Tuesday, March 25, 2008

Mawlidur Rasul (Bhgn 2)

Shaibah tanpa tangguh lagi membenamkan semula cangkulnya ke dasar tanah yang berpasir itu. Objek keras yang disangkakannya batu bukanlah objek sebarangan. Ianya adalah patung kijang emas yang ditanam oleh Bani Jurhum sewaktu mereka menimbus Telaga Zamzam sebagai strategi perang mereka menentang puak dari utara dahulu. Sewaktu diangkat patung kijang emas itu, berhamburanlah air Zamzam keluar dari mata-airnya. Seluruh penduduk Kota Mekkah yang menyaksikan penemuan Telaga Zamzam itu bersorak keriangan. Air sudah ditemui. Kini kota itu bakalan bertambah makmur dengan sumber mata-air itu. Setiap wajah tersenyum senang. Bahagia. Gembira. Bersama-sama patung kijang emas itu, turut ditemui senjata dan lain-lain perhiasan yang berharga. Kesemua itu diserahkan kepada Kaabah sebagai tuan empunyanya.

Berita penemuan Telaga Zamzam itu merebak ke seluruh Kota Mekkah. Bukan sahaja di kota itu, bahkan ke seluruh Jazirah Tanah Arab. Penemuan itu membawa kegembiraan lantas kesyukuran dipanjatkan setinggi-tingginya ke hadrat Allah. Sesudah ini, tidak sukar lagi bagi masyarakat Arab yang ingin menunaikan ibadat di Baitullahil-haram untuk mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh mereka menginap di Kota Mekkah.

Sedikit sebanyak, penemuan Telaga Zamzam itu telah membuka mata banyak pihak tentang betapa kewujudan telaga itu memberi pulangan yang menguntungkan bagi mereka. Lalu pemuka-pemuka Quraisy itu, tanpa segan silu mendakwa bahawa mereka berhak terhadap Telaga Zamzam tersebut kerana telaga itu ditemui di kawasan Kaabah. Jika sudah Kaabah itu milik umat manusia, maka semua orang berhak ke atasnya. Bukan setakat pemuka-pemuka Quraisy itu sahaja. Alasan itu cukup untuk menutup mulut pemuka-pemuka Quraisy yang bertegang urat menuntut hak masing-masing.

Sebagai menenangkan keadaan itu, mereka bersetuju bahawa harus ada seorang yang dapat menyelia dan menguruskan telaga itu di samping mengagihkan air zamzam kepada pengunjung Baitullah. Akhirnya mereka sepakat memilih, Shaibahlah orang yang paling layak memikul tanggungjawab itu bukan setakat dia yang menemui Telaga Zamzam itu, bahkan dia seorang yang sangat amanah, jujur dan berkarisma sebagai seorang pemimpin ulung. Dia juga datangnya dari keluarga Bani Hashim yang merupakan keluarga yang paling berpengaruh di kota itu.

Masyhurlah nama Shaibah sesudah penemuan Telaga Zamzam. Dia dianggap sebagai tempat rujukan pemuka-pemuka Quraisy atas keterampilan yang dimiliki serta pengamatannya yang sangat mendalam terhadap sesuatu isu yang berbangkit. Tugasnya sebagai pengagih air zamzam, membuatkan dia dikenali dan disenangi oleh ketua-ketua puak dan pedagang-pedagang di seluruh semenanjung tanah Arab. Namanya kini lebih dikenali sebagai Abdul Mutalib.

Hari berlalu dan masa berputar ligat. Kesibukan Abdul Mutalib membuatkan dia lupa akan dirinya sehinggalah pada suatu hari sewaktu dia sedang mengagihkan air Zamzam kepada satu kabilah, dia disapa oleh oleh ketua puak Bani Hamdan.
“Assalamualaikum, Ya Tuan”
“Wa alaikummussalam”
“Apa khabar tuan sekarang?” tanya ketua puak.
“Alhamdulillah, hamba sihat. Lama sudah hamba tidak bertemu dengan tuan. Apakah hajat tuan datang ke mari?” tanya Abdul Mutalib.
“Hamba datang ke sini adalah untuk membayar niat hamba kepada Berhala Al-Manat itu. Hamba mendapat seorang lagi anak lelaki” kata ketua puak itu.
“Ohh… begitu” jawab Abdul Mutalib.
“Tuan bila lagi ingin punya cahaya mata? Tak elok dibiarkan lama-lama. Tuan kelak memerlukan zuriat untuk mengambil alih tugas tuan di kota ini. Haa… hamba syorkan agar tuan berniat di Berhala Manat itu… Insya-Allah tuan akan beroleh cahayamata” kata ketua puak itu sebelum berlalu ke kaki Berhala Manat yang besar itu.

Kata-kata ketua puak Bani Hamdan itu tiba-tiba terkesan di hatinya. Betul kata ketua puak itu, satu hari nanti dia perlukan zuriat yang dapat mengambil alih tanggungjawab besar pada Kaabah itu. Sekali difikirkan juga, sudah bertahun-tahun dia mengahwini Fatimah bint Amr dari Bani Makhzum itu, namun sehingga kini dia masih lagi belum dikurniakan dengan cahayamata. Kalau sudah bertahun-tahun masih belum hamil, apakah maknanya itu? Pasti isterinya itu mandul.

Runsing dengan hal itu, Abdul Mutalib lantas melangkah menuju ke rumah sahabat karibnya Suhail ibn Saad menceritakan keadaan dirinya.
“Apakah jalan yang tuan hamba fikirkan?” tanya Suhail.
“Hamba berfikir untuk berkahwin lagi satu”
“Berkahwin lagi satu? Kenapa?” tanya Suhail
“Hamba fikir masalah ini adalah disebabkan oleh isteri hamba yang mandul” kata Abdul Mutalib.
Mendengarkan kata-kata Abdul Mutalib itu, Suhail menghela nafas panjang.
“Kenapakah tuan hamba menarik nafas panjang, wahai sahabatku?” tanya Abdul Mutalib.
“Hamba bimbang kalau-kalau tuan hamba yang mandul” kata Suhail.

Mendengarkan kata-kata Suhail itu, rasa gugur jantung Abdul Mutalib. Kalau dirinya yang mandul, akan sunyilah kehidupannya. Pasti hartanya yang berbilang banyak itu tidak dapat dirasai oleh waris keturunannya.
“Hamba rasa ada betulnya tuan memasang niat di Berhala Manat seperti kata Ketua Bani Hamdan itu” kata sahabatnya, Suhail itu.

Bermalam-malam tidur Abdul Mutalib tidak lena. Sering diganggu igauan bahawa dirinya mandul tidak mampu memberi zuriat. Hidupnya keluh kesah. Perjalanannya sehari-harian terasa begitu lambat dan lesu. Setelah tujuh hari berlalu, Abdul Mutalib memutuskan untuk berniat di Berhala Al-Manat itu.
“Ya Allah. Kurniakanlah aku dengan 10 orang anak bagi menggantikan tanggungjawab aku terhadap rumah-Mu ini. Jika aku dikurniakan dengan 10 orang anak itu, aku bernazar untuk menyembelih salah seorang daripada anakku itu di antara Berhala Lata dan Uzza”

Tidak lama sesudah Abdul Mutalib bernazar, isterinya Fatimah kemudian mengandung. Lahirlah anak mereka yang sulung. Seorang anak lelaki. Mereka menamakan bayi itu dengan nama Al-Harith. Kemudian diikuti oleh adik-adiknya yang lain. Muqawwam, Az-Zubair, Al-Abbas, Abdul Uzza (Abu Lahab), Abi Talib, Abdullah, Arwa, Saffiyyah dan juga Hamzah. Namun di antara anaknya yang sepuluh itu, yang paling rapat dan paling disayangi oleh Abdul Mutalib ialah Abdullah. Perwatakan, tutur katanya, kerlingan dan senyumannya, semua memikat hati Abdul Mutalib. Pendek kata, Abdullahlah cahaya hatinya. Abdullah juga kesayangan abang-abang dan adik-adiknya.

Tiba saat dan ketika, Abdul Mutalib terpaksa menerangkan hal nazar itu kepada anak-anaknya.
“Wahai anak-anakku sekelian. Sebelum kelahiran kamu dahulu, ayah sudah bernazar di hadapan Allah. Sekiranya ayah dikurniakan dengan sepuluh orang anak, salah seorang daripada kamu akan ayah sembelihkan di tempat antara Berhala Lata dan Uzza. Kini ayah ingin mendapat kepastian kamu, adakah kamu bersetuju memenuhi nazar ayah itu?”

Kesemua anak-anak Abdul Mutalib tertunduk kaku. Antara rasa gerun, kasih pada ayah, ketaatan sebagai hamba. Mereka masing-masing memikirkan bagaimana jika mereka yang terpilih memenuhi nazar itu. Adakah mereka sanggup?
“Lakukanlah ayah jika itu yang ayah nazarkan. Kami rela menerima sebarang keputusan tentang siapakah yang bakal terpilih memenuhi nazar itu kerana kami hanya mengharapkan keredaan Allah. Moga kami menjadi insan terpilih sebagaimana Nabi Ismail A.S. Lakukanlah ayah!!” jawab Al-Harith sebagai saudara yang tertua.

Setelah menerima kata sebulat suara itu, Abdul Mutalib mengambil 10 batang damak. Setiap damak itu diletakkan dengan nama anak-anaknya. Kemudian damak diisi dalam satu tabung. Tabung itu kemudiannya digoncang sebelum Abdul Mutalib mencabut salah satu damak.

Setelah digoncang, tibalah masanya Abdul Mutalib menarik keluar damak itu. Abdul Mutalib memandang kesemua anak-anaknya. Matanya terarah kepada Abdullah yang disayanginya. Abdullah tersenyum. Senyuman itu menguatkan hati Abdul Mutalib. Abdul Mutalib menarik sebatang damak. Matanya jatuh pada nama
ABDULLAH

Mengeletar tangan-tangan Abdul Mutalib. Tidak…!! Jangan Abdullah. Tidak!!. Namun keputusan sudah dibuat. Tidak mungkin dapat ditarik lagi. Kesemua anak-anak Abdul Mutalib bertangisan memeluk Abdullah, kesayangan mereka.
“Berbahagialah kamu, wahai adikku kerana dapat memenuhi nazar ayah itu” kata Al-Harith sambil memeluk adiknya itu.

Abdul Mutalib terduduk. Gagal berkata-kata. Berita Abdul Mutalib akan menyembelih Abdullah di hadapan Kaabah itu tersebar luas di seluruh Kota Mekkah. Gempar segala pemuka-pemuka Quraisy.

Abdul Mutalib menuntun Abdullah yang ketika sudah muda remaja menuju ke arah Kaabah. Orang ramai keluar dari rumah masing-masing untuk menyaksikan Abdul Mutalib yang akan menyembelih anaknya atas sebab nazar. Masing-masing berbisik dalam belas simpati terhadap nasib Abdullah. Dalam getar sayu hatinya, Abdul Mutalib keraskan juga hatinya. Membaringkan Abdullah di atas batu di antara Berhala Lata dan Uzza. Pisau tajam berkilauan sedia di tengkuk Abdullah untuk ditarik dengan pantas.

“Nanti!!!!” suara garau membentak mengejutkan Abdul Mutalib.

(Bersambung)

Friday, March 21, 2008

Mawlidur Rasul

Dia masih berdiri di situ. Memandang binaan purba yang gah tinggi berdiri itu. Matahari semakin naik tinggi di langit. Kepanasan semakin membakar persekitaran kawasan yang hanya diliputi pasar yang berwarna perang. Hmmmm… entahlah. Jika menurut lelaki di dalam mimpinya itu, di sinilah letaknya telaga itu. Telaga yang dicari-carinya sepanjang hayatnya. Telaga yang telah lama hilang dek dosa yang dilakukan oleh Bani Jurhum dahulu.

