Friday, September 29, 2006

Meriam Buluh

Tuummm!!! bunyi dentuman itu mengejutkan saya yang asyik menonton kartun Drag-Pack di waktu petang itu. Bunyi yang kuat itu mengakibatkan pinggan mangkuk Mak di rak bergegar sedikit. Sekarang baru hari kelima berpuasa, namun perang meriam buluh sudah bermula seawal hari pertama berpuasa lagi.

Mak dan Apak tiada di rumah. Barangkali ke rumah Opah kerana Opah mengadakan moreh untuk berbuka puasa di surau Atuk. Rumah senyap sunyi. Abang saya bermungkinan sedang tidur di bilik. Saya menyelongkar almari buruk di tepi dapur mencari Kerantung Nakus - Buluh pendek yang ditebuk memanjang di tengahnya seperti bentuk tabuh masjid. Dengan kayu sebesar ibu jari orang dewasa itu, saya mengetuk dengan asyik. Teringat sewaktu abang saya menjadi ketua kumpulan budak-budak mengetuk Kerantung. Ada bilangan yang unik sebelum bermainnya sama seperti kita membilang satu, dua, tiga. Tetapi untuk Kerantung Nakus ini bilangannya seperti ini, "Kutu, Halwa, Togel!!!" Kemudian budak-budak mengetuk dengan kuat dan cepat-cepat sehingga membangkitkan suasana kecoh dan bingit.

Sedang saya mengetuk Kerantung itu, saya dikejutkan dengan satu ejekan, "Hoii, budak kecil!!! Main Kerantung Nakus..??". Saya menoleh ke suara itu. Alang dengan Soed. Mereka datang menghampiri saya. "Indera, jom kita main meriam buluh, nak?" tanya Alang.
"Boleh, tapi kat mana nak cari buluh..??" tanya saya.
"Apak aku cakap, kat Tanah Kubur lama tu banyak buluh besar-besar"
"Heeiii.. tak nak la aku. Kat Tanah Kubur tu ada hantu.." saya beralasan.
"Mana ada hantu siang-siang. Lagi pun bulan puasa ni, kat setan kena ikat" kata Si Soed.
"Ye tak ye jugak ye. Jomlah.." Akhirnya saya mengalah.

Kami menyusuri belakang rumah Alang sebelum melintasi anak sungai yang lebar setengah meter. Di hadapan itu terbentang perkuburan lama dengan nisan berceracak ke sana sini. Ada batu nesan yang sudah bergelempangan di atas tanah, manakala nesan yang diperbuat daripada kayu pula sudah mereput dengan pemandangan yang hodoh.

Suasananya amat menyeramkan. Pokok-pokok besar memayungi perkuburan itu sehingga tiada rumput atau lalang yang dapat tumbuh lantaran kekurangan cahaya matahari. Sedang saya pucat lesi menoleh ke kiri dan ke kanan itu, Alang menepuk bahu saya sehingga membuatkan saya terlompat dalam terkejut besar.
"Hah, nilah dia rumpun tu. Besar tak buluh dia..??" tanya Alang.
"Besar, besar, besar" saya dan Soed bersetuju.

Kami mula menggergaji buluh itu dari pangkalnya. Miangnya tidak terkata namun keseronokan dentumannya mengatasi gatal miangnya. Setelah dipotong, kami memikul buluh itu di atas bahu kami dan berbarislah kami bertiga berjalan pulang ke rumah Alang.
"Kita main meriam ni di padang sekolah menengah tu nanti, ye??"
Masing-masing mengangguk seperti burung tekukur tanda setuju.

"Soed, engkau ada kabait (cobalt) tak?" tanya Alang.
"Tak ada. Nak beli tak ada duit". Jawab si Soed.
"Engkau Indera, ada berapa duit?"
"Aku ada sekupang (10 sen) je.." jawab saya malu.
"Ok, Soed, engkau tebuk buluh ni. Aku ikat dengan dawai. Engkau, Indera, pergi kedai beli kabait. Beli 3 kupang (30 sen). Nah!! ambik dua kupang ni" kata Alang sambil menyeluk sakunya.

Bila segalanya sudah sedia, kami memasukkan air ke dalam buluh. Kami masukkan sepotong kecil cobalt. Tindak balas kimia antara cobalt dan air itu menghasilkan gas yang sensitif terhadap percikan api. Tatkala dicucuh sahaja api pada lubang di pangkal meriam buluh itu, serta-merta, TTTUUUUUUMMM bunyinya meletup kuat memekakkan telinga mengegarkan kampung. Kami terpekik kesukaan.

Begitulah sehingga hampir 10 kali dentuman sudah membuatkan kami meloncat-loncat seperti monyet terkena belacan. Setelah itu, ketika giliran saya mencucuh, tiada dentuman berbunyi. Sebaliknya berbunyi "Pop". Kami semua merasa hairan.
"Soed, engkau tengok kat dalam buluh tu, apa pasal tak mahu meletup. Aku agak, si Indera tak mandi pagi ni..." Kata Alang.
"Celuparnya muluuutt" gerutu saya.
"Aku tak naklah. Nanti meletup kat muka aku, tak pasal je" Kata Soed.
"Banyak bunyik le kome ni. Biar aku yang tengok" jawab Alang dengan beraninya.

Alang melihat ke dalam meriam buluh itu. Hairan. Tiada apa-apa yang ganjil. Tidak puas hati dengan itu Alang meniup ke dalam meriam buluh. Tiba-tiba, VOOOOOOVFF, api keluar dari meriam dan menyambar kening dan bulu mata Alang. Rentung. Nyaris dia sempat memejamkan mata.

Melihatkan rupa wajahnya yang pelik tanpa kening dan bulu mata itu, kami terpempan. KAHKAHKAHKAHKAH. Derai ketawa saya dan Soed memenuhi padang sekolah itu.

Keesokan harinya, Alang tidak hadir ke sekolah. Lusanya dia hadir tetapi puas dia ditertawakan oleh kawan-kawan dan guru-guru.
"Tak apa. Tak apa. Kome ketawalah. Balik sekolah ni nanti, aku tembak rumah kome dengan meriam buluh aku" katanya.
KAHKAHKAHKAH...

Thursday, September 28, 2006

Suatu Petang Ramadhan di Bandar Tasik Puteri

Petang itu petang yang cerah. Mentari bersinar kemerahan di ufuk barat. Warga Bandar Tasik Puteri ini seakan menyerap tenaga dari matahari ini dengan berduyun-duyun melimpah Bazaar Ramadhan di atas bukit berhampiran dengan sekolah itu. Di tepi-tepi jalan, kenderaan pelbagai saiz sudah memenuhi pinggiran tanpa dapat mencelah barang seruang pun. Suasana kelihatannya amat meriah dengan payung-payung dan gerai-gerai yang berwarna-warni.

Sebaik sahaja melepasi simpang ke Resort Golf itu, saya berkira-kira di dalam hati tentang kewajaran untuk turun singgah membeli juadah. Sekurang-kurang beberapa ketul kuih pedas sudah agak memadai. Maklum sahaja tinggal bujangan ini dengan isteri dan anak-anak jauh di kampung, apa perlunya membeli juadah yang banyak kerana hanya saya seorang sahaja yang menjamah hidangan. Lainlah jika mereka ada bersama, tentu sahaja suasana akan lebih meriah jika pelbagai menu menghiasi meja sambil melayan kerenah anak yang keletah.

Melalui kawasan Bazaar Ramadhan ini, aroma ayam percik seakan menarik saya untuk ke sana namun saya kuatkan hati. Matahari semakin lama semakin menenggelamkan dirinya di balik horizon meninggalkan remang jingga menandakan waktu berbuka semakin menjelma. Saya singgah di deretan kedai berhampiran dengan kawasan rumah saya untuk membeli sedikit sayuran mentah.

"Eh, Abang Indera!!! Abang Indera, kan?". Seorang gadis manis menegur saya. Saya terkalap sejenak memikirkan milik siapakah gadis ini. Tiba-tiba di belakang, ibunya menoleh ke arah saya. Oh, kakak kepada kakak ipar saya rupanya, dan yang menegur itu anaknya. Mereka membuka meja bagi menjual kuih di bulan Ramadhan ini.

"Abang Indera nak beli apa di kedai tu..??" tanya si gadis manis.
"Errr...aaaa.. anu. Saya nak beli sayur"
"Beli sayur...?? Buat apa..?? Abang Indera masak, ye?? Eeeeiii, pandai Abang Indera masak" ramah sungguh gadis ini. Si Ibu hanya tersenyum sahaja.
"Errr.. aakk, tak pandai pun.. Cuma tak suka membeli lauk di gerai" kata saya.
"Yelah, beli di Bazaar belum tentu rasa. Baik masak sendiri, lagi puas hati, kan?" Si Ibu menyampuk. Kacau daun.
"Ye, ye. Tak apalah kak ye, saya beli barang sekejap.." Saya meminta diri.

Di kedai itu saya membeli sayur-sayur dan 2 ekor ikan. "Berapa, bang?" tanya saya. "RM4.00 sahaja, bang" kata peniaga itu.

Setelah berpuas hati, saya berlalu ke kereta.
"Abang Indera tak nak beli kuih??" tanya gadis manis.
"Boleh juga. Kasi saya popia goreng seringgit, ye"
"Tabung apa tu Abang Indera..??" tanya gadis itu lagi sambil tangannya lincah memasukkan kuih ke dalam beg plastik.
"Errr.. tabung air. Bayar 20 sen boleh dapat setabung besar" jawab saya malu.
"Ohh.."

Setelah membayar, saya mengucapkan selamat berbuka buat dua beranak ini.
"Datang lagi, ye Abang Indera" lambai gadis itu.
"Ya, akanku datang lagi, gadis manis" ujar saya di dalam hati. Senang sekali.

Masuk sahaja di dalam kereta, saya tersenyum memikirkan wang di dalam dompet berbaki RM 5.00. Masih cukup untuk membayar tol pagi esok. Zaman yang serba mahal mendesak perbelanjaan yang berhemat.

Saya tidak pasti apakah yang terlintas di benak gadis itu dan ibunya. Mungkin mereka berpendapat bahawa saya ini kedekut. Tetapi..., ahh!! tinggal hanya RM5.00.

Wednesday, September 27, 2006

Kolam Buaya Emas

Isen ini adalah sebagai memenuhi permintaan KingBinjai yang sukakan kepada cerita rakyat. Kisah Kolam Buaya Emas ini adalah lagenda yang terjadi di Tanah Abang lewat kurun ke-16. Walau bagaimanapun, cerita ini kurang popular di daerah kami mungkin lantaran pengajaran dari kisah ini terlalu ringan.

Di akhir kurun ke 16, Pusat Pemerintahan Perak Tua iaitu Tanah Abang diperintah oleh seorang sultan iaitu Sultan Mansor Shah ke-2. Sultan ini dikatakan sudah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga namun masih belum berputera walau seorang pun. Memikirkan bahawa tahta kerajaan negeri memerlukan seorang waris, persoalan ini amat menggusarkan benak Ke Bawah Duli Baginda. Baginda semakin hari semakin bermurung durja sehinggakan rakyat dan pembesar turut merasa gundah gulana.

Melihatkan keadaan sultan semakin hari semakin membimbangkan, Memanda Bendahara sepakat dengan Datuk Bentara untuk mencari jalan penyelesaian buat baginda. Memanda Bendahara mengarahkan Datuk Bentara mudik ke hulu sungai hingga ke sempadan Kelantan untuk bertemu dengan Tok Malim Buana yang arif dalam ilmu dunia dan juga akhirat. Kedatangan Datuk Bentara itu disambut mesra oleh Tok Malim Buana dan dari ilmu laduninya, Tok Malim Buana memahami akan maksud kedatangan Datuk Bentara itu.
"Sampaikan salam hamba kepada Ke Bawah Duli Tuanku laki-bini. Katakan kepada baginda bahawa baginda laki-bini haruslah berdayung ke Air Mati, tempat berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wataa'la agar dikurniakan putera atau puteri yang ramai.. Insya-Allah niat suci baginda akan diperkenankan oleh Allah".

Berita itu kemudiannya diperkhabarkan kepada sultan dan sultan bersetuju untuk berusaha seperti yang disarankan oleh Tok Malim Buana. Sampai sahaja di kawasan Air Mati berhampiran dengan Gajah Batu Tiga Beranak itu, baginda laki-bini berdoa dan bernazar ke hadrat ilahi. "Ya Allah ya Tuhanku, kurniakanlah aku dengan anak yang ramai dan aku bernazar jika aku beroleh anak yang ramai ini, aku akan menjaga mereka di setiap masa dan ketika tanpa sesaat pun aku teralpa. Jika aku teralpa, aku rela menerima hukumannya".

Setelah itu baginda berdua laki-bini pulang ke istana. Malam itu sewaktu baginda sedang beradu, baginda bermimpi bertemu dengan seorang tua berjanggut panjang hingga ke pusat. Orang tua itu berpesan, "Esok malam bulan purnama, sewaktu embun pertama menitis, Tuanku pergilah ke Taman Diraja. Tuanku carilah rumpun kunyit yang tumbuh bersebelahan dengan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam. Tuanku ambillah bunga kunyit berkelopak tujuh dan jadikan santapan Tuanku dan Tuanku Permaisuri".

