Wednesday, December 17, 2008

Rumah Kecil Tiang Seribu


Sewaktu dulu, ketika saya masih lagi kecil, dunia saya hanyalah berada di dalam ruang lingkup perdusunan tempat saya dilahirkan dan dibesarkan. Hidup kami pada ketika itu sangat sukar dan susah. Rata-rata penduduk kampung ketika itu menjalankan aktiviti sara diri bagi menyara kehidupan dan keluarga. Tiada yang istimewanya. Tiada bekalan elektrik. Tiada bekalan air. Kehidupan ketika itu umpama terletak pada pangkal asas yang dekat dengan alam dan persekitaran.

Bagi kami, kanak-kanak yang berada di usia mentah awal persekolahan, setelah usai waktu sekolah pagi, kami akan ke sekolah agama di waktu petang. Sekolah agama kami sangat daif. Letaknya betul-betul di tepi batas bendang. Beratapkan zink yang sudah berkarat. Tiada lantai simen. Hanya lantai tanah hatta kadang kala menjadi tempat ayam mengarang telur. Jika sampai waktu rehat sahaja, masa terluang itu akan diisi dengan menangkap ikan sempilai (ikan laga) yang banyak hidup meliar di dalam taliair yang mengalir jernih.

Oleh kerana saya ini anak seorang guru, kehidupan saya agak senang sedikit daripada kanak-kanak yang lain yang seusia dengan saya. Saya masih dibekalkan dengan wang sebanyak 20 sen untuk membeli sebuku roti dan segelas air di waktu rehat. Akan tetapi, bagi mereka yang rata-ratanya datang dari keluarga penoreh getah dan penanam padi, mereka cuma mampu membuka bekas makanan yang berisi lebihan makanan tengahari untuk dibuat alas perut.

Pun begitu, kehidupan saya tidaklah sesenang dan semewah seperti yang sepatutnya. Saya mempunyai 7 orang adik beradik. Dengan gaji Apak yang terhad itu, dia harus mengisi 8 perut lain saban hari. Untuk itu, Apak tidak pernah menegah jika saya ke bendang bersama sepupu-sepupu saya untuk memancing keli dan puyu. Menggalakkan pun dia tidak. Sekurang-kurangnya ada tambahan lauk buat makan malam nanti.

Erti cabaran hidup ketika itu, hanyalah cabaran hidup yang berputar setakat di perdusunan itu. Penduduk kampung ketika itu terlalu naïf tentang polisi dan dasar kerajaan. Tentang cabaran ekonomi global itu apatah lagi. Permasalahan penduduk kampung ketika itu berkisar tentang padi yang tidak menjadi akibat serangan kutu. Buah-buahan di dusun yang terpaksa direbuti dengan sang babi, dan sekali sekala gempar apabila ada orang yang dipagut ular senduk atau kapak sewaktu sedang menoreh.

Bagi kami, kanak-kanak ketika itu, taman permainan kami adalah baris-baris pokok getah. Berlari berkejaran di atas batas-batas bendang dan jika bosan, kami akan terkinja-kinja di atas dahan pokok ketapang sebelum terjun menjunam ke dalam Sungai Perak yang mengalir deras.

Saat itu merupakan saat yang terindah di dalam hidup. Walaupun kekurangan kemudahan asas, namun hidup kami sangat tenang. Hubungan kami sesama saudara umpama tiada jurang perbezaan. Anak aku adalah anak aku, anak kamu seperti anak aku jua. Makanya, kami dahulu sangat takut melakukan perkara-perkara sumbang seperti mencuri buah-buahan orang atau merokok kerana akan ada mata-mata yang memerhatikan tingkah laku kami sebelum melaporkannya kepada orang tua untuk dijatuhi hukuman.

Sungai Perak itu telah merakamkan terlalu banyak kenang-kenangan. Mulanya di persempadanan Perak-Kelantan. Mengalir masuk ke kampung kami sebelum berakhir di Selat Melaka di muara Bagan Datoh. Di situlah kami akan melakonkan semula adegan drama “Anjang Aki” yang diadaptasi dari tulisan Penantian yang terkenal itu, yang pada ketika itu sedang hangat ditayangkan di kaca talevision.

