Friday, September 28, 2007

Biar Sukar Bagai Cinta Zulaikha



Entah kenapa di lewat petang semalam, sewaktu menunggu tibanya waktu berbuka, saya termenung memandang jauh keluar jendela. Memerhatikan tingkah kanak-kanak bermain serta melihat kesibukan jiran-jiran membuat persiapan berbuka. Sebentar kemudian pandangan saya terarah ke arah sepasang suami isteri yang kelihatannya agak mesra. Hati saya berdetik bahawa setiap manusia itu dijadikan oleh Allah berpasang-pasangan. Saling melengkapi antara satu sama lain tidak kira manusia itu seorang Raja, Hamba bahkan Nabi sekalipun diciptakan oleh Allah pasangan mereka.

Kemudiannya akal saya membilang-bilang akan isteri Nabi-nabi yang telah diriwayatkan oleh mana-mana kitab termasuk Al-Quran. Isteri Nabi Allah Adam A.S. bernama Hawa. Isteri Nabi Muhammad S.A.W. tidak dapat saya hafali keseluruhannya. Hanya sekadar mengingati nama Saiyidatina Khadijah, A’isyah, Hafsah dan Mariatul Qibtiah.

Isteri Nabi Musa A.S bernama Zipphora atau di dalam nama Arabnya lebih mesra dikenali sebagai Safura. Manakala isteri Nabi Allah Ibrahim seperti yang tersebut di dalam Al-Quran bernama Hajar dan Sarah. Isteri Nabi Allah Ayub bernama Rahmah. Isteri Nabi Allah Sulaiman, saya tercari-cari di dalam ingatan saya, mungkinkah Balqis itu isterinya Nabi Allah Sulaiman A.S? Mungkin ada di antara anda yang dapat mengesahkannya.

Namun di dalam banyak-banyak kisah percintaan romantis para Nabi dan Rasul itu, kisah Nabi Allah Yusuf A.S dengan Siti Zulaikha paling menyentuh hati dan nurani saya. Kisah mereka paling tragis, mengharukan dan akhirnya sampai ke titik penghujungnya iaitu kebahagiaan hakiki.

Siapa kata Zulaikha wanita yang tidak tahu menjaga kehormatan diri? Siapa kata Zulaikha wanita yang hina? Siapa kita untuk menghakimi Zulaikha kerana jika tidak kerana kedudukannya yang mulia, tidak akan dia diangkat darjatnya untuk sehidup semati dengan Nabi Allah Yusuf A.S.?

Seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran, di dalam Surah Yusuf, Allah mengkhabarkan sejelas-jelasnya kisah yang terjadi beribu-ribu tahun yang lampau. Walaupun jarak masa yang terlalu jauh antara kita dengan Nabi Allah Yusuf, namun mengenalinya seperti kita mengenalinya saudara kita sendiri. Kisah seorang insan pilihan Allah yang diberikan mukjizat menghuraikan perkara mimpi. Kerana kelebihannya inilah, dia dicampakkan ke dalam sumur sehingga membawanya kepada sebuah pengembaraan yang jauh ke Negeri Mesir.

Allah mengurniakan lagi kelebihan kepada baginda berupa wajah yang tersangat tampan hatta tiada dapat ditandingi oleh mana-mana lelaki di dalam dunia ini. Walaupun saya ini merupakan lelaki terkacak di dalam dunia moden, namun masih juga tidak berupaya menandingi kecantikan wajah baginda. (Kau nak kata apa Lan? Engkau ingat engkau sorang kacak? Aku pun kacak jugak…)

Kerana kekacakan baginda ini makanya baginda terperangkap dengan gelora nafsu Zulaikha iaitu isteri kepada Abdul Aziz. Dengan pujuk rayu, Zulaikha cuba menarik Yusuf agar melakukan kemungkaran namun Yusuf berlindung dengan Allah dari sebarang kemaksiatan. Melihatkan bujukannya tidak berhasil, Zulaikha berkeras sehingga akhirnya dia menarik belakang baju Yusuf sehingga terkoyak di bahagian belakangnya. Semua yang dilakukan oleh Zulaikha itu adalah didasari pada gelora nafsunya yang tidak tertahan sehingga Zulaikha hilang pertimbangan.

Bagi mengelakkan terjadinya perkara umpama itu, Yusuf merelakan dirinya dibuang ke dalam penjara sehingga akhirnya membawa kepada takwil mimpi Raja yang mengembalikan Yusuf kepada kemuliaan setelah dilantik menjadi wazir Negeri Mesir. Ini semua dinyatakan dengan terang di dalam Al-Quran. Namun perkahwinan antara Yusuf dengan Zulaikha tidak dinyatakan Cuma hal ini telah diriwayatkan di dalam Kitab Tarikh At-Tabari karangan Abi Jaafar Muhammad ibn Jarir Al-Tabari (838-923) yang memperihalkan tentang kisah para Nabi dan Kaisar dahulu kala, ada menyentuh tentang hal ini.

Mnurut kitab tersebut, setelah Yusuf dipenjarakan, Zulaikha masih tidak dapat membuangkan rasa cintanya terhadap Yusuf. Memandangkan hal itu, suaminya Abdul Aziz itu lantas menceraikannya dan membiarkan Zulaikha hidup terkontang-kanting keseorangan. Zulaikha hilang segala-galanya yang pernah dimilikinya suatu masa dahulu. Dia kehilangan kekayaannya, kekuasaannya, kecantikannya dan yang paling besar, Zulaikha kehilangan pandangan matanya.

Ini kerana Zulaikha dikatakan menangis sehingga keluar airmata darah kerana merindui Yusuf selama Yusuf dipenjara menyebabkan matanya rosak dan seterusnya buta. Dia berdoa kepada Berhala agar dikurniakan semula pandangan matanya agar suatu hari kelak dia berupaya bertemu dan melihat Yusuf kembali.

Namun batu tetap batu. Zulaikha kemudian menyedari kekhilafannya dan kesesatan jalan hidupnya selama ini. Keinsafan itu membawa kepada Zulaikha mencari cinta teragung yang menemukan Zulaikha dengan cinta kepada penciptanya. Zulaikha menemui cinta teragung itu dan di hatinya kini hanya ada Allah.

Suatu hari sewaktu Nabi Allah Yusuf berjalan melihat Bandaraya Mesir yang sibuk itu, Yusuf telah bertemu dengan Zulaikha di dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Zulaikha buta dan bergelandangan di tepi jalan yang sibuk. Melihatkan akan hal itu, Yusuf merasa sebak dan terus membawa Zulaikha pulang untuk dirawat. Setelah sembuh dirawat, menurut sesetengah pendapat mengatakan buta mata Zulaikha dirawat sebagaimana kaedah rawatan ke atas Nabi Allah Yaakob A.S.

Dengan izin Allah, Zulaikha dapat melihat kembali. Allah kemudiannya mengembalikan keremajaan dan kecantikan Zulaikha sehingga menyebabkan Yusuf jatuh cinta kepadanya. Mereka kemudiannya diijabkabulkan.

Di malam pengantin mereka, Yusuf telah bersiap-siap berdandan untuk sebuah pertemuan bagi melepaskan rindu berahi. Namun timbul masalah. Zulaikha tidak berhenti-henti beribadat dan berzikir sehingga Yusuf merasa sudah tidak sabar lagi. Akhirnya Yusuf menarik baju Zulaikha sehingga terkoyak baju Zulaikha di bahagian belakang. Di saat itu menjelma Malaikat Jibrail…

“Hai Yusuf!! Sesungguhnya baju dengan baju. Maka dengan ini tertebuslah maruah Zulaikha!!”
Berbahagialah mereka berdua kemudiannya sehingga ke akhir hayat. Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah seorang anak perempuan yang tersangat cantik bernama Rahmah yang kemudiannya brkahwin dengan Nabi Allah Ayub A.S.

Tuesday, September 25, 2007

Sekeping cek sebuah kenangan

Sewaktu meneliti borang permohonan Skim Kredit Pengguna dari salah seorang wanita yang tinggal di Shah Alam, hati saya tertarik dengan untuk memeriksanya dengan lebih jelas.
“Kenapa wanita ini beria-ia ingin membuat pinjaman sedangkan menurut rekod ANGKASA, dia dah buat banyak pinjaman di beberapa Bank. Gaji pulak tu taklah banyak sangat. Memang cari masalah perempuan ni. Apa gunanya berhutang banyak-banyak..??” hati saya berkata-kata.

Sememangnya permohonan wanita ini menuntut banyak kesabaran. Sebentar lagi, institusi kewangan yang mengeluarkan kredit itu menelefon saya meminta dokumen sokongan dari bank-bank tempat dia pernah meminjam wang. Memang menekankan. Namun kesabaran itu berbayar akhirnya. Pinjamannya diluluskan.
“Tahniah Kak Mariam. Permohonan Kak Mariam diluluskan. Hari Isnin ni Kak Mariam boleh datang pejabat saya untuk ambil cek Kak Mariam”.
“Betul ke Indera? Alhamdulillah syukur”
“Akak nak buat apa dengan duit tu nanti? Nak beli langsir baru ke..?” tanya saya mengusik. Kak Mariam cuma tertawa.

Sambil saya bercakap itu saya mengeluarkan butiran peribadi Kak Mariam yang tersimpan di dalam fail simpanan saya untuk urusan mengeluarkan cek. Tiba-tiba pandangan mata saya tertumpu pada sebaris nama di dalam butiran peribadinya yang selama ini terlepas pandang.
Penama / Waris
MOHD FARID BIN SAAD

Majikan
Unit Keselamatan, UiTM Shah Alam

Seraut wajah muncul dalam ingatan saya.
“Kak Mariam, Kak Mariam ni isteri Abang Farid ke?”
“Errr.. Iya. Indera kenal ke suami Akak?” tanyanya kehairanan.
“Hmmm.. saya rasa saya kenal dia. Abang Farid sihat ke Kak?”
“Dia kena penyakit berkaitan saraf…”
Beberapa saat saya dan Kak Mariam terkelu.
“Sebab dia sakit tu la yang Akak berhutang tu..”
Kasihan.

Saya ingat lagi Abang Farid. Masa itu saya masih muda remaja. Masih seorang penuntut di institusi pengajian tinggi. Abang Farid cuma pengawal keselamatan yang bertugas mengawasi kesejahteraan dan ketenteraman kampus tempat saya menuntut.

Berbeza dengan pengawal keselamatan ITM yang ada sebahagiannya enggan bertolak ansur sekiranya terdapat pelajar yang melakukan kesalahan, Abang Farid ini berbaza sedikit. Senyuman sentiasa menghiasi bibirnya dan dia jarang marah-marah dan sentiasa berlembut dengan pelajar-pelajar. Masih saya ingat, dia bertubuh sasa dengan memakai uniform pengawal keselamatan yang seakan pakaian seragam Polis Trafik PDRM. Dengan motosikal yang sedikit diubah suai bagi menyelaraskannya dengan imej ITM, Abang Farid akan biasa dilihat di sekitar kampus mengawal pergerakan lalu lintas. Selain daripada Abang Farid, saya turut mengingati nama beberapa orang rakan sekerja Abang Farid. Sewaktu menuntut di sana, saya jarang berbual dengan pengawal keselamatan ITM ini melainkan jika terdapat beberapa hal yang membabitkan urusan dengan Unit Keselamatan.

Masa berlalu begitu pantas. Pelajar masuk dan pelajar keluar. Pelajar mendaftar dan akhirnya pelajar itu tamat belajar seterusnya meninggalkan kampus. Terbang jauh ibarat bangau yang mengitari alam mencari lubuk baru di musim panas. Namun mereka yang tinggal berkhidmat di kampus itu masih tetap setia di sana. Cuma masa yang pergi itu membawa bersama segala rupa dan pandangan masa silamnya.

