sudah bertunang dengan Azah, dia senyap-senyap menarik diri. Sekarang ini bertugas sebagai seorang pengurus di sebuah bank perdagangan di Kuala Lumpur. Masih belum berkahwin.

10. Hisham
Graduan Kelas Pertama ini seorang Pensyarah di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

11. Laili
Berkahwin dengan rakan sekelas kami. Bertugas di sebuah Bank Perdagangan di Terengganu.

Pensyarah-pensyarah
1. Dr. Indera
Setelah bersara, dia bagaikan enggan mengutus alamatnya kepada saya. Desas desus yang saya dengar dari pejabat fakulti, Dr. Indera pulang ke negeri asalnya iaitu Perlis dan membina rumah di tapak asal rumah kedua orang tuanya.

2. Dr. Hashim
Bersara dalam tahun 2000.

3. Dr. Mahani
Masih mengajar di UiTM.

4. Dr. Rasid
Masih mengajar di UiTM.

Lain-lain
1. Abang Sabri
Tidak diketahui bertugas di mana. Dari senarai kakitangan UiTM yang saya lihat beberapa tahun lepas, namanya tiada lagi dalam senarai kakitangan pengurusan fakulti. Kemungkinan sudah bertukar ke pejabat lain atau sudah berpindah ke kampus cawangan.

Wednesday, February 14, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn Akhir

"Haahh..? Jadi, confirm la Mak dengan Apak pergi tahun ni..?" tanya saya sambil menggaru-garu kepala. Mak sekadar mengangguk.
"Habis tu, tak ada siapalah yang nak datang ke konvokesyen orang nanti..?"
"Alaa.. kamu pakatlah dengan Yeop kamu minta dia datang tengok kamu ambil Ijazah" pujuk Mak.
"Yalah. Tapi mana sama jika Mak ada.."

Mak dan Apak baru sahaja menerima surat dari Tabung Haji yang menyatakan bahawa Mak dan Apak terpilih menjadi tetamu Allah di bulan Zulhijjah tahun itu. Yang lebih menyakitkan hati, Mak membawa Andika bersama. Hmm... bertuahnya dia. Muda-muda sudah berpeluang mengerjakan haji dan melawat Baitullah. Ahh... saya juga yamg bakal keseorangan di sini. Saya dapat membayangkan kesedihan saya naik ke pentas menerima Ijazah tanpa Mak dan Apak memandang terharu segala penghargaan yang saya terima hasil dari perit jerih saya di ITM selama ini.

Yang lebih membuatkan fikiran saya kusut ialah permohonan saya untuk menyertai SINGER Malaysia sebagai Internal Auditor, masih belum mendapat sebarang berita. Lebih dari itu, permohonan ke UTM untuk program Sarjana turut sepi bagai bayu yang berlalu.

Mak dan Apak sudah bersiap sedia ke Tanah Suci. Saya memandang lesu kesibukan Mak dan Apak mengisi barangan ke dalam bagasi. Mak memandang saya dengan simpati. Saya faham, betapa pentingnya konvokesyen itu bagi saya, tujuan Mak ke Tanah Suci itu berjuta kali lebih penting.
"Tak apa. Jangan sedih. Awak nak orang doakan apa untuk awak di depan kaabah nanti, Abang Chik?" tanya Andika. "Orang doakan awak dapat buat Masters, dapat kerja yang elok dan isteri yang cun, ok tak..?" tanyanya lagi dalam gelak ketawanya.
"Eleh, baik engkau doakan diri kau tu. Matrikulasi pun tak pass. Nasib baik dapat masuk Cosmopoint.."

Selama Mak, Apak dan Andika pergi, saya menjadi penunggu tetap di rumah itu. Bosannya tidak dapat diungkapkan lagi. Adik beradik yang lain punya komitmen masing-masing. Ditambahi pula dengan ketiadaan Mak dan Apak, sudah tiada sebab untuk mereka mengunjungi rumah Mak di hujung minggu. Mujur juga saya bertugas sebagai Guru Sementara di sebuah sekolah di daerah kami. Dapat juga mengisi masa lapang. Pun begitu, gaji masih belum boleh diagihkan kerana proses untuk mendapatkannya, sekiranya bekerja dengan sektor kerajaan akan mengambil masa sekurang-kurang tiga bulan. Entah apa yang lama diproses oleh pihak atasan itu, saya sendiri pun tidak pasti. Akhirnya bekalan makanan di rumah kehabisan, untuk membelinya saya tidak punya wang. Jalan terakhir yang saya lihat adalah dengan meminjam wang kutipan sekolah. Akan dibayar semula setelah gaji diperolehi.

Surat dari ITM tiba buat sekian kalinya. Menjemput saya menghadiri konvokesyen kali yang ke-44. Satu penghormatan buat saya. Saya merasa amat terharu. Tiada baju yang sesuai untuk ke sana memandangkan tiada wang di dalam saku. Mujur saya punya sepasang baju melayu berwarna hitam dan sehelai sampin berwarna kuning keemasan. Dengan baju itu, sudah cukup syarat naik ke pentas.

Pertemuan semula dengan teman-teman lama cukup mengharukan. Mereka kebanyakannya sudah bekerja di bank-bank perdagangan di ibukota. Datang dengan cerita mereka yang tersendiri. Timbul juga rasa menyesal. Jika saya turut memohon ke bank-bank dahulu, mungkin saya juga sudah bekerja seperti mereka.
"Eh, Indera. Aku dengar engkau menjadi guru sementara. Betul ke..?" tanya Maziah.
Saya hanya mengangguk tanda membenarkan kata-katanya.
"Engkau nak jadi cikgu ke?"
"Entah"
"Peliklah engkau ni. Ada ke nak jadi cikgu.." katanya lagi.
"Kenapa..? Jadi cikgu teruk ke? Engkau tahu tak, jadi guru itu adalah semulia-mulia tugas, tahu tak?" saya membidasnya dalam lembut.
"Whatever..." katanya dan terus berlalu.
Mereka itu tidak tahu akan perancangan masa hadapan saya. Apa gunanya saya mengheboh-hebohkan pada orang lain. Mereka belum tentu faham niat hati saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi.

