Sunday, May 04, 2008

1234

Satu... kasih yang abadi
Tiada tandingi Dia yang satu
Dua... sayang yang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya Ibu

Bait-bait itu bagaikan mendodoi saya yang terlena di sepanjang jalan.
"Indera, bangun..!! Kita sampai doh ni weii!!" suara Armizam sayup-sayup menyusup ke telinga.
"Hiee... kacaulah" kata saya menepis-nepis tangan Armizam yang mengoncang-goncangkan kepala saya. Begitulah rasminya dia setiapkali mengejutkan saya dari tidur.
"Weeiii, bangun!! kita doh nok sampei kat Pusat Islam dah ni"
"Mende awok nih!!" saya mula naik radang bila dikejutkan seumpama itu.
"Awok tidur lagi, koi tinggei awok dalam bas ni... bior terkejut sampei KL balik" kata Armizam mengugut saya. Kata-kata Armizam itu berjaya membuka mata saya seluas-luasnya.

Rupa-rupanya bas yang kami naiki sudah melewati Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Budak-budak perempuan yang menghuni Kolej Cempaka dan Kenanga menderu-deru turun menjadikan bas itu separuh penuh sebentar. Namun seketika, kembali diisi oleh pelajar-pelajar ITM yang ingin menuju ke Kuala Lumpur pula. Setelah 3 minit, bas itu menyambung perjalanannya melalui Pusat Islam ITM. Di situlah saya dan Armizam akan turun untuk pulang ke asrama kami di Kolej Delima.

Setelah beberapa meter bas itu bergerak, budak-budak lelaki dari Kolej Perindu yang duduk di bangku hadapan bersiul-siul sambil menjelirkan lidah ke arah pelajar perempuan yang sedang berlenggang kangkung menuju ke Kolej Cempaka Kenanga itu. Saya sekadar menggeleng-gelengkan kepala.

Matahari petang jam 4 masih lagi terik memancar di langit. Untuk berjalan pulang ke asrama kami yang terletak suku batu daripada perhentian bas di Pusat Islam itu sudah pastinya agak memenatkan.
"Aku letihlah Armi. Jom kita naik tidur kat Pusat Islam tu nak? Kat situ sejuk sikit..." cadang saya.
"Kalau nak tidur, balik kolej!!! Nak tidur sampai esok pun tak ada orang yang nak bising".
Geram betul saya pada Armizam ini. Kadang-kadang perangai menyakitkan hati. Langsung tidak boleh dibawa berunding langsung.

"Apa salahnya kita tidur kat Pusat Islam tu..?" saya tidak puas.
"Memang tak salah. Tapi aku nak tanya engkau, Pusat Islam tu apa? Tempat memasak?" tanyanya dengan sinis.
"Lainlah kalau engkau tu sepanjang waktu sembahyang memang tak pernah terlepas takbir yang pertama. Ini aku tengok engkau sembahyang pun dah hujung-hujung waktu.." katanya membebel. Sesekali dia tersenyum bila melihat saya menarik muka masam terkuncam.

Dengan langkah yang gontai, saya mengekori Armizam dan beberapa kumpulan pelajar yang menghuni di Kolej Delima dan Perindu itu pulang menuju ke destinasi masing-masing. Tiba sahaja di tepi bangunan Asrama Kolej Delima Satu, saya segera menuruni anak tangga yang mengarah ke amphitheater ITM. Dari Amphitheater itu, ada satu lorong kecil yang mengarah ke asrama saya di Delima Enam tanpa perlu melalui asrama Armizam di Delima Tujuh.
"Weiii... nak ke mana tu? Ikut jalan ni la oiii" kata Armizam.
"Malaslah. Ikut tu jauh. Kalau engkau nak lalu ikut jalan tu, engkau jalanlah sendiri. Aku tetap nak ikut jalan ni" kata saya berdegil.

Mungkin memikirkan betapa bosannya berjalan kaki sendirian, Armizam mengalah. Dia membuntuti saya menyusuri kolej pelajar perempuan itu.
"Pheeeewwiiitt..!!" kami mendengar siulan pelajar perempuan dari tingkat atas asrama. Kami mendongak mencari-cari dari mana datangnya suara siulan itu. Namun kelibat empunya suara itu langsung tidak kelihatan.
"Itulah engkau. Nak sangat ikut jalan ni. Kan dah kena ngorat. Patut-patut kita yang mengorat diaorang!!" gerutu Armizam. Saya hanya tersengih.