Saya menunggu datangnya semalam. Menunggu Kak Mariam tiba mengambil ceknya yang telah saya siapkan sedari Jumaat lagi. Menurut kata Kak Mariam, Isnin itu Kak Mariam akan ke Hospital Universiti membawa Abang Farid mendapat rawatan pakar.
“Indera, Akak sekarang di hadapan Kompleks Kerajaan. Akak tak tahu nak pergi ke pejabat Indera..” kata Kak Mariam melalui telefon.
“Akak lalu je depan Masjid Wilayah tu. Sampai ke lampu isyarat tu, Akak ambil jalan kanan. Jalan terus dan jangan belok-belok. Nanti Akak sampai ke pejabat saya”

Lima minit kemudian dia menelefon lagi.
“Indera, Akak kat Sierramas”
Saya terpaksa mengulangi panduan ke pejabat saya. Lama juga saya menunggu sehingga telefon di pejabat berdering semula. Suara garau seorang lelaki di hujung sana.
“Indera ya..? Ini suami Mariam ni. Boleh tak Indera datang ke kawasan depan Lembaga Peperiksaan. Saya nak cari dah tak mampu ni. Kaki saya pun sakit-sakit…”

Saya mencapai cek dan sekeping sampul surat lalu memandu terus ke bangunan Lembaga Peperiksaan.
“Mana dia?” tanya saya pada Kak Mariam.
“Ada di tempat duduk belakang tu..” kata Kak Mariam

Pintu kereta kemudian dibuka dari dalam. Seorang lelaki bertubuh kurus dan beruban rambutnya tersenyum memandang saya.
“Apa khabar Abang Farid? Sepuluh tahun saya tak tengok Abang Farid..”
“Ingat saya lagi ke..?” tanyanya.
“Tempat jatuh lagi dikenang, Abang Farid. Lima tahun saya kat ITM dulu. Hampir setiap hari saya tengok Abang Farid di kampus”.

Perbualan kami kemudian berkisar kepada kesihatannya. Matahari di rembang gelinciran membakar ubun-ubun saya. Peluh renik merutup keluar dengan perit dahaga di bulan Ramadhan. Kak Mariam sekali sekali mencelah perbualan kami.
“Siapa lagi yang Indera ingat, yelah… kawan-kawan abang dulu?” tanyanya. Wajahnya nampak terharu.
“Saya ingat Abang Bakar. Sparing partner Abang Farid tu. Hahahahahaha… saya ingat Abang Jali, Kak Zaiton, Pak Hamid dan tu… Abang Amin Gendut yang nak tumbuk saya depan library dulu tu. Nasib baik Abang Farid datang.. Kalau tak, saya dengan Abang Amin dah bergasak dah agaknya..”
“Hahahahahaha… iya.. Amin. Bakar sekarang jaga Intekma Resort..”

Abang Farid kemudian terdiam seketika.
“Sayangnya Abang Farid tak ingat bila Abang Farid jumpa dengan engkau” katanya seperti rasa bersalah.
“Tak apalah Abang Farid. Takkan Abang Farid ingat saya. Student beribu-ribu keluar dan masuk. Saya boleh ingat Abang Farid sebab Pengawal Keselamatan tak ramai….”

Tangan Abang Farid kembang bersalam dengan saya.
“Selamat berpuasa Abang Farid. Moga selamat semuanya”
“Jemput datang ke rumah Hari Raya nanti..” bisiknya.
Kak Mariam tersenyum senang. Menerima cek sebelum menjelangnya hari besar. Tetapi Kak Mariam nanti juga terpaksa menanggung hutang. Kak Mariam reda demi suami tercinta. Selamat berbahagia Kak Mariam, Abang Farid!!!

Ya, betul. Tempat jatuh lagi dikenang. Ini pula tempat bermain. Pertemuan dengan Abang Farid membangkitkan kenang-kenangan lama saya di ITM dahulu. Biar pun 10 tahun saya tinggalkan, namun setiap detik bagaikan terbayang di ruangan mata. Sesekali bila terkenangkan saat di sana…. Alahai.

Friday, September 14, 2007

Al-Jannah dan Al-Risaalah

(Tanah Aden di Yamen)

Bismillahirrahmanirrahim

Saya menulis penuh dengan segala kejahilan. Andai terdapat tulisan saya ini terpesong daripada faktanya, saya mohon kalian memperbetulkan saya terutamanya adik-adik saya yang sedang mendalami agama dan bersolok di bumi para Anbiya’ itu. Tunjuk ajar kalian amat saya alu-alukan.
*****************

Setelah Syurga (Al-Jannah) diciptakan, Allah berfirman kepada Syurga,
“Sejauh mana engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Jauh seluas mata memandang”
Allah berfirman lagi, “Membesarlah engkau seluas mata memandang”.
Maka Syurga membesar seluas mata memandang.

Kemudian Allah berfirman lagi
“Sejauh manakah engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Sejauh Timur dan Barat”
Allah berfirman, “Membesarlah engkau sejauh Timur dan Barat”

Kemudian Allah berfirman lagi
“Sejauh manakah engkau boleh membesar?”
Syurga menjawab, “Membesar dengan seluas Rahmat-Mu”
Allah berfirman, “Membesarlah engkau seluas Rahmat-Ku”
Maka Syurga itu kian membesar dan membesar sehinggalah ke hari Kiamat.

Sewaktu diciptakan Neraka, api yang diciptakan berwarna kemerahan. Lalu api itu ditiup selama 1000 tahun sehinggalah api itu bertukar menjadi warna putih. Kemudian api itu ditiup lagi selama 1000 tahun sehingga api itu bertukar berwarna hitam. Kepanasannya tidak terjangkau dek akal fikiran sehinggakan sekiranya jatuh walau sebesar biji sawi sekalipun, akan hancur luluhlah bumi ini. Baunya teramat busuk sehinggakan barang siapa menghidu baunya dari jarak 500 tahun perjalanan, akan terus mati.
“Peliharalah diri kamu dan ahli kamu dari siksaaan api neraka”

Alam ini diciptakan selama 6 hari dan sesudah itu, Allah bersemayam di atas Arasy-Nya.

Adam itu diciptakan daripada tanah. Dari gabungan pelbagai jenis tanah. Setelah itu Adam dibentuk dan ditiupkan Roh ke dalamnya. Setelah itu, Adam tinggal di dalam Syurga yang penuh dengan pelbagai kenikmatanNya. Adam telah diajarkan dengan segala ilmu dan Adam juga telah diperintahkan oleh Allah agar menyebut segala ilmu yang dititipkan oleh Allah di hadapan para Malaikat. Maka sekelian para Malaikat tunduk sujud pada Adam atas perintah Allah. Kecuali Iblis. Dia berlaku sombong dan bermegah dengan kejadian dirinya yang diciptakan daripada Api sedangkan Adam diciptakan dari Tanah.

Iblis kemudiannya diusir keluar daripada Syurga dan jadilah dia dari kalangan Kafir sehingga ke hari pembalasan. Iblis memohon kepada Allah agar dia dapat menyesatkan anak-anak Adam dan Allah berfirman bahawa segala itu berlaku jika atas keizinan dari Allah SWT.

Dari tulang rusuk Adam, Allah menjadikan Hawa sebagai teman Adam di dalam Syurga. Tinggallah Adam dan Hawa di dalam Syurga itu dan mereka dilarang sama sekali mendekati sepohon pokok iaitu Pohon Khuldi. Iblis membujuk rayu Adam agar memakan buah itu namun tidak berjaya melainkan setelah Hawa tergoda dengan pujuk rayu Iblis. Setelah memakan buah tersebut, terusirlah Adam dan Hawa daripada Syurga dan diperintah turun ke dunia. Segalanya itu sebagai tanda kekuasaan Allah agar kehadiran Adam dan Hawa adalah untuk memperbanyakan keturunan umat manusia.

Setelah Adam dan Hawa turun ke bumi, mereka kemudiannya bersatu kembali di pertemuan yang mengharukan di Jabal Rahmah. Daripada penyatuan mereka berdua, lahirlah sekelian manusia yang mengisi alam ini.

Saya tertarik untuk mengulas Dokumentari Al-Risalah yang ditayangkan di Saluran TV9 malam semalam. Di dalam dokumentari tersebut, wartawan dokumentari tersebut berulang-ulang kali mengajukan persoalan tentang apakah wujud Syurga Pembalasan yang kekal abadi dan juga Syurga Persediaan seperti yang dinyatakan di dalam Kisah Nabi Adam A.S. yang nyata dan terang diperkatakan di dalam Al-Quran.

Saya seorang yang kurang arif tentang agama namun persoalan seperti ini saya kira merupakan persoalan yang boleh mengelirukan umat Islam. Di dalam Al-Quran telah menyatakan bahawa penciptaan Alam ini sudah berlaku sebelum wujudnya Adam A.S lagi. Begitu juga dengan Syurga dan Neraka. Allah berkuasa dengan segala kekuasaanNya menjadikan setiap benda di alam ini hanya dengan Kun (Jadi) maka jadilah ianya.

Di dalam dokumentari tersebut menyatakan wartawan berkenaan mempercayai bahawa Syurga yang didiami oleh Adam A.S. itu letaknya di bumi. Ini berdasarkan kepada pendapat bahawa menurut kajian Arkeologi, penempatan manusia yang pertama bermula pada Zaman Batu Neolitik membuktikan bahawa penempatan itu letaknya di Barat Daya Benua Asia. Oleh itu wartawan berkenaan mempercayai bahawa Syurga yang didiami oleh Adam A.S. itu sebenar adalah sebuah kawasan yang bernama Aden di Yamen. Ini berdasarkan kepada nama Aden itu sendiri yang bermaksud Syurga.

Melihatkan kepada keindahan Aden, tidak dinafikan bahawa bumi bertuah itu terlalu indah tetapi jika dibandingkan dengan keindahan Syurga seperti yang dinyatakan di dalam Hadis Rasullullah S.A.W, memang jauh sama sekali.

Jadi, jika Syurga tersebut letaknya di Aden, maka Syurga itu tidaklah terlalu besar. Akan timbul persoalan, di manakah letaknya kekuasaan Allah yang menjadikan Syurga itu berlapisan tujuh tingkatan, dengan keluasan seluas Rahmat Allah.

Sesungguhnya persoalan perkara ghaib di dalam Islam tidak akan habis diperdebatkan. Seperti Hadis Rasullullah
“Sesungguhnya perselisihan pendapat dalam umatku itu satu Rahmat”

Dari hati saya yang jahil ini, oohhh… minta sesiapa memperbetulkan saya, Syurga yang dijadikan Allah itu tetap merupakan Syurga yang satu. Begitu juga dengan Neraka serta ketentuan Allah yang tercatat di Lauhil Mahfuz. Tiada akan wujud Syurga Pembalasan dan Syurga Persediaan kerana Allah itu sangat jelas janjiNya.

Berkenaan dengan kajian Arkeoloji itu, saya bersetuju jika benar Aden itu merupakan penempatan awal Adam dan Hawa. Tetapi bukan Syurga Persediaan. Aden adalah tanah di mana Adam dan Hawa bermastautin setelah mereka bertemu di Jabal Rahmah. Aden itu bermakna Syurga sebagai tanda kenang-kenangan bahawa Adam dan Hawa pernah berhuni di Al-Jannah seperti yang tersebut di dalam Al-Quran.

Monday, September 10, 2007

Mak Yong Halimah II


Pak Yeop Rahim ingin berkahwin lagi. Semua orang sudah tahu. Walaupun perkara ini tidak keluar dari mulutnya sendiri, namun berita itu telah merebak bagaikan api memakan dedaunan kering. Wanita yang digembar-gemburkan menjadi pasangan Pak Yeop Rahim itu adalah seorang guru yang baru berpindah ke kampung kami.

Semua orang mencebik. Semua orang membantah. Dari Mak Yah sehinggakan Mak Cho Teh adik kepada Pak Yeop Rahim sendiri. Mereka tidak suka dengan pilihan Pak Yeop Rahim. Khabarnya guru wanita itu mempunyai sikap yang tidak baik. Jika dibandingkan dengan Mak Yong Halimah, memang seperti bumi dengan langit.

Kononnya guru wanita itu dahulunya sudah berkahwin dengan seorang Jurutera. Jurutera itu seorang Orang Asli. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Entah di mana silapnya, dan ada yang mengatakan bahawa guru itu telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bekerja di kilang yang sama dengan suaminya, guru itu kemudiannya meminta cerai dari suaminya dan pulang ke kampung kami bersama-sama dengan anak perempuannya yang sudah meningkat usia remaja. Namun anak perempuannya itu tidak betah tinggal bersamanya. Lantas guru itu menyewakan sebuah rumah yang berasingan buat tempat penginapan anak perempuannya.