Lelaki di dalam mimpinya itu berulang-ulang kali menyuruhnya agar menggali di situ, 20 meter sahaja ke timur arah Baitullahil-haram. Tetapi bolehkah dia mempercayai takwil mimpi itu? Sudah banyak tempat digalinya serata kota Mekkah itu, namun semuanya hampa. Tiada petunjuk yang menyatakan bahawa di situ pernah terdapatnya Telaga Zamzam seperti cerita yang diperturunkan dari datuk neneknya. Haaaiiii… jika benarlah tempat itu merupakan tapak telaga itu, alangkahnya beruntung bumi Mekkah ini. Pengunjung Rumah Allah ini tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan dari sumber manakah harus mereka perolehi bekalan air sepanjang mereka mengerjakan ibadat di Mekkah ini. Pedagang-pedagang yang lalu lalang di antara jalan perdagangan Syam-Yamen ini juga akan mendapat faedah bersama.

Peluh jernih merintik di dahi. Lagi lama masa dibazirkan, lebih panas jadinya kawasan sekitar itu. Ahhh… tidak salah jika aku mencuba. Apa salahnya jika digali di sini. Jika ada, baguslah. Jika tiada pun, akan diusahakannya mencari di kawasan lain. Dengan menyebutnya nama Allah, Shaibah ibn Hashim ibn Abdul Manaf ibn Qusai mengangkat cangkulnya tinggi-tinggi sebelum menghentakkan matanya dalam-dalam ke perut pasir yang peroi itu. Menitis peluhnya satu persatu membasahi pinggiran Kaabah itu. Lubang yang digali semakin lama semakin dalam. Semakin lama semakin luas. Akhirnya tindakannya itu menjadi perhatian pemuka-pemuka Quraisy di sekitar kawasan itu.
“Apakah yang sedang kamu lakukan itu wahai Shaibah?” tanya seorang pemuka Quraisy yang datang melihat kerja. Shaibah kenal lelaki gemuk gedempol itu. Bersangkutan dengannya pada galur moyang sebelah bapanya.
“Aku sedang menggalilah”
“Benar, aku tahu engkau menggali. Tetapi apakah yang sedang engkau cari?” tanya lelaki itu.
“Aku sedang mencari Telaga Zamzam” jawab Shaibah tanpa memandang lelaki itu. Tekun dia dengan kerjanya.
“Mana engkau tahu ada Telaga Zamzam di situ?” lelaki itu seakan berminat untuk ambil tahu lebih lanjut.
“Aku bermimpi. Ada seorang lelaki datang kepadaku menyuruh aku menggali di sini!!”
“Mimpi?? Hahahahahahaha…. Shaibah, Shaibah. Tak sangka aku, orang seperti engkau pun mudah terpedaya dek mainan tidur. Hahahahahaha… ya, teruskanlah usaha murni engkau itu. Nanti penuhlah Kota Mekkah ini dibanjiri dengan air Zamzam… Hahahahahaha” lelaki itu ketawa besar bercampur mengejek sebelum dia berlalu pergi.

Orang ramai semakin banyak mengerumuni tempat itu. Leka mereka melihat Shaibah bekerja sehingga mereka lupa melunaskan hajat pada Berhala Lata dan Uzza yang menjadi kebanggaan mereka. Ada yang berbisik. Ada yang tersenyum kambing. Tidak kurang pula yang ketawa. Menganggap pekerjaan Shaibah itu sesuatu yang tidak masuk di akal. Hanya menyakitkan badan, kaki dan tangan sahaja.

Matahari semakin naik menggalah. Kawasan persekitaran membahang menyakitkan kepala. Shaibah masih tekun dengan kerjanya. Sedikit pun dia tidak tersentuh dengan ejekan orang di sekelilingnya. Cuma hatinya kini semakin berbelah bagi. Boleh jadi mimpi dan lelaki itu hanya mainan tidurnya. Ya, Allah. Bantulah aku, Ya Allah. Kurniakanlah kekuatan padaku, doa Shaibah di setiap hayunan cangkulnya.

Lubang yang digalinya semakin lama semakin dalam. Kini tubuhnya sudah hilang dari paras bumi. Lubang itu semakin dalam. Orang yang mengerumuninya semakin lama semakin susut bilangannya. Namun tiada tanda-tanda tempat itu letaknya Telaga Zamzam seperti yang diperkatakannya. Hati Shaibah kini sudah benar-benar kehampaan.
“Ya, Allah. Inilah hayunan terakhir aku. Sekiranya benar tempat ini letaknya Telaga Zamzam itu, kupohon agar mengalirlah airnya. Jika tidak, aku akan berputus asa” doa Shaibah sebelum menghayunkan cangkulnya untuk kali terakhir.

Tiba-tiba hayunan cangkulnya melantun semula akibat mengenai sesuatu yang keras. Hmmmm… batu!! Fikir Shaibah. Shaibah mengibas-ngibaskan tanah dan pasir yang melekat di badannya sebelum bersedia untuk keluar dari lubang itu. Memang Telaga Zamzam itu tiada di sini, fikir Shaibah. Tetapi Shaibah hairan. Beberapa orang lelaki Quraisy yang masih bertahan melihat kerjanya semakin mara menghampirinya yang berada di lubang itu.
“Lihat itu Shaibah!!! Lihat itu semua!!! Tanahnya semakin basah. Ahhhh… Air!! Air!! Ada air di situ!!” jerit lelaki itu meneriak ke seluruh Kota Mekkah.

Shaibah terpinga-pinga. Dia memandang di kakinya. Benarlah tanah itu sudah lembab dengan air.

Air!!! Air!!!

(Bersambung)

Monday, March 17, 2008

Cerita saya lari dari rumah...


Saya masih ingat lagi tahun itu, tahun 1988. Setahun sebelum saya menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Baru tamat tingkatan 2. Cuti penggal yang panjang dihabiskan dengan menonton kaca television, merayau-rayau di sekeliling kampung dan melakukan apa sahaja aktiviti yang langsung tidak mendatangkan faedah.

Saya bosan dengan sekolah saya. Saya benci belajar. Tambahan pula saya sangat membenci subjek matematik yang diajar oleh Cikgu Md Sahuri. Hampir kebanyakan topik yang diajar langsung tidak saya fahami. Dengan adanya Bahasa Arab, tambah menyesakkan kepala saya menerima segala macam tunjuk ajar guru.

Cuti yang panjang selama hampir 2 bulan itu, saya penuhi dengan melakukan apa sahaja yang saya ingini. Janji ianya boleh melupakan saya pada kekusutan tinggal di asrama. Paginya, saya bangun jam 10.30. Terus masuk ke dapur bersarapan. Kemudian duduk di hadapan television berjam-jam sebelum mandi dan keluar merayau sehingga santak maghrib. Begitulah selama berminggu-minggu.

Rupa-rupa segala perlakuan saya menjadi perhatian mata-mata yang sakit benar melihat tindak tanduk saya yang menjolok mata itu. Kakak-kakak saya iaitu Kak Aini (Yang) dan Kak Asma.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu pagi, sebaik sahaja saya bangun dari katil, saya akan terus menyingkap tudung saji melihat juadah yang telah dimasak oleh Mak dan kakak-kakak saya. Hmmmm… meehun goreng. Sedapnya!!
“Kamu ni dah tak ada kerja lain? Bangun tidur je dengan tak gosok gigi, dengan tak mandi, terus makan. Cuba buat perangai elok sikit!!” marah kakak saya.
Saya terpempan.
“Eh suka akulah nak buat apa pun… engkau sibuk pasal apa?”
“Aku sibuk sebab perangai engkau tu buruk sangat” kata kakak saya lagi.
“Buruk apanya? Hari ni kan ke cuti? Gunakanlah cuti betul-betul” kata saya mempertahankan diri.
“Haaa… itulah yang engkau tahu. Makan, tidur, merayap dan tidur lagi. Solat entah ke mana. Buku-buku langsung tak berbaca” leter kakak saya.
“Ni… hari ni keputusan SRP orang keluar…. Awak pulak tahun depan entah dapat berapa. Jangan nak mimpi la dapat keputusan bagus kalau perangai macam ni” kakak saya masih tidak puas-puas lagi berleternya.
“Engkau diam boleh tak?” saya sudah naik darah apabila dileter sebegitu. “Engkau ni apa hal nak marah-marah ni. Engkau period ke?” mulut saya lancang mencaci orang bila kepentingan saya tercabar.
PAAAANNNNGGG anak lesung batu menghentam pintu grill di sebelah saya dibaling oleh kakak saya. Mujur saya mengelak. Jika tidak sudah pasti anak lesung batu itu menghentam dahi saya. Alamatnya akan memancutlah darah di dahi. Boleh masuk hospital!!.

Mendengar kecoh-kecoh itu, Mak dan Kak Asma meluru masuk ke dapur.
“Ini apahal ni???” Mak bingung melihat saya seakan sedia untuk menggasak kakak saya (keji sungguh!!).
“Ni, budak ni. Buat perangai buruk. Dinasihatkan tak nak dengar” kata Kak Aini mengadu pada Mak saya.
“Bila masa dia nasihat. Asyik berleter, berleter, berleter… tangan karang!!” kata saya mengangkat tangan untuk memukul kakak saya. Kak Aini sudah menangis.
“Sudah, sudah, sudah!! Kamu Indera cuba buat perangai elok sikit” kata Mak.
“Perangai buruk, malas belajar” sampuk Kak Asma.
“Ahhhhh…. Kamu semua memang sama. Memang kamu semua tak suka kan aku. Memang aku tak suka belajar. Aku nak bakar saja buku-buku tu” kata saya sebelum meluru masuk ke bilik. Di bilik saya mengeluarkan beg galas saya dari bawah katil dan terus keluar menghamburkan isi beg itu semua ke tanah. Kemudian dengan setin minyak petrol Apak, saya mencurahkannya ke atas buku-buku saya.

Sebaik sahaja saya menyalakan api mancis tiba-tiba..
BUUUKKKKK…
Di belakang saya hinggap batang penyapu. Bukan penyapu lidi. Tetapi penyapu jerami yang mempunyai pemegang kayu yang solid itu. Aduuuuhhhh… sakitnya tidak terkata!!.
“Anak tak tahu diuntung… susah susah aku sekolahkan engkau, ini balasan engkau ye!! Nak jadi Setan??” tengking Apak sambil menghayun kayu penyapu itu berulang-ulang kali ke badan saya. Saya hanya mampu menyeringai menahan sakit.

Akibat terlalu sakit, saya menghambur lari tidak cukup tanah. Lari mengikut langkah kaki saya. Akhirnya saya tersedar bahawa saya sedang terbaring di satu pondok buruk di tepi sawah. Tidak jauh dari tanah perkuburan yang luas itu. Matahari rembang membakar tanah namun persekitaran sawah itu terasa nyaman. Sejuk dan menenangkan. Saya meraba belakang saya yang menjadi sasaran Apak sebentar tadi. Perit. Saya kira sudah berbirat kemerahan. Perut terasa lapar. Tetapi saya tidak boleh pulang ke rumah. Kelak dipukul oleh Apak lagi. Mereka memarahi aku, fikir saya.

Seharian saya duduk di pondok itu sehinggalah matahari sudah sedia ufuk barat untuk melabuhkan tirainya. Saya pasti akan terus duduk di pondok usang itu jika saya tidak mendengar suara pelik-pelik menjerit dari tanah perkuburan yang semak itu.
KUUUUUWWWAAAAUUUUU……………. Suara melaung dari kubur itu menjelang senja menaikkan bulu roma saya.

Takut dengan itu saya berlari dari situ. Melalui halaman Tok Musa sewaktu orang sedang melaungkan azan Maghrib.
“Indera….!! Kamu dari mana tu?” tanya Alang kehairanan apabila saya melintas halaman rumah ayahnya dengan kaki tidak berkasut.

Panggilan Alang itu langsung tidak saya pedulikan. Saya berlari lagi sehingga saya sampai di belakang sebuah rumah tua di tepi tebing Sungai Perak. Antara rimbun pokok kenanga dan limau purut itu saya berdiri kebingungan.
“Apa halnya kamu berdiri di situ?. Dah Maghrib. Naik cepat” kata Opah Merbi seolah mengerti apa yang terjadi kepada saya.