Sewaktu sampai ke Amphitheater itu, tiba-tiba saya terpandang barisan pokok rambutan gading yang ditanam oleh pihak pengurusan ITM di sepanjang teres bukit di atas Amphitheater itu.
"Armi.. engkau tengok tu. Huuiiii... banyaknya rambutan!! Jom kita ambil nak?"
"Jom.."


Pokok rambutan gading itu hanya separas kepala kami sahaja. Tetapi buahnya.... Mak datuk!! punyalah banyak. Saya dan Armizam berebut-rebut merabut tangkai-tangkai rambutan itu.
"Buka beg engkau.. kita isi dengan buah rambutan ni" kata saya.
"Habis tu, buku koi ni letok mana?" kata Armizam banyak soal.
"Awok pegang le..."

Sebahagian daripada rambutan itu kami isi di dalam beg. Setelah selesai, kami duduk diam-diam di bawah pokok rambutan itu sambil enak-enak menjamu selera.
"Aku ingatlah kan Indera, lepas koi habis belajor nanti, koi nak jadi artis" kata Armizam berangan.
"Artis apa engkau nak jadi?"
"Koi nak jadi penyanyi" katanya sambil tersenyum.
"Elehhh.. suara pun macam Encik K, ada hati nak jadi penyanyi" kata saya mengejek.
"Encik K? Siapa Encik K tu..?" tanya Armizam gagal menangkap maksud saya.

Saya ketawa terbahak-bahak di bawah pokok rambutan itu. Armizam masih lagi belum dapat menangkap maksud K itu. Mulutnya terkumat-kamit seperti menghafal sesuatu. Tiba-tiba dia menjerit.
"Katak!! Engkau kata aku katak ye??" kata Armizam terus mencekik leher saya. Langsung kami bergumpal bergusti di bawah pokok rambutan itu. Ketawa kami kemudiannya membelah kesunyian sehingga sampai ke hujung Bukit Tonggek.

"Engkau tengok aku nyanyi.." katanya.
"Lagu apa engkau nak nyanyi?"
"Biasalah. Lagu abang akulah. Aris Ariwatan. 1234"

Satu... Kasih yang abadi
Tiada tandingi Dia yang satu
Dua... Sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya Ibu

Tiga... Lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya Ayah
Empat... Mudah kau ketemu
Berhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih

Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambutku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat panduan
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus engkau renungkan

"Dah...!!! tepuk tangan!!" kata Armizam pada saya yang terkebil-kebil memandangnya menyanyi tanpa silu di atas teres bukit di Amphitheater itu.
"Macam mana? sedap tak suara aku?" tanyanya lagi.
"Aku rasa kita kena balik asrama. Aku tak sembahyang Asar lagi ni.." kata saya. Giliran Armizam pula masam terkuncam apabila melihat saya berlalu tanpa memberikan sebarang komen.

Sampai di asrama, budak-budak di asrama itu bersorak kesukaan apabila kami dengan bermurah hati bersedekahkan rambutan milik pengurusan ITM.
"Mana korang dapat rambutan ni?" tanya budak-budak itu.
"Tuuu... kat atas Amphitheater tu... kalau korang nak banyak, pergilah kutip sendiri" kata saya.

Akhirnya rambutan yang banyak itu habis dikendurikan oleh budak-budak asrama kami. Tuan Penggawa dan Pegawai Penempatan asrama hanya sekadar berputih mata.

Dalam satu ucapan Penggawa sempena majlis jamuan akhir semester, Tuan Penggawa menyatakan kekesalannya terhadap sikap nakal kami. Antara ucapannya ialah..
"... kalau awak tengok pokok rambutan di sekeliling asrama tu, harus diingat, itu bukan awak yang punya ye!! Musim rambutan yang lepas saya dapati ada beberapa orang pelajar nakal yang dah kendurikan rambutan-rambutan tu semua. Saya percaya mesti ada dalangnya tu..."

Saya dan Armizam sekadar berbalas pandangan....

Indera : Sewaktu pulang ke Rawang semalam, Radio Sinar FM menyiarkan lagu ini. Terkenangkan kenangan di ITM.

15 comments:

asr said...

Bessnya rambutan... sat lagi aku nak beli rambutan dalam tin lah! Sambil makan nanti aku nyanyi...

Wujud mu disiniiii di tanah anak merdekaaaaa, bagai obor ilmuuu memayungi putra putrinyaaaa....