Kami berkumpul di dewan kuliah untuk mengambil jubah. Jubah lambang kemegahan seseorang graduan itu. Jubah yang kami kenakan adalah jubah lama yang berwarna hijau pekat yang dikenakan oleh senior-senior kami sebelum ini. Jubahnya cantik disulami dengan benang keemasan. Cuma kelainan kami ialah, kami diberi dengan Mortar Board, topi yang berukuran empat segi tepat itu. Sebelum itu senior kami hanya mengenakan songkok sahaja.

Pagi itu mentari memancar garang. Kami berbaris dari pinggir Dewan Sri Budiman memanjang sehingga ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Semuanya tersenyum girang. Semuanya lengkap berjubah hijau dalam megah dan senyum seorang graduan. Hisham dan Laili memakai selempang keemasan. Kesemua graduan faham. Selempang itu untuk mereka yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Saya sekadar mendapat Ijazah Kelas Dua Bawah. Namun syukurnya tidak terkira.

"PERARAKAN GRADUAN MASUK KE DALAM DEWAN" pengumuman itu dijawab serentak dengan langkah bergaya para graduan mengambil tempat masing-masing di bangku yang di sediakan di dalam dewan sambil dilambai oleh ibubapa masing-masing. Kalaulah Mak dan Apak ada.. ohhh!!

Bonang diketuk dan gendang dipalu. Alun gamelan tari lagu Timang Burung membelah ke genap ruang. Suasana di dalam ruang dewan itu sudah bertukar laksana Balai Penghadapan di istana raja melayu purba.
"Dengan kuasa yang diberikan kepada saya, saya dengan ini menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pengkhususan di dalam bidang Kewangan kepada graduan-graduan ini" kata Dato' Wira Abdul Rahman Arshad.

Seorang demi seorang teman-teman naik ke pentas apabila nama mereka diumumkan.
"Indera Kencana Bin Muhammad Suria" umum juruacara majlis diiringi dengan tepukan para hadirin. Saya melangkah maju diiringi dengan paluan gamelan lagu Lambang Sari bertepatan sebagai lambang kemenangan perjuangan saya selama ini. Saya menjabat tangan Dato' Wira dan menerima watikah berharga dari beliau sambil pensyarah-pensyarah tersenyum megah ke arah saya. Saya seperti terlihat-lihat seperti Dr. Indera duduk di hadapan barisan pensyarah-pensyarah itu sambil tersenyum dan melambai kepada saya.
(Terima kasih Dr. Indera. Di manakah Doktor sekarang..?)

Saya menggenggam erat watikah itu. Di hadapan saya, terbentang jalan dari segenap arah. Saya telah sampai ke puncak sebuah destinasi. Namun di akhir destinasi itu, terdapat banyak destinasi lain pula. Laluan ke puncak cita ini bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan. Tetapi ianya permulaan kepada sebuah lembaran baru dalam hidup saya. ITM tetap di hati saya. ITM di hatiku.

Wujudmu di sini di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu memayungi putera-puterinya
Pelopor hidup, budaya bangsa, agama negara
Pembimbing akhlak manusia agar jadi sempurna

Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari
Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju
Destinasi cita-cita agama dan bangsaku

Majulah bangsa, maju negara
Berkat USAHA JAYA MARA
Kami berikrar akan berjasa kepada negara
Demi bangsa

Watikah yang kumiliki kan ku semat di hati
Janji ku pada pertiwi untuk menabur bakti
Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara
Doa restu ayah bondaku untukmu semua
ITM, USAHA JAYA MARA

Tamat

Tuesday, February 13, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 9

"Dr. Indera dah tak ada" kata abang itu. Di dadanya tertulis tanda nama SABRI. "Dia dah bersara masa cuti semester dulu. Sekarang ni dengarnya dia pergi buat umrah dan lepas tu dia nak melawat anaknya yang sedang belajar di UK"
Kata-kata abang itu betul-betul meredakan rusuh di hati saya.
"Abang Sabri ni..." gerutu saya. "Lain kali cakaplah dah bersara. Ada pulak cakap 'tak ada'.. tak ada tu banyak maksudnya".
"Eh, bukan aku cakap dah bersara tadi ke?... Haa!! yang engkau ni pulak buat apa kat sini?? Engkau bukan dah habis belajar ke..??" tanya Abang Sabri lagi.
"Saya sambung buat Advance.."
"Berapa lama lagi..?"
"Dua tahun"
"Hmmm... lagi dua tahun la aku tengok muka engkau kat sini.." kata Abang Sabri.
"Haiii..?? Bunyi macam dah menyampah je. Tak suka tengok muka saya ke..?? Kalau tak suka, saya baliklah..."
"Eleh, merajuk.."
Hahahahahahahahahaha....
Saya kenal dengan Abang Sabri sejak di awal semester sewaktu diploma lagi. Orangnya agak kasar dalam bergurau. Tetapi baik hati menolong pelajar-pelajar yang berurusan di Pejabat Pengurusan Fakulti itu.

"Abang, kalau Dr. Indera telefon sini, abang tolong tanyakan alamat dia.." kata saya.
"Baiklah. Tapi engkau kena belanja abang Teh Tarik.."
"Berkiranya.... Ok lah bang. Saya masuk kelas dulu. Sembang lama-lama dengan abang, bukan ada faedah pun..." kata saya sambil bergurau.
Hahahahahahaha.....

Kursus Diploma Lanjutan itu benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental saya. Petua Abang Shamsuri sudah tidak boleh dipakai lagi di peringkat ini. Andai kata sering gagal di dalam kuiz dan ujian dan ditambahi pula prestasi yang buruk di dalam peperiksaan, akan gagallah. Kedatangan yang penuh dan komitmen yang jitu tidak upaya menyokong seseorang pelajar untuk lulus. Dalam erti kata lain, Diploma Lanjutan bukanlah masanya lagi untuk bersenang lenang sambil mengharapkan Senarai Kedatangan yang penuh datang membantu di saat kritikal. Di peringkat ini bermaksud, tidak boleh buat bererti gagal.