Keesokan malamnya sebaik sahaja embun pertama menitis, Sultan berangkat ke Taman Diraja dengan ditemani oleh Datuk Bendahara. Sampai sahaja di hadapan Bunga Gul Bakawali yang kembang berdentam di tengah malam, di situ terdapat serumpun kunyit. Bunga Kunyit itu sama seperti yang dinyatakan oleh orang tua di dalam mimpi Sultan iaitu berkelopak tujuh. Bunga itu keesokannya dijadikan santapan baginda laki-bini.

Setelah beberapa bulan, tibalah perkhabaran gembira, Tuanku Permaisuri hamil. Cukup sahaja tempoh, Tuanku Permaisuri berputerakan seorang puteri. Sehinggalah tujuh tahun berturut-turut baginda melahirkan puteri dan istana diserikan dengan 7 orang puteri yang comel.

Apakala puteri yang bongsu genap berusia 10 tahun, terjadi satu peristiwa aneh. Ketujuh-tujuh puteri baginda gering sehingga jatuh pengsan. Hal ini amat mendukacitakan hati baginda. Baginda berdoa ke hadrat Allah minta ditunjukkan jalan. Suatu malam, orang tua itu muncul kembali.
"Tuanku hendaklah membuat sebuah kolam dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Bina sebuah alur dari kolam itu sehingga ke tebing Sungai Perak (Tanah Abang ini di tepi sungai). Setelah kolam itu siap, siramkan air kolam itu di kaki puteri-puteri Tuanku. Setelah itu setiap kali puteri Tuanku bersiram di kolam, haruslah diawasi oleh Tuanku Permaisuri sendiri. Jika tidak diawasi, padah yang bakal menimpa. Barang apa jua yang mendatang sewaktu puteri-puteri Tuanku bersiram usahlah diperdulikan. Ingat, puteri Tuanku tidak boleh menyebut dudududu di kolam itu.."

Setelah terjaga dari beradu itu, baginda melaksanakan seperti alamat mimpi itu. Sebuah kolam berbentuk bulatan dibina dengan sebuah pulau di tengah-tengahnya. Puteri-puteri baginda diusung ke kolam dan kaki mereka disiramkan dengan air kolam itu.

Sebaik sahaja disiramkan, puteri-puteri itu membuka maka dan tersedar. Di waktu itu juga mereka turun bersiram di dalam kolam. Sebaik sahaja puteri yang sulung mencecahkan kakinya di permukaan air kolam itu, turunlah gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit tinggi. Dari arah sungai, seekor buaya berwarna hijau datang masuk melalui alur dan terus ke kolam. Sebaik sahaja buaya itu masuk ke dalam kolam, buaya itu bertukar sisik keemasan. Kegemarannya beristirehat di atas pulau di dalam kolam itu.

Begitulah saban hari, bulan dan tahun sehingga ke tahun yang ke tujuh. Di tahun itu, Sultan dikurniakan rezeki oleh Allah dengan seorang putera - waris mutlak kerajaan negeri. Sultan amat sukacita sehingga mengabaikan ketujuh-tujuh orang puterinya. Sewaktu putera baginda sudah berjalan jatuh, puteri-puteri ini mohon keizinan untuk turun bersiram dan minta agar ditemankan. Namun, oleh kerana asyik berulit dengan putera, baginda laki-bini tidak mengendahkan permintaan puteri-puteri itu. Baginda terlupa akan janji dan amaran mimpi baginda.

Akhirnya, puteri-puteri itu turun juga bersiram sesama mereka 7 beradik. Sewaktu puteri sulung menjejakkan kakinya di permukaan kolam itu, gerimis turun dengan dentuman guruh menandakan alamat buruk akan tiba. Buaya Emas ghaib entah ke mana. Dari jauh, seekor Bota sedang memerhatikan puteri-puteri ini. Dia mengeluarkan serulingnya dan meniupkan satu irama. Puteri-puteri ini terpesona lantas menyanyi-nyanyi di kolam ini sehingga salah seorang puteri ini menyanyikan lagu dududu.. . Dengan tidak semena-mena kilat menyambar di kolam dan ketujuh-tujuh puteri itu mangkat di situ juga.

Baginda merasa amat dukacita dan menyesal dengan kealpaan baginda. Namun apakan dayanya, nasi sudah menjadi bubur. Puteri-puteri itu dimakamkan dengan penuh istiadat diraja. Kolam Buaya Emas kemudiannya ditinggalkan.


Indera : Kolam Buaya Emas masih wujud sehingga kini. Ada pihak mendakwa, di waktu hujan gerimis dengan pelangi berkilau merentang di langit, mereka melihat ketujuh-tujuh puteri itu asyik bermandian bersama seekor buaya emas.
Sesiapa yang ingin menghampiri kolam ini dilarang berkata, "dududu..." kerana itu akan memikat Bota. Wallahua'lam. Hanya sebuah lagenda semata-mata. Segala baik dan buruk itu adalah Qada' dan Qadar Allah S.W.T.

Tuesday, September 26, 2006

Pancaran Nur Kasih

Mentari muncul di ufuk timur membawa bersama pengharapan untuk kehidupan yang lebih cerah buat berbilion umat manusia yang mendiami alam fana ini. Sinarnya yang gemilang dan nyaman itu menjadi inspirasi buat anak-anak Adam untuk terus berusaha mencari sesuatu yang lebih bermakna di dalam kehidupan.

Di akhir-akhir ini, saya kian diburu resah tidak menentu. Setelah dikaji dengan teliti, asbabnya berpunca dari satu permasalahan dalaman saya. Saya hilang minat. Saya hilang minat hampir terhadap segala-galanya. Kerana itu saya tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap perlakuan saya.

Sudah tiga hari kita berpuasa, sudah tiga malam juga saya tertinggal Solat Tarawikh berjemaah. Bukan kerana terlalu kekenyangan dek hidangan berbuka, bukan juga bermalas-malasan tetapi tiadanya tumpuan itu membuatkan saya tenggelam punca.

Saya diburu rasa bersalah. Saya rasakan bahawa diri saya semakin jauh dengan Azzawajalla. Akhirnya membuatkan saya diburu rasa ketakutan sekiranya ditakdirkan saya dijemput ke hadrat ilahi, apakah saya tergolong di kalangan mereka yang diberi kasih sayang oleh Allah.

Apabila kita merasa jauh dari Allah menandakan bahawa hati kita keras. Hati keras adalah disebabkan kegelapan yang menyelubungi hati yang terhasil daripada tempelan dosa-dosa yang dilakukan. Oleh itu hati kita tidak ditembusi oleh Nur keimanan yang menjadi tali wasilah antara kita dengan Rabbul Jalil.

Ya Allah.. Satukanlah hatiku denganMu, Ya Allah.. Terangilah hatiku sebagaimana engkau menerangi bumi dengan pancaran MatahariMu. Masukkanlah aku di kalangan orang-orang yang menyerah kepadaMu. Engkaulah Tuhan seru sekelian alam. Tempatku bergantung harap dan kasih...

Monday, September 25, 2006

Strategi di Bulan Puasa

Saya tidak mengingati bila saya mula berpuasa penuh. Apa yang pasti, ianya di sekitar usia 7 ataupun 8 tahun. Saya punya seorang abang yang berbeza usia hanya 2 tahun dengan saya. Jarak usia yang dekat ini membuatkan kami sering bersaing untuk merekodkan jumlah hari puasa tertinggi antara satu sama lain. Untuk makluman, puasa setengah hari turut diambil kira.

Saya tidak mengakui diri saya bijak tetapi jika saya merasakan kedudukan saya terancam, maka saya akan merangka pelan strategi untuk melemahkan pihak musuh. Ketika saya sedang mengelepar kehausan akibat puasa dan merasakan tidak mampu lagi untuk meneruskannya, saya akan meminta izin dari Mak untuk berbuka puasa. Mak dengan belasnya akan mengizinkan. Tetapi masalah akan timbul apabila abang saya masih gagah bertenaga meneruskan puasa. Jika dia mampu menghabiskannya sehingga matahari terbenam, pasti saya akan tertewas dari segi jumlah hari.

Saya sering menggunakan tektik kotor untuk menang. Setelah Mak memberi keizinan saya untuk berbuka, saya akan senyap-senyap mengorek tabung gajah saya. Ya, dengan modal 30 sen ini mampu sahaja memusnahkan puasa abang saya...

Di kedai Pak Sudin, saya membeli sebungkus mee segera berperasa kari. Jam 2.00 petang itu terlalu awal untuk Mak memasak. Yang ada di dapur hanya air masak sejuk dan biskut Meri. Dua menu yang belum cukup gagah untuk mencairkan keimanan abang saya.

Aroma kari mee segera naik ke ruang udara membakar nafsu sesiapa sahaja menghelanya. Dari arah ruang anjung terdengar bunyi orang berlari ke dapur. Saya tersenyum menang. Abang saya terhenti sebentar apabila melihat saya sedang merebus mee segera. Saya menoleh lalu tersenyum sumbing kepadanya. "Puasa hari ini? Orang tak puasa (saya membahasakan diri, orang).. kalau nak, marilah.." pelawa saya. Saya tersenyum memikirkan tidak sampai dua minit lagi, puasanya akan melayang..

Abang saya seperti enggan melangkah lagi ke hadapan. Kemungkinan imannya sedang berperang dengan nafsunya. SSSLLLUUUPPRRR... bunyi mee segera disedut masuk ke mulut menghancur-musnahkan iman abang saya. Dia rapat ke sebelah saya dan dengan enaknya turut sama menikmati mee segera itu bersama saya. "Hooorrrayy, aku menang!!!". Hati saya bersorak keriangan. Jika Allah mengangkat hijabnya pada ketika itu pasti kesemua orang melihat di kepala saya sewaktu itu sudah ditumbuhi tanduk panjang-panjang laksana kerbau.

Selesai sahaja menikmati makanan itu, saya sudah tersandar di dinding sambil mengusap-mengusap perut seperti wanita sarat mengandung tanda kekenyangan. Abang saya turut sama duduk di sebelah saya sambil tersengih seperti kerang busuk. Tiba-tiba, wajahnya menjadi serius dan dengan tidak semena-mena saya ditendangnya. Saya terkejut, tetapi pura-pura tidak mengetahui puncanya.
"Eh, apa hal pulak ni..??".
"Engkau sengaja nak batalkan puasa aku, kan" tanyanya.
"Mana ada. Orang memang tak puasa hari ini" saya cuba berdalih.
"Aku tahu. Aku tahu.. Nanti aku cakap kat Apak" Dia cuba mengugut saya. Mentang-mentanglah anak kesayangan ayah saya.
"Pergilah cakap. Tak takuuuutt" kata saya sambil menjelirkan lidah ke arahnya.

Dia berlalu sambil meraung mendapatkan ayah saya yang sedang tidur di bilik. Selepas Zohor, Apak akan tertidur selama 1 jam sebelum bangun pada jam 3.00 petang. Dari dalam bilik terdengar dia mengadu kepada ayah saya.
"Apak. Bangunlah. Tengok Indera tu.."
"Apa..??" Ayah saya menyinga kerana tidurnya terganggu.
"Dia batalkan puasa orang" adu abang saya.

Saya yang masih bersandar di dinding mula mengelabah mendengar bunyi kaki ayah saya masuk ke dapur.
"Ni apa hal, ni" jerkah ayah saya.
Saya mula mencari alasan. "Mana orang tahu, Apak. Orang tak puasa hari ini. Orang masak mee segera. Tiba-tiba dia datang makan sekali. Mana orang tahu" kata saya dalam ketakutan. Bab mempelawa itu sengaja saya tidak timbulkan. Kelak menjadi masalah kepada saya pula.
"Betul engkau makan sekali dengan dia?" tanya Apak kepada abang saya.
"Betul".
"Betul dia tak ada paksa kamu makan?" tanya ayah saya lagi kepada abang saya.
"Betul"
"Jadi, kalau begitu, kamulah salah. Dah kamu tahu dia tak puasa, yang kamu dekat dia buat apa?" ayah saya menengking abang saya.

Saya menang perbicaraan hari itu. Ayah saya menyambung tidurnya selepas itu. Abang saya sudah masuk ke bilik menangisi puasanya sudah punah berkecai. Mak akan memberi ganjaran 10 sen bagi setiap hari berpuasa. Jika tahun ini saya hanya berjaya berpuasa 15 hari sedangkan abang saya mendapat 20 hari, tentu ganjaran yang saya berperolehi terkurang 50 sen dari abang saya. Satu perbezaan yang besar!!

Hmmm.. selepas ini, apa rancangan yang paling baik untuk diatur supaya puasa abang saya batal lagi.. Apa ye??

Friday, September 22, 2006

Nakal Betul!!!

Kenakalan remaja yang tinggal di kampung hampir keseluruhan tidak sama dengan kenakalan remaja yang tinggal di kota walaupun terdapat sedikit persamaannya seperti suka berlumba motor dan menunggang dengan cara yang merbahaya. Perbezaan ini adalah disebabkan polarisasi penduduknya dan faktor urbanisasi sesuatu tempat.

Seperti yang saya tuliskan di dalam entri saya yang lepas, Fuad sepupu saya gagal dalam SRP. Sebenarnya dia tidak gagal secara total namun polisi peperiksaan dahulu yang menekankan kepada pencapaian matematik, dia dikira gagal di dalam peperiksaan SRP setelah gagal dalam subjek Matematik. Dia mempunyai opsyen untuk mengulang semula pelajaran di Tingkatan Tiga tetapi dia enggan. Sudah berbuih mulut Mak Yah, Acu dan Acik menasihatinya supaya mengulangi Tingkatan Tiga, langsung tidak diperdulikannya. Sebaliknya sebaik sahaja mentari pagi memunculkan diri, dia sudah terbongkok-bongkok menoreh getah tua Atuk. Tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu dari Atuk. Atuk sampai tidak dapat berkata apa-apa.

