Wednesday, February 14, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn Akhir

"Haahh..? Jadi, confirm la Mak dengan Apak pergi tahun ni..?" tanya saya sambil menggaru-garu kepala. Mak sekadar mengangguk.
"Habis tu, tak ada siapalah yang nak datang ke konvokesyen orang nanti..?"
"Alaa.. kamu pakatlah dengan Yeop kamu minta dia datang tengok kamu ambil Ijazah" pujuk Mak.
"Yalah. Tapi mana sama jika Mak ada.."

Mak dan Apak baru sahaja menerima surat dari Tabung Haji yang menyatakan bahawa Mak dan Apak terpilih menjadi tetamu Allah di bulan Zulhijjah tahun itu. Yang lebih menyakitkan hati, Mak membawa Andika bersama. Hmm... bertuahnya dia. Muda-muda sudah berpeluang mengerjakan haji dan melawat Baitullah. Ahh... saya juga yamg bakal keseorangan di sini. Saya dapat membayangkan kesedihan saya naik ke pentas menerima Ijazah tanpa Mak dan Apak memandang terharu segala penghargaan yang saya terima hasil dari perit jerih saya di ITM selama ini.

Yang lebih membuatkan fikiran saya kusut ialah permohonan saya untuk menyertai SINGER Malaysia sebagai Internal Auditor, masih belum mendapat sebarang berita. Lebih dari itu, permohonan ke UTM untuk program Sarjana turut sepi bagai bayu yang berlalu.

Mak dan Apak sudah bersiap sedia ke Tanah Suci. Saya memandang lesu kesibukan Mak dan Apak mengisi barangan ke dalam bagasi. Mak memandang saya dengan simpati. Saya faham, betapa pentingnya konvokesyen itu bagi saya, tujuan Mak ke Tanah Suci itu berjuta kali lebih penting.
"Tak apa. Jangan sedih. Awak nak orang doakan apa untuk awak di depan kaabah nanti, Abang Chik?" tanya Andika. "Orang doakan awak dapat buat Masters, dapat kerja yang elok dan isteri yang cun, ok tak..?" tanyanya lagi dalam gelak ketawanya.
"Eleh, baik engkau doakan diri kau tu. Matrikulasi pun tak pass. Nasib baik dapat masuk Cosmopoint.."

Selama Mak, Apak dan Andika pergi, saya menjadi penunggu tetap di rumah itu. Bosannya tidak dapat diungkapkan lagi. Adik beradik yang lain punya komitmen masing-masing. Ditambahi pula dengan ketiadaan Mak dan Apak, sudah tiada sebab untuk mereka mengunjungi rumah Mak di hujung minggu. Mujur juga saya bertugas sebagai Guru Sementara di sebuah sekolah di daerah kami. Dapat juga mengisi masa lapang. Pun begitu, gaji masih belum boleh diagihkan kerana proses untuk mendapatkannya, sekiranya bekerja dengan sektor kerajaan akan mengambil masa sekurang-kurang tiga bulan. Entah apa yang lama diproses oleh pihak atasan itu, saya sendiri pun tidak pasti. Akhirnya bekalan makanan di rumah kehabisan, untuk membelinya saya tidak punya wang. Jalan terakhir yang saya lihat adalah dengan meminjam wang kutipan sekolah. Akan dibayar semula setelah gaji diperolehi.

Surat dari ITM tiba buat sekian kalinya. Menjemput saya menghadiri konvokesyen kali yang ke-44. Satu penghormatan buat saya. Saya merasa amat terharu. Tiada baju yang sesuai untuk ke sana memandangkan tiada wang di dalam saku. Mujur saya punya sepasang baju melayu berwarna hitam dan sehelai sampin berwarna kuning keemasan. Dengan baju itu, sudah cukup syarat naik ke pentas.

Pertemuan semula dengan teman-teman lama cukup mengharukan. Mereka kebanyakannya sudah bekerja di bank-bank perdagangan di ibukota. Datang dengan cerita mereka yang tersendiri. Timbul juga rasa menyesal. Jika saya turut memohon ke bank-bank dahulu, mungkin saya juga sudah bekerja seperti mereka.
"Eh, Indera. Aku dengar engkau menjadi guru sementara. Betul ke..?" tanya Maziah.
Saya hanya mengangguk tanda membenarkan kata-katanya.
"Engkau nak jadi cikgu ke?"
"Entah"
"Peliklah engkau ni. Ada ke nak jadi cikgu.." katanya lagi.
"Kenapa..? Jadi cikgu teruk ke? Engkau tahu tak, jadi guru itu adalah semulia-mulia tugas, tahu tak?" saya membidasnya dalam lembut.
"Whatever..." katanya dan terus berlalu.
Mereka itu tidak tahu akan perancangan masa hadapan saya. Apa gunanya saya mengheboh-hebohkan pada orang lain. Mereka belum tentu faham niat hati saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi.

Kami berkumpul di dewan kuliah untuk mengambil jubah. Jubah lambang kemegahan seseorang graduan itu. Jubah yang kami kenakan adalah jubah lama yang berwarna hijau pekat yang dikenakan oleh senior-senior kami sebelum ini. Jubahnya cantik disulami dengan benang keemasan. Cuma kelainan kami ialah, kami diberi dengan Mortar Board, topi yang berukuran empat segi tepat itu. Sebelum itu senior kami hanya mengenakan songkok sahaja.

Pagi itu mentari memancar garang. Kami berbaris dari pinggir Dewan Sri Budiman memanjang sehingga ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Semuanya tersenyum girang. Semuanya lengkap berjubah hijau dalam megah dan senyum seorang graduan. Hisham dan Laili memakai selempang keemasan. Kesemua graduan faham. Selempang itu untuk mereka yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Saya sekadar mendapat Ijazah Kelas Dua Bawah. Namun syukurnya tidak terkira.

"PERARAKAN GRADUAN MASUK KE DALAM DEWAN" pengumuman itu dijawab serentak dengan langkah bergaya para graduan mengambil tempat masing-masing di bangku yang di sediakan di dalam dewan sambil dilambai oleh ibubapa masing-masing. Kalaulah Mak dan Apak ada.. ohhh!!

Bonang diketuk dan gendang dipalu. Alun gamelan tari lagu Timang Burung membelah ke genap ruang. Suasana di dalam ruang dewan itu sudah bertukar laksana Balai Penghadapan di istana raja melayu purba.
"Dengan kuasa yang diberikan kepada saya, saya dengan ini menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pengkhususan di dalam bidang Kewangan kepada graduan-graduan ini" kata Dato' Wira Abdul Rahman Arshad.

Seorang demi seorang teman-teman naik ke pentas apabila nama mereka diumumkan.
"Indera Kencana Bin Muhammad Suria" umum juruacara majlis diiringi dengan tepukan para hadirin. Saya melangkah maju diiringi dengan paluan gamelan lagu Lambang Sari bertepatan sebagai lambang kemenangan perjuangan saya selama ini. Saya menjabat tangan Dato' Wira dan menerima watikah berharga dari beliau sambil pensyarah-pensyarah tersenyum megah ke arah saya. Saya seperti terlihat-lihat seperti Dr. Indera duduk di hadapan barisan pensyarah-pensyarah itu sambil tersenyum dan melambai kepada saya.
(Terima kasih Dr. Indera. Di manakah Doktor sekarang..?)

Saya menggenggam erat watikah itu. Di hadapan saya, terbentang jalan dari segenap arah. Saya telah sampai ke puncak sebuah destinasi. Namun di akhir destinasi itu, terdapat banyak destinasi lain pula. Laluan ke puncak cita ini bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan. Tetapi ianya permulaan kepada sebuah lembaran baru dalam hidup saya. ITM tetap di hati saya. ITM di hatiku.

Wujudmu di sini di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu memayungi putera-puterinya
Pelopor hidup, budaya bangsa, agama negara
Pembimbing akhlak manusia agar jadi sempurna

Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari
Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju
Destinasi cita-cita agama dan bangsaku

Majulah bangsa, maju negara
Berkat USAHA JAYA MARA
Kami berikrar akan berjasa kepada negara
Demi bangsa

Watikah yang kumiliki kan ku semat di hati
Janji ku pada pertiwi untuk menabur bakti
Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara
Doa restu ayah bondaku untukmu semua
ITM, USAHA JAYA MARA

Tamat

Tuesday, February 13, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 9

"Dr. Indera dah tak ada" kata abang itu. Di dadanya tertulis tanda nama SABRI. "Dia dah bersara masa cuti semester dulu. Sekarang ni dengarnya dia pergi buat umrah dan lepas tu dia nak melawat anaknya yang sedang belajar di UK"
Kata-kata abang itu betul-betul meredakan rusuh di hati saya.
"Abang Sabri ni..." gerutu saya. "Lain kali cakaplah dah bersara. Ada pulak cakap 'tak ada'.. tak ada tu banyak maksudnya".
"Eh, bukan aku cakap dah bersara tadi ke?... Haa!! yang engkau ni pulak buat apa kat sini?? Engkau bukan dah habis belajar ke..??" tanya Abang Sabri lagi.
"Saya sambung buat Advance.."
"Berapa lama lagi..?"
"Dua tahun"
"Hmmm... lagi dua tahun la aku tengok muka engkau kat sini.." kata Abang Sabri.
"Haiii..?? Bunyi macam dah menyampah je. Tak suka tengok muka saya ke..?? Kalau tak suka, saya baliklah..."
"Eleh, merajuk.."
Hahahahahahahahahaha....
Saya kenal dengan Abang Sabri sejak di awal semester sewaktu diploma lagi. Orangnya agak kasar dalam bergurau. Tetapi baik hati menolong pelajar-pelajar yang berurusan di Pejabat Pengurusan Fakulti itu.

"Abang, kalau Dr. Indera telefon sini, abang tolong tanyakan alamat dia.." kata saya.
"Baiklah. Tapi engkau kena belanja abang Teh Tarik.."
"Berkiranya.... Ok lah bang. Saya masuk kelas dulu. Sembang lama-lama dengan abang, bukan ada faedah pun..." kata saya sambil bergurau.
Hahahahahahaha.....

Kursus Diploma Lanjutan itu benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental saya. Petua Abang Shamsuri sudah tidak boleh dipakai lagi di peringkat ini. Andai kata sering gagal di dalam kuiz dan ujian dan ditambahi pula prestasi yang buruk di dalam peperiksaan, akan gagallah. Kedatangan yang penuh dan komitmen yang jitu tidak upaya menyokong seseorang pelajar untuk lulus. Dalam erti kata lain, Diploma Lanjutan bukanlah masanya lagi untuk bersenang lenang sambil mengharapkan Senarai Kedatangan yang penuh datang membantu di saat kritikal. Di peringkat ini bermaksud, tidak boleh buat bererti gagal.

Cabarannya yang terlalu sukar ditambahi pula dengan pensyarah-pensyarah yang tegas, gesaan di dalam penggunaan Bahasa Inggeris peringkat tinggi, bebanan kewangan kerana saya sudah tidak mendapat kemudahan asrama, membuatkan saya benar-benar tertekan dan hampir-hampir berhenti di separuh jalan. Setelah dirisik, bukan saya sahaja mengalami nasib sedemikian. Bahkan hampir keseluruhan pelajar di dalam kursus itu.
"Saya tak tahulah macam mana nak buat dengan Indera ni..." kata Dr. Rasid ketika saya dan beberapa teman berkumpul di biliknya.
"Saya dah 'bedah' sana, 'bedah' sini. Masih tak upaya nak selamatkan dia... Nampaknya semester ini saya terpaksa gagalkan awak" kata Dr. Rasid lagi sambil ketawa. Tetapi saya yang kepucatan. Hampir setiap malam sepanjang cuti semester itu saya tidak dapat tidur. Namun sampai sahaja keputusan semester itu, saya masih lulus. Lulus dengan gred yang amat buruk. Saya tetap jua bersyukur.

Saya mendengar khabar angin mengatakan pihak atasan ITM berjuang untuk mendapatkan status universiti untuk ITM. Sekurang-kurangnya Diploma Lanjutan nanti boleh ditukar nama menjadi Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Sebelum ini disebut sebagai Diploma Lanjutan Setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Alangkah tidak praktikalnya di dalam penyebutan.

Suatu pagi Jumaat, warga kampus bergembira apabila kerajaan meluluskan permohonan ITM untuk menukarkan Diploma Lanjutan dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian. Akan tetapi ITM masih belum dapat dinaik-tarafkan sebagai sebuah universiti. Ini bermakna, kumpulan kami bakal menyandang gelaran Ijazah buat julung-julung kalinya di dalam konvokesyen. Solat Jumaat hari itu seakan lain benar syahdunya. Terasa heningnya menusuk ke dasar jiwa seolah-olah hari itu menyambut ribuan kesyukuran dari warga kampus. Tentu Dr. Indera yang entah berada di mana itu sedang bergembira dengan khabar ini. Dr. Indera...

Setiap kursus pastinya tidak lengkap tanpa thesis. Thesis saya menjurus tentang pergerakan harga di pasaran saham. Silap saya. Ruang lingkup pengkajiannya terlalu besar. Sepatutnya saya menjurus kepada beberapa kaunter terpilih sahaja. Akibatnya saya dimarahi oleh Ketua Kursus kami. Apa daya saya. Saya sudah cuba sedaya mungkin.

