Friday, October 13, 2006

Senjakala

Suatu petang dalam bulan Ramadhan sekitar tahun 90-an. Seorang pemuda berusia 22 tahun maut dilanggar oleh motorsikal yang ditunggangi seorang remaja berusia 16 tahun pada petang terakhir Ramadhan sejurus sebelum waktu berbuka. Kasihan... . Suratkhabar itu kemudiannya ditutup. Habis berita buat sehari.

Rupa-rupanya selepas beberapa Hari Raya, kakak saya pulang bercuti. Dia mengkhabarkan kepada kami tentang sebuah kisah yang menyayat hati lewat makan malam kami sekeluarga. Setiap wajah ahli keluarga kami kemudian tersorot kedukaan biarpun ianya tidak terjadi kepada ahli keluarga kami.

Petang itu Izhar ceria melangkah ke Bazaar Ramadhan di Pekan Slim River itu. Niatnya untuk membeli juadah berbuka banyak-banyak untuk abang dan ibunya. Senja ini dia akan berbuka sepuas-puasnya dan dapatlah dia meleraikan segala kerinduan kepada ibu dan abangnya setelah tempat kerjanya di Melaka memberikan cuti sepanjang minggu itu. Bazaar Ramadhan di pekan itu kecil sahaja. Tidak banyak pilihan seperti di bandar-bandar besar tetapi masih menawarkan kuih kegemaran ibunya dan lauk kesukaan abangnya.

Selesai sahaja membeli belah itu jam sudah menunjukkan angka 6.50 petang. Tidak lama lagi siren Balai Bomba akan berbunyi menandakan masuk waktu berbuka. Dalam perjalanan pulang, Izhar berselisih dengan beberapa remaja nakal yang sedang berlumba dalam remang senja itu. Perbuatan mereka itu sangat merbahaya kerana jalan ketika itu sangat sibuk bila semua penghuni kota pulang ke kampung.

Sampai sahaja di hadapan rumah, Izhar lihat abangnya sedang duduk di serambi rumah. Mungkin ibunya ketika itu sibuk di dapur. Ketika melintasi jalan itu, rupa-rupanya remaja yang berlumba itu berpatah semula. Mereka memecut motorsikal pada kelajuan maksimum dan tidak sempat mengelak Izhar yang sedang melintas jalan. Abang Izhar terkalap seketika melihat Izhar sudah terbaring di atas jalan. Kuih untuk ibu dan lauk untuk abang jatuh bertaburan di mana-mana.

Atas bantuan jiran-jiran, Izhar dikejarkan ke Hospital Tanjong Malim. Keadaannya kritikal. Hospital Tanjong Malim tidak punya pilihan melainkan merujuk kes berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur. Izhar dikejarkan dengan ambulans ke sana. Kakak saya turut bersama-sama mengiringi pesakit sebagai Jururawat Yang Bertugas.

Sampai sahaja di Lembah Beringin, Izhar semakin lemah. Ketika tiba di Bukit Beruntung pula Izhar memberi isyarat untuk menyatakan sesuatu kepada abangnya. Abangnya sudah tidak upaya membendung perasaan. Beberapa titik air matanya jatuh ke lantai ambulans. Kakak saya cuba memberi pertolongan cemas pada mana yang patut. Tetapi masih tidak berjaya.

Dalam saat genting itu Pak Talib, pemandu ambulans itu boleh membuka radio pula. Boleh jadi dia ingin mendengar pengumuman raya, barangkali. Perlahan. Sayup-sayup terdengarlah Sudirman mendendangkan lagu antara baitnya,

Padamu kusampai doa
dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan
ampun maaf

Jangan sedih pagi ini
Tak dapat kita bersama
Meraikan Aidil Fitri yang mulia...

Kakak berkata, di sudut mata Izhar mengalir airmatanya. Abangnya menangis bersungguh-sungguh. Dalam takbir raya itu, abangnya membisikkan kalimah tauhid dan Izhar mengikutinya dan kemudian kaku.

Ambulans yang sudah tiba di Sungai Buloh itu berpatah balik ke Tanjong Malim. Kakak saya bertugas di hospital itu pada hari raya pertama dan kedua sebelum pulang bercuti di kampung selama seminggu. Wallahua'lam.


Indera : Semoga kita temui Lail-el-Qadr pada kembara 10 malam terakhir di mana kita dijanjikan dengan segala keberkatan dan keampunan dari Rabbul Jalil.

9 comments:

ZaKiN said...

sapa izhar tue erk..?? cian kan.. sedih aku.. kkdg aku nak marah gak ngan mat rempit nih. aku penah kena kaco masa kat traffic light masa aku balik keje 2 pagi.. tak bersopan sungguh mereka...!!

~~~tetiba hatiku terbakar ditengahri yg indah ini.. huhuhu~~

INDERA KENCANA said...

Izhar tu lah mamat yang meninggal tu.. Aku ingat lagi nama dia..

Kalo pukul 2 pagi tu, elok maniq sediakan air cili banyak-banyak. Kaco je, simbah dengan dorang dengan air tu. Cili yang disarankan sebaiknya cili padi.. Hahahaha

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Sedih baca entri ini.
Al Fatihah.

INDERA KENCANA said...

Salam Bunga Rampai.
Ya. Kali pertama saya membaca berita tentangnya di akhbar sudah terasa kesedihannya. Dia dilanggar sebelum berbuka.
Bila kakak saya balik bercuti, saya seperti menyangka bahawa kakak saya berada bersamanya sewaktu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Memang sedihlah, kata kakak saya. Terutama apabila melihat airmata dia, seolah-olah dia tahu yang dia tidak akan sempat sampai ke Kuala Lumpur.

kingbinjai said...

sedih.

dalam bulan ramadhan tahun ini pun banyak cerita sedih.

aku sangka berita budak 3 tahun mati di langgar mat rempit semalam sudah cukup sedih.

hari ini, baca suratkhabar, budak mati terbakar dalam kereta. Allah...

banyak kesedihan...

INDERA KENCANA said...

King, Biasanya benda sedih-sedih ni banyak berlaku di bulan Ramadhan. Kenapa ye..??

hakim dirani said...

Mungkin kerana Allah ingin berjumpa mereka padan bulan yang barakah ini.

Membaca tulisan ini membuatkan saya insaf.

INDERA KENCANA said...

hakim, Sedih bila teringat sahabat baik, Asim bekas graduan Universiti Islam Madinah pulang ke Rahmatullah pada 3 Ramadhan dua tahun lepas.

kingbinjai said...

check emel