Cabarannya yang terlalu sukar ditambahi pula dengan pensyarah-pensyarah yang tegas, gesaan di dalam penggunaan Bahasa Inggeris peringkat tinggi, bebanan kewangan kerana saya sudah tidak mendapat kemudahan asrama, membuatkan saya benar-benar tertekan dan hampir-hampir berhenti di separuh jalan. Setelah dirisik, bukan saya sahaja mengalami nasib sedemikian. Bahkan hampir keseluruhan pelajar di dalam kursus itu.
"Saya tak tahulah macam mana nak buat dengan Indera ni..." kata Dr. Rasid ketika saya dan beberapa teman berkumpul di biliknya.
"Saya dah 'bedah' sana, 'bedah' sini. Masih tak upaya nak selamatkan dia... Nampaknya semester ini saya terpaksa gagalkan awak" kata Dr. Rasid lagi sambil ketawa. Tetapi saya yang kepucatan. Hampir setiap malam sepanjang cuti semester itu saya tidak dapat tidur. Namun sampai sahaja keputusan semester itu, saya masih lulus. Lulus dengan gred yang amat buruk. Saya tetap jua bersyukur.

Saya mendengar khabar angin mengatakan pihak atasan ITM berjuang untuk mendapatkan status universiti untuk ITM. Sekurang-kurangnya Diploma Lanjutan nanti boleh ditukar nama menjadi Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Sebelum ini disebut sebagai Diploma Lanjutan Setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Alangkah tidak praktikalnya di dalam penyebutan.

Suatu pagi Jumaat, warga kampus bergembira apabila kerajaan meluluskan permohonan ITM untuk menukarkan Diploma Lanjutan dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Akan tetapi ITM masih belum dapat dinaik-tarafkan sebagai sebuah universiti. Ini bermakna, kumpulan kami bakal menyandang gelaran Ijazah buat julung-julung kalinya di dalam konvokesyen. Solat Jumaat hari itu seakan lain benar syahdunya. Terasa heningnya menusuk ke dasar jiwa seolah-olah hari itu menyambut ribuan kesyukuran dari warga kampus. Tentu Dr. Indera yang entah berada di mana itu sedang bergembira dengan khabar ini. Dr. Indera...

Setiap kursus pastinya tidak lengkap tanpa thesis. Thesis saya menjurus tentang pergerakan harga di pasaran saham. Silap saya. Ruang lingkup pengkajiannya terlalu besar. Sepatutnya saya menjurus kepada beberapa kaunter terpilih sahaja. Akibatnya saya dimarahi oleh Ketua Kursus kami. Apa daya saya. Saya sudah cuba sedaya mungkin.

Walau bagaimanapun, saya merasakan sedikit bimbang. Dari cakap-cakap pensyarah ITM membayangkan bahawa Malaysia bakal berdepan dengan kegawatan ekonomi yang teruk. Lebih teruk dari yang dialami pada awal-awal tahun 80-an dahulu. Di akhbar menayangkan gambar George Soros sedang duduk dengan gaya yang angkuh. Benarkah itu semua angkara George Soros? Nilai Bhat jatuh menjunam-junam. Di akhbar pagi itu menunjukkan gambar seorang pekerja di Korea Selatan yang tertidur di tangga akibat kehilangan pekerjaan. Di Taiwan juga sedang rusuh apabila syarikat-syarikat besar mula mengalami kerugian bilamana kos operasi luar negara gagal ditampung setelah kejatuhan nilai matawang mereka. Benarkah sesudah ini Malaysia mengalami nasib yang sama?

Saya tidak bimbang. Ini kerana saya tahu apa yang akan saya lakukan sesudah tamat belajar nanti. Saya sudah punya matlamat saya sendiri.
"Engkau cadang nak kerja di mana nanti Indera..?" tanya Nizam ketika kami sedang asyik menonton television di malam minggu.
"Aku nak sambung belajar..." jawab saya acuh tidak acuh.
"Wahh... maksud engkau, engkau nak buat Masters?"
Saya cuma mengangguk.
"Aku akan memohon buat Masters selepas aku bercuti panjang 3 bulan"
"Huuuiii, boleh jammed otak engkau asyik belajar je.."
Saya hanya mengangkat bahu.

Setamat sahaja peperiksaan akhir, semua teman-teman memohon untuk bekerja di institusi kewangan di ibukota. Saya sekadar memandang sepi kesibukan mereka mengepil dokumen itu dan ini. Keputusan peperiksaan boleh diketahui secara online. Dail sahaja nombor, akan keluar segala maklumat.
"Maaf, maklumat anda tiada di dalam sistem kami. Harap maklum"

Suatu malam, setelah 10 kali mendail nombor yang sama, akhirnya penantian saya berakhir di penghujungnya.
"95987459, Indera Kencana Bin Muhammad Suria. Status, lulus semua matapelajaran. Analysis and Valuation of Securities II, B+..."
Saya sudah tidak mendengar suara melalui mesin itu. Suara saya berteriak kesukaan membelah malam yang sunyi membangkitkan seisi rumah dan mengejutkan Mak dan Apak yang sedang nyenyak tidur.

(Bersambung)

Monday, February 12, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 8

Sejak dari hari itu, saya jarang bertemu dengan Dr. Indera. Dr. Indera seperti sibukkan sesuatu. Jarang masuk ke kelas mengajar kami. Peperiksaan akhir tinggal sebulan sahaja lagi. Dr. Indera awal-awal lagi sudah selesai menghabiskan sukatan pelajarannya. Kini, apabila sampai sahaja waktu dia mengajar, kelas itu kami isi dengan membuat ulangkaji menerusi soalan-soalan tahun sebelumnya dan juga membuat nota ringkas.