Alangkah lucunya!! Apabila anak perempuannya itu tinggal keseorangan, remaja itu mula menjemput lelaki-lelaki berhidung belang masuk ke rumah. Akhirnya, remaja itu kini sedang mengandungkan anak di luar nikah.

Itulah konon-konon khabar yang sedang bertiup kencang di dalam keluarga kami. Memikirkan hal itu mungkin membangkitkan perkara yang tidak diingini di masa hadapan, seorang ahli keluarga Mak Yong Halimah mengusulkan agar Pak Yeop Rahim menyunting sahaja adik Mak Yong Halimah yang juga sekarang ini hidup menjanda. Sudah tentulah anak-anak Pak Yeop merasakan bahawa kesedihan mereka terubat apabila pengganti ibu mereka itu adalah ibu saudara mereka sendiri. Dari segi kasih saying, sungguhpun tidak akan dapat menyamai, namun sekurang-kurangnya hampir sama.

Namun pendirian Pak Yeop sudah tidak boleh ditukar ganti. Kehendaknya tetap pada guru wanita itu. Tidak seorang pun dari kalangan anak-anak Pak Yeop yang mengetahui akan hal ini sekalipun berita itu sudah menjadi ribut di dalam keluarga kami. Sewaktu Mak mengkhabarkan berita Pak Yeop ingin menikah lagi, hati saya bagaikan tersayat hiba. Saya sedih. Saya sedih bukan kerana pilihan hati Pak Yeop. Tetapi kerana jarak waktu yang terlalu singkat. Masih merah tanah kubur Mak Yong Halimah, Pak Yeop sudah berkira-kira mencari pengganti. Masih belum 100 hari lagi. Ohhh…

Petang Sabtu lalu, Apak pulang dengan tergesa-gesa. Mencari-cari Mak. Sewaktu terpandangkan Mak, Apak sudah bersiap-siap dengan pakaian yang kemas.
“Lekas kita bersiap. Kita pergi ke rumah Ayah Chu Taib. Yeop nak bernikah petang ini..!!”

Mak memandang saya dengan pandangan mata yang sayu. Mata Mak berkaca. Mata saya juga berkaca. Saya dan Mak masing-masing menahan sebak di dada. Sewaktu Apak menghidupkan enjin kereta, Apak mempelawa saya untuk ikut bersama. Tetapi saya menolak.
“Tak nak jumpa Din ke..??” umpan Apak. Apak tahu saya sangat rapat dengan Din.
Saya sekadar tersenyum pahit membayangkan penerimaan Din ketika ayahnya bernikah lagi. Din itu panas baran. Mudah-mudahan tiada perkara buruk berlaku.

Rupa-rupanya anak-anak Pak Yeop sangat terkejut dengan berita itu. Mereka langsung tidak menyangka bahawa Pak Yeop akan berkahwin lagi. Terlalu banyak perkara yang menghiris hati mereka. Pertama, mereka langsung tidak tahu menahu akan hal pernikahan itu. Tentulah sewaktu dikhabarkan tentang majlis pernikahan itu mereka merasa bahawa mereka telah diketepikan oleh ayah mereka sendiri.

Yang kedua, pernikahan itu dilangsungkan terlalu dekat dengan hari kemangkatan arwah ibu mereka. Belum lagi hilang kesedihan mereka, ayah mereka sudah berkira-kira mencari pengganti. Yang ketiganya pula, dari khabar-khabar yang mereka dengar, wanita yang menjadi pasangan ayah mereka itu akhlaknya kurang baik sedikit.

“Sampai hati Ayah buat kami macam ni. Dalam sepuluh anak ayah yang ayah besarkan, tak seorang pun yang Ayah khabarkan tentang hal ini. Sedar-sedar kami dipanggil ke majlis pernikahan ni. Belum pun hilang sedih kami, ayah tega menambahkan luka dalam hati kami..” kata Abang Naim sewaktu majlis pernikahan itu selamat dijalankan. Pak Yeop Rahim langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Tiada simpati di wajahnya.

“Rahim, Mak Chu nak ingatkan. Dah dapat orang baru tu, jangan pula anak yang sepuluh tu dilupakan” kata Opah Chu Timah. Pak Yeop Rahim masih seperti keadaannya. Langsung tidak menjawab sebarang cakap-cakap orang.

Ohhhhh… kenapa begitu lekas Pak Yeop Rahim ingin bernikah. Jika Pak Yeop sunyi, inginkan rakan berbual, Razif anak bongsunya yang menjadi Pegawai Haiwan di Parit itu tinggal bersamanya. Jika keperluan diri yang kurang, Musfirah yang menjadi jururawat di Hospital Manjung akan pulang seminggu sekali membasuh baju, memasak dan mengemas rumah. Cuma tiada rakan untuk bersenda barangkali. Tetapi tidakkah boleh Pak Yeop tunggu barang setahun dua? Setelah itu jika Pak Yeop ingin berkahwin, pasti ramai yang merestuinya.

Pulang sahaja ke kampung, pasangan pengantin itu terus dibawa ke rumah kami untuk berehat sebelum dibawa ke rumah peninggalan Mak Yong Halimah.
“Engkau anak saudara kesayangan Pak Yeop. Pak Yeop harap kamu merestui pernikahan Pak Yeop. Apa pendapat kamu, Indera..??” tanya Pak Yeop kepada saya.

Saya kehilangan kata-kata.
“Pak Yeop pun tahu saya dah anggap Pak Yeop dan Mak Yong macam mak dan ayah saya sendiri. Jika saya ini sudah seperti anak Pak Yeop dan Mak Yong, saya juga merasakan sepertimana yang anak-anak Pak Yeop rasakan..”

Saya rindu Mak Yong Halimah. Saya rindukan senyumannya.

Monday, August 20, 2007

Adikku Akan Terbang Jauh



Adina Kesuma, adik perempuan saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Majikannya, sebuah Bank terkemuka di negara ini menajanya dengan pelbagai kemudahan untuknya termasuklah kewangan sara hidup, tempat tinggal serta buku-buku. Tanggal 9 September 2007 ini, dia akan terbang ke Edinburgh selama setahun meninggalkan kami di sini demi mengejar cita-cita.


Dalam kesedihan berpisah dan kebanggaan keluarga kerana salah seorang ahli keluarga keluarga kami bakal menuntut di sana, Mak dan Apak mengadakan kenduri doa selamat memohon keberkatan Allah S.W.T agar adik kami selamat pergi dan selamat kembali di tahun hadapan.


Sewaktu saya mengkhabarkan tentang jemputan Mak kepada Azah, Azah nampak tidak gembira. Ini kerana duri-duri tinggalan perselisihan faham antara saya dan Azah sehingga melibatkan campur tangan keluarga kedua-dua belah pihak dahulu masih menikam kalbunya. Antara rasa takut dengan penerimaan keluarga saya serta ketidaksediaan Azah untuk berhadapan dengan ipar-duainya (adik beradik saya), menyebabkan Azah kelihatan tertekan dengan berita itu. Mujur sahaja pagi Sabtu lalu, emak menelefonnya khas semata-mata untuk mengundangnya ke kenduri Adina. Mak bagaikan dapat menangkap kebimbangan yang bergelodak di jiwa Azah. Oleh itu Mak sendiri mengundangnya tanpa perlu saya sebagai orang tengah.


Alhamdulillah, panggilan telefon dari Mak berjaya meredakan rusuh hatinya. Dia kembali ceria di pagi Sabtu itu dan tanpa ragu-ragu mengajak saya mencari Buah Semangka buat buah tangan ke majlis itu nanti.


Sampai sahaja di rumah Mak, deretan kereta milik anak-anak Mak sudah memenuhi halaman rumah. Tetapi saya sedikit hairan apabila saya tidak melihat kepulan asap keputihan naik memenuhi ruang udara rumah seperti kebiasaannya jika Mak dan Apak mengadakan kenduri. Cucu-cucu Mak terpekik berlarian ke sana dan ke mari. Seronok dapat berkumpul beramai-ramai sesama sepupu mereka. Satu peluang yang jarang mereka nikmati selain daripada hari kebesaran seperti di Hari Raya Aidil Fitri ataupun di Aidil Adha sahaja.


Masuk sahaja ke ruangan tamu, tiada jiran-jiran datang menolong seperti selalunya. Yang ada hanya kakak-kakak saya, Adina dan pembantu rumahnya serta Filzah, anak saudara perempuan saya yang di usia anak dara terbongkok-bongkok membentangkan hamparan buat tetamu yang bakal hadir.

"Mak tak masak ke?" tanya saya.

"Mak tempah catering saja" kata Mak.


Apak seperti biasa, langsung tidak kelihatan kelibatnya. Saya sendiri kurang pasti di mana agaknya dia di kala itu. Hubungan saya dengan Apak agak rumit sedikit. Sekiranya kami bertemu, Apak jarang mahu bercakap-cakap dengan saya atau bertanya khabar sekurang-kurangnya. Lalu sering saya beranggapan bahawa Apak tidak peduli akan kehadiran saya. Atau mungkin dia kurang menyayangi saya. Namun kata-kata kakak saya baru-baru ini agak memeranjatkan saya.

"Kenapa engkau tak pernah nak tegur Apak tu Indera" tanya Kak Asma.

"Apa dia? Kak kata apa tadi..?" tanya saya meminta kakak saya mengulangi pertanyaannya.

"Akak tanya, kenapa engkau tidak mahu menegur Apak"

"Kenapa Akak kata macam tu..??"

"Semalam Apak kata, dia selalu teringat kat kamu. Lama benar dia tak melihat kamu" terang Kak Asma.

"Kamu tak bercakap dengan Apak ke Indera?" tanyanya lagi.

"Bertegur sapa jugak. Tapi bila saya menegurnya sepatah, sepatah yang dibalasnya. Bila saya datang ke sini melawatnya, dia menghilang di kedai kopinya. Balik rumah jauh-jauh malam selepas menutup kedai. Bila masa saya berpeluang nak berjumpa dengan dia..??" kata saya.

Kak Asma hanya terdiam setelah mendengar penjelasan saya.


Anak-anak saudara saya yang lelaki bergumpal sesama mereka. Memang sudah resamnya budak-budak lelaki. Adil Rayyan langsung tidak boleh dilepaskan berjalan bersendirian. Pasti dia bermain di tangga, berlarian di jalanraya atau masuk ke dalam longkang di sekeliling rumah. Setelah hidangan disusun, dia berlari sambil memijak piring-piring yang berisi gulai dan lauk-pauk.

"Bukan aku tak mahu nak menolong, tapi tengok sahaja anak aku yang seorang ni. Jika dilepaskan, entah apa yang jadi..." kata saya membela diri bila Adina merungut saya kurang menolong kerja-kerja kenduri. Adina mengeluarkan bekas-bekas berisi Puding Karamel dari peti sejuk untuk diagih-agihkan kepada orang-orang yang akan berkunjung.


Tetamu datang meraikan kenduri itu setelah selesai Solat Maghrib. Dengan adanya pelajar-pelajar daripada Maahad Tahfiz yang berhampiran, menjadikan majlis itu nampak meriah dengan tetamu. Saya membawa diri mendukung Adil Rayyan berkurung di dalam bilik di tingkat atas rumah Mak. Adil Rayyan terlalu lasak. Jika dibiarkan, boleh huru-hara majlis itu dengan hambat kejarnya. Sepanjang jamuan itu, tidak banyak kerja dilakukan. Di kelapangan itu, Azah menyertai saya yang terkaparan kepenatan meladeni kerenah Adil Rayyan di dalam bilik. Kami mengambil kesempatan itu bergurau senda dan ketawa ria. Siri Aufa pula tenggelam di dalam dunianya, menyusun botol-botol bedak, minyak wangi dan minyak rambut kepunyaan Mak dan Kak Khairani tanpa mempedulikan tingkah sepupu-sepupunya yang lain.


"Makcik ingat kenduri ni untuk Indera, rupa-rupanya untuk Adina. Bukan ke Makcik macam dengar-dengar dulu, dia yang nak pergi?" tanya Makcik Jamiah pada Kak Asma.

"Entah" jawab Kak Asma, pendek.