Walau bagaimanapun, saya merasakan sedikit bimbang. Dari cakap-cakap pensyarah ITM membayangkan bahawa Malaysia bakal berdepan dengan kegawatan ekonomi yang teruk. Lebih teruk dari yang dialami pada awal-awal tahun 80-an dahulu. Di akhbar menayangkan gambar George Soros sedang duduk dengan gaya yang angkuh. Benarkah itu semua angkara George Soros? Nilai Bhat jatuh menjunam-junam. Di akhbar pagi itu menunjukkan gambar seorang pekerja di Korea Selatan yang tertidur di tangga akibat kehilangan pekerjaan. Di Taiwan juga sedang rusuh apabila syarikat-syarikat besar mula mengalami kerugian bilamana kos operasi luar negara gagal ditampung setelah kejatuhan nilai matawang mereka. Benarkah sesudah ini Malaysia mengalami nasib yang sama?

Saya tidak bimbang. Ini kerana saya tahu apa yang akan saya lakukan sesudah tamat belajar nanti. Saya sudah punya matlamat saya sendiri.
"Engkau cadang nak kerja di mana nanti Indera..?" tanya Nizam ketika kami sedang asyik menonton television di malam minggu.
"Aku nak sambung belajar..." jawab saya acuh tidak acuh.
"Wahh... maksud engkau, engkau nak buat Masters?"
Saya cuma mengangguk.
"Aku akan memohon buat Masters selepas aku bercuti panjang 3 bulan"
"Huuuiii, boleh jammed otak engkau asyik belajar je.."
Saya hanya mengangkat bahu.

Setamat sahaja peperiksaan akhir, semua teman-teman memohon untuk bekerja di institusi kewangan di ibukota. Saya sekadar memandang sepi kesibukan mereka mengepil dokumen itu dan ini. Keputusan peperiksaan boleh diketahui secara online. Dail sahaja nombor, akan keluar segala maklumat.
"Maaf, maklumat anda tiada di dalam sistem kami. Harap maklum"

Suatu malam, setelah 10 kali mendail nombor yang sama, akhirnya penantian saya berakhir di penghujungnya.
"95987459, Indera Kencana Bin Muhammad Suria. Status, lulus semua matapelajaran. Analysis and Valuation of Securities II, B+..."
Saya sudah tidak mendengar suara melalui mesin itu. Suara saya berteriak kesukaan membelah malam yang sunyi membangkitkan seisi rumah dan mengejutkan Mak dan Apak yang sedang nyenyak tidur.

(Bersambung)

Monday, February 12, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 8

Sejak dari hari itu, saya jarang bertemu dengan Dr. Indera. Dr. Indera seperti sibukkan sesuatu. Jarang masuk ke kelas mengajar kami. Peperiksaan akhir tinggal sebulan sahaja lagi. Dr. Indera awal-awal lagi sudah selesai menghabiskan sukatan pelajarannya. Kini, apabila sampai sahaja waktu dia mengajar, kelas itu kami isi dengan membuat ulangkaji menerusi soalan-soalan tahun sebelumnya dan juga membuat nota ringkas.

Keputusan TOEFL diumumkan. Saya melepasi tahap minima yang ditetapkan oleh universiti. Ini membuatkan jalan saya untuk terbang ke seberang laut semakin terbuka. Kadang-kadang saya tertawa sendiri mengingatkan bagaimana kecohnya pagi itu, di hari saya menduduki TOEFL, saya terlewat bangun akibat bersengkang mata mengulangkaji contoh soalan. Akibatnya saya masuk ke dewan terlewat 15 minit dari waktu sebenar tanpa mengambil sarapan terlebih dahulu dengan rambut yang tidak sempat disisir. Sangka saya kekalutan itu bakal mengundang keputusan yang teruk. Namun akhirnya, segalanya berjalan lancar.

Peperiksaan akhir berlangsung. Peperiksaan ke semuanya diadakan di fakulti. Dr. Indera mengawasi dan menjadi ketua pengawas peperiksaan bagi subjek Pengurusan Portfolio. Serius sahaja wajahnya sepanjang berlangsung peperiksaan. Saya ingin menegur dan berbicara dengannya seusai peperiksaan, namun kesibukannya menghalang saya untuk berbuat demikian.

Hari terakhir peperiksaan itu, sebaik sahaja saya keluar dari dewan peperiksaan, saya ternampak Dr. Indera dari jauh. Dia juga nampak saya. Langkahnya terhenti. Dia tersenyum dan terus berlalu sebelum hilang di dalam pejabat pengurusan fakulti. Kenapa Dr. Indera menyepi diri agaknya?

Setelah tamat pengajian itu, saya memohon untuk bekerja di sebuah syarikat broker saham di Ipoh. Permohonan yang sekadar suka-suka dan saya juga langsung tidak mengambil perhatian terhadapnya. Jika diterima, saya akan bekerja. Hanya untuk mengisi masa lapang buat sementara waktu yang terluang. Akan tetapi, saya diterima!!. Pasaran saham yang sedang melonjak naik pada ketika itu membuatkan semua orang berbicara tentang saham, kaunter cergas, pulangan dan jangkaan masa hadapan. Saya tetap tidak ambil pusing. Belajar lebih baik. Wang boleh dicari di kemudian hari. Peluang belajar hanya datang sekali.

Suatu hari, Azri menghubungi saya di pejabat.
"Indera, engkau dah baca akhbar hari ini?"
"Belum, kenapa?"
"Engkau tengok dan baca muka depan Berita Harian... aku tak boleh cakap lama. Cuma apa yang nak aku cakapkan, bersabar banyak-banyak. Aku juga senasib...."

Sebaik sahaja Azri meletakkan telefon saya mencari-cari akhbar Berita Harian. Akhirnya saya menemuinya di bilik seorang Remisier.
"MARA BEKU PINJAMAN"
Menurut berita itu lagi, akibat daripada masalah hutang pinjaman yang tidak berbayar oleh peminjam pelajaran, MARA membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan pemberian pinjaman kepada mana-mana pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara kecuali bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk mendapat pinjaman atau biasiswa.

Alangkah, alangkah hancurnya hati saya. Segala impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut hilang bersama angin lalu. Saya tatapi surat tawaran yang meminta saya mendaftar pada 8 Januari tahun yang bakal menjelang nanti. Nampaknya harapan itu hanya kekal menjadi sebuah mimpi yang tidak mungkin dapat dicapai. Mak dan Apak hanya mampu memujuk dan mendengar keluhan saya. Untuk membantu dari segi wang ringgit, Mak dan Apak tidak mampu. Mak sendiri menangis kerana Mak amat mengerti harapan dan cita-cita saya. Namun apakan daya, segalanya sudah suratan takdir. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang saya sendiri tidak mengetahuinya.

Seperti tidak diduga, seminggu sesudah itu saya menerima dua buah sampul surat sekaligus dari ITM. Sampul yang pertama, berisi keputusan akhir pengajian saya. Saya lulus. Ya, saya lulus!!. Sampul yang kedua, surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Lanjutan. Ya Allah, sungguh besar kurniaanmu. Alhamdulillah, saya bersyukur!!
"Bertuah engkau Indera sebab dapat buat Advance..." kata Azri. "Engkau macam tau je perkara macam ni nak jadi, ye!!. Kalaulah aku minta sekali dengan engkau dulu.. kita mungkin sekelas.."
"Bersabarlah.." kata saya. "Cuba mohon untuk sesi akan datang..."

Saya pulang mendaftarkan diri di kampus. Segalanya bagai asing tanpa teman-teman yang saya kenali. Tiada lagi senyuman Hasniah menceriakan hari. Tiada lagi bising mulut Azri, Shahril dan Hartina bertengkar sesama sendiri. Benar-benar asing. Saya seolah-olah ditinggalkan oleh teman-teman. Hati saya bagai disayat hiba. Habis sahaja pendaftaran, saya pulang semula ke kampung menyambung cuti selama seminggu lagi. Seminggu itu hanya sesi berkenalan dan orientasi. Kelas masih lagi belum bermula. Jadi, apa perlunya saya menghabiskan wang, tinggal di Shah Alam yang serba mahal itu?

Setelah seminggu usai, saya sudah bersedia untuk masuk ke alam baru. Dengan teman-teman baru. Saya bertemu semula dengan Luqman dan Nizam. Rupa-rupanya, alasan Dr. Indera yang mengatakan tempat belajar cuma bersisa satu itu, hanyalah caranya untuk melihat kemampuan kami berfikir. Hakikatnya, kesemua kami berjaya dalam temuduga. Termasuk Hussein. Cuma Hussein menarik diri di saat-saat akhir.

Kursus itu mempunyai dua kelas sahaja yang setiap satu kelas mempunyai 30 orang pelajar yang mewakili keseluruhan kampus ITM yang terdapat di Malaysia. Saya terlongo apabila mendengar CGPA mereka.
"Saya Ramzan, dari ITM Terengganu. CGPA saya dulu 3.73"
"Saya Suraya, dari ITM Melaka. CGPA saya dulu 3.69"
"Saya Nasir, dari ITM Arau. CGPA saya 3.81..."
Saya terasa kecil dan kerdil dengan CGPA 2.80. Entah kenapa Dr. Indera dan panel yang lain memilih saya. Sehinggakan teman-teman sekelas saya bertanya berkali-kali akan kebenaran jumlah CGPA saya kerana mereka itu terdiri dari pelajar-pelajar ITM yang terbaik, yang dihimpunkan di kampus Shah Alam. Tetapi saya... Ahhh!!

Sudah lama saya tidak ketemu Dr. Indera. Saya ingin bertanya dengannya, apakah kualiti yang saya miliki hingga membuatkan Dr. Indera dan panel yang lain bersetuju memilih saya. Sekurang-kurangnya saya tahu di mana kekuatan saya.
"Errr... abang. Boleh saya jumpa dengan Dr. Indera Kamaruddin..." tanya saya kepada seorang kakitangan Pejabat Pengurusan Fakulti yang duduk di kaunter hadapan pejabat itu.
"Siapa..??" tanya abang itu.
"Dr. Indera, Dr. Indera Kamaruddin..."
"Dr. Indera tiada di sini..." katanya
"Dia ke mana.." tanya saya.
"Laa... kamu tak tahu lagi ke..??"
"Kenapa..?"
"Dr. Indera dah tak ada"

Mendengarkan jawapan itu, darah saya menyimbah naik ke muka. Seketika saya bingung. Enggan memikirkan kemungkinan buruk. Tetapi...

"Jika saya tak ada di ITM ini lagi, ingatlah orang tua yang suka merepek ni..."
"Saya tak suka mengucapkan perpisahan..."

Dr. Indera....

Thursday, February 08, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 7

Saya mengambil tempat duduk di hadapan para panel. Saya mengenali mereka. Mereka kesemuanya pensyarah-pensyarah kanan di fakulti yang saban hari berpapasan dengan saya. Selain dari Dr. Indera itu, di kanannya Dr. Hashim Yahya yang mengajar subjek Pengurusan Strategi dan Dr. Mahani, pensyarah Kewangan.
"Dr. Hashim, kita ni dah tak cukup masa ni..." kata Dr. Indera.

Mereka kemudian berbincang secara senyap dengan membiarkan saya termangu-mangu seorang diri.
"Baik, kita panggil mereka semua, ye??" saya terdengar Dr. Indera berkata sedemikian.
"Ok, Indera. Sekarang sudah masuk waktu tengahari. Memandangkan kita kesuntukan masa, kita buat temuduga ni secara serentak. Awak panggil kawan-kawan awak yang di luar tu semua masuk ke dalam. Kita pakat borong tengahari ni.." kata Dr. Indera sambil tersengih.

Selain saya, ada 3 calon lagi yang masih belum ditemuduga. Salah seorangnya Nizam, pelajar Pentadbiran Awam yang ingin beralih angin ke fakulti Pengurusan. Sering mencari tengkar dengan saya di asrama. Luqman, Ketua Inspektor Polis di Cawangan Jenayah Dagangan Bukit Aman dan Hussein, Eksekutif Perolehan di Telekom Malaysia. Melihat kepada pencapaian mereka, saya memang tidak dapat bersaing. Nizam sendiri memiliki CGPA 3.65.

Kami duduk sebaris mengadap para panel. Sesi berlangsung dengan pertanyaan tentang hal-ehwal ekonomi, politik termasuklah topik kualiti insan dan juga pengetahuan am. Nizam dan Luqman saling berbalas hujah dan bertikam lidah sementara saya dan Hussein lebih banyak memerhati dan tersenyum.
"Baik, sekarang ini saya nak bagitahu pada awak semua. Tempat cuma ada satu sahaja lagi. Ada apa-apa yang awak nak kata, supaya ianya menjadi hak awak..?? kata Dr. Indera. Dr. Yahya dan Dr. Mahani pula kelihatan serius memandang kami semua.

