Monday, September 08, 2008

Datanglah ke dalam hatiku, Ramadhan...

Ramadhan ini tidak lagi seperti dahulu. Saya sendiri pun tidak tahu, sejak bila saya tidak lagi merasai kemeriahan Ramadhan. Jika dahulu, kedatangan Ramadhan akan membuatkan saya penasaran. Memikirkan bahawa saya seharusnya mempersiapkan diri untuk menahan lapar dan dahaga di sepanjang hari dalam tempoh sebulan. Maka, di dalam keazaban meniti Ramadhan itu, pastinya akan disulami dengan pelbagai macam ragam dan kerenah saya yang mewarnai Ramadhan tahun-tahun tersebut. Dulu Ramadhan sememangnya meriah.

Kini Ramadhan datang lagi. Namun datang dan perginya seperti sudah tidak berbekas di hati saya. Hati saya menerima sepenuhnya kedatangan bulan yang mulia ini. Tetapi saya agak hairan. Kenapa tiada lagi kemeriahannya menerpa ke dalam hati?.
“Subhanal malikil Ma’buud.. Subhanal malikil maujuud…”

Laungan yang sering dibacakan setiapkali rakaat silih berganti. Namun suara yang keluar dari mulut saya bagaikan mendatar. Tidak seperti tahun-tahun saya di alam persekolahan dahulu. Laungan ini akan bergema membelah hening masjid sehingga menggetarkan hati insan-insan yang mendengarnya.

Saya merasakan kehilangan sesuatu. Sesuatu yang saya sendiri tidak pasti. Namun apa yang pasti, kehilangan itu semakin kuat dirasai ketika hadirnya Ramadhan. Saya berharap, saya berupaya menemui jawapannya. Akan tetapi sehingga kini jawapan itu masih tidak saya ketemui.

Apa yang pasti, di saat ini saya kesunyian. Kesunyian ini akan diisi dengan segala memori indah di masa lampau yang saya kira umpama racun yang lazat. Semakin dikenang, semakin saya asyik. Tanpa saya sedari bisanya sudah menular menyerap ke segenap ruang hati. Sungguhpun saya menginsafi akan kesan kenangan-kenangan ini pada jiwa raga saya, saya tetap enggan melepaskannya pergi.

Di saat kesunyian ini, saya akan mengenangkan orang-orang yang telah lama pergi meninggalkan saya. Mengingati saat-saat keriaan menyambut Ramadhan bersama mereka. Lantas hati saya menjadi sebak. Kemudian akan timbul perasaan bahawa saya ini sepatutnya sudah pun mengikuti jejak langkah mereka yang pergi. Akan tetapi masa saya sahaja yang masih belum sampai lagi…

Mak selalu bising apakala saya menyuarakan rasa hati saya lewat tahun-tahun kebelakangan ini.
“Jangan dilayan bisikan syaitan!!” sergah Mak.

Entahlah Mak. Saya sedar bahawa bintang saya tidak secerah bintang orang lain. Saya pasrah. Segalanya itu sudah ditetapkan oleh Allah di Lauhil Mahfudz lagi. Saya sudah berusaha mengubah nasib saya. Akan tetapi, takdir itu masih juga berdegil untuk bertukar bentuk. Lantas menerbitkan kesedihan yang mendalam di dalam jiwa saya. Saban hari, saban malam saya mengadu kepada Allah akan permasalahan saya ini. Tidak putus doa saya.
“Hatimu tidak tenang sebenarnya Indera. Fikiranmu dan hatimu tidak sekata. Tidak sejiwa. Kerana itu engkau sering sahaja tidak memperolehi apa yang engkau inginkan” kata seorang teman.

Benarkah begitu?

Ramadhan ini akan memasuki hari kesepuluh. Di hari yang kesepuluh hingga hari yang kesembilan belas ini, keampunan Allah akan berlumba-lumba turun memayungi sekelian umat manusia yang berhajat kepadanya.
“Bukalah pintu hatimu untuk menerima cahaya Ramadhan ini, Indera” teringat kata-kata Abang Azizuddin, senior saya di sekolah sewaktu kami sama-sama mengikuti usrah seusai solat Asar dulu. Saya sentiasa ingat kata-kata itu, bang…. Tetapi bagaimana pula jika saya tidak dapat melihat kedatangan Ramadhan itu?
“Jika engkau tidak dapat melihat dengan mata zahir, lihatlah dengan mata hati” kata Abang Zul, station master IntraKota yang bertugas di Melawati.

Saya menghela nafas panjang. Ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan, bukanlah pada menahan rasa lapar dan dahaganya sahaja. Tetapi lebih daripada itu. Ramadhan itu sebenarnya punya jiwa dan rasanya tersendiri. Ianya akan berkunjung kepada sesiapa yang benar-benar sudi menerima kedatangannya. Ramadhan itu persis seorang manusia datang bersama hadiah dan pemberian yang bertamu ke serambi rumah. Jika betul dengan cara dan gayanya, Ramadhan akan datang berkunjung memeriahkan anjung hati. Jika tidak betul gayanya, Ramadhan akan merajuk pergi meninggalkan kita sendirian. Entah bila akan hilang rajuknya.

DARIPADA Sahl bin Sa’ad berkata bersabda Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Indera : Selamat berpuasa buat seluruh muslimin dan muslimat

Tuesday, August 19, 2008

Konsert Fotograf 1992 - Pesta Laut Lumut


Saya memulas tombol pintu rumah Cikgu Radzi. Ehhhh..? tidak berkunci. Tetapi tiada kelibat manusia pun di dalam rumah itu. Barangkali Cikgu Radzi ke dewan makan asrama untuk makan malam. Peti television yang terpasang tanpa siapa yang menontonnya. Dari corong suara, jelas kedengaran suara lunak Aziah Jasmin, pembaca berita TV3 sedang membaca berita setempat yang berlaku di siang hari tadi.

Saya berkira-kira untuk masuk. Walaupun rumah Cikgu Radzi, cikgu bujang terlajak itu begitu biasa dengan saya, namun apabila bersendirian, saya tetap teragak-agak untuk masuk. Bimbang sekiranya terdapat kehilangan barang, lantas saya dituduh mengambil barang orang. Terus saya duduk di bangku panjang di hadapan rumah itu sambil mengadap malam yang pekat.

Sejak tamat peperiksaan SPM, rumah cikgu bujang itulah tempat saya dan kawan-kawan berkumpul menghabiskan masa. Bukan ada aktiviti khusus. Sekadar menonton kaca television. Bukan tidak boleh menonton di rumah Mak, tetapi menonton television di rumah cikgu itu juga tetap lebih menyeronokkan. Sementelahan guru itu pula langsung tidak ambil kisah dengan kehadiran kami. Bahkan ada juga teman penghiburnya di kala bersendirian tanpa kehadiran seorang insan bergelar isteri.

Entah kenapa sejak tamat peperiksaan ini, Mak dan Apak seolah-olah kurang ambil endah tentang aktiviti seharian saya. Jika dulu saya harus berada di rumah sebelum jam 7.00 malam, kini jika saya beralasan tidur di rumah Cikgu Radzi atau tidur di surau selepas bermain rebana, Mak dan Apak tidak bertanya lanjut. Mungkin Mak dan Apak menyedari disiplin yang dikenakan ke atas kami adik beradik membuatkan saya tidak mengenali masyarakat kampung dan golongan tuanya. Jadi setelah saya tamat sekolah dan setelah saya menyuarakan keinginan hati untuk mempelajari seni bermain rebana, Mak dan Apak merasakan mereka harus bertolak ansur.

Alang menyertai saya duduk di bangku panjang itu. Setelah Tok Haji Suffian menamatkan bacaan doa seusai Solat Isyak tadi, dia mengadu perutnya memulas-mulas. Lewat ke tandas agaknya dia.
“Cikgu Radzi mana?” tanya Alang.
“Entah…!! pergi makan kot” jawab saya.
“Habis tu siapa yang tengok TV tu..?” tanyanya lagi.
“Hantu” jawab saya pendek.

Kami duduk mengelamun. Memandang jauh ke padang bola yang diselubungi kegelapan. Di seberang itu pula, rumah Tok Musa. Ayah si Alang. Jaraknya dengan rumah Cikgu Radzi tidak sampai 400 meter. Namun sejak tamat sekolah ini, boleh dikatakan setiap malam, tidur Alang harus di rumah Cikgu Radzi.

Pabila tangisan embun pagi
Mimpi indah
Entah ke mana menghilang
Itulah kenyataan


“Indera, lagu Fotograf “Di Alam Fana Cintamu” memang sedap gilalah. Engkau suka lagu tu tak?”
“Hurrmmmm… tak sedap langsung. Aku suka lagu “Takdir dan Waktu” kumpulan Mega” sahut saya.
“Huhhh… engkau memang tak sama selera dengan aku. Memang dari dulu lagi” kata Alang separuh sebal.
“Ehhhh… hujung minggu ni ada konsert Fotograf kat Pesta Laut Lumut. Jom kita pergi tengok nak?” Alang mula memberi cadangan.
“Siapa yang pergi? Kita berdua saja ke? Kalau kita berdua je, aku tak naklah. Lagi pun kita bukannya bercinta nak pergi berdua-duaan” jawab saya acuh tidak acuh. Tetapi Alang pula melompat mendengar kata-kata saya.
“Muluuuuttt… celuparnya!!! Kita bukan pergi berdualah Dol… nanti aku ajaklah kutu-kutu kampung ni ikut kita sekali. Pergi dengan engkau je buat apa?”
Sebentar kemudian, Lan dan Duan tiba dengan menaiki motosikal sebaik sahaja Cikgu Radzi muncul dari gelap malam dari arah dewan makan. Seperti berjanji pula mereka munculnya. Sebaik sahaja Cikgu Radzi masuk ke rumah, kami pula berebut-berebut mengekorinya masuk seperti anak kambing keluar kandang.

Malam itu kami melepak dan bermalam buat sekian kalinya di rumah Cikgu Radzi. Tersengih sahaja cikgu yang pendiam itu melihat kami bergasak dan bergusti. Gaduh-gaduh manja. Penat melayani kerenah kami, Cikgu Radzi angkat punggung masuk ke biliknya meninggalkan kami yang terus menonton kaca television sehingga ke santak pagi di ruang tamu. Setiap pagi pula, apabila dia ingin keluar bertugas di sekolah, dia harus berhati-hati melangkahi tubuh kami yang bergelimpangan tidak tentu hala macam kucing mati di ruang yang kecil itu.

“Woiii.. dengar sini!! Aku ada berita baik punya” kata Alang setibanya dia di rumah Cikgu Radzi. Lan dan Duan yang sedang asyik bermain Dam Aji mengangkat kepala ingin mendengar bunyi butir berita baik itu. Cuma saya sahaja yang masih leka menatap suratkhabar lama yang banyak terperuk di tepi dapur itu.
“Indera, engkau dengar aku cakap ni tak?” marah Alang apabila saya seakan tidak memperdulikan pengumumannya itu.
“Aku dengarlah ni!!”
“Habis tu yang engkau dok leka baca suratkhabar tu…?”
“Aku dengar dengan telinga. Bukan dengan mata!!!”

“Aku dah cerita kat Abang Mad Kona yang kita nak tengok konsert Fotograf. Dia kata dia boleh bawak kita dengan van dia. Tapi dia caj RM75.00. Tu termasuk tambang pegi balik tu. Amacam? OK tak?”
“Kita berempat ni je ke?” tanya Duan.
“Ha-ah.. kalau kita berempat je, mahal tu. Baik aku naik bas..” tambah Lan pula.
“Alaaa kome ni. Nanti aku ajaklah kutu-kutu kampung yang berminat. Hiieee kome ni, lembap daya pemikiran!!” kata Alang.

Petang Sabtu itu kami semua sudah berhimpun di pekan. Tidak sabar menanti kemunculan Abang Mad Kona dengan van buruknya. Punyalah susah saya mencari padanan baju yang sesuai untuk ke konsert itu. Baju ada. Seluar yang tiada. Ini kerana semua seluar yang saya ada, semua seluar berkain lembut. Tiada satu pun seluar jeans. Mana sesuai seluar slack dibawa ke konsert. Harus diketawakan orang bila gaya seperti mahu masuk ke pejabat. Akhirnya, senyap-senyap saya merembat seluar jeans Yeop, abang saya yang sulung. Seluar jenama Lee kesayangannya itu harus jangan sesiapa yang mengusik. Harus kena penampar Jepun. Tetapi konsert punya pasal, saya memasukkan seluar jeans itu senyap-senyap ke dalam beg plastik sebelum berhamburan berlari keluar menuju ke pekan. Di belakang Kedai Nana Hameed, saya menukar seluar saya. Itu pun masih londeh seakan mahu lucut.
“OK, siapa-siapa yang jadi pergi tu, bak mai sini RM5.00. Bayar kat aku. Abang Mad Kona sampai nanti, aku kasi terus kat dia” kata Alang.

