Wednesday, August 30, 2006

Tarikh Keramat

Hari itu datang lagi. Menyapa kita saban tahun. Menduga kita apakah kita benar-benar menghayati erti dan semangatnya. Semangat yang membentuk jati diri juga semangat yang menjadikan kita berbeza dengan bangsa-bangsa lain di maya pada ini.
Kata orang, sekiranya kita punya suatu perkara atau benda yang kita miliki hasil dari susah payah kita, kita akan berusaha mempertahankannya kerana kita amat menghargainya dan kehilangannya pula akan kita tangisi berabad lamanya. Tetapi sejauh manakah kita menghargai kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah? Bagaimanakah cara kita menghargainya? Adakah dengan sambutan yang berselang-selikan konsert serta lumba haram lewat aspal-aspal di kotaraya, atau dengan parti beer di dalam pelukan dan gomolan si jelita?
Kemerdekaan negara melalui satu perjalanan yang panjang dan berliku-liku. Di setiap liku dan laluan itu pasti harus dibayar dengan darah dan air mata. Selama 446 tahun tanah bertuah ini dijajah, diinjak-injak oleh kaki keparat, dirampas dan direnggut pergi hasil bumi dan tinta sasteranya, dan selama itu juga pasti ada nyawa yang gugur di permedanan demi hasrat membebaskan tanahair, supaya generasi yang akan lahir dapat menghirup udara kemerdekaan atas tanahnya sendiri.
Di dalam meneliti susur galur kemerdekaan ini, pasti tetap terpandang palitan hitam yang memalukan. Tentang mereka yang berpayung di langit kita, tega menjadi barua mengkhianati perjuangan anak bangsa. Perbuatan mereka ini amat mengguris hati saya dan kesannya masih ada hingga kini dan tidak mungkin akan terpadam. Saya pasti tidak akan dapat memadamkan ingatan bahawa saya kehilangan seorang ahli keluarga di tangan mereka-mereka yang menganut ajaran Karl Mark. Saya pasti bahawa ahli keluarga anggota tentera kita yang pernah mengalaminya tentu merasakan betapa perjuangan yang tidak berlandaskan kepada kepentingan agama, bangsa dan negara itu merenggut pergi orang kesayangan dan tidak akan kembali lagi.
Kini mereka yang kurang ajar itu mendapat pengampunan kerajaan lantas mengecapi kemakmuran negara hasil dari titis peluh dan darah orang yang rebah di muncung senjata mereka suatu ketika dulu. Jika saya tahu siapakah orangnya itu pasti akan saya ajar dia itu cukup-cukup. Sayangnya saya tidak tahu siapakah dia. Tetapi saya tahu mereka ada di luar sana. Tentu kalian akan mengatakan saya ini pemanas yang bergolak dendam. Tetapi dapatkah kalian menyelami tentang kesusahan orang yang ditinggalkan. Betapa ramai yang menjadi janda dan anak-anak menjadi yatim akibat tangan-tangan manusia barua ini.
Begitulah erti kemerdekaan. Sungguh pengkhianat bangsa sekalipun, tetap diberi peluang menikmatinya di bumi tercinta ini. Kini kemerdekaan itu berkesimbungan ke tangan kita. Saya tidak rela melepaskannya dan membiarkan negara kita jatuh ke tangan orang lain. Akan saya pertahankannya walau nyawa jadi taruhan. Bersama-sama kita hayati bait puisi Dharmawijaya ini


Suram malam yang terpendam
Di tafakur tidurmu
Menanti mentari titipan maya
Kupinta bakti sucimu
tiadakan rela menatang kehidupan berbunga hampa..
Selamat Hari Merdeka. Tanggal 31 Ogos 1957 pasti terpahat di ingatan untuk selamanya.