"Saya harap, saya yang terpilih, doktor" kata Luqman. "Mereka semua masih muda dan masih banyak lagi peluang. Akal yang muda mana mampu menerima cabaran kursus Diploma Lanjutan yang keras ni... Saya ada pengalaman luas. Sudah tentu saya mampu menamatkan kursus dengan berjaya..!!".
"Dasar pegawai polis!!" Nizam membentak. "Tak habis-habis nak berlagak..!!. Doktor pilihlah saya. Saya ada CGPA yang baik selain dari aktif di kolej. Jika Doktor pilih Luqman berdasarkan pada pengalamannya, doktor boleh pertimbangkan saya berdasarkan kepada kebijaksanaan saya".

"Hussein, ada nak kata apa-apa..?" tanya Dr. Mahani
"Errr.. ya!! Saya cuma berharap saya yang terpilih. Itu sahaja.."
"Indera pulak...?" tanya Dr. Mahani lagi.
"Saya sebenarnya berharap agar saya terpilih. Lebih dari itu, saya juga mengharapkan agar kesemua calon yang datang temuduga ini juga turut terpilih. Mereka sudah membuktikan kesungguhan mereka dan perjalanan sejauh ini sebaiknya dimuliakan dengan mengalu-alukan kedatangan mereka sebagai warga fakulti. Saya bukan seorang yang arif, namun saya sedar betapa bertuahnya seseorang itu dan betapa besarnya hati mereka jika mereka terpilih mengikut kursus ini disebabkan saingannya yang cukup kuat... Jika saya terpilih sedang ada yang lain bersedih kerana tidak mendapat peluang ini, hati saya tetap tak merasa senang..."

Saya berdiri mengadap cermin tingkap kelas yang bersaiz besar itu. Berdiri mengadap hutan belukar yang menyempadani bangunan fakulti dengan Lebuhraya Persekutuan di arah bawah. Hutan belukar itu agak tebal sehingga cahaya matahari yang terik memancar pun gagal menembusi celah dedaunannya. Sesekali terdengar kokokan ayam hutan dan kicauan burung merbah kapur. Tidak lama lagi, saya akan menamatkan pengajian di peringkat diploma. Selepas ini saya tidak pasti ke manakah arah saya. Hati saya kuat untuk terbang ke luar negara. Jika hasrat saya terlaksana, akan tinggallah ITM dan segala kenangan yang terpahat bersamanya. Kelak saya tidak lagi dapat menyaksikan segala pemandangan damai ini.

Bangunan fakulti itu sunyi sepi. Nampaknya petang ini tidak banyak kelas yang diadakan. Teman-teman sudah lama pulang. Saya pula seperti enggan berundur pulang ke asrama.
"Hai Indera, termenung lagi. Awak ni memang suka termenung ye..??" sapaan Dr. Indera memutuskan lamunan saya.
"Errr.. ya!!" itu sahaja yang mampu saya katakan untuk menutup malu.
"Doktor nak ke mana?" tanya saya.
"Saya nak balik. Kebetulan saya lalu tempat ni, ternampak pulak awak..."

Dr. Indera turut sama menyertai saya memandang jauh ke luar tingkap.
"Saya sukakan jawapan awak di dalam temuduga dahulu. Jawapan yang tidak mementingkan diri sendiri.." kata Dr. Indera tersenyum.
"Iyaa..?? Adakah maksudnya saya berjaya temuduga dan terpilih..??" saya menduga. Bergurau sebenarnya. Jauh di sudut hati, saya tidak mengharapkan apa-apa.
Dr. Indera tertawa.
"Selain saya, ada dua lagi panel. Jika saya memberikan awak markah penuh sekalipun sedang dua yang lain memberikan markah 0 pada awak, awak tetap tidak berjaya.."

Kami terdiam. Lama. Merenung lagi hutan belukar itu.
"Indera..."
"Saya, doktor.."
"Indera suka ke ITM ni..??"
"Sangat suka..."
"Awak tahu, di sinilah tempat saya bermula. Bermula sebagai seorang pelajar yang naif. Pelajar yang serba kekurangan, berasal dari keluarga yang hidup susah di utara semenanjung. Saya mula belajar pun di umur yang banyak juga jika dibandingkan dengan kawan-kawan saya masa tu. Saya bertekad dan berazam untuk maju dalam pelajaran kerana dengan pelajaran sahaja boleh mengubah nasib hidup yang susah. ITM memberi banyak peluang pada saya dan akhirnya saya curahkan semula penat lelah saya untuk ITM. Saya dambakan hidup saya untuk kemajuan pelajaran anak-anak bumiputera.."

"Indera, ingatlah. Sejauh mana terbang bangau, akan pulang ke belakang kerbau juga. Jangan lupa asal usul kita. Kata orang, perjalanan yang jauh itu, bermula dari selangkah tapak. Andainya awak sudah berjaya nanti, jangan lupa dari mana awak bermula. Hidup ini perlu banyak berkorban dan setiap pengorbanan itu menuntut pengertian yang mendalam. Untuk kita mengerti pula, kita harus merasai dengan segenap kejadian kita..."

"Saya sudah merepek... Orang tua seperti saya memang suka merepek" kata Dr. Indera ketawa. Kemudian dia memandang saya. Entah kenapa hati saya dipagut pilu.

"Andai saya tak ada di ITM ini lagi, ingatlah orang tua yang suka merepek ini. Saya sudah terlewat ni. Awak pun baliklah... Ingat, jangan lupa solat 5 waktu, ye!!. Tahu tak, apa benda yang paling saya tak suka dalam dunia ni..?? tanyanya lagi.
Saya cuma menggeleng tanda tidak tahu.
"Saya tak suka mengucapkan perpisahan..."

Dr. Indera berlalu setelah menggosok kepala saya beberapa kali. Semakin difikirkan, semakin kuat hati saya mengatakan bahawa itulah kali terakhir saya berbicara dengan Dr. Indera Kamaruddin.

(Bersambung)

Wednesday, February 07, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 6

Setelah Hasniah bertunang, segalanya bagaikan berubah. Hari-hari saya sudah tidak lagi berbunga ceria. Sepanjang cuti semester dan menanti harinya semester yang baru, saya mengisi dengan duduk termenung sepanjang hari. Sesekali apabila bayangan Hasniah menjelma, saya akan melupakannya dengan makan apa sahaja. Makan, makan dan makan. Sehingga berat badan saya naik hampir selipat kali ganda.
"Indera, Indera sakit..??" Mak bimbang.
"Tak, Indera tak sakit..."
(Indera sakit di hati, Mak...!!)

Keputusan peperiksaan diposkan ke rumah. Saya membukanya dengan jari-jemari yang mengeletar. Ohh... Tuhan, berikanlah aku kekuatan..

Hati saya bersorak riang apabila melihat kotak status peperiksaan. Semua bertanda P bermaksud saya telah lulus kesemua subjek semester sebelumnya termasuk subjek Calculus yang menakutkan saya itu. Cuma lulusnya tidak sebaik yang diharapkan. Namun saya tetap bersyukur bahawa saya tidak perlu mengulang mana-mana matapelajaran. Syukur, Alhamdulillah Ya Allah.

Semester baru dibuka disambut saya dengan perasaan yang berbagai. Riang, sedih, kecewa bercampur buar menjadi satu. Sewaktu mendaftar di Pejabat Fakulti itu saya bertemu dengan Niah. Ohhh... dia sekarang milik orang!! Kami berbalas senyuman. Tiada lagi perasaan gelora seperti setiapkali kami bertemu dahulu. Segalanya bagaikan tenang. Cincin di jarinya tanda penamatan cerita antara kami.

Di fakulti, rakan-rakan sekelas sibuk dengan perancangan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah di universiti-universiti luar negara. Saya pun turut sama mengisi borang berbuat demikian memandangkan polisi MARA yang agar mudah membenarkan pelajar-pelajar Bumiputera yang memiliki Diploma melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Beberapa minggu sesudah itu, ramai yang bersorak riang apabila mendapat tempat di universiti luar negara. Zaidi mendapat tawaran ke University of Southern California. Rosmah mendapat tawaran ke University of Iowa, saya pula mendapat tawaran ke Oklahoma City University dan Azri juga tidak ketinggalan mendapat tempat ke St. Louis University. Masing-masing tersenyum riang membayangkan tahun berikutnya kami akan berangkat ke negara orang.

Diam-diam pula saya mengisi borang Diploma Lanjutan di ITM, dengan harapan andainya terjadi perkara yang memungkinkan saya tidak dapat ke luar negara, sekurang-kurangnya peluang belajar di dalam negara masih terbuka. Tiada seorang pun teman-teman sekelas yang berminat untuk menyambung belajar di ITM. Rata-ratanya ingin ke luar negara atau terus bekerja memandangkan pasaran saham pada masa itu sangat memberangsangkan.

Saya bertanya kepada Ketua Kursus yang menyelia pengajian kami tentang syarat-syarat minima untuk menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan.
"Sekurang-kurang mesti ada CGPA 3.50 atau ke atas. Tetapi kalau tak ada 3.50, 3.30 pun akan dipertimbangkan. Itu pun bergantung kepada pencapaian you di dalam temuduga. Biasanya ramai yang tidak melepasi peringkat temuduga ni..." kata Puan Balqis.

Saya membelek-belek diri saya. Ohhh... saya cuma mempunyai CGPA 2.80, bagaimana mungkin saya berupaya menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan?
"Indera, kenapa termenung..?" tanya Dr. Indera. Dr. Indera sangat ramah dengan saya memandangkan kami senama.
"Errr... Tak ada apa-apa Doktor.." saya beralasan.

Saya tersenyum mengingatkan suatu pagi, seorang pelajar junior mengetuk pintu kelas kami. Ketika itu Dr. Zuraidah sedang rancak bersyarah.
"Maafkan saya, Doktor. Dr. Indera panggil Indera Kencana ke biliknya..."
Dr. Zuraidah mengangkat keningnya penuh tanda tanya. Saya terlebih lagi. Adakah saya melakukan kesalahan? Bukankah Dr. Indera itu Timbalan Dekan..?

Sewaktu melangkah masuk ke bilik Dr. Indera, saya lihat dia menelungkup di mejanya.
"Indera, saya sakit kepala. Boleh Indera belikan panadol dan air teh di cafe...?" tanyanya seraya menghulurkan not RM50.00.
Saya sekadar mengangguk. Hilang kecut perut saya berganti dengan rasa belas kasihan. Panadol dan air teh itu saya beli dengan wang saya memandangkan cafe itu tiada tukaran wang kecil.
"Errr.... doktor ok ke?. Nak saya bawakan ke klinik..?" saya menawarkan khidmat. Jika saya menghantar ke klinik, alamatnya akan dihantar dengan motorsikal buruk saya.

"Tak apalah Indera. Sakit saya ini sikit saja..." kata Dr. Indera. "Awak pergilah masuk kelas. Sorry, saya menyusahkan awak..."

Sepanjang hari itu saya tertanya-tanya, apakah kerana kami senama maka Dr. Indera yang garang itu mudah mesra dengan saya...??

Suatu hari yang lain pula, dia memanggil saya duduk bersamanya di suatu tempat duduk di pinggir bangunan fakulti sambil dia menceritakan pengalamannya di luar negara. Tentang kesusahan keluarganya dan keinginan kuat yang dimilikinya untuk mengubah nasib keluarga. Tidak lupa juga dia memberikan panduan di dalam menuntut ilmu.
"Lepas habis diploma nanti, Indera cadang nak buat apa...?" tanya Dr. Indera.
"Errr... saya berniat untuk sambung buat Advance. Tapi, saya tak layak. CGPA saya cuma 2.8. Syarat minima, Doktor pun tahu, perlu 3.50.." balas saya sambil tersenyum lucu mengenangkan cita-cita saya yang tinggi menggunung.
"Borang dah hantar ke..?" tanya Dr. Indera lagi.
"Sudah".
Dr. Indera memandang saya dengan simpati.

Mak menelefon dari kampung. Saya dipanggil untuk temuduga bagi mengikuti Diploma Lanjutan. Seperti tidak percaya!!. Betulkah?, saya bertanya kepada Mak berulang-ulang kali.

Menjelang hari temuduga, saya kehilangan punca untuk menyiapkan persediaan ke temuduga. Apa yang perlu saya baca? Berjayakah saya di dalam temuduga ini? Ohhh.... Ya Allah, permudahkanlah laluanku.
"Nombor 15. Indera Kencana Bin Muhammad Suria. Sila masuk.." terdengar arahan melalui interkom menyuruh saya masuk ke bilik temuduga.

Dengan gementar saya mengetuk dan memulas tombol pintu sambil menyebut nama Allah.
"Assalamualaikum..."
"Wa alaikumussalam.." 3 orang panel itu menjawab serentak.

Duduk di tengah-tengah barisan panel itu, Dr. Indera tersandar kemas sambil tersenyum penuh makna kepada saya...

(Bersambung)

Tuesday, February 06, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 5

Saya sudah tenggelam punca. Tekad saya ialah menggugurkan matapelajaran itu dari senarai peperiksaan saya. Saya tidak mahu nanti ialah memberikan kesan yang besar kepada CGPA saya jika saya gagal di dalam kertas itu nanti. Tetapi persoalannya, sampai bila saya harus menggugurkan subjek ini? Akhirnya, mahu tidak mahu saya terpaksa mendudukinya juga. Ahhh... kenapalah mereka yang merangka sukatan pelajaran itu harus memasukkan subjek ini!! Geramnya!!.