Sampai sahaja van putih kepunyaan Abang Mad Kona itu, masing-masing berebut masuk. Masing-masing ingin mendapatkan tempat yang paling cantik dan sesuai. Barangkali Abang Mad Kona sudah tahu akan jumlah penumpangnya seramai 15 orang, maka tempat duduk belakang van itu sudah siap ditanggalkan. Maka, kami pun terpaksa duduk bertinggung berasak-asak di dalam van itu umpama tin sardin. Jika berlaku kemalangan, nescaya kami akan mati katak kerana van itu tidak diinsurankan.
“Budin, engkau kata engkau tak jadi pergi” Lan menegur Budin yang duduk di sebelahnya.
“Asalnya memang aku tak jadi pergi sebab aku tak cukup RM3.00” jawab Budin.
“Habis sekarang ni dah cukup duitlah?” teka Lan.
“Ha-ah.. sebab pagi tadi masa aku lalu dalam kebun Pak Aji Munik, aku terjumpa durian 3 biji. Aku pun juallah” jawab Budin.
“Itu durian Pak Aji Muniklah woii.. engkau mencuri namanya tu” kata Lan lagi.
“Aku bukan mencurilah. Aku pinjam je durian tu. Esok-esok bila durian Apak aku luruh esok, aku gantilah durian Pak Aji Munik tu”
“Yelah tuuuu….”

Pesta Laut Lumut yang diadakan saban tahun itu memang meriah. Orang yang berkunjung datang dari pelusuk Negeri Perak. Ada pameran, ada jualan cenderamata dan barang-barang, ada permainan rakyat, ada persembahan kebudayaan dan juga pentas terbuka. Tapak pesta itu sudah penuh sesak sejak dari awal petang lagi.
“Tunggu abang kat pintu masuk ni pukul 11.30. Nanti abang datang ambil kamu semua” janji Abang Mad Kona sebelum berlalu pulang.

Kami sampai sudah menjelang senja. Setelah menyudahkan solat maghrib, kami duduk di tepi pantai sementara menanti waktu konsert bermula. Mujur sahaja malam itu tidak hujan. Jika tidak, pasti kami sudah basah kuyup lantaran tapak pesta itu tiada langsung binaan yang dapat dijadikan teduhan. Dengan duit RM2.00 kami terpaksa berjimat dengan membeli sebiji burger dan segelas air minuman buat pengalas perut.

Tepat pukul 9.00 malam, konsert Fotograf bermula. Kami pun menyertai orang ramai yang berduyun-duyun di bawah pentas terbuka itu. Apabila Shamrin, penyanyi utama itu keluar dari belakang pentas, orang ramai bersorak dan bertepuk tangan. Malam itu Shamrin mengenakan T-Shirt tanpa lengan berwarna kuning air dan seluar Jeans koyak di peha. Dengan rambut yang tercacak itu, Shamrin nampaknya menjadi kegilaan gadis-gadis rockers yang menyaksikan konsert itu.

Bila terpejam lena
Jasadku tidak berdaya
Mencari engkau di mana
Hanya dalam mimpi indah

Bila aku terjaga
Jasadku terus berdiri
Mencarimu tiada lagi
Berkubur di alam mimpi

Apakah aku yang terlupa
Antara lena dan terjaga

Di waktu malam pemisah
Yang nyata menjadi mimpi
Di sini engkau menanti
Bersama harum kasturi
Bagai mekarnya bunga cinta
Di alam nyata penuh rahsia

Pabila titisan embun pagi
Mimpi indah
Entah ke mana menghilang
Itulah kenyataan

Engkau biarkan aku terbuang
Di alam fana cinta
Kau pula berdusta

Ku terpenjara aku terpenjara
Di dalam lena
di dalam jaga

Wahhhh… lepas hajat Alang untuk menyaksikan Shamrin menyanyikan lagu itu secara live di konsert. Konsert itu usai pada jam 11.00 tetapi sehingga ke jam 12.30, kelibat van buruk Abang Mad Kona masih tidak kelihatan.
“Jangan-jangan Abang Mad Kona ni sesat kat Disco Dangdut, tak?” teka Joe Kintan seakan-akan mahu menghantukkan kepalanya ke pokok akasia yang besar peha akibat terlalu lama menunggu.
“Entah-entah dia dah ada kat rumah tengah sedap membuta” teka Sahak pula.
Masing-masing memandang Alang. Alang mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

Mahu tidak mahu, kami terpaksa tidur di tepi pantai itu. Dengan angin yang dingin, dengan nyamuk yang menghurung umpama kapal terbang Jepun di telinga, kami pujuk mata supaya lelap. Akan tetapi saya tetap tidak dapat lena. Mungkin tempat itu agak asing bagi saya menyebabkan mata saya enggan layu. Hampir ke jam 4, barulah mata saya mahu pejam. Barangkali sudah terlalu letih berjaga.

Bangun pagi itu, kami mandi di surau yang berhampiran. Namun setiap orang merungut apabila kepala dipenuhi pasir seakan ditaburi oleh seseorang.
“Ni Alang yang nak sangat tengok konsert ni. Kalau tak, kita tak susah macam ni” kata Man anak Pak Usin Mondok membebel-bebel.
“Dah aku pulak disalahkannya..” kata Alang.

Apabila jam 10 pagi, Abang Mad Kona masih belum kelihatan, akhirnya kami ramai-ramai bergerak keluar dari tapak pesta itu berjalan menuju ke jalan besar yang jaraknya hampir 10 batu. Habis basah baju dek lencun peluh. Tiada bas yang masuk ke tapak pesta itu. Mujur masing-masing ada membawa duit lebih. Dapat juga digunakan untuk membeli sarapan dan juga tambang bas pulang ke kampung.
“Sampai nanti, aku nak belasah Abang Mad Kona ni sampai mati. Tengoklah nanti..” kata Alang sambil menampar dinding bas. Geram sungguh dia bila Abang Mad Kona tergamak menipu kami.

Sampai sahaja di kampung, jam sudah melepasi waktu zohor. Sebaik sahaja meletakkan beg di rumah Cikgu Radzi, kami ramai-ramai ke rumah Abang Mad Kona. Rupa-rupanya Abang Mad Kona baru selesai makan tengahari. Melihat sahaja kedatangan kami, Abang Mad Kona ketakutan berlari melompat tangga belakang rumahnya. Namun kelibatnya berlari masih sempat kami lihat.

Sewaktu Abang Mad Kona berlari di balik reban ayam, kakinya terseradungkan akar pokok rambai. Lantas jatuh terguling-guling dikeroyok dek budak-budak yang seramai 10 orang itu. Masing-masing mengambil kesempatan menendang punggung Abang Mad Kona sebelum masing-masing pecah ketawa terbahak-bahak. Kak Yah yang mulanya menjerit melihat suaminya dikeroyok oleh budak-budak itu kemudiannya ternganga kehairanan.

“Itulah… siapa suruh Abang Mad tipu kami? Haaaa… padan muka kena tendang punggung tu.. hehehehehehehe” kata saya ketawa lanjut.
“Minta maaflah oiiiii…. Abang letih sangat semalam sampai terlena. Abang nak ambil kome semua pagi ni, abang takut sebab abang dah mungkir janji” entah benar entah tidak alasan itu.
“Abang bayar duit kome tu…” kata Abang Mad Kona lagi sambil mengibas kotoran yang lekat di baju.
“Tak payahlah Abang Mad. Kira halal dahlah” kata Alang pula.
“Oklah. Kalau macam tu, minggu depan Abang Mad bawak kome tengok konsert lagi. Kali ni free. Abang Mad tuang minyak” usul Abang Mad Kona.
“Iya??? Konsert siapa?’ tanya Duan.
“Konsert Amelina…”

Huuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu…

Monday, August 18, 2008

Leha III (Zaleha Najwa)


Cuaca pagi itu sangat nyaman. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Namun kesejukan masih lagi membungkus persekitaran asrama. Leha masih lagi duduk di tepi katil sambil memandang jauh keluar jendela. Di koridor asrama, penghuni asrama berpapasan sesama mereka. Ada yang baru selesai bersarapan. Ada juga yang baru tertinjit-tinjit ke dewan makan walaupun waktu sarapan pagi hampir tamat.

Pagi-pagi Sabtu seperti ini tiada aktiviti tetap. Tambahan pula pada hari ini, pelajar-pelajar dibenarkan untuk keluar ke Bandar Ipoh untuk melakukan aktiviti mereka masing-masing asal sahaja tidak melakukan sebarang aktiviti tidak sihat sudahlah. Ramai pelajar mengambil kesempatan ini untuk keluar membeli belah barang-barang keperluan ataupun mengubah selera setidak-tidaknya. Asyik mengadap menu dewan makan pun bosan juga.

Leha memandang kuntuman bunga raya yang banyak mengembang di luar tingkap. Cantik dan indah berseri. Sayangnya tidak kekal lama. Sampai masanya, ianya akan melayu dan terus gugur ke bumi. Begitulah juga hidup manusia di dunia ini!!!
“Leha, Leha nak ikut Kak Julia ke Pekan Ipoh tak?” sapaan Julia mengejutkan lamunannya. Leha menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.

Sejak peristiwa malam itu, Julia banyak berubah. Tiada lagi jelingan tajam menikam. Tidak lagi wajah keras membenci. Julia pada pandangan Leha tidak seperti Julia yang ditakutinya selama ini. Yang lebih penting, Julia kini banyak membantunya di dalam pelajaran. Leha seperti bersyukur dipertemukan dengan Julia.
“Kakak dah nak keluar ni. Leha ada teringin nak makan apa-apa? Nanti kakak belikan” kata Julia.
Leha terdiam seketika. Di dalam hatinya teringin untuk makan sejenis makanan yang selalu dibeli oleh rakan-rakannya di asrama. Akan tetapi dia tidak tahu apakah nama makanan itu. Kemudian dia menerangkannya kepada Julia siap dengan lakarannya sekali.
“Oooo.. yang tu burger!!” kata Julia.
“Hah..?? Burger??” Leha kebingungan. Pantas dia menundukkan kepalanya. Malu pada Julia.
Julia sempat menangkap kebingungan itu. Lantas simpatinya datang menerpa. Memang dia anak orang susah, kata hati Julia.
“Tak apalah, Dik. Jangan susah hati. Nanti kakak belikan, ya!!”

Keputusan peperiksaan pertengahan tahun telah diumumkan. Leha berjaya menempatkan dirinya di kalangan 10 pelajar terbaik di sekolah itu termasuk dari kalangan yang bukan melayu. Namun Leha masih tidak berpuas hati. Dia inginkan markah yang terbaik.
“Kadang kala, dalam hidup ini, kita harus menerima segala ketentuan itu dengan seadanya. Sudah setakat itu kemampuan kita yang dikurniakan oleh Allah. Yang penting kita dah berusaha. Pada kakak, apa yang Leha dah capai itu, memang sesuatu yang cukup membanggakan” kata Julia apabila Leha datang mengadu kepadanya tentang keputusan peperiksaan yang diperolehinya.

Cuti pertengahan tahun akan menjelang tiba. Asrama akan ditutup selama 2 minggu. Leha susah hati memikirkannya. Ke manakah dia harus pergi? pulang ke rumah? Bagaimana jika marah Abah masih belum reda selepas dia melarikan diri dari rumah tempoh hari? Bimbang Leha jika dia pulang ke rumah, Abah akan mengurungnya dan enggan membenarkannya pulang ke asrama selepas tamat cuti.
“Kenapa senyap saja? Tak sedap ke lauk tu?” tanya Julia sewaktu mereka menikmati makan tengahari di dewan makan.
“Ha-ah Leha, orang kat Ethiopia tu ramai yang kebulur tak makan. Leha kat sini pula tak suka nak makan. Tak baik tau, tunjuk muka sedih depan rezeki” tambah Khairani pula.
“Sebenarnya Kak, Leha susah hati”
“Susah hati kenapa?” tanya Khairani.
“Cuti sekolah dah nak sampai 2-3 hari lagi. Leha tak tahu nak pergi mana. Leha takut nak balik. Takut Abah tak benarkan Leha balik ke asrama lepas cuti nanti”

Julia tersenyum.
“Leha boleh balik rumah kakak” tawar Julia.
“Ha-ah… kalau tak nak balik rumah Kak Julia, balik rumah kakak pun boleh” kata Khairani pula.
Leha tersenyum.
“Terima kasih Kak Julia. Terima kasih Kak Khairani… tapi nantilah Leha fikirkan tawaran kakak tu ya!!” kata Leha sambil menguis nasi di dalam dulangnya dengan sudu.
Akhirnya, cuti itu Leha habiskan di rumah Julia. Pada Mak dan Abah di kampung, Leha menitipkan sepucuk surat memohon kemaafan kerana tidak pulang bercuti. Tidak pula dia menyatakan sebab sebenar kenapa dia enggan pulang bercuti di kampung.