Petangnya pula, dia akan duduk berlonggok dengan budak-budak nakal kampung seperti Nizar, Godek, Darus dan beberapa orang lagi di simpang Kampung Cheruk yang jaraknya hanya 30 meter dari tanah perkuburan kampung yang luas itu. Kebetulan di situ ada rumah tinggal milik Tuk Taib yang hanya dihuni setahun sekali oleh adiknya Pak Buta yang pulang bercuti dari Pusat Perlindungan Insan Kurang Upaya di Ipoh. Di situlah Fuad dan budak-budak ini duduk berlonggok dari petang hingga ke santak dinihari. Jika sudah duduk di situ sehingga ke jam dinihari, jangankan manusia, orang yang mendiami tanah perkuburan itu pun naik hairan. Jadi selalulah mereka dijerkah oleh penghuni di situ dengan jeritan dan hilai tawanya yang memanjang. Namun semua itu sedikit pun tidak membantutkan aktiviti mereka malahan menjadi bahan ketawa pula sesudah itu.

Di pendekkan cerita, Fuad semakin hanyut dengan kumpulan budak-budak ini. Cuma yang dipuji, mereka tidak langsung menyentuh dadah atau kanabis yang boleh membuatkan mereka tersesat jauh. Jika setakat buah kayu orang, tidak usah diperkatakan lagilah. Sudah seperti milik mereka gayanya. Teringin sahaja, terus dipetik tanpa meminta izin terlebih dahulu dari tuannya.

Suatu senja yang sunyi mereka sepakat untuk mengendap anak dara Pak Teh Dahaman yang putih melepak itu mandi. Rata-rata rumah di kampung kami, bilik airnya berdindingkan papan dan terletak di bawah dapur rumah. Bagi rumah yang sudah tua, sepertilah juga keadaan bilik airnya, sudah mereput di sana-sini. Reputan itu kadang kala langsung tidak disedari oleh tuan rumah.

Senja itu seperti biasa, Bintik (nama yang diberikan oleh budak-budak itu kepada anak dara Pak Teh Dahaman. Nama sebenarnya Siti Norhanirah Natasha) masuk ke bilik air untuk mandi. Pak Teh Dahaman sudah ke surau dan isteri dan anak-anak Pak Teh Dahaman yang lain berada di atas rumah. Dari jauh Fuad dan kawan-kawannya tersenyum angkat-angkat kening. Mereka merapati bilik air itu melalui semak di sebelah rumah Pak Teh Dahaman. Di dalam gelap senja itu mereka mencari dinding-dinding yang reput untuk ditebuk bagi mengintai Bintik ini. Sedang mereka terbongkok-bongkok itu, Kamil Benjol terseradungkan kayu lalu jatuh terlanggarkan pagar reban itik Pak Teh Dahaman. Itik-itik Pak Teh Dahaman terperanjat lalu gempar sereban. "QUIKQUIKQUIKQIUK...".

Fuad dan kawan-kawannya terpanik dengan itu lantas lari lintang pukang meredah bendang yang baru ditanam dengan anak semai, puntang-panting melarikan diri. Fuad berlari balik ke rumah Opah dalam baju dan badan yang penuh dengan lumpur bendang. Saya ketika itu duduk di tepi tingkap ternampak kelibat orang memasuki bilik air Opah. Setelah diekori, baru saya menyedari bahawa dia itulah Fuad.

Selepas diceritakan saya tidak berhenti ketawa sehingga disergahnya, "Weeii, weeii. Sudahlah tu". Oleh kerana kasihan dengannya saya mengajaknya ke Pekan menjamu satay Alim. Sewaktu makan satay itu saya masih lagi ketawa, sama seperti ketika dia jatuh dari dahan durian sewaktu perang poster pilihanraya tahun sebelumnya.

"Budak ni.., Ketawa lagi dia. Aku sumbat dengan seluar busuk aku ni kang, tak pasal je". Gerutunya.

Thursday, September 21, 2006

Cikgu Popular (Bukan Pelakon Popular..)

"Baiklah Indera, sampai di sini sahaja berbincangan kita. Sekarang awak perlu ke sekolah itu, melaporkan diri sebagai guru sandaran tidak terlatih. Matapelajaran yang harus diajar ialah Bahasa Inggeris" kata Pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah yang berwajah serius itu. Sebaik sahaja meninggalkan pejabat itu, saya terus ke sekolah itu untuk melaporkan diri.

Saya disambut mesra oleh kakitangan pejabat sekolah, dibawa mengadap Pengetua sekolah. Setelah diberi taklimat serba ringkas, saya kemudian dibawa ke Bilik Guru untu diperkenalkan kepada guru-guru yang mengajar di sana. Ada yang berwajah mesra, ada yang buat tidak endah, ada yang dingin dan ada pula suka mengusik. Saya tersenyum sendiri memikirkan bahawa saya kini seorang guru walaupun sekadar sandaran cuma. Lucu. Ah, aku seorang guru.

Saya diarahkan mengajar Bahasa Inggeris di Tingkatan Satu yang jumlah kelasnya sebanyak 7 buah kelas dan saya akan mengajar 5 daripadanya. Keupayaan murid dikelaskan mengikut turutan nama padi (kerana sekolah itu terletak di dalam jelapang padi). Mahsuri, Malinja, Masria, Sekencang dan beberapa nama yang sudah saya lupa.

Hari pertama itu. Hari pertama pengalaman sebagai guru itu saya masuk ke kelas Masria memperkenalkan diri sebagai guru Bahasa Inggeris mereka. "Good Afternoon, class. I'm your English's teacher and I was ordered by the Education Office to teach you for this term until your appointed teacher comes in. Well, my name is Indera and I'm very gla... ". Mereka memandang saya dengan pandangan yang kosong seolah-olah suara saya ini amat memukaukan. Pandangan bercampur dengan bingung. Saya seperti tersedar dari lamunan bahawa English ini bukan pengucapan di dewan kuliah atau seminar kerjasama Bank Negara dengan Universiti. English di sini adalah suatu matapelajaran yang sukar difahami dan jauh dari hati murid-muridnya.

Wajah-wajah anak peneroka ini saya pandang satu persatu. Wajah yang kasar dibakar mentari dengan baju yang kumal kekuning-kuningan. "Baik, nama saya Indera. Kamu semua boleh memanggil saya Cikgu Indera. Saya masih bujang. Berusia 24 tahun. Sesiapa yang berminat dengan saya, masih berpeluang lagi..". Secara tiba-tiba, wajah-wajah itu bertukar corak kepada keceriaan.

"Nama saya Junaidah Abdul Manaf. Ayah saya seorang peneroka. Hobi saya mendengar radio". "Nama saya Mohd Mikaza Bin Khairuddin. Ayah saya membuka kedai pertukangan di sini". "Nama saya Mas Salina. Hobi saya membaca majalah". Di hujung bilik darjah disambut satu suara. "Cikgu, Mas Salina adik kepada pelakon Mas Anizan itu". Oh, patutlah seiras. Murid-murid di sini hanya berminat kepada hiburan, fikir saya. Lantas saya menyambut "Mas Anizan itu siapa?". Pura-pura tidak tahu. "Alah Cikgu ni, Mas Anizan pun tak kenal".

Begitulah mereka. Sekali jauh di pendalaman, hiburan tidak pernah lali mengekori. Lantas setamat sahaja sesi perkenalan itu, saya segera meminta mereka membuka buku. Saya menduga pengetahuan mereka melalui grammer dan juga vocabularies. Ternyata mereka masih lagi di tahap awalan. Masih lagi tidak tahu membezakan antara A dan juga The. Tetapi bila ditanya lagu terbaru kumpulan KRU, tahu pula.

Satu cabaran yang besar. Saya mengambil pendekatan yang berbeza di dalam pengajaran. Saya membawa mereka ke taman sekolah. Melihat pokok dan juga serangga. Menyuruh mereka mencari perkataan di dalam Bahasa Inggeris seperti trunk, leaves, butterflies dan berbagai-bagai lagi. Bahasa Inggeris kini semakin diminati mereka. Selepas sebulan mereka berjaya merangka ayat yang mudah seperti my mother cooks in the kitchen, my friend Kahar is a very good boy.

Mereka menyenangi saya. Dalam masa yang sama takut kepada saya kerana saya salah seorang guru yang menyelia disiplin sesi petang itu. Sesekali keanak-anakan mereka sangat terserlah untuk mengusik saya. Sewaktu solat Zohor dan Asar umpamanya, sewaktu Ustaz Boos membacakan doa, mereka beramai-ramai duduk di belakang saya sambil mencuit belakang saya. Apabila ditegur selepas keluar surau, mereka hanya menyambut dengan hilai ketawa. Namun jika kerja rumah yang diberikan tidak disiapkan, pasti mereka mengeletar melihat rotan saya.

Kepada guru-guru seperjuangan, Hamdan, Razak, Jalal, Hamin, Misran dan lain-lain, saya memohon maaf kerana tidak berupaya menyempurnakan harapan mereka untuk melihat saya menjadi seorang guru terlatih. Di sekolah itu saya berkenalan dengan seorang gadis dan hampir berkahwin dengannya. Sungguhpun disembunyikan tetapi masih dapat dihidu oleh murid-murid saya. Semakin galaklah mereka mengusik.

Julai 1998, saya menerima tawaran bekerja di Kuala Lumpur dan serentak dalam masa yang sama guru sebenarnya yang ditugaskan melaporkan diri. Cantik orangnya. Anak orang kaya dari Damansara Heights. Zufriza namanya. Kami bagaikan berganti tempat. Saya ke Lembah Kelang. Dia ke Dataran Seberang Perak.

Murid-murid saya menjalani sunnatullah sebagaimana yang saya lalui sebelum mereka. Tamat pengajian di peringkat sekolah. Ada yang bekerja. Ada yang berkahwin. Ada pula yang sedang mendaki tangga menara gading. Kadangkala saya tertanya-tanya, adakah mereka mengingati saya sebagaimana saya mengingati mereka.

Wednesday, September 20, 2006

Dahulu Lain Sekarang Lain

Seingat saya, sewaktu saya kecil-kecil dahulu, selepas waktu subuh terutamanya, ketika saya bersiap-siap untuk ke sekolah, pastinya kelihatan makcik-makcik dan pakcik-pakcik berkayuhan basikal beramai-ramai menuju ke kebun getah. Bersama kumpulan kanak-kanak dan remaja yang berbondong-bondong ke sekolah, suasananya kelihatan amat sibuk sekali. Kesibukannya lain daripada kesibukan Kuala Lumpur dengan kesesakan trafik dan hon kereta. Kesibukan yang ini mendamaikan. Kanak-kanak berlarian ke pagar sekolah untuk mengelak daripada terlambat. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik singgah di kedai kopi membeli sarapan pagi sebelum menyambung kayuhan ke kebun getah dan juga ladang.

Sekitar jam 8.30 pagi itu, suasana kampung akan menjadi lengang dan sunyi. Di halaman rumah tua cuma kelihatan opah-opah yang sudah tidak berkudrat bertenggong membersihkan kawasan sekeliling sejam dua sebelum lenyap di dalam rumah sehingga tengahari. Tengahari nanti barulah kedengaran hentakan lesung batu menyambal mana yang patut buat juadah makan tengahari.

Tetapi di hari ini, apa yang menjadi kelazimannya kampung saya itu seperti sukar ditemui lagi. Apabila bercuti di kampung, kaum wanitanya sebelum subuh lagi sudah keluar rumah menunggu bas kilang menjemput mereka ke Pusat Perindustrian yang bertaburan di sekitar Lembah Kinta. Kaum lelakinya pula kini menjadi golongan minoriti yang mengambil alih tugas isteri di rumah, menjemput anak pulang dari sekolah dan melepak di kedai kopi lantaran peluang pekerjaan yang terhad dan keutamaan yang diberikan kepada golongan wanita jika ingin bekerja di sektor perkilangan.

Anehnya, kampung itu tidak pula seperti kampung lain yang berdekatan dengannya. Jika kampung lain menghadapi masalah ketagihan dadah yang serius oleh muda-mudinya, kadar kecurian yang tinggi dan masalah sosial, kampung itu setakat ini Alhamdullillah, masalah itu belum di paras yang terlalu kritikal.

Cuma kampung itu sekarang ini sudah terlalu sunyi. Kesepian dapat dirasai di segenap ruang waktu dan tempat. Penghijrahan memberikan impak yang terlalu besar terhadap populasi penduduk kampung. Rata-ratanya berhijrah ke Lembah Kelang. Bertemu jodoh dengan pasangan yang berasal dari negeri yang lain. Berkeluarga dan menetap di sekitar kawasan berhampiran dengan ibukota terutamanya di kawasan Jalan Kelang Lama dan Sungei Ways.

Yang tinggal di kampung hanyalah wajah-wajah sunyi yang menghitung hari-hari tua merindui anak-anak dan cucu-cucu yang berada beratus-ratus batu jaraknya. Pertemuan hanyalah di pagi Syawal. Pagi di mana waktu Solat Sunat AidilFitri, jemaah melimpah hingga ke pagar masjid. Itulah tempoh sekali dalam setahun kampung kami meriah dengan sapaan, bertanya khabar dan juga pertukaran cerita antara satu sama lain. Seminggu sesudah itu keadaan akan kembali seperti asal. Sunyi. Sepi. Dan juga kelam.