Pasir Putih dipinggir kali Pasir Roboh
Pasir Putih dipinggir tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang
Pasir Roboh tempat menyabung
Tempat menyabung ayam berlaga sayang

Kasih tak boleh dijual beli Pasir Roboh
Kasih tak boleh dijual beli
Bukannya benda bukannya benda buat berniaga
Sayang Pasir Roboh
Bukannya benda buat berniaga sayang

Masa datang dan pergi bersama segala suka duka yang ditawarkannya. Pasir putih di pinggir kali, tempat permainan kini sepi dan terbiar tanpa dijejaki. Kami yang dulunya kanak-kanak kecil, kini sudah tinggi menjulang. Menjulang bersama cita-cita dan juga cabaran semasa.

Rumah kecil tiang seribu, rumah besar tiang sebatang
Masa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang…


Gelombang datang bertali arus. Ruang lingkup kehidupan saya bukannya lagi di perdusunan yang sunyi. Tetapi di kotaraya metropolitan Kuala Lumpur yang padat dengan penduduknya. Dengan aneka ragam dan kerenah seisinya. Cabaran juga datang dari segenap penjuru. Menghimpit diri dan yang paling menyakitkan apabila ianya menghiris tangkai hati. Namun semakin lama saya berada di tempat yang sibuk ini, semakin menjadikan saya betah dan rasanya saya boleh bertahan dengan sepak tendangnya.

Semakin saya merenung ke dalam diri saya, semakin terserlah jiwa sebenar saya. Saya masih lagi seorang kanak-kanak kecil yang berlari di atas batas bendang sambil mengelek daun keladi yang berisi air dan ikan sempilai di waktu petang di bawah jaluran pelangi. Di dalam hatinya, hanya ada kegembiraan yang bersifat sementara. Manakala pelangi itu pula adalah titian untuk dia naik ke awan tingkatan kesembilan.

11 comments:

Bunga Rampai said...

Aduuuuh, nukilan ini bisa saja membawa saya kembali ke zaman kanak-kanak yang berkawan dengan alam - sawah bendang, sungai, dusun ...

Hidup berkampung mengajar manusia menghargai kehidupan ini seadanya.

Salam Indera Kencana, moga yang indah-indah saja dariNya untukmu ;)

KALAM JAUHARI said...

Realitinya anak-anak zaman ini, sekalipun masih ada sungai dan sawah sudah tidak boleh dibiakan tanpa kawalan ibu bapa.Bukan takut pada binantang buas, tetapi manusia buas. Terlalu banyak ancaman pada kehidupan hari ini.

Salam.

Masy said...

seronoknye. kat umah sy takde sungai. eh ade tp abg2 sy x penah bawak, dengki betul dorang tu.

huhuhhu. dlm setiap kita masih lg ade jiwa anak2 itu. kan bagus. sentiasa muda jadinya hehe

Anonymous said...

terkenang zaman kanak-kanak rindunya.........

KAMATO said...

bergelumang selut, menangkap haruan dan keli, itu mainan anak masa dulu, tapi sekarang nak cari keli sekor kat tali air pun susah

blackpurple @ jowopinter said...

Dunia kanak-kanak kita hampir serupa, cuma persekitaran kampung, latar-belakang keluarga dan tahunnya yang berbeza. Bila dikenang-kenang semula zaman-zaman itu memang indah. Keperitan zaman kecil dahululah yang menguatkan kehidupan kita hari ini sebenarnya.

Tapi saya kecil-kecil dulu agak nakal. Pernah mencuri limau di kebun cina di belakang kebun tempat abah mengambil upah menoreh. :D

arsaili said...

Salam Maal Hijrah, May Allah crown us with the best of iman, health, wealth and peace of mind in the New Year.

kingbinjai said...

salam tahun baru

en_me said...

salammm maal hijrahhh..

asr said...

Salam maal hijrah & tahun baru masihi, semoga yg baik2 sahaja untuk ko sekeluarga... amin.

Sastri said...

salam indera... apa khabar?

saya rasa tiap dari kita takkan pernah melupakan zaman kanak-kanak kita kan?