Julia sememangnya datang dari keluarga berada. Bapanya seorang Jurutera di Jabatan Kerja Raya. Ibunya pula seorang pensyarah di maktab perguruan. Dia mempunyai seorang adik lelaki yang belajar di tingkatan 3 di sebuah sekolah di Ipoh. Dan seorang adik perempuan yang sebaya dengan Leha yang belajar di Sekolah Sri Puteri Kuala Lumpur. Juliza namanya. Mungkin Leha itu banyak mengingatkan Julia pada adik bongsunya itu barangkali. Sungguhpun mereka itu dari keluarga berada, namun penerimaan seluruh ahli keluarga Julia padanya sangat baik. Malah, Leha dapat merasakan kemesraan keluarga itu sehingga dia tidak merasakan dirinya terasing di dalam keluarga orang.
“Leha, Pakcik nak jumpa Leha di ruang tamu sekejap” kata Makcik Jumiatun, ibu Julia sewaktu Leha sedang mencuci pinggan mangkuk selepas makan malam. Serentak dengan itu darah seakan menyimbah naik ke mukanya. Kenapa? Adakah dia melakukan sesuatu yang salah di rumah ini?
“Kenapa Pakcik Aziz nak jumpa saya, Makcik?” tanya Leha kepucatan.
“Tak ada apa-apa, cuma Pakcik tu ada hajat nak sampaikan pada Leha je” kata Makcik Jumi.
“Dah, dah tu… pergi ke depan. Biar makcik yang habiskan kerja ni” kata Makcik Jumi lagi.
“Tapi makcik…” Makcik Jumi sudah membelakangkan Leha. Leha terkunci lidah untuk beralasan. Mahu tidak mahu, dia melangkah lambat-lambat ke ruang tamu. Pakcik Aziz sedang leka menonton kaca television. Di sisinya ada Juliza sedang bersandar pada tubuh Pakcik Aziz dan Julia yang sedang membelek-belek majalah wanita kepunyaan ibunya. Johari pula hilang di biliknya.
“Pakcik sebenar dah dengar semuanya cerita Leha dari Kak Julia. Jadi pakcik rasa, sudah tanggungjawab pakcik sebagai saudara seagama untuk membantu Leha di dalam pelajaran. Setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah itu harus dipulangkan semula kepadanya melalui sedekah dan amal jariah. Beginilah, pakcik rasa pakcik berminat untuk membantu Leha di dalam pelajaran. Hanya itu sahaja yang pakcik dapat buat untuk membantu saudara seagama. Selepas ini, Leha tak usah susah hati tentang masalah kewangan, yuran dan perbelanjaan. Insya-Allah pakcik akan tolong setakat mana yang pakcik termampu” kata Pakcik Aziz.

Leha terkelu lidah tidak mampu bersuara. Dia menguis-nguis hujung permaidani dengan jari kakinya. Setitis dua airmatanya jatuh ke lantai tanda terharu dan bersyukur. Tiada ucapan mampu dilafazkannya hatta ucapan terimakasih pun. Julia, Juliza dan Makcik Jumiatun yang baru keluar dari dapur membawa sedulang kopi turut sama tersenyum.

Kini Leha sedar, tugasnya adalah untuk belajar dengan lebih tekun agar kelak dia tidak mengecewakan harapan semua orang. Kepada Mak di kampung, Leha mengkhabarkan tentang bantuan yang diterimanya dari Pakcik Aziz itu. Balasan surat yang diterima sungguh mengejutkan. Rupanya, Pakcik Aziz senyap-senyap datang berkunjung ke rumah ibubapanya melalui alamat yang terdapat di dalam simpanan Julia, menyatakan kesanggupan Pakcik Aziz menaja pembelajarannya. Abah bersyukur. Mak pun senang hati.

Tahun berikutnya, Leha berada di tingkatan dua. Keputusan SPM bakal diumumkan. Leha tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan Julia dan Khairani yang akan berkunjung ke sekolah menerima keputusan peperiksaan mereka masing-masing. Sampai sahaja mereka berdua di sekolah itu, Leha seakan terpekik. Gembira benar dia dapat berjumpa kembali dengan Julia dan Khairani. Julia mendapat 9 aggregat. Aduuhhhh… satu cabaran buat Leha untuk mengikuti jejak langkahnya. Khairani pula mendapat pangkat dua dengan 25 aggregat. Lagi satu aggregat untuk melepasi pangkat satu. Tampak Khairani sedikit kecewa. Di dalam keriaan bersama rakan-rakannya yang lain, Khairani cuba berselindung. Namun sebaik sahaja kereta ayah Kak Khairani tiba, dari tingkap dometri itu, Leha nampak jelas Kak Khairani menangis di bahu ibunya.

Julia ke Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya. Manakala Khairani pula mengikuti latihan jururawat di Hospital Pulau Pinang. Sekali sekala mereka berhubung melalui surat. Setiapkali Leha menerima balasan surat daripada mereka berdua, akan ada kata-kata semangat daripada mereka.

Sebulan sekali, Leha akan ke rumah Pakcik Aziz dan Makcik Jumiatun. Biar pun Julia jauh di Kuala Lumpur, namun hubungan itu tidak akan putus.
“Julia telefon, dia kata dia doakan semoga Leha berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam SRP nanti. Dia kirim salam” kata Makcik Jumi.
“Wa alaikumussalam. Insya-Allah, makcik. Leha niat kalau ada rezeki Leha lulus cemerlang nanti, kalau boleh Leha nak dia sendiri tengok slip keputusan Leha nanti” kata Leha.

Keputusan SRP bakal diumumkan seperti yang dihebahkan di dalam berita di kaca television. Leha mengetahuinya bila Makcik Munah yang tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya memaklumkan tentang perkara itu. Maklum sahaja rumah mereka tiada menyimpan television.

Malam itu Leha keluh kesah. Gementar dan tidak sabar. Gementar jika dia akan mengecewakan hati ramai pihak.
“Sudahlah tu Leha. Tidurlah. Esok pagi-pagi kamu dah nak ke Ipoh ambil keputusan” kata Mak seakan mengerti apa yang bergelodak di dalam hati Leha.

Sebaik sahaja slip keputusan dipegangnya, Leha memejamkan matanya. Takut melihat keputusan itu. Dia cuba menenangkan hatinya lantas perlahan-lahan membuka mata. Matanya melirik ke nombor-nombor 1, 1, 1, 2, 1, 1, 1 dan 2. Leha seakan tidak percaya. Dia lulus. Dia lulus dengan cemerlang. Menjadikan dia antara pelajar terbaik di sekolah itu dengan keputusan 6A1 2A2. Syukur!!
“Tahniah Leha…. Kak Julia bangga Leha lulus dengan cemerlang” kata Julia melalui perbualan di telefon sewaktu Julia pulang bercuti semester.
“Leha nak Kak Julia tengok sendiri slip keputusan ni”
“Tak apalah Leha. Leha dah lulus cemerlang tu pun sudah memadai bagi Kakak” kata Julia.
“Leha nak Kak Julia tengok juga. Sabtu ni Kak Julia free tak?” tanya Leha.
“Sabtu ni…? Hmmmm… sabtu ni ada jemputan kahwin. Ingat tak Kak Poh Yoke yang kuat lari 100 meter dulu tu?”
“Ingat..”
“Haaa.. dialah yang nak kahwin. Kakak kena pergi majlis dia tu” kata Julia.
“Alaaa… sekejap je Kak Julia. Bolehlah ya?”
“Hmmmm… OK. Kejap je tau. Jumpa Leha depan Bangunan UMNO pukul 10 pagi” kata Julia.
“OK terima kasih. Sayang Kak Julia!!”

Sabtu, mentari memancar terang mendaki langit di timur. Pekan Ipoh ketika itu seperti mana adatnya selalu. Penuh sesak dengan manusia dan kenderaan. Seawal jam 9.30 pagi Leha sudah tercegat berdiri di hadapan Bangunan UMNO yang besar itu. Manusia lalu lalang berpapasan untuk masuk ke pajabat dan keluar sarapan pagi di Taman Kanak-Kanak.

Di celah-celah orang ramai yang lalu lalang di deretan kedai di seberang jalan itu, Leha nampak Julia. Dia mengeluarkan slip keputusan peperiksaannya. Biar perkara yang mula diperkatakan mereka ialah keputusan peperiksaannya itu. Leha tidak sabar. Dia berlari pantas menyeberangi jalan. Dia nampak Julia. Dia nampak Julia seakan terkejut. Terpempan dan tergamam.
“Lehaaaaaaaaaaaaa…. Tungggguuuuuu!!!!!”

TUUUUUMMMMMMMMM
Leha mendengar dentuman kuat. Pandangannya gelap. Seluruh tubuhnya terasa kebas. Kemudian sejuk. Dia rasa badannya dipangku orang!!
“Kak Julia….”
Hanya itu yang mampu dikatakannya.
“Kak Julia…. Leha mengantuk”
“Leha jangan tidur….!!!! Leha…!!!! Ambulans…. Panggil ambulans!!!!!”


******************************

Oktober 1990

“Macam mana belajar kat Universiti Malaya? Senang..?” tanya Kakak saya.
“Macam biasalah Khairani… mana ada belajar yang sentiasa senang?. Mesti ada yang susahnya” Kata Julia melirik ke arah orang ramai yang berpusu-pusu di kaunter Restoran Big Boy di dalam Pasaraya Super Kinta. Sekali sekali matanya jatuh ke burger dalam dulang saya. Saya kebosanan. Tambah pula terpaksa mengadap dua orang gadis itu berbual.
“Leha suka makan burger” kata Julia seakan mengelamun.
“Leha? Leha mana?. Leha junior kita tu ke?”
“Ya”
“Apa khabar Leha sekarang ye!! Macam mana keputusan SRP dia?” tanya kakak saya.
“Dia dapat 6A1 2A2”
“Iyee…????? Bagusnya. Adik aku ni cuma dapat 17 aggregat je. Padan muka, banyak main!!” kata kakak saya sambil mencubit peha saya. Saya mengaduh.

Mata Julia tiba-tiba berkaca. Dia menundukkan kepalanya. Kemudian dia bahunya tersengguk-sengguk. Kakak saya mulai panik.

“Leha dah tak ada!! Dia meninggal dalam kemalangan!! Dilanggar lori depan mata aku sewaktu dia nak tunjukkan keputusan peperiksaannya pada aku. Aku…. Aku… aku tak tahu macam mana perkara ni boleh terjadi. Aku tak sepatutnya jumpa dia hari tu… aku..” Julia gagal meneruskan percakapannya. Dia menangis tersedu-sedu di depan orang ramai di restoran itu. Kakak saya beralih tempat duduk mendapatkan Julia. Mendakapnya. Menenangkannya walaupun kakak saya sendiri bingung. Saya hanya mampu memerhati. Tidak memahami apakah sebenarnya yang sedang berlaku!!!.

**************************************
Mac 2000

Hari Raya sudah berlangsung selama tiga hari. Suasana yang dulunya meriah dengan sanak saudara, teman taulan yang datang berkunjung, semakin lama semakin sepi. Kampung itu seakan kembali seperti sediakala seperti sebelumnya hari raya. Namun begitu, balang-balang kuih masih penuh berisi biskut-biskut raya.
“Cuba kamu ke kedai sekejap. Belikan Mak cili merah sama halia” kata Mak.
Saya menghidupkan enjin motorsikal sebelum menderu menuju ke pekan.

Pulang sahaja daripada kedai itu, saya dapati ada sebuah kereta Honda Civic berwarna perak di hadapan rumah Mak. Kereta siapa pula ini, fikir saya.
“Assalamualaikum” saya memberi salam pada tetamu yang hadir itu. Kelihatan seorang lelaki tegap yang berusia sekitar akhir 30-an. Seorang wanita sebaya dengan kakak saya yang sedang memangku seorang bayi lelaki dan juga seorang kanak-kanak perempuan sekitar usia 4 tahun yang sedang bermain dengan balang kuih Mak.
“Ni la Indera…” kata kakak saya.
“Iya..?? Ya Allah, dah besar melangguk” kata wanita itu.
“Tak ingat?” tanya perempuan itu lagi.
“Kurang cam” kata saya berdalih.
“Ini Kak Julialah. Kita jumpa dalam Big Boy dulu, ingat tak?”
“Ooooo… ingat, ingat” kata saya.

