Wednesday, July 18, 2007

Sekeping Hati Milik Seorang Lelaki


Suasana Subuh di kampung itu sangat dingin. Di luar rumah, si jantan jalak giat berkokok menyambut tibanya hari baru. Burung-burung berkicauan mencari makan. Dia bangun dari tidur dan perlahan-lahan duduk sambil cuba menggerak-gerakkan anggota badannya yang tidak bermaya.

Di dapur kedengaran desingan siulan cerek yang ditiup wap panas. Di atas tungku dapur pula kedengaran letupan-letupan kecil minyak panas tanda ibunya sedang menggoreng sesuatu.
"Riiii... bangun!! Subuh dah nak habis dah ni.." ibunya melaung dari dapur.

Dia bangun mencapai tuala mandi sebelum berlalu masuk ke bilik air jaraknya cuma 10 meter sahaja dengan biliknya. Langkahnya terhencot-hencot. Tiada menunjukkan tanda-tanda bahawa penyakitnya seakan pulih. Hmmm.. sudah tiga tahun hidupnya sebegitu. Selama tiga tahun itu juga hidupnya bagaikan kekabu yang melayang ditiup angin. Kosong dan sepi tanpa kasih. Isteri? anak? Hahahahahahaha.. siapa yang mahu hidup dengan orang cacat sepertinya. Hanya menambah beban sahaja.

Selesai sahaja mandi, dia bersolat. Memohon kepada Rabbul-Jalil moga derita yang dialaminya itu akan diangkat oleh Tuhan. Moga penderitaan batin yang dialaminya tidak terus-terusan melingkari hidupnya. Moga segalanya akan hilang. Hilang bak berhembusnya sang bayu. Begitulah doanya setiapkali selesai solat. Tidak lupa juga moga hidup insan kesayangannya akan sentiasa diberkati oleh Allah selalu. Biarpun perit dirinya menelan segala perlakuan mereka.

Selesai bersolat, dia duduk termenung di tangga. Mengelamun mengenangkan kisah silam yang kelabu. Termenung mengingatkan saat-saat bahagia dia bersama dengan Hani dan Amira. Alangkah indahnya hidup ketika itu. Dirinya dilingkari dengan kasih sayang, dipenuhi dengan tawa ceria. Sekarang tiada apa lagi yang tinggal. Yang ada hanyalah kesedihan yang tidak berhujung dan berpangkal.
"Riiii... mari minum. Nanti sejuk kopi ni, tak sedap!!" ibunya melaung lagi.
Amri merenung langit yang tinggi. Sayup-sayup di atas sana, terlihat beberapa ekor burung berterbangan di langit yang membiru. Alangkah baiknya kalau dia seekor burung. Bebas berterbangan di angkasaraya. Jauh dari segala masalah.

Mentari pagi naik dengan seri cahayanya yang gemilang. Jalur-jalur sinarnya menembusi daun-daun pokok yang tumbuh merimbun di sekeliling rumah. Sawah di belakang rumah kelihatan berbalam-balam dibungkus kabus pagi yang tebal seolah-olah selimut yang menutupi anak-anak padi dari pancaran panas matahari.
"Riiiii... cepatlah. Sarapan dah nak sejuk dah ni!!!" ibu melaung lagi.
Haaaiiiii... mujur sahaja ibu masih ada.

Sarapan pagi itu biasa-biasa sahaja. Nasi putih dengan ikan sepat masin yang digoreng. Airnya hanya air kopi. Tiada yang istimewa. Cumanya pagi itu, ibunya ada menggoreng sedikit pisang. Itu sudah cukup baik buat mereka sekeluarga. Asal sahaja perut terisi, apa lagi yang ingin dipinta. Mungkin dia ingin memohon pada Allah agar Amira hidup bersamanya sehingga ke akhir hayat.
"Mak.. Amira suka makan Goreng Pisang ni, kan Mak?"

Ibunya terhenti menyuap nasi. Perlahan-lahan ibunya menoleh ke arahnya.
"Sudahlah tu Amri. Orang dah tak sukakan awak, buat apa diingat?" kata ibunya.
"Tapi dia tetap darah daging Amri juga Mak. Mana mungkin Amri dapat buang dia dari hidup Ri" kata Amri dalam sengau pertuturannya. Sukar bagi orang lain memahami percakapannya. Tetapi tidak pada Mak Leha. Mak Leha hanya mampu mengeluh.

Selesai sahaja bersarapan, Amri terhencot-hencot masuk ke biliknya. Selepas setengah jam dia keluar semula memakai pakaian bersih seolah-olah ingin berjalan-jalan.
"Nak ke mana tu, Amri?" tanya ibunya.
"Ri nak ke Kampung Talang tu sekejap, Mak!!"
"Nak buat apa..??"
"Nak tengok Amira"
"Orang dah tak suka kamu, Amri. Tak usahlah kamu nak mengulangnya. Tak ada apa yang kamu dapat nanti. Yang dapat cuma penat dengan malu sahaja. Dahlah tu. Tak payah pergi!!" larang Mak Leha.

Tetapi Amri degil juga. Hencot-hencot juga dia turun ke tanah sebelum menyarung sepatu lusuh dan terus menghala ke tepi jalan. Mana-mana kereta yang lalu lalang pasti akan ditahannya dengan harapan akan ada pemandu yang bermurah hati menumpangkannya. Namun dia hampa. Setelah setengah jam menunggu, tiada yang sudi menumpangkan. Dia akhirnya tercegat di tepi jalan itu sambil memandang sepi dan kosong pada jalan yang sibuk itu.

Mujur setelah sekian lama menunggu, muncul pula budak Keon anak Tok Mat Ali yang gila-gila menunggang motorsikal dalam awal pagi tu.
"Nak ke Kampung Talang ke, Abang Amri?" tanya budak itu.
"Ya.." jawabnya.
"Kalau macam tu, jomlah ikut saya. Saya hantarkan abang sampai ke rumah Kak Hani"
Mujur. Memang mujur budak itu tiba. Dapatlah Amri bertemu dengan Amira hari ini. Walaupun budak Keon ini menunggang motosikal sedikit merbahaya, namun itu sahaja pilihan yang dia ada. Sekali sekali dia meraba poket seluar. Dia tersenyum. Goreng Pisang untuk Amira masih ada di situ.

Halaman rumah mertuanya itu sunyi sepi. Dia meneguk liur. Bimbang kedatangannya itu mengganggu orang di awal-awal pagi.
"Assalamualaikum!!"

Setelah dilaung berkali-kali, masih tiada jawapan. Hendak dikatakan tidak berpenghuni, tingkap rumah ternganga luas. Pintu pun terbuka kedua-dua daunnya. Amri mengeraskan suaranya memberi salam. Beberapa ketika, salamnya bersambut.
"Kamu rupanya Amri. Bila sampai?" tanya bekas ibu mertuanya dari tingkap atas. Amri terpaksa mendongak untuk berbual dengan mertuanya itu kerana rumah di kampung itu berbinaan tradisional dengan rata-rata tiang tinggi lebih 6 kaki.

"Anak kamu dengan Hani tak ada. Hani ke pekan. Amira pula ada pertandingan melukis hari ini" maklum mertuanya itu. Tiada tanda-tanda bahawa perempuan tua itu akan menjemputnya naik ke rumah. Akhirnya Amri duduk di kaki tangga rumah itu sahaja.

Cuaca semakin hari semakin panas. Bayang Hani dan Amira langsung tidak kelihatan. Sudah dua jam dia menunggu di situ. Dalam keletihan menunggu itu membuatkannya terlena walau sekadar duduk di atas batu tangga itu. Dia bermimpi membawa Amira ke padang permainan. Amira berjerit-jerit kesukaan bermain buaian dan papan gelongsor. Amri ingin memeluk Amira. Dia melangkah laju ke arah anaknya itu. Seketika kakinya tersepakkan batu besar di padang permainan itu dan.. apabila dia mengangkat pandangan. Amira dengan buaiannya hilang. Dia kembali ke alam nyata.
"Baliklah Amri. Orang dah tak sukakan kamu, buat apa ditunggu?" mertuanya bersuara dari jendela. Amri memandang perempuan tua itu. Pandangan perempuan itu seolah-olah menghalaunya.

Amri meraba-raba koceknya. Nampaknya anaknya tidak dapat menikmati Goreng Pisang itu. Amri mengibaskan debu yang melekat di seluarnya sebelum mengatur langkah pulang. Baru beberapa tapak dia melangkah, pandangannya terarah ke tepi jalan itu. Kelihatan Hani turun dari sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berkulit gelap sambil memimpin Amira. Gaya Hani dan lelaki sangat mesra. Namun sebaik sahaja terpandangkan Amri, riak wajah Hani bertukar masam mencuka.

Semakin Hani menghampiri Amri, semakin kejap pautan Hani ke lengan lelaki itu sambil kepalanya sekali sekala dilentokkan manja ke dada lelaki itu. Amri kenal akan lelaki itu. Namanya Zainuddin. Mekanik syarikat bas ekspress di Ipoh.
"Hani dari mana?" tanya Amri cuba berbahasa. Hani membisu.
"Hani, Abang nak cakap dengan Amira sekejap.." kata Amri lagi.
"Cakaplah. Siapa melarang!!" kata Hani sebelum menarik tangan Zainuddin naik ke rumah.

Amri tersenyum memandang anak perempuannya. Comel!!, kata hatinya. Di luar kesedarannya, anaknya itu sudah berusia 8 tahun.
"Mira, Mira dari mana sayang?" tanyanya.
Anaknya itu bungkam. Turut berwajah kuncam sepertimana ibunya.
"Mira tak suka ayah. Lain kali ayah jangan datang sini lagi. Mira malulah ada ayah macam ni. Semua kawan Mira kata, ayah cacat. Ayah miskin. Hiiiiii... bau busuk!!"
"Mira, kenapa cakap macam tu. Tak baik tau.." kata Amri dalam airmata yang bergenang.
Ohh.. anak!!

Amri menghulurkan Goreng Pisang yang dibawanya pada Amira. Tetapi Amira cuma memandang sepi pada buah tangan yang dibawanya.
"Jom kita jalan kat depan tu.." usul Amri pada Amira.
"Tak maulah. Lepas ni Pakcik Zainuddin kata nak bawak Mira pergi The Lost World kat Ipoh. Ayah bukan boleh bawak Mira jalan-jalan pun!!"
"Mira tak nak jumpa ayah. Ayah jangan datang sini lagi, tau!!" katanya sebelum meluru naik ke rumah.

Amri tidak dapat menahan kesedihannya. Mereka bencikan aku kerana aku cacat, kata hatinya. Segala semangatnya hancur berkecai. Segala impiannya untuk bahagia walau dengan kasih sayang anak, lulur berderai. Pandangan di hadapannya kosong. Kosong dalam riuh pikuk suasana alam.

PPPiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnnnnn!!!!!!!!!
Bunyi hon kereta menikam keras gegendang telinganya. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Dia pasrah!!.

Bersambung

Indera : Kisah ini adalah sebuah kisah benar. Cuma nama watak telah ditukar bagi mengelakkan daripada menyinggung hati mana-mana pihak.


Thursday, July 12, 2007

Hasniah (Bhgn 3)


"Tak baik tuduh-tuduh... Mana engkau dapat cerita ni..??" tanya saya.
"Heiii Indera. Aku ni dah 21 tahun jadi abang engkau, engkau tahu?"
"Kalau dah melantak nasi sampai dua tiga pinggan tu, apa maknanya.. hah? Kalau dah dok termenung macam orang sasau, kemudian sekejap-sekejap lagi tanya pasal Pasir Mas, bukan maknanya engkau putus cinta tu?. Heiii aku tahulah. Engkau dok berjam-jam kat Stesen Bas tiap-tiap hari, kan?" tanyanya lagi.
"Sapa bagitahu engkau...?"
"Aku tahulah sebab kelas aku betul-betul mengadap ke Stesen Bas tu..!!"

Aduuuhhh... malunya. Nampaknya saya terpaksa buka mulut. Apa yang saya rahsiakan selama ini telah menjadi pengetahuan abang saya.
"Sementelahan engkau ada di sini, eloklah kamu pergi ke rumah dia. Selesaikan cara baik. Kalau dia terima kamu semula, baguslah. Tapi aku rasa harapan tu memang dah tak ada sebab ikut kata engkau, majlis pertunangan tu memang kehendak mak ayah dia..."kata abang saya.
"Nak pergi macam mana. Aku bukan tahu rumah dia.."
"Heiii Mamat!!! Kalau engkau berani datang ke Kelantan ni, apasal pulak engkau tak boleh cari dia. Heiiii jangan buat alasanlah!!" kata abang saya seraya menunjal belakang kepala saya.
Saya masih setia menunggu di Stesen Bas itu. Mengharapkan sepenuh hati bahawa Hasniah akan muncul menceriakan hari saya. Penantian saya terus-terusan kehampaan.
(Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...)