Opah Merbi ini punya hubungan yang unik dengan saya. Dia mempunyai seorang anak perempuan bernama Fatimah. Setelah bertahun-tahun berkahwin, Fatimah masih tidak dikurniakan dengan cahayamata. Suatu hari Fatimah bermimpi, Mak yang ketika itu mengandungkan saya, menyerahkan saya kepadanya. Sejak dari hari itu saya menjadi anak angkat Fatimah. Dan Opah Merbi itu melayan saya seperti cucunya sendiri.

Malam itu, saya makan dan tidur di rumah Opah Merbi. Tidur pun ditepuk oleh Opah Merbi seperti saya ini masih berusia 3 tahun sedangkan ketika itu usia saya sudah menginjak ke angka 15 tahun.

Nun di rumah, Mak menangis tidak henti-henti. Apak sudah bingung. Saya hilang. Ada yang mengatakan saya diculik orang bunian. Ada yang mengatakan saya sudah lari ke bandar besar. Ke Ipoh atau Kuala Lumpur.
“Lebih baik Cikgu tanyakan pada Pawang Dalid tu… boleh jadi dia tahu di mana anak Cikgu sekarang” kata Pak Leman mengusulkan kepada Apak.

“Saya tak tahu dia pergi mana. Yang saya nampak, dia lari arah ke baruh” kata Alang ketika ditanya oleh orang ramai itu. Kecoh jadinya kerana Alang saksi yang terakhir melihat saya senja itu.

Apak ke rumah Pawang Dalid minta petua.
“Dia ni selamat. Dia tengah tidur di rumah orang. Orang ni pulak, sayang sangat pada dia” kata Pawang Dalid.
“Pak Dalid tahu siapa orang tu..” tanya Pak Su Usop.
“Aku tak tahu. Tapi, rumah orang itu di tepi Sungai Perak. Ada pokok mempelam besar di depan rumahnya”

Tiada siapa yang mengetahui di mana saya berada. Keesokan paginya, sebaik sahaja saya bersarapan, saya duduk termenung di tepi tebing Sungai Perak itu. Sebuah motosikal ditunggang laju sebelum berhenti mengejut berdekatan dengan saya. Mak Yah tertonggek membonceng motosikal Yeop, abang saya yang sulung.
“Ya Allah, Indera… kamu pergi mana? Penat semua orang mencari kamu” kata Mak Yah.
“Jom balik ikut Mak Yah, jom” kata Mak Yah.
“Tak mahu… Mak Yah baliklah..” kata saya. Abang saya hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Jomlah balik. Tak baik buat macam ni. Mak kamu semalaman menangis disebabkan kamu. Tak kesian ke kamu kat Mak kamu?”
“Mak Yah baliklah… saya tak mahu balik” kata saya. Kalau saya pulang hanya akan dipukul oleh Apak lagi.
“Kalau dia tak nak balik, janganlah kamu paksa dia, Yah. Biarlah dia duduk dengan aku” kata Opah Merbi datang menyampuk setelah melihat Mak Yah menarik tangan saya.

Saya masih di rumah Opah Merbi sehingga tengahari. Sebaik sahaja selesai makan tengahari, di halaman rumah Opah Merbi, masuk sebuah Van Nissan Liteace berwarna biru. Saya kenal van itu. Van Beh, pakcik saya dengan Mak Uda Zaidah. Sepupu rapat saya iaitu Razak pun ada bersama.
“Indera, jom la kita balik. Kalau kamu takut nak balik rumah Apak kamu, jom balik rumah Mak Uda” pujuk Mak Uda.
Saya hanya termenung jauh di kaki tangga. Malu dengan Beh yang tidak banyak bercakap itu.
“Kalau kamu buat macam ni, Mak uda risau nanti Razak ikut perangai kamu pulak..” kata Mak Uda Zaidah sambil mengurut bahu Razak yang terpinga-pinga.

Akhirnya saya mengalah. Mengikuti Beh dan Mak Uda Zaidah kerana saya malu mencipta kecoh lebih-lebih lagi di hadapan Beh, bapa saudara saya yang sangat baik hati itu. Masuk sahaja ke dalam van, kesemua baju saya sudah sedia di dalam beg. Bagaikan Mak Uda Zaidah tahu bahawa saya akan lembut hati dengannya.

Itulah zaman huru-hara. Kerana mengikut hati, saya bikin malu. Tetapi itulah zaman remaja di mana kebaikan dan keburukan sukar dibezakan. Yang ada hanya hati yang bermaharajalela.

Indera: Saya pulang ke rumah Mak dua minggu sesudah itu. Kepulangan saya itu disambut dengan perasaan yang pelik. Semua orang tidak berani menyapa saya. Mak mencium saya beberapa kali. Tahun berikutnya, saya hilang lagi. Bikin ribut selama dua minggu sehingga kehilangan saya dilaporkan kepada pihak polis. Kali ini kehilangan saya adalah mengikut rombongan Jemaah Tabligh ke Bagan Ajam, Butterworth. Hahahahahaha… masih punya kisahnya yang tersendiri.

Wednesday, March 12, 2008

Selamat Hari Jadi, Cinta

ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu
sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
kekuatan hati yang berpegang janji
genggamlah tanganku cinta
ku tak akan pergi meninggalkanmu sendiri
temani hatimu cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta
ku teringat hati
yang bertabur mimpi
kemana kau pergi cinta
perjalanan sunyi
engkau tempuh sendiri
kuatkanlah hati cinta
ingatkah engkau kepada
embun pagi bersahaja
yang menemanimu sebelum cahaya
ingatkah engkau kepada
angin yang berhembus mesra
yang kan membelaimu cinta



Pada suatu masa di satu negeri, tinggal seorang budak lelaki bernama Cinta. Cinta mempunyai seorang ibu, seorang ayah dan 3 orang adik beradik. Bapa Cinta merupakan seorang petani miskin, namun keluarga itu tidak pula pernah keputusan bekalan makanan walaupun di musim dingin yang panjang. Di musim bunga dan di musim panas yang nyaman, Cinta hidup sejahtera bersama hembusan bayu yang menumbuhkannya menjadi kanak-kanak yang periang.

Segala keperluan hidupnya dipercukupi oleh ayah dan ibunya. Tetapi cuma satu, Cinta tidak pernah merasai akan nikmat dan keriaan sebuah sambutan harijadi sebagaimana rakan-rakannya yang lain. Apabila ditanya kepada kedua orang tuanya kenapa dia tidak pernah merasa sambutan harijadi, ibubapanya menjawab bahawa mereka tidak mampu menyediakan keraian seumpama itu dengan membeli hadiah dan juga jamuan. Keperluan yang paling utama adalah untuk mengisi perut kosong anak-anak sahaja.

Cinta merasa marah terhadap kedua orang tuanya dengan mengatakan bahawa ibubapanya sudah tidak menyayanginya lagi. Hanya sebuah hadiah harijadi. Tidak mungkin itu pun tidak mampu disediakan oleh kedua orang tuanya. Tetapi hakikatnya, kedua orang tuanya sememangnya tidak berkemampuan.

Cinta menginginkan sambutan harijadinya diraikan dengan sebiji kek dan sekotak hadiah. Dia menginginkan agar sambutan itu diraikan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
“Cinta benci ayah!! Cinta benci ibu… benda sekecil itupun ayah dan ibu tak mampu nak sediakan. Cinta benci menjadi anak orang miskin”
“Cukup Cinta!! Kamu sudah melampau!!” bentak ayahnya
“Kalau tidak mampu menyediakannya lebih baik ayah dan ibu tak punya anak langsung!!” kata-kata lancang Cinta membakar kemarahan ayahnya.
PAAANNNGG…. Sebuah tampar berat hinggap di pipi Cinta yang mungil. Cinta hanya mampu menangis.

Hari itu hari jadi Jati, rakan sepermainannya. Jati lebih tua umur daripada Cinta dalam jarak 3 hari sahaja. Ini bermakna, lagi 3 hari Cinta akan menyambut harijadinya pula yang ke-9. Kesemua penduduk kampung dijemput menghadiri keramaian itu termasuklah Cinta dan ahli keluarganya. Di majlis itu, Jati menerima sebuah permainan berupa anak patung askar yang bermain gendang. Cantiknya anak patung askar itu membuatkan jiwa Cinta huru lantas kucar-kacir memikirkan bahawa 3 hari bakalan menjelang itu, dia pasti tidak akan menerima apa-apa untuk harijadinya seperti tahun-tahun terdahulu. Diam-diam Cinta meninggalkan majlis itu lantas menuju ke pinggir ladang di mana terdapatnya sepohon beringin dan altar purba yang kecil di pangkalnya. Di bawah pohon beringin itulah Cinta menangis sambil mengenang untung nasibnya.
“Ya Tuhan. Berikanlah aku sebuah hadiah harijadi. Aku rela menukarkannya dengan apa sahaja yang aku miliki sekarang!!”

Begitulah Cinta berdoa saban hari setiapkali dia duduk termenung di bawah beringin rendang itu selama tiga hari. Masuk sahaja hari yang ketiga, Cinta masih tetap mengunjungi pohon beringin itu sambil terus berdoa.
“Ya Tuhan, Berikanlah aku sebuah hadiah harijadi. Aku rela menukarkannya dengan apa sahaja yang aku miliki sekarang!!”

Di saat Cinta melafazkan doa itu, nun di atas awan, seekor Bota sedang terbang melayang mencari mangsa untuk dia menebarkan segala keburukan di atas muka bumi ini. Mendengarkan rayuan Cinta yang terlalu mengharap itu, Bota tersenyum kerana Cinta akan digunakannya itu menebar keburukan. Lantas Bota itu menjelma di hadapan Cinta sambil berupa seorang orang alim.
“Apa yang kamu inginkan?” tanya orang alim itu.
“Saya ingin sebuah hadiah untuk harijadi saya” kata Cinta.
“Hmmmm… kenapa kamu inginkan hadiah hari jadi? Apa hari ini hari jadi kamu?” tanya orang alim itu.
“Benar, hari ini hari jadi saya. Tetapi ibu dan ayah saya tidak mampu menyediakan walaupun sebiji kek pun untuk harijadi saya”
“Jadi apa yang kamu inginkan untuk harijadi kamu?” tanya orang alim itu lagi.
“Apa sahaja!! Asalkan ianya hadiah harijadi” jawab Cinta.

Orang alim itu tersenyum sambil mengeluarkan dari jubahnya sebuah kotak kayu dan sebiji botol cantik yang mengandungi cairan berwarna merah di dalamnya.
“Aku kira ini adalah hadiah yang paling tepat buatmu..” kata orang alim itu.
“Apakah itu?” tanya Cinta cuba merebuti hadiah tetapi segera dihalang oleh orang alim itu.
“Kamu akan tahu apa yang kamu akan perolehi sebaik sahaja kamu meminum air dari botol ini. Tapi sebelum itu, aku ingin bertanya pada kamu, apa yang kamu boleh tawarkan sebagai tukaran dengan hadiah-hadiah ini?” tanya orang alim itu.
Cinta hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Dia dari keluarga yang miskin. Apa yang mampu ditawarkan olehnya.

Orang alim itu tersenyum.
“Mahukah kamu menukarkan dengan kebahagiaan kamu dan dengan cinta dalam hati kamu?” tanya orang alim itu.
“Bolehkah begitu?” tanya Cinta.
“Sudah tentu boleh…” jawab orang alim itu.
“Jika begitu, saya bersetuju” kata Cinta.

Dengan tidak semena-mena, keluar dari mulutnya dua biji bola cahaya dari mulut Cinta. Itulah dia kebahagiaan dan cinta dalam hati. Kini hatinya kosong tanpa kebahagiaan dan juga cinta.
“Sekarang kamu minum air ini” kata orang alim itu.

Tanpa tangguh, Cinta membuka penutup botol itu dan mengogok cairan merah itu sehingga habis. Sebaik sahaja selesai dia meneguk air itu, Cinta merasakan hatinya terlalu pedih dan pilu. Amat seksa penanggungannya sehingga dia berguling-guling di atas tanah.
“Hai orang alim, minuman apa yang engkau berikan pada saya?” tanya Cinta.

