Monday, September 10, 2007

Mak Yong Halimah II


Pak Yeop Rahim ingin berkahwin lagi. Semua orang sudah tahu. Walaupun perkara ini tidak keluar dari mulutnya sendiri, namun berita itu telah merebak bagaikan api memakan dedaunan kering. Wanita yang digembar-gemburkan menjadi pasangan Pak Yeop Rahim itu adalah seorang guru yang baru berpindah ke kampung kami.

Semua orang mencebik. Semua orang membantah. Dari Mak Yah sehinggakan Mak Cho Teh adik kepada Pak Yeop Rahim sendiri. Mereka tidak suka dengan pilihan Pak Yeop Rahim. Khabarnya guru wanita itu mempunyai sikap yang tidak baik. Jika dibandingkan dengan Mak Yong Halimah, memang seperti bumi dengan langit.

Kononnya guru wanita itu dahulunya sudah berkahwin dengan seorang Jurutera. Jurutera itu seorang Orang Asli. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Entah di mana silapnya, dan ada yang mengatakan bahawa guru itu telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bekerja di kilang yang sama dengan suaminya, guru itu kemudiannya meminta cerai dari suaminya dan pulang ke kampung kami bersama-sama dengan anak perempuannya yang sudah meningkat usia remaja. Namun anak perempuannya itu tidak betah tinggal bersamanya. Lantas guru itu menyewakan sebuah rumah yang berasingan buat tempat penginapan anak perempuannya.

Alangkah lucunya!! Apabila anak perempuannya itu tinggal keseorangan, remaja itu mula menjemput lelaki-lelaki berhidung belang masuk ke rumah. Akhirnya, remaja itu kini sedang mengandungkan anak di luar nikah.

Itulah konon-konon khabar yang sedang bertiup kencang di dalam keluarga kami. Memikirkan hal itu mungkin membangkitkan perkara yang tidak diingini di masa hadapan, seorang ahli keluarga Mak Yong Halimah mengusulkan agar Pak Yeop Rahim menyunting sahaja adik Mak Yong Halimah yang juga sekarang ini hidup menjanda. Sudah tentulah anak-anak Pak Yeop merasakan bahawa kesedihan mereka terubat apabila pengganti ibu mereka itu adalah ibu saudara mereka sendiri. Dari segi kasih saying, sungguhpun tidak akan dapat menyamai, namun sekurang-kurangnya hampir sama.

Namun pendirian Pak Yeop sudah tidak boleh ditukar ganti. Kehendaknya tetap pada guru wanita itu. Tidak seorang pun dari kalangan anak-anak Pak Yeop yang mengetahui akan hal ini sekalipun berita itu sudah menjadi ribut di dalam keluarga kami. Sewaktu Mak mengkhabarkan berita Pak Yeop ingin menikah lagi, hati saya bagaikan tersayat hiba. Saya sedih. Saya sedih bukan kerana pilihan hati Pak Yeop. Tetapi kerana jarak waktu yang terlalu singkat. Masih merah tanah kubur Mak Yong Halimah, Pak Yeop sudah berkira-kira mencari pengganti. Masih belum 100 hari lagi. Ohhh…

Petang Sabtu lalu, Apak pulang dengan tergesa-gesa. Mencari-cari Mak. Sewaktu terpandangkan Mak, Apak sudah bersiap-siap dengan pakaian yang kemas.
“Lekas kita bersiap. Kita pergi ke rumah Ayah Chu Taib. Yeop nak bernikah petang ini..!!”

Mak memandang saya dengan pandangan mata yang sayu. Mata Mak berkaca. Mata saya juga berkaca. Saya dan Mak masing-masing menahan sebak di dada. Sewaktu Apak menghidupkan enjin kereta, Apak mempelawa saya untuk ikut bersama. Tetapi saya menolak.
“Tak nak jumpa Din ke..??” umpan Apak. Apak tahu saya sangat rapat dengan Din.
Saya sekadar tersenyum pahit membayangkan penerimaan Din ketika ayahnya bernikah lagi. Din itu panas baran. Mudah-mudahan tiada perkara buruk berlaku.

Rupa-rupanya anak-anak Pak Yeop sangat terkejut dengan berita itu. Mereka langsung tidak menyangka bahawa Pak Yeop akan berkahwin lagi. Terlalu banyak perkara yang menghiris hati mereka. Pertama, mereka langsung tidak tahu menahu akan hal pernikahan itu. Tentulah sewaktu dikhabarkan tentang majlis pernikahan itu mereka merasa bahawa mereka telah diketepikan oleh ayah mereka sendiri.

Yang kedua, pernikahan itu dilangsungkan terlalu dekat dengan hari kemangkatan arwah ibu mereka. Belum lagi hilang kesedihan mereka, ayah mereka sudah berkira-kira mencari pengganti. Yang ketiganya pula, dari khabar-khabar yang mereka dengar, wanita yang menjadi pasangan ayah mereka itu akhlaknya kurang baik sedikit.

“Sampai hati Ayah buat kami macam ni. Dalam sepuluh anak ayah yang ayah besarkan, tak seorang pun yang Ayah khabarkan tentang hal ini. Sedar-sedar kami dipanggil ke majlis pernikahan ni. Belum pun hilang sedih kami, ayah tega menambahkan luka dalam hati kami..” kata Abang Naim sewaktu majlis pernikahan itu selamat dijalankan. Pak Yeop Rahim langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Tiada simpati di wajahnya.

“Rahim, Mak Chu nak ingatkan. Dah dapat orang baru tu, jangan pula anak yang sepuluh tu dilupakan” kata Opah Chu Timah. Pak Yeop Rahim masih seperti keadaannya. Langsung tidak menjawab sebarang cakap-cakap orang.

