Tuesday, April 29, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn Terakhir)


Kini genap sudah 9 bulan usia kandungan Aminah. Di dalam meniti hari-hari menjelang kelahiran itu, Aminah tidak berupaya menangkis ingatannya terhadap Abdullah. Ingatan itu datang umpama bayu. Lembut menyapa dan dingin. Kemudian menghiris halus tangkai hatinya sehingga membesar menjadi sebak dan akhirnya pecah sebuah tangisan. Namun hanya kepada Allah sahaja tempatnya mengadu agar diberikan kekuatan dan ketabahan untuk dia terus menempuh hidup tanpa Abdullah di sisi.

Kota Mekkah di malam itu sunyi. Angin dingin kembali bertiup hingga ke pedalaman Taif. Di siang harinya cuaca tidak seterik musim-musim yang lain. Musim kali ini sangat nyaman dengan tanaman tamar menjadi dengan melimpah ruah. Sejak hancurnya bala tentera bergajah dua bulan yang lepas, Kota Mekkah itu Aminah lihat semakin bertambah makmur dengan pertambahan jumlah kedatangan pedagang-pedagang dari seluruh pelusuk benua. Mengingatkan peristiwa Mekkah diserang oleh bala tentera bergajah itu memang ngeri. Serasakan bagai nyawa di hujung tanduk. Aminah sendiri telah dibawa oleh iparnya, Al-Abbas bersembunyi di sebalik bukit di barat Kaabah. Mereka kira bernasib baik kerana datangnya pertolongan dari Allah.

Berulang-ulang kali Aminah menyebut nama Allah. Mengucapkan sepenuh kesyukuran ke hadratNya yang masih memberi nikmat kehidupan buat Aminah dan anaknya. Aminah mendongak ke langit memandang taburan bintang di lukisan alam itu. Cantik!!, desah hatinya. Tiba-tiba hatinya berdebar-debar. Sudah seminggu setiapkali bangun sedari tidur, Aminah mendengar suara panggilan. Panggilan yang tidak Aminah mengerti akan maksudnya. Panggilan tentang anaknya bakal menjadi penghulu sekelian alam.
“Wahai Aminah. Bergembiralah olehmu. Sesungguhnya engkau sedang membawa kekasih Allah di dalam rahimmu. Dialah sebaik-baik manusia dan dialah kekasih Allah. Dialah penghulu sekelian alam. Lahirnya membawa rahmat. Datangnya bersama kebenaran dan menghapuskan segala kebatilan. Dia yang bernama Muhammad!!”


Malam 12 Rabiul awal. Setelah 2 bulan peristiwa kehancuran tentera bergajah, Aminah mula menunjukkan tanda-tanda kelahiran. Aminah cemas. Dia hanya bersendirian di rumah. Entah kenapa petang tadinya, Barakah Al-Habshiyyah (Umm Aiman) telah disuruhnya bermalam di rumah Abdul Mutalib. Ini kerana perjumpaan pemuka-pemuka Quraisy telah dipersepakati diadakan di rumah Abdul Mutalib. Aminah semakin cemas apabila dia merasakan anak dalam kandungannya itu semakin turun ke saluran peranakan.

Nun di atas langit sebutir bintang menyinari dinihari. Cahayanya semakin lama semakin membesar menyinari Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Oleh kerana bintang itu bersinar memancar di waktu seisi alam sedang nyenyak dibuai mimpi, hanya segelintir sahaja manusia yang sempat melihat keindahan sinaran bintang yang luar biasa itu.

Aminah sempat menjerang air panas. Sesudah itu dia berbaring di atas pembaringan bersedia untuk satu kelahiran. Hatinya cemas kerana dia bersendirian. Lidahnya tidak putus-putus menyeru pertolongan dari Allah S.W.T. Merayu agar kelahiran ini dipermudahkan.

Di saat subuh yang hening itu, rumah Aminah terang benderang disinari cahaya. Di hadapan Aminah menjelma dua orang wanita cantik lengkap berpakaian seperti wanita di zaman lampau.
“Siapakah puan-puan berdua ini? Bagaimana puan-puan berdua boleh berada di dalam rumah hamba?” tanya Aminah di pembaringannya.
Kedua-dua wanita itu memandang Aminah dengan pandangan yang terharu.
“Jangan takut atau gusar wahai Aminah. Kami berdua hanya hamba Allah yang diutus olehNya membantu tuan hamba bagi menyambut kedatangan penghulu sekelian alam ini. Ketahuilah olehmu wahai Aminah, namaku adalah Asiah, isteri kepada Firaun dan ibu jagaan kepada saudara anakmu ini iaitu Musa putera Imran” kata wanita pertama yang memperkenalkan dirinya sebagai Asiah.
“Nama hamba pula ialah Maryam binti Imran, ibu kepada saudara anakmu ini yang bernama Isa putera Maryam. Bertenanglah olehmu wahai Aminah” kata Siti Maryam sambil tersenyum. Senyuman kedua-dua wanita itu berjaya meredakan rusuh di dalam hati Aminah.

Sambil bertugas merawat Aminah itu, mereka berbicara akan segala khabar gembira tentang janji Allah terhadap anak itu. Aminah berbahagia mendengar. Di saat anak itu keluar dari perutnya, Aminah langsung tidak merasa sakit. Tetapi beribu-ribu batu di barat, istana Rom bergegar. Retak tiang dan lantainya. Gempar. Di Timur juga gempar. Runtuh istana Parsi. Api nyalaan pendita Majusi yang ditunggui dan dijagai selama beribu-ribu tahun tiba-tiba padam.

Sewaktu Siti Asiah meletakkan bayi itu di sisi Aminah, Aminah mendapati bahawa tidak terdapat setitik darah pun di tubuh anaknya. Rambutnya siap berminyak. Bercelak pula matanya. Dan bayi itu telah siap berkhatan. Lahirnya dalam keadaan suci bersih. Lengkap dengan bauan kasturi. Mekar mewangi mengharumi subuh 12 Rabiul Awal Tahun Gajah. Kedua-dua wanita yang datang membidani Aminah itu kemudiannya hilang bersama naiknya mentari pagi.

Sampai sahaja Barakah di rumah tuannya itu, alangkah terperanjatnya Barakah apabila mendapati puannya itu telah selamat melahirkan anak.
“Puan, maafkan saya kerana meninggalkan puan bersalin bersendirian” kata Barakah di dalam linangan airmata. Dipangkunya bayi itu. Hati Barakah melimpah dengan kasih sayang. Mirip wajah tuan kesayangannya, Abdullah.
“Barakah…. Pergilah kamu kepada Tuan Abdul Mutalib itu. Katakan kepadanya, hamba selamat melahirkan cucunya!!” kata Aminah.

Barakah mengangguk sambil menyapu airmatanya. Dia kemudian tergesa-gesa keluar menuju ke rumah Abdul Mutalib.
“Tuan… tuan..!!” teriak Barakah. Mendengarkan teriakan Barakah itu hati Abdul Mutalib terus berdebar-debar.
“Kenapa Barakah?” tanya Abdul Mutalib kepucatan. Kaget.
“Aminah….!!” Kata Barakah dalam nafas turun naik.
“Kenapa dengan Aminah??” Abdul Mutalib tidak sabar.
“Aminah telah selamat melahirkan seorang putera!!”
“Putera? Alhamdulillah…. Syukur ya Allah!!” kata Abdul Mutalib sambil mengangkat tangan ke langit. Dia kemudian meluru keluar rumah tergesa-gesa ke rumah Aminah.

“Kenapa Tuan Abdul Mutalib itu, Barakah? Nampak begitu tergesa-gesa sekali..?” tanya Thuwaiybah kepada Barakah. Thuwaiybah adalah hamba kepada Abdul Uzza (Abu Lahab).
“Abdul Mutalib tergesa-gesa ke rumah Aminah. Dia pengin melihat cucunya. Aminah sudah selamat berputerakan seorang anak laki-laki” jawab Barakah sambil tersenyum.
“Betulkah berita ini Barakah?” tanya Thuwaiybah terloncat kesukaan.
“Benar!!”
“Kalau begitu, biarlah aku pulang mengkhabarkan berita ini kepada Abdul Uzza. Dia pasti gembira” kata Thuwaiybah sebelum tergesa-gesa juga keluar. Terlongo Barakah melihat tingkah Thuwaiybah itu. Tapi kemudiannya dia tersenyum. Tuah anak ini!!! Kata hatinya.

“Tuan Abdul Uzza, Tuan Abdul Uzza!!!” teriak Thuwaiybah.
“Kenapa Thuwaiybah, kamu cemas begini?” tanya Abdul Uzza dengan terperanjat.
“Abdullah sekarang mempunyai seorang putera. Aminah selamat bersalin. Tuan sekarang sudah punya seorang anak saudara!!”
“Benarkah perkhabaran ini Thuwaiybah?”. Thuwaiybah mengangguk.
“Ohhh.. gembiranya aku hari ini. Aku sangat gembira!!!!” kata Abdul Uzza hampir kehilangan kata-kata.
“Aku gembira!! Aku gembira!! Mulai dari hari ini aku merdekakan engkau wahai Thuwaiybah kerana membawa perkhabaran gembira ini!!” kata Abdul Uzza dengan terharu. Gambaran wajah adik kesayangannya Abdullah bagaikan menari-nari di ruangan matanya.

Abdul Mutalib memangku cucunya. Hatinya bagaikan ingin pecah. Sayang, sedih, gembira, terharu, syukur bercampur baur sehingga menerbitkan sebuah perasaan yang sukar dimengertikan. Sekelian ahli keluarga sudah berkampung di rumah Aminah bagi meraikan kedatangan orang baru dalam keluarga mereka. Abdul Mutalib mendakap cucunya erat. Langsung dibawanya dengan segera menuju ke Kaabah. Abdul Mutalib lantas bertawaf sambil mendakap cucunya.
“Waahhh… Tuan sudah memperolehi cucu. Cantik cucu tuan ini. Siapakah namanya?” tanya pemuka-pemuka Quraisy itu.
“Errr… namanya? Namanya ialah… ialah…” Abdul Mutalib tercari-cari nama yang sesuai. Semua orang memandang tepat ke wajah Abdul Mutalib.
“Hamba namakan cucu hamba ini dengan nama MUHAMMAD!!”

Muhammad..??? Sekelian terlongo. Ini kerana belum ada lagi manusia di Jazirah Tanah Arab itu yang bernama Muhammad. Aminah tersenyum. Benarlah kata-kata suara panggilan yang didengarinya sebelum dia melahirkan anaknya bahawa anaknya itu akan dinamakan dengan nama Muhammad.

Muhammad. Bermaksud yang terpuji. Di kalangan penduduk di bumi, dia masyhur sebagai Muhammad. Di kalangan penduduk di langit, dia masyhur sebagai Ahmad. Dia kekasih Allah. Tidak diutuskan Muhammad itu selain daripada menyempurnakan akhlak yang mulia. Wallahua’lam.



(Tamat)


Indera : Akhirnya berjaya juga saya menghabiskan penulisan Sirah Mawlid ini. Perjalanan Sirah An-Nabawiyyah ini sebenarnya masih jauh menelusuri kisah suka duka perjuangan kekasih saya yang bernama Muhammad putera Abdullah ini. Semoga penulisan ini dapat memberi sekelumit sumbangsih buat perjuangan Islam. Siapalah saya… hanya seorang penulis kerdil. Saya merinduinya. Ingin sekali bertemu dengannya. Jika tidak dapat berbicara sekalipun, memadailah jika saya diberi peluang menatap wajahnya…

Friday, April 18, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn 5)


Sudah dua bulan Abdullah pergi. Ini bermakna sudah dua bulan keluarga Bani Hashim berkabung menangisi pemergiannya. Sekarang sudah masuk bulan Ramadhan. Bulan yang panas. Matahari yang memancar tegak di kepala bagaikan tanpa belas kasihan membakar kulit sesiapa sahaja yang mendiami bumi kontang itu. Debu-debu pasir berputaran naik ke ruang angkasa membikin langit petang di Kota Mekkah itu kehilangan warna kebiruannya. Berganti dengan warna jingga kecoklatan.