Suasana tengahari itu memang mendamaikan. Matahari yang memancar tidak terlalu garang sehingga boleh menimbulkan bahang yang memedihkan. Nyaman sahaja tengahari ini. Abang Suhaimi, suami Kak Julia sedang leka berbual dengan abang saya yang sulung manakala anak perempuan Kak Julia berkejaran dengan anak-anak saudara saya. Mak pula tekun memasak di dapur.
“Engkau tahu, Khairani, selepas Leha meninggal, ayah aku menaja Zali pula. Alhamdulillah, Zali sekarang di Korea mengambil kursus kejuruteraan”
Kakak saya terharu mendengar cerita Julia.

“Hahahahaha… leka bersembang sampai aku lupa nak tanya nama anak engkau. Yang ni nama apa ni” tanya kakak saya sambil menunjukkan bayi yang berada dalam dakapan Julia.
“Yang ini namanya Muhammad Amirul Farhan” kata Julia.
“Yang si kakak tu pula, nama apa?” tanya kakak saya lagi.
“Zaleha Najwa”
Kakak saya terpaku. Mata Julia berkaca lagi. Kakak saya mulai mengerti.

“Leha… mari sini sayang. Dapat mama” Julia memanggil anak perempuan. Budak itu berjalan terkedek-kedek ke arah mereka.
“Leha kiss mama sikit…”

Budak itu mencium pipi Julia.
“Sayang mama!!”
(“Sayang Kak Julia!!”)


Tamat

Monday, July 21, 2008

Leha II


Cuaca petang itu cerah. Suasananya sekeliling asrama itu sangat mendamaikan. Angin berhembus kencang dari pergunungan di sekitar Lembah Kinta menjadikan kawasan sekolah sentiasa sejuk terutama seusainya hujan.

Leha duduk di kaki lima asrama. Memerhatikan kawan-kawan serta seniornya bermain bola jaring di halaman yang terletak bersebelahan dengan asrama itu. Petang-petang begini, kebanyakan penghuni asrama itu lebih suka beriadah di sekitar asrama daripada menapak jauh ke padang sekolah. Hanya Leha yang duduk di kaki lima itu. Tiada yang menyertainya di situ.
“Leha. Marilah main sekali” panggil Rasyidah, rakan sebiliknya. Leha menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Syidah, buat apa engkau panggil dia?” Leha terdengar Marina merungut.
“Hieee.. aku tak sukalah kat dia… Entah keluar dari hutan mana, entah. Engkau tengoklah kasut sukan yang dipakainya tu… Dah koyak rabak!!! Hiiee..”

Leha tersenyum pahit. Dia mengangkat punggung. Beralih tempat. Dia duduk di bangku panjang berhampiran dengan dewan makan pula. Sudah 4 bulan Leha di sekolah itu. Belum sehari pun dia pulang ke kampung sejak dia lari dari kampung dengan restu ibunya dulu walaupun pihak sekolah membenarkan pelajarnya pulang ke kampung sebulan sekali. Sejak dia masuk ke sekolah itu, ada lima kali dia mengutus surat pada ibunya. Dan dua kali pula ibunya membalas surat itu sambil menitipkan sedikit wang buat belanja. Menurut surat Mak, Mak sekarang bekerja di rumah Cikgu Samah sebagai tukang cuci baju. Dengan wang itulah, Mak dapat mengirimkan kepadanya seringgit dua buat membeli kelengkapan sekolah.

Satu jam setengah dari sekarang, akan masuk waktu Maghrib. Setelah mengerjakan solat, setiap pelajar akan berhimpun di dewan makan untuk menikmati makan malam. Leha merasakan menu hidangan di asrama itu sangat istimewa. Jarang dia merasa lauk pauk seperti itu ketika bersama keluarganya. Mengenangkan itu, airmata Leha seakan gagal ditahan. Lantas membanjiri kelopak matanya mengenangkan adik-adiknya yang hanya berkongsi telur goreng dan ikan seluang goreng. Sedangkan dia di sekolah itu seakan mewah makan.

Preeeeeeeeeennnngggg…. Bunyi motosikal dipecut laju membelah kawasan asrama itu memutuskan lamunan Leha. Rupa-rupanya Kak Manja, tukang masak yang bekerja di dewan makan asrama pulang dihantar oleh teman lelakinya. Kepala Kak Manja terlentok di belakang lelaki itu manakala tangannya melingkar kemas ke pinggang.

Rupa-rupanya kelakuan Kak Manja itu turut diperhatikan oleh pelajar-pelajar tingkatan 3 yang leka bersembang di koridor tingkat dua itu. Mereka kemudiannya berbaris dan berpura-pura menyanyi lagu nasyid menyindir Kak Manja dan teman lelakinya
Ingatlah seksa
Api neraka….


Kak Manja tahu budak-budak itu menyindirnya. Lekas-lekas dia menyerahkan topi keledar sebelum berlari masuk ke dewan makan. Teman lelakinya pula tidak tangguh terus memecut keluar dari kawasan asrama dan menghilang di balik selekoh di hadapan sekolah. Budak-budak di koridor itu pecah hilai ketawa mengisi bangunan asrama. Leha garu kepala. Kalau sudah semua muridnya perempuan!! Macam-macam perangai.

Leha mengangkat punggung lagi. Waktu riadah petang itu sudah tamat. Dia perlu mandi dan menukar pakaian untuk Solat Maghrib dan juga kelas persediaan malam. Tiba-tiba Leha terpaku. Di hadapannya ialah Julia, seniornya yang belajar di tingkatan lima. Sejak peristiwa Leha terlanggarnya dulu, Julia pastinya menunjukkan wajah masam kelat walaupun Leha berkali-kali memohon maaf atas kesilapannya. Sewaktu melintas di hadapannya, Leha sempat melihat dari ekor matanya, jelingan Julia yang tajam menusuk tangkai hatinya. Menjadikan hati Leha kecut.

Kelas persediaan itu hingar bingar dengan pelajarnya lebih banyak yang berbual daripada berbincang topik pembelajaran. Leha khusyuk membuat latihan matematik sebelum Anita, ketua kelasnya datang mengunjukkannya sehelai kertas.
“Apa ni..?” tanya Leha.
“Kumpulan perbincangan. Mula dari esok, seminggu sekali akan ada senior yang mengajar kita. Engkau bacalah sendiri. Malas aku nak ulang-ulang. Asal ada saja yang aku unjuk, mesti tanya apa ni?, apa ni?. Penat aku nak bercakap tau” kata Anita tiba-tiba sahaja mengomel.

Leha meneliti kertas itu. Kandungan pekeliling itu adalah sebahagian daripada program kecemerlangan akademik anjuran sekolah. Semua pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan 3 akan disusun mengikut kumpulan dan diselia oleh seorang pelajar tingkatan lima yang cemerlang di dalam pelajaran. Leha meneliti lagi. Namanya di dalam kumpulan 8 berserta 10 orang pelajar yang lain dan akan diselia oleh Julia Binti Abdul Aziz. Haaahhhh? Aduuhhh… hati Leha mulai gundah gulana bahawa dia akan terpaksa berhadapan dengan Julia.

Sejak dari tengahari lagi Leha sudah berkira-kira. Jangan cakap. Jawab pada perkara yang dibincangkan sahaja. Siang terlalu cepat berlalu. Sedar-sedar, malam datang melabuhkan tirai. Jika boleh dipegangnya matahari itu, pasti Leha akan menahannya dari masuk ke ufuk barat. Malam itu ada sesi perbincangan dengan ketua kumpulan.
“Eh, kamu. Mari sini!!” Leha mengangkat wajahnya. Setiap mata memandangnya.
“Ha-ah.. kamulah. Siapa nama kamu?” Julia bertanya dengan keras memandang Leha. Setiap pelajar kelihatan kecut perut. Takut menentang wajah Julia yang cemberut.
“Errr… Leha. Zaleha Binti Moin” jawab Leha takut-takut. Matanya beralih memandang seorang senior yang tiba-tiba datang berdiri di sisi Julia. Leha kenal dia. Kak Khairani. Leha suka dia. Dia ramah. Hilang sebentar takutnya pada Julia.

“OK Leha. Ada topik yang kamu tak faham?” tanya Julia seakan seorang guru disiplin.
“Saya tak faham topik Nombor Penghampiran”
“OK, mana yang kamu tak faham?”
Leha mengunjukkan buku teks miliknya yang hampir lunyai. Buku itu entah berapa kali berpindah tangan.
“Kamu ada pensil?” tanya Julia. Leha senyap.
“Saya tanya, kamu ada pensil atau tidak?” tanya Julia keras
Leha menganggukkan kepalanya.
“Mana?” tanya Julia lagi.
Leha mengeluarkan dari celah buku-bukunya sebatang pensil sepanjang 3 inci.
“Ini pensil kamu?? Panjang bulu hidung ini kamu kata pensil? kamu gunakan untuk belajar? Kamu ni papa kedana sangat ke??” tengking Julia.

Setiap pasang mata menikam ke arahnya. Julia merasakan mukanya panas. Dia malu. Pantas itu juga, kelopak matanya bertakung buat sekian kalinya. Rasa malu dengan keadaan dirinya menjadikan dia tidak tertahan menanggung lantas melarikan diri bersama esak tangisnya ke kaki lima sekolah.

“Kamu ni Julia, lain kali kalau nak bercakap tu, pandanglah orang sikit. Jangan ikut sedap mulut saja. Tak semua orang di dalam dunia ini yang bernasib baik macam kamu” tegur Khairani.
Julia terkalap seketika. Dia kesal mengeluarkan kata-kata pedas. Bersama-sama Khairani, Julia menuruti langkah Leha di kaki lima itu.

“Memang kami orang susah, Kak. Ayah saya cuma menoreh getah. Mak pula ambil upah cuci baju orang. Adik beradik saya ramai. Kami selalu tak cukup makan nasi terutama bila musim hujan. Cuma yang ada ubi kayu, sayur kampung dan ikan sungai. Kami cuma dapat makan ayam setahun sekali. Itu pun masa hari raya. Mak dan Ayah tak ada duit nak sekolahkan saya. Tak ada duit nak belikan peralatan tulis macam orang lain. Pensil itu pun hadiah dari cikgu saya masa saya di darjah 4. Saya nak balik. Saya rindukan Mak, Ayah dan adik-adik saya. Tapi saya tak ada duit buat tambang. Tak ada siapa yang nak berkawan dengan saya sebab saya miskin” cerita dalam esak tangisnya.
Khairani cuma mampu mengusap belakang Leha. Cuba mententeramkan hati Leha. Julia pula kehilangan kata-kata.
(Bersambung)

Monday, July 07, 2008

Leha


Angin malam berhembus kencang. Sekali sekala terbit bunyi seakan raungan halus apabila tiupan angin yang kencang itu masuk melalui lubang yang kecil. Dari kejauhan, kedengaran bunyi burung kuang menyanyi menjadikan suasana malam itu lebih menakutkan.
Kuwang, kuwang
Kuwiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiitttt

Kata Opah, zaman dulu-dulu orang mempercayai, jika kita terdengar bunyi burung kuang menyanyi, tandanya ada seekor harimau sedang merayau di sekeliling kawasan itu. Leha menelinga. Memang jelas!! Bunyi burung kuang itu dekat sangat dengan dapur rumah. Apakah ada harimau di kawasan ini?

Leha masih duduk di pangkin berhampiran dengan dapur itu. Di rumah ini, tiada bilik untuknya atau katil yang istimewa. Yang ada hanya pangkin kayu yang besar itu. Di situlah tempat makan. Di situ jugalah tempat sembahyang. Dan di situ jugalah tempat tidur dia dan adik-adiknya yang lain. Mak dan Abah tidur di bilik bersebelahan dengan pangkin itu. Itu sahajalah bilik yang ada di rumah itu.

Leha memandang persekitaran dalam rumah itu. Atap zink yang memayungi mereka sekeluarga sudah berlubang-lubang. Jika hujan, air yang menitis mesti ditadah dengan besen ayan. Jika tidak, sudah pasti lantai rumah itu penuh dengan air. Leha meneliti alang bumbung rumah. Nampak sudah uzur benar!!. Sudah mereput. Leha bagaikan terasa-rasa sahaja alang itu patah lantas menghempap mereka adik beradik ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Rumah itu bukan rumah mereka. Rumah itu mereka sewakan dari tuan tanah. Tanah getah yang dikerjakan oleh Abah juga bukan tanah getah Abah. Tanah getah milik tuan tanah yang hasil torehan mesti diserahkan separuh di antara mereka sekeluarga dengan tuan tanah. Hmmmmm… apakan daya. Mereka miskin. Hidup melarat. Tiada saudara mara pula. Kira Leha sudah cukup bernasib baik berjaya menyudahkan darjah enamnya.