Setelah kenduri usai dan tetamu pulang. Azah menolong kakak-kakak saya di dapur. Saya termenung melihat sanak saudara yang berkumpul.

"Abang Chik, buku IELTS yang Abang Chik mintak tu, Adina dah hilangkan. Tak tahu dia letakkan di mana" kata Ismail, suami Adina.

"Tak apalah" kata saya. "Buku tu boleh beli kat mana-mana nanti" kata saya lagi.

"Bila Abang Chik nak ambik test?" tanyanya.

"Bulan Oktober ni. InsyaAllah"


Jam menunjukkan ke angka 10 malam sewaktu saya mengajak Azah pulang. Azah sempat mengucapkan kata-kata selamat buat Adina. Juga harapan ketemu lagi buat Bibik, pembantu rumah Adina yang terlalu baik hati yang bakal pulang ke Indonesia beberapa hari lagi. Sepanjang jalan Adil Rayyan lena di dalam pelukan Azah. Siri Aufa tidak henti-henti mengunyah burger yang dibeli di Pekan Bota.

Oh Bulan, mana Bintang?
Atas pucuk kayu Ara...

Tuesday, August 14, 2007

Aduuuuhhhh!!! Nak pengsan aku!!


"Baba, jomlah kita naik Giant-Wheel tu..!!"

("Indera, jomlah kita naik Giant-Wheel tu..!!")

Rayuan anak perempuan saya mengingatkan saya pada ajakan Armizam lebih sedekad lalu apabila kami melepasi kawasan Bukit Raja di Shah Alam. Ketika itu kami baru sahaja pulang dari Bandar Kelang dan sewaktu melintasi kawasan berkenaan, tempat itu telah bermandi cahaya dengan sinar lampu dari tapak funfair berdekatan.]

"Aduuhhh!! Nak pengsan aku!! Hehehehehehehe... Dah besar bagak ni pun masih ada hati nak naik Buaian Pusing..??" saya mengejek Armizam.

"Helleh.. engkau mengata aku..!! Silap-silap engkau pun teringin nak naik sama. Baik engkau mengaku sekarang yang engkau tu pun tak pernah naik Buaian Pusing, kan..??"


Saya hanya tertawa besar tanda mengiyakan kata-kata Armizam. Dengan berbekalkan wang RM5.00 seorang, kami melangkah masuk ke tapak pesta berkenaan. Orang yang berkunjung terlalu ramai ditambahi pula dengan musik dan lagu yang dipasang terlalu kuat sehingga membingitkan telinga.

"Berapa sekali naik, bang..??" tanya saya kepada pemuda yang bertugas mengawasi keselamatan pengunjung yang ingin menaiki Buaian Pusing itu.

"Seringgit saja.." katanya.


Kami pun membayar wang seringgit seorang lalu mengambil tempat di dalam barisan. Armizam tidak henti-henti tersengih tanda tidak sabar menaiki Buaian Pusing itu.

"Yang engkau dok tersengih-sengih ni, kenapa?" tanya saya, jengkel.

"Suka hati akulah nak tersengih ke, nak muncung ke.."


Sewaktu tiba giliran kami, Armizam meluru masuk ke dalam buaian besi itu. Hampir dilanggarnya saya. Saya cuma mampu menggeleng-gelengkan kepala. Sewaktu buaian itu berpusing, Armizam terpekik tanda kesukaan.

"Heiii.. diam sikit. Malu kat oranglah... Entah-entah orang-orang tu ingat kita ni keluar dari hutan mana nanti..!!" kata saya mengingatkan Armizam supaya menjaga kelakuan.


Setelah dua kali pusingan, Buaian kami berhenti di aras tanah. Kami terpinga-pinga apabila pemuda yang bertugas itu membukakan pintu buaian.

"Dah habis pusing, bang. Orang lain nak masuk!!" katanya kepada kami.

"Takkan bayar mahal-mahal, dua kali pusing je..??" tanya saya tanda tidak puas hati.

"Yalah... Dah tu kamu nak berapa kali pusing? Seratus kali..??" tanya pemuda itu lagi.


Dengan rasa tidak puas hati saya dan Armizam melangkah turun.
"Itulah engkau. Nak naik sangat. Bayar mahal-mahal, dua kali pusing je!!" gerutu saya menyalahkan Armizam. Armizam langsung tidak bersuara apabila melihat saya mula membebel. Namun pandangan matanya terus tertumpu pada Buaian Pusing itu sehinggalah kami menaiki motosikal kami pulang terus ke Shah Alam.


Armi seperti kebudak-budakan, kata hati saya. Namun cara dia memandang ke arah buaian pusing itu masih melekat di ingatan saya sehingga kini walaupun dia sudah tiada lagi di dunia ini....


Hari Sabtu yang lalu, saya membawa anak-anak dan isteri saya bersiar-siar ke Bandar Seri Manjung. Di dalam kereta, Siri Aufa mengadu lapar perut. Bila dibelikan roti berintikan krim jagung di Stesen Minyak Petronas itu, dia menjamah hanya sedikit. Dia inginkan Burger. Tetapi mesti burger McDonald.


Dalam perjalanan pulang, sewaktu melintasi Bandar Sitiawan, dia terpandangkan sinaran lampu daripada tapak funfair di situ.

"Baba, jomlah kita naik Giant-Wheel tu..!!"

Kata-katanya mengingatkan saya pada kata-kata yang diucapkan oleh Armizam lebih sedekad lalu. Namun waktu itu senja mula menampakkan dirinya. Kami singgah di masjid berhampiran kerana Azah ingin menunaikan Solat Maghrib. Sedang saya pula dapat kemudahan untuk menjamakkan solat. Di dalam kereta, Adil Rayyan tersengguk-sengguk ingin melelapkan mata. Saya meletakkan kepalanya di ribaan saya sambil mengusap-usapkan rambutnya.
Tidurlah anakanda cahayamata Baba
Tidurlah anakanda dalam
Hembusan udara..
Yang membawa anakanda
Masuk ke alam impian
Beraneka warna
Tidurlah anakanda, tidurlah...


Selesai sahaja Azah bersolat Maghrib, Siri Aufa merengek minta dibawakan ke tapak pesta itu. Azah merasa sakit kepala manakala Adil Rayyan tertidur. Hanya saya dan Siri Aufa sahaja yang masuk ke tapak pesta itu. Kepala Siri Aufa melangut ke atas melihat betapa tingginya Buaian Pusing itu.


Bayaran menaiki Buaian Pusing itu hanya dua token setiap seorang. Satu token bersamaan dengan nilai seringgit. Saya membeli 8 keping token. Wang kertas dan token bertukar tangan. Siri Aufa gembira kerana akhirnya berpeluang menaiki Buaian Pusing itu.
"Hanya dua pusingan, pasti tidak apa-apa.." fikir saya.


Namun jangkaan saya rupanya meleset. Dengan bayaran RM2.00, Buaian itu berpusing sebanyak 10 kali pusingan. Saya melihat dunia saya sudah berputar ligat. Peluh dingin memercik keluar di dahi dan juga tengkuk. Saya alihkan pandangan saya ke arah Siri Aufa. Dia tersenyum senang. Seronok dengan pusingan Buaian yang laju.


Sebaik sahaja pintu besi Buaian itu terbuka, saya meluru keluar. Hampir terjeluih isi perut saya di hadapan orang ramai. Mujur berupaya saya menahannya daripada terhambur keluar di tengah orang ramai. Token masih berbaki 4 keping.

"Baba, Kak Long nak naik Kapal Angkasa.." katanya sambil menuding ke arah Merry-Go-Round yang dipasang seperti kapal angkasa.

"Habislah aku kali ni.." kata hati saya.

"OK, dengan satu syarat. Naik kapal angkasa saja tau!! Lepas ni kita balik.." kata saya mengenakan syarat. Siri Aufa mengangguk tanda setuju.


Kami menaiki kapal angkasa mini itu. Semakin lama semakin laju. Peluh dingin saya memercik membasahi kolar baju. Dunia saya makin ligat berputar. Siri Aufa memandang saya sambil tersenyum. Saya tersenyum memandangnya. Cuma di mata saya sudah keluar bintang-bintang berwarna kehitaman. Sepuluh kali pusingan itu terasa lambat benar berakhir. Sebaik sahaja Merry-Go-Round itu berhenti, saya terhoyong-hayang cuba mengawal imbangan diri.

"Bang, Abang OK ke..?" tanya budak yang menjaga tempat itu.

"Ya.. saya tak ada masalah.." kata saya cuba berlagak selamba.


Sebaik sahaja saya masuk ke kereta, saya terus tersandar di tempat duduk. Tekak saya terasa pahit. Kepala saya seperti dihempap seketul batu besar.

"Abang ni.. buat malu je!! Anak tak ada apa-apa, abang pulak yang nak pitam" kata Azah mengejek saya.

Sampai di rumah mertua, saya rebah di atas tilam. Kepala saya berdenyut-denyut. Anak-anak yang ingin bermanja dan naik atas badan saya, tidak saya pedulikan. Adil Rayyan semakin galak bergolek-golek di atas badan saya.

"Abang, baik mandi. Nanti kurang sakit kepala tu.." kata Azah.

Saya hanya bangun setelah denyut kepala saya berkurangan. Itupun hanya untuk menunaikan Solat. Setelah itu saya rebah lagi tidak sedarkan diri hingga ke pagi.

"Aduuuuhhh!!! Nak pengsan aku!!"

Wednesday, August 01, 2007

Pelekat Pooh dan Cermin Mata



Ah... Sekarang sudah hujung bulan. Gaji telah dimasukkan ke akaun bank sementara barang-barang keperluan harian, baik barang dapur mahupun kelengkapan anak-anak telah kehabisan. Seperti kebiasaannya, minggu-minggu seperti ini akan dimanafaatkan untuk membawa isteri keluar membeli belah sambil membawa anak-anak bersiar-siar.


Sering Siri Aufa menghubungi saya di hari-hari bekerja menyatakan rasa rindunya pada saya dan meminta saya cepat-cepat pulang menemuinya. Dia selalunya akan menggunakan alasan tidak sihat dan demam bagi meraih simpati saya. Memang saya simpati. Jika dibiarkan, alasan demam itu boleh bertukar menjadi sebenar-benar penyakit akibat kerinduan yang tidak tertahan kepada ayahnya.


Untuk menguatkan semangatnya, saya sering menggunakan alasan untuk membawanya keluar bersiar-siar samada ke tepi pantai, zoo atau ke pasaraya. Biasanya dia akan kembali bersemangat dan kuat melalui baki-baki hari saya tiada di sisinya.


Pulang sahaja saya di kampung, dia akan merayu kepada saya untuk dibelikan pelbagai macam keinginan yang selalu mengikut seleranya seperti permainan, snek dan gula-gula, pakaian baru dan buku-buku. Keinginan membeli belah di dalam diri terlalu kuat sehingga jika saya ini berkemampuan membeli pesawat helikopter, pasti helikopter itu pun diingininya. Sayangnya saya hanya mampu membeli permainan helikopter sahaja.


Kisah Siri Aufa hilang di dalam pasaraya bukan lagi perkara asing. Masuk baru-baru ini sudah dua kali dia hilang di tengah-tengah orang ramai itu sehingga membikin saya dan Azah panasaran. Bimbang kalau-kalau anak kami itu diculik orang.


Kali pertama perkara itu terjadi adalah pada bulan April yang lalu. Seperti kebiasaannya, sampai sahaja kami di Pasaraya Giants, Adil Rayyan dan Siri Aufa akan kami letakkan di dalam troli. Namun Siri Aufa meronta-ronta ingin keluar. Ditengking dan dimarahi kemudiannya, dia akan menangis teresak-esak. Jika dikeluarkan dari troli pula dia akan menyelinap di celah-celah orang ramai dan barang-barang yang terdapat di gedung itu. Sedang saya dan Azah sibuk memilih susu tepung, saya menyedari anak perempuan saya itu sudah ghaib entah ke mana. Baru sebentar dia ada di sisi saya. Sebaik sahaja saya palingkan pandangan saya, ketika itulah dia menyelinap ke sana sini. Saya dan Azah tertanya-tanya ke mana perginya anak kami. Satu bahagian demi satu bahagian saya lalui, namun kelibatnya langsung tidak kelihatan. Di dalam fikiran saya sudah membayangkan pelbagai kemungkinan buruk seperti yang sering dipaparkan di akhbar. Setelah melalui hampir sepuluh bahagian, kelihatan dia berlari-lari keriangan di antara barangan beku dan tenusu.