Ya, keluarga Bani Hashim itu masih lagi bersedih. Namun apakah daya mereka. Sudah hukum Allah bahawa Abdullah pergi meninggalkan mereka dalam usia muda. Yang pergi itu biarkanlah pergi. Hanya doa yang dapat dititipkan agar rohnya bersemadi dengan tenang. Buat mereka yang masih berhuni di dunia ini, hidup mesti diteruskan. Apatah lagi bagi Aminah yang sedang membawa satu nyawa di dalam rahimnya. Sedih bagaimana sekali pun, Aminah sedar bahawa dia harus tabah demi kesejahteraan anaknya yang akan lahir beberapa bulan lagi.

Abdullah pergi tanpa meninggalkan harta yang melimpah ruah. Hanya meninggalkan rumah kediaman tempat Aminah berteduh. Beberapa keping wang dinar, tiga ekor unta dan seorang hamba perempuan iaitu Barakah Al-Habshiyyah. Cuma itu sahaja yang ditinggalkan. Tetapi bagi Aminah, semua itu lebih kepada tanda kenangan. Kenangan yang ditinggalkan oleh Abdullah untuknya. Tidak tergamak di hatinya untuk menjual harta peninggalan itu.

Aminah tunduk meneliti perutnya yang semakin membesar. Usia kandungannya sudah hampir masuk bulan yang kelima. Namun tubuh badannya terasa sangat cergas. Tidak seperti kebanyakan wanita mengandung lain yang cepat keletihan dan mengalami alahan. Aminah merasakan kandungannya seumpama kapas. Tersangat ringan dan mudah. Harapannya pun begitu juga. Mudah-mudahan anaknya ini akan menjadi seorang anak yang mudah dan senang dipelihara.

Pandangan Aminah beralih ke dada langit. Melihat kawanan burung terbang melayang menuju ke arah selatan….

Di selatan, di Negeri Yamen itu semua orang tahu. Raja yang barusan menduduki tahta negeri itu telah siap membina sebuah rumah ibadat. Besarnya tidak terkata. Tingginya gah berdiri. Diberi nama Al-Qalis. Kepada semua penduduk Yamen itu, Abrahah – bekas gabenor yang dilantik oleh Raja Habsyah bagi mentadbir Negeri Yamen kemudiannya memberontak mengisytiharkan dirinya menjadi raja di Yamen itu telah mengeluarkan titah agar penduduk Yamen tidak lagi mengunjungi Baitullah di Mekkah.

Abrahah tidak pula mengenakan hukuman kepada sesiapa yang mengunjungi Baitullah tetapi baginda akan memberikan ganjaran istimewa kepada mereka yang setia bertamu ke Al-Qalis. Abrahah mahu Al-Qalis menjadi tempat ibadat termasyhur yang mampu menarik perhatian sesiapa sahaja di genap pelusuk dunia ini khususnya dari kalangan pedagang-pedagang. Biar masyhur Al-Qalis. Biar masyhur Kota Sanaa. Abrahah juga mampu mencipta sejarah. Sebagai pembina bangunan ibadat yang jauh lebih hebat daripada bangunan bersegi empat tepat di Kota Mekkah itu.
Al-Qalis itu dihiasi indah. Tiang-tiangnya bersadur emas. Lampunya bertatahkan permata maknikam yang dibawa dari sejauh Negeri China. Ukiran dan mutu buatannya mengagumkan sesiapa sahaja. Tetapi entah kenapa, seakan tiada hubungan antara Tuhan dan Manusia sewaktu melangkah masuk ke dalamnya.

Setelah mengunjungi Al-Qalis itu beberapa kali, kesemua berpendapat bahawa Al-Qalis itu sekali-kali tidak akan dapat menandingi kehebatan Baitullahil Haram di Kota Mekkah. Setiap ibadat yang dilakukan di hadapan Kaabah seperti mendekatkan diri dengan Tuhan. Segala hajat yang dilontarkan, sentiasa disambut dan dikurniakan oleh Allah tanpa menunggu masa yang lama. Istimewanya dilengkapi dengan mata air Zamzam yang terpancar di sisinya dan Hajaral Aswad yang bersejarah.

Kehebatan binaan Al-Qalis bagaikan tersia. Abrahah hanya mampu melihat pengunjung Al-Qalis yang semakin hari semakin berkurangan. Timbul rasa cemburu di hati Abrahah. Jika dibiarkan lebih lama, akan hancurlah cita-citanya untuk menjadikan Kota Sanaa sebagai kota terulung di Semenanjung Tanah Arab itu.
“Hamba rasa, ada baiknya jika Tuanku mengarahkan tentera-tentera kita menyerang Kota Mekkah. Kita bunuh kesemua penduduknya. Kita robohkan Kaabah itu. Bila Kaabah dan Kota Mekkah sudah runtuh dan hilang tarikannya, barulah Sanaa dapat membangun dengan mudah. Ampun Tuanku” sembah Penasihat Diraja.

“Ya, sungguh baik cadangan kamu itu. Tetapi beta tidak setuju jika beta membunuh penduduk Kota Mekkah itu kerana mereka tiada salah dan silapnya kepada beta. Yang salahnya hanyalah Kaabah. Kaabah itu!!” kata Abrahah sambil mengepal tinjunya tanda terlalu geram pada Kaabah. Entah apa istimewanya bangunan itu aku sendiri pun tidak tahu!!, hati Abrahah berkata-kata.

“Ketua Panglima!!” seru Abrahah
“Patik, Tuanku…!!!” datang merafak sembah.
“Kumpulkan bala tentera sejumlah 10,000 ketumbukan. Keluarkan gajah-gajah perang. Bersiap kita meruntuhkan Kaabah di Kota Mekkah itu!!” titah Abrahah.
“Titah Tuanku patik junjung!!” sahut Ketua Panglima Perang.

Gempar Kota Sanaa. Gempar Negeri Yamen. Rakyat jelata hangat membicarakan tentang raja mereka yang kemaruk merobohkan binaan yang telah dibina oleh Nabi Allah Ibrahim A.S. itu. Namun tidak seorang pun di antara mereka yang berani mendatangkan sembah menghalang usaha raja itu. Mereka hanya mampu melihat bala tentera bergajah yang tersusun rapi bergerak pantas ke utara menuju ke Kota Mekkah.

Di Mekkah pula, Abdul Mutalib tersentak. Terkejut menerima perutusan yang dikirimkan oleh Umar Umaiyyah yang bermastautin di Kota Sanaa menyatakan tentera Abrahah akan tiba di Kota Mekkah sedikit masa lagi bagi meruntuhkan Kaabah. Bersegera Abdul Mutalib mengadakan persidangan tergempar dengan pemuka-pemuka Quraisy.
“Hamba cadangkan agar kita bersiap sedia dengan tentera kita untuk menghalang kemaraan tentera Abrahah itu. Tentera dan pemuda kita juga tidak kurang hebatnya” cadang Mut’im ibn A’di.
“Cadangan tuan hamba itu tidak berasas. Pemuda di Kota Mekkah ini hanyalah berjumlah tidak sampai 1000 orang. Bagaimana kita dapat menghalang tentera Abrahah yang berjumlah 10,000 lengkap bergajah itu? Itu hanyalah dinamakan bunuh diri, tahu tak?” jerkah Harb ibn Umayyah yang terkenal dengan panas barannya itu.

“Beginilah. Hamba usulkan, beberapa orang di antara kita pergi mengadap raja itu. Minta belas kasihannya agar tidak merobohkan Kaabah. Jika ada belas kasihannya, kita tidak rugi apa-apa kerana hajatnya datang ke mari bukanlah untuk menyerang kita. Tetapi hanya untuk merobohkan Kaabah. Jika raja itu tetap berdegil juga, tiada apa yang dapat kita lakukan selain daripada berdoa ke hadrat Allah sahaja” cadang Hisham ibn Sahl.

Kesemua bersetuju. Abdul Mutalib akan bertindak sebagai ketua delegasi yang akan mengadap Abrahah.

Jika di Sanaa, penduduk kota itu gempar bercampur kehairanan, di Kota Mekkah pula penduduknya turut gempar bercampur ketakutan melihat 10,000 ketumbukan tentera lengkap bergajah itu. Cemas dengan itu, mereka kemudiannya lari membawa keluarga menyembunyikan diri di celah-celah bukit di luar Kota Mekkah.

Tentera Abrahah berhenti melepaskan lelah di atas bukit di luar Kota Mekkah. Ketika itu Abdul Mutalib dan pemuka-pemuka Quraisy yang dipilih datang memujuk Abrahah agar membatalkan hasratnya itu.
“Janganlah Tuanku merobohkan Kaabah itu. Ianya telah ada sejak dari zaman nenek moyang kami lagi. Kaabah itu sangat bererti bagi kami” jelas Abdul Mutalib.
“Hai Abdul Mutalib. Siapa kamu untuk menghalang niat beta ini. Kamu sudah kira beruntung sebab beta tidak akan membunuh walau satu nyawa pun di Kota Mekkah ini. Tetapi kalau kamu berani menghalang niat beta, beta tidak akan teragak-agak berbuat demikian.

Abdul Mutalib menghela nafas panjang. Rundingan itu menemui jalan buntu apabila Raja Yamen itu tetap berkeras hati untuk meruntuhkan Kaabah yang mulia itu.
“Pergilah kamu berlindung di sebalik bukit sana. Bimbang jika kamu menjadi mangsa serangan tentera beta pula nanti” kata Abrahah sambil ketawa disertai oleh panglima-panglimanya.

Sebelum melangkah keluar dari khemah itu, Abdul Mutalib berhenti dan kemudian berpaling wajah ke arah raja itu.
“Jika Tuanku menyerang tanah patik, patiklah yang akan bermati-matian menghalang hasrat Tuanku itu. Kaabah ini mempunyai penjaganya. Penjaganyalah yang akan mempertahankannya!!” kata Abdul Mutalib sebelum melangkah ke arah untanya dan terus memacu laju ke arah perbukitan bagi mendapatkan perlindungan.

Gendang dipalu. Nafiri dibunyikan. Terlalu azamat bunyi memekakkan telinga menaikkan semangat tentera Abrahah agar terus mara memasuki Kota Mekkah. Hampir 5 batu sebelum memasuki Gerbang Kota Mekkah, tiba-tiba gendang dan nafiri terhenti berbunyi. Masing-masing kehairanan.

Rupa-rupanya, gajah keinderaan Abrahah yang bernama Mahmud itu tiba-tiba berhenti melangkah. Dia jatuh berteleku umpama sujud takutkan sesuatu. Puas disebat oleh gembalanya. Namun gajah itu tetap tidak mahu berganjak dari situ. Akhirnya gajah lain terpaksa digunakan untuk menggantikan Mahmud yang ketakutan.

Melihat Mahmud yang ketakutan itu, timbul gerun di hati Abrahah. Namun dikuatkan juga semangatnya. Dia memberi arahan agar tentera-tentera itu terus mara.

Tiada paluan gendang lagi kali ini. Tiada tiupan nafiri yang berbunyi. Yang ada hanya bunyi derapan sepatu tentera-tentera Abrahah yang angkuh semakin menghampiri Kota Mekkah. Sesekali keluar dengusan nafas gajah-gajah perang. Angin berhembus kencang mengeluarkan bunyi lolongan yang menyeramkan. Namun di dalam diri mereka, masing-masing sedar degupan jantung mereka semakin pantas. Bagaikan ada yang tidak kena.

Nun…. Di kaki langit tiba-tiba kelam. Ada awan hitam bergerak laju. Laju dan laju menghampiri mereka. Bukan awan!! Bukan awan!! BURUNG!!!!!

Ratusan ribu Burung Ababil berterbangan menjatuhkan anak-anak batu. Bukan batu sebarangan batu. Batu kecil bakaran kawah berapi. Panas!!! Panas!!!. Allah sedang mempertahankan rumahNya. Masya-Allah. Subhanallah.

Setiap batang tubuh yang terkena batu itu terus berlubang dan mencair. Dahsyat. Tentera Abrahah tenggelam punca. Bertempiran melarikan diri mencari perlindungan. Kucar kacir. Ketakutan teramat sangat. Umpama orang yang hilang akal. Ibarat ikan tercungap-cungap di atas daratan. Abrahah sendiri terkena lontaran batu itu. Namun dia diberi peluang oleh Allah untuk pulang ke Yamen dalam keadaan cedera parah dan terus meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Sanaa. Meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan. Balasan bagi meraka yang angkuh dan enggan tunduk kepada yang Maha Pencipta.