Orang alim itu ketawa berdekah-dekah dan dalam sekelip mata bertukar wajah semula menjadi seekor Bota yang hodoh.
“Hai budak yang bodoh. Ketahuilah kamu bahawa kamu telah menyerahkan pada aku kebahagiaan dan cinta dalam diri kamu. Ketahuilah oleh kamu wahai budak yang bodoh, air yang kamu minum itu adalah racun ciptaan aku yang kuberi nama Kesepian. Hidup kamu tidak akan merasa bahagia dan tenteram selagi engkau tidak berjaya menyelesaikan teka-tekiku. SIAPAKAH YANG DATANG DIPAYUNGI OLEH SAYAP DUA MALAIKAT PENYAYANG?. Letak kotak kayu itu di atas altar purba dan jawab dengan jelas hanya di harijadimu. Selagi engkau tidak menemui jawapannya, selagi itu kampung ini akan dilanda kegelapan dan selagi itu juga engkau akan diselubungi kesunyian dan hidupmu akan terus kosong tanpa kebahagiaan dan cinta. Hahahahahahahaha….”

Selepas menuturkan sumpahan itu, Bota itu terus menghilangkan dirinya.

Awan hitam berarak dengan kilat sabung menyabung di langit tinggi. Secarik cahaya pun tidak berupaya menembusi dan menyuluh tanah di kampung itu. Orang kampung yang menyaksikan Cinta ditipu oleh Bota itu terus memukul Cinta atas kebodohannya dan segera membawa Cinta mengadap kepala kampung dan kedua ibubapanya.
“Kami mahukan supaya budak Cinta ini diusir sahaja dari kampung ini. Kerana dialah kampung kita tidak mendapat cahaya dan kerana dialah tanaman kita tidak menjadi kerana tidak mendapat cahaya” gesa penduduk kampung.

Maka terusirlah Cinta dari kampung itu. Bergelandangan dan berkelana mencari jawapan pada teka teki yang diberikan oleh Bota itu. Di dalam hatinya tidak tercalit kebahagiaan melainkan racun kesepian itu terus menghancur-lumatkan hatinya. Namun tiada siapa yang tahu jawapan itu.

Masa berganti dan tahun bertukar. Cinta terus berkelana mencari jawapan sambil mengelek kotak kayu hadiah harijadinya. Cinta tumbuh menjadi seorang pemuda yang kering hatinya. Tiada siapa yang sudi berkawan dan bersahabat dengannya. Racun kesepian itu membuatkan orang lain menghindarinya.

Perjalanan itu terlalu jauh. Cinta merasakan terlalu letih dan lesu. Akhirnya dia jatuh pengsan dan diselamatkan oleh seorang dara bernama Kecut. Kecut merawatinya. Akhirnya Cinta sihat kembali. Sebagai tanda terimakasihnya, Cinta mengahwini kecut di saat kebahagiaan dan cinta tidak pernah bertamu di hatinya. Kebenaran ini sangat melukakan hati Kecut. Namun dia tabah demi cintanya pada Cinta. Bisa racun kesepian itu tidak termakan pada Kecut kerana Kecut sudah ditakdirkan menjadi pasangan Cinta.

Setelah beberapa lama, lahirlah anak mereka. Seorang puteri. Di suatu malam, beberapa purnama sebelum jatuhnya hari kelahiran Cinta, Kecut mendendangkan gurindam buat anak mereka.

Tidurlah anakanda permata hati bonda
Besarlah segera cahaya mata bonda
Besok engkau akan dewasa mengisi alam semesta
Memakmurkan dunia dengan sinaran cinta

Tidurlah anakanda kesayangan bonda
Hadirmu ke dunia bawa bahagia
Dipayungi oleh sayap kasih sayang ayahanda bonda
Bahagia hidupmu hingga ke hari tua


Cinta terkaku mendengar gurindam itu dan seketika dia terpempan. Jawapan pada teka teki itu terbentang di hadapan matanya kini. Ya, dia sudah menemui jawapan itu setelah bertahun-tahun melalui perjalanan panjang yang sangat sepi.

Cinta membawa Kecut dan anak meraka pulang ke kampung halamannya. Kampung itu masih dilanda kegelapan tanpa cahaya yang hadir menumbuhkan tanaman. Bertepatan dengan harijadinya itu, Cinta bersama kecut, anaknya, ibubapanya dan masyarakat kampung berkumpul di bawah pohon beringin rendang itu. Cinta segera meletakkan kotak kayu itu di atas altar purba seraya berkata.
“Aku tahu pada jawapanmu. Soalanmu tentang siapakah yang hadir dipayungi sayap dua malaikat penyayang. Jawapannya adalah ANAK. Anaklah punca kebahagiaan. Anaklah cinta. Anaklah yang tempat aku merasa bahagia. Dan kini aku mengerti tentang kasih sayang kedua orang tuaku terhadap seorang anak…!!”

Di saat itu kotak kayu yang sentiasa tertutup itu terbuka luas. Keluar tujuh cahaya berbilang warna meluncur laju ke langit dan berdentum umpama meriam di udara. Pelangi naik merentang di langit tinggi. Suria memunculkan diri setelah bertahun-tahun bersembunyi. Dalam hati Cinta membuak kebahagiaan dan cinta pada Kecut, pada puteri mereka dan pada ayah dan ibunya.

Di hadapan penduduk kampung tersedia meja penuh dengan hidangan jamuan, sebiji kek harijadi dan anak patung askar memukul gendang sebagai hadiah harijadi untuk Cinta. Selamat Hari Jadi buatmu Cinta. Selamat Hari Jadi yang ke-34…


Indera Kencana Bin Muhammad Suria
12.03.1974

Wednesday, March 05, 2008

Gadis di dalam LRT

Bunyi bising berdengung umpama lebah itu mengejutkan saya. Letih benar rasanya hari ini dengan laporan prestasi tahunan yang akan dihantar ke ibu pejabat di Putrajaya terpaksa disiapkan dengan segera. Maka melilaulah saya di sekitar Unit ABT memohon data-data yang berada dalam simpanan mereka. Akhirnya, kerja yang sepatutnya disiapkan pada jam 12.00 tengahari terpaksa dibawa sehingga ke pukul 3 petang. Habis sahaja laporan itu dikemaskini, saya mencapai beg galas dan terus berkejar ke stesen LRT yang berhampiran. Saya mahu makan, rehat dan terus tidur di katil saya.

“Tidur lepas Asar itu mewarisi kegilaan!!” leter Fendi pada saya setiap kali dia pulang kerja melihat saya melingkar umpama ular sawa di ruang tamu apartment kami.

Namun saya selalu jarang mengambil endah leteran Fendi itu. Sudahnya, nasihat itu tidak lebih dari hanya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Stesen LRT Putra Kelana Jaya lengang seperti biasa kerana pekerja-pekerja di sektor swasta dan kerajaan masih belum pulang lagi. Sampai sahaja gerabak LRT itu, saya memilih tempat duduk di bahagian tengah dan terus lena tidak sedarkan diri. Jika tidak kerana bunyi bising dengungan sembang dan jerit pekik budak-budak sekolah itu, sudah pastilah saya akan terus lena sehinggalah ke Stesen Putra di Gombak.

LRT itu sudah melewati Stesen Abdullah Hukum. Tempat duduk kesemuanya penuh dengan budak-budak sekolah yang entah dari mana datangnya memenuhi gerabak itu sehinggakan saya sedikit lemas bila badan mereka menutupi cahaya matahari yang menerjah masuk. Berdiri di hadapan saya ialah 3 orang murid perempuan yang saya kira berusia dalam lingkungan 15-16 tahun. Dari gaya mereka, jelas mereka ini bukan datangnya dari kotaraya ini. Mungkin mereka ini mengikuti rombongan sekolah!!!

Ketika LRT itu melewati Stesen Bangsar, lelaki Punjabi yang duduk di sebelah saya turun. Budak-budak perempuan itu berpandangan sesama mereka.
“Pakcik, boleh saya duduk kat sini?” kata salah seorang daripada mereka sambil menunjukkan tempat duduk di sebelah saya yang dikosongkan oleh lelaki Punjabi itu tadi. Saya mengangguk. Pakcik????? Sedikit jengkel apabila dipanggil Pakcik. Tua sangatkah saya?
“Roman muka engkau memang nampak tua pun Indera” saya teringat kata-kata Faisal yang pernah mengejek roman saya yang nampak lebih berusia dari umur sebenar. Barangkali saya perlukan SKII Essence untuk menjadikan saya kelihatan muda remaja.

Bosan dengan hingar-bingar dan perjalanan yang sunyi itu, saya cuba membuka bicara dengan budak perempuan yang duduk di sebelah saya itu.
“Dari mana ye..?”
“Ye..? Pakcik tanya saya ke..?” tanya budak perempuan itu.
“Ya!! Datang dari mana ni?”
“Dari Ipoh, Pakcik..”
“Ikut rombongan sekolah?”
Budak perempuan itu mengangguk.

Stesen berikutnya, Pasar Seni…. Next Station, Pasar Seni

Budak perempuan itu tertinjau-tinjau sekeliling sementara dua lagi rakannya menguis-nguis hujung kasutnya. Saya menjeling kasutnya. Kasut kanvas yang baru. Tetapi mempunyai corak yang berwarna-warni, kuning hijau dan merah bercampur aduk. Nampak lucu sangat.
“Dari sekolah mana?” tanya saya lagi
“Sekolah Hulu Kinta..”
“Oooohhh…” saya mengangguk perlahan.
“Pakcik tahu ke..?” tanya budak itu.
“Tahu apa?”
“Sekolah saya tu…” duga gadis itu.
“Tahu.. sebab saya pun orang Perak juga”

Penumpang masuk berpusu-pusu menjadikan gerabak yang sempit itu bertambah sesak. Budak-budak sekolah yang mengikuti rombongan itu bertambah hingar berhimpit-himpit.
“Berapa hari rombongan sekolah?” tanya saya.
“Dua hari… semalam ke Melaka. Hari ini Kuala Lumpur. Petang ni baliklah” katanya sambil membelek-belek kasut kanvasnya. Sesekali dia tersenyum memandang kasut kanvasnya itu. Semacam rasa bangga.

Stesen berikutnya, Masjid Jamek…. Next Station, Masjid Jamek

Saya pandang bajunya. Nampak lusuh. Saya pandang pula tudung putih yang dikenakannya. Nampak kekuningan.
“Mak kerja apa?” tanya saya.
“Mak kerja kilang buat sarung tangan..” katanya.
“Ayah..?” saya seolah-olah penyibuk mencungkil rahsia.
Beberapa saat dia mengambil masa untuk menjawab soalan saya. Seketika dia mendongak memandang kawan-kawannya.
“Ayah tak kerja…. Ayah saya penagih dadah” katanya sambil melarikan wajah memandang pemandangan sekeliling yang ditutupi oleh terowong yang gelap. Seakan malu untuk saya melihat wajahnya. Ada kolam yang bertakung di matanya. Simpati saya datang mencurah-curah.
“Pakcik, ayah dia doktor… hehehehehehe” kata salah seorang dari kawannya yang berdiri itu sambil ketawa. Dia kemudiannya menyepak kaki kawannya itu. Cara anak remaja bergurau!!.

Kami terdiam. Saya kebuntuan akal untuk bertanya. Menyumpah kelancangan mulut saya yang menanyakan soalan seumpama itu.
“Errrr… cantik kasut. Mana beli?” saya mengalihkan persoalan.
Dia tersenyum. “Beli tadi kat kedai kasut.. Mak bagi RM20.00 suruh tukarkan kasut saya yang koyak” katanya malu-malu.
“Cantik ke Pakcik?” dia bertanya pendapat saya.
“Eh… cantik. Cantik betul” kata saya.
Sebenarnya kasut itu amat janggal dikenakan. Jika dibelikan untuk dibuat hadiah pada anak-anak hartawan Kuala Lumpur ini nescaya akan terus masuk ke dalam bakul sampah dalam sekelip mata.