Tuesday, August 29, 2006

Kisah Cinta

Malam semalam, stesen-stesen television seantero Malaya seperti berlumba-lumba memaparkan program sensasi untuk menarik perhatian penonton. TV3 dengan liputan Persandingan Siti Nurhaliza - Dato' Khalid manakala RTM1 dan Astro dengan sesi perdebatan pertunangan Mawi - Nurdiana Naim.
Saya dari awal lagi sememangnya tidak mengambil pot tentang kisah-kisah sensasi seperti ini. Saya lebih tertarik mengikut perjalanan kisah drama Korea, Only You yang telah memasuki episod ke 15. Sinetron Korea Selatan banyak menghasilkan drama-drama kerjaya seperti Only You, My Lovely San Soon, All About Eve dan banyak lagi yang memangkin minda generasi muda mereka untuk memilih kerjaya yang tepat di masa hadapan. Melalui paparan drama seperti ini, audience tidak sahaja disajikan dengan kisah mengikut temanya seperti percintaan atau kekeluargaan bahkan penonton akan mendapat gambaran tentang kisah suka duka dan cabaran yang terpaksa ditempuhi sekiranya menceburi bidang yang diminati. Itu belum lagi memperkatakan tentang drama Jewel in the Palace yang hebat itu. Jika diulas pastinya panjang berjela.
Selesai sahaja menonton Only You, kerja-kerja di rumah seperti mengemas dan membasuh pinggan masih belum selesai. Maklum sahajalah tinggal bujang. Isteri jauh di kampung. Sementara melakukan kerja-kerja itu, saya berkira-kira tentang saluran apakah yang paling sesuai. Ingin melihat lintas langsung Siti Nurhaliza atau Mawi. Saya memilih menonton Persandingan Siti Nurhaliza kerana saya lebih suka dan rela melihat kebahagiaan daripada perdebatan putus tunang yang ungkit-mengungkit antara satu sama lain.
Rupanya nun beratus-ratus kilometer di utara, isteri dan anak saya menonton apa yang saya tonton. Yang paling menyentuh hati sewaktu Kris Dayanti mendendangkan lagu Mencintaimu membuatkan saya seperti merasa hiba seketika. Isteri saya mengutus sms menujukan lagu itu kepada saya dengan ucapan I Love You. Yang paling lucu apabila anak saya melihat Siti Nurhaliza dan Dato' Khalid bersanding, anak saya berkata, "Baba Dato' Khalid, Umi Siti Liza" maksud yang saya fahami dan ingin disampaikan Baba dan Uminya bahagia seperti Dato' Khalid dan Siti Nurhaliza.
Melihat persandingan mewah itu teringat saya kepada persandingan kami dulu. Perkahwinan kami dulu dilangsungkan dalam keadaan yang sederhana dan langsung tiada unsur kemewahan kerana kami tidak punya cukup bajet untuk berlebih-lebihan. Yang utama kami dahulukan seperti jamuan bagi tetamu yang hadir dan juga buah tangannya sekali. Sehingga kini saya masih terhutang sesuatu dengan isteri saya - Cincin Berlian. Cincin yang tersarung di jari isteri saya hanya cincin belah rotan. Sedang kakak dan ipar saya sewaktu mereka bernikah, mereka disarungkan dengan berlian. Jika kewangan saya telah stabil nanti akan saya usahakan untuk sebentuk cincin berlian buat isteri saya. Tidak perlu yang mahal, kata isteri saya tetapi cukup sekadar mempunyai sebutir berlian yang kecil dan murah.
Saya doakan setiap pasangan muslim yang diijabkabulkan mendapat kebahagiaan yang berkekalan hendaknya. Setelah berkahwin barulah saya sedar bahawa perkahwinan itu harus dipertahankan dengan apa jua cara pun. Oleh itu saya sering membisikkan ke telinga isteri saya satu ungkapan yang pernah didendangkan oleh Ziana Zain


"Percintaan ini kita memilihnya, kesilapan hanya satu perbandingan"