Peristiwa ini dirakamkan di dalam Al-Quran iaitu pada Surah Al-Fil
“Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Tidakkah kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu berbuat ke atas orang-orang bergajah?. Tidakkah Dia membuat muslihat mereka kepada kesesatan?. Dan Dia yang mengutuskan kepada meraka itu burung-burung yang berduyun-duyun. Dengan membalingkan kepada mereka daripada tanah liat yang dibakar. Dan Dia yang membuatkan mereka seperti daun yang dibakar”

(Bersambung…)

Thursday, April 10, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn 4)

Setelah ditetapkan tarikh yang sesuai, maka kedua-dua belah pihak daripada suku Bani Hashim dan juga Bani Zuhrah bersetuju bahawa pernikahan di antara Abdullah dengan Aminah diadakan secara sederhana dengan menjemput keseluruhan penduduk Kota Mekkah untuk turut meraikan kedua mempelai.

Memang mereka pasangan yang secocok. Kedua-duanya memiliki akhlak yang terpuji. Kedua-dua suami isteri itu juga langsung tidak mempercayai khurafat berhala-berhala yang banyak terdapat di sekitar kawasan Kaabah. Mereka hanya berpegang pada ajaran yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim. Bagi Abdul Mutalib dan anak-anaknya, kehadiran Aminah sebagai anggota keluarga yang baru seolah-olah menyemarakkan lagi kebahagiaan mereka sekeluarga.

Setelah beberapa ketika, Aminah disahkan mengandung. Sudah sebulan setengah!!! Alangkah gembiranya ahli keluarga Bani Hashim. Mereka bakal menerima kedatangan orang baru dalam keluarga mereka. Tidak terucap kegembiraannya.
“Kanda sudah membuat keputusan. Kanda akan ke Syam membawa barang dagangan Pakcik Huyay ke sana. Kalau ada rezeki kita, dapatlah kita mengumpulkan wang bagi perbelanjaan menyambut kelahiran anak kita kelak” kata Abdullah kepada Aminah sewaktu dia menerangkan hal sebenar tujuan dia hendak ke Syam itu.
“Berapa lamakah kanda akan berada di sana?” tanya Aminah. Bimbang bercampur resah.
“Hmmmm… lebih kurang 6 bulan sahaja”

Aminah kelu untuk berkata-kata. Jantungnya seakan terhenti sewaktu dia menerima berita bahawa Abdullah akan berangkat jauh ke utara untuk berdagang di Syam. Perihal berdagang di Syam itu bukanlah merupakan perkara asing bagi lelaki di dalam masyarakat Quraisy itu. Tetapi entah mengapa, hatinya tiba-tiba dipagut pilu. Sayu. Bimbang melepaskan Abdullah pergi. Seolah-olah pemergiannya nanti tidak akan pulang-pulang lagi.

Aminah merenung jauh di luar jendela. Memerhatikan kanak-kanak berlari di bawah pepohonan tamar. Angin bertiup kencang dengan debu halus mencuri masuk ke dalam rumah melalui ruang yang terbuka. Cuba membayangkan gambaran rupa paras anak yang sedang dikandungnya. Tertanya-tanya samada anaknya kelak bisa seperti kanak-kanak yang sedang keriangan berlarian di hadapan rumahnya itu ataupun nasib anaknya bakalan tidak menentu. Hanya yang mampu dilakukannya hanyalah berdoa ke hadrat Allah agar anak yang dikandungnya itu akan menjadi insan yang berguna.
“Apa yang dinda menungkan itu?” tegur Abdullah.
“Errr… tak ada apa-apa” kata Aminah cemas apabila melihat Abdullah menghampirinya di jendela. Cuba menyembunyikan aliran sungai di matanya.
“Dinda menangis?” tanya Abdullah.
“Tak… debu pasir masuk ke mata dinda” dalih Aminah.

Abdullah tahu benar. Memang Aminah sedang berduka lara atas keberangkatannya. Aminah kemudiannya dirangkul ke dalam dakapannya. Esakan Aminah meletus jua di saat itu.
“Jangan bimbang. Kanda takkan apa-apa. Lagi pun Barakah (Umm Aiman) bukankah akan bersama-sama kanda” kata Abdullah mencuit pipi Aminah.
Aminah tersenyum. Dia pasrah. Hatinya memaksa agar menceritakan mimpinya kepada Abdullah. Tetapi masih terlalu awal. Baru sebulan setengah usia kandungannya..

Semalam dia bermimpi melihat bulan mengambang penuh. Cahaya bulan itu sungguh luar biasa. Sinarnya melebihi sinar sang suria. Terang menyuluh kegelapan malam yang pekat. Sinarnya memancar jauh ke pelusuk alam. Bulan itu kemudiannya semakin turun menghampirinya. Semakin lama semakin dekat. Akhirnya terus masuk ke dalam perut Aminah. Aneh benar mimpi itu. Apakah agaknya takwil mimpiku itu?, hati Aminah tertanya-tanya.

Abdullah berangkat jua. Membawa dagangan milik Huyay ibn Amr, bapa saudara dari sebelah ibunya untuk diniagakan di Syam. Selain daripadanya turut serta puluhan lelaki Quraisy yang mempunyai pengalaman yang luas dalam urusniaga. Mereka itu sudah biasa dengan laluan Syam dan Yamen itu. Bagi Abdullah, inilah masanya untuk dia mengaut segala pengalaman daripada pengembaraan yang jauh itu. Mudah-mudahan pencariaan rezeki ini akan dipermudahkan oleh Allah.

Matanya tidak lepas memandang Aminah yang melambainya dari jendela rumah. Sehingga Aminah hilang dari matanya, barulah hatinya bulat dan tekad. Perjalanan ini harus ditempuhinya jua. Tidak selama-lamanya dia harus bergantung hidup pada kekayaan bapanya. Dia harus berdikari. Demi Aminah dan anak mereka yang bakalan lahir nanti. Sekali sekala, dia menoleh ke arah Barakah, hamba perempuan yang selalu menemaninya. Setia dan sedia menyediakan segala kelengkapannya. Tubuh Barakah terhenggut-henggut mengikut gerak langkah unta yang membawanya. Sinar matanya lesu sambil wajahnya ditutupi dengan selendang berwarna hitam.

Sewaktu kafilah itu mendekati Kota Yathrib, Abdullah seakan dipanggil-panggil untuk berhenti singgah. Teringat dia pada sanak saudara di sebelah bapanya dari suku Bani Najjar yang telah lama mendiami kota itu. Alangkah lamanya Abdullah tidak bersua muka. Rindu rasa di hati.
“Tidak. Tidak boleh Abdullah. Barang dagangan ini harus segera diniagakan di Syam. Hamba bimbang lebih banyak masa yang dibazirkan akan menyebabkan kita kerugian di Syam nanti. Hamba cadangkan jika tuan hamba ingin berhenti di Yathrib itu, ada baiknya jika tuan hamba berbuat demikian sebaik perjalanan kita pulang ke Mekkah nanti” kata ketua kafilah itu apabila Abdullah menyuarakan hasrat hatinya untuk singgah sebentar di Kota Yathrib itu.

Akhirnya mereka tiba di Syam. Jualan sungguh menggalakkan. Segala barangan yang terdapat di segenap ceruk dunia, semuanya ada dijual di Syam. Sungguhlah kedudukan Syam di tengah-tengah Laluan Sutera ke China itu sangat strategik. Mereka memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda.

Cuma Syam itu sangat sejuk. Angin dingin dari Pergunungan Alps di Eropah yang berhembus laju ke Semenanjung Tanah Arab itu benar-benar mencabar kekuatan fizikal Abdullah. Dia mula terbatuk-batuk.

Sewaktu barangan dagangan dikemaskan, Abdullah merasakan badannya seram sejuk. Rasa seperti hampir pitam. Perubahan mukanya kepada pucat itu dikesani oleh Barakah.
“Tuan tak apa-apa?”
“Tidak, hamba baik-baik sahaja. Lekas kita kemaskan barangan kita untuk kita berangkat pulang” kata Abdullah.

Kesihatan Abdullah terus merosot. Suhu badannya naik tinggi. Puas beberapa kali didemah oleh Barakah, namun semua itu sia-sia belaka. Beberapa kali juga Abdullah mengalami keracauan akibat suhu badannya yang tinggi namun tiada apa yang mampu dilakukan olehnya. Di dalam kafilah itu tidak ada seorang pun tabib di kalangan mereka.
“Barakah, bilang sama ketua kafilah, hamba mahu berhenti di Yathrib. Suruh mereka teruskan perjalanan ke Mekkah”

Abdullah dan Barakah beserta dengan hasil dagangan milik Huyay ibn Amr mematah haluan ke Yathrib. Abdullah mengidap demam panas. Di rumah ibu saudaranya dari suku Bani Najjar itu dia menumpang teduh seketika.

Sangka Barakah, setiba di Yathrib itu demam panas Abdullah akan berkurangan. Namun sebaliknya bertambah tenat.
“Jaga Aminah dan anakku baik-baik…” pesan Abdullah. Barakah menangis. Dia tahu, tuan kesayangannya itu akan pergi mengadap tuhan bila-bila masa sahaja.

Pada bulan Rejab tahun itu, Abdullah mengembuskan nafasnya yang terakhir. Nafas yang mendewasakannya selama 25 tahun. Hanya airmata Barakah yang mengiringi pemergiannya. Abdullah dikebumikan di Yathrib, di perkuburan suku kaum Bani Najjar.

Barakah pulang ke Mekkah ditemani oleh beberapa lelaki dari suku kaum Bani Najjar. Menyampaikan berita sedih kepada seluruh ahli keluarga Bani Hashim. Abdul Mutalib terkalap. Gagal berkata apa-apa. Dia sendiri bagaikan dapat menjangkakan bahawa anak kesayangannya itu tidak akan dapat menemaninya ketika dia sendiri menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana anaknya sudah terlebih dahulu meninggalkannya. Dia memandang-mandang sekeliling. Kepada anak-anaknya yang termenung jauh menangisi pemergiaan Abdullah. Kemudian memandang kepada Aminah yang jatuh terjelepuk. Airmata Abdul Mutalib berlinangan mengenangkan cucunya yang bakal lahir itu tidak sempat melihat wajah ayahnya sendiri.

Abdul Mutalib berjanji pada dirinya sendiri. Berjanji benar-benar bahawa cucunya yang bakalan lahir dari perut Aminah itu akan menjadi permata hatinya. Hidup cucunya akan sentiasa dilimpahkan dengan sepenuh kasih sayang. Sekalipun hanya sekadar kasih sayang seorang nenda. Tiada siapa pun yang dapat datang di antara mereka berdua selain daripada Aminah, ibunya itu. Tiada siapa yang boleh melukakan hati cucunya. Ini mesti. Aku berjanji, Ya Allah!!!, bisik hati Abdul Mutalib.











(Bersambung)

Thursday, April 03, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn 3)

Tersentak Abdul Mutalib. Terperanjat dia dengan jerkahan itu. Seketika dia memandang ke mata pisau yang dipegangnya. Tidaklah mata pisau itu melainkan sudah terlalu hampir dengan batang tengkuk Abdullah.
“Berhenti Abdul Mutalib!!” sergah lelaki itu lagi. Dia adalah Harb ibn Umayyah. Bapa kepada Abu Sufyan ibn Harb dari Bani Abd Shams. Dia merupakan salah seorang daripada pemuka Quraisy yang sangat berpengaruh di Kota Mekkah itu. Bersama-samanya adalah Mut’im ibn ‘Adi dari Bani Nawfal dan juga Al-Aas ibn Wail.