"Baba, Kak Long nak Vitagens..!!" katanya sebaik sahaja terpandangkan saya yang kepucatan.


Di dalam hati saya ketika itu bercampur buar antara lega dan marah. Jika diturutkan rasa hati saya, mahu sahaja saya merotannya dengan talipinggang saya. Namun setelah melihat sikapnya yang keletah dan ditambahi pula dia itu jarang-jarang bermanja dengan saya, niat hati saya itu lenyap dengan sendiri. Tidak sampai di hati saya untuk meletakkan tangan saya ke tubuhnya. Selepas dimarahi dan dia berjanji tidak akan mengulangi perkara yang sama, persoalan itu selesai dengan sendirinya.


Sangka saya dia tidak akan berani melakukan perkara yang sama sesudah itu. Dalam bulan Jun baru-baru ini, terjadi lagi hal yang sama. Kali ini di Jaya Jusco pula. Masuk sahaja ke pasaraya itu dia sudah merengek inginkan permainan Barbie. Saya membantah kerana sebelum itu dia sudah mempunyai 5 buah permainan yang sama. Semuanya hilang entah ke mana. Azah pula inginkan tas tangan yang baru bagi menggantikan tas tangan lamanya yang telah pun putus. Sewaktu kami melewati sudut yang menempatkan beg tangan yang pelbagai bentuk, rekaan dan jenama itu, Siri Aufa seperti cacing kepanasan duduk di dalam troli. Sehinggalah Azah bertanyakan tas tangan yang manakan lebih sesuai, saya berpaling mengadap Azah seketika. Hanya 3 saat. Sebaik selesai 3 saat itu, sewaktu saya berpusing melihat Siri Aufa. Dia sudah hilang.


Sewaktu itu nyawa saya seakan terbang. Dia hilang lagi. Hampir 5 minit saya berlegar-legar di dalam pasaraya itu mencarinya. Namun masih gagal.

"Kak, kenapa Kakak nampak risau?" tanya seorang jurujual pada Azah.

"Anak saya hilang..." jawab Azah.


Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terlintas satu perkataan di benak saya. Permainan. Ya, permainan. Sekiranya dia masih tiada di sudut permainan itu, saya pasti akan melaporkan kehilangan pada pihak keselamatan bangunan.


Sewaktu saya tiba di sudut permainan yang jaraknya hampir 200 meter dari tempat Azah memilih tas tangan itu kelihatan Siri Aufa berjalan keseorangan kekaguman melihat deretan anak patung pelbagai saiz. Riak wajahnya langsung tidak terlihat akan ketakutan di celah orang ramai. Ketika itu suhu badan saya sudah umpama gunung berapi. Mahu sahaja saya piat telinganya dan merotan kakinya. Mujur ketika itu kesabaran berjaya menakluki saya. Pulang sahaja di rumah, kami dileteri oleh mertua saya. Kisahkan pada Mak tentang hal itu, masih saya juga dileteri.


Minggu lepas kami ke pasaraya lagi. Sebaik sahaja keluar dari kaunter pembayaran, Siri Aufa terpandangkan cermin mata pelbagai warna untuk kanak-kanak keluaran Disney. Dia sudah punya satu berwarna merah jambu dengan hiasan karekter Ariel, puteri duyung dalam garapan Hans Christian Anderson. Namun cermin mata itu telah disimpannya di mana-mana. Kali ini dia minta yang baru. Saya enggan melayan kehendaknya. Jika dilayan, dia pasti tidak menghargai pemberian ibubapanya. Akhirnya dia menangis, bertempik di dalam pasaraya itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritannya, saya dan Azah segera masuk ke kereta dan terus memandu pulang. Di sepanjang jalan itu, mulut saya berkicau umpama murai tercabut ekor berleterkan perangai Siri Aufa. Sepanjang jalan itu juga Siri Aufa mencebik kesedihan kerana dimarahi. Azah langsung tidak bersuara. Takutkan saya.


Esok harinya kami ke pasar malam pula. Membeli barangan basah seperti sayur dan ikan. Kali ini Siri Aufa terlihat pula pelekat kartun dengan segala aneka ragamnya. Baru minggu lepasnya Azah belikan pelekat Tinkerbell dengan 10 helaian. Itupun masih tidak habis digunakannya. Kali ini dia meminta yang baru pula. Dia mahukan pelekat Pooh pula. Setelah tidak dilayan permintaannya, Siri Aufa menangis berguling-guling di tengah orang ramai sambil menarik kaki Azah. Kecoh pasar malam itu dibuatnya. Bikin malu!!.


Hari Sabtu ini kami bercadang membawa anak-anak ke Zoo Taiping. Entah apa pula ragamnya kali ini.

Wednesday, July 25, 2007

Sekeping Hati Milik Seorang Lelaki (Bhgn 2)

Kemudian dia mendengar bunyi geseran tayar dengan muka aspal. Dia terjatuh di atas jalanraya itu. Amri memejamkan matanya menanti maut datang menjemput. Seketika dia terkalap. Kemudian membuka matanya. Kelihatan seorang pemuda keluar dari kereta Iswara berwarna hijau.
"Ya Allah bang!!!! nyaris saya tak langgar abang tadi. Abang tak apa-apa?" tanya pemuda itu.

Amri hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya tanda dia tidak mengalami kecederaan. Dia masih belum pulih dari kejutan yang dahsyat. Langsung dia tidak mampu bersuara. Pemuda itu kemudiannya menarik tangan Amri dan mengibaskan debu yang melekat di pakaiannya.
"Abang nak ke mana? Biar saya hantarkan.." kata pemuda itu.


Amri memandang tepat ke wajah pemuda itu. Kemudian dia merasakan bahawa dia selalu melihat pemuda itu. Tapi di mana? Ya, ya. Pemuda itulah yang sering melambai ke arahnya sewaktu dia menunggu budak Keon untuk menumpang balik ke rumah setelah dia mengunjungi Amira di rumah mertuanya. Pemuda itu selalu sahaja tersenyum apabila mata mereka bertaut. Dia tahu. Pemuda itu menantu Makcik Rahmah yang tinggal berhampiran dengan rumah bekas mertuanya.


Tanpa kata, pemuda itu menuntunnya masuk ke perut kereta dan langsung melarikannya ke arah rumah ibunya dengan kadar pecutan yang laju.
"Errr.. encik ni nak ke mana?" tanya Amri.
Pemuda itu tersenyum.
"Panggil saya Indera. Tak payah berencik-encik. Saya ni nak hantar abang balik ke rumah abang.."
Amri tersenyum. Ganjil nama pemuda ini.
"Errr... Indera selepas tu nak ke mana?" tanya Amri.
"Saya nak ke Pekan Ayer Tawar. Nak beli spare-part kereta" jawab pemuda itu. Masih tersenyum.


Amri terdiam buat beberapa saat. Seketika kemudian dia bersuara.
"Boleh tak kalau abang ikut Indera?. Abang dah lama tak berjalan-jalan tengok dunia luar. Yelah, sejak abang kena stroke.." kata Amri separuh mengharap. Pemuda itu kemudian melepaskan pandangan hadapannya dan menoleh ke arahnya. Ada simpati di mata pemuda itu. Pemuda itu kemudian mengangguk perlahan-lahan.


Setelah selesai urusan pemuda itu, pemuda itu kemudian menarik Amri masuk ke Restoran India Muslim yang selalu penuh di pekan itu. Mereka menjamu selera dengan Roti Canai dan Teh Tarik. Itulah kegemaran Amri suatu ketika dahulu sebelum dia jatuh sakit.
"Saya selalu nampak abang menunggu di tepi jalan depan rumah mertua saya tu. Abang tunggu sapa..?" tanya pemuda itu.
"Tak tunggu siapa-siapa. Cuma mengharapkan ada yang simpati menumpangkan saya balik ke rumah" katanya sambil tersenyum.
"Kak Hani tu isteri abang?" tanya pemuda itu.
"Bekas isteri..."


Pemuda itu mengerutkan dahinya cuba memahami perkara sebenarnya. Namun dia tidak cuba bertanya. Amri dengan rela hati membuka kisah silamnya buat sempadan.


"Saya ini bukanlah tua sangat. Tetapi penanggungan yang saya alami itu yang membuatkan saya kelihatan tua. Di usia remaja saya, saya seorang yang sangat manja dengan orang tua saya. Maklum sahaja saya ini anak tunggal. Segala keinginan saya sentiasa dipenuhi oleh kedua orang tua saya. Saya malas belajar. Akhirnya terkandas di dalam peperiksaan. Maksud saya keputusan yang perolehi itu tidak mampu membawa saya ke mana-mana. Saya bergelandangan di kampung, merayau tanpa tujuan. Tiada matlamat hidup. Tidak lama kemudian, bapa yang saya kasihi meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya".


"Sebahagian daripada duit pampasan yang diberikan oleh orang yang melanggar bapa saya itu, Mak membelikan saya sebuah motosikal. Tidak lama sesudah itu saya mendapat pekerjaan sebagai kerani penghantar surat di Ipoh. Saya leka dengan hidup saya. Saya melakukan pelbagai maksiat tanpa pernah terfikir akan dosa dan juga pahala. Duit gaji habis begitu sahaja. Tidak pernah terdetik di hati saya untuk menghulurkan kepada ibu saya walau sesen pun. Saya bebas sebebas-bebasnya. Hidup umpama burung. Apabila penat pulang ke rumah sebagaimana pulangnya burung ke sarang. Kemudian terbang lagi. Begitulah saban hari".


"Sewaktu mengunjungi ibu di kampung pada suatu hari, telah menemukan saya dengan Hani. Hani dara jelita yang sentiasa menjadi perhatian ramai. Dia lincah lagi keletah. Dengan pakaian yang sedikit berani sehingga menampakkan sebahagian anggota tubuh, liuk tubuh Hani menjadikan saya gila. Gilakan Hani. Sentiasa mengingatinya siang dan malam. Saya harus miliki Hani walau apa cara pun".


"Satu hari, Hani terkandas di pekan. Tiada kenderaan untuk pulang ke rumah. Saya menawarkan untuk menghantarkan Hani pulang dengan menaiki motorsikal saya. Itulah detik perkenalan kami. Semenjak itu kami sering bertemu. Di kampung dan kadang-kadang di bandar. Sikap Hani yang serba tidak kisah diusung ke hulu ke hilir semakin menyebabkan kami berani lakukan apa sahaja. Ibunya pula langsung tidak ambil peduli apa yang Hani lakukan. Akhirnya kami terlanjur".


"Hani mengandung. Tiada jalan lain untuk menutup malu selain daripada diijabkabulkan. Tetapi ibu saya menentang. Dia tidak sudi menerima perempuan jalanan sebagai menantunya. Tetapi saya berkeras juga. Akhirnya kami bernikah di Thailand dan langsung menetap di Kelantan buat beberapa tahun. Di sanalah Amira dilahirkan. Hidup kami ketika itu umpama kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Kami selalu bertengkar. Hani menyalahkan saya menyeretkan ke kancah kehidupan yang susah. Sekiranya saya tidak dapat memberinya kesenangan, dia mahu saya menceraikannya".


"Surat dari ibu saya yang kerinduan kemudian membawa kami pulang semula ke Perak. Saya tidak punya kerja tetap selain mengusahakan tanah milik arwah bapa saya yang sekangkang kera itu. Alhamdulillah, hasil kebun itu mampu saya keluarkan. Pendapatan pun bertambah. Amira pun semakin besar. Hani sudah tidak menyebut lagi hal perceraian".


"Namun sinar mentari itu selalu tidak kekal lama. Tiba masanya, kegelapan pasti menyelubungi alam. Satu pagi, sebaik sahaja saya masuk ke kamar mandi, saya merasakan kesakitan yang teramat sangat di bahagian kepala. Pandangan saya gelap. Saya tidak tahu apa-apa. Sedari dari koma yang panjang, doktor mengesahkan saya menghidap angin ahmar yang serius. Separuh badan saya lesu. Tidak bermaya. Malah untuk mengangkat seurat jari pun saya tidak mampu.."