Di dalam kebuntuan itu menemukan saya dengan Abang Shamsuri. Pegawai Kerajaan yang berasal satu negeri dengan saya yang menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan (dulu ITM menggunakan istilah ini bagi merujuk kepada peringkat Ijazah) di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Abang Sham sudah punya anak 3. Sangat baik hati dan penuh dengan sifat kebapaan. Kepada dia saya mengadu masalah.

"Indera, engkau mesti ingat bahawa engkau sekarang belajar di IPT bukan di sekolah lagi. Fikir secara matang dan jangan sekali-kali lari dari masalah. Dalam hal ni, Abang nak Indera duduk jugak kertas Calculus tu. Ianya penting untuk Indera di masa akan datang. Cuba fikirkan, jika Indera rasa subjek ini susah dan Indera gugurkannya. Di masa akan datang Indera akan terbiasa. Bila rasa susah je, drop!!. Sampai bila masalah ni nak selesai?"
"Tapi Indera takut gagal..." akui saya
"Itu pun ada jalan penyelesaiannya. Indera pernah ponteng kelas ni..?" tanya Abang Sham
Saya geleng.
"Bagus. Sekarang apa yang perlu Indera lakukan, pergi berjumpa dengan pensyarah berkenaan. Cerita dengan dia. Akui kelemahan Indera. Katakan pada dia, Indera dah cuba bersungguh-sungguh, tapi masih gagal. Berdoa pada Allah, minta supaya Allah bukakan pintu hati pensyarah itu rasa belas kasihan pada Indera. Insya-Allah segalanya akan selesai.."

Saya berjumpa dengan Puan Siti Aminah, pensyarah Calculus menceritakan segala masalah saya petang itu. Di samping itu juga saya merujuk kepada senarai kedatangan saya yang penuh sepanjang semester di samping meminta belas ehsannya supaya memberi pertimbangan kepada saya. Alhamdulillah, Puan Siti Aminah amat memahami.
"Baiklah Indera. Saya faham masalah awak. Tetapi saya tidak boleh kata yang saya akan luluskan awak. Awak mesti banyakkan usaha awak sehinggalah hari peperiksaan.

Haaahh..?? Belum pasti lagi...??

Saya mengadu lagi pada Abang Shamsuri. Abang Shamsuri hanya tersenyum.
"Sudahlah tu..." pujuknya. "Pergi buat latihan banyak-banyak..."

Hari bertukar ganti. Tarikh peperiksaan semakin hampir. Saya tenggelam di dalam timbunan buku-buku dan latih tubi dari kertas soalan tahun-tahun sebelumnya. Sesekali... wajah Hasniah muncul dalam mimpi, membuat jiwa saya kian gelora.

Suatu pagi, saya terlihat Suhaili di fakulti. Sudah hampir setahun Suhaili meninggalkan kampus setelah gagal buat kali ketiga subjek perakaunan. Sepanjang hampir setahun itu juga saya merasa lega kerana tidak lagi diekori.
"Haiii... Indera apa khabar..?? tanya Suhaili.
"Errr.. baik, Alhamdulillah. Sue buat apa kat sini. Masuk balik ke..?" tanya saya kebingungan.
"Tak... Sue jumpa kawan-kawan lama"

Pertemuan dengan Suhaili sengaja saya singkatkan dengan alasan saya perlu menghadirkan diri ke Pusat Keusahawanan. Lebih dari itu pula, saya tidak mahu ada pihak yang salah anggap pertemuan saya dengan Suhaili.

Dua minggu lagi peperiksaan akhir semester. Setelah itu kami akan bercuti hampir sebulan sebelum memulakan semester baru. Shahril datang ke meja saya menyampaikan pesanan, Hasniah ingin bertemu saya di bilik perbincangan di paras bawah perpustakaan. Ingin berjumpa? Kenapa?

Buat seketika, kami terdiam terpaku tatkala pandangan bersatu. Ada air jernih bertakung di matanya.
"Suhaili ada jumpa dengan Niah. Dia cerita semua hal antara Indera dengan dia..."
"Niah, percayalah. Antara Indera dengan dia tak..."
"Tak ada apa-apa?. Dan apa yang berlaku di Dewan Kuliah itu, hanya godaan dia pada Indera sedang Indera sendiri tidak mahu, kan..??"
Saya cuma mengangguk.

"Niah minta maaf atas layanan buruk Niah pada Indera selama ini. Boleh ke Indera maafkan Niah..?" katanya.
"Sudah tentu Indera maafkan Niah. Cuma Indera minta satu. Izinkan Indera bertahta di hati.. Boleh ke..??"
Niah tersenyum pahit sambil memandang ke arah lain.
"Indera seorang teman yang setia. Niah takkan lupa. Tetapi bolehkah Indera anggap Niah ni kawan biasa"
"Tak mahu..."
"Tolong lupakan Niah. Kita memang tak ada takdir untuk bersama..."
Dia berlalu umpama bayu. Tetapi saya tahu, harapan saya masih ada.

Tarikh menduduki kertas Calculus jatuh pada hari terakhir peperiksaan. Sehari sebelum itu, badan saya seakan seram-seram sejuk. Tidur malamnya saya bermimpi segala formula Perbezaan dan Pengkamiran. Keesokan paginya saya masuk ke dewan peperiksaan dengan kepala yang berat.

Saya memuntahkan sarat kepala saya ke atas kertas jawapan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tamat sahaja peperiksaan, Hasniah terus berlalu pulang. Saya fikir, esok lusa saya boleh berbicara lagi dengannya. Jadinya, tengahari itu saya penuhi dengan berkumpul bersama teman-teman sekelas.
"Eh, Indera. Niah nak bertunang, engkau tahu tak..??" beritahu Hartina.
"Isssyyy.. mengarutlah engkau. Pandailah engkau buat cerita.."
"Lahh.. Hang tak tau lagi ka..??" sambut Syikin.
"Mak Pak dia mai kolej minggu sudah. Aku sendighi jumpak ngan Mak dia. Mak dia khabaq ke aku, Niah nak bertunang cuti semesta ni. Tunang dia umuq 25 tahun, keja..

Saya sudah tidak mendengar lagi kata-kata Syikin. Hati saya hancur berkecai...
"Tolong lupakan Niah. Kita memang tak ada takdir untuk bersama..."

Kau akui diriku ini teman setia
Kau menguji menghambatiku dalam bicara
Namun tempatku tetap di sudut hati
Mengulit rindu dengan debaran nyata
Ada derita yang menjarakkan kita
Ada sempadan yang memisahkan kita
Andainya bukan diriku ini
Siapakah di hati....??

Niah.... Hasniaaaaaahhhh!!!

Indera : Andainya suami Hasniah membaca entri ini, tolong jangan masuk ke hati. Ianya hanya rakaman sebuah kenangan. Tiada membawa apa-apa makna. Antara kami dahulu, tidak lebih dari batasan teman sekelas. Hasniah umpama sekuntum kembang suci di taman larangan. Anda bertuah memilikinya. Jagalah dia dengan baik.

(Bersambung)

Sunday, February 04, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 4

Sebuah lagu nyanyian Shima, Teringin...

Sesekali kurasa teringin
Melewati hatimu yang dingin
Mendengar keluh resah
Semenjak kau kehilanganku

Tiapkali kucuba hampiri
Makin jelas dengup jantung ini
Di ranjang keluh sepi
Ku sendiri

Sesungguhnya tewas menghadapi
Malah kuakui sepi menghantui
Paling tidak berilah peluang
Ku berterus terang

Adakala ku rasa teringin
Bermesra denganmu bagai waktu dulu
Tapi bilakah semua ini
Akan jadi pasti
Bukan lagi mimpi

Ku wanita dengan airmata
Bukan untuk meminta simpati
Sekadar kumelepaskan
Rasa hati...

Lagu itu berkumandang buat sekian kalinya di radio. Siri Aufa dan sepupunya kecoh berebut gula-gula di tempat duduk belakang kereta. Mereka tidak tahu bahawa saya di saat itu terbang pulang ke awal tahun 90-an.
"Indera, Niah paling suka lagu Teringin..." beritahu Haslina sewaktu kami menunggu pensyarah Bahasa Inggeris, Mrs. Pareira masuk ke kelas petang itu.
"Iyaa...??"
Haslina cuma mengangguk.
"Kalau macam tu, kau cakap kat Niah, aku akan sentiasa mengingatinya setiapkali aku mendengar lagu tu... Tak kira berapa lama sekalipun. Aku tak akan lupa..."

Sejak peristiwa malam itu, Niah mengelak dirinya dari saya. Sedang dia enak berbual dan berbincang dengan kawan-kawannya, Hartina, Jah dan Syikin itu, tatkala terpandang sahaja wajah saya, wajah Hasniah pasti mencuka.

"Baik, untuk tugasan kali ini, saya akan membahagikan kamu semua mengikut pasangan. Ertinya satu kumpulan hanya ada dua orang ahli. Seorang lelaki, seorang perempuan. Kertas kerja ini mesti sampai ke meja saya selewat-lewatnya dua minggu dari sekarang..." kata Dr. Tajuddin, pensyarah Ekonomi Malaysia.
"Kumpulan pertama, Azri Mamat dengan Khadijah Miskon. Azamir Johari dengan Hartina Muklas. Shahril Nordin dengan Azawati Hadi, Indera Suria dengan Hasniah Hasnan..."
Hooorraayy... hati saya bersorak...
"Armizam Ishak dengan..."

"Dr. Tajuddin, saya tidak setuju dengan kumpulan ini...!!!!"

Kami terkejut dan tercari-cari datangnya suara itu.. Hasniah!!!

"Doktor. Saya tidak kisah kalau saya dipasangkan dengan siapa sahaja. Asalkan tidak bersama Indera"
"Kenapa..??" saya bertanya.
"Sebab Niah tak suka awak.."
"Apa sebab..??"
"Sebabnya Niah memang tak sukakan awak.. faham tak..??"
Seisi kelas beserta Dr. Tajuddin berlongo melihat drama itu..
Huuuuuuuuuuuuuuhhhh, satu kelas bersorak panjang bila melihat airmata di pipi Niah.

"Indera, Hasniah. Masuk bilik saya sekejap.." panggil Dr. Tajuddin.
"Kenapa awak mengelak untuk diletakkan sekumpulan dengan Indera..?? Awak ada masalah ke..?? tanya Dr. Tajuddin sebaik sahaja kami berdua duduk di hadapannya.
"Tak ada..." jawab Hasniah. Pendek.
"Habis tu kenapa awak mengelak..? Indera, awak ada apa-apa dengan Hasniah..??"
"Ada Dr. Tajuddin. Tetapi saya tidak boleh menerangkannya kerana ianya terlalu peribadi. Maafkan saya, doktor.."

"Hasniah, Indera... saya tidak mahu awak berdua masukkan hal peribadi awak di dalam tugasan awak. Awak harus pandai selesaikan masalah awak berdua dan saya tidak mahu masuk campur. Keputusan saya muktamad. Awak berdua akan kekal sebagai satu kumpulan sehingga ke akhir semester..."

Wahh...!! Keputusan memihak kepada saya. Saya tersenyum menang. Saya berpeluang menatap wajahnya setiap hari. Tetapi berlainan pula dengan Hasniah. Dia langsung tidak mahu merenung wajah saya sepanjang tugasan kami. Setiapkali saya cuba membawa isu tentang kami berdua, dia akan membentak marah. Apa daya saya?

Keputusan kuiz kedua subjek Calculus diumumkan. Hasniah mendapat 96%. Manakala saya hanya mendapat 24%. Saya sememangnya tiada asas Matematik Tambahan di peringkat sekolah nyata tidak dapat bersaing.
"Kenapa engkau tidak minta tolong Niah ajar engkau..??" Hartina mengeluarkan cadangan.
"Minta dia ajar aku?. Tengok muka aku pun dia tak nak..."
"Kau tak cuba, mana kau nak tahu..?? marah Hartina.

"Tidak. Tidak!! faham tak? Dengan orang lain, Niah boleh ajar. Tapi tidak pada Kacang Hantu macam Indera" kata Niah marah-marah sewaktu saya meminta dia mengajar saya subjek Calculus itu. Keadaan saya sedang amat nazak. Tanpa pencapaian yang baik di peperiksaan, saya mungkin gagal kertas itu.

(Bersambung)

Thursday, February 01, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 3

Saya serba salah.Namun hati teringin untuk melihat bagaimanakah rupanya disco. Eddie diam sahaja. Saya mencapai pakaian yang dihulurkan oleh Didie dan Munir. Baju T lengan panjang bercorak belang putih hitam dan jeans berwarna biru. Eddie pernah berkata baju saya itu dari kejauhan nampak seolah-olah kuda belang.

Kawan-kawan mereka menunggu di luar bilik saya. Saya membuka dompet untuk memeriksa samada saya tidak lupa membawa wang jika terjadi kecemasan. Di saat saya terpandangkan not sekeping RM50.00 itu saya teringatkan kata-kata Mak sebelum Mak bertolak pulang.
"Indera, Mak harap Indera tidak lupa diri. Ingat, betapa susahnya Indera nak mendapatkan tempat di sini. Jangan sia-siakan harapan semua orang. Jangan sia-siakan harapan Mak. Ingat tujuan utama Indera ke sini untuk belajar. Jangan lakukan perkara yang boleh menghancurkan masa depan engkau. Ambillah RM50.00 ini buat belanja. Ini sahaja yang Mak ada. Kita bukan orang senang..."