Keputusan TOEFL diumumkan. Saya melepasi tahap minima yang ditetapkan oleh universiti. Ini membuatkan jalan saya untuk terbang ke seberang laut semakin terbuka. Kadang-kadang saya tertawa sendiri mengingatkan bagaimana kecohnya pagi itu, di hari saya menduduki TOEFL, saya terlewat bangun akibat bersengkang mata mengulangkaji contoh soalan. Akibatnya saya masuk ke dewan terlewat 15 minit dari waktu sebenar tanpa mengambil sarapan terlebih dahulu dengan rambut yang tidak sempat disisir. Sangka saya kekalutan itu bakal mengundang keputusan yang teruk. Namun akhirnya, segalanya berjalan lancar.

Peperiksaan akhir berlangsung. Peperiksaan ke semuanya diadakan di fakulti. Dr. Indera mengawasi dan menjadi ketua pengawas peperiksaan bagi subjek Pengurusan Portfolio. Serius sahaja wajahnya sepanjang berlangsung peperiksaan. Saya ingin menegur dan berbicara dengannya seusai peperiksaan, namun kesibukannya menghalang saya untuk berbuat demikian.

Hari terakhir peperiksaan itu, sebaik sahaja saya keluar dari dewan peperiksaan, saya ternampak Dr. Indera dari jauh. Dia juga nampak saya. Langkahnya terhenti. Dia tersenyum dan terus berlalu sebelum hilang di dalam pejabat pengurusan fakulti. Kenapa Dr. Indera menyepi diri agaknya?

Setelah tamat pengajian itu, saya memohon untuk bekerja di sebuah syarikat broker saham di Ipoh. Permohonan yang sekadar suka-suka dan saya juga langsung tidak mengambil perhatian terhadapnya. Jika diterima, saya akan bekerja. Hanya untuk mengisi masa lapang buat sementara waktu yang terluang. Akan tetapi, saya diterima!!. Pasaran saham yang sedang melonjak naik pada ketika itu membuatkan semua orang berbicara tentang saham, kaunter cergas, pulangan dan jangkaan masa hadapan. Saya tetap tidak ambil pusing. Belajar lebih baik. Wang boleh dicari di kemudian hari. Peluang belajar hanya datang sekali.

Suatu hari, Azri menghubungi saya di pejabat.
"Indera, engkau dah baca akhbar hari ini?"
"Belum, kenapa?"
"Engkau tengok dan baca muka depan Berita Harian... aku tak boleh cakap lama. Cuma apa yang nak aku cakapkan, bersabar banyak-banyak. Aku juga senasib...."

Sebaik sahaja Azri meletakkan telefon saya mencari-cari akhbar Berita Harian. Akhirnya saya menemuinya di bilik seorang Remisier.
"MARA BEKU PINJAMAN"
Menurut berita itu lagi, akibat daripada masalah hutang pinjaman yang tidak berbayar oleh peminjam pelajaran, MARA membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan pemberian pinjaman kepada mana-mana pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara kecuali bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk mendapat pinjaman atau biasiswa.

Alangkah, alangkah hancurnya hati saya. Segala impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut hilang bersama angin lalu. Saya tatapi surat tawaran yang meminta saya mendaftar pada 8 Januari tahun yang bakal menjelang nanti. Nampaknya harapan itu hanya kekal menjadi sebuah mimpi yang tidak mungkin dapat dicapai. Mak dan Apak hanya mampu memujuk dan mendengar keluhan saya. Untuk membantu dari segi wang ringgit, Mak dan Apak tidak mampu. Mak sendiri menangis kerana Mak amat mengerti harapan dan cita-cita saya. Namun apakan daya, segalanya sudah suratan takdir. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang saya sendiri tidak mengetahuinya.

Seperti tidak diduga, seminggu sesudah itu saya menerima dua buah sampul surat sekaligus dari ITM. Sampul yang pertama, berisi keputusan akhir pengajian saya. Saya lulus. Ya, saya lulus!!. Sampul yang kedua, surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Lanjutan. Ya Allah, sungguh besar kurniaanmu. Alhamdulillah, saya bersyukur!!
"Bertuah engkau Indera sebab dapat buat Advance..." kata Azri. "Engkau macam tau je perkara macam ni nak jadi, ye!!. Kalaulah aku minta sekali dengan engkau dulu.. kita mungkin sekelas.."
"Bersabarlah.." kata saya. "Cuba mohon untuk sesi akan datang..."

Saya pulang mendaftarkan diri di kampus. Segalanya bagai asing tanpa teman-teman yang saya kenali. Tiada lagi senyuman Hasniah menceriakan hari. Tiada lagi bising mulut Azri, Shahril dan Hartina bertengkar sesama sendiri. Benar-benar asing. Saya seolah-olah ditinggalkan oleh teman-teman. Hati saya bagai disayat hiba. Habis sahaja pendaftaran, saya pulang semula ke kampung menyambung cuti selama seminggu lagi. Seminggu itu hanya sesi berkenalan dan orientasi. Kelas masih lagi belum bermula. Jadi, apa perlunya saya menghabiskan wang, tinggal di Shah Alam yang serba mahal itu?

Setelah seminggu usai, saya sudah bersedia untuk masuk ke alam baru. Dengan teman-teman baru. Saya bertemu semula dengan Luqman dan Nizam. Rupa-rupanya, alasan Dr. Indera yang mengatakan tempat belajar cuma bersisa satu itu, hanyalah caranya untuk melihat kemampuan kami berfikir. Hakikatnya, kesemua kami berjaya dalam temuduga. Termasuk Hussein. Cuma Hussein menarik diri di saat-saat akhir.

Kursus itu mempunyai dua kelas sahaja yang setiap satu kelas mempunyai 30 orang pelajar yang mewakili keseluruhan kampus ITM yang terdapat di Malaysia. Saya terlongo apabila mendengar CGPA mereka.
"Saya Ramzan, dari ITM Terengganu. CGPA saya dulu 3.73"
"Saya Suraya, dari ITM Melaka. CGPA saya dulu 3.69"
"Saya Nasir, dari ITM Arau. CGPA saya 3.81..."
Saya terasa kecil dan kerdil dengan CGPA 2.80. Entah kenapa Dr. Indera dan panel yang lain memilih saya. Sehinggakan teman-teman sekelas saya bertanya berkali-kali akan kebenaran jumlah CGPA saya kerana mereka itu terdiri dari pelajar-pelajar ITM yang terbaik, yang dihimpunkan di kampus Shah Alam. Tetapi saya... Ahhh!!