Abah belum balik-balik lagi. Entah ke mana perginya. Barangkali Abah pergi menahan taut di Tasik Chenderoh itu. Memang Tasik Chenderoh itu banyak ikan. Ada patin, ada lampam, ada temoleh dan temalian. Lepas jugalah lauk mereka untuk beberapa hari. Memang dari segi makan minum, Leha dan adik-adik tidak pernah kelaparan. Jika tiada beras di dalam tempayan, ubi kayu dan keledek di sebelah rumah boleh saja direbus untuk menggantikan nasi. Pisang ada, pucuk ubi pun ada.

Cuma…. Hmmmm entahlah. Leha takut memikirkan masa depannya. Abah kata Abah tidak punya wang untuk membiayai pengajian Leha di sekolah asrama. Leha cakap, ayah pekakkan telinga. Leha merayu, Abah tetap membatu. Bila Leha tunjukkan surat tawaran sekolah asrama di Ipoh, Abah jegilkan mata.
“Aku ni tak ada duit, kamu tahu tak? Kamu ingat RM150.00 tu macam seringgit lima kupang?”
“Tapi Abah… Leha..”
“Apa..??”
Jegilan dan beliak mata Abah membantutkan percakapannya. Leha tidak berani menentang mata Abah. Dia memandang ke arah Mak yang sayu dengan linangan air mata.
“Kamu nak kalau Abah hantar kamu ke sekolah di Ipoh tu, adik-adik kamu lapar tak makan? Itu yang kamu nak?” tanya Abah sambil menggoncangkan bahunya. Tangisan Leha pecah. Dia meraung. Menggeleng-gelengkan kepalanya. Surat tawaran ke asrama sekolah di Ipoh itu renyuk dalam dalam genggaman.

Leha tersedar dari lamunan apabila Comot, kucing kurus berbulu warna oren datang menggesel di belakangnya. Mak keluar dari bilik dengan air muka yang keletihan. Kasihan Mak!! Mak tidak merasa hidup senang. Usia Mak bukannya sudah lanjut. Mak masih muda. Umur Mak baru 36 tahun. Tapi bila melihat Mak dengan T-Shirt dan kain batik lusuhnya, Mak nampak seperti sudah berusia menjangkau 50 tahun.

Mak duduk di pangkin. Memerhatikan adik-adiknya Zam, Apit, Mon dan Tembam yang terkaparan dalam lena yang panjang. Zali hilang lagi. Katanya hendak mendekut burung wak wak di tepi bendang. Bahaya!! Banyak ular. Tapi Zali langsung tidak mendengar kata. Dia tidak berminat dengan buku. Dalam usia 11 tahun itu, Zali lebih berminat untuk berkebun.
“Betul kamu nak ke sekolah asrama tu?” tanya Mak.
Leha menoleh. Memandang wajah Mak tepat-tepat.
“Kalau kamu betul nak ke sekolah tu, Mak boleh bagi kamu duit”
“Dari mana Mak nak dapat duit? Mak bukannya bekerja” tanya Leha
“Adalah duit Mak sikit. Kalau kamu nak, Mak boleh bagi. Tapi kamu mesti rahsiakan dari Abah kamu”

Hari pendaftaran tinggal satu minggu sahaja lagi. Dalam senyap-senyap Mak menjahit baju sekolah Leha. Abah langsung tidak tahu. Kalau Abah tahu, mesti Abah mengamuk. Abah tidak benarkan Leha masuk sekolah menengah. Biar duduk di rumah sahaja. Cukup masa kena pinang, kahwin!!. Pada Abah itu lebih baik daripada buang duit di sekolah. Bukan Abah tidak mahu menghantar Leha ke sekolah. Kalau boleh Abah mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Tetapi Abah benar-benar tidak mampu.

“Man, kalau nak ke Ipoh, macam mana nak naik bas?” tanya Leha pada Rahman anak Pakcik Soleh yang sekolah di Anderson. Rahman akan pulang ke Ipoh untuk masuk ke tingkatan tiga.
“Kenapa kamu tanya?” Rahman kehairanan.
“Saja”
“Ahhhh… senang saja. Kamu naik bas. Sampai Kuala Kangsar, kamu beli tiket Bas ke Ipoh….”
Leha dengar dengan hati-hati. Segala percakapan Rahman dirakamkannya dalam kotak fikiran.

Bandar Ipoh memang jauh berbeza dengan kampungnya yang sunyi sepi. Sebaik sahaja Leha tiba di Stesen Bas Ipoh, dia terpaku. Di mana sekolah itu? Di mana arah yang harus diikutinya? Apa akan jadi kalau dia tidak dapat mencari lokasi sekolah itu? Bagaimana jika dia diculik dan dijual?

Bas-bas berwarna kuning air dan berjalur merah silih keluar masuk dari kawasan stesen. Ketakutan Leha kian mengembang sehingga menerbitkan pilu di dalam hatinya. Dia memeluk erat beg plastik besar dan kasar seperti guni beras itu sambil memandang jauh ke hadapan. Matanya bergenang sehingga mengaburkan pandangannya. Leha merasakan setitik demi setitik airmatanya jatuh menimpa tangannya. Kemudian pecah lagi tangisan. Leha menangis ketakutan di stesen bas itu.
“Adik, kenapa menangis” tanya seorang lelaki yang duduk di sebelahnya.
Leha menangis lagi. Lelaki itu memandang tepat ke arahnya sambil setia menanti jawapan Leha. Lelaki itu menghulurkan Leha sehelai tisu. Leha menyambutnya.

“Cuba cerita dengan abang, adik nak pergi mana ni? Adik lari dari dari rumah ke?”
“Errr… saya nak pergi daftar ke sekolah. Tapi saya tak tahu nak pergi ke sana..” kata Leha. Dalam esak tangisnya, Leha menceritakan tentang hasratnya untuk masuk ke sekolah asrama itu.

“Ohhh… begitu. Sekolah mana yang adik maksudkan tu?” tanya lelaki itu.
“Sekolah Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal…”
“OK ya… adik nampak tak bas kat depan tu?” tanya lelaki itu lagi.
Leha terkalap.
“Yang mana?”
“Tu… yang tulis Gunung Rapat tu?” Leha mengangguk.
“Naik bas tu. Bayar 55 sen. Cakap pada driver tu, adik nak turun kat simpang sekolah RPS”

Tuah Leha bertemu dengan lelaki itu. Zaman sekarang terlalu banyak yang tidak jujur dari yang berhati amanah. Jika Leha tidak bernasib baik, dia pasti boleh diculik oleh lelaki itu. Pasti kehidupannya akan lebih buruk dari neraka dunia.

Persekitaran sekolah itu sangat cantik. Bersih dan tersusun. Ciri-ciri sekolah itu memang membuktikan sekolah itu dibina khas untuk murid-murid perempuan. Ramainya manusia di sekolah itu. Ada yang datang dengan kereta menjalar. Ada yang datang dengan teksi. Leha merenung wajah-wajah pelajar-pelajar yang mendaftar itu. Masing-masing dengan hal mereka sendiri. Tiada yang menunjukkan minat untuk mendekati Leha. Yang paling utama, mereka datang dengan keluarga masing-masing. Leha datang keseorangan.

Leha mengisi borang serta menyerahkan wang pendaftaran. Turut diselitkan surat sokongan dan penjelasan yang ditulis oleh Pakcik Soleh, ayah si Rahman selaku ketua kampung. Sebelum pergi, Mak meminta Pakcik Soleh menulis sesuatu kepada pihak sekolah.

“Zaleha Binti Moin” Leha terdengar namanya dipanggil oleh guru yang bertugas.

Leha bangun. Tergesa-gesa. Terus maju ke hadapan. Sambil itu dia menyisipkan beg duitnya ke dalam beg plastik besar itu.

BUKKKKKK….
Leha terlanggarkan seseorang. Begnya jatuh. Leha mengaut cepat-cepat seraya mendongak memandang orang yang dilanggarnya.
“Maafkan saya”
Matanya terkunci pada pandangan seorang pelajar. Dari gayanya, pelajar itu dalam lingkungan usia 16 atau 17 tahun.
“Ehhhh… kamu ni letak mata kat mana, hah? Kamu buta ke?”

(Bersambung..)


Indera : Saya masih kekal di Lembah Kelang ini. Enggan memikirkan apa yang bakal terjadi pada esok hari. Rancangan untuk pulang dibantah keras oleh Mak dan Apak akibat takutkan pada cakap-cakap orang sekeliling dan entah apa alasan lagi. Saya tahu bahawa saya sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Namun dalam kehidupan, saya tetap seorang anak yang perlukan doa restu kedua ibubapanya.

Monday, June 23, 2008

Menyusuri Laluan Gelap

Saya keluar dari pintu rumah Beh dan Mak Uda Zaidah dengan perasaan yang bercampur baur. Tetapi saya dapat merasakan ada sinar memandu saya di hadapan walaupun saya tidak pasti samada jalan yang bakalan dilalui itu nanti lurus atau berbengkang-bengkok. Beh menepuk belakang saya berkali-kali. Cuba menyalurkan semangat waja yang dimilikinya selama ini ke dasar hati saya. Saya pandang Mak. Dari sinar mata Mak, jelas kelihatannya Mak sangat risau.


Sewaktu berjalan ke kereta, saya meneliti betapa daifnya kereta saya. Tidak seperti hari pertama saya membelinya dahulu. Hmmmmmm... entahlah. Saya pun tidak tahu apa yang harus saya perbuat. Jikalah saya punya banyak pilihan.... Hahahahahaha.. semua itu hanya berpegang pada perkataan "jika".
"Kalau kamu sanggup, bulan 7 ni dah boleh mulalah. Mula-mula tanah tu kena plow. Lepas tu baru boleh rotor. Alah.. Beh rasa kamu pun tahu. Kamu dulu bukankah dalam bidang lanskap..??" kata Beh dengan senyum lebar.
Saya mengangguk lemah.
"Kenapa? takut?" tanya Beh.
Saya mengangguk lagi.
"Insya-Allah kamu boleh berjaya!!" kata Beh.

Saya menghidupkan enjin kereta. Siri Aufa sedang mengunyah gula-gula sambil melambai-lambaikan tangannya pada Ain Syam, anak Kak Yang Nani yang sudah masuk darjah satu. Sebaik Mak masuk sahaja ke dalam kereta, saya segera melarikan Mak balik ke rumahnya.
"Kamu dah nekad?" tanya Mak.
"Ya"
"Entah. Mak ikut aje... Kalau itu jalan yang kamu pilih" kata Mak
"Beh kata, semua peralatan macam water sprinkler dan water pump, dia bagi saya guna dulu. Jadi tak payahlah saya nak susah-susah nak mengangkat air nanti" kata saya.
"Ikut kamulah. Mak pun dah tak tau nak cakap apa. Memang hidup sekarang ni sukar"

Memang hidup sekarang sukar. Tidak seperti dulu. Dengan harga minyak melambung naik, dengan tekanan inflasi yang menyebabkan harga barang kian meningkat tanpa ada sokongan kenaikan dalam kadar upah menyebabkan nilaian ringgit yang saya terima terlalu kecil nilainya. Wang ringgit saya saban bulan yang diterima hanya habis di jalanraya. Minyak sahaja sudah menagih RM30.00 sehari. Itu belum lagi Tol menunggu panggunya. Menjelang sahaja Jumaat, terpaksa pulang ke Perak kerana anak dan isteri saya berada di sana.

Saya meneliti surat yang sudah siap dikarang sejak semalam lagi. Saya tahu surat ini akan mengundang banyak persoalan untuk saya jawab sebaik sahaja saya ajukannya ke perhatian pihak pengurusan nanti. Saya tidak punya sebarang alasan. Dan saya tidak mahu bersiap dengan apa jua alasan pun. Saya hanya akan berdiam diri jika ditanya. Ada tidak pun saya akan berkata, "Rezeki saya sudah sampai di sini. Saya ucapkan selamat maju jaya pada syarikat ini".

Titik. Tiada sebarang alasan. Tiada sebarang pertikaian dan bertikam lidah. Saya cuma perlu keluar dari syarikat ini dengan nama baik. Dengan cara yang sangat terhormat.