Ohhh.. terasa beratnya penanggungan saya ini. Di bawah kesedaran saya, saya mendaki tangga bas usang bercat belang merah itu. Di cermin kaca di sisi pintunya tertera perkataan PASIR MAS. Angin berhembus laju menceraikan dandanan rambut saya yang kemas.
"Tak cukup 20 sen bang!!" kata konduktor bas itu memutuskan lamunan saya.
Rupa-rupa saya membayar jumlah tambang yang kurang. Cuaca pagi itu sungguh nyaman. Penumpang bas tidak ramai. Tempat duduk luas yang hanya diduduki oleh saya seorang, memberi kesempatan untuk saya mengelamun dan terus mengelamun.

Sampai sahaja di Kampung Pohon Buluh, saya turun di hadapan sebuah kedai. Ahhh.. tempat itu terlalu asing buat saya. Saya mencari-cari rumah Hasniah. Dengan sekadar berbekalkan maklumat ringkas nama ayahnya, Hasnan Bin Pawi itu memakan masa 1 jam juga untuk mencarinya. Ini kerana bapa Hasniah lebih dikenali sebagai Manaf di kampung itu. Patutlah apabila disebut nama Hasnan, kebanyakan orang kampung itu terpinga-pinga.

Rumah orang tua Hasniah nampak sederhana. Halaman rumahnya kemas dan dikelilingi oleh pokok-pokok rambutan yang merimbun. Pokok-pokok bunga tersusun rapi menunjukkan penghuninya amat berminat dengan senitaman dan menitikberatkan soal kebersihan. Suasananya betul-betul kampung.
"Kalau dah balik ke rumah, rasa tak nak balik ke Shah Alam semula dah!!" saya teringat kata-kata Hasniah pada saya sewaktu dia meluahkan rasa rindunya pada keluarga dan kampungnya semasa kami di semestar kedua. Saya dapat merasakan kualiti yang ada di rumah itu.

Dengan debaran kencang, saya memberi salam. Seorang lelaki separuh umur menjawab salam saya. Itulah dianya bapa Hasniah. Seorang lelaki bertubuh gempal, berkulit cerah dan berkumis tebal. Dia hanya memakai kemeja lengan panjang serta berseluar warna coklat gelap. Debaran di dada saya semakin kuat apabila lelaki itu berubah wajah menjadi serius sewaktu saya memperkenalkan diri saya sebagai teman sekelas Hasniah yang berasal dari Perak.
"Errr... saya datang ke sini nak minta izin Pak cik nak berjumpa dengan Hasniah" kata saya kepucatan.
"Ohh.. boleh, boleh. Tunggu sekejap ye. Pakcik panggilkan Hasniah" katanya sebelum berlalu ke ruangan belakang rumah itu.

Hasniah nampak terperanjat apabila melihat saya berada di serambi rumahnya. Dia hampir kehilangan kata-kata.
"Oo.. awak. Apa yang awak buat kat sini?" tanyanya.
"Indera datang nak melawat awak. Pakcik, boleh tak kami bercakap-cakap sebentar kat halaman sana?" tanya saya meminta izin dari bapa Hasniah.
Bapa Hasniah hanya mengangguk manakala ibunya nampak agak kebingungan tanpa mengetahui tetamu yang mampir di rumahnya lewat pagi itu.

"Awak dah nak bertunang. Tahniah!!" kata saya membuka perbualan kami.
"Terima kasih" jawabnya ringkas. Hasniah memandang sekeliling cuba mengelak bertentang mata dengan saya.
"Indera harap awak bahagia"
"Terima kasih" masih jawapan yang pendek. Saya terkalap dalam mencari punca yang boleh membuka kepada sebuah perbualan panjang. Namun Hasniah seakan kaku dan dingin.
"Hasniah, buat sekian kali, Indera nak.. err.. Indera nak minta maaf atas perlakuan Indera dengan Suhaili dulu. Indera...." saya terhenti berkata apabila melihat airmata bergenang di matanya.
"Tak perlu Indera minta maaf. Niah dah tahu semuanya. Suhaili... Suhaili dah bagitahu Niah semuanya"
"Niah dah tahu...?? Kalau dah tahu, apa semua ni, hah? Balas dendam?"
"Ya. Pertunangan ni memang untuk balas dendam. Tapi apa pilihan yang Niah ada kalau mak dan ayah Niah sudah beria-beria mengaturnya?" airmata Hasniah jatuh ke pipi. Dia segera membelakangi arah rumahnya supaya ibu dan ayahnya tidak melihat bahawa dia ketika itu sedang mengalirkan airmata.
"Kalau dulu lagi Niah tahu bahawa Indera diperangkap oleh Suhaili, apakah Niah akan menerima pertunangan ini?"
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah bahagia sekarang?" tanya saya
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah sayang Indera?"
Angguk.

"Hahahahahaha... siapa lelaki yang bertuah itu?"
Hasniah bungkam. Enggan memberitahu saya.
"Jika pada Indera yang Niah katakan sayang ni, tapi Niah tak nak bagitahu siapa lelaki tu, apa gunanya perasaan sayang itu..?"
(Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah)

"Indera tak kenal dia" jawab Hasniah.
"Niah ikhlas terima dia?" tanya saya.
Hasniah bungkam. Airmatanya masih mengalir di pipi.
"Kalau Niah tak suka dengan pertunangan ni, biar Indera jumpa dengan ayah Niah minta diputuskan pertunangan Niah dengan lelaki tu sementara Indera aturkan rombongan meminang Niah.."
"Jangan. Jangan buat macam tu. Matilah Niah nanti. Tolonglah. Niah minta sangat-sangat. Tolong jangan mengkucar-kacirkan pertunangan Niah. Mak dan ayah akan tanggung malu. Niah tak nak semua tu jadi. Niah rela mati dari tengok Mak dan Ayah Niah tanggung malu. Lagipun macam mana Indera nak pinang Niah? Kan kita masih belajar? Mana ada duit?" airmata Hasniah semakin lebat turun bersama kata-katanya.

Kami terdiam. Sama-sama kelu.
"Horrayyy.... pasangan yang dipilih sama secocok, sama sepadan untuk DBS03/1994 adalah Indera Kencana dan Hasniah Hasnan. Kita kasi denda pada diaorang. Dendanya ialah kutip sampaaahh. Horrayyy!!!" sorak teman-teman sekelas sewaktu kami bermain satu permainan berunsur motivasi di Kem Camar Alam, beberapa tahun sebelum itu. Ketika itu kami terdiam. Sama-sama kelu. Sekarang kami juga terdiam dan terkelu. Tetapi dalam keadaan yang sangat berbeza.

"Jika sudah begitu keadaannya, boleh tak Indera minta satu perkara?"
Hasniah hanya mengangguk.
"Bahagiakan lelaki itu. Lupakan semua perkara tentang kita. Anggap Niah tak pernah kenal Indera"

Saya tidak boleh berlama-lama di situ. Sembilu tajam menusuk tubuh saya datang dari segenap penjuru. Renungan Hasniah yang kesedihan dan kehampaan yang menggunung di hati saya membuatkan saya kepedihan.
"Hahahahaha... Selamat menempuh gerbang perkahwinan. Selamat berbahagia di samping dia" saya mengatur langkah meninggalkan Hasniah. Selamat untukmu sayang. Kita tiada takdir untuk bersatu. Dalam perit menahan ego, setitis airmata berguguran jua tanpa dilihat oleh Hasniah.
(Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan)

Nun di utara, Hasniah ketika ini sedang berbahagia bersama suami dan cahayamatanya yang tersayang. Saya dengan pasangan hidup saya dan juga 2 orang penyeri perkahwinan kami. Cinta saya dan Hasniah laksana bunga mawar berkembangan. Namun cuma sebentar. Tiba masanya, ianya layu lalu jatuh sekelopak demi sekelopak. Tiada apa yang tinggal. Yang ada hanyalah kenangan.

Tamat

Tuesday, July 03, 2007

Hasniah (Bhgn 2)


Terasa bagai ditusuk sembilu bisa
Pedihnya entah bila akan terhenti
Berkasih di rimba asmara berapi
Terbakar hanya ku sendiri
Oh mengapa...

Ke mana hilang janji dan sumpah setia
Ke mana tumpah selaut harum kasturi
Apakah mungkin kan terulang kembali
Asyiknya cinta bagai dulu
Atau serapuhnya mimpi
Yang pulang pagi...

Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...

Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah

Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan

Redup senja di kaki malam
Menghilangkan warna ilalang
Dan cinta kini bagaikan
Perkasihan mimpi...
***Ralat***
(Sebahagian daripada perbualan di dalam entri ini telah dipindahkan ke dalam loghat Johor-Riau kerana saya tidak pandai menyusun perbualan ini di dalam loghatnya yang sebenar iaitu loghat Kelantan. Sebarang ketidak-selesaan dipohon ribuan kemaafan)

Saya menoleh. Rupa-rupanya abang saya, Khairul. Dia tersengih-sengih sambil menemukan kedua-dua belah tapak tangan seperti orang Cina yang sedang bersembahyang.
"Huuuiii.. sorrylah aku lambat sikit. Lama dah engkau tunggu?" tanyanya. Gayanya tetap selamba seperti biasa. Saya tahu kelewatannya itu memang disengajakannya.

Saya tercari-cari kelibat Hasniah di tengah-tengah orang ramai itu. Tetapi saya hampa. Dia sudah menghilang entah di mana.
"Engkau cari sapa..??" tanya abang saya setelah melihat saya tercangak-cangak dalam remang senja.
"Engkau nampak mata air lawa, ye..??" usiknya nakal.
"Eh, tak adalah"

Sepanjang jalan dari Stesen Bas Kota Bharu menuju ke Rumah Pangsa di Jalan Bayam itu, kami berdua menaiki beca. Itulah pengalaman pertama saya menaiki beca. Rasa janggal sahaja rasanya. Mujur kami berdua ketika itu bertubuh kurus melidi. Mudah sahaja pengayuh beca itu membawa kami berdua ke destinasi kami. Jika dengan saiz tubuh sekarang, pasti pengayuh beca itu sudah tersungkur kepenatan di tepi jalan. Maklum sahajalah, berat badan kami sekarang masing-masing sudah melepasi 80kg!!!.

Abang saya sibuk berceloteh itu dan ini, seolah-olah dia tahu semua perkara tentang Kota Bharu itu. Sepanjang jalan, saya lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Bayangan wajah Hasniah masih lagi terpahat di dalam ingatan.
"Jauhkah Pasir Mas dengan tempat ni..?" tiba-tiba saya bertanya pada abang saya.
Abang saya terlongo. Kemudian tersenyum.
"Jauh tu tak jauh sangatlah..... Kenapa tiba-tiba tanya pasal Pasir Mas ni?" tanya abang saya.
"Errrr... tak ada apa-apa" dalih saya.
"Aku tengok engkau sekarang dah makin gemuk.." abang saya mengomen bentuk tubuh saya.
Tiba di Rumah Pangsa Jalan Bayam, orang sudah melaungkan azan Maghrib. Saya masuk ke rumah kecil yang mempunyai dua bilik dan berdinding dengan batu blok yang agak besar sebagai bahan binaan utamanya menjadikannya kelihatan hodoh dan timbul walaupun telah disapu dengan cat yang tebal. Dua orang rakan serumah abang saya segera menghulurkan tangan bersalaman dengan saya. Kudin dan Fadil. Itulah nama mereka berdua.

Mereka kemudiannya menunjukkan saya arah ke bilik air melalui ruang dapur. Di sinki kelihatan beberapa biji gelas bergelimpangan dan sudah ditumbuhi kulat hijau pula. Nampak sangat penghuni rumah itu tidak menitik-beratkan soal kebersihan.
"Engkau rehat-rehat dulu. Lepas Isyak nanti, kita turun makan malam sama-sama" kata abang saya. Maghrib sudah hampir ke penghujungnya. Namun abang saya dan rakan-rakan serumah masih terus leka menonton kaca television.

Waktu makan malam, hanya saya dan abang saya sahaja turun ke kedai. Kudin leka bermain permainan komputer di biliknya. Manakala Fadil pula menghadiri kelas yang bermula jam 9.00 malam. Kelas apa yang mula jam 9.00 malam?, fikir saya. Jika di ITM, kelas yang paling lewat hanya bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir dua jam kemudian. Itupun hanya kelas gantian. Jarang-jarang diadakan pun sepanjang semester berlangsung.

