Wednesday, October 18, 2006

Gajah Putih

"Apak, tadi orang main kat Padang Pipit. Orang masuk sampai ke Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik tu. Lepas tu..." belum sempat saya menghabiskan cerita saya, punggung saya sudah disesah dengan rotan Apak. Saya terpinga-pinga dan hanya mampu mengalirkan airmata kesakitan. Saya berlari ke rumah Atuk dalam deraian airmata mengadu kepadanya. Setelah menceritakan hal sebenar, Atuk memeluk saya sambil berkata, "Sayang cucuku Indera. Jangan menangis. Biar Atuk ceritakan kisah seekor Gajah Putih. Nak dengar tak?". Saya mengangguk sambil menyapu sisa airmata.

Di Pelabuhan Ulee Lheu di Kotaraja itu menyambut ketibaan laskar-laskar Acheh dari medan perang. Semboyan dilepaskan dari bahtera perang di muara pelabuhan menandakan jong bahtera memasuki perairan. Wajah Laksamana bermuram durja. Bagaimana harus dikhabar ke Bawah Duli Tuanku? Sulit, namun hal ini harus segera disampaikan. Laksamana sudah bersedia menerima sebarang geruh yang menjelang sebagai hukuman di atas kegagalannya.

"Ampun, Tuanku beribu ampun. Sembah pacal hina ini memohon keampunan ke Bawah Duli Tuanku. Adapun laskar-laskar kita masih gagal menawan Siak Sri Indrapura. Adapun kota dan pelabuhannya terlalu utuh dan tidak terdaya ditembusi oleh laskar-laskar kita Tuanku. Adapun patik bersedia menerima segala hukuman Tuanku atas kegagalan patik. Ampun Tuanku"

Sultan Iskandar Muda yang lebih dikenali sebagai Mahkota Alam itu sedang bersemayam di atas singgahsana keemasan lantas berubah airmuka. Wajah baginda sudah laksana bunga raya kembang pagi. Baginda amat murka dengan kegagalan itu namun Laksamana tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya. Laksamana sudah mencuba bersungguh-sungguh tetapi masih gagal.

"Datuk Bendahara, perintah Pawang Tepok Pawang Diraja mengadap beta. Datuk-datuk menteri berenambelas, nantikan beta di Balai Perbicaraan".

Sekelian menteri menjunjung sembah. Adapun di Balai Perbicaraan itu, Tuanku Mahkota Alam dan Datuk Menteri Berenambelas menunggu-nunggu kedatangan Pawang Tepok Pawang Diraja minta diberi segala petua supaya Acheh berjaya di permedanan menakluki Siak Sri Indrapura.

Pawang Tepok Pawang Diraja membakar Kemenyan Lambung Petalabumi, Dibakar sekali 7 menyerah. Dibakar 2 kali 100 menyerah. Dupa kehitaman naik ke Perabung Istana lantas istana itu bergegar seketika. Pawang Tepok Pawang Diraja lantas mendatang sembah.
"Adapun Tuanku memerlukan seekor gajah perang yang perkasa. Menurut tilikan patik, gajah itu Gajah Putih Bergading Perak yang berdiam di hulu Mukim Chempaka Sari (nama tua kampung saya) di dalam taklukkan Duli Yang Dipertuan Negeri Perak. Tuanku harus segera mendapatkan gajah itu kerana jika diketahui terlebih dahulu oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak, geruh pasti mendatangi Acheh dan Acheh akan tumpas pula di tangan Perak. Jika Tuanku benar-benar ingin untuk mendapatkan gajah itu, pada hemat patik, tiada jalan lain melainkan perang sahaja. Tuanku harus segera menakluki Negeri Perak..."

Tuanku Mahkota bangkit dari persemayamnya. Lantas bertitah
"Datuk Menteri sekelian. Siapkan segala laskar, juak-juak dan biti-biti perwara, kembangkan layar bahtera di Ulee Lheu. Kembangkan sekelian obor-obor Diraja. Naikkan panji-panji kebesaran. Tiup Nafiri dan palu gendang perang. Lepaskan semboyan 26 das tembakan di muara. BERSIAP BETA MELANGGAR NEGERI PERAK!!!"

Matlamatnya hanya satu. Untuk mendapatkan Gajah Putih Bergading Perak di hulu Mukim Chempaka Sari. Perang sudah tidak dapat dielakkan lagi. Bunyi-bunyian dimainkan terlalu azamat dan rakyat Acheh tertinjau-tinjau di sebalik perdusunan. Nafiri dibunyikan dan gendang perang dipalu berselang-seli dengan tembakan semboyan 26 das tembakan. Tuanku Mahkota Alam sendiri yang mengepalai perang dengan menaiki Bahtera Kampai Menyongsong Angin diiringi dengan 40 bahtera perang yang lain menuju ke Beting Beras Basah di muara Sungai Perak.

Peperangan berlaku terlalu azamat. Laskar Diraja Perak tidak berdaya membentengi serangan Acheh yang mengejut dan bertali arus itu. Selepas setengah purnama berperang, Negeri Perak akhirnya jatuh ke tangan Acheh. Yang Dipertuan Negeri Perak laki-bini menjadi orang tawanan dibawa pulang ke Acheh.