Abdul Mutalib hanya memandang kosong Al-Aas ibn Wail yang meluru ke arahnya seraya membuang ikatan dari tubuh Abdullah. Sementara Abdullah pula bangun perlahan-lahan dan terus duduk memerhatikan ketiga-tiga pemuka Quraisy yang hadir itu.
“Tuan Abdul Mutalib!! Apa yang tuan cuba lakukan ni?” tanya Al-Aas ibn Wail.
“Hamba ingin membayar nazar hamba. Hamba telah bernazar di hadapan Al-Manat. Sekiranya hamba memperolehi 10 orang anak, salah seorang daripada anak hamba akan hamba sembelihkan di hadapan Lata dan Al-Uzza”
“Apakah tuan sudah gila?” tanya Harb ibn Umayyah dengan keras.
“Tidak. Hamba tidak gila kerana hamba hanya menuruti nazar hamba sahaja. Bukankah nazar itu sudah menjadi amalan dalam masyarakat kita?” jawab Abdul Mutalib.
“Benar. Tetapi tidakkah tuan hamba tahu bahawa perbuatan tuan hamba ini akan membawa bencana pada masyarakat kita di kemudian hari” kata Mut’im ibn ‘Adi.
“Hamba tidak faham maksud tuan hamba” kata Abdul Mutalib pula.

“Tuan. Cuba tuan fikirkan sejenak. Bagaimana sekiranya amalan tuan ini diikuti oleh masyarakat Quraisy ini. Maksud hamba, setiap kali bernazar bayarannya haruslah mengorbankan seorang anak?” kata Mut’im ibn ‘Adi lagi.
Abdul Mutalib terlongo.
“Hamba bimbang akan ramai anak-anak kita yang akan disembelih jika ibu bapa mereka menuruti tingkah laku tuan. Apakah itu yang tuan hamba inginkan dalam masyarakat kita?” kata Harb ibn Umayyah.
Abdul Mutalib terkalap. Gagal berfikir. Gagal berkata walau sepatah pun. Kata-kata pemuka Quraisy itu tersangat betul. Andai kata tindakannya diikuti oleh masyarakat Arab di Kota Mekkah itu, pastilah ramai anak-anak kecil dan remaja di kalangan mereka yang akan terkorban.
“Jadi, apakah yang harus hamba lakukan?” tanya Abdul Mutalib sambil memandang anaknya, Abdullah.
“Nazar ini mesti diteruskan juga. Jadi bagaimana?” tanya Abdul Mutalib meminta pandangan pemuka-pemuka Quraisy itu.
“Ya, nazar tetap nazar. Tetapi pasti ada cara lain untuk melunaskannya” kata Al-Aas ibn Wail sambil menepuk-nepuk bahu Abdullah. Mujur tidak disembelih budak ini, kata hatinya. Abdullah sekadar memandang kosong ke arah ayahnya tanpa berkata apa-apa.

“Hamba cadangkan agar kita berjumpa dengan pawang wanita yang duduk di pinggir kota ini. Boleh jadi dia ada cara supaya Abdul Mutalib dapat melunaskan nazarnya tanpa ada nyawa manusia yang melayang” kata Harb ibn Umayyah sambil tersenyum. Hilang sudah ketegangan di wajahnya.

Lalu mereka sepakat menemui pawang wanita yang tinggal di hujung jalan di pinggir Kota Mekkah itu. Rumah wanita itu kecil sahaja. Tetapi penuh dengan perca kain buruk dan kulit binatang. Tengkorak kambing terletak di atas meja sementara lantainya berdebu seperti mana tidak terurusnya wanita itu.

Setelah diceritakan kepada pawang wanita itu, perempuan itu kemudiannya merenung di dalam kitab tilikannya.
“Nazar Abdul Mutalib itu harus juga dilunaskan. Tetapi ianya mesti digantikan dengan menyembelih binatang ternakan iaitu unta kerana nyawa manusia ini harganya besar. Tuan Abdul Mutalib haruslah melakukan cabutan nama seperti mana sewaktu tuan memilih nama anak tuan tempoh hari. Masukkan perkataan unta di batang-batang damak yang akan dicabut. Masukkan juga nama Abdullah bersamanya. Sekiranya keluar perkataan UNTA, tuan mestilah membayarnya dengan bayaran 10 ekor unta. Lakukanlah berulang-ulang kali sehinggalah terkeluarnya nama ABDULLAH”.

Keesokkannya, di bawah rembang panas mentari pagi, penduduk Kota Mekkah berduyun-duyun keluar dari rumah menyaksikan upacara cabutan yang akan membayar nyawa Abdullah, pemuda kesayangan penduduk Kota Mekkah itu. Di hadapan Baitullah, pemuka-pemuka Quraisy berserta Abdul Mutalib dan juga Abdullah, ketua-ketua puak bersedia melakukan cabutan.

Tabung berisi damak-damak itu digoncang. Kemudian setiap seorang ketua puak dalam masyarakat Quraisy itu dipersilakan menarik sebatang damak keluar dari tabungnya.
“Unta!!” umum Hisham ibn Sahl dari Bani Makhzum.
Penduduk Kota Mekkah itu bersorak.

Tiba pula giliran Amr ibn Abd Malk dari Bani Jumah.
“Unta!!” umum Amr ibn Abd Malk. Penduduk Kota Mekkah bersorak lagi. Ini bermakna 20 ekor unta yang sudah pasti akan disembelih bagi menggantikan nilai nyawa Abdullah.

Sehinggalah cabutan ke 10, damak yang dicabut masih mempunyai perkataan unta. Seratus ekor unta terpaksa disembelih. Abdul Mutalib dan lain-lain pemuka Quraisy mengesat peluh yang memercik di dahi mereka. Kali ke-11, tabung itu digoncang, mereka mempersilakan Amir ibn Amr dari Bani Taim membuat cabutan. Setelah dicabut, Amir ibn Amr tersenyum lebar.
“Abdullah!!!!” umumnya.
HOOOORRRRRAAAYYYY….!!!!! Kali ini sorakan penduduk Mekkah jauh lebih lantang. Penduduk Kota Mekkah menari di hadapan Kaabah sambil memalu gendang menandakan saat penebusan nyawa Abdullah sudah berakhir.

Seratus ekor unta kemudiannya disembelih. Sesetengah riwayat menyatakan, daging korban itu diagih-agihkan kepada seluruh penduduk Kota Mekkah. Manakala sebahagian riwayat menyatakan bahawa unta-unta yang besar jumlahnya itu disembelih di luar Kota Mekkah dan dibiarkan di tengah-tengah padang pasir menjadi makanan binatang pemangsa sahaja kerana daging nazar haram dimakan menurut kepercayaan masyarakat Quraisy pada ketika itu.
Umur Abdullah ketika itu sudah menginjak 24 tahun. Menurut pendapat Abdul Mutalib, sudah elok benar jika Abdullah itu berkahwin dan mendirikan rumahtangga. Abdul Mutalib tercari-cari dara yang sesuai untuk disunting menjadi suri hidup anak terunanya. Atas nasihat pemuka-pemuka Quraisy, mereka semua sepakat mencadangkan kepada Abdul Mutalib, orang yang paling layak menjadi isteri kepada Abdullah ialah anak perempuan kepada ketua puak Bani Zuhrah, Wahab ibn Abdul Manaf ibn ibn Qusai yang bernama Aminah.

Selain daripada mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Abdul Mutalib yang bersambung dengan Wahab pada Abdul Manaf ibn Qusai, Aminah bint Wahb adalah gadis termasyhur di kalangan pemuka-pemuka Quraisy atas kecantikkannya, pekertinya, kegadisannya dan yang teristimewa, kesuciannya. Aminah, kembang indah di taman larangan. Yang tidak tercemar di dalam arus kebejatan akhlak masyarakat Quraisy Jahiliah pada ketika itu.


(Bersambung…)

Tuesday, March 25, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn 2)

Shaibah tanpa tangguh lagi membenamkan semula cangkulnya ke dasar tanah yang berpasir itu. Objek keras yang disangkakannya batu bukanlah objek sebarangan. Ianya adalah patung kijang emas yang ditanam oleh Bani Jurhum sewaktu mereka menimbus Telaga Zamzam sebagai strategi perang mereka menentang puak dari utara dahulu. Sewaktu diangkat patung kijang emas itu, berhamburanlah air Zamzam keluar dari mata-airnya. Seluruh penduduk Kota Mekkah yang menyaksikan penemuan Telaga Zamzam itu bersorak keriangan. Air sudah ditemui. Kini kota itu bakalan bertambah makmur dengan sumber mata-air itu. Setiap wajah tersenyum senang. Bahagia. Gembira. Bersama-sama patung kijang emas itu, turut ditemui senjata dan lain-lain perhiasan yang berharga. Kesemua itu diserahkan kepada Kaabah sebagai tuan empunyanya.

Berita penemuan Telaga Zamzam itu merebak ke seluruh Kota Mekkah. Bukan sahaja di kota itu, bahkan ke seluruh Jazirah Tanah Arab. Penemuan itu membawa kegembiraan lantas kesyukuran dipanjatkan setinggi-tingginya ke hadrat Allah. Sesudah ini, tidak sukar lagi bagi masyarakat Arab yang ingin menunaikan ibadat di Baitullahil-haram untuk mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh mereka menginap di Kota Mekkah.

Sedikit sebanyak, penemuan Telaga Zamzam itu telah membuka mata banyak pihak tentang betapa kewujudan telaga itu memberi pulangan yang menguntungkan bagi mereka. Lalu pemuka-pemuka Quraisy itu, tanpa segan silu mendakwa bahawa mereka berhak terhadap Telaga Zamzam tersebut kerana telaga itu ditemui di kawasan Kaabah. Jika sudah Kaabah itu milik umat manusia, maka semua orang berhak ke atasnya. Bukan setakat pemuka-pemuka Quraisy itu sahaja. Alasan itu cukup untuk menutup mulut pemuka-pemuka Quraisy yang bertegang urat menuntut hak masing-masing.

Sebagai menenangkan keadaan itu, mereka bersetuju bahawa harus ada seorang yang dapat menyelia dan menguruskan telaga itu di samping mengagihkan air zamzam kepada pengunjung Baitullah. Akhirnya mereka sepakat memilih, Shaibahlah orang yang paling layak memikul tanggungjawab itu bukan setakat dia yang menemui Telaga Zamzam itu, bahkan dia seorang yang sangat amanah, jujur dan berkarisma sebagai seorang pemimpin ulung. Dia juga datangnya dari keluarga Bani Hashim yang merupakan keluarga yang paling berpengaruh di kota itu.

Masyhurlah nama Shaibah sesudah penemuan Telaga Zamzam. Dia dianggap sebagai tempat rujukan pemuka-pemuka Quraisy atas keterampilan yang dimiliki serta pengamatannya yang sangat mendalam terhadap sesuatu isu yang berbangkit. Tugasnya sebagai pengagih air zamzam, membuatkan dia dikenali dan disenangi oleh ketua-ketua puak dan pedagang-pedagang di seluruh semenanjung tanah Arab. Namanya kini lebih dikenali sebagai Abdul Mutalib.

Hari berlalu dan masa berputar ligat. Kesibukan Abdul Mutalib membuatkan dia lupa akan dirinya sehinggalah pada suatu hari sewaktu dia sedang mengagihkan air Zamzam kepada satu kabilah, dia disapa oleh oleh ketua puak Bani Hamdan.
“Assalamualaikum, Ya Tuan”
“Wa alaikummussalam”
“Apa khabar tuan sekarang?” tanya ketua puak.
“Alhamdulillah, hamba sihat. Lama sudah hamba tidak bertemu dengan tuan. Apakah hajat tuan datang ke mari?” tanya Abdul Mutalib.
“Hamba datang ke sini adalah untuk membayar niat hamba kepada Berhala Al-Manat itu. Hamba mendapat seorang lagi anak lelaki” kata ketua puak itu.
“Ohh… begitu” jawab Abdul Mutalib.
“Tuan bila lagi ingin punya cahaya mata? Tak elok dibiarkan lama-lama. Tuan kelak memerlukan zuriat untuk mengambil alih tugas tuan di kota ini. Haa… hamba syorkan agar tuan berniat di Berhala Manat itu… Insya-Allah tuan akan beroleh cahayamata” kata ketua puak itu sebelum berlalu ke kaki Berhala Manat yang besar itu.