Generasi tua semakin ramai yang meninggalkan dunia yang fana ini. Generasi mudanya tidak pula menunjukkan tanda-tanda untuk pulang. Kampung itu sudah sunyi benar sekarang. Babi hutan semakin galak berkeliaran hingga ke belakang dapur. Dusun kini semakin menjadi hutan. Di kala duduk termenung di tangga rumah Mak, saya terkenang bait-bait lagu yang terdapat dalam nyanyi Kakak Ramlah Ram;

Pulang Abang, pulang saudaraku,
Masih hijau di desamu itu,
Bayu masih seperti dahulu,
Hujan rintik dihias pelangi..

Tuesday, September 19, 2006

Buluh Apa

Sementelahan saya telah mengkisahkan sejarah Pak Kaduk itu, biarlah saya melanjutkan dengan sebuah kisah yang terjadi di Tanah Abang yang terletak beberapa batu sahaja dari tanah kelahiran saya. Kisah ini menjadi kegemaran saya di waktu kecil hingga dewasa sehinggakan saya kerap mengunjungi tapak terjadi peristiwa itu untuk mengimbau realiti kisah sedih ini. Kisah Buluh Apa...

Zaman dahulu di Tanah Abang (pusat pemerintah Perak Tua) terdapat dua orang putera raja yang sama bentuk fizikalnya. Sama cantik, sama gagah, sama dari segi kesantunannya. Cuma sifat mereka berdua ini sahaja yang membezakan mereka berdua. Si Abang lebih lembut, lebih penyayang dan manakala Si Adik agak sedikit kasar, pemanas dan juga agak gopoh di dalam tindakannya.

Seperti kebanyakannya permainan anak raja dulu-dulu, masa lapang mereka akan diisi dengan pemburuan di hutan, persilatan dan permainan senjata sebagai lambang dan status kegagahan seorang anak raja.

Pada suatu hari, kedua anak raja ini bermain senjata seolah-olah seperti pertempuran yang sebenar. Oleh kerana masing-masing terlalu gagah, tiada pihak yang menang atau kalah. Di akhir sayembara itu mereka menggunakan buluh sebagai medium pertarungan. Buluh tersebut tersangat keras dan membahayakan sehinggakan si adik merasa amat berpuas hati dengan penggunaan buluh itu. Lantas ditanyakan kepada abangnya.
Adik : Cukup keras buluh ini ya Kanda. Apakah namanya buluh ini..??
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : (Ketawa) Kanda memang suka bergurau. Adinda bertanya buluh apakah ini Kanda?
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : Kanda, Dinda bertanya ini. Kanda sebagai seorang bijak laksana tentu tahu akan nama buluh ini.
Abang : Buluh Apa, Dinda.

Akibat rasa seolah dipermainkan, sewaktu berangkat pulang ke istana, si adik menikam belakang abangnya sehingga mangkat. Puas sudah hati si adik kerana berjaya menghapuskan seorang abang yang suka mempermainkan adiknya.

Kepada ayahanda dan bonda serta menteri pembesar dikhabar, kematian abang disebabkan kemalangan sewaktu bersilat dan tiada niat tersembunyi di sebaliknya. Memikirkan sudah suratan takdir bahawa kematian itu tidak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah pergi, kesemua pihak pasrah dan redha kepada ketetapan ilahi.

Istiadat permakaman pun dilaksanakan dengan penuh kebesaran selayaknya seperti mana kemangkatan seorang raja yang berdaulat. Si Abang dimakamkan di Tanah Abang tidak jauh dari rumpun Buluh Apa yang bersejarah.

Selesai sahaja, istiadat permakaman itu, sewaktu perjalanan pulang, si adik merapati Datuk Bendahara yang budiman. Datuk Bendahara berjalan tunduk kesedihan berkabung atas kemangkatan putera yang sangat rapat dengan beliau.
Adik : Ayahanda Bendahara.
Bendahara : Patik, Tuanku.
Adik : Bolehlah beta bertanya suatu perkara??
Bendahara : Tanyalah Tuanku. Mana yang patik tahu, akan patik jawab. Mana yang patik tidak tahu, akan patik tanyakan kepada mana-mana jauhari yang mengetahui..
Adik : Tahukah Ayahanda Bendahara, apakah nama rumpun buluh yang tumbuh berhampiran dengan gelanggang persilatan milik beta dan juga kekanda itu. Rumpun yang sama yang tumbuh dekat dengan makam kekanda?
Bendahara : Oh, itu.. nama buluh itu BULUH APA, Tuanku..

Apakala mendengar nama buluh itu, mengeletarlah seluruh badan putera itu. Rasa roh melayang meninggalkan jasad rasanya. Wajah putera itu pucat laksana kertas kertas yang putih. Melihatkan perubahan sikap putera itu, Datuk Bendahara seperti dapat menangkap maksud kejadian. Lantas Datuk Bendahara bermadah..

Bayu berpuput di Tanjung Jati
Orang belayar ke Inderagiri
Jangan diturut rasa di hati
Kelak jadi binasa diri

Kekabu diisi di dalam tilam
Untuk hiasi majlis kenduri
Usah ditangisi perkara silam
Tuan yang pergi tidakkan kembali

Sejak dari hari itu si adik menangisi pemergian abangnya di bawah rumpun Buluh Apa. Tidak lama sesudah itu si adik menghilangkan diri dari istana dan tidak diketahui di manakah jejaknya. Putera yang masih berusia 6 tahun terpaksa diisytiharkan seagai Putera Mahkota kerajaan negeri.


Indera :
Sejak kehilangan kedua-dua putera raja itu rumpun Buluh Apa semakin mengecil dan akhirnya kini menjadi rumpun buluh yang bantut. Ada pendapat mengatakan si adik membawa dirinya ke hutan rimba di belakang kampung kami dan meninggal dunia dalam kerajaan bunian (bunian??). Ini kerana terdapat beberapa orang penduduk kampung saya yang mendakwa bertemu dengan makam si adik di dalam hutan yang dikelilingi dengan rumpun Buluh Apa. Mereka kemudian menandakan lokasi makam itu dengan apa sahaja tanda seperti kayu atau kain. Tetapi keesokan harinya mereka ke lokasi berkenaan, makam tersebut tiada lagi. Yang tinggal cuma tanda yang mereka tinggalkan.

Wallahua'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sesekali mengunjungi Tanah Abang, terasa bayu yang berpuput amat segar. Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, tempat kegemaran saya bermain adalah Kolam Buaya Emas walaupun dilarang keras oleh ayah saya bermain di dalamnya.

Monday, September 18, 2006

Kami Dilarang Menjamah Ikan Tapah

Seperti Basri tanya dalam entri saya sebelum, memang wujud persoalan mengapa kami dilarang dan ditegah menjamah Ikan Tapah sedangkan Ikan Tapah juga adalah rezeki kurniaan Ilahi dan dengar khabarnya merupakan antara ikan sungai yang mempunyai rasa yang enak.

Mungkin kalian semua pernah mendengar dongeng Pak Kaduk yang suka menyabung ayam kemudian melalui tipu helah sultan, dia menukarkan ayamnya dengan ayam sultan. Pertaruhannya adalah kampungnya sendiri. Akhirnya ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai. Kampung itu adalah kampung kami dan Pak Kaduk sendiri adalah my great-great grandfather. Benar, Pak Kaduk itu adalah moyang saya yang berasal dari Siak, Sumatera yang membuka kampung kami. Kampung yang tidak pernah tunduk kepada sultan. Akhirnya sultan menggunakan tipu helah untuk mendapatkan kampung itu melalui sabung ayam - permainan kesukaan Pak Kaduk sendiri.

Dongeng yang tercatat di buku berakhir dengan tergadainya kampung itu. Melalui cerita lisan kami pula, setelah kampungnya tergadai, harta-bendanya dirampas, anak dan isterinya menjadi gundik sultan, tiada apa yang tinggal pada dirinya lagi. Pak Kaduk hanya mampu duduk termenung di sebuah dangau (pondok) di tepi Sungai Perak. Duduklah dia di situ berkeluh-kesah mengenangkan untung nasibnya (yang dicari sendiri. Siapa suruh menyabung ayam??) bertemankan kucing kesayangannya.

Tanpa disedarinya, kucingnya mengiau-ngiau di kakinya kemudian menuju ke tepi sungai. Kemudian kembali ke kakinya mengiau-ngiau dan balik semula ke tepi sungai. Sehinggalah tujuh kali kucing itu berkelakuan demikian, Pak Kaduk merasakan bahawa kucingnya itu ingin memberitahunya sesuatu. Lantas, Pak Kaduk mengekori kucingnya ke tepi sungai dan dilihatnya seekor Ikan Tapah yang besar sedang terdampar di tepi sungai itu.

Pak Kaduk melihat ikan itu masih hidup dan perutnya kelihatan kembung dan keras. Pak Kaduk agak kehairanan melihat ikan sebesar itu dan fikirnya, jika dibelah perut ikan itu pasti terdapat telur ikan yang banyak. Pak Kaduk membelah perut ikan itu dengan pisau yang terdapat di dangau di tepi sungai itu dan di dalamnya... Wahhh!!! setongkol emas merah!! Anehnya pula ikan itu tidak pula mati, walau telah dibedah perutnya oleh Pak Kaduk.

Pak Kaduk kemudiannya menjahit perut ikan dengan menggunakan jarum patah dan juga benang daun nenas sehingga selesai. Selesai sahaja menjahit, Pak Kaduk merendamkan ikan itu di tepi Sungai Perak sambil berkata, "Oleh sebabnya engkau, Allah kurniakan rezeki padaku dan dapatlah aku menebus semula tanah, harta dan anak isteriku. Dengan ini aku bersumpah bahawa Anak-anakku, Cucu-cucuku, piut-piutku, keturunanku dan segala yang hempas-hempas ke daun dilarang memakan Ikan Tapah sama sekali sehingga ke Hari Kiamat. Barang siapa yang melanggar sumpah ini akan mendapat celaka tubuh badannya".

Pak Kaduk kemudian menebus kembali segala yang telah tergadai dan langsung bertaubat dari pekerjaan menyabung ayam. Tidak lama sesudah itu anaknya memperolehi seekor Ikan Tapah lantas memakannya setelah ianya siap dimasak. Selepas memakan ikan itu, tubuh anak lelakinya mula melepuh seperti melecur. Sebaik sahaja lecur itu pecah, airnya akan mengalir ke anggota tubuh badan. Mana-mana anggota yang terkena air ini akan melepuh juga sehinggalah seterusnya. Pak Kaduk merasa amat susah hati dan bimbang. Sudah bermacam-macam ikhtiar dilakukan namun tidak mendatangkan hasil.

Suatu malam, Pak Kaduk bermimpi. Datang seorang tua memberitahunya bahawa anaknya itu telah melanggar sumpah. Sumpah Ikan Tapah. Orang itu berkata ubatnya adalah emas merah Ikan Tapah direndam di dalam secangkir air. Airnya diminum dan disapukan ke serata badan. Sewaktu Pak Kaduk merendam emas Ikan Tapah itu, air di dalam cangkir membuak-buak laksana air mendidih menandakan bahawa benar penyakit itu disebabkan Ikan Tapah.
Mulai saat itu, barang siapa ahli keluarga Pak Kaduk yang termakan Ikan Tapah akan dirawat dengan menggunakan emas merah Ikan Tapah. Pak Kaduk pulang ke Siak dan meninggal di sana. Legasi sumpahan itu masih berkesinambungan sehingga ke hari ini. Seorang sepupu saya (tentera) terkena wap rebusan Ikan Tapah, melepuh seluruh badan. Seorang saudara jauh yang tidak mempercayai mitos Ikan Tapah dengan sengaja menggulai ikan itu, akhirnya sehingga kini mengalami gila yang tidak berkesudahan.

Ubat melepuh itu hanyalah emas Ikan Tapah. Sehingga kini, kami masih belum mengetahui punca kenapa kami dilarang menjamah ikan tapah. Tiada kajian saintifik yang dibuat. Tetapi saya syak, melepuh itu adalah disebabkan alergi. Iaitu darah keturunan Pak Kaduk mempunyai alergi yang sangat hebat terhadap kandungan (minyak omega??) dalam badan Ikan Tapah. Itu sahaja. Bukan sebab Ikan Tapah itu yang membawa bencana. Semuanya di tangan Allah.

Tetapi terdapat seorang lelaki Cina dari Telok Intan yang datang ke kampung kami lewat tahun-tahun 70-an mencari ubat untuk penyakit kulitnya yang melepuh. Berhimpunlah orang-orang tua kampung kami melihat kulit lelaki Cina itu. Akhirnya mereka sepakat bahawa penyakit itu sama seperti simptom penyakit Ikan Tapah yang menyerang keluarga kami. Lelaki Cina itu kemudiannya dirawat dengan emas merah. Ketika emas merah itu dimasukkan ke dalam air, air itu membuak-buak menandakan ianya benar berpunca dari Ikan Tapah. Sekiranya tidak, air itu tidak akan membuak-buak. Setelah diselidiki, umum di kampung itu mengetahui bahawa lelaki Cina itu dilahirkan di kampung kami. Membesar sehingga berusia 20 tahun di kampung kami. Dia kemudian melarikan diri dan keluarganya ke Telok Intan sewaktu berlakunya Perang Sabil antara masyarakat Melayu dan Cina di Daerah Perak Tengah dan Hilir Perak dalam tahun 1948. Inilah yang dikatakan di dalam sumpah Pak Kaduk, ".... dan hempas-hempas ke daun". Ertinya percikan atau tempias sumpahannya.