"Sepanjang saya dirawat di hospital, kelibat Hani langsung tidak kelihatan. Setelah saya pulang ke rumah, ibu memberitahu saya bahawa Hani sudah meninggalkan rumah ibu saya dan pulang ke rumah ibunya dengan membawa Amira bersama. Hani seperti burung yang terlepas dari sangkarnya. Terbang jauh dan jauh. Hahahahahahaha.... mungkin dia tidak ingin hidup di sisi suami yang cacat. Apalah yang orang cacat mampu berikan". (Kali ini pemuda itu menggenggam erat tangannya sambil menepuk bahunya).


"Akhirnya dia menuntut fasakh dari Pejabat Agama. Alasannya saya sudah tidak mampu menjalankan tanggungjawab saya sebagai suami. Saya tahu jika saya sihat, pasti saya menang perbicaraan. Tetapi saya bukan orang yang melukut di tepi gantang. Mengharapkan kasih jika orang sudah tidak sudi. Cuma saya sering rindukan Amira".


"Setelah dirawat dengan kaedah tradisional, saya mampu menggerakkan sedikit anggota yang lesu. Tetapi Indera tengok sahajalah, langkah saya pun terhencot-hencot. Hani benar-benar sudah berpatah arang dengan saya. Dia bebas ke sana dan ke mari dengan Zainuddin, teman barunya".
"Saya kenal Zainuddin itu. Dia sepupu Azah, isteri saya"


"Setelah cacat begini, saya rasakan bahawa saya hanyalah beban bagi hidup orang lain. Anak saya sendiri membenci saya. Apa daya saya. Saya serahkan segala-galanya pada Allah. Hanya itu sahaja yang mampu saya lakukan".




Senja berlabuh menebarkan warna merah jingga di saat Indera menghidupkan enjin kereta untuk pulang. Sepanjang jalan mereka berdua diam terpaku seolah-olah kehilangan kata-kata sehinggalah kereta itu menghampiri halaman rumah ibu Amri.
"Terima kasih Indera. Abang terharu bila Indera sanggup berkawan dengan abang yang cacat ni. Budi Indera akan abang ingat sampai mati.." katanya sebelum ketawa memanjang.
"Apa sangatlah budi saya tu abang.."
Amri ketawa memanjang. Indera tidak pasti apakah maksud ketawa itu. Ketawa itu masih dapat didengarinya tatkala Amri dilihat menongkah anak tangga.


*********


Setelah dua tahun, Hani berkahwin dengan Zainuddin. Satu petang, sewaktu saya dalam perjalanan pulang ke rumah mertua saya, saya berpapasan dengan seseorang. Jalannya terhencot-hencot.
"Eh.. itu bukan Amri ke..??" tanya saya pada Azah.
"Eh, abang ni biar betul...!! Amri tu dah meninggallah.."
"Hah..?? Dah meninggal?? Sakit apa..??"
"Entah. Tak tahu. Meninggal mengejut je, kata orang. Meninggal dengan membawa hatinya yang lara.." kata Azah cuba berlucu.

Kasihan....


Budi Indera akan abang ingat sampai mati...



Tamat



Wednesday, July 18, 2007

Selamat Jalan wahai Perwira

Misteri kehilangan Pesawat Nuri Sikorsky S-61A-4 yang membawa 6 anggota TUDM akhirnya terjawab dengan penemuan bangkai pesawat terbabit pada jam 1.24 petang semalam. Kesemua anak kapal pesawat malang itu disahkan terkorban. Mereka adalah Kapten Nor Azlan Termuzi 29 (juruterbang), Kapten Nor Intan Asykeen 27 (pembantu juruterbang), Sarjan Mohd Azmie Yassin 35 (Pegawai Avionik), Sarjan Khusnizam Ariffin 34 (Kuartermaster udara), Saifulizam Alias 28 (Laskar Kanan Udara) dan Muhammad Ridzuan Ahmad 27 (Laskar Udara).


Pesawat ini dilaporkan hilang daripada kawalan radar setelah 10 minit meninggalkan Pengkalan Udara Sungai Besi di dalam penerbangan ke Kuantan. Kejadian yang berlaku pada jam 9.35 itu dikatakan berpunca daripada cuaca buruk.


Menurut beberapa orang saksi, pesawat itu dilihat berada di Tana Rimba dan berlegar-legar selama 30 saat. Pesawat itu juga dilihat berada berhampiran dengan belakang kediaman Tan Sri Lim Goh Tong sebelum beredar ke tempat lain setelah berlegar-legar selama beberapa ketika.


Menurut seorang Pegawai Waran Udara yang sedang memandu di Lebuhraya Karak berhampiran dengan Terowong Genting Sempah pada waktu kejadian, beliau mengenal pesawat itu jenis Sikorsky buatan Amerika Syarikat berdasar pengalamannya yang banyak terlibat dengan penerbangan yang melibatkan pesawat itu. Menurut beliau lagi, pesawat terbabit dilihat tersasar dari laluan biasa yang digunakan oleh mana-mana penerbangan sebelum itu. Ini adalah dipercayai bahawa Juruterbangnya pada ketika itu sedang mencari tempat yang sesuai untuk melakukan pendaratan kecemasan.


Pencarian selama 5 hari itu kemudiannya berakhir apabila pesawat tersebut ditemui di suatu kawasan di arah Baratlaut Terowong Genting Sempah. Hanya jarak 3 kilometer sahaja dari terowong berkenaan. Pesawat itu ditemui dalam keadaan terjunam ke bumi manakala ekornya patah tersangkut pada pokok. Pesawat itu tidak mempunyai tanda-tanda terbakar hanya kipas utamanya didapati tertanggal dan gagal dikesan hilangnya. Sewaktu ditemui juga, kesemua anak kapal tidak mengalami kecacatan fizikal dan berada pada kedudukan mereka masing. Penghantaran jenazah akan dilakukan dengan segera dan waris-waris sedang bersedia untuk urusan pengkebumian.



Kata saya;
Petang ini seorang kenalan Boss saya mampir di pejabat atas urusan menandatangi satu dokumen rasmi. Saya yang bertanggungjawab atas urusan tandatangan itu. Kedatangannya walau bagaimanapun tepat mengikuti masa. Memang Encik Saharudin itu seorang yang sangat patuh pada masa.
"Engkau tahu Indera, Jalan Tun Razak jammed teruk hari ini.."
"Ya ke..?? Sebab apa ya..??" tanya saya
"Entah.. sebab diaorang hantar mayat kot" kata Encik Saharudin.
"Mayat..???"
"Tu.. mayat anggota TUDM yang bawak Nuri tu.." katanya
"Ooooo..."


Setelah Encik Saharudin pulang, beban kerja beransur kurang. Masa terluang saya isi dengan membaca perkembangan terkini nahas pesawat Nuri itu. Dari cerita yang dipaparkan, jelaslah bahawa sewaktu kejadian itu Juruterbang itu Kapten Nor Azlan Termuzi maklum akan bencana yang bakal menimpanya serta anggota lain yang turut bersama di dalam pesawat.


Bimbang kejadian buruk yang bakal menimpa, Kapten Nor Azlan cuba mencari tempat pendaratan yang sesuai. Dia mengemudi pesawat itu menuju ke Genting Highlands dan mencari tempat mendarat di sana. Itulah sebabnya pesawat itu dilihat berada di belakang kediaman Tan Sri Lim Goh Tong buat beberapa ketika. Memandang tempat dan ruang pendaratan yang tidak selamat dan sesuai, dia beralih ke Tana Rimba dan dilihat oleh pekerja-pekerja Indonesia yang sedang membina jalan di sana berlegar-legar selama 30 saat. Masih tidak sesuai untuk melakukan pendaratan. Akhirnya beliau mencuba peluangnya untuk melakukan pendaratan di Lebuhraya Karak. Namun ketentuan takdir lebih berkuasa atas segalanya.


Al-Fatihah untuk saudara-saudaraku....

Sekeping Hati Milik Seorang Lelaki


Suasana Subuh di kampung itu sangat dingin. Di luar rumah, si jantan jalak giat berkokok menyambut tibanya hari baru. Burung-burung berkicauan mencari makan. Dia bangun dari tidur dan perlahan-lahan duduk sambil cuba menggerak-gerakkan anggota badannya yang tidak bermaya.

Di dapur kedengaran desingan siulan cerek yang ditiup wap panas. Di atas tungku dapur pula kedengaran letupan-letupan kecil minyak panas tanda ibunya sedang menggoreng sesuatu.
"Riiii... bangun!! Subuh dah nak habis dah ni.." ibunya melaung dari dapur.

Dia bangun mencapai tuala mandi sebelum berlalu masuk ke bilik air jaraknya cuma 10 meter sahaja dengan biliknya. Langkahnya terhencot-hencot. Tiada menunjukkan tanda-tanda bahawa penyakitnya seakan pulih. Hmmm.. sudah tiga tahun hidupnya sebegitu. Selama tiga tahun itu juga hidupnya bagaikan kekabu yang melayang ditiup angin. Kosong dan sepi tanpa kasih. Isteri? anak? Hahahahahahaha.. siapa yang mahu hidup dengan orang cacat sepertinya. Hanya menambah beban sahaja.

Selesai sahaja mandi, dia bersolat. Memohon kepada Rabbul-Jalil moga derita yang dialaminya itu akan diangkat oleh Tuhan. Moga penderitaan batin yang dialaminya tidak terus-terusan melingkari hidupnya. Moga segalanya akan hilang. Hilang bak berhembusnya sang bayu. Begitulah doanya setiapkali selesai solat. Tidak lupa juga moga hidup insan kesayangannya akan sentiasa diberkati oleh Allah selalu. Biarpun perit dirinya menelan segala perlakuan mereka.

Selesai bersolat, dia duduk termenung di tangga. Mengelamun mengenangkan kisah silam yang kelabu. Termenung mengingatkan saat-saat bahagia dia bersama dengan Hani dan Amira. Alangkah indahnya hidup ketika itu. Dirinya dilingkari dengan kasih sayang, dipenuhi dengan tawa ceria. Sekarang tiada apa lagi yang tinggal. Yang ada hanyalah kesedihan yang tidak berhujung dan berpangkal.
"Riiii... mari minum. Nanti sejuk kopi ni, tak sedap!!" ibunya melaung lagi.
Amri merenung langit yang tinggi. Sayup-sayup di atas sana, terlihat beberapa ekor burung berterbangan di langit yang membiru. Alangkah baiknya kalau dia seekor burung. Bebas berterbangan di angkasaraya. Jauh dari segala masalah.

Mentari pagi naik dengan seri cahayanya yang gemilang. Jalur-jalur sinarnya menembusi daun-daun pokok yang tumbuh merimbun di sekeliling rumah. Sawah di belakang rumah kelihatan berbalam-balam dibungkus kabus pagi yang tebal seolah-olah selimut yang menutupi anak-anak padi dari pancaran panas matahari.
"Riiiii... cepatlah. Sarapan dah nak sejuk dah ni!!!" ibu melaung lagi.
Haaaiiiii... mujur sahaja ibu masih ada.

Sarapan pagi itu biasa-biasa sahaja. Nasi putih dengan ikan sepat masin yang digoreng. Airnya hanya air kopi. Tiada yang istimewa. Cumanya pagi itu, ibunya ada menggoreng sedikit pisang. Itu sudah cukup baik buat mereka sekeluarga. Asal sahaja perut terisi, apa lagi yang ingin dipinta. Mungkin dia ingin memohon pada Allah agar Amira hidup bersamanya sehingga ke akhir hayat.
"Mak.. Amira suka makan Goreng Pisang ni, kan Mak?"

Ibunya terhenti menyuap nasi. Perlahan-lahan ibunya menoleh ke arahnya.
"Sudahlah tu Amri. Orang dah tak sukakan awak, buat apa diingat?" kata ibunya.
"Tapi dia tetap darah daging Amri juga Mak. Mana mungkin Amri dapat buang dia dari hidup Ri" kata Amri dalam sengau pertuturannya. Sukar bagi orang lain memahami percakapannya. Tetapi tidak pada Mak Leha. Mak Leha hanya mampu mengeluh.