Monday, August 28, 2006

Kisah Yang Bersatu dan Yang Terputus

Dari corong radio pagi ini, seorang deejay bertanyakan pendapat khalayak tentang rancangan mana yang bakal menarik perhatian ramai malam ini, persandingan Siti Nurhalizakah atau Sesi perdebatan antara Mawi dengan Nordiana Naim..??
Bagi saya kedua-dua rancangan itu langsung tidak mendapat tempat di hati saya. Bak kata adik kita Cempaka Biru, mereka itu tidak mempunyai apa-apa pertalian dengan kita. Kita mungkin kenal mereka namun mereka tidak mengenali kita. Apa perlunya kita sibuk-sibuk?
Menyentuh persandingan Siti Nurhaliza dengan Dato' Khalid, sebesar mana atau sekecil mana majlis persandingan itu ingin diadakan, itu semua hak Siti. Siti dan Dato' Khalid juga manusia, mereka punya hati dan perasaan sama seperti kita inginkan yang terbaik dalam hidup kita. mereka tetap individu yang kita harus hormati hak dan keputusan mereka. Baru-baru ini saya terdengar kaum kerabat saya bergossip membicarakan tentang hal-hal remeh perkahwinan Siti, tentang beza usia Siti dengan Dato' Khalid, tentang cincin yang ditempah khas, tentang gown, tentang macam-macam lagi. Yang membuatkan saya berasa tidak selesa kerana isteri saya turut ikut dalam perbincangan itu. Saya membiarkan mereka berbicara semau mereka. Sepulang sahaja mereka, saya menegur (tegur-tegur sayang) isteri saya. Saya menerangkan bahawa perbincangan itu tidak membawa apa-apa faedah. Biarlah Siti berkahwin dengan pilihannya, biarlah apa yang Siti ingin kenakan pada hari besarnya dan bagaimana pun perancangan perkahwinan yang telah diaturkan. Kita ini tidak ada kena mengena dengan Siti. Perbincangan tadi hany boleh membuatkan kita secara tidak sengaja termasuk di kalangan mereka yang ghibah (mengumpat). Saya bukan peminat Siti jauh sekali memusuhi Siti. Tetapi saya agak sensitif apabila insan lain yang tiada kena mengena dengan hidup saya diumpat dan dikeji. Sementelahan pula orang itu tidak pernah menimbulkan kesulitan dalam hidup kita. Apa perlunya kita memperkatakan tentangnya. Kita juga tentu tidak suka sekiranya apa yang kita rancangkan mendapat pecat dari orang lain.
Kisah putus tunang Mawi dan Diana. Keseluruhannya apa yang boleh dikatakan, itulah harga yang patut kita bayar setelah menjadi public figure. Sepatutnya kisah seumpama ini tidak perlu dibukakan di khalayak. Yang berlalu biarkan berlalu. Anggap tiada jodoh. Habis cerita. Mengadakan sesi soal jawab seumpama itu sama seperti menjaja kisah rumahtangga kepada umum. Sedang sepatutnya kisah rumahtangga itu suatu rahsia sekali di hadapan ibubapa dan mertua. Kisah seumpama ini juga tidak membawa sebarang faedah.
Hairan saya kenapa orang kita (bukan orang kita sahaja malah masyarakat barat seperti di Britain lebih dahsyat) terlalu suka memperkatakan tentang rumahtangga orang lain sedang rumahtangga mereka itu seperti menunggu retak dan belah. Atau kisah kahwin dan cerai. Apakah tiada isu yang lebih global daripada itu..??

