Tuesday, December 11, 2007

Terkenang Semasa Dulu.. (Sekolah Ayam)


Seekor labah-labah
Cuba panjat perigi
Bila hujan turun
Labah cepat lari
Terbit matahari
Air tiada lagi
Labah cuba panjat
Sekali lagi...

Suara itu bergema sewaktu saya melangkah masuk ke rumah berbentuk kotak berwarna kuning yang terlepap di atas tanah itu. Semua orang tahu, itu namanya Sekolah Ayam. Kata Kak Wok, cuma itu sahaja sekolah tadika yang ada di kampung itu. Sekolah tadika? Dulu pernah juga saya mendengar perkataan itu. Tetapi cuma beberapa hari sahaja. Sesudah itu semua orang memanggil pondok itu sebagai Sekolah Ayam. Dulu sewaktu saya berusia 4 tahun, Apak cuba memasukkan saya ke Sekolah Ayam itu, tetapi tidak dibenarkan oleh Cikgu Ros. Cikgu Ros kata, saya masih terlalu kecil. Setahun kemudian baru saya dibenarkan.

Hanya Opah Esah yang mengiringi saya masuk ke pondok. Mana Apak? Mana Mak?. Opah Esah kata, Mak dan Apak ke sekolah mengajar budak-budak besar. Saya yang masih kecil ini mesti belajar di sekolah budak-budak kecil dulu.

Sewaktu saya melangkah masuk itu, nyanyian budak-budak yang rata-ratanya sebaya saya itu terhenti. Mata mereka memandang tajam ke arah saya seolah-olah saya ini datang dari planet asing. Maklum sahaja saya masuk mendaftar terlewat 3 hari dari tarikh sebenar. Selama 3 hari itu juga, budak-budak yang bersekolah di pondok itu tidak pernah melihat wajah saya. Hanya itulah kali pertama.

Opah Esah kemudiannya keluar dari pondok itu dan berdiri di tingkap melihat saya. Bagaimana kalau Opah Esah meninggalkan saya? Bagaimana saya mahu pulang ke rumah? Di hadapan sekolah terbentang sebatang jalan yang lebar. Mak selalu pesan jangan main hingga ke jalan besar. Ada banyak kereta yang laju-laju. Kalau dilanggar, boleh mati. Jadi bagaimana saya ingin pulang nanti kalau Opah Esah meninggalkan saya?. Saya mulai takut. Bukan takut pada kanak-kanak itu semua yang masih memandang tajam ke arah saya, tapi saya takut ditinggalkan. Saya takut nanti saya tidak dapat pulang ke rumah. Diculik oleh orang lantas dijadikan sebagai anaknya sendiri, ohhh... takutnya saya. Rasa takut itu semakin membesar sehingga menjadi cemas. Hati saya menjadi hiba lantas di mata saya bergenang air jernih. Airmata saya mengalir. Kemudian pecah tangisan saya.

"Opahhhhh.... jangan tinggalkan Indera!!!"

"Ishh... tak adalah. Opah kan ada kat sini" kata Opah Esah.

Saya melangkah ke jendela yang ditutupi dengan jaringan dawai besi itu yang memisahkan saya dengan Opah Esah. Ketinggian saya hanya separas pinggang orang dewasa sahaja. Kerana itu saya tidak berupaya mencapai tangan Opah Esah. Saya mendongak memandang Opah Esah sambil wajah saya rejuh dengan airmata.

"Opahhhhhhh....!! Opahhhh... Indera nak ikut Opah. Indera tak mahu duduk sini" tangisan saya semakin meninggi.

Budak-budak seramai 20 orang itu sekeliannya terkalap memandang saya. Seorang tidak berani membujuk saya. Mujur Cikgu Ros segera datang menyelamatkan keadaan.

"Ehhhh... Indera. Tak mau nangis. Tak mau nangis. Indera budak baik, kan?. Nak takut apa.. tu kawan-kawan ramai. Semua nak kawan dengan Indera. Kalau menangis macam ni, nanti orang tak mahu kawan dengan Indera.." kata Cikgu Ros.

"Indera nak balik"

"Nak balik buat apa..?? Kat sini banyak kawan. Ada permainan. Ada makan. Ada minum. Seronok kan?" pujuk Cikgu Ros lagi.

Usaha Cikgu Ros memujuk saya memang berhasil. Setelah diberi dengan selembar kertas lukisan dan beberapa batang crayon, saya tenggelam dalam dunia saya.

"Siapa nama awak?" tanya budak perempuan yang duduk di sisi saya. Turut mewarna lembar kertas lukisan yang sama.

"Indera Kencana. Nama awak sapa?" tanya saya pula.

"Lailatul Nadzirah"

"Lett... Lai.." kata saya tersekat-sekat, cuba mengulanginya. Sukar benar menyebut nama budak ini!!

"Lailatul Nadzirah"


Pandangan saya terus mengarah ke arah jendela. Opah Esah tiada di situ!! Mana Opah? Mana Opah? Saya mulai tidak keruan. Cepat saya melangkah keluar.

"Indera... Indera nak pergi mana tu?" suara Cikgu Ros menikam gegendang telinga saya. Langsung tidak saya pedulikan. Saya mencari-cari Opah Esah di sekeliling pondok itu. Memang tiada!!!

Airmata saya bertakung kembali cuma tiada lagi jerit tangis. Sepanjang hari saya membungkus diri berpeluk tubuh. Enggan mahu ikut serta budak-budak itu semua menyanyi dan menari. Tiba-tiba saya merasakan perut saya memulas-mulas. Biasa jika sebegini ada Kak Wok yang menemani ke tandas. Marah benar Kak Wok jika jeritan saya mengganggu ilhamnya mengarang surat cinta buat kekasih hatinya, Abang Jali. Berkicau-kicau mulutnya marahkan saya. Tapi sebentar sahaja sebab sesudah anginnya baik, Kak Wok tidak marah lagi.

