Friday, November 30, 2007

Kita Sama-Sama Manusia....


"Macam mana ni Indera. Aku dah bagitahu banyak kali dah. Engkau nak aku ulang berapa kali? Setiap kali aku tanya, faham tak? Engkau cakap faham. Tapi bila buat kerja macam hampas. Apa ni?" tengking Abang Ngah.

"Abang Ngah. Tolonglah faham. Saya dah buat yang terbaik. Tapi kalau hasilnya tak macam mana yang Abang Ngah nak.. baiklah saya mengaku, itu adalah kelemahan saya".

"Indera. Aku harapkan setelah sekian lama, engkau akan menjadi 'Menteri'. Tapi rupanya engkau masih tetap seorang 'Pendayung Bahtera'. Sudahlah... aku nak balik. Buat menyakitkan hati aku je duduk kat office ni lama-lama"

Paaaannnggg!! Pintu pejabat ditutup dan dihempas. Saya terduduk.

**************

Pada zaman dahulu, terdapat seorang raja yang adil memerintah Kerajaan Ayutthaiyya di Siam. Kegemaran raja ini akan mengembara dengan menaiki bahtera. Adapun, ketika mengembara, baginda akan membawa bersama menteri-menteri baginda serta juak-juak istana yang bertindak sebagai pengayuh bahtera itu.

Pelayaran ini biasanya akan merentasi hutan tebal, perkampungan rakyat jelata, pelabuhan yang sibuk dan tidak kurang juga melalui jurang-jurang gunung yang sempit. Baginda amat menyukai pemandangan yang dikurniakan oleh Tuhan ke atas negara yang diperintahnya.

Selalunya ketika dalam pelayaran itu, baginda akan berbaring-baring atau duduk bermalas-malasan bersama para menteri sambil membicarakan soal rakyat. Dengan duduk secara santai itu, raja serta para menteri akan lebih selesa mengeluarkan pendapatan tanpa ada rasa tertekan yang boleh membantukan buah fikiran. Kadang-kadang raja dan menteri-menteri itu duduk menikmati alunan tiupan seruling dari biti-biti istana.

Hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di sanubari Loy, seorang juak-juak yang menjadi pendayung bahtera itu. Lantas Loy menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Chun tentang ketidaksamaan layanan raja terhadap juak-juak dengan menteri diraja.

"Engkau lihat, menteri-menteri itu bersenang lenang berehat di dewan diraja. Sedangkan kita di sini berhempas pulas mengerah tenaga mendayung bahtera ini. Apa bezanya kita? Bukankah kita sama-sama manusia?" kata Loy. Chun hanya terdiam.

Perjalanan mereka lancar menyongsong arus. Akhirnya bahtera itu sampai di tepi sebuah kampung berhampiran dengan pelabuhan. Hari sudah merangkak gelap lalu baginda raja mengusulkan agar bahtera itu berhenti belayar sementara menanti hari esok. Sekelian anak kapal tiada bantahan.

Malam sunyi dengan bintang bergemerlapan di langit tinggi. Tiba-tiba tidur baginda raja terganggu dek salakan beberapa ekor anjing di kawasan berhampiran. Malam kian larut namun mata baginda raja tetap enggan lena. Baginda kemudian keluar dari kamarnya dan mengejutkan Loy yang sedang enak diulit mimpi.
"Bangun!! Cuba kamu pergi tengok, bunyi bising apakah itu?" tanya raja.

Dengan perasaan yang jengkel, Loy bangun lantas pergi ke tebing sungai melihat bunyi bising itu. Hanya bunyi anjing.

"Bunyi itu bunyi suara anjing, Tuanku" kata Loy

"Cuba kamu pergi tengok anjing itu jenis baka apa?" perintah raja

"Baik"


Sekali lagi Loy terpaksa ke tebing.

"Anjing itu baka tempatan, Tuanku" kata Loy

"Cuba kamu lihat berapa ekor yang besar dan berapa ekor yang kecil" perintah baginda.


Sekali lagi Loy terpaksa berpatah ke tebing.