Maakkkk...!!! Indera bersalah pada Mak. Indera minta maaf.

Saya mengesat penjuru mata saya yang kebasahan.
"Munir, Didie. Aku rasa aku tak mahu pergi. Pergilah kamu orang semua. Jangan tunggu aku..."
"Alaa... apa ni..??? Jangan takut. Kita orang ada" kata Didie menarik tangan saya.
"Betul.. aku tak mahu pergi..!!" kata saya lagi.
"Ahhh... aku tak mahu dengar. Jom ikut kitaorang jugak.." kata Munir sambil menarik kuat tangan saya.

Keadaan itu betul-betul mencemaskan saya.
"Wo, wo, wo... kamu semua ni dah singkat akal ke..??" marah Eddie.
"Dah dia kata tak mahu pergi, biarkanlah. Kamu semua pun satu hal lagi. Dah kamu semua rosak, kamu nak rosakkan dia pulak!!. Haa.. ni, langkah mayat aku dulu kalau kamu semua nak buat tak tentu pada dia..." Eddie sudah mengamuk.
"Indera, pergi masuk!!" tengking Eddie.

Eddie kemudian menghilang entah ke mana. Yang saya pasti, dia tidak mengikuti budak-budak itu semua. Barangkali dia ke perpustakaan. Saya termenung di dalam bilik keseorangan. Banyak kisah yang saya dengar tentang pelajar-pelajar menjadi rosak akibat ketagihan berpoya-poya. Saya nyaris tidak terjebak. Mujur ada Eddie.
"Dalam hidup ini, kita mesti pandai berkata TIDAK, Indera. Jangan jadi lembu yang dicucuk hidung jika suatu perkara tidak bersesuaian dengan prinsip hidup kita..." pesan Eddie.

Saya menjalani kehidupan di kampus dengan panduan dari Eddie. Cuma Eddie tidak menitik beratkan soal agama. Soal agama, saya terpaksa mencari sendiri. Namun dia umpama abang yang baik yang memberi tunjuk ajar kepada saya. Mengherdik dan menengking jika saya melakukan kesilapan.

Di fakulti, saya bergaul rapat dengan Azri, Asmawi, Armi (Allahyarham) dan Janggut. Kami sama-sama belajar, menggali ilmu pengetahuan, meniru kertas kerja dan berkongsi nota. Kami juga bersama di dalam satu kelas. Kadang-kadang Janggut meminjamkan peralatannya kepada saya memandangkan dia anak orang berada. Sering barang-barang peribadinya dihadiahkan kepada saya apabila dia melihat saya menyukai benda tersebut. Sebagai tanda persahabatan, katanya walaupun saya tidak pernah meminta.

Jika tiada kelas, kami akan berbual-bual dengan pelajar-pelajar lain termasuk Hartina. Gadis lincah dari Kuala Lumpur yang bermulut becok dan suka bikin huru hara. Hairannya, di sisinya sering ada Hasniah, gadis dari Tanah Serendah Sekebun Bunga yang manis dan pendiam. Saya amat menyenangi Hasniah yang comel, yang sopan dan bertudung itu. Hartina cuma memandang.
"Eh, Indera. Engkau sukakan Niah, ye!!!... Oooo.."
Saya cuma tersenyum penuh makna.

Ada seorang lagi gadis di kelas saya. Suhaili namanya. Juga seorang yang lincah. Dia sering mengekori saya di fakulti. Cuma pulang ke asrama sahaja saya tidak diekori. Entah apa istimewanya saya ini, saya pun tidak pasti.

Suatu malam, Perpustakaan penuh. Saya tawar hati untuk ke situ. Saya memilih ke Dewan Kuliah B mentelaah di situ. Suasananya gelap gelita tanda tiada manusia di dalamnya. Saya menyalakan lampu di satu sudut dan diam-diam menbaca di situ. Keseorangan itu lebih aman.
"Well.. well.. well. Tengok siapa ada di sini..."

Saya mengangkat muka. Suhaili rupanya. Bagaimana dia tahu saya berada di sini..??

Suhaili mendaki anak tangga dan duduk di sebelah saya.
"Indera baca apa? Hmmm.... Economics. Rajinnya..."
"Boleh Sue baca sekali dengan Indera...?" tanyanya.
"Boleh.. silalah" kata saya.

Baru sahaja lima minit membaca, Suhaili berceloteh pula.
"Indera, Indera rasa Sue ni macam mana..?"
"Err... macam mana apa..??"
"Sue ni cantik tak..?"
"Cantik...."
"Tapi tak secantik Niah kan? Indera, kenapa mata Indera coklat? Kenapa nama awak Indera..? Klasiknya nama tu.... Hmmm, Indera suka kat Sue, tak?" pantas dia menarik buku yang saya baca.

Dia ketawa melihat saya cuba menangkap buku yang berada di tangannya. Suhaili nampak lain macam malam itu. Dari duduk di sisi saya, dia duduk di atas meja dewan kuliah itu memerhatikan dan merenung dalam wajah saya. Saya serba salah. Sekali lagi dia ketawa.
"Muka Indera dah merah... Indera malu..??" katanya sambil membelai-belai rambut di kuping telinga saya.
Saya cuba mengelak.
"Errr... jangan macam ni. Nanti Pak Engku nampak, naya je kita kena buang dari ITM..." kata saya.

Suhaili ketawa lagi. Kali ini dia turun dari meja dan duduk di sisi saya. Lebih rapat. Saya gugup. Suhaili merapati wajahnya ke tepi telinga saya. Dapat saya mendengar hela nafasnya. Dia menghembus perlahan telinga saya. Saya mengelak kegelian. Ada orang masuk.

Sebaik sahaja orang itu masuk, dia nampak kaget apabila melihat tangan Suhaili di bahu saya dengan wajah yang begitu hampir dengan wajah saya. Sungguh orang itu terkejut.

Saya juga lebih terperanjat.
Haaaahhhhh? Hasniah????
(Bersambung)

Wednesday, January 31, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 2

Cubit atas sayang
Cubit bawah sayang alahai dik oi
Sama sakit sama sayang

Air sama air
Kikir sama kikir
Fikir menangis
Fikir agama

Saya hanya mampu memandang keluar. Melihat sawah padi yang terbentang luas yang jauh ditinggalkan. Saya mengerti perasaan di hati Din. Kalau ada daya saya, ingin saya membawanya bersama menongkah arus pembelajaran dan sama-sama mengejar cita-cita. Dia tentu sedang tenggelam punca. Sama seperti yang saya dan Din rasakan sewaktu Azmi bertolak ke Skudai pada bulan Mei tahun sebelum itu.

Pernah suatu hari sewaktu Din sedang mengheret kerbau ayahnya untuk masuk ke kandang, dia ditegur dengan kata berbisa Pakcik Bedul ayah kepada Zamri (Zamri sama-sama mendaftar ke UTM bersama Azmi. Tetapi akhirnya Zamri kandas di Semester ke 3).
"Haii...?? jaga kerbau sudahnya engkau...??"

Sejak dari hari itu, Din bagaikan pendendam. Ada sahaja yang bisa menaikkan kemarahannya.
"Sudahlah tu... Tak baik termenung. Insya-Allah Din tak apa-apa. Ada rezekinya nanti, dapatlah dia masuk ke universiti" pujuk Mak.

Mak amat mengerti akan keakraban saya dengan Din dan Azmi. Bagi saya, Din dan Azmi itu bukan sahaja rakan karib saya. Bahkan mereka itu adalah kembar saya. Kami berkongsi kegembiraan, kesenangan, tawa ceria, tangis duka sejak kami masih kecil lagi. Cuma takdir yang memisahkan kami pada jalan kami yang tersendiri.

Hati saya bercampur buar sewaktu kereta Apak melintasi Jambatan Sungai Bernam. Negeri Perak saya tinggalkan. Saya bakal bermastautin di negeri baru. Saya tidak pernah bermastautin lebih jauh dari Daerah Kinta. Jika berjalan-jalan makan angin itu tidak diambil kira. Sudah hampir kesemua negeri pernah saya lewati...

Melihat ragam penduduk di sepanjang jalan Sabak Bernam-Kuala Selangor-Shah Alam itu sedikit sebanyak menghiburkan hati lara saya. Sewaktu kereta Apak memasuki pinggiran bandar Shah Alam, dari kejauhan sudah terlihat Menara Budiman berdiri gagah di atas bukit Seksyen 1 itu.
"Ahhh... ITM, aku datang. Menyahut cabaranmu... Ya Allah, permudahkanlah laluanku" bisik hati saya.

Suasana di Dewan Seri Budiman nampak sibuk dengan pelajar baru yang mendaftar. Pelajar yang datang dari pelbagai lapisan kedudukan, negeri dan adat resam, latar belakang dan jurusan yang diambil. Juga mereka yang mempunyai ragam yang berbeza-beza. Saya hanya mengikut arus semasa. Disuruh mengisi borong, saya isi. Disuruh tandatangan, saya tandatangan. Segalanya seumpama dalam mimpi atau dipukau. Sewaktu mengambil kad pendaftaran asrama, saya sungguh tidak mengerti apa-apa.
"Baiklah. Awak ditempatkan di Kolej Delima 7. Awak boleh ke asrama sekarang...." kata seorang pegawai Bahagian Pendaftar.

"Wahhh... Kolej Perindu. Mesti mereka yang tinggal di sini terdiri dari yang jenis sentimental ni.." komen adik saya, Andika dalam gelak tawanya. Saya tidak kuasa melayani gurauannya kerana cabaran hidup di kampus itu amat mencemaskan saya.

Minggu Silaturrahim berjalan lancar. Tiada perkara buli terjadi sepanjang tempoh itu. Hanya suaikenal dan ceramah. Balik ke asrama untuk berehat dan bersambung lagi dengan ceramah. Ceramah, ceramah dan ceramah.

Tamat Minggu Silaturrahim, saya kembali cemas memikirkan senior-senior saya akan pulang ke asrama. Saya berdoa agar saya tidak menjadi mangsa buli mereka (saya takut dibuli sebenarnya). Sewaktu pelajar yang menjadi rakan sebilik saya sampai, saya amat bersyukur yang dia seorang yang peramah dan mesra. Eddie namanya. Satu pengajian dengan saya. Cuma dia di Semester 4. Saya pula masih terlalu hijau. Eddie seorang yang pintar dan disenangi oleh rakan-rakannya. Dia menjadi rujukan bagi setiap perkara oleh rakan-rakan. Rakan-rakannya turut menjadi kawan baik saya.

Suatu malam, 5 orang kawan-kawan Eddie masuk ke bilik kami. Mereka berpakaian kemas dan ranggi. Munir, duduk di atas katil, betul-betul di sebelah saya.
"Indera, siap. Jom kita pergi DV8..."
"DV8..?? DV8 tu apa..??" tanya saya bodoh-bodoh.
Mereka ketawa lucu.

"DV8 tu disco. Malam ni ada Student's Night. Masuk free tau... Jom cepat siap" kata Didie.
Mereka membuka almari baju saya untuk mencari baju yang sesuai untuk saya ke tempat itu. Saya memandang Eddie untuk mendapat kepastian. Tetapi di wajah Eddie, yang ada hanyalah gambaran kosong.

(Bersambung)

Tuesday, January 30, 2007

Ke Puncak Cita

Saya masih teringat lagi hari pertama perjalanan hidup saya meniti kemanisan tinggal di kampus. Pagi itu awal-awal lagi saya sudah bangun. Bangun dengan hati yang riang gembira. Betapa sesudah ini saya akan bergelar seorang mahasiswa yang menghuni hutan batu Shah Alam. Sudah lama saya tidak ke Shah Alam. Kali terakhir saya ke Shah Alam sewaktu usia saya 9 tahun ketika menghantar Opah dan Arwah Atuk menunaikan fardhu haji di Mekah. Bayangan Shah Alam hanya kabur dari ingatan. Sungguh tidak saya duga bahawa sesudah hari itu saya akan menghuni bandar perumahan itu selama hampir 10 tahun.

Apak tidak arif akan jalan-jalan di Lembah Kelang. Yang sebenarnya Apak takut tersesat. Apak mengajak Tok Leman bersama kerana Tok Leman sering berulang alik dari Perak ke Lembah Kelang hampir setiap bulan.

Selesai bersolat subuh, saya melangkah ke rumah Cikgu Hamid, tempat di mana saya dan rakan-rakan iaitu Alang, Duwan dan Lan sering berkunjung menemani Cikgu Hamid. Selepas beberapa kali mengetuk pintu, Alang menjenguk keluar. Seperti yang saya duga, dia bermalam di rumah Cikgu Hamid dengan ditemani oleh Duwan, Lan dan juga Din.
"Selamat jalan, Indera. Jangan lupakan kami di sini... Lagi satu, kirimkan salam aku pada anak dara-anak dara yang cantik manis di sana nanti, ye!!" kata Alang. Sesekali dia menggaru-garu kepala dan punggungnya. Rambutnya tidak terurus tanda baru bangun tidur. Sesekali pula lagi dia menguap panjang. Nampak hodoh berselubung dengan kain pelikat kusamnya.