Saya akan menyerahkan surat perletakan jawatan itu pada hari Jumaat ini. Setelah itu saya masih punya masa sebulan lagi untuk saya menyelesaikan segala tugasan saya yang tertunggak. Setelah menjelangnya bulan Ogos nanti, saya akan bergelar anak kampung semula. Mengusahakan tanah milik Mak saya yang sekangkang kera itu. Cukuplah pengalaman saya selama 16 tahun 7 bulan saya berada di Lembah Kelang ini. Sudah cukup saya merasa pahit manis sepak terajangnya.

Saya pasrah pada ketentuan dan juga rezeki kurniaan Allah. Bahawa rezeki yang diperolehi oleh setiap manusia itu tidak sama. Bukan saya tidak mencuba. Malah sudah pelbagai usaha dilakukan. Namun masih juga begitu keadaan nasib saya. Saya cuba untuk menyambung pelajaran saya. Usaha saya tertahan oleh berbagai halangan. Saya cuba mencari pekerjaan lain. Dalam ribuan permohonan dihantar, dalam ratusan temuduga yang dihadiri, namun tiada satu pun pekerjaan yang saya berjaya perolehi melainkan terpaksa tunggu dan menunggu di tempat kerja ini.

Saya telah sandarkan segala kesabaran yang ada. Kesabaran itu masih bertahan. Tidak pernahnya pecah. Tetapi tekanan hidup dan tanggungjawab saya selaku seorang anak, suami dan seorang ayah harus saya utamakan dahulu. Kerana itu saya mengambil keputusan drastik ini walau banyak pihak yang terkejut dengan keputusan ini.

Azah hanya mendiamkan diri. Saya tahu dia takut, gentar dan merasa ketidakpastian pada masa depan kami. Saya juga begitu. Mungkin gerak rasa saya sebagai lelaki menyebabkan kebimbangan itu tidak terlalu sirna di wajah saya.

Jika Layangan Indera ini berhabuk dan bersawang nanti, itu tandanya saya sukar untuk menulis perkembangan terbaru lantaran jadual waktu dan sumber kewangan saya yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, pada setiap persahabatan kita yang telah terbina erat di laman ini, akan saya kenang sampai mati. Semoga persahabatan kita terjalin erat sampai bila-bila... Sampai waktu dan ketika, saya terpaksa berundur juga!!

Wednesday, June 11, 2008

Renungan Ayah (Selamat Hari Bapa)

Setiapkali saya berkunjung ke rumah Mak, untuk menjenguk dan bertanyakan khabar Mak, pastinya saya akan melewati deretan kedai di mana Apak membuka kedai kopinya. Biasanya saya akan dapat melihat kelibatnya sibuk melayani pelanggan yang datang ataupun pada waktu-waktu tertentu kelihatan Apak hanya duduk termenung memandang jauh. Hmmmmm… entah kenapa hati saya merasakan agak sukar untuk saya memberhentikan kereta, datang mendekatinya dan seterusnya bertanyakan khabarnya.

Saya adalah anak yang kelima dari 7 orang adik beradik. Saya punya dua orang abang, dua orang kakak dan dua orang adik – seorang lelaki dan seorang perempuan. Dari segi kedudukan di dalam keluarga, saya letaknya betul-betul di tengah-tengah susunan itu. Barangkali mungkin juga kedudukan itu menyebabkan saya sering merasa tersisih dan tidak diperlukan.

Orang tua-tua ada berkata, jika anak perempuan mengikut roman bapanya, manakala jika anak lelaki menurut roman ibunya, bererti perhubungan antara anak dan ibubapa itu sejuk. Maksud sejuk itu adalah tamsilan kepada hubungan yang erat. Namun bagaimana pula sekiranya jika anak lelaki itu benar-benar seperti ayahnya?

Entahlah… saya tidak tahu!! Tetapi semua orang mengatakan sejak sedari saya kecil hinggalah sudah memasuki usia dewasa ini, saya membawa roman ayah saya yang sangat nyata. Saya membelek-belek diri saya di cermin. Benarlah kata mereka itu. Saya betul-betul serupa dengan ayah saya. Rambut saya, roman wajah saya, bentuk fizikal saya dan… Ya Tuhan, renungan mata saya!!!.

Renungan mata saya persis renungan mata ayah saya. Lantas membuatkan saya takut melihat renungan itu. Renungan mata yang sama yang diwarisi oleh Siri Aufa.

Renungan mata itulah yang sering menakutkan saya ketika saya kecil dahulu. Dan kini, saya mencari pengikhtirafan di sebalik renungan itu yang selama ini sering membuatkan hati kecil saya merasa jauh hati dan tersinggung.

Sewaktu saya kecil, seingat saya, tidak pernah ayah saya memeluk dan mencium saya. Tidak pernah keluar kata-kata perangsang setiapkali saya mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan. Apak selalu sibuk dengan kerjayanya sebagai guru di waktu pagi dan di waktu petangnya, sesudah menikmati juadah tengahari, Apak akan ke kedai (dulu ayah saya membuka kedai menjual alat tulis) sehingga santak malam.

Apak hanya akan pulang jika dia ingin berehat dan juga makan malam. Selebihnya masa Apak akan dihabiskan bersama kawan-kawannya yang tidak jemu-jemu mengunjungi kedai kopi Pak Usop yang letaknya di sebelah kedai Apak.

Jika Apak pulang, dia akan merengus dan marah-marah. Tiada istilah bermanja dengan Apak. Jika kebetulan kami berkelahi sesama adik beradik sewaktu Apak pulang ke rumah, pastinya kesakitan bergasak dan bergumpal itu akan ditambahi dengan keperitan hayunan rotan dan tali pinggang Apak.

Setiapkali saya dirotan oleh Apak, Apak bagaikan hilang akal menghayun rotan sekuat hati kerana sayalah satu-satu anaknya yang berani menentang pandangan matanya sewaktu dipukul. Perhubungan antara saya dengan Apak sangat hambar. Tiada gurau senda, tiada tawa ceria. Masing-masing membawa haluan sendiri.

Saya akan cuba mengelak dari duduk semeja dengan Apak di meja makan. Sedari kecil, apabila Apak di meja makan, saya lebih suka mengisi nasi di pinggan dan menikmatinya bersendirian di hadapan kaca television. Seorang guru saya pernah berkata, “Jika anak itu sering makan semeja dengan ayahnya, pasti perangainya juga saling tidak tumpah seperti ayahnya”.

Saya membelek-belek lagi kata-kata itu dalam diri saya. Benarlah kata-kata itu… dalam diri saya, tiada perangai dan kesukaan ayah saya melainkan sikap panas barannya yang saya warisi secara genetik, barangkali. Perangai dan kesukaan saya banyak dibentuk oleh kawan-kawan saya memandangkan saya telah hidup berasingan dari keluarga saya sejak saya di bangku sekolah menengah lagi. Saya dan Apak tidak ada satu yang mempertemukan kami di titik tengahnya.

Kekecewaan saya pada Apak bertambah-tambah apabila pengajian saya ditaja terus oleh Mak. Meminta wang ringgitnya, samalah seperti meminta sedekah. Yang ada hanya kata-kata yang keras bahawa dia tiada duit ataupun jika memberi, langsung tiada kemanisan di wajah itu. Pasti ada sahaja perkara yang membuatkan saya dan Apak bersengketa. Walaupun saya tidak pernah mengangkat suara di hadapannya, namun ketidaksefahaman antara kami membuatkan saya dan Apak semakin renggang lantas semakin jauh.

Saya cuba memenangi hatinya. Saya belajar bersungguh-sungguh sehingga saya berjaya menjadi anak Mak dan Apak yang pertama menerima ijazah. Saya cuba bersungguh-sungguh menawan hatinya dengan segala ramah-tamah tetapi hati Apak terlalu mahal harganya. Seolah-olah di dalam hatinya saya ini tidak wujud. Yang dilihatnya hanya abang-abang, kakak-kakak, dan adik-adik saya. Jika dia inginkan pertolongan, tidak pernah dia memintanya daripada saya. Tetapi abang saya yang lebih dekat di matanya. Jadi di mana saya di hatinya? Saya memandang lagi ke dalam matanya. Tetapi mata tua itu kini sudah enggan menentang renungan mata saya. Renungan itu akan mengelak dari tikaman mata saya seolah-olah berkata, Aku telah membesarkan engkau, memberi engkau pendidikan yang secukupnya. Maka sudah tertunailah tanggungjawab aku..

Ogos 2004, Apak dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Besar Ipoh. Kami adik beradik bergegas pulang melihat keadaannya. Di dalam keadaan antara sedar dan tidak, suara lirihnya menyebut nama abang saya. Saya tahu di saat itu bukan masa yang sesuai untuk saya memikirkan tentang pertandingan merebut hati Apak, tetapi saya gagal mengawal air mata saya bila Apak langsung tidak bertanya tentang saya setelah dia sedar. Hanya adik beradik saya yang disebutnya. Saya memeluk Mak, cuba mencari secebis tempat perlindungan pada kasih sayang Mak buat penyembuh duka lara saya bila saya gagal mendapatkannya dari Apak. Untuk membuktikan pada Apak betapa tingginya kasih sayang saya kepadanya, saya mengambil cuti menunggunya sepanjang dia berada di hospital.


Tetapi hati saya terluka buat sekian kalinya apabila sepanjang mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara, dia tidak pernah menghubungi saya. Walhal saya ini berada di Kuala Lumpur. Kenapa saya tidak dimaklumkan? Jika saya tahu dia di Kuala Lumpur, saya pingin untuk berbakti pada dirinya. Menyediakan tempat tinggal ataupun juadah yang sedikit istimewa setidak-tidaknya. Namun hati Apak bagaikan beku.. Dan saya pula yang terbakar di dalam kesedihan.

Saya ingin benar bertanya kepada seorang ayah yang benama Muhammad Suria itu, apakah di dalam hatinya saya ini tidak wujud?. Sepertinya yang pernah dibicarakan oleh Masy, ada masanya kita terhenti di pertengahan jalan apabila naluri kita seakan tahu akan jawapannya. Jawapan yang mungkin akan menghancur-remukkan hati saya. Makanya saya lebih rela berada di dalam ketidakpastian. Sekurang-kurangnya ketidakpastian itu juga satu jawapan.

Saya tahu Apak tidak akan membaca blog saya ini. Tetapi apa yang saya ingin katakan padanya ialah walau sebanyak mana pun usia saya, saya tetap seorang kanak-kanak yang inginkan belaian kasih sayang dari ayahnya. Saya tidak tahu siapakah yang bersalah di dalam hal ini. Saya atau Apak? Saya tidak ingin memikirkan tentang kemungkinan Apak membenci saya atas kesalahan yang saya tidak sedari, saya telah melakukannya sehingga membuatkan hati Apak terguris. Tetapi saya salahkan diri saya kerana saya tidak cukup usaha untuk cuba memenangi hati Apak. Jika kerana hidup saya yang susah tidak seperti abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik saya membuatkan Apak membenci saya, saya pohon ampun dan maaf. Segala itu bukan kehendak saya.

Kasih sayang saya pada Apak terlalu besar. Tiada apa yang dapat memutuskan ikatan antara kita di dunia sampai akhirat. Tidak putus doa saya agar Apak senantiasa diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. Di Hari Bapa ini, saya mengharapkan ada kesempatan untuk kita bertaut di bawah naungan anugerah tuhan. Sesuatu yang agung yang bernama kasih sayang. Selamat hari bapa buat Ayahandaku Muhammad Suria Bin Sutan Ali. Selamat Hari Bapa.

Ayah dan Ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ahai…


Yang dikurniakan
Dari Ilahi ahai…
Ayah dan ibulah mesti dihormati


Ayah dan Ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai…
Bagilah petunjuk dan nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup akan selamat


Ayah dan Ibu..

Tuesday, May 27, 2008

Pertandingan Bola Jaring PASTI Perak Tengah

"Babaaaa..... Baba kat mana?" suara anak perempuan saya kedengaran di telefon pada suatu petang di pertengahan bulan Mei. Ketika itu fail-fail syarikat bergelimpangan di atas meja.
"Baba di office, sayang. Anak Baba sihat tak...?"
"Sihat" jawabnya pendek.
"Hmmmm... Kak Long tengah buat apa tu?" saya bertanya.
"Kak Long tengah berlatih bola jaring dengan Kak Syikin (anak sepupu Azah)" katanya dalam hilai ketawa.
"Bola jaring? Sejak bila anak Baba pandai main bola jaring?" tanya saya kehairanan. Terdengar suara jeritan halus disusuli dengan hilai ketawa kanak-kanak di hujung sana.