Sudah lama saya tidak ketemu Dr. Indera. Saya ingin bertanya dengannya, apakah kualiti yang saya miliki hingga membuatkan Dr. Indera dan panel yang lain bersetuju memilih saya. Sekurang-kurangnya saya tahu di mana kekuatan saya.
"Errr... abang. Boleh saya jumpa dengan Dr. Indera Kamaruddin..." tanya saya kepada seorang kakitangan Pejabat Pengurusan Fakulti yang duduk di kaunter hadapan pejabat itu.
"Siapa..??" tanya abang itu.
"Dr. Indera, Dr. Indera Kamaruddin..."
"Dr. Indera tiada di sini..." katanya
"Dia ke mana.." tanya saya.
"Laa... kamu tak tahu lagi ke..??"
"Kenapa..?"
"Dr. Indera dah tak ada"

Mendengarkan jawapan itu, darah saya menyimbah naik ke muka. Seketika saya bingung. Enggan memikirkan kemungkinan buruk. Tetapi...

"Jika saya tak ada di ITM ini lagi, ingatlah orang tua yang suka merepek ni..."
"Saya tak suka mengucapkan perpisahan..."

Dr. Indera....

Thursday, February 08, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 7

Saya mengambil tempat duduk di hadapan para panel. Saya mengenali mereka. Mereka kesemuanya pensyarah-pensyarah kanan di fakulti yang saban hari berpapasan dengan saya. Selain dari Dr. Indera itu, di kanannya Dr. Hashim Yahya yang mengajar subjek Pengurusan Strategi dan Dr. Mahani, pensyarah Kewangan.
"Dr. Hashim, kita ni dah tak cukup masa ni..." kata Dr. Indera.

Mereka kemudian berbincang secara senyap dengan membiarkan saya termangu-mangu seorang diri.
"Baik, kita panggil mereka semua, ye??" saya terdengar Dr. Indera berkata sedemikian.
"Ok, Indera. Sekarang sudah masuk waktu tengahari. Memandangkan kita kesuntukan masa, kita buat temuduga ni secara serentak. Awak panggil kawan-kawan awak yang di luar tu semua masuk ke dalam. Kita pakat borong tengahari ni.." kata Dr. Indera sambil tersengih.

Selain saya, ada 3 calon lagi yang masih belum ditemuduga. Salah seorangnya Nizam, pelajar Pentadbiran Awam yang ingin beralih angin ke fakulti Pengurusan. Sering mencari tengkar dengan saya di asrama. Luqman, Ketua Inspektor Polis di Cawangan Jenayah Dagangan Bukit Aman dan Hussein, Eksekutif Perolehan di Telekom Malaysia. Melihat kepada pencapaian mereka, saya memang tidak dapat bersaing. Nizam sendiri memiliki CGPA 3.65.

Kami duduk sebaris mengadap para panel. Sesi berlangsung dengan pertanyaan tentang hal-ehwal ekonomi, politik termasuklah topik kualiti insan dan juga pengetahuan am. Nizam dan Luqman saling berbalas hujah dan bertikam lidah sementara saya dan Hussein lebih banyak memerhati dan tersenyum.
"Baik, sekarang ini saya nak bagitahu pada awak semua. Tempat cuma ada satu sahaja lagi. Ada apa-apa yang awak nak kata, supaya ianya menjadi hak awak..?? kata Dr. Indera. Dr. Yahya dan Dr. Mahani pula kelihatan serius memandang kami semua.

"Saya harap, saya yang terpilih, doktor" kata Luqman. "Mereka semua masih muda dan masih banyak lagi peluang. Akal yang muda mana mampu menerima cabaran kursus Diploma Lanjutan yang keras ni... Saya ada pengalaman luas. Sudah tentu saya mampu menamatkan kursus dengan berjaya..!!".
"Dasar pegawai polis!!" Nizam membentak. "Tak habis-habis nak berlagak..!!. Doktor pilihlah saya. Saya ada CGPA yang baik selain dari aktif di kolej. Jika Doktor pilih Luqman berdasarkan pada pengalamannya, doktor boleh pertimbangkan saya berdasarkan kepada kebijaksanaan saya".

"Hussein, ada nak kata apa-apa..?" tanya Dr. Mahani
"Errr.. ya!! Saya cuma berharap saya yang terpilih. Itu sahaja.."
"Indera pulak...?" tanya Dr. Mahani lagi.
"Saya sebenarnya berharap agar saya terpilih. Lebih dari itu, saya juga mengharapkan agar kesemua calon yang datang temuduga ini juga turut terpilih. Mereka sudah membuktikan kesungguhan mereka dan perjalanan sejauh ini sebaiknya dimuliakan dengan mengalu-alukan kedatangan mereka sebagai warga fakulti. Saya bukan seorang yang arif, namun saya sedar betapa bertuahnya seseorang itu dan betapa besarnya hati mereka jika mereka terpilih mengikut kursus ini disebabkan saingannya yang cukup kuat... Jika saya terpilih sedang ada yang lain bersedih kerana tidak mendapat peluang ini, hati saya tetap tak merasa senang..."

Saya berdiri mengadap cermin tingkap kelas yang bersaiz besar itu. Berdiri mengadap hutan belukar yang menyempadani bangunan fakulti dengan Lebuhraya Persekutuan di arah bawah. Hutan belukar itu agak tebal sehingga cahaya matahari yang terik memancar pun gagal menembusi celah dedaunannya. Sesekali terdengar kokokan ayam hutan dan kicauan burung merbah kapur. Tidak lama lagi, saya akan menamatkan pengajian di peringkat diploma. Selepas ini saya tidak pasti ke manakah arah saya. Hati saya kuat untuk terbang ke luar negara. Jika hasrat saya terlaksana, akan tinggallah ITM dan segala kenangan yang terpahat bersamanya. Kelak saya tidak lagi dapat menyaksikan segala pemandangan damai ini.