Sewaktu makan malam, fikiran saya tidak putus-putus mengenangi Hasniah.
"Kita sudah sedekat ini, Niah. Apakah akan ada kesempatan kita untuk bertemu..." hati saya berkata-kata.
"Niah..."
Abang saya masih tidak putus-putus berbicara. Tentang rakan sekelasnya. Tentang kehidupan orang di Kelantan. Tentang perjalanannya ke Tumpat dan Kuala Terengganu. Sedang nasi di pinggannya hanya dikuis-kuisnya sahaja.
"Yang engkau terkuis-kuis nasi tu, apa hal? Tak nak makan ke nasi tu..??" tanya saya.
"Entah. Sejak engkau datang ni, hilang selera aku nak makan" jawabnya.

Tanpa tangguh, saya terus menarik pinggannya dan makan nasinya itu dengan berselera. Sekali lagi abang saya terlongo melihat kelakuan saya. Kemudian dia senyum mengulum.

Keesokan paginya saya terjaga jam 8.30 pagi. Mungkin akibat keletihan ditambahi pula tiada sesiapa yang mengambil kisah untuk mengejutkan tidur saya membuatkan saya terlepas Solat Subuh pagi itu. Abang saya dan rakan-rakan serumahnya menghilang entah ke mana. Ke kelas barangkali. Selepas bersarapan pagi, saya menghabiskan masa dengan membaca buku-buku cerita yang banyak terdapat di rumah itu sambil mendengar Radio Malaysia Kelantan.
"***Untuk tidak menghampakan permintaan Norliza di Ketereh, saya putarkan lagu permintaannya. Lagu yang sedang hangat di Radio Malaysia Kelantan sekarang ni iaitu lagu dendangan Rahmat, Siapa Di hatimu.." kata juruhebah itu di dalam loghat Kelantan yang pekat.

Beberapa saat kemudian, bait-bait puitis lagu itu mengisi ruang kecil bilik tempat saya bernaung ketika itu. Bait-bait lagu itu membuatkan saya terawang-awangan mengenangi Hasniah dan kenangan kami. Suara Rahmat yang mendayu-dayu, membuatkan mata saya berpasir. Airmata seperti berlumba-lumba jatuh dari empangan. Sekuatnya saya tahan kerana orang lelaki tidak boleh menangis. Lelaki harus kuat dan tidak kalah dengan perasaan, kata hati saya membohongi apa yang sarat terkandung di dalamnya.

Entah apa majalnya, lagu itu diputarkan hampir sepuluh kali dalam sehari. Tinggal sendirian di rumah yang sunyi sepi itu membuat jiwa saya lebih panasaran. Untuk menghilangkan kebosanan, saya cuba berbual-bual dengan lelaki separuh umur yang tinggal berjiran dengan abang saya. Mendengar kisah dan pengalamannya yang beristerikan perempuan dari Chieng Mai di utara Thailand.

Jika kerunsingan semakin menyesak di dada, saya akan setia duduk berlama-lama di Stesen Bas dengan harapan saya akan bertemu dengan Hasniah. Namun penantian saya tetap hampa.

"Apo kono e Jang, ekau monong ajo. Orang ke bulan, ekau di mano..." terdengar abang saya menyanyi di dapur.

"Sampai bila nak jadi macam ni..?" tanya abang saya.
"Macam mana apa..??" tanya saya pura pura tidak tahu hujung pangkal seraya menyembunyikan debar hati saya. Cuba berdalih.
"Engkau ingat aku tak tahu yang engkau putus kasih dengan budak perempuan dari Pasir Mas tu..??" tebak abang saya.

Haahhhhhh..?? Mana dia tahu..?????

Bersambung

Tuesday, June 19, 2007

Hasniah (Bhgn 1)


Saya masih tidak dapat melupakannya. Sungguhpun dia telah bertunang, namun kasih saya tetap abadi untuknya. Sungguh saya kecewa apabila Hasniah enggan memberitahu saya tentang pertunangannya. Segalanya saya ketahui dari mulut Syikin dan Hartina. Jika tidak kerana mereka membuka mulut tengahari itu, nescaya sehingga ke akhir pengajian berita tentang pertunangannya tidakkan sampai ke telinga saya.

Perjalanan pulang ke kampung seolah-olah tidak membawa apa-apa makna. Ingatan saya hanya untuk dia. Sebulan kami akan bercuti sebelum memulakan semester terakhir di peringkat Diploma. Ertinya selama sebulan ini dia bukan lagi milik saya. Dalam sebulan ini, dia bakal milik jejaka itu. Memang dia jejaka yang bertuah kerana berjaya memiliki Hasniah. Ohhh.. tuhan, apakah daya saya.

Di permulaan minggu cuti semester itu, saya banyak habiskan dengan termenung. Hati saya bagaikan disayat sembilu. Segala kenangan antara saya dengan Hasniah memburu saya di setiap langkah saya. Setiapkali menjamah hidangan, teringat saat saya dan Hasniah keluar disertai rakan-rakan yang lain mengunjungi warung berhampiran dengan Kolej Kenanga yang buka hingga ke santak pagi sewaktu kami di semester ketiga. Ketika itu tiada siapa yang dapat mengesan apa yang terkandung di hati saya. Cuma Hartina sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di hati kami berdua. Dengan itu matanya sentiasa mengawasi kami berdua.

Di saat itu, lagu Teringin nyanyian Shima semakin menambah parah di jiwa saya. Ingin rasanya saya menghumbankan radio ke tanah setiapkali lagu itu diputarkan di radio. Aduuhhh.. siksanya penanggungan.
"Indera, Indera sakit?" tanya Mak.
"Tak Mak. Indera sihat.."
(Indera sakit dalam hati Mak).

Di saat itu saya seakan terdengar tawa ejekan Azri, Shahril dan Armizam. Mereka seakan mengejek saya kerana kasmaran. Sakit dipukul badai kasih. Kecewa bercinta.
"Hahahahaha.... Akulah Mr. Serba Tahu. Aku tahu nama kampung Hasniah. Ada sapa-sapa nak tahu kat mana kampungnya?" tanya Shahril pada suatu petang setamat kuliah kami.
Hati saya melonjak-lonjak ingin tahu. Namun saya terpaksa pendamkan di dalam hati. Sekiranya saya terlalu teruja untuk mengetahui, kelak diketahui umum. Tentu akan dihebohkan oleh kacang-kacang hantu yang menjadi teman baik saya itu. Untuk itu saya mendiamkan diri sahaja. Pura-pura enggan ambil peduli.
"Kampungnya nama Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas. Hehehehehe... selain dari tu banyak lagi aku tahu pasal dia kalau engkau nak tahu..." celoteh Shahril pada Azri. Saya cuma menelinga.

Kampung Pohon Buluh? Ya, Kampung Pohon Buluh...

"Kamu ni nak ke mana, Indera?" tanya Mak apabila melihat saya bersiap-siap mengemas baju.
"Errr... saya nak ke Kota Bharu, Mak"
"Buat apa ke Kota Bharu..??" Mak hairan.
"Saja nak bercuti. Saya duduk rumah Khairul" kata saya.
Mendengarkan bahawa saya ingin bercuti dan melawat abang saya yang tinggal di Kota Bharu itu, Mak tidak bertanya lanjut. Hakikat sebenarnya saya tidak betah duduk di rumah. Hati saya bagai dipanggil-panggil ke Pasir Mas. Aduhhh... sakitnya penanggungan ini!!!.

Perjalanan ke Kota Bharu satu perjalanan yang panjang. Jalan berbengkung-bengkok dengan pemandangan hutan mengisi sepanjang jalan. Perjalanan yang bermula di waktu awal pagi itu berkesudahan di Stesen Bas Kota Bharu sewaktu matahari sudah mengesot condong di ufuk barat.

Turun sahaja di Stesen Bas yang hiruk pikuk itu saya disambut dengan suasana yang asing. Loghat pertuturan orang-orangnya sukar saya fahami. Alangkah baiknya kalau Hasniah dapat mengajar saya cara bertutur orang di bumi Puteri Saadong ini. Alangkah baiknya kalau kami berjodoh... Ahhh.. angan-angan yang tidak kesampaian!!!.

Saya menoleh ke kanan dan ke kiri. Cuba menyerap pandangan sekeliling bahawa di sinilah titik mula perjalanan Hasniah setiap kali dia ingin pulang ke Shah Alam. Tentu dia amat biasa dengan Stesen Bas ini.
"Minumnya Abe.." seorang pemuda yang bekerja di restoran itu memutuskan lamunan saya.
"Errr.. Teh O ais satu.." kata saya
"Ohh.. Teh O Beng. Make..??"
"Errr.. tak. Saya tak nak Teh O Beng. Saya nak Teh O ais" saya merasa jengkel bila pemuda itu silap mengambil pesanan saya.
"Hoh.. betullah. Teh O Beng, sa ke?"
"Taaaakkkk!!! Teh O ais!!!" hati saya sudah bengang.

Rupa-rupanya pertelingkahan kami berdua mendapat perhatian dari seorang konstabel polis yang sedang minum di meja berhampiran. Dia ketawa sewaktu menghampiri saya.
"Bang.." katanya menegur saya. "Teh O Beng tu Teh O ais lah. Orang sini panggil Teh O Beng.." katanya dalam ketawa lanjut.
Saya terkalap. Terus menyumpah di dalam hati. Sudahlah hati tidak keruan. Mendapat malu pula.
"Macam ni nak jadi menantu orang Kelantan..??" saya bagai terdengar-dengar Azri mengejek saya.

Khairul, abang saya itu masih belum nampak bayangnya lagi. Janjinya ingin mengambil saya di bandar itu. Saya berdiri tercegat di hadapan pintu Restoran A&W sambil melihat orang yang mundar-mandir. Gadis-gadis yang berpapasan dengan saya manis-manis belaka. Orang Kelantan, begitulah kata Shahril setiapkali jika melihat gadis-gadis dari negeri di Pantai Timur itu lalu di hadapannya.

Haiiii... alangkah baiknya kalau dapat ketemu Hasniah di sini!! Saya melayan angan-angan seketika. Alangkah indahnya dunia sekiranya ada jodoh kami.
"Kalaulah awak ada anak nanti, awak nak anak awak panggil awak apa?" tanya Hasniah dalam sesi perbincangan kami sewaktu kami sedang sibuk menyiapkan kertas kerja Ekonomi Malaysia. Kenapa soalan itu ditanyanya?
"Saya nak anak saya panggil saya Baba.."
"Huuuuu... macamlah awak tu orang Arab.." katanya separuh mengejek.
"Dan saya nak awak panggil saya Darling.." kata saya mencabar.
"Buat apa saya nak panggil awak Darling?" tanyanya juga mencabar saya.
"Sebab awak isteri saya.." kata saya.
"Sapa nak kawin dengan awak?" bantahnya.
"Saya nak!!" kata saya lagi.
"Tak nak, tak nak, tak nak, tak nak...!!!" kata Hasniah.
"Nak, nak, nak, nak, nak, nak...!!!"

Saya tersenyum mengenangkan saat berada di ruang perbincangan di sebelah perpustakaan itu. Haiii... Hasniah bagaikan mengekori saya. Hati saya merintih memanggil namanya.

Di saat itu, mata saya terarah ke pintu masuk Pasaraya yang berhampiran. Hasniah!!!

Ya, saya kenal susuk tubuh itu. Juga kurung samar dan tudung yang dikenakannya. Berjalan beriringan dengan seorang wanita separuh umur di dalam kumpulan orang yang ramai itu. Saya tercari-cari. Hati saya berbisik, lekas Indera, lekas!!!

Sewaktu ingin melangkah mendapatkan Hasniah itu, bahu saya ditepuk dari belakang.
"Indera!!!!"

Bersambung

Tuesday, June 12, 2007

Dari Teks : Pak Pandir dan Mak Andeh (Bhgn Akhir)

Akhirnya Mak Andeh yang pergi membeli lembu untuk dibuat masak kenduri. Luka di kaki Pak Pandir beransur sembuh selepas dipupuk dengan pucuk Sentang setiap pagi menjelang.
"Eh, eh Andeh. Besarnya lembu tu ye..!!" kata Pak Pandir.