Dia anak orang susah yang hidup di pinggir bandaraya Ipoh. Istilah fesyen memang jauh dari kamus hidupnya.

Stesen berikutnya, Dang Wangi…. Next Station, Dang Wangi

“Nak pergi mana ni..?” tanya saya.
“Cikgu nak bawak pergi KLCC..”
“Pernah sampai KLCC..?” duga saya.
Dia geleng kepala.

“Besar tak KLCC tu Pakcik..?” tanyanya lagi.
“Tengoklah sendiri nanti” kata saya sambil tersenyum.
“Pakcik tinggal di Kuala Lumpur?”
“Errrr… ya. Kenapa tanya?”
“Seronoknya Pakcik dapat tinggal di Kuala Lumpur…”
“Seronok…? Hahahahahaha..” saya ketawa gelihati.
“Kenapa? Mesti seronokkan dapat tinggal di bandar besar macam Kuala Lumpur ni?. Saya pun kalau dah habis sekolah nanti pun nak cari kerja kat KL ni”

LRT itu berhenti di Stesen Dang Wangi. Penumpang keluar dan masuk. Kemudian dari arah sisi, masuk seorang wanita dalam usia 20-an dengan pakaian seksi, dengan solekan terkini. Lengkap dengan beg tangan jenama antarabangsa dan aksesori seperti tulang ikan terjurai pada tengkuknya. Ketiga-tiga budak perempuan itu seakan kagum melihat wanita itu.

“Kalau nak kerja kat KL, kena rajin-rajin belajar. Baru “seronok” duduk KL” kata saya. Tahukah mereka betapa beratnya bebanan hidup di kotaraya ini. Mereka hanya memandang Kuala Lumpur dari kulitnya yang licin dan ranum. Tetapi saya memandang Kuala Lumpur dari isinya yang busuk. Saya menggeleng-gelengkan kepala.

Kenapa pula lawatan ke KLCC pula yang dimasukkan ke dalam agenda lawatan? Apa signifikannya lawatan itu terhadap pembangunan minda pelajar sekolah yang datang dari luar bandar? Apa perlunya menunjukkan gedung-gedung dan toko-toko yang menjual barangan berjenama mahal hatta gaji ibu ayah mereka sebulan pun belum tentu dapat membeli sehelai baju di sana? Tidakkah dengan melihat anak-anak hartawan Kuala Lumpur yang berpelesaran di sana hanya akan mengundang perasaan sedih dalam diri murid-murid ini tentang betapa berbezanya status kehidupan mereka jika dibandingkan dengan remaja-remaja yang berpeleseran itu?

Stesen berikutnya Kampong Baru….. Next station, Kampong Baru

“Lepas ni nak pergi mana?” tanya saya.
“Cikgu kata lepas ni kami balik Ipoh” jawab budak perempuan yang sedang berdiri itu.
Hingar-bingar budak-budak sekolah itu masih belum hilang bahkan semakin kuat. Budak perempuan yang duduk di sisi saya itu masih membelek-belek kasutnya.
“Cadang-cadang nak beli apa kat KLCC?” tanya saya.
“Entah..”
“Berapa tambang rombongan ni?” tanya saya.
“RM20.00. Cikgu kutip bulan lepas” katanya.
“Mak bagi berapa buat belanja?” Mungkin juga ibunya ada menyediakan belanja anaknya itu di tempat orang. Dia tersenyum. Mendongak lagi memandang kawan-kawannya.
“Mak kasi RM20.00. Beli kasut jelah…” wajahnya mengingatkan saya pada Khairyn. Moga Khairyn sentiasa bahagia di Glasgow sana.

Tiba-tiba saya teringatkan wang upah pendahuluan menyiapkan laporan yang diberikan oleh Encik Murad. Saya tarik sehelai not berwarna biru kehijauan itu.

Stesen berikutnya, KLCC…. Next station, KLCC

“OK, murid-murid…. Kita dah nak sampai. Kejutkan mana kawan yang tertidur. Jangan ada yang tertinggal pulak!!” Nyaring kedengaran suara guru lelaki meneriak dari hujung sana.

“OK… awak semua dah sampai dah… jumpa lagi” kata saya. Budak-budak perempuan itu tersenyum.
“Belajar sungguh-sungguh. Jangan banyak main” saya berleter mengalahkan ibubapa mereka sendiri.
“Errrr… tak ada apa yang dapat Pakcik bagi sebab sudi bercakap dengan Pakcik. Terimalah ini sebagai tanda perkenalan dari Pakcik. Buat belanja..” kata saya sambil menghulurkan not biru itu. Dia geleng kepala. Tidak mahu menerima. Not itu terbiar tidak bersambut. Seketika ditarik oleh kawannya yang berdiri. Dia lekas-lekas merebutinya.
“Kongsi bertiga, ye..!!” pesan saya. Mungkin lepas juga jika mereka ingin membeli air ataupun snek di KLCC yang mahal itu.
“Terima kasih” katanya apabila LRT itu tiba di stesen KLCC.
Dia bangun dan bergerak ke pintu.
“Errr… siapa nama?” tanya saya.
“Salwani” katanya sambil tersenyum.

Ramainya penumpang yang turun membuatkan gerabak itu terus lengang menghala ke arah Ampang Park. Tiba di Stesen Ampang Park, masuk sepasang kekasih remaja duduk bertentangan dengan saya. Bergaya dengan ranggi. Yang perempuan memakai jeans dan T-Shirt singkat menampakkan pinggang. Yang lelaki pula berambut tercacak dengan rantai berkilau melilit di pinggang. Terus duduk sambil merangkul pinggang kekasihnya dan bercumbu mesra. Langsung tidak memperdulikan mata-mata yang memandang…
Kuala Lumpur!!! Dan saya pula tersenyum…

Thursday, February 28, 2008

Tiga puluh Ringgit punya pasal...

“Tak naklah…”
“Ala… jomlah”
“Ishhhh… malulah”
“Nak malu apa? Kita buat tengah malam… Masa orang dah tidur. Baru line clear..!!”
“Ishhh… malulah, malulah!!”
“Bukan senang dapat peluang ni tau… sekali kita buat dapat RM30.00”
“Betul dapat RM30.00..?”
“Betul!! Sumpah..!!”

Fuad tersenyum menang apabila melihat saya mulai akur. Sepupu saya ini memang tidak pernah kering idea mengajak saya melakukan kerja yang bukan-bukan yang sering tidak masuk akal. Hehehehehehe… menampal poster Pilihanraya Umum Ke-8. Kalau Apak tahu, habis saya. Pasti saya akan disesah dengan rotan semambu yang berdiri di sebalik almari pinggan mangkuk Mak itu. Apak cukup marah jika sekiranya anak-anak Apak terlibat dalam aktiviti di luar bidang akademik jika masih bersekolah. Apak tidak mahu anak-anaknya jadi rosak dan lali dengan perkara-perkara sumbang sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pelajaran. Oleh itu Apak amat bertegas dengan kami anak-anaknya. Jika mahu keluar rumah, hanya waktu siang sahaja. Pulang dan mesti berada di rumah ketika jam menunjukkan angka 7.00 petang.

“Kalau Apak aku tahu, macam mana?” tanya saya pada Fuad.
“Engkau cakaplah malam ni engkau nak tidur rumah Opah. Takkan Ayah Alang (Apak) ada masa nak membelek engkau 24 jam. Alah, jangan risaulah..” senang sahaja putus Fuad.
“Hmmmm…. Oklah”
“Haaa… kalau macam tu, engkau siap kain baju engkau. Petang ni pukul 5.00 aku ambil engkau”
“Rumah Opah sepelaung tu pun nak siap kain baju? Kelakarnya..!!”
Fuad hanya tersengih.

Padang bola penuh dengan budak-budak muda kampung. Hampir dekat 40 orang sekali masuk ke padang mengejar sebiji bola. Apa punya permainan ini, fikir hati saya. Tiada peraturan sepertimana di dalam Liga Semi-Pro. Bola dikejar selagi mahu. Fikiran saya melayang-layang seakan-akan ternampak-nampak not merah tiga keping masuk ke kocek saya. Tiba-tiba datang bola dari arah belakang dengan laju menghentam kepala saya. Aduuhhh… pedihnya umpama rotan Apak memutuskan lamunan saya.
“Woiii Indera..!! Bola tu dah dekat engkau, kejarlah oii!! Tak mahu main pergi keluarlah!!” Budak Budin bertubuh pendek, gempal dan berkulit buntut kuali menjerkah saya.
“Budak Budin ni karang nak kena penampar aku ni…. Hiieee sabar jelah aku!!”

Jam menunjukkan angka 6.30 petang baru Fuad tersengih-sengih tiba di halaman rumah Mak dengan kapcai buruk kepunyaan Mak Nah.
“Eh.. eh!! Awalnya engkau datang ye..” kata saya menyindir Fuad. Fuad tersengih dan terus duduk menemani saya di atas tangga mengambil udara petang setelah selesai bermain bola.
“Apak engkau ada..?”
“Ada”
“Mana dia?”
“Tu…. Bawah pokok mempelam”

Apak pula baru pulang dari kebun di Permatang Guling. Masih dalam baju yang biasa dikenakannya apabila dia ke dusun. Baju kemeja putih belang-belang biru yang penuh dengan kesan getah pisang yang sudah kering sementara seluarnya pula, seluar hijau celoreng askar hadiah Abang Dom yang bertugas di Kem Kemunting. Apak sedang asyik menghiris buah mempelam sambil matanya memandang jauh ke arah deretan poster pilihanraya yang banyak dinaikkan berhampiran dengan rumah kami. Ada poster Parti Dacing, ada poster Parti Terang Bulan dan tidak ketinggalan poster Parti Jiwa46 yang banyak mengingatkan saya pada susu tepung S26 itu.
“Apak, orang tidur rumah Opah malam ni”
Apak diam. Fuad angkat-angkat kening mengisyaratkan agar saya segera bersiap. Sewaktu saya hendak melangkah masuk ke rumah itu barulah Apak bersuara.
“Buku dah baca..?”
“Dah…” jawab saya.

“Fuad.. kamu cakap pada Mak kamu, Ayah Alang nak keladi sikit. Kamu tolong hantar pada Ayah Alang pagi esok”
“Boleh… Ayah Alang nak berapa perdu? 10 cukup?”
“Ishhh kamu ni. Satu cukuplah..”

Malam itu, Pusat Gerakan Parti Dacing lengang sahaja walhal tarikh mengundi tidak sampai 20 hari lagi. Ada Abang Mad Kona sedang asyik berborak dengan Pak Derus.
“Apahal..?” tanya Abang Mad Kona.
“Errr… saya nak ambil upah pasang poster!!” kata saya teragak-agak.
“Ooo… Kamu anak Cikgu Suria, ye?”
“Errr.. ya!!” seram juga saya kalau-kalau Abang Mad Kona memberitahu Apak saya mengambil upah pasang poster malam ini.
“Sapa tu Kona?” Pak Derus berdehem terjenguk-jenguk dari dalam pusat gerakan itu.
“Anak Cikgu Suria. Nak tampal poster, katanya!!”

Abang Mad Kona masuk ke dalam bilik gerakan itu sebelum keluar membawa poster-poster setinggi thesis PhD yang berwarna biru dan berlambangkan dacing itu dan terus meletakkannya ke lengan saya yang terbuka luas. Melurut sedikit tangan saya menahan beban berat poster itu.
“Haaa… engkau tampallah kat mana yang engkau suka. Tapi biarlah buat cantik-cantik sikit.. Dah habis tampal nanti datang sini ambil duit” kata sebelum menghulurkan satu beg plastik berisi segulung tali tali raffia, beberapa kotak kecil dawai stapler beserta dengan staplernya sekali, sebotol gam dan sebotol kecil air mineral. Sementara itu Pak Derus berdehem beberapa kali sebelum menderu hilang bersama motosikalnya entah ke mana.