Friday, August 25, 2006

Ummati, ummati, ummati

Subuh Isnin 12 Rabiulawal Tahun 10 Hijriah. Di masjid, para sahabat sedang berkumpul menanti-nanti kedatangan Rasullullah seperti biasa untuk mengimamkan solat. Nampaknya Subuh pagi itu agak kelewatan. Bilal Bin Rabah telah lama mengalunkan laungan azan subuh namun kelibat Rasullullah belum lagi kelihatan.
Saidatina Aishah memanggil bapanya Saidina Abu Bakr As Siddiq R.A memaklumkan bahawa Rasullulah subuh itu gering akibat sakit kepala yang keterlaluan. Rasullullah berpesan supaya Saidina Abu Bakr mengambil tempatnya sebagai imam solat pagi itu. Saidina Abu Bakr agak keberatan untuk memikul tanggungjawab tersebut kerana selagi Rasullullah masih hidup, selagi itu dia tidak akan mendahului Rasullullah.
Rasullullah membuka jendelanya sambil tersenyum kepada para sahabat. Para Sahabat merasa lega melihat keadaan Rasullullah kerana mereka menyangkakan bahawa Rasullullah berada di dalam keadaan sejahtera. Rasullullah memberi isyarat kepada Para Sahabat supaya solat Subuh pagi itu diimamkan oleh Saidina Abu Bakr R.A sahaja.
Selesai sahaja bersolat Subuh, keadaan Rasullullah semakin membimbangkan. Saidatina Aishah dan puteri Rasullullah Fatimah Az-Zahra R.H bersama-sama merawati Rasullullah. Tiba-tiba di luar kedengaran orang memberi salam. "Izinkan saya masuk" kata tetamu itu. "Tidak boleh, kerana ayahku sedang sakit pada ketika ini"jawab Saidatina Fatimah sambil jiwanya bergetar tidak keruan, gerun terhadap tetamu itu. Dari dalam kedengaran Rasullullah bertanya kepada Saidatina Fatimah siapakah tetamu yang hadir itu. "Seorang lelaki ya Rasullullah. Belum pernahku lihat ianya sebelum ini. Setiap kali aku memandangnya, akan bergetar tubuhku kegerunan kepadanya"jawab Saidatina Fatimah.
"Anakku, tahukah engkau tetamu itulah yang memisahkan kenikmatan sementara, dan dialah yang memisahkan pertemuan sementara. Dia itulah Malaikat Maut. Anakku, ketahuilah olehmu bahawa engkaulah yang pertama di kalangan kerabatku yang akan menuruti jejakku (ke alam baqa). Benarkan tetamu itu masuk" sabda Rasullullah S.A.W.
Sebaik sahaja tetamu itu masuk dan merapati Rasullullah, tetamu itu memberi salam. Rasullullah bertanya kepada tetamu itu "Ya Izrail, kenapakah aku tidak melihat Jibrail, di manakah dia sekarang?". Izrail menjawab, "Jibrail sedang menunggu Tuan di langit dunia". "Panggillah dia. Suruhlah dia datang kepadaku" kata Rasullullah. Ketika, Jibrail hadir memberi salam dan duduk di sisi Rasullullah S.A.W.
"Ya Rasullullah, sudah sampai masa dan ketikanya Tuan dijemput ke hadrat illahi" kata tetamu itu. "Aku tahu. Jalankanlah tugasmu" Kata Rasullullah S.A.W. Izrail A.S mula mengambil Roh Rasullullah S.A.W. Tubuh dan wajah Rasullullah mula dibasahi keringat. "Ya Izrail, alangkah sakitnya sakaratulmaut ini"kata Rasullullah. Jawab Izrail, "Ya Rasullullah, saya menarik Roh Tuan di dalam keadaan yang paling lemah lembut.
Kesakitan sakaratulmaut itu membuatkan dahi dan kening Rasullullah berkerut. Melihatkan keadaan itu, Jibrail A.S segera membuang pandang ke arah lain. Tanya Rasullullah, "Wahai Jibrail, hina sangatkah wajahku di saat ini sehinggakan engkau berpaling ke arah lain?. "Siapakah yang tega hati melihat kekasih Allah berada di dalam kesakitan seperti ini" jawab Jibrail A.S dengan suara yang lirih.
"Wahai Jibrail, beritahuku apakah hakku di hadapan Allah?" tanya Rasullullah. Jibrail menjawab, "Ketahuilah olehmu wahai Rasullullah, di saat ini Malaikat-malaikat, nabi-nabi dan rasul-rasul sedang berbaris menyambut ketibaanmu. Bidadari-bidadari sedang berdandan dan ketujuh-tujuh pintu syurga sedang dibuka seluas-luasnya". Namun jawapan itu masih belum meredakan cemas di dada Rasullullah. "Ya Jibrail, apakah hak ummatku di hadapan Allah?. Jibrail lalu berkata, "Sesungguhnya Allah telah berfirman Ku haramkan syurga kepada sesiapa sahaja kecuali setelah ummat Muhammad terlebih dahulu memasukinya".
Mendengarkan itu Rasullullah menjadi lega. Ketika Roh Rasullullah sampai ke pinggang, Rasullullah berdoa, "Ya Allah, sesungguhnya sakaratul maut ini amat menyakitkan. Oleh itu janganlah engkau timpakan kesakitan ini pada ummatku. Biarlah aku sahaja menanggung semua kesakitan itu".
Tubuh Rasullullah semakin lemah. Ketika itu Saidina Ali Bin Abi Talib k.w.j merapatkan telinganya ke bibir Rasullullah. Rasullullah berbisik, "ummati, ummati, ummati (ummatku, ummatku, ummatku) sehingga akhirnya roh Rasullullah berangkat ke hadrat illahi ditemani oleh Malaikat Izrail dan juga Jibrail A.S.
Seluruh alam menangisi pemergian Rasullullah di dalam sendu pagi Isnin 12 Rabiulawal tahun 10 Hijrah. Bertepatan pada hari kelahiran Rasullullah yang ke 63.