Kata-kata ketua puak Bani Hamdan itu tiba-tiba terkesan di hatinya. Betul kata ketua puak itu, satu hari nanti dia perlukan zuriat yang dapat mengambil alih tanggungjawab besar pada Kaabah itu. Sekali difikirkan juga, sudah bertahun-tahun dia mengahwini Fatimah bint Amr dari Bani Makhzum itu, namun sehingga kini dia masih lagi belum dikurniakan dengan cahayamata. Kalau sudah bertahun-tahun masih belum hamil, apakah maknanya itu? Pasti isterinya itu mandul.

Runsing dengan hal itu, Abdul Mutalib lantas melangkah menuju ke rumah sahabat karibnya Suhail ibn Saad menceritakan keadaan dirinya.
“Apakah jalan yang tuan hamba fikirkan?” tanya Suhail.
“Hamba berfikir untuk berkahwin lagi satu”
“Berkahwin lagi satu? Kenapa?” tanya Suhail
“Hamba fikir masalah ini adalah disebabkan oleh isteri hamba yang mandul” kata Abdul Mutalib.
Mendengarkan kata-kata Abdul Mutalib itu, Suhail menghela nafas panjang.
“Kenapakah tuan hamba menarik nafas panjang, wahai sahabatku?” tanya Abdul Mutalib.
“Hamba bimbang kalau-kalau tuan hamba yang mandul” kata Suhail.

Mendengarkan kata-kata Suhail itu, rasa gugur jantung Abdul Mutalib. Kalau dirinya yang mandul, akan sunyilah kehidupannya. Pasti hartanya yang berbilang banyak itu tidak dapat dirasai oleh waris keturunannya.
“Hamba rasa ada betulnya tuan memasang niat di Berhala Manat seperti kata Ketua Bani Hamdan itu” kata sahabatnya, Suhail itu.

Bermalam-malam tidur Abdul Mutalib tidak lena. Sering diganggu igauan bahawa dirinya mandul tidak mampu memberi zuriat. Hidupnya keluh kesah. Perjalanannya sehari-harian terasa begitu lambat dan lesu. Setelah tujuh hari berlalu, Abdul Mutalib memutuskan untuk berniat di Berhala Al-Manat itu.
“Ya Allah. Kurniakanlah aku dengan 10 orang anak bagi menggantikan tanggungjawab aku terhadap rumah-Mu ini. Jika aku dikurniakan dengan 10 orang anak itu, aku bernazar untuk menyembelih salah seorang daripada anakku itu di antara Berhala Lata dan Uzza”

Tidak lama sesudah Abdul Mutalib bernazar, isterinya Fatimah kemudian mengandung. Lahirlah anak mereka yang sulung. Seorang anak lelaki. Mereka menamakan bayi itu dengan nama Al-Harith. Kemudian diikuti oleh adik-adiknya yang lain. Muqawwam, Az-Zubair, Al-Abbas, Abdul Uzza (Abu Lahab), Abi Talib, Abdullah, Arwa, Saffiyyah dan juga Hamzah. Namun di antara anaknya yang sepuluh itu, yang paling rapat dan paling disayangi oleh Abdul Mutalib ialah Abdullah. Perwatakan, tutur katanya, kerlingan dan senyumannya, semua memikat hati Abdul Mutalib. Pendek kata, Abdullahlah cahaya hatinya. Abdullah juga kesayangan abang-abang dan adik-adiknya.

Tiba saat dan ketika, Abdul Mutalib terpaksa menerangkan hal nazar itu kepada anak-anaknya.
“Wahai anak-anakku sekelian. Sebelum kelahiran kamu dahulu, ayah sudah bernazar di hadapan Allah. Sekiranya ayah dikurniakan dengan sepuluh orang anak, salah seorang daripada kamu akan ayah sembelihkan di tempat antara Berhala Lata dan Uzza. Kini ayah ingin mendapat kepastian kamu, adakah kamu bersetuju memenuhi nazar ayah itu?”

Kesemua anak-anak Abdul Mutalib tertunduk kaku. Antara rasa gerun, kasih pada ayah, ketaatan sebagai hamba. Mereka masing-masing memikirkan bagaimana jika mereka yang terpilih memenuhi nazar itu. Adakah mereka sanggup?
“Lakukanlah ayah jika itu yang ayah nazarkan. Kami rela menerima sebarang keputusan tentang siapakah yang bakal terpilih memenuhi nazar itu kerana kami hanya mengharapkan keredaan Allah. Moga kami menjadi insan terpilih sebagaimana Nabi Ismail A.S. Lakukanlah ayah!!” jawab Al-Harith sebagai saudara yang tertua.

Setelah menerima kata sebulat suara itu, Abdul Mutalib mengambil 10 batang damak. Setiap damak itu diletakkan dengan nama anak-anaknya. Kemudian damak diisi dalam satu tabung. Tabung itu kemudiannya digoncang sebelum Abdul Mutalib mencabut salah satu damak.

Setelah digoncang, tibalah masanya Abdul Mutalib menarik keluar damak itu. Abdul Mutalib memandang kesemua anak-anaknya. Matanya terarah kepada Abdullah yang disayanginya. Abdullah tersenyum. Senyuman itu menguatkan hati Abdul Mutalib. Abdul Mutalib menarik sebatang damak. Matanya jatuh pada nama
ABDULLAH

Mengeletar tangan-tangan Abdul Mutalib. Tidak…!! Jangan Abdullah. Tidak!!. Namun keputusan sudah dibuat. Tidak mungkin dapat ditarik lagi. Kesemua anak-anak Abdul Mutalib bertangisan memeluk Abdullah, kesayangan mereka.
“Berbahagialah kamu, wahai adikku kerana dapat memenuhi nazar ayah itu” kata Al-Harith sambil memeluk adiknya itu.

Abdul Mutalib terduduk. Gagal berkata-kata. Berita Abdul Mutalib akan menyembelih Abdullah di hadapan Kaabah itu tersebar luas di seluruh Kota Mekkah. Gempar segala pemuka-pemuka Quraisy.

Abdul Mutalib menuntun Abdullah yang ketika sudah muda remaja menuju ke arah Kaabah. Orang ramai keluar dari rumah masing-masing untuk menyaksikan Abdul Mutalib yang akan menyembelih anaknya atas sebab nazar. Masing-masing berbisik dalam belas simpati terhadap nasib Abdullah. Dalam getar sayu hatinya, Abdul Mutalib keraskan juga hatinya. Membaringkan Abdullah di atas batu di antara Berhala Lata dan Uzza. Pisau tajam berkilauan sedia di tengkuk Abdullah untuk ditarik dengan pantas.

“Nanti!!!!” suara garau membentak mengejutkan Abdul Mutalib.

(Bersambung)

Friday, March 21, 2008

Mawlidur Rasul

Dia masih berdiri di situ. Memandang binaan purba yang gah tinggi berdiri itu. Matahari semakin naik tinggi di langit. Kepanasan semakin membakar persekitaran kawasan yang hanya diliputi pasar yang berwarna perang. Hmmmm… entahlah. Jika menurut lelaki di dalam mimpinya itu, di sinilah letaknya telaga itu. Telaga yang dicari-carinya sepanjang hayatnya. Telaga yang telah lama hilang dek dosa yang dilakukan oleh Bani Jurhum dahulu.

Lelaki di dalam mimpinya itu berulang-ulang kali menyuruhnya agar menggali di situ, 20 meter sahaja ke timur arah Baitullahil-haram. Tetapi bolehkah dia mempercayai takwil mimpi itu? Sudah banyak tempat digalinya serata kota Mekkah itu, namun semuanya hampa. Tiada petunjuk yang menyatakan bahawa di situ pernah terdapatnya Telaga Zamzam seperti cerita yang diperturunkan dari datuk neneknya. Haaaiiii… jika benarlah tempat itu merupakan tapak telaga itu, alangkahnya beruntung bumi Mekkah ini. Pengunjung Rumah Allah ini tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan dari sumber manakah harus mereka perolehi bekalan air sepanjang mereka mengerjakan ibadat di Mekkah ini. Pedagang-pedagang yang lalu lalang di antara jalan perdagangan Syam-Yamen ini juga akan mendapat faedah bersama.

Peluh jernih merintik di dahi. Lagi lama masa dibazirkan, lebih panas jadinya kawasan sekitar itu. Ahhh… tidak salah jika aku mencuba. Apa salahnya jika digali di sini. Jika ada, baguslah. Jika tiada pun, akan diusahakannya mencari di kawasan lain. Dengan menyebutnya nama Allah, Shaibah ibn Hashim ibn Abdul Manaf ibn Qusai mengangkat cangkulnya tinggi-tinggi sebelum menghentakkan matanya dalam-dalam ke perut pasir yang peroi itu. Menitis peluhnya satu persatu membasahi pinggiran Kaabah itu. Lubang yang digali semakin lama semakin dalam. Semakin lama semakin luas. Akhirnya tindakannya itu menjadi perhatian pemuka-pemuka Quraisy di sekitar kawasan itu.
“Apakah yang sedang kamu lakukan itu wahai Shaibah?” tanya seorang pemuka Quraisy yang datang melihat kerja. Shaibah kenal lelaki gemuk gedempol itu. Bersangkutan dengannya pada galur moyang sebelah bapanya.
“Aku sedang menggalilah”
“Benar, aku tahu engkau menggali. Tetapi apakah yang sedang engkau cari?” tanya lelaki itu.
“Aku sedang mencari Telaga Zamzam” jawab Shaibah tanpa memandang lelaki itu. Tekun dia dengan kerjanya.
“Mana engkau tahu ada Telaga Zamzam di situ?” lelaki itu seakan berminat untuk ambil tahu lebih lanjut.
“Aku bermimpi. Ada seorang lelaki datang kepadaku menyuruh aku menggali di sini!!”
“Mimpi?? Hahahahahahaha…. Shaibah, Shaibah. Tak sangka aku, orang seperti engkau pun mudah terpedaya dek mainan tidur. Hahahahahaha… ya, teruskanlah usaha murni engkau itu. Nanti penuhlah Kota Mekkah ini dibanjiri dengan air Zamzam… Hahahahahaha” lelaki itu ketawa besar bercampur mengejek sebelum dia berlalu pergi.

Orang ramai semakin banyak mengerumuni tempat itu. Leka mereka melihat Shaibah bekerja sehingga mereka lupa melunaskan hajat pada Berhala Lata dan Uzza yang menjadi kebanggaan mereka. Ada yang berbisik. Ada yang tersenyum kambing. Tidak kurang pula yang ketawa. Menganggap pekerjaan Shaibah itu sesuatu yang tidak masuk di akal. Hanya menyakitkan badan, kaki dan tangan sahaja.

Matahari semakin naik menggalah. Kawasan persekitaran membahang menyakitkan kepala. Shaibah masih tekun dengan kerjanya. Sedikit pun dia tidak tersentuh dengan ejekan orang di sekelilingnya. Cuma hatinya kini semakin berbelah bagi. Boleh jadi mimpi dan lelaki itu hanya mainan tidurnya. Ya, Allah. Bantulah aku, Ya Allah. Kurniakanlah kekuatan padaku, doa Shaibah di setiap hayunan cangkulnya.

Lubang yang digalinya semakin lama semakin dalam. Kini tubuhnya sudah hilang dari paras bumi. Lubang itu semakin dalam. Orang yang mengerumuninya semakin lama semakin susut bilangannya. Namun tiada tanda-tanda tempat itu letaknya Telaga Zamzam seperti yang diperkatakannya. Hati Shaibah kini sudah benar-benar kehampaan.
“Ya, Allah. Inilah hayunan terakhir aku. Sekiranya benar tempat ini letaknya Telaga Zamzam itu, kupohon agar mengalirlah airnya. Jika tidak, aku akan berputus asa” doa Shaibah sebelum menghayunkan cangkulnya untuk kali terakhir.

Tiba-tiba hayunan cangkulnya melantun semula akibat mengenai sesuatu yang keras. Hmmmm… batu!! Fikir Shaibah. Shaibah mengibas-ngibaskan tanah dan pasir yang melekat di badannya sebelum bersedia untuk keluar dari lubang itu. Memang Telaga Zamzam itu tiada di sini, fikir Shaibah. Tetapi Shaibah hairan. Beberapa orang lelaki Quraisy yang masih bertahan melihat kerjanya semakin mara menghampirinya yang berada di lubang itu.
“Lihat itu Shaibah!!! Lihat itu semua!!! Tanahnya semakin basah. Ahhhh… Air!! Air!! Ada air di situ!!” jerit lelaki itu meneriak ke seluruh Kota Mekkah.