Malam itu saya, Fuad dan Nizar sibuk mengetip poster-poster yang kami perolehi sambil duduk ketawa berdekah-dekah di simpang sunyi berhampiran dengan kubur itu. Fuad mengetip poster Parti Terang Bulan sementara Nizar pula mengetip Parti Jiwa46.
“Ni kalau dapat satay ni, sedapnya kan Indera. Sambil-sambil mengetip poster ni…” kata Fuad.
“Engkau ni memang suka mereka. Nak makan itulah, nak makan inilah.. Habiskan kerja ni dulu, baru ada duit masuk” sungut Nizar.
“Aku cakap jeeeee…” kata Fuad bernada seakan merajuk.

Malam itu kami beroperasi. Menaikkan poster di tengah malam buta. Di tiang telefon, di tingkap-tingkap rumah kosong hatta di ranting-ranting pokok rambutan. Bercampur-campur tidak tersusun berselang-seli poster Parti Dacing, poster Parti Terang Bulan dan poster Parti Jiwa46 di setiap tempat. Lebih kreatif dan lebih harmoni, temanya!!!.

Tiba di belakang rumah Mak Wan Diah, di bawah cahaya bulan yang samar-samar itu, kami ternampak pokok durian-kahwinnya yang rendah itu. Dahannya yang paling rendah separas dada kami dengan diameter sebesar lengan saya sahaja. Sementara dahan yang di atasnya tidak pula tinggi. Kira boleh dicapai juga.
“Ahhh… cantik pokok ni. Jom kita tampal poster” kata Fuad.
Kami tidak banyak soal, seorang demi seorang memaut dahan itu sebelum melonjak naik ke atasnya.
“Nanti, nanti, nanti!!! Aku pegang tali kat pangkal ni. Biar Indera yang tarik sampai hujung” kata Fuad.
“Eh…. Aku rasa tak selamatlah. Dahan ni dah melendut dah ni..” kata saya.
“Boleh..” kata Fuad dengan yakin.
“Biar aku tolong engkau..!” kata Nizar menghampiri saya di hujung dahan.
“Jangan, jangan…. Dahan ni nak…”
PRRAAAAAAKKKKKK…..

Dahan durian itu sekah sebelum BBBBUUUUKKKKKK… jatuh ke bumi bersama kami bertiga. Seeeeerrrrrr…. Bunyi dedaun durian itu menyapu semak-samun belakang rumah Mak Wan Diah. Saya betul-betul jatuh terduduk.
“Aduuuhhhh…. Sakitnyaaaaa” suara Fuad yang terbaring di atas tanah.
“Aaarrrgggghhhh….” Itu sahaja bunyi yang keluar mulut Nizar.
“Sakitnya punggung aku…!!!” saya merasa sengal yang teramat di punggung.

Seketika kami terdiam sebelum….
HAHAHAHAHAHAHAHA…. Ketawa kami memecah keheningan malam berselang seli dengan sahutan burung hantu dan cengkerik yang tadinya sunyi seketika apabila mendengar bunyi dahan jatuh.

Haiiii…. Tiga puluh Ringgit punya pasal
Hahahahahahahahaha….




Indera : Apak tahu yang saya menampal poster malam itu apabila Pak Derus datang mengadu pada Apak. Entah apa anginnya, saya terselamat dari rotan Apak. Sedikit pun dia tidak ambil pusing. Mungkin dia tahu bahawa ini adalah langkah pertama saya belajar mencari wang sendiri.

Friday, February 22, 2008

Arca - Seratus Empat Puluh Empat

MRR2 lalulintas terkawal. Jalanraya penuh dengan kereta pelbagai bentuk bertali arus menunjukkan bahawa penghuni kotaraya itu tidak pernah sunyi dari urusan kehidupan masing-masing. Ada sahaja halnya manusia ini. Jika semuanya sama, jika semua berpegang pada hanya satu bentuk kehidupan, tidak meriahlah dunia ini. Akan lesu dan kaku sahaja nampaknya.

Puteri Melinda tersandar kemas di sisi Bakri. Sejak sebelum Maghrib tadi lagi dia sudah setia menanti Bakri tanpa menghiraukan apa yang akan terjadi jika sekira Encik Megat Razdin tiba-tiba terpacul di pintu pejabat. Langsung sedikit pun dia tidak gentarkan ayahnya garang itu. Yang menanggung akibatnya nanti aku juga bukannya dia, sungut Bakri. Disuruh solat Maghrib, banyak pula alasan.
“Ni apa hal lawa sangat ni?” tanya Bakri yang kehairanan sambil matanya tidak lepas dari pemanduan di hadapan. Hairan bila Melinda berdandan sakan untuk latihan Gamelan malam itu.
“Saja….”
“Saja…? Haiii..? Sebelum ni tak pernah lawa-lawa macam ni pun bila nak pergi practice?” tanya Bakri lagi.
“Kenapa, tak boleh ke? Haaa…. Mel tau, ni mesti Abang cemburu kan..??”
Bakri hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Baik Abang cakap Abang cemburu”
“Tak!! Abang tak cemburu pun..!!”
“Ala, cemburulah, cemburulah, cemburulah….!!!”

Kadang-kadang sikap keanakan Melinda itu merimaskan Bakri. Kadang-kadang pula mampu menarik senyuman Bakri. Dia manja, keletah, lincah, cantik dan bergaya. Kata orang wajahnya wajah rezeki. Sekalipun wajahnya seiras dengan Megat Razdin yang garang dan cemberut itu namun setiap kali memandang Puteri Melinda ini, hati Bakri akan berbunga. Bakri sendiri tidak tahu apa makna pandangan itu. Tetapi Bakri cukup sedar bahawa itu bukanlah pandangan cinta. Kerana cintanya hanya kekal milik Karmila seorang sahaja. Mengingati Karmila itu membuatkan hati Bakri tiba-tiba dilanda taufan. Ada gerimis bertandang di kelopak mata tanpa disedari oleh Melinda.

“Abang…., kita singgah kat Kelab Darul Ehsan sekejap ye..??” suara Melinda mengejutkan lamunan Bakri.
“Nak buat apa kat sana..?” tanya Bakri.
“Mel nak ambil barang..”
“Barang? Kat Kelab Darul Ehsan tu?” tanya Bakri bertambah lagi kehairanannya.
“Ha-ah”
“Barang apa..?”
“Adalah… Ala, Abang ni banyak tanyalah” kata Melinda seakan merajuk.
“Tapi kita dah lambat ni. Nanti bising Abang Rosli. Awak tu kalau tak datang pun tak apalah sebab awak penari. Tapi kalau macam Abang ni… sapa nak ganti?. Siapa nak ketuk Bonang tu nanti?” kata Bakri.
“Ala, taulah Abang Rosli tu cari kawan dia yang lain..” senang sahaja putus Melinda. Dia ingat aku ini suami diakah?, gerutu Bakri

“Abang nak pergi ke sana tak?” tanya Melinda. Bakri senyap.
“Kalau Abang Bakri tak nak pergi, turunkan Mel kat tepi highway ni. Mel boleh pergi seorang..” kata Melinda. Bakri faham itu satu ugutan.
“Baiklah. Baiklah… kita pergilah” kata Bakri mengalah.

Yesssss….. Bakri sudah masuk perangkap aku, fikir Melinda. Ini sahajalah caranya Melinda dapat membawa Bakri ke majlis harijadi Natasha anak Dato’ Sonny tu. Kalau berterus terang pada Bakri, pasti akan ditolak mentah-mentah. Melinda senyum sendiri mengenangkan reaksi yang bakal muncul di wajah Natasha nanti. Hmmmm…. Geram Melinda melihat tingkah laku Natasha yang tergedik-gedik di depan Bakri minggu lepas. Macam dah tak ada orang lain lagi, kata hati Melinda. Tapi apa bezanya dengan aku?? Jatuh cintakah aku pada lelaki yang sudah kematian isteri ini? Tidak…, pastinya tidak. Aku hanya menyukainya. Dia lelaki baik yang mempunyai banyak ciri-ciri fizikal yang menarik hati. Itu sahaja. Tetapi jika sudah begitu, kenapa pula aku mesti rasa cemburu sewaktu melihat telatah Natasha minggu lepas..? Ahhhh… malas Melinda hendak memikirkannya!!.

Sampai sahaja di kelab yang ternama itu, tempat letak kereta penuh sesak dengan pengunjungnya. Dulu, sewaktu bersama Murni Jaya Holdings pernah juga beberapa acara syarikat diadakan di situ. Bakri menyukai lanskapnya yang indah dan tersusun itu selain daripada kedudukan yang agak privacy.
“Haaa… dah sampai dah. Pergilah ambil cepat…” gesa Bakri.
“Abang ikutlah sekali…”
“Buat apa Abang nak ikut sekali? Ambil barang saja, kan?”
“Alaa… jomlah bang. Ikutlah..!!”
“Abang turun ikut Mel ye!! Pleeeeeeease..”
“Tak mahu” tegas Bakri
“Bolehlaaaaaahh”
Akhirnya Bakri cair juga. Menuruti Melinda yang tersenyum meleret ke lobi kelab itu sekalipun Bakri sudah mulai dapat menghidu ada sesuatu nakal yang sedang dirancang oleh Melinda.
“Abang tunggu Mel kat sini, ye!! Mel pergi ambil barang tu sekejap..” kata Melinda sebelum berlalu meninggalkan Bakri terkebil-kebil keseorangan di lobi kelab. Hampir 15 minit Melinda berlalu, bayangnya langsung tidak kelihatan lagi. Bakri geram. Salah aku juga, fikir Bakri. Ikutkan sangat kerenahnya. Dalam panas hati itu Bakri menelefon Rosli.
“Haaa… Bakri. Apa khabar? dah kebah dah ke demam engkau?” tanya Rosli sebaik mendengar suara Bakri.
“Demam?”
“Ha-ah. Melinda telefon aku petang tadi bagitahu aku yang engkau tak dapat datang malam ni sebab demam kuat..”
“Melinda beritahu abang macam tu?” Bakri menepuk dahi.
“Yalah… tak apa. Engkau berehatlah. Tempat engkau malam ni dah digantikan dek Fezal, budak UKM tu. Lagipun malam ini hanya latihan sahaja” kata Rosli seperti yakin benar Bakri sedang demam kuat. Tidakkah dia boleh menduga dari suara Bakri yang masih parau seperti biasa itu? Pusing kepala Bakri dengan sikap Rosli itu. Percayanya pada orang sering melulu tidak bertempat.

Tiba-tiba Bakri merasakan bahunya dicuit seseorang dari arah belakang. Pantas dia berpusing. Di hadapannya berdiri seorang lelaki tinggi lampai dengan wajah yang pernah dikenali dahulu.
“Ini Bakri bukan?” tanya lelaki itu.
“Ya, dan engkau…. Heiii, Lokman. Lamanya kita tak jumpa..!!”
“Yalah. Dah dekat 12 tahun. Sejak kita tinggalkan kolej dulu. Engkau buat apa kat sini?” tanya Lokman.
“Errr… tunggu kawan. Engkau pulak buat apa kat sini?” tanya Bakri pula.
“Aku Event Manager kat sini” kata Lokman sambil menghulurkan kadnya.
“Heii… bagilah aku kad engkau”
“Errrr… aku tak ada kad” Bakri cuba mengelak.
“Takkan tak ada… Eh, aku dengar khabar, engkau kahwin dengan junior kita yang lawa dulu, yang duduk Blok I10 tu… what’s her name..?? Kay.. Kar..”
“Karmila” Bakri menjelaskan.
“Ya… Karmila!!! Mana dia..? Tak nampak pun?” tanya Lokman tercari-cari sekeliling.
“Karmila dah meninggal 4 tahun lepas” wajah Bakri serta merta mendung.
“I’m sorry…”

Dalam jarak 50 meter kelihatan Melinda melangkah bergaya dalam gaun petang merah kundang gelap dengan rambut beralun melepasi bahu. Cantik… memang cantik!! Semua mata terpukau memandangnya.