Setelah tiba hari kenduri, hanya Pak Pandir dan Mak Andeh sahaja yang menyembelih dan melapah lembu itu. Tidak ada bantuan orang kampung kerana mereka itu hidup berjauhan dengan orang. Akhirnya segala persiapan kenduri pun siap.
"Pak Pandir, Andeh hendak pergi ke kampung untuk menjemput orang makan kenduri. Pak Pandir pula pergilah ke kampung seberang memanggilkan Pak Imam dan juga Pak Lebai datang ke kenduri kita.." kata Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi aku tak kenal Pak Imam dan Pak Lebai tu, Andeh.."
"Oohh, begini. Pak Imam itu orang yang pakai topi putih (songkok putih). Pak Lebai pula orang yang ada janggut.." terang Mak Andeh.

Setelah Mak Andeh turun dari rumah menuju ke kampung, Pak Pandir pun bersiap-siap menuju ke kampung seberang untuk menjemput Pak Imam dan Pak Lebai datang makan kenduri. Setelah turun dari sampan, Pak Pandir tercangak-cangak di tepi tebing sungai mencari orang yang dimaksudkan oleh Mak Andeh itu.

Di hadapannya ada simpang tiga. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan terus. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Pak Imam dan Pak Lebai, fikirnya. Namun semakin Pak Pandir jauh berjalan, dia semakin mendekati kawasan belukar. Tiba-tiba terbang di hadapannya beberapa ekor Merbah Jambul yang mempunyai bulu jambul berwarna putih.
"Barangkali inilah Pak Imam itu" fikir Pak Pandir.

Burung-burung itu hinggap di sebatang dahan pokok. Pak Pandir kemudiannya menghampiri pokok itu.
"Pak Imam, Pak Imam. Andeh jemput Pak Imam makan kenduri..!!"
"Peeetttttt peeettttt... peeettttt peettttt..." burung-burung itu berbunyi.
"Eh, jangan buat ceritalah Pak Imam. Rumah kami tak sempit!!!" bantah Pak Pandir. Marah juga dia apabila "Pak Imam" itu mengatakan rumahnya sempit.

Oleh kerana burung-burung itu masih juga tidak turun mendapatkannya, Pak Pandir bertekad untuk menangkap sendiri burung-burung itu. Pak Pandir kemudiannya memanjat pokok itu dan setelah dihampiri, burung-burung itu terkejut dan terus terbang jauh. Pak Pandir tergesa-gesa turun dari pokok dan terus mengejar burung-burung itu.

Akhirnya Pak Pandir kepenatan. Burung-burung itu terbang entah ke mana.
"Nampaknya Pak Imam tak sudi nak datang makan kenduri di rumahku" fikir Pak Pandir.

Pak Pandir kemudiannya berehat di bawah sepohon pokok. Matahari semakin lama semakin tinggi. Sedang Pak Pandir berehat itu, dia terlihatkan beberapa ekor kambing yang sedang meragut di padang yang berhampiran. Melihatkan janggut Kambing Randuk yang panjang itu, Pak Pandir menyangkakan bahawa itulah Pak Lebai yang dicarinya. Pak Pandir pun menghampiri bapak randuk itu.
"Pak Lebai, Pak Lebai. Andeh panggil makan kenduri"

Kambing jantan itu masih lagi asyik meragut rumput seperti tidak mengendahkan panggilan Pak Pandir.
"Pak Lebai!!! Andeh panggil makan kenduri" jerit Pak Pandir pada kambing itu.
Kambing itu terkejut kemudian mengembek memanggil kawanannya.
"Beeekkkkk beeekkkkk..."
"Eh, Pak Lebai. Nasi rumah kami tak lembik" bantah Pak Pandir.

Melihatkan kambing itu seolah-olah tidak memperdulikan jemputannya. Pak Pandir kemudiannya mendakap kambing randuk itu kemas-kemas untuk dibawa ke rumahnya. Sudah tentu sahaja kambing itu meronta-ronta. Puas Pak Pandir mengemaskan pelukannya, namun akhirnya kambing itu terlepas juga. Yang dapat hanyalah hamis bau kambing sahaja.

Pulanglah Pak Pandir dengan perasaaan hampa.
"Pak Imam dan Pak Lebai itu sombong benar" cerita Pak Pandir pada Mak Andeh.
"Sudahlah tak sudi datang kenduri, dikatakannya pula rumah kita sempit dan nasi kita lembik, Andeh" cerita Pak Pandir.
Mak Andeh cuma terdiam kerana dari cerita Pak Pandir itu, dia tahu bahawa Pak Pandir telah berjumpa dengan kawanan burung dan kambing sahaja.

"Beginilah Pak Pandir. Pak Pandir pergi semula ke kampung seberang itu. Sampai sahaja di simpang tiga itu, Pak Pandir ambil jalan ke kanan. Jalan kanan itu akan terus ke rumah Pak Imam dan Pak Lebai" kata Mak Andeh.

Pak Pandir menurut sahaja cakap Mak Andeh. Sampai di simpang tiga itu, Pak Pandir terlupa kata Mak Andeh. Kanan atau kiri??? hatinya tertanya-tanya. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan kiri. Jalan itu membawanya ke rumah gergasi tiga beranak.
"Pak Imam, Andeh panggil makan kenduri" panggil Pak Pandir.

Gergasi-gergasi itu teramat sukacita memperolehi jemputan makan kenduri itu. Satu peluang yang tidak pernah diperolehi mereka sebelum ini. Gergasi-gergasi itu kemudiannya mengikut Pak Pandir pulang ke rumah.
"Naiklah Pak Imam. Silakan!!" jemput Pak Pandir.

Melihatkan kedatangan gergasi-gergasi itu, orang kampung bertempiran melarikan diri. Tanpa bertanggung, gergasi-gergasi itu terus menjamah hidangan kenduri dengan lahap sehingga habis nasi sekawah.
"Ya Allah!! kenapa Pak Pandir jemput gergasi-gergasi ini ke rumah kita???" cemas Mak Andeh.
"Andeh suruh aku jemput Pak Imam. Ini bukankah Pak Imam?" tanya Pak Pandir.
"Ini gergasi!!!!!" tegas Mak Andeh.
"Bagaimana Pak Pandir boleh jemput gergasi-gergasi ini?"
"Haiiii..?? bukankah Andeh suruh aku ikut jalan kiri. Aku ikutlah jalan kiri..."
"Jalan kanan!!!!!!!"

Gergasi-gergasi itu masih lagi lapar. Mereka bertempik tanda meminta lebih banyak makanan. Mak Andeh dan Pak Pandir mula ketakutan. Bimbang gergasi-gergasi itu akan memakan mereka pula. Senyap-senyap mereka keluar dari rumah dan terus melarikan diri. Sejak dari hari itu tiada lagi berita dari mereka suami isteri.

Thursday, May 31, 2007

Dari Teks : Pak Pandir dan Mak Andeh (Bhgn 3)


"Andeh, Andeh.... Aku jumpa seorang budak di tepi jalan. Cuba lihat ini, wajahnya seiras dengan anak kita" kata Pak Pandir seraya menunjukkan pada Mak Andeh, bayi yang ditemuinya di tepi jalan itu.
"Eh, eh.. ini bukankah anak kita? Kenapa Pak Pandir belum tanam-tanam lagi?" tanya Mak Andeh kehairanan.
"Aku sudah tanam. Sewaktu aku pulang, aku jumpa budak ni di tepi jalan" kata Pak Pandir pula.
"Habis tu siapa yang Pak Pandir tanam tadi" tanya Mak Andeh. Pak Pandir cuma mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Mak Andeh kemudiannya menyuruh Pak Pandir mengorek semula kubur di mana dia mengambus mayat anak mereka itu. Setelah dibuka gulungan tikar itu, yang kelihatan hanyalah kosong. Mereka kemudiannya mengebumikan mayat anak mereka untuk "kedua" kalinya. Pulanglah mereka berdua laki bini dalam keadaan dukacita yang teramat sangat mengenangkan satu-satunya anak mereka sudah pergi diambil oleh tuhan.

Setelah cukup 40 hari kematian anak mereka, Mak Andeh bercita-cita untuk mengadakan Kenduri Arwah sempena mengingati pemergian anak mereka. Cadang Mak Andeh, biarlah kenduri itu besar sedikit kerana itulah satu-satunya anak mereka.
"Pak Pandir. Kalau Andeh bagi duit, bolehkah Pak Pandir mencarikan seekor lembu?" tanya Mak Andeh.
"Lembu..?? Lembu tu bagaimana rupanya, Andeh?" tanya Pak Pandir pula.
"Lembu itu yang makan rumput" kata Mak Andeh.
"Pak Pandir carilah orang yang ada lembu. Bagikan wang ini pada dia. Selepas itu, Pak Pandir mesti ikat lembu itu dan tarik sampai ke rumah kita" kata Mak Andeh lagi sebelum menghulurkan 10 keping wang timah.

Di sepanjang jalan ke kampung yang berhampiran, Pak Pandir tidak berhenti-henti menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mencari seekor lembu. Tiba sahaja di simpang Padang Kumbang, Pak Pandir terpandangkan seorang lelaki yang sedang menyabit rumput. Begitu pantas lelaki itu bekerja, sehingga padang itu segera habis dikerjakannya.
"Waahhh... barangkali inilah lembu yang dikatakan oleh Andeh itu" fikir Pak Pandir.
Pak Pandir segera menghampiri lelaki itu.
"Apa boleh saya beli lembu encik ini?" tanya Pak Pandir penuh bersopan.
"Lembu..??? Saya tak ada membela lembu" kata lelaki itu pula.
"Itu!! di tangan encik itu bukankah lembu?"
"Ini sabitlah..." jawab lelaki itu tertawa kerana menyangkakan Pak Pandir itu bergurau dengannya.
"Tapi dia makan rumput, bukan?" tanya Pak Pandir.
"Ya, dia makan rumput" jawab lelaki itu masih tertawa-tawa.

"Kalau begitu berilah saya membelinya..." tegas Pak Pandir. Lelaki itu kemudiannya terkesima. Hairan dengan sikap orang yang baru ditemuinya. Apa perlunya membeli sabit buruknya jika di merata tempat mudah diperolehi sabit. Orang tidak cukup akal barangkali, fikir lelaki itu.

"Berapa harganya encik membeli lembu ini dulu?" tanya Pak Pandir. Lelaki itu bertambah bingung sambil membelek-belek sabitnya berulang-ulang kali.
"Errr... anu, 3 kupang!!" katanya.
"Nah, ambillah sekeping wang timah ini" kata Pak Pandir seraya menarik sabit itu dari tangan lelaki itu sebelum mengikatnya dengan tali yang dibawanya bersama.

Sepanjang jalan itu Pak Pandir terus-terusan menunda sabit itu. Ditariknya sabit itu seperti gaya orang menarik lembu. Sudah pastilah sabit itu akan terlambung-lambung kerana keberatannya yang tidak sepertinya. Setiapkali melambung, pasti mata sabit itu menyinggahi ke kaki Pak Pandir sehingga menyebabkannya luka-luka.
"Aduuuhhhh, Andeh!!! lihatlah kaki aku ini sudah luka-luka dimakan dek lembu" teriak Pak Pandir dari jauh lagi.

Mak Andeh lihat Pak Pandir seakan menarik sesuatu. Tetapi Mak Andeh terkesankan ada sesuatu yang tidak kena. Hujung tali yang mengikat benda yang ditarik Pak Pandir itu letaknya di bumi.
"Ya, Allah. Sabit yang dibeli oleh Pak Pandir"

Mak Andah jatuh terduduk di serambi mengenangkan kebodohan Pak Pandir. Itu belum lagi hal kakinya yang sudah luka-luka.
Bersambung

Wednesday, May 23, 2007

Dari Teks : Pak Pandir dan Mak Andeh (Bhgn 2)


Setelah hampir sahaja dengan rusa itu, Pak Pandir terus mencangkuk belakang rusa itu dengan mata kail besarnya. Rusa itu terjaga dan terpinga-pinga apabila merasa sakit di bahagian belakangnya. Terus sahaja rusa itu meronta-ronta ingin melarikan diri. Namun mata kail dan pelukan Pak Pandir menghalangnya untuk berbuat demikian.

Rusa itu pun bertempik sehingga mengejutkan seisi alam. Tempikan rusa berkumandang jauh sehingga dapat didengar oleh Mak Andeh yang tinggal di pinggiran hutan itu. Dalam kegawatan, Pak Pandir mencempung rusa yang sedang meronta-ronta itu langsung dicampakkannya rusa itu ke dalam paya yang disangkakannya banyak berisi ikan.