Sejarah itu pahit tetapi mengandungi ubat yang sangat mujarab. Keluarga kami amat berhati-hati mengakui kami ini keturunan Pak Kaduk. Kerana Pak Kaduk itu menifestasi kepada kebodohan. Tetapi sejarah itu tidak boleh ditipu. Kebodohan akan terhapus oleh keazaman dan juga semangat untuk maju. Dalam perkara Ikan Tapah ini, saya sendiri tidak tahu untuk meletakkan diri saya di sebelah mana. Mempercayainya atau tidak. Untuk tidak percaya, saya sudah melihat kesannya di hadapan mata saya dan saya tidak sekali-kali ingin mengambil risiko untuk mencuba menjamah Ikan Tapah. Untuk percaya pula, saya ini bukanlah seorang yang tahyul atau merepek. Saya pulangkan segalanya di bawah urusan Allah. Hanya Allah yang lebih mengetahui. Wallahua'lam.

Friday, September 15, 2006

Sumpah Orang Minyak

Si Bongkok berjalan terjengket-jengket menghampiri pentas. Dari kejauhan kelihatan Afida selaku ketua Pemudi Seni Tualang Tiga sedang meliuk-liuk menari. Selepas Afida menyelamatkan dia dari seksaan Amri dan rakan-rakannya tempoh hari, dia sudah menyiapkan sebuah lukisan yang indah untuk Afida sebagai tanda hati. Semoga Afida suka.

Tiba-tiba dia ditangkap oleh Amri dan konco-konconya. Dia dibawa ke hadapan pentas itu lalu dimalukan oleh Amri di hadapan penduduk Kampung Tualang Tiga yang mengatakan ayahnya seorang pembunuh. Pembunuh saudara Tok penghulu. Atas hasutan itu Tok Penghulu terpaksa melaksanakan hukuman ke atas Si Bongkok. "Bongkok, besok pagi sebelum fajar menyinsing, pergilah engkau dari kampung ini" perintah Tok Penghulu.

Afida datang sebagai bidadari yang menyelamatkan jiwanya dari lebih luka parah. "Benar kata ayahku itu Bongkok. Pergilah. Tidak sampai hatiku melihat engkau diseksa..". Bongkok pergi. Pergi jauh dari Tualang Tiga.

Tiga tahun berlalu. Bongkok kembali ke Tualang Tiga. Kali ini dengan wajah yang sangat tampan. Muncul di hadapan Bang Selamat. Terperanjat Bang Selamat melihat seorang orang muda sedang tersenyum sambil memandang tepat ke arahnya..
Bang Selamat : Siapakah engkau wahai orang muda? Belum pernah aku bertemu denganmu sebelum ini..
Bongkok : Apa Bang Selamat tidak mengenali saya lagi? (tersenyum simpul)

Bang Selamat mengangkat tangannya menutup pandangan bawah wajah Si Bongkok. Yang kelihatan hanyalah pada matanya..
Bang Selamat : Bongkok?!!
Bongkok : Ya, aku Bongkok. Masihkah engkau ingat padaku?
Bang Selamat : Sudah tentu. Tapi ke manakah engkau menghilang selama tiga tahun ini..? Tiba-tiba engkau muncul dan wajahmu sangat cantik..
Bongkok : Ala.. Aku malulah untuk memberitahumu..
Bang Selamat : Katakanlah..
Bongkok : Aku malulah (menutup muka yang merah). Aku ke Jepun membuat Plastic Surgery. Setiap 3 bulan disuntik dengan Botox.. Sebab itulah aku cantik..
Bang Selamat : Oooo...


Indera : Saya terlalu sibuk hari ini sehingga menulis ini pun terpaksa mencuri-curi masa. Selamat bercuti Sabtu dan Ahad!!

Thursday, September 14, 2006

Cuti-cuti Malaysia

Teringin rasanya membawa keluarga saya berjalan-jalan makan angin ke mana-mana destinasi di Malaysia. Semenjak berkahwin, tidak pernah sekalipun saya berkesempatan berbuat demikian. Pasti ada sahaja halangan yang mendatang dari segi masa dan kewangan. Ada masa-masanya kewangan saya sudah mengizinkan tetapi masa pula menjadi halangan. Sekiranya mempunyai masa, kewangan pula tidak memberi lampu hijau.

Ada tidaknya kami sekeluarga berjalan-jalan ke destinasi yang jauh ialah ketika mengisi acara keluarga seperti menghadiri majlis perkahwinan ataupun sewaktu melawat saudara mara yang jauh yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman.

Setahun selepas saya dan isteri mendirikan rumahtangga, kami ke Kuala Terengganu kerana Mak Mertua saya ingin menemui ipar saya yang sudah lama tidak pulang ke kampung. Kesempatan itu saya ambil dengan membawa isteri dan anak buah isteri saya meronda di sekitar bandar Kuala Terengganu sambil mencuci mata di sekitar destinasi popular seperti Pasar Payang dan juga Pantai Batu Buruk. Di akhir lawatan, tetap tidak membeli apa-apa pun kerana kami sering kekurangan wang tunai untuk berbuat demikian. Yang lebih diberi keutamaan adalah makan. Makan, makan dan makan. Yang menjadi keseronokan bagi saya sewaktu di Kuala Terengganu ialah lokasi rumah ipar saya yang terletak di Losong Cik Su yang terkenal dengan Keropok Losongnya. Juga tidak ketinggalan pasar paginya yang menawarkan barangan basah yang segar-segar.

Dua tahun selepas itu, adik ipar saya berkahwin dengan orang Baling, Kedah. Sewaktu Siri Aufa baru berusia 8 bulan. Kami ke Baling dengan menyusuri jalan Klian Intan ke Pengkalan Hulu. Cuaca panas terik tidak seperti di Perak atau Kuala Lumpur. Cuaca dan topografinya sudah menyamai cuaca dan topografi yang terdapat di Thailand. Menyusuri jalan di sana terasa seperti melancong ke Negara Gajah Putih dengan rumah bersenibina Ayutthyya dan wat-wat yang besar-besar mengisi pandangan di kiri dan kanan jalan. Namun begitu, tidak banyak agenda yang dapat diisi. Habis sahaja majlis, kami berangkat pulang. Saya memilih untuk mengikut arah lain untuk pulang. Kami melalui Lebuhraya Kupang. Singgah sebentar menziarahi Azmi di Kulim sebelum bergerak pulang menyusuri jalan ke Serdang hingga ke Bandar Baru Kedah.

Percutian yang saya idamkan ialah apabila saya berkesempatan untuk membawa isteri dan anak-anak saya bagi tujuan sekadar berjalan makan angin. Menginap di hotel murah tetapi menawarkan tempat menjamu selera (makan lagi??) yang menakjubkan. Saya dan isteri sedang berkira-kira untuk berjalan makan angin ke Perlis, destinasi impian kami. Saya mempunyai hubungan intim dengan Perlis sejak dulu lagi. Jadi saya ingin sekali berkongsi kecintaan saya terhadap negeri kecil itu dengan isteri saya.

Saya bercadang untuk memperkenalkan isteri saya kepada Opah Chu Zon (Opah Chu adik Opah yang bongsu, berkahwin dengan orang Perlis dan menetap di sana). Saya ingin sekali membawa isteri dan anak-anak menjamu laksa dan makanan laut (tetap ingat makan!!) di Jeti Kuala Perlis, menyusuri pantai di Kuala Sanglang lewat pagi-pagi yang menyegarkan, menghirup udara di Tasik Melati dan tidak lupa membeli barang kemas celup yang mempunyai hasil tukangan Siam yang sangat halus di Padang Besar. Jika kena musimnya, Perlis akan menjadi syurga bagi durian dan juga mempelam (Hey, kalau tidak makan, bukan bercutilah namanya!!). Memang menarik.

Kami berkira-kira untuk ke sana penghujung tahun ini. Buat masa ini, kumpul duit banyak-banyak terlebih dahulu. Bila kewangan mencukupi segalanya jadi. Tidak sabar rasanya hendak menyusuri jalan lama dari Alor Setar ke Kangar melalui pekan Simpang Empat dengan bendang selaut mata memandang. Jalan yang membangkit nostalgia. Jalan yang dihiasi dengan panorama yang terlalu mengasyikan.
Ala..canggung
Makciklah makcik canggung..
Canggung, canggung la li la li la ley..

Wednesday, September 13, 2006

Alahai..Melayu!!

Sebuah petikan dari filem Ali Setan...

Suatu petang, di sebuah Bacalewa (istilah kami dahulu) di sebuah universiti di utara Semenanjung itu, Shah Rezza (sekarang Dato') bersama rakan-rakan sedang membincangkan sesuatu yang hangat. Tentang kewajaran meletakkan bumbung Minang pada sebuah bangunan tinggi. Ebby Saiful tersengguk-sengguk dalam mengantuk yang teramat. Shah Rezza menguis sikunya, "Hey, tidur pulok doh". Ebby Saiful tersentak dan serentak itu bersuara, "Betullah tu.. betullah tu..".

Tiba-tiba Ali masuk. Bukankah Ali seorang hero nakal dari Fakulti Kejuruteraan yang genius?. Mereka sepakat meminta pendapat Ali supaya berkata wajar atau tidak wajar. Itu sahaja. Tetapi Ali memberi pendapatnya yang tidak difahami maksud sebenar oleh kumpulan perbincangan itu. Seingat saya pendapatnya berbunyi begini, "Ciri-ciri tradisional itu bukannya terletak pada bumbung sesebuah bangunan sahaja. Tetapi lebih dari itu. Ianya terletak pada konsep, struktur binaan dan integrasi ruang. Sekiranya bangunan tinggi itu diletakkan dengan bumbung Minang, samalah seperti cowboy dengan pistol tetapi pakai songkok!!. Ala.. kacanglah". Masing-masing terlunga mendengar sebelum serentak memprotes pendapat Ali yang mereka rasakan sukar difahami..


Minggu lepas sedang saya bersiap-siap untuk tidur, Channel 9 menayangkan filem garapan P. Ramlee yang saya kira agak kurang ternama. Enam Jahanam. Saya kurang pasti tahun terbitannya tetapi saya amat pasti bahawa filem berkenaan di bawah produksi Studio Merdeka yang beroperasi di Hulu Kelang. Lokasi pengambarannya dibuat di sekitar Kuala Lumpur dengan tema cereka purba.

Seingat saya, saya tidak pernah menonton filem ini sehingga ke akhirnya dan malam itu saya berazam untuk menontonnya hingga habis cerita. Tetapi setelah beberapa minit berlalu, dahi saya mula berkerut sebelum ketawa terbahak-bahak mengiringi jalan cerita yang kiranya mendebarkan. Selepas 30 minit menonton, hanya ketawa dan senyuman sinis sebagai rating hasil kerja seniman agung tersebut. Saya kemudian enggan meneruskan tontonan dan terus sahaja masuk tidur. Saya tidak menyalahkan Tan Sri P. Ramlee atas mutu kerja yang amat buruk ini, tetapi saya menyalahkan Studio Merdeka kerana menerbitkan filem seumpama itu. Tan Sri P. Ramlee hanya menjalankan tugasnya. Semuanya atas kehendak Studio Merdeka.

Mungkin anda akan tertanya-tanya, apakah kaitannya filem Ali Setan dengan Enam Jahanam. Sekiranya anda belum dapat menghuraikan maksud, biarlah saya membantu anda. Kedua-dua filem di atas mewakili zaman dan corak pemikiran semasa pada ketika itu. Adegan Ali memberi pendapat itu bermaksud, nilai budaya (yang diwakili tradisional) bukanlah terletak pada sesuatu yang terpandang sahaja (tersurat) seperti bumbung bangunan. Tetapi nilai budaya sesuatu bangunan itu akan dipandang pada keseluruhan adunannya dari konsep senibinanya, struktur bangunannya, pada integrasi ruangnya dan sehinggalah pada kemasan luar dan dalamannya. Jika hanya bumbung Minang yang memberi tanda budaya tanpa mengambil kira aspek-aspek yang dinyatakan, sesuatu bangunan itu pasti nampak hodoh dan melucukan (seperti contoh cowboy dengan songkok menurut kata Ali).

Menyentuh pula filem Enam Jahanam pula, umum sedar akan nilai sentuhan listrik Tan Sri P. Ramlee. Dari filem gahnya seperti Ibu Mertuaku, Anakku Sazali, Antara Dua Darjat, Sarjan Hassan ke filem-filem komedinya seperti Ali Baba Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapok dan banyak lagi mempamerkan betapa geniusnya P. Ramlee di dalam menggarap filem yang mengangkat nilai budaya Melayu, satira yang tajam dan isu semasa pada ketika itu. Setelah Tan Sri P. Ramlee beralih dari Shaw Brothers ke Studio Merdeka, sentuhan ajaibnya seolah-olah mati. Benarlah kata satu laporan yang saya baca, faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Tan Sri P. Ramlee itu adalah Studio Merdeka itu sendiri.