Shaibah terpinga-pinga. Dia memandang di kakinya. Benarlah tanah itu sudah lembab dengan air.

Air!!! Air!!!

(Bersambung)

Monday, March 17, 2008

Cerita saya lari dari rumah...


Saya masih ingat lagi tahun itu, tahun 1988. Setahun sebelum saya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Baru tamat tingkatan 2. Cuti penggal yang panjang dihabiskan dengan menonton kaca television, merayau-rayau di sekeliling kampung dan melakukan apa sahaja aktiviti yang langsung tidak mendatangkan faedah.

Saya bosan dengan sekolah saya. Saya benci belajar. Tambahan pula saya sangat membenci subjek matematik yang diajar oleh Cikgu Md Sahuri. Hampir kebanyakan topik yang diajar langsung tidak saya fahami. Dengan adanya Bahasa Arab, tambah menyesakkan kepala saya menerima segala macam tunjuk ajar guru.

Cuti yang panjang selama hampir 2 bulan itu, saya penuhi dengan melakukan apa sahaja yang saya ingini. Janji ianya boleh melupakan saya pada kekusutan tinggal di asrama. Paginya, saya bangun jam 10.30. Terus masuk ke dapur bersarapan. Kemudian duduk di hadapan television berjam-jam sebelum mandi dan keluar merayau sehingga santak maghrib. Begitulah selama berminggu-minggu.

Rupa-rupa segala perlakuan saya menjadi perhatian mata-mata yang sakit benar melihat tindak tanduk saya yang menjolok mata itu. Kakak-kakak saya iaitu Kak Aini (Yang) dan Kak Asma.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu pagi, sebaik sahaja saya bangun dari katil, saya akan terus menyingkap tudung saji melihat juadah yang telah dimasak oleh Mak dan kakak-kakak saya. Hmmmm… meehun goreng. Sedapnya!!
“Kamu ni dah tak ada kerja lain? Bangun tidur je dengan tak gosok gigi, dengan tak mandi, terus makan. Cuba buat perangai elok sikit!!” marah kakak saya.
Saya terpempan.
“Eh suka akulah nak buat apa pun… engkau sibuk pasal apa?”
“Aku sibuk sebab perangai engkau tu buruk sangat” kata kakak saya lagi.
“Buruk apanya? Hari ni kan ke cuti? Gunakanlah cuti betul-betul” kata saya mempertahankan diri.
“Haaa… itulah yang engkau tahu. Makan, tidur, merayap dan tidur lagi. Solat entah ke mana. Buku-buku langsung tak berbaca” leter kakak saya.
“Ni… hari ni keputusan SRP orang keluar…. Awak pulak tahun depan entah dapat berapa. Jangan nak mimpi la dapat keputusan bagus kalau perangai macam ni” kakak saya masih tidak puas-puas lagi berleternya.
“Engkau diam boleh tak?” saya sudah naik darah apabila dileter sebegitu. “Engkau ni apa hal nak marah-marah ni. Engkau period ke?” mulut saya lancang mencaci orang bila kepentingan saya tercabar.
PAAAANNNNGGG anak lesung batu menghentam pintu grill di sebelah saya dibaling oleh kakak saya. Mujur saya mengelak. Jika tidak sudah pasti anak lesung batu itu menghentam dahi saya. Alamatnya akan memancutlah darah di dahi. Boleh masuk hospital!!.

Mendengar kecoh-kecoh itu, Mak dan Kak Asma meluru masuk ke dapur.
“Ini apahal ni???” Mak bingung melihat saya seakan sedia untuk menggasak kakak saya (keji sungguh!!).
“Ni, budak ni. Buat perangai buruk. Dinasihatkan tak nak dengar” kata Kak Aini mengadu pada Mak saya.
“Bila masa dia nasihat. Asyik berleter, berleter, berleter… tangan karang!!” kata saya mengangkat tangan untuk memukul kakak saya. Kak Aini sudah menangis.
“Sudah, sudah, sudah!! Kamu Indera cuba buat perangai elok sikit” kata Mak.
“Perangai buruk, malas belajar” sampuk Kak Asma.
“Ahhhhh…. Kamu semua memang sama. Memang kamu semua tak suka kan aku. Memang aku tak suka belajar. Aku nak bakar saja buku-buku tu” kata saya sebelum meluru masuk ke bilik. Di bilik saya mengeluarkan beg galas saya dari bawah katil dan terus keluar menghamburkan isi beg itu semua ke tanah. Kemudian dengan setin minyak petrol Apak, saya mencurahkannya ke atas buku-buku saya.

Sebaik sahaja saya menyalakan api mancis tiba-tiba..
BUUUKKKKK…
Di belakang saya hinggap batang penyapu. Bukan penyapu lidi. Tetapi penyapu jerami yang mempunyai pemegang kayu yang solid itu. Aduuuuhhhh… sakitnya tidak terkata!!.
“Anak tak tahu diuntung… susah susah aku sekolahkan engkau, ini balasan engkau ye!! Nak jadi Setan??” tengking Apak sambil menghayun kayu penyapu itu berulang-ulang kali ke badan saya. Saya hanya mampu menyeringai menahan sakit.

Akibat terlalu sakit, saya menghambur lari tidak cukup tanah. Lari mengikut langkah kaki saya. Akhirnya saya tersedar bahawa saya sedang terbaring di satu pondok buruk di tepi sawah. Tidak jauh dari tanah perkuburan yang luas itu. Matahari rembang membakar tanah namun persekitaran sawah itu terasa nyaman. Sejuk dan menenangkan. Saya meraba belakang saya yang menjadi sasaran Apak sebentar tadi. Perit. Saya kira sudah berbirat kemerahan. Perut terasa lapar. Tetapi saya tidak boleh pulang ke rumah. Kelak dipukul oleh Apak lagi. Mereka memarahi aku, fikir saya.

Seharian saya duduk di pondok itu sehinggalah matahari sudah sedia ufuk barat untuk melabuhkan tirainya. Saya pasti akan terus duduk di pondok usang itu jika saya tidak mendengar suara pelik-pelik menjerit dari tanah perkuburan yang semak itu.
KUUUUUWWWAAAAUUUUU……………. Suara melaung dari kubur itu menjelang senja menaikkan bulu roma saya.

Takut dengan itu saya berlari dari situ. Melalui halaman Tok Musa sewaktu orang sedang melaungkan azan Maghrib.
“Indera….!! Kamu dari mana tu?” tanya Alang kehairanan apabila saya melintas halaman rumah ayahnya dengan kaki tidak berkasut.

Panggilan Alang itu langsung tidak saya pedulikan. Saya berlari lagi sehingga saya sampai di belakang sebuah rumah tua di tepi tebing Sungai Perak. Antara rimbun pokok kenanga dan limau purut itu saya berdiri kebingungan.
“Apa halnya kamu berdiri di situ?. Dah Maghrib. Naik cepat” kata Opah Merbi seolah mengerti apa yang terjadi kepada saya.

Opah Merbi ini punya hubungan yang unik dengan saya. Dia mempunyai seorang anak perempuan bernama Fatimah. Setelah bertahun-tahun berkahwin, Fatimah masih tidak dikurniakan dengan cahayamata. Suatu hari Fatimah bermimpi, Mak yang ketika itu mengandungkan saya, menyerahkan saya kepadanya. Sejak dari hari itu saya menjadi anak angkat Fatimah. Dan Opah Merbi itu melayan saya seperti cucunya sendiri.

Malam itu, saya makan dan tidur di rumah Opah Merbi. Tidur pun ditepuk oleh Opah Merbi seperti saya ini masih berusia 3 tahun sedangkan ketika itu usia saya sudah menginjak ke angka 15 tahun.

Nun di rumah, Mak menangis tidak henti-henti. Apak sudah bingung. Saya hilang. Ada yang mengatakan saya diculik orang bunian. Ada yang mengatakan saya sudah lari ke bandar besar. Ke Ipoh atau Kuala Lumpur.
“Lebih baik Cikgu tanyakan pada Pawang Dalid tu… boleh jadi dia tahu di mana anak Cikgu sekarang” kata Pak Leman mengusulkan kepada Apak.

“Saya tak tahu dia pergi mana. Yang saya nampak, dia lari arah ke baruh” kata Alang ketika ditanya oleh orang ramai itu. Kecoh jadinya kerana Alang saksi yang terakhir melihat saya senja itu.

Apak ke rumah Pawang Dalid minta petua.
“Dia ni selamat. Dia tengah tidur di rumah orang. Orang ni pulak, sayang sangat pada dia” kata Pawang Dalid.
“Pak Dalid tahu siapa orang tu..” tanya Pak Su Usop.
“Aku tak tahu. Tapi, rumah orang itu di tepi Sungai Perak. Ada pokok mempelam besar di depan rumahnya”

Tiada siapa yang mengetahui di mana saya berada. Keesokan paginya, sebaik sahaja saya bersarapan, saya duduk termenung di tepi tebing Sungai Perak itu. Sebuah motosikal ditunggang laju sebelum berhenti mengejut berdekatan dengan saya. Mak Yah tertonggek membonceng motosikal Yeop, abang saya yang sulung.
“Ya Allah, Indera… kamu pergi mana? Penat semua orang mencari kamu” kata Mak Yah.
“Jom balik ikut Mak Yah, jom” kata Mak Yah.
“Tak mahu… Mak Yah baliklah..” kata saya. Abang saya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Jomlah balik. Tak baik buat macam ni. Mak kamu semalaman menangis disebabkan kamu. Tak kesian ke kamu kat Mak kamu?”
“Mak Yah baliklah… saya tak mahu balik” kata saya. Kalau saya pulang hanya akan dipukul oleh Apak lagi.
“Kalau dia tak nak balik, janganlah kamu paksa dia, Yah. Biarlah dia duduk dengan aku” kata Opah Merbi datang menyampuk setelah melihat Mak Yah menarik tangan saya.

Saya masih di rumah Opah Merbi sehingga tengahari. Sebaik sahaja selesai makan tengahari, di halaman rumah Opah Merbi, masuk sebuah Van Nissan Liteace berwarna biru. Saya kenal van itu. Van Beh, pakcik saya dengan Mak Uda Zaidah. Sepupu rapat saya iaitu Razak pun ada bersama.
“Indera, jom la kita balik. Kalau kamu takut nak balik rumah Apak kamu, jom balik rumah Mak Uda” pujuk Mak Uda.
Saya hanya termenung jauh di kaki tangga. Malu dengan Beh yang tidak banyak bercakap itu.
“Kalau kamu buat macam ni, Mak uda risau nanti Razak ikut perangai kamu pulak..” kata Mak Uda Zaidah sambil mengurut bahu Razak yang terpinga-pinga.

Akhirnya saya mengalah. Mengikuti Beh dan Mak Uda Zaidah kerana saya malu mencipta kecoh lebih-lebih lagi di hadapan Beh, bapa saudara saya yang sangat baik hati itu. Masuk sahaja ke dalam van, kesemua baju saya sudah sedia di dalam beg. Bagaikan Mak Uda Zaidah tahu bahawa saya akan lembut hati dengannya.

Itulah zaman huru-hara. Kerana mengikut hati, saya bikin malu. Tetapi itulah zaman remaja di mana kebaikan dan keburukan sukar dibezakan. Yang ada hanya hati yang bermaharajalela.

Indera: Saya pulang ke rumah Mak dua minggu sesudah itu. Kepulangan saya itu disambut dengan perasaan yang pelik. Semua orang tidak berani menyapa saya. Mak mencium saya beberapa kali. Tahun berikutnya, saya hilang lagi. Bikin ribut selama dua minggu sehingga kehilangan saya dilaporkan kepada pihak polis. Kali ini kehilangan saya adalah mengikut rombongan Jemaah Tabligh ke Bagan Ajam, Butterworth. Hahahahahaha… masih punya kisahnya yang tersendiri.