Kami terus berbual di atas bangku panjang di hadapan rumah Cikgu Hamid sambil memandang kosong ke arah padang sekolah yang suram diselimuti kabus pagi yang tebal. Matahari masih belum menampakkan dirinya. Kokokan ayam sahut menyahut dari rumah penduduk kampung yang tinggal berhampiran.

Mendengar kami berbual, Duwan dan Lan keluar menyertai perbualan kami. Wajah Duwan dan Roslan nampak sayu. Saya tidak merasakan bahawa mereka sayu kerana berpisah dengan saya. Mereka itu bersedih kerana mereka masih menjadi penunggu setia Tingkatan 6 yang jumlah pelajarnya kian hari kian merosot.
"Din ada di dalam. Dia tak mahu bangun berjumpa dengan kamu. Puas aku kejutkan..." bisik Duwan.
"Semalam aku tengok dia menangis di tepi pagar sekolah. Malam ni dia tidur di rumah Cikgu Hamid sebab dia tak betah keseorangan di rumahnya. Dia perlu kawan di saat sebegini.." tambah Lan pula.

Keputusan SPM Din sangat baik. Namun di mana silapnya, dia tidak berjaya ke universiti. Ketika itu tempat belajar sangat terhad kepada 7 buah IPTA sahaja di seluruh Malaysia. Maka saingannya sangat sengit. Bukan Din sahaja, bahkan juga saya menerima nasib yang sama. Mujur keputusan kertas Bahasa Inggeris saya mendapat kepujian, maka ianya membolehkan saya memohon masuk ke ITM. Keputusan Bahasa Inggeris Alang, Din, Duwan dan Roslan hanya setakat lulus. Oleh yang demikian secara sendirinya mereka tidak layak ke ITM untuk kemasukan sesi Januari itu.
"Din sekarang selalu marah-marah. Pantang silap sikit, asyik nak naik angin. Kamu tolonglah nasihatkan dia..." kata Mak Yong Mah, ibu Din di dalam perbualan kami beberapa hari sebelum pemergian saya.

Saya masuk ke dalam rumah Cikgu Hamid. Din sedang mengerekot di dalam selimut. Saya tahu dia berpura-pura tidur.
"Din... aku datang nak ucap selamat tinggal..."
"Din... bangunlah..."

Din bungkam. Cikgu Hamid keluar dari bilik lengkap bersongkok dengan baju melayu dan kain pelikat. Tampan sekali. Langkahnya terhenti melihat saya dan Din. Cikgu Hamid sekadar menggelengkan kepalanya. Kemudian dia mengangkat tangannya memberi isyarat agar saya berhenti menggoncang tubuh Din.
"Selamat jalan, Indera. Belajar sungguh-sungguh. Jangan malas dan banyak bermain. Ingat harapan Mak Ayah awak.." nasihat Cikgu Hamid.
"Terima kasih, cikgu.."
"Kalau ada masa lapang dan cuti, datanglah menjenguk kami.." kata Cikgu Hamid.
"Cikgu pun jangan lupa hantar kad Walimatul Urus pada saya jika saya masih berada di Shah Alam.." usik saya sambil mencium tangannya.

Saya melangkah pulang setelah bersalaman dengan teman-teman yang setia. Saya menoleh ke belakang jika ada kelibat Din menghulurkan lambaian. Namun saya hampa.

Di saat saya memasukkan barang ke dalam kereta, adik saya mencuit bahu saya. Ada orang ingin berjumpa, katanya.

Nun di bawah pokok jambu air di dalam pagi yang mendung itu, Din duduk di atas motosikal memandang sayu ke arah saya.
"Berbahagia kamu Indera, kerana berupaya menjejakkan kaki ke kampus..." kata Din.
"Heyyy.. semua orang boleh lakukan. Engkau pun bakal menempuh saat ini, Insya-Allah.." kata saya.

Din tersenyum. Dari dalam kereta Apak, saya melambainya. Kereta Apak semakin laju dipandu oleh Tok Leman. Apak tersandar kemas di sebelah Tok Leman. Sementara Mak, saya dan adik bongsu saya, Andika duduk di belakang. Din semakin jauh dan mengecil. Sebelum kereta Apak membelok ke simpang, saya sempat melihat Din mengesat hujung matanya. Saya tidak pasti samada dia mengesat airmatanya ataupun mengesat titis hujan yang turun merintik...

(Bersambung...)

Friday, January 26, 2007

Sakit Mata

"Eh, Monster la... Mak!! Monster dah tiba...!!" kata anak-anak kakak saya memanggil ibu mereka setibanya saya di rumah Mak minggu lepas.

Masuk sahaja ke rumah, saya melihat Mak terbaring sambil berselimut di atas katil.
"Opah demam. Dah tiga hari.." kata Fatin yang baru berusia 9 tahun.

Sesekali Mak mengerang apabila sengal-sengal menyinggahi di sendinya. Saya lihat mata Mak merah menyala.
"Kenapa dengan mata Mak..??" tanya saya.
"Mak sakit mata. Berjangkit dengan budak-budak tu" kata Mak.
"Mak dah makan..??" tanya saya lagi.
"Belum. Mak tak ada selera"

Apa yang saya boleh lakukan ialah mengurut badan Mak. Itu pun hanya sebentar cuma apabila Mak mengadu badannya lebih sakit apabila diurut oleh saya. Katanya kudrat dan cengkaman saya kuat. Badan Mak yang lemah tidak berdaya menerima tekanan tenaga saya. Akhirnya Fitri yang berusia 7 tahun itu yang mengurut badan Mak. Mak nampak lega.

Esoknya Mak kembali sihat. Sudah cergas untuk memasak dan juga mencuci keliling rumah. Cuma mata Mak sahaja yang masih kemerahan. Sesekali apabila kerinduan kepada Mak memuncak, saya akan mencium pipi Mak. Mak hanya tersenyum.

Malam itu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur, Mak pula menghadiahkan selayangan ciuman ke pipi saya. Sungguh bahagia rasanya!!!.

Hari Isnin berlalu seperti hari-hari yang lain. Masuk sahaja hari Selasa, mata saya seakan tidak betah menentang pancaran matahari pagi yang sebelum ini cukup menenangkan. Saya masuk ke tandas dan.... Masya-Allah!! mata saya seperti tanglung di malam Chap Goh Mei. Pada ketika itu juga saya diarahkan pulang ke rumah dan mendapat cuti sakit selama dua hari.

Duduk di rumah selama dua hari tanpa anak-anak, isteri dan rakan-rakan adalah sesuatu yang amat membosankan. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah mengemas rumah yang seperti tongkang karam itu, mencuci pakaian dan memasak. Memasak Ikan Sardin. Selama dua hari itulah menu istimewanya - hanya Ikan Sardin.

Jika saya kebosanan, saya akan mengambil angin di luar rumah. Memandang perumahan yang sunyi sepi di waktu tengahari rembang. Mengalih pandangan ke ladang kelapa sawit yang memagari kawasan perumahan itu. Dedaunnya di waktu tengahari tampak agak pusam dan berdebu sementara angin yang bertiup seakan perlahan dan membawa aura panas dari arah Kundang.

Di sebelah petangnya, hujan mengguyur dari langit membasahi aspal. Mata saya masih merah menyala seakan tiada tanda untuk surut.

Sunday, January 21, 2007

Hari ribut, runduklah padi..

"Hmmmm... dah dua hari hujan. Berhentinya adalah dalam 5 minit. Lepas tu dia sambung sampai ke malam. Dari malam membawa ke pagi. Mendung saja hari... Cuaca pun makin sejuk" kata Mak sambil memandang jauh ke luar.

"Kalau sebulan cuaca macam ni, Mak boleh tanam epal.." kata saya. Tiba-tiba saya teringatkan seorang teman di bumi sejuk yang langitnya sering sahaja mendung-mendung.

"Baba, jom la kita naik motor, Baba. Kak Long nak tengok kerbau..." rengek Siri Aufa.

Saya mencari-cari kunci motor di atas palang tempat Apak meletakkan koleksi kunci-kuncinya. Kunci yang sudah tidak berguna yang berusia 20 tahun yang lepas pun masih setia berada di situ. Bilangannya saban tahun semakin meningkat jumlahnya. Namun Apak tetap tidak ingin membuangkan kunci-kunci lamanya.

Sebaik sahaja enjin motosikal dihidupkan, hujan turun mencurah-curah semula. Di wajah Siri Aufa terbayang kehampaan. Dia duduk di tempat paling hadapan dengan kaki diletakkan di dalam raga motorsikal. Saya di belakangnya. Faiz yang tembam dan berpunggung besar itu diapit antara saya dan abangnya Imran yang kurus kering. Jika Faiz mengerakkan punggungnya, pasti Imran yang di belakang sekali itu menjerit kerana takut tercicir jatuh dari motorsikal. Maklum sahaja punggung adik bongsu dan Achiknya sahaja sudah memenuhi ruang duduk yang terhad itu.

Dalam larat mendung itu, haiwan ternakan barangkali lebih enak bersenang-senang di dalam kandang daripada basah kesejukan di dalam kebun atau di padang ragut. Seekor kerbau atau lembu pun tidak kelihatan. Hujan turun semula.
"Kita singgah rumah moyang dulu, ye!!. Nanti bila hujan reda sekali lagi, kita sambung berjalan.." pujuk saya pada budak-budak itu.
"Alaaaaaa........"

Rumah Opah sunyi. Yang ada cuma Opah dan Mak Nah. Mujur ada Fuziah datang membawa anak-anaknya bermain dengan Siri Aufa. Dalam leka berbual itu, Mak Nah masih sempat menggoreng pisang dan membancuh kopi O pekat. Wahh.. langkah kanan nampaknya. Memang kena waktu hujan-hujan sebegini menghirup kopi O bersama goreng pisang panas.

Hujan masih belum reda. Titis-titis hujan berguguran menimpa bumi dan pemandangan di dalam kebun getah tua milik arwah Atuk kelihatan begitu suram. Begitu juga suramnya hati-hati mereka yang menghuni perdusunan itu.
"Kita pergi Telok Bakong, hendak?" tanya saya kepada anak buah saya sebaik sahaja hujan reda.
"Hoorraayyy..." tempik budak-budak itu diikuti oleh Siri Aufa.

Sampai sahaja di simpang hadapan rumah Pak Akob, kami membelok ke kiri dan terhenjut-henjut perlahan-lahan melalui jalan berpasir putih yang tidak rata. Seekor burung bangau berwarna coklat di belakangnya, terperanjat dengan kehadiran kami lalu terbang laju dan semakin menjauh ke petak sawah di arah tenggara.
"Burung, Achik. Burung!!!" anak buah saya bersorak.
"Mati enjin, mati enjin..!!" pinta mereka.

Saya mematikan enjin motosikal. Terpaku melihat pemandangan yang sangat indah di larat mendung waktu sore. Di dalam petak yang tidak diusahakan, mengenang air laksana tasik. Bercampur buar jernih airnya dengan warna keputihan bulu burung bangau besar. Ada pondok usang yang masih berdiri di tepi taliair, membuatkan pemandangannya ibarat lukisan alam.
"Wahh, Faiz. Tengok pokok tu, tersusun cantik... Satu, dua, tiga... wahh sebelas batang pokok semuanya!!" kata Imran. Dia baru pertama kali ke situ. Sedang saya pula, itulah tempat saya duduk termenung dan berlama-lama di situ sewaktu saya masih bujang lagi. Itulah tempat yang terindah di kampung saya.
"Wahh... cantik betullah Achik.."

Kemudian mereka bersorak melihat empat ekor burung bangau berjalan terkedek-kedek di atas jalan yang berpasiran putih itu. Tidak manusia di situ kecuali kami.

Beberapa tempat, padi runduk ditiup angin kencang...

Hari ribut
Runduklah padi
Padi cupak
Dato Temenggung...

Hati siapa yang tak rindu dendam
Hati siapa yang tak kasih sayang
Wajahmu umpama gula...

Wednesday, January 17, 2007

Bila saya berkunjung ke sana..

Saya teringat suatu ketika dahulu, apabila Mak dan Apak membawa saya berkunjung ke rumah Mak Uda Zaidah, saya akan terlompat kinja dan bermain seperti orang sasau dengan anak bongsu Mak Uda Zaidah, Razak. Melihatkan kegembiraan saya, Mak Uda Zaidah pasti menahan saya dari pulang ke rumah Mak dan bermalam di rumahnya buat beberapa hari. Biasanya saya akan bersetuju. Tambahan pula dengan adanya Razak, pasti hari-hari saya akan dipenuhi dengan aktiviti bermain dan pelbagai kegilaan.

Namun kebiasaannya yang terjadi sebaliknya. Masuk keesokan harinya saya akan diserang demam. Saya tidak berselera makan dan banyak termenung. Mak Uda Zaidah akan bertanya,
"Indera, Indera sakit..??"
Biasanya saya akan menggelengkan kepala. Memberitahu Mak Uda Zaidah bahawa saya tidak apa-apa. Hakikat sebenarnya saya memang ada apa-apa. Saya menahan kerinduan kepada Mak, Apak dan juga adik beradik. Kerinduan sehingga boleh menyebabkan demam.