Filem Enam Jahanam itu contoh yang paling dekat. Filem ini jelas-jelas mencedok garapan filem cowboy cuma bernafas Melayu. Unsur Melayu yang terdapat di dalam filem itu hanyalah pada penceritaan dan Mee Rebusnya sahaja. Sedang lain langsung tidak wujud kemelayuannya samada dari solekan penjahatnya, senjatanya, kuda tunggangannya termasuklah kostum. Seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk menyalahkan Tan Sri P. Ramlee atas kegagalan ini tentu tidak adil kerana masyarakat umum di Malaysia ketika itu sedang menerima asimilasi budaya yang amat mengejutkan terutamanya melalui filem-filem barat yang masuk ke tanahair seperti James Bond dengan Roger Moorenya, The Wild Wild West dengan Robert Conrad dan Ross Martinnya. Menurut percaturan Studio Merdeka sekiranya audience dihidangkan dengan nilai yang sama pasti tiada penolakan dan sudah pasti juga memberi pulangan yang besar.

Tanpa pengetahuan mereka, nilai budaya itu sesuatu yang sama sekali tidak boleh bercampur. Percampurannya akan mendatangkan kecelaruan kerana nilai budaya itu sesuatu yang murni (bukan suci seperti agama). Nilai estestika sesuatu filem itu ialah hanya apabila ianya bersendikan kepada budaya dan cara hidup masyarakatnya seperti yang dipaparkan di dalam filem Sarjan Hassan dan Ibu Mertuaku.

Vaneeda Imran pernah mengatakan betapa sukarnya beliau menghidupkan watak Mustika di dalam filem Perempuan Melayu Terakhir kerana Mustika punya cara pertuturan yang sangat Melayu. Nuansanya nuansa Melayu. Keperempuanannya keperempuanan Melayu sehinggakan untuk mengangkat tudung di kepalanya pun punya caranya tersendiri. Semua ini terangkum di dalam satu maksud iaitu budaya. Budaya yang pernah wujud di dalam diri setiap wanita di Tanah Melayu dahulu tetapi telah dilupakan. Kita pula sibuk menganut budaya masyarakat lain sehingga untuk menghidupkannya kembali kita merasakan kejanggalannya. Sekalung tahniah kepada Vaneeda Imran kerana berjaya menghidupkan watak Mustika itu.

Sekarang kita renungi diri kita pula. Apakah kita ini sudah cukup kriteria untuk mengaku diri kita Melayu? Apakah dengan bertutur bahasa Melayu itu kita sudah cukup Melayu? Apakah dengan bermastautin di nusantara Melayu, kita sudah cukup Melayu? Apakah mereka yang berbahasa asing atau mereka yang menghuni di bumi asing itu kurang Melayu?

Jika itu yang kita pandang, maka Melayu itu tidak pernah wujud dalam diri kita. Melayu itu sebenarnya adalah jati diri. Jati diri yang membezakan kita dengan bangsa yang terdapat di dunia ini. Jati diri yang memberikan rasa bangga dan berbesar hati atas segalanya yang kita miliki yang tidak ada pada bangsa lain, tidak kira di mana sahaja bumi yang kita pijak. Ada juga individu yang bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi jati diri Melayunya hilang entah di mana. Malu mengaku Melayu dan senang menerima pengaruh negatif dari luar. Teringat saya kepada satu sindiran Tam Spider dalam lagu Cinta Dewa-Dewi, "Menyesal aku dulu malas baca, cakap English tergeliat lidah. Nasiblah baik pernah kuhafal, lagu Nirvana.."

Mempelajari bahasa asing sama sekali tidak menghapuskan budaya bangsa. Malah menurut hadis Rasullullah yang berbunyi "Sekiranya kamu mempelajari sesuatu bahasa itu, nescaya kamu terselamat dari tipu helah bangsanya". Satu ungkapan menyebut Bahasa Budaya Bangsa memang betul tetapi sepatutnya ditambah 'sebahagian' menjadikannya Bahasa Sebahagian Budaya Bangsa.

Melayu itu amat sinonim dengan Islam kerana budaya Melayu itu berpaksikan kepada Agama Islam. Agama Islam yang meninggikan martabat Melayu itu sendiri kerana Melayu sahaja tidak dapat bergerak tanpa sokongan Nur Islam. Ini terbukti di awal zaman terdirinya Kerajaan Melayu Melaka. Melayu itu terpinggir selepas kejatuhan Empayar Sailendra di Pelembang. Melayu tidak ubah seperti ayam bersembunyi di balik reban takutkan helang yang berlegar di angkasa. Menghuni tepian pantai sebagai nelayan serta berada di bawah telunjuk Majapahit dan Siam. Namun setelah penerimaan Islam, Melaka bangkit sebagai sebuah empayar Melayu yang kebijaksanaannya menggerunkan Siam di utara, melemahkan Majapahit di selatan dan menjadi pemangkin terhadap kebangkitan Kerajaan Demak di Tanah Jawa. Budaya Kemelayuan Melaka sama sekali tidak pernah berkecai di dalam pertembungan dengan Ad-Din malah semakin memancar cemerlang di dalam tarbiah Islamiah kerana Ad-Din memisahkan nilai positif dengan nilai negatif yang terkandung di dalamnya seumpama hijab.

Kelemahan Melayu adalah kerana tiada jati diri. Sudahlah Syariat ditolak ke tepi, gaya hidup pula sudah bukan gaya hidup kemelayuan lagi. Kita menghidap kecelaruan budaya sehingga akhirnya kita sendiri tidak tahu siapakah kita sebenar. Yang ada hanyalah celup-celupan.

Tuesday, September 12, 2006

Bebola Ikan

Petang itu dia duduk di situ. Di tempat biasa. Masa yang sama. Selepas Asar. Boleh dikatakan hampir saban hari dia duduk di situ termenung, memandang jauh ke seberang sungai dan pulau di hadapan sana yang dipenuhi dengan semak samun dan binatang berbisa yang besar-besar. Kemudian termenung lagi sehinggalah matahari mulai merah di ufuk barat. Temannya hanyalah rokok-rokok daun yang jika kehabisan dia akan menggulungkan yang baru.

Pernah kami cuba menghampirinya, namun dibalas dengan tegahan kerasnya. "Pergi, pergi main jauh-jauh. Busuk di sini!!". Melihatkan wajahnya yang serius, kami tidak berani melangkah mendekatinya. Kemudian dia akan tenggelam semula di dalam dunianya. Di sekelilingnya longgokan beberapa plastik pelbagai warna yang dibawa bersama tatkala dia duduk termenung di tempat itu.

Lama kelamaan, kami sudah lali dan ambil tidak endah akan kehadirannya. Sesekali, dia tetap membantu mencampakkan kembali bola kami yang bergolek berhampiran dengannya. Apabila maghrib menjelang sahaja, dia akan angkat punggung beredar dari situ sambil menunjukkan ibu jarinya ke arah kami. "Main betul-betul. Nanti boleh jadi pemain kebangsaan" katanya. Kami akan bersorak riang kepadanya "Hooraayyy..terima kasih, bang. Esok jangan lupa datang lagi". Dia akan tersenyum lantas tertawa sebelum berlalu dengan motor tuanya.

Masa berlalu dan kami semakin membesar. Dia masih lagi setia di tempat itu. Datang dan pulangnya tetap pada waktu yang sama. Senjatanya juga masih seperti biasa. Joran SeaEagle warna hitam yang panjang lebih sedepa. Umpan yang ditabur masih tetap umpan busuk usus ayam yang diperolehinya dari pasar di pekan Bota Kanan. Umpan lain yang dibawa bersama termasuklah roti kepal yang diperam sehingga masam. Biasanya setiap petang dia duduk di situ, hasil yang diperolehi tidak menentu. Kadang-kadang kami lihat lumayan. Kadang-kadang langsung tidak mendapat apa-apa. Pernah beberapa kali kami melihat dia berjaya menaikkan ikan kaloi besar 3 kilo dan apabila pancingnya mengena, dia akan menjerit keriangan. "Dapat, dapat, dapat.." katanya dalam ketawa suka. Kami biasanya akan menghentikan permainan kami seketika seronok melihat dia menaikkan ikan besar. Apabila kami menghampirinya, dia akan memekik, "Pergi, pergi. Main jauh-jauh. Busuk di sini". Langkah kami terhenti lantas kembali semula ke padang menyambung permainan kami.

Hari itu seperti biasa dia mengambil tempatnya. Kami pula masih tidak jemu-jemu menendang bola di padang sekolah itu. Selepas beberapa lama memancing, tidak seekor ikan diperolehinya hari itu. Kami masih bersorak, mengerah peluh menyumbat bola ke dalam gawang gol. Hari semakin merangkak senja. Sedang kami asyik bermain, tiba-tiba dia menjerit, "Dapat, dapat, dapat..". Kami berhenti bermain untuk melihat ikan apakah yang berjaya dipancingnya. Ikan kaloikah? Ikan Patinkah? Ikan Baungkah?...

Melihat sahaja ikan yang dinaikkan, dia dan kami serentak melepaskan keluhan. Ikan Buntal. Kami meneruskan permainan. Dia sudah berkemas untuk pulang. Sebelum menghidupkan enjin motorsikal itu dia memanggil kami. "Ada sesiapa yang hendak Ikan Buntal?" tanyanya sambil tertawa. Melihatkan kami hanya tercegat seperti batang kayu itu, dia membaling Ikan Buntal itu ke tengah padang. Ikan Buntal itu mengelepar di atas rumput. Budin datang memcucuk-cucuk badan Ikan Buntal itu. Wah, Ikan Buntal itu mengelembung seperti bola. Sham Guni menggenggamnya sambil mengocak. Terdengar bunyi air di dalam perutnya. "kecciikkk..keecciikk..keecciikk..".

"Hoorraayy"...kami menjerit kesukaan di tengah padang. Ikan Buntal itu sudah menjadi bola ditendang ke sana-sini untuk dimasukkan ke gawang gol!!.


Indera : Sejak hari itu Abang itu tidak lagi kelihatan. Menurut kata seorang kawan dia sesudah itu memancing di Loji Penapisan Air beberapa kilometer dari situ.

Monday, September 11, 2006

Dinginnya kusentuh..

Semalam Apak berkicau lagi. Tiapkali Mak ingin bermalam di rumah anak-anak, pasti Apak akan berkicau berleterkan Mak. Silap Mak juga. Biasanya Mak akan menelefon sesiapa sahaja yang Mak selesa untuk berkembara, samada menelefon saya atau abang saya Khairul yang tinggal berdekatan dengan saya di Rawang. Biasanya Mak lebih selesa bersama-sama saya. Tetapi malam tadi Mak menelefon Khairul.

Kami biasanya memberikan masa kepada Mak untuk bersiap dan akan mengambilnya menjelang jam sekian-sekian. Mak akan mengangguk sahaja. Tetapi apabila kami sampai sahaja, Mak pasti masih lagi berkemban sambil menonton television. Melihat sahaja kedatangan kami, barulah Mak akan terkocoh-kocoh mandi, bersolat, bersiap dan menjamah hidangan.

Malam semalam Khairul berkata yang dia akan mengambil Mak jam 8.00 kerana Mak ingin menziarahi adik bongsu saya yang tinggal di Taman Ehsan, Kepong. Tatkala sampai di rumah Mak, Mak masih berkemban selepas solat Maghrib. Jam 8.30 sewaktu saya sampai di rumah Mak, Mak baru melangkah masuk ke bilik air untuk mandi sekali lagi. Khairul berbisik kepada Apak menyatakan perjalanan akan mengambil masa 3 jam setengah. Jika jam 8.30 malam Mak masuk semula ke bilik air, kebiasaanya jam 10.00 barulah Mak selesai bersiap sebenar-benarnya. Begitulah lambatnya ibuku bersiap.

Khairul mengadu pula kepada saya. Saya yang sememangnya sudah masak dengan perangai Mak hanya tersengih. Namun saya amat bersimpati kepada Khairul dalam situasi itu lantas saya menawarkan diri untuk membawa Mak bersama saya namun Khairul enggan dan merasa tidak enak kalau-kalau Mak memikirkan bahawa dirinya satu bebanan pula. Tetapi Mak tersangat lambat bersiap. Khairul menggelengkan kepalanya (tanpa pengetahuan Mak) memikirkan bahawa dia akan sampai di Kuala Lumpur jam 1.00 pagi, berpatah semula ke Rawang dan kemungkinan sampai di rumah jam 2.00 pagi. Esok awal-awal pagi terpaksa bangun untuk ke tempat kerja. Saya cuma tersenyum untuk meredakan kegusaran hatinya. Begitulah orang tua. Kita juga suatu masa nanti akan menempuhinya juga.

Apak sememangnya tidak pernah mesra dengan saya. Baru-baru ini Bank menelefon Apak, memberitahunya bahawa saya tertunggak pembayaran kereta selama 3 bulan, semakin merenggangkan hubungan kami. Apak seperti amat jengkel dengan saya. Puas saya menjelaskan kepadanya bayaran kereta saya tertunggak hanya 2 bulan. Itupun bukannya berturut-turut bulan. Tetapi Apak bungkam. Raut wajahnya semalam amat serius dan keras. Dalam kesibukan Mak bersiap, saya seperti orang asing di tengah keluarga saya sendiri. Saya seperti memijak duri sewaktu memandang wajah Apak. Tidak selesa dengan keadaan itu, saya segera menghidupkan enjin kereta meninggalkan rumah Mak.

Hubungan saya dengan Apak masih seperti dulu. Puas sudah saya menjaga hatinya namun Apak tetap dingin dengan saya. Tetapi saya tetap mendoakan kesejahteraanya lewat doa-doa saya selepas bersolat. Tanpanya, tiadalah syurga bagi saya.