Thursday, August 24, 2006

Makan Bersama Atuk

Dulu masa ada arwah Atuk dulu, Opah masih segar bugar lagi. Masih mampu berdiri sembahyang, masak sarapan pagi untuk cucu-cucunya dan masih berkudrat menebas semak di tanah belakang rumah yang bersempadanan dengan bendang kampung.
Atuk punya tabiat makan yang cerewet. Atuk amat pantang sekiranya dihidangkan dengan nasi lembik. Atuk akan mengomel dan bersungut. Panas telinga dengan sungutan Atuk, Mak Nah atau Opah akan memasakkan nasi yang lain untuk Atuk. Nasi keras. Dimasak dengan air yang kurang. Baru Atuk senyap dan terkepam-kepam mulutnya menikmati hidangan. Sikap ini turun kepada Apak dan saya. Apak juga akan mengamuk jika dihidangkan dengan nasi lembik. Apak juga akan mengomel serta berleter. Saya pula jika dihidangkan dengan nasi lembik, saya tidak pula mengomel atau berleter. Saya akan tunduk makan tetapi 10 minit kemudian, perut saya akan berbunyi-bunyi mengomel tidak tentu hala.
Atuk sering melakukan perkara-perkara yang membuatkan isteri, anak dan cucunya panas hati. Pernah suatu masa Atuk dimasukkan ke hospital akibat lelah. Mak Nah jururawat. Sangka kami Atuk akan bergembira tinggal di wad dirawat oleh anak sendiri. Rupa-rupanya Atuk tidak betah bermalam lama-lama di hospital. Selepas dua hari Atuk berkeras minta pulang. "Makan di hospital tu, cuma nak menghidupkan aku saja.." sungut Atuk. "Kenapa Tuk..??" tanya saya. "Yelah, tak tentu rasa. Tawar. Tak ada manis masin" adu Atuk kepada saya. Saya cuma tersenyum tetapi Mak Nah menyergah. "Nama lagi makanan di hospital. Hospital tempat orang sakit. Jika diberi banyak garam dan gulanya, alamat bertambah sakitlah!!". Atuk tidak menjawab sebaliknya merungut-rungut seperti keli di dalam lubang.
Pernah sekali Atuk bercerita dengan saya, "Mak Nah kamu di hospital, garangnya Ya Rabbi. Aku pun ditengking-tengkingnya". Saya bertanya kepada Mak Nah. "Kenapa Mak Nah tengking Atuk?". Tergelak saya apabila mendengar jawapan Mak Nah. "Mana aku tak marah. Lepas makan tu, dilapnya mulutnya pada langsir hospital. Entah apa penyakit orang yang lekat di situ, Apak pula sental mulut. Kalau engkau pun engkau marah tak, Indera..?". Marah marah marah. Atuk tidak menjawab juga. Terus merungut seperti keli di dalam lubang.
Yang Atuk paling suka Jeruk Maman. Jika Apak menjeruk maman, pasti terkepam-kepam mulut Atuk mengunyah maman. Maman itu dia seorang sahaja yang punya. Kalau anak cucu ingin merasa, buatlah sendiri. Tetapi saya dan Fuad suka mencuri maman Atuk sewaktu makan malam. Selepas Atuk sudah tidur, kami meninggalkan kaca television sebentar untuk menyelongkar almari lauk. Baki maman Atuk kami habiskan berdua. Tengahari esoknya bila Atuk bertanyakan jeruk mamannya, kami cuma mengangkat bahu, konon-konon tidak tahu.
Atuk tidak seperti orang tua yang lain di kampung. Orang tua di kampung suka duduk berborak berjam-jam di kedai kopi. Atuk tidak pernah sebegitu. Jika ada yang mempelawa, Atuk duduk sebentar, selesai sahaja minum, Atuk angkat punggung pulang. Perangai ini juga turun pada Apak dan saya. Walaupun Apak buka kedai kopi, sebenarnya jiwa Apak bukan jiwa orang melepak kedai kopi. Apak buka kedai kopi sebab Apak suka berniaga kerana perniagaan ini yang banyak memberi pulangan di kampung-kampung. Saya memang jarang duduk lama-lama di restoran mamak. Habis sahaja urusan, saya akan terus membayar dan angkat kaki.
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya makan bersama dengan Atuk. Tetapi sekiranya dapat makan bersama dengan Atuk, adalah sesuatu yang amat mengembirakan, menyenangkan dan melucukan. Ini kerana Atuk suka bercerita tentang zaman silamnya, zaman sebelum merdeka terutamanya zaman kependudukan Jepun. Opah, Mak Nah dan juga Acu tidak suka mendengar sembang Atuk yang mereka sifatkan sebagai merepek, tetapi saya dan Fuad merasa sangat puas mendengarnya. Seperti cerita Atuk itu suatu suara gemersik dan lagu yang merdu. Saya pernah bersuara di hadapan Atuk, Opah, Mak Nah dan Acu, perkara yang sangat kita rindui setelah kehilangan Atuk adalah saat makan bersama sambil mendengar kisah-kisah silamnya. Telahan saya menjadi kenyataan.
Sehingga kini apabila berkumpul di rumah tua Atuk, sewaktu makan tengahari atau makan malam, masing-masing termenung seketika. Masing-masing merindui saat bersama Atuk. Ceritanya, sungutannya, kepam mulutnya yang pernah mewarnai hidup kami dahulu.
Keadaan Opah setelah kehilangan Atuk semakin membimbangkan. Seolah-olah Atuk pergi membawa bersama semangat Opah. Opah tidak lagi bertenaga. Sekiranya saya mengunjungi Opah, pandangan Opah sering tertumpu pada dinding di atas katil arwah Atuk pernah berada. Di situ tertulis dengan tulisan jawi yang kasar - Mahmud Bin Uda Masiah (nama ibu, sebab sudah meninggal) pulang ke rahmatullah pada pagi Isnin 27 Rejab 1420. Al-Fatihah. Dan mata Opah pun akan berkaca..