"Hello, Abang. Ni Zah ni" terdengar pula suara Azah
"Siri main bola jaring? kenapa tiba-tiba bermain bola jaring pulak?" tanya saya sambil mendongak apabila seorang despatch daripada Syarikat Naluri Mulia tiba-tiba muncul dan meletakkan satu sampul surat di hadapan saya.
"Dia masuk pertandingan bola jaring PASTI Peringkat Daerah Perak Tengah" kata Azah. Sambil itu tangan saya mencalit tandatangan saya tanda saya mengesahkan penerimaan bungkusan itu daripada kerani penghantar surat itu.
"Bila?"
"19 haribulan ni. Abang balikkan hari tu?" tanya Azah.
"Hari tu kan cuti hari Wesak. Mestilah balik"


Pulang sahaja ke kampung disambut oleh Siri Aufa. Becok mulutnya berceritakan hal di sekolah dan juga persiapannya untuk ke pertandingan itu nanti.
"Bulan 6 nanti ada satu lagi pertandingan, Baba. Ustazah suruh Kak Long masuk.." ceritanya.
"Iyaa??? pertandingan apa?"
"Pertandingan bercerita kisah dari Al-Quran" katanya lagi.


Pagi-pagi lagi Siri Aufa sudah merengek meminta Azah menemaninya berlatih bola jaring. Petang harinya pula dia merengek lagi. Selagi tidak ditunaikan hasratnya, selagi itu diakan berkempen sambil mengganggu tidur orang di dalam rumah itu yang sudah berat mata sementara menanti masuknya waktu Asar itu.


Tiba hari pertandingan, Siri Aufa lewat bangun. Setelah bangun, dia merengek-rengek mengadu badannya tidak sihat. Saya meletakkan belakang tangan saya ke dahinya. Sedikit panas!! Namun dia tabah melangkah ke bilik mandi dan bersiap untuk ke Stadium Bakri Rais tempat berlangsungnya pertandingan itu.


Suasana di stadium itu penuh sesak dengan kanak-kanak yang menuntut di PASTI-PASTI sekitar daerah itu. Lebih gamat apabila stadium itu dipenuhi dengan ibubapa kanak-kanak yang bertanding.
"Kak Long lapar tak?" Azah bertanyakan Siri Aufa. Bimbang juga Azah apabila dia sekadar menjamah seketul nugget ayam sebelum menaiki kereta. Siri Aufa hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandang sekeliling. Kemudian dia melangkah ke arah teman baiknya Syalia dan Adelina.


Dari bucu gelanggang itu, saya memandang wajah anak saya yang disinari cahaya mentari pagi. Sudah besar anak aku, bisik hati saya!!. Sebentar kemudian hati saya merasa sayu kerana saya tidak berpeluang melihatnya membesar di hadapan mata saya. Peluang melihatnya hanyalah sekadar dua hari dalam tempoh seminggu. Setelah itu saya akan kembali ke Lembah Kelang meninggalkannya dalam jagaan ibunya. Betapa pantasnya masa berlalu. Anak saya itu kini sudah anak dara sunti. Sudah boleh bermain bola jaring!!.
"Perlawanan seterusnya ialah di antara PASTI Saidina Othman Layang-Layang Kiri dengan PASTI Taman Maju" suara Pengatur Acara mengingatkan guru-guru supaya mempersiapkan pelajar-pelajar untuk masuk ke padang.


Ustazah Siti ke hulu ke hilir mengheret budak-budak yang bertaburan. Di hujung padang sana, di gelanggang Futsal, budak-budak lelakinya pula menderu seramai 20 orang mengejar sebiji bola. Umpama lalat mengejar kepala udang. Saya dan seorang lelaki yang turut sama menghantar anaknya ke pertandingan itu ketawa besar apabila bola yang disepak masuk sekadar dipandang sepi oleh Penjaga Golnya.
GGGOOOOLLLLL.... langsung memberikan kemenangan kepada pihak lawan.


"Baba, Baba... cantik tak?" Siri Aufa menarik hujung baju saya mengalih perhatian saya dari gelanggang Futsal itu. Anak saya memakai vest berwarna hijau yang tertulis dengan huruf yang besar GD.
"Cantik!!!"
"GD tu apa?" saya bertanya pada Azah.
"GD tu pertahanan"
"Ooooo"
(Anak aku GD, kome...!!!)


Setelah wisel ditiup, ternyata kedua-dua pasukan murid PASTI ini tidak pernah diajar dengan kaedah dan peraturan permainan. Segalanya menurut kata ibu-ibu yang bertempik di tepi gelanggang.
"Haa haa.. Ain baling ke tengah.... bagi pada Fatiha"


Siri Aufa selama ini menjangkakan bahawa dia akan bertindak sebagai penjaring. Oleh kerana permainan pagi itu yang banyak mengasak ke gawang lawan menjadikan dia jarang-jarang sekali memegang bola. Dia memandang saya yang tercegat di tepi gelanggang. Saya menunjukkan ibu jari tanda memberi semangat.


Perlawanan pusingan itu dimenangi oleh PASTI tempat dia belajar dengan 6-0. Tetapi dia hanya berpeluang memegang bola sebanyak dua kali.
"Ummi.. Kak Long lapar" katanya sambil meninjau ke dalam beg yang disandang oleh Azah.
"Kak Long ambil nugget dalam bekas plastik tu. Kongsi dengan semua kawan ye!!"


Perlawanan pusingan berikutnya antara PASTI anak saya dengan PASTI Suak Sodang.
"Baba... Kak Long tak sihat. Kak Long nak balik rumah" katanya dengan muka yang terkuncam.
"Eh... Kak Long bukan ke nak masuk ke padang. Mana boleh balik.." kata saya.

Tetapi Siri Aufa mula mogok. Menarik wajah bulan gerhana. Sewaktu perlawanan berlangsung, dia sedikit pun tidak ambil endah kawan-kawannya yang cergas mengejar bola. Sebaliknya dia tercegat di tengah padang sambil memandang saya.
"Kak Long...!! kejarlah bola tu" kata Azah dari luar padang.
Tetapi Siri Aufa langsung mengambil sifat saya bulat-bulat. Kalau sudah tiada hati, janganlah cuba dipaksa-paksa.
"Abang tengoklah Siri tu... apa kena dia tu?" Azah mengadu akan sikap Siri Aufa.
"Biarkanlah... dia bukankah baru 5 tahun. Apa yang dia tahu"
Masuk 3 minit perlawanan, sedang murid lain berlarian mengejar bola, Siri Aufa memeluk kejap pinggang Azah di tepi gelanggang.

Hashim, rakan sekampung Azah yang juga bapa Adelina mendekati saya sambil tersengih-sengih.
"Kenapa anak engkau main bola jaring tak serupa Maknya?" kata Hashim merujuk kepada Azah yang merupakan jurulatih Bola Jaring bawah 12 tahun.
"Entah!!" jawab saya.


Permainan mengikut cara kalah mati. PASTI Saidina Othman tewas kepada PASTI Changkat Sodang. Ini bermakna Siri Aufa terkeluar sudah daripada pertandingan.
"Jom kita balik. Hari pun dah panas ni. Adil Rayyan kalau ditinggalkan lebih lama lagi teruk merajuknya nanti" kata saya mengajak Azah balik.
"Kak Long demam lagi tak?" tanya saya.
Siri Aufa hanya menganggukkan kepalanya.


Di pertengahan jalan, Azah teringatkan putik kapas di rumah yang kehabisan. Saya membelok ke Pekan Bota Kanan dan meletakkan kereta di hadapan sebuah kedai runcit.
"Kak Long nak apa?"
"Kak Long nak ais kerim, nak air tin, nak coklat, nak Sugus..."
"Eh.. bukan ke Kak Long demam hari ni?" tanya saya kehairanan.
"Mana ada? Kak Long tak demamlah hari ini" katanya.
"Habis tu tadi kat dalam padang kata demam..?"
"Tu saja je Kak Long malas nak main..!!" katanya sambil meletakkan satu tin air kacang soya jenama Yeo's di atas kaunter pembayaran.


Di dalam kereta, Azah berkicau memarahi Siri Aufa dengan sikapnya yang tidak endah perlawanannya tadi.
"Esok kalau pertandingan bercerita buat perangai macam ni, Ummi seret turun dari pentas. Buat malu je nanti!!" kata Azah.


Di tempat duduk belakang, Siri Aufa enak-enak menyedut minuman. Sedikit pun dia tidak ambil endah dengan keadaan sekelilingnya.

Tuesday, May 20, 2008

Darah Jenis Apa? O? A+?


Saya selalu mengagumi orang Jawa. Selalu berangan-angan bahawa saya sebahagian dari masyarakat etnik tersebut. Bangsa Jawa – sebuah bangsa tertua di Nusantara. Ada yang berpendapat bahawa bangsa ini adalah kelahiran daripada seorang anak Nabi Allah Nuh A.S yang bernama Jawi yang kemudiannya membina penempatan di sekitar Nusantara.

Mereka sudah mempunyai ketamadunan mereka tersendiri. Cara hidup mereka agak berbeza dengan bangsa Siam yang berjiran dengan mereka yang kebanyakan mendiami Kerajaan Siam Ayutthaiya – Kedah. Bangsa Jawa kaya dengan nilai estestika yang diterjemahkan melalui cara hidup mereka seharian. Ini boleh dilihat melalui kesusasteraan Jawa Tua, melalui senibina yang diterapkan dan lain-lain lagi yang membuatkan saya sering mencemburui rakan-rakan saya yang mempunyai darah Jawa.

Mak pernah berteka teki bahawa keluarga kami mempunyai darah Jawa. Ada satu cerita yang membuatkan Mak berperasaan sedemikian. Dalam sekitar tahun 1950-an, Tok Yeop Shafie iaitu adik Opah saya bertugas di Daerah Kelang sebagai Pegawai Pentadbir di sana. Pada suatu hari, Tok Yeop mendapat arahan daripada Pejabat Kerajaan Negeri untuk mengosongkan pejabat sedia ada untuk mereka berpindah ke lokasi yang baru. Ada pun di dalam bangunan itu terdapat sebuah peti yang mirip peti yang terdapat di Istana Jugra sekarang yang langsung tidak boleh dipindahkan ke mana-mana. Oleh kerana Tok Yeop masih baru di Kelang pada ketika itu, dia langsung tidak tahu menahu akan kewujudan peti itu. Sementalahan pula, kakitangannya langsung tidak pernah bercerita kepadanya perihal peti tersebut.

Setelah urusan perpindahan pejabat berlangsung, Tok Yeop mendapati terdapat sebuah peti yang tertinggal. Memikirkan bahawa peti itu mungkin ada kena mengena dengan urusan pejabat, Tok Yeop langsung mengangkat peti itu. Terus dimuatkannya ke dalam kereta dan langsung dibawanya ke pejabat yang baru.

Setelah pejabat dibuka semula, gempar kakitangannya melihat bagaimana peti itu boleh terletak di bangunan yang baru.
“Sayalah yang bawa peti tu ke sini..” kata Tok Yeop Shafie.
Haaaahhhhhhhh?? Sekelian kakitangan pejabat terlongo.

Akhirnya seorang kakitangan pejabat itu memberitahu Tok Yeop Shafie, kononnya hanya satu keluarga yang berasal dari Tanah Jawa sahaja yang boleh memindahkan peti itu. Mendengarkan itu, Tok Yeop Shafie ketawa besar.
“Alahai, Tuan. Saya ini berasal dari Perak. Bukan dari Jawa. Anggap sahajalah cerita itu hanya lagenda yang kita sendiri tidak pasti benar atau tidaknya..” kata Tok Shafie dalam derai ketawa. Lucu benar dia bila ada orang percaya bahawa dia itu berketurunan Jawa.
“Tapi Encik Shafie… peti itu..”
“Sudahlah tu… hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa. Sudah kehendak Dia bahawa peti itu harus berada di sini. Saya ini hanya penyebab yang memindahkannya ke mari. Sudahlah. Pergi teruskan kerja!!” kata Tok Shafie lagi.

Lucunya, sejak dari hari itu, kakitangan Tok Shafie itu sudah tidak memanggilnya dengan panggilan Encik Shafie. Tetapi Tok Shafie dipanggil dengan gelaran baru. RADEN. Wahhhh…

Masa berlalu dan setelah berdekad lama, rahsia itu tidak pernah terungkap. Dalam sekitar penghujung tahun 80-an, saya berpeluang melihat Terombo Salasilah keturunan kami. Terlalu panjang dan lebar sejarahnya. Melihat nama-nama sekelian nenek, moyang dan poyang saya sehingga berpangkal pada satu nama Raden Mas Sujana - HAMENGKUBOWONO I.