Friday, September 08, 2006

Ipoh

It was a great deals when our father brought us along to Ipoh to visit our eldest brother who studied at one of the premier schools in the town. The town that blessed with so many attractions - the historical places, fascinating gardens, the varieties of foods. The limestone hills scattered around the area even make the scenary looks cool and refreshing. Whenever we visited there, I cant help myself from picturing my father buys a house somewhere around Ipoh, if it is not a big one but enough for me to enjoy the whole good things everyday.
After a long preach and some advice for my brother, my father would drive us to the heart of the town where we dined at Taman Kanak-Kanak with Leen Chee Kang and Satay Endut being our favourites. Across the road, The Angel Superstore once stood and being a place for wealthy people to shop in for quite sometimes before it was closed many years after an incident of a soldier ran amok and killed a soul. Now the building was taken over by Kamdar Superstore and the glory of the Angel's businesses remained as history.
Atuk once said that Ipoh long ago was opened and resided by my ancestor and half of the land properties in Ipoh were indeed belong to his great-grandfather. But due to the predicament in documentation matters that werent give my ancestor a right to beholding the properties, all the land fall to his competitors especially to chinese traders and British company who control the tin-mining activities through out Kinta Valley area. Regretted by the injustices that had been done to him and the poor level of struggling, my ancestor threw himself into the jungle area along The Great Perak River and settled down at our now kampung. To us, his story was hardly to presume anyway with neither evident nor any kampung-folks who had the idea about the true story are still around. Usually, we pretended to believe the story in front of him and laughed it as if it was a crazy joke without his knowledge.
In 1987, I was enrolled into a federal school in Ipoh under the sponsorship of the education department. During the first and second weeks, it seemed like an amusement to me but I grew homesick weeks after that. I missed my mom cooking especially when I had to digest meckerel (ikan jacket) as regular menu of the hostel. I voiced out my irks to my father over the phone or letters but he never bought. I felt so down and I prayed in every single hours and minutes that someday I can go back to my grandfather's side and live with him. The only remedy for my displease was the outing on Saturday daylight and in condition, we must get ourselves into the hostel before 6p.m.
It fells like freedom the moment I stepped into bus and I found myself at cinema, food-stall, mosque and library. For me, Ipoh offers me with so many things to rejuvenate and the activities that enable me to unload my problems. With least hectic traffic, I can easily dropped by to pamelo stall owned by Uncle Wai, who my father knew very well near Sam Poh Thong.
After graduated, I attached to a brokerage firm in town. The livelihood seemed so reasonable. The only thing that I bothered was my salary. It didnt competitive and the figure that I received every month was much smaller than my friend earned in KL.
There was someday I dumped into an old nyonya in a cab who was also heading toward the same point as I was. She asked my age and my occupation. She interogated me as if she was a police inspector. When I said that I intended to stay longer in Ipoh, she disapproved. "Haiya, young man. You are not so ambitious la...Ipoh is just a good place for retirement. For you young man, KL would be the best place to gather experience, more challenging yet offers you rooms to get extra income, maa...Haiya you go there laa..".
The old nyonya's words enchanted me and and 1996 I made my way to Kuala Lumpur and visited Ipoh if only I have a spacious spare time to accompany my mom or my wife to buy curtain clothes at Pekan Lama or when I had to indulge my wife's appetite for McDonald.
Ipoh still remains as a small city with a momentarily jiffy I shared with her. Whenever I am driving along the roads it reminisces me to the excitement I felt when my father first brought me there.

Thursday, September 07, 2006

Nisfu Syaaban

Malam ini malam Nisfu Syaaban. Ertinya dalam tempoh dua minggu lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak. Jika di kampung, malam ini akan disambut dengan bacaan Yasin dan juga ceramah agama. Di kota ini pula saya tidak begitu pasti kerana sering sahaja saya tidak berkesempatan ke masjid berjemaah Maghrib dan Isyak lantaran bebanan kerja di pejabat yang sering memanjangkan waktu bekerja hingga ke senja hari.

Mak sering berpesan agar menyambut Nisfu Syaaban dengan amalan dan penghayatan seperti yang ditetapkan oleh para fuqaha' tetapi hanya saya yang sering ambil mudah dan culas di dalam peribadatan. Namun yang jelasnya bagi diri saya, pada malam Nisfu Syaaban ini Ramadhan pasti akan memperlihatkan dirinya kepada saya sepintas lalu sekalipun 14 hari lagi dia akan sebenar-benarnya bertamu di hadapan saya. Dapat saya merasakan hangat nafasnya. Kehebatan pertemuannya dan keberkatannya. Tetapi ada masa-masanya sahaja. Ianya datang tidak mengira waktu samada ketika saya sedang sujud, ketika makan, ketika mandi atau kadang-kadang ketika memejamkan mata untuk tidur.

Nisfu Syaaban sebenarnya masa di mana kita mempersiapkan diri untuk pertemuan dengan Ramadhan. Segala amalan yang dianjurkan di malam Nisfu Syaaban ini adalah amalan yang sama dianjurkan bagi pengisian Ramadhan.

Carilah diri kita di malam ini...malam di mana diangkatnya buku catatan amalan kita naik ke langit..

Wednesday, September 06, 2006

Aku di dalam detik itu 2

Detik 1

Pagi itu memang pagi yang melaparkan. Jam menunjukkan 10.30 pagi. Waktu sarapan pagi di Dewan Makan sudah lama berlalu. Semalam kawan-kawan Eddy (rakan sebilik saya) datang beramai-ramai ke bilik kami untuk berbincang tentang satu subjek yang mereka ambil semester ini. Eddy terkenal sebagai seorang yang bijak di dalam kelasnya dan sering menjadi rujukan teman-teman. Sebaik sahaja saya memasuki bilik malam semalam, kelihatan 11 orang rakannya berkumpul sambil bersila di atas lantai bilik kami yang kecil. Saya tidak mencampuri urusan mereka kerana mereka itu senior saya tetapi sekali sekala menyampuk juga perbualan mereka.

Esok hari Sabtu. Tepat jam 12.00 tengah malam saya sudah berlingkar di atas katil. Perbincangan mereka masih belum selesai. Keesokkan paginya sedari saya dari tidur, saya dapati 2 orang tidur bersama saya di atas katil saya yang kecil, 2 orang berasak dengan Eddy di atas katilnya, manakala 5 lagi sudah mengerekot di atas lantai. Saya menarik langsir. Cahaya menerpa masuk menyilaukan pandangan. Semua terjaga secara serentak. Matahari memancar dengan garang.

"Eh, aku laparlah" kata Taloo. "Di, engkau ada Maggi tak?"
"Mana aku ada..cuba engkau tanya Indera, kot-kot dia ada.."
"Aku pun tak adalah Taloo" jawab saya.

Masing-masing buntu. Duit sekarang sedang kontang. Waktu makan tengahari masih jauh. Tiba-tiba Eddy mengeluarkan kotak alatannya. Dia mengeluarkan tali tangsi dan klip kertas. Ada macam-macam benda di dalamnya.

"Aku rasa aku tahu macam mana nak cari makan" kata Eddy. "Jom Taloo, Umak (Umarul) ikut aku"

Selepas setengah jam, mereka pulang dengan menjinjit 2 ekor belut liar yang diperolehi dari kolam kecil di belakang kolej kediaman. Berkepul-kepul asap kelabu keluar dari bilik kami ketika Eddy dan rakan-rakan memanggang belut itu dengan lilin askar. Mujur Residence Staff tiada di asrama, jika tidak pasti susah kami.

"Waahh, sedaplah belut ni. Rasa tak puas makan"kata Kuding.
"Engkau nak puas, engkau makan ular sawalah.."kata Taloo.

Eeeeeee...



Detik 2

Pekeliling baru sudah diedarkan. Sudah pun ditampal-tampal di serata kajian dan juga kolej kediaman. Kami berhimpun membaca pekeliling itu. Hampir kesemuanya ada di situ kerana sekarang waktu rehat 15 minit sementara menunggu sambungan kuliah. Ada Punk dan geng-gengnya. Ada Farisha yang suka bersembang dengan pelajar lelaki. Ada Nora dan rakan-rakan. Ada saya, ada Chik Li, ada Lokman dan oooppss Efie pun ada di situ. Antara lain, pekeliling itu menyebut, "Mulai 1.6.1994 tidak dibenarkan lagi pemakaian seluar jeans di kalangan siswi-siswi.."

"Eeeeiii...habis tu I macam mana, I macam mana.." kata Efie.

Saya terlopong seketika melihat ragamnya Efie dan hanya boleh berkata, "Entahlah Efie, aku pun tak tahu.."

*Nama penuh Efie, Muhd Rafie Bin Mustakimin.


Detik 3

Pagi ini hujan. Saya terlewat bangun pagi. Ada kuliah jam 8.00 sedang sekarang sudah jam 7.30 a.m. Saya tergopoh-gapah ke bilik air, mandi dan bersiap ala kadar. Solat subuh terpaksa di qada nampak gayanya. Saya mencapai beg dan terus menghidupkan enjin motor. Hujan semakin lama semakin lebat. Baju saya sudah kebasahan.

Sampai sahaja di kajian, tempat letak motorsikal di belakang PTAR 2 itu sudah penuh diisi. Jam hampir 8.15. Jika lambat beberapa minit lagi pasti pensyarah tidak membenarkan saya mengikuti kuliah. Akhirnya saya tidak punya pilihan lain, melainkan memakir motorsikal saya di atas longkang besar yang tertutup itu.

Selesai sahaja kuliah jam 10.00 pagi, ketika saya sedang menuju ke tempat letak motorsikal. Saya lihat ada pengawal keselamatan berdiri di sisi motorsikal saya sambil dia sedang menulis sesuatu. Dia itulah Aminuddin. Kami memanggilnya Amin Misai.

"Engkau punya motor ni?" tanyanya
"Ya, saya" jawab saya berani.
"Bukan ke engkau tahu yang tempat ini tidak boleh meletak kenderaan?" tanyanya lagi sambil menarik ke atas seluarnya yang terlondeh sedikit akibat perutnya yang besar itu.
"Ya, saya tahu. Tetapi tadi saya sudah terlewat ke kuliah. Hari pula hujan, tempat letak motorsikal kepenuhan. Jadi saya minta maaf" kata saya.

Tetapi Amin Misai tidak termakan cakap-cakap saya malah mencerca saya tidak punya akal, tidak berguna dan macam-macam lagi. Akhirnya timbul perbalahan sehingga Amin Misai menyinsing lengan baju untuk bergasak dengan saya. Saya akan sentiasa mengelak dari sebarang pergaduhan tambahan pula di tempat umum seperti itu dengan semua pandangan mengarah ke arah kami. Saya terus menghidupkan enjin motorsikal dan pulang ke rumah sewa saya. Hilang mood saya ingin ke perpustakaan.


Rupa-rupanya kejadian itu menjadi buah mulut di kajian.

"Apa pasal engkau tak bagi tahu aku..?? tanya Runut. "Kalau aku ada sebelah engkau masa tu, Aku cucuk-cucuk perut Amin tu dengan pensil aku ni sampai kempis.."
"Waahh..engkau ingat pensil engkau tu dah habis gagah?? Sudahlahhh..."

Tuesday, September 05, 2006

Jarak Waktu

Jarak waktu itu mengubati kelukaan. Jarak waktu menukarkan hati seseorang. Jarak waktu itu mendewasakan seseorang. Jarak waktu jugalah yang mengubah segala-galanya. Sesiapa pun tidak dapat mengagak apa yang bakal terjadi di masa hadapan kerana dalam jarak waktu itu segala-galanya boleh bertukar atas qada' dan qadar yang telah ditetapkan di LauhilMahfudz.
Baru beberapa bulan yang lepas, saya bertanya kepada rakan sekelas saya sewaktu di bangku sekolah menengah dahulu, samada mereka masih mengingati, mengenali dan juga mengetahui alamat dan tempat tinggal salah seorang sahabat kami yang bernama Shahrul Azidi. Shahrul Azidi menjadi rakan sekelas kami selama 6 bulan sahaja sebelum dia mendapat tawaran belajar di MRSM Mini di Kelantan. Tetapi masing-masing geleng kepala.
Seingat saya, Shahrul Azidi dahulu seorang yang pendiam. Dia tidak banyak bercakap dan lebih suka melakukan halnya sendiri. Malangnya pula, ada masa-masanya Shahrul Azidi ini menjadi seorang yang panas baran dan suka mencari sebab untuk bertengkar dan berkelahi dengan sesiapa sahaja termasuklah dengan saya sendiri. Pasti ada sahaja yang menaikkan kemarahannya sehinggakan kami bersembang di sebelahnya sahaja sudah cukup untuk menjadi alasan mencari gaduh. Marah dan kecewa dengan sikapnya, ramai di antara kawan-kawan kami yang memulaukannya. Jika bertumbuk itu, sudah menjadi kebiasaan sehingga saya yang tidak bersalah, pada suatu malam selepas kami menghadiri kelas prep (preparation) turut ditumbuk di perut dengan tidak semena-mena. Demi menjaga keharmonian asrama, saya tidak membalas tindakannya, tetapi perasaan marah itu tetap ada.
Saya langsung tidak mengenali latar belakang. Ada tidaknya hanyalah perkara yang perlu sahaja. Shahrul Azidi ini berasal dari Taiping dan anak kepada seorang pegawai tinggi kerajaan. Bagi kami yang rata-ratanya sebagai anak-anak guru dan petani, status yang dimiliki oleh Shahrul Azidi itu merupakan sesuatu yang amat dikagumi.
Setelah 6 bulan, pada suatu hari kelihatan Shahrul Azidi terlompat-lompat kegembiraan berhampiran dengan telefon awam sekolah. Rupa-rupanya dia diterima masuk ke MRSM. Bagi kami rakan sekelas pula, pemergiannya bukanlah satu kehilangan malah satu rahmat. Tiada lagi pertengkaran dan pergaduhan di dalam kelas. Bilik Darjah itu sekarang sudah aman. Sewaktu bapa Shahrul Azidi datang menjemputnya di asrama, berhimpun rakan-rakan kami melihat pemergiannya. Bukan Shahrul Azidi yang dilihat tetapi masing-masing kagum melihat Proton Saga 1.5 berwarna Perak Metallic kepunyaan ayahnya. Hanya orang yang berada sahaja yang mampu memilikinya.
Shahrul Azidi kian luput dari ingatan rakan-rakan tetapi tidak pernah sekali-kali dari hati saya. Ini kerana saya masih terhutang dengannya sebanyak RM5.00 yuran tahunan kelas. Sewaktu di tingkatan satu itu saya bendahari. Saya berazam bahawa suatu hari nanti, wang miliknya akan pulang semula kepada pemilik sebenarnya. Itu janji saya. Wajahnya tidak pernah saya padamkan dari ingatan saya.
Semalam sewaktu pulang dari pejabat, saya sudah terlewat untuk menunaikan solat Maghrib. Akhirnya pilihan yang saya ada ialah singgah di Perhentian Jejantas Sungai Buloh. Selesai sahaja bersolat maghrib itu seorang lelaki lalu di hadapan saya untuk menyimpan kasutnya. Itulah dia. Wajahnya persis sewaktu kami di tingkatan satu dulu. Saya masih mengenalinya sekalipun dalam jarak waktu 20 tahun.
Saya menegurnya. Dia terlunga. Tidak mengingati saya. Saya menerangkan kepadanya siapa saya dan dia tersenyum. Kami berbicara dalam kenangan silam yang kabur. Tiba-tiba saya merasakan sesuatu yang aneh. Dia bukan Shahrul Azidi yang saya kenal dulu. Shahrul Azidi ini berbeza sama sekali. Shahrul Azidi ini seorang yang merendah diri, sopan tutur bicara dengan senyuman manis menghiasi bibir. Persamaan Shahrul Azidi dahulu dan sekarang ialah tidak banyak bercakap. Saya terpukul dengan kehebatan hemahnya dalam pertemuan singkat kami itu.
Begitulah manusia berubah di dalam jarak waktu. Segalanya mungkin.

