Monday, February 12, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn 8

Sejak dari hari itu, saya jarang bertemu dengan Dr. Indera. Dr. Indera seperti sibukkan sesuatu. Jarang masuk ke kelas mengajar kami. Peperiksaan akhir tinggal sebulan sahaja lagi. Dr. Indera awal-awal lagi sudah selesai menghabiskan sukatan pelajarannya. Kini, apabila sampai sahaja waktu dia mengajar, kelas itu kami isi dengan membuat ulangkaji menerusi soalan-soalan tahun sebelumnya dan juga membuat nota ringkas.

Keputusan TOEFL diumumkan. Saya melepasi tahap minima yang ditetapkan oleh universiti. Ini membuatkan jalan saya untuk terbang ke seberang laut semakin terbuka. Kadang-kadang saya tertawa sendiri mengingatkan bagaimana kecohnya pagi itu, di hari saya menduduki TOEFL, saya terlewat bangun akibat bersengkang mata mengulangkaji contoh soalan. Akibatnya saya masuk ke dewan terlewat 15 minit dari waktu sebenar tanpa mengambil sarapan terlebih dahulu dengan rambut yang tidak sempat disisir. Sangka saya kekalutan itu bakal mengundang keputusan yang teruk. Namun akhirnya, segalanya berjalan lancar.

Peperiksaan akhir berlangsung. Peperiksaan ke semuanya diadakan di fakulti. Dr. Indera mengawasi dan menjadi ketua pengawas peperiksaan bagi subjek Pengurusan Portfolio. Serius sahaja wajahnya sepanjang berlangsung peperiksaan. Saya ingin menegur dan berbicara dengannya seusai peperiksaan, namun kesibukannya menghalang saya untuk berbuat demikian.

Hari terakhir peperiksaan itu, sebaik sahaja saya keluar dari dewan peperiksaan, saya ternampak Dr. Indera dari jauh. Dia juga nampak saya. Langkahnya terhenti. Dia tersenyum dan terus berlalu sebelum hilang di dalam pejabat pengurusan fakulti. Kenapa Dr. Indera menyepi diri agaknya?

Setelah tamat pengajian itu, saya memohon untuk bekerja di sebuah syarikat broker saham di Ipoh. Permohonan yang sekadar suka-suka dan saya juga langsung tidak mengambil perhatian terhadapnya. Jika diterima, saya akan bekerja. Hanya untuk mengisi masa lapang buat sementara waktu yang terluang. Akan tetapi, saya diterima!!. Pasaran saham yang sedang melonjak naik pada ketika itu membuatkan semua orang berbicara tentang saham, kaunter cergas, pulangan dan jangkaan masa hadapan. Saya tetap tidak ambil pusing. Belajar lebih baik. Wang boleh dicari di kemudian hari. Peluang belajar hanya datang sekali.

Suatu hari, Azri menghubungi saya di pejabat.
"Indera, engkau dah baca akhbar hari ini?"
"Belum, kenapa?"
"Engkau tengok dan baca muka depan Berita Harian... aku tak boleh cakap lama. Cuma apa yang nak aku cakapkan, bersabar banyak-banyak. Aku juga senasib...."

Sebaik sahaja Azri meletakkan telefon saya mencari-cari akhbar Berita Harian. Akhirnya saya menemuinya di bilik seorang Remisier.
"MARA BEKU PINJAMAN"
Menurut berita itu lagi, akibat daripada masalah hutang pinjaman yang tidak berbayar oleh peminjam pelajaran, MARA membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan pemberian pinjaman kepada mana-mana pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara kecuali bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan sahaja yang akan dipertimbangkan untuk mendapat pinjaman atau biasiswa.

Alangkah, alangkah hancurnya hati saya. Segala impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut hilang bersama angin lalu. Saya tatapi surat tawaran yang meminta saya mendaftar pada 8 Januari tahun yang bakal menjelang nanti. Nampaknya harapan itu hanya kekal menjadi sebuah mimpi yang tidak mungkin dapat dicapai. Mak dan Apak hanya mampu memujuk dan mendengar keluhan saya. Untuk membantu dari segi wang ringgit, Mak dan Apak tidak mampu. Mak sendiri menangis kerana Mak amat mengerti harapan dan cita-cita saya. Namun apakan daya, segalanya sudah suratan takdir. Mungkin ada hikmah di sebaliknya yang saya sendiri tidak mengetahuinya.

Seperti tidak diduga, seminggu sesudah itu saya menerima dua buah sampul surat sekaligus dari ITM. Sampul yang pertama, berisi keputusan akhir pengajian saya. Saya lulus. Ya, saya lulus!!. Sampul yang kedua, surat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Lanjutan. Ya Allah, sungguh besar kurniaanmu. Alhamdulillah, saya bersyukur!!
"Bertuah engkau Indera sebab dapat buat Advance..." kata Azri. "Engkau macam tau je perkara macam ni nak jadi, ye!!. Kalaulah aku minta sekali dengan engkau dulu.. kita mungkin sekelas.."
"Bersabarlah.." kata saya. "Cuba mohon untuk sesi akan datang..."

Saya pulang mendaftarkan diri di kampus. Segalanya bagai asing tanpa teman-teman yang saya kenali. Tiada lagi senyuman Hasniah menceriakan hari. Tiada lagi bising mulut Azri, Shahril dan Hartina bertengkar sesama sendiri. Benar-benar asing. Saya seolah-olah ditinggalkan oleh teman-teman. Hati saya bagai disayat hiba. Habis sahaja pendaftaran, saya pulang semula ke kampung menyambung cuti selama seminggu lagi. Seminggu itu hanya sesi berkenalan dan orientasi. Kelas masih lagi belum bermula. Jadi, apa perlunya saya menghabiskan wang, tinggal di Shah Alam yang serba mahal itu?

