Tuesday, May 20, 2008

Darah Jenis Apa? O? A+?


Saya selalu mengagumi orang Jawa. Selalu berangan-angan bahawa saya sebahagian dari masyarakat etnik tersebut. Bangsa Jawa – sebuah bangsa tertua di Nusantara. Ada yang berpendapat bahawa bangsa ini adalah kelahiran daripada seorang anak Nabi Allah Nuh A.S yang bernama Jawi yang kemudiannya membina penempatan di sekitar Nusantara.

Mereka sudah mempunyai ketamadunan mereka tersendiri. Cara hidup mereka agak berbeza dengan bangsa Siam yang berjiran dengan mereka yang kebanyakan mendiami Kerajaan Siam Ayutthaiya – Kedah. Bangsa Jawa kaya dengan nilai estestika yang diterjemahkan melalui cara hidup mereka seharian. Ini boleh dilihat melalui kesusasteraan Jawa Tua, melalui senibina yang diterapkan dan lain-lain lagi yang membuatkan saya sering mencemburui rakan-rakan saya yang mempunyai darah Jawa.

Mak pernah berteka teki bahawa keluarga kami mempunyai darah Jawa. Ada satu cerita yang membuatkan Mak berperasaan sedemikian. Dalam sekitar tahun 1950-an, Tok Yeop Shafie iaitu adik Opah saya bertugas di Daerah Kelang sebagai Pegawai Pentadbir di sana. Pada suatu hari, Tok Yeop mendapat arahan daripada Pejabat Kerajaan Negeri untuk mengosongkan pejabat sedia ada untuk mereka berpindah ke lokasi yang baru. Ada pun di dalam bangunan itu terdapat sebuah peti yang mirip peti yang terdapat di Istana Jugra sekarang yang langsung tidak boleh dipindahkan ke mana-mana. Oleh kerana Tok Yeop masih baru di Kelang pada ketika itu, dia langsung tidak tahu menahu akan kewujudan peti itu. Sementalahan pula, kakitangannya langsung tidak pernah bercerita kepadanya perihal peti tersebut.

Setelah urusan perpindahan pejabat berlangsung, Tok Yeop mendapati terdapat sebuah peti yang tertinggal. Memikirkan bahawa peti itu mungkin ada kena mengena dengan urusan pejabat, Tok Yeop langsung mengangkat peti itu. Terus dimuatkannya ke dalam kereta dan langsung dibawanya ke pejabat yang baru.

Setelah pejabat dibuka semula, gempar kakitangannya melihat bagaimana peti itu boleh terletak di bangunan yang baru.
“Sayalah yang bawa peti tu ke sini..” kata Tok Yeop Shafie.
Haaaahhhhhhhh?? Sekelian kakitangan pejabat terlongo.

Akhirnya seorang kakitangan pejabat itu memberitahu Tok Yeop Shafie, kononnya hanya satu keluarga yang berasal dari Tanah Jawa sahaja yang boleh memindahkan peti itu. Mendengarkan itu, Tok Yeop Shafie ketawa besar.
“Alahai, Tuan. Saya ini berasal dari Perak. Bukan dari Jawa. Anggap sahajalah cerita itu hanya lagenda yang kita sendiri tidak pasti benar atau tidaknya..” kata Tok Shafie dalam derai ketawa. Lucu benar dia bila ada orang percaya bahawa dia itu berketurunan Jawa.
“Tapi Encik Shafie… peti itu..”
“Sudahlah tu… hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa. Sudah kehendak Dia bahawa peti itu harus berada di sini. Saya ini hanya penyebab yang memindahkannya ke mari. Sudahlah. Pergi teruskan kerja!!” kata Tok Shafie lagi.

Lucunya, sejak dari hari itu, kakitangan Tok Shafie itu sudah tidak memanggilnya dengan panggilan Encik Shafie. Tetapi Tok Shafie dipanggil dengan gelaran baru. RADEN. Wahhhh…

Masa berlalu dan setelah berdekad lama, rahsia itu tidak pernah terungkap. Dalam sekitar penghujung tahun 80-an, saya berpeluang melihat Terombo Salasilah keturunan kami. Terlalu panjang dan lebar sejarahnya. Melihat nama-nama sekelian nenek, moyang dan poyang saya sehingga berpangkal pada satu nama Raden Mas Sujana - HAMENGKUBOWONO I.

Anehnya, sekelian ahli keluarga saya langsung tidak tahu siapakah gerangan Raden Mas Sujana itu atau semua itu pada mereka tidaklah penting. Saya juga langsung tidak tergerak dek hati untuk mengetahui siapakah gerangan empunya diri itu.

Sehingga satu hari di minggu yang lepas, bahu saya merasa sangat sakit. Sehinggakan untuk melakukan apa-apa pekerjaan yang menggerakkan bahu, pasti terasa sengal yang bersangatan di anggota itu. Lalu saya menemui seorang lelaki tua yang tinggal berhampiran dengan rumah mertua saya. Lelaki itu yang bernama Pak Lang Yahya kenal akan saya. Dia memberitahu saya bahawa dia dan Mak saya bersambung pada moyang yang sama. Bererti, dia itu pangkat paman saya.

Aduuuhhhh…. Sakit benarlah bila jari jemari orang tua itu meramas tengkuk dan bahu saya.
“Kamu ni lain kali cubalah bersenam. Orang muda patut jaga badan. Hiee… tak fahamlah Pak Lang orang-orang muda sekarang ni. Belum masuk umur 40 sudah sakit sana, terkehel di sini!!” kata meleteri saya. Saya sekadar mengangguk sahaja. Dibangkang nanti akan buruk padahnya.