"Ada seekor anjing yang besar dan 4 ekor yang kecil" kata Loy mengetap bibir menahan geram.

"Cuba kamu lihat warna apakah anjing-anjing itu" perintah raja lagi.


Loy semakin kepenatan menuju ke tebing sungai.

"Ada seekor berwarna hitam, dua ekor berwarna putih, seekor berwarna oren dan seekor lagi berwarna coklat"

"Kepunyaan siapakah anjing itu?" tanya raja lagi.


Jiwa Loy semakin huru-hara dibikin oleh raja itu.

"Anjing itu kepunyaan seorang sami, Tuanku" kata Loy dalam kepenatan.


Raja itu kemudian mengejutkan salah seorang menterinya yang sedang berdengkur.

"Bangun. Pergi kamu lihat bunyi apakah bising sangat itu" perintah raja kepada menteri.


Menteri itu bangun lantas bergerak menuju ke tebing. Sementara Loy diarahkan supaya menunggu di sisi raja. Menteri itu pergi lebih lama daripada masa yang diambil oleh Loy. Setelah beberapa ketika, menteri itu pulang membawa sembah.

"Ampun Tuanku. Adapun bunyi itu adalah bunyi salakan anjing daripada kuil yang berhampiran. Anjing itu adalah baka tempatan dan terdapat 5 ekor semuanya. Ibu anjing itu berwarna hitam bersama 4 ekor anaknya yang 2 ekor berbulu putih, seekor berbulu oren dan seekor lagi berbulu coklat. Anjing-anjing itu semua kepunyaan sami yang menduduki kuil itu Tuanku" sembah Menteri itu.

Setelah itu menteri itu dibenarkan meneruskan tidurnya. Tinggallah Loy bersama-sama raja itu.

"Kamu tahu kenapa kamu menjadi pengayuh bahtera sedangkan dia menjadi menteri beta? Kamu terpaksa berulang alik sebanyak 5 kali untuk menjawab soalan beta sedangkan dia hanya perlu pergi sekali sahaja. Itulah yang membezakan kamu dengan dia walaupun kita sama-sama manusia.."

*******************
Ya. Kita sama-sama manusia. Saya masih Pendayung Bahtera rupanya....

Indera
Shah Alam (1999)

16 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Dari satu perspektif, sebenarnya manusia boleh menjadi ketiga-tiganya; raja, menteri dan
pendayung bahtera. Dalam waktu yang berlainan, siatuasi yang berlainan dan tempat yang
berlainan. Contohnya, seorang Menteri Perdana misalnya [tak perlulah
menyebut negara mana] kadang-kadang berfikir seperti raja, kadang-kadang pula seperti
menteri tapi selalunya berfikir dan bertindak seperti pendayung bahtera.

Sastri said...

hmmm... pendayung jika berusaha untuk memperbaiki diri pun, boleh naik menjadi menteri juga kan? tapi kenapa agaknya segelintir menteri di sebuah negara tu, lagaknya dan cara berfikirnya lagi teruk dari pendayung ek?

Achik_Sufi said...

adakalanya pendayung bahtera lebih mulia dari sang raja...kerana taqwalah yang menentukannya.

p/s;lama x menjenguk indera kerana sedang sibuk membina semula blog...

HAPPYIRFA said...

salam indera..
sapa reka citer menteri dan pendayung bahtera tu?awak reka sendiri ker?kagum sungguh sy membacanya.sbb selalu gak komplen bila dengar bos gelak kuat2 dlm bilik dia dan sy kat luar mesti ckp..'keje sikit,gelak jer kuat.aku pun buleh jd bos kalau camtu'he he

asr said...

Itu tahun 1999, la dah jadi menteri kan? ke raja?

:)

Masy said...

ermm.. mendalam maksud entry ni. tp rasanya sy faham apa yg Indera cuba sampaikan :)

mmg sesetengah org perlu diberi arahan yg detail - utk mengelakkan diri dikatakan memandai², manakala ada sesetengahnya pula tidak begitu - utk mengelakkan dikatakan lembab. manusia mmg sama, tp pemahaman dan cara memahami tetap berbeza.

menteri tidak ke mana klu tiada pendayungnya :) chill man~ (ahahaha)

achik said...

bak kata masy, tanpa pendayung siapalah menteri..