Sebaik sahaja rusa itu dicampakkan ke dalam paya, rusa itu bertempik lebih kuat lagi. Habis air di dalam paya itu berkocak kuat. Gamat suasana. Mak Andeh yang meninjau-ninjau dari rumah merasa tidak enak hati lantas menurut suara tempikan rusa itu sehingga membawa Mak Andeh ketemu Pak Pandir di tepian paya.
"Ehhh... Pak Pandir tengah buat apa..???" cemas suara Mak Andeh.
"Mak Andeh suruh aku mengail ikan dengan umpan rusa. Ini aku tengah mengaillah ni.."
"La... umpan belalang rusa. Bukan rusa!!!" kata Mak Andeh
"Cepat Pak Pandir, angkat rusa tu naik ke tebing. Mati rusa tu nanti, tak dapatlah kita sembelih dia untuk dibuat lauk"

Sewaktu dinaikkan ke tebing, rusa itu sudah agak lemah. Ini memudahkan Mak Andeh dan Pak Pandir menyembelihnya. Banyak daging yang mereka perolehi. Sebahagiannya dibuat gulai, sebahagiannya dibakar dan sebahagian lagi disalai untuk dibuat bekalan makanan esok lusa. Maka kenyanglah perut mereka hari itu berlaukkan daging rusa.

Setelah cukup tempoh mengandung, Mak Andeh pun sakit hendak bersalin. Pak Pandir pun memanggil bidan yang tinggal berhampiran untuk membantu Mak Andeh bersalin. Pak Pandir sangat gembira. Dia beroleh anak laki-laki. Wajahnya seperti dia juga. Anak bapak!!

Setelah habis tempoh berpantang, Mak Andeh terpaksa pergi ke huma untuk menanam padi. Tiada bekalan padi dan beras, bermakna kebuluranlah mereka sekeluarga.
"Pak Pandir nanti jangan lupa mandikan anak kita, ye!!" pesan Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi bagaimana aku ingin memandikan anak kita?" tanya Pak Pandir.
"Pak Pandir gunalah air suam"
"Air suam tu apa..?"
"Air suam itu air mendidih yang bercampur dengan air sejuk" kata Mak Andeh.

Air mendidih????

Lagi sekali Pak Pandir tersilap mendengar kata Mak Andeh. Sebaik sahaja Mak Andeh keluar, Pak Pandir menghidupkan api dan terus menjerang air. Apakala air sudah mendidih, Pak Pandir terus mencurahkan air mendidih itu ke seluruh badan anaknya. Hilang suara bayi malang itu menangis kepanasan. Sehingga akhirnya bayi itu meninggal dunia sambil terseringai tanda seksa kesakitan.
"Eh, eh... seronoknya anak aku dapat mandi. Tersenyum saja dia" kata Pak Pandir. Sangkanya anaknya itu sedang tersenyum. Hakikat sebenarnya, anaknya itu telah meninggal dunia.

Apabila pulang dari huma, Mak Andeh terus bertanyakan kepada Pak Pandir tentang anak mereka.
"Dia sedang tidur selepas aku memandikannya tadi.." kata Pak Pandir.

Apakala dilihat oleh Mak Andeh, anaknya tidak bergerak-gerak dan tubuh badannya melecur di sana sini, tahulah Mak Andeh bahawa anaknya sudah meninggal dunia. Meraunglah Mak Andeh. Pak Pandir terpinga-pinga.
"Kenapa Andeh? Kenapa engkau menangis?"
"Anak kita sudah mati"
"Mati..??" tanya Pak Pandir seperti tidak percaya.
"Bagaimana badannya boleh melecur?" tanya Mak Andeh.
"Aku tak tahu. Aku cuma memandikannya sahaja" kata Pak Pandir.
"Dengan air apa..?"
"Air suam. Kata engkau air suam itu air yang mendidih"

Maka meraunglah Mak Andeh seakan menyesal berlakikan seorang yang pandir. Pak Pandir cuba memujuk. Makin dipujuk, makin kuat Mak Andeh menangis. Akhirnya Pak Pandir buntu. Tidak tahu akan silap sebenar dirinya.

"Anak kita sudah meninggal Pak Pandir. Sekarang pergilah Pak Pandir tanam mayat anak kita ini" kata Mak Andeh.

Tanpa banyak soal, Pak Pandir pun membungkus mayat anak mereka dalam gulungan tikar. Terus dicempungnya mayat anaknya itu untuk dikebumikan. Di pertengahan jalan, mayat anaknya itu telah melungsur jatuh dari gulungan tikar itu langsung terletak di tengah jalan. Pak Pandir terus berjalan sehingga ke pinggir hutan tanpa menyedari bahawa anaknya telah melurut jatuh dari gulungan. Di situ dia menggali lubang. Ditanamnya gulungan tikar kosong yang dibawanya itu.

Sewaktu pulang ke rumah, Pak Pandir terpandangkan mayat anaknya yang telah tercicir itu.
"Eh, eh... budak ini serupa macam anak aku..." kata Pak Pandir.

Bersambung

Tuesday, May 22, 2007

Dari Teks : Pak Pandir dan Mak Andeh



"Baba, Baba ceritalah pasal Pak Andeh" minta Siri Aufa setelah saya selesai bersolat dan bersiap-siap untuk masuk tidur.
"Cerita Pak Andeh..?" tanya saya pura-pura tidak faham. Sambil itu saya memicit-micit betis saya sebelum berbaring di sisinya.
"Ha'ah.. Pak Andeh yang mandikan anaknya sampai mati tu..!!" kata Siri Aufa lagi.
"Ooo.. yang itu bukan Pak Andeh. Itu Pak Pandir. Isterinya yang bernama Mak Andeh"
"Baba, ceritalah Baba.." rayu Siri Aufa.
"Ok.. Baba cerita" kata saya sambil mengusap-usap rambut yang menutupi wajahnya.


*************

Pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah kampung. Si suami bernama Pak Pandir dan si isteri pula bernama Mak Andeh. Mak Andeh seorang wanita kampung yang tersangat biasa keadaan tubuh badannya. Tidak cantik tetapi tidak pula buruk. Segalanya serba sederhana. Tetapi sayang. Mungkin jodoh Allah telah menetapkan Mak Andeh berkahwin dengan Pak Pandir. Pak Pandir ini adalah seorang lelaki yang tersangat bodoh lagi pandir. Kerana halnya itulah maka dia digelar Pak Pandir. Banyak hal menjadi kelam-kabut atas sebab kebodohannya itu.

Sungguhpun Pak Pandir itu tersangat bodoh namun Pak Pandir itu seorang yang lurus dan baik hati. Tidak pernah pula dia menyakiti hati dan berbuat aniaya ke atas orang lain. Kehidupan Pak Pandir dan Mak Andeh sangat bahagia. Cuma sahaja mereka itu tersangat miskin dan tidak dikurniakan anak pula.

Oleh kerana kemiskinan mereka itu, suatu hari Pak Pandir dan Mak Andeh bersepakat untuk menerun membuka tanah baru. Mudah-mudahan di tempat baru kelak, rezeki lebih menyebelahi mereka.

Suatu hari berangkatlah mereka suami isteri menuju ke Hulu Tanah Kuning membuka tanah berhampiran dengan Sungai Kerdas yang mengalir laju. Berhampiran dengan jeram itu mereka bersepakat membuka tanah mereka di situ. Mereka pun memulakan kerja. Yang mana patut ditebang, ditebang. Yang mana patut dipangkas, dipangkas. Sehingga akhirnya teranglah hutan sekeliling sedia untuk dibuat huma dan ditanam sayur labu.
"Andeh, aku teringin nak makan pisang" kata Pak Pandir.
"Yalah. Kalau begitu kita tanam pisang juga, ye!!" kata Mak Andeh.
"Kalau kita tanam pisang, esok boleh keluar buah pisang ke?" tanya Pak Pandir lagi.
"Eh, tentulah tak boleh. Kita tanam anak pisang. Selepas 4 purnama, barulah anak pisang itu mengeluarkan buah. Masa tu barulah Pak Pandir boleh makan pisang tu.."
"Ooohh... begitu"

Mereka pun menanam anak pisang bersebelahan dengan rumah yang mereka bina. Selepas sepurnama, kelihatan pokok pisang itu melangut naik tumbuh subur. Selepas 3 purnama pula, kelihatan jantung pisang mulai tumbuh keluar. Pak Pandir sangat gembira melihat tandan pisang mulai mekar. Dia tidak sabar-sabar ingin menikmati pisang hasil tuaiannya. Setelah tandan pisang itu besar dan pisangnya sudah cukup muda, Mak Andeh menebang pokok pisang itu sebelum meletakkan tandan pisang itu di atas para untuk diperam. Bimbang Mak Andeh sekiranya dibiarkan masak di pokok, pasti pisang itu habis dimakan burung dan juga musang.
"Andeh, dah boleh makan ke pisang tu?" tanya Pak Pandir.
"Belum. Pisang tu mesti diperam di atas para. Kalau Pak Pandir hendak makan pisang tu, Pak Pandir kenalah tunggu seminggu lagi.." jelas Mak Andeh. Pak Pandir merasa hampa.

Setelah beberapa hari, Pak Pandir mendapati pisang itu sudah mulai kuning. Pak Pandir semakin tidak sabar. Mak Andeh tiada di rumah. Dia ke huma. Tiada siapa di rumah untuk menegur Pak Pandir. Pak Pandir kemudian naik ke atas para langsung dimakannya pisang setandan itu satu persatu. Akhirnya habis pisang itu dimakannya sehingga setandan. Ketika itu perut Pak Pandir sudah seperti guni. Pak Pandir terlalu kekenyangan sehingga dia sukar untuk menggerakkan badannya. Gayanya pun seperti seekor ular sawa yang kekenyangan.

Mak Andeh pulang dari huma. Dilihatnya rumah sekeliling teramat sunyi. Tiada kelibat Pak Pandir yang kelihatan.
"Pak Pandir... oooo Pak Pandir" laung Mak Andeh.
"Uuuuuhhhh..." suara Pak Pandir menyahut sayup-sayup

Mak Andeh masuk ke rumah bersiap untuk memasak hidangan tengahari. Pak Pandir masih belum juga kelihatan. Di kebun agaknya!! fikir Mak Andeh. Sewaktu Mak Andeh melintas di tepi para tempat menyimpan pisang yang diperam, Mak Andeh terperanjat besar.
"Oh, tikus!! Mak kau tikus. Tikus besar. Tikus besar" kata Mak Andeh melatah.

"Janganlah terkejut Andeh. Ini akulah, Pak Pandir" kata Pak Pandir sambil tersenyum. Dia berbaring sambil mengiring mengadap Mak Andeh.
"Amboi, sedap betullah pisang ni Andeh. Dah habis setandan aku makan" kata Pak Pandir lagi. Mak Andeh hanya mampu melihat pisang yang sudah tinggal tandan dan kulit pisang yang berlonggok di atas para. Haram sebiji pisang pun ditinggalkan oleh Pak Pandir untuk Mak Andeh. Sampai hati, Pak Pandir!!.

Tidak beberapa purnama sesudah itu, datang ancaman binatang pemusnah merosakkan padi di huma Mak Andeh. Habis padi-padi Mak Andeh dimakan oleh babi-babi. Mak Andeh pada ketika itu sedang sarat mengandung. Padi di dalam kepuk tinggal sedikit sahaja lagi.

Akhirnya habis semua bekalan padi Mak Andeh. Mereka sudah tiada makanan lagi. Mahu tidak mahu mereka harus mencari makanan yang lain.
"Pak Pandir. Kita sudah tiada beras lagi. Mahukah Pak Pandir pergi mengail ikan? Sekurang-kurangnya, perut kita terisi juga malam ini" kata Mak Andeh.
"Mahu tu memanglah mahu. Tapi aku ni tak pandai mengail, Andeh" kata Pak Pandir.
"Tak apa. Nanti Mak Andeh ajar caranya. Mula-mula Pak Pandir kena buat pancing dulu.."
"Pancing? Pancing tu apa..?" tanya Pak Pandir.
"Pancing tu alat untuk menangkap ikan"
"Oooohhh..."

"Pancing tu dibuat dari kayu yang panjang. Pak Pandir cari kayu panjang dua depa. Pak Pandir ikat dengan tali. Di hujung tali tu, Pak Pandir letakkan mata pancing.."
"Mata Pancing tu serupa mata kitakah, Andeh?"
"Bukan.. Mata pancing tu besi tajam yang dibengkokkan. Kemudian diikat pada tali pancing.."

Pak Pandir mendengar cerita Mak Andeh dengan teliti.
"Selepas siap, barulah boleh dipancing ikan-ikannya. Oh ya, sebelum memancing itu Pak Pandir mestilah letak umpan dahulu.." kata Mak Andeh.
"Apa yang harus aku letak umpannya, Andeh?" tanya Pak Pandir.
"Umpan Belalang Rusa" kata Mak Andeh.