Laskar-laskar Acheh dikerah ke hulu Chempaka Sari mencari Gajah Putih Bergading Perak. Setelah mengepung belantara itu selama 10 hari, akhirnya Gajah Putih itu memperlihatkan dirinya. Segala usaha menangkap gajah itu menemui jalan buntu. Ini kerana gajah itu tidak lut dek senjata bahkan ramai juak-juak Acheh yang terkorban dalam usaha menangkapnya. Tuanku Mahkota Alam hampir berputus asa. Baginda akhirnya mengeluarkan titah supaya diutuskan seberapa segera Pawang Tepok Pawang Diraja dari Acheh ke Mukim Chempaka Sari.

"Adapun Tuanku, gajah itu terlalu perkasa. Tuanku haruslah memikatnya sehingga ke Padang Pipit dan Tuanku tangkaplah ia di waktu ketika ulu (kepala) gajah itu sudah masuk ke ruang antara kedua-dua Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik. Apakala gajah itu tersepit, Tuanku haruslah memotong sehelai bulu di ekor gajah itu yang berwarna perak dengan menggunakan Pedang Cura Si Mandakini, pedang warisan Sang Nila Utama yang memenggal ulu Ular Cintamani di Kemuncak Gunung Mahameru yang berada di dalam simpanan Ke Bawah Duli Yang Dipertuan Negeri Perak itu, ampun Tuanku"

Pawang Tepok Pawang membakar Kemenyan Lambung Petalabumi, Dibakar sekali 7 menyerah, Dibakar 2 kali 100 menyerah setelah semilir berpuput turun dari Gunung Bubu. Malam itu terdengarlah tempikan Gajah Putih itu jauh di dalam belantara seperti menanggung kesakitan yang teramat. Pawang Tepok Pawang Diraja membentuk juak-juak menjadi 7 barisan dari 7 arah dengan masing-masing membawa benang 7 warna pelangi. Gajah Putih itu kemudian dihalau ke Padang Pipit dan ditangkap sewaktu gajah itu tersepit di antara Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik. Setelah gajah itu ditawan, kakinya dibelenggu dengan Besi Khursani dan dibawa belayar ke Acheh.

Dengan menginderai gajah putih itu, Tuanku Mahkota Alam mengepalai pula peperangan dengan Siak Sri Indrapura. Keperkasaan gajah perang tidak dapat diperkatakan lagi dan akhirnya Siak Sri Indrapura jatuh juga ke tangan Acheh selepas cubaan menawannya untuk kali yang ketiga. Wallahua'lam.


Indera : Padang Pipit kini menjadi Padang Ragut bagi lembu kambing di kampung saya. Sekalipun banyak haiwan ternakan meragut di sekeliling kawasan seperti pulau setompok dengan pokok yang membentuk formasi seperti kuih dohnut itu, tiada haiwan yang masuk di situ. Sewaktu saya memasukinya, tempat itu punyai aura yang menaikkan roma. Hening sahaja di situ. Kononnya tempat itu keras. Apa yang keras, saya sendiri kurang pasti. Yang saya tahu, hanya tanah dan kayu di situ yang keras rasanya.

9 comments:

Rie said...

wow cepatnya buat story. hahaha bro, nice to meet u

INDERA KENCANA said...

Esis: nice to meet you too, Esis. Nanti kalo nak buat gathering lagi roger-roger lah aku, ek!!

ZaKiN said...

huhuhu.. gajah putih.. betol ka padang pipit keras..?? Ko ader rasa apa2 tak pas tue.. hehehe..

el-Maaniq said...

aku pun seronok jumpa kau.. pasal blog ko nanti aku baca semua...

menarik menarik beb.

hakim dirani said...

Sekarang ini saya cuba bayangkan yang saya naik Gajah tu.

Ho ho ho, saya tak sanggup.

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Menarik. Saya suka nama-nama klasik dalam cerita ini.

Mukim Chempaka Sari...waduh, anggunnya nama! Sebab apa nama ni diganti dengan nama baru?

kingbinjai said...

ooo ooo kau menaikkan semangat aku utnuk segera menyiapkan warisan pura!

INDERA KENCANA said...

maniq, entahlah. Saya tidak mempercayai perkara khurafat ini. Seperti yang saya nyatakan di dalam isen ini, yang saya nampak kerasnya hanyalah pada batu dan kayu-kayu yang terdapat di situ.

el-maaniq, Terima kasih sebab ko suka. Selalu-selalulah up-date blog, ek. Engkau pun punya banyak cerita menarik dan yang paling aku suka sajak pade mok dalam loghat Kuala Berang tu. Best la..

Hakim, Hehehehe.. di kampung-kampung di Syria, masih ada lagikah yang menunggang keldai seperti di sesetengah negara Timur tengah..?? Best woo.. naik keldai..

Salam Bunga Rampai.
Nama tempat dan benda yang terkandung di dalam isen ini masih ada lagi sekarang. Pelabuhan Ulee Lheu di Kotaraja berhampiran dengan Banda Acheh. Sultan Iskandar Muda direkodkan sebagai pembina empayar Acheh terunggul dalam kurun ke-16. Pedang Cura Si Mandakini sekarang dipanggil Pedang Cura Si Manjakini masih digunakan sebagai perkakas istiadat pertabalan Sultan Perak. Siak masih tetap lagi dikenali sebagai Siak Sri Indrapura. Cuma Mukim Chempaka Sari sudah bertukar nama atas sebab satu peristiwa. nanti saya masukkan di dalam isen akan datang.

King, Lagi cepat lagi bagus..

Unknown said...

Minta kongsi cerita yaa,admin