Selesai sahaja bersarapan, Amri terhencot-hencot masuk ke biliknya. Selepas setengah jam dia keluar semula memakai pakaian bersih seolah-olah ingin berjalan-jalan.
"Nak ke mana tu, Amri?" tanya ibunya.
"Ri nak ke Kampung Talang tu sekejap, Mak!!"
"Nak buat apa..??"
"Nak tengok Amira"
"Orang dah tak suka kamu, Amri. Tak usahlah kamu nak mengulangnya. Tak ada apa yang kamu dapat nanti. Yang dapat cuma penat dengan malu sahaja. Dahlah tu. Tak payah pergi!!" larang Mak Leha.

Tetapi Amri degil juga. Hencot-hencot juga dia turun ke tanah sebelum menyarung sepatu lusuh dan terus menghala ke tepi jalan. Mana-mana kereta yang lalu lalang pasti akan ditahannya dengan harapan akan ada pemandu yang bermurah hati menumpangkannya. Namun dia hampa. Setelah setengah jam menunggu, tiada yang sudi menumpangkan. Dia akhirnya tercegat di tepi jalan itu sambil memandang sepi dan kosong pada jalan yang sibuk itu.

Mujur setelah sekian lama menunggu, muncul pula budak Keon anak Tok Mat Ali yang gila-gila menunggang motorsikal dalam awal pagi tu.
"Nak ke Kampung Talang ke, Abang Amri?" tanya budak itu.
"Ya.." jawabnya.
"Kalau macam tu, jomlah ikut saya. Saya hantarkan abang sampai ke rumah Kak Hani"
Mujur. Memang mujur budak itu tiba. Dapatlah Amri bertemu dengan Amira hari ini. Walaupun budak Keon ini menunggang motosikal sedikit merbahaya, namun itu sahaja pilihan yang dia ada. Sekali sekali dia meraba poket seluar. Dia tersenyum. Goreng Pisang untuk Amira masih ada di situ.

Halaman rumah mertuanya itu sunyi sepi. Dia meneguk liur. Bimbang kedatangannya itu mengganggu orang di awal-awal pagi.
"Assalamualaikum!!"

Setelah dilaung berkali-kali, masih tiada jawapan. Hendak dikatakan tidak berpenghuni, tingkap rumah ternganga luas. Pintu pun terbuka kedua-dua daunnya. Amri mengeraskan suaranya memberi salam. Beberapa ketika, salamnya bersambut.
"Kamu rupanya Amri. Bila sampai?" tanya bekas ibu mertuanya dari tingkap atas. Amri terpaksa mendongak untuk berbual dengan mertuanya itu kerana rumah di kampung itu berbinaan tradisional dengan rata-rata tiang tinggi lebih 6 kaki.

"Anak kamu dengan Hani tak ada. Hani ke pekan. Amira pula ada pertandingan melukis hari ini" maklum mertuanya itu. Tiada tanda-tanda bahawa perempuan tua itu akan menjemputnya naik ke rumah. Akhirnya Amri duduk di kaki tangga rumah itu sahaja.

Cuaca semakin hari semakin panas. Bayang Hani dan Amira langsung tidak kelihatan. Sudah dua jam dia menunggu di situ. Dalam keletihan menunggu itu membuatkannya terlena walau sekadar duduk di atas batu tangga itu. Dia bermimpi membawa Amira ke padang permainan. Amira berjerit-jerit kesukaan bermain buaian dan papan gelongsor. Amri ingin memeluk Amira. Dia melangkah laju ke arah anaknya itu. Seketika kakinya tersepakkan batu besar di padang permainan itu dan.. apabila dia mengangkat pandangan. Amira dengan buaiannya hilang. Dia kembali ke alam nyata.
"Baliklah Amri. Orang dah tak sukakan kamu, buat apa ditunggu?" mertuanya bersuara dari jendela. Amri memandang perempuan tua itu. Pandangan perempuan itu seolah-olah menghalaunya.

Amri meraba-raba koceknya. Nampaknya anaknya tidak dapat menikmati Goreng Pisang itu. Amri mengibaskan debu yang melekat di seluarnya sebelum mengatur langkah pulang. Baru beberapa tapak dia melangkah, pandangannya terarah ke tepi jalan itu. Kelihatan Hani turun dari sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berkulit gelap sambil memimpin Amira. Gaya Hani dan lelaki sangat mesra. Namun sebaik sahaja terpandangkan Amri, riak wajah Hani bertukar masam mencuka.

Semakin Hani menghampiri Amri, semakin kejap pautan Hani ke lengan lelaki itu sambil kepalanya sekali sekala dilentokkan manja ke dada lelaki itu. Amri kenal akan lelaki itu. Namanya Zainuddin. Mekanik syarikat bas ekspress di Ipoh.
"Hani dari mana?" tanya Amri cuba berbahasa. Hani membisu.
"Hani, Abang nak cakap dengan Amira sekejap.." kata Amri lagi.
"Cakaplah. Siapa melarang!!" kata Hani sebelum menarik tangan Zainuddin naik ke rumah.

Amri tersenyum memandang anak perempuannya. Comel!!, kata hatinya. Di luar kesedarannya, anaknya itu sudah berusia 8 tahun.
"Mira, Mira dari mana sayang?" tanyanya.
Anaknya itu bungkam. Turut berwajah kuncam sepertimana ibunya.
"Mira tak suka ayah. Lain kali ayah jangan datang sini lagi. Mira malulah ada ayah macam ni. Semua kawan Mira kata, ayah cacat. Ayah miskin. Hiiiiii... bau busuk!!"
"Mira, kenapa cakap macam tu. Tak baik tau.." kata Amri dalam airmata yang bergenang.
Ohh.. anak!!

Amri menghulurkan Goreng Pisang yang dibawanya pada Amira. Tetapi Amira cuma memandang sepi pada buah tangan yang dibawanya.
"Jom kita jalan kat depan tu.." usul Amri pada Amira.
"Tak maulah. Lepas ni Pakcik Zainuddin kata nak bawak Mira pergi The Lost World kat Ipoh. Ayah bukan boleh bawak Mira jalan-jalan pun!!"
"Mira tak nak jumpa ayah. Ayah jangan datang sini lagi, tau!!" katanya sebelum meluru naik ke rumah.

Amri tidak dapat menahan kesedihannya. Mereka bencikan aku kerana aku cacat, kata hatinya. Segala semangatnya hancur berkecai. Segala impiannya untuk bahagia walau dengan kasih sayang anak, lulur berderai. Pandangan di hadapannya kosong. Kosong dalam riuh pikuk suasana alam.

PPPiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnnnnn!!!!!!!!!
Bunyi hon kereta menikam keras gegendang telinganya. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Dia pasrah!!.

Bersambung

Indera : Kisah ini adalah sebuah kisah benar. Cuma nama watak telah ditukar bagi mengelakkan daripada menyinggung hati mana-mana pihak.


Thursday, July 12, 2007

Hasniah (Bhgn 3)


"Tak baik tuduh-tuduh... Mana engkau dapat cerita ni..??" tanya saya.
"Heiii Indera. Aku ni dah 21 tahun jadi abang engkau, engkau tahu?"
"Kalau dah melantak nasi sampai dua tiga pinggan tu, apa maknanya.. hah? Kalau dah dok termenung macam orang sasau, kemudian sekejap-sekejap lagi tanya pasal Pasir Mas, bukan maknanya engkau putus cinta tu?. Heiii aku tahulah. Engkau dok berjam-jam kat Stesen Bas tiap-tiap hari, kan?" tanyanya lagi.
"Sapa bagitahu engkau...?"
"Aku tahulah sebab kelas aku betul-betul mengadap ke Stesen Bas tu..!!"

Aduuuhhh... malunya. Nampaknya saya terpaksa buka mulut. Apa yang saya rahsiakan selama ini telah menjadi pengetahuan abang saya.
"Sementelahan engkau ada di sini, eloklah kamu pergi ke rumah dia. Selesaikan cara baik. Kalau dia terima kamu semula, baguslah. Tapi aku rasa harapan tu memang dah tak ada sebab ikut kata engkau, majlis pertunangan tu memang kehendak mak ayah dia..."kata abang saya.
"Nak pergi macam mana. Aku bukan tahu rumah dia.."
"Heiii Mamat!!! Kalau engkau berani datang ke Kelantan ni, apasal pulak engkau tak boleh cari dia. Heiiii jangan buat alasanlah!!" kata abang saya seraya menunjal belakang kepala saya.
Saya masih setia menunggu di Stesen Bas itu. Mengharapkan sepenuh hati bahawa Hasniah akan muncul menceriakan hari saya. Penantian saya terus-terusan kehampaan.
(Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...)

Ohhh.. terasa beratnya penanggungan saya ini. Di bawah kesedaran saya, saya mendaki tangga bas usang bercat belang merah itu. Di cermin kaca di sisi pintunya tertera perkataan PASIR MAS. Angin berhembus laju menceraikan dandanan rambut saya yang kemas.
"Tak cukup 20 sen bang!!" kata konduktor bas itu memutuskan lamunan saya.
Rupa-rupa saya membayar jumlah tambang yang kurang. Cuaca pagi itu sungguh nyaman. Penumpang bas tidak ramai. Tempat duduk luas yang hanya diduduki oleh saya seorang, memberi kesempatan untuk saya mengelamun dan terus mengelamun.

Sampai sahaja di Kampung Pohon Buluh, saya turun di hadapan sebuah kedai. Ahhh.. tempat itu terlalu asing buat saya. Saya mencari-cari rumah Hasniah. Dengan sekadar berbekalkan maklumat ringkas nama ayahnya, Hasnan Bin Pawi itu memakan masa 1 jam juga untuk mencarinya. Ini kerana bapa Hasniah lebih dikenali sebagai Manaf di kampung itu. Patutlah apabila disebut nama Hasnan, kebanyakan orang kampung itu terpinga-pinga.

Rumah orang tua Hasniah nampak sederhana. Halaman rumahnya kemas dan dikelilingi oleh pokok-pokok rambutan yang merimbun. Pokok-pokok bunga tersusun rapi menunjukkan penghuninya amat berminat dengan senitaman dan menitikberatkan soal kebersihan. Suasananya betul-betul kampung.
"Kalau dah balik ke rumah, rasa tak nak balik ke Shah Alam semula dah!!" saya teringat kata-kata Hasniah pada saya sewaktu dia meluahkan rasa rindunya pada keluarga dan kampungnya semasa kami di semestar kedua. Saya dapat merasakan kualiti yang ada di rumah itu.

Dengan debaran kencang, saya memberi salam. Seorang lelaki separuh umur menjawab salam saya. Itulah dianya bapa Hasniah. Seorang lelaki bertubuh gempal, berkulit cerah dan berkumis tebal. Dia hanya memakai kemeja lengan panjang serta berseluar warna coklat gelap. Debaran di dada saya semakin kuat apabila lelaki itu berubah wajah menjadi serius sewaktu saya memperkenalkan diri saya sebagai teman sekelas Hasniah yang berasal dari Perak.
"Errr... saya datang ke sini nak minta izin Pak cik nak berjumpa dengan Hasniah" kata saya kepucatan.
"Ohh.. boleh, boleh. Tunggu sekejap ye. Pakcik panggilkan Hasniah" katanya sebelum berlalu ke ruangan belakang rumah itu.

Hasniah nampak terperanjat apabila melihat saya berada di serambi rumahnya. Dia hampir kehilangan kata-kata.
"Oo.. awak. Apa yang awak buat kat sini?" tanyanya.
"Indera datang nak melawat awak. Pakcik, boleh tak kami bercakap-cakap sebentar kat halaman sana?" tanya saya meminta izin dari bapa Hasniah.
Bapa Hasniah hanya mengangguk manakala ibunya nampak agak kebingungan tanpa mengetahui tetamu yang mampir di rumahnya lewat pagi itu.