Monday, September 04, 2006

Istana Barbie

Siri Aufa merajuk lagi. Pagi ini sahaja tidak salah pengiraan saya, sudah 4 kali dia bungkam. Entah apa yang tidak kena di hatinya. Seperti kebiasaannya, dia akan masuk ke bilik melayan rajuknya di atas katil. Saya mengekorinya. Saya lihat dia sudah terbaring di atas katil sambil menutupi wajahnya dengan bantal kecil milik adiknya.

Saya menghampirinya senyap-senyap dan kemudian saya menyergah sambil menggeletek perutnya. Dia terkekeh-kekeh ketawa. Kemudian turun dari katil dan berlari masuk ke dapur bersembunyi di sebalik peti sejuk sambil melaung memanggil saya. Hilang entah ke mana rajuknya. Dia sebenarnya ingin bermanja dengan saya kerana dalam seminggu, hanya dua hari sahaja saya dapat bersama-sama melapangkan masa sepanjang hari bermain dengannya. Dia keletah, manja dan sensitif. "Baba, Baba..Baba ceritalah tentang istana Barbie..".

"Ok, istana Barbie tu jauh. Di atas awan. Kalau Kak Long nak ke istana Barbie, Kak Long kena buat baik. Tak boleh usik adik, tak boleh pukul Umi, Baba dan Opah. Kalau Kak Long nak pergi ke istana Barbie tu, Kak Long kena cakap dengan Moon, "Moon, turunkanlah tangga rainbow. Kak Long nak pergi ke istana Barbie".
"Istana Barbie tu besar tak, Baba..??"
"Besarlah. Kemudian Kak Long naik tangga rainbow. Tangga rainbow bergerak sendiri. Ada awan kecil datang cium Kak Long, sehinggalah Kak Long sampai ke awan besar. Dekat atas awan besar tu lah istana Barbie..Istana Barbie warna apa..??"
"Pink.." katanya.
"Ok, sampai saja Kak Long di istana Barbie tu, Kak Long tengok raaamai orang. Semua cakap..haaii kat Kak Long. Kak Long pun ketuk pintu istana. Sekali tu, tengok siapa yang buka pintu..??"
"Barney. Aah, aah..ada Baby Bop dengan BJ.." pantas jawabnya.

"Lepas tu kan, Barney pimpin tangan Kak Long pegi satu tempat. Kat situ Kak Long tengok banyak meja, kerusi dan makanan. Ada McDonald, ada KFC, ada Nata De Coco, ada Mentos (semua itu kegemaran puteri kesayanganku itu). Sekali tu masa Barney duduk, kerusi dia patah. Dia gigit kerusi patah tu, rupa-rupa kerusi tu buat dari coklat".
"Hehehehe...Kak Long pun nak makan kerusi jugalah Baba..." katanya.
"Ha'ah. Kak Long makan kerusi. Baby Bop makan meja. Meja tu dibuat dari kek. BJ makan apa..??
"BJ makan pinggan" jawabnya.
"Baba..??" saya menduga.
"Baba makan sudu.." katanya.
"Baba pun makan sudu tu. Lepas makan, Barney bagi Kak Long satu kotak. Kak Long pun buka kotak tu. Dalam kotak tu ada baju cantik. Kak Long pun pakai. Kak Longlah yang paling cantik kat situ..Lepas tu, Barney pimpin tangan Kak Long pegi satu tempat lagi. Kak Long tengok kat situ ada banyak permainan. Besar. Ada banyak jongkang-jongket, buaian, ada gelongsor. Barney pun nak makan buaian tu..
"Tak boleh makan permainan!!" protesnya.
"Ok, ok. Mainan tak boleh makan. Kak Long pun main buaian kat situ. Buaian Kak Long cantik. Kak Long ada ramai kawan. Tiba-tiba datang kuda kecil warna putih dekat Kak Long. Kuda putih bawa Kak Long jalan-jalan dalam istana Barbie.."

"Kalau Kak Long nak balik rumah Opah, macam mana, Baba..?" tanyanya.
"Kak Long cakaplah dengan Moon, suruh Moon turunkan tangga rainbow..Kak Long pijak tangga rainbow tu, tangga rainbow tu bergerak sendiri ke bawah sampailah Kak Long kat depan rumah Opah "
"Bergerak sendiri macam kat Jaya Jusco tu, ye Baba..?"
"Yalah"
"Baba, Kak Long rindu Baba. Baba tak usahlah balik ke Rawang.."
"Baba kena kerja, sayang. Baba kena cari duit. Kak Long kata nak mainan, buku, pensil, gula-gula sugus, vitagen, baju yang macam Kak Long nak tu. Kalau Baba tak ada duit, macam mana Baba nak belikan semua tu.."
Dia angguk tanda mengerti. Saya memberikan jalan penyelesaian menurut kaedah kanak-kanak..
"Kalau Kak Long rindu kat Baba, Kak Long cakap dengan Moon. "Moon, Kak Long rindu Baba". Nanti Moon tu akan cakap dengan Baba, yang Kak Long rindukan Baba".
"Macam mana, Baba..??"
"Kalau Kak Long tengok Moon tu, Baba di Rawang pun tengok Moon yang sama. Moon cuma ada satu saja, kan..??
Siri Aufa tersenyum lantas memeluk saya dengan erat. Saya menyatakan kepadanya bahawa saya menyayanginya seluruh jiwa raga saya dengan sebuah ciuman di pipi mungilnya.

Friday, September 01, 2006

Irama

Jan, jan jala itik
Jala ayam
Berapa lubang kancil?
Seratus lima puluh..

Dari rumah Opah terdengar sayup-sayup Daud dan Fuziah menyanyikan irama kanak-kanak itu. Mungkin Duwan yang berusia 3 tahun itu ada bersama mereka barangkali. Cuaca petang itu cerah tetapi keliling kawasan rumah Opah dan Mak Yah sangat sunyi seolah-olah tiada orang. Yang mengisi telinga hanya siulan Riang-riang yang bersahutan di dalam kebun getah depan rumah Opah dan Mak Yah.

Sekarang baru pukul 4.30 petang. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang dari surau sebelah rumah Pakcik Udin Kengkang. Tentu Atuk yang akan mengazankannya dan Atuk sendiri yang akan mengiqamahkannya. Kemudian Atuk akan bersembahyang sendiri lantaran tiada jemaah. Sekali-sekala mungkin Tuk Timin datang bersolat bersama Atuk, tetapi Tuk Timin itu pun sekarang ini sudah uzur benar. Semalam Atuk bercerita, bulan ini sahaja sudah 50 orang pulang ke rahmatullah. Sehinggakan satu hari itu, ada 3 kematian serentak dalam kampung ini. Burung Hantu pun semenjak dua menjak ini lain benar sahutnya. Panjang dan menyeramkan. Uuuuuoooookkk, uuookk.

Dari bawah rumah, Mak Yah melaung memanggil Nyah Yati dan Fuad agar bersegera ke bendang membawa anak semai untuk ditanam. Air sudah memenuhi di petak. Dari baruh dan hulu kelihatan orang berbasikal menyusuri ban dan barisan pokok kekabu untuk tujuan yang sama. Nyah Yati dan Fuad nampak tidak endah. Mata mereka terpaku di kaca television kagum melihat aksi Chun, watak utama drama Jepun Moero Attack melakukan somersault. Kalau boleh mereka juga ingin hebat seperti Chun dalam permainan bola tampar. Tetapi apakan daya. Mak Yah sudah tiga kali melaung. Cuma diiyakan sahaja panggilan Mak Yah itu. Mak Yah sudah hilang sabar, lantas berdegum-degam memijak anak tangga sambil berleter. Mak Yah mengetap bibir memulas telinga Fuad dan Nyah Yati yang culas ke bendang. Mencicit Fuad dan Nyah Yati berlari masuk ke petak dengan mengepit anak semai di bawah ketiak masing-masing.

Sekumpulan bangau putih terbang melayang dari arah selatan turun mencari makan berhampiran tanah setompok di darat bendang Mak Yah. Saya mengekori Mak Yah dari belakang. Juga turut sama mengepit anak semai. Mak Yah menyuruh saya pulang, jika tidak kelak akan lebih mengotorkan baju saya yang bersih. Saya menunggu Fuad dan Nyah Yati dari sudut petak yang luas itu. Maklum sahaja petak pusaka turun-temurun. Melihat saya enggan berundur, Mak Yah menyuruh saya menahan taut di petak sebelah, milik keluarga Wan Saenah yang belum dibajak oleh tuannya. Airnya jernih, turun dari alur berdiri yang menyusuri kebun getah Atuk yang luas dua ekar itu. Kata orang, alur berdiri ini tempat laluan jin. Entahlah, saya pun tidak pasti. Namun rezeki petang itu agak lumayan. Saya berjaya menaikkan 2 ekor ikan haruan yang panjang dua jengkal, 3 ekor ikan puyu dan seekor ikan sepat ronggeng. Fuad menunjukkan ibu jarinya bergembira kerana makan malam ini akan agak mewah.

Pulang sahaja ke rumah, Mak Yah terus masuk ke bilik air membersihkan diri untuk bersolat Maghrib. Nyah Yati pula mandi di telaga dengan baju-bajunya sekali. Fuad berkejaran menyakat Fuziah dan Daud dalam lumuran lumpur bendang penuh sebadan. Badannya sudah berbau lumpur, ikan, keringat dan macam-macam lagi bau bersatu yang amat mesra dan sebati dengan hidung saya. Atuk sudah mengeluarkan basikal untuk ke surau dan akan pulang selepas habis solat Isyak. Sempat juga Atuk memarahi Fuad kerana berkejaran dan terlompat kinja di bawah pokok rambai besar itu di dalam lewat senja.

Malam selepas Maghrib persekitaran kampung itu sudah mulai sunyi sepi. Burung wak-wak bersahut-sahutan dari dalam semak kabong berhampiran tanah perkuburan kampung mengiringi senja dan menyambut malam yang berlabuh. Dari dalam bilik kedengaran suara Mak Yah meninggi memperbetulkan makhraj huruf Nyah Yati yang tidak betul. Fuad pula sedang menunggu gilirannya. Di rumah sebelah, Opah sedang tekun membaca Al-Quran sementara menunggu Mak Nah pulang dari hospital setelah selesai kerja sesi petang jam 9.00 malam. Menu untuk makan malam itu ialah Gulai Hijau Ikan Haruan dan Peria Katak bergaul sambal kelapa masakan Nyah Yati. Mak Yah tidak punya wang untuk membeli di kedai. Semua itu diperolehi dari keliling rumah Mak Yah sahaja.

Selesai sahaja makan malam itu Fuad terlentang di atas katil tertidur dalam kekenyangan dan keletihan. Tidur tanpa terlebih dahulu menyiapkan kerja sekolah. Buku-buku sekolah yang lusuh tersisip rapi dalam beg sekolah yang kumal dan sudah berjurai-jurai benangnya. Fuad tidur dalam senyuman. Diulit irama sahutan burung hantu dalam kebun getah Atuk. Bermimpikan harapan hari esok yang kelabu. Bermimpikan lubang kancil sebanyak seratus lima puluh.