Anehnya, sekelian ahli keluarga saya langsung tidak tahu siapakah gerangan Raden Mas Sujana itu atau semua itu pada mereka tidaklah penting. Saya juga langsung tidak tergerak dek hati untuk mengetahui siapakah gerangan empunya diri itu.

Sehingga satu hari di minggu yang lepas, bahu saya merasa sangat sakit. Sehinggakan untuk melakukan apa-apa pekerjaan yang menggerakkan bahu, pasti terasa sengal yang bersangatan di anggota itu. Lalu saya menemui seorang lelaki tua yang tinggal berhampiran dengan rumah mertua saya. Lelaki itu yang bernama Pak Lang Yahya kenal akan saya. Dia memberitahu saya bahawa dia dan Mak saya bersambung pada moyang yang sama. Bererti, dia itu pangkat paman saya.

Aduuuhhhh…. Sakit benarlah bila jari jemari orang tua itu meramas tengkuk dan bahu saya.
“Kamu ni lain kali cubalah bersenam. Orang muda patut jaga badan. Hiee… tak fahamlah Pak Lang orang-orang muda sekarang ni. Belum masuk umur 40 sudah sakit sana, terkehel di sini!!” kata meleteri saya. Saya sekadar mengangguk sahaja. Dibangkang nanti akan buruk padahnya.

Setelah setengah jam bahu saya teruk dikerjakannya, barulah Pak Lang Yahya menyudahkan kerjakannya. Ketika saya mengenakan semula baju ke badan saya, Pak Lang Yahya memetik api sambil menyalakan sebatang rokok.
“Kalau kamu nak tahu, kamu itu orang Jawa. Mak kamu itu orang Jawa. Aku ini pun orang Jawa” kata Pak Lang Yahya dengan mata terkelip-kelip mengelakkan asap rokok masuk ke mata.
“Ye ke Pak Lang?”. Pak Lang Yahya mengangguk.
“Tapi Mak kata dia keturunan Kerinci”

“Yang Kerinci itu adalah datuk kamu, Haji Hassan itu. Tapi Opah Saadiah kamu tu orang Jawa. Opah kamu, kamu dan Mak kamu itu adalah keluarga kami. Berpangkal dari dua adik beradik yang berasal dari Tanah Jawa. Seorang bernama Raden Salim dan adiknya pula bernama Raden Rahmat. Deme itu kononnya datang ke mari kerana lari dari pemerintah Belanda di Betawi yang memburu deme tu. Moyang kamu bernama Raden Salim. Dialah yang membuka kampung ni. Raden Rahmat pula menetap di Kampong Gajah dan berketurunan di sana. Kiranya kamu itu punya saudara di Kampong Gajah itu dari keturunan Raden Rahmat”.

Jadi benarlah saya ini berdarah Jawa. Persekitaran kampung kami yang menjadikan kami hilang identiti. Di kampung kami, semua orang bertutur dalam loghat yang sama iaitu loghat Perak yang sangat pekat. Lantas membuatkan generasi terkemudian tidak kenal asal wujudnya. Tambahan pula apabila generasi yang faham sejarah semakin hilang bersama masa dan tiada siapa pula yang berminat meneliti susur galur hidupnya. Jadilah persoalan itu tidak terhurai sampai bila-bila.

Mujur saya terlihat Terombo itu. Mujur saya bertemu dengan Pak Lang Yahya. Ya, saya berbangga mempunyai darah Jawa dalam diri saya. Kadang-kadang lucu memikirkan saya punya banyak darah yang pelbagai dalam diri saya. Dari sebelah Mak, Tok Haji Hassan itu orang Kerinci, Opah Saadiah pula orang Jawa. Dari sebelah Apak, Tok Sutan Ali itu orang Siak yang berpangkal pada Pak Kaduk. Sementara Opah Mariam pula orang Bugis. Jadinya saya ini sudah caca marba. Berdarah jenis ‘O’.

Sunday, May 04, 2008

1234

Satu... kasih yang abadi
Tiada tandingi Dia yang satu
Dua... sayang yang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya Ibu

Bait-bait itu bagaikan mendodoi saya yang terlena di sepanjang jalan.
"Indera, bangun..!! Kita sampai doh ni weii!!" suara Armizam sayup-sayup menyusup ke telinga.
"Hiee... kacaulah" kata saya menepis-nepis tangan Armizam yang mengoncang-goncangkan kepala saya. Begitulah rasminya dia setiapkali mengejutkan saya dari tidur.
"Weeiii, bangun!! kita doh nok sampei kat Pusat Islam dah ni"
"Mende awok nih!!" saya mula naik radang bila dikejutkan seumpama itu.
"Awok tidur lagi, koi tinggei awok dalam bas ni... bior terkejut sampei KL balik" kata Armizam mengugut saya. Kata-kata Armizam itu berjaya membuka mata saya seluas-luasnya.

Rupa-rupanya bas yang kami naiki sudah melewati Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Budak-budak perempuan yang menghuni Kolej Cempaka dan Kenanga menderu-deru turun menjadikan bas itu separuh penuh sebentar. Namun seketika, kembali diisi oleh pelajar-pelajar ITM yang ingin menuju ke Kuala Lumpur pula. Setelah 3 minit, bas itu menyambung perjalanannya melalui Pusat Islam ITM. Di situlah saya dan Armizam akan turun untuk pulang ke asrama kami di Kolej Delima.

Setelah beberapa meter bas itu bergerak, budak-budak lelaki dari Kolej Perindu yang duduk di bangku hadapan bersiul-siul sambil menjelirkan lidah ke arah pelajar perempuan yang sedang berlenggang kangkung menuju ke Kolej Cempaka Kenanga itu. Saya sekadar menggeleng-gelengkan kepala.

Matahari petang jam 4 masih lagi terik memancar di langit. Untuk berjalan pulang ke asrama kami yang terletak suku batu daripada perhentian bas di Pusat Islam itu sudah pastinya agak memenatkan.
"Aku letihlah Armi. Jom kita naik tidur kat Pusat Islam tu nak? Kat situ sejuk sikit..." cadang saya.
"Kalau nak tidur, balik kolej!!! Nak tidur sampai esok pun tak ada orang yang nak bising".
Geram betul saya pada Armizam ini. Kadang-kadang perangai menyakitkan hati. Langsung tidak boleh dibawa berunding langsung.

"Apa salahnya kita tidur kat Pusat Islam tu..?" saya tidak puas.
"Memang tak salah. Tapi aku nak tanya engkau, Pusat Islam tu apa? Tempat memasak?" tanyanya dengan sinis.
"Lainlah kalau engkau tu sepanjang waktu sembahyang memang tak pernah terlepas takbir yang pertama. Ini aku tengok engkau sembahyang pun dah hujung-hujung waktu.." katanya membebel. Sesekali dia tersenyum bila melihat saya menarik muka masam terkuncam.

Dengan langkah yang gontai, saya mengekori Armizam dan beberapa kumpulan pelajar yang menghuni di Kolej Delima dan Perindu itu pulang menuju ke destinasi masing-masing. Tiba sahaja di tepi bangunan Asrama Kolej Delima Satu, saya segera menuruni anak tangga yang mengarah ke amphitheater ITM. Dari Amphitheater itu, ada satu lorong kecil yang mengarah ke asrama saya di Delima Enam tanpa perlu melalui asrama Armizam di Delima Tujuh.
"Weiii... nak ke mana tu? Ikut jalan ni la oiii" kata Armizam.
"Malaslah. Ikut tu jauh. Kalau engkau nak lalu ikut jalan tu, engkau jalanlah sendiri. Aku tetap nak ikut jalan ni" kata saya berdegil.

Mungkin memikirkan betapa bosannya berjalan kaki sendirian, Armizam mengalah. Dia membuntuti saya menyusuri kolej pelajar perempuan itu.
"Pheeeewwiiitt..!!" kami mendengar siulan pelajar perempuan dari tingkat atas asrama. Kami mendongak mencari-cari dari mana datangnya suara siulan itu. Namun kelibat empunya suara itu langsung tidak kelihatan.
"Itulah engkau. Nak sangat ikut jalan ni. Kan dah kena ngorat. Patut-patut kita yang mengorat diaorang!!" gerutu Armizam. Saya hanya tersengih.

Sewaktu sampai ke Amphitheater itu, tiba-tiba saya terpandang barisan pokok rambutan gading yang ditanam oleh pihak pengurusan ITM di sepanjang teres bukit di atas Amphitheater itu.
"Armi.. engkau tengok tu. Huuiiii... banyaknya rambutan!! Jom kita ambil nak?"
"Jom.."


Pokok rambutan gading itu hanya separas kepala kami sahaja. Tetapi buahnya.... Mak datuk!! punyalah banyak. Saya dan Armizam berebut-rebut merabut tangkai-tangkai rambutan itu.
"Buka beg engkau.. kita isi dengan buah rambutan ni" kata saya.
"Habis tu, buku koi ni letok mana?" kata Armizam banyak soal.
"Awok pegang le..."

Sebahagian daripada rambutan itu kami isi di dalam beg. Setelah selesai, kami duduk diam-diam di bawah pokok rambutan itu sambil enak-enak menjamu selera.
"Aku ingatlah kan Indera, lepas koi habis belajor nanti, koi nak jadi artis" kata Armizam berangan.
"Artis apa engkau nak jadi?"
"Koi nak jadi penyanyi" katanya sambil tersenyum.
"Elehhh.. suara pun macam Encik K, ada hati nak jadi penyanyi" kata saya mengejek.
"Encik K? Siapa Encik K tu..?" tanya Armizam gagal menangkap maksud saya.

Saya ketawa terbahak-bahak di bawah pokok rambutan itu. Armizam masih lagi belum dapat menangkap maksud K itu. Mulutnya terkumat-kamit seperti menghafal sesuatu. Tiba-tiba dia menjerit.
"Katak!! Engkau kata aku katak ye??" kata Armizam terus mencekik leher saya. Langsung kami bergumpal bergusti di bawah pokok rambutan itu. Ketawa kami kemudiannya membelah kesunyian sehingga sampai ke hujung Bukit Tonggek.

"Engkau tengok aku nyanyi.." katanya.
"Lagu apa engkau nak nyanyi?"
"Biasalah. Lagu abang akulah. Aris Ariwatan. 1234"

Satu... Kasih yang abadi
Tiada tandingi Dia yang satu
Dua... Sayang berpanjangan
Membawa ke syurga kasihnya Ibu

Tiga... Lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya Ayah
Empat... Mudah kau ketemu
Berhati selalu beza antara
Kasih dan kekasih

Ibu kuingat dahulu
Menyisir rambutku kemas selalu
Ayah menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa

Sayang dengar lagu ini
Untuk kau sandarkan buat panduan
Jangan manis terus ditelan
Pahit terus dibuang... itu bidalan
Harus engkau renungkan

"Dah...!!! tepuk tangan!!" kata Armizam pada saya yang terkebil-kebil memandangnya menyanyi tanpa silu di atas teres bukit di Amphitheater itu.
"Macam mana? sedap tak suara aku?" tanyanya lagi.
"Aku rasa kita kena balik asrama. Aku tak sembahyang Asar lagi ni.." kata saya. Giliran Armizam pula masam terkuncam apabila melihat saya berlalu tanpa memberikan sebarang komen.

Sampai di asrama, budak-budak di asrama itu bersorak kesukaan apabila kami dengan bermurah hati bersedekahkan rambutan milik pengurusan ITM.
"Mana korang dapat rambutan ni?" tanya budak-budak itu.
"Tuuu... kat atas Amphitheater tu... kalau korang nak banyak, pergilah kutip sendiri" kata saya.

Akhirnya rambutan yang banyak itu habis dikendurikan oleh budak-budak asrama kami. Tuan Penggawa dan Pegawai Penempatan asrama hanya sekadar berputih mata.

Dalam satu ucapan Penggawa sempena majlis jamuan akhir semester, Tuan Penggawa menyatakan kekesalannya terhadap sikap nakal kami. Antara ucapannya ialah..
"... kalau awak tengok pokok rambutan di sekeliling asrama tu, harus diingat, itu bukan awak yang punya ye!! Musim rambutan yang lepas saya dapati ada beberapa orang pelajar nakal yang dah kendurikan rambutan-rambutan tu semua. Saya percaya mesti ada dalangnya tu..."

Saya dan Armizam sekadar berbalas pandangan....

Indera : Sewaktu pulang ke Rawang semalam, Radio Sinar FM menyiarkan lagu ini. Terkenangkan kenangan di ITM.