Wednesday, March 12, 2008

Selamat Hari Jadi, Cinta

ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu
sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
kekuatan hati yang berpegang janji
genggamlah tanganku cinta
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri
temani hatimu cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta



Pada suatu masa di satu negeri, tinggal seorang budak lelaki bernama Cinta. Cinta mempunyai seorang ibu, seorang ayah dan 3 orang adik beradik. Bapa Cinta merupakan seorang petani miskin, namun keluarga itu tidak pula pernah keputusan bekalan makanan walaupun di musim dingin yang panjang. Di musim bunga dan di musim panas yang nyaman, Cinta hidup sejahtera bersama hembusan bayu yang menumbuhkannya menjadi kanak-kanak yang periang.

Segala keperluan hidupnya dipercukupi oleh ayah dan ibunya. Tetapi cuma satu, Cinta tidak pernah merasai akan nikmat dan keriaan sebuah sambutan harijadi sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Apabila ditanya kepada kedua orang tuanya kenapa dia tidak pernah merasa sambutan harijadi, ibubapanya menjawab bahawa mereka tidak mampu menyediakan keraian seumpama itu dengan membeli hadiah dan juga jamuan. Keperluan yang paling utama adalah untuk mengisi perut kosong anak-anak sahaja.

Cinta merasa marah terhadap kedua orang tuanya dengan mengatakan bahawa ibubapanya sudah tidak menyayanginya lagi. Hanya sebuah hadiah harijadi. Tidak mungkin itu pun tidak mampu disediakan oleh kedua orang tuanya. Tetapi hakikatnya, kedua orang tuanya sememangnya tidak berkemampuan.

Cinta menginginkan sambutan harijadinya diraikan dengan sebiji kek dan sekotak hadiah. Dia menginginkan agar sambutan itu diraikan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
“Cinta benci ayah!! Cinta benci ibu… benda sekecil itupun ayah dan ibu tak mampu nak sediakan. Cinta benci menjadi anak orang miskin”
“Cukup Cinta!! Kamu sudah melampau!!” bentak ayahnya
“Kalau tidak mampu menyediakannya lebih baik ayah dan ibu tak punya anak langsung!!” kata-kata lancang Cinta membakar kemarahan ayahnya.
PAAANNNGG…. Sebuah tampar berat hinggap di pipi Cinta yang mungil. Cinta hanya mampu menangis.

Hari itu hari jadi Jati, rakan sepermainannya. Jati lebih tua umur daripada Cinta dalam jarak 3 hari sahaja. Ini bermakna, lagi 3 hari Cinta akan menyambut harijadinya pula yang ke-9. Kesemua penduduk kampung dijemput menghadiri keramaian itu termasuklah Cinta dan ahli keluarganya. Di majlis itu, Jati menerima sebuah permainan berupa anak patung askar yang bermain gendang. Cantiknya anak patung askar itu membuatkan jiwa Cinta huru lantas kucar-kacir memikirkan bahawa 3 hari bakalan menjelang itu, dia pasti tidak akan menerima apa-apa untuk harijadinya seperti tahun-tahun terdahulu. Diam-diam Cinta meninggalkan majlis itu lantas menuju ke pinggir ladang di mana terdapatnya sepohon beringin dan altar purba yang kecil di pangkalnya. Di bawah pohon beringin itulah Cinta menangis sambil mengenang untung nasibnya.
“Ya Tuhan. Berikanlah aku sebuah hadiah harijadi. Aku rela menukarkannya dengan apa sahaja yang aku miliki sekarang!!”

Begitulah Cinta berdoa saban hari setiapkali dia duduk termenung di bawah beringin rendang itu selama tiga hari. Masuk sahaja hari yang ketiga, Cinta masih tetap mengunjungi pohon beringin itu sambil terus berdoa.
“Ya Tuhan, Berikanlah aku sebuah hadiah harijadi. Aku rela menukarkannya dengan apa sahaja yang aku miliki sekarang!!”

Di saat Cinta melafazkan doa itu, nun di atas awan, seekor Bota sedang terbang melayang mencari mangsa untuk dia menebarkan segala keburukan di atas muka bumi ini. Mendengarkan rayuan Cinta yang terlalu mengharap itu, Bota tersenyum kerana Cinta akan digunakannya itu menebar keburukan. Lantas Bota itu menjelma di hadapan Cinta sambil berupa seorang orang alim.
“Apa yang kamu inginkan?” tanya orang alim itu.
“Saya ingin sebuah hadiah untuk harijadi saya” kata Cinta.
“Hmmmm… kenapa kamu inginkan hadiah hari jadi? Apa hari ini hari jadi kamu?” tanya orang alim itu.
“Benar, hari ini hari jadi saya. Tetapi ibu dan ayah saya tidak mampu menyediakan walaupun sebiji kek pun untuk harijadi saya”
“Jadi apa yang kamu inginkan untuk harijadi kamu?” tanya orang alim itu lagi.
“Apa sahaja!! Asalkan ianya hadiah harijadi” jawab Cinta.

Orang alim itu tersenyum sambil mengeluarkan dari jubahnya sebuah kotak kayu dan sebiji botol cantik yang mengandungi cairan berwarna merah di dalamnya.
“Aku kira ini adalah hadiah yang paling tepat buatmu..” kata orang alim itu.
“Apakah itu?” tanya Cinta cuba merebuti hadiah tetapi segera dihalang oleh orang alim itu.
“Kamu akan tahu apa yang kamu akan perolehi sebaik sahaja kamu meminum air dari botol ini. Tapi sebelum itu, aku ingin bertanya pada kamu, apa yang kamu boleh tawarkan sebagai tukaran dengan hadiah-hadiah ini?” tanya orang alim itu.
Cinta hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Dia dari keluarga yang miskin. Apa yang mampu ditawarkan olehnya.

Orang alim itu tersenyum.
“Mahukah kamu menukarkan dengan kebahagiaan kamu dan dengan cinta dalam hati kamu?” tanya orang alim itu.
“Bolehkah begitu?” tanya Cinta.
“Sudah tentu boleh…” jawab orang alim itu.
“Jika begitu, saya bersetuju” kata Cinta.

Dengan tidak semena-mena, keluar dari mulutnya dua biji bola cahaya dari mulut Cinta. Itulah dia kebahagiaan dan cinta dalam hati. Kini hatinya kosong tanpa kebahagiaan dan juga cinta.
“Sekarang kamu minum air ini” kata orang alim itu.

Tanpa tangguh, Cinta membuka penutup botol itu dan mengogok cairan merah itu sehingga habis. Sebaik sahaja selesai dia meneguk air itu, Cinta merasakan hatinya terlalu pedih dan pilu. Amat seksa penanggungannya sehingga dia berguling-guling di atas tanah.
“Hai orang alim, minuman apa yang engkau berikan pada saya?” tanya Cinta.

Orang alim itu ketawa berdekah-dekah dan dalam sekelip mata bertukar wajah semula menjadi seekor Bota yang hodoh.
“Hai budak yang bodoh. Ketahuilah kamu bahawa kamu telah menyerahkan pada aku kebahagiaan dan cinta dalam diri kamu. Ketahuilah oleh kamu wahai budak yang bodoh, air yang kamu minum itu adalah racun ciptaan aku yang kuberi nama Kesepian. Hidup kamu tidak akan merasa bahagia dan tenteram selagi engkau tidak berjaya menyelesaikan teka-tekiku. SIAPAKAH YANG DATANG DIPAYUNGI OLEH SAYAP DUA MALAIKAT PENYAYANG?. Letak kotak kayu itu di atas altar purba dan jawab dengan jelas hanya di harijadimu. Selagi engkau tidak menemui jawapannya, selagi itu kampung ini akan dilanda kegelapan dan selagi itu juga engkau akan diselubungi kesunyian dan hidupmu akan terus kosong tanpa kebahagiaan dan cinta. Hahahahahahahaha….”

Selepas menuturkan sumpahan itu, Bota itu terus menghilangkan dirinya.

Awan hitam berarak dengan kilat sabung menyabung di langit tinggi. Secarik cahaya pun tidak berupaya menembusi dan menyuluh tanah di kampung itu. Orang kampung yang menyaksikan Cinta ditipu oleh Bota itu terus memukul Cinta atas kebodohannya dan segera membawa Cinta mengadap kepala kampung dan kedua ibubapanya.
“Kami mahukan supaya budak Cinta ini diusir sahaja dari kampung ini. Kerana dialah kampung kita tidak mendapat cahaya dan kerana dialah tanaman kita tidak menjadi kerana tidak mendapat cahaya” gesa penduduk kampung.

Maka terusirlah Cinta dari kampung itu. Bergelandangan dan berkelana mencari jawapan pada teka teki yang diberikan oleh Bota itu. Di dalam hatinya tidak tercalit kebahagiaan melainkan racun kesepian itu terus menghancur-lumatkan hatinya. Namun tiada siapa yang tahu jawapan itu.

Masa berganti dan tahun bertukar. Cinta terus berkelana mencari jawapan sambil mengelek kotak kayu hadiah harijadinya. Cinta tumbuh menjadi seorang pemuda yang kering hatinya. Tiada siapa yang sudi berkawan dan bersahabat dengannya. Racun kesepian itu membuatkan orang lain menghindarinya.

Perjalanan itu terlalu jauh. Cinta merasakan terlalu letih dan lesu. Akhirnya dia jatuh pengsan dan diselamatkan oleh seorang dara bernama Kecut. Kecut merawatinya. Akhirnya Cinta sihat kembali. Sebagai tanda terimakasihnya, Cinta mengahwini kecut di saat kebahagiaan dan cinta tidak pernah bertamu di hatinya. Kebenaran ini sangat melukakan hati Kecut. Namun dia tabah demi cintanya pada Cinta. Bisa racun kesepian itu tidak termakan pada Kecut kerana Kecut sudah ditakdirkan menjadi pasangan Cinta.

Setelah beberapa lama, lahirlah anak mereka. Seorang puteri. Di suatu malam, beberapa purnama sebelum jatuhnya hari kelahiran Cinta, Kecut mendendangkan gurindam buat anak mereka.

Tidurlah anakanda permata hati bonda
Besarlah segera cahaya mata bonda
Besok engkau akan dewasa mengisi alam semesta
Memakmurkan dunia dengan sinaran cinta

Tidurlah anakanda kesayangan bonda
Hadirmu ke dunia bawa bahagia
Dipayungi oleh sayap kasih sayang ayahanda bonda
Bahagia hidupmu hingga ke hari tua


Cinta terkaku mendengar gurindam itu dan seketika dia terpempan. Jawapan pada teka teki itu terbentang di hadapan matanya kini. Ya, dia sudah menemui jawapan itu setelah bertahun-tahun melalui perjalanan panjang yang sangat sepi.

Cinta membawa Kecut dan anak meraka pulang ke kampung halamannya. Kampung itu masih dilanda kegelapan tanpa cahaya yang hadir menumbuhkan tanaman. Bertepatan dengan harijadinya itu, Cinta bersama kecut, anaknya, ibubapanya dan masyarakat kampung berkumpul di bawah pohon beringin rendang itu. Cinta segera meletakkan kotak kayu itu di atas altar purba seraya berkata.
“Aku tahu pada jawapanmu. Soalanmu tentang siapakah yang hadir dipayungi sayap dua malaikat penyayang. Jawapannya adalah ANAK. Anaklah punca kebahagiaan. Anaklah cinta. Anaklah yang tempat aku merasa bahagia. Dan kini aku mengerti tentang kasih sayang kedua orang tuaku terhadap seorang anak…!!”

Di saat itu kotak kayu yang sentiasa tertutup itu terbuka luas. Keluar tujuh cahaya berbilang warna meluncur laju ke langit dan berdentum umpama meriam di udara. Pelangi naik merentang di langit tinggi. Suria memunculkan diri setelah bertahun-tahun bersembunyi. Dalam hati Cinta membuak kebahagiaan dan cinta pada Kecut, pada puteri mereka dan pada ayah dan ibunya.