Setelah demam saya tidak sembuh buat beberapa hari, Mak Uda Zaidah akan menghubungi Apak di kampung. Sebaik sahaja kereta Apak memasuki halaman rumah Mak Uda Zaidah, secara tiba-tiba sahaja demam saya menjadi sembuh dan saya bermain kembali seperti asal. Bermain seperti orang sasau. Seolah-olah demam beberapa hari yang lepas itu ibarat mimpi sahaja.

Mak Uda Zaidah punya minat yang pelik. Dia gemar menceburkan diri di dalam projek-projek tertentu yang melihatkan industri kecil dan sederhana. Kebanyakan industri yang berasaskan makanan. Mak Uda Zaidah pernah menternak ayam daging dalam jumlah yang besar. Punya reban yang besar dan panjang, yang mampu menampung bilangan ayam berjumlah beratus-ratus ekor dalam satu masa, pernah menceburkan diri di dalam projek ternakan dan penanaman cendawan dan dia juga pernah mengeluarkan sos cili dan rojak jenama sendiri.

Entah di mana silapnya, kesemua projek-projek tersebut tidak bertahan lama. Bukan kerana tiada pasaran dan juga permintaaan, namun di mana silapnya saya sendiri pun tidak tahu puncanya. Pengeluaran sos cili dan rojak hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum ianya ditutup dan tidak diusahakan. Penternakan ayam hanya bertahan selama 3 kali keluaran hasil sebelum reban ayam yang besar itu terbiar mereput tanpa penghuninya.

Tetapi istimewa Mak Uda Zaidah adalah pada masakannya. Yang paling saya gemari ialah Gulai Perut (babat) dimasak tauchu bersama cili padi. Sewaktu mengadap menu ini, bersedialah dengan sejag besar air batu sirap. Kepedasannya bisa membuatkan telinga berasap...

Yang peliknya juga Mak Uda Zaidah tidak akan menurunkan resipinya kepada sesiapa. Apabila ditanya sebab kenapa Mak Uda terlalu kedekut mencurah ilmu. Jawapannya tetap sama.
"Nanti kalau kamu sudah pandai masak, kamu tidak mahu lagi singgah rumah Mak Uda.."

Sewaktu bangun pagi di rumah Mak Uda Zaidah, udara pagi yang masuk melalui jendela akan berbuar dengan aroma kenanga, tanjung, baki aroma harum sundal malam dan juga bakawali. Di keliling rumahnya ibarat taman dahulu kala yang menyimpan rimbunan pokok bunga yang segar.

Kini Mak Uda Zaidah sudah tua. Hari tuanya dihiburkan dengan telatah cucu-cucu yang tinggal bersamanya. Kadang-kala ketika berkunjung ke rumahnya saya akan membelek-belek mesin mengadun sos cili. Hendak dibeli tidak pernah disahutnya. Namun tidak juga dijual. Sungguh Mak Uda Zaidah punya perangai yang pelik..

Friday, January 12, 2007

OKU

Malam di Universiti Malaya. Masuk ke Perpustakaan berjumpa dengan seorang teman. Perpustakaan itu lengkap dengan pelbagai kemudahan yang canggih dan amat mesra pembaca. Kemudahannya turut memberi kesenangan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menimba ilmu.

Sedang saya berbincang dengan teman itu, saya terdengar bunyi yang pelik. Bunyi mesin berkata-kata dengan kadar yang amat pantas. Sangka saya mesin itu berbahasa Jerman, namun setelah diamati, bahasa yang dipertuturkan itu bahasa Inggeris. Seorang pemuda yang cacat penglihatan sedang berteleku di hadapannya menyudahkan tugasan.

Kagum dengan kesungguhan pemuda itu, saya merapatinya sambil memperkenalkan diri. Lucunya sewaktu saya menghulurkan tangan bersalaman dengannya, tangan saya tidak bersambut. Sedetik saya bingung kenapa dia enggan menyambut jabat tangan saya. Ohh.. bukankan dia itu cacat penglihatan!! Mana mungkin dia dapat melihat tangan saya... Akhirnya saya tersenyum sendiri.

Namanya Syed, orang Johor yang bakal menghabiskan kuliahnya pada pertengahan tahun ini. Mempunyai mata pencapaian keseluruhan (CGPA) 3.70. Sesuatu yang amat mengagumkan saya. Dalam keadaan cacat penglihatan itu dia mampu mencatatkan pencapaian sedemikian tinggi. Saya yang sempurna penglihatan ini pun dahulu hanya cukup-cukup makan.

Dia seorang yang tabah dan bersemangat kental. Ingin memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana melalui Skim Latihan Pensyarah. Sewaktu berbicara tentang syarat-syarat dan kelayakan yang harus ada bagi memasuki skim itu, kami berdebat hangat tentang kewajaran memberi kelebihan kepada OKU untuk melanjutkan pelajaran.

Saya berpendapat adalah wajar bagi golongan OKU ini diberi keutamaan dan laluan yang mudah untuk ke Skim itu tetapi Syed membantah bahawa setiap syarat itu mestilah adil tidak kira samada orang itu lengkap pancaindera ataupun golongan OKU.

Saya tahu bahawa golongan OKU ini mahu kita melayani mereka sama seperti kita melayani insan lain tanpa mengira kecacatan mereka. Mereka mudah tersinggung dengan layanan istimewa dan merasakan keistimewaan yang mereka perolehi itu adalah atas dasar kecacatan mereka. Bukan sebab mereka itu sendiri.

Syed mengingatkan saya kepada Mohamad Nasir, kawan baik saya di fakulti dahulu. Nasir dilahirkan tanpa tangan yang sempurna. Tangannya hanya setakat siku. Tiada jari jemari. Asalnya persahabatan saya dengan Nasir terjalin atas dasar simpati. Tetapi lama kelamaan Nasir mahu saya melayani sebagaimana saya melayani kawan-kawan saya yang lain.

Saya belajar bersahabat dengan OKU daripada Nasir. Sekilas pandang persahabatan saya dengan Nasir sangat kasar dan keras. Bergurau dengan tepuk tampar (yang tidak menyakitkannya), berlumba lari dengannya di padang, berkongsi bertih jagung dengannya di panggung wayang. Kesemuanya berjalan seperti biasa. Cuma kehadiran saya itu sedikit memudahkannya sahaja. Contohnya menghulurkan sudu dan garpu kepadanya sewaktu makan, membantunya menaiki motorsikal saya. Selebihnya semua dilakukan oleh Nasir sendiri. Saya merasa amat bangga dan kagum sekali. Paling mengagumkan saya sewaktu melihatnya menekan butang-butang mesin kira (calculator) dengan pantas. Lebih mengagumkan lagi, Nasir lulus Ijazah Pertama dengan catatan markah 3.45. Jauh meninggalkan saya yang pemalas.

Nasir kini bertugas di RHB Bank. Mungkin sudah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus atau Eksekutif Kanan setidak-tidaknya. Kali terakhir kami keluar bersama pada tahun 2002 apabila kami sama-sama menonton filem Jurassic Park 3. Kemudian berpusing-pusing meronda Bandaraya Kuala Lumpur dengan kereta Nasir. Kereta yang telah diubah suai khas untuk kegunaannya. Bangganya saya dapat menaiki kereta yang tertulis di belakangnya KENDERAAN ORANG CACAT.

Jika sebelum mengenali Nasir, saya tertanya-tanya. Bagaimanakah takrifan OKU terhadap kehidupan? Bagaimanakah rasanya bersahabat dengan OKU? Setelah mengenali Nasir, ada perasaan yang pelik ketika bersama OKU. Perasaan simpati yang melimpah ruah. Namun perasaan itu tidak dibenarkan sama sekali untuk dizahirkan oleh mereka ini. Yang mereka inginkan hanyalah keikhlasan. Akhirnya perasaan itu semua bertukar menjadi kekaguman.

Thursday, January 11, 2007

Gambar-gambar

Saya sering terfikir, jika saya punyai lebih wang, apakah yang akan saya lakukan dengan wang itu? Setelah ditolak jumlah simpanan dan keperluan keluarga, apakah suatu benda yang saya inginkan. Nilai wang itu tidaklah banyak, tetapi memadai kiranya saya berupaya untuk mencapai barangan yang dihajatkan selama ini.

Telefon Bimbit? Hmmm... mungkin tidak. Saya tidak pernah ambil kisah langsung akan telefon bimbit ini serta teknologi yang menghambatinya. Saya masih lagi selesa dengan Nokia 3315 saya itu sekalipun nampak sudah tidak sesuai digunakan di zaman bahan visual bergerak bebas dari satu talian ke talian yang lain. Telefon bimbit saya hanya mampu menerima teks sahaja. Pun begitu saya sangat gembira dengannya dan tidak pernah rasa malu menggunakannya di khalayak.

Saya berfikir lagi. Ada tidaknya yang mampu membuatkan saya tersenyum, mungkin jika saya memperolehi sebuah kamera digital jenama yang dikenali atau sebuah komputer riba teknologi terbaru. Ahhh.. komputer riba itu terlalu mahal.. Ya, saya inginkan sebuah kamera digital jenama yang dikenali itu!!. Saya kepingin sekali agar blog saya ini dihiasi dengan gambar-gambar yang berkaitan dengan artikel yang saya nukilkan seharian. Ingin berkongsi dengan teman-teman, gambar-gambar peribadi saya terutamanya gambar-gambar yang berkaitan dengan kampung saya. Keindahan sawah padi yang menghijau serta burung-burung air yang turun mencari makan di dalamnya sungguh mempesonakan ibarat lukisan alam kurnia ilahi.

Saya ingin berkongsi dengan teman-teman semua, potret insan-insan kesayangan saya. Saya teringatkan seorang teman pernah berkata kepada saya.
"Ingatlah. Setiap pagi engkau akan melihat Allah tersenyum padamu..."
Maksud kata-kata itu ialah kita mampu melihat Allah "tersenyum" itu dari senyuman manusia yang berpapasan dengan kita setiap pagi. Kenapa begitu? Kerana manusia itu adalah ciptaan Allah yang ulung dan agung. Manusia itu juga tanda kekuasaan Allah. Walaupun berbilion jumlah umat manusia ini, namun setiap mereka itu berbeza dari raut wajah, penampilan, pembawaan dan sikap dengan nyata sekali. Allah juga memasukkan ke dalam diri manusia itu sebahagian dari sifat-sifatnya seperti pengasih, penyayang, pemurah dan lain-lain lagi. Melihat ciptaanNya umpama kita memandangnya...

Melalui gambar-gambar akan menceritakan tentang 1001 satu perihal yang tidak pernah kita ketahui sebelum ini. Saya ingin merakamkan gambar teman-teman blog saya. Dari orang asing, saya mengenali hati budi mereka. Akhirnya kami menjadi sahabat yang sangat akrab... Sesuatu yang sangat menghairankan bagi saya.

Saya ingin merakamkan segalanya tentang ciptaan ilahi. Ingin mengongsikannya dengan mereka yang berminat.

Indera : Saya masih seperti dulu. Sebuah ketul ais yang keras dan dingin. Mereka berkata saya tidak punya perasaan. Wajah saya langsung tidak terganggu dek riak. Tetapi siapakah yang dapat menduga arus di lubuk dalam itu?

Monday, January 08, 2007

Calon suami Siri Aufa

Setiap kali musim perayaan tiba, Siri Aufa mesti melonjak-lonjak keriangan. Ada sesuatu yang mengembirakan baginya setiapkali cuti itu tiba. Rahsia katanya. Tetapi dalam rahsia itu, sudah berpuluh umat manusia dihebahkannya tentang rahsia itu. Iskandar, cucu Opah Limah yang tinggal bersebelahan dengan rumah Opahnya akan bercuti melawat Opah Limah. Dapatlah Siri Aufa berbual-bual panjang dengan Abang Is. Abang Is berumur 28 tahun. Tinggal di Putrajaya. Selalu Siri Aufa memberitahu Baba,
"Baba, Kak Long nak kahwin dengan Abang Is.."
Memang Baba akan tunjuk muka cemberut. Baba tidak suka dengan pilihan Siri Aufa. Baba tidak suka bukan kerana Abang Is tidak kacak atau tidak bekerja, Baba tidak suka kerana Abang Is hampir sebaya dengan Baba.

Suatu hari Opah Limah memberitahu Siri Aufa, Abang Is sudah ada teman istimewa. Abang Is hendak mengahwini perempuan itu. Siri Aufa merasakan perasaannya hancur berkecai. Mulai dari hari itu, Siri Aufa cuba melupakan Abang Is.
"Kak Long tak nak kahwin dengan Abang Is" katanya.
Pun begitu kenangan dengan Abang Is tetap segar dalam ingatan.
"Baba, Putrajaya dengan Rawang tu jauh tak?" tanya Siri Aufa kepada Baba.
"Tak jauh. Kenapa Kak Long tiba-tiba tanya pasal Putrajaya ni?"tanya Baba.
Siri Aufa cuma tersenyum malu.