"Awak dah nak bertunang. Tahniah!!" kata saya membuka perbualan kami.
"Terima kasih" jawabnya ringkas. Hasniah memandang sekeliling cuba mengelak bertentang mata dengan saya.
"Indera harap awak bahagia"
"Terima kasih" masih jawapan yang pendek. Saya terkalap dalam mencari punca yang boleh membuka kepada sebuah perbualan panjang. Namun Hasniah seakan kaku dan dingin.
"Hasniah, buat sekian kali, Indera nak.. err.. Indera nak minta maaf atas perlakuan Indera dengan Suhaili dulu. Indera...." saya terhenti berkata apabila melihat airmata bergenang di matanya.
"Tak perlu Indera minta maaf. Niah dah tahu semuanya. Suhaili... Suhaili dah bagitahu Niah semuanya"
"Niah dah tahu...?? Kalau dah tahu, apa semua ni, hah? Balas dendam?"
"Ya. Pertunangan ni memang untuk balas dendam. Tapi apa pilihan yang Niah ada kalau mak dan ayah Niah sudah beria-beria mengaturnya?" airmata Hasniah jatuh ke pipi. Dia segera membelakangi arah rumahnya supaya ibu dan ayahnya tidak melihat bahawa dia ketika itu sedang mengalirkan airmata.
"Kalau dulu lagi Niah tahu bahawa Indera diperangkap oleh Suhaili, apakah Niah akan menerima pertunangan ini?"
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah bahagia sekarang?" tanya saya
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah sayang Indera?"
Angguk.

"Hahahahahaha... siapa lelaki yang bertuah itu?"
Hasniah bungkam. Enggan memberitahu saya.
"Jika pada Indera yang Niah katakan sayang ni, tapi Niah tak nak bagitahu siapa lelaki tu, apa gunanya perasaan sayang itu..?"
(Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah)

"Indera tak kenal dia" jawab Hasniah.
"Niah ikhlas terima dia?" tanya saya.
Hasniah bungkam. Airmatanya masih mengalir di pipi.
"Kalau Niah tak suka dengan pertunangan ni, biar Indera jumpa dengan ayah Niah minta diputuskan pertunangan Niah dengan lelaki tu sementara Indera aturkan rombongan meminang Niah.."
"Jangan. Jangan buat macam tu. Matilah Niah nanti. Tolonglah. Niah minta sangat-sangat. Tolong jangan mengkucar-kacirkan pertunangan Niah. Mak dan ayah akan tanggung malu. Niah tak nak semua tu jadi. Niah rela mati dari tengok Mak dan Ayah Niah tanggung malu. Lagipun macam mana Indera nak pinang Niah? Kan kita masih belajar? Mana ada duit?" airmata Hasniah semakin lebat turun bersama kata-katanya.

Kami terdiam. Sama-sama kelu.
"Horrayyy.... pasangan yang dipilih sama secocok, sama sepadan untuk DBS03/1994 adalah Indera Kencana dan Hasniah Hasnan. Kita kasi denda pada diaorang. Dendanya ialah kutip sampaaahh. Horrayyy!!!" sorak teman-teman sekelas sewaktu kami bermain satu permainan berunsur motivasi di Kem Camar Alam, beberapa tahun sebelum itu. Ketika itu kami terdiam. Sama-sama kelu. Sekarang kami juga terdiam dan terkelu. Tetapi dalam keadaan yang sangat berbeza.

"Jika sudah begitu keadaannya, boleh tak Indera minta satu perkara?"
Hasniah hanya mengangguk.
"Bahagiakan lelaki itu. Lupakan semua perkara tentang kita. Anggap Niah tak pernah kenal Indera"

Saya tidak boleh berlama-lama di situ. Sembilu tajam menusuk tubuh saya datang dari segenap penjuru. Renungan Hasniah yang kesedihan dan kehampaan yang menggunung di hati saya membuatkan saya kepedihan.
"Hahahahaha... Selamat menempuh gerbang perkahwinan. Selamat berbahagia di samping dia" saya mengatur langkah meninggalkan Hasniah. Selamat untukmu sayang. Kita tiada takdir untuk bersatu. Dalam perit menahan ego, setitis airmata berguguran jua tanpa dilihat oleh Hasniah.
(Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan)

Nun di utara, Hasniah ketika ini sedang berbahagia bersama suami dan cahayamatanya yang tersayang. Saya dengan pasangan hidup saya dan juga 2 orang penyeri perkahwinan kami. Cinta saya dan Hasniah laksana bunga mawar berkembangan. Namun cuma sebentar. Tiba masanya, ianya layu lalu jatuh sekelopak demi sekelopak. Tiada apa yang tinggal. Yang ada hanyalah kenangan.

Tamat

Tuesday, July 03, 2007

Hasniah (Bhgn 2)


Terasa bagai ditusuk sembilu bisa
Pedihnya entah bila akan terhenti
Berkasih di rimba asmara berapi
Terbakar hanya ku sendiri
Oh mengapa...

Ke mana hilang janji dan sumpah setia
Ke mana tumpah selaut harum kasturi
Apakah mungkin kan terulang kembali
Asyiknya cinta bagai dulu
Atau serapuhnya mimpi
Yang pulang pagi...

Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...

Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah

Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan

Redup senja di kaki malam
Menghilangkan warna ilalang
Dan cinta kini bagaikan
Perkasihan mimpi...
***Ralat***
(Sebahagian daripada perbualan di dalam entri ini telah dipindahkan ke dalam loghat Johor-Riau kerana saya tidak pandai menyusun perbualan ini di dalam loghatnya yang sebenar iaitu loghat Kelantan. Sebarang ketidak-selesaan dipohon ribuan kemaafan)

Saya menoleh. Rupa-rupanya abang saya, Khairul. Dia tersengih-sengih sambil menemukan kedua-dua belah tapak tangan seperti orang Cina yang sedang bersembahyang.
"Huuuiii.. sorrylah aku lambat sikit. Lama dah engkau tunggu?" tanyanya. Gayanya tetap selamba seperti biasa. Saya tahu kelewatannya itu memang disengajakannya.

Saya tercari-cari kelibat Hasniah di tengah-tengah orang ramai itu. Tetapi saya hampa. Dia sudah menghilang entah di mana.
"Engkau cari sapa..??" tanya abang saya setelah melihat saya tercangak-cangak dalam remang senja.
"Engkau nampak mata air lawa, ye..??" usiknya nakal.
"Eh, tak adalah"

Sepanjang jalan dari Stesen Bas Kota Bharu menuju ke Rumah Pangsa di Jalan Bayam itu, kami berdua menaiki beca. Itulah pengalaman pertama saya menaiki beca. Rasa janggal sahaja rasanya. Mujur kami berdua ketika itu bertubuh kurus melidi. Mudah sahaja pengayuh beca itu membawa kami berdua ke destinasi kami. Jika dengan saiz tubuh sekarang, pasti pengayuh beca itu sudah tersungkur kepenatan di tepi jalan. Maklum sahajalah, berat badan kami sekarang masing-masing sudah melepasi 80kg!!!.

Abang saya sibuk berceloteh itu dan ini, seolah-olah dia tahu semua perkara tentang Kota Bharu itu. Sepanjang jalan, saya lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Bayangan wajah Hasniah masih lagi terpahat di dalam ingatan.
"Jauhkah Pasir Mas dengan tempat ni..?" tiba-tiba saya bertanya pada abang saya.
Abang saya terlongo. Kemudian tersenyum.
"Jauh tu tak jauh sangatlah..... Kenapa tiba-tiba tanya pasal Pasir Mas ni?" tanya abang saya.
"Errrr... tak ada apa-apa" dalih saya.
"Aku tengok engkau sekarang dah makin gemuk.." abang saya mengomen bentuk tubuh saya.
Tiba di Rumah Pangsa Jalan Bayam, orang sudah melaungkan azan Maghrib. Saya masuk ke rumah kecil yang mempunyai dua bilik dan berdinding dengan batu blok yang agak besar sebagai bahan binaan utamanya menjadikannya kelihatan hodoh dan timbul walaupun telah disapu dengan cat yang tebal. Dua orang rakan serumah abang saya segera menghulurkan tangan bersalaman dengan saya. Kudin dan Fadil. Itulah nama mereka berdua.

Mereka kemudiannya menunjukkan saya arah ke bilik air melalui ruang dapur. Di sinki kelihatan beberapa biji gelas bergelimpangan dan sudah ditumbuhi kulat hijau pula. Nampak sangat penghuni rumah itu tidak menitik-beratkan soal kebersihan.
"Engkau rehat-rehat dulu. Lepas Isyak nanti, kita turun makan malam sama-sama" kata abang saya. Maghrib sudah hampir ke penghujungnya. Namun abang saya dan rakan-rakan serumah masih terus leka menonton kaca television.

Waktu makan malam, hanya saya dan abang saya sahaja turun ke kedai. Kudin leka bermain permainan komputer di biliknya. Manakala Fadil pula menghadiri kelas yang bermula jam 9.00 malam. Kelas apa yang mula jam 9.00 malam?, fikir saya. Jika di ITM, kelas yang paling lewat hanya bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir dua jam kemudian. Itupun hanya kelas gantian. Jarang-jarang diadakan pun sepanjang semester berlangsung.

Sewaktu makan malam, fikiran saya tidak putus-putus mengenangi Hasniah.
"Kita sudah sedekat ini, Niah. Apakah akan ada kesempatan kita untuk bertemu..." hati saya berkata-kata.
"Niah..."
Abang saya masih tidak putus-putus berbicara. Tentang rakan sekelasnya. Tentang kehidupan orang di Kelantan. Tentang perjalanannya ke Tumpat dan Kuala Terengganu. Sedang nasi di pinggannya hanya dikuis-kuisnya sahaja.
"Yang engkau terkuis-kuis nasi tu, apa hal? Tak nak makan ke nasi tu..??" tanya saya.
"Entah. Sejak engkau datang ni, hilang selera aku nak makan" jawabnya.

Tanpa tangguh, saya terus menarik pinggannya dan makan nasinya itu dengan berselera. Sekali lagi abang saya terlongo melihat kelakuan saya. Kemudian dia senyum mengulum.

Keesokan paginya saya terjaga jam 8.30 pagi. Mungkin akibat keletihan ditambahi pula tiada sesiapa yang mengambil kisah untuk mengejutkan tidur saya membuatkan saya terlepas Solat Subuh pagi itu. Abang saya dan rakan-rakan serumahnya menghilang entah ke mana. Ke kelas barangkali. Selepas bersarapan pagi, saya menghabiskan masa dengan membaca buku-buku cerita yang banyak terdapat di rumah itu sambil mendengar Radio Malaysia Kelantan.
"***Untuk tidak menghampakan permintaan Norliza di Ketereh, saya putarkan lagu permintaannya. Lagu yang sedang hangat di Radio Malaysia Kelantan sekarang ni iaitu lagu dendangan Rahmat, Siapa Di hatimu.." kata juruhebah itu di dalam loghat Kelantan yang pekat.

Beberapa saat kemudian, bait-bait puitis lagu itu mengisi ruang kecil bilik tempat saya bernaung ketika itu. Bait-bait lagu itu membuatkan saya terawang-awangan mengenangi Hasniah dan kenangan kami. Suara Rahmat yang mendayu-dayu, membuatkan mata saya berpasir. Airmata seperti berlumba-lumba jatuh dari empangan. Sekuatnya saya tahan kerana orang lelaki tidak boleh menangis. Lelaki harus kuat dan tidak kalah dengan perasaan, kata hati saya membohongi apa yang sarat terkandung di dalamnya.

Entah apa majalnya, lagu itu diputarkan hampir sepuluh kali dalam sehari. Tinggal sendirian di rumah yang sunyi sepi itu membuat jiwa saya lebih panasaran. Untuk menghilangkan kebosanan, saya cuba berbual-bual dengan lelaki separuh umur yang tinggal berjiran dengan abang saya. Mendengar kisah dan pengalamannya yang beristerikan perempuan dari Chieng Mai di utara Thailand.

Jika kerunsingan semakin menyesak di dada, saya akan setia duduk berlama-lama di Stesen Bas dengan harapan saya akan bertemu dengan Hasniah. Namun penantian saya tetap hampa.

"Apo kono e Jang, ekau monong ajo. Orang ke bulan, ekau di mano..." terdengar abang saya menyanyi di dapur.

"Sampai bila nak jadi macam ni..?" tanya abang saya.
"Macam mana apa..??" tanya saya pura pura tidak tahu hujung pangkal seraya menyembunyikan debar hati saya. Cuba berdalih.
"Engkau ingat aku tak tahu yang engkau putus kasih dengan budak perempuan dari Pasir Mas tu..??" tebak abang saya.

Haahhhhhh..?? Mana dia tahu..?????

Bersambung