Tuesday, October 17, 2006

Pelita Panjut

Sekarang sudah malam tujuh likur. Malam yang penuh syahdu. Malam yang terang kemilau menyuluh seisi kampung. Sepanjang malam ini pelita dinyalakan di sekeliling rumah dari maghrib sehinggalah ke santak pagi. Kami memanggilnya Panjut.

Ada pihak yang mendakwa bahawa pemasangan pelita ini syirik kerana ianya menyerupai amalan Hindu yang menerangi rumah untuk menyambut Dewi Lakhsmi (Dewi Kekayaan) masuk ke rumah di malam Deepavali. Jadi pendapat itu juga terus menjatuhkan Fatwa bahawa pemasangan panjut ini amalan turun-temurun warisan Hindu.

Tetapi pernahkan mereka bertanya apakah asal-usulnya panjut ini?. Kenapa panjut dipasang sepanjang malam 23 hingga malam 30 Ramadhan yang dikatakan malam Tujuh Likur itu?. Sejarah panjut ini sebenarnya amat sinonim dengan bangsa kita yang amat taat dengan ajaran alim-ulamak dulu-dulu.

Panjut sebenarnya dipasang di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan di kampung-kampung untuk menerangi mereka yang ingin bertahajjud di masjid lewat 10 malam terakhir Ramadhan. Dahulu tiada lampu elektrik yang memancar dari tiang-tiang tinggi. Tanyalah sesiapa sahaja, bahkan guru-guru alim sekalipun takut berjalan di dalam gelap. Bukan kerana takut pada hantu syaitan, tetapi kegelapan itu berkemungkinan terselindungnya segala macam bahaya binatang buas dan yang berbisa, kejahatan manusia yang ingin merompak dan memperkosa bahkan yang sekecil-kecilnya seperti duri dan juga ranjau.

Peranan Panjut sewaktu ketika dulu amat jelas sebagai cahaya yang menerangi mereka yang ingin ke masjid untuk mendapatkan fadilat Malam Lailatul Qadar. Fungsinya amat nyata tiada perkaitan langsung dengan amalan Hindu bahkan amalan yang terpuji yang dilakukan di Bulan Ramadhan. Jadi mereka yang memasang pelita panjut ini sekiranya pun tidak mendapat kelebihan di malam 1000 bulan itu, tetapi usaha mereka memudahkan orang-orang ingin mendapatkan kelebihan malam ini pasti akan dikurniakan oleh Allah dengan ganjaran pahala.

Sehingga ke hari ini, amalan memasang panjut ini masih berkesinambungan cuma kemeriahannya kini tiada lagi. Generasi hari ini ramai yang tidak tahu sejarah pemasangan pelita panjut ini cuma sekadar ikut-ikutan semata-mata. Kerana generasi dahulu memasangnya. manakala sesetengah golongan yang buta sejarah terus melebalkannya sebagai amalan masyarakat hindu.

Saya akui bahawa pemasangan Panjut ini sudah tidak relevan lagi dengan keadaan semasa dan ianya hanyalah pembaziran wang ringgit membeli kerosene yang dibakar dari senja hingga ke waktu Subuh. Tetapi saya tetap menegaskannya sebagai Bida'ah Hasanah, sebagai tanda kita mengenang betapa sukarnya orang dulu-dulu ingin ke masjid hingga terpaksa diterangi sepanjang jalan dengan pelita. Kita di zaman ini patut bersyukur dengan kurniaan ilahi kerana kita tidak sukar lagi setelah lampu jalan banyak menyuluh di merata tempat.

Sepatutnya dengan mengenang sejarah Pelita Panjut ini akan membuatkan kita lebih berazam untuk bangun dan berqiamullail di masjid. Bukan menuduh yang bukan-bukan. Yang pentingnya niat di dalam hati.
Indera : Saya meradang apabila ada pihak yang mengatakan nama saya, Indera itu nama dewa hindu. Ya, memang salah satu dewa yang disembah oleh masyarakat hindu bernama Indra. Tetapi, Indera dalam masyarakat Melayu hanya satu nama yang klasik sahaja. Tidak lebih dari itu. Ada juga individu yang bernama Shah, ada yang bernama Putera, ada yang bernama Meor. Tidakkah boleh kita menganggapnya sebagai nama yang tidak membawa maksud, atau sekurang-kurangnya nama yang kurang elok..??
Diedit pada jam 15.31 petang
Entah kenapa selepas saya menulis, beberapa ketika, saya seperti menyesal menulisnya. Bimbang saya jika tulisan saya ini disalahertikan. Jika saya menyinggung hati sesiapa, saya mohon maaf dan saya menyesalinya.

8 comments:

ZaKiN said...

huhuhu.. dapat info sikit kat sini, aku tau minyak pelita minyak tanah jer.. ekekke

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Pertama kali dengar "Pelita Panjut". 'Panjut' tu bahasa daerah mana?

Ada logiknya memasang pelita itu pada zaman dulu.

Nukilan ini okey saja bagi saya. Walau ada kemusykilan tentang bab pelita itu, ia mampu saja membawa saya meneroka lebih jauh untuk menyingkap agama dan sejarah.

Rumah Indera pasang pelita menjelang raya? (eh, menyibuknya saya...)

INDERA KENCANA said...

maniq, sama sahaja dengan pelita minyak tanah

Salam Bunga Rampai,
Panjut itu bahasa loghat Perak. Dari mana timbulnya, saya kurang pasti pula. Kalaulah Bunga Rampai dapat melihat Panjut ini dipasang pada buluh panjang-panjang di sepanjang jalan ke masjid, sememangnya tersangat syahdu rasa. Tambah-tambah lagi dengan suasana malam atau subuh yang berkabus.

Insya-Allah Pelita Panjut ini akan saya pasang untuk memudahkan sesiapa yang melalui rumah emak atau mertua saya. Seronok melihat api pelita meliuk ditiup angin sepulang dari tarawikh

kingbinjai said...

tak payah mintak maaf. kau tak salah.

dia harus semak, indera itu membawa banyak makna.

INDERA KENCANA said...

King, Tenkiyu..

INDERA KENCANA said...

King, Tenkiyu..

arimvamp said...

Hi, I'm very intrested about this tradition. would be great if u could email me some info about it. Thanks. My email

shahrizal@tv9.com.my

Rahimah Tamin said...

Sodehnyerr....raya tahun ni tak dapek nak balik kampung sebab wabak covid 19. Saya paling suka pasang panjut tu sepanjang laluan nak naik ke darek menuju ke rumah kampung mak. Rumah mak ateh bukit. Panjut juga memudahkn anak-anak saudara nak main bunga api. Ok je cerita awak tentang panjut, saya suka baca. Tentang nama, kalau rasa tak selesa boleh je gi tukar di pejabat pendaftaran ya...andai ada alasan yg munasabah... Salam Ramadan, selamat berpuasa...TQ.