Dalam usaha melupakan Abang Is itu, Siri Aufa bertemu dengan Abang Alif ketika Umi membawa Siri Aufa ke sekolah. Roman wajah Abang Alif yang seperti Badrul Muhayat itu membuatkan Siri Aufa terpikat. Abang Alif lebih muda dari Abang Is. Umur Abang Alif 12 tahun. Setiapkali Umi mengajar di kelas tambahan itu, Siri Aufa mesti duduk di sebelah Abang Alif. Biarlah Kak Suraya atau Kak Marlina panggil. Siri Aufa akan buat tidak endah. Siri Aufa lebih senang duduk bersama Abang Alif. Abang Alif baik. Dia pun suka pada Angah (Adil Rayyan).

Hari itu hari kahwin Kak Faezah di Sungai Siput. Ramai sepupu Umi yang datang termasuk Makcik Normi dan Pakcik Zali membawa anak-anak mereka - Kak Yana, Abang Aiman dan Abang Aizad. Nama timang-timangan Abang Aizad ialah Abang Kulup. Abang Kulup umur 5 tahun. Tetapi perangainya mengada-ngada, sombong dan suka menangis. Pakcik Zali kata, dia berkenan ingin mengambil Siri Aufa menjadi menantunya. Dia hendak jodohkan Siri Aufa dengan Abang Kulup.
"Kak Long tak suka Abang Kulup. Abang Kulup mengada-ngada" gerutunya.
Tetapi yang menghairankan ialah Baba berkenan sangat pada Abang Kulup itu. Mungkin kerana Baba sangat akrab dengan Pakcik Zali barangkali.

Petang semalam Baba bertemu dengan Pakcik Osman, kawan lama Baba. Melihat sahaja Siri Aufa, Pakcik Osman sudah berkenankan pada Siri Aufa yang keletah.
"Anak engkau Indera?" tanya Pakcik Osman.
"Iya.." jawab Baba.
"Hiiee... comelnya. Kahwin dengan anak Pakcik nak? Pakcik nak ambil jadi menantu, nak?" tanya Pakcik Osman.
Siri Aufa cuma terdiam. Tiba-tiba Baba bertanya.
"Kak Long nak kahwin tak?"
"Nak..." jawab Siri Aufa.
"Kak Long nak kahwin dengan siapa?" tanya Baba lagi.
"Dengan Abang Alif"
"Abang Alif tu siapa?" tanya Baba.
"Darjah 6.."

Baba tersenyum kepada Pakcik Osman sambil mengangkat bahu.
"Maafkan aku, Man. Hati anak perempuan aku sudah dimiliki..."

Friday, January 05, 2007

Waktu Itu

Saya terkenangkan satu peristiwa di mana saya di dalam usia remaja. Sebaik sahaja keputusan peperiksaan SPM diumumkan, saya dan rakan-rakan sibuk mengisi borang kemasukan ke universiti. Setelah berbulan menunggu dengan debaran, seorang demi seorang diterima masuk ke universiti di serata semenanjung, manakala saya pula langsung tidak menerima sebarang tawaran. Jika mengikut kelayakan, saya sememangnya boleh mendapat tempat tetapi saya bingung dan buntu apabila saya tidak menerima panggilan masuk pun. Setelah dikaji, rupa-rupanya saya telah tersilap mengisi borang.

Saya memang tidak suka dan benci dengan sekolah lama saya. Apak pernah berjanji dengan saya bahawa saya harus menamatkan tingkatan lima dengan jayanya, maka sesudah itu terpulanglah kepada saya untuk menentukan haluan saya.

Rupa-rupanya Apak mungkir janji. Dia berkeras memaksa saya masuk ke tingkatan enam di sekolah lama saya dan juga memaksa mengambil jurusan Usuluddin. Sebaliknya saya memilih jurusan Syariah. Oleh kerana tiada minat, ditambahi pula dengan khabar berita teman-teman di kampus, saya langsung enggan belajar. Hampir sebulan saya tidak menghadirkan diri ke sekolah.

Di dalam kekalutan itu, saya memulangkan janji Apak dahulu. Akhirnya Apak tiada pilihan lain melainkan membenarkan saya mengikuti pengajian di tingkatan enam sekolah harian.

Maka bermula episod baru dalam hidup saya. Hari pertama di tingkatan enam itu saya telah ditertawakan kerana memakai seluar berwarna hitam, sedangkan pelajar tingkatan enam di sekolah itu berseluar putih.

Awal-awal pagi sudah bangun kerana bas untuk ke sekolah yang jaraknya 30 kilometer akan lalu di kampung saya seawal jam 6.15 pagi. Bersama rakan-rakan lama di sekolah rendah dahulu, kami merentas dingin kabus pagi menaiki bas ke sekolah dan tiba pula di rumah setelah jam melangkaui 3.00 petang. Begitu rutin harian hidup kami.

Di sebelah malamnya, kami akan melepak di rumah guru bujang mengganggu tugasannya. Rumah itu sudah seperti rumah kami sendiri. Makan, minum dan bertidur baring seenaknya. Kebetulan Cikgu Hamid, guru bujang terlajak itu langsung tidak ambil kisah malah mengalu-alukan lagi kedatangan kami. Mungkin dia sendiri kesunyian barangkali!!.

Buku-buku hanya akan dibaca jika hampir dengan ujian atau peperiksaan akhir tahun. Suatu pagi itu, bas agak lewat tiba. Jam tujuh baru mendengar ngauman enjinnya. Kami keresahan, bimbang diambil tindakan disiplin. Akhirnya jam 8.00 baru kami tiba di luar pagar sekolah.
"Kenapa lambat?" tanya Cikgu Ravendran. Guru Disiplin.
"Errr... errr.." saya kehilangan kata-kata.
"Errr... rumah kami jauh, Cikgu. Sebab itu kami datang lambat" kata Alang.
"Jauh? Berapa jauh?" tanya Cikgu Ravendran.
"30 Kilometer" jawab Alang.
"Ayoyo.. banyak jauh ooo... OK, next time, kalau you orang datang lambat, jangan masuk ikut pintu depan. Nanti Mr. Principal nampak. Ikut laluan di belakang sekolah. Nanti kalau pengawas tanya, cakap saya kasi kebenaran pada you all..."

Semenjak hari itu kami mempergunakan kebenaran Cikgu Ravendran itu sewenang-wenang. Jika bas jam 6.15 itu sampai di kampung, kami akan menyorok di belakang kedai kerana selagi kelibat kami tidak kelihatan, abang pemandu bas itu akan terus menunggu selama setengah jam. Setelah setengah jam, kelibat kami masih belum muncul juga, dia akan berlalu pergi sedang kami yang menyorok di belakang kedai itu akan terkekeh-kekeh ketawa.

Jika kami sampai awal di pekan kecil itu, kami akan bersarapan dahulu di kedai Pak Aji yang terkenal dengan mee goreng 20 sen sambil melihat pelajar lain berlari-lari mengejar masa untuk masuk ke pintu pagar sebelum 7.30 pagi.
Hoi, kome. Tak takut lambat ke..?"tanya Ahmad Bulu, pelajar tingkatan lima.
"Ehhhh... apa hal nak datang awal-awal. Kitaorang tingkatan enamlah tau tak..., cepat-lambat ni tak kisah punya...!! Engkau tu cepat sikit. Nanti kena rotan dek cikgu Ravendran pulak" jawab kami.

Pelajar lain sedang berhimpun di perhimpunan. Kami pula menyelinap masuk ke dalam kelas.

Sewaktu peperiksaan akhir tingkatan enam rendah, saya sekadar mendapat 2P 2R. Saya tahu bahawa saya tidak akan berlama-lama di tingkatan enam itu kerana saya langsung tiada minat. Tawaran masuk ke ITM merubah hari dan wajah saya. Saya diminta mendaftarkan diri ke Kampus Shah Alam pada Januari tahun itu. Apak tidak berkata apa-apa. Sekurang-kurangnya saya adalah anaknya yang pertama menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Tinggal sudah kawan-kawan semua. Melihat wajah mereka yang kesedihan sewaktu saya mengucapkan selamat tinggal itu cukup membuatkan hati saya sayu. Din, mengambil tindakan nekad masuk ke Maktab Perguruan setelah ketiadaan saya. Alang hanya menghabiskan tingkatan enam atas separuh jalan dan masuk ke maktab perguruan juga pada Ogos tahun yang sama tanpa menduduki STPM tahun itu. Walau bagaimanapun, mereka menyudahkan juga STPM pada tahun-tahun sesudah itu secara persendirian dan menempah tiket masuk ke universiti untuk bersaing dengan saya.

Selepas beberapa tahun, sekolah-sekolah berhampiran turut menawarkan tingkatan enam. Tiada lagi pelajar yang berulang 20 hingga 30 kilometer setiap hari. Pelajar tingkatan enam di sekolah itu kini boleh dikira dengan jari.
"Bosan aku mengajar tingkatan enam sekarang ini. Hanya satu kelas dengan bilangan murid 30 orang sahaja. Tidak sama sewaktu zaman kamu semua dulu. Sampai 7 kelas" kata Cikgu Aziz sewaktu saya menemuinya baru-baru ini.

Wednesday, January 03, 2007

Yang terikat terjalin kuat..

Saya pernah bertanya kepada Apak tentang ikatan kekeluargaan.
"Apak, adakah sepupu itu dekat dengan kita?"
"Jika sepupu itu masih dikira dekatlah.." jawab Apak.
"Jika begitu bagaimana dengan dua pupu atau tiga pupu?"tanya saya lagi.
Apak mengeluh.
"Indera, dekat atau jauhnya itu, kita sendiri yang menentukannya. Jika kita rasa dekatdan mesra, tiga pupu atau empat pupu itu rasakan seperti adik beradik. Jika kita merasakannya jauh, maka sepupu sendiri pun seperti orang lain dalam hati kita"
Jawapan Apak itu membuatkan saya termenung panjang.

Entah kenapa dalam seminggu dua ini hati saya sering teringat kepada Wah Salamah. Kebetulan kisah hidupnya saya rakamkan secara kasar di dalam entri saya yang lalu. Cuti Hari Raya Aidil Adha yang lepas memberi kelapangan untuk saya berkelana ke kedaerahan Manong. Tempat bermastautinnya Opah Tua Saodah, insan yang menyaksikan saat-saat akhir Wah Salamah menghembuskan nafas yang terakhir.

Terpegun saya melihat kampung Opah Tua. Tanahnya diberkati dengan kesuburan. Banjaran gunung yang tinggi menganjur jauh dari utara membuatkan udara di situ nyaman dan segar. Opah Tua sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah rumah pusaka peninggalan Opah Tua yang sekarang ini diduduki oleh anak sulungnya Mak Tua Tijah.

Saya dan Mak tiba di halaman rumah itu sewaktu azan Maghrib berkumandang dari surau berhampiran. Persekitaran rumah yang sunyi membuatkan kami terfikir bahawa rumah itu sudah lama kosong.
"Pelik. Seperti tiada orang. Tetapi kenapa tingkapnya terbuka?" kata saya kepada Mak.

Setelah puas memberi salam barulah terpacul seraut wajah lelaki dalam lingkungan usia 40-an.
"Mak tak ada. Dia dah ke Taiping" kata lelaki itu kepada Mak.

Saya seperti pernah berjumpa dengan lelaki ini. Tetapi di mana?. Setelah diingatkan kembali, lelaki itulah yang duduk di sebelah saya di rumah Pak Yeop sewaktu hari kematiannya.
"Abang, apa khabar?" saya menegurnya.
"Baik" katanya.
"Abang, maafkan saya kerana tidak mengenali abang sewaktu hari meninggal Pak Yeop. Tiada siapa yang ingin memperkenalkan abang kepada saya. Jadi saya ingat abang ini entah siapa-siapa" kata saya.
"Haa.. Hairi. Inilah Indera, anak Mak Su.." kata Mak memperkenalkan saya kepada lelaki itu.
Rupa-rupanya kami ini dua pupu!!.

Sejak tahun 1986, saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung itu. Sewaktu kecil-kecil dahulu memang Mak sering singgah di Manong dalam perjalanannya ke Kuala Kangsar. Tetapi di usia kecil itu, daya pemikiran saya tidak kuat. Tidak mengingati wajah sanak saudara malah lokasi rumah saudara mara juga kelam dalam ingatan. Sewaktu kali terakhir saya berjejak di sana, Abang Hairi mungkin sudah muda belia dan layak berkahwin.

Singgah solat di rumah Yong Za. Yong Za sangat terharu dengan kunjungan kami. Betapa jarak waktu tidak pernah mengurangkan kemesraan persaudaraan yang telah dibajai bertahun-tahun. Mungkin jika Wah Salamah masih ada, mungkin dia berasa amat sukacita bertemu dengan saudara maranya di Manong.
"Ni Indera, Yong Za nak kasi ingat. Dah tahu letaknya rumah Yong Za, selalu-selalulah jenguk kami yang tua ni di sini".
"Insya-Allah, Yong".

Kami adalah saudara yang lama terpisah. Namun segala-galanya terletak di tangan saya. Bak kata Apak, dekat atau jauh itu kita yang menentukannya.

"Opah, Opah Tua, Tuk, Wah Salamah dan Pak Yeop... Indera datang ke Manong menyambung persaudaraan yang hampir terputus. Insya-Allah, dengan berkat pertolongan Ilahi, tidakkan Indera biarkan jalinan ini berakhir setelah pemergian generasi yang tertua. Akan Indera usahakan semoga ikatan itu tersimpul erat seperti dahulu..."