Di hadapan penduduk kampung tersedia meja penuh dengan hidangan jamuan, sebiji kek harijadi dan anak patung askar memukul gendang sebagai hadiah harijadi untuk Cinta. Selamat Hari Jadi buatmu Cinta. Selamat Hari Jadi yang ke-34…


Indera Kencana Bin Muhammad Suria
12.03.1974

Wednesday, March 05, 2008

Gadis di dalam LRT

Bunyi bising berdengung umpama lebah itu mengejutkan saya. Letih benar rasanya hari ini dengan laporan prestasi tahunan yang akan dihantar ke ibu pejabat di Putrajaya terpaksa disiapkan dengan segera. Maka melilaulah saya di sekitar Unit ABT memohon data-data yang berada dalam simpanan mereka. Akhirnya, kerja yang sepatutnya disiapkan pada jam 12.00 tengahari terpaksa dibawa sehingga ke pukul 3 petang. Habis sahaja laporan itu dikemaskini, saya mencapai beg galas dan terus berkejar ke stesen LRT yang berhampiran. Saya mahu makan, rehat dan terus tidur di katil saya.

“Tidur lepas Asar itu mewarisi kegilaan!!” leter Fendi pada saya setiap kali dia pulang kerja melihat saya melingkar umpama ular sawa di ruang tamu apartment kami.

Namun saya selalu jarang mengambil endah leteran Fendi itu. Sudahnya, nasihat itu tidak lebih dari hanya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Stesen LRT Putra Kelana Jaya lengang seperti biasa kerana pekerja-pekerja di sektor swasta dan kerajaan masih belum pulang lagi. Sampai sahaja gerabak LRT itu, saya memilih tempat duduk di bahagian tengah dan terus lena tidak sedarkan diri. Jika tidak kerana bunyi bising dengungan sembang dan jerit pekik budak-budak sekolah itu, sudah pastilah saya akan terus lena sehinggalah ke Stesen Putra di Gombak.

LRT itu sudah melewati Stesen Abdullah Hukum. Tempat duduk kesemuanya penuh dengan budak-budak sekolah yang entah dari mana datangnya memenuhi gerabak itu sehinggakan saya sedikit lemas bila badan mereka menutupi cahaya matahari yang menerjah masuk. Berdiri di hadapan saya ialah 3 orang murid perempuan yang saya kira berusia dalam lingkungan 15-16 tahun. Dari gaya mereka, jelas mereka ini bukan datangnya dari kotaraya ini. Mungkin mereka ini mengikuti rombongan sekolah!!!

Ketika LRT itu melewati Stesen Bangsar, lelaki Punjabi yang duduk di sebelah saya turun. Budak-budak perempuan itu berpandangan sesama mereka.
“Pakcik, boleh saya duduk kat sini?” kata salah seorang daripada mereka sambil menunjukkan tempat duduk di sebelah saya yang dikosongkan oleh lelaki Punjabi itu tadi. Saya mengangguk. Pakcik????? Sedikit jengkel apabila dipanggil Pakcik. Tua sangatkah saya?
“Roman muka engkau memang nampak tua pun Indera” saya teringat kata-kata Faisal yang pernah mengejek roman saya yang nampak lebih berusia dari umur sebenar. Barangkali saya perlukan SKII Essence untuk menjadikan saya kelihatan muda remaja.

Bosan dengan hingar-bingar dan perjalanan yang sunyi itu, saya cuba membuka bicara dengan budak perempuan yang duduk di sebelah saya itu.
“Dari mana ye..?”
“Ye..? Pakcik tanya saya ke..?” tanya budak perempuan itu.
“Ya!! Datang dari mana ni?”
“Dari Ipoh, Pakcik..”
“Ikut rombongan sekolah?”
Budak perempuan itu mengangguk.

Stesen berikutnya, Pasar Seni…. Next Station, Pasar Seni

Budak perempuan itu tertinjau-tinjau sekeliling sementara dua lagi rakannya menguis-nguis hujung kasutnya. Saya menjeling kasutnya. Kasut kanvas yang baru. Tetapi mempunyai corak yang berwarna-warni, kuning hijau dan merah bercampur aduk. Nampak lucu sangat.
“Dari sekolah mana?” tanya saya lagi
“Sekolah Hulu Kinta..”
“Oooohhh…” saya mengangguk perlahan.
“Pakcik tahu ke..?” tanya budak itu.
“Tahu apa?”
“Sekolah saya tu…” duga gadis itu.
“Tahu.. sebab saya pun orang Perak juga”

Penumpang masuk berpusu-pusu menjadikan gerabak yang sempit itu bertambah sesak. Budak-budak sekolah yang mengikuti rombongan itu bertambah hingar berhimpit-himpit.
“Berapa hari rombongan sekolah?” tanya saya.
“Dua hari… semalam ke Melaka. Hari ini Kuala Lumpur. Petang ni baliklah” katanya sambil membelek-belek kasut kanvasnya. Sesekali dia tersenyum memandang kasut kanvasnya itu. Semacam rasa bangga.

Stesen berikutnya, Masjid Jamek…. Next Station, Masjid Jamek

Saya pandang bajunya. Nampak lusuh. Saya pandang pula tudung putih yang dikenakannya. Nampak kekuningan.
“Mak kerja apa?” tanya saya.
“Mak kerja kilang buat sarung tangan..” katanya.
“Ayah..?” saya seolah-olah penyibuk mencungkil rahsia.
Beberapa saat dia mengambil masa untuk menjawab soalan saya. Seketika dia mendongak memandang kawan-kawannya.
“Ayah tak kerja…. Ayah saya penagih dadah” katanya sambil melarikan wajah memandang pemandangan sekeliling yang ditutupi oleh terowong yang gelap. Seakan malu untuk saya melihat wajahnya. Ada kolam yang bertakung di matanya. Simpati saya datang mencurah-curah.
“Pakcik, ayah dia doktor… hehehehehehe” kata salah seorang dari kawannya yang berdiri itu sambil ketawa. Dia kemudiannya menyepak kaki kawannya itu. Cara anak remaja bergurau!!.

Kami terdiam. Saya kebuntuan akal untuk bertanya. Menyumpah kelancangan mulut saya yang menanyakan soalan seumpama itu.
“Errrr… cantik kasut. Mana beli?” saya mengalihkan persoalan.
Dia tersenyum. “Beli tadi kat kedai kasut.. Mak bagi RM20.00 suruh tukarkan kasut saya yang koyak” katanya malu-malu.
“Cantik ke Pakcik?” dia bertanya pendapat saya.
“Eh… cantik. Cantik betul” kata saya.
Sebenarnya kasut itu amat janggal dikenakan. Jika dibelikan untuk dibuat hadiah pada anak-anak hartawan Kuala Lumpur ini nescaya akan terus masuk ke dalam bakul sampah dalam sekelip mata.


Dia anak orang susah yang hidup di pinggir bandaraya Ipoh. Istilah fesyen memang jauh dari kamus hidupnya.

Stesen berikutnya, Dang Wangi…. Next Station, Dang Wangi

“Nak pergi mana ni..?” tanya saya.
“Cikgu nak bawak pergi KLCC..”
“Pernah sampai KLCC..?” duga saya.
Dia geleng kepala.

“Besar tak KLCC tu Pakcik..?” tanyanya lagi.
“Tengoklah sendiri nanti” kata saya sambil tersenyum.
“Pakcik tinggal di Kuala Lumpur?”
“Errrr… ya. Kenapa tanya?”
“Seronoknya Pakcik dapat tinggal di Kuala Lumpur…”
“Seronok…? Hahahahahaha..” saya ketawa gelihati.
“Kenapa? Mesti seronokkan dapat tinggal di bandar besar macam Kuala Lumpur ni?. Saya pun kalau dah habis sekolah nanti pun nak cari kerja kat KL ni”

LRT itu berhenti di Stesen Dang Wangi. Penumpang keluar dan masuk. Kemudian dari arah sisi, masuk seorang wanita dalam usia 20-an dengan pakaian seksi, dengan solekan terkini. Lengkap dengan beg tangan jenama antarabangsa dan aksesori seperti tulang ikan terjurai pada tengkuknya. Ketiga-tiga budak perempuan itu seakan kagum melihat wanita itu.

“Kalau nak kerja kat KL, kena rajin-rajin belajar. Baru “seronok” duduk KL” kata saya. Tahukah mereka betapa beratnya bebanan hidup di kotaraya ini. Mereka hanya memandang Kuala Lumpur dari kulitnya yang licin dan ranum. Tetapi saya memandang Kuala Lumpur dari isinya yang busuk. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

Kenapa pula lawatan ke KLCC pula yang dimasukkan ke dalam agenda lawatan? Apa signifikannya lawatan itu terhadap pembangunan minda pelajar sekolah yang datang dari luar bandar? Apa perlunya menunjukkan gedung-gedung dan toko-toko yang menjual barangan berjenama mahal hatta gaji ibu ayah mereka sebulan pun belum tentu dapat membeli sehelai baju di sana? Tidakkah dengan melihat anak-anak hartawan Kuala Lumpur yang berpelesaran di sana hanya akan mengundang perasaan sedih dalam diri murid-murid ini tentang betapa berbezanya status kehidupan mereka jika dibandingkan dengan remaja-remaja yang berpeleseran itu?

Stesen berikutnya Kampong Baru….. Next station, Kampong Baru

“Lepas ni nak pergi mana?” tanya saya.
“Cikgu kata lepas ni kami balik Ipoh” jawab budak perempuan yang sedang berdiri itu.
Hingar-bingar budak-budak sekolah itu masih belum hilang bahkan semakin kuat. Budak perempuan yang duduk di sisi saya itu masih membelek-belek kasutnya.
“Cadang-cadang nak beli apa kat KLCC?” tanya saya.
“Entah..”
“Berapa tambang rombongan ni?” tanya saya.
“RM20.00. Cikgu kutip bulan lepas” katanya.
“Mak bagi berapa buat belanja?” Mungkin juga ibunya ada menyediakan belanja anaknya itu di tempat orang. Dia tersenyum. Mendongak lagi memandang kawan-kawannya.
“Mak kasi RM20.00. Beli kasut jelah…” wajahnya mengingatkan saya pada Khairyn. Moga Khairyn sentiasa bahagia di Glasgow sana.

Tiba-tiba saya teringatkan wang upah pendahuluan menyiapkan laporan yang diberikan oleh Encik Murad. Saya tarik sehelai not berwarna biru kehijauan itu.

Stesen berikutnya, KLCC…. Next station, KLCC

“OK, murid-murid…. Kita dah nak sampai. Kejutkan mana kawan yang tertidur. Jangan ada yang tertinggal pulak!!” Nyaring kedengaran suara guru lelaki meneriak dari hujung sana.

“OK… awak semua dah sampai dah… jumpa lagi” kata saya. Budak-budak perempuan itu tersenyum.
“Belajar sungguh-sungguh. Jangan banyak main” saya berleter mengalahkan ibubapa mereka sendiri.
“Errrr… tak ada apa yang dapat Pakcik bagi sebab sudi bercakap dengan Pakcik. Terimalah ini sebagai tanda perkenalan dari Pakcik. Buat belanja..” kata saya sambil menghulurkan not biru itu. Dia geleng kepala. Tidak mahu menerima. Not itu terbiar tidak bersambut. Seketika ditarik oleh kawannya yang berdiri. Dia lekas-lekas merebutinya.
“Kongsi bertiga, ye..!!” pesan saya. Mungkin lepas juga jika mereka ingin membeli air ataupun snek di KLCC yang mahal itu.
“Terima kasih” katanya apabila LRT itu tiba di stesen KLCC.
Dia bangun dan bergerak ke pintu.
“Errr… siapa nama?” tanya saya.
“Salwani” katanya sambil tersenyum.

Ramainya penumpang yang turun membuatkan gerabak itu terus lengang menghala ke arah Ampang Park. Tiba di Stesen Ampang Park, masuk sepasang kekasih remaja duduk bertentangan dengan saya. Bergaya dengan ranggi. Yang perempuan memakai jeans dan T-Shirt singkat menampakkan pinggang. Yang lelaki pula berambut tercacak dengan rantai berkilau melilit di pinggang. Terus duduk sambil merangkul pinggang kekasihnya dan bercumbu mesra. Langsung tidak memperdulikan mata-mata yang memandang…
Kuala Lumpur!!! Dan saya pula tersenyum…