Setelah seminggu usai, saya sudah bersedia untuk masuk ke alam baru. Dengan teman-teman baru. Saya bertemu semula dengan Luqman dan Nizam. Rupa-rupanya, alasan Dr. Indera yang mengatakan tempat belajar cuma bersisa satu itu, hanyalah caranya untuk melihat kemampuan kami berfikir. Hakikatnya, kesemua kami berjaya dalam temuduga. Termasuk Hussein. Cuma Hussein menarik diri di saat-saat akhir.

Kursus itu mempunyai dua kelas sahaja yang setiap satu kelas mempunyai 30 orang pelajar yang mewakili keseluruhan kampus ITM yang terdapat di Malaysia. Saya terlongo apabila mendengar CGPA mereka.
"Saya Ramzan, dari ITM Terengganu. CGPA saya dulu 3.73"
"Saya Suraya, dari ITM Melaka. CGPA saya dulu 3.69"
"Saya Nasir, dari ITM Arau. CGPA saya 3.81..."
Saya terasa kecil dan kerdil dengan CGPA 2.80. Entah kenapa Dr. Indera dan panel yang lain memilih saya. Sehinggakan teman-teman sekelas saya bertanya berkali-kali akan kebenaran jumlah CGPA saya kerana mereka itu terdiri dari pelajar-pelajar ITM yang terbaik, yang dihimpunkan di kampus Shah Alam. Tetapi saya... Ahhh!!

Sudah lama saya tidak ketemu Dr. Indera. Saya ingin bertanya dengannya, apakah kualiti yang saya miliki hingga membuatkan Dr. Indera dan panel yang lain bersetuju memilih saya. Sekurang-kurangnya saya tahu di mana kekuatan saya.
"Errr... abang. Boleh saya jumpa dengan Dr. Indera Kamaruddin..." tanya saya kepada seorang kakitangan Pejabat Pengurusan Fakulti yang duduk di kaunter hadapan pejabat itu.
"Siapa..??" tanya abang itu.
"Dr. Indera, Dr. Indera Kamaruddin..."
"Dr. Indera tiada di sini..." katanya
"Dia ke mana.." tanya saya.
"Laa... kamu tak tahu lagi ke..??"
"Kenapa..?"
"Dr. Indera dah tak ada"

Mendengarkan jawapan itu, darah saya menyimbah naik ke muka. Seketika saya bingung. Enggan memikirkan kemungkinan buruk. Tetapi...

"Jika saya tak ada di ITM ini lagi, ingatlah orang tua yang suka merepek ni..."
"Saya tak suka mengucapkan perpisahan..."

Dr. Indera....

14 comments:

zwitterion said...

:)...sy tgh pening kepala n sakit tekak sekarang..

achik said...

mmg terasa kan bila banding2 camtu... saya dulu pun terasa bila kebanyakkan budak kelas saya dari sekolah teknik... diorg ada basic electrical... saya sek biasa je... x tau apa2 huhuhu...

kingbinjai said...

ah sedihnya...

Sastri said...

dah sampai ke Bahagian 8 rupanya... byk yg Sas tertinggal ni...

blackpurple @ jowopinter said...

Aku tidak begitu percaya CGPA yang baik itu modal untuk berjaya dalam bidang kerjaya..

Entri kau ni sudah layak dikompilasi dan diterbitkan menjadi buku ini Indrea....

Lan Rambai said...

Januari 1996 kan. Sepatutnya Januari 1996 ko pegi obersea tu kan? Dan aku masih menantikan maksud dah takder tu...

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Sekarang ni memang musim sakit tekak dan sakit mata.

Achik,
Kecik ati tau bila dok dalam kelompok tu. Rasa cam alien je. Mujur saya pandai buat bodoh (Ehh.. bukan memang "ya" ke..? Huhuhuhuh)

King,
Haiiii... gitu le..

Sas,
Dah nak sampai penghujung dah ni...

Bro BP,
Kalau ada sokongan orang macam Bro, Insya-Allah akan dibukukan.

Lan,
Wowww... aku memang respek engkau. Memang tepat tarikh tu..

Mana engkau tahu..? (musykil)

P/s ehh.. sori3x. Mestilah engkau tau, kan?. Umur engkau dengan aku kan dekat-dekat. Masa tu sama je.. :P

~inilah saya~ said...

setuju dengan blackpurle. CGPA bukan penentu kejayaan pekerjaan.

Teruskan menulis....

Iman Mawaddah said...

Alahai sedihnya

BaYu SenJa said...

aduh,
ending yang menarik dalam sedih..
saya juga sokong indera bukukan episod2 cerita indera ni..

hayad said...

erm..dah agak jugak episod yg lalu, mcm dr.indera ni akan pergi tak kembali jer....

Unknown said...

hurmm pergi jua dia.. sabo sabo

INDERA KENCANA said...

Qasseh,
Tetapi di peringkat permulaan kerjaya orang tetap akan pandangan CGPA. Cuma sesudah itu, nasib dan kesungguhan, usaha, doa dan tawakkal akan menentukannya. Betul ke?

Iman,
Sedihnya tak dapat amplang... Kekekekekeke..

Bayu,
Belum habis lagi..

Linda,
Setiap yang datang, pasti akan pergi..

INDERA KENCANA said...

Dayah,
Ye ke..??