Setelah setengah jam bahu saya teruk dikerjakannya, barulah Pak Lang Yahya menyudahkan kerjakannya. Ketika saya mengenakan semula baju ke badan saya, Pak Lang Yahya memetik api sambil menyalakan sebatang rokok.
“Kalau kamu nak tahu, kamu itu orang Jawa. Mak kamu itu orang Jawa. Aku ini pun orang Jawa” kata Pak Lang Yahya dengan mata terkelip-kelip mengelakkan asap rokok masuk ke mata.
“Ye ke Pak Lang?”. Pak Lang Yahya mengangguk.
“Tapi Mak kata dia keturunan Kerinci”

“Yang Kerinci itu adalah datuk kamu, Haji Hassan itu. Tapi Opah Saadiah kamu tu orang Jawa. Opah kamu, kamu dan Mak kamu itu adalah keluarga kami. Berpangkal dari dua adik beradik yang berasal dari Tanah Jawa. Seorang bernama Raden Salim dan adiknya pula bernama Raden Rahmat. Deme itu kononnya datang ke mari kerana lari dari pemerintah Belanda di Betawi yang memburu deme tu. Moyang kamu bernama Raden Salim. Dialah yang membuka kampung ni. Raden Rahmat pula menetap di Kampong Gajah dan berketurunan di sana. Kiranya kamu itu punya saudara di Kampong Gajah itu dari keturunan Raden Rahmat”.

Jadi benarlah saya ini berdarah Jawa. Persekitaran kampung kami yang menjadikan kami hilang identiti. Di kampung kami, semua orang bertutur dalam loghat yang sama iaitu loghat Perak yang sangat pekat. Lantas membuatkan generasi terkemudian tidak kenal asal wujudnya. Tambahan pula apabila generasi yang faham sejarah semakin hilang bersama masa dan tiada siapa pula yang berminat meneliti susur galur hidupnya. Jadilah persoalan itu tidak terhurai sampai bila-bila.

Mujur saya terlihat Terombo itu. Mujur saya bertemu dengan Pak Lang Yahya. Ya, saya berbangga mempunyai darah Jawa dalam diri saya. Kadang-kadang lucu memikirkan saya punya banyak darah yang pelbagai dalam diri saya. Dari sebelah Mak, Tok Haji Hassan itu orang Kerinci, Opah Saadiah pula orang Jawa. Dari sebelah Apak, Tok Sutan Ali itu orang Siak yang berpangkal pada Pak Kaduk. Sementara Opah Mariam pula orang Bugis. Jadinya saya ini sudah caca marba. Berdarah jenis ‘O’.

13 comments:

pB said...

salam

tiap kali kak pB membaca nukilan Indera , kak pB merasa sungguh kagum ...

kagum dengan keupayaan Indera menyusun ayat bercerita ....


kalaulah Indera mengarang novel , kak pB lah orang pertama yang akan membelinya .....


kak pB pun berdarah O ...
O positif

Masy said...

arwah abah asal keturunan Jawa, maknanya saya pun Jawalah ek? tapi dah tak 'pure', bercampur dgn darah Pakistan sebelah mak.

jawa + pakistan = jawastan? hehehe~

KAMATO said...

kalau macam tu kita satu keturunan agaknya

asr said...

Waaa... darah kacukan rupanya. Tak kisah lah darah apa pun, janji hati mesti mau baik.

:)

fajar said...

salam,
indera, saya pun orang jawa.
:)

sejujurnya, saya agak kagum dgn keupayaan indera mencari susur galur keluarga. barangkali, saya perlu mencari asal usul saya juga.

zwitterion said...

sy berdarah A+..:)

kingbinjai said...

ada org kata yang berdarah o ni takleh makan jagung betul ke?

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Perancangan tu memang ada. Cuba bahan yang belum ada. Selain dari tu, kena buat research sikit. Banyak masa kena diperuntukkan untuk projek ni...
Kak pB pon berdarah O? Wahh.. sama!!

Masy,
Congostan? Popostan? Go-Head Gostan?

Abang Kamato,
Ye ke..?? Wahhh.... sedara kita ya bang..!!

Azam,
Orang putih ka, orang hitam ka... janji kita orang Malaysia, kan? Haaa... ingat filem Mekanik tak? Azmil Mustapha?

Fajar,
Ramai juga bloggers dari kalangan orang Jawa...
Salasilah keturunan kita itu membuatkan kita tahu dan sedar betapa pentingnya asal rumpun kita..

Zwit,
Jarang dengar orang kita berdarah A+... kalau tak silap saya, darahnya berwarna merah terang...

King,
Tak leh makan jagung?. Entah, tatau aku pulak. Tapi jagung tu peberet aku tu. Selamba je aku makan. OK je rasa dia...

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Cerita yang sangat menarik!

Teringin nak berdarah wangi :))

Fanqis said...

Salam..
kita pun org kerinci. puak larak ramai duk langat..

Fanqis said...

Salam...

Kita pun org kerinci...puak larak arwah ayah atok rami duk langat...nak cari susah....kot2 kita pun same....tak..

Amanda Cataleya said...

Fakta anda salah saudara... sila lah dtang ke kedah. Sedaka nama tempatnya... kami sinu semua nya raden. Datang dan tya pada yang tua .. baru anda tahu siapa raden dan susur galurnya ... belum ada lagi nama raden rahmad... yang ada di sini raden saad, raden salim, raden ahmad. Tapi itu bukan moyang..itu semua pangkat tokwan kami. Dtng sini... kedatangn anda di alu alukan.

marihah said...

Tok Yeop Shafie ni bin Kamaluddin ke? Kalau betul, sepupu dgn opah saya