Sang Perba said...

indera
apa khabar? harap2 baik hendaknya...ya kita masih sama-sama manusia kerana itu kita berbeza. kerana setiap manusia memperjuangkan nasib yg sama untuk menentukan kehidupan...kerana manusia biasa hanya berfikir dengan akal...manusia pintar berfikir dengan akal yang bijaksana dan manusia yang hebat akan berfikir dengan akal yang bijaksana dan hati yang suci...

kingbinjai said...

wow hebat

pB said...

itu cerita tahun 99.
Sekarang dah 2007.

mesti dah banyak berubah , kan ?

zwitterion said...

maksud yg mendalam..

bluecherry @ fai said...

indera, menjadi pendayung bahtera tak bermakna tak boleh menjadi menteri.. boleh 'belajar' menjadi Menteri.. dan boleh lebih baik dr Menteri kerana Menteri tak pernah jadi pendayung.. he he

Lama2 tulis, den jadi tak paham laa pulak..

apa pun, we are the one who responsible to change ourelf for better future.. fuyooo. (mcm tak caye je den kabo demikian)

Su Rahim said...

Assalamualaikum Indera. Saya Su, kawan Azam yang di London tu. Saya suka membaca kisah2 & pengalaman2 Indera especially semasa di kampung sebab saya pun pernah membesar dalam suasana kampung di Layang2 Kanan, Parit. Teringat zaman kecik2 dulu masa tinggal dengan arwah opah. Well, keep on writing. Saya rasa, saya pun nak start menulis lah lepas ni...hehehe

indera kencana said...

Bro BP,
Begitulah keadaan manusia berfikir. Kerana itu manusia akan jatuh ke tahap lebih rendah dari haiwan sekiranya tidak mahu menggunakan akal fikiran.

Sas,
Nasib Pendayung boleh berubah jika pendayung itu sanggup bersusah payah mengubah nasibnya. Kita manusia punya kemampuan yang sama di sisi Allah. Menteri lebih buruk dari Pendayung kerana dia enggan menggunakan akal serta langsung tidak mensyukuri nikmat kurnia Allah.

Achik Sufi,
Setuju. Hanya taqwa yang membezakan manusia di sisi Allah.
Cantik laman baru...

Ifra,
Cerita ini adalah cerita rakyat Benua Siam. Memang lama tak dengar dah. Saya jumpa dengan text ini hanya sekali.

Azam,
Eh...belum. Masih tahap Pendayung lagi. Tapi dah ada 2 calit la. Pangkat Koperal sekarang ni..

Masy,
Kita manusia saling sokong menyokong. Macam Masy dengan Mamak tu..:P

Achik,
Tanpa pengundi hantu, siapa la mereka itu, kan??

Zam,
Akal yang pintar memisahkan seseorang itu dari tipu helah.
Woiii bang... awat lama tak hapdate blog..??

King,
Siapa? Aku ke? Aku malu la.. jangan puji lebih2..

Kak pB,
Sekarang ni jangankan Pendayung, Tukang Bancuh Air pada Pendayung tu adalah.. Huhuhuhuhu..

Zwit,
Mendalam ke..?? Takde la. Cuma saya sukakan falsafah citer ni..

Cherry,
Takpe, kita paham antara satu sama lain.
Dah boleh tinggalkan komen kat blog cherry ke..??

Sue,
Sue ni wifa Mozak, kawan baik Azam tu..?? Orang Senin tu..?? Betul kan?? Selamat datang berkunjung.
Nantikan garapan terbaru dari Sue

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Entri ini penuh dengan pengajaran. Terima kasih.

Pinangso Loro said...

bro... bagus lah cerita ni.. boleh tak satu masa nanti I letak kat blog I... pasti ramai yg suka... pleaseeeeeee!!!!