Ohhhhh… kenapa begitu lekas Pak Yeop Rahim ingin bernikah. Jika Pak Yeop sunyi, inginkan rakan berbual, Razif anak bongsunya yang menjadi Pegawai Haiwan di Parit itu tinggal bersamanya. Jika keperluan diri yang kurang, Musfirah yang menjadi jururawat di Hospital Manjung akan pulang seminggu sekali membasuh baju, memasak dan mengemas rumah. Cuma tiada rakan untuk bersenda barangkali. Tetapi tidakkah boleh Pak Yeop tunggu barang setahun dua? Setelah itu jika Pak Yeop ingin berkahwin, pasti ramai yang merestuinya.

Pulang sahaja ke kampung, pasangan pengantin itu terus dibawa ke rumah kami untuk berehat sebelum dibawa ke rumah peninggalan Mak Yong Halimah.
“Engkau anak saudara kesayangan Pak Yeop. Pak Yeop harap kamu merestui pernikahan Pak Yeop. Apa pendapat kamu, Indera..??” tanya Pak Yeop kepada saya.

Saya kehilangan kata-kata.
“Pak Yeop pun tahu saya dah anggap Pak Yeop dan Mak Yong macam mak dan ayah saya sendiri. Jika saya ini sudah seperti anak Pak Yeop dan Mak Yong, saya juga merasakan sepertimana yang anak-anak Pak Yeop rasakan..”

Saya rindu Mak Yong Halimah. Saya rindukan senyumannya.

15 comments:

pB said...

Amboi amboi amboi..
tanah kubur isteri masih merah, suami dah cari penganti..

Mudahnyer ...

Kesian kak pB pada anak anak Pak Yeop tu ...

(ke..Pak Yoep dah kena buatan orang???)

indera kencana said...

Entah ler Kak pB,
Mak kata lepas Mak Yong meninggal, cikgu tu tiap2 ari bungkuskan nasi & lauk untuk Pak Yeop.
"Entah apa ditaruknya dalam lauk tu.." kata Mak berleter.

Saya tak berani tuduh sebab saya jahil bab-bab tersembunyi ni. Takut pun nak tuduh..

khairyn said...

Susah nak kata.

samada pak yeop memang sudah teringin sangat nak bernikah lagi sekali atau ada sesuatu disebaliknya. Seeloknya kita doa semoga masing2 terhindar dari fitnah.

BaYu SenJa said...

hmm..
entah la
tak pandai nak mengomen:)

nak marah pun kot-kot orang tua tu amat memerlukan..
hheheh

salam dari bayu..dah lama tak meninggal kesan di sini :)

Sastri said...

hmm... memang sedih... harap2 Pak Yeop bukan 'terkena' apa2 dan niatnya beristeri baru adalah untuk mendapat teman yang boleh menjaga dirinya...

indera kencana said...

Khairyn,
Itulah yang saya harapkan. Semoga bapa saudara saya itu berbahagia dengan pasangan barunya tanpa ada perselisihan dek cakap2 org keliling.. Selamat Berpuasa Khairyn. Walaupun Khairyn jauh, saya harap Khairyn tetap menyambut AidilFitri yang akan datang ini. Jangan kerja sampai malam, OK..

Bayu,
Salam dan bertemu kita lagi. Waahhh.. dah jadi krew TV3 ke..??
Itu yang susahnya bila kita menegur orang tua ini. Tegur salah, tak tegur pun rasa bersalah pula..

Sas,
Saya juga tidak merasakan ada unsur 'terkena' di sini. Ya, harap dia bahagia..

Masy said...

pak yeop tu kaya ke, smpi cikgu tu beriya nakkan dia?

inderaaaaa... nanti jgn macam tu tau~

Bunga Rampai said...

Cerita kehidupan sebegini sering mengacah-ngacah benak ...

Salam Ramadhan untuk Indera dan selamat berpuasa :)

blackpurple @ jowopinter said...

Pokok pangkalnya pada hati dan niat juga. :)

Kalau sudah itu pilihan Pak Yeop Rahim, semoga perkahwinan barunya ini diberkati Tuhan. Amin.

Adinina said...

Selamat Berpuasa Indera! Sudah lama x jengah ke sini..bz..blog sendiri pun x sempat update.

achik said...

selamat berpuasa en indera.. :)

Achik_Sufi said...

salam ramadhan...moga ramadhan menjadi medan ibadah buat indera...

kingbinjai said...

dah jodoh

dude, selamat berpuasa

ah kim said...

Salam Ramadhan.

indera kencana said...

Masy,
Hanya orang kampung biasa. Banyak harta warisan.
Insya-Allah saya tidakkan begitu. Namun hanya Allah yang menentukan segalanya.

Salam Bunga Rampai,
Sebuah kisah stereotype masyarakat Melayu. Selamat berpuasa juga buat Bunga Rampai..

Bro BP,
Mudah-mudahan begitu hendaknya

Nina,
Selamat berpuasa juga buat Nina. Saya tunggu juga bila Nina nak update blog

Achik,
Selamat Berpuasa juga buat Cik Balkish :D

Achik Sufi,
Salam Ramadhan juga buatmu dik... Ramadhan juga medan perjuangan melawan hawa nafsu. Hendak pula di Malaysia.. Aduuhhh dengan Bazaar Ramadhannya..

King,
Ha,ah... nak buat macam mana, ye tak..?? Selamat Berpuasa.

Ah Kim,
Solly la blo Ah Kim. Wa manyak sibuk la lately sampek wa pun talak cukup masa mau komen lekat lu munya blog. Lanti wa komen sama lu ok!!