Bangunan fakulti itu sunyi sepi. Nampaknya petang ini tidak banyak kelas yang diadakan. Teman-teman sudah lama pulang. Saya pula seperti enggan berundur pulang ke asrama.
"Hai Indera, termenung lagi. Awak ni memang suka termenung ye..??" sapaan Dr. Indera memutuskan lamunan saya.
"Errr.. ya!!" itu sahaja yang mampu saya katakan untuk menutup malu.
"Doktor nak ke mana?" tanya saya.
"Saya nak balik. Kebetulan saya lalu tempat ni, ternampak pulak awak..."

Dr. Indera turut sama menyertai saya memandang jauh ke luar tingkap.
"Saya sukakan jawapan awak di dalam temuduga dahulu. Jawapan yang tidak mementingkan diri sendiri.." kata Dr. Indera tersenyum.
"Iyaa..?? Adakah maksudnya saya berjaya temuduga dan terpilih..??" saya menduga. Bergurau sebenarnya. Jauh di sudut hati, saya tidak mengharapkan apa-apa.
Dr. Indera tertawa.
"Selain saya, ada dua lagi panel. Jika saya memberikan awak markah penuh sekalipun sedang dua yang lain memberikan markah 0 pada awak, awak tetap tidak berjaya.."

Kami terdiam. Lama. Merenung lagi hutan belukar itu.
"Indera..."
"Saya, doktor.."
"Indera suka ke ITM ni..??"
"Sangat suka..."
"Awak tahu, di sinilah tempat saya bermula. Bermula sebagai seorang pelajar yang naif. Pelajar yang serba kekurangan, berasal dari keluarga yang hidup susah di utara semenanjung. Saya mula belajar pun di umur yang banyak juga jika dibandingkan dengan kawan-kawan saya masa tu. Saya bertekad dan berazam untuk maju dalam pelajaran kerana dengan pelajaran sahaja boleh mengubah nasib hidup yang susah. ITM memberi banyak peluang pada saya dan akhirnya saya curahkan semula penat lelah saya untuk ITM. Saya dambakan hidup saya untuk kemajuan pelajaran anak-anak bumiputera.."

"Indera, ingatlah. Sejauh mana terbang bangau, akan pulang ke belakang kerbau juga. Jangan lupa asal usul kita. Kata orang, perjalanan yang jauh itu, bermula dari selangkah tapak. Andainya awak sudah berjaya nanti, jangan lupa dari mana awak bermula. Hidup ini perlu banyak berkorban dan setiap pengorbanan itu menuntut pengertian yang mendalam. Untuk kita mengerti pula, kita harus merasai dengan segenap kejadian kita..."

"Saya sudah merepek... Orang tua seperti saya memang suka merepek" kata Dr. Indera ketawa. Kemudian dia memandang saya. Entah kenapa hati saya dipagut pilu.

"Andai saya tak ada di ITM ini lagi, ingatlah orang tua yang suka merepek ini. Saya sudah terlewat ni. Awak pun baliklah... Ingat, jangan lupa solat 5 waktu, ye!!. Tahu tak, apa benda yang paling saya tak suka dalam dunia ni..?? tanyanya lagi.
Saya cuma menggeleng tanda tidak tahu.
"Saya tak suka mengucapkan perpisahan..."

Dr. Indera berlalu setelah menggosok kepala saya beberapa kali. Semakin difikirkan, semakin kuat hati saya mengatakan bahawa itulah kali terakhir saya berbicara dengan Dr. Indera Kamaruddin.

(Bersambung)

Wednesday, February 07, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 6

Setelah Hasniah bertunang, segalanya bagaikan berubah. Hari-hari saya sudah tidak lagi berbunga ceria. Sepanjang cuti semester dan menanti harinya semester yang baru, saya mengisi dengan duduk termenung sepanjang hari. Sesekali apabila bayangan Hasniah menjelma, saya akan melupakannya dengan makan apa sahaja. Makan, makan dan makan. Sehingga berat badan saya naik hampir selipat kali ganda.
"Indera, Indera sakit..??" Mak bimbang.
"Tak, Indera tak sakit..."
(Indera sakit di hati, Mak...!!)

Keputusan peperiksaan diposkan ke rumah. Saya membukanya dengan jari-jemari yang mengeletar. Ohh... Tuhan, berikanlah aku kekuatan..

Hati saya bersorak riang apabila melihat kotak status peperiksaan. Semua bertanda P bermaksud saya telah lulus kesemua subjek semester sebelumnya termasuk subjek Calculus yang menakutkan saya itu. Cuma lulusnya tidak sebaik yang diharapkan. Namun saya tetap bersyukur bahawa saya tidak perlu mengulang mana-mana matapelajaran. Syukur, Alhamdulillah Ya Allah.

Semester baru dibuka disambut saya dengan perasaan yang berbagai. Riang, sedih, kecewa bercampur buar menjadi satu. Sewaktu mendaftar di Pejabat Fakulti itu saya bertemu dengan Niah. Ohhh... dia sekarang milik orang!! Kami berbalas senyuman. Tiada lagi perasaan gelora seperti setiapkali kami bertemu dahulu. Segalanya bagaikan tenang. Cincin di jarinya tanda penamatan cerita antara kami.

Di fakulti, rakan-rakan sekelas sibuk dengan perancangan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah di universiti-universiti luar negara. Saya pun turut sama mengisi borang berbuat demikian memandangkan polisi MARA yang agar mudah membenarkan pelajar-pelajar Bumiputera yang memiliki Diploma melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Beberapa minggu sesudah itu, ramai yang bersorak riang apabila mendapat tempat di universiti luar negara. Zaidi mendapat tawaran ke University of Southern California. Rosmah mendapat tawaran ke University of Iowa, saya pula mendapat tawaran ke Oklahoma City University dan Azri juga tidak ketinggalan mendapat tempat ke St. Louis University. Masing-masing tersenyum riang membayangkan tahun berikutnya kami akan berangkat ke negara orang.