Tepuk tangan! hahahaaa...

indera kencana said...

Azam,
Pandai engkau nyanyi lagu ITM
**sambil terkebil-kebil bijik mata**

Masy said...

bestnyeee rambotan! oh dah ade org nyanyi lagu ITM ehheheheheh *garuk paler tanda gagal hafal smpi skang*

btw, sy dulu pon nakal jugek. bersekongkol dgn kawan2 - mencuri di kedai. tp tak pernah sekali sy makan hasil curian tu - tau pulak berdosa. padahal bersubahat tu pon berdosa jugak ahahahahaha~

KAMATO said...

ingat kecik2 dulu, bukannya takda rambutan kat rumah...tapi kalau dapat kebas rambutan kebun wak man masa balik sekolah, seronoknya....

indera kencana said...

Masy,
Subahat tu samalah dosanya dengan merembat walaupon tak makan... (Haaa... baik taubat byk2 cepat!!)

Abang Kamato,
Laaa... abang ke yang rembat rambutan Wak Man dulu. Patut orang tua tu asik komplen kata rambutan dia asik dikebas dek orang jek... hehehehe...
Bulan Ogos nanti cadang nak pi Ijok. Nak singgah umah Mak Ayah abang... Boleh ke..?? Tapi Ani kena ada. Kalau tak segan..!!

Lan Rambai said...

cheh.. lagu tu x sangkut paut dgn isi cerita curi rambutan hahaha

fajar said...

Salam Indera,

Wah, membaca nostalgia ini menitipkan senyum di bibir. Bijak sungguh bermain kata.
;)

KAMATO said...

Silakan tapi bagitau dulu, insyaallah masa tu saya dah ada di msia, nanti saya bagitau ani

achik said...

saya suka lagu tu.. err nape dengar lagu tu buleh teringat kisah curi rambutan lak??? hehehe.. ;)

kingbinjai said...

oh aku sgt suka lagu itu. aku pernah menyanyikannya ketika adib dalam kandungan :)

khairyn said...

oh koi tak berapa suka rambutan sebab malas kopek.. tu dia malas tahap dewa dewi tu. Tapi kalau dah siap kopek tu lajuuu jer. Lebih-lebih lagi bila dah disejukkan dalam peti ais. Yummy!

Kat sini dapat rambutan kecut jer laaa huhuhuhu

fajar said...

haah. betul tu khairyn. dah le kecut. jual mahal pulak tu. 6 biji dekat 2 pound! gila ke apa.

bluecherry @ fai said...

waa, sedapnya rambutan tuuu.

Bunga Rampai said...

Senyum-senyum membaca tulisan ini. Bab ambik rambutan tu mengingatkan saya masa kecik-kecik dulu, panjat pokok rambutan kat kebun orang, belum pun seperempat pokok dipanjat dah menjerit terus lompat ke tanah - digigit kerengga merah! Hehehe ...

Salam buat Indera Kencana, moga baik-baik saja :)

indera kencana said...

Lan,
Laaa... Tak de sangkut paut ke?

Fajar,
Terima kasih... kadang-kadang kenangan lampau boleh datang dengan pelbagai cara lantas mengusik hati dan nurani..

Abang Kamato,
Insya-Allah... Mungkin jika diizinkan, ingin juga bertemu dengan Abang "Meja" Hamiza... Kata Ani, keluarga Abang Meja berjiran dengan keluarga Abang..

Achik,
Sebab lepas kitaorang mem"pawah" rambutan tu, saya disajikan dengan nyanyian lagu tu..

King,
Lagu tu ada mesej yang indah...
Engkau pegi mana ni lama tak dengor citer..??

Khairyn,
Kalau macam tu, bila teringat nak makan rembutan, kena la beli yang dalam tin. Hanya dengan satu langkah mudah, terus sedia dihidang...

Fajar,
Haahhh..?? yang sudah kecut pun harga berdentum-dentum...
Wahhh... hanya mereka yang ber-uang sahaja yang mampu menikmati rambutan kalau begitu. Tapi di Mesia, rambutan terbiar tanpa berusik di belakang rumah..

Cherry,
Silalah kita nikmati bersama..!! :D

Bunga Rampai,
Moga Bunga Rampai juga baik-baik sentiasa...
Hairan juga ya kenapa kerengga gemar menghuni dahan rambutan? Mungkin rambutan itu manis barangkali :D