Thursday, February 14, 2008

Arca - Dua

Pesawat CX725 Boeing 777-200 milik Syarikat Penerbangan Cathay Pacific daripada Hong Kong itu mendarat dengan selamatnya di landasan KLIA pada jam 8.15 pagi. Sebaik keluar dari perut pesawat, Bakri merasakan dirinya bagai terapung-apung seketika. Kesan penerbangan yang memakan masa 7 jam dengan ditambah masa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Chek Lap Kok yang menghabiskan masa hampir 3 jam. Letihnya usah diperkatakan lagi.

Setelah selesai urusan yang melibatkan Jabatan Immigresen, Bakri melangkah keluar daripada Balai Ketibaan sambil matanya liar memandang ke sana ke mari. Mungkinkah Karmila terselit di celah-celah orang ramai yang mundar-mandir itu?

Setelah yakin Karmila tidak datang menjemputnya, Bakri mendail nombor Karmila. Ingin memberitahu Karmila bahawa dia sudah tiba di KLIA, dan dalam masa selewat-lewatnya sejam lagi dia akan tiba di rumah. Namun Bakri agak kehairanan kerana setelah didail beberapa kali, hasilnya masih hampa. Talian gagal ditembusi. Yang ada hanya suara rakaman komputer dari Pelayan Perkhidmatan.
“Nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar liputan perkhidmatan. Terima kasih”.

Ke mana Karmila pergi agaknya? Hati Bakri tertanya-tanya. Barangkali Karmila pulang bermalam di rumah ibunya. Bakri cuba meneka lantas terus menghubungi talian tetap di rumah mertuanya itu. Tetapi malangnya talian itu juga tidak berjawab. Bakri garu kepala. Setelah gagal mencari jawapan ke mana halanya Karmila dan keluarga mertuanya, Bakri memutuskan untuk pulang ke rumah. Sebelum itu dia harus mengambil keretanya yang dipakirkan di pejabatnya.
“Pergi ke Jalan Pinang, ya Bang….” Kata Bakri memberi arahan kepada pemandu limousine KLIA sebelum kereta itu memecut ke arah Kuala Lumpur.

Sewaktu limousine itu memasuki lebuhraya, telefon bimbit Bakri bergetar keras. Hmmm… pastinya ini Karmila, fikir Bakri. Namun Bakri sedikit hampa apabila nombor yang tertera di skrin telefon itu nampak asing baginya. Dengan segera Bakri menjawab.
“Maafkan saya ya, encik. Saya Koperal Abdul Wahab dari Bahagian Siasatan, Polis Diraja Malaysia. Saya dapat nombor dari telefon bimbit Puan Karmila Binti Mazlan. Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap ni..?”

Darah terasa menyimbah naik ke muka Bakri. Polis? Apa halnya ini? Hati Bakri berdebar kencang.
“Saya Bakri. Suami Karmila. Kenapa dengan isteri saya, encik?” tanya Bakri tidak keruan.
“Isteri encik telah ditemui meninggal dunia di rumahnya pagi tadi. Kami sedang menjalankan siasatan berhubung dengan kematiannya. Jenazah Puan Karmila sekarang ada General Hospital sedang dibedah siasat..”

Meninggal? Meninggal? Apakah meninggal itu adalah kematian? Karmila sudah mati? Karmila sudah tiada dalam dunia ini lagi? Karmila sudah meninggalkannya…? Tidak. Tidak. Aku tidak percaya. Karmila tidak meninggal. Aku menyintainya dan dia menyintai aku. Tidak mungkin Karmila tergamak meninggalkan aku. Ini semua hanya mimpi. Lelaki ini mesti lelaki gila yang cuba mempermainkan aku. Tidak. Aku tidak ingin mempercayainya..!!!

“Boleh saya tahu Encik Bakri sekarang berada di mana?” Koperal Abdul Wahab bertanya.

Sepi.

“Hello… Encik Bakri masih di talian ke?” suara lelaki ini mengejutkan Bakri dari kebingungannya.
“Errrr… ya. Encik bertanya apa?” suara Bakri bagaikan tidak terkeluar dari kerongkong.
“Encik Bakri ada di mana sekarang?”
“Di atas lebuhraya. Kuala Lumpur-Putrajaya Expressway”

Tidak. Aku tidak ingin percaya berita ini. Tidak!!
Bakri mengalihkan pandangannya kepada lalulintas yang semakin sesak yang sama naik dengan kehangatan matahari pagi itu. Bakri bagaikan tidak melihat apa-apa. Pandangannya kosong!! Sekosong hatinya. Di saat itu hatinya masih belum mempercayai apa yang telah didengari sebentar tadi di talian telefon. Bakri tidak tahu apa yang sedang bergolak di hatinya. Tiada suka. Tiada sedih. Tiada sendu. Tiada senda. Semuanya kosong. Tiada setitis airmata yang mengalir, namun di ketika itu Bakri bagaikan ingin meneriak sekuat hatinya memanggil nama Karmila.


Telefon bergetar lagi mengalunkan irama yang menyakitkan telinga. Pemandu limousine itu sedikit terperanjat lantas mengerling Bakri dari cermin pandang belakang.
“Encik…!!” suara pemandu limousine itu pula mengejutkannya.
“Maaf. Telefon encik berbunyi. Dah tiga kali. Encik tak mahu jawab ke?” tanya pemandu limousine itu tanpa mengetahui hal sebenar. Tergesa-gesa Bakri menjawab. Panggilan dari Harmiza, adik Karmila.

“Abang Bakri…. Kak Mila, Kak Mila..dah..” suara Harmiza pecah dalam esak tangisnya.
“Tak payah cakap. Abang dah tau..” suara Bakri bergetar.

Baru ketika itu hati Bakri pecah. Airmata bagaikan berlumba-lumba ingin turun dari empangannya. Bakri menelungkup wajahnya ke lutut. Badannya yang besar itu bergerak-gerak turun naik. Tenggelam dalam tangisan yang tidak beresak. Pemandu limousine itu terkejut dengan tindakan Bakri namun membiarkannya sahaja. Sudah lima tahun dia memandu limousine itu. Sudah pelbagai kerenah penumpang.
“Bang, tak payah ke Jalan Pinang. Terus ke General Hospital, ye!!”
“Baik”

Tuesday, February 12, 2008

Arca - Satu



“Abang…. makan malam dah lama siap. Pergilah makan”

Bakri masih tekun di meja tulis di dalam bilik yang dikhas untuk bacaan. Sedikit pun tidak mengendahkan panggil Karmila. Fikirannya tertumpu ke komputer riba. Pada rancangan pemasaran yang akan dibentangkan di hari lusa kepada pengarah syarikat yang bakal menjadi rakan kongsi di Shanghai kelak. Seandainya rancangan pemasaran ini berjaya, Murni Jaya Holdings bakalan menikmati pulangan yang hampir 20 kali lebih besar daripada apa yang mereka nikmati di tanahair.

Karmila menghampiri suaminya perlahan-lahan. Bakri yang membelakangkannya langsung tidak menyedari bahawa Karmila sudah betul-betul berada di belakangnya. Memerhatikan suaminya dengan segala macam perasaan. Sayang, kasih, jauh hati serta marah seakan bercampur sehingga menerbitkan satu macam sendu yang membikinkan hatinya seakan mahu pecah.

Dia mahu menyentuh Bakri. Mengusap pipinya dan tenggelam dalam pelukannya seperti mana perasaan itu timbul buat kali pertama dia melihat Bakri. Perasaan itu tidak pernah padam. Kasih dan sayang Karmila hanya untuk Bakri, suaminya. Dengan perlahan tangannya mencapai bahu Bakri sambil matanya terarah pada Carta Garisan yang turun naik ciptaan Bakri.

Bakri yang terkejut dari keasyikannya segera menoleh.
“Huuihh.. terkejut Abang!! Awak ni kalau iya pun, bagilah salam dulu..!! Ingatkan hantu tadi” kata Bakri.
Karmila cuma tersenyum. Bakri memang begitu. Kadang-kadang kata-kata spontannya mampu menarik tawa Karmila.
“Tak sudah lagi kerja Abang..??” tanya Karmila.
“Belum… awak nak tolong taipkan ke..?”
“Tak mahulah.. malas nak tolong Abang”
“Sampai hati awak…” Bakri pura-pura merajuk.

Karmila mencapai beg galas yang sering dibawa oleh Bakri ke pejabat. Memasukkan passport dan tiket penerbangan yang terletak di atas meja ke dalam poket hadapan beg itu. Memasukkan diari serta alat pengecaj telefon bimbit ke tempatnya. Itulah rutin yang dilakukan oleh Karmila setiapkali malam sebelum Bakri terbang jauh selain daripada menyiapkan pakaian yang akan dipakai selama hari Bakri berjauhan dengannya.

Kandungan Karmila sudah memasuki bulan keenam.
“Abang….”
“Hmmmm…??” sahut Bakri tanpa mengalihkan pandangannya daripada kaca komputer.
“Boleh tak Abang batalkan pemergian Abang ke Shanghai..?”
“Hmmm… Abang kan baru je balik dari Jakarta 3 hari lepas. Sekarang Abang dah nak ke Shanghai pula..” kata Karmila.
Bakri tersenyum sambil mengeliatkan badannya. Mengadap komputer selama sedari lepas Isyak tadi cukup memenatkan badannya. Bakri bangun lantas duduk di sisi Karmila.
“Kenapa..? takut tinggal seorang ke?” tanya Bakri. “Kalau takut nanti Abang minta Miza temankan Mila..”
“Heermmm.. bukan tu…” Karmila mengalihkan pandangannya enggan bertentangan mata dengan Bakri. Hatinya sayu. Kesedihan bagaikan menghiris tangkai hatinya.
“Errrrr.. esok pagi Abang nak sarapan apa..? Nanti Mila siap” Karmila cuba membendung airmatanya supaya tidak jatuh di hadapan mata Bakri.

Bakri tersenyum. Bakri tahu Karmila cuba menyembunyikan sesuatu.
“Kenapa ni..?”
“Tak ada apa-apa, cuma….”
“Cuma Mila rasa tak sedap hati. Abang sayang Mila tak..?” tanya Karmila
“Sudah tentu Abang sayang Mila..!!”
“Berjanji yang Abang tak akan buang Mila dari ingatan Abang buat selama-lamanya?”
Bakri terlongo. Gagal memahami apa yang terpendam di hati Karmila.
“Abang janji?” soal Karmila mengejutkan Bakri dari kebingungannya.
“Haaahh..? Apa pulak ni?”
“Abang janji tak..??”
“OK Abang janji..”
“Janji apa?” duga Karmila
“Abang janji yang Abang takkan buang Mila dari ingatan Abang buat selama-lamanya”
“Terima kasih Abang. Cinta Mila hanya untuk Abang seorang. Maafkan segala kesalahan Mila pada Abang, ye!!…” kata Karmila sambil mengelus rambut Bakri. Karmila mengucup tangan Bakri sebelum berlalu ke kamar peraduan dengan senyum yang hambar.

Bakri menggeselkan hidungnya yang gatal dengan jari telunjuk sambil cuba memahami apakah yang sebenarnya yang bermain di benak Karmila. Setelah gagal berbuat demikian, Bakri menggelengkan kepala beberapa kali tanda bingung.
“Huh… perempuan” getus Bakri sambil tersenyum sebelum berlalu ke meja bacaan untuk meneruskan kerjanya.

Shanghai sejuk dengan suhu jatuh di bawah 10 darjah Celcius. Namun langitnya cerah dengan matahari semakin menginjak masuk ke ufuk barat. Jam menunjukkan jam 5.15 petang. Lama juga aku dalam kapal terbang, kata hati Bakri. Tidak sampai 20 minit lagi malam akan membungkus kota ini. Dari bilik hotelnya kelihatan panorama Shanghai yang terbentang luas saujana mata memandang dengan bangunan pencakar langit berceracak mengisi pemandangan sekeliling. Berkali-kali lebih besar dari Kuala Lumpur. Nampaknya Shanghai semakin pesat sejak dasar keterbukaan China. Siapa sangka, bandar perikanan yang terletak di tebing Sungai Yangtze yang bersejarah itu akhirnya menjadi bandaraya pelabuhan yang terkemuka di dunia.