Diam-diam pula saya mengisi borang Diploma Lanjutan di ITM, dengan harapan andainya terjadi perkara yang memungkinkan saya tidak dapat ke luar negara, sekurang-kurangnya peluang belajar di dalam negara masih terbuka. Tiada seorang pun teman-teman sekelas yang berminat untuk menyambung belajar di ITM. Rata-ratanya ingin ke luar negara atau terus bekerja memandangkan pasaran saham pada masa itu sangat memberangsangkan.

Saya bertanya kepada Ketua Kursus yang menyelia pengajian kami tentang syarat-syarat minima untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan.
"Sekurang-kurang mesti ada CGPA 3.50 atau ke atas. Tetapi kalau tak ada 3.50, 3.30 pun akan dipertimbangkan. Itu pun bergantung kepada pencapaian you di dalam temuduga. Biasanya ramai yang tidak melepasi peringkat temuduga ni..." kata Puan Balqis.

Saya membelek-belek diri saya. Ohhh... saya cuma mempunyai CGPA 2.80, bagaimana mungkin saya berupaya menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan?
"Indera, kenapa termenung..?" tanya Dr. Indera. Dr. Indera sangat ramah dengan saya memandangkan kami senama.
"Errr... Tak ada apa-apa Doktor.." saya beralasan.

Saya tersenyum mengingatkan suatu pagi, seorang pelajar junior mengetuk pintu kelas kami. Ketika itu Dr. Zuraidah sedang rancak bersyarah.
"Maafkan saya, Doktor. Dr. Indera panggil Indera Kencana ke biliknya..."
Dr. Zuraidah mengangkat keningnya penuh tanda tanya. Saya terlebih lagi. Adakah saya melakukan kesalahan? Bukankah Dr. Indera itu Timbalan Dekan..?

Sewaktu melangkah masuk ke bilik Dr. Indera, saya lihat dia menelungkup di mejanya.
"Indera, saya sakit kepala. Boleh Indera belikan panadol dan air teh di cafe...?" tanyanya seraya menghulurkan not RM50.00.
Saya sekadar mengangguk. Hilang kecut perut saya berganti dengan rasa belas kasihan. Panadol dan air teh itu saya beli dengan wang saya memandangkan cafe itu tiada tukaran wang kecil.
"Errr.... doktor ok ke?. Nak saya bawakan ke klinik..?" saya menawarkan khidmat. Jika saya menghantar ke klinik, alamatnya akan dihantar dengan motorsikal buruk saya.

"Tak apalah Indera. Sakit saya ini sikit saja..." kata Dr. Indera. "Awak pergilah masuk kelas. Sorry, saya menyusahkan awak..."

Sepanjang hari itu saya tertanya-tanya, apakah kerana kami senama maka Dr. Indera yang garang itu mudah mesra dengan saya...??

Suatu hari yang lain pula, dia memanggil saya duduk bersamanya di suatu tempat duduk di pinggir bangunan fakulti sambil dia menceritakan pengalamannya di luar negara. Tentang kesusahan keluarganya dan keinginan kuat yang dimilikinya untuk mengubah nasib keluarga. Tidak lupa juga dia memberikan panduan di dalam menuntut ilmu.
"Lepas habis diploma nanti, Indera cadang nak buat apa...?" tanya Dr. Indera.
"Errr... saya berniat untuk sambung buat Advance. Tapi, saya tak layak. CGPA saya cuma 2.8. Syarat minima, Doktor pun tahu, perlu 3.50.." balas saya sambil tersenyum lucu mengenangkan cita-cita saya yang tinggi menggunung.
"Borang dah hantar ke..?" tanya Dr. Indera lagi.
"Sudah".
Dr. Indera memandang saya dengan simpati.

Mak menelefon dari kampung. Saya dipanggil untuk temuduga bagi mengikuti Diploma Lanjutan. Seperti tidak percaya!!. Betulkah?, saya bertanya kepada Mak berulang-ulang kali.

Menjelang hari temuduga, saya kehilangan punca untuk menyiapkan persediaan ke temuduga. Apa yang perlu saya baca? Berjayakah saya di dalam temuduga ini? Ohhh.... Ya Allah, permudahkanlah laluanku.
"Nombor 15. Indera Kencana Bin Muhammad Suria. Sila masuk.." terdengar arahan melalui interkom menyuruh saya masuk ke bilik temuduga.

Dengan gementar saya mengetuk dan memulas tombol pintu sambil menyebut nama Allah.
"Assalamualaikum..."
"Wa alaikumussalam.." 3 orang panel itu menjawab serentak.

Duduk di tengah-tengah barisan panel itu, Dr. Indera tersandar kemas sambil tersenyum penuh makna kepada saya...

(Bersambung)

Tuesday, February 06, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 5

Saya sudah tenggelam punca. Tekad saya ialah menggugurkan matapelajaran itu dari senarai peperiksaan saya. Saya tidak mahu nanti ialah memberikan kesan yang besar kepada CGPA saya jika saya gagal di dalam kertas itu nanti. Tetapi persoalannya, sampai bila saya harus menggugurkan subjek ini? Akhirnya, mahu tidak mahu saya terpaksa mendudukinya juga. Ahhh... kenapalah mereka yang merangka sukatan pelajaran itu harus memasukkan subjek ini!! Geramnya!!.

Di dalam kebuntuan itu menemukan saya dengan Abang Shamsuri. Pegawai Kerajaan yang berasal satu negeri dengan saya yang menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan (dulu ITM menggunakan istilah ini bagi merujuk kepada peringkat Ijazah) di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Abang Sham sudah punya anak 3. Sangat baik hati dan penuh dengan sifat kebapaan. Kepada dia saya mengadu masalah.

"Indera, engkau mesti ingat bahawa engkau sekarang belajar di IPT bukan di sekolah lagi. Fikir secara matang dan jangan sekali-kali lari dari masalah. Dalam hal ni, Abang nak Indera duduk jugak kertas Calculus tu. Ianya penting untuk Indera di masa akan datang. Cuba fikirkan, jika Indera rasa subjek ini susah dan Indera gugurkannya. Di masa akan datang Indera akan terbiasa. Bila rasa susah je, drop!!. Sampai bila masalah ni nak selesai?"
"Tapi Indera takut gagal..." akui saya
"Itu pun ada jalan penyelesaiannya. Indera pernah ponteng kelas ni..?" tanya Abang Sham
Saya geleng.
"Bagus. Sekarang apa yang perlu Indera lakukan, pergi berjumpa dengan pensyarah berkenaan. Cerita dengan dia. Akui kelemahan Indera. Katakan pada dia, Indera dah cuba bersungguh-sungguh, tapi masih gagal. Berdoa pada Allah, minta supaya Allah bukakan pintu hati pensyarah itu rasa belas kasihan pada Indera. Insya-Allah segalanya akan selesai.."