Wednesday, August 23, 2006

Naluri Seorang Ayah

Malam semalam saya tertidur bermimpikan anak saya. Sedari sahaja dari tidur, hati saya merasa gundah. Ingin menghubungi kampung pula, kredit talian mobile saya sedang kontang. Lantas gundah-gulana hati saya, saya pendamkan sehingga ke pejabat. Setiba saya di pejabat, cepat-cepat saya mendail talian mobile isteri saya.
Rupa-rupanya malam semalam anak saya merengek mengadu kepada isteri saya bahawa dia merasa tidak sihat badan dan seperti hendak demam. Sebangun sahaja dari tidur pagi ini, isteri saya memberitahu saya yang badan anak saya agak kepanasan walaupun belum mencapai tahap demam.
Sebenarnya saya agak gusar tentang demam yang dialami oleh anak saya itu. Ini kerana minggu-minggu sebelum ini, anak-anak buah saya kebanyakan mendapat demam campak besar (Chicken pox) sehingga habis serata tubuh badan ditumbuhi dengan ruam besar yang mengandungi air berbisa. Ketika pulang ke kampung, saya pasti membawa anak saya pulang ke rumah Mak dan setiapkali itu juga akan ada seorang anak buah saya yang dijangkiti. Baru sahaja pulih, seorang lagi akan mula seram-seram sejuk. Cucu Mak ramai, jika hari minggu pasti penuh rumah Mak dengan anak, menantu dan juga cucu. Cucu-cucu Mak tengah lasak. Tidak sampai hati saya ingin melarang anak saya bergaul dengan sepupunya yang mengidap demam campak itu, cuma saya berdoa semoga anak saya tidak dijangkiti kerana bimbang juga sekiranya demam itu menular kepada Siri Aufa dan tambahan lagi kepada Adil Rayyan yang baru berusia 4 bulan.
Begitulah naluri seorang ayah. Dulu saya tidak pernah mengetahui tentang hal ini sekalipun ramai yang bercerita tentang hal seorang ayah akan dapat merasai kesakitan dan kesusahan seorang anaknya. Sekalipun si anak tidak bercerita, namun naluri ayah akan tergerak merasainya melalui indera keenamnya.
Rasanya ingin sahaja saya terbang ke kampung melihat keadaan anak saya itu. Sememangnya di saat ini hati saya sedang gundah.

Monday, August 21, 2006

Geramnya aku..

Entah apa bingungnya hari ini, eponym.com meletakkan billboardnya di dalam Blog saya sehingga menyebabkan ianya dipenuhi dengan papan tanda iklan dan kelihatan hodoh. Geramnya saya. Sekarang barulah saya mengetahui kenapa sebelum ini tidak ramai blogger yang memilih eponym.com.

Untuk lihat entri saya sebelum ini di eponym bolehlah melawatnya di
ahmadamir74.eponym.com

Terasa seolah-olah usaha saya yang berbulan-bulan itu ibarat sia-sia sahaja.

Geramnya saya...