Rusa????

Pak Pandir tersilap dengar kata Mak Andeh. Pak Pandir masuk jauh ke dalam hutan. Tiba di bawah suatu rumpun buluh, Pak Pandir ternampak seekor rusa yang sedang tidur. Perlahan-lahan Pak Pandir menghampiri rusa itu sambil sedia dengan mata pancing sebesar jari telunjuk...

Bersambung

Monday, May 21, 2007

Hanya Catatan Biasa (Setelah lama tidak menulis)

Wahhhh.... hahahahaha.. lamanya saya tidak mengemaskinikan blog saya ini. Semenjak saya berceritakan tentang sambutan Hari Lahir anak-anak saya dahulu. Kini hampir dua minggu saya tidak bergelandangan di alam maya ini. Pelbagai perasaan datang menerpa-nerpa. Rindu, bersalah dan teruja untuk menitip beberapa baris ayat beradun bercampur buar.


Untuk sekian kalinya saya pulang ke kampung menjenguk anak-anak dan juga isteri. Saya menjangkakan setiap orang di kampung heboh dan merasa teruja untuk mengikut serta Perkahwinan Diraja Perak. Namun suasana yang kelihatan sirna di sebaliknya. Semua orang menjalani kehidupan yang biasa-biasa seolah-olah berita tentang pernikahan Raja Nazrin itu seperti sebuah kisah pari-pari yang hanya tersimpan di dalam buku yang diletakkan di atas almari.


Adil Rayyan semakin besar. Semakin lasak dan nakal. Dia gemar mengusik kakaknya. Mana yang menjadi kesukaan kakaknya, itulah yang direbutnya. Balik kampung kali ini saya melihat dia mendapat akal yang baru. Dia sudah pandai merajuk dan menghempaskan dirinya jika kehendaknya tidak dipenuhi. Kala menonton peti television pula, dia akan menghenjut-henjut punggungnya apabila terdengarkan alunan musik yang menarik minatnya. Perangainya itu persis perangai Andika sewaktu kecil dahulu. Barangkali inilah yang dikatakan genetik!!. Sikap dan perangai yang diwarisi tidak datang dari ibu atau bapa kandung. Sebaliknya mewarisi sikap ibu atau bapa saudara dari kedua-dua belah pihak.


"Baba... Kak Long teringin nak mandi laut" kata Siri Aufa pada suatu hari di dalam perbualan telefon baru-baru ini. Saya sekadar mengiyakan sahaja. Buat masa ini perkara bersantai di tepian pantai masih belum muncul dalam ingatan.


Walau bagaimanapun, permintaan daripada ibu mertua saya pada hari minggu yang lalu agar dibawakan bapa mertua saya ke tepi pantai, merubah jadual minggu saya. Bapa mertua menderita serangan Angin Ahmar peringkat sederhana. Menurut kata orang tua-tua, pasir di pantai sangat mujarab mengubati sakit Angin Ahmar.


Pantai Telok Batik tengahari itu kelihatan lengang. Tidak seperti kebiasaan hari-hari saya mengunjungi sebelum itu. Pengunjung yang datang boleh dikira dengan jari. Adakah sekelian manusia di negeri itu beramai-ramai ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar melihat Raja Nazrin berijabkabul?. Saya tidak pasti. Yang nyatanya hari itu, tiada tarikan yang sering menarik pengunjung untuk datang lagi ke pantai itu. Tiada ombak besar berlari menerpa pantai. Tiada angin dingin berhembus meniup pepohonan. Tiada sinar mentari yang memancar garang. Yang ada cuma ombak kecil yang langsung tidak menakutkan pengunjung hatta anak sekecil Adil Rayyan pun. Yang ada hanya beberapa ekor helang laut melayah di angkasa mencari makan.

"Baba, marilah tolong Kak Long buat Istana Barbie..." panggil Siri Aufa dalam baju yang basah kuyup selepas berendam, bermain dengan pasir. Sedang saya ketika itu berada 30 meter ke tengah laut. Itu pun masih sekadar paras pinggang saya sahaja.


Membawa orang sakit Angin Ahmar masuk ke dalam kereta memang suatu perkara yang sangat mencabar. Ini kerana keadaan fizikal bapa mertua saya yang langsung tidak boleh melangkah. Terpaksa dipapah. Sedang kerusi roda langsung tidak boleh memasuki kawasan pantai yang berpasir. Rodanya pasti sahaja akan terbenam.


Malamnya saya pulang sendirian ke Rawang. Hujan renyai-renyai mengiring perjalanan saya. Masih terbayang-bayang di mata saya, Siri Aufa tidur sambil memeluk adiknya. Alangkah bagusnya kalau saya sentiasa dapat bersama mereka. Perjalanan yang jauh itu diisi dengan ingatan terhadap peluang kerja di Terengganu yang masih sayup untuk digapai. Juga tentang pinjaman pelajaran yang ditolak permohonan. Hmmm.. entahlah. Yang pasti saya tidak akan mengalah untuk terus mencuba.


Masuk kerja di awal pagi sudah dijerkah oleh Boss yang inginkan itu dan ini. Keadaan menjadi tidak teratur lagi. Akhirnya di dalam keadaan yang serba kelam kabut itu, saya terpotongkan jari saya dengan pisau pemotong kertas yang tajam. Menitis darah jatuh menimpa permaidani di pejabat. Setelah ditampal dengan plaster, pendarahan terhenti. Syukur. Namun hati saya masih lagi sebal. Ingin terbang jauh. Jauh dari segala kebosanan.




Indera : Lama tidak menulis membikin daya kreativiti seakan tepu. Maafkan jika entri ini seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Sudah lama saya tidak menulis tentang hikayat dan juga cerita rakyat. Saya masih mencari-cari cerita rakyat yang sesuai untuk dikongsikan di blog ini.

Tuesday, May 08, 2007

Selamat Hari Jadi (Buat Buah Hati Pengarang Jantung Baba)




Hahahahaha... Selamat Hari Lahir, sayang-sayang Baba. Moga cepat besar, ya nak ya!! Untuk Siri Aufa yang telah berusia 4 tahun dan Adil Rayyan yang selamat menyambut hari lahir yang pertama.

Siri Aufa lahir pada 7.5.2003. Dia lahir pada jam 8.15 pagi setelah Azah menjalani pembedahan Caesarean kerana kedudukan Siri Aufa yang berada di dalam keadaan songsang di dalam rahim. Oleh yang demikian, kaedah bersalin secara normal tidak dapat dilakukan kerana akan membahayakan nyawa bayi dan ibu. Azah kemudiannya diusung ke dewan pembedahan sebaik sahaja selesai solat subuh. Tepat jam 8.15 pagi itu, Siri Aufa selamat dilahirkan ke dunia. Tidak tergambar bagaimana besarnya hati saya menerima anugerah Allah yang tidak ternilai harganya itu. Saya asalnya ingin menamakannya dengan nama Azizah Khairiah Arbain. Namun banyak pihak membantah dengan mengatakan nama tersebut seperti nama lama (nama orang dulu-dulu). Atas nasihat Mak, namanya saya ubah kepada Siri Aufa sempena nama murid kesayangan Mak. Hmmm... nama itu boleh tahan juga!!.

Sewaktu Siri Aufa di dalam kandungan, saya dan Azah menyangkakan bahawa bayi tersebut adalah lelaki. Sebaliknya yang keluar adalah perempuan. Manakala sewaktu mengandungkan Adil Rayyan pula, kami menyangkakan kandungan Azah itu perempuan. Namun yang keluar adalah lelaki. Begitulah kurniaan Allah. Kami bersyukur menerimanya. Adil Rayyan dilahirkan pada 3.5.2006. Empat hari sebelum Siri Aufa menyambut hari lahirnya yang ke-3. Adil Rayyan dilahirkan pada jam 11.30 malam setelah hampir 9 jam Azah dimasukkan ke wad bersalin. Wajahnya sebaik sahaja dilahirkan, persis wajah Siri Aufa. Saya namakannya Adil Rayyan. Sempena nama Imam Besar Masjid di Jeddah.

Tahun ini buat pertama kalinya Adil Rayyan menyambut hari lahirnya. Jatuhnya pada hari Khamis yang lepas. Sepanjang hari menurut Azah, Adil Rayyan mengamuk dan meragam tanpa dapat dipastikan sebab musababnya. Mungkin dia meragam kerana hari penting itu tanpa ayahnya di sisi barangkali. Hari lahir Siri Aufa pula jatuh pada semalam. Juga tanpa saya di sisinya.

Saya dan Azah sepakat mengadakan jamuan kecil sempena menyambut hari lahir Siri Aufa dan Adil Rayyan di sekolah tempat Azah mengajar. Kebetulan pada 5.5.2007 itu adalah hari di pertengahan tarikh kelahiran mereka berdua. Di sekolah tempat Azah mengajar pula, ada kelas tambahan bagi murid-murid Tahun 6. Dengan berbekalkan sebiji kek bersaiz sederhana, sedikit snek, gula-gula, kekacang dan buah-buahan, sambutan hari lahir Siri Aufa dan Adil Rayyan berlangsung dalam suasana yang sederhana tetapi meriah.
"Umi, Kak Long nak nyanyi dan tiup lilin macam orang dalam TV tu.." pinta Siri Aufa.

Atas permintaan Azah, murid-muridnya menyanyikan lagu harijadi untuk Siri Aufa dan Adil Rayyan. Sekadar tujuan untuk suka-suka.
Happy Birthday to you
Happy Birthday to you
Happy Birthday to Adil and Siri
Happy Birthday to you...

Yeayyyy....!!! Budak-budak itu semua bersorak riang.
"Uuuukkhhhh... Nak ber*k!!" kata Siri Aufa sebaik sahaja budak-budak itu selesai menyanyi. Bikin malu.
Hahahahahahahahaha......
(Haiii.. anak aku tidak boleh dibawa ke majlis!!)

Rata-rata murid di sekolah tempat Azah mengajar datang dari keluarga yang susah dan ibubapa mereka ramai terdiri daripada mereka yang menyertai Program PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin). Sudah tentulah hal sambutan memotong kek harijadi ini sesuatu yang asing bagi mereka.
"Banyak makanan ni, kenapa tak makan?" tanya Azah pada Firdaus.
"Tak apalah cikgu. Saya simpan untuk adik saya"

Azah memandang saya. Saya hanya mengangguk.
"Tak apalah. Yang tu biar simpan untuk adik. Sekarang makan yang ini" kata Azah sambil menghulurkan sepinggan juadah berisi kek, gula-gula dan kacang untuk Firdaus. Firdaus tersenyum.

Siri Aufa suka betul hari itu. Maklum sahaja, dia kini sudah 4 tahun. Sudah memahami keriaan sebuah sambutan hari jadi.

Sepanjang pulang ke rumah selepas jamuan itu, Siri Aufa berkempen untuk pergi ke Jom Heboh yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh selepas mendengar budak perempuan yang tinggal di sebelah rumah Opahnya kecoh bercakap tentang Jom Heboh. Saya pusing kepala.

Hanya sambutan yang kecil. Tiada hadiah. Yang ada hanyalah ciuman tanda kasih dari Baba.

Friday, May 04, 2007

Mak Yong Halimah

Saya ingat-ingat lupa tentang hari itu. Manakan tidaknya, saya ketika itu baru sahaja berusia 5 tahun. Segala bayangan tentang peristiwa itu seakan mimpi sahaja. Mak membawa saya ke kedai Pak Yeop Rahim untuk melihat keadaan Din yang disambar api pada bahagian kepalanya. Lalu habislah melecur sebahagian dari dahi dan kepalanya. Sewaktu saya dan Mak tiba di kedai Pak Yeop Rahim itu, saya lihat bahagian yang disambar api itu telah dipupuk dengan ubat sapu berwarna putih. Airmatanya pula masih berbekas di pipi. Din ketika itu, saya lihat sedang duduk di tangga kedai (Pak Yeop Rahim sekeluarga sewaktu itu memang berumahtangga di kedai itu) sambil memandang sayu ke arah saya dan Mak yang baru tiba. Mak Yong Halimah, ibunya pula sedang menyusukan Rahimah yang baru berusia 8 bulan.

Saya mendekati Din sambil mengunjukkan kepadanya gula-gula Treabors yang sempat saya minta Mak belikan sebelum tiba ke kedai Pak Yeop Rahim. Din menyambutnya. Dia kemudian tersenyum dan mengajak saya ke kolah yang berisi air yang terletak di belakang kedai bermain dengan kapal kertas. Kapal kertas itu teroleng-oleng ditolak riak yang kami ciptakan sebelum ianya tenggelam ke dasar kolam apabila kertas itu melembab dan dimasuki air.