Saya berjumpa dengan Puan Siti Aminah, pensyarah Calculus menceritakan segala masalah saya petang itu. Di samping itu juga saya merujuk kepada senarai kedatangan saya yang penuh sepanjang semester di samping meminta belas ehsannya supaya memberi pertimbangan kepada saya. Alhamdulillah, Puan Siti Aminah amat memahami.
"Baiklah Indera. Saya faham masalah awak. Tetapi saya tidak boleh kata yang saya akan luluskan awak. Awak mesti banyakkan usaha awak sehinggalah hari peperiksaan.

Haaahh..?? Belum pasti lagi...??

Saya mengadu lagi pada Abang Shamsuri. Abang Shamsuri hanya tersenyum.
"Sudahlah tu..." pujuknya. "Pergi buat latihan banyak-banyak..."

Hari bertukar ganti. Tarikh peperiksaan semakin hampir. Saya tenggelam di dalam timbunan buku-buku dan latih tubi dari kertas soalan tahun-tahun sebelumnya. Sesekali... wajah Hasniah muncul dalam mimpi, membuat jiwa saya kian gelora.

Suatu pagi, saya terlihat Suhaili di fakulti. Sudah hampir setahun Suhaili meninggalkan kampus setelah gagal buat kali ketiga subjek perakaunan. Sepanjang hampir setahun itu juga saya merasa lega kerana tidak lagi diekori.
"Haiii... Indera apa khabar..?? tanya Suhaili.
"Errr.. baik, Alhamdulillah. Sue buat apa kat sini. Masuk balik ke..?" tanya saya kebingungan.
"Tak... Sue jumpa kawan-kawan lama"

Pertemuan dengan Suhaili sengaja saya singkatkan dengan alasan saya perlu menghadirkan diri ke Pusat Keusahawanan. Lebih dari itu pula, saya tidak mahu ada pihak yang salah anggap pertemuan saya dengan Suhaili.

Dua minggu lagi peperiksaan akhir semester. Setelah itu kami akan bercuti hampir sebulan sebelum memulakan semester baru. Shahril datang ke meja saya menyampaikan pesanan, Hasniah ingin bertemu saya di bilik perbincangan di paras bawah perpustakaan. Ingin berjumpa? Kenapa?

Buat seketika, kami terdiam terpaku tatkala pandangan bersatu. Ada air jernih bertakung di matanya.
"Suhaili ada jumpa dengan Niah. Dia cerita semua hal antara Indera dengan dia..."
"Niah, percayalah. Antara Indera dengan dia tak..."
"Tak ada apa-apa?. Dan apa yang berlaku di Dewan Kuliah itu, hanya godaan dia pada Indera sedang Indera sendiri tidak mahu, kan..??"
Saya cuma mengangguk.

"Niah minta maaf atas layanan buruk Niah pada Indera selama ini. Boleh ke Indera maafkan Niah..?" katanya.
"Sudah tentu Indera maafkan Niah. Cuma Indera minta satu. Izinkan Indera bertahta di hati.. Boleh ke..??"
Niah tersenyum pahit sambil memandang ke arah lain.
"Indera seorang teman yang setia. Niah takkan lupa. Tetapi bolehkah Indera anggap Niah ni kawan biasa"
"Tak mahu..."
"Tolong lupakan Niah. Kita memang tak ada takdir untuk bersama..."
Dia berlalu umpama bayu. Tetapi saya tahu, harapan saya masih ada.

Tarikh menduduki kertas Calculus jatuh pada hari terakhir peperiksaan. Sehari sebelum itu, badan saya seakan seram-seram sejuk. Tidur malamnya saya bermimpi segala formula Perbezaan dan Pengkamiran. Keesokan paginya saya masuk ke dewan peperiksaan dengan kepala yang berat.

Saya memuntahkan sarat kepala saya ke atas kertas jawapan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tamat sahaja peperiksaan, Hasniah terus berlalu pulang. Saya fikir, esok lusa saya boleh berbicara lagi dengannya. Jadinya, tengahari itu saya penuhi dengan berkumpul bersama teman-teman sekelas.
"Eh, Indera. Niah nak bertunang, engkau tahu tak..??" beritahu Hartina.
"Isssyyy.. mengarutlah engkau. Pandailah engkau buat cerita.."
"Lahh.. Hang tak tau lagi ka..??" sambut Syikin.
"Mak Pak dia mai kolej minggu sudah. Aku sendighi jumpak ngan Mak dia. Mak dia khabaq ke aku, Niah nak bertunang cuti semesta ni. Tunang dia umuq 25 tahun, keja..

Saya sudah tidak mendengar lagi kata-kata Syikin. Hati saya hancur berkecai...
"Tolong lupakan Niah. Kita memang tak ada takdir untuk bersama..."

Kau akui diriku ini teman setia
Kau menguji menghambatiku dalam bicara
Namun tempatku tetap di sudut hati
Mengulit rindu dengan debaran nyata
Ada derita yang menjarakkan kita
Ada sempadan yang memisahkan kita
Andainya bukan diriku ini
Siapakah di hati....??

Niah.... Hasniaaaaaahhhh!!!

Indera : Andainya suami Hasniah membaca entri ini, tolong jangan masuk ke hati. Ianya hanya rakaman sebuah kenangan. Tiada membawa apa-apa makna. Antara kami dahulu, tidak lebih dari batasan teman sekelas. Hasniah umpama sekuntum kembang suci di taman larangan. Anda bertuah memilikinya. Jagalah dia dengan baik.

(Bersambung)