Dengan tidak semena-mena, Bakri teringatkan Karmila. Masih terasa kehangatan ciuman Karmila di pipinya sewaktu Bakri meninggalkan Karmila di tempat kerjanya. Sempat Bakri mengerling sesaat lambai Karmila yang berwajah sayu ketika tunduk mengucapkan selamat jalan. Nampak Karmila agak sukar mengimbangkan badannya dalam perut yang semakin membesar. Mengingatkan Karmila dan anak mereka yang bakal lahir, Bakri sedar bahawa setelah dihitung kira, tiada apa yang bermakna yang telah diberikan olehnya kepada Karmila sepanjang perkahwinan mereka. Melainkan daripada itu hanyalah kesengsaraan yang ditinggalkan kerana tugas Bakri yang menuntutnya selalu merantau jauh.

Tetapi… bukankah apa yang aku lakukan kini adalah untuk masa depan kami juga, fikir hati Bakri. Ya, benar. Tetapi… Karmila itu.. Ahhh.., kenapa pemergian aku ke Shanghai kali ini bagaikan terasa sayu benar?. Bayang wajah Karmila mengisi di mana-mana. Adakah aku terkesan pada tingkahnya yang aneh semalam? Tetapi.. kenapa? Ya, Allah… selamatkanlah aku dan ahli keluargaku dari segala macam keburukan…

Bakri bingung. Hatinya terasa sebak tidak menentu. Cuba dilawannya dengan sibuk meneliti data-data dari Bloomberg.com. Namun itu semua, sedikit pun tidak meredakan rusuh hatinya. Sebentar lagi, Mr Wangyuan akan datang menjemputnya untuk makan malam bersama.

Bakri mencapai telefon bimbitnya memanggil nombor Karmila.
“Assalamualaikum… Mila?”
“Wa alaikumussalam.. Abang. Abang dah sampai?” terdengar suara Karmila di hujung sana.
“Dah..”
“Berapa lama penerbangan Abang..?”
“9 jam. Rindu Abang tak..?”
“Rindu..!!”

“Errr… Mila OK ke?” tanya Bakri.
“OK je… Kenapa Abang?
“Tak ada apa-apa, cuma tiba-tiba je Abang rasa nak makan kek coklat yang Mila buat” alasan Bakri. Di kejauhan, Karmila tersenyum bersemu.
“Abang ni… tak baik cakap macam tu tau. Kalau dengar dek orang tua-tua, marah diaorang tau” kata Karmila
“Kenapa?” tanya Bakri.
“Yelah… Abang tu kan jauh di sana. Nanti kalau jadi apa-apa, kempunan..!!” leter Karmila.
“Jadi apa-apa? Apa maksudnya tu..?”
“Yelah, Manalah tau, kalau..”
“Kalau Abang mati..?” Bakri pantas memotong kata-kata Karmila.
“Isyyy.. Abang ni merepek je lah. Dah lah. Tak mau cakap pasal tu”

“Mila nak apa? Nanti Abang belikan?”
“Tak ada apa-apa. Cuma Mila nak Abang balik dengan selamat”
“Jaga kandungan Mila baik-baik. Hati-hati melangkah tu. Awak tu dah berat” pesan Bakri.
“Baik Tuan.. lagi?”
“Tak ada dah”

Bakri merasakan hatinya bagaikan berkembangan sewaktu berbicara dengan Karmila. Bagaikan kali pertama mereka berbual di telefon. Sarat dengan perasaan dan gementar.
“OK, say something sweet before I hang-up..”
“Something sweet..!!”
Bakri mengelekek “Nakal…”
“OK, Mila sayang abang dengan sepenuh jiwa raga Mila”

Sudah empat hari Bakri berpergian. Pagi esok dia akan tiba di KLIA. Tiada siapa yang akan menjemputnya. Tahu pergi, mesti tahu balik ke rumah, fikir Karmila. Lagi pun bukan ini kali pertama dia ke luar negara untuk disambut pulang dengan bunga manggar dan pulut kuning segala bagai. Mengenangkan suaminya itu, Karmila tersenyum sendiri. Periang, peramah tidak bertempat, kasar berjenaka dan yang paling Karmila suka ialah pada pancaran matanya setiapkali dia mengusik sesiapa sahaja. Mengingatkan itu, Karmila tersenyum meleret.

Namun ada masa-masa pula, Bakri seperti tidak memperdulikannya. Bakri tiada waktu untuk melapangkan masa untuk bergaul mesra dengannya. Tidak seperti suami orang lain yang gemar bersantai bersama isteri dan anak-anak. Keluar bersiar-siar ke tempat-tempat peranginan misalnya. Hidup Bakri hanya kerja. Jika dia tidak terbang keluar negara, paginya ke pejabat. Pulangnya sudah sayup malam. Begitulah saban hari. Jika hari cuti, Bakri lebih banyak mengadap komputer dari muka Karmila sendiri. Menghabiskan masa dengan membaca berjilid-jilid naskah Finance Asia, Personal Money, Financial Daily, Forbes dan macam-macam lagi. Tugas Karmila di rumah itu sama seperti isteri-isteri yang lain. Memasak, membasuh dan menyediakan segala keperluan Bakri tidak pernah diabaikannya. Itu pun tidak pernah diambil pusing oleh Bakri. Seringkali Karmila cuba mengambil hati Bakri dengan menyediakan hidangan istimewa untuknya. Namun selalu terbiar tidak berjamah. Alasannya keletihan.

Dan yang paling perit ditanggung ialah apabila ditinggalkan. Saat ditinggalkan begitu menduga hati perempuannya. Bagaikan tidak diperdulikan langsung. Kadang-kadang selama dua minggu Bakri berpergian tanpa berita meninggalkannya tertanya-tanya khabar berita dari Bakri. Bakri sendiri tidak langsung bertanya tentang sihat demamnya sepanjang ditinggalkan. Kira Karmila bertuahlah jika menerima panggilan dari Bakri di kejauhan seperti empat hari sudah. Entah apa mimpinya menghubungi Karmila. Terasa diri seperti melukut menanti perhatian dari Bakri. Dalam kandungannya yang semakin sarat ini, Bakri masa tega meninggalkannya keseorangan.
“Engkau kira masih bernasib baik sebab Bakri tak macam laki aku, si Badrul tu… Dengan kaki minum, kaki perempuan, kaki kapur duit aku…” teringat Karmila pada kata-kata Fauziah, rakan rapatnya sedari kampus seketika mereka membicarakan tentang suami masing-masing.

Ya, memang Bakri itu suami yang baik walaupun jauh di sudut hati Karmila sering timbul perasaan cemas sekiranya Bakri berlaku curang di belakangnya. Namun dari sikap Bakri yang terlalu taassub bekerja itu meyakinkan Karmila bahawa tiada wanita lain dalam hati Bakri selain darinya. Namun tahukah Bakri bahawa dia menginginkan Bakri untuk melengkapkan kewanitaannya. Dia ingin disentuh dalam erti kata sentuhan yang bukan berbentuk ghairah seksual yang mana Bakri tidak pernah gagal dalam tanggungjawab itu. Dia menginginkan untuk dirinya dibelai dengan cumbuan kasih, menginginkan agar Bakri melapangkan lebih banyak masa bersamanya agar dia dapat menikmati kehidupan berumahtangga dalam erti kata sebenar.
“Dia begitu mungkin sebab kalian belum mendapat cahayamata” Ibunya pernah berkata sewaktu dia mengadu akan sikap Bakri yang lewa terhadapnya.

Hairannya jika dengan orang lain, walaupun orang itu baru dikenalinya, Bakri bagaikan terlajak ramah. Semua orang memuji sikap Bakri dan segala yang dimilikinya. Karmila juga tahu tentang itu. Jika dengan orang lain Bakri boleh peramah, kenapa pula dengan Karmila, sikapnya seperti air pasang. Sebentar panas laksana mentari. Sebentar lagi pula dingin seperti gunung salji.
“Tak ada apa-apa, cuma tiba-tiba je Abang rasa nak makan kek coklat yang Mila buat”

Semoga kek ini dapat menjadi persembahan terbaiknya buat Bakri yang bakal pulang pagi esok. Esok Sabtu. Cuti. Ibunya pun baru menelefon memberitahu akan berkunjung untuk bersarapan bersama dengan ditemani oleh Miza, adiknya jika tiada aral yang melintang.

Bahan-bahan untuk membuat kek coklat kegemaran Bakri sudah sedia dibeli sebaik sahaja dia pulang dari kerja petang tadi. Cuma menunggu masa untuk diadun sahaja. Karmila mencari-cari sesuatu. Ya, mixer. Mesin pengadun itu entah hilang di mana. Karmila masih tercari-cari sehingga kepenatan. Akhirnya baru dia teringatkan bahawa mesin pengadun itu letakkan di dalam kabinet dapur, di tingkat paling atas. Ya, salah dia juga menyuruh Bakri meletakkan di situ setelah tiada tempat yang sesuai untuk dia meletakkan mesin itu sewaktu mengemaskan dapur itu bulan sudah.

Melihatkan kedudukan tempat letak mesin itu yang tinggi, Karmila jadi gerun. Ketinggian tubuh badannya langsung tidk dapat menyamai ketinggian Bakri, jadinya mesin pengadun itu langsung tidak tercapai olehnya. Dia menyorong kerusi dari meja makan. Dengan menyebut nama Allah, Karmila naik ke kerusi itu untuk mencapai mesin itu. Masih tidak tercapai juga. Hampir. Sedikit lagi. Karmila terpaksa bertinjat. Cuba mencapai bucu kotak mesin itu. Kalaulah Bakri ada….

Bucu kotak akhirnya tercapai. Dengan penuh kudrat, Karmila menarik kotak itu dengan bersusah payah. Kotak itu keluar agak sengit dari kabinet sebelum lurut dari tangan Karmila. Di saat itu, Karmila hilang keseimbangan lalu jauh tertiarap menghempap perutnya yang sedang sarat…

Bbbuukkkkkkk…..!!! Bunyi kotak itu bercampur dengan bunyi berat badan Karmila yang jatuh ke lantai. Karmila terkalap. Gagal bernafas. Tercungap-cungap menarik sehela nafas. Seketika badannya terasa kebas sebelum kesakitan yang mencengkam menghiris seluruh anggota menjalar ke seluruh badannya. Karmila merasakan di antara kedua belah kakinya mengalir cecair yang panas. Di seketika, dia berjaya mendapat sedikit udara.
AAAAbaaaaaaaaannnngggggg!!!!!!

Saturday, February 09, 2008

Wajah Kesayangan Hamba II

Hahahahahahaha..... Gong Xi Fa Chai
Sempena cuti panjang ini, Abang terasa begitu malas untuk menulis panjang berjela. Untuk itu, Abang ingin berkongsi gambar sahaja. Kebetulan di dalam komputer ini terdapat gambar terbaru Zaryn Ulfah yang baru berusia 10 hari, jadi kita saksikan bersama-sama ye!!



Gambar terbaru Zaryn Ulfah



Lagi gambar Zaryn Ulfah


Zaryn Ulfah termenung jauh teringatkan kekasih hati







Hahhh..!! Ada susu!! Ada susu!!







Ummi... Alin nak susu..!!


Along dan Angah


Angah tengah ketawa sakan. Di sebelah itu kelihatan Azah hanya separuh badan. Malu memperlihatkan wajah sewaktu di dalam pantang...


Jejaka Idaman Malaya - Adil Rayyan @ Angah @ Jikentor

Along dan Angah. Kesemua gambar diambil di rumah Opah...








Along dan Angah yang nampak mesra sebelum adegan bergigitan sesama sendiri



Tuan punya blog yang berwajah lesu dan kesakitan kerana Osteoarthritis yang dihidapinya berada pada tahap tertinggi. Nampak orang di belakang tu yang beraksi ala pahlawan Maori (Dia tu baru balik dari rumah orang kahwin dan dapat setin air karbonated perisa Strawberri...)