Begitulah bermula persahabatan kami. Persaudaraan dan pertalian dua pupu antara kami lebih membuatkan ikatan kami bertambah mesra.

Kami membesar bersama-sama. Parut bekas disambar api di atas kepalanya masih kekal ke hari ini. Tiada sebarang rambut yang tumbuh di atasnya. Sengaja Din membiarkan rambutnya panjang sebahagian bagi tujuan menutupi bahagian terbakar itu, namun setiapkali ditiup angin, bekas terbakar itu tetap sirna.

Saya sangat akrab dengan keluarga Pak Yeop. Masih saya teringat di suatu pagi. Sewaktu itu saya berada di darjah 3. Hari itu Hari Jumaat. Saya memakai baju melayu berwarna putih sepasang dengan sampin berwarna biru gelap. Di pertengahan jalan, saya singgah di rumah Din (tahun itu rumah Pak Yeop sudah siap dan mereka tidak tinggal di kedai lagi) untuk bersama-sama dengannya ke sekolah. Kedatangan saya pagi itu terlalu awal. Din masih lagi bersiap.
"Amboi, cantiknya anak saudara Mak Yong. Pakai baju melayu putih. Dah macam bangau" tegur Mak Yong Halimah. Saya sekadar tersenyum menahan malu. Seketika Din muncul dengan seragam sekolah. Berbaju kemeja lengan pendek putih dan seluar pendek berwarna biru gelap. Dia tidak berbaju melayu seperti saya. Itu tidak penting.

Seringkali juga saya bermalam di rumah Din dengan keizinan dari Mak. Rumah Pak Yeop itu seakan seperti rumah saya juga. Pak Yeop itu ibarat bapa saya dan Mak Yong Halimah itu sudah macam ibu kandung saya. Mak Yong Halimah sangat garang dan tegas dalam mendidik anak-anaknya. Kerana Mak Yong mahu anak-anaknya teliti dalam membuat segala pekerjaan.

Saya dan Din membesar bersama. Juga kami berkongsi sikap dan perangai. Iaitu keinginan yang kuat dan cepat naik darah. Namun oleh kerana kami sudah akrab sejak kecil lagi, kami boleh bertolak ansur. Din tidak pernah malu dengan parut besar di tengah kepalanya walaupun ramai rakan-rakan kami menggelarnya Professor (tanggapan professor sering berkepala botak akibat terlalu kuat belajar).

Di dalam entri saya yang bertajuk Ke Puncak Cita, saya pernah menyatakan tentang Din memberontak dan tunjuk perasaan apabila cita-cita melanjutkan pelajaran ke menara gading terhalang akibat tersalah mengisi borang. Ketika itu Mak Yong Halimah makan hati dengan sikap Din. Namun itu semua sedikit pun tidak mengurangkan kasih sayang Mak Yong Halimah pada Din. Din tetap kesayangannya.

Saya juga terkenangkan suatu hari, saya bertandang ke rumah Din. Dengarnya seperti ada suara kecoh di dalam rumah. Terdengar Mak Yong Halimah berleter memarahi Din.
"Kamu ni Din, aku ingat lepas kamu kahwin, kamu dah buangkan sikap panas baran kamu tu. Ini tidak. Langsung tak berubah-ubah. Makin teruk!!"

Mendengarkan itu, saya membatalkan hasrat saya untuk memberi salam dan masuk ke rumah. Terus saya menghidupkan enjin motor dan pulang ke rumah Mak. Bimbang kehadiran saya akan mengeruhkan lagi suasana.

Din kemudiannya merajuk. Enggan pulang-pulang ke kampung. Setiapkali saya bertanya tentang Din pada Pak Yeop Rahim dan Mak Yong Halimah, terasa seolah-olah pertanyaan saya itu seperti menabur garam ke luka mereka.
"Siapa kamu ni?" tanya Mak Yong Halimah.
"Saya Indera, Mak Yong. Takkan Mak Yong tak kenal saya. Mak Yong bergurau dengan saya, ye??"
"La, kamu Indera. Mak Yong tak nampak. Mata Mak Yong macam dah berselaput. Inilah kesan penyakit kencing manis" kata Mak Yong.

"Indera. Bila kamu sampai?" suara Pak Yeop menghentikan perbualan kami berdua.
"Baru semalam Pak Yeop. Pak Yeop sihat?" tanya saya.
"Sihat. Alhamdulillah" jawabnya riang.

"Din tak balik ke Pak Yeop? Mak Yong?"
Pertanyaan saya bagaikan menyentak keriangan Pak Yeop. Dia segera berpaling untuk melindungi hati sedihnya.
"Anak aku yang sorang tu dah lupa jalan balik!!" kata Pak Yeop.
Mak Yong seakan termenung jauh. Setitis airmatanya jatuh ke ribaan.

Saya kira Din sudah melupakan persaudaraan kami. Tetapi mungkin benar juga apabila dia beralasan sewaktu kami berbual di dalam telefon.
"Engkau tahu sahajalah Indera. Isteri aku bekerja tidak tentu masa. Kala aku cuti, dia terpaksa bertugas. Kala dia cuti, aku pula bertugas. Bukan aku tak rindukan Mak dan Apak aku. Aku rindu. Tapi aku sukar mendapat cuti. Anak aku pula, setapak aku melangkah, nak ikut. Tak dibenarkan pula, menangis sampai keras-keras badan".
Saya menghela nafas panjang.
"Entahlah Din. Aku faham masalah kamu. Tetapi Mak dan Apak kamu pula beranggapan lain. Mereka sangka kamu dah tak pedulikan mereka lagi..."

Saya percaya Din sangat sayangkan kedua-dua orang tuanya. Cuma ada kesulitan dalam dirinya membuatkan Din tidak dapat mengunjungi ibubapanya selalu. Namun Mak Yong tentu faham. Sebagaimana fahamnya dia sewaktu Din memberontak 15 tahun yang lalu.

Hari Selasa yang lalu. Hari Selasa yang lalu, Mak Yong Halimah pulang ke rahmatullah setelah koma selama 2 hari. Mengidapi pelbagai jenis penyakit. Kencing Manis, Darah Tinggi, Paru-paru berair dan ghout yang mengakhiri penderitaan fizikalnya selama ini. Namun saya percaya, Mak Yong tentu puas hati kerana anak-anak Mak Yong sudah berjaya. Semuanya ada di sisi Mak Yong di saat Mak Yong menghembuskan nafasnya yang terakhir.

(Maafkan saya Mak Yong, kerana saya tidak hadir ke rumah Mak Yong bagi memberikan penghormatan saya yang terakhir buat Mak Yong. Saya sekadar mampu mensedekahkan Al-Fatihah buat Mak Yong).

(Din, aku ingin hadir. Tetapi aku sedar bahawa aku tidak mampu hadir. Mak kamu sudah seperti mak aku sendiri. Aku tahu jika aku hadir, aku akan menitiskan airmata. Aku tidak suka menitiskan airmata aku di hadapan orang ramai. Maafkan aku).

Mak berleter apabila saya tidak hadir ke rumah Pak Yeop. Saya sekadar mendengar leteran Mak sambil menahan sebak di dada. (Mak Yong faham Indera, kan Mak Yong?)

Malam selepas pengkebumian Mak Yong, saya lihat banyak kunang-kunang. Terbang bebas di malam yang gelap.


Indera : Din, jangan ambil hati dengan entri ini. Tiada niat aku ingin memburukmu. Engkau tetap saudara aku. Aku tahu apa yang tersirat di hatimu. Bukankah kita bersaudara?

Wednesday, April 25, 2007

Mekar Di hati

(Bunga yang paling saya suka - Nymphaea alba / Water lily)
Sewaktu melawat ke laman Bro BP, saya melihat kecenderungannya sejak akhir-akhir mengkisahkan hal ehwal pokok-pokok yang menjadi teman hidupnya selain daripada dewi pujaan hatinya sendiri iaitu Sastri. Saya sangat terhibur membaca catatannya terutama nama-nama saintifik bagi pokok-pokok yang diperkatakan. Lantas ianya mengimbau kenang-kenangan lama saya sewaktu berkecimpung di dalam bidang lanskap dan hiasan taman ini.


Permulaan perjalanan karier saya sepatutnya bermula di syarikat perbankan. Namun nasib tidak menyebelahi saya. Saya ditakdirkan terjun ke dalam bidang pembinaan dan juga bidang lanskap. Antara tugasan pertama saya yang diberikan oleh Abang Ngah (ketika itu dia boss saya) adalah membuat pengkalan data untuk pokok-pokok teduhan, pokok-pokok renik dan juga tumbuhan tutup bumi. Tiada nama yang sering digunakan oleh orang kita seperti Pokok Bunga Raya melainkan ianya disebut sebagai Hibiscus tricolor, Cocos nucifera (Pokok Kelapa. Haiiiiyaaa... apa perlu susah-susah menyebut Cocos nucifera. Sebut sahaja kelapa. Bukankah lebih senang?), Lamsium domesticum (Langsat) dan lain-lain perkataan yang sangat memeningkan kepala.


Pada peringkat awalnya memang sangat mencabar. Maklum sahaja di peringkat universiti saya sudah terlalu terdedah dengan Future Value (FV), Present Value (PV), Internal Rate of Return (IRR), Capital Assets Pricing Model (CAPM) dan lain-lain istilah kewangan korporat yang menyakitkan kepala. Akhirnya saya terjebak juga dengan satu dunia yang warganya bertutur dalam bahasa alien. Aduhhhh... memang menggelikan hati apabila mendengar warga lanskap ini bertutur dan memperkatakan tentang Bauhinia purpurea, Kaempferia galanga dan Musa paradasiaca. Apabila ditanya lanjut apakah yang diperkatakan oleh mereka, mereka menjawab Bauhinia purpurea itu adalah Pokok Tapak Unta, Kaempferia galanga pula adalah lengkuas dan manakala Musa paradasiaca adalah Pokok Pisang.


Haaiiii... begitulah susahnya hidup di dalam dunia itu. Tetapi bagi mereka yang memang sepatutnya berada di situ, itulah cara kehidupan mereka dan mereka sangat bahagia. Saya pasti bahawa Bro BP mempersetujui apa yang saya katakan ini.


Saya terkenangkan sewaktu saya belajar mengenali pokok-pokok beserta nama saintifik ini. Saya belajar melalui kaedah yang sangat perit. Caranya ialah, Abang Ngah akan membawa saya memandu daripada Shah Alam ke Sungai Buloh. Tujuan kami ke Sungai Buloh itu adalah untuk mendapatkan pokok-pokok seperti mana yang dipesan oleh pelanggan. Sepanjang perjalanan ke Sungai Buloh itu, dia akan menunjukkan kepada saya nama pokok beserta dengan nama saintifiknya sekali. Sepanjang setengah jam perjalanan daripada Shah Alam ke Sungai Buloh, dia akan mengarahkan saya agar mengingati nama-nama pokok yang banyak terdapat di sepanjang jalan tersebut tanpa membuat catatan. Setelah urusan di Sungai Buloh tamat, di dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, dia akan meminta saya mengulangi apa yang telah diperkatakannya tanpa membuat sebarang kesilapan. Andainya saya tersilap menyebut nama saintifik bagi pokok yang perkatakan, dia akan membebel berterusan sehinggalah kami sampai semula ke pejabat.
"Macam mana kamu nak berjaya dalam bidang ni Indera, kalau benda kecil macam ni pun kamu tak boleh nak ingat. Berapa kali aku nak cakap pada kamu...." dia akan membebel dan terus membebel.


Namun saya pasti bahawa melalui kaedah didikan itu sebenarnya sangat berkesan. Dalam tempoh 6 bulan saya berjaya mengingati hampir 100 nama pokok dengan perincian yang terdapat padanya. Bentuk pokok, warna bunga, bau dan ketinggian yang sebenarnya diperincikan dengan lebih mendalam melalui nama saintifik yang diberikan. Contohnya Heliconia (Heliconia adalah antara pokok bunga kegemaran saya). Heliconia latispatha berlainan bentuk bunganya dengan Heliconia Rostrata walaupun mereka dalam satu keluarga. Heliconia latispatha mempunyai bunga berbentuk sepit ketam dan berwarna seakan oren kemerahan manakala Heliconia Rostrata mempunyai bunga berbentuk bulat berkelopak mirip bunga ros.


Melalui kaedah itu juga saya masih mengingati sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan tersebut walaupun telah bertahun-tahun saya tidak membelai pokok-pokok dan bidang lanskap ini saya tinggalkan dalam lipatan sejarah saya. Kadang-kadang menyebut tentang nama saintifik ini akan meninggalkan luka dalam hati saya. Jadi kerana itu, ingatan terhadap bidang lanskap ini, pernah saya campakkan jauh-jauh dari hidup saya.


Namun tumbuhan tetap tumbuhan. Andainya kita membencinya, kita mencantasnya. Namun tunasnya tetap tumbuh jua melainkan jika kita mencabut dari akar umbinya. Saya sedar bahawa ilmu yang pernah bertamu dalam hati saya itu adalah "jiwa" tumbuhan itu sendiri. Apabila saya meninggalkannya, sama seperti saya mencantasnya dari ingatan saya. Namun "jiwa" itu sebenarnya tidak pernah mati. Ianya bertunas tetapi tidak cukup "cahaya dan baja" untuk ianya kembang mekar. Kerana akarnya sudah menusuk jauh ke dalam sanubari saya dan menunggu masa untuk tumbuh merendang dan menjulang tinggi.

Monday, April 23, 2007

Bapa Mertuaku

Kali pertama saya bertemu dengannya, satu persoalan meluncur keluar dari mulutnya.
"Kerja apa?" (Sila rujuk entri saya yang bertajuk Perjalanan Mencari Bidadari Hati)

Saya pada ketika itu langsung tidak berniat untuk mendirikan rumahtangga dengan anaknya, lantas itu saya bohongi orang tua itu dengan berkata, "Saya tak bekerja. Saya masih belajar lagi". Harapan saya di saat itu, agar orang tua itu akan beranggapan bahawa saya seorang yang tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara kehidupan anak perempuannya di hari muka. Namun saya tersalah perhitungan apabila dia tetap memilih saya menjadi menantunya.

Saya hairan. Apakah yang ada pada diri saya sehingga dia berkeras juga untuk memilih saya, saya sendiri tidak tahu. Tetapi itulah dia lelaki yang kini menjadi bapa mertua saya!!.

Dia berusia dalam lingkungan 80 tahun. Dibesarkan dalam suasana desa dan mempunyai hanya seorang saudara perempuan. Setelah dia meniti usia dewasanya, kakaknya itu dijemput Allah. Oleh kerana kakaknya itu berkahwin sebanyak 3 kali, bapa mertua saya ini dikurniakan dengan anak buah yang ramai manakala dia sendiri pula lambat memperolehi cahayamata. Oleh yang demikian, kebanyakan keponakannya dibesarkan di dalam tangan beliau sendiri setelah kematian kakaknya.

Sebagaimana yang diberitahu oleh Azah, ayahnya itu dibesarkan dalam didikan agama yang kuat. Jadi tidak hairanlah mengapa bapa mertua saya itu seorang yang pandai membaca Al-Quran beserta dengan tajwidnya sekali. Di usia remajanya, dia sudah pandai mencari pendapatannya sendiri. Dengan modal kecil-kecilan, beliau menjadi peraih ayam kampung yang bertindak sebagai pembekal kepada peniaga-peniaga ayam di bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah. Dengan berkat kesabaran dan kesungguhannya, dia berjaya mengumpulkan wang simpanan berjumlah puluhan ribu Ringgit. Suatu yang cukup besar bagi orang-orang kampung saya di zaman 70-an dahulu.

Kiranya hidup Azah sewaktu usia kecilnya dilimpahi dengan kemewahan.Namun segalanya itu tidak berpanjangan apabila suatu hari dalam tahun 1980, bapa mertua saya terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Akibat daripada kemalangan itu, kepalanya terhempas ke aspal dan beliau koma selama 3 bulan. Sebaik sahaja dia sedar daripada koma itu, hidupnya tidak seperti asal lagi. Dia seolah-olah hilang dalam dirinya sendiri. Hilang ingatan. Terpaksalah ibu mertua saya mengeluarkan wang simpanan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya habis bagi menampung kos rawatan serta sara hidup mereka anak beranak setelah mereka itu kehilangan punca pendapatan.

Bapa mertua saya saban tahun saban menunjukkan tanda-tanda sembuh. Dia akhirnya sudah boleh makan sendiri, menguruskan dirinya sendiri dan juga sudah boleh berbicara. Namun buah bunyi pertuturannya tersangat telo sehingga menyukarkan orang untuk memahami percakapannya termasuklah saya. Sehinggakan biras saya yang berasal dari Terengganu itu, pernah merungut pada kakak ipar saya apabila dia tidak memahami buah butir percakapan bapa mertua saya. Bagi saya pula, oleh kerana kami berasal dari tempat yang sama dengan loghat pertuturan yang sama, maka apa yang ingin beliau sampaikan, dapat saya fahami.

Antara saya dengan beliau.... hmmm.. hubungan kami saya rasakan agak rumit sedikit. Dia sering mengajak saya berbicara tentang perkara yang tidak tentu duduk perkaranya. Contohnya, dia berulang-ulang kali bertanyakan kenapa Negara Amerika berhasrat menyerang Iran. Satu persoalan yang besar. Sekiranya saya menerangkannya secara ilmiah, dia gagal memahami apa yang saya cuba sampaikan. Untuk menjawab berbasi-basa pula, bertambahlah dia tidak faham duduk perkara isu itu. Jadinya, saya lebih banyak berdiam diri walaupun ditanya olehnya dan berlagak seperti saya tidak mendengar soalannya. Tampak dia kecewa dengan perbuatan saya itu.

Kesan daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu, bapa mertua saya sering sahaja sakit kepala yang bersangatan. Selalu dia menceritakan kepada saya, apabila terjadi perkara itu, dia akan hilang ingatan buat sementara. Pernah orang kampung melihat beliau berbasikal ke masjid dalam jam 2.00 pagi. Jika sakit kepalanya menyerang di waktu siang pula, habis sekelian orang di dalam rumah itu diamuknya. Azah seringkali menitiskan airmatanya akibat perbuatan bapanya itu.

Bagi saya itu tidak mengapa lagi. Perkara yang sering membuat saya naik darah ialah kedegilannya. Tersangat degil. Terlalu degil. Dilarang dia berbasikal ke Pekan Bota yang jaraknya 10km daripada kampung itu kerana khuatir kakinya akan naik bengkak dan gout, langsung tidak dipedulinya ingatan saya. Tetap juga dia berbasikal. Esoknya, kerana kedegilan itu, kakinya naik membengkak sehingga terpaksa diusung ke klinik. Siapa lagi yang akan mengusungnya jika bukan Azah, ibu mertua saya ataupun saya sendiri jika saya lembut hati pada ketika itu. Selalunya saya enggan mengambil tahu apa-apa tentang bapa mertua saya itu kerana saya sakit hati dengan kedegilannya.

Pada saya, memang bapa mertua saya itu seorang tua yang degil dan keras kepala. Penyakitnya yang pelbagai seperti Gout, kencing manis, buah pinggang, paru-paru berair dan lemah jantung menjadikan dia seorang yang sukar untuk dijaga. Selebihnya pula, dia akan melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa memikirkan perbuatannya itu bakal mengundang mudarat. Seolah-olah dia ingin membuktikan kepada saya bahawa dia sebenarnya masih bertenaga untuk melakukan semua kerja berat.

Suatu hari saya melihat di tangannya tergenggam sebilah tajak.
"Apak nak buat apa dengan tajak tu?" tanya saya.
"Aku nak buang daun pisang yang dah tua tu.."
"Nak buat apa dibuang daun pisang tu. Biarkan sahaja dia jatuh sendiri, Apak. Masuk. Apak tu tak lalu. Nanti sakit, keme juga yang susah.." saya cuba mengingatkan orang tua itu.
"Ishhh... lantaklah" katanya sebelum menonong bersusup-sasap di dalam kebun pisang di belakang rumah itu.

Saya masuk ke dalam rumah dan terus menonton television.
"Orang tua. Tak makan dek nasihat. Itu nanti mestilah bengkak kaki tu nanti. Tengoklah esok" hati saya merungut-rungut.

"Apaaakkkk!! Kenapa dibuang daun tu. Keme tanam Daun Chenehum (Kesum) di bawah tu. Nanti diserkup dek daun pisang tu, matilah Daun Chenehum tu!!!" jerit Azah dari dalam rumah. Namun sedikit pun tidak diperdulikannya. Dia asyik dengan kerjanya. Seolah-olah dia ingin menunjukkan kepada saya, bahawa di usia lanjutnya itu dia masih gagah melakukan kerja berat.

Keesokannya, kakinya naik bengkak sehingga dia tidak mampu untuk berjalan. Terpaksa Azah dan ibu mertua saya memapahnya ke kereta. Saya enggan masuk campur. Menyentuh beliau pun saya enggan. Marah benar saya!! Bukan saya tidak mengingatinya semalam. Memang dasar orang tua degil. Menyusahkan orang. Di klinik, bapa mertua saya itu dikenakan satu suntikan untuk mengurangkan bengkak kakinya selain daripada kos ubatan yang bernilai hampir RM40.00. Geram saya.

Hari Sabtu yang lalu, dia sekali lagi dibawa ke hospital setelah kaki, tangan dan perutnya mengalami kebengkakan. Tiba di hospital, dia ditahan setelah doktor mendapati jantungnya tersangat lemah berdenyut. Adik ipar dan juga ibu mertua saya mengiringi ke hospital. Saya lebih selesa tinggal di rumah mengulit anak-anak saya.

Di hospital itu, bapa mertua saya terbaring sambil pernafasannya disokong oleh topeng gas.
"Azah, Indera mana?" tanya bapa mertua saya.
"Dia ada di rumah, Apak" kata Azah.
"Langsung dia tak mahu menjenguk aku, ye!!" katanya sambil menangis.
Azah hanya menitiskan airmata.

Azah pulang sambil menangis. Risau tentang keadaan bapanya. Saya hanya berdiam apabila Azah bercerita tentang hal bapa mertua saya. Saya masuk ke bilik. Berteleku keseorangan. Saya tersenyum. Semua tidak tahu. Ya, semua tidak tahu bahawa antara saya dengan bapa mertua saya itu terdapat satu benang halus yang menghubungkan kami berdua. Sekalipun antara kami jarang berbicara, namun dialah satu-satu bapa mertua saya. Saya masih menghormatinya. Menyayanginya. Juga saya kagum dengan ketabahannya mengharungi kehidupan dengan segala macam kegetiran yang dihadapinya.

Saya terkenangkan pada suatu hari, saya menemaninya melihat tanah sawah miliknya yang diusahakan oleh seorang pemuda kampung.
"Inilah dia tanah hasil titik peluh Apak. Bukan mudah untuk Apak mendapatkannya. Tanah ini mesti dipertahankan walau apa jua keadaan pun..!!"

Saya melihat matanya bercahaya memandang sawah padi yang terbentang luas. Cuma saya memandangnya pada ketika itu dengan pandangan yang berteka teki. Biarlah dia menceritakan apa jua harta yang dimilikinya. Bukan harta aku!! fikir saya. Dan saya tidak mahu tahu pun. Harta ibu ayah saya sekalipun saya enggan mengambil tahu, inikan pula harta mertua. Cuma saya kagum dengan kesungguhannya. Kecintaannya terhadap warisannya yang mesti dipertahankan ke generasi yang akan datang.

"Datang juga kamu, ye!!. Apak fikir kamu tak sudi nak tengok Apak!!" katanya sewaktu saya melihatnya petang semalam.
"Apa Apak cakap macam tu? Dah tentu saya akan datang melihat Apak" kata saya cuba melawak. Cuba meredakan suasana supaya keadaan itu tidak terlalu menyedihkan bagi saya.
"Dah, Apak berehat. Jangan banyak bercakap dan bergerak!!" arah saya seperti seorang Jeneral.

Bapa mertua saya tidak berkata apa. Dia berehat seperti yang saya sarankan. Benar, antara kami tiada perbualan mesra. Tiada gurauan tepuk dan tampar. Namun saya tahu, jauh di sudut hati bapa mertua saya, dia memahami bahawa saya sangat menyayanginya. Cuma kami tidak pandai menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain.
"Haiii... risau Zah tengok keadaan Apak tu.." keluh Azah semalam.
"Kenapa perlu risau. Apak tu sudah melalui saat lebih getir lagi daripada tu. Sudah tentu dia mampu melalui saat-saat ini.

Ya, saya bercakap seperti saya yakin. Benar, saya menyakininya. Kerana ikatan antara saya dan bapa mertua saya telah terjalin terlalu erat. Saya memahaminya dan dia memahami saya. Dia pasti mampu menghadapi kesakitan ini dan akhirnya akan sembuh semula. Saya menanti kepulangannya.