Di sini Kak Wok tiada. Tiada orang dewasa melainkan Cikgu Ros. Ingin saya nyatakan pada Cikgu Ros tetapi saiz badan Cikgu Ros yang besar itu menakutkan saya. Perut saya semakin sakit. Akhirnya gagal saya tahan dan terhambur ke dalam seluar.

Serentak dengan itu, bau busuk mengisi ruang pondok kecil itu.

"Hieeee... busuknya!!" kata Iswandi menutup hidung.

"Uweekkk... Cikgu, Indera berak dalam seluar" kata Nur Atikah.

"Busuknya...."

Saya takut. Takut dimarahi. Kalau di rumah, sekiranya saya terbuang air dalam seluar, Apak akan memiat telinga. Sakit!!! Cikgu Ros mesti marah!!

"Indera, mari sini dapat cikgu.." panggil Cikgu Ros.

Saya bangun. Terkaku berdiri di dinding. Cikgu Ros tersenyum. Kemudian dia mula mengatur langkah mendapatkan saya.

Mesti. Saya yakin. Cikgu Ros mesti akan menarik kuping telinga saya. Macam Apak selalu buat kalau dia marahkan saya. Cikgu Ros kian menghampiri saya. Saya mengigil.

"Tak nak... tak nak" kata saya. Tidak ingin dipiat telinga atau dipukul.

"Tak nak apa, Indera?" tanya Cikgu Ros.

"Indera kena cuci punggung dan seluar tu.." kata Cikgu Ros.

"Tak mahu!!!" jerit saya ketakutan sebelum menghambur diri keluar dari sekolah tadika itu. Habis jalan besar itu saya redahi. Mujur sahaja tiada kenderaan yang melalui jalan ketika itu. Jika tidak pasti saya sudah tinggal nama.

"Indera, Tungguuuuuuu..." laung Cikgu Ros. Saya tidak peduli.

Saya terus berlari pulang. Dari seberang jalan itu saya boleh lihat rumpun Pohon Ara yang terletak tidak jauh dari rumah Mak. Terus saya berlari ke rumah menangis melolong dalam dakapan Kak Wok.

Sejak dari hari itu saya tidak mahu ke sekolah lagi. Mak dan Apak tidak mahu mengkerasi saya kerana saya hanya berusia 5 tahun pada waktu itu. Biarlah dia duduk di rumah dulu, kata Apak.

Tidak kau kasihan
Ku menanti kepadamu selalu
Biar ku rasa bosan
Hati ku tetap pada mu

Beginilah hidup dalam dunia
Selalu sama saling bercinta
Marilah dinda pujaan kesuma
Mengikat janji asmara

Saya kenal suara itu. Itu suara Abang Jaafar, jejaka kampung bujang terlajak yang jatuh hati pada Kak Wok. Menyanyi lagu Dara Pujaan dendangan L.Ramlee di hadapan halaman sewaktu Mak dan Apak tiada di rumah.
"Kak Wok!! Kenapa Kak Wok tutup tingkap?" saya bertanya.

"Huhhh... menyampah Kak Wok tengok dia. Mengada-ngada" gerutu Kak Wok.

Kalau menyampah, kenapa pula tingkap yang ditutup? saya kehairanan.

Saya pun menyampah tengok Abang Jaafar. Setiap kali dia ternampak saya bermain dengan Itah di pinggir semak berhampiran dengan rumah Pak Mad Mompi tu, mesti dia akan mengusik saya dengan lagu Can Mali Cannya itu.

Di mana dia
Anak kambing saya
Anak kambing saya
Yang makan pucuk getah

Di mana dia
Cinta hati Indera
Cinta hati Indera
Budak yang nama Itah

Huhh... meluat tengok Abang Jaafar tersengih-sengih.

Setelah sekian lama saya hanya berkeliaran seperti kanak-kanak gelandangan di waktu pagi, Mak dan Apak memasukkan saya ke sekolah harian seperti kanak-kanak berusia 7 tahun walaupun saya belum cukup umur. Saya berada di Darjah Satu selama 2 tahun. Sewaktu saya di Darjah Satu yang sebenarnya, saya bertemu semula dengan kanak-kanak yang berada di Sekolah Ayam dahulu. Cuma saya ketika itu sudah lebih terdedah pada kurikulum sekolah rendah.

4 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Salam Indera,

Sewaktu membaca komen kau di blog Jowo Pinter itu, cepat-cepat terus ke sini. Iyelah! Gambar yang hampir serupa. Kisahnya juga yang ada persamaan temanya. Bezanya mungkin zaman yang berbeza, cerita dan pengalaman yang berbeza.

[Entri retrospektif aku itu agak panjang. 4 siri kesemuanya, sekarang baru siri ke-2.

:D

Masy said...

salam indera..
hehehe sampai terkucil dlm seluar ya! masa sy skolah rendah dulu, sy cukup geram dgn budak2 yg terkucil dlm seluar. bkn apa, yg mencucinya nanti mesti Abah - guru besar le katakan - memandangkan cikgu2 lain mesti cari jalan mengelak utk cucikan. geram betoi!!! hahah

achik said...

salam..

adeh.. tahan gelak baca n3 ni.. hehehe.. ;p

Bunga Rampai said...

Salam buat Indera,

Hahaha ... memang gelak habis baca kisah tadika tu ...

Saya tersentuh dengan lagu anak kambing yang menyelitkan nama Itah ... kalau Indera paparkan cerita tentang Indera dan Itah bermain-bermain di pinggir semak tu, rasanya menarik ...